THE OFFICIAL REPOSITORY OF
MALAYSIAN JUDGMENTS & RULINGS

[2018] MYCA 1 MALAY

Wong Ban Chong v Pendakwa Raya
Suit Number: Rayuan Jenayah No. K-05(M)-17-01/2016 

Criminal Law – Murder – Defence of Grave and sudden provocation

Criminal Law – Whether both elements, grave and sudden were present – Whether Exemption 1 to Section 300 of the Penal Code applies – Whether the trial judge failed to appreciate the facts that showed grave and sudden provocation

PENGHAKIMAN

Pengenalan

[1] Wong Ban Chong (perayu) telah didakwa dan dibicarakan dengan dua pertuduhan di Mahkamah Tinggi yang bersidang di Alor Setar, Kedah seperti mana yang berikut:

Pertuduhan Pertama

“Bahawa kamu pada 17/2/2012 jam lebih kurang 12.17 pagi, di rumah No: 269, Taman Saga, Jalan Alor Mengkudu, Alor Setar, di dalam daerah Kota Setar, di dalam Negeri Kedah Darul Aman, telah membunuh Ung Siew Lin (660516-02-5772) dan oleh yang demikian kamu telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.”

Pertuduhan Kedua

“Bahawa kamu pada 17/2/2012 jam lebih kurang 12.17 pagi, di rumah No: 269, Taman Saga, Jalan Alor Mengkudu, Alor Setar, di dalam daerah Kota Setar, di dalam Negeri Kedah Darul Aman, dengan sengaja telah menyebabkan cedera parah ke atas Ch'ng Sheue Mei (851029-02-5152) dengan menetak menggunakan parang iaitu satu senjata yang boleh menyebabkan kematian jika digunakan sebagai senjata salah (weapon of offence) dan oleh yang demikian kamu telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.”

[2] Di akhir perbicaraan, perayu telah didapati bersalah, disabitkan dan dijatuhkan hukuman mati mandatori bagi pertuduhan pertama. Manakala bagi pertuduhan kedua, perayu telah dihukum 8 tahun penjara. Tidak berpuas hati dengan keputusan terhadap pertuduhan pertama, perayu mengemukakan rayuan ini. Di akhir pendengaran, kami sebulat suara memutuskan untuk mengekalkan keputusan Hakim bicara. Berikut ialah alasan kami memutuskan sedemikian.

Kes Pendakwaan

[3] Secara ringkas, fakta-fakta kes adalah sebagaimana yang berikut:

(a) Pada 17.12.2012 lebih kurang pukul 12.17 pagi, Koperal Nik Hasni Bin Nik Chik (SP2) yang sedang bertugas di Pusat Kawalan IPD Kota Setar telah menerima panggilan melalui talian 999 daripada seorang perempuan Cina memaklumkan telah berlaku satu pergaduhan di rumah si mati di Lorong 6, Taman Saga, Jalan Alor Mengkudu, Alor Setar. SP2 telah menjadikan maklumat pertama dalam Laporan P8 dan seterusnya mengarahkan anggota peronda Koperal Syamsuri Bin Muhammad Zain (SP1) untuk bergegas ke tempat kejadian.

(b) Apabila tiba di tempat kejadian, SP1 melihat si mati dalam keadaan cedera parah dan telah diletakkan di atas jalan raya oleh orang awam. OKT pula didapati terbaring dalam keadaan cedera di hadapan rumah si mati yang beralamat No. 269 Taman Saga. SP1 terus menahan OKT. Selepas itu orang awam telah menunjukkan kepada SP1 sebilah parang (P7) di dapur rumah si mati. SP1 terus mengawal keadaan dan pada masa yang sama melihat sebuah kereta Perodua Myvi sedang terbakar dan pihak bomba berusaha memadamkan kebakaran itu.

(c) Wong Chew Shen (SP3), ialah anak si mati yang tinggal bersama si mati. Menurut SP3 pada lebih kurang pukul 12.00 tengah malam dia telah mendengar bunyi seperti orang memukul sesuatu di bahagian dapur di belakang rumah dan bunyi balingan sesuatu ke cermin tingkap di dapur. SP3 bersama-sama si mati, Ch’ng Sheue Mei (SP4, anak angkat si mati) dan dua orang lagi saudara perempuan cuba melarikan diri melalui pintu hadapan, namun pintu tersebut berkunci dengan mangga yang bukan milik mereka. Dalam usaha melarikan diri itu, mereka telah merempuh pintu tersebut dan meluru keluar ke anjung (porch) kereta.

(d) Pada ketika itu, SP3 melihat perayu (bapanya) datang dari arah dalam rumah sambil memegang sebilah parang. SP3 melihat perayu menetak SP4 beberapa kali. Melihat kejadian itu, SP3 dan si mati cuba melarikan diri dengan memanjat pagar rumah. SP3 berjaya keluar dari kawasan rumah dan cuba membantu si mati tetapi perayu telah tiba di situ dan menarik si mati sehingga jatuh di dalam kawasan rumah. SP3 tidak tahu apa yang telah berlaku kepada si mati selepas itu. Namun, selepas meminta bantuan daripada jiran-jiran, SP3 melihat SP4 dibawa keluar dalam keadaan tidak sedarkan diri ke ambulans, manakala si mati dilihat dalam keadaan tertiarap di lantai di luar rumah dan telah meninggal dunia.

(e) SP4 menyokong keterangan SP3 berkaitan dengan kejadian di dalam rumah dan cubaan mereka untuk melarikan diri dari dalam rumah tersebut. SP4 telah cedera ditetak oleh perayu di paha kanan, tangan kiri, dan kepala hingga menyebabkan dia tidak sedarkan diri. Apabila sedar, dia telah berada di hospital.

(f) Siasatan ke atas kejadian kes ini telah dijalankan oleh ASP Bee Anak Amba (SP7) dengan dibantu juga oleh Inspektor Zamani Bin Mohd. Nani (SP9) daripada bahagian Forensik. Setiba di tempat kejadian, SP7 mendapati pada sebuah kereta Myvi bernombor PHK 1618 kesan kebakaran yang telah dipadamkan oleh pihak bomba. Manakala SP9 yang telah memeriksa kereta Perodua Myvi milik perayu bernombor pendaftaran PKQ 4300 dan merampas antara lainnya 3 botol plastik di bahagian penumpang belakang yang mengandungi cecair petrol.

(g) Bedah siasat ke atas jasad si mati telah dijalankan oleh Dr Mohd Suhani Bin Mohd Noor (SP6). Daripada bedah siasat tersebut, SP6 mengesahkan kematian si mati disebabkan oleh kehilangan darah yang banyak akibat kecederaan pada tubuh si mati iaitu kesan daripada luka-luka tajam Exsanguination due to multiple sharp force injuries (Rujuk Laporan Bedah siasat P13). Menurut SP6 lagi, kecederaan-kecederaan tersebut apabila diambil kira secara menyeluruh bersifat maut. Manakala SP4 pula mengalami 17 kecederaan dan antaranya kecederaan parah seperti mana dalam keterangan Dr Mohd Sidqi Bin Mohd Soel (SP11) serta laporan perubatannya P41. Menurut SP6 dan SP11, kecederaan pada tubuh si mati dan kecederaan yang dialami oleh SP4 boleh diakibatkan oleh objek tajam seperti parang (P7) yang berada di tempat kejadian.

Dapatan di Akhir Kes Pendakwaan

[4] Setelah membuat penilaian maksimum ke atas keterangan yang dibentangkan oleh pendakwaan, Hakim bicara memutuskan bahawa pendakwaan telah berjaya membangkitkan satu kes prima facie terhadap perayu bagi kesalahan membunuh yang boleh dihukum di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan, dan kesalahan mendatangkan kecederaan parah di bawah s 326 Kanun Keseksaan. Mengenai pembuktian kesalahan membunuh, setelah merujuk kepada s 300, Klausa (c) dan kes Tham Kai Yau & Ors v. PP (1976) 1 LS 159, dan Mohd Azam Raja Abdullah v. PP (2015) 1 CLJ 1080, Hakim bicara telah membuat dapatan yang berikut:

“[10] Daripada keterangan saksi pendakwaan SP3 iaitu anak simati, beliau telah menghadiri post-mortem yang dikendalikan oleh Dr Mohd Suhani Bin Mohd Noor (SP6). SP3 telah mengecam dan mengenal pasti mayat simati sebagai ibunya iaitu Ung Siew Lin. Identiti simati ini juga tidak dicabar oleh pihak pembelaan dan oleh itu identiti simati tidak dipertikaikan dan dibuktikan oleh pihak pendakwaan.

[11] Daripada keterangan SP3 dan SP4 juga adalah jelas bahawa tertuduh telah datang ke rumah tersebut dalam keadaan agresif dan kasar dengan membuat bising dan memecahkan cermin dapur di bahagian belakang rumah tersebut. SP3 dan SP4 juga melihat tertuduh memegang sebilah parang keluar dari dalam rumah menghala ke arah mereka dan juga simati. SP3 di dalam keterangan menyatakan bahawa beliau melihat tertuduh menetak SP4 dengan parang tersebut beberapa kali dan kemudiannya menghala ke arah simati dan SP3. Simati dalam usaha untuk melarikan diri dengan memanjat pagar rumah telah terjatuh ke dalam kawasan rumah setelah ditarik oleh tertuduh. Simati kemudiannya ditemui mati dengan kesan luka seperti mana yang dinyatakan oleh SP6. Oleh yang demikian, tidak dapat disangkal bahawa tertuduh mempunyai niat untuk menyebabkan kecederaan tubuh ke atas simati.

[12] Dr Mohd Suhani Bin Mohd Noor (SP6) di dalam keterangannya menjelaskan bahawa kematian simati adalah disebabkan oleh “Exsanguination due to multiple sharp force injuries” iaitu kehilangan darah yang banyak akibat daripada kecederaan yang di hadapi simati iaitu luka-luka daya tajam. SP6 dalam keterangan lisannya menyatakan bahawa tetakan terutamanya di bahagian kepala dan kesan luka yang hampir memutuskan tangan kiri simati menyebabkan simati kehilangan banyak darah dan maut akibat kecederaan tersebut dan kecederaan tubuh yang dialami oleh simati dalam keadaan biasa cukup untuk menyebabkan kematian. Berdasarkan keterangan yang saya huraikan di atas adalah jelas bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan satu kes prima facie terhadap bagi pertuduhan pertama.”

Kami bersetuju dengan dapatan ini.

[5] Oleh yang demikian, perayu telah diarahkan untuk membela diri terhadap pertuduhan-pertuduhan tersebut.

Kes Pembelaan

[6] Perayu telah memilih untuk memberikan kenyataan tanpa bersumpah. Secara ringkasnya, perayu menyatakan seperti yang berikut:

(a) Sejak tahun 2006, dia tinggal berasingan daripada isteri (si mati). Isterinya tinggal di bilik tidur utama bersama anak-anaknya. Perayu terpaksa menguruskan semua perkara sendiri termasuklah makan dan pakaiannya.

(b) Si mati juga tidak membenarkan ketiga-tiga anaknya bergaul atau bercakap dengan perayu.

(c) Pada 18.11.2008, kakak perayu ada menelefon si mati dan memaklumkan bahawa ibu perayu telah meninggal dunia dan berpesan supaya si mati memaklumkan pada perayu. Si mati walau bagaimanapun telah memaklumkan kepada kakak perayu bahawa mereka tidak tinggal bersama sedangkan ketika itu mereka masih lagi tinggal sebumbung.

(d) Pada 7.12.2008, kakak perayu datang untuk menjemput perayu menghadiri majlis perkahwinan anaknya di Padang Besar dan kakaknya mendapati si mati dan anak-anak masih tinggal di rumah yang sama dengan perayu.

(e) Pada 27.12.2008, Perayu telah menghadiri kenduri perkahwinan anak kakaknya di Padang Besar dan berada di sana selama 3 hari. Apabila pulang, perayu mendapati pintu gelongsor hadapan dan pintu pagar hadapan tidak berkunci. Perayu mendapati si mati dan anak-anaknya telah berpindah keluar tanpa pengetahuannya dan perayu gagal mencari mereka di sekitar Alor Setar.

(f) Pada Ogos 2009, Perayu telah terjumpa semula keluarganya, namun terjadi perbalahan antara si mati dan anak-anak dengan perayu. Perayu dikatakan tidak berpuas hati dengan penglibatan anak angkat dalam urusan keluarga dan perayu juga tidak berpuas hati kerana si mati enggan memindah milik rumah ke atas nama perayu.

(g) Pada hari kejadian, perayu menyatakan dia minum bir di rumah. Pada pukul 12 tengah malam, dia tiba di rumah tersebut dan memanggil si mati untuk keluar berbincang namun si mati enggan keluar. Si mati telah menutup pintu dan tidak membenarkan perayu masuk.

(h) Perayu kemudiannya memilih untuk masuk melalui pintu belakang.

(i) Perayu melihat si mati dan anak-anaknya berlari keluar rumah melalui pintu hadapan. Perayu menghampiri mereka dan bercakap dengan SP4 "nak tanggal baju boleh tanggal sekarang, nak marah cakap sekarang”. SP4 meludah perayu dan perayu terus menetak SP4.

(j) Perayu melihat si mati ke halaman rumah di kawasan dalam pagar ke anjung (porch) kereta dan baring di atas lantai. Perayu telah pergi duduk di sebelah si mati.

(k) Selepas itu, ada seseorang yang memancutkan cecair pemadam api ke tempat mereka duduk. Perayu kemudiannya menolak badan si mati dan mendapati si mati tidak sedarkan diri.

(l) Perayu berlari ke dalam rumah untuk mencuci matanya yang pedih akibat terkena semburan pemadam api. Apabila keluar, perayu melihat si mati di anjung kereta. Perayu keluar pagar dan pada masa tersebut dia terasa seperti mukanya ditampar dan telah terjatuh ke atas lantai. Dia ditendang di bahagian kiri badan dan terus tidak sedarkan diri.

[7] Peguam perayu berhujah bahawa perayu telah menghadapi provokasi kumulatif daripada si mati berkaitan hartanah antara tahun 2006-2012.

Dapatan di Akhir kes Pembelaan

[8] Di akhir perbicaraan, hakim bicara memutuskan perayu telah gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan. Perayu juga didapati gagal membuktikan pemakaian Pengecualian 1, s 300, Kanun Keseksaan. Perayu didapati bersalah dan disabitkan. Susulan itu, Hakim bicara menjatuhi perayu hukuman penjara 8 tahun bagi kesalahan mendatangkan kecederaan parah terhadap SP4 dan hukuman mati mandatori bagi kesalahan membunuh si mati.

Rayuan ini

[9] Peguam yang terpelajar telah mengemukakan lapan alasan dalam petisyen rayuannya untuk mencabar keputusan Hakim bicara. Namun, di hadapan kami peguam bela hanya memberikan fokus kepada kekhilafan Hakim bicara yang dihujahkan telah gagal untuk menilai keseluruhan keterangan yang dengan jelas menunjukkan terdapatnya provokasi kumulatif “cumulative provocation”. Seterusnya peguam menegaskan provokasi berterusan yang berlaku telah membangkitkan kemarahan perayu dengan tiba-tiba yang menyebabkan perayu hilang kawalan dan bertindak di luar kawalan. Provokasi ini terjumlah kepada satu pembelaan yang relevan dan munasabah di bawah Pengecualian 1, s 300 Kanun Keseksaan.

[10] Responden pula menghujahkan tiada provokasi oleh si mati yang telah mendatangkan bangkitan marah yang besar dan mengejut “sudden and grave provocation” terhadap perayu. Fakta kes juga secara jelas menunjukkan perayu telah berniat/ mempunyai motif untuk melakukan perbuatan seperti mana dalam pertuduhan kerana pintu gril hadapan dikunci dari luar menggunakan mangga sehingga menyebabkan penghuni rumah tidak dapat keluar dan perayu telah menceroboh masuk melalui pintu belakang rumah dengan membawa parang menunjukkan bahawa perayu yang mendatangkan kejutan malah bersedia dengan senjata parang untuk melakukan kesalahan mencederakan SP4 dan melakukan pembunuhan terhadap si mati.

Keputusan Kami

[11] Setelah kami pertimbangkan keseluruhan keterangan dalam rekod dan penghujahan kedua-dua pihak, kami mendapati tidak ada merit dalam penghujahan peguam bela perayu. Sebagai titik permulaan pertimbangan, ketepatan bagi kami untuk menyatakan kedudukan undang-undang terkini mengenai pembelaan provokasi kumulatif. Prinsip undang-undang tersebut telah digariskan dengan jelas dalam keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes PP v. Surbir Gole (2017) 2 CLJ 621, seperti yang berikut:

"The Law

[29] The learned Deputy Public Prosecutor submitted before us that Exception 1 to s. 300 of the Penal Code must be applied in accordance with, in particular, the decision of the Federal Court in the case of Che Omar bin Che Akhir v. PP (supra).

[30] In Che Omar 's case, the accused's wife left him without his knowledge, and went back to her mother's home in Kuching, Sarawak, taking her daughter with her. The accused looked for her in Kuala Lumpur but could not find her. He claimed to have received two telephone calls, four days apart, threatening to kill him if he went to Sarawak. The first telephone call was received about 11 days after the wife left him. The accused went to Kuching some 18 days later to look for the wife. He could not find her at her kampung. He bought a knife, as he claimed two men were following him. He found the wife later at her mother's stall at the Jalan Satok Sunday Market in Kuching. At the time PW7 was also at the stall. She answered him rudely when he asked why he treated him that way. The accused asked his wife twice about PW7. She replied that he was "my man". That statement was repeated by the wife. The accused then stabbed his wife several times as her answer made him feel "dayus". She died as a result of the stab wounds.

[31] In dealing with the defence of the accused in Che Omar 's case, the learned trial judge in that case said:

Furthermore, this is a case where it is reasonable to say that if there was provocation, this would or could conceivably have emerged or commenced from the time the accused discovered that his wife Maray had surreptitiously left their matrimonial home in Kuala Lumpur for Kuching with their child. It is quite probable that this provocation was further fueled by his suspicion that his wife Maray was perhaps having an affair with another man when he received the threatening telephone calls from Kuching. His subsequent actions, upon his arrival in Kuching on 2,3.96 in conducting what amounted to a stake-out of the stall owned by his mother-in-law at the Satok Sunday Market, were symptomatic of an attempt not merely to locate his wife Maray but also of a desire to confirm and fortify his suspicion of her infidelity. That suspicion appeared to have been further reinforced when he saw his wife with another man Awang Jamaluddin PW7 at the stall and later when his wife told him, in reference to PW7, that he was her man.

From the series of events which I have highlighted above, it would seem that the provocation, which the accused alleged to have suffered, was a gradual one, It was not sudden, even if it could be accepted that the accused had eventually become offended on being told by his wife that PW7 was her man, I am of course of the view that such an offensive rebuttal would not have prompted or caused a reasonable man, placed in the position and circumstances the accused was placed, to become so provoked as to lose his self-control thereby causing him to suddenly whip out a knife and stab his wife to death.

[32] On appeal, the Federal Court explained that the determination of whether a given provocation is grave and sudden is made on the evaluation of facts. The court said:

[22] In the present case, the only provocation was suspicion in the mind of the appellant that the deceased was unfaithful to him when she referred to PW7 as "He is my man". What was found by the learned trial judge was that the provocation was gradual. He was right. To our minds, there is no such thing as gradual and accumulated provocation that amounts to grave and sudden provocation. Devoid of its gravity and suddenness (as in the case here) a gradual and accumulated provocation is not sufficient to constitute a defence under Exception 1 to s. 300 of the PC. The provocative acts of the deceased were not capable of constituting provocation sufficient to reduce the charge of murder to culpable homicide not amounting to murder. Further, the brutal retaliation by the appellant was not proportionate to the provocation. We agree with the learned trial judge that a reasonable man placed in the situation and circumstances the appellant was placed would not have acted as the appellant did.

[23] We agree with the Court of Appeal that the learned trial judge was correct in his approach on the defence of grave and sudden provocation in line with what had been stated in Lorensus Tukan, supra. In our judgment, the learned trial judge had fully considered the evidence relied on by the appellant on the defence of grave and sudden provocation

[33] In the case of Lorensus Tukan v. PP [1988] 1 CLJ 143; [1988] 1 CLJ (Rep) 162, referred to by the Federal Court in Che Omar 's case, Seah SCJ, in delivering the judgment of the Supreme Court, said:

The test of 'grave and sudden' provocation is whether a reasonable man, belonging to the same class of society as the accused, placed in the situation in which the accused was placed would be so provoked as to lose his self-control (see Nanavati v. State of Maharashtra AIR 1962 SC 605, 530).

[34] It appears to us that the term "cumulative provocation" used or referred to in the High Court and the Court of Appeal in this case, and the cases referred to or cited in both courts, was used in relation to a series of provocations each of which is not by itself grave. It is only when all the provocations in the series are accumulated that the sum total of them becomes grave provocation.

[35] We believe that Che Omar 's case has made the legal position clear with regard to cumulative provocation of the nature described in para. 34 above. We ought to be reminded that the defence of "cumulative provocation" does not exist in our criminal law, and therefore we are not persuaded that it is a permissible defence to s. 300 of the Penal Code. Only the defence of grave and sudden provocation is specifically provided for in Exception 1 to s. 300 in the Penal Code. We are not inclined to agree to any departure from the established law.

[36] We wish to reiterate, however, that provocation to an accused person that is ordinarily and by itself not grave may be grave enough to fall within Exception 1 to s. 300 when, after all the circumstances of the case before and during that provocation are taken into consideration, it can be concluded that "a reasonable man, belonging to the same class of society as the accused, placed in the situation in which the accused was placed would be so provoked as to lose his self-control".

[37] To be able to come within Exception 1, the provocation that an accused person is relying on must not only be grave, but must also be so sudden as to cause the accused person to "lose his self-control", and act in spontaneous reaction to the grave provocation.

[38] It is the kind of suddenness that, to use the words in the illustrations to Exception 1 to s. 300 in the Penal Code, "excited" the accused person to "sudden and violent passion" or to "violent rage".

[39] Ultimately, however, whether the provocation is grave and sudden is a question of fact.

Evaluation Of Facts

[40] According to s. 105 of the Evidence Act 1950, the burden of proving that Exception 1 to s. 300 of the Penal Code, that is that the act of stabbing the deceased was precipitated by grave and sudden provocation, is upon the accused. The accused has to prove not only that the provocation was grave but that it came suddenly." (Tekanan oleh k ami)

[12] Berpandukan prinsip di atas kami mengambil pendirian bahawa perayu telah gagal membuktikan Pengecualian 1, s 300 Kanun Keseksaan terpakai kepadanya, atas imbangan kebarangkalian. Kami perhatikan peristiwa yang berlaku seperti mana dibentangkan oleh pendakwaan bukan sahaja tidak dicabar malahan sebahagian besarnya diakui oleh perayu. Keterangan SP3, SP4, SP7 dan SP8 dengan jelas menunjukkan bahawa tindakan perayu adalah terancang. Perayu telah datang dengan kereta Myvi yang diparkir di belakang rumah si mati. Perayu juga membawa beberapa botol mengandungi minyak petrol. Perayu telah membakar kereta SP4. Perayu seterusnya telah mengunci pintu hadapan rumah dan kemudiannya memecah masuk rumah si mati melalui pintu belakang. Isi rumah termasuk SP3, SP4 dan si mati telah diletakkan dalam keadaan terperangkap dan ketakutan terutamanya dengan sikap amat garang perayu yang juga membawa sebilah parang. Tidak ada seurat (iota) keterangan mengenai si mati melawan, marah atau mengeluarkan kata-kata provokasi seperti mana dalam kes PP v. Subir Gole. Malahan si mati ditarik ke dalam kawasan rumah oleh perayu ketika si mati cuba memanjat pagar untuk melarikan diri daripada perayu. Menurut SP3 semasa diperiksa balas ibu bapanya selalu bergaduh mengenai hal kewangan dan perkara-perkara remeh yang lain. Bagaimanapun perayu telah menyerang semua dalam rumah tersebut termasuk mencederakan SP4 dan salah seorang anaknya Wong Chew Ying. Pada hemat kami perayu bersikap panas baran dan geram terhadap bekas isterinya, si mati, kerana masalah rumah tangga. Harus dicatatkan SP4 tidak ditanya atau dicadangkan bahawa dia telah mencaci dan meludah perayu dalam peristiwa tersebut. SP3 juga tidak ditanya tentang hal perkara penting itu. Lebih memudaratkan apabila kami juga mendapati perayu dalam pernyataan tidak bersumpahnya tidak menyatakan langsung tentang dirinya menyerang, mencederakan dan menyebabkan kematian si mati. Apa yang dikatakan sekadar melihat si mati terbaring dan dia duduk di sebelahnya sahaja. Dengan itu bagaimanakah perayu boleh membangkitkan pembelaan provokasi apabila dia tidak mengaku mencederakan dan menyebabkan kematian si mati? Jika adapun perselisihan faham atau pergaduhan suami isteri yang sebegitu serius sekali yang berakhir dengan perceraian, itu tidak boleh, tanpa ada apa-apa pembuktian bangkit marah besar dan mengejutkan, mewajarkan tindakan membunuh. Kami mengambil pendirian bahawa amat berbahaya bagi kami untuk meluaskan prinsip dalam kes PP v. Subir Gole untuk terpakai dalam situasi kebencian (hatred) sedemikian rupa dalam perselisihan atau pertikaian rumah tangga sama ada semasa proses atau yang telah berakhir dengan perceraian. Walaupun kebencian yang meluap selalunya tidak mempunyai remedi perundangan (hatred has no legal remedy), itu, tanpa faktor-faktor yang terjumlah kepada bangkit marah yang besar dan mengejut, tidak mewajarkan tindakan melepaskan geram tersebut dengan menyebabkan kecederaan dalam apa bentuk sekalipun. Lebih memudaratkan lagi jika tindakan tersebut dengan niat untuk menyebabkan kecederaan dan kecederaan tersebut mencukupi untuk menyebabkan kematian. Itu lah yang berlaku dalam kes dalam rayuan ini. Yang jelas, keadaan fakta metrik kes ini jauh berbeza dengan fakta kes-kes yang dirujuk oleh peguam bela. Oleh itu, hujahan peguam bela tidak bermerit in limine.

[13] Dengan huraian kami di atas, kami mendapati Hakim bicara telah mengambil pendekatan yang betul mengenai isu ini. Kami bersetuju dengan keputusan Hakim bicara yang, setelah membincangkan kes-kes yang bertepatan, menyatakan:

“[22] Jika diteliti kenyataan tertuduh, sebahagian besarnya menyokong atau disokong oleh keterangan saksi pendakwaan SP3 dan SP4 iaitu fakta di mana tertuduh memasuki rumah tersebut melalui bahagian belakang rumah serta kesemua penghuni rumah tersebut melarikan diri melalui pintu hadapan kerana takutkan tertuduh yang kelihatan agresif dan kasar setelah dengan secara kekerasan memasuki rumah tersebut dari bahagian belakang. Adalah juga tidak disangkal bahawa tertuduh menetak SP4 sehingga menyebabkan kecederaan. Walaupun tiada kenyataan daripada tertuduh atau keterangan daripada saksi pendakwaan yang melihat tertuduh menetak si mati, tetapi terdapat keterangan daripada SP3 dan SP4 yang melihat tertuduh keluar daripada rumah dengan memegang sebilah parang dan kenyataan tertuduh sendiri yang mengaku menetak SP4 dengan parang.

[23] Tertuduh menyatakan bahawa simati telah masuk semula ke halaman rumah di dalam pagar dan terus ke kereta Kelisa di kawasan porch kereta dan baring atas lantai dan tertuduh duduk di sebelah si mati di sebelah kanan. Adalah sukar diterima kenyataan tertuduh ini memandangkan bahawa tertuduh telah memasuki rumah tersebut secara kekerasan, dengan kasar serta agresif sambil memegang parang dan kemudiannya mengaku di dalam kenyataannya dalam kandang salah bahawa beliau menetak SP4 dengan parang tersebut tetapi tidak berbuat apa-apa pada simati. Tambahan pula tiada orang lain lagi yang dilihat berada di situ sambil memegang parang dan simati juga dijumpai sejurus daripada itu dalam keadaan berlumuran darah dengan kesan luka yang diakibatkan oleh daya tajam seperti P7 seperti mana keterangan SP6. Secara keseluruhannya saya berpuas hati dan tiada keraguan bahawa tertuduhlah yang telah menyebabkan kecederaan parah ke atas tubuh SP4 dan juga kecederaan ke atas tubuh simati yang mengakibatkan kematiannya.

[24] Tertuduh di dalam kenyataannya membangkitkan isu provokasi. Mahkamah hendaklah meneliti fakta kes ini sama ada ia adalah satu provokasi dan terjatuh dalam Kecualian 1 s 300 Kanun Keseksaan iaitu bangkitan marah yang besar dan mengejutkan hingga menyebabkan tertuduh gagal mengawal dirinya dan menyebabkan kematian kepada orang yang membuat provokasi tersebut (Hakim bicara merujuk kes Enthiran Rajoo v. PP (2015) 8 CLJ 503).

[25] Undang-undang berkaitan provokasi adalah jelas bahawa ia mesti bangkitan marah yang besar (grave) dan mengejut (sudden). Kedua-dua elemen ini kena wujud. Daripada kenyataan tertuduh di dalam kandang salah dan hujahan peguam, apa yang dibangkitkan adalah kononnya provokasi berturut-turut oleh simati adalah sikap dingin simati kepada tertuduh dan keengganan simati untuk berbincang dan memindah milik semula harta pusaka ibunya kepada tertuduh. Provokasi dikatakan berlaku seawal 2006 hinggalah hari kejadian. Saya mendapati bahawa kedua-dua elemen ini tidak wujud malah seorang yang munasabah di dalam situasi dan keadaan sebegini tidak akan bertindak sebagaimana tertuduh lakukan terhadap simati dan SP4. Oleh itu, perbuatan provokasi kononnya oleh simati tidak termasuk dalam kecualian 1 s 300 Kanun Keseksaan.”

[14] Arkian, berdasarkan alasan-alasan di atas kami mendapati tiadanya kecacatan dalam keputusan Hakim bicara. Kami tidak mempunyai apa-apa alasan untuk berlainan pendapat dengan keputusan tersebut. Seperti mana yang diputuskan dalam PP v. Subir Gole, sama ada sesuatu provokasi itu besar dan mengejutkan merupakan persoalan fakta. Kami tidak seharusnya mengganggu dapatan fakta Hakim bicara kecuali ada alasan yang memaksa dan substantif untuk tidak bersetuju dengan dapatan tersebut. Kami tidak diyakinkan untuk tidak bersetuju dengan dapatan tersebut. Dengan itu, kami mendapati sabitan adalah selamat dan menolak rayuan ini. Sabitan dan hukuman Hakim bicara disahkan dan dikekalkan.

ABDUL KARIM ABDUL JALIL
Hakim Mahkamah Rayuan

Tarikh: 3 Januari 2018

COUNSEL

Bagi pihak Perayu: Arik Zakri Abdul Kadir, Tetuan The Chambers of Arik and Kamal

Bagi pihak Responden: Iswa Tonie, Timbalan Pendakwa Raya, Jabatan Peguam Negara

Legislation referred to:

Kanun Keseksaan, Seksyen-seksyen 300, 300(c), 302, 326

Judgments referred to:

Mohd Azam Raja Abdullah v PP (2015) 1 CLJ 1080

PP v Surbir Gole (2017) 2 CLJ 621

Tham Kai Yau & Ors v PP (1976) 1 LS 159

Notice: The Promoters of Malaysian Judgments acknowledge the permission granted by the relevant official/ original source for the reproduction of the above/ attached materials. You shall not reproduce the above/ attached materials in whole or in part without the prior written consent of the Promoters and/or the original/ official source. Neither the Promoters nor the official/ original source will be liable for any loss, injury, claim, liability, or damage caused directly, indirectly or incidentally to errors in or omissions from the above/ attached materials. The Promoters and the official/ original source also disclaim and exclude all liabilities in respect of anything done or omitted to be done in reliance upon the whole or any part of the above/attached materials. The access to, and the use of, Malaysian Judgments and contents herein are subject to the Terms of Use.