THE OFFICIAL REPOSITORY OF
MALAYSIAN JUDGMENTS & RULINGS

[2018] MYCA 133 MALAY

Raju A/L Dakashina Murtay v Pendakwa Raya
Suit Number: Rayuan Jenayah No. J-05(M)-387-10-2016 

Criminal law – Murder – Conviction – Death sentence – Appeal

Criminal law – Whether the trial court failed to consider material contradictions by certain witnesses – Whether the trial court erred in accepting the testimony of the appellant’s wife regarding an admission by the appellant – Whether the testimony by the appellant’s wife inadmissible under the Evidence Act 1950 – Whether the trial court failed to consider the DNA evidence in favour of the appellant – Whether the conviction safe

PENGHAKIMAN

Pendahuluan

[1] Perayu telah dituduh atas kesalahan melakukan bunuh, iaitu menyebabkan kematian ke atas Unni Nesir bin Ali (No. K/P: 720916-01-5961) pada 25 September 2013, antara jam 9.00 malam hingga 12.00 malam di Jalan Batu Tidak Bertar, Ladang Johor Labis, Bahagian 2, Chaah, Johor, kesalahan yang boleh dihukum di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan.

[2] Mahkamah Tinggi telah mendapati perayu bersalah terhadap pertuduhan. Perayu disabitkan dan dihukum dengan hukuman mati.

[3] Perayu telah mengemukakan rayuan terhadap sabitan dan hukuman. Pada 04 Januari 2018, Mahkamah ini telah mendengar rayuan perayu dan memutuskan untuk menolak rayuan perayu. Sabitan dan hukuman Mahkamah Tinggi ke atas perayu dikekalkan. Kami kini memberikan alasan keputusan tersebut.

Kes Pendakwaan

[4] Kes pihak pendakwaan adalah seperti berikut. Unni Nesir bin Ali (si mati) bekerja sebagai ketua kerani di Ladang Johor Labis, Chaah, Johor. Si mati dan isterinya bernama Humaita binti Kunjee Mohamad (SP3) tinggal di sebuah rumah di ladang tersebut bersama dua orang anak mereka. Pada 25.9.2013, jam lebih kurang 7.45 petang, si mati keluar dari rumah dengan menunggang sebuah motosikal bernombor pendaftaran JGX 6581. SP3 mengatakan si mati memberitahunya bahawa si mati hendak pergi ke bank. Bagaimana pun, sehingga jam 1.30 pagi, 26.9.2014 si mati masih tidak pulang. SP3 cuba menghubungi si mati dengan telefon tetapi tiada jawapan. Pada sekitar jam 6.15 pagi, SP3 menghubungi mandor ladang tersebut bernama M. Sivaanandan a/l Govindan (SP2) untuk memberitahu SP2 bahawa simati masih tidak balik ke rumah sejak keluar rumah dan meminta SP2 membantu mencari si mati.

[5] SP2 keluar mencari si mati di semua bank yang ada di sekitar kawasan ladang tersebut tetapi tidak menjumpai si mati. Ketika dalam perjalanan balik untuk masuk bekerja di ladang tersebut, SP2 terlihat sebuah motosikal dalam keadaan tumbang di tepi jalan kawasan ladang tersebut. SP2 menghampiri motosikal tersebut dan mendapatinya motosikal tersebut bernombor pendaftaran JGX 6581. SP2 melihat si mati di sebelah motorsikal dalam keadaan terbaring dan berdarah. SP2 serta merta pergi ke pondok pengawal ladang dan memaklumkan anggota polis bantuan yang bertugas di situ tentang apa yang dilihat olehnya. SP2 kemudiannya membuat satu laporan polis melalui Chaah Rpt/000773/13 (P20).

[6] ASP Othman bin Mantaha (SP16) iaitu pegawai penyiasat bertugas IPD Segamat telah dimaklumkan oleh anggota Balai Polis Chaah tentang laporan polis yang dibuat oleh SP2. SP16 dan sepasukan anggota polis telah serta merta ke tempat kejadian. SP16 melihat terdapat satu mayat dalam keadaan tertangkup di atas jalan berhampiran motosikal. SP16 menjumpai satu beg duit yang mengandungi kad pengenalan si mati daripada seluar yang dipakai si mati. SP16 mendapati pada badan si mati terdapat banyak kesan tetakan, termasuk di bahagian perut, tengkok, kepala, kaki dan tangan kanan si mati telah putus (gambar-gambar P21 (1-74) muka surat 397-433 Rekod Rayuan Jilid 5). SP6 mengutip beberapa barang kes di tempat kejadian untuk dibuat ujian DNA. Mayat si mati kemudiannya dihantar ke Hospital Segamat untuk dibedah siasat.

[7] Pada 27.9.2013, jam lebih kurang 11.00 pagi, Dr. Khairul Anuar bin Zainun (SP8), pakar patologi forensik Hospital Tun Aminah Johor Bahru melakukan bedah siasat ke atas mayat si mati di Unit Perubatan Hospital Segamat. Mayat si mati dicamkan oleh abang si mati bernama Hamzah bin Ali (SP4) dan SP16. SP8 menganggarkan si mati mati antara tempoh 12 jam hingga 36 jam dari tarikh dan masa bedah siasat. SP8 mengesahkan si mati mengalami 32 kecederaan tubuh badan termasuk luka kesan tetakan di kepala, muka, leher, hadapan dan belakang badan, abdomen kanan serta kaki kanan dan kiri. Luka tetakan di tangan kanan telah menyebabkan tangan hampir terpotong, tetakan di pergelangan tangan kanan telah memotong bahagian pergelangan tangan si mati secara total. Pemeriksaan dalaman mendapati antara lain retak tulang tempurung belakang kepala, patah tulang leher dan putus tunjang dasar otak. Kaki kanan terpotong. Tulang tunjang humerus, radius dan ulna di tangan kanan telah patah, tulang tibia di kaki turut terpotong. Luka tetakan di bahagian belakang leher yang dalam telah memotong otot leher dan menyebabkan pendarahan berlebihan. Kesemua kesan tetakan diakibatkan oleh penggunaan senjata tajam yang berat seperti parang atau pedang yang dihayunkan oleh penyerang ke atas si mati. Kesan tetakan dan hirisan luka di bahagian belakang tangan menunjukkan si mati cuba mempertahankan diri daripada serangan. SP8 mengesahkan sebab kematian disebabkan oleh “Multiple Slashed Wounds”. SP8 juga mengatakan penyakit koronik pada organ hati “Hepatic Cirrhosis (changes of chronic liver disease)” yang dialami oleh si mati juga telah menyumbang kepada kematian segera si mati apabila fungsi hati si mati menjadi terganggu disebabkan oleh luka dalam yang parah yang mengakibatkan pendarahan yang berlebihan (muka surat 115-116 Rekod Rayuan Jilid 2). SP8 turut mengemukakan laporan post mortem si mati (P22-muka surat 435-441 Rekod Rayuan Jilid 5).

[8] Pada 27.9.2013, jam lebih kurang 3.00 petang, perayu telah ditangkap oleh L/Kpl Muhamad Shukor bin Simun (SP9) ketika perayu datang ke Balai Polis Tanjung Minyak, Melaka (P23).

[9] Lavannya a/p Marutha (SP14) ialah isteri perayu. SP14 memberikan keterangan bahawa pada 25.9.2013 sekitar jam 8.30 malam, perayu telah keluar rumah dengan membawa sebilah parang dan menunggang motosikal. SP14 melihat perayu hanya memakai seluar dan tidak berbaju. Lebih kurang jam 9.30 malam, perayu telah kembali semula ke rumah dengan kesan darah kelihatan pada badan, muka, seluar perayu serta parang. SP14 mengatakan perayu menyuruh SP14 supaya mencuci parang dan seluar. SP14 juga mengatakan bahawa perayu memberitahunya yang perayu telah membunuh kerani dengan memotong tangan, leher dan perut. SP14 seterusnya mengatakan pada keesokan hari 26.9.2013, jam lebih kurang 7.00 pagi, perayu telah menelefon SP14 dan menyuruh SP14 supaya mencuci motosikal perayu yang ada sedikit kesan darah.

[10] Ganesan a/l Raman (SP6) memberi keterangan bahawa pada 25 September 2013, sekitar jam 10.00 malam, perayu telah datang ke rumahnya dengan menunggang motosikal. SP6 melihat terdapat darah pada badan dan seluar perayu. SP6 juga melihat terdapat sebilah parang dalam raga motosikal perayu. SP6 seterusnya mengatakan bahawa perayu memberitahunya bahawa perayu telah memotong seseorang. SP6 melihat perayu mencuci parang yang terdapat darah. SP6 juga memberikan air kepada perayu apabila perayu meminta air untuk mencuci parang yang mempunyai darah tersebut.

[11] Thivviyaanant a/l Murugan (SP7) dalam keterangannya mengatakan pada 25.9.2013 dia berada di rumah SP6. SP7 mendengar perayu mengatakan “saya sudah potong satu orang" dan melihat terdapat darah pada dada, seluar dan tangan perayu. SP7 juga mengatakan dia melihat perayu mencuci parang yang ada darah. SP7 juga membantu mengambil air dan menyerahkan kepada SP6 untuk diberikan kepada perayu apabila perayu hendak mencuci parang yang mempunyai kesan darah.

[12] Moorthy a/l Patchiappan (SP5) pula dalam keterangannya mengatakan pada 25.9.2013, sekitar jam 1.00 pagi, perayu telah datang ke rumahnya dengan menunggang motosikal. SP5 mengatakan dia ada mendengar perayu bercakap yang perayu sudah potong orang.

[13] SP16 mengatakan sebagai pegawai penyiasat kes ini, setelah membuat siasatan, SP16 telah menghubungi SP14 iaitu isteri perayu untuk SP14 menghubungi perayu supaya datang menyerah diri ke balai polis.

[14] Di akhir kes pendakwaan, pada 9.5.2016, YA Pesuruhjaya Kehakiman setelah membuat penilaian maksima ke atas kes pendakwaan, telah memutuskan bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes prima facie terhadap perayu dan perayu dipanggil untuk membela diri. YA Pesuruhjaya Kehakiman juga membuat dapatan bahawa percanggahan keterangan SP6, SP14 dan SP5 berkaitan masa sebenar perayu balik ke rumah, perayu datang ke rumah SP6 dan kemudiannya ke rumah SP5 dan SP6, SP7 dan SP5 melihat perayu membasuh parang yang mempunyai darah bukan merupakan percanggahan yang material dan tidak menggugat keterangan mereka dalam perkara yang material. YA Pesuruhjaya Kehakiman berpuas hati bahawa semua elemen bagi pertuduhan di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan telah dapat dibuktikan oleh pihak pendakwaan. Penghakiman oleh YA Pesuruhjaya Kehakiman pada akhir kes pendakwaan dapat dilihat di muka surat 221-224 Rekod Rayuan Jilid 3.

Pembelaan Perayu

[15] Pada 27.7.2016, pembelaan perayu didengar di hadapan YA Pesuruhjaya Kehakiman yang baharu setelah YA Pesuruhjaya Kehakiman terdahulu tamat perkhidmatan.

[16] Perayu (SD1) memberi keterangan secara bersumpah. Perayu juga memanggil 4 orang saksi bagi kes pembelaan, iaitu Supt. Mohd Kamil bin Sukarmi (SD2), DSP Mohd Nasyim bin Bahron (SD3), pegawai sains Nur Hafiza binti Md Yusop (SD4) dan Siti Balkiah binti Ismail (SD5).

[17] Perayu menafikan melakukan bunuh ke atas si mati. Keterangan perayu telah diringkaskan oleh YA Pesuruhjaya Kehakiman seperti berikut (muka surat 13-16 Rekod Rayuan Jilid 1):

“6. Keterangan tertuduh bolehlah diringkaskan seperti berikut:

- 2 atau 3 bulan sebelum ditangkap polis beliau tinggal di rumah ibunya di Chaah bersama bekas isterinya (SP14) dan seorang anak. Beliau tidak mempunyai pekerjaan tetap, selalu pergi memburu biawak dan membuat pelbagai pekerjaan seperti mengikut orang menjadi pembantu membawa lori.

- Pada petang 25 September 2013 beliau pergi memburu biawak. Selepas dapat menangkap biawak, beliau memotong dagingnya dan meletakkan di dalam peti sejuk rumah ibunya. Beliau meminjam RM 10.00 daripada ibunya untuk membeli arak.

- Pada malam 25 September 2013 semasa beliau minum arak di Taman Muhibah, Chaah, Murugam datang dan meminjam motosikalnya lebih dari setengah jam. Kemudian Murugan kembali semula ke situ. Beliau tidak nampak ada kesan darah di motosikalnya kerana ketika itu gelap. Selepas itu beliau balik ke rumah.

- SP14 tidak ada di rumah kerana pergi ke rumah jiran untuk menonton televisyen. Beliau mandi dan menukar pakaian selepas itu SP14 balik ke rumah bersama anak mereka. Kemudiannya antara jam 11.00 ke 12.00 malam beliau keluar pergi ke rumah kawannya Maya dan mengikut Maya menaiki tori ke Johor Bahru untuk membantu Maya turunkan barang.

- Pada keesokan harinya (26 September 2013) beliau diturunkan oleh Maya daripada lori di satu tempat perindustrian. Semasa berjalan di satu lorong, Murugan dan Moorthy datang dan berjumpa beliau. Mereka memberitahu polis mencari beliau kerana beliau telah tetak seseorang. Beliau menyatakan tidak buat apa-apa dan akan pergi ke balai polis. Murugan bercakap kepada beliau jangan pergi ke balai polis sekarang kerana ramai orang nanti kena pukul.

- Moorthy telah berikan RM 300.00 kepada beliau dan menyuruh beliau lari dari Chaah dengan segera dan dia akan berbincang dengan Inspektor Othman tentang kes ini. Beliau berasa takut apabila mereka menyuruh beliau lari dari Chaah.

- Selepas Moorthy memanggil seseorang, sebuah kereta sampai di situ. Beliau masuk ke dalam kereta tersebut setelah disuruh oleh Moorthy supaya mengikut pemandu kereta tersebut. Beliau duduk di tempat duduk belakang. Kereta tersebut menuju ke satu tempat melalui Balai Polis Chaah dan Segamat. Beliau minta diturunkan di Balai Polis Chaah tetapi pemandu kereta tersebut menyatakan arahan Moorthy supaya beliau dibawa ke tempat lain. Pemandu kereta tersebut juga enggan memberhentikan kereta di Balai Polis Segamat untuk beliau membuat laporan polis.

- Pemandu kereta tersebut meneruskan perjalanan dan beliau diturunkan di Durian Tunggal, Melaka. Beliau tidur satu malam di perhentian bas Durian Tunggal.

- Beliau kemudiannya pergi ke Bukit Rambai untuk berjumpa dengan majikan lamanya. Beliau telah meminjam telefon majikan lamanya untuk menghubungi SP14 di mana SP14 memberitahu polis mencari beliau dan meminta beliau untuk menyerah diri.

- Beliau menyerah diri di Balai Polis Tanjung Minyak, Melaka dan polis telah menangkap beliau.

- Beliau kenal dengan simati tetapi tidak pernah berjumpa atau bercakap dengan simati. Simati tinggal di Chaah dan pernah nampak simati menunggang motosikal. Beliau tidak ada masalah dengan simati, tidak bermusuh dengan simati dan tidak pernah bergaduh dengan simati.

- Beliau tidak ada melihat simati pada 25 September 2013. Beliau tidak bergaduh dengan simati pada malam 25 September 2013. Beliau tidak membunuh simati.

- Beliau menangis di dalam mahkamah apabiia gambar simati (P19 gambar 4, 5) dirujuk kepadanya oleh Timbaian Pendakwa Raya kerana takut melihat gambar tersebut.

- Pada malam 25 September 2013 beliau tidak ada pergi ke rumah Murugam dan berjumpa dengan Ganesan (SP6). Keterangan SP6 bahawa pada 25 September 2013 jam lebih kurang 10.00 malam beliau pergi ke rumah SP6 dalam keadaan berdarah, minta satu jug air untuk membasuh barang yang ada kesan darah adalah tidak benar.

- Keterangan SP14 bahawa semasa SP14 menaiki motosikal bersama beliau berhampiran satu simpang terdapat seorang berbadan gemuk menunggang motosikal dari arah hadapan dan beliau memberitahu SP14 orang itu adalah musuhnya adalah tidak benar. Beliau tidak berkata kepada SP14 orang itu adalah musuhnya. Keterangan SP14 bahawa pada 25 September 2013 jam lebih kurang 8.30 malam beliau keluar dengan membawa parang dan berkaki ayam adalah tidak benar. Keterangan SP14 bahawa beliau balik ke rumah pada jam lebih kurang 9.30 malam dengan pakaian berlumuran darah adalah tidak benar. Beliau menyatakan bahawa SP14 bercakap bohong di dalam mahkamah mungkin kerana SP14 mahu bercerai dengannya.”.

[18] Melalui saksi SD2, perayu membawa keterangan bahawa pihak polis sedang menyiasat tentang siapa rakan si mati yang si mati hendak berjumpa pada malam kejadian.

[19] Melalui saksi SD3, perayu membawa keterangan bahawa pada awalnya perayu hanya merupakan saksi yang dicari oleh polis untuk membantu polis dalam siasatan dan bukan sebagai saspek.

[20] Melalui keterangan SD4, perayu membawa keterangan bahawa dua puntung rokok yang dikutip oleh SD16 di tempat kejadian, yang kemudiannya dianalisis oleh SD4 sebagai DNA ‘Male 1’ dan ‘Male 2’ adalah keterangan kewujudan orang lain yang bukan perayu di tempat kejadian. Bagaimana pun, SD16 membuat penjelasan bahawa ketika beliau sampai ke tempat kejadian, telah ramai orang di situ dan puntung rokok yang dikutipnya itu berkemungkinan milik orang ramai yang hadir ke situ setelah mayat dijumpai.

[21] Melalui keterangan SD5, perayu membawa keterangan bahawa darah si mati mengandungi kandungan alkohol sebanyak 84 miligram kerana telah minum alkohol pada malam tersebut (D33).

[22] Perayu juga memanggil semula saksi SD8 iaitu pakar forensik untuk mendapatkan penjelasan berkaitan jangkaan jarak masa si mati mati. SD8 mengekalkan keterangannya bahawa jangkaan masa kematian si mati dianggarkan pada lingkungan 12 jam hingga 24 jam sebelum tarikh dan masa bedah siasat dilakukan.

Dapatan dan Keputusan Hakim Bicara Di Akhir Kes Pembelaan

[23] Di akhir kes pembelaan, YA Pesuruhjaya Kehakiman telah membuat dapatan seperti berikut (muka surat 24-26 Rekod Rayuan Jilid 1):

“35. Keterangan ikut keadaan melalui keterangan SP5, SP6 dan SP14 seperti dinyatakan di atas (perenggan 16, 19, 21) yang telah dibuktikan oleh pendakwaan dan tidak dicabar oleh pembelaan secara kumulatifnya telah membentuk satu rantaian lengkap yang tidak dapat lari daripada kesimpulan bahawa tertuduhlah yang telah membunuh simati dan bukannya orang lain.

36. Tertuduh yang telah menyebabkan kecederaan ke atas tubuh simati yang mana kecederaan tersebut adalah seperti yang dinyatakan oleh SP8 di dalam keterangannya. Keterangan SP8 menunjukkan kematian simati disebabkan oleh luka tetak berganda terhasil oleh tetakan menggunakan objek atau senjata berat dan tajam seperti parang, pedang atau seumpamanya. Dan parang (P17A) boleh menghasilkan luka-luka tetak yang dalam. Tidak ada keraguan kematian simati adalah disebabkan oleh perbuatan tertuduh yang telah mendatangkan kecederaan tersebut kepada tubuh simati.

37. Keterangan yang ada di hadapan mahkamah lebih dari mencukupi untuk membuktikan niat tertuduh untuk membunuh simati. Simati mengalami 32 kecederaan pada tubuhnya, terdiri daripada luka lecet, luka hiris dan luka tetak di kepala, muka, leher, hadapan dan belakang badan, abdomen kanan serta kaki kanan dan kiri, luka tetak di tangan kanan telah menyebabkan tangan kanan hampir terpotong, luka tetak di pergelangan tangan telah memotong bahagian tersebut secara total. Kecederaan luka tetak mengakibatkan retak tulang tempurung belakang kepala, patang tulang leher dan putus saraf tunjang dasar otak, otot-otot di leher kiri, tangan dan pergelangan tangan kanan serta kaki kanan telah terpotong, tulang panjang humerus, radius dan ulna di tangan kanan telah patang, tulang tibia di kaki terpotong, dan luka tetak di belakang leher yang dalam telah memotong otot leher, tulang belakang, tulang tempurung kepala dan seterusnya saraf tunjang dasar otak.

38. Dengan kecederaan sedemikian rupa dan jumlah kecederaan yang banyak, yang dihasilkan dengan menggunakan objek atau senjata berat dan tajam seperti parang yang merupakan senjata berbahaya adalah tidak logik tertuduh tidak berniat untuk menyebabkan kecederaan serius kepada tubuh simati. Telah dibuktikan melampaui keraguan yang munasabah bahawa tertuduh mempunyai niat untuk membunuh simati iaitu tertuduh mempunyai niat untuk menyebabkan kecederaan tubuh ke atas simati dan kecederaan tubuh yang diniatkan itu mencukupi pada lazimnya untuk menyebabkan kematian simati (seksyen 300(c) Kanun Keseksaan). Kecederaan ini tidak sesuai dilakukan oleh simati sendiri atau dihasilkan akibat terjatuh.

39. Pembelaan tertuduh bahawa beliau tidak membunuh simati adalah merupakan penafian semata-mata. Dalam keadaan keterangan pendakwaan penafian tertuduh tidak menimbulkan satu keraguan yang munasabah ke atas kes pendakwaan terhadap tertuduh. Mahkamah mendapati bahawa pembelaan tertuduh tidak menimbulkan satu keraguan yang munasabah ke atas kes pendakwaan.

40. Mahkamah menerima keterangan saksi-saksi pendakwaan yang lain. Tidak ada sebab untuk mahkamah menolak keterangan mereka.

41. Mahkamah mendapati bahawa pendakwaan telah membuktikan kes mereka iaitu pertuduhan di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan terhadap tertuduh melampaui keraguan yang munasabah. Mahkamah mendapati tertuduh bersalah bagi pertuduhan di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan dan disabitkan.”.

[24] Perayu telah didapati bersalah dan disabitkan dengan pertuduhan dan dihukum dengan hukuman mati.

Rayuan Perayu

[25] Peguam bela terpelajar bagi pihak perayu mengemukakan tiga alasan rayuan dalam mencabar dapatan dan keputusan Hakim bicara:

(a) Hakim bicara gagal menimbangkan terdapat percanggahan yang material oleh saksi SP5, SP6, SP7 dan SP14, keterangan tentang pengakuan perayu dan percanggahan masa-masa perayu datang ke rumah SP5, SP6 dan SP14.

(b) Hakim bicara khilaf dalam menerima keterangan SP14 yang merupakan isteri perayu berkaitan pengakuan perayu dan percanggahan keterangan SP14 yang material dengan saksi SP5, SP6 dan SP7.

(c) Hakim bicara gagal menimbangkan keterangan DNA yang memihak kepada perayu.

Keputusan Mahkamah Ini

[26] Sama ada Hakim bicara telah gagal menimbangkan terdapat percanggahan yang material oleh saksi SP5, SP6, SP7 dan SP14 mengenai keterangan tentang pengakuan perayu dan percanggahan masa-masa perayu datang ke rumah SP5, SP6 dan SP14.

[27] Peguam bela terpelajar berhujah terdapat percanggahan dalam keterangan SP5 dan SP6 tentang masa sebenar perayu datang ke rumah SP6 dan SP5 semasa perayu memberitahu bahawa perayu telah memotong seseorang. Mengikut keterangan SP5, perayu telah datang ke rumah SP5 dengan menunggang motorsikal pada jam 1.00 pagi. SP5 melihat perayu tidak berbaju dan hanya memakai seluar pendek. SP5 mengatakan ketika SP5 berada di hadapan rumahnya, SP5 mendengar perayu mengatakan dalam Bahasa Tamil “Naverthena vethita” yang bermaksud ‘saya telah memotong seseorang' (muka surat 7 Rekod Ratyuan Jilid 1). Mengikut keterangan SP6 pula, perayu datang ke rumah SP6 pada jam 10.00 malam. SP6 melihat perayu memakai seluar pendek dan badan perayu berlumuran darah dari bahagian dada hingga ke seluar. Perayu berkaki ayam. SP6 mengatakan perayu telah memberitahu SP6 dalam Bahasa Tamil “Naan oruthna poothuwanta” bermaksud ‘saya telah memotong seseorang'. SP6 seterusnya mengatakan perayu telah meminta SP6 membawa air bagi perayu mencuci parang terdapat darah. SP6 melihat parang yang dibawa oleh perayu diselaputi darah pada bahagian mata (bilah) parang. SP6 membantu dengan cara mencurahkan air ke atas parang dan perayu mencuci parang tersebut. Peguam bela terpelajar selanjutnya merujuk kepada keterangan SP14, iaitu isteri perayu. SP14 mengatakan bahawa perayu telah pulang ke rumah pada sekitar jam 9.30 malam dalam keadaan badan perayu terdapat darah. SP14 seterusnya mengatakan perayu telah mandi serta meminta SP14 mencuci seluar dan parang. Perayu selepas itu telah keluar dari rumah. Peguam bela terpelajar menghujahkan dengan mengambil kira keterangan SP14 bahawa perayu telah mandi dan parang telah dicuci pada sekitar jam 9.30 malam, maka tidak berkemungkinan bagi perayu dilihat masih dalam keadaan berlumuran darah oleh SP6 pada jam 10.00 malam. Peguam bela juga menghujahkan dengan mengambil kira keterangan SP14 bahawa parang telah dibasuh pada sekitar jam 9.30 malam, maka adalah juga tidak berkemungkinan bagi perayu mencuci parang pada jam 10.00 malam ketika datang ke rumah SP6. Peguam bela juga menghujahkan terdapat kemungkinan SP5 dan SP6 tidak memahami perkataan sebenar perayu apabila perayu mengatakan telah memotong seseorang yang diucapkan dalam Bahasa Tamil. Justeru, peguam bela terpelajar menghujahkan bahawa Hakim bicara sewajarnya menolak keterangan SP5 dan SP6 berdasarkan keterangan SP14.

[28] Kami telah meneliti alasan penghakiman Hakim bicara dalam perkara ini. Hakim bicara telah membuat dapatan berikut (muka surat 22-23 Rekod Rayuan Jilid 1):

“30. Mahkamah menerima keterangan SP5, SP6 dan SP14. Keterangan mereka langsung tidak dicabar oleh peguam bela tertuduh. Tidak ada sebab untuk Mahkamah menolak keterangan mereka. Thivviyaanant a/l Murugan (SP7) yang berada di rumah bersama SP6 pada 25.9.2013 juga mendengar tertuduh bercakap kepada SP6 “saya sudah potong satu orang” dan nampak darah pada dada, seluar dan tangan tertuduh. SP7 juga melihat tertuduh mencuci parang yang ada darah pada bilahnya. Keterangan SP7 menyokong keterangan SP6.

31. Perbezaan di antara keterangan SP5, SP6 dan SP14 mengenai masa seperti yang dihujahkan oleh peguam bela tertuduh bukanlah satu perbezaan yang sangat ketara sehingga menjejaskan kes pendakwaan. lanya hanyalah perbezaan dari segi masa. Perbezaan ini tidak menjejaskan kebolehkepercayaan mereka. Kejadian ini telah berlaku hampir 2 tahun semasa mereka memberi keterangan di Mahkamah. Semestinya mereka tidak boleh mengingati dengan tepat setiap perkara yang telah berlaku. Dalam apa keadaan pun fakta material yang tidak berbeza langsung di antara keterangan SP6 dengan SP14 adalah pada bahagian badan dan seluar tertuduh terdapat kesan darah dan fakta material yang tidak berbeza langsung di antara keterangan SP5 dengan keterangan SP6 adalah tertuduh bercakap ‘saya telah potong orang’.”.

[29] Kami bersetuju sepenuhnya dengan dapatan Hakim bicara tersebut. Dalam menerima keterangan SP5, SP6 dan SP14, Hakim bicara juga telah menimbang keterangan SP7 yang menyokong keterangan SP6. Kami bersetuju dengan dapatan Hakim bicara bahawa faktor perbezaan masa SP6 dan SP14 melihat perayu dengan badan berdarah dan parang yang juga mempunyai darah dicuci tidak menjadikan keterangan SP5 dan SP14 sebagai tidak kredible. Kualiti daya ingatan saksi-saksi ke atas sesuatu kejadian akan pudar oleh faktor masa khususnya dalam perkara yang melibatkan perkiraan masa. Saksi bagaimana pun masih berupaya memberikan keterangan material dengan meyakinkan tentang apa yang berlaku dan apa yang telah dilihat dan didengar oleh mereka. Pengataan yang dibuat oleh perayu kepada SP6 dan didengar oleh SP5 dan SP7 pada masa dan tempat yang berasingan, ialah keterangan yang boleh diterima masuk (Low Kian Boon & Anor v Public Prosecutor [2010] 4 MLJ 425). Hakim bicara berhak menerima keterangan SP6, SP7, SP5 dan SP14 tersebut. Oleh itu, kami dapati hujahan peguam bela terpelajar dalam isu ini tidak mempunyai merit.

[30] Isu kedua rayuan yang dibangkitkan oleh peguam bela terpelajar ialah peneriman masuk keterangan SP14 yang merupakan isteri kepada perayu. Peguam bela terpelajar menghujahkan keterangan SP14 yang mengatakan perayu ketika pulang ke rumah memberitahu SP14 bahawa perayu telah membunuh kerani dengan memotong tangan, leher dan perut merupakan komunikasi dalam tempoh perkahwinan antara perayu selaku suami dan SP14 selaku isteri dan yang demikian tidak boleh diterima untuk membentuk keterangan pendakwaan kerana komunikasi sedemikian dilindungi di bawah seksyen 122 Akta Keterangan 1950. Bagaimana pun peguam bela terpelajar tidak mengemukakan sebarang kes autoriti untuk menyokong hujahannya.

[31] Timbalan Pendakwa Raya (TPR) terpelajar bersetuju dengan hujahan peguam bela dalam isu komunikasi tersebut untuk tidak diambil kira oleh Mahkamah dalam menimbang keterangan SP14. TPR seterusnya menghujahkan, keterangan SP14 yang mengatakan SP14 melihat perayu keluar rumah pada sekitar jam 8.30 malam, perayu hanya berseluar pendek dan tidak berbaju, perayu membawa parang dan keluar menunggang motosikal, perayu pulang ke rumah dengan badan dan seluar terdapat darah, perayu mandi, pada parang terdapat darah dan perayu menyuruh SP14 mencuci parang dan seluar yang ada darah, merupakan keterangan yang 'admissible’ disebabkan keterangan sedemikian bukan bersifat komunikasi dalam maksud seksyen 122 Akta Keterangan 1950. Keterangan sedemikian sebaliknya ialah keterangan secara langsung dalam maksud seksyen 60 Akta Keterangan.

[32] Seksyen 120(2) Akta Keterangan 1950 mengatakan:

“Dalam prosiding jenayah terhadap seseorang, suami atau isteri orang itu adalah masing-masingnya saksi kompeten.”

[33] Seksyen 122 Akta Keterangan 1950 memperuntukkan-

“122. Komunikasi dalam tempoh perkahwinan

Seseorang yang beristeri atau bersuami atau telah beristeri atau bersuami tidak boleh dipaksa mendedahkan apa-apa komunikasi yang telah dibuat kepadanya dalam masa dia beristeri atau bersuami oleh isteri atau suaminya atau oleh bekas isteri atau bekas suaminya; dan juga orang itu tidak dibenar mendedahkan apa-apa komunikasi itu melainkan jika orang yang telah membuat komunikasi itu atau wakilnya dari segi kepentingan mengizinkan, kecuali dalam guaman suami-isteri atau dalam prosiding di mana seseorang yang beristeri atau bersuami didakwa kerana sesuatu kesalahan jenayah yang dilakukan terhadap isteri atau suaminya.”

[34] Dalam kes Public Prosecutor v Abd Majid [1994] 3 MLJ 457, tertuduh telah dituduh atas kesalahan membunuh di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan. Pada siasatan permulaan, pihak pendakwa telah cuba memanggil isteri tertuduh sebagai seorang saksi pendakwa. Peguam bela tertuduh telah membuat bantahan atas alasan bahawa walaupun isteri tertuduh ialah seorang saksi kompeten, dia tidak boleh dipaksa untuk memberikan keterangan yang menentang suaminya sendiri. Majistret telah memutuskan bahawa isteri tertuduh tidak boleh dipaksa untuk memberikan sebarang keterangan yang menentang suaminya. Pihak pendakwa kemudiannya telah merujuk perkara tersebut kepada Mahkamah Tinggi. Hakim James Foong (beliau ketika itu) telah membenarkan permohonan semakan oleh pihak pendakwaan, dan memutuskan di muka surat 462 seperti berikut-

“I therefore order the learned magistrate to proceed with the enquiry and to record the evidence of Syarifah (the wife), and if she is unwilling to testify, to compel her to do so. However, in the course of her testimony, if there had been any communication by the accused to her, such communication cannot be compelled to be disclosed by her unless the consent of the accused is obtained as provided for under section 122 of the Evidence Act 1950.”

[35] Berdasarkan hujahan oleh kedua-dua peguam bela dan TPR terpelajar dan seksyen 122 Akta Keterangan serta kes PP v Abd Majid (supra), kami bersetuju bahawa keterangan SP14 yang mengatakan perayu memberitahu SP14 bahawa perayu “telah membunuh kerani, dah potong tangan dekat leher dan perut” (muka surat 173 Rekod Rayuan Jilid 2) ialah komunikasi yang tergolong di bawah seksyen 122 Akta Keterangan yang tidak boleh diterima masuk sebagai keterangan terhadap perayu.

[36] Kami telah mengkaji alasan penghakiman YA Pesuruhjaya Kehakiman dalam isu keterangan SP14 tersebut. YA Hakim bicara di (muka surat 19-20 Rekod Rayuan Jilid 1) memutuskan seperti berikut:

“16. SP14 di dalam keterangannya menyatakan pada 25 September 2013 beliau dan tertuduh berada di rumah pakcik tertuduh dari jam lebih kurang 9.30 pagi sehingga jam 8.00 malam. Beliau dan tertuduh kemudiannya balik ke rumah mereka dan sampai pada jam lebih kurang 8.30 malam. Selepas itu tertuduh dalam keadaan tidak memakai baju, berkaki ayam dan hanya berseluar pendek telah keluar dari rumah dengan menunggang motorsikal dan membawa sebilah parang. Lebih kurang jam 9.30 malam tertuduh balik ke rumah dalam keadaan ada kesan darah pada badan, muka, seluar dan parang. Tertuduh telah menyuruh beliau untuk mencuci parang dan seluar tersebut. Tertuduh memberitahu beliau yang dia telah membunuh kerani dengan memotong tangan, leher dan perut. Pada 26 September 2013 jam lebih kurang 7.30 pagi tertuduh menelefon beliau menyuruh beliau mencuci motorsikalnya yang ada sedikit kesan darah.

17. Bahagian penting dalam keterangan SP14 ini langsung tidak diperiksa balas mahu pun dicabar oleh peguam bela tertuduh. Kegagalan peguam bela tertuduh memeriksa balas bahagian penting keterangan SP14 ini terjumlah kepada penerimaan keterangan saksi ini oleh pembelaan. Dan bahagian penting keterangan SP14 ini kekal tidak digoyah dengan kegagalan peguam bela tertuduh untuk mencabarnya.”.

[37] Kami berpendapat Hakim bicara melakukan kesilapan apabila tidak mengetepikan sebahagian daripada keterangan SP14 yang berkaitan dengan komunikasi oleh perayu kepada SP14 tersebut. Keterangan yang tidak boleh diterima masuk di bawah undang-undang kekal tidak boleh diterima masuk tanpa mengira keterangan tersebut gagal dicabar atau dibantah oleh perayu. Bagaimanapun, kami bersetuju bahawa Hakim bicara tidak tersalah arah dalam menerima keterangan SP14 yang tergolong di bawah keterangan langsung di bawah seksyen 60 Akta Keterangan dalam perkara perlakuan perayu dan apa yang SP14 telah melihat sendiri pada malam itu. Jika pun keterangan berkaitan komunikasi perayu kepada SP14 ditolak di bawah seksyen 122, keterangan lain oleh SP14 yang bukan pengataan-pengataan atau komunikasi perayu kepada SP14, masih boleh diterima masuk untuk diberikan nilai berat oleh Hakim bicara. Oleh itu hujahan peguam bela untuk keterangan SP14 ditolak secara keseluruhannya tidak mempunyai merit.

[38] Isu terakhir yang dikemukakan oleh peguam bela perayu ialah Hakim bicara gagal menimbangkan keterangan ‘Deoxyribonucleic acid’ (DNA) yang memihak kepada perayu. Peguam bela menghujahkan terdapat kehadiran DNA milik ‘Male 1’ dan ‘Male 2’ pada dua puntung rokok yang dikutip oleh SP11 di tempat kejadian. Peguam bela juga menghujahkan tiada kesan DNA si mati pada tubuh badan perayu, seluar serta parang P17A yang dikemukakan di Mahkamah oleh pihak pendakwaan. Peguam bela menghujahkan dengan kehadiran DNA pada dua puntung rokok milik dua lelaki yang tidak dikenali, maka faedah keraguan wajar diberikan memihak kepada perayu.

[39] YA Hakim bicara telah membuat dapatan berikut (muka surat 23 Rekod Rayuan Jilid 1):

“32. Keterangan DNA adalah suatu keterangan sokongan untuk menguatkan lagi/ menyokong kes pendakwaan. Walau pun tiada kesan DNA (profil DNA) dijumpai pada seluar pendek tertuduh, parang dan swab pada motorsikal tertuduh seperti keterangan SD4, kes pendakwaan masih boleh berdiri dengan sendiri berdasarkan keterangan lain iaitu keterangan ikut keadaan melalui keterangan SP5, SP6 dan SP16. Ketiadaan profil DNA tersebut tidak menimbulkan satu keraguan yang munasabah ke atas kes pendakwaan terhadap tertuduh.

33. Berhubung dengan 2 puntung rokok di mana profil DNA lelaki tidak diketahui sumber DNA diperolehi yang dikenalpasti sebagai ‘Male 1’ dan ‘Male 2’ sebagaimana keterangan SD4, SP16 telah menjelaskan penduduk dan pekerja ladang tersebut telah sampai dahulu ke tempat kejadian sebelum polis sampai, berkemungkinan 2 puntung rokok itu daripada mereka yang berada disitu.”.

[40] YA Hakim bicara telah menimbangkan keterangan pembelaan perayu tersebut dan membuat dapatan ke atasnya. Ketiadaan DNA perayu tidak melemahkan kes pendakwaan atau menimbulkan keraguan ke atas kes pendakwaan. Terdapat keterangan daripada saksi-saksi seperti SP5, SP6, SP7 dan SP14 yang saling sokong menyokong dalam perkara-perkara yang material. Pelbagai kecederaan yang ditimpakan ke atas simati adalah daripada jenis kecederaan serius dan fatal. Jelas, orang yang menimpakan kecederaan tersebut mempunyai niat untuk menyebabkan kematian ke atas si mati. Keterangan SP8 adalah jelas dalam perkara ini bahawa si mati mati disebabkan luka tetakan berganda (multiple slashed wounds) menggunakan senjata tajam seperti parang atau pedang. Pihak pendakwaan telah membuktikan orang yang menimpakan kecederaan ke atas si mati ialah perayu. YA Hakim bicara juga telah menerima penjelasan SP16 berkaitan dua puntung rokok yang terdapat kehadiran DNA lelaki yang tidak dikenali. Kami bersetuju sepenuhnya dengan dapatan oleh Hakim bicara tersebut. Oleh itu, hujahan oleh peguam bela terpelajar dalam isu ini tidak mempunyai merit.

[41] Dalam kes di mana pihak pendakwaan bergantung kepada keterangan mengikut keadaan, keterangan yang dihasilkan mestilah membawa kepada hanya satu kesimpulan, iaitu kesalahan orang kena tuduh (Dato’ Mohtar Hashim v PP [1983] 2 CLJ 10; [1983] CLJ Rep 101 FC; [1983] 2 MLJ 232 FC, Magendran a/l Mohan v Public Prosecutor [2011] 1 CLJ FC). Dalam kes Tulshiram v State of Maharashta (1984) Cr LJ 209, Hakim Waikar mengatakan seperti berikut:

“The law on circumstantial evidence is clear and we need not restate it. Suffice it to say that all the circumstances established must unerringly point to the guilt of the accused and that they must be consistent and consistent with the guilt and inconsistent with the innocence of the accused. What is important is the cumulative effect of all the circumstances.”

[42] Kami mendapati dan bersetuju dengan Hakim bicara bahawa melalui keterangan saksi-saksi yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan, termasuk keadaan sekeliling, keterangan adalah mencukupi untuk dipegang secara bersama. Mahkamah di peringkat rayuan akan menahan diri atau lambat daripada mengganggu penemuan fakta oleh Mahkamah bicara di mana Hakim bicara mempunyai peluang untuk meneliti tingkah laku saksi-saksi semasa perbicaraan. Hakim bicara juga telah dengan terperinci menimbangkan keterangan pembelaan dan menilai keseluruhan keterangan seperti yang terdapat di muka surat 13 hingga 25 Rekod Rayuan Jilid 1. Kami mendapati dan bersetuju dengan dapatan Hakim bicara bahawa keterangan yang telah dikemukakan oleh pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan elemen-elemen yang perlu untuk memuaskan keperluan seksyen 302 Kanun Keseksaan dan kes pendakwaan telah dibuktikan tanpa apa-apa keraguan yang munasabah.

Kesimpulan

[43] Berdasarkan alasan-alasan yang telah kami huraikan, kami berpuas hati bahawa YA Hakim bicara telah mengarahkan dirinya dengan betul terhadap undang-undang yang terpakai dan telah meneliti keseluruhan keterangan yang dikemukakan dalam kes ini dalam membuat dapatan ke atasnya (Chan Chor Shuh v PP [2003] 1 CLJ 501). Kehendak seksyen 182A Kanun Prosedur Jenayah (Akta 593) telah dipatuhi. Tidak terdapat sebarang alasan atau merit untuk Mahkamah ini mengganggu keputusan Hakim bicara tersebut. Sabitan terhadap perayu adalah selamat.

[44] Justeru, Mahkamah ini menolak rayuan perayu dan mengekalkan sabitan dan hukuman oleh Mahkamah Tinggi.

 

YAACOB BIN HAJI MD SAM
Hakim
Mahkamah Rayuan Malaysia

Bertarikh: 25 April 2018

COUNSEL

Peguambela bagi pihak Perayu: Subash Ramasamy, Tetuan Chand, Jag & Associates, Peguambela dan Peguamcara, No. 47-1A, 1st Floor, Jalan Glasiar, Taman Tasik, 80200 Johor Bahru, Johor

Bagi pihak Pendakwa Raya: TPR Jasmee Hameeza binti Jaafar, Jabatan Peguam Negara, Bahagian Perbicaraan dan Rayuan, Aras 5, No. 45, Lot 4/G7, Presint 4, Persiaran Perdana, 62502 Putrajaya

Legislation referred to:

Akta Keterangan 1950, Seksyen-seksyen 60, 120(2), 122

Kanun Keseksaan, Seksyen 302

Kanun Prosedur Jenayah, Seksyen 182A

Judgments referred to:

Chan Chor Shuh v PP [2003] 1 CLJ 501

Dato’ Mohtar Hashim v PP [1983] 2 CLJ 10; [1983] CLJ Rep 101 FC; [1983] 2 MLJ 232 FC

Low Kian Boon & Anor v Public Prosecutor [2010] 4 MLJ 425

Magendran a/l Mohan v Public Prosecutor [2011] 1 CLJ FC

Public Prosecutor v Abd Majid [1994] 3 MLJ 457

Tulshiram v State of Maharashta [1984] Cr LJ 209

Notice: The Promoters of Malaysian Judgments acknowledge the permission granted by the relevant official/ original source for the reproduction of the above/ attached materials. You shall not reproduce the above/ attached materials in whole or in part without the prior written consent of the Promoters and/or the original/ official source. Neither the Promoters nor the official/ original source will be liable for any loss, injury, claim, liability, or damage caused directly, indirectly or incidentally to errors in or omissions from the above/ attached materials. The Promoters and the official/ original source also disclaim and exclude all liabilities in respect of anything done or omitted to be done in reliance upon the whole or any part of the above/attached materials. The access to, and the use of, Malaysian Judgments and contents herein are subject to the Terms of Use.