THE OFFICIAL REPOSITORY OF
MALAYSIAN JUDGMENTS & RULINGS

[2018] MYCA 2 MALAY

Siva A/L Krishnan v Pendakwa Raya and Another Appeal
Suit Number: Rayuan Jenayah Nos. K-05-133-05/2015 & K-05-134-05/2015 

Criminal law – Drug trafficking – Offence under section 39B (1) (a) of the Dangerous Drugs Act 1952 read with section 34 of the Penal Code

Criminal law – Evidence – Whether the prosecution has succeeded in proving drug trafficking beyond reasonable doubt on both appellants – Whether Section 114(g) of the Evidence Act 1950 applies – Whether mutual intent was proven

PENGHAKIMAN

MUKADDIMAH

[1] Perayu dalam rayuan no. K-05-133-05/2015 (perayu pertama) dan perayu dalam rayuan no. K-05-134-05/2015 (perayu kedua) masing-masing merupakan tertuduh pertama dan tertuduh kedua di Mahkamah Tinggi yang bersidang di Alor Setar, Kedah. Mereka telah didakwa dan dibicarakan atas pertuduhan yang berikut:

"Bahawa kamu bersama-sama pada 19hb Julai 2012, jam lebih kurang 7.00 petang, di hadapan Lorong Bangunan HPA, Jalan Cempaka 1, Bandar Aman Jaya, Sungai Petani, di dalam Negeri Kedah Darul Aman, telah didapati memperedarkan dadah berbahaya iaitu seberat 196.4 gram (iaitu 156.1 gram heroin dan 40.3 gram monoacetylemorphines). Oleh yang demikian kamu telah melakukan suatu kesalahan di bawah seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dibaca bersama-sama seksyen 34 Kanun Keseksaan.”

[2] Di akhir perbicaraan, kedua-dua perayu telah didapati bersalah, disabitkan dan YA Hakim bicara menjatuhi kedua-dua perayu dengan hukuman mati mandatori. Terkilan dengan keputusan tersebut, kedua-dua perayu telah merayu ke mahkamah ini.

[3] Setelah mendengar penghujahan daripada semua pihak dan menyemak keseluruhan butiran dalam rekod, kami mendapati rayuan oleh perayu kedua mempunyai merit. Kami membenarkan rayuannya. Manakala bagi perayu pertama, kami mendapati rayuannya tidak bermerit. Rayuannya dengan itu ditolak. Alasan kami memutuskan sedemikian diperjelaskan selepas ini.

Di Mahkamah Tinggi

[4] Ikhtisarnya, bertindak atas maklumat yang diterima, pada 29.6.2012 Inspektor Mohamad Shahran bin Termizi (SP5) telah mengarahkan D/Kpl Saiful Bahari bin Zi (SP4) untuk bertindak sebagai penyamar sulit (agent provocatuer) dalam operasi membeli dadah berbahaya dengan D/SM Mat Sedi membantunya sebagai ‘moneyman’. Bagi tujuan tersebut, SP4 telah berjumpa dengan sumber di kawasan R & R Gurun. Di situ, sumber, setelah memperkenalkan perayu pertama yang dikenali sebagai ‘G’ atau ‘Siva’ kepada SP4, meninggalkan tempat tersebut. SP4 seterusnya berbincang dengan perayu pertama mengenai pembelian dadah Heroin. Oleh sebab perbincangan mengenai harga dan jumlah dadah tidak dapat dimuktamadkan pada perjumpaan tersebut, SP4 dan perayu pertama telah bertukar-tukar nombor telefon dan akan berhubung semula untuk perjumpaan berikutnya mengenai urus niaga di atas.

[5] Rundingan mengenai harga dan jumlah urus niaga telah dijalankan. Perayu pertama menawarkan RM8500.00 sekilogram dan sanggup menurunkan kepada RM8000.00 jika dibeli dalam jumlah yang banyak. SP4 memaklumkan ingin membeli secara berterusan antara 5 atau 8 kilo seminggu. Pada 18.7.2012, perayu pertama telah menghubungi SP4 menyatakan bahawa harga dadah ialah RM8000.00 sekilogram dan penyerahan akan dibuat di Sungai Petani. Pada 19.7.2012 perayu pertama telah memberitahu SP4 dia bersedia untuk membekalkan sebanyak 8 kilogram dadah dan penyerahan akan dibuat di Lot 88 Sungai Petani.

[6] SP4 telah melaporkan persetujuan tersebut kepada SP5. SP5 kemudiannya mengaturkan satu operasi serbuan yang diketuai oleh ASP Mohd Razi Ismail (SP2). Setelah memberikan taklimat operasi, SP2 dan pasukannya telah bergerak ke lokasi sasaran. SP4 juga ke sana tetapi bersama dengan D/SM Mat Sedi.

[7] Setiba di lokasi, SP4 telah menghubungi perayu pertama. Tidak berapa lama kemudian, perayu pertama datang bersama perayu kedua dengan menaiki motosikal bernombor pendaftaran PKL1021. Selepas melihat wang yang dibawa oleh D/SM Mat Sedi, perayu pertama telah meminta SP4 mengekorinya ke lokasi penyerahan yang lain iaitu berhampiran bangunan HPA di Aman Jaya. SP4 diminta menunggu di situ. SP4 menurut dan memaklumkan pergerakan tersebut kepada SP2.

[8] Selepas 20 minit menunggu, kedua-dua perayu datang, mengira semula wang dan beredar semula. Tidak lama kemudian, mereka datang semula dan berhenti di sebelah kanan kereta SP4 sambil menunjukkan sebuah beg berwarna kuning air (P10) dalam raga motosikal. SP4 membuka P10 dan mendapati di dalamnya mengandungi lapan (8) beg plastik lut sinar berisi bahan ketulan dan serbuk (P11A-H). Lantaran itu, SP4 memberikan isyarat serbuan, dan turut menangkap perayu pertama. SP4 kemudiannya menyerahkan perayu pertama kepada SP2.

[9] Pada ketika itu perayu kedua juga cuba melarikan diri, tetapi SP2 dan anggota serbuan berjaya menangkapnya. Selain dua tangkapan tersebut, SP2 turut diserahkan dengan dua orang lelaki India yang lain (Poopalan dan Ramakrishnan). Kedua-dua lelaki ini ditangkap oleh ASP Mustafa, salah seorang anggota serbuan, dalam sebuah kereta Perodua Viva yang berada agak jauh dari tempat perayu pertama dan kedua ditangkap.

[10] Perayu pertama dan kedua berserta barang kes telah dibawa ke IPD Kuala Muda oleh SP2 dan kemudiannya diserahkan kepada Inspektor Mohd Zulhafiz bin Zainudin, pegawai penyiasat (SP6). Manakala Poopalan dan Ramakrishnan dibawa oleh ASP Mustafa ke IPD Kuala Muda. SP6 telah memasukkan barang kes ke dalam sebuah kotak (P9) dan menyerahkan kepada ahli kimia untuk dianalisis. Hasil analisis oleh ahli kimia Marhayani Md Saad (SP1) mengesahkan bahan-bahan (P11A-H) ialah dadah berbahaya campuran Heroin dan Monoacetylemorphines.

Keputusan Di akhir Kes Pendakwaan

[11] YA Hakim bicara mendapati adanya keterangan yang boleh dipercayai yang mencukupi untuk membuktikan kedua-dua perayu mempunyai kawalan dan jagaan dengan pengetahuan ke atas dadah berbahaya tersebut. Mereka juga telah didapati dengan niat bersama mengedar dadah berbahaya seperti mana dalam pertuduhan dengan pemakaian anggapan di bawah s 37 (da) (iiia) ADB 1952. YA Hakim bicara dengan itu memutuskan pendakwaan telah berjaya membuktikan satu kes prima facie terhadap kedua-dua perayu. Arkian, kedua-dua perayu diperintahkan untuk membela diri.

Kes Pembelaan

[12] Kedua-dua perayu telah memberikan keterangan secara bersumpah. Ringkasnya, perayu pertama menyatakan dia pernah berjumpa SP4 di sebuah restoran pada 29.6.2012 dan dia ada memberikan nombor telefon bosnya yang dikenali sebagai Ramu untuk dihubungi kerana ada urusan mengenai mengubah suai rumah. Pada hari kejadian, 19.7.2012 ketika dia sedang bekerja bersama perayu kedua, dia telah diminta oleh bosnya berjumpa SP4 di Aman Jaya. Perayu pertama telah ke sana dengan menaiki motosikal PKL 1021 bersama perayu kedua. Ketika berjumpa SP4, perayu pertama melihat banyak wang di dalam kereta SP4. Selepas itu, kedua-dua perayu beredar dari situ dan memberikan isyarat kepada SP4 untuk mengikut mereka. Mereka kemudian diminta oleh bos perayu pertama untuk berjumpa SP4 di bangunan HPA. Setibanya di sana, SP4 telah menolak motosikal yang dinaiki mereka. Mereka kemudiannya ditangkap. Perayu pertama menafikan terdapatnya beg (P10) dan dadah (P11A-H) di dalam raga motosikal dan menyatakan mereka hanya ditunjukkan beg tersebut ketika di balai polis.

[13] Perayu kedua pula menyatakan dia mengenali perayu pertama dalam beberapa bulan dan akan dipanggil sekiranya ada kerja berkaitan pendawaian. Perayu kedua tidak mengenali majikan perayu pertama. Dia mengetahui nama majikan perayu pertama hanya dengan nama “Ram”. Pada hari kejadian perayu kedua telah mengikuti perayu pertama berjumpa SP4 di Aman Jaya dan di bangunan HPA dengan membonceng motosikal yang ditunggang oleh perayu pertama. Perayu kedua mengakui ada membuat isyarat tangan kepada SP4 untuk mengikuti mereka selepas beredar dari Aman Jaya. Namun, dia hanya menuruti apa yang perayu pertama buat. Dia juga mengakui mengetahui perayu pertama telah melihat wang yang banyak di dalam kereta SP4. Dia juga mengakui mereka telah sekali lagi pergi ke Bangunan HPA berjumpa SP4 setelah disuruh bos. Apabila mereka tiba di situ SP4 terus menolak motosikal yang ditunggang mereka. SP4 terus menangkap mereka. Perayu kedua juga mengatakan dia hanya melihat beg yang mengandungi dadah berbahaya ketika berada di balai polis.

Keputusan Di Akhir Pembelaan

[14] Di akhir kes pembelaan, YA Hakim bicara mendapati bahawa kedua-dua perayu telah gagal menimbulkan keraguan yang munasabah ke atas kes pendakwaan. Keterangan kedua-dua perayu hanyalah penafian semata-mata dan tidak juga menyangkal anggapan di bawah s 37(da)(iiia) ADB 1950. Oleh yang demikian, kedua-dua perayu telah disabitkan dan dijatuhkan hukuman mati. Terkilan, mereka merayu ke mahkamah ini.

Mahkamah Rayuan

[15] Bagi pihak perayu-perayu, peguam bela yang bijaksana membangkitkan isu-isu yang berikut:

(a) sama ada pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes pengedaran dadah melampaui keraguan munasabah terhadap kedua-dua perayu dan sama ada pembelaan perayu-perayu telah diberikan pertimbangan yang sewajarnya?

(b) sama ada seksyen 114 (g) Akta Keterangan 1950 terpakai apabila pihak pendakwaan gagal memanggil atau menawarkan 2 suspek yang ditahan bersama perayu-perayu ataupun sebagai saksi tangkis (rebuttal witnesses) untuk menyangkal pembelaan perayu-perayu yang telah dikemukakan? dan

(c) sama ada niat bersama telah dibuktikan?

[16] Mengenai isu (a), peguam bela perayu pertama menghujahkan bahawa terdapat keraguan tentang kewujudan wang tunjuk kerana pergerakan wang tunjuk tersebut tidak langsung dibuktikan oleh pendakwaan. Dihujahkan lanjut bahawa isu kewujudan wang tunjuk ini tidak disentuh oleh YA Hakim bicara dan YA Hakim bicara dikatakan terkhilaf apabila memutuskan kegagalan untuk memanggil SM Mat Sedi, "money man” tidak memudaratkan kes pendakwaan. Pada hemat kami penghujahan ini tidak bermerit. Harus dicatatkan kes ini melibatkan urus niaga jual beli dadah oleh penyamar sulit, SP4. Terdapat keterangan yang melimpah tentang urus niaga ini terutamanya daripada SP2, SP4, SP5 dan juga SP6. YA Hakim bicara telah mempertimbangkan isu ini berdasarkan keterangan yang telah diterimanya dan kami bersetuju dengan dapatannya seperti yang berikut:

“[16] Keterangan SP5 ini juga diperiksa balas oleh peguambela dan peguambela berhujah terhadap percanggahan di antara keterangan SP4 dan SP5 mengenai tempat perjumpaan SP4 dan Tertuduh Pertama pada kali pertama. Saya menilai percanggahan ini dan saya dapati percanggahan ini tidak material, sekadar bercanggah mengenai tempat tetapi tidak menunjukkan pertemuan tersebut tidak berlaku. Peguambela juga berhujah mengenai keraguan yang timbul tentang wujudnya wang tunjuk yang digunakan di dalam kes ini kerana tidak ada rekod mengenai wang tunjuk ini. SP2 mengakui dia tidak pernah memberi wang tunjuk ini. SP5 pula mengakui dia yang telah memberikan wang tunjuk ini kepada Mat Sedi. SP4 sendiri mengatakan wang tunjuk ini dijaga oleh SM Mat Sedi dan dia tidak tahu jumlahnya. Mat Sedi tidak dipanggil untuk memberi keterangan. Wang tunjuk ini dikatakan telah ditunjuk kepada Tertuduh Pertama bagi meyakinkan urusan jual beli dadah tersebut.

[17] Saya telah meneliti keterangan saksi-saksi mengenai wang tunjuk ini. Saya dapati keterangan SP4 tentang wang tunjuk yang dipegang Mat Sedi juga disokong oleh keterangan SP5. Saya dapati wang tunjuk tersebut sebenarnya wujud dan ditunjukkan kepada Tertuduh Pertama. Kegagalan memanggil Mat Sedi bagi memberi penjelasan tentang wang tunjuk ini tidaklah memudaratkan.”

[17] Kami juga mendapati YA Hakim bicara telah mempertimbangkan pembelaan perayu pertama sewajarnya dan kami bersetuju dengan penemuannya seperti mana yang berikut, setakat yang berkaitan dengan perayu pertama:

“[29] Saya telah pertimbangkan pembelaan Tertuduh-Tertuduh. Cerita pembelaan Tertuduh Pertama mengenai dia tidak pernah berunding dengan SP4 untuk jualan dadah berbahaya tersebut adalah satu penafian terhadap keterangan SP4. Tertuduh mengakui pernah berjumpa SP4 sebelum hari kejadian, walau pun ditempat berlainan dari tempat yang diberitahu SP4. SP4 mengatakan perjumpaan tersebut menjadi permulaan perbincangan dia dan Tertuduh Pertama berunding mengenai jual beli dadah berbahaya. Tertuduh tidak menerangkan kenapa dia berjumpa dengan SP4. Pada hari kejadian pula Tertuduh Pertama mengatakan dia pergi berjumpa SP4 bersama-sama Tertuduh Kedua kerana diarahkan oleh bos mereka untuk ke sana. Semasa kes pendakwaan, keterangan saksi-saksi pendakwaan mengatakan SP4 bersama Mat Sedi berjumpa Tertuduh-Tertuduh pada hari itu berdasarkan persetujuan Tertuduh Pertama menyerahkan dadah berbahaya kepada SP4. Pihak pendakwa telah mengemukakan terdapat perbincangan lanjut melalui telefon di antara SP4 dan Tertuduh Pertama selepas pertemuan mereka pada kali pertama pada 29.6.2012.

[30] Keterangan Tertuduh-Tertuduh tentang tujuan perjumpan (sic) mereka dengan SP4 pada hari kejadian tidak dapat dipercayai. Di dalam analisa saya keterangan Tertuduh Pertama tentang diarahkan bosnya untuk berjumpa SP4 adalah sesuatu yang sengaja diada-adakan. Saya menerima keterangan SP4 tentang rundingan melalui telefon yang membawa kepada perjumpaan SP4 dengan kedua-dua Tertuduh di bangunan HPA tersebut. Umumnya keterangan saksi-saksi polis mestilah diterima oleh mahkamah selagi keterangan mereka secara jelasnya inherently credible” (PP v. Muhamad Ali [1962] 1 MLJ 257). Pemeriksaan balas ke atas SP4 dan keterangan pembelaan Tertuduh Pertama tidak menjadikan keterangan SP4 tidak boleh dipercayai.

[31] Keterangan pembelaan Tertuduh-Tertuduh secara keseluruhannya berupa penafian semata-matadan (sic) bukanlah satu pembelaan yang boleh menimbulkan keraguan ke atas kes pendakwa. Keterangan pembelaan mereka tidak dapat menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pihak pendakwa bahawa terdapat dadah berbahaya seperti di dalam pertuduhan dan pada masa ditangkap dadah berbahaya tersebut berada di dalam pemilikan mereka. Pembelaan kedua-dua Tertuduh juga tidak dapat mengakas (menyangkal/ rebut) anggapan statutori di bawah s.37(d)(iiia) yang timbul tentang perbuatan mereka melakukan perbuatan mengedar dadah berbahaya tersebut.”

[18] Mengenai isu (b), peguam bela yang bijaksana menghujahkan bahawa YA Hakim bicara tidak mempertimbangkan secara maksimum peranan yang dimainkan oleh dua orang suspek, Poopalan A/L Krishnan dan Ramakrishnan A/L Subramaniam, yang ditangkap bersama-sama dengan kedua-dua perayu. YA Hakim bicara dikatakan membuat dapatan secara “lip service” berkenaan peranan penting yang dimainkan oleh mereka. Kegagalan tersebut dihujahkan mewajarkan pemakaian anggapan bertentangan di bawah s 114 (g) Akta Keterangan 1950. Kami tidak bersetuju dengan hujahan tersebut memandangkan terdapat limpahan keterangan mengenai urus niaga dadah tersebut antara SP4 dan perayu pertama yang digariskan dengan terperinci oleh SP4 dan diterima oleh YA Hakim bicara. Dalam hal ini, kami mendapati kes pendakwaan tidak bergantung pada keterangan mereka dan ketiadaan mereka tidak meninggalkan sebarang kelompangan ke atas kes pendakwaan. Kami bersetuju dengan dapatan YA Hakim bicara seperti yang berikut:

“[18] Berdasarkan keterangan yang dikemukakan saya dapati Tertuduh-Tertuduh mempunyai kawalan dan jagaan kawalan ke atas dadah berbahaya tersebut. Saya juga dapati kedua-dua Tertuduh tahu kandungan P11A-H yang mereka bawa di dalam raga motorsikal tersebut untuk diserahkan kepada SP4 adalah dadah berbahaya. Intipati kedua pertuduhan telah dibuktikan. Berdasarkan keseluruhan keterangan yang dikemukakan saya dapati dua orang lagi lelaki India yang lain tersebut (Gopalan dan Ramakrishnan) tidak mempunyai pemilikan ke atas dadah berbahaya tersebut. Kedua-dua lelaki ini sama sekali tidak mempunyai kawalan ke atas P10 dan P11A-H.”

Kami berpendapat dapatan YA Hakim bicara di atas telah berdasarkan limpahan keterangan tersebut, dan bukan sekadar membuat “lip service” sahaja. Isu (b) jelas tidak bermerit.

[19] Mengenai isu (c), kami akan sentuh isu ini bersekali dengan hujahan peguam bela perayu kedua memandangkan isu ini berkaitan langsung dengan pembelaan perayu kedua. Peguam bela perayu kedua yang terpelajar berhujah bahawa YA Hakim bicara telah terkhilaf dalam dapatannya tentang telah terbuktinya unsur-unsur niat bersama di bawah s 34 Kanun Keseksaan. Dihujahkan lagi bahawa dapatan YA Hakim bicara tidak disokong oleh sebarang keterangan untuk menunjukkan adanya pre-arranged plan antara mereka. Kaitan yang ada hanyalah setakat perayu kedua merupakan pembonceng motosikal yang ditunggang oleh perayu pertama dan motosikal itu dipunyai oleh seorang yang bernama Devani A/L Subramaniam. Tiada juga bukti yang menunjukkan perayu kedua tahu tentang isi kandungan beg di dalam raga motosikal itu. Tuntasnya dihujahkan YA Hakim bicara terkhilaf kerana:

(a) perayu kedua tidak memainkan sebarang peranan dalam urus niaga jual beli dadah tersebut;

(b) kali pertama kemunculan perayu kedua adalah pada 19.7.2012 di Lot 88 bersama dengan perayu pertama;

(c) pada setiap masa yang material, perayu kedua merupakan pembonceng motosikal;

(d) perayu kedua tidak langsung membuat sebarang perbincangan dengan SP4 di sepanjang masa, iaitu dari waktu permulaan perjumpaan dengan SP4 hinggalah masa ditangkap;

(e) Tiada sebarang keterangan lain daripada pendakwaan untuk mengaitkan perayu kedua dengan dadah tersebut. Tambahan lagi, aksi yang dinyatakan dilakukan oleh perayu kedua turut menimbulkan dua inferens dalam kes pendakwaan;

(f) peranan perayu kedua hanyalah untuk berada di atas motosikal sebagai pembonceng;

(g) perayu kedua tidak pada bila-bila masa mengendalikan dadah berbahaya atau melibatkan diri dalam urus niaga jual beli dadah tersebut.

[20] Pada penghakiman kami hujahan peguam bela perayu kedua mempunyai merit. Berdasarkan keterangan dalam rekod, kami mendapati SP4 dengan jelas menyatakan perayu kedua merupakan muka baru dan dia tidak pernah berkomunikasi dan berbincang dengannya. Semua urus niaga dilakukan dengan perayu pertama sementara perayu kedua hanya duduk di atas motosikal. Keterangan SP4 ini disokong juga dengan keterangan SP6 yang mengatakan hasil siasatannya menunjukkan perayu kedua tidak terlibat dengan urus niaga ini dan melarikan diri kerana terkejut dengan peristiwa tersebut. Selaras dengan kes Asdanusi Daut v PR (2004) 5 AMR 629 dan kes PP v Mohd Farid Mohd Sukis (2002) 8 CLJ 814, tiada apa-apa kaitan (link) antara perayu kedua dengan urus niaga dalam persoalan dibuktikan. Kami mendapati YA Hakim bicara telah terkhilaf dalam membuat dapatannya semata-mata berdasarkan kehadiran perayu kedua sebagai pembonceng motosikal yang ditunggang oleh perayu pertama tanpa menimbangkan keterangan SP4 dan SP6 di atas. Kami juga mendapati YA Hakim bicara telah tidak menimbangkan percanggahan versi antara SP4 dan SP2 berkenaan peranan dan tingkah laku perayu kedua semasa urus niaga tersebut. Percanggahan pertama melibatkan keterangan SP4 yang mengatakan dia tidak berkomunikasi dan berurusan langsung dengan perayu kedua. SP2 sebaliknya mengatakan semasa D/SM Mat Sedi berada di dalam kereta SP4 dilihat bersembang dengan kedua-dua perayu. SP2 juga mengatakan dia melihat perayu kedua ada menggamit ke arah penyamar sulit seolah-olah memberikan sesuatu isyarat. Namun ini disangkal oleh SP4 yang bersetuju bahawa perlakuan itu tidak berlaku langsung. Pada pertimbangan kami terdapat dua versi di sini yang berkeupayaan menimbulkan keraguan yang munasabah berkenaan dengan penglibatan perayu kedua dalam urus niaga jual beli dadah antara perayu pertama dengan SP4. Dalam hal keadaan tersebut, kami bersetuju bahawa pendakwaan telah gagal membuktikan unsur niat bersama di bawah s 34 Kanun Keseksaan terhadap perayu kedua dan sekali gus gagal membuktikan kes nya terhadap perayu kedua tanpa keraguan yang munasabah. Kami dengan itu menerima rayuan perayu kedua.

[21] Berdasarkan alasan-alasan di atas, kami berpuas hati bahawa rayuan perayu pertama tidak bermerit dan sabitan terhadapnya adalah selamat. Kami dengan itu mengesahkan dan mengekalkan sabitan dan hukuman yang diperintahkan oleh YA Hakim bicara. Manakala mengenai rayuan perayu kedua pula, seperti mana kami nyatakan di atas, kami mendapati sabitannya adalah tidak selamat. Lantas, kami membenarkan rayuan dan mengetepikan sabitan dan hukuman yang diperintahkan terhadapnya oleh YA Hakim bicara. Dengan itu, kami memerintahkan perayu kedua dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan terhadapnya.

t.t

ABDUL KARIM ABDUL JALIL
Hakim Mahkamah Rayuan

Tarikh: 4 Januari 2018

COUNSEL

Bagi pihak Perayu-Perayu: Rao Jayananda (bersama Hussaini Abdul Rashid), Tetuan Rao & Kamal

Bagi pihak Responden: Aslinda Ahad, Timbalan Pendakwa Raya, Jabatan Peguam Negara

Legislation referred to:

Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen-seksyen 37 (da) (iiia), 39B (1)(a) 

Akta Keterangan 1950, 114 (g)

Kanun Keseksaan, Seksyen 34

Judgments referred to:

Asdanusi Daut v PR (2004) 5 AMR 629

PP v Mohd Farid Mohd Sukis (2002) 8 CLJ 814

Notice: The Promoters of Malaysian Judgments acknowledge the permission granted by the relevant official/ original source for the reproduction of the above/ attached materials. You shall not reproduce the above/ attached materials in whole or in part without the prior written consent of the Promoters and/or the original/ official source. Neither the Promoters nor the official/ original source will be liable for any loss, injury, claim, liability, or damage caused directly, indirectly or incidentally to errors in or omissions from the above/ attached materials. The Promoters and the official/ original source also disclaim and exclude all liabilities in respect of anything done or omitted to be done in reliance upon the whole or any part of the above/attached materials. The access to, and the use of, Malaysian Judgments and contents herein are subject to the Terms of Use.