THE OFFICIAL REPOSITORY OF
MALAYSIAN JUDGMENTS & RULINGS

[2018] MYCA 269 MALAY

Pendakwa Raya v Nawi and Another
Suit Number: Rayuan Jenayah No. B-05(H)-118-03/2017 

Criminal law – Trafficking in persons – Anti-Trafficking in Persons and Anti-Smuggling of Migrants Act 2007 – Sentence – Appeal by the prosecution for a more severe sentence

PENGHAKIMAN

[1] Di Mahkamah Tinggi Shah Alam, kedua-dua responden telah mengaku bersalah di atas pertuduhan berikut dan seterusnya masing-masingnya telah dihukum penjara selama 6 tahun bermula dari tarikh kedua-dua mereka ditangkap:

"Bahawa kamu bersama-sama pada 1 Ogos 2016 jam lebih kurang 11.30 malam, di kedudukan latitud 030 21.089U longitud 1010 14.171T, di Kuala Sungai Selangor, di dalam Daerah Kuala Selangor, di dalam Negeri Selangor Darul Ehsan telah bagi mencapai niat bersama kamu telah menjalankan penyeludupan migran, iaitu seperti di lampiran B dan oleh yang demikian, kamu telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah s. 26A, Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran, 2007 (ATIPSOM) dan dibaca bersama seksyen 34, Kanun Keseksaan."

[2] Terkilan dengan hukuman tersebut, yang dikatakan terlampau ringan, pendakwa raya telah mengemukakan rayuan berkenaan perkara yang sama di Mahkamah ini.

Fakta Kes

[3] Pada 1.8.2016, pengadu (Sjn. Mohd. Ashrafi b. Mohd. Shah) bersama tiga (3) anggota pasukan polis marin telah membuat rondaan di kawasan pantai Kuala Selangor dengan menggunakan Bot Ronda RH16, dalam Ops Pensura Bil. 92/16.

[4] Pada lebih kurang jam 11.30 malam, ketika berada di kedudukan Latitud 030 21.089 Utara dan Longitud 1010 14.171 Timur, di Kuala Sungai Selangor, beliau (pengadu) telah mengesan dan seterusnya menahan sebuah motorbot pom-pom yang sedang bergerak masuk ke Kuala Selangor.

[5] Setelah membuat pemeriksaan ke atas motorbot tersebut, pengadu mendapati motorbot tersebut telah membawa:

(i) dua (2) orang tekong (operator bot) tanpa pasport iaitu kedua-dua responden; dan

(ii) 11 orang Pendatang Tanpa Izin (PT1) yang terdiri dari 6 orang warganegara Bangladesh dan 5 orang warganegara Myanmar termasuk seorang wanita dan seorang kanak-kanak perempuan.

[6] Motorbot tersebut berserta dengan kesemua penumpang-penumpangnya telah dibawa ke jeti perikanan Kuala Selangor dan seterusnya diserahkan kepada IPD Kuala Selangor untuk tindakan susulan.

[7] Kedua-dua responden dan 6 orang warganegara Bangladesh tersebut telah didakwa di bawah s. 6 Akta Imigresen 1959/63 dan masing-masing telah dikenakan hukuman yang sewajarnya. Lima (5) orang warganegara Myanmar tersebut pula telah disahkan berdaftar dengan UNHCR.

[8] Satu perkara yang ketara dalam rayuan ini adalah hukuman 6 tahun penjara yang dikenakan ke atas kedua-dua responden di bawah s. 26A Akta Anti-Pemerdagangan Orang dan Anti-Penyeludupan Migran 2007 (Akta 670) (ATIPSOM) tersebut nyata jauh menyimpang dari ‘trend’ hukuman yang dijatuhkan untuk kesalahan-kesalahan yang sama.

[9] Dalam kes K-05(H)-301-08/2016 (Pendakwa Raya v Abdullah bin Wajid dan seorang yang lain) kedua-dua tertuduh yang merupakan warganegara Thailand telah mengaku salah atas satu kesalahan di bawah s. 26A ATIPSOM kerana menyeludup (‘trafficked') 18 orang migran masuk ke negara ini. Mahkamah Tinggi telah menjatuhkan hukuman 4 tahun penjara ke atas kedua-dua tertuduh. Namun begitu Mahkamah Rayuan telah menambah hukuman-hukuman tersebut kepada 8 tahun penjara atas rayuan Pendakwa Raya.

[10] Dalam kes Nurul Islam v PP [2016] 12 MLJ 433, tertuduh telah mengaku salah atas 3 pertuduhan di bawah s. 26A ATIPSOM kerana menyeludup 3 orang migran masuk ke Malaysia. Mahkamah Tinggi telah menjatuhkan hukuman penjara selama 10 tahun untuk setiap satu pertuduhan tersebut dan hukuman-hukuman tersebut telah diperintahkan berjalan serentak. Mahkamah Rayuan telah menolak rayuan tertuduh atas hukuman-hukuman tersebut dan seterusnya telah mengekalkan hukuman-hukuman tersebut.

[11] Atas alasan ini sahaja, nyata rayuan Pendakwa Raya mempunyai merit. Tidak ada asas kenapa wujud ‘disparity’ dalam hukuman yang dikenakan ke atas kedua-dua responden dengan tertuduh-tertuduh dalam kedua-dua kes/nas yang dirujuk di atas, di mana ia melibatkan perlanggaran undang-undang yang sama dan modus operandi kesalahan yang juga hampir sama.

[12] Kes ini juga menampilkan isu-isu keselamatan dan kepentingan awam. Kesalahan yang dilakukan oleh kedua-dua responden dan orang-orang lain seperti responden-responden boleh dan telah mendatangkan kemudaratan yang besar kepada negara baik sekarang mahupun pada masa-masa akan datang kerana pada asasnya ia mengundang kebanjiran kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) beramai-ramai secara haram ke negara ini yang tidak dapat dikawal dan dipantau kerana pendatang-pendatang tersebut masuk tanpa dokumen perjalanan yang sah atau tanpa dokumen perjalanan langsung.

[13] Kebanjiran PATI yang ramai juga membawa kesan buruk kepada keselamatan negara, ketenteraman awam, ekonomi negara dan peningkatan jenayah serius seperti pergaduhan, pecah rumah, pembunuhan dan penyalahgunaan dadah terutama sekali dalam hal pengedaran dadah.

[14] Kesalahan yang dilakukan oleh kedua-dua responden juga merupakan satu ancaman kepada keselamatan negara. Molek diperingatkan bahawa Parlimen telah memasukkan kesalahan di bawah s. 26A ATIPSOM tersebut ke dalam Bahagian 111A ATIPSOM. Bahagian 111A tersebut telah dimasukkan ke dalam Jadual Pertama Akta Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 atau SOSMA (Akta 747), lantas mengkategorikannya sebagai kes kesalahan keselamatan yang tidak boleh dijamin.

[15] Nyata sekali niat Parlimen menggubal Bahagian 111A tersebut adalah untuk memperuntukkan penalti yang berat kepada pelaku-pelaku kesalahan bagi membendung jenayah berat yang tidak bermoral ini. Mahkamah seharusnya memberi efek yang berkesan kepada niat Parlimen. Maka hukuman yang dijatuhkan sewajarnya mempunyai ‘deterrent effect’ untuk ‘discourage’ serta menghalang dan memberi pengajaran kepada kedua-dua responden atau orang-orang lain yang mempunyai kecenderungan yang sama dengan responden-responden, supaya tidak mengulangi kesalahan yang telah dilakukan oleh responden-responden. Dalam keadaan seperti ini wujud kewajaran untuk menjatuhkan hukuman berat untuk kesalahan-kesalahan seperti ini.

[16] Hakim bicara yang bijaksana turut mempertimbangkan isu-isu kepentingan awam dan keselamatan negara untuk menjustifikasikan hukuman-hukuman yang dikenakan ke atas kedua-dua responden. Namun, pada hemat kami hukuman 6 tahun penjara yang dikenakan ke atas setiap responden tersebut tidak menggambarkan isu keselamatan negara dan kepentingan awam telah diberi keutamaan melebihi pertimbangan-pertimbangan lain termasuk pengakuan bersalah responden-responden.

Kesimpulan

[17] Berdasarkan kepada segala alasan seperti diperincikan di atas, kami telah membenarkan rayuan pendakwa raya. Dengan itu hukuman penjara selama 6 tahun yang telah dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi ke atas kedua-dua responden diketepikan dan digantikan dengan hukuman 10 tahun penjara ke atas setiap responden, bermula dari tarikh kedua-dua responden ditangkap.

BERTARIKH: 8HB. OGOS 2018

AHMADI HAJI ASNAWI
Hakim
Mahkamah Rayuan Malaysia

COUNSEL

Peguambela Perayu: Faizah Bt Mohd. Salleh, Timbalan Pendakwa Raya, Jabatan Peguam Negara

Peguambela Responden: Tiada Peguambela

Legislation referred to:

Akta Anti-Pemerdagangan Orang dan Anti-Penyeludupan Migran 2007, Seksyen-seksyen 26A, 111A

Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 6

Akta Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 atau SOSMA, Jadual Pertama

Judgments referred to:

Nurul Islam v PP [2016] 12 MLJ 433

Pendakwa Raya v Abdullah bin Wajid dan seorang yang lain K-05(H)-301-08/2016

Notice: The Promoters of Malaysian Judgments acknowledge the permission granted by the relevant official/ original source for the reproduction of the above/ attached materials. You shall not reproduce the above/ attached materials in whole or in part without the prior written consent of the Promoters and/or the original/ official source. Neither the Promoters nor the official/ original source will be liable for any loss, injury, claim, liability, or damage caused directly, indirectly or incidentally to errors in or omissions from the above/ attached materials. The Promoters and the official/ original source also disclaim and exclude all liabilities in respect of anything done or omitted to be done in reliance upon the whole or any part of the above/attached materials. The access to, and the use of, Malaysian Judgments and contents herein are subject to the Terms of Use.