THE OFFICIAL REPOSITORY OF
MALAYSIAN JUDGMENTS & RULINGS

[2018] MYCA 61 MALAY

Thanakorn Sinsanoi v Pendakwa Raya
Suit Number: Rayuan Jenayah No. B-05(M)-449-12/2016 

PENGHAKIMAN

Pendahuluan

[1] Perayu, seorang warga Thailand, telah dituduh dengan satu pertuduhan mengedar 1,333 gram Methamphetamine pada 13 Julai 2013, jam lebih kurang 1.00 pagi, di Cawangan Pemeriksaan Penumpang 2, Low Cost Carrier Terminal (LCCT), Balai Ketibaan Antarabangsa, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Selangor, suatu kesalahan di bawah seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (“ADB 1952”) yang boleh dihukum di bawah seksyen 39B(2) Akta yang sama.

[2] Mahkamah Tinggi telah mendapati perayu bersalah, mensabitkan perayu dan menjatuhkan hukuman mati terhadap perayu.

[3] Perayu telah merayu kepada Mahkamah ini. Pada 26 Disember 2017, Mahkamah ini telah mendengar rayuan perayu dan memutuskan untuk menolak rayuan perayu. Sabitan dan hukuman Mahkamah Tinggi dikekalkan. Kami kini memberikan alasan keputusan tersebut.

Kes Pendakwaan

[4] Daripada keterangan yang telah dikemukakan, intipati kes pendakwaan adalah seperti berikut. Pada 12.7.2013, jam lebih kurang 11.00 malam, pegawai kastam PiKK Zamri bin Haji Omar (SP6) daripada Cawangan Bahagian Pemeriksaan Penumpang (CCP2) di KLIA memulakan tugas bersama seorang lagi pegawai kastam PiKK Adam bin Zulkifli bagi memantau dan mengimbas bagasi penumpang di Kaunter Pemeriksaan Kastam (Kaunter 3) KLIA. SP6 bertugas dari jam 11.00 malam 12.7.2013 hingga jam 7.00 pagi 13.7.2013.

[5] Pada 13.7.2013, lebih kurang jam 1.00 pagi, SP6 telah mengimbas sebuah beg galas (P5) yang dibawa oleh perayu. SP6 mendapati terdapat imej yang mencurigakan di dalam beg P5 tersebut. SP6 telah membuat pemeriksaan ke atas dokumen perayu iaitu passport (P30) dan ‘boarding pass’ (P31). Perayu adalah penumpang yang baru tiba di KLIA dari Kolkata, India dengan menaiki pesawat Air Asia AK1242. SP6 telah meminta perayu mengeluarkan semua barangan yang terdapat dalam beg P5. Perayu telah mengeluarkan 8 bungkusan kain saree dari beg P5. SP6 memeriksa 8 bungkusan kain saree tersebut dan mendapati 5 bungkusan kain saree adalah lebih berat daripada 3 bungkusan yang lain. SP6 telah meminta Perayu mengimbas semula 8 bungkusan tersebut dan hasilnya 5 daripada 8 bungkusan kain saree terdapat imej berwarna hijau yang mencurigakan.

[6] Seterusnya, SP6 telah meminta Perayu memasukkan semula semua bungkusan kain saree ke dalam beg P5 dan merujukkan Perayu kepada Ketua Unit Penguasa Kastam, Abdul Razak bin Abdul Shukor (SP7) untuk membuat pemeriksaan lanjut ke atas beg P5 dalam bilik pemeriksaan kastam CPP2, KLIA.

[7] SP7 telah memeriksa P5 yang terdapat tanda tag bagasi “KUL005018”. Siri nombor tersebut menyamai dengan cetakan pada ‘boarding pass’ (P31) yang berada dengan Perayu. Dengan disaksikan oleh Perayu dan SP6, SP7 telah memeriksa kandungan beg P5 yang mengandungi beberapa helai pakaian, alat solek dan 8 bungkusan kain saree.

[8] SP7 telah membuka salah satu bungkusan kain saree (P37) dan mendapati di dalamnya terdapat satu bungkusan berbentuk silinder yang dibaluti dengan pita berwarna coklat. SP7 telah membuat torehan di bahagian hujung silinder dan mendapati silinder tersebut mengandungi serbuk kristal putih. Sejumiah 5 bungkusan saree (P37, P38, P39, P40 dan P41) (P12: gambar 12 hingga 72) yang diperiksa oleh SP7 terdapat bungkusan berbentuk silinder setiap satu yang masing-masingnya mengandungi serbuk kristal putih. 3 lagi bungkusan saree tidak terdapat apa-apa bungkusan berbentuk silinder. SP7 telah membuat tangkapan ke atas Perayu.

[9] SP7 kemudiannya telah membuat laporan tangkapan ke atas Perayu dan rampasan melalui KLIA Sepang/008030/13 (P34) dan mengeluarkan Senarai Barang Bongkar (P35). Perayu dan barang rampasan kemudiannya telah diserahkan oleh SP7 kepada pegawai penyiasat, Penguasa Kastam PPK (P) Sazali bin Unus (SP8) dan Borang Serah Terima Barang Kes (P36) ditandatangani oleh SP7 dan SP8.

[10] Pada 17.7.2013, SP8 telah menghantarkan bungkusan barang kes ke Jabatan Kimia Malaysia Petaling Jaya, Selangor bagi dianalisis (P15). Ahli Kimia, Dr. Vanitha Kunalan (SP4), telah mengesahkan bahawa bahan kristal jernih tersebut ialah Methamphetamine seberat 1,333 gram, iaitu dadah berbahaya yang disenaraikan dalam Jadual Pertama ADB 1952. SP4 turut mengemukakan laporan kimia beliau (P13).

Dapatan Hakim Bicara Di Akhir Kes Pendakwaan

[11] Di akhir kes pendakwaan, YA Hakim Bicara dalam memutuskan bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan satu kes prima facie, telah membuat dapatan berikut di muka 17-18 Rekod Rayuan Jilid 1:

“15. Berdasarkan kepada keterangan-keterangan saksi-saksi pendakwaan, saya berpendapat bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan elemen kawalan dan jagaan. Pengetahuan OKT pula boleh dibuat anggapan melalui seksyen 37(d) ADB, ini memandangkan tiada pengakuan atau keterangan yang secara langsung boleh mengaitkan OKT mempunyai pengetahuan ke atas dadah tersebut.

16. Mengenai elemen pengedaran dadah Methamphetamine seberat 1,333 gram tersebut juga, saya merujuk kepada kes Teh Hock Leong vs PP [2010] 1 MLJ 741. Di dalam kes ini jumlah dadah yang banyak membolehkan satu inferen dibuat bahawa ia bukanlah bertujuan untuk kegunaan sendiri.

17. Berbaiik kepada kes semasa, OKT telah datang daripada India ke Malaysia, dengan mempunyai kawalan sepenuhnya ke atas bagasi tersebut, serta mengetahuinya bahawa apa yang dibawanya tersebut adalah dadah, kesemua inferen-inferen ini boleh dibuat satu kesimpulan bahawa OKT datang ke Malaysia untuk mengedar dadah yang dibawanya itu."

[12] Perayu diperintahkan membela diri atas pertuduhan yang dikemukakan terhadapnya.

Pembelaan Perayu

[13] Perayu menafikan mempunyai milikan dan pengetahuan ke atas dadah yang ditemui oleh SP7. Perayu mengatakan dia berasal dari Thailand dan memberi perkhidmatan sex di Patayya, Thailand. Pada sekitar tarikh 11.7.2013 atau 12.7.2013, Perayu telah pergi ke India kerana dijemput oleh rakannya bernama “May” yang merupakan seorang ibu ayam di India. Bagaimana pun, setelah berada selama 4 atau 5 hari di India, Perayu masih tidak dapat pekerjaan dan oleh itu May telah menguruskan bagi Perayu pulang semula ke Thailand. Perayu mengatakan bahawa May mengaturkan perjalanan Perayu dari India ke Malaysia pada 13.7.2013 dengan persinggahan di LCCT Kuala Lumpur. Perayu mengatakan beg P5 yang dibawanya adalah sama dengan beg yang dibawa oleh Perayu semasa ke India. Perayu mengatakan May hendak mengirim kain-kain saree dan May telah memasukkan kain-kain saree tersebut ke dalam P5 pada hari Perayu hendak berlepas ke Malaysia dan meminta Perayu menyerahkan kain-kain saree tersebut kepada keluarga May di Thailand. Perayu telah membawa P5 yang terdapat bungkusan kain-kain saree tanpa memeriksanya terlebih dahulu. Setiba di KLIA, beg P5 yang dibawa oleh Perayu telah diarah untuk dibuat imbasan di mesin imbasan kastam dan dadah telah dijumpai. Perayu mengatakan bahawa Perayu tidak mempunyai pengetahuan ke atas dadah yang dijumpai daripada P5 tersebut.

Dapatan Dan Keputusan Hakim Bicara Di Akhir Kes Pembelaan

[14] Di akhir kes pembelaan, YA Hakim Bicara telah membuat dapatan berikut (muka surat 35-47 Rekod Rayuan Jilid 1):

“61. Berbalik kepada kes semasa, menurut OKT, beliau berkata beg tersebut telah dikemaskan oleh May dalam kehadirannya, beliau melihat May yang memasukkan bungkusan-bungkusan kain saree tersebut ke dalam begnya. OKT tidak pada bila-bila masa pun ingin memeriksa kain-kain saree tersebut sebelum kain-kain saree itu dimasukkan ke dalam begnya, pada hal OKT boleh berbuat demikian sekiranya dia mahu. Bagaimanapun, apa yang menghairankan saya, ialah kenapakah OKT membiarkan beg pakaiannya itu dikemaskan oleh orang lain dan bukannya olehnya sendiri? Sekali lagi saya berpendapat keterangan OKT ini sangatlah sukar dipercayai dan adalah sesuatu yang ‘highly improbable’.

62. Fakta-fakta ini menunjukkan bahawa OKT sengaja menutup matanya kepada satu keadaan yang sepatutnya telah menimbulkan syak wasangka bahawa bungkusan-bungkusan kain saree itu berisi dadah. Oleh itu, setelah melihat secara keseluruhan kes pendakwaan dan juga pembelaan OKT secara keseluruhannya, pembelaan “innocent carrier” ini adalah gagal dan tidak bermerit.

63. Mengenai watak May yang dikatakan oleh OKT sebagai pengadar dadah sebenar, menurut OKT beliau kenal May sebagai kawan sekerjanya semasa di Thailand, beliau mengenali May selama 1½ tahun. Bagaimanapun menurut OKT beliau tidak mempunyai apa-apa butiran mengenai May. OKT juga tidak mempunyai nombor telefon May. Malah nama May juga tidak pernah ditimbulkan pada masa kesemua pendakwaan. Oleh itu saya berpendapat dan berpuashati bahawa watak “May” hanyalah rekaan OKT semata-mata.”

[15] Diakhir perbicaraan, Hakim Bicara mendapati Perayu bersalah dan disabitkan dengan pertuduhan dan dihukum dengan hukuman mati.

Rayuan Perayu

[16] Dalam Petisyen Rayuan yang difailkan oleh Perayu, Perayu telah memberikan dua alasan rayuan bagi mencabar keputusan YA Hakim Bicara tersebut. Kami turunkan sepenuhnya dua alasan rayuan tersebut:

1. Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi adalah khilaf dari segi fakta dan undang-undang apabila memutuskan bahawa pembelaan Perayu telah gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan dengan tidak mempercayai versi pembelaan tanpa menimbangkan:

(a) secara menyeluruh keterangan SD1 (Perayu) mengenai kejadian pada 13.7.2013 dan hanya mempercayai keterangan saksi pendakwaan semata-mata.

(b) bagaimana dadah tersebut disimpan di dalam kain saree yang mana di dalam kes ini tidak mungkin diketahui oleh Perayu yang membawa kepada Perayu tidak mempunyai pengetahuan tentang kehadiran dadah tersebut.

(c) bahawa Perayu adalah ‘innocent carrier’ dengan fakta kewujudan rakannya bernama May yang telah menawarkan kerja di India sebagai pelacur. Perayu juga telah mengenali May kerana pernah bekerja sebagai rakan kerja. Perayu telah diminta untuk membawa kain saree tersebut untuk diserahkan kepada keluarga May di Thailand.

(d) Rakannya bernama May adalah sangat baik meskipun Perayu tidak dapat kerja di India tetapi telah memberikan layanan yang baik kepada Perayu. Disebabkan faktor tersebut, Perayu mempercayai May apabila May memasukkan kain saree yang telah dibalut rapi tersebut dalam beg Perayu tanpa diperiksa.

2. Yang Arif Hakim bicara telah gagal membuat penilaian secukupnya ke atas pembelaan Perayu. Kegagalan tersebut merupakan satu salah arah kerana ketidakpatuhan terhadap kehendak seksyen 182A(1) Kanun Tatacara Jenayah dan ianya telah mendatangkan prejudis serta ketidakadilan terhadap Perayu.

Keputusan Mahkamah Ini

[17] Semasa pendengaran rayuan ini, peguambela terpelajar bagi pihak Perayu mengatakan bahawa Perayu hanya akan membangkitkan satu alasan rayuan sahaja, iaitu tidak terdapat apa-apa “overt act” oleh Perayu berkaitan dadah yang dijumpai dan ianya konsisten dalam menunjukkan bahawa Perayu tiada pengetahuan ke atas dadah yang terdapat dalam beg P5. Peguambela terpelajar menghujahkan bahawa Hakim Bicara khiiaf dalam membuat dapatan bahawa ketiadaan reaksi perayu adalah tidak penting untuk diberi pertimbangan yang memihak kepada Perayu. Peguambela menghujahkan tidak terdapat sebarang reaksi “overt act” oleh Perayu semasa P5 diimbas dan semasa dadah ditemui oleh SP7. Peguambela terpelajar menghujahkan perlakuan Perayu tersebut wajar diberikan pertimbangan selari dengan peruntukan seksyen 8 Akta Keterangan 1950. Peguambela terpelajar juga menghujahkan bahawa hanya dengan perlakuan membawa dadah, ianya tidak mencukupi bagi membuktikan terdapatnya pengetahuan Perayu terhadap dadah tersebut tanpa terdapatnya sebarang perlakuan bersifat “overt act” oleh Perayu. Peguambela merujuk kepada kes PP v Abdul Manaf Muhamad Hassan [2006] 2 CLJ 129 dan kes Ong Ah Chuan v Public Prosecutor [1981] 1 MLJ 64 dalam menyokong hujahannya.

[18] Mahkamah ini telah meneliti alasan penghakiman oleh YA Hakim Bicara. Tidak terdapat dalam mana-mana penghakiman tersebut di mana Hakim Bicara mengatakan ketiadaan "overt act” oleh Perayu sebagai tidak penting bagi dipertimbangkan. Hakim Bicara di perenggan 65 (muka surat 45 Rekod Rayuan Jilid 1) telah merujuk kepada kes Amith Karinja v Public Prosecutor [2016] 1 LNS 420 yang mengatakan ketiadaan apa-apa reaksi oleh tertuduh “They are at best neutral evidence which neither support nor demolish the appellant’s defence." Kami mendapati Hakim Bicara telah menggunapakai prinsip undang-undang secara betul. Hakim Bicara telah meneliti dan membuat dapatan berdasarkan kepada keseluruhan keterangan termasuk ke atas isu sama ada Perayu cuma merupakan seorang ‘innocent carrier’.

[19] Dalam kes Public Prosecutor v Badrulsham bin Baharom [1998] 2 MLJ 585, Hakim Lim Beng Choon memutuskan di muka surat 590 seperti berikut:

“... it is legitimate for the court to scrutinize the evidence as to what the accused said contemporaneously with the act or omission and also the surrounding circumstances under which the accused acted or failed to act. Such evidence is of course not conclusive by itself; it may be overborne by stronger evidence the other way. Nevertheless, it is not wrong to say that the accused’s state of mind may be garthered from the evidence of what he did or failed to do or what he said on the occasion in question. Putting it shortly, one may say that in order to arrive at a finding of knowledge the court will have to consider the totality of the evidence including any explanations and denials made by the accused and his conduct on the occasion in question.”

[20] Isu berkaitan ketiadaan “overt act” juga dibincangkan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes PP v Herlina Purnama Sari [2017] 1 MLRA 499, YAA Raus Sharif PCA (beliau ketika itu) memutuskan seperti berikut di muka surat 510:

“[38] With respect, the proposition that there must be in all cases an overt act in order to constitute trafficking is misconceived. It would be contrary to the definition of trafficking as provided for under s. 2 of the Act. In the present case, there is no dispute that the respondent did not try to do anything, when she was approached by PW4, to disassociate herself with the impugned drugs. In this type of situation, this court in Teh Hock Leong v PP [2008] 1 MLRA 548 had held that:

“[5] It is our view that in order to draw a favourable inference from the appellant’s contemporaneous conduct, his action or inaction must be examined in the light of the situation at the material time. The area where the appellant was confronted by PW5 was the arrival gate of an incoming flight in the KLIA. This was the only exit point where passengers disembarking the plane can enter the KLIA terminal. It is common knowledge that the area was tight and restricted with hardly any room for the appellant to make a successful escape even if he had tried. From here the appellant was then taken by PW5 and his men to PW5’s office in the KLIA. The approximate walking distance was 600-800 metres. Here again the appellant’s chances of a quick getaway were minimal since he was escorted and was within the restricted vicinity of the KLIA building. And, if the appellant were to attempt to throw away or disassociate himself with the backpack during this entire duration described it would evidently be noticeable. Of course, since the drugs were so cunningly concealed, there could be no necessity to take such drastic actions which may attract instant suspicion. So against these circumstances, the appellant’s docile conduct throughout the period described could not have inferred an absence of knowledge of the said drugs. For this reason, there is no misdirection by the courts below.”

[21] Berbalik semula kepada kes ini. Perayu semasa diperiksa balas oleh Timbalan Pendakwa Raya terpelajar bersetuju bahawa Perayu mempunyai banyak masa dan peluang untuk memeriksa bungkusan kain saree yang dikatakan dimasukkan ke dalam beg P5 oleh May. Tetapi Perayu tidak mengambil sebarang usaha untuk memeriksanya. Perayu juga mengatakan bahawa dia boleh menolak untuk tidak membawa bungkusan-bungkusan kain saree tersebut jika mahu. Perayu juga tidak menjelaskan mengapa perlu Perayu mengambil penerbangan daripada India ke LCCT KLIA sebelum pulang semula ke Bangkok, Thailand yang mana perjalanan sedemikian akan mengambil masa yang lebih panjang dan tambahan kos berbanding jika Perayu mengambil penerbangan terus dari India ke Thailand. Perayu dalam keterangannya mengatakan kos penerbangan Perayu ke LCCT KLIA adalah ditanggung oleh May dan Perayu hanya mengikut arahan May. Perayu sebelum ini pernah juga pergi ke India tetapi tidak pula menggunakan kaedah perjalanan pulang yang sama seperti dalam kes ini. Tiada penjelasan oleh Perayu dalam perkara ini kecuali hanya mengatakan Perayu mengikut arahan May. Hakim Bicara mendapati pembelaan oleh Perayu tersebut sukar untuk dipercayai dan gagal menimbulkan keraguan yang munasabah, dan gagal mematahkan anggapan pengetahuan di bawah seksyen 37(d) ADB. Kami dapati Hakim Bicara telah menimbang setiap aspek pembelaan Perayu tersebut dan betul dalam membuat dapatan ke atasnya. Biar pun Perayu tidak menunjukkan sebarang ‘overt act’ atau ‘affirmative evidence’ seperti yang terdapat dalam kes Parlan Dadeh v PP [2008] 6 MLJ 19, tetapi keterangan yang ada perlu dipertimbangkan secara keseluruhan. Dalam kes PP v Herlina Purnama Sari (supra) responden dalam kes tersebut membuat pembelaan membawa kain saree dari Laos bagi dibawa balik ke Indonesia untuk dijual dan telah singgah di Malaysia. Responden tersebut menafikan mempunyai pengetahuan ke atas dadah yang dijumpai daripada kotak yang dibawa olehnya. Mahkamah Persekutuan mendapati tiada sebab yang munasabah untuk responden perlu singgah bermalam di Malaysia sebelum menyambung penerbangan ke Indonesia kecuali bagi tujuan pengedaran dadah.

[22] Semasa kes pendakwaan, Perayu tidak pernah menimbulkan watak “May” sebagai orang yang mengirim dan memasukkan bungkusan-bungkusan kain saree ke dalam beg P5. Nama May hanya disebutkan oleh Perayu semasa Perayu memberikan keterangan pembelaan diri. Nama May tidak pernah dibangkitkan semasa SP7 dan SP8 memberi keterangan. Sebaliknya jika diteliti pemeriksaan balas peguambela ke atas SP8 (pegawai penyiasat), dikatakan bahawa tujuan Perayu pergi ke India adalah untuk mengambil kain saree dan membawa balik ke Thailand bagi diserahkan kepada kawan Perayu di Thailand. Peguambela juga melalui pemeriksaan balas ke atas SP8 mengatakan Perayu berada beberapa hari di India dan berjalan-jalan sementara menunggu kain saree diserahkan. Pendirian pembelaan ini semasa kes pendakwaan adalah bercanggah secara material dengan keterangan pembelaan diri Perayu yang mengatakan kain saree tersebut adalah dikirimkan oleh May bagi diberikan kepada keluarga May di Bangkok pada hari yang sama Perayu hendak berlepas pulang ke Thailand melalui LCCT KLIA dan ke Laos sebelum balik ke Thailand.

[23] Hakim Bicara membuat dapatan bahawa watak “May” hanya merupakan rekaan Perayu semata-mata. Kami bersetuju dengan dapatan tersebut. Dengan ketiadaan sebarang reaksi spontan oleh Perayu bagi mengaitkan May dengan dadah yang dijumpai daripada beg P5, ketiadaan sebutan nama May oleh Perayu kepada SP8 atau pegawai perakam percakapan beramaran Perayu bagi siasatan dapat dijalankan, ketiadaan butiran lain seperti nombor telefon May oleh Perayu dan kegagalan pembelaan membangkitkan peranan dan kewujudan May semasa SP7 dan SP8 memberi keterangan kes pendakwaan, Hakim Bicara dengan itu berhak membuat pertimbangan dan memberikan nilai berat ke atas keterangan pembelaan Perayu dan membuat dapatan berdasarkan keterangan yang terdapat apabila memutuskan untuk tidak mempercayai pembelaan Perayu.

[24] Di dalam kes Teng Howe Sing v Public Prosecutor [2009] 3 CLJ 733, Zulkefli Makinuddin HMP (beliau ketika itu) di muka surat 750 memutuskan seperti berikut:

“Applying the principle in Badrulsham’s case to the facts of the instant case, the learned trial judge was correct to conclude that the appellant had two opportunities to provide information about “Ho Seng”, ie, at the time of his arrest and five days later during recording of his cautioned statement but he failed to do so. We are therefore of the view that in the circumstances, the appellant’s failure to provide relevant information about “Ho Seng” for the police to carry out a thorough investigation into the probability of his defence, entitled the learned trial judge to disbelieve him.”

Kesimpulan

[25] Berdasarkan alasan-alasan yang telah kami huraikan, Mahkamah ini mendapati YA Hakim Bicara telah mengarahkan dirinya dengan betul terhadap undang-undang yang terpakai dan telah meneliti keseluruhan keterangan yang dikemukakan dalam kes ini dalam membuat dapatan ke atasnya. Tidak terdapat sebarang alasan atau merit untuk Mahkamah ini mengganggui keputusan Hakim Bicara tersebut. Sabitan terhadap perayu adalah selamat.

[26] Justeru, Mahkamah ini menolak rayuan perayu dan mengekalkan sabitan dan hukuman oleh Mahkamah Tinggi.

YAACOB BIN HAJI MD SAM
Hakim
Mahkamah Rayuan Malaysia

Bertarikh: 01 Mac 2018

COUNSEL

Peguamcara bagi pihak Perayu: Muhammad Hidhir Mustapa, Tetuan Dzulkifli Jaafar Nizam & Co, 38B, Jalan Anggerik Vaniila Ad 31/AD, Kota Kemuning, 40460 Shah Alam, Selangor

Peguamcara bagi pihak Responden: Muhammad Azmi bin Mashud, Timbalan Pendakwa Raya, Jabatan Peguam Negara, Bahagian Perbicaraan & Rayuan, Aras 5, No. 45, Lot 4G7, Presint 4, Persiaran Perdana, 62100 Putrajaya

Legislation referred to:

Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen-seksyen 37(d), 39B(1)(a), 39B(2), Jadual Pertama

Akta Keterangan 1950, Seksyen 8

Kanun Tatacara Jenayah, Seksyen 182A(1)

Judgments referred to:

Amith Karinja v Public Prosecutor [2016] 1 LNS 420

Ong Ah Chuan v Public Prosecutor [1981] 1 MLJ 64

Parlan Dadeh v PP [2008] 6 MLJ 19

PP v Abdul Manaf Muhamad Hassan [2006] 2 CLJ 129

PP v Herlina Purnama Sari [2017] 1 MLRA 499

Public Prosecutor v Badrulsham bin Baharom [1998] 2 MLJ 585

Teng Howe Sing v Public Prosecutor [2009] 3 CLJ 733

Notice: The Promoters of Malaysian Judgments acknowledge the permission granted by the relevant official/ original source for the reproduction of the above/ attached materials. You shall not reproduce the above/ attached materials in whole or in part without the prior written consent of the Promoters and/or the original/ official source. Neither the Promoters nor the official/ original source will be liable for any loss, injury, claim, liability, or damage caused directly, indirectly or incidentally to errors in or omissions from the above/ attached materials. The Promoters and the official/ original source also disclaim and exclude all liabilities in respect of anything done or omitted to be done in reliance upon the whole or any part of the above/attached materials. The access to, and the use of, Malaysian Judgments and contents herein are subject to the Terms of Use.