THE OFFICIAL REPOSITORY OF
MALAYSIAN JUDGMENTS & RULINGS

[2018] MYCA 161 MALAY

Suporn Vachimapet v Pendakwa Raya
Suit Number: Rayuan Jenayah No. K-05(M)-333-09/2016 

Criminal law – Trafficking in dangerous drugs – Conviction – Death sentence – Appeal

Criminal law – Whether the trial court erred in making an inference that the appellant had knowledge of the drug – Whether the trial court failed to consider the information given by the appellant about the alleged drug owner and his partner – Whether the trial court failed to properly consider the defence of the appellant

PENGHAKIMAN

Pendahuluan

[1] Perayu, seorang warga Thailand, telah dituduh dengan satu pertuduhan mengedar 1,723.40 gram Methamphetamine pada 03 September 2014, jam lebih kurang 3.20 petang, di Stesyen Bas Changloon, Kubang Pasu, Kedah, suatu kesalahan di bawah seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (“ADB 1952”) yang boleh dihukum di bawah seksyen 39B(2) Akta yang sama.

[2] Mahkamah Tinggi telah mendapati perayu bersalah, mensabitkan perayu dan menjatuhkan hukuman mati terhadap perayu.

[3] Perayu telah merayu kepada Mahkamah ini. Pada 17 Januari 2018, Mahkamah ini telah mendengar rayuan perayu dan memutuskan untuk menolak rayuan perayu. Sabitan dan hukuman Mahkamah Tinggi dikekalkan. Kami kini memberikan alasan keputusan tersebut.

Kes Pendakwaan

[4] Daripada keterangan yang telah dikemukakan, inti pati kes pendakwaan adalah seperti berikut. Bertindak atas maklumat, pada 3.9.2014, jam lebih kurang 3.20 petang, SM 119128 Munir bin Musa (SP5) bersama sepasukan 6 orang anggota polis daripada Balai Polis Changloon telah pergi ke Stesyen Bas Changloon, Kubang Pasu, Kedah. Ketika membuat pemerhatian singkat, SP5 melihat perayu sedang duduk di sebuah kerusi panjang di hadapan kaunter tiket ‘Salmah Enterprise’ di stesyen bas tersebut. Di sebelah perayu terdapat sebuah beg pakaian beroda warna merah jambu (P2). SP5 memperkenalkan diri sebagai polis dan meminta perayu menunjukkan pasport. SP5 kemudian telah meminta perayu membuka beg P2 yang berkunci dengan satu mangga (P41). Perayu pada mulanya enggan membuka P2 dan mengatakan “cloth only, cloth only”. Setelah diarahkan beberapa kali oleh SP5 untuk membuka P2, perayu akhirnya mengeluarkan anak kunci (P42) dari poket kanan seluar jeans yang dipakainya dan membuka mangga yang terdapat pada P2. SP5 mendapati di dalam P2 tersebut mengandungi peralatan komputer iaitu “AC Adapter” dalam jumlah kuantiti yang banyak memenuhi ruang di dalam P2. Setiap “AC Adapter” dibalut dengan plastik lutsinar.

[5] SP5 dan pasukannya telah membawa perayu berserta beg P2 ke Balai Polis Changloon untuk pemeriksaan lanjut. Dengan disaksikan oleh perayu dan anggota pasukannya, SP5 telah membuat pemeriksaan ke atas P2. Pemeriksaan oleh SP5 mendapati P2 mengandungi sejumlah 46 “AC Adapter” yang terdiri daripada pelbagai jenama, iaitu 23 AC Adapter jenama SONY, 12 AC Adapter jenama Toshiba, 7 AC Adapter jenama HP, 2 AC Adapter jenama ACER dan 2 AC Adapter jenama SAMSUNG (P36: Gambar A-I muka surat 24-28 Rekod Rayuan Jilid 3). Tidak ada apa-apa pakaian ditemui di dalam P2.

[6] SP5 kemudiannya membuat pemeriksaan ke atas setiap AC Adapter tersebut. SP5 mendapati AC Adapter jenama SONY lebih berat berbanding dengan AC Adapter jenama lain. SP5 cuba membuka salah satu AC Adapter SONY tetapi tidak berjaya. SP5 mengarahkan anggotanya bernama Kpl. Nordin untuk memecahkan AC Adapter SONY tersebut dengan membuat hempasan ke lantai. Sebaik AC Adapter SONY pecah akibat hempasan di lantai, SP5 mendapati di dalam ruang AC Adapter SONY tersebut terdapat satu bungkusan warna hitam. SP5 membuat sedikit potongan ke atas bungkusan tersebut dan mendapati bungkusan tersebut mengandungi ketulan putih disyaki dadah syabu.

[7] SP5 kemudiannya mengarahkan anggotanya mengumpil buka semua 46 AC Adapter. SP5 mendapati setiap satu daripada 23 AC Adapter jenama SONY mengandungi satu bungkusan hitam di dalamnya disyaki dadah syabu (P9A-P31A). Tidak ada bahan disyaki dadah dijumpai daripada baki 23 AC Adapter jenama yang lain. SP5 telah menangkap perayu dan membuat laporan tangkapan dan rampasan barang kes melalui Changloon Rpt. 1329/14 (P33). Senarai Bongkar (P34) dikeluarkan oleh SP5 diserahkan kepada perayu.

[8] SP5 kemudiannya telah menyerahkan perayu dan barang kes termasuk Borang Bongkar kepada pegawai penyiasat, Insp. Mohd Rizuan bin Md Salleh (SP7). Borang Senarai Serah Menyerah (P35) kemudiannya dilaksanakan antara SP5 dan SP7.

[9] Pada 4.9.2014, SP7 telah menghantar 23 bungkusan yang mengandungi bahan disyaki dadah kepada Jabatan Kimia Malaysia untuk dianalisis (P5). Ahli kimia, Nur Izzati binti Suib (SP3) yang telah membuat analisis, mengesahkan bahawa bahan disyaki dadah tersebut ialah Methamphetamine seberat 1723.40 gram. Methamphetamine ialah dadah berbahaya yang tersenarai dalam Jadual Pertama ADB 1952. SP3 turut mengemukakan laporan kimia beliau (P6).

[10] Zainuddin bin Zakaria (SP1) seorang pemandu teksi nombor pendaftaran WDK 2645, memberi keterangan bahawa pada jam lebih kurang 1.15 petang, 3.9.2014 tersebut, perayu telah meminta SP1 membawanya dari stesyen teksi Changloon ke Bukit Kayu Hitam. Daripada Bukit Kayu Hitam, perayu telah meminta SP1 membawanya ke restoran KFC yang terletak bertentangan dengan stesyen teksi Changloon. Perayu telah meminta SP1 menunggu di teksi dan seketika kemudian perayu dilihat keluar daripada restoran KFC dengan membawa beg P2. SP1 telah memasukkan P2 ke dalam boot teksi. Perayu kemudian meminta SP1 membawanya ke Hotel T Changloon berdekatan stesyen teksi Changloon. Setiba di Hotel T Changloon, perayu telah pergi mendaftar diri dan datang kembali mengambil beg P2 daripada teksi SP1. SP1 melihat perayu membawa masuk P2 ke dalam hotel. Sebelum itu perayu memberitahu SP1 supaya menunggunya di luar hotel. Beberapa ketika kemudian, perayu datang semula ke teksi SP1 tanpa membawa beg P2. Perayu meminta SP1 membawa semula perayu ke Bukit Kayu Hitam. Setiba di stesyen teksi Bukit Kayu Hitam, SP1 melihat perayu pergi ke arah Kompleks Imigresen Bukit Kayu Hitam. Lebih kurang 5 minit kemudian, perayu kembali semula ke teksi SP1 dan meminta SP1 membawanya semula ke Hotel T Changloon untuk mengambil beg P2 yang perayu telah tinggalkan di hotel tersebut. Perayu telah masuk ke hotel dan lebih kurang 10 minit kemudian, perayu telah datang dengan beg P2 dan meminta SP1 memasukkan P2 ke dalam teksi SP1. Perayu telah meminta SP1 membawanya ke stesyen teksi Changloon. Setiba di stesyen teksi Changloon, SP1 telah menurunkan perayu serta beg P2. Semasa memberi keterangan, SP1 telah mengecamkan perayu dan beg P2.

[11] Rosyadah binti Ibrahim (SP2) mengatakan pada 3.9.2014, SP2 bertugas sebagai penyambut tetamu di Hotel T Changloon. Pada jam lebih kurang 2.00 petang, perayu telah datang ke hotel tersebut dan membuat tempahan bilik secara bayaran jam, iaitu RM50.00 bagi tempoh empat jam. SP2 telah memberi kunci bilik No. 106 kepada perayu. SP2 mengeluarkan resit bayaran (P4). SP2 kemudian melihat perayu berjalan keluar dan masuk semula ke dalam hotel dengan membawa beg P2 menuju ke arah bilik No. 106. SP2 kemudian melihat perayu keluar semula pergi ke teksi yang sedang menunggu dan beredar dari situ. Lebih kurang 45 minit kemudian, SP1 melihat perayu telah tiba semula di hotel tersebut dan telah pergi mengambil beg P2 dari bilik dan mendaftar keluar hotel. SP2 semasa memberi keterangan telah mengecamkan perayu dan beg P2. Imej gambar photo perayu semasa berada di Hotel T Changloon juga dikemukakan (P52: Gambar A-K muka surat 39-42 Rekod Rayuan Jilid 3).

[12] Leong Weng Kit (SP4) merupakan penolong pengurus Hotel T Changloon. SP4 telah mengemukakan imej rakaman CCTV hotel yang menunjukkan pergerakan perayu bersama beg P2 yang dibawanya semasa mendaftar masuk dan mendaftar keluar di hotel tersebut pada tarikh 3.9.2014 (P32).

Dapatan Hakim Bicara Di Akhir Kes Pendakwaan

[13] Di akhir kes pendakwaan, YA Hakim bicara berpuas hati bahawa pihak pendakwaan telah dapat memenuhi semua tiga inti pati pertuduhan dan memutuskan bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan satu kes prima facie terhadap perayu. Perayu diperintahkan untuk membela diri terhadap pertuduhan (dapatan oleh Hakim bicara pada peringkat pendakwaan seperti di muka surat 22-46 Rekod Rayuan Jilid 1).

Pembelaan Perayu

[14] Perayu telah memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah. Perayu tidak memanggil mana-mana saksi lain. Keterangan perayu (DW1) diringkaskan oleh Hakim bicara seperti berikut (muka surat 46-50 Rekod Rayuan Jilid 1):

“Kes Pembelaan

[26] Tertuduh telah memilih untuk memberi keterangan bersumpah. Secara ringkasnya, di dalam keterangan bersumpahnya, tertuduh menyatakan seperti berikut:

(26.1) Tertuduh bekerja sebagai tukang urut dan pelacur di sebuah kelab malam di Bangkok dan pernah keluar masuk ke Malaysia sebanyak 6 ke 7 kali.

(26.2) Pada 1.9.2014, seorang kawan sekerjanya yang bernama Pho telah menghubungi tertuduh melalui telefon dan memaklumkan bahawa ada seorang pelanggan ingin melanggan tertuduh dan Pho juga ingin mengirim sebuah beg kepada pelanggan tersebut.

(26.3) Tertuduh telah ke kondominium di mana Pho dan teman lelaki Pho tinggal untuk mengambil beg yang ingin dikirimkan tersebut. Di sana tertuduh tidak berjumpa dengan Pho tetapi telah berjumpa dengan teman lelaki Pho yang dikatakan oleh tertuduh sebagai seorang lelaki negro.

(26.4) Apabila tertuduh mendapati beg tersebut adalah besar dan berat, tertuduh telah meminta upah sebanyak Bath1300 untuk membawa beg tersebut.

(26.5) Tertuduh semasa menerima beg tersebut ada melihat isi kandungannya dan mendapati ia berisi kabel internet, headphone dan webcam.

(26.6) Pada 2.9.2014, tertuduh telah bertolak dari Bangkok ke Hatyai dengan menaiki bas. Dari Hatyai ke Danok, tertuduh telah menaiki teksi. Semasa di Danok, tertuduh telah membeli sebuah beg baru iaitu seperti di dalam gambar P36A kerana beg asal susah dibawa. Tertuduh menyatakan bahawa semua kandungan beg asal beserta beg asal itu sendiri telah dimasukkan ke dalam beg yang baru dibeli.

(26.7) Tertuduh di dalam keterangannya juga menyatakan bahawa memandangkan barang di dalam beg asal banyak dan semasa tertuduh zip rosak baru tersebut zip telah rosak, tertuduh telah membeli dan memasang manga (padlock) pada beg tersebut dan anak kunci di simpan di bahagian tepi beg tersebut.

(26.8) Dari Danok, tertuduh telah masuk ke Malaysia dengan menaiki sebuah teksi. Semasa melalui pemeriksaan kastam hanya tertuduh yang turun untuk cop pasport manakala beg tersebut berada di dalam but teksi.

(26.9) Sampai di Changloon, tertuduh telah ke Stesen Bas Changloon untuk membeli tiket bas ke Kuala Lumpur. Kemudiannya tertuduh telah ke restoran KFC yang berada bertentangan dengan Stesen Bas Changloon tadi. Semasa di dalam restoran KFC, tertuduh menyedari bahawa telefon bimbitnya tiada. Tertuduh telah meninggalkan kaunter tiket bas tadi dan mencari telefon bimbitnya di situ tetapi tiada.

(26.10) Tertuduh selepas itu telah meminjam telefon dan menelefon ke telefonnya dan mendapati bahawa telefonnya dijawab seseorang dan dimaklumkan bahawa telefonnya tertinggal di dalam teksi yang tertuduh naiki tadi dari Danok ke Changloon.

(26.11) Selepas itu tertuduh telah menyewa sebuah teksi daripada Changloon untuk ke Danok dengan tujuan mengambil semula telefon bimbitnya. Tetapi sebelum itu tertuduh dengan menaiki teksi yang sama telah ke Restoran KFC untuk mengambil begnya dan kemudian ke Hotel T untuk menyimpan beg kerana merasakan tidak perlu membawa beg tersebut. Setelah ke Bukit Kayu Hitam dan mendapatkan semula telefon bimbitnya, tertuduh telah balik semula ke hotel untuk mengambil beg tersebut sebelum bergegas semula ke Stesen Bas Changloon.

(26.12) Semasa di Stesen Bas Changloon, tertuduh telah ditahan oleh polis dan dibawa balik ke Balai Polis Changloon. Di Balai Polis Changloon polis telah membuat pemeriksaan dan menjumpai dadah di dalam sebahagian daripada AC Adapter yang terdapat di dalam beg yang dibawa tertuduh.

(26.13) Tertuduh menafikan pengetahuan tentang dadah yang dijumpai di dalam AC Adapter tersebut dan menyatakan bahawa dia telah dianiayai oleh Pho.".

Dapatan Dan Keputusan Hakim Bicara Di Akhir Kes Pembelaan

[15] Di akhir kes pembelaan, YA Hakim bicara telah membuat dapatan berikut (muka surat 76 Rekod Rayuan Jilid 1):

"[35] Berdasarkan otoriti di atas dan kes-kes duluan, beban adalah kepada tertuduh untuk menyangkal anggapan di bawah s 37(da) ADB 1952 atas imbangan kebarangkalian. Berdasarkan keterangan daripada tertuduh secara keseluruhannya seperti mana saya kupas di atas, saya mendapati bahawa tertuduh telah gagal untuk menangkis anggapan di bawah seksyen 37(da) Akta Dadah Berbahaya 1952. Saya juga mendapati bahawa tertuduh tidak menimbulkan apa-apa keraguan yang munasabah terhadap keterangan di dalam kes pendakwaan.”.

[16] Di akhir perbicaraan, Hakim bicara mendapati perayu bersalah dan disabitkan dengan pertuduhan dan dihukum dengan hukuman mati.

Rayuan Perayu

[17] Peguam bela terpelajar bagi pihak perayu mengemukakan tiga alasan berikut dalam mencabar keputusan Hakim bicara:

(a) Hakim bicara khilaf dari segi fakta dan undang-undang dalam membuat inferens bahawa perayu mempunyai pengetahuan ke atas dadah tersebut;

(b) Hakim bicara khilaf dari segi fakta dan undang-undang apabila gagal mempertimbangkan pembelaan perayu dan watak Pho yang dibangkitkan oleh perayu dalam pembelaannya, dan

(c) Hakim bicara telah gagal menimbangkan keseluruhan keterangan dan pernyataan beramaran perayu D55.

Keputusan Mahkamah Ini

[18] Untuk alasan rayuan pertama, peguam bela terpelajar menghujahkan bahawa Hakim bicara dalam membuat inferens bahawa perayu mempunyai pengetahuan ke atas dadah terlibat hanya berdasarkan kepada keterangan SP5, SP1 dan SP2. Peguam bela berhujah keterangan SP5 yang mengatakan melihat perayu gelisah semasa beg P2 diperiksa tidak boleh menjadi inferens pengetahuan perayu ke atas dadah yang dijumpai di dalam P2 kerana perayu telah memberi penjelasan bahawa perayu gelisah disebabkan perayu tidak membuat perisytiharan untuk cukai kastam atas AC Adapter yang dibawa dalam P2. Peguam bela juga berhujah bahawa inferens yang dibuat oleh Hakim bicara yang mendapati perayu mempunyai pengetahuan atas dadah tersebut kerana perayu meninggalkan beg P2 di hotel dan tidak membawa bersama semasa pergi ke Bukit Kayu Hitam bertujuan untuk mengelakkan P2 daripada diperiksa oleh Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) yang mengadakan sekatan jalan, adalah bertentangan dengan keterangan saksi SP1 dan SP2 bahawa beg P2 adalah besar dan tidak mudah untuk dibawa ke sana ke mari dan dengan itu tindakan perayu tidak membawa P2 bersama semasa pergi ke Bukit Kayu Hitam tidak boleh dijadikan inferen pengetahuan perayu atas dadah dalam P2. Peguam bela juga berhujah tindakan perayu yang dikatakan enggan membuka P2 untuk diperiksa oleh SP5 tidak boleh dijadikan inferens pengetahuan perayu atas dadah di dalam P2 kerana perayu mengatakan kunci bagi mangga pada P2 tidak ada dengan perayu tetapi dijumpai oleh SP5 daripada ruang poket tepi P2. Peguam bela juga berhujah bahawa perlakuan perayu yang bersahaja meninggalkan beg P2 di restoran KFC dan di Hotel T Changloon tanpa jagaan adalah perlakuan yang konsisten dalam melihatkan perayu tiada pengetahuan atas dadah yang terdapat di dalam P2. Peguam bela oleh itu menghujahkan bahawa perayu tidak wajar dipanggil untuk membela diri terhadap pertuduhan.

[19] Mahkamah ini telah menimbangkan hujahan peguam bela terpelajar tersebut dalam isu sama ada Hakim bicara betul apabila memutuskan bahawa perayu mempunyai pengetahuan atas dadah yang dijumpai dalam 23 AC Adapter jenama SONY yang terdapat di dalam beg P2.

[20] Dalam kes Public Prosecutor v Badrulsham bin Baharom [1988] 2 MLJ 585, Hakim Lim Beng Choon memutuskan di muka surat 590 seperti berikut:

“... it is legitimate for the court to scrutinize the evidence as to what the accused said contemporaneously with the act or omission and also the surrounding circumstances under which the accused acted or failed to act. Such evidence is of course not conclusive by itself; it may be overborne by stronger evidence the other way. Nevertheless, it is not wrong to say that the accused’s state of mind may be garthered from the evidence of what he did or failed to do or what he said on the occasion in question. Putting it shortly, one may say that in order to arrive at a finding of knowledge the court will have to consider the totality of the evidence including any explanations and denials made by the accused and his conduct on the occasion in question.”.

[21] Isu berkaitan ketiadaan “overt act” dan perlakuan yang membentuk kesalahan pengedaran dadah berbahaya dibincangkan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes PP v Herlina Purnama Sari [2017] 1 MLRA 499, YAA Raus Sharif PCA (beliau ketika itu) memutuskan seperti berikut di muka surat 510:

“[38] With respect, the proposition that there must be in all cases an overt act in order to constitute trafficking is misconceived. It would be contrary to the definition of trafficking as provided for under s. 2 of the Act. In the present case, there is no dispute that the respondent did not try to do anything, when she was approached by PW4, to disassociate herself with the impugned drugs. In this type of situation, this court in Teh Hock Leong v PP [2008] 1 MLRA 548 had held that:

‘[5] It is our view that in order to draw a favourable inference from the appellant’s contemporaneous conduct, his action or inaction must be examined in the light of the situation at the material time. The area where the appellant was confronted by PW5 was the arrival gate of an incoming flight in the KLIA. This was the only exit point where passengers disembarking the plane can enter the KLIA terminal. It is common knowledge that the area was tight and restricted with hardly any room for the appellant to make a successful escape even if he had tried. From here the appellant was then taken by PW5 and his men to PW5’s office in the KLIA. The approximate walking distance was 600-800 metres. Here again the appellant’s chances of a quick getaway were minimal since he was escorted and was within the restricted vicinity of the KLIA building. And, if the appellant were to attempt to throw away or disassociate himself with the backpack during this entire duration described it would evidently be noticeable. Of course, since the drugs were so cunningly concealed, there could be no necessity to take such drastic actions which may attract instant suspicion. So against these circumstances, the appellant’s docile conduct throughout the period described could not have inferred an absence of knowledge of the said drugs. For this reason, there is no misdirection by the courts below.’

[39] We are of the view that whether or not a person is a trafficker within the definition of s 2 of the Act is dependent on the facts and circumstances of a given case. In this case, it is not in dispute that when the respondent was arrested she was carrying the luggage bag which amongst other things contained the impugned drugs. The respondent was apprehended in the act of carrying from one place to another a large amount of dangerous drugs. It is in evidence that the respondent was unaccompanied by any other person when she carried the luggage bag. The luggage bag was registered in the respondent’s name when she checked in at the Air Asia check-in counter. The impugned drugs were found hidden in the two boxes. We are of the view that the manner in which the impugned drugs were concealed in the luggage bag showed that the respondent knew the existence of the drugs there, and evinced the intention of and careful planning by the respondent to conceal the impugned drugs to avoid and escape detection (PP v. Abdul Rahman Akif [2007] 1 MLRA 568 and Teh Hock Leong v PP [2008] 1 MLRA 548).”.

[22] Berbalik semula kepada kes ini, Hakim bicara telah menerima keterangan SP1, SP2, SP4 dan SP5. Keterangan SP1 adalah berkaitan pergerakan perayu bersama beg P2 pada 3.9.2014 apabila perayu menyewa perkhidmatan teksi SP1. Keterangan SP1 adalah jelas bahawa perayu yang mengendalikan dan membawa beg P2. Tidak terdapat orang lain bersama perayu. Keterangan SP2 adalah juga jelas bahawa perayu yang menarik beg beroda P2 masuk ke dalam bilik hotel semasa mendaftar masuk (P4) dan perayu yang membawa keluar beg P2 dari bilik hotel. Rakaman CCTV Hotel T Changloon (P32) yang dikemukakan oleh SP4 pula melihatkan imej perayu yang telah mendaftar masuk dan mendaftar keluar dari hotel dengan menarik beg P2. Keterangan SP5 berkaitan pemeriksaan beg P2 yang dibawa oleh perayu bermula di Stesyen Bas Changloon dan kemudian pemeriksaan lanjut ke atas P2 dilakukan oleh SP5 di Balai Polis Changloon yang membawa kepada jumpaan dadah Methamphetamine tersembunyi atau tersorok di dalam 23 AC Adapter jenama SONY yang terdapat di dalam beg P2. Daripada keterangan SP1, SP2, SP4 dan SP5 adalah jelas bahawa beg P2 berada di bawah kawalan dan jagaan perayu. P2 dalam berkeadaan berkunci dengan mangga (P41) dan dengan serangkai anak kunci (P42) yang diambil keluar oleh perayu dari poket seluar yang dipakai oleh perayu, P2 dapat dibuka untuk diperiksa oleh SP5. Keterangan SP5 juga mengatakan perayu pada mulanya enggan untuk beg P2 diperiksa dan mengatakan kepada SP5 bahawa kandungan P2 sebagai “cloth only, cloth only” (muka surat 110 Rekod Rayuan Jilid 2(A)). Tetapi apabila beg P2 dibuka, didapati di dalam P2 hanya dipenuhi dengan 46 buah AC Adapter pelbagai jenama. Tidak ada apa-apa pakaian ditemui di dalam P2. Dengan kunci bagi P2 berada dengan perayu dan beg P2 berkunci dan perayu telah menggunakan kunci tersebut untuk membuka P2, maka tidak munasabah untuk perayu tidak tahu tentang kandungan P2 yang sebenarnya hanya dipenuhi dengan AC Adapter dan bukannya pakaian seperti yang diberitahu awalnya oleh perayu kepada SP5.

[23] Perayu juga mempunyai kawalan dan jagaan selamat ke atas beg SP2 apabila perayu mengambil usaha menyewa bilik Hotel T Changloon untuk menyimpan beg P2 di dalam bilik hotel yang kunci kepada bilik tersebut diberikan oleh SP2 kepada perayu. Perayu sanggup mengeluarkan belanja tambahan bagi menyewa bilik hotel untuk beberapa jam untuk membolehkan perayu pergi ke Bukit Kayu Hitam menaiki teksi SP1 dan kembali semula ke hotel tersebut untuk mengambil semula P2. Hakim bicara melihat langkah perayu yang tidak membawa bersama beg P2 ketika pergi ke Bukit Kayu Hitam adalah bertujuan supaya perayu dapat mengelakkan risiko pemeriksaan di sekatan jalan raya yang dilakukan oleh Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP), yang mempunyai stesyen statik sekatan jalan raya untuk memeriksa kenderaan di jalan raya selepas Kompleks Pemeriksaan Imigresen, Kastam dan Kuarantin Bukit Kayu Hitam.

[24] Berdasarkan keterangan yang dinyatakan di atas, Hakim bicara telah membuat dapatan bahawa perayu mempunyai kawalan dan jagaan ke atas dadah yang terdapat dalam P2. Inti pati kedua pertuduhan, iaitu perayu mempunyai kawalan dan jagaan ke atas beg P2 yang mengandungi dadah oleh itu telah dipenuhi oleh pihak pendakwaan. Kami tidak mendapati Hakim bicara melakukan kesilapan dalam penilaian dan dapatan beliau yang disokong oleh keterangan. Hakim bicara telah menimbangkan keterangan dan membuat penilaian maksima ke atasnya, termasuk menerima keterangan SP3 ahli kimia yang tidak tercabar yang menjadi inti pati pertama pertuduhan serta keterangan pengedaran dadah tersebut oleh perayu yang menjadi inti pati ketiga pertuduhan, dalam memutuskan pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes prima facie terhadap perayu. Oleh itu kami dapati hujahan peguam bela terpelajar bahawa Hakim bicara melakukan kesilapan memanggil perayu untuk membela diri terhadap pertuduhan tidak mempunyai merit dan ditolak.

[25] Kami menimbangkan alasan kedua dan ketiga bersekali disebabkan kedua-dua alasan rayuan tersebut saling kait mengait. Peguam bela terpelajar berhujah bahawa Hakim bicara telah gagal menimbangkan pembelaan perayu tentang terdapatnya seorang lelaki negro di Bangkok, pemilik semua AC Adapter, yang telah meminta perayu menyerahkan AC Adapter tersebut kepada seseorang di Kuala Lumpur dan dengan itu perayu tidak mempunyai pengetahuan atas dadah yang terdapat dalam P2. Peguam bela terpelajar juga berhujah bahawa Hakim bicara juga telah gagal memberi pertimbangan terhadap percakapan beramaran perayu (D55) yang menyokong pembelaan perayu berkaitan lelaki negro di Bangkok dan seorang rakan perempuan perayu bernama Pho yang dikatakan sebagai orang yang mengenalkan perayu kepada lelaki negro semasa perayu berada di Bangkok.

[26] Mahkamah ini telah meneliti alasan penghakiman Hakim bicara berkaitan kedua-dua isu yang dibangkitkan oleh peguam bela terpelajar tersebut. Hakim bicara telah membuat dapatan beliau berkaitan isu tersebut. Di muka surat 55-70 Hakim bicara memutuskan seperti berikut:

"[31] Di dalam keterangan tertuduh, tertuduh menafikan mempunyai pengetahuan mengenai dadah yang dijumpai di dalam AC Adapter jenama SONY tersebut di dalam beg P2. Peguambela juga menghujahkan bahawa adapter yang dirampas tersebut kelihatan biasa dan tidak pelik dan sukar untuk sesiapapun mengesyaki bahawa terdapatnya dadah di dalam AC Adapter tersebut. Merujuk kepada keterangan SP5 di peringkat pendakwaan, semasa SP5 ingin membuat pemeriksaan kandungan beg P2 di Stesen Bas Changloon, tertuduh tidak memberikan kerjasama dan menyatakan bahawa kandungan P2 adalah "cloth only, cloth only”. Fakta ini tidak dipertikaikan oleh peguambela kerana tidak disoalbalas oleh peguambela tertuduh dan seharusnya keterangan saksi berkaitan fakta ini diterima (Rujuk kes Wong Swee Chin v PP (1981) 1 MLJ 212, PP v Mohd Amin Mohd Razali & Ors (2002) 5 CLJ 281). Walau bagaimanapun tertuduh di dalam pembelaannya sebenarnya mengetahui bahawa tiada apa-apa pakaian di dalam beg P2 tersebut kerana di dalam keterangannya, tertuduh menyatakan bahawa di Danok, tertuduh telah membeli sebuah beg baru iaitu seperti di dalam gambar P36A kerana beg asal susah dibawa. Tertuduh menyatakan bahawa kesemua kandungan beg asal beserta beg asal itu sendiri telah dipindahkan ke dalam beg yang baru dibeli. Ini membawa makna bahawa tertuduh sendiri yang memasukkan AC Adapter ke dalam beg P2 dan mengetahui bahawa tiada sehelai pakaian pun di dalam P2 tetapi apabila SP5 ingin menjalankan pemeriksaan telah memberitahu SP5 bahawa di dalam P2 hanya ada pakaian yang sememangnya dia ketahui tiada pakaian di dalam P2. Ini jelas menunjukkan bahawa tertuduh mengetahui dadah berbahaya berada di dalam beg P2.

[33] Tertuduh di dalam keterangannya juga menyatakan bahawa dia telah dianiaya oleh kawannya yang bernama Pho yang memintanya menyerahkan AC Adapter tersebut kepada seseorang di Kuala Lumpur. Berdasarkan keterangan daripada tertuduh sendiri, tertuduh menyatakan bahawa dia telah mengenali Pho lebih kurang 2-3 tahun sebelum tertuduh ditangkap. Pho melakukan kerja yang sama dengan tertuduh iaitu sebagai pelacur dan tukang urut. Enam (6) bulan sebelum kejadian ini, tertuduh dan Pho telah berselisih faham kerana berebut teman lelaki dan selepas itu terputus hubungan dan tidak berjumpa antara satu sama lain hinggalah Pho menelefon tertuduh pada 1.9.2014 dan menawarkan pelanggan dan untuk membawa satu beg ke Kuala Lumpur. Sekiranya benar bahawa tertuduh dan Pho telah tidak tertegur sapa selama 6 bulan, adalah agak menghairankan bahawa selepas 6 bulan itu, dengan hanya satu panggilan telefon, tertuduh telah bersetuju untuk memenuhi permintaan Pho. Tambahan pula mengikut tertuduh, dia meminta upah sebanyak Bath1300 untuk membawa beg tersebut tetapi menghabiskan sejumlah wang untuk membeli beg yang baru di Danok dan membayar harga RM50 untuk menyewa bilik di Hotel T, Changloon untuk menyimpan P2. Dalam hal ini saya merujuk kepada kes Mahkamah Rayuan, Khairiddin Sufi v PP (2012) 6 CLJ 457 di mana Abdul Wahab Patail JCA menyatakan bahawa:

[10] That a defence is "a recent invention” essentially means not only it is not true, but it is also not fact and certainly not evidence to be taken into consideration. Other references to such defences may be found in Megat Halim Megat Omar v. PP [2009] 1 CLJ 154: [2008] 1 LNS 547; AEG Carapiet v. AY Derderian AIR 1961 Cal 359. In the Latter case, it was said:

It is wrong to think that this is merely a technical rule of evidence. It is a rule of essential justice. It serves to prevent surprise at trial and miscarriage of justice, because it gives notice to the other side of the actual case that is going to be made when the turn of the party on whose behalf the cross­-examination is being made comes to give and lead evidence by producing witnesses. It has been stated on high authority of the House of Lords that this much a counsel is bound to do when cross-examination that he must put to each of his opponent’s witnesses in turn, so much of his own case as concerns that particular witness or in which that witness has any share.

[11] In Tan Kim Ho & Anor v. PP [2009] 3 CLJ 236; [2009] 1 LNS 173, the Federal Court held at para 36 of its judgment that:

This is however not to say that there is any burden placed on the accused to disprove any guilt or to prove innocence. It is only assessing the credibility of a witness, in this case the 2nd appellant’s credibility. In order to determine whether an accused was telling the truth, one of the considerations is whether he had indicated his defence during the prosecution’s case.

We observe that the case law as to "defence being an afterthought” is usually in reference to not putting the defence to the relevant prosecution’s witnesses at trial. Perusing the cross-examination of SP3, SP5 and SP6, we found that nowhere was it suggested that the appellant had informed SP3, SP5 and SP6 that the bag was not hid and that he did not know the nature of the contents. And SP5 and SP6 had replied that at all times in this case, they had not been told of the existence of Mukhlis by anyone. That reply was not contradicted by the cross-examiner.

[12] We turn to consider whether rejection as an afterthought applies also to not raising a defence at the earliest occasion arising after arrest but before trial.

[13] It has been said that where the law gives a person the right to be silent, it is wrong for the court to infer that his silence is incriminating: PP v. Tan Ah Kong & Anor [1988] 1 BLJ 835; [1988] 2 CLJ (Rep) 329. The law gives the right to remain silent as a right against self incrimination. The afterthought occurring in defences are always in nature and intent, exculpatory statements. Being exculpatory rather than incriminating, we find to reason, if the appellant was a purely innocent carrier and did not know the nature of the contents of the bag, he should not have said so at the earliest occasion for an explanation arises, and if he does not to do so, no reasonable doubt can arise on that defence when made later. We find support for this reasoning in the decision of the Federal Court in Ahmad Najib Aris v. PP [2000] 2 CLJ 800 where Zulkefli Makinudin FCJ reasoned, in respect to the right to remain silent when an accused is called to enter upon his defence that:

[48] With respect…, I am of the view that when the appellant choose to remain silent, the court is put in a situation where it has no other choice but to convict the appellant on both charges as the appellant had failed to rebut the evidence adduced by prosecution’s witnesses…

[50] It is my view that an accused’s right to remain silent is not at all infringed by the principle of “if unrebutted would warrant a conviction”. It means what it says. The evidence adduced must be such that it must warrant a conviction if it is unrebutted. Therefore, the appellant’s failure to call other witnesses to rebut the prosecution’s case leaves the court with no other alternative but to convict him.

[14] We reason similarly that if an accused makes no effort to exculpate himself when the occasion to do so arises, then on the assessment of his defence raised belatedly as to whether it raised a reasonable doubt, he runs the risk that it may be held to be an afterthought, and it being exculpatory is not a denial of the right to remain silent. We hold that an exculpatory statement, which could have been made earlier but was not, when disclosed belatedly without giving reason therefor, may be dismissed as an afterthought.

[15] The obvious occasion to say the bag was not his and that he did not know the nature of the contents of it arose at the time of his arrest or at the latest when the contents of the bag were brought out of the bag in front of him. Not later, and certainly not when it only emerges at the trial. If raised only at the prosecution stage of the case, that is of little weight, unless it is conceded by the prosecution, because raising it at the eleventh hour makes it an assertion for which no opportunity was given to verify its truth of correctness. This applies particularly to the assertion in the defence that there is that other person whose sane is Mukhlis. Without any explanation as to why such exculpatory statement was not made earlier, it is an afterthought. Afterthought does not constitute fact, let alone evidence of its content. There is nothing, therefore, for the court to consider. Having put the suggestions to the prosecution witnesses, without more, cannot and therefore does not elevate such exculpatory assertions in the testimony of the accused, sworn on oath or otherwise, to evidence to be consideration.

Saya mendapati bahawa keterangan tertuduh sukar diterima dan hanyalah rekaan semata-mata serta penafian dan pemikiran terkemudian oleh tertuduh.”.

[27] Hakim Bicara mendapati pembelaan oleh perayu tersebut sukar diterima dan hanya rekaan semata-mata serta penafian dan pemikiran terkemudian oleh perayu dan gagal menimbulkan keraguan yang munasabah, dan gagal mematahkan anggapan di bawah seksyen 37(da) ADB. Ketika menjawab soalan pemeriksaan balas peguam bela perayu, SP5 menafikan bahawa perayu ada memberitahu SP5 yang dadah tersebut milik seorang lelaki negro di Bangkok yang dikenalkan kepada perayu oleh rakan perempuan perayu bernama Pho semasa perayu berada di Bangkok (muka surat 154 Rekod Rayuan Jilid 2(a)). Walau bagaimana pun tidak ada butiran lanjut diberikan oleh pihak pembelaan berkaitan lelaki negro dan rakan perempuan bernama Pho tetapi sekadar menyebut secara am sahaja. Percakapan beramaran perayu (D55-muka surat 46-53 Rekod Rayuan Jilid 3) juga tidak memberikan sebarang butiran lanjut tentang identiti lelaki negro yang dikatakan menyerahkan beg yang penuh barangan elektrik kepada perayu dan juga identiti rakan perempuan bernama Pho yang dikatakan memperkenalkan pengadu kepada perayu. Sebutan maklumat oleh perayu tersebut sangat am. Perayu mengatakan oleh sebab beg yang diberikan lelaki negro tersebut berat dan sukar dibawa, maka pengadu telah membeli satu beg besar beroda di Danok dan memasukkan semua barangan ke dalam beg besar tersebut. Pembelaan yang dibangkitkan oleh perayu semasa kes pendakwaan dan keterangan pembelaan diri perayu telah dinilai dan dipertimbangkan oleh Hakim bicara. Hakim bicara mendapati sukar untuk menerima keterangan perayu untuk dipercayai apabila perayu yang mengatakan telah berselisih faham dengan Pho selama lima hingga enam bulan sebelum itu dan tidak berjumpa Pho, tiba-tiba sanggup membawa beg milik kawan Pho iaitu seorang lelaki negro ke Kuala Lumpur dengan hanya satu panggilan telepon daripada Pho kepada perayu. Hakim bicara membuat dapatan pembelaan perayu tersebut sukar dipercayai dan hanya merupakan rekaan. Hakim bicara menerima keterangan SP5 sebagai keterangan yang kredible berkenaan dengan pemeriksaan dan jumpaan dadah yang terlibat. Walaupun undang-undang tidak mewajibkan perayu memberi maklumat atau pernyataan yang terperinci berkaitan pembelaannya, tetapi kegagalan perayu untuk memberikan maklumat yang membolehkan siasatan dibuat adalah relevan untuk Hakim bicara menilai keterangan perayu, khususnya yang berkaitan dengan pengetahuan perayu ke atas dadah yang dijumpai dalam beg P2 dan dalam menilai kredibiliti keterangan perayu.

[28] Kami dapati Hakim bicara telah menimbang setiap aspek pembelaan perayu tersebut dan betul dalam membuat dapatan ke atasnya. Biar pun perayu tidak menunjukkan sebarang perlakuan seperti percubaan lari apabila ditahan seperti yang terdapat dalam kes Parlan Dadeh v PP [2008] 6 MLJ 19, tetapi keterangan yang ada telah dipertimbangkan secara keseluruhan, termasuk reaksi perayu yang enggan untuk beg P5 diperiksa oleh SP5 semasa di Stesyen Bas Changloon dan dalihan perayu bahawa beg P2 hanya terdapat pakaian sahaja sedangkan P2 sebenarnya dipenuhi dengan 46 AC Adapter dan tidak ada langsung pakaian di dalamnya. Maka itu kami mendapati Hakim bicara tidak tersalah arah dalam membuat dapatan terhadap pembelaan perayu tersebut.

[29] Menyentuh tentang implikasi kegagalan perayu untuk memberitahu SP5 tentang butiran tepat lelaki negro yang dikatakan oleh perayu sebagai pemilik dadah yang dibawanya serta rakan perempuan bernama Pho yang dikatakan oleh perayu sebagai orang yang mengenalkan perayu kepada lelaki negro di Bangkok, Hakim bicara betul dalam mengguna pakai prinsip yang terdapat dalam kes Teng Howe Sing v Public Prosecutor [2009] 3 CLJ 733, di mana Zulkefli Makinuddin HMP (beliau ketika itu) di muka surat 750 memutuskan seperti berikut:

“Applying the principle in Badrulsham’s case to the facts of the instant case, the learned trial judge was correct to conclude that the appellant had two opportunities to provide information about “Ho Seng”, ie, at the time of his arrest and five days later during recording of his cautioned statement but he failed to do so. We are therefore of the view that in the circumstances, the appellant’s failure to provide relevant information about “Ho Seng” for the police to carry out a thorough investigation into the probability of his defence, entitled the learned trial judge to disbelieve him.”

Percakapan beramaran perayu (D55)

[30] Berkaitan hujahan peguam bela terpelajar bahawa Hakim bicara gagal menimbangkan percakapan beramaran D55, kami dapati kandungan butiran D55 adalah serupa dengan keterangan lisan perayu semasa membela diri. Dengan yang demikian keterangan lisan perayu boleh dikatakan sebagai mengulangi apa yang dinyatakan oleh perayu dalam percakapan beramaran D55 yang berikan oleh perayu pada 6.9.2014. Sebutan berkaitan lelaki negro di Bangkok dan watak Pho diberikan secara terlalu am. Hakim bicara telah menimbangkan setiap pembelaan perayu tersebut. Dengan andaian jika D55 dipertimbangkan sekali pun, kami berpandangan dapatan Hakim bicara tidak akan berbeza atau mengubah apa-apa. Mana-mana tribunal yang munasabah juga akan membuat dapatan yang serupa. Oleh itu ketiadaan sebutan oleh Hakim bicara ke atas D55 dalam penghakiman beliau tidak menjadi satu salah arah yang menjejaskan dan boleh membawa kepada kegagalan laksana keadilan (miscarriage of justice) ke atas perayu. Hujahan peguam bela dengan itu tidak mempunyai merit.

[31] Sebelum mengakhiri penghakiman ini, kami memberikan perhatian bagaimana pelbagai kaedah dan cara digunakan bagi membawa masuk dadah berbahaya ke dalam negara untuk mengelak daripada dapat dikesan oleh pihak berkuasa. Menyembunyikan dadah di dalam “AC Adapter” yang diubahsuai dan dipasang semula dengan sempurna seperti dalam kes ini hampir berjaya mengaburi mata pihak berkuasa jika tidak kerana kepekaan dan kecekapan pihak polis yang sewajarnya diberikan pujian hingga dapat mengesan dadah terlibat daripada terlepas masuk ke dalam negara.

Kesimpulan

[32] Berdasarkan alasan-alasan yang telah kami huraikan, Mahkamah ini mendapati YA Hakim bicara telah mengarahkan dirinya dengan betul terhadap undang-undang yang terpakai dan telah meneliti keseluruhan keterangan yang dikemukakan dalam kes ini dalam membuat dapatan ke atasnya. Keterangan kes adalah kukuh. Tidak terdapat sebarang alasan atau merit untuk Mahkamah ini mengganggui keputusan Hakim bicara tersebut. Sabitan terhadap perayu adalah selamat.

[33] Justeru, Mahkamah ini menolak rayuan perayu dan mengekalkan sabitan dan hukuman oleh Mahkamah Tinggi.

t. t.

YAACOB BIN HAJI MD SAM
Hakim
Mahkamah Rayuan Malaysia

Bertarikh: 22 Mei 2018

COUNSEL

Peguamcara bagi pihak Perayu: Ali Munawar bin Razak, Ahmad Fariz, Tetuan Ali & Fariz, Peguambela dan Peguamcara, No. 8B, Tingkat Dua, Wisma Bandaran, Jalan Ibrahim, 08000 Sungai Petani, Kedah

Peguamcara bagi pihak Responden: Samihah binti Rhazali, Timbalan Pendakwa Raya, Jabatan Peguam Negara, Bahagian Perbicaraan & Rayuan, Aras 5, No. 45, Lot 4G7, Presint 4, Persiaran Perdana, 62100 Putrajaya

Legislation referred to:

Akta Dadah Berbahaya 1952, Jadual Pertama; Seksyen-seksyen 37(da), 39B(1)(a), 39B(2)

Judgments referred to:

Parlan Dadeh v PP [2008] 6 MLJ 19

PP v Herlina Purnama Sari [2017] 1 MLRA 499

Public Prosecutor v Badrulsham bin Baharom [1988] 2 MLJ 585

Teng Howe Sing v Public Prosecutor [2009] 3 CLJ 733

Notice: The Promoters of Malaysian Judgments acknowledge the permission granted by the relevant official/ original source for the reproduction of the above/ attached materials. You shall not reproduce the above/ attached materials in whole or in part without the prior written consent of the Promoters and/or the original/ official source. Neither the Promoters nor the official/ original source will be liable for any loss, injury, claim, liability, or damage caused directly, indirectly or incidentally to errors in or omissions from the above/ attached materials. The Promoters and the official/ original source also disclaim and exclude all liabilities in respect of anything done or omitted to be done in reliance upon the whole or any part of the above/attached materials. The access to, and the use of, Malaysian Judgments and contents herein are subject to the Terms of Use.