THE OFFICIAL REPOSITORY OF
MALAYSIAN JUDGMENTS & RULINGS

[2018] MYCA 121 MALAY

Shamsinar Bin Abdul Halim v Pendakwa Raya and Another Appeal
Suit Number: Rayuan Jenayah Nos. C-05(M)-4-01/2017 & C-05(M)-6-01/2017 

Criminal law – Murder – Conviction – Death sentence – Appeal

Criminal law – Whether the trial court erred when it accepted the suspicious and conflicting evidence given by witnesses who have vested interests – Whether the trial court erred when it failed to consider the appellants’ defence – Whether the trial court erred in dismissing the alibi defence of the first appellant – Whether the trial court erred in finding the defence of the first appellant an afterthought – Whether the trial court erred in accepting the comon intention of the appellants as proved – Whether the trial court erred in accepting the evidence on the identification of the second appellant

PENGHAKIMAN

Latarbelakang

[1] Perayu Pertama, Shamsinar bin Abdul Halim, telah dihadapkan dengan satu pertuduhan seperti yang berikut:

"Bahawa kamu bersama-sama dengan Sumustapha Bin Suradi (No. KP: 740914-12-5189) dan seorang lagi yang masih bebas pada 10 November 2013, jam lebih kurang 1.50 petang, di Rumah No. 7, Lorong IM 2/29, Bandar Indera Mahkota, di dalam daerah Kuantan, di dalam Negeri Pahang Darul Makmur, dalam mencapai niat bersama kamu bertiga, telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian ke atas Hj Ahmad Raffli Bin Hj Ab Malek (L) (No. KP: 641223-06-5187), dan oleh yang demikian, kamu telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama dengan seksyen 34 Kanun yang sama.”

[2] Manakala Perayu Kedua, Sumustapha bin Suradi menghadapi satu pertuduhan membunuh mangsa yang sama, seperti yang berikut:

"Bahawa kamu bersama-sama dengan Shamsinar bin Abdul Halim (No. KP: 770704-08-5315) dan satu yang masih bebas pada 10 November 2013, jam lebih kurang 1.50 petang, di Rumah No. 7, Lorong IM 2/29, Bandar Indera Mahkota, di dalam daerah Kuantan, di dalam Negeri Pahang Darul Makmur, dalam mencapai niat bersama kamu bertiga, telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian ke atas Hj Ahmad Raffli Bin Hj Ab Malek (L) (No. KP: 641223-06-5187), dan oleh yang demikian, kamu telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama dengan seksyen 34 Kanun yang sama.”

[3] Selain itu, terdapat empat (4) individu lain yang turut dipertuduhkan dengan satu kesalahan melakukan konspirasi jenayah di bawah seksyen 120B(1) Kanun Keseksaan (‘KK’) melibatkan pembunuhan terhadap mangsa yang sama. Empat (4) individu tersebut ialah Azida binti Mohd Zol (‘Tertuduh Kedua’), Harun bin Mat Saat (‘Tertuduh Ketiga’), Shaizral Eddie Nizam bin Shaari (‘Tertuduh Keempat’) dan Jefferi bin Safar (‘Tertuduh Keenam’). Tertuduh Ketiga lebih dikenali sebagai ‘Tuhan Harun’ dan Tertuduh Kedua ialah isteri kepada Tuhan Harun. Perayu-Perayu dan dua tertuduh lain adalah pengikut-pengikut kepada kumpulan ajaran sesat yang dipelopori oleh Tuhan Harun. Manakala mangsa dalam kejadian pembunuhan ini dicamkan sebagai Hj Ahmad Raffli bin Hj Ab Malek (‘Si mati’), seorang Pegawai Penguatkuasa yang bertugas dengan Jabatan Agama Islam Negeri Pahang (‘JAIP’).

[4] Perbicaraan terhadap kesemua tertuduh, termasuklah Perayu-Perayu, telah dijalankan secara bersama atas persetujuan semua pihak. Di akhir perbicaraan, Perayu-Perayu telah didapati bersalah, disabitkan dan dijatuhkan dengan hukuman mati. Manakala empat (4) tertuduh yang telah dipertuduhkan atas kesalahan konspirasi jenayah telah dilepas dan dibebaskan di akhir perbicaraan oleh Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi (‘hakim bicara’).

[5] Terkilan dengan sabitan dan hukuman mati oleh hakim bicara, Perayu-Perayu merayu ke Mahkamah ini. Kami telah mendengar dan menimbangkan rayuan Perayu-Perayu pada 8.2.2018. Kami sebulat suara telah menolak rayuan Perayu-Perayu dan kami mengesahkan sabitan dan hukuman oleh hakim bicara. Kini kami memperincikan alasan-alasan penolakan rayuan Perayu-Perayu.

Kes Pendakwaan

[6] Naratif kes pendakwaan telah dibentangkan melalui keterangan tiga (3) orang saksi utama yang mendapat perlindungan di bawah Akta Perlindungan Saksi 2009. Selain itu, terdapat beberapa orang saksi mata yang melihat kejadian pembunuhan tersebut dan juga saksi-saksi yang melihat Perayu-Perayu bersama seorang lagi yang masih bebas (‘Mansor’) yang berada di tempat kejadian pembunuhan sejurus sebelum si mati ditembak di hadapan pagar rumah kediamannya.

[7] Saksi yang diberi perlindungan, Syed Azlan bin Syed Abu Bakar (SP14), dalam keterangannya menyatakan bahawa pada pagi 25.10.2013 semasa dia berada di rumahnya di Desa Bistari, Bandar Salak Tinggi, dia telah menerima panggilan telefon daripada seorang yang beliau kenali sebagai ‘Bonda Azida’ (Tertuduh Kedua). Tertuduh Kedua telah meminta SP14 supaya pergi ke Hotel Equatorial Melaka. SP14 terus bergerak pergi ke hotel tersebut dan sampai di sana jam 1.00 tengahari dan telah memaklumkan kepada Tertuduh Kedua akan ketibaannya di sana. Pada sebelah malamnya, SP14 telah menerima arahan daripada Tertuduh Kedua melalui pesanan ringkas supaya SP14 pergi ke sebuah bilik di hotel tersebut. SP14 telah pergi ke bilik yang dinyatakan pada jam lebih kurang 11.00 malam. Setelah masuk ke dalam bilik tersebut, SP14 mendapati Tertuduh Kedua berada bersama Tertuduh Ketiga yang SP14 kenali sebagai ‘Ayah’.

[8] Semasa berada di dalam bilik hotel tersebut, Tertuduh Ketiga yang sedang duduk di atas katil telah mengeluarkan kata-kata dalam nada yang terketar-ketar dan kurang jelas oleh kerana Tertuduh Ketiga kurang sihat akibat serangan jantung (stroke). Tertuduh Ketiga berkata kepada SP14, yang turut dikenali dengan panggilan ‘Arab’: “Arab, Tuhan mengarahkan kamu untuk melenyapkan Pegawai Agama JAIP kerana tidak menjalankan tugasnya dengan adil di sisi Tuhan”. SP14 telah menjawab: “Baik Ayah” sambil memandang ke arah Tertuduh Kedua. Selepas itu, SP14 terus beredar dari bilik tersebut.

[9] Pada 27.10.2013, SP14 telah menerima satu pesanan ringkas daripada Tertuduh Kedua berbunyi: “Tuhan telah menunaikan janjinya pada mu. Tuhan menantikan janjimu kepada Tuhan”. SP14 memahami arahan itu bahawa dia diarahkan untuk melenyapkan manusia yang tidak menjalankan tugasnya dengan adil di sisi Tuhan iaitu pegawai JAIP. SP14 telah menjawab dengan menghantar pesanan ringkas: “Dalam proses”.

[10] Pada hari yang sama, SP14 telah menghubungi Tertuduh Keempat untuk bertemu di Kuala Lumpur. SP14 telah pergi menemui Tertuduh Keempat di lobi Hotel Vistana di Kuala Lumpur dan mereka kemudiannya telah menempah sebuah bilik. Di bilik Hotel Vistana, SP14 telah memberitahu Tertuduh Keempat tentang perintah Tuhan yang disampaikan kepadanya oleh Tertuduh Ketiga. Selain SP14 dan Tertuduh Keempat, turut berada dalam bilik yang sama bersama-sama dengan 3-4 orang kenalan yang lain. Semasa berada di dalam bilik hotel, SP14 telah menerima pesanan ringkas daripada Tertuduh Ketiga dan Tertuduh Kedua. SP14 bersama Tertuduh Keempat telah turun dari bilik hotel dan terus menemui Tertuduh Ketiga dan Tertuduh Kedua yang sedang berada di dalam sebuah motorvan berwarna putih. SP14 telah bersalaman dengan Tertuduh Ketiga sambil SP14 memberitahu: “Ayah, in progress”. Tertuduh Ketiga tersenyum sambil mengangkat ibu jarinya tanda “good”. Tertuduh Ketiga dan Tertuduh Kedua kemudiannya terus beredar dari situ.

[11] SP14 dan Tertuduh Keempat kembali ke bilik dan rakan-rakan mereka masih berada di situ. Di dalam bilik itu, SP14 telah meminta Tertuduh Keempat supaya membuat siasatan siapakah Pegawai JAIP yang dimaksudkan oleh Tertuduh Ketiga supaya dilenyapkan. SP14 dan Tertuduh Keempat kemudian telah melayari internet dan mendapati ada empat (4) orang pegawai JAIP yang ada kaitan dengan komuniti mereka, antara lain, ialah Haji Ahmad Raffli (si mati). SP14 telah memilih si mati sebagai sasaran untuk dihukum dengan hukuman Tuhan oleh kerana si mati adalah pegawai JAIP yang telah mengeluarkan banyak kata-kata fitnah terhadap kumpulan mereka di akhbar, TV dan radio dengan mengatakan bahawa mereka adalah penganut ajaran sesat dengan tanpa usul periksa. Seterusnya, SP14 telah berbincang dengan Tertuduh Keempat tentang cara untuk melenyapkan si mati. Antara perkara yang dibincangkan termasuklah dengan menculik si mati, memberi racun, melanggar lari ataupun dengan menggunakan senjata api. SP14 telah mengarahkan Tertuduh Keempat untuk pergi ke Kuantan untuk menjalankan siasatan bagi mempastikan bahawa si mati adalah pegawai JAIP yang telah memfitnahkan kumpulan mereka di dalam TV dan akhbar.

[12] Selepas perbincangan di bilik Hotel Vistana tersebut, Tertuduh Keempat bersama seorang ahli kumpulan mereka yang bernama Mohd Hairul Bahsyar bin Mohd (SP15) yang turut berada dalam bilik di Hotel Vistana tersebut telah bergerak meninggalkan bilik hotel tersebut dan pergi ke Kuantan. SP14 kemudiannya telah memaklumkan melalui pesanan ringkas kepada Tertuduh Kedua seperti berikut: “Bonda, saya memilih Haji Ahmad Raffli di atas perintah Tuhan itu”. Tertuduh Kedua telah membalas dengan mengatakan “ok”.

[13] Pada keesokan harinya, iaitu pada 28.10.2013, semasa masih berada di dalam bilik Hotel Vistana, SP14 telah menerima panggilan daripada Tertuduh Keempat menyatakan bahawa target tidak dapat dikenal pasti oleh kerana target tidak berada di Kuantan. Pada masa tersebut dipercayai si mati sedang bertugas di luar kawasan. SP14 telah mengarahkan Tertuduh Keempat dan SP15 untuk terus berada di Kuantan bagi menyiasat kedudukan rumah tersebut. SP14 telah melaporkan kedudukan itu kepada Tertuduh Kedua. Selepas 2 hari, Tertuduh Keempat dan SP15 telah diarahkan oleh SP14 untuk kembali ke Kuala Lumpur oleh kerana si mati masih gagal dikesan.

[14] Selang beberapa hari kemudian, SP14 telah sekali lagi mengarahkan Tertuduh Keempat untuk pergi semula ke Kuantan untuk mengenal pasti target mereka. SP14 kemudiannya telah menerima maklum balas daripada Tertuduh Keempat bahawa target telah dikenal pasti. Tertuduh Keempat telah memaklumkan lokasi pejabat tempat si mati bekerja dan juga rumah tempat tinggal si mati. Bagaimanapun, masa itu si mati berada di luar kawasan. SP14 telah memaklumkan perkembangan terbaru tersebut kepada Tertuduh Kedua. SP14 telah meminta supaya Tertuduh Keempat untuk terus berada di Kuantan bagi meneruskan lagi siasatan.

[15] Beberapa hari kemudian, SP14 telah dimaklumkan oleh Tertuduh Keempat bahawa si mati telah kembali bertugas. SP14 telah meminta Tertuduh Keempat untuk memikirkan cara terbaik untuk melaksanakan perintah Tuhan. Tertuduh Keempat kemudiannya memaklumkan kepada SP14 bahawa perancangan mereka untuk menculik atau melanggar lari tidak dapat dilaksanakan berdasarkan kepada keadaan di Kuantan. SP14 telah memaklumkan perkara ini kepada Tertuduh Kedua dan Tertuduh Kedua menjawab: “Perintah Tuhan kalau boleh disegerakan”. SP14 membalas pesanan ringkas itu dengan mengatakan “ok”.

[16] SP14 telah memaklumkan kepada Tertuduh Keempat tentang arahan agar perintah Tuhan disegerakan. Tertuduh Keempat menyatakan oleh kerana perintah perlu disegerakan, Tertuduh Keempat meminta keizinan untuk dia menggunakan senjata api. SP14 telah menjawab: “sekiranya perlu, saya benarkan”. Tertuduh Keempat juga telah memaklumkan kepada SP14 bahawa dia memerlukan bantuan dari segi “manpower”. SP14 bersetuju dan telah menghantar SP15 dan Mohd Faiz bin Abu (SP13) serta seorang lagi dikenali sebagai saudara Mus (Perayu Kedua) ke Kuantan untuk membantu Tertuduh Keempat.

[17] Selepas itu, SP14 menyatakan bahawa dia tidak ada lagi mendengar sebarang perkembangan daripada empat orang yang telah ditugaskan untuk melaksanakan perintah Tuhan di Kuantan, sehinggalah pada 10.11.2013, jam lebih kurang 2.00 petang, apabila SP14 telah menerima satu panggilan telefon daripada Tertuduh Keempat yang memberitahu bahawa “arahan telah disempurnakan”. Selang beberapa jam kemudian, SP14 telah menelefon kepada Tertuduh Keempat mengarahkan mereka bersurai dan pulang ke rumah mereka di Salak Tinggi. Pada sebelah petang hari yang sama, SP14 menyatakan dia telah menonton TV di mana berita tentang kematian si mati telah disiarkan. Pada sebelah malam harinya, SP14 telah menghantar pesanan ringkas kepada Tertuduh Kedua menyatakan: “Perintah Tuhan telah disempurnakan” tetapi tidak mendapat sebarang balasan daripada Tertuduh Kedua.

[18] Pada malam yang sama, SP14 telah pergi ke sebuah rumah di Taman Enstek. Kira-kira jam 11.00 malam, Perayu Kedua sampai di rumah tersebut bersama-sama dengan saudara Mansor dan seorang lagi yang dikenali sebagai saudara Mal. SP14 telah meminta mereka untuk terus berehat di rumah tersebut, manakala SP14 terus beredar dari rumah itu.

[19] Pada sebelah pagi 18.11.2013, SP14 telah menerima pesanan ringkas daripada Tertuduh Kedua mengarahkan SP14 untuk bergerak ke utara, ke Pekan Sg. Bakap, Pulau Pinang. SP14 telah menuruti arahan tersebut dan telah pergi ke pekan Sg. Bakap bersama-sama dengan isterinya, Marina binti Abdul Manap (SP21). Dalam perjalanan itu, SP14 telah menerima satu lagi pesanan ringkas daripada Tertuduh Kedua mengarahkan supaya SP14 keluar melalui tol yang berdekatan. Memandangkan tol yang berdekatan adalah tol Ipoh, SP14 telah diarahkan untuk pergi ke Hotel Herritage dan membuat tempahan bilik di hotel tersebut. Tempahan bilik telah dibuat atas nama SP21. SP14 dan isterinya telah menunggu di bilik tersebut sehinggalah pada jam 1.00 pagi apabila pintu bilik mereka telah diketuk. Tertuduh Kedua dan Tertuduh Ketiga serta pemandu mereka, Norhairi bin Harun (SP23) telah datang ke bilik SP14. Tertuduh Ketiga datang dalam keadaan berkerusi roda dan kelihatan uzur. Tertuduh Ketiga telah membisikkan sesuatu ke telinga SP14 tetapi tidak berapa jelas kepada SP14. Apa yang SP14 fahamkan ialah Tertuduh Ketiga menyatakan: “Arab, kau telah lulus ujian mati”. Selepas pertemuan singkat itu selama 2-3 minit sahaja, Tertuduh Kedua dan Tertuduh Ketiga telah meninggalkan bilik hotel tersebut.

[20] SP14 mengakhiri keterangannya dengan menyatakan bahawa selepas pertemuan singkat dengan Tertuduh Kedua dan Tertuduh Ketiga tersebut, dia tidak mendengar apa-apa berita yang lain sehinggalah pada 27.11.2013 jam 6.30 pagi ketika dia berada di rumahnya, sepasukan polis telah datang dan menangkap beliau.

[21] Seorang lagi saksi yang diberi perlindungan, Mohd Hairul Bahsyar bin Mohd (SP15), dalam keterangannya menyatakan pada 27.10.2013 jam lebih kurang 6.00 petang beliau telah menerima satu panggilan telefon daripada Tertuduh Keempat memintanya untuk datang ke Kuala Lumpur atas arahan SP14. Semasa dalam perjalanan, beliau telah terima satu lagi panggilan daripada Tertuduh Keempat meminta beliau untuk terus pergi ke Hotel Vistana. Beliau telah sampai di Hotel Vistana lebih kurang jam 11.00 malam dan telah berjumpa dengan Tertuduh Keempat, Norakmal @Ma dan Aman Yasser di dalam sebuah bilik di hotel tersebut. Di dalam bilik itu, SP14 telah menunjukkan kepada beliau sekeping gambar seorang pegawai Jabatan Agama Islam Pahang. SP15 telah diberi arahan oleh SP14 untuk melenyapkan Pegawai JAIP tersebut oleh kerana pegawai itu dikatakan telah gagal untuk menjalankan tugas mengikut spesifikasi Tuhan. Pada malam itu jam 1.00 pagi, SP15 telah bergerak bersama Tertuduh Keempat menaiki sebuah kereta WDY 6869 pergi ke Kuantan untuk menjalankan pemantauan terhadap Pegawai JAIP tersebut. Setelah berada di Kuantan, mereka mendapati pegawai JAIP itu iaitu Ustaz Raffli tidak bekerja. Oleh itu, keesokan harinya (28.10.2013) mereka balik ke Kuala Lumpur.

[22] Pada 1.11.2013 jam lebih kurang 12.00 tengahari, SP15 telah menerima panggilan daripada Tertuduh Keempat menyatakan kesukaran untuk menghapuskan Ustaz Raffli oleh kerana Ustaz Raffli adalah seorang yang tidak bersosial dan jarang keluar rumah. Oleh itu, Tertuduh Keempat telah meminta SP15 untuk mendapatkan pistol. Pada 4.11.2013, SP15 telah pergi berjumpa dengan kawannya, Mohd Rizari bin Khamis (SP12) di rumah kawannya itu di Setia Wangsa untuk mendapatkan sepucuk pistol. SP12 dikatakan telah mengambil sepucuk pistol dari dalam kereta Honda Jazz No: JME 6464 dan telah menyerahkan sepucuk pistol tersebut kepada SP15.

[23] Pada 6.11.2013, SP15 telah dihubungi oleh Tertuduh Keempat memberitahunya bahawa dia belum lagi ingin menggunakan pistol itu memandangkan Ustaz Raffli tiada di Kuantan. SP15 telah memulangkan kembali pistol tersebut kepada SP12 pada 7.11.2013.

[24] Pada 8.11.2013, SP15 telah menerima panggilan daripada Fikri @De yang memaklumkan bahawa terdapat satu arahan untuk mereka pergi ke Kuantan bersama dengan SP13. SP13 telah datang bersama dengan Fikri @De dengan menaiki sebuah kereta Proton Perdana dengan nombor pendaftaran JFN 2626 untuk berjumpa dengan SP15. SP13 memaklumkan kepada SP15 bahawa SP13 telah menerima arahan untuk membawa pistol ke Kuantan untuk diserahkan kepada Tertuduh Keempat. Setelah mendapat arahan tersebut, mereka telah pergi ke rumah SP12 di Setia Wangsa dan di sana SP12 telah menyerahkan sepucuk pistol yang disimpan dalam sebuah beg kecil warna hitam kepada SP15. Setelah itu, SP15 bersama SP13 terus bergerak ke Kuantan menaiki kereta JFN 2626, manakala Fikri @De telah membawa pulang kereta SP13. SP15 dan SP13 telah sampai di Kuantan pada jam 9.30 malam dan telah bertemu dengan Tertuduh Keempat di Padang MPK Kuantan. Turut berada di situ Tertuduh Keenam dan Perayu Pertama. Di situ juga SP15 telah menyerahkan pistol tersebut kepada Tertuduh Keempat. Selepas itu mereka terus pergi bermalam di sebuah hotel di Kuantan.

[25] Pada keesokan harinya iaitu 9.11.2013 jam lebih kurang 6.30 pagi, SP15 melihat Tertuduh Keempat dan Tertuduh Keenam bergerak keluar dari bilik hotel. Pada jam 9.00 pagi, SP15 dan SP13 telah keluar dari bilik hotel dan menaiki kereta JFN 2626 bergerak ke Taman Indera Mahkota dengan mengekori kereta CAX 3180 yang dipandu oleh Perayu Pertama yang dinaiki bersama oleh Perayu Kedua dan seorang lagi bernama Mansor (masih bebas). Mereka ke Taman Indera Mahkota untuk memantau kedudukan si mati. Semasa dalam perjalanan itu, SP15 telah menerima pesanan ringkas daripada Perayu Pertama yang memberitahu alamat rumah si mati. SP15 juga telah dimaklumkan oleh Tertuduh Keempat bahawa si mati baru pulang ke rumahnya di Bandar Indera Mahkota. SP15 dan SP13 hanya menunggu di dalam kereta di satu simpang ke rumah si mati. Mereka melihat si mati pergi ke surau. SP13 dan SP15 hanya menunggu di sana sehingga jam 7.30 malam tetapi si mati tidak pulang ke rumah. SP15 dan SP13 kemudiannya mendapat arahan daripada Tertuduh Keempat supaya bertolak pulang ke hotel.

[26] Sesampainya di hotel, memandangkan terlalu ramai orang di bilik hotel, lalu SP15 dan SP13 telah menyewa satu bilik lain di hotel yang sama. Kira-kira jam 10.00 malam, SP15 dan SP13 mendapat arahan daripada Tertuduh Keempat untuk ke bilik beliau berbincang akan misi seterusnya. Selain daripada SP15, SP13 dan Tertuduh Keempat, turut hadir dalam perbincangan itu ialah Perayu Kedua, Mansor, Perayu Pertama dan Tertuduh Keenam. Dalam perbincangan itu, Tertuduh Keempat telah mengarahkan supaya Perayu Kedua melaksanakan misi seterusnya pada esok harinya.

[27] Keesokan harinya, pada 10.11.2013 kira-kira jam 9.00 pagi, SP15 dan SP13 bersama Perayu Kedua dengan menaiki kererta JFN 2626 pergi ke Taman Indera Mahkota. Mereka sampai di situ jam 9.30 pagi. Mereka menunggu di satu simpang masuk ke rumah Ustaz Raffli. Tidak lama selepas itu, kira-kira jam 10.00 pagi, tingkap kenderaan mereka diketuk oleh seorang pakcik yang bertanya tujuan mereka berada di situ. Mereka kemudiannya beredar dari situ.

[28] Menurut SP15, selepas mereka keluar dari kawasan taman tersebut, beliau terserempak dengan kenderaan CAX 3180 yang dipandu oleh Perayu Pertama dan melihat Mansor di sebelahnya. SP15 menyuruh Perayu Kedua berpindah ke kereta CAX 3180. Perayu Kedua telah berpindah ke kereta CAX 3180 dengan membawa beg kecil yang berisi pistol. SP15 kemudiannya menghubungi Tertuduh Keempat memberitahu apa yang berlaku. Tertuduh Keempat menyatakan bahawa misi yang baru yang perlu dibuat ialah secara monolog dengan berpura-pura memohon derma di rumah Ustaz Raffli.

[29] Pada jam lebih kurang 1.00 tengahari, SP15 dan SP13 telah singgah di Masjid Indera Mahkota dan setelah itu kembali ke Taman Indera Mahkota dan berhenti menunggu di hadapan Tunas Manja. Pada jam lebih kurang 1.45 petang, SP15 telah melihat kereta CAX 3180 masuk ke taman perumahan Ustaz Raffli. Kira-kira jam 2.00 petang, SP15 dan SP13 melihat kereta CAX 3180 yang dipandu oleh Perayu Pertama datang dan berhenti di sebelah kereta mereka. Perayu Kedua dan Mansor telah keluar dari kereta CAX 3180 dan menaiki kereta mereka JFN 2626. Apabila Perayu Kedua dan Mansor masuk ke dalam kereta mereka, SP15 mendengar Mansor menyatakan: “Misi itu selesai”.

[30] SP15, SP13, Mansor dan Perayu-Perayu terus keluar dari taman perumahan tersebut dengan memasuki Lebuhraya Pantai Timur menuju ke Kuala Lumpur. Dalam perjalanan, Perayu Kedua dan Mansor telah menukar pakaian. Mansor telah meminta satu beg plastik bagi membungkus pakaiannya. Sampai di satu jambatan selepas plaza tol Kuantan, bungkusan yang mengandungi pakaian itu telah dicampak keluar daripada kereta. Semasa di dalam kenderaan tersebut, SP15 telah bertanya tentang kejadian yang berlaku dan Perayu Kedua memberitahu bahawa mereka telah memanggil Ustaz Raffli keluar dengan berpura-pura untuk mohon derma dan beliau telah melepaskan 3 kali tembakan dari pistol dan berlalu dari situ. Kemudiannya SP15 menerima panggilan telefon daripada Tertuduh Keempat menyatakan kenderaannya rosak. SP15 meminta SP13 menurunkan beliau di Petronas Gambang. Perayu Kedua telah menyerahkan beg kecil yang berisi pistol kepada SP15. SP15 kemudian menunggu Tertuduh Keempat. Sementara SP13, Perayu Kedua dan Mansor terus bergerak ke Kuala Lumpur. Apabila Tertuduh Keempat sampai di Petronas Gambang, SP15 telah menaiki kereta Tertuduh Keempat. Di dalam kereta terdapat Tertuduh Keenam. Mereka terus bergerak ke Kuala Lumpur.

[31] Sampai di Kuala Lumpur, SP15 telah diturunkan dan diarahkan menaiki sebuah kereta yang dipandu oleh Saiful Rosli @Che Li dan turut sama seorang Khairul Anuar @Tobak. Dari situ SP15 bersama Saiful Rosli @Che Li bergerak ke Shah Alam dan kemudian ke Danau Kota di mana SP15 telah berjumpa dengan SP12 dan memulangkan semula pistol yang dipinjamnya. Dari situ Saiful Rosly @Che Li terus menghantar SP15 pulang ke rumahnya di Salak Tinggi. Pada 27.11.2013, SP15 telah ditangkap.

[32] Semasa dalam tahanan, pada 8.12.2013 pagi, SP15 telah ditemubual oleh ASP Syahlizan bin Badrun (SP34). Pada jam 11.30 pagi, SP15 telah membawa SP34 ke sebuah jambatan di Lebuhraya Pantai Timur dan menunjukkan satu helai baju kemeja, sehelai jaket warna coklat dan serban warna putih yang dibuang pada hari kejadian.

[33] Saksi SP13 dalam keterangannya menerangkan bahawa pada 8.11.2013, beliau dari rumahnya di Skudai, Johor Bahru dengan memandu kereta JFN 2626 telah pergi ke Salak Tinggi untuk membuat kutipan amal tabung Nur Kasih di Masjid Enstek. Pada hari sama, SP13 telah dihubungi melalui telefon oleh SP14 supaya pergi menjemput SP15 di Subang Airport. SP13 telah pergi menjemput SP15. Dari situ, SP13 telah dibawa oleh SP15 pergi ke Taman Setiawangsa untuk mengambil “L” iaitu pistol. Di situ, SP13 melihat SP15 pergi ke sebuah rumah berjumpa seorang lelaki. Kemudiannya SP15 keluar semula dan membawa bersamanya sebuah “pouch” warna hitam dan memasuki semula kereta SP13. Dari situ mereka bertolak ke Kuantan. Di Kuantan, di pinggir sebuah masjid di pusat bandar, SP13 dan SP15 bertemu Tertuduh Keempat, Perayu Pertama dan Tertuduh Keenam. Pada malamnya mereka dibawa ke sebuah hotel.

[34] Pada 9.11.2013, kira-kira jam 8.00 pagi, SP13 dengan memandu kereta JFN 2626, telah pergi ke Bandar Indera Mahkota bersama-sama SP15 ke rumah Ustaz Raffli sehingga 7.30 malam. Pada sebelah malamnya atas arahan Tertuduh Keempat, SP13 bersama SP15 telah berkumpul di sebuah hotel bersama Perayu Kedua, Perayu Pertama yang dipanggil Boy, Tertuduh Keenam dan Mansor serta Tertuduh Keempat. Dalam perjumpaan tersebut, rancangan dibuat untuk memantau rumah Ustaz Raffli. SP13 telah diarahkan oleh Tertuduh Keempat untuk memandu kereta JFN 2626 membawa Perayu Kedua. Perayu Kedua telah diarahkan oleh Tertuduh Keempat untuk melakukan tembakan terhadap Ustaz Raffli. Tertuduh juga mengarahkan supaya Boy (Perayu Pertama) dan Mansor membawa Perayu Kedua. Dalam perjumpaan itu, SP13 melihat sepucuk pistol dikeluarkan dari dalam beg “pouch”. Selepas perjumpaan, SP13 telah mendaftar satu bilik lain di hotel yang sama dan tinggal di bilik itu bersama SP15.

[35] Pada keesokan harinya, 10.11.2013 kira-kira jam 9.30 pagi, SP15 telah menerima panggilan daripada Tertuduh Keempat mengarahkan supaya membuat rondaan di rumah Ustaz Raffli. SP13 dan SP15 dan juga Perayu Kedua kemudian bergerak ke kawasan rumah Ustaz Raffli menggunakan kereta JFN 2626 dan kereta telah diberhentikan berhampiran rumah Ustaz Raffli. Di situ, kereta mereka telah didatangi oleh seorang lelaki penduduk taman tersebut menanyakan mereka siapa dan sambil menegur kenapa nombor plate di bahagian belakang tiada. SP15 kemudian pergi ke bahagian belakang kereta. Selepas itu mereka berlalu dari situ. Kemudiannya melalui panggilan telefon, Tertuduh Keempat mengarahkan Perayu Kedua bertukar menaiki kereta Proton Wira Aeroback no CAX 3180. Perayu Kedua kemudian berpindah menaiki kereta CAX 3180. Sementara itu, SP13 dan SP15 menunggu di dalam kereta JFN 2626 di bahu jalan berhampiran bangunan Tunas Manja. Kira-kira jam 1.45 petang, SP15 menerima panggilan daripada Tertuduh Keempat menyatakan tugasan sudah selesai dan mengarahkan supaya menunggu Perayu Kedua dan Mansor datang. Kemudian Perayu Kedua dan Mansor sampai dengan kereta CAX 3180 dan menaiki kereta mereka JFN 2626. Mereka semua kemudiannya bergerak ke arah Kuala Lumpur.

[36] Dalam perjalanan itu, SP15 telah menerima arahan daripada Tertuduh Keempat mengarahkan supaya SP15 turun di RnR Gambang. SP13 yang ketika itu memandu kereta JFN 2626 melihat melalui cermin pandang belakang Perayu Kedua dan Mansor membuka pakaian dan dimasukkan dalam bungkusan plastik dan mencampaknya keluar semasa melalui sebuah jambatan. Selepas menurunkan SP15 di RnR Gambang, SP13 meneruskan perjalanan bersama Perayu Kedua dan Mansor sehingga ke Seremban dan seterusnya ke Jusco meninggalkan Perayu Kedua dan Mansor di sana sebelum bergerak ke Simpang Renggam.

[37] Dalam perjalanan ke Simpang Renggam, SP13 telah menerima panggilan telefon daripada SP14 menyatakan bahawa kereta CAX 3180 akan sampai di Plaza Tol Simpang Renggam. SP14 seterusnya mengarahkan SP13 supaya menukar cat kereta CAX 3180 kepada warna oren. SP13 telah menghantar kereta itu iaitu CAX 3180 ke bengkel Zaidi bin Yusof @Abang Adi (SP16) untuk ditukar catnya.

[38] Seminggu selepas itu, SP13 telah mengambil kereta CAX 3180 daripada SP16 dan membawa kereta tersebut ke G2 Auto Service kepunyaan Roslizan bin Paiman @Ijan (SP52) untuk diservis. SP13 dalam masa yang sama telah membawa dan meninggalkan kereta Proton Perdana JFN 2626 kepada SP16 untuk ditukarkan warnanya daripada hitam ke warna merah. SP13 kemudiannya pada 27.11.2013 telah ditangkap polis ketika berada di pasaraya Billion Sungai Besar. Apabila ditangkap, SP13 telah menunjukkan kereta CAX 3180 dan seterusnya kereta Proton Perdana JFN 2626 telah dirampas oleh pihak polis.

[39] Sementara itu, saksi Mohd Rizairi bin Khamis (SP12) dalam keterangannya menyatakan bahawa pada 8.11.2013, saksi SP15 datang mengambil pistol daripada beliau. SP12 telah memberi sepucuk pistol Smith & Wesson Field MA US [(P6(A)(1)(A)(xiii)] berserta satu magazine [(P6(A)(i)(a)xiv)] lengkap dengan 6 biji peluru kepada SP15. SP15 telah kembalikan pistol beserta dengan peluru tersebut kepada SP12 pada 11.11.2013 tetapi kali ini peluru telah berkurangan sebanyak 3 butir.

[40] Pihak pendakwaan turut mengemukakan saksi Mohd Nor Akmal bin Abd Ghani (SP17) yang menyatakan pada penghujung Oktober 2013, atas arahan SP14 beliau telah menghantar printer ke sebuah bilik di Vistana Hotel. Di dalam bilik itu, terdapat Fikri, Tertuduh Keempat, Bashyar (SP15) dan SP14. SP14 telah mengarahkan Fikri mencetak sekeping gambar dan SP14 menyatakan untuk melenyapkan orang dalam gambar itu. Seterusnya, SP17 mendengar SP14 berbincang dengan SP15 untuk membuat tinjauan ke rumah orang yang di dalam gambar itu. Kemudiannya kira-kira jam 8.00 malam mereka semua bersurai.

[41] Pada 10.11.2013, SP17 telah diarahkan oleh SP14 untuk mengambil Perayu Kedua dan Mansor di Jaya Jusco Seremban. SP17 telah mengambil Perayu Kedua dan Mansor di Jaya Jusco Seremban dan membawa mereka ke Taman Enstek. Di rumah itu, SP17 telah mendengar Perayu Kedua dan Mansor serta SP14 berbual di ruang tamu. SP17 mendengar SP14 bertanya Perayu Kedua: “ok ke tidak”. SP15 mendengar SP14 bertanya lagi: “dah selesai ke”. Kemudiannya dijawab, tidak pasti oleh siapa: “dah boss” dan: “lepas itu dia jatuh, dan lepas dia jatuh kita orang gerak terus”. Selepas itu, SP17 masuk bilik dan sembahyang. Apabila SP17 bangun waktu subuh, SP17 lihat tiada orang lagi di dalam rumah itu.

[42] Saksi Othman bin Said (SP7) yang merupakan jiran si mati menyatakan dalam keterangannya bahawa pada 9.11.2013 ketika berada di Kuala Lumpur, kira-kira jam 8.30 malam beliau dihubungi oleh jirannya Mohd Fadzli bin Yusof (SP8) memberitahu bahawa terdapat sebuah kereta Proton Perdana warna hitam sedang parkir di hadapan rumah SP7. SP7 meminta SP8 memerhatikan kereta tersebut sehingga beliau pulang dari Kuala Lumpur. SP7 pulang ke rumahnya pada jam 3.00 petang dan mendapati tiada lagi kereta yang dikatakan di kawasan rumahnya.

[43] Pada keesokan harinya, 10.11.2013, SP7 melihat sebuah kereta Proton Perdana parkir di sebelah rumah beliau. SP7 menghubungi SP8 semula dan bertanya sama ada kereta itu yang dimaksudkannya semalam. SP8 menyatakan betul. SP7 mendapati nombor pendaftaran kereta tersebut sebagai JFN 2626. Beberapa ketika selepas itu, SP7 mendapati nombor plate di bahagian belakang kereta tersebut tidak dipamerkan. Lalu SP7 menghampiri kereta itu dan mengetuk cermin pemandu. Selepas pemandunya menurunkan cermin kereta, SP7 bertanya: “awak tunggu siapa”. Dijawab oleh pemandu tersebut bahawa beliau menunggu kawannya dari Cheras, Kuala Lumpur. SP7 bertanya seterusnya kenapa nombor plate kereta tiada di belakang. Lalu pemandu itu turun dan mengatakan dia hendak membetulkan plate kereta itu. Ketika pemandu kereta itu menurunkan cermin tingkap, SP7 melihat terdapat penumpang di bahagian hadapan dan belakang kereta yang kesemuanya 3 orang, termasuklah pemandu. SP7 mendapati mereka semua berbangsa Melayu.

[44] Pada 6.12.2013, SP7 telah menghadiri kawad cam di IPD Kuantan dan telah mengecam SP13 sebagai pemandu kereta Proton Perdana JFN 2626 dalam insiden pada 10.11.2013 tersebut.

[45] Saksi Mohd Fadzli bin Yusof (SP8) pula menyatakan bahawa pada 9.11.2013 jam kira-kira 8.00 malam, beliau mendapati sebuah kereta Proton Perdana hitam parkir di hadapan antara rumah beliau dengan rumah SP7. SP8 menghubungi SP7 dan memaklumkan hal itu. Pada keesokan harinya, iaitu 10.11.2013, SP7 menghubungi beliau bertanya sama ada kereta yang di parkir di hadapan rumahnya adakah kereta yang serupa dan SP8 mengiakannya. SP7 kemudiannya meminta SP8 untuk pergi melihat kereta itu. SP8 telah pergi ke kereta itu sambil berjalan perlahan melihat bahagian dalam kereta dan mendapati 3 orang berada di dalam kereta tersebut iaitu seorang pemandu, seorang penumpang di bahagian hadapan dan seorang penumpang di bahagian belakang. SP8 kemudian pergi memberitahu SP7 bahawa kereta tersebut adalah kereta yang sama dilihatnya sebelum ini. Pada 6.12.2013 SP8 telah ke IPD Kuantan menghadiri kawad cam dan mengecam Perayu Kedua sebagai penumpang belakang kereta, SP13 sebagai pemandu, dan SP15 sebagai penumpang hadapan kereta tersebut.

[46] Pihak pendakwaan turut memanggil saksi Alid bin Yahya (SP9) yang juga merupakan jiran kepada si mati. SP9 mengatakan bahawa pada 9.11.2013, kira-kira jam 10.00 pagi, beliau melihat sebuah kereta Proton Perdana JFN 2626 parkir di kawasan perumahannya. Kemudiannya kereta itu beredar. Pada 10.11.2013, SP9 melihat kereta yang sama di parkir di tempat yang sama dalam keadaan enjin masih hidup. SP9 melihat penumpang hadapan kereta tersebut menanggalkan nombor plate di bahagian belakang kereta itu. SP9 juga dapat melihat pemandu kereta ketika pemandu menurunkan cermin kereta semasa SP7 menghampiri mereka. Pemandu kereta telah turun daripada kereta dan berjumpa dengan SP7. SP9 mendapati terdapat 2 penumpang di dalam kereta tersebut seorang di hadapan dan seorang di bahagian belakang.

[47] Pada jam kira-kira 1.30 tengahari hari yang sama ketika SP9 memandu kereta untuk menghantar anaknya pergi tuisyen, SP9 telah berselisih dengan sebuah kereta Proton putih no CAX 3180 di jalan belakang. Memandangkan jalan itu sempit dan jalan sehala, kedua-dua kereta telah berselisih secara perlahan. Ketika itu, SP9 melihat penumpang di bahagian hadapan kereta CAX 3180 adalah orang yang sama dengan penumpang belakang Proton Perdana yang dilihat oleh SP9 di kawasan taman sebelum itu. Apabila SP9 balik, beliau dimaklumkan akan kejadian tembak terhadap si mati. Pada 6.12.2013, SP9 telah pergi ke IPD Kuantan menghadiri kawad cam dan telah mengecam Perayu Kedua sebagai penumpang belakang kereta Proton Perdana JFN 2626 yang merupakan orang yang sama sebagai penumpang hadapan kereta CAX 3180. SP9 turut mengecam SP13 sebagai pemandu kereta Proton Perdana JFN 2626 dan SP15 sebagai penumpang hadapan Proton Perdana JFN 2626.

[48] Sementara itu, saksi Muhammad Amin bin Ahmad Raffli (SP11) yang merupakan anak si mati menyatakan pada 10.11.2013 jam lebih kurang 1.40 tengahari, ketika berada di hadapan pintu rumahnya telah melihat sebuah kereta Wira Aeroback warna putih datang dan berhenti di hadapan rumahnya. Kemudiannya SP11 melihat seorang lelaki keluar daripada bahagian penumpang hadapan kereta itu dan memberi salam. SP11 telah menjawab salam lelaki itu. Lelaki itu bertanya SP11 sama ada bapa SP11 berada di rumah. Lalu SP11 memanggil bapanya dan bapanya telah keluar daripada rumah dan pergi membuka pintu pagar. Bapanya telah bertanya lelaki itu sama ada hendak singgah dahulu ke rumah dan dijawab lelaki itu: “tak pa sekejap sahaja”. Ketika itu, SP11 melihat seorang lelaki penumpang bahagian belakang keluar daripada kereta tersebut lalu melepaskan tembakan ke arah bapanya sebanyak 3 kali. Kemudiannya kedua-dua lelaki tersebut masuk semula ke dalam kereta dan terus beredar dari situ.

[49] Pada 6.12.2013 jam 2.30 petang, SP11 telah pergi ke IPD Kuantan untuk menghadiri satu kawad cam dan dalam kawad cam yang telah diadakan, SP11 telah mengecam Perayu Kedua sebagai lelaki yang telah menembak bapanya.

[50] Puan Rosmahwani binti Abdul Wahab (SP10) isteri kepada si mati menyatakan bahawa pada hari kejadian, 10.11.2013 jam lebih kurang 1.45 tengahari beliau berada di ruang tamu rumah beliau di No 7, Lorong IM2/29, Bandar Indera Mahkota, Kuantan. Ketika beliau sedang memasang langsir di ruang tamu, kedengaran kereta berhenti di hadapan rumahnya. Anak SP10, iaitu SP11, telah menjawab salam orang yang datang itu dan membuka pintu sambil memberitahu si mati bahawa ada orang datang. Lalu SP10 masuk ke bilik utama untuk mengambil tudung. Ketika itu SP10 melihat melalui tingkap bilik dan nampak suaminya sedang bercakap-cakap dengan orang yang memberi salam itu sambil suaminya membuka pintu pagar. SP10 juga melihat sebuah kereta Wira Aeroback warna putih berhenti di luar pagar rumahnya. Tidak lama kemudian SP10 melihat seorang lelaki keluar dari bahagian pintu hadapan kereta. Dalam masa yang sama SP10 berpaling untuk mengambil tudung tiba-tiba kedengaran bunyi 3 das tembakan berturut-turut. Kemudiannya SP11 terus memanggilnya dan memberitahu bahawa si mati telah kena tembak. SP10 bergegas keluar rumah dan melihat suaminya telah rebah di lantai dalam keadaan berlumuran darah.

[51] Saksi Muhammad Tarmizi bin Zulkifly (SP5) menyatakan bahawa pada 10.11.2013 pada jam kira-kira 1.50 petang, ketika beliau berada di rumahnya No. 10 Lorong Indera Mahkota IM 2/29, telah mendengar bunyi seperti mercun dan kemudian terdengar jeritan SP10. Ibu dan bapanya kemudian telah pergi ke rumah SP10. Bapanya telah balik semula ke rumah dan memintanya untuk membuat panggilan 999. SP5 telah membuat panggilan ke nombor 999 dan telah menghubungi pihak polis.

[52] Saksi Zulkifli bin Abu Bakar (SP6) merupakan orang pertama yang telah pergi ke rumah mangsa selepas mangsa ditembak. SP6 menyatakan bahawa pada hari kejadian itu, beliau berada di rumahnya di No. 10, Lorong Indera Mahkota IM2/29, Bandar Indera Mahkota, Kuantan. Pada jam 1.50 petang, beliau telah mendengar satu letupan seperti mercun dan jeritan SP10 mengatakan Ustaz kena tembak. SP6 terus ke rumah SP10 dan melihat Ustaz Raffli terlentang di atas simen tempat parkir kereta di sebelah kereta. SP6 terus meminta anaknya, SP5 untuk menelefon polis.

[53] Sementara itu, Koperal Siti Zubaidah binti Abdullah (SP4) yang pada masa itu bertugas di Bilik Gerakan, IPD Kuantan telah menerima satu panggilan pada jam 1.52 petang daripada seorang yang dipanggil Mohd Tarmizi (SP5) memberitahu bahawa jirannya telah kena tembakan dan cedera di No. 7, Lorong Indera Mahkota 2/29 Kuantan. Selepas menerima maklumat tersebut, SP4 telah menghubungi anggota Jenayah IPK serta pihak ambulans Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan untuk ke tempat kejadian.

[54] Pegawai polis yang pertama ke tempat kejadian adalah ASP Bahrin bin Talib (SP18) berserta anggotanya. Menurut SP18, pada hari kejadian jam lebih kurang 2.30 petang, beliau telah dimaklumkan oleh ASP Zukri bin Muhamad (SP51) berkait kes di rumah No. 7, Lorong Indera Mahkota 2/29, Kuantan. SP18 telah bersama beberapa anggota ke rumah kejadian. Sampai di rumah tempat kejadian, SP18 telah menemui satu kelongsong peluru di bucu lubang parit, satu kelongsong peluru dijumpai di rail besi pagar rumah dan satu lagi kelongsong peluru ditemui di laluan tempat letak kereta di rumah tempat kejadian. SP18 turut menemui 2 anak peluru di tempat letak kereta. SP18 juga mengambil 2 swabing kesan darah, satu di atas lantai dan satu di badan si mati. Semua barang kes kemudiannya telah diserahkan oleh SP18 kepada SP51.

[55] Keterangan ASP Zukri bin Muhammad (SP51) sebagai Pegawai Penyiasat kes ini mengatakan beliau bersama sepasukan anggota telah menangkap Mohd Rizairi bin Khamis (SP12). SP51 telah ditunjukkan oleh SP12 sepucuk pistol jenis Smith & Wesson yang diletakkan di dalam dashboard Honda Jazz. SP51 telah merampas pistol tersebut [Eksibit P6A(1)(a)(xiii)] beserta dengan kelopak berisi 6 butir peluru hidup yang kemudian telah dihantar untuk dijalankan ujian balistik dan servicebality.

[56] Bedah siasat atas jasad si mati telah dilakukan oleh Dr. Nor Zaimah binti Mohamad Idris (SP3) atas permintaan Pegawai Penyiasat, ASP Zukri bin Muhammad (SP51). Menurut SP3, pada 10.11.2013, atas permintaan SP51, beliau telah pergi ke tempat kejadian untuk memeriksa jasad si mati. Dari pemeriksaan luaran, SP3 mendapati terdapat beberapa luka tembakan masuk dan keluar pada tubuh si mati. Bedah siasat telah dijalankan pada hari yang sama di Hospital Tengku Ampuan Afzan pada jam 5.30 petang.

[57] Hasil pemeriksaan bahagian luaran jasad si mati, SP3 mendapati si mati mengalami kecederaan-kecederaan seperti berikut:

1. Satu luka tembak masuk di dada kanan atas berhampiran tulang selangka, berbentuk bulat dan berukuran lebih kurang 1.0 cm diameter. Terdapat kesan lecet di sisi bawah luka berukuran 1.0 x 1.0 cm.

2. Satu luka tembak masuk di dada kanan di bahagian bawah dan kiri daripada puting kanan; berbentuk bujur berukuran 1.0 x 0.6 cm.

3. Satu luka tembak masuk di bahagian kanan abdomen lebih kurang 7.0 cm daripada pusat, berukuran 1.0 x 0.7 cm. Terdapat kesan lecet di sisi bawah luka berukuran 1.0 x 0.6 cm.

4. Satu luka tembak keluar di sisi luar belakang dada kanan berukuran lebih kurang 1.7 x 1.2 cm. Sekeliling luka mengalami kesan lebam.

5. Satu luka tembak keluar di bahagian belakang badan lebih kurang 12.5 cm ke kiri dari luka no (4). Luka tersebut berukuran 1.0 x 1.3 cm. Sekeliling luka juga lebam.

6. Satu luka tembak keluar di bahagian tengah belakang kepala searas dengan telinga, berukuran 2.0 x 0.6 cm.

7. Satu luka tembak kemasukan semula (re-entry gunshot wound) di bahagian sisi dalam lengan atas kanan berukuran 1.5 x 1.0 cm.

8. Satu luka tembak keluar di belakang lengan atas sebelah kanan, bawah sedikit daripada luka no (7) di atas. Luka tersebut berukuran 1.5 x 0.8 cm.

[58] Pada pemeriksaan bahagian dalaman, SP3 mendapati kecederaan-kecederaan seperti berikut:

Trek luka tembak no (1)

Peluru telah memecahkan tulang selangka kanan, rusuk pertama kanan, mengoyakkan salur darah subclavian kanan, trakea di bahagian carina (persimpangan bronkus kanan dan kiri) dan terkena tulang vertebra servikal ke 7 (right lateral process). Akibat terkena tulang peluru terpesong dan menembusi otot trapezius kanan dan menuju ke atas dan ke belakang menembusi otot belakang tengkorak dan keluar melalui luka no (6) di belakang kepala.

Trek luka tembak no (2)

Peluru telah menembusi otot intercostal ke 5 sebelah kanan, memasuki ruang dada kanan, tembus lobar bawah paru-paru kanan, diafram kanan dan lobar kanan hepar (hati) sebelum memecahkan rusuk ke 11 di belakang dan keluar menerusi luka no (5).

Trek luka tembak no (3)

Peluru telah menembusi intestine/ usus di bahagian ileum, mesenteri dan kolon asending, lobar kanan hepar dan memecahkan rusuk kanan no (10) sebelum keluar menerusi luka no (4), kemudian peluru telah masuk semula melalui luka no (7) dan menembusi otot dan tisu lengan kanan sebelum keluar menerusi luka no (8).

Kepala

Selain daripada luka tembak keluar pada kulit kepala seperti yang dinyatakan, tiada lain-lain kecederaan dan sebarang kecacatan pada tengkorak, otak dan selaput otak.

Muka, tekak dan struktur leher

Bahagian dalam mulut termasuk lidah adalah biasa. Pangkal salur pernafasan juga baik. Kalenjar tiroid dan otot-otot leher tidak cedera. Salur darah karotid adalah biasa. Selain daripada vertebra servical ke 7, tiada kecederaan lain pada tulang tengkuk.

Dada

Selain kesan tembakan pada tulang rusuk kanan pertama dan ke 10 dan 11, lain-lain tulang rusuk adalah baik. Ruang paru-paru kanan mengandungi lebih kurang 350 ml darah dan 40 gram darah beku. Ruang paru-paru kiri adalah biasa dan kering. Salur makanan esophagus adalah baik. Salur pernafasan trakea terkena peluru di bahagian karina seperti yang dinyatakan.

Paru-paru kanan (709 g) adalah separa kempis dan agak berat akibat kesan tembakan dan juga mengalami lebam terutama di bahagian puncak dan sekitar kesan tembakan. Paru-paru kiri (220 g) adalah dalam keadaan baik. Tiada kesan menunjukkan pulmonary thrombo embolism iaitu darah beku dalam salur darah vena pulmonary.

Jantung (250 g) adalah baik. Salah satu salur darah coronary (left anterior decending artery) menunjukkan sedikit kesan kesempitan akibat atheroma. Injap jantung dan dinding jantung adalah dalam keadaan baik.

Abdomen

Kaviti abdomen adalah kering. Struktur perut adalah baik, mengandungi sejumlah makanan yang tidak hadam. Selain daripada kesan tembakan pada salur intestine/ usus ileum, mesenteri dan kolon asending, tiada lain-lain kecederaan diperolehi pada salur makanan.

Organ hepar (hati) juga ditembusi peluru. Lain-lain organ dan struktur dalam abdomen adalah dalam keadaan biasa. Salur darah aorta pada bahagian abdomen juga baik.

Skeleton

Tulang yang pecah akibat kesan tembakan adalah tulang selangka kanan, tulang rusuk pertama, tulang vertebra servikal ke 7, tulang rusuk kanan ke 10 dan 11.

[59] Hasil bedah siasat tersebut, SP3 merumuskan bahawa punca kecederaan adalah konsisten dengan kesan tembakan senjata api dan sebab-sebab kematian adalah akibat dari kecederaan dan pendarahan di dada hasil tembakan di dada (gunshot injuries of the chest) yang telah mengenai salur darah subclavian kanan, iaitu salah satu cabang darah aorta, trakea dan paru-paru kanan yang mana telah mengakibatkan perdarahan yang banyak ke dalam ruang paru-paru dan mengalir keluar dari tubuh si mati.

Dapatan hakim bicara di akhir kes pendakwaan

[60] Di akhir kes pendakwaan, hakim bicara membuat dapatan bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan satu kes prima facie terhadap kedua-dua Perayu atas pertuduhan yang dikemukakan terhadap mereka. Dengan berpandukan kepada keputusan dalam kes Sainal Abidin bin Mading v PP [1999] 4 MLJ 497, hakim bicara mendapati empat (4) intipati utama pertuduhan berikut telah berjaya dibuktikan oleh pihak pendakwaan:

(a) Ahmad Raffli bin Hj Ab Malek telah mati;

(b) Simati telah mati akibat dari bencana tubuh/ kecederaan yang dialaminya;

(c) Bencana tubuh/ kecederaan yang dialami oleh si mati adalah akibat dari perbuatan Perayu-Perayu;

(d) Perayu-Perayu secara niat bersama telah mendatangkan bencana tubuh/ kecederaan tersebut ke atas si mati dan bencana tubuh/ kecederaan yang diniatkan itu cukup pada lazimnya menyebabkan kematian si mati (perenggan (c), seksyen 300 Kanun Keseksaan).

[61] Untuk intipati pertama, hakim bicara menerima keterangan SP10 dan SP11 mengenai identiti si mati sebagai Ahmad Raffli bin Hj Ab Malek yang merupakan suami kepada SP10 dan bapa kepada SP11. Hakim bicara turut menerima keterangan Pegawai Penyiasat, SP51 dan keterangan pakar patologi (SP3) yang melakukan bedah siasat yang turut mengesahkan kematian si mati seperti ditunjukkan dalam gambar-gambar di eksibit P8(c) dan gambar-gambar post mortem di eksibit P9 (1-47). Tiada pertikaian bahawa Ahmad Raffli bin Hj Ab Malek telah meninggal dunia pada 10.11. 2013 jam lebih kurang 1.50 petang di tempat kejadian tembakan.

[62] Untuk intipati kedua, hakim bicara telah menerima keterangan SP3 yang telah menjalankan bedah siasat terhadap jasad si mati bahawa kecederaan tubuh badan yang dialami oleh si mati adalah akibat dari luka tembakan dan kecederaan tersebut yang telah membawa kepada kematian si mati. SP3 menyatakan terdapat lapan (8) luka tembakan di bahagian dada, abdomen, belakang dan lengan si mati. SP3 mendapati luka tembakan di bahagian dada telah mengenai salur subclavian kanan iaitu salah satu lubang salur darah aorta, trakea dan paru-paru kanan. Kecederaan tembakan di dada itu telah menyebabkan kehilangan darah yang banyak sehingga mengakibatkan si mati mengalami hipovolemik dan kematian yang mengejut. SP3 seterusnya berpendapat punca kematian si mati adalah disebabkan oleh gunshot injuries of the chest”. Hakim bicara mendapati keterangan SP3 bahawa kematian si mati diakibatkan oleh kecederaan tembakan yang dialami oleh si mati langsung tidak dicabar dan dengan itu diterima oleh mahkamah.

[63] Mengenai persoalan seterusnya iaitu sama ada Perayu Pertama bersama Perayu Kedua dan seorang lagi (Mansor) yang masih bebas telah secara niat bersama yang menyebabkan kecederaan tubuh badan (luka tembakan) yang telah mengakibatkan kematian kepada si mati, hakim bicara telah menerima keterangan SP13, SP14 dan SP15, tiga orang saksi yang diberi perlindungan di bawah Akta Perlindungan Saksi 2009 serta turut juga menerima keterangan saksi SP10 dan SP11. Hakim bicara telah membuat dapatan fakta bahawa Perayu Pertama, Perayu Kedua dan Mansor (orang yang masih bebas) adalah orang-orang yang telah mengakibatkan kecederaan yang telah membawa kematian kepada si mati secara niat bersama. Hakim bicara, setelah membuat penilaian keterangan saksi-saksi yang disebutkan, mendapati bahawa Perayu Kedua adalah orang yang telah melepaskan tiga (3) tembakan pistol ke arah badan si mati dan Perayu Pertama adalah orang yang berperanan sebagai pemandu kereta Proton Iswara Aeroback berwarna putih dengan nombor pendaftaran CAX 3180 dan Mansor berada bersama dalam kereta tersebut duduk di bahagian penumpang hadapan sebelah kiri pemandu (Perayu Pertama). Mansor adalah orang yang telah memberi salam dan memanggil si mati keluar sebelum ditembak oleh Perayu Kedua.

[64] Setelah berpuas hati atas penilaian maksima bahawa semua intipati pertuduhan telah dibuktikan oleh pihak pendakwaan terhadap Perayu-Perayu dan seorang lagi yang masih bebas atas pertuduhan yang dihadapkan, hakim bicara telah memerintahkan Perayu-Perayu untuk membela diri atas pertuduhan yang dikemukakan terhadap mereka.

Kes Pembelaan

[65] Perayu-Perayu telah memilih untuk memberi keterangan membela diri mereka secara bersumpah. Keterangan mereka terdapat dalam penghakiman hakim bicara bermula di muka surat 110 hingga 115, Rekod Rayuan, Jilid 1. Keterangan pembelaan Perayu Pertama adalah seperti berikut:

(a) Perayu Pertama mengakui dia dipanggil oleh rakan-rakannya sebagai “Boy”. Dia seorang ahli Pertubuhan Nur Kasih dan menjalankan kerja-kerja sukarelawan Nur Kasih di seluruh Negeri Sabah sejak awal tahun 2012. Perayu Pertama menyatakan Tertuduh Keenam juga merupakan ahli Pertubuhan Nur Kasih di Sabah. Perayu Pertama mengakui mengenali Tertuduh Ketiga (Tuhan Haron) semasa berada dalam suatu majlis ilmu di Negeri Melaka pada tahun 2009. Pada 1.11.2013, dia balik ke Nilai dari Sabah;

(b) Pada 8.11.2013, semasa dia sedang bercuti di rumahnya di Nilai, beliau telah dihubungi oleh Tertuduh Keenam mengajak dia pergi ke tapak Ekspo Pertanian di Kuantan untuk menjalankan kerja-kerja amal Nur Kasih. Dia pergi ke Kuantan bersama Tertuduh Keenam dan Tertuduh Keempat. Di tapak ekspo dia telah berjumpa SP15 dan Faiz (SP13). Pada sebelah malam dia tinggal di Hotel Green Last Kuantan bersama Tertuduh Keenam, Tertuduh Keempat, SP15 dan SP13. Di dalam bilik hotel pada malam itu hanya berbual biasa dan cerita mengenai kerja-kerja amal;

(c) Menurut Perayu Pertama seterusnya bahawa pada 9.11.2013 jam lebih kurang 7.00 pagi, beliau bersama Tertuduh Keempat dan Tertuduh Keenam pergi ke tapak ekspo untuk buat kerja-kerja amal. Sementara SP13 dan SP15 masih tidur di hotel. Kira-kira jam 6.00 petang selesai buat kerja amal, dia bersama Tertuduh Keempat dan Tertuduh Keenam balik ke hotel. Di bilik hotel, dia melihat Perayu Kedua bersama Mansor telah ada di dalam bilik. Dia dimaklumkan bahawa SP15 yang membawa Perayu Kedua dan Mansor ke bilik itu untuk menjalankan kerja-kerja amal menggantikan dia, Tertuduh Keempat dan Tertuduh Keenam yang hendak pulang ke Kuala Lumpur pada esok harinya. Di dalam bilik pada sebelah malam itu, turut bersama beliau selain Tertuduh Keempat, Tertuduh Keenam, Perayu Kedua dan Mansor adalah SP15 dan SP13. Pada malam itu hanya berbual perkara biasa. SP15 dan SP13 kemudian menyewa di bilik lain;

(d) Pada esok harinya 10.11.2013 kira-kira jam 7.00 pagi, dia bersama-sama Tertuduh Keempat dan Tertuduh Keenam telah berlepas balik ke Kuala Lumpur. Sampai di Kuala Lumpur, Tertuduh Keempat telah menurunkan dia dan Tertuduh Keenam di Kuala Lumpur Sentral. Dia kemudian telah memanggil teksi balik ke rumahnya di Nilai, Negeri Sembilan. Sementara itu Tertuduh Keenam balik ke rumahnya. Dia kemudiannya pada Februari 2014 telah ditangkap semasa berada di Papar, Sabah; dan

(e) Perayu Pertama telah memasukkan satu notis alibi (eksibit D171) dengan menyatakan bahawa pada 10.11.2013 jam lebih kurang 8.30 pagi dia telah keluar dari Hotel Green Last Kuantan bersama Tertuduh Keempat dan juga Tertuduh Keenam dan berada di Kuala Lumpur Sentral; dan pada jam 2.30 petang dia berada di rumah bersama isterinya, Nurul Hanyza binti Abdul Dzalim (SD10).

[66] Perayu Kedua dalam keterangan ringkasnya menyatakan seperti berikut:

(a) Menurut Perayu Kedua, beliau dipanggil sebagai ‘Mus’. Dia merupakan sukarelawan Nur Kasih. Pada 9.11.2013, kira-kira jam 2.00 petang, Mansor telah datang ke rumah beliau dan menjemput beliau pergi ke Kuantan. Mansor memandu kereta Proton Wira CAX 3180. Dia dan Mansor kemudian berjumpa dengan Basha (SP15) di sebuah hotel di Kuantan. SP15 telah memberi kunci bilik. Dia dan Mansor telah masuk ke bilik tersebut sementara SP15 mempunyai urusan lain di luar. Kira-kira jam 9.00 malam Eddie (Tertuduh Keempat) dan Perayu Pertama datang ke bilik. Pada jam 10.00 malam pula, SP15 dan Faiz (SP13) datang ke bilik. SP15 dan SP13 kemudian, menempah dan tinggal di bilik lain;

(b) Pada 10.11.2013, Perayu Kedua bangun dari tidur untuk menunaikan sembahyang subuh. Ketika itu Perayu Kedua nampak Mansor, Tertuduh Keempat, Perayu Pertama dan Tertuduh Keenam masih ada di dalam bilik. Selepas sembahyang subuh, Perayu Kedua tidur semula. Kira-kira jam 9.00 pagi SP13 dan SP15 datang mengetuk pintu bilik. Ketika ini Perayu Kedua melihat Tertuduh Keempat, Perayu Pertama dan Tertuduh Keenam tiada lagi di dalam bilik dan dimaklumkan mereka balik ke Kuala Lumpur. SP15 mengajak beliau keluar pergi ke tapak ekspo. Perayu Kedua dan SP15 telah keluar ke tapak ekspo bersama SP13 menaiki kereta yang dipandu oleh SP13, Proton Perdana JFN 2626. Selesai ke tapak ekspo, SP15 telah mengarahkan SP13 pergi ke rumah rakannya di sebuah taman perumahan. SP13 telah memberhentikan keretanya di sebelah simpang taman perumahan itu. Semasa di dalam kereta, datang seseorang mengetuk cermin pintu kereta sebelah pemandu. Kemudian SP13 dan SP15 keluar daripada kereta dan bersembang dengan orang yang mengetuk cermin pintu kereta itu. Selepas itu kedua-dua SP13 dan SP15 masuk semula ke dalam kereta. SP15 membuat panggilan dan mengarahkan SP13 memandu ke kawasan Tunas Manja untuk mengambil Mansor. Selepas menunggu di Tunas Manja, Mansor sampai dengan memandu kereta Wira Aeroback CAX 3180.

(c) Menurut Perayu Kedua seterusnya, selepas mereka makan, SP13 balik ke hotel kerana beliau ingin mengambil barang. Sementara itu dia, SP15 dan Mansor menaiki kereta CAX 3180 dengan dipandu oleh beliau untuk pergi ke tapak ekspo. Apabila sampai di satu taman perumahan, SP15 mengarahkan beliau memberhentikan kereta. Apabila beliau memberhentikan kereta, SP15 dan Mansor telah keluar daripada kereta. Dia tidak tahu mereka pergi ke mana. Kira-kira 4 minit kemudian, dia mendengar bunyi letupan. Tidak lama selepas itu, SP15 dan Mansor datang dan masuk semula ke dalam kereta. SP15 duduk di bahagian penumpang belakang dan Mansor duduk di bahagian penumpang depan. SP15 mengarahkan beliau “jalan cepat”. Pada masa ini, dia menoleh ke bahagian belakang dan nampak SP15 memegang sepucuk pistol. Melihat ini, dia telah menegur SP15 “Hi, kenapa ni Basha”. SP15 membalas “kau ni kenapa, kau ni banyak tanya la. Aku kata jalan, jalanlah”. Dia kemudian terus memandu. Dalam perjalanan, SP15 telah mengugut beliau dengan mengatakan “Kamu orang apa yang jadi hari ini, aku mahu kau diam saja. Kalau tidak kau dan keluarga-keluarga kau aku habiskan”. Apabila sampai di suatu simpang di luar kawasan perumahan itu, Perayu Kedua nampak kereta Perdana SP13. SP15 mengarahkan dia berhenti. Dia dan Mansor diarahkan oleh SP15 supaya berpindah masuk ke kereta SP13 JFN 2626. Sebelum itu SP15 mengingatkan beliau “Mus ingat Mus... bocor mati”. Kemudian SP15 terus memandu kereta Wira Aeroback CAX 3180 itu dan berlalu dari situ.

(d) SP13 memandu kereta ke arah lebuhraya menuju ke Kuala Lumpur. SP13 memberitahu bahawa beliau akan hantar Perayu Kedua ke Seremban 2 dan di situ Moll akan menjemputnya. Sampai di Seremban kira-kira 7.30 petang, SP13 telah menurunkan beliau dan Mansor di Jaya Jusco Seremban 2. Di situ Moll menjemput mereka berdua dan membawa mereka ke sebuah rumah di Bandar Enstek yang mana Arab (SP14) dan isterinya Marina tinggal. Dia dan Mansor bermalam di situ dan keesokan harinya dia balik ke rumahnya di Bandar Baru Salak Tinggi. Pada 27.11.2013, dia telah ditangkap semasa berada di surau Telok Panglima Garang, Selangor.

Keputusan hakim bicara di akhir kes

[67] Setelah menimbang keseluruhan keterangan, hakim bicara telah menolak pembelaan Perayu Pertama dan Perayu Kedua. Hakim bicara mendapati pembelaan Perayu Pertama dan Perayu Kedua merupakan satu rekaan terbaru, satu penafian dan satu pemikiran terkemudian. Pembelaan sedemikian rupa telah gagal untuk menimbulkan sebarang keraguan terhadap kes pihak pendakwaan. Sebaliknya, hakim bicara berpuas hati bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan pertuduhan terhadap Perayu Pertama dan Perayu Kedua melampaui sebarang keraguan yang munasabah.

[68] Dalam menolak pembelaan Perayu Pertama, hakim bicara memberikan alasan-alasan seperti berikut dalam penghakiman beliau di muka surat 120-123 Rekod Rayuan Jilid 1:

"[159] T5 dalam keterangan di Mahkamah menyatakan pada 8.11.2013 beliau berada di Kuantan bersama Jefferi (T6) dan Eddie (T4). Pada malamnya telah menginap di hotel Green Last Kuantan. Pada 9.11.2013 di sebelah pagi telah pergi ke tapak ekspo bersama T4 dan T6 serta balik semula ke hotel yang sama di sebelah petang dan bermalam di situ. Pada esok harinya, 10.11.2013 kira-kira jam 7.00 pagi telah berlepas balik ke Kuala Lumpur bersama T4 dan T6 dan telah sampai di Kuala Lumpur Sentral jam 1.30 petang. Dari Kuala Lumpur Sentral T5 telah mengambil teksi balik ke rumah yang mana ketika itu isteri (SD10) dan anak-anaknya ada di rumah. Bagi menyokong keterangan alibi T5, beliau telah memanggil SD10 iaitu isteri beliau Nurul Hanyza binti Abdul Dzalim memberi keterangan.

[160] Setelah Mahkamah ini menilai keterangan SD10, didapati keterangan beliau harus diterima secara berhati-hati, memandangkan hubungan beliau sebagai isteri dengan T5. Mahkamah dapati saksi SD10 ini tidak dapat menjelaskan kenapa tarikh 10.11.2013 itu penting yang sentiasa diingatannya. Mahkamah ini amat mencurigai akan kebenaran keterangan SD10 sehinggakan beliau boleh mengingati akan jenis masakan yang disediakan oleh T5 pada tempoh masa berkenaan.

[161] Perkara mengenai ketidakhadiran T5 sepanjang pagi 10.11.2013 di tempat kejadian ini tidak pernah dibangkitkan semasa saksi pihak pendakwaan SP15 memberi keterangan yang mana SP15 menyatakan kehadiran T5 di tempat kejadian pada masa-masa tersebut. Keterangan SP15 semasa menerangkan tugas-tugas pemerhatian yang dibuat oleh beliau bersama SP13 dan T1 pada 10.11.2013 yang menyatakan mereka telah keluar dari hotel di Kuantan itu dan sampai di simpang rumah si mati pada jam 9.30 pagi dengan menaiki kereta JFN 2626. Kira-kira jam 10.00 pagi cermin kereta mereka diketuk oleh penduduk taman dan selepas itu mereka beredar dari situ. Semasa keluar daripada kawasan rumah si mati itu di kawasan lampu isyarat, kereta yang dinaiki oleh SP15 JFN 2626 telah terserempak dengan kereta CAX 3180. SP15 menyatakan kereta itu dipandu oleh T5 dan di sebelahnya Mansor. Semasa kedua-dua kereta berhenti dan SP15 telah mengarahkan T1 berpindah ke kereta CAX 3180. Kemudian itu SP15 bersama SP13 telah menunggu kereta CAX 3180 yang pada masa itu dipandu oleh T5 sampai. Seterusnya T1 dan Mansor telah perbindah ke kereta mereka JFN 2626. Dengan ini Mahkamah tidak mempecayai cerita T5 bahawa beliau tidak ada di tempat kejadian pada 10.11.2013 itu.

[162] Penceritaan T5 mengenai beliau bersama T4 dan T6 ke tapak ekspo bagi menjalankan kerja-kerja amal mengedar flyers Nur Kasih, menyatakan bahawa beliau bersama T4 dan T6 membuat kerja-kerja amal dari 9.00 pagi hingga 8 lebih petang pada 9.11.2013 itu. Walau bagaimanapun, dalam penceritaan T6, beliau tidak ada menceritakan kerja-kerja amal dibuat di tapak ekspo pada 9.11.2013 dan sebaliknya T6 menyatakan 9.11.2013 adalah hari perasmian ekspo oleh Perdana Menteri. Beliau tidak pergi ke tapak ekspo hari perasmian itu. Semasa disoal balas oleh TPR mengenai hari perasmian itu, T6 bersetuju bahawa beliau tidak pergi ke tapak ekspo pada hari tersebut.

S : Kamu kata 9.11.2013 tarikh perasmian ekspo dan kamu tidak pergi. Bagaimana kamu tahu ekspo itu dirasmikan oleh PM?

J : Saya tahu sebab saya lihat di tempat ekspo ada poster besar tulis Ekspo yang tertulis dirasmikan oleh PM.

S : Awak tidak pergi ke tapak ekspo, setuju?

J : Setuju.

Begitu juga T4 juga tidak mencerita aktiviti kerja-kerja amal di tapak ekspo bersama T5 dan T6.

[163] Dari ketiadaan keterangan T4 dan P6 mengenai kerja-kerja amal yang dibuat di tapak ekspo pada 9.11.2013 itu meninggalkan persoalan sama ada benar atau tidak T5 dalam penceritaannya berada di tapak ekspo pada hari tersebut. Mahkamah ini mendapati dalam keterangan T4 dan T6 itu menunjukkan apa yang diceritakan oleh SP15 dan SP13 bahawa pada 9.11.2013 mereka bersama T5 menjalankan kerja memantau atau meninjau pergerakan si mati di kawasan rumah si mati adalah dipercayai. Dengan itu Mahkamah ini amat meragui akan keseluruhan keterangan T5. Penceritaan beliau itu bukan saja sebagai satu penafian kosong bahkan merupakan satu yang hanya ditimbulkan kemudian.”.

[69] Dapatan dan keputusan hakim bicara menolak pembelaan Perayu Kedua kami perturunkan penghakiman hakim bicara di muka surat 124-­126 Rekod Rayuan Jilid 1, seperti berikut:

“[164] Sementara pembelaan T1 pula mengakui pada 10.11.2013 ada pergi ke sebuah taman perumahan bersama Mansor atas arahan SP15 dengan T1 sendiri memandu kereta Wira Aeroback CAX 3180. Sampai di taman perumahan SP15 telah mengarahkan T1 memberhentikan kereta. Mansor serta SP15 telah keluar daripada kereta. Tidak lama selepas itu T1 mendengar bunyi letupan. Seterusnya diikut Mansor dan SP15 masuk semula ke dalam kereta. Di dalam kereta, T1 juga telah melihat sepucuk pistol yang dipegang oleh SP15. T1 seterusnya telah diarahkan oleh SP15 untuk terus berlalu dari situ dan T1 juga diugut oleh SP15 akan membinasakan T1 dan keluarganya sekiranya T1 menghebohkan kejadian pada hari itu. Dari situ mereka berlepas ke Kuala Lumpur dan akhirnya T1 balik ke rumahnya di Bandar Enstek.

[165] Jalur pembelaan T1 didapati begitu lemah dan sukar dipercayai dibandingkan dengan keterangan yang telah diberi oleh saksi-saksi pendakwaan SP15, SP13, SP10 dan SP11. Semasa saksi-saksi pendakwaan ini memberi keterangan tidak dibangkitkan akan perkara beliau (T1) tidak pernah keluar daripada kereta semasa kejadian beliau yang memandu kereta, tentang ugutan yang diterima dari SP15, tentang penggunaan senjata api oleh SP15 dan tentang pembatalan hasrat untuk pergi ke tapak ekspo.

[166] SP15 semasa memberi keterangan sebaliknya telah disoal balas mengenai tujuan pergi ke rumah si mati untuk mendapatkan surat kebenaran buat kutipan derma. Perkara ini tidak berbangkit langsung dalam pembelaan T1 mahupun T5. Jalur pembelaan T1 seolah-olah beliau tidak menjangkakan dan tidak tahu akan pergi ke rumah si mati dan hanya mengikut arahan SP15. Jelasnya apa yang dibangkitkan oleh T1 adalah merupakan penafian kosong dan perkara yang difikirkan kemudiannya.

[167] Begitu juga dengan keterangan saksi pendakwaan SP13 yang menceritakan bagaimana beliau dan SP15 serta T1 membuat tugas-tugas pemerhatian di rumah si mati dan bagaimana T1 bertukar menaiki kereta CAX 3180 di kawasan lampu isyarat di kawasan perumahan si mati dan mengenai T1 dan Mansor kemudian bertukar kereta semula menaiki kereta JFN 2626 dan bergerak terus ke Kuala Lumpur. Perkara yang diceritakan oleh SP13 ini tidak dicabar. Begitu juga SP13 ini tidak ditanya langsung mengenai apa yang dibangkitnya dalam pembelaan T1 itu. Keterangan SP11 yang mengecam T1 sebagai orang yang menembak si mati tiada sedikitpun tercabar. Keterangan SP10 yang mengecam T1 yang keluar daripada kereta sebaik saja itu mendengar bunyi tembak telah juga tidak dicabar secara jelas. Mahkamah mendapati pengecaman yang dekat oleh SP11 adalah begitu sempurna dengan mengambil kira cuaca, jarak kesempatan saksi melihat T1 dan disokong dengan keterangan beliau mengecam T1 dalam kawad cam.

[168] Dari keterangan saksi pendakwaan ini dan dari penceritaan T1, Mahkamah ini mendapati penceritaan T1 itu samata-mata penafian kosong dan satu yang difikirkan kemudian yang sukar untuk dipercayai. Dengan itu setelah meneliti secara hati-hati akan keterangan T1 dan T5 dan saksi mereka, Mahkamah ini mendapati T1 dan T5 tidak berjaya dalam pembelaan menimbulkan sebarang keraguan yang munasabah atas kes pihak pendakwaan bagi pertuduhan membunuh di bawah seksyen 302 KK yang dihadapi mereka. Sebaliknya pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kesnya melampaui keraguan yang munasabah. Dengan itu T1 dan T5 didapati salah dan disabitkan di bawah pertuduhan seksyen 302 Kanun Keseksaan. T1 dan T5 dengan ini dijatuhkan hukuman gantung di leher sampai mati.”.

[70] Atas alasan-alasan tersebut di atas, hakim bicara telah mendapati kedua-dua Perayu bersalah, disabitkan atas pertuduhan yang dihadapkan dan dijatuhi hukuman mati. Justeru itu, rayuan Perayu-Perayu ke Mahkamah ini.

Rayuan Perayu-Perayu

[71] Di hadapan kami, peguam bela terpelajar yang mewakili kedua-dua Perayu, Encik Iskandar Shah Ibrahim telah membangkitkan lima (5) alasan rayuan umum untuk kedua-dua Perayu dan satu alasan tambahan untuk Perayu Kedua. Alasan-alasan tersebut adalah seperti berikut:

(a) hakim bicara telah terkhilaf apabila berpuas hati dan menerima keterangan SP13, SP14 dan SP15 yang merupakan rakan sejenayah dan mempunyai kepentingan sendiri sedangkan keterangan saksi-saksi tersebut amat mencurigakan, saling bercanggah dan bukan saksi-saksi yang berkredibel;

(b) hakim bicara telah terkhilaf apabila gagal untuk membuat pertimbangan dengan secukupnya pembelaan Perayu-Perayu sebelum menolak pembelaan Perayu-Perayu;

(c) hakim bicara telah terkhilaf apabila menolak pembelaan alibi oleh Perayu Pertama;

(d) pembelaan Perayu Pertama bukanlah satu pembelaan pemikiran terkemudian (afterthought) sebagaimana dapatan oleh hakim bicara;

(e) hakim bicara telah terkhilaf apabila memutuskan niat bersama di kalangan Perayu Pertama dan Perayu Kedua telah berjaya dibuktikan; dan

(f) hakim bicara telah terkhilaf apabila menerima keterangan SP9, SP10 dan SP11 mengenai pengecaman terhadap Perayu Kedua yang telah dikatakan telah melepaskan 3 das tembakan ke arah si mati.

Dapatan dan keputusan kami

[72] Mengenai alasan rayuan di perenggan (a), bantahan peguam bela terpelajar terhadap keterangan SP13, SP14 dan SP15 ialah bahawa saksi-saksi tersebut rakan sejenayah dan saksi berkepentingan. Oleh itu, dihujahkan saksi-saksi itu tidak berkredibel malahan keterangan mereka saling bercanggah antara satu dengan lain. Tidak dinafikan bahawa tiga saksi itu merupakan rakan sejenayah. Ini diakui sendiri oleh hakim bicara dalam penghakiman beliau. Undang-undang mantap menyatakan bahawa seorang rakan sejenayah bukanlah saksi yang sememangnya tidak boleh dipercayai dan sabitan atas keterangan saksi rakan sejenayah adalah selamat sekiranya hakim bicara telah mengingatkan dirinya akan bahayanya sabitan berdasarkan atas keterangan saksi rakan sejenayah. Tiga saksi tersebut merupakan saksi-saksi yang telah diberikan perlindungan di bawah Akta Perlindungan Saksi 2009. Hakim bicara dalam kes ini amat prihatin terhadap kedudukan saksi-saksi tersebut seperti dicerminkan dalam penghakimannya yang panjang lebar yang kami petik seperti berikut:

"[89] Tidak dinafikan SP13 dan SP15 adalah merupakan saksi penting di dalam kes ini. SP13 dan SP15 adalah merupakan saksi yang bersama-sama membuat pemerhatian ke atas si mati dan merupakan saksi yang bersama-sama T1 dan T5 sebaik saja sebelum dan selepas kejadian. Walaupun dari keterangan, kedua-dua saksi ini merupakan saksi rakan sejenayahnya (accomplice), namun begitu tidak semestinya keterangan mereka tidak boleh diterima. Penilaian yang teliti dan berhati-hati dibuat oleh Mahkamah ini terhadap keterangan mereka berdua agar sifat keterangan mereka tidak memprejudiskan Tertuduh. Meneliti keterangan SP13 dan SP15 sesuatu yang tidak dapat dinafikan, mereka memang memainkan peranan di dalam kejadian ini dari sebelum kejadian sehingga selepas kejadian.

[90] Di dalam kes Mahadzir bin Yusuf & Anor v. PP [2010] 1 LNS 1258 diputuskan, untuk dikatakan sebagai seorang accomplice”, there is participation in some manner in the act constituting the offence by the person sought to be prosecuted”. Melalui fakta yang dibutirkan di atas, tampak jelas akan peranan yang dimainkan oleh SP13 dan SP15 dalam perlaksanaan kejadian pembunuhan itu. Di dalam kes PP v. Mohd Azam bin Basiron & Anor [2010] 9 CLJ 1, Mahkamah Rayuan menyatakan:

If we may add, even before reaching the stage of considering the question of corroboration and its adequacy, a presiding judge in the first place needs to decide whether that accomplice is a reliable witness or not. If he is not, the matter ends there, as his evidence has to be rejected, even if the prosecution can adduce evidence capable of being construed as corroboration (Director of Public Prosecutions v. Killbourne [1973] 1 All ER 440). In a given set of facts, an accused person may be convincted premised on an accomplice’s uncorroborated testimony pursuant to s. 133 of the Evidence Act 1950, as corroboration is not required as a rule of law. The requirement of corroboration is required only as a rule of practice and prudence (Tinit & Ors v. Public Prosecutor [1964] 1 LNS 210; Bhuboni Sahu v. King [1949] AIR 257). In a given situation too where there exists (sic) no corroboration, a corroborative warning is required to be administered by the court to itself though the format is not fixed (Jegathesan v. Public Prosecutor [1978] 1 LNS 74). It is only in rare instances a trial judge will convict an accused person upon the uncorroborated evidence of an accomplice (TN Nathan v. Public Prosecutor [1977] 1 LNS 127). If corroboration is needed implying that the accomplice has passed the hurdle of reliability, such corroboration must be independent and relates to material particulars pertaining to the accused person’s culpability (R v. Baskerville [1916] 2 KB 658). (Lihat kes Nathan v. PP [1872] 2 MLJ 101 dan Public Prosecutor v. Haji Ismail & Anor [1940] MLJ 76).”

[91] Di atas otoriti-otoriti tersebut, tidak menyekat penerimaan sesuatu keterangan yang datangnya dari seorang rakan sejenayah. Melalui keterangan tersebut, tidak dinafikan SP13 dan SP15 adalah seorang rakan sejenayah. Namun peranan beliau sebagai rakan sejenayah hanyalah terhadap kepada kejadian memantau di rumah si mati dan membawa T1 serta Mansor balik ke KL dan SP15 juga hanya mendapatkan pistol dan diberi kepada T4. Mereka tidak secara langsung melibatkan diri dalam kejadian menembak si mati.

[92] Meneliti kepada episod kejadian dari mula hingga akhir, sepertimana keterangan yang disampaikan oleh SP13 dan SP15, Mahkamah memutuskan untuk menerima serta mempercayai akan keterangan yang disampaikan oleh SP13 dan SP15. Mahkamah mendapati SP13 dan SP15 adalah saksi-saksi yang jujur. Mereka telah menjelaskan segala kejadian tanpa menyembunyikan akan peranan beliau sendiri. Mereka telus di dalam penjelasannya apabila disoal, tidak cuba mereka-reka cerita atau cuba menyembunyikan fakta. Mereka konsisten di dalam keterangannya, walaupun diasak dengan soalan yang begitu panjang lebar dari peguam bela. Mereka adalah saksi-saksi yang credible dan keterangan mereka boleh dipercayai. Keterangan mereka juga turut disokong dengan hal keadaan dan keterangan saksi-saksi pendakwaan yang lain. Ini jelas menunjukkan yang keterangan mereka itu adalah suatu keterangan yang benar. Malahan seandainya pun tiada terdapat lain-lain keterangan sokongan ditampilkan bagi menyokong keterangan mereka, keterangan dari mereka itu dengan sendirinya telah berjaya meyakinkan Mahkamah akan episod serta insiden yang terjadi. (Lihat kes Alggandran v. PP [2010] 4 CLJ 410).

[93] Selain itu, keterangan SP12 turut menyokong keterangan SP15 dan SP13. SP12 mengesahkan telah meminjamkan pistol Smith & Wesson yang dalam miliknya [P16A(1)(a)(xiii)] kepada SP15 pada 8.11.2013 dan dikembalikan semula oleh SP15 kepada SP12 pada 11.11.2013 jam lebih kurang 9.00 malam. Keterangan SP15 dan disahkan oleh SP12 bahawa pada masa penerima pistol tersebut ia beserta dengan 6 butir peluru hidup. Apabila dikembalikan, menurut SP12 pelurunya telah berkurang 3 butir. Pistol P6A(1)(a)(xiii) telah dirampas dan saksi pendakwaan SP24 telah menjalankan ujian balistik dan “serviceability” pistol tersebut, mendapati bahawa pistol tersebut mempunyai komponen senjata api sebenar yang lengkap dan sempurna dan boleh digunakan untuk melancarkan peluru hidup yang mempunyai kaliber 9 mm x 19. Seterusnya keterangan ASP Nik Norhisyam bin Nik Ismail (SP24) yang merupakan Juruanalisis Siasatan Balistik mengatakan bahawa beliau telah menerima barang kes 3 kelongsong peluru 9 mm bertanda ZM1, ZM2 dan ZM3 berserta 3 anak peluru bertanda ZM4, ZM5 dan AM6 yang merupakan barang kes yang dikutip oleh ASP Bahrin bin Talib (SP18) di tempat kejadian. Daripada analisa dan perbandingan yang dibuat di antara kelongsong-kelongsong dan perbandingan anak-anak peluru mendapati ia mempunyai ciri-ciri karektoristik yang sama yang dilepaskan dari tembakan satu senjata api. Sementera keterangan Ahli Kimia Khairul Anwar bin Norhan (SP32) yang menganalisa 3 kelongsong peluru dan 3 anak peluru yang dijumpai di tempat kejadian dibandingkan dengan 4 butir peluru yang masih terdapat di magazine (kelopak pistol) pistol P6A(1)(a)(xiii) yang dirampas daripada SP12 dan dengan menggunakan tembakan pistol tersebut mendapati bahawa ketiga-tiga kelongsong peluru dan anak peluru yang dijumpai di tempat kejadian mempunyai tanda karektoristik yang sepadan dengan 4 kelongsong dan 4 anak peluru yang dijumpai dalam kelopak pistol P6A(1)(a)(xiii) yang dirampas daripada SP12. Keterangan ini menyokong keterangan SP15 yang mengatakan beliau dalam perjumpaan di sebuah hotel di Kuantan pada 8.11.2013 telah menyerahkan sebuah pistol disimpan dalam sebuah beg kecil hitam yang diambil daripada SP12 kepada T4. Keterangan ini turut menyokong keterangan SP15 yang mengatakan T1 membawa beg kecil yang mengandungi pistol ketika bertukar kereta masuk ke kereta CAX 3180 yang dipandu oleh T5 sebaik saja sebelum kejadian. Selain itu, keterangan ini menyokong keterangan SP13 yang mengatakan bahawa pada malam perjumpaan di sebuah hotel di Kuantan pada 8.11.2013 itu melihat sebuah pistol dan dimasukkan semula dalam beg kecil (pouch bag). Dengan keterangan SP13 dan SP15 yang konsisten antara satu sama lain yang juga disokong dengan keterangan-keterangan lain mengenai pistol tersebut. Mahkamah ini mendapati bahawa T1 telah menembak si mati dengan menggunakan pistol P6A(1)(a)(xiii).

[94] Perampasan kenderaan JFN 2626 (P17) dan CAX 3180 (P9) hasil daripada maklumat dan pandu arah oleh SP13 bukan saja menyokong keterangan SP13 dan SP15 mengenai penggunaan kedua-dua kereta tersebut sebelum, semasa dan selepas kejadian bahkan menyokong keterangan SP7, SP8 dan SP9 bahawa kedua-dua kereta yang dicamkan oleh mereka merupakan kenderaan yang berada di tempat kejadian.

[95] Diambil keseluruhan keterangan yang dikatakan tadi walaupun SP13 dan SP15 merupakan seorang rakan sejenayah, namun keterangan mereka konsisten dan disokong dengan keterangan lain mengenai kejadian bunuh ini. Seperti yang dikatakan sebelum daripada ini Mahkamah menerima keterangan mereka sebagai saksi yang kredibel.”

[73] Jelas dari penghakiman hakim bicara itu bahawa hakim bicara sedar dan prihatin terhadap keterangan saksi-saksi tersebut. Hakim bicara telah menerima keterangan saksi-saksi tersebut sebagai saksi yang jujur dan berkredibel. Malahan keterangan saksi-saksi tersebut turut disokong oleh keterangan dari lain-lain saksi terutama saksi SP12, SP7, SP8, SP9, SP18, SP24 dan SP32. Kami mendapati hakim bicara telah membuat dapatan dan keputusan dengan betul dan tidak terkhilaf apabila menerima keterangan saksi-saksi SP13, SP14 dan SP15 dalam kes ini.

[74] Mengenai alasan rayuan di perenggan (b), peguam bela terpelajar menghujahkan hakim bicara telah gagal untuk menghargai pembelaan Perayu-Perayu. Kami telah berpeluang meneliti Rekod Rayuan terutamanya penghakiman hakim bicara, kami tidak bersetuju dengan penghujahan peguam bela terpelajar atas isu ini. Kami mendapati hakim bicara telah membuat pertimbangan yang sewajar dan secukupnya aspek-aspek pembelaan Perayu-Perayu sebelum menolak pembelaan Perayu-Perayu sebagai satu rekaan terbaru, satu penafian semata-mata serta satu pemikiran terkemudian. Kami mendapati aspek-aspek kekuatan kes pendakwaan telah gagal dicabar dan aspek-aspek kes pembelaan telah gagal dicadangkan (put) kepada saksi-saksi pendakwaan. Aspek-aspek tersebut antara lain merangkumi perkara-perkara berikut:

(a) Keterangan SP12 yang telah menyediakan sepucuk pistol berserta 6 butir peluru dan telah dipulangkan kembali pistol yang sama bersama 3 butir peluru, 3 butir peluru lagi gagal dikembalikan tidak dicabar;

(b) Perayu Kedua dan Mansor telah membuang pakaian mereka ke bawah jambatan dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur selepas insiden tembakan tidak dicabar;

(c) Keterangan SP7, SP8 dan SP9, jiran-jiran si mati yang melihat keberadaan Perayu Pertama yang memandu kereta dan Perayu Kedua sebagai penumpang dan mengecamkan Perayu-Perayu juga tidak dicabar;

(d) Pernyataan SP13 dan SP15 bahawa Perayu Pertama yang memandu kereta dan Perayu Kedua duduk di bahagian penumpang belakang kereta juga tidak dicabar dan tidak dicadangkan Perayu Pertama bukan orang yang memandu kereta;

(e) Keterangan SP13 bahawa mereka bertukar dari kereta Perdana kepada kereta Proton Iswara Aeroback CAX 3180 yang telah digunakan untuk Perayu-Perayu untuk pergi menembak si mati juga tidak dicabar;

(f) Keterangan penting SP15 menyatakan telah memberi pistol dan 6 butir peluru yang SP15 terima daripada SP12 dan SP15 kemudiannya berikan kepada Perayu Kedua juga tidak dicabar; dan

(g) Keterangan bahawa Perayu Pertama pergi bersama mengecam kedudukan rumah si mati di Kuantan juga tidak dicabar.

[75] Mengenai alasan rayuan Perayu Pertama di perenggan (c), peguam bela terpelajar berhujah bahawa hakim bicara telah khilaf apabila menolak pembelaan alibi Perayu Pertama. Untuk pembelaan alibi dapat diterima atau ditegakkan, pada pandangan kami ketidakberadaan Perayu Pertama atau keberadaan Perayu Pertama di tempat kejadian dengan memandu kereta Proton Iswara Aeroback CAX 3180 hendaklah dicadangkan (put) kepada saksi-saksi pendakwaan terutamanya kepada SP13 dan SP15, atau sekurang-kurangnya kepada pegawai penyiasat, SP51. Kami mendapati Perayu Pertama telah gagal untuk berbuat demikian dalam kes ini. Kami juga mendapati bahawa semua keterangan yang material terhadap Perayu Pertama langsung tidak dicabar. Prinsip undang-undang mantap menyatakan sekiranya keterangan material saksi-saksi pendakwaan tidak dicabar, ini bermakna keterangan tersebut dianggap diakui benar oleh Perayu Pertama.

[76] Kami mendapati hakim bicara telah menolak pembelaan alibi Perayu Pertama atas alasan keterangan SP13 dan SP15 yang mengatakan Perayu Pertama berada di tempat kejadian dengan memandu kereta CAX 3180 tidak dicabar. Malahan keterangan SP13 dan SP15 turut disokong oleh keterangan yang diberikan oleh Tertuduh Keempat dan Tertuduh Keenam dalam pembelaan mereka. Perayu Pertama telah dicamkan dan dikenal pasti berada di tempat kejadian pada hari dan masa si mati ditembak oleh Perayu Kedua. Oleh itu, pembelaan alibi dengan sendirinya gagal. Kami bergantung kepada keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Duis Akim & Ors v PP [2014] 1 MLJ 49 telah diputuskan seperti berikut:

“[81] As indicated above only the first and second appellants relied on alibi as their defence.

[82] However, alibi could not prevail over the positive identification of an accused person especially so in the face of categorical statements coming from credible witnesses who had no ill motives in testifying.

[83] Thus, in Mutachi Stephen v Uganda [2003] UGCA 9 the accused said that on the night the offence took place he was already asleep with his wife. However, there was a witness who had positively identified him. As such his alibi collapsed. He has been squarely put at the scene of crime.

[84] Similarly in the present case it was the finding of the learned trial judge, which we agree, that the appellants had been positively identified by PW1. As such, the alibi defence of the first and second appellants collapsed. And since the third appellant did not rely on alibi it was therefore not relevant to him. Yet the learned trial judge appeared to have also allowed the defence of alibi for the third appellant.

[85] Interestingly, we note that all the appellants claimed to be together that night yet the third appellant did not find it necessary to plead alibi as his defence. And it should also be noted that a senior counsel represented him right from the beginning of the case. Basically his defence was one of bare denial. But upon being positively identified his denial collapsed as well.".

[77] Mengenai alasan rayuan bahawa pembelaan Perayu-Perayu bukan satu pemikiran terkemudian, peguam bela terpelajar berhujah bahawa versi pembelaan Perayu-Perayu telah disokong oleh keterangan daripada saksi-saksi SD6, SD7, SD8, SD9 dan SD10. Oleh itu, bersandarkan kepada keputusan dalam kes Sabarudin Non v PP & Other Appeals [2005] 1 CLJ 466, dihujahkan bahawa Perayu-Perayu telah berjaya menimbulkan satu keraguan yang munasabah terhadap kes pihak pendakwaan.

[78] Dengan hormatnya, kami tidak bersetuju. Teras pembelaan Perayu-Perayu adalah mereka tidak terlibat langsung dalam pembunuhan si mati. Perayu Pertama menyatakan dia tidak berada di tempat kejadian, sebaliknya dia berada di Kuala Lumpur. Perayu Pertama juga menafikan dia yang memandu kereta CAX 3180. Ini semua satu penafian kosong oleh kerana versi Perayu Pertama gagal dicabar atau dicadangkan kepada saksi-saksi pendakwaan. Begitu juga, versi Perayu Kedua hanya satu penafian kosong dan satu pemikiran terkemudian apabila keterangan material saksi-saksi pendakwaan gagal dicabar. Kami mendapati hakim bicara dalam penghakimannya telah membuat pertimbangan dengan teliti pembelaan Perayu-Perayu sebelum menolak pembelaan Perayu-Perayu sebagai satu pemikiran terkemudian. Kami tidak mendapati sebarang kekhilafan atau salah arahan dari segi undang-undang mahupun dari segi fakta dalam membuat penilaian dan mencapai keputusan menolak pembelaan Perayu-Perayu untuk kami mengganggu dapatan dan keputusan hakim bicara itu.

[79] Sekarang kami beralih kepada isu mengenai niat bersama di kalangan Peayu-perayu. Peguam bela terpelajar menghujahkan niat bersama telah gagal dibuktikan oleh pihak pendakwaan atas alasan keterangan SP13 saling bercanggah dengan keterangan SP15. Dengan hormatnya kami tidak bersetuju. Dari rentetan peristiwa bermula dari arahan yang telah diberikan oleh “Tuhan Haron” (Tertuduh Ketiga) kepada Tertuduh Kedua dan seterusnya kepada Tertuduh Keempat sampailah kepada Perayu-Perayu menunjukkan pembunuhan terhadap si mati telah dirancang dengan begitu rapi. Bermula perancangan di Hotel Vistana di Kuala Lumpur dan seterusnya diikuti dengan perancangan yang dilakukan di Hotel Green Last, Kuantan di mana Perayu-Perayu turut hadir bersama. Ini tidak langsung dipertikaikan. Keterangan SP13 dan SP15 mengenai taklimat yang diberikan dan SP15 telah menyerahkan pistol kepada Perayu Kedua dan SP15 mengarahkan Perayu-Perayu menaiki kereta CAX 3180 untuk melaksanakan jenayah bunuh yang terancang dengan rapi tersebut, kami sependapat bahawa niat bersama telah wujud di kalangan Perayu-Perayu. Selain keterangan langsung daripada SP13 dan SP15, terdapat juga keterangan daripada perhubungan telefon antara Perayu-Perayu yang dikemukakan melalui “call logs” (P142).

[80] Hakim bicara dalam penghakimannya di muka surat 69 hingga 72 Rekod Rayuan Jilid 1 telah membuat dapatan berikut mengenai elemen niat bersama:

"[86] Kehadiran T5 dan seorang bernama Mansor bersama-sama semasa kejadian T1 menembak si mati merupakan keterangan langsung yang menunjukkan niat bersama T5 dan T1 membunuh si mati.

Walau bagaimanapun, dalam menilai keterangan niat bersama mereka Mahkamah ini juga melihat keterangan-keterangan ikut keadaan yang lain. Dalam kes Namasiyam & Ors v. PP [1987] 2 MLJ 336 dinyatakan:

Section 34 of the Penal Code states:

“When a criminal act is done by several persons, in furtherance of the common intention of all, each of such persons is liable for that act in the same manner as if the act were done by him alone”.

In law, common intention requires a prior meeting of the minds and presupposes some prior concert. Proof of holding the same intention or of sharing some other intention, is not enough. There must be proved either by direct or by circumstantial evidence that there was (a) a common intention to commit the very offence of which the accused pesons are sought to be convicted and (b) participation in the commission of the intended offence in furtherance of that common intention.

Where the prosecution case rests on circumstantial evidence, the circumstances which are proved must be such as necessarily lead only to that inference. Direct evidence of a prior plan to commit an offence is not necessary in every case because common intention may develop on the spot and without any long interval of time between it and the doing of the act commonly intended. In such a case, common intention may be inferred from the facts and circumstances of the case and the conduct of the accused. (The Supreme Court (of India) on Criminal Law 1950-1960 by J.K. Soonavala page 188 to 193).

[87] Dalam kes Krishna Rao Gurumurthi v. PP and Another Appeal [2009] 2 CLJ, YA Richard Malanjun CJ (Sabah-Sarawak) dalam keputusannya menyatakan:

“The existence of a common intention was a question of fact in each case to be proved mainly as a matter of inference from the circumstances of the case. Direct evidence as proof was difficult to procure because common intention was essentially a state of mind. Invariably inferences have to be relied upon arising from such acts or conduct of the accused, the manner in which the accused at the scene, the nature of injury caused by one or some of them or such other relevant circumstances available. The totality of the circumstances must be taken into consideration in arriving at a conclusion whether there was a common intention to commit the offence for which the accused could be convicted. The facts and circumstances of each case might vary. As such, each case should be decided based on the facts involved. Whether an act was in furtherance of the common intention was an incident of fact and not of law.".

[88] Di dalam kes ini niat bersama T5 dan seorang bernama Mansor dapat dilihat daripada bukan sahaja kehadiran beliau di tempat kejadian, bahkan boleh dilihat daripada apa yang dikatakan dan kelakuannya serta hal keadaan yang lain. Keterangan SP13 dan SP15 menyatakan pada malam perbincangan 9.11.2013 yang turut dihadiri oleh T1 dan T5 serta Mansor, yang mana T4 telah menugaskan T1 untuk membuat tembakan ke atas si mati. Ketika perbincangan, terdapat pistol dikeluarkan daripada sebuah beg. T1 bertukar ke kereta CAX 3180 yang dipandu oleh T5 dengan membawa beg yang sama yang diketahui oleh mereka mengandungi pistol. Keterangan inilah yang menunjukkan niat bersama T5 bersama T1 dan seorang yang masih bebas untuk membunuh si mati. Berdasarkan keterangan ini, menunjukkan dan adalah dapatan Mahkamah ini bahawa T1 bersama Mansor telah pergi ke rumah si mati menaiki kereta Wira Aeroback warna putih CAX 3180 yang dipandu oleh T5 dan T1 serta Mansor telah keluar daripada kereta mendapati si mati, lalu T1 menembak si mati.”.

[81] Kami mendapati tiada sebarang kekhilafan atau salah arahan yang memerlukan campur tangan Mahkamah ini dalam dapatan dan keputusan hakim bicara tersebut mengenai isu niat bersama. Hujahan peguam bela terpelajar mengenai isu ini adalah tersasar dan tidak dapat diterima.

[82] Kami beralih kepada alasan terakhir berkaitan dengan rayuan oleh Perayu Kedua mengenai isu pengecaman terhadap Perayu Kedua oleh saksi SP9, SP10 dan SP11. Bantahan peguam bela adalah seperti berikut:

(a) saksi SP11 iaitu anak kepada si mati berusia 15 tahun semasa kejadian dan berusia 17 tahun semasa memberi keterangan. Tiada siasatan awal oleh hakim bicara atau oleh pihak pendakwaan untuk menentukan tahap kepandaian SP11 sama ada memahami akan keperluan untuk bercakap benar seperti kehendak di bawah seksyen 133A Akta Keterangan 1950. Kegagalan berbuat demikian membuatkan keterangan SP11 perlu ditolak oleh Mahkamah ini. Peguam bela bersandarkan kepada keputusan dalam kes Tajudin bin Salleh v PP [2008] 1 MLJ 397 (MR) dan Mohd Naki Mohd Yusuf v PP [2014] 7 CLJ 441 (MP);

(b) hakim bicara menerima keterangan pengecaman Perayu Kedua oleh SP9, SP10 dan SP11 yang amat mencurigakan dan tidak berkualiti. Menurut keterangan saksi-saksi tersebut, orang yang melepaskan tembakan ke arah si mati memakai topi sudu, berjeket hitam, bertubuh sederhana dan berkulit sawo matang. Oleh kerana kejadian berlaku terlalu pantas, kurang dari 2 minit, pengecaman saksi-saksi berdasarkan diskripsi tersebut tidak menyakinkan dan adalah diragui. Peguam bela terpelajar bersandarkan kepada keputusan dalam kes Jaafar bin Ali v PP [1998] 4 MLJ 406;

(c) terdapat percanggahan material antara keterangan SP10 dan keterangan SP11 mengenai orang yang menembak si mati keluar dari pintu hadapan kereta (SP10) atau dari pintu belakang kereta (SP11);

(d) kawad cam yang telah diadakan adalah cacat oleh kerana semasa kawad cam diadakan, Perayu Kedua tidak diminta untuk memakai topi sudu. Peguam bela terpelajar merujuk kepada kes R v Whitby [1976] 2 All ER 549 dan R v Turnbull and Others [1976] 2 All ER 549; dan

(e) bahawa SP10 dan SP11 adalah saksi yang mempunyai kepentingan sebagai keluarga terdekat si mati dan keterangan mereka amat mencurigakan. Peguam bela bergantung kepada kes Magendran Mohan v PP [2011] 1 CLJ 805 (MP).

[83] Kami telah meneliti bantahan yang dibangkitkan oleh peguam bela terpelajar dan kami juga telah meneliti Rekod Rayuan, kami mendapati bantahan peguam bela tidak mempunyai sebarang merit. Selain dari keterangan SP9, SP10 dan SP11, keterangan SP13 dan SP15 turut menyokong dapatan hakim bicara bahawa tidak ada berlaku kekhilafan identiti sebenar pelaku yang telah melepaskan 3 das tembakan ke arah si mati.

[84] Mengenai kegagalan hakim bicara atau pihak pendakwaan mengadakan siasatan awal untuk menentukan tahap kepandaian SP11 memahami tentang keperluan untuk bercakap benar, seksyen 133A Akta Keterangan 1950 menyatakan keperluan itu perlu dipenuhi sekiranya saksi itu seorang kanak-kanak yang masih mentah (child of tender years) dipanggil untuk memberi keterangan. Seksyen 133A memperuntukkan seperti berikut:

“133A. Where, in any proceedings against any person for any offence, any child of tender years called as a witness does not in the opinion of the court understand the nature of an oath, his evidence may be received, though not given upon oath, if, in the opinion of the court, he is possessed of sufficient intelligence to justify the reception of the evidence, and understands the duty of speaking the truth; and his evidence, though not given on oath, but otherwise taken and reduced into writing in accordance with section 269 of the Criminal Procedure Code [Act 593] shall be deemed to be a deposition within the meaning of that section;

Provided that, where evidence admitted by virtue of this section is given on behalf of the prosecution, the accused shall not be liable to be convicted of the offence unless that evidence is corroborted by some other material evidence in support thereof implicating him.”.

[85] Melalui pembacaan kami, seksyen 133A tersebut bukanlah satu yang mandatori untuk hakim bicara atau pihak pendakwaan untuk mengadakan satu siasatan awal untuk menentukan takat kepandaian seseorang saksi kanak-kanak. Hakim bicara mempunyai budi bicara untuk menerima keterangan seseorang saksi kanak-kanak yang masih mentah sekiranya pada pendapat Mahkamah kanak-kanak itu memahami apa sebenarnya sesuatu sumpah itu. Dalam kes Tajudin, supra, saksi kanak-kanak itu hanyak berusia 10 tahun semasa memberi keterangan dan dalam kes Mohd Naki, supra, 2 orang saksi kanak-kanak itu baru berusia 13 dan 14 tahun semasa memberi keterangan. Di dalam kes di hadapan kami sekarang, SP11 telahpun mencapai usia 17 tahun semasa memberi keterangan. Hakim bicara telah melaksanakan budi bicara kehakimannya dalam kes ini apabila membenarkan SP11 memberi keterangan secara bersumpah dengan tanpa perlu mengadakan siasatan awal untuk menentukan tahap kepandaian SP11 sama ada SP11 memahami keperluan untuk berkata benar. Walau apa pun, keterangan SP11 telah disokong oleh lain-lain keterangan daripada saksi-saksi SP9, SP10, SP13 dan SP15 terhadap identiti Perayu Kedua sebagai orang yang telah menembak si mati.

[86] Kami bersetuju terdapat percanggahan di antara keterangan SP11 dengan keterangan SP10 setakat dari pintu mana kereta CAX 3180 Perayu Kedua telah keluar untuk menembak si mati. Kami berpendapat percanggahan ini bukanlah satu percanggahan yang material seperti mana dihujahkan oleh peguam bela terpelajar. Keterangan secara total wajarlah diteliti. SP11 melihat Perayu Kedua keluar dari pintu belakang manakala SP10 mengatakan Perayu Kedua keluar melalui pintu hadapan. Sekiranya kita meneliti kedudukan SP11 dan SP10, mereka berada di kedudukan yang berbeza. SP10 berada di dalam bilik dan melihat Perayu Kedua melalui tingkap cermin manakala SP11 melihat melalui pintu besar hadapan rumah dalam jarak yang lebih dekat dan pandangan yang tidak terhalang. Keterangan SP11 adalah lebih tepat dalam keadaan itu. Keterangan SP11 menyatakan pada awalnya penumpang hadapan keluar dari kereta sambil memberi salam sebelum penumpang belakang keluar dan terus menembak bapanya. Ini bermakna Mansor duduk di kerusi bahagian penumpang hadapan. Oleh itu jelas tanpa kekeliruan bahawa sebenarnya Perayu Kedua telah keluar melalui pintu belakang kereta CAX 3180 sebelum melepaskan 3 das tembakan ke arah si mati.

[87] Mengenai bantahan peguam bela bahawa dalam sesi kawad cam, Perayu Kedua tidak dipakaikan dengan topi sudu. Dengan hormatnya, bantahan ini juga tersasar. Pengecaman Perayu Kedua bukan berdasarkan kepada topi sudu yang dipakainya. Sebaliknya, pengecaman Perayu Kedua adalah berdasarkan kepada wajah dan juga susuk badan Perayu Kedua. Kawad cam telah diadakan dalam tempoh masa lebih kurang 1 bulan selepas kejadian dan saksi-saksi telah dapat mengecam Perayu Kedua dengan positif. Saksi-saksi juga telah dapat mengecamkan Perayu Kedua di dalam kandang tertuduh semasa perbicaraan.

[88] Bantahan terakhir peguam bela terpelajar terhadap pengecaman Perayu Kedua hanya berasaskan kepada satu alasan yang cukup remeh iaitu bahawa SP10 dan SP11 adalah saksi-saksi yang berkepentingan oleh kerana mempunyai hubungan kekeluargaan yang sangat rapat. Tiada keterangan menunjukkan SP10 dan SP11 telah membuat pengecaman palsu dalam kes ini atau dengan sengaja untuk mengaitkan Perayu Kedua dengan pembunuhan si mati. Alasan hubungan kekeluargaan semata-mata tidak memudaratkan proses pengecaman oleh SP10 dan SP11 terhadap Perayu Kedua.

[89] Kami mendapati hakim bicara tidak tersalah arah dalam menerima keterangan terhadap pengecaman Perayu Kedua sebagai orang yang telah melepaskan 3 das tembakan terhadap si mati dalam kes ini. Kami bersetuju bahawa hakim bicara telah membuat dapatan yang tepat dan betul berdasarkan kepada keterangan yang berada di hadapan hakim bicara itu. Oleh itu, alasan rayuan Perayu-Perayu di perenggan (f) tidak mempunyai sebarang merit.

Kesimpulan

[90] Berdasarkan alasan-alasan yang telah kami nyatakan di atas, kami mendapati tiada merit dalam rayuan Perayu-Perayu. Terdapat keterangan yang mencukupi untuk menyokong keputusan hakim bicara. Sabitan terhadap Perayu-Perayu adalah selamat. Oleh itu, kami mengesahkan dan mengekalkan sabitan dan hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi terhadap Perayu-Perayu.

Bertarikh: 11 April 2018

t.t.

KAMARDIN BIN HASHIM
Hakim
Mahkamah Rayuan Malaysia

COUNSEL

Bagi pihak Perayu-Perayu: Iskandar Shah bin Ibrahim (Hermes Media Putra bin Ibrahim dan Naim bin Mahmood, bersamanya), Tetuan Hermes & Co, No. 12-3-3, Jalan Setia Prima P, U13/P, Seksyen U13, Bandar Setia Alam, 40170 Shah Alam, Selangor

Bagi Pihak Responden: Wong Poi Yoke, Timbalan Pendakwa Raya, Bahagian Perbicaraan dan Rayuan, Jabatan Peguam Negara, Putrajaya

Legislation referred to:

Akta Keterangan 1950, Seksyen 133A

Akta Perlindungan Saksi 2009

Kanun Keseksaan, Seksyen-seksyen 120B(1), 300

Judgments referred to:

Duis Akim & Ors v PP [2014] 1 MLJ 49

Jaafar bin Ali v PP [1998] 4 MLJ 406

Magendran Mohan v PP [2011] 1 CLJ 805 (MP)

Mohd Naki Mohd Yusuf v PP [2014] 7 CLJ 441 (MP)

R v Turnbull and Others [1976] 2 All ER 549

R v Whitby [1976] 2 All ER 549

Sabarudin Non v PP & Other Appeals [2005] 1 CLJ 466

Sainal Abidin bin Mading v PP [1999] 4 MLJ 497

Tajudin bin Salleh v PP [2008] 1 MLJ 397 (MR)

Notice: The Promoters of Malaysian Judgments acknowledge the permission granted by the relevant official/ original source for the reproduction of the above/ attached materials. You shall not reproduce the above/ attached materials in whole or in part without the prior written consent of the Promoters and/or the original/ official source. Neither the Promoters nor the official/ original source will be liable for any loss, injury, claim, liability, or damage caused directly, indirectly or incidentally to errors in or omissions from the above/ attached materials. The Promoters and the official/ original source also disclaim and exclude all liabilities in respect of anything done or omitted to be done in reliance upon the whole or any part of the above/attached materials. The access to, and the use of, Malaysian Judgments and contents herein are subject to the Terms of Use.