THE OFFICIAL REPOSITORY OF
MALAYSIAN JUDGMENTS & RULINGS

[2018] MYCA 270 MALAY

Rahaimi Bin Dollah v Pendakwa Raya
Suit Number: Rayuan Jenayah No. C-05(M)-166-05/2016 

Criminal law – Trafficking in dangerous drugs – Conviction of one of the accused – Sentence – Appeal

Criminal law – Whether the trial judge erred in relation to the presumptions under the Dangerous Drugs Act 1952 – Whether the trial judge erred in relation to the application of section 2 of the Dangerous Drugs Act 1952 – Whether the trial judge failed to properly evaluate the evidence before it

PENGHAKIMAN

[1] Di hadapan Mahkamah Tinggi, perayu (Orang Kena Tuduh Pertama (OKT-1)), bersama-sama tiga (3) yang lain iaitu Mohd. Izzuddin bin Mohd. Azmi (OKT-2), Rosdin bin Hussain (OKT-3); dan Muhasha bin Musa (OKT-4), telah dituduh dengan dua (2) pertuduhan berikut:

“Pertuduhan Pertama

Bahawa kamu bersama-sama pada 22 Julai 2014, jam lebih kurang 2.00 pagi, bertempat di Era Villa, No. 23, Lorong Bukit Ubi 74, Jalan Bukit Ubi, di dalam Daerah Kuantan, di dalam Negeri Pahang Darul Makmur, dalam menjalankan niat bersama kamu semua telah mengedar dadah berbahaya seberat 68.60 gram (51.50 gram Heroin dan 17.10 gram Monoacetylmorphines) dan dengan itu kamu telah melakukan suatu kesalahan di bawah seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) Akta yang sama dibaca bersama Seksyen 34, Kanun Keseksaan.

Pertuduhan Kedua

Bahawa kamu bersama-sama pada 22 Julai 2014, jam lebih kurang 2.00 pagi, bertempat di Era Villa, No. 23, Lorong Bukit Ubi 74, Jalan Bukit Ubi di dalam Daerah Kuantan di dalam Negeri Pahang Darul Makmur, dalam menjalankan niat bersama di dapati dalam kawalan kamu dadah berbahaya seberat 9.53 gram (6.22 gram heroin dan 3.31 gram Monoacetylmorphines) dan dengan itu kamu telah melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya, 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) Akta yang sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.”

[2] Di akhir kes pendakwaan, hakim bicara yang bijaksana telah melepas dan membebaskan OKT-2, OKT-3 dan OKT-4 dari pertuduhan pertama tersebut. Rayuan pendakwa raya ke atas keputusan tersebut telah ditolak oleh Mahkamah ini pada 16.11.2017 dan keputusan Mahkamah Tinggi tersebut telah disahkan.

[3] Walau bagaimanapun, perayu (OKT-1) telah dipanggil untuk membela diri atas pertuduhan yang pertama dengan pindaan yang sewajarnya oleh hakim bicara yang bijaksana. Di akhir kes pembelaan, perayu telah didapati bersalah dan disabitkan dengan kesalahan di bawah pertuduhan pertama tersebut dan telah dijatuhi dengan hukuman gantung di leher sampai mati.

[4] Hakim bicara yang bijaksana juga mendapati bahawa pihak pendakwaan telah gagal untuk membuktikan wujudnya satu kes prima facie ke atas keempat-empat orang yang kena tuduh (termasuk perayu) terhadap pertuduhan kedua dan dengan itu keempat-empat OKT tersebut telah diperintahkan supaya dilepaskan dan dibebaskan di akhir kes pendakwaan tanpa dipanggil untuk membela diri. Pendakwa raya tidak membuat sebarang rayuan terhadap keputusan ini.

[5] Rayuan di hadapan kami adalah rayuan perayu berkaitan dengan sabitan dan hukuman yang telah dijatuhkan ke atasnya berhubung dengan pertuduhan pertama tersebut.

[6] Kami telah mendengar rayuan perayu pada 16.11.2017 dan membenarkan rayuan tersebut dengan mengetepikan sabitan dan hukuman mati dan menggantikannya dengan satu sabitan di bawah s.12(2) Akta Dadah Berbahaya, 1952 (‘ADB’) dan dihukum selama 18 tahun penjara bermula dari tarikh perayu ditangkap dan juga dikenakan 10 sebatan dengan rotan di bawah s.39A(2) Akta yang sama. Sekarang diperturunkan alasan-alasan kami.

Kes Pihak Pendakwaan

[7] Pada malam 22.7.2014, pada kira-kira jam 1.00 pagi, SP-8 (L/Korp. Ahmad Sayuti bin Shamberi) bersama-sama SP-9 (Kpl. Mohd. Fadhil bin Othman) dan Kpl. Mohd. Firdaus b. Ahmad Idris yang sedang membuat rondaan cegah jenayah di sekitar kawasan pentadbiran Balai Polis Kuantan, telah melihat seorang penunggang motorsikal bernombor pendaftaran CDD 59 berhenti di hadapan sebuah ‘homestay’ di Era Villa, No. 23, Lorong Bukit Ubi 74, Jalan Bukit Ubi, Kuantan, Pahang. Penunggang motorsikal tersebut telah masuk ke dalam premis tersebut melalui pintu hadapan rumah. Dengan menggunakan aplikasi EMS, SP-8 mendapat maklumat bahawa nombor motorsikal tersebut adalah nombor palsu.

[8] SP-8 telah menyalurkan maklumat tersebut kepada Ketua Polis Balai Kuantan, SP-7 (ASP Rusdi b. Abdul Rashid). SP-7 bersama-sama 13 orang anggota dari Cawangan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Kuantan kemudiannya telah bergegas ke premis tersebut dan seterusnya menyerbu premis tersebut pada kira-kira jam 2.00 pagi.

[9] SP-7 bersama-sama SP-8, SP-9 dan dua anggota lain telah memasuki rumah tersebut melalui pintu hadapan yang tidak berkunci sambil memperkenalkan diri sebagai polis. Dengan serta-merta OKT-2, OKT-3 dan OKT-4 yang ketika itu sedang berada di ruang tamu rumah tersebut telah bertempiaran lari meluru untuk masuk ke bilik No. 233.

[10] Namun begitu, OKT-2, OKT-3 dan OKT-4 telah berjaya ditangkap di hadapan bilik No. 231.

[11] Sementara itu, perayu telah dilihat meluru ke luar dari bilik No. 231 lalu masuk ke dalam bilik air.

[12] Perayu telah ditangkap oleh SP-8 di dalam bilik air tersebut. Ketika ditangkap, perayu sedang memegang satu bungkusan plastik besar sambil mengoyak-goyakkannya dan membuang sesuatu dalam mangkuk tandas. SP-8 juga melihat serbuk-serbuk berwarna keputihan berselerakan di atas lantai bilik air tersebut.

[13] Di atas arahan SP-7, SP-8 telah membuat pemeriksaan di dalam bilik air di mana perayu telah ditangkap dengan disaksikan oleh kesemua tangkapan. Dari dalam mangkuk tandas di dalam bilik air tersebut, SP-8 telah menjumpai:

(i) satu (1) bungkusan plastik besar (eksibit P24) yang mengandungi serbuk warna keputihan (eksibit P25A) disyaki dadah; dan

(ii) satu (1) bungkusan plastik besar yang telah pecah (eksibit P26) yang mengandungi serbuk warna keputihan (eksibit P27A) yang disyaki dadah.

[14] SP-8 juga telah:

(i) mengutip serbuk warna keputihan yang berselerakan di atas lantai bilik air tersebut dan memasukkannya ke dalam satu bungkusan plastik yang telah koyak (eksibit P28) yang mengandungi serbuk keputihan (eksibit P29A) disyaki dadah; dan

(ii) mengutip serbuk keputihan disyaki dadah yang terdapat di dalam mangkuk tandas (eksibit P31A) dan kemudiannya dimasukkan di dalam bungkusan plastik yang lain (eksibit P30).

[15] Seterusnya, di dalam bilik No. 231, perayu telah menunjukkan kepada SP-7 satu (1) beg sandang warna coklat (eksibit P6) yang berada di atas katil. Perayu telah diarahkan untuk membuka beg sandang tersebut dan di dalamnya terdapat satu (1) beg kecil hijau bertulis ‘AVON’ (eksibit P20) yang mengandungi:

(i) 8 bungkusan kecil lut sinar berisi serbuk merah jambu (eksibit P22A); dan

(ii) 18 bungkusan kecil plastik lut sinar berisi serbuk warna keputihan (eksibit P23A).

[16] Dalam bilik No. 231 tersebut, SP-7 juga telah menjumpai:

(i) satu (1) plastik film sealer;

(ii) satu (1) penimbang elektronik;

(iii) satu (1) beg bertulis ‘ATLETIC SPORT CLOTHING’;

(iv) selaras senapang buatan sendiri;

(v) satu (1) botol plastik bertulis ‘KAT’ mengandungi bebola besi;

(vi) empat (4) buah telefon bimbit; dan

(vii) Wang tunai RM210.00.

[17] Ahli Kimia, SP-2 (Siti Hajar binti Hussin), telah diminta untuk menganalisis serbuk-serbuk tersebut. SP-2 mendapati dan mengesahkan bahawa serbuk-serbuk di dalam:

(i) eksibit P24 mengandungi campuran dadah jenis Heroin seberat 22.92 gram dan Monoacetylmorphines seberat 5.61 gram;

(ii) eksibit P26 mengandungi campuran dadah jenis Heroin seberat 11.91 gram dan Monoacetylmorphines seberat 3.71 gram;

(iii) eksibit P28 mengandungi campuran dadah jenis Heroin seberat 7.52 gram dan Monoactylmorphines seberat 2.82 gram; dan

(iv) eksibit P30 mengandungi campuran dadah jenis Heroin seberat 9.15 gram dan Monoacetylmorphines seberat 3.71 gram.

Berat bersih Heroin adalah 51.50 gram manakala Monoacetylmorphines adalah 17.10 gram. Dadah ini menjadi hal perkara (‘subject matter') dalam pertuduhan pertama.

[18] SP-2 turut mendapati dan mengesahkan bahawa serbuk-serbuk dalam eksibit P20 (serbuk yang dijumpai dalam beg sandang di atas katil) adalah campuran dadah Heroin seberat 6.22 gram dan Monoacetylmorphines seberat 3.31 gram. Dadah ini menjadi hal perkara dalam pertuduhan kedua.

[19] Menurut SP-2 dadah-dadah tersebut ialah jenis Heroin dan Monoacetylmorphines tersebut (selepas ini disebut ‘dadah tersebut’) adalah dadah yang disenaraikan dalam Jadual Pertama Akta Dadah Berbahaya, 1952 (‘ADB’). SP-2 telah juga mengemukakan Laporan Kimia (eksibit P33) yang beliau sediakan sebagai keterangan.

[20] Di akhir kes pendakwaan, hakim bicara yang bijaksana telah mendapati bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan wujudnya satu kes prima facie terhadap perayu ke atas pertuduhan pertama (yang menjadi hal perkara dalam rayuan ini oleh perayu). Perayu lantas dipanggil untuk membela diri untuk menjawab pertuduhan tersebut.

[21] Seperti yang dinyatakan sebelum ini, OKT-2, OKT-3 dan OKT-4 telah di lepas dan dibebaskan di peringkat ini setelah hakim bicara yang bijaksana berpuas hati bahawa pihak pendakwaan telah gagal untuk membuktikan wujudnya satu kes prima facie terhadap ketiga-tiga OKT-2, OKT-3 dan OKT-4.

Kes Pihak Pembelaan

[22] Perayu telah memberi keterangan secara bersumpah.

[23] Perayu menyatakan pada 21.7.2014 kira-kira jam 6.00 petang, dia bersama-sama OKT-2, OKT-3 dan OKT-4 telah pergi untuk berbuka puasa dengan penama-penama Mazli dan Amir di Bukit Ubi. Mereka bertolak ke Bukit Ubi dengan menaiki kereta Proton yang disewa oleh OKT-4.

[24] Sebelum itu, Amir telah menelefon perayu dan rakan-rakannya supaya menyewa sebuah ‘homestay di Bukit Ubi.

[25] Mazli dan Amir telah pun berada di ‘homestay’ tersebut apabila perayu dan rakan-rakannya sampai. Selepas berbuka puasa, mereka bersembang sambil menonton TV di ruang tamu. Pada kira-kira jam 1.30 pagi, Mazli dan Amir keluar dari rumah untuk membeli makanan untuk bersahur. Ketika itu perayu dan rakan-rakannya masih berada di ruang tamu.

[26] Pada jam lebih kurang 2.00 pagi, perayu telah pergi ke bilik air untuk membuang air kecil. Pintu bilik air dibiarkan sedikit terbuka. Tiba-tiba dia mendengar bunyi bising, dengan seseorang menjerit “Jangan lari saya polis”. Kira-kira satu minit selepas itu, pintu bilik air tersebut ditendang dan seseorang muncul sambil memperkenalkan dirinya sebagai polis, menyebabkan perayu terkejut. Sejurus selepas itu seorang anggota polis berkulit gelap telah menangkapnya dan membawa dia ke ruang tamu bersama rakan-rakannya yang lain.

[27] Perayu menyatakan dia tidak tahu siapa pemilik motosikal yang berada di luar rumah tersebut apabila ditanya oleh salah seorang anggota serbuan.

[28] Seterusnya, pihak polis telah menyelongkar bilik 231 dan bilik air. Hasilnya, pihak polis telah menjumpai dadah dalam bilik air tersebut. Perayu menyatakan dia tidak tahu dari mana dadah tersebut dijumpai dari dalam bilik air, namun menyatakan memang sebelum itu dia ada melihat paket plastik tergantung di dalam bilik air tersebut tetapi tidak mengetahui isi kandungannya.

[29] Perayu turut menyatakan dia tidak tahu siapa yang menyewa homestay tersebut.

[30] Perayu menegaskan dadah tersebut bukan kepunyaannya. Bilik air di mana dadah tersebut dijumpai turut digunakan oleh kesemua rakan-rakannya. Mazli dan Amir juga ada menggunakan bilik air tersebut sebelum keluar untuk membeli makanan.

[31] Sebagai asas pembelaannya, perayu menegaskan bahawa dia tidak mempunyai sebarang pengetahuan berkaitan dadah yang dijumpai di dalam bilik air tersebut.

Rayuan Perayu

[32] Perayu telah mengunjurkan tiga (3) alasan rayuan berikut:

(i) salah arahan oleh hakim bicara berkenaan dengan pemakaian anggapan (presumption) yang berkaitan di bawah ADB;

(ii) kekhilafan hakim bicara berkenaan dengan pemakaian s.2, ADB; dan

(iii) Kegagalan hakim bicara untuk menilai secara maksimum keterangan-keterangan yang berada di hadapannya.

Keputusan Kami

Alasan (i)-salah arahan pemakaian anggapan oleh hakim bicara

[33] Peguam bela yang bijaksana berhujah, sungguhpun hakim bicara yang bijaksana telah membuat dapatan positif tentang milikan sebenar (actual or mens rea possession), namun hakim bicara masih mengguna pakai (invoked) anggapan-anggapan undang-undang di bawah s.37(d) dan 37(da) seperti mana di perenggan 50, m.s. 30, alasan penghakiman, Jilid 1, Rekod Rayuan (‘RR’). Menurut peguam bela yang bijaksana, ini telah mendatangkan prejudis yang serius kepada perayu kerana dapatan-dapatan tersebut telah membingungkan perayu akan beban evidential yang beliau perlu tanggung iaitu sama ada mengikut piawaian menimbulkan keraguan yang munasabah (raising a reasonable doubt) atau piawaian untuk mengakas di atas imbangan kebarangkalian (balance of probabilities) elemen-elemen pemilikan dan pengedaran seperti dituduh dalam pertuduhan tersebut. Dapatan-dapatan hakim bicara yang bijaksana tersebut telah juga menimbulkan kekeliruan ke atas standard of proof yang perlu dipakai.

[34] Kami telah meneliti dengan cermat lagi mendalam keseluruhan alasan penghakiman hakim bicara yang bijaksana dan mendapati bahawa asas dapatan hakim bicara berkenaan dengan milikan dadah tersebut oleh perayu adalah atas asas bahawa perayu mempunyai milikan secara fizikal (‘actual/ mens rea possession') akan dadah tersebut. Ini berlandaskan kepada fakta bahawa wujud keterangan yang menunjukkan perayu telah meluru ke dalam bilik air berkenaan sebaik sahaja SP-7 masuk ke dalam rumah tersebut dan memperkenalkan dirinya sebagai polis dan seterusnya perayu telah dilihat oleh SP-8 memegang sambil mengoyakkan plastik yang mengandungi dadah dan cuba membuang dadah tersebut ke dalam mangkuk tandas.

[35] Untuk maksud pencerahan, diperturunkan in extensor dapatan hakim bicara yang bijaksana tersebut seperti dinyatakan di perenggan-perenggan 37, 38, 39 dan 40, m.s. 25, 26 dan 27, alasan penghakimannya:

“[37] ...mahkamah mendapati setelah meneliti keterangan yang dikemukakan oleh saksi-saksi pihak pendakwaan terdapat keterangan langsung yang menunjukkan dan membuktikan bahawa OKT-1 mempunyai pemilikan secara fizikal terhadap dadah yang dijumpai di dalam bilik air tersebut. Keterangan SP8 dengan jelas membuktikan sebelum ditangkap OKT-1 telah meluru keluar dari bilik 231 menuju ke bilik air mengoyak plastik mengandungi dadah yang dipegangnya dan cuba membuang dadah tersebut ke dalam mangkuk tandas. Di samping itu terdapat juga dadah yang berselerakan di atas lantai di dalam bilik air tersebut. Pada masa yang material tidak ada orang lain yang berada di dalam bilik air tersebut yang membuktikan bahawa tempat di mana dadah tersebut dijumpai adalah eksklusif kepada OKT-1 sahaja.

[38] Fakta di atas dengan terang lagi bersuluh telah membuktikan OKT-1 mempunyai ‘possession’ ke atas dadah tersebut berasaskan kepada takrifan ‘possession’ di dalam kes Yap Choon Kit [2009] 3 MLJ 120 di m.s. 135 & 136 di mana mahkamah memutuskan:

"In any event, ‘possession’ requires proof of custody and control as well as conscious knowledge of the thing that is possessed.”

[39] Mahkamah berpendapat OKT-1 tahu bahawa barang-barang dipegang dan cuba dibuang itu adalah dadah berbahaya berasaskan kepada tindakan atau kelakuan OKT-1 yang melarikan diri dari bilik 231 dan terus meluru ke dalam bilik air selepas mengetahui pihak polis telah membuat serbuan ke premis tersebut. OKT-1 juga telah mengoyakkan plastik yang mengandungi dadah dan telah cuba membuang dadah tersebut ke dalam mangkuk tandas. Adalah tidak munasabah dan tidak masuk akal untuk mengatakan seseorang yang memegang, mengoyak dan cuba membuang sesuatu tidak mengetahui apa yang dipegangnya dan apa yang cuba dibuangnya atau dilupuskannya. Lihat Hashim bin Abdullah v PP, Mahkamah Rayuan Criminal Appeal No. J-05-90/2013. Perlakuan-perlakuan dan perbuatan ini membuktikan beliau mengetahui apa yang dipegangnya dan cuba dibuangnya adalah dadah berbahaya. Ini adalah satu inferen yang munasabah dan dapatan yang logik kerana orang yang tahu sahaja akan mengambil tindakan yang sedemikian dengan tujuan untuk melenyapkan bukti berkaitan dengan jenayah tersebut. Berasaskan kepada keterangan ini ianya bermakna OKT-1 mempunyai kawalan, jagaan dan pengetahuan ke atas dadah tersebut yang membuktikan beliau mempunyai mens rea possession ke atas dadah tersebut seperti yang diperlukan di dalam kes Yap Choon Kit (supra).

[40] Tindakan OKT-1 melarikan diri, mengoyak plastik dan cuba membuang dadah ke dalam mangkuk tandas di dalam percubaannya untuk menyembunyikan atau menghilangkan bukti berkaitan dadah tersebut adalah satu kelakuan ‘conduct’ yang boleh diterima di bawah s.8 Akta Keterangan 1950. Inferen yang boleh dibuat berhubung dengan tindakan atau kelakuan beliau ialah OKT-1 memang mengetahui berkaitan dengan dadah di dalam milikannya.”

[36] Berdasarkan kepada fakta dan keterangan yang tidak tercabar lagi ‘uncontroverted’, kami bersetuju dengan dapatan hakim bicara yang bijaksana bahawa perayu sememangnya mempunyai milikan sebenar atau fizikal atau mens rea ke atas dadah tersebut. Keterangan adalah lebih dari mencukupi untuk menyimpulkan dapatan fakta yang sedemikian.

[37] Hakim bicara yang bijaksana juga mendapati bahawa perayu telah melakukan perbuatan mengedar dadah tersebut dengan cara ‘membawa’ seperti ditakrifkan di bawah s.2, ADB, apabila didapati telah memegang, mengoyak dan cuba membuang dadah tersebut di dalam mangkuk tandas sebelum ditangkap oleh SP-8. Justeru, beliau mendapati bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan perayu telah mengedarkan dadah tersebut secara terus (‘direct’) berdasarkan kepada takrif ‘mengedar di bawah s.2, ADB yang termasuk ‘membawa’ (lihat perenggan-perenggan 46, 47, 48, alasan penghakiman di m.s. 29, 30, Jilid 1, RR).

[38] Memandangkan kepada dapatan-dapatan hakim bicara berkenaan dengan isu-isu pemilikan dan pengedaran dadah tersebut oleh perayu seperti diperincikan di atas, maka pada hemat kami, apa yang dinyatakan oleh hakim bicara yang bijaksana di perenggan 50, alasan penghakiman-iaitu “ ...Selain itu oleh sebab OKT-1 mempunyai kawalan dan jagaan ke atas dadah tersebut, anggapan statutory (d) dan (da) di bawah s.37 Akta juga terpakai...” adalah tidak perlu sama sekali. Ia merupakan satu verbosity berlebihan yang tidak membawa apa-apa kesan ke atas dapatan asas hakim bicara bahawa perayu mempunyai milikan sebenar atau fizikal atau mens rea ke atas dadah tersebut dan telah mengedarkan dadah tersebut secara terus mengikut definisi pengedaran di bawah s.2, ADB.

[39] Tambahan pula, adalah undang-undang yang mantap (‘trite’) bahawa hakim bicara dibenarkan di sisi undang-undang untuk menganalisis kesemua pilihan-pilihan yang ada di hadapannya untuk menentukan kaedah akan bagaimana kedua-dua elemen ‘pemilikan’ dan ‘pengedaran’ dadah tersebut sewajarnya dibuktikan. Maka Mahkamah Persekutuan dalam kes Raman Kunjiraman v PP [2014] 9 CLJ 915 di perenggan 30, m.s. 929 telah menyatakan:

“...Contrary to the argument of counsel, there is nothing to prevent the learned trial judge from analysing all the alternatives available to him under the Act. The learned trial judge has not breached the rule of double presumptions by taking into consideration the various alternatives in the reservoir of choices or alternatives available to him to determine the culpability of the appellant. Judges may expatiate on the various alternatives available without the need to incur the obloquy of counsel.”

[40] Dengan itu, kami dapati bahawa alasan rayuan ini tidak mempunyai sebarang merit untuk dipertimbangkan.

Alasan (ii) dan (iii):

- Kekhilafan tentang pemakaian s.2 ADB

- Kegagalan untuk menilai keterangan secara maksimum

[41] Peguambela yang bijaksana telah menarik perhatian kami kepada perenggan 46, alasan penghakiman di m.s. 29, Jilid 1, RR, di mana hakim bicara yang bijaksana telah mendapati:

"Berasaskan kepada fakta yang telah Mahkamah analisakan di atas di mana OKT-1 didapati memegang, mengoyak dan cuba membuang dadah dalam mangkuk tandas sebelum ditangkap, perbuatan-perbuatan ini pada pendapat Mahkamah adalah terjatuh dalam perkataan ‘membawa’ di dalam tafsiran ‘mengedar’.”

[42] Peguambela yang bijaksana lantas menghujahkan bahawa berdasarkan kepada nas-nas, perbuatan-perbuatan seperti yang disebut di bawah s.2 ADB, tanpa perbuatan-perbuatan nyata (‘overt acts’) oleh pelaku-pelakunya tidak mencukupi untuk membuktikan pengedaran sebenar. Beliau telah merujuk kepada keputusan Mahkamah ini dalam kes Ooi Hock Kheng v PP [2014] 5 MLJ 585 yang memutuskan bahawa perbuatan ‘membawa’ semata-mata tanpa perbuatan ‘overt’ oleh pelaku tidak mencukupi untuk membuktikan wujudnya pengedaran dadah tersebut (‘not sufficient to constitute trafficking’).

[43] Setelah menghalusi alasan penghakiman hakim bicara yang bijaksana berkaitan dengan isu yang dibangkitkan, kami bersetuju dengan hujahan peguambela yang bijaksana bahawa hakim bicara langsung tidak mempertimbangkan sama ada wujud ‘overt acts’ di pihak perayu dalam ‘membawa’ dadah tersebut untuk maksud pengedaran. Apa yang ditekankan oleh hakim bicara yang bijaksana hanyalah perbuatan perayu yang memegang, mengoyak dan cuba membuang dadah ke dalam mangkuk tandas, yang menurut hakim bicara adalah terjatuh di bawah perkataan ‘membawa’ di dalam takrifan mengedar. Pada hemat kami pertimbangan ini tidak mencukupi untuk membuktikan bahawa perayu sebenarnya telah mengedarkan dadah tersebut. Lantaran pula hakim bicara langsung tidak menyentuh tentang ‘overt acts’ di pihak perayu. Justeru, kami tidak nampak bagaimana perbuatan semata-mata memegang, mengoyak dan cuba membuang dadah tersebut ke dalam mangkuk tandas boleh terjumlah sebagai perbuatan mengedarkan dadah tersebut. Kami berpandangan bahawa hakim bicara yang bijaksana telah menangani isu pengedaran ini secara sambil lewa tanpa memberi pertimbangan yang sewajarnya berkenaan dengan isu-isu perundangan yang berkaitan dengannya.

[44] Mahkamah ini dalam kes Ooi Hock Kheng v PP (supra) telah menegaskan undang-undang yang terpakai dalam situasi seperti ini seperti dinyatakan di perenggan 8, m.s. 590 journal tersebut:

"[8] It cannot be disputed that at the material time, the appellant was in fact carrying the impugned Ketamine. However, the mere act of carrying is not sufficient to constitute the offence of trafficking under the DDA. In other words, the act of mere carrying does not make one a trafficker under the scheme of the DDA. This is made clear from the judgment of Arifin Zakaria FCJ (as His Lordship then was) in Public Prosecutor v Abdul Manaf bin Muhamad Hassan [2006] 3 MLJ 193; [2006] 2 CLJ 129. That case represents the law on this subject as we apply today. In our judgment, the learned JC had misdirected himself in that there was no appreciation that to traffic in dangerous drugs under s.2 of the DDA entails something more than passive possession. In the context of the present case, to constitute the offence of trafficking, the act of ‘carrying’ Ketamine by the appellant from one place to another was in the sense of doing so as to promote the distribution or supply of the impugned drug to someone else (see Ong Ah Chuan v Public Prosecutor; Koh Chai Cheng v Public Prosecutor [1981] 1 MLJ 64). This was never considered by the learned JC and he failed to direct his mind on this point.”

Kami bersetuju sepenuhnya dengan proposisi undang-undang seperti dinyatakan di atas.

[45] Peguambela yang bijaksana berhujah bahawa dari keseluruhan scenario yang dibentangkan, paling tinggi pun (‘at the highest’), apa yang telah berjaya dibuktikan oleh pihak pendakwaan hanyalah pemilikan dadah tersebut oleh perayu lantaran tidak ada bukti wujudnya ‘overt act’ bahawa perayu telah mengedarkan dadah tersebut. Kami bersetuju sepenuhnya dengan hujahan ini.

[46] Seterusnya, kami berpendapat bahawa perbuatan perayu yang semata-mata memegang, mengoyak dan cuba membuang dadah tersebut ke dalam mangkuk tandas seperti dapatan hakim bicara yang bijaksana, tidak boleh dikatakan sebagai satu perbuatan pengedar di bawah s.2 ADB. Walaupun perbuatan tersebut menyalahi s.201 Kanun Keseksaan, namun perbuatan tersebut tidak terjumlah dalam definisi pengedaran di bawah s.2 ADB. Menyamakan perbuatan tersebut sebagai perbuatan yang terjumlah dalam definisi pengedaran adalah satu kekhilafan yang nyata yang mewajarkan campur tangan Mahkamah ini.

[47] Kes pihak pendakwaan banyak bergantung sebahagian besarnya kepada keterangan SP-7, SP-8 dan SP-9 (Mohd. Fadil bin Osman, salah seorang anggota serbuan). Namun tidak seorang pun dari mereka memberi keterangan bahawa mereka nampak perayu, semasa meluru keluar dari bilik no. 231, ada membawa bersamanya bungkusan-bungkusan yang mengandungi dadah tersebut. SP-8 hanya nampak perayu sedang memegang sambil mengoyak-ngoyakkan bungkusan dadah tersebut dan cuba membuang dadah ke dalam mangkuk tandas sebelum menangkap perayu.

[48] Dalam keadaan sedemikian, peguambela yang bijaksana menghujah, paling tinggi pun keterangan tersebut hanya menunjukkan perayu mempunyai pemilikan dan pengetahuan tentang dadah tersebut dan bukannya telah mengedarkan dadah tersebut.

[49] Kami juga bersetuju dengan hujahan ini.

Kesimpulan

[50] Berdasarkan kepada segala alasan di atas kami dapati bahawa sabitan dan hukuman yang dikenakan ke atas perayu di bawah s.39B(1)(a) dan s.39B(2), ADB, adalah tidak selamat. Berasaskan keterangan yang ada, kami bersetuju bahawa paling tinggi, apa yang telah berjaya dibuktikan oleh pihak pendakwaan hanyalah perayu mempunyai pemilikan dan pengetahuan tentang dadah tersebut. Elemen pengedaran dadah tersebut telah gagal dibuktikan oleh pihak pendakwaan. Dengan demikian, kami membenarkan rayuan perayu dan seraya itu telah mengetepikan sabitan dan hukuman yang dikenakan di bawah kedua seksyen di atas dan menggantikannya dengan satu sabitan di bawah s.12(2), ADB, yang boleh dihukum di bawah s.39A(2) Akta yang sama.

[51] Setelah menimbangkan mitigasi yang diunjurkan oleh perayu dan hujahan balas TPR yang bijaksana dan mengambil kira ‘trend’ penghukuman untuk kesalahan yang sama dan melibatkan jenis dadah yang sama (Heroin dan Monoacetylmorphines) kami telah menghukum perayu dengan hukuman penjara selama 18 tahun (bermula dari tarikh perayu ditangkap, iaitu 22.7.2014) dan 10 sebatan dengan rotan.

BERTARIKH: 8HB. OGOS 2018

AHMADI HAJI ASNAWI
Hakim
Mahkamah Rayuan Malaysia

COUNSEL

Peguambela Perayu: Amer Hamzah b. Arshad bersama Joshua Tay H’ng Foong, Tetuan Amerbon, Peguambela dan Peguamcara

Peguambela Responden: Nurshafini bt. Mustafha bersama Mohd. Zain b. Ibrahim, Timbalan Pendakwa Raya, Jabatan Peguam Negara

Legislation referred to:

Akta Dadah Berbahaya 1952, Jadual Pertama; Seksyen-seksyen 2, 12(2), 37(d), 37(da), 39A(2), 39B(1)(a), 39B(2)

Kanun Keseksaan, Seksyen 201

Judgments referred to:

Ooi Hock Kheng v PP [2014] 5 MLJ 585

Raman Kunjiraman v PP [2014] 9 CLJ 915

Notice: The Promoters of Malaysian Judgments acknowledge the permission granted by the relevant official/ original source for the reproduction of the above/ attached materials. You shall not reproduce the above/ attached materials in whole or in part without the prior written consent of the Promoters and/or the original/ official source. Neither the Promoters nor the official/ original source will be liable for any loss, injury, claim, liability, or damage caused directly, indirectly or incidentally to errors in or omissions from the above/ attached materials. The Promoters and the official/ original source also disclaim and exclude all liabilities in respect of anything done or omitted to be done in reliance upon the whole or any part of the above/attached materials. The access to, and the use of, Malaysian Judgments and contents herein are subject to the Terms of Use.