THE OFFICIAL REPOSITORY OF
MALAYSIAN JUDGMENTS & RULINGS

[2018] MYCA 85 MALAY

Senggutuwan A/L Chandra Segaran v Pendakwa Raya and Another Appeal
Suit Number: Rayuan Jenayah Nos. A-05(M)-4-01/2016 & A-05(SH)-48-01/2016 

PENGHAKIMAN

Mukadimah

[1] Senggutuwan a/l Chandra Segaran (perayu), telah dituduh dan dibicarakan di Mahkamah Tinggi Ipoh, Perak dengan satu pertuduhan di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dua pertuduhan di bawah seksyen 307 Kanun yang sama seperti yang berikut:

Kes 45B-7-10/2013

"Bahawa kamu pada 25.5.2013 jam lebih kurang 11.00 malam bertempat di Jalan Utama Kg. Tersusun, Kopisan Baru, Gopeng, di dalam Daerah Kampar, di dalam Negeri Perak Darul Ridzuan, telah membunuh Thamilrasan a/l Thenarasu (No KPT: 111231-08-0485) dan dengan itu kamu telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan”.

Kes 45B-8-10/2013

Pertuduhan Pertama

"Bahawa kamu pada 25.5.2013 jam lebih kurang 11.00 malam bertempat di Jalan Utama Kg. Tersusun, Kopisan Baru, Gopeng, di dalam Daerah Kampar, di dalam Negeri Perak Darul Ridzuan, telah melakukan suatu perbuatan iaitu menggunakan sebuah motokar No Pendaftaran AGX 4664 Proton Pesona telah melanggar Punjala a/p Sinniah (No KPT 560619-08-6254) dengan pengetahuan yang sedemikian dan dalam keadaan sedemikian bahawa jika ia, dengan perbuatan itu, menyebabkan kematian ke atas Punjala a/p Sinniah (No KPT 560619-08-6254) ia adalah melakukan kesalahan membunuh orang dan perbuatan kamu itu telah menyebabkan kecederaan kepada Punjala a/p Sinniah (No KPT 560619-08-6254) dan dengan itu kamu boleh dihukum di bawah seksyen 307 Kanun Keseksaan.”

Pertuduhan kedua

"Bahawa kamu pada 25.5.2013 jam lebih kurang 11.00 malam bertempat di Jalan Utama Kg. Tersusun, Kopisan Baru, Gopeng, di dalam Daerah Kampar, di dalam Negeri Perak Darul Ridzuan, telah melakukan suatu perbuatan iaitu menggunakan sebuah motokar No Pendaftaran AGX 4664 Proton Pesona telah melanggar Tarmenthiran a/l Selvarajoo (No KPT 100504-08-0367) dengan pengetahuan yang sedemikian dan dalam keadaan sedemikian bahawa jika ia, dengan perbuatan itu, menyebabkan kematian ke atas Tarmenthiran a/l Selvarajoo (No KPT 100504-08-0367) ia adalah melakukan kesalahan membunuh orang dan perbuatan kamu itu telah menyebabkan kecederaan kepada Tarmenthiran a/l Selvarajoo (No KPT 100504-08­-0367) dan dengan itu kamu boleh dihukum di bawah seksyen 307 Kanun Keseksaan.”

[2] Di akhir perbicaraan, perayu telah didapati bersalah dan disabitkan dengan ketiga-tiga kesalahan tersebut. YA Hakim bicara seterusnya menjatuhkan hukuman mati mandatori bagi pertuduhan di bawah s 302 Kanun Keseksaan dan 10 tahun penjara bagi kedua-dua pertuduhan di bawah s 307 Kanun Keseksaan berkuat kuasa secara serentak dari tarikh tangkap. Terkilan dengan keputusan tersebut, perayu telah merayu ke Mahkamah ini.

[3] Di akhir perbicaraan, dan setelah mempertimbangkan keseluruhan penghujahan kedua-dua pihak dan keterangan dalam rekod, kami berpuas hati bahawa rayuan ini tidak bermerit. Rayuan perayu dengan itu ditolak. Berikut ialah alasan kami memutuskan sedemikian.

Kes Pendakwaan

[4] Fakta kes telah dihuraikan dengan panjang lebar oleh YA Hakim bicara dengan begitu baik sekali. Tidak perlu kami ulangi di sini kecuali membentangkan secara ringkas fakta yang berikut.

[5] Pada 25.5.2013, lebih kurang pukul 11.00 malam, Insp Dasarathan a/l Subramaniam (SP5) dan anggotanya sedang membuat rondaan di sekitar kawasan Kopisan Baru, Gopeng, Perak. Semasa rondaan tersebut, SP5 telah terserempak dengan sebuah kereta Proton Persona warna Silver yang dipandu oleh perayu berhenti di kawasan Gopeng. Perayu merupakan seorang yang dikehendaki polis berhubung satu kes rusuhan di bawah seksyen 148 Kanun Keseksaan.

[6] Menyedari kehadiran SP5, perayu telah memecut kereta yang dipandunya dengan diekori oleh SP5 dari belakang. Kereta tersebut telah memasuki Jalan Utama Kg Tersusun, Kopisan Baru, Gopeng, Perak tetapi pergerakannya telah terhalang oleh khemah yang didirikan di atas jalan tersebut. Khemah berkenaan didirikan untuk majlis perkahwinan anak abang Tamil Selvi a/p Suppayah (SP7). SP5, Thenarasu a/l Subramaniam (SP6), dan SP7 mengatakan keadaan majlis tersebut terang benderang dengan cahaya lampu dan dikunjungi oleh para jemputan yang sedang berdiri dan ada yang sedang menjamu selera. Perayu memberhentikan dan memadamkan lampu keretanya buat seketika di hadapan khemah majlis tersebut. Sementara itu, SP5 juga memberhentikan kereta polis yang dinaikinya di belakang tetapi tidak jauh dari kereta yang dipandu perayu.

[7] Beberapa saat kemudian, enjin dan lampu kereta yang dipandu perayu telah dihidupkan dan dipandu dengan laju ke arah khemah majlis berkenaan. Dalam tindakan itu, khemah majlis tersebut telah dirempuh oleh perayu sebanyak dua kali. Dalam rempuhan pertama, kereta yang dipandu perayu telah melanggar Punjala a/p Sinniah (SP8), dan Thamilrasan a/l Thenarasu (si mati, berumur 2 tahun), anak SP6. Kereta tersebut bagaimanapun tersekat pada kerusi dan meja di bawahnya yang menyebabkan perayu mengundurkan kereta itu. Proses pengunduran tersebut telah menyebabkan si mati tersepit di bawah kereta itu. Dalam rempuhan kedua pula, iaitu semasa hendak ke hadapan semula, kereta yang dipandu perayu itu telah menggilis kaki Punjala a/p Sinniah (SP8), melanggar seorang lagi kanak-kanak bernama Tarmenthiran a/l Selvarajoo, dan melanggar lagi si mati sehingga tercampak. Kepala si mati turut juga digilis dalam rempuhan tersebut. Perayu kemudiannya terus melarikan diri dengan memecut laju kereta yang dipandunya keluar dari tempat kejadian.

[8] Ketiga-tiga mangsa kemudiannya telah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk mendapatkan rawatan. Bagaimanapun, si mati telah disahkan meninggal dunia akibat kecederaan serius di kepalanya.

[9] Pemeriksaan perubatan dan bedah siasat telah dijalankan ke atas semua mangsa sepertimana yang berikut:

(a) Setelah menjalankan bedah siasat ke atas si mati, Dr Wan Mohd Ashroff bin Wan Harun (SP9) merumuskan "Base on post-mortem examination finding, the deceased sustain head injury that leads to his death which is consistent with road traffic crash. No natural disease process that can contribute to his death at the time moment of the death”. SP9 seterusnya mengesahkan punca kematian ialah “Head Injury Consistent With Road Traffic Crash”.

(b) Pemeriksaan ke atas Punjala a/p Sinniah (SP8) oleh Dr Chow Hsin Wei (SP3) mendapati kecederaan “Close fracture left 2nd, 3rd, and 4th metatarsal bone”. Manakala pemeriksaan ke atas Tarmenthiran a/l Selvarajoo oleh Dr Hartini binti Mohamad Ridzuan (SP11) pula mendapati kecederaan yang berikut: "multiple superficial abrasion wound over the right elbow and both knee”.

Dapatan di Akhir Kes Pendakwaan

[10] Setelah membuat penilaian yang maksimum, YA Hakim bicara telah memutuskan di muka surat 70, Rekod Rayuan (RR) Jilid 1:

"[119] ... Namun demikian, di dalam kes ini dan di peringkat ini, setelah menilai keterangan-keterangan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan secara maksima, mahkamah mendapati elemen-elemen yang perlu dibuktikan di bawah s 302 KK telah berjaya dipenuhi oleh pihak pendakwaan secara prima facie. Mahkamah berpuas hati bahawa perbuatan Tertuduh jatuh di bawah s 300(d) KK di mana Tertuduh mempunyai pengetahuan bahawa perbuatannya amat atau sebegitu berbahaya yang boleh mendatangkan kematian atau bencana tubuh yang boleh menyebabkan kematian. Kematian si mati seterusnya adalah akibat dari kecederaan yang dialaminya akibat dilanggar oleh kereta tersebut yang dipandu oleh Tertuduh semasa si mati berada di dalam khemah majlis tersebut. Mahkamah tidak dapat membuat penemuan untuk satu kesalahan lain selain daripada kesalahan di bawah s 302 Kanun Keseksaan.

[120] Oleh hal yang demikian, mahkamah telah memerintahkan Tertuduh membela diri untuk pertuduhan di bawah s 302 KK.”

[11] Seterusnya, YA Hakim bicara telah juga mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie bagi pertuduhan-pertuduhan di bawah s 307 KK. Atas alasan-alasan yang dinyatakan, perayu telah diarahkan untuk membela diri.

Kes Pembelaan

[12] Perayu memilih untuk memberikan keterangan secara bersumpah. Secara terasnya, pembelaan perayu ialah dia mempunyai alasan untuk merempuh khemah majlis berkenaan pada malam kejadian itu kerana dia ingin melarikan diri daripada pihak polis. Perayu juga mengatakan bahawa dia dalam ketakutan kerana pernah dipukul oleh pihak polis sebagaimana laporan polisnya D47 yang dibuat pada 30.3.2011. Perayu tidak menafikan bahawa dia ada memandu kenderaan tersebut pada hari kejadian.

Dapatan Hakim Bicara di Akhir Kes Pembelaan

[13] Setelah membuat penilaian ke atas keseluruhan kes, YA Hakim bicara mendapati pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kesnya melampaui keraguan munasabah bagi kesemua pertuduhan. Di muka surat 101-104, RR, Jilid 1, YA Hakim bicara merumuskan:

[154] Mahkamah ini mendapati bahawa pembelaan yang telah dikemukakan Tertuduh telah gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan. Mahkamah telahpun mendapati bahawa khemah majlis adalah dalam keadaan yang terang dan terdapat lebih daripada lima puluh orang di dalamnya. Mahkamah tidak dapat menerima keterangan Tertuduh bahawa dia tidak nampak sama ada terdapat orang di dalam khemah tersebut kerana dia telahpun memberhentikan kereta tersebut terlebih dahulu. Tertuduh telah merempuh ke dalam khemah majlis dengan pemanduan yang laju walaupun telah melihat ramai orang di dalam khemah majlis tersebut.

[155] Adakah wajar bahawa akibat yang akan berlaku dalam keadaan sedemikian ialah kematian atau kecederaan akan berlaku ke atas mereka yang berada di dalam khemah majlis.

[156] Alasan yang diberikan Tertuduh bahawa dia takut akan tindakan SP5 yang dikatakan memegang pistol, tidak dapat diterima mahkamah kerana adalah didapati SP5 tidak keluar dari kenderaan polis yang dinaikinya sehinggalah kereta tersebut merempuh ke dalam khemah majlis. Tertuduh telah mempunyai niat jenayah semasa bertindak merempuh khemah majlis. Tertuduh juga tidak boleh dikatakan bertindak secara cuai dan melulu atau bertindak dalam keadaan yang ‘panic’. Sebaliknya, tindakan Tertuduh membuktikan bahawa terdapatnya satu tindakan yang telah dicongak (calculated) dan disengajakan (deliberate) olehnya. Perbuatan jenayah Tertuduh wujud atas dasar dia telah mengambil risiko melakukan satu perbuatan yang sebegitu atau amat berbahaya yang boleh menyebabkan kematian atau bencana tubuh yang boleh menyebabkan kematian.

[157] Mahkamah ini juga mendapati kekerasan atau kekejaman pihak polis yang berlaku ke atas Tertuduh seperti mana yang tercatat di dalam D47 telah pun berlaku dua tahun sebelum kejadian ini. SP5 juga tidak ada dicatitkan atau dinyatakan sebagai salah seorang anggota polis yang melakukan kekerasan atau kekejaman ke atas Tertuduh. Mahkamah mendapati tiada terdapat keperluan untuk Tertuduh melarikan dirinya daripada SP5. SP5 hanya melakukan tugasan rutinnya. Jarak masa yang berlaku antara sejarah hitam Tertuduh didera oleh pihak polis dengan kejadian di dalam kes ini adalah terlalu jauh (remote) untuk menjustifikasikan tindakan Tertuduh melarikan dan memboloskan dirinya dengan merempuh khemah majlis menggunakan kereta tersebut. Perbuatan Tertuduh semasa berada di dalam khemah majlis seterusnya memburukkan lagi keadaan iaitu dengan mengundur kereta tersebut selepas kereta tidak dapat keluar kerana terhalang oleh kerusi dan meja sedangkan semasa itu mereka yang berada di dalam khemah majlis sedang bertempiaran menyelamatkan diri dan anak masing-masing.

[158] Keseluruhan kejadian di atas menunjukkan bahawa Tertuduh tidak lagi menghiraukan kemungkinan yang berlaku iaitu kematian atau kecederaan yang boleh menyebabkan kematian. Tiada justifikasi ke atas perbuatan ‘daredevil’ yang telah diambil oleh Tertuduh yang amat berbahaya. Mahkamah juga mendapati bahawa Tertuduh gagal menimbulkan keraguan yang munasabah ke atas kes pendakwaan bila mana beliau menyatakan pihak polis berdendam dengannya.

[159] Di atas alasan-alasan yang diberikan di atas, mahkamah ini mendapati secara keseluruhannya, Tertuduh gagal menimbulkan keraguan yang munasabah ke atas kes pendakwaan dan pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes di luar keraguan yang munasabah untuk kesalahan-kesalahan di bawah s 302 dan s 307 KK. Mahkamah mendapati Tertuduh bersalah melakukan kesalahan-kesalahan seperti mana yang dipertuduhkan. Tertuduh dengan itu disabitkan dengan kesalahan-kesalahan di bawah s 302 dan s 307 KK tersebut.

[160] Bagi kesalahan di bawah s 307 KK, Mahkamah telah menjatuhkan hukuman 10 tahun penjara dari tarikh tangkap untuk kedua-dua pertuduhan. Hukuman diperintahkan berjalan serentak.

[161] Tiada hukuman lain yang diperuntukkan di bawah s 302 KK kecuali hukuman mati mandatori. Seperti yang diperuntukkan oleh undang-undang, Mahkamah telah menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas Tertuduh. Tertuduh telah diperintahkan dibawa ke satu tempat bagi pelaksanaan hukuman seperti yang diperuntukkan oleh s 277 Kanun Tatacara Jenayah.

Rayuan Ini

[14] Di hadapan kami, peguam bela yang terpelajar menimbulkan 24 isu secara keseluruhannya dalam petisyen rayuan. Walau bagaimanapun sewaktu hujahan di Mahkamah ini, peguam perayu telah memberikan tumpuan kepada 5 isu utama yang berikut:

(i) Sama ada Hakim bicara telah terkhilaf apabila memutuskan bahawa tuduhan di bawah seksyen 302 dan 307 telah berjaya dibuktikan setelah mendengar keterangan kesemua saksi?

(ii) Sama ada keterangan SP5, SP6, dan SP7 menunjukkan pengetahuan sepertimana diperuntukkan di bawah s 300(d) Kanun Keseksaan?

(iii) Sama ada daripada keterangan yang sedia ada tuduhan seharusnya dipinda kepada seksyen 304A Kanun Keseksaan atau seksyen 41(1) atau 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 336 atau 338 Kanun Keseksaan?

(iv) Sama ada perayu telah dimudaratkan dengan siasatan di bawah seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 tetapi dituduh di bawah s 302 Kanun Keseksaan? dan

(v) Sama ada perayu berjaya mengemukakan ‘alasan’ (excuse) di akhir kes pembelaan dan pendakwaan berjaya membuktikan tanpa keraguan yang munasabah tiadanya ‘alasan’ tersebut.

[15] Peguam bela yang terpelajar mengatakan bahawa YA Hakim bicara telah khilaf dan tersalah arah apabila beliau bersetuju bahawa terdapatnya percanggahan keterangan antara SP6 dan SP7 berkenaan dengan bagaimana kereta telah melanggar mangsa-mangsa (rujuk muka surat 41, RR, Jilid 1). Pada masa yang sama, YA Hakim bicara juga dikatakan tersalah arah apabila membuat dapatan dan bersetuju serta memutuskan bahawa mangsa mengalami kecederaan akibat perlanggaran di dalam khemah semasa rempuhan atau disebabkan pengunduran kereta. Seterusnya, YA Hakim bicara membuat pula dapatan fakta spesifik (spesific finding) bahawa kecederaan mangsa disebabkan pengunduran kereta oleh perayu seperti dalam keterangan SP7 dan D22 (rujuk muka surat 47, RR, Jilid 1). Dihujahkan YA Hakim bicara hanya membuat andaian sendiri kerana tiada keterangan yang menunjukkan kecederaan si mati dan mangsa-mangsa lain disebabkan rempuhan atau perlanggaran kereta. YA Hakim bicara dikatakan telah gagal melihat ‘point of impact’ tentang bagaimana kejadian ini berlaku.

[16] Selain itu, peguam terpelajar juga menghujahkan perbuatan perayu mengundur kereta tersebut bukanlah satu perbuatan “mengundur kereta dengan niat dan pengetahuan menyebabkan kematian, bencana tubuh, atau mendatangkan kecederaan kepada sesiapa”. Perbuatan mengundur kereta tersebut merupakan satu perbuatan atau tindakan spontan dalam keadaan panik kerana dia ingin melarikan diri daripada SP5. Tambahan pula, perayu langsung tidak dapat melihat si mati yang berumur 2 tahun yang sudah tentulah tidak dapat dilihat ketika perayu mengundur kereta dalam keadaan tergesa-gesa. Tujuan utama mengundur hanyalah untuk membolehkan kereta bergerak kerana tersangkut pada meja dan kerusi. Perayu turut menegaskan perbuatan tergopoh gapah dan terburu-buru olehnya adalah tidak disengajakan. Sekiranya tiada insiden kejar-mengejar oleh SP5, maka mustahil adanya perbuatan merempuh dan mengundur kereta dilakukan oleh perayu kerana dia tersekat antara khemah dengan kereta SP5. Oleh itu, dapatan YA Hakim bicara mengatakan perbuatan perayu dilakukan dengan pengetahuan yang disimpulkan langsung tidak berasas dan bermerit.

[17] Berhujah selanjutnya, peguam bela mengatakan bahawa kes ini pada awal dan akhir telah disiasat di bawah s 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (APJ 1987). Oleh yang demikian, pertuduhan sepatutnya di bawah peruntukan s 41(1) APJ 1987 dan bukannya di bawah peruntukan Kanun Keseksaan (s 302 dan s 307 KK). Peguam bela mengatakan YA Hakim bicara telah khilaf apabila memutuskan bahawa kuasa pendakwaan adalah di tangan pihak Pendakwa Raya untuk menentukan jenis dan bentuk pertuduhan sedangkan mahkamah mempunyai ‘inherent power untuk menilai dan mendengar keseluruhan keterangan yang dikemukakan dan membuat dapatan yang bersesuaian untuk meminda pertuduhan atau sebaliknya supaya hak pembelaan perayu tidak dimudaratkan. Dihujahkan dalam kes ini pembelaan perayu telah dimudaratkan kerana perayu tidak langsung dimaklumkan bahawa siasatan yang pada awalnya dijalankan di bawah s 41(1) APJ 1987 telah ditukarkan kepada siasatan di bawah s 302 KK.

[18] Seterusnya, perayu menghujahkan YA Hakim bicara telah gagal menilai keterangan yang sedia ada bahawa perayu tidak langsung mempunyai mens rea untuk mendatangkan kematian atau kecederaan yang boleh mendatangkan kematian kepada si mati. Malahan kecederaan mangsa-mangsa di bawah s 307 KK juga bukanlah daripada kecederaan yang boleh membahayakan nyawa.

[19] Timbalan Pendakwa Raya (TPR) pula dalam hujahannya menyangkal hujahan perayu dan mengatakan bahawa perbuatan perayu terjatuh kepada perlakuan di bawah cabang (d) seksyen 300 KK iaitu perayu mengetahui bahawa perbuatannya boleh membawa ‘imminent danger’ kepada orang di situ (orang di dalam khemah). Selanjutnya, perbuatan tersebut boleh menyebabkan kematian, mendatangkan kecederaan, berkemungkinan menyebabkan kematian, atau mendatangkan bencana pada tubuh seperti mana dalam pertuduhan. Mengikut keterangan saksi-saksi pendakwaan, perayu sebenarnya telah berhenti sekejap di hadapan khemah, maka seharusnya dia dapat melihat dengan jelas dalam khemah tersebut dipenuhi dengan orang ramai. Namun, perayu masih lagi mengambil tindakan merempuh dan menyebabkan perlanggaran dengan kereta yang dipandunya. Walaupun perayu menghujahkan perbuatannya itu tidak disertai dengan niat (intention) untuk berbuat demikian, namun perbuatannya itu secara sendirinya merupakan satu perbuatan yang boleh membawa ‘imminent danger kepada orang lain. Oleh yang demikian, YA Hakim bicara tidak khilaf apabila membuat dapatan bahawa ini bukanlah satu perbuatan yang lahir daripada kecuaian dan perlakuan terburu-buru, sebaliknya perbuatan ini merupakan satu perbuatan yang disengajakan.

Keputusan Kami

[20] Kami telah mempertimbangkan dengan secermatnya penghujahan kedua-dua pihak serta butir-butir keterangan dalam rekod. Daripada isu dan cabaran yang ditimbulkan oleh peguam bela perayu yang terpelajar, kami perhatikan peguam bela telah mencabar keabsahan dapatan mengenai pembuktian kesalahan-kesalahan dalam pertuduhan, di peringkat prima facie dan di akhir perbicaraan, dan kewajaran pendakwaan terhadap perayu di bawah s 302 dan s 307 KK. Peguam bela sebaliknya mengatakan perayu seharusnya didakwa di bawah s 41 APJ 1987. Pada kami inilah 2 isu teras yang diperdebatkan.

[21] Kami akan menyentuh isu kewajaran pendakwaan terhadap perayu dahulu. Mengenai kewajaran menuduh perayu di bawah s 302 dan s 307 dan tidak di bawah s 41 APJ 1987, kami berpendapat isu ini tidak langsung mempunyai merit. Dalam penghakimannya YA Hakim menyatakan:

"[117] Pihak pembelaan akhirnya menghujahkan bahawa memandangkan siasatan kes ini bermula dan berakhir dengan kesalahan di bawah s. 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (‘APJ’), maka mahkamah ini harus menilai keterangan SP7 khasnya untuk melihat jika keterangan yang dikemukakan mencukupi untuk mensabitkan Tertuduh untuk kesalahan di bawah s. 41 APJ. Menurut pembelaan, ini adalah kerana SP12 di dalam keterangannya telah bersetuju walaupun arahan telah diberikan untuk kes ini disiasat di bawah s. 302 Kanun Keseksaan namun, beliau masih menyiasat kes ini di bawah s. 41 APJ dan oleh yang demikian, siasatan yang dijalankan tidak dibuat di bawah s. 302 KK sama sekali. Pembelaan berhujah bahawa seseorang suspek tidak boleh dikelirukan semasa siasatan dijalankan dan ini telah memprejudiskan Tertuduh.

[118] Mahkamah mendapati tiada merit di dalam hujahan pembelaan di atas isu ini. Adalah menjadi undang-undang yang mantap bahawa keputusan untuk mendakwa seseorang suspek adalah ditangan Pendakwa Raya. Walaupun keputusan mendakwa seseorang suspek atau Tertuduh dibuat bukan bersandarkan siasatan asal yang dijalankan, mahkamah tidak boleh menyoal keputusan Pendakwa Raya dalam memilih pertuduhan yang dipilih. Tugas mahkamah adalah melihat sama ada pihak pendakwaan berjaya membuktikan sesuatu pertuduhan yang telah dikenakan terhadap seseorang Tertuduh setelah mendengar dan menilai keterangan-keterangan yang dikemukakan.”

Kami bersetuju dengan alasan ini. Undang-undang telah terlalu mantap berkenaan dengan kuasa Pendakwa Raya untuk mendakwa atau tidak mendakwa seseorang sepertimana yang termaktub dengan kukuh di bawah Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan. Tidak perlu kami ulangi lagi di sini. Bagaimanapun dalam kes ini walaupun pada asalnya kes ini disiasat di bawah s 41 APJ 1987, namun pegawai penyiasat SP12 kemudiannya telah diarahkan untuk menyiasat di bawah s 302/307 KK. Kami tidak nampak kekhilafan atau kejanggalan di sini memandangkan insiden tersebut telah melibatkan kematian dan kecederaan dalam keadaan yang mewajarkan klasifikasi sedemikian. Kedudukan seperti ini adalah lumrah dalam siasatan polis yang boleh berubah bergantung pada hasil siasatan dan keadaan sesuatu kes itu. Terserah sepenuhnya kepada pihak Pendakwa Raya kemudiannya untuk menentukan jenis dan bentuk pendakwaan, dan terhadap perayu, semasa perbicaraan, untuk mencabarnya, yang telah dilakukan di sini. Oleh itu, kami tidak nampak kekuatan hujahan peguam bela tentang isu ini dan seharusnya ditolak in limine.

[22] Mengenai keabsahan dapatan mengenai pembuktian tanpa keraguan munasabah oleh pendakwa raya ke atas kesalahan-kesalahan yang dituduh terhadap perayu, kami tidak mempunyai keraguan akan ketepatan keputusan YA Hakim bicara. Di akhir kes pendakwaan, YA Hakim bicara telah dengan tepat mempertimbangkan elemen-elemen kesalahan bagi semua kesalahan dan mendapati pendakwaan telah berjaya membuktikan kes prima facie. Bagi kesalahan membunuh yang boleh dihukum di bawah s 302 KK, YA Hakim bicara telah membuat dapatan, daripada keterangan yang melimpah, bahawa: si mati, Thamilarasan a/l Thenarasu (No KPT:111231-08-0485) telah meninggal dunia (disahkan oleh SP6 dan SP9); kematian si mati disebabkan oleh bencana tubuh yang dialaminya (disahkan oleh SP9 dan laporan P24nya); kecederaan yang dialami oleh si mati diakibatkan oleh perbuatan perayu (penerimaan keterangan SP5, SP6, SP7 dan SP8); dan akhirnya, dalam mendatangkan kecederaan yang dialami oleh si mati, perayu mempunyai pengetahuan bahawa perbuatannya itu adalah sebegitu berbahaya sehingga berkemungkinan boleh menyebabkan kematian, atau sesuatu bencana tubuh yang boleh menyebabkan kematian dan perbuatan itu dilakukan tanpa apa-apa alasan sepertimana yang peruntukkan di bawah cabang (d) s.300 KK dan dijelaskan dalam nas-nas autoriti yang dirujuk. Kami bersetuju dengan dapatan pembuktian kes prima facie ini.

[23] Peguam bela yang terpelajar telah berhujah bahawa YA Hakim bicara telah melakukan beberapa kekhilafan dalam membuat dapatan kes prima facie tersebut. Didesak di hadapan kami bahawa terdapatnya percanggahan keterangan antara SP6 dengan SP7 tentang bagaimana kereta yang dipandu oleh perayu melanggar mangsa-mangsa dan menyebabkan kecederaan yang dialami oleh mangsa-mangsa itu. Dikatakan YA Hakim bicara membuat andaian tanpa sebarang bukti untuk mewajarkan andaian bahawa kecederaan si mati dan mangsa-mangsa lain disebabkan rempuhan atau perlanggaran kereta tersebut. Agak sukar bagi kami untuk memahami hujahan ini terutamanya dalam limpahan keterangan yang telah dibuktikan. Dicatatkan hakikat pemanduan kereta berkenaan, rempuhan khemah majlis dan kematian serta kecederaan yang dialami oleh mangsa-mangsa tidak dicabar malahan diakui oleh perayu. Keterangan SP5, SP6, SP7 dan SP8 amat konsisten bahawa perayu dan kereta yang dipandunya berhenti di hadapan khemah majlis sejenak dan dengan tiba-tiba memecut masuk dan merempuh khemah majlis perkahwinan anak abang SP7. Tidak dinafikan majlis tersebut terang benderang dengan cahaya dan ramai tetamu dalam khemah majlis tersebut termasuk si mati dan mangsa-mangsa yang tercedera. SP5, SP6, SP7 dan SP8 dengan jelas mengatakan kereta yang dipandu perayu telah melanggar mangsa-mangsa semasa merempuh, mengundur dan memecut keluar dari khemah itu. Dalam keadaan tersebut, jika adapun percanggahan, itu merupakan sesuatu yang kecil dan semestinya berlaku dalam keadaan yang amat terdesak dan haru biru berbanding dengan hakikat hal keadaan yang tidak berjaya dicabar oleh perayu. YA Hakim bicara telah menilai dan menjawab dengan tepat isu ini apabila memutuskan:

“[72] Mahkamah ini seterusnya berpuas hati bahawa Tertuduh telah juga melanggar bukan sahaja si mati tetapi juga SP8 dan juga kanak-kanak bernama Tarmenthiran a/l Selvarajoo dengan menggunakan kereta tersebut. Mahkamah ini berpuas hati melalui keterangan-keterangan SP5, SP6, SP7 dan SP8 bahawa kereta tersebut yang dipandu oleh Tertuduh telah merempuh ke dalam khemah majlis. Walaupun terdapat beberapa percanggahan di dalam keterangan-keterangan SP6 dan SP7 mengenai bagaimana kereta tersebut yang dipandu oleh Tertuduh melanggar ketiga-tiga mangsa namun, apa yang jelas dari keseluruhan keterangan-keterangan yang dikemukakan, kecederaan-kecederaan yang dialami oleh ketiga-tiga mangsa adalah akibat dari satu insiden. Insiden tersebut adalah rempuhan kereta yang dipandu oleh Tertuduh ke dalam khemah majlis. Rempuhan yang berlaku bukanlah hanya sekali, tetapi kereta tersebut apabila tersangkut kerana melanggar meja dan kerusi di dalam khemah majlis, terpaksa berundur dan kemudiannya memecut keluar yang mana ini adalah merupakan rempuhan kedua yang berlaku. Mahkamah mengambil kira bahawa insiden tersebut berlaku dengan pantas dan situasi ketika itu adalah kelam kabut.Maka, amatlah sukar untuk saksi-saksi menyatakan dengan jelas dan terperinci bagaimana kereta yang dipandu oleh Tertuduh tersebut melanggar ketiga-tiga mangsa.”

Selanjutnya:

"[78] Melalui keterangan-keterangan yang telah dikemukakan oleh pihak pendakwaan, tidak ada inferens lain yang menjuruskan atau dapat dibuat melainkan kecederaan-kecederaan yang dialami oleh mangsa adalah akibat dilanggar oleh kereta yang dipandu oleh Tertuduh semasa ketiga-tiga mangsa berada di dalam khemah majlis. Sama ada si mati dilanggar semasa rempuhan pertama atau semasa kereta tersebut berundur, keterangan yang jelas dan boleh dipercayai ialah bahawa si mati telah mengalami kecederaan semasa berada di dalam khemah majlis kerana telah dilanggar oleh kereta tersebut. Si mati telah juga disahkan meninggal dunia akibat kecederaan yang dialaminya di mana kecederaan tersebut adalah konsisten dengan pelanggaran kenderaan bermotor.”

Dan:

"[114] Walaupun terdapat percanggahan-percanggahan di dalam keterangan SP6 dan SP7, namun mahkamah ini mendapati keterangan-keterangan mereka adalah konsisten dari segi penglibatan Tertuduh di dalam menyebabkan kecederaan yang dialami oleh si mati.”

Dapatan YA Hakim bicara tersebut melibatkan penemuan fakta yang berasaskan kebolehpercayaan saksi-saksi. Kami tidak nampak adanya cacat cela dalam huraian dan dapatan tersebut. Tiada alasan bagi kami untuk campur tangan. Hujahan peguam bela dengan ini ditolak.

[24] Peguam bela menegaskan, antaranya, bahawa kehendak s 300 (d) KK telah gagal dibuktikan oleh pendakwaan kerana tindakan yang dilakukan oleh perayu lebih merupakan satu tindakan spontan dan cuai tanpa niat atau pengetahuan dalam maksud s 300 (d) tersebut. Kami juga berpendapat penghujahan ini tidak mempunyai kekuatan.

[25] Perundangan tentang skop pemakaian s 300 (d) KK telah dibincangkan dalam banyak kes. Dalam PP v Thenegaran Murugan & Another Appeal (2013) 4 CLJ 364 (MR):

"[13] It is well settled that the nature of injury as well as the mode to cause the injury as well as the force used to cause the injury will be a determining factor for the court to determine whether s. 300 will or will not apply. For example, (i) if a person just slaps the victim and the victim dies, it may not attract s. 300. However, if repeated slapping has caused the death it is likely to attract s. 300. (ii) If death is caused by attacking brutally with a knife or attacking with firearms it will attract s. 300. There is abundance of literature in this area of jurisprudence. The legal manner of analysing murder and culpable homicide not amounting to murder is well articulated in the Indian Supreme Court case of Kesar Singh v. State of Haryana [2009] 3 SCC 1193. Two passages from the learned author Nandi on Criminal Ready Referencer 3rd edn. 2012 in our view will stand as a useful guide. The said paragraph at vol. 3 p. 614 reads as follows:

Culpable homicide

Scope

The section defines the offence of culpable homicide. The essential pre-requisite of the offence is the death of a human being by a human being. According to the Supreme Court decision of Akram v. Seikh AIR 1964 SC 1263: (1964) 2 Cr LJ 350, the causing of death of a person accompanied by intention expressed in two different ways or with the knowledge as mentioned in the section is distinguishable from cases of death resulting from rash or negligent act, or from hurt, grievous or simple. Once it is proved that the act was deliberate, and not the result of accident or negligence, the offence committed was culpable homicide.

If a person willfully drives a motor car into the midst of a crowd and thereby causing death of some person, it will not be case of rash or negligent driving, but the act will amount to culpable homicide-State v. Haidar Ali AIR 1976 SC 1012: 1976 Cr LJ 732.

Where death was not proved to have been intended, neither s. 299 (1st or 2nd part), nor s. 300 would be attracted. But where there was the knowledge that the act was likely to cause death, 3rd part of s. 299 would be attracted-Laxman v. State AIR 1968 SC 1390."

Begitu juga dalam kes Kenneth Fook Mun Lee v PP [2006] 4 CLJ 359 Mahkamah Persekutuan telah menerangkan skop pemakaian s. 300(d) Kanun Keseksaan seperti yang berikut:

“The invocation of section 300(c) of the Code by the learned trial judge is altogether erroneous. Intention is not a necessary element of an offence under section 300(d). All that is needed is knowledge that the act is likely to cause death. The emphasis in section 300(d) is on the imminently dangerous character of the act itself. Further, section 300(d) is usually applied where the act of the offender is in general disregard for human life and safety. What is clear from the evidence is the respondent did not know the deceased. He discharged the gun in absolute callousness towards the result. The act of the respondent cannot fall within the purview of section 304(b) of the Code. He has committed culpable homicide amounting to murder and the offence committed by him clearly fall under section 300(d) of the Code. All the evidence proved beyond doubt that he had performed the act knowingly and voluntarily and hence must be guilty of an offence under section 302 of the Code. The respondent had failed to show on a balance of probabilities that he did not know that his act of discharging his gun at the deceased at such close quarters is so imminently dangerous that it must in all probability cause death or such bodily injury as is likely to cause death. The learned trial judge's ruling at the conclusion of the trial that the facts cannot fall within section 300(d) of the Code cannot be supported having regard to the evidence. On the evidence it was clearly open to the learned trial judge to find that it was established beyond reasonable doubt that the respondent caused the death of the deceased.”

Untuk menentukan pengetahuan tersebut, Sir Hari Singh Gour, dalam The Penal Law of India, Edisi ke-11 Jilid 3 di ms 2381, menyatakan:

"Criminal knowledge, is then, in such cases demonstrated a posteriori. It takes into account not only knowledge but means of knowledge, not only the knowledge which is, but which, judging from the effect, ought to have been in the accused. A person may then truthfully declare that he did not know that his act was likely to cause death and yet he may be rightly found to have had that knowledge. The truth is that in civil cases arising out of tort as well as in criminal cases, the standard which the Court fixes before itself is that of a reasonable man and the question it ultimately asks itself is, not whether the accused had the knowledge, but whether as a reasonable man he could have had that knowledge. And for this purpose, the act itself is the real test." (Penekanan diberikan).

[26] Mengaplikasikan prinsip di atas, kesemua keterangan yang dibentangkan menunjukkan perayu telah melakukan perbuatan rempuhan tersebut dengan sengaja dan berpengetahuan akan risiko yang diambilnya tanpa menghiraukan keselamatan dan nyawa manusia. Tidak dinafikan perayu telah memberhentikan seketika kereta yang dipandunya di hadapan khemah majlis yang terang benderang, bermuzik, dan dipenuhi dengan para jemputan. Lampu kereta dan enjin kereta itu dimatikan. Dia seharusnya sedar akan hal keadaan di khemah majlis tersebut. Bagaimanapun sepertimana yang dinyatakan oleh SP5, SP6 dan SP7, perayu dengan tiba-tiba menghidupkan enjin kereta dan memecut kereta berkenaan dengan laju menuju dan merempuh khemah majlis tersebut. Tindakan yang sengaja ini (deliberate) ternyata begitu sekali berbahaya dan perayu semestinya berpengetahuan bahawa tindakan itu berkemungkinan besar boleh menyebabkan kematian. Dalam keadaan keterangan yang dikemukakan, amat tidak munasabah untuk mengatakan perbuatannya itu spontan atau pun cuai sebab takut kepada pihak polis. Pada hemat kami itu tidak terjumlah kepada justifikasi dalam maksud s 300 (d) KK. Berlandaskan nas autoriti yang kini mantap, penguatkuasaan s 300 (d) ini tidak semestinya memerlukan perayu mengetahui atau mengenali siapa yang akan dilanggarnya atau yang akan dicederakan. Dalam kes Kenneth Fook Mun Lee, supra, si mati tidak dikenali oleh tertuduh, dan dalam menyentuh isu ini YA Hakim Augustine Paul (Mahkamah Tinggi ketika itu) menyuarakan:

“In considering the extent of the clause the Indian Supreme Court said in State of Madhya Pradesh v. Ram Prasad AIR [1968] SC 881 that although it is usually invoked in those cases where there is no intention to cause the death of any particular person, as shown by the illustration, it may on its own terms be used in those cases where there is such callousness towards the result and the risk taken is such that it may be stated that the person knows that the act is likely to cause death or such bodily injury as is likely to cause death”.

(Rujuk juga kes State v Haidar Ali, supra, melanggar orang ramai (crowd)).

Susulan itu, hujahan peguam bela bahawa perayu tidak tahu atau tidak dapat melihat ada kanak-kanak, termasuk si mati, semasa merempuh, mengundur atau bergerak ke hadapan jelas tidak bermerit. Malahan hal keadaan sedemikian menguatkan lagi perbuatannya yang tidak menghiraukan keselamatan dan nyawa manusia. Kami telah menghayati alasan YA Hakim bicara berkenaan isu ini dan kami mendapati tiadanya cacat cela dalam penemuan dan penghakiman beliau. Tiada alasan bagi kami untuk campur tangan dalam dapatan yang berikut:

"[86] Tindakan Tertuduh tidak boleh dikatakan sebagai satu tindakan yang terburu-buru atau cuai (rash and negligence). Mahkamah berpuas hati bahawa terdapat perbuatan yang disengajakan oleh Tertuduh (A deliberate act on the part of the accused) memandangkan Tertuduh telah memberhentikan kereta tersebut terlebih dahulu dan boleh melihat apa yang sedang berada dan berlaku di hadapannya. Tertuduh tahu apakah risiko yang diambilnya dalam melakukan perbuatan merempuh khemah majlis. Namun, Tertuduh masih meneruskan tindakan menghidupkan semula enjin kereta tersebut serta memandu dalam keadaan yang laju dan merempuh masuk ke dalam khemah majlis tanpa mengambil kira terdapatnya ramai orang di dalamnya. Perbuatan yang bersifat jenayah di pihak Tertuduh adalah bilamana dia tahu bahawa perbuatannya itu amat berbahaya dan dia sanggup mengambil risiko dalam melakukan rempuhan tersebut sedangkan beliau tahu akibat dari risiko yang diambilnya itu.

...

[90] Namun demikian, di dalam kes di hadapan mahkamah ini tiada manifestasi seperti mana yang dinyatakan di dalam kes di atas. Yang jelas, Tertuduh sedar apa yang ada di hadapannya. Terdapat aktiviti yang sedang berlangsung di dalam khemah majlis. Terdapat ramai orang yang sedang menikmati jamuan di majlis perkahwinan tersebut. Hakikat bahawa Tertuduh telah melihat dan nampak apa yang sedang berlangsung di dalam khemah majlis tersebut dan dia sudahpun memberhentikan kereta tersebut terlebih dahulu serta kenderaan polis yang dinaiki oleh SP5 yang mengejar kereta tersebut juga telah berhenti di belakang, tidak mewajarkan tindakan Tertuduh seterusnya iaitu menghidupkan kembali enjin kereta tersebut dan merempuh masuk ke dalam khemah majlis. Tertuduh didapati tahu akibat perbuatannya itu. Tertuduh telah melakukannya dengan sengaja kerana beliau boleh mencongak risiko yang diambilnya iaitu dalam keadaan sedemikian dia boleh mengakibatkan kematian atau bencana tubuh yang boleh mengakibatkan kematian.”

[27] Berdasarkan huraian di atas kami bersetuju dengan dapatan YA Hakim bicara bahawa pihak pendakwaan telah juga berjaya membuktikan kes prima facie bagi kesalahan membunuh yang boleh dihukum di bawah s 302 KK. Selanjutnya berdasarkan keterangan yang sama, kami juga bersetuju dengan dapatan YA Hakim bicara bahawa pendakwaan telah berjaya membuktikan kes prima facie terhadap pertuduhan di bawah s 307. Kami bersetuju dengan dapatan yang berikut:

“[131] Melalui keterangan-keterangan yang dikemukakan dan setelah menilai keterangan-keterangan tersebut seperti yang dinyatakan terlebih dahulu di atas secara maksima, mahkamah ini mendapati pihak pendakwaan juga telah berjaya memenuhi elemen-elemen tersebut secara prima facie. Sememangnya Tertuduh telah melakukan satu percubaan membunuh di mana dalam mengambil tindakan merempuh khemah majlis, Tertuduh mempunyai pengetahuan bahawa perbuatannya itu adalah sebegitu berbahaya di mana satu kematian atau bencana tubuh yang boleh menyebabkan kematian boleh berlaku.

[132] Bagi memenuhi elemen-elemen tersebut di atas, tidak semestinya satu kematian mesti berlaku. Apa yang penting ialah mens rea di pihak Tertuduh adalah untuk menyebabkan kematian. Dua orang mangsa telah mengalami kecederaan iaitu Punjala a/p Sinniah dan Tarmenthiran a/l Selvarajoo. Walaupun kedua-dua mangsa ini terselamat dari menemui ajal mereka dan hanya mengalami kecederaan, namun kecederaan yang dialami oleh kedua-dua mangsa adalah hasil dari perbuatan Tertuduh melanggar mereka dengan memandu kereta tersebut dalam keadaan sebegitu berbahaya yang mana Tertuduh tahu perbuatan tersebut boleh menyebabkan kematian. Elemen yang perlu dibuktikan di bawah s 307 ialah bahawa satu percubaan telah dilakukan oleh Tertuduh untuk membunuh walaupun kematian tidak berlaku. Dalam semua keadaan, sekiranya kedua-dua mangsa tersebut menemui kematian, Tertuduh melakukan kesalahan membunuh orang dan perbuatan perbuatan itu telah menyebabkan kecederaan kepada kedua-dua mangsa.”

[28] Bagi isu terakhir, peguam bela menegaskan bahawa perayu, dalam pembelaannya, telah berjaya menimbulkan alasan (excuse) berkaitan dengan tindakannya merempuh khemah majlis berkenaan. Menurut perayu dia bertindak sedemikian kerana hendak melarikan diri daripada pihak polis. Perayu juga mengatakan dia dalam ketakutan kerana pernah dipukul oleh pihak polis sebagaimana laporan polisnya D47 yang dibuat pada 30.3.2011. Dikatakan ini gagal dipertimbangkan dengan sebetulnya oleh YA Hakim bicara.

[29] Adakah alasan ini mencukupi bagi maksud s 300 (d) KK? Gour, Penal Law Of India, supra, ms 2458 menyatakan:

“It would be seen from Cl. (4) of this section that if death is caused merely by doing an act with the knowledge that it is so imminently dangerous that it must in all probability cause death, then the act is not murder as is defined in Cl. (4) but is mere culpable homicide not amounting to murder. In order that an act done with such knowledge should constitute murder, it is essential that it should have been committed “without any excuse for incurring the risk of causing death or such bodily injury”.

When a risk is incurred-even a risk of the gravest possible character which must normally result in death-the taking of that risk is not murder unless it inexcusable to take it.

The expression “without any excuse” means without any exculpatory circumstances other than those mentioned in the five exceptions to this section. The word “excuse” here means something which is a justification of the act and does not merely mitigate the crime.

In assessing what is excuse and what is not excuse, the Court has to consider the state of mind the accused was in when he or she committed the act.”

Berdasarkan nas di atas, adakah tindakan perayu merempuh khemah majlis perkahwinan diwajarkan dalam kes ini? Pada pengamatan kami apa yang dikemukakan oleh perayu dalam memberikan justifikasi tindakannya itu hanyalah untuk mitigate the crime. Ini tidak mencukupi. Apa yang jelas perayu mengakui memandu kereta berkenaan dan merempuh khemah majlis dan dalam proses itu telah menyebabkan kematian si mati dan kecederaan kepada mangsa yang lain. YA Hakim bicara dengan jelas telah mendapati bahawa khemah majlis itu terang benderang dengan ramai tetamu. Pada ketika itu juga tidak dinafikan perayu dilihat berhenti di hadapan khemah majlis. Perayu kemudian dengan tiba-tiba telah memecut laju dan merempuh khemah majlis tersebut. Dengan bertindak sedemikian perayu dengan sedar dan tanpa mengendahkan risiko kematian dan kecederaan yang akan diakibatkannya. Kami bersetuju dengan dapatan YA Hakim bicara bahawa alasan yang dikemukakan bukan merupakan satu kewajaran dalam maksud peruntukan s 300 (d) KK memandangkan ketakutan yang dikatakan itu telah lama berlaku dan SP5 atau pihak polis pula tidak melakukan apa-apa ketika itu kecuali mengekori dari belakang sahaja. Pada hemat kami, semata-mata andaian berasaskan ketakutan daripada pengalaman dahulu yang tiada apa-apa kaitan dengan keadaan semasa tidak boleh menjadi kewajaran bagi tindakan yang dilakukan oleh perayu di sini. Kami mendapati tiada kekuatan langsung dalam penghujahan peguam bela mengenai isu ini. Sebaliknya kami bersetuju dengan dapatan YA Hakim bicara yang memutuskan:

"[156] Alasan yang diberikan oleh Tertuduh bahawa dia takut akan tindakan SP5 yang dikatakan memegang pistol, tidak dapat diterima mahkamah kerana adalah didapati SP5 tidak keluar dari kenderaan polis yang dinaikinya sehinggalah kereta tersebut merempuh ke dalam khemah majlis. Tertuduh telah mempunyai niat jenayah semasa bertindak merempuh khemah majlis. Tertuduh juga tidak boleh dikatakan bertindak secara cuai dan melulu atau bertindak dalam keadaan yang ‘panic’. Sebaliknya, tindakan Tertuduh membuktikan bahawa terdapatnya satu tindakan yang telah dicongak (calculated) dan disengajakan (deliberate) olehnya. Perbuatan jenayah Tertuduh wujud atas dasar dia telah mengambil risiko melakukan satu perbuatan yang sebegitu atau amat berbahaya yang boleh menyebabkan kematian atau bencana tubuh yang boleh menyebabkan kematian.

[157] Mahkamah ini juga mendapati kekerasan atau kekejaman pihak polis yang berlaku ke atas Tertuduh sepertimana yang tercatat di dalam D47 telahpun berlaku dua tahun sebelum kejadian ini. SP5 juga tidak ada dicatitkan atau dinyatakan sebagai salah seorang anggota polis yang melakukan kekerasan atau kekejaman ke atas Tertuduh. Mahkamah mendapati tiada terdapat keperluan untuk Tertuduh melarikan dirinya daripada SP5. SP5 hanyalah melakukan tugasan rutinnya. Jarak masa yang berlaku antara sejarah hitam Tertuduh didera oleh pihak polis dengan kejadian di dalam kes ini adalah terlalu jauh (remote) untuk menjustifikasikan tindakan Tertuduh melarikan dan memboloskan dirinya dengan merempuh khemah majlis menggunakan kereta tersebut. Perbuatan Tertuduh semasa berada di dalam khemah majlis seterusnya memburukkan lagi keadaan iaitu dengan mengundur kereta tersebut selepas kereta tidak dapat keluar kerana terhalang oleh kerusi dan meja sedangkan semasa itu mereka yang berada di dalam khemah majlis sedang bertempiaran menyelamatkan diri dan anak masing-masing.

[158] Keseluruhan kejadian di atas menunjukkan bahawa Tertuduh tidak lagi menghiraukan kemungkinan yang berlaku iaitu kematian atau kecederaan yang boleh menyebabkan kematian. Tiada justifikasi ke atas perbuatan ‘daredevil’ yang telah diambil oleh Tertuduh yang amat berbahaya. Mahkamah juga mendapati bahawa Tertuduh gagal menimbulkan keraguan yang munasabah ke atas kes pendakwaan bila mana beliau menyatakan pihak polis berdendam dengannya.”

[30] Setelah mempertimbangkan penghujahan semua pihak dan keterangan dalam rekod kami berpuas hati bahawa YA Hakim bicara telah tidak terkhilaf dan tersalah arah dirinya dalam membuat keputusan yang dirayu ini. Pendakwaan telah berjaya membuktikan kesemua pertuduhan ke atas perayu tanpa keraguan yang munasabah dan perayu telah gagal menimbulkan apa-apa keraguan munasabah ke atas kes pendakwaan tersebut. Kami mendapati rayuan perayu tidak bermerit dan sabitan adalah selamat. Dengan itu kami menolak rayuan ini dan mengekalkan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh YA Hakim bicara.

t.t

ABDUL KARIM ABDUL JALIL
Hakim Mahkamah Rayuan

Tarikh: 16 Mac 2018

COUNSEL

Bagi pihak Perayu: Charan Singh a/l Kartar Singh, Tetuan Nurul & Charan

Bagi pihak Responden: Nurshafini binti Mustafha, Timbalan Pendakwa Raya, Jabatan Peguam Negara

Legislation referred to:

Akta Pengangkutan Jalan 1987, Seksyen-seksyen 41(1), 43

Kanun Keseksaan, Seksyen-seksyen 148, 300, 300(d), 302, 304A, 307, 336, 338

Judgments referred to:

Kenneth Fook Mun Lee v PP [2006] 4 CLJ 359

PP v Thenegaran Murugan & Another Appeal [2013] 4 CLJ 364 (MR)

State v Haidar Ali AIR [1976] SC 1012; [1976] Cr LJ 732

Notice: The Promoters of Malaysian Judgments acknowledge the permission granted by the relevant official/ original source for the reproduction of the above/ attached materials. You shall not reproduce the above/ attached materials in whole or in part without the prior written consent of the Promoters and/or the original/ official source. Neither the Promoters nor the official/ original source will be liable for any loss, injury, claim, liability, or damage caused directly, indirectly or incidentally to errors in or omissions from the above/ attached materials. The Promoters and the official/ original source also disclaim and exclude all liabilities in respect of anything done or omitted to be done in reliance upon the whole or any part of the above/attached materials. The access to, and the use of, Malaysian Judgments and contents herein are subject to the Terms of Use.