THE OFFICIAL REPOSITORY OF
MALAYSIAN JUDGMENTS & RULINGS

[2018] MYCA 137 MALAY

Pendakwa Raya v Muniandy A/L Ramakrishnan and 2 Others, and Another Appeal
Suit Number: Rayuan Jenayah Nos. J-05(H)-248-06/2016 & J-05(SH)-250,252,254-06/2016 

Criminal law – Abduction, wrongful restraint or wrongful confinement for ransom – Robbery – Common intention – Conviction – Sentence – Appeal and Cross-appeal

Criminal law – Section 3 of the Kidnapping Act 1961 – Sections 395 and 34 of the Penal Code

Criminal law – Whether the trial court failed to sufficiently consider the defences of the appellants including the alibi defence – Whether the failure of the prosecution to produce a particular witness compromised the appellants’ right to fair trial – Whether conviction safe

PENGHAKIMAN

Latarbelakang

[1] Ini adalah rayuan Perayu-Perayu dalam Rayuan-Rayuan No. J-05(SH)-250, 252 dan 254-06/2016 terhadap sabitan dan hukuman yang telah diputuskan oleh hakim Mahkamah Tinggi di Muar (‘hakim bicara’) terhadap mereka atas dua pertuduhan dengan secara niat bersama telah menculik dan juga merompak mangsa yang sama. Butir-butir dua pertuduhan itu adalah seperti berikut:

Pertuduhan Pertama:

"Bahawa kamu bersama-sama pada 27.12.2012 jam lebih kurang 0730 pagi di premis pusat hiburan keluarga Channel Amusement City Jalan Duku, di dalam Daerah Kluang, di dalam Negeri Johor, telah mencolek penama Kee Paul Reng, 850919025213 bagi tujuan untuk mendapatkan wang tebusan sejumlah RM50,000 dan abduksi, oleh yang demikian kamu telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah seksyen 3 Akta Colek 1961 dan dibaca bersama di bawah seksyen 34 Kanun Keseksaan.”

Pertuduhan Kedua:

"Bahawa kamu bersama-sama pada 27.12.2012 jam lebih kurang 0929 pagi di dalam sebuah kereta jenis Proton Wira nombor pendaftaran JEY 124, di hadapan premis Hiburan Channel Amusement City, Jalan Duku, di dalam daerah Kluang, di dalam Negeri Johor Darul Ta’zim, bersesama telah melakukan rompak berkumpulan ke atas sebuah kad ATM Maybank milik Kee Paul Reng (KPT: 850919-02-5213) dan oleh yang demikian kamu telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah seksyen 395 Kanun Keseksaan.”

[2] Di akhir perbicaraan, hakim bicara telah mensabitkan Perayu-Perayu dengan kedua-dua kesalahan yang dipertuduhkan dan telah menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup bagi kesalahan menculik dan penjara 10 tahun bagi kesalahan merompak, berkuat kuasa mulai dari tarikh ditangkap. Pihak Pendakwa Raya tidak berpuas hati terhadap hukuman yang dikenakan, telah memfailkan rayuan silang terhadap hukuman.

[3] Kami telah mendengar rayuan Perayu-Perayu dan juga rayuan silang oleh pihak Pendakwa Raya secara bersama pada 22.2.2018. Setelah mendengar pihak-pihak, kami dengan sebulat suara telah menolak rayuan Perayu-Perayu. Kami sebaliknya telah membenarkan rayuan silang Pendakwa Raya terhadap hukuman. Berikut kami memperincikan alasan-alasan keputusan kami.

Kes Pendakwaan

[4] Secara ringkasnya, kes pendakwaan ialah seperti berikut. Pada 27.12.2012, jam lebih kurang 7.30 pagi, mangsa penculikan dan rompakan dalam kes ini, Kee Paul Reng (SP6), yang bekerja sebagai penjaga kedai bersama beberapa orang pekerja yang lain sedang mengemas untuk memulakan perniagaan di Pusat Hiburan Keluarga Channel Amusement City, Pasaraya Songmart, terletak di Jalan Duku, Kluang, Johor. Pada ketika itu, tiga Perayu yang bersenjatakan parang telah masuk ke dalam Pusat Hiburan tersebut bertanyakan siapakah Pengurus Pusat Hiburan tersebut. Setelah dimaklumkan bahawa Pengurus tidak berada di situ pada ketika itu, Perayu Pertama telah memeluk leher SP6 dan meminta menyerahkan wang tunai. SP6 telah menyerahkan wang tunai milik Pusat Hiburan tersebut berjumlah RM4,000 kepada Perayu Pertama.

[5] Perayu Pertama masih terus memeluk leher SP6 dan membawa SP6 keluar melalui pintu belakang premis. Perayu Kedua dan Perayu Ketiga turut berada bersama-sama dengan Perayu Pertama ketika itu. Perayu Pertama kemudiannya mengarahkan SP6 masuk ke dalam sebuah kereta Proton Wira warna kelabu sambil Perayu Pertama menunjukkan sebilah parang ke arah SP6. SP6 telah diarahkan duduk di kerusi penumpang belakang dengan diapit di sebelah kiri dan kanannya oleh Perayu Kedua dan Perayu Ketiga. Perayu Pertama terus memandu kereta tersebut membawa SP6 pergi dari situ. Di dalam kereta, Perayu Pertama mendesak SP6 untuk menyerahkan wang lagi. Perayu Pertama turut merampas beg dan telefon bimbit milik SP6. Di dalam beg milik SP6 yang dirampas oleh Perayu Pertama, terdapat kad ATM Maybank milik SP6. Setelah terus didesak untuk menyerahkan wang oleh Perayu Pertama, SP6 telah membuat panggilan telefon kepada rakan sekerjanya supaya membawa keluar wang tunai dari Pusat Hiburan tersebut untuk diserahkan kepada Perayu-Perayu.

[6] Perayu Pertama yang memandu kereta, berpatah balik ke premis Pusat Hiburan tersebut untuk mengambil wang. Wang milik Pusat Hiburan tersebut telah diserahkan oleh seorang pekerja bernama ‘Kali’. Setelah wang diambil, Perayu Pertama terus memaksa dan mengugut SP6 dengan menggunakan parang untuk menaiki semula kereta Proton Wira walaupun SP6 merayu supaya dia dilepaskan. SP6 telah dilarikan dan dibawa oleh Perayu-Perayu ke dalam sebuah ladang kelapa sawit di Renggam. Perjalanan itu mengambil masa kira-kira 35-40 minit. Sepanjang perjalanan itu, kepala SP6 telah dirangkul dan ditekan ke bawah oleh Perayu Kedua dan Perayu Ketiga.

[7] Kejadian Pusat Hiburan tersebut dirompak dan SP6 telah diculik telah dilaporkan kepada pihak polis oleh Pengurus Pusat Hiburan tersebut, Encik Ng Chee Lai (SP8) dan pekerjanya. Siasatan awal telah dimulakan oleh Inspektor Anne Quek binti Mohamed (SP10) dan kemudiannya siasatan lanjut telah diambilalih oleh ASP Ahmad Zamry bin Marinsah (SP13). Satu laporan polis telah dibuat oleh seorang pekerja bernama Chow Chin Wei melalui Kluang Report No. 015856/12 bertarikh 27.12.2012 (eksibit P42).

[8] Menurut SP6, semasa berada di ladang kelapa sawit, Perayu Pertama telah mengarahkan SP6 untuk membuat panggilan telefon kepada SP8 untuk menyediakan wang sebanyak RM50,000 sebagai wang tebusan untuk membebaskan SP6. SP8 mengesahkan menerima panggilan telefon dari SP6 dan menyatakan suara SP6 dalam keadaan ketakutan dan menangis. Perayu Pertama turut bercakap dengan SP8 menuntut pembayaran wang tebusan. SP6 menyatakan bahawa Perayu Kedua dan Perayu Ketiga turut berada bersama Perayu Pertama. Panggilan itu telah diputuskan apabila SP8 memaklumkan kepada Perayu Pertama bahawa SP8 perlu berbincang dengan taukehnya terlebih dahulu.

[9] Setelah panggilan telefon diputuskan, SP6 telah diarahkan supaya menunggu di dalam kereta dan dikawal oleh Perayu Kedua dan Perayu Ketiga. Semasa berada di dalam kereta, SP6 telah diugut supaya jangan melarikan diri. SP6 menyatakan jika dia melarikan diri, Perayu-Perayu menyatakan bahawa mereka akan memancung leher SP6 dan jika laporan polis dibuat, SP6 juga akan dibunuh.

[10] SP6 kemudiannya sekali lagi telah diarahkan supaya membuat panggilan telefon kepada SP8. Perayu-Perayu telah mengugut sekiranya wang tebusan tidak dibayar dalam masa yang ditetapkan, Perayu-Perayu akan memancung leher SP6.

[11] Setelah menunggu 3-4 jam, wang tebusan masih tidak dibayar. SP6 telah dibawa ke suatu tempat yang lain dalam kebun kelapa sawit yang sama dengan menaiki kereta yang sama. Setelah tiba di tempat yang baru, Perayu Pertama telah mengarahkan SP6 untuk membuat satu lagi panggilan telefon kepada SP8. SP6 mendengar perbualan antara Perayu Pertama dengan SP8. Perayu Pertama telah memarahi SP8 atas kelewatan menyediakan wang tebusan dan Perayu Pertama mengugut akan memancung leher SP6. Oleh kerana ketakutan dipancung, SP6 telah membuat beberapa panggilan telefon kepada SP8. Setiap kali panggilan telefon dibuat, Perayu Pertama telah diminta untuk menunggu sementara wang tebusan disediakan.

[12] Kesemua panggilan telefon dan perbualan telah disahkan oleh SP8. SP8 mengesahkan telah menerima lebih kurang 10 panggilan telefon daripada SP6 dan SP8 mengesahkan telah bercakap dengan Perayu Pertama. Kesemua panggilan telefon dan percakapan itu berlaku ketika SP8 berada di dalam bilik operasi pihak polis yang berada di Prime City Hotel, Kluang. Salah satu nombor telefon yang telah digunakan oleh Perayu Pertama untuk menghubungi SP8 ialah nombor telefon milik SP6.

[13] Setelah perbincangan diadakan dengan pihak polis, SP8 telah mengambil tindakan untuk menyediakan wang tebusan yang dituntut oleh Perayu-Perayu untuk menyelamatkan SP6. Wang tebusan telah disediakan dalam bentuk 10 ikatan wang kertas RM50 dengan setiap ikatan mengandungi 100 keping. Hanya helaian pertama, kedua dan terakhir merupakan wang kertas RM50 tulen, manakala 97 keping lagi merupakan salinan fotostat wang kertas RM50. Setelah wang tebusan disediakan, kesemua helaian wang kertas itu telah dicatat nombor sirinya oleh SP13. Setelah selesai, SP13 telah menyerahkan 10 ikatan wang tersebut kepada SP8 di dalam satu bungkusan berwarna kuning yang dicatatkan sebagai “1K Yellow”.

[14] Pada jam lebih kurang 2.00 petang hari yang sama, Inspektor Loganathan a/l Subramaniam (SP12) dan SP13 telah berjumpa dengan SP8. SP8 telah diminta untuk menghubungi SP12 sekiranya mana-mana suspek datang untuk mengambil wang tebusan tersebut. Tidak lama kemudian, SP8 telah dihubungi oleh Perayu Pertama yang mengarahkan SP8 supaya pergi ke Renggam bagi tujuan penyerahan wang tebusan. SP8 telah diberi kesempatan untuk bercakap dengan SP6 untuk memastikan bahawa SP6 berada dalam keadaan selamat.

[15] Pada jam antara 3.00 hingga 4.00 petang, SP8 telah membawa wang tebusan keluar dari Prime City Hotel dengan menaiki keretanya, JNC 3817 pergi ke Renggam. Setelah sampai, SP8 telah menghubungi Perayu Pertama dan telah diarahkan untuk pergi ke Stesen Minyak Caltex. Perayu Pertama juga memberi amaran supaya SP8 tidak membuat laporan polis dan tidak memanggil pihak polis untuk turut datang ke sana. SP8 telah memaklumkan kepada SP12 tentang perbualannya dengan Perayu Pertama tersebut.

[16] SP6 menyatakan setelah beberapa jam berada dalam ladang kelapa sawit, Perayu Pertama telah mengarahkan SP6 untuk membonceng motosikal yang ditunggang oleh Perayu Pertama. Motosikal tersebut adalah jenis Honda EX5. Perayu Pertama memberitahu SP6 bahawa mereka perlu pergi ke Renggam untuk mengambil wang tebusan yang berada dengan SP8 dan SP8 sedang menunggu mereka di sana. Semasa dalam perjalanan, SP6 dapat melihat dua orang lelaki India turut mengekori dari belakang dengan masing-masing menunggang sebuah motosikal jenis Honda EX5 berwarna merah dan biru. Terdapat seorang lagi lelaki India yang membonceng salah sebuah dari motosikal tersebut. SP6 dapat melihat terdapat sebilah parang yang dibalut diletakkan di bawah tempat duduk setiap motosikal tersebut.

[17] Sesampai di pekan Renggam, Perayu Pertama telah pergi ke sebuah kawasan berhampiran dengan stesen bas Renggam. Pada waktu itu ketiga-tiga lelaki India yang menaiki dua (2) buah motosikal tadi turut berhenti berhampiran dengan tempat Perayu Pertama dan SP6. Ketiga-tiga lelaki India ini kemudiannya dilihat telah berbual-bual dengan Perayu Pertama. SP6 sempat melihat motosikal Perayu Pertama juga mempunyai sebilah parang yang dibalut di bawah kusyen tempat duduk motosikalnya. Perayu Pertama ada menghubungi SP8 menggunakan telefon SP6. Lebih kurang setengah jam di situ, Perayu Pertama menunggang motosikalnya dan terus beredar dari tempat berkenaan.

[18] Sebaik sahaja Perayu Pertama beredar, SP6 terus mengambil kesempatan untuk melarikan diri dan dikejar oleh ketiga-tiga orang lelaki India rakan Perayu Pertama tersebut sehinggalah mereka ketinggalan jauh dari stesen bas Renggam. SP6 terus menuju ke sebuah barisan medan selera berdekatan di situ dan meminta pertolongan Yusof bin Awang (SP5) untuk menghantarnya ke bandar Kluang. SP5 bersetuju lalu membawa SP6 menaiki sebuah kereta Toyota Corolla berwarna hijau nombor pendaftaran BCF 873. Sebaik sahaja mereka tiba di kawasan berhampiran stesen bas dan Hotel Prime City di Kluang, kereta yang dinaiki mereka telah ditahan oleh Inspektor Hasrudi Mohd. Zain (SP7) dan pasukannya. SP7 telah memperkenalkan dirinya sebagai polis. Pada waktu itu SP6 telah menjerit ketakutan sambil menangis dan menolak SP7 daripada menyentuhinya. SP6 menyatakan kepada SP7 supaya tidak menculik dan menahannya lagi.

[19] SP7 telah mengeluarkan kad kuasanya dan telah mententeramkan SP6. Setelah SP6 yakin bahawa SP7 ialah seorang pegawai polis, SP6 telah dibawa ke Bilik Operasi di Prime City Hotel Kluang untuk tujuan siasatan lanjut. SP13 telah berjumpa SP6 yang pada ketika itu berada dalam keadaan terketar-ketar ketakutan.

[20] Pada masa yang sama, Perayu Pertama tidak tahu menahu apa yang telah terjadi pada SP6. Setelah tiba di Stesen Minyak Caltex di Renggam, Perayu Pertama terus menuju ke bahagian tingkap tempat SP8 memandu keretanya. Ketika itu, SP8 meletakkan kenderaannya di bahagian tepi jalan keluar dari stesen minyak tersebut. SP8 pun menurunkan tingkapnya dan bertanyakan kepada Perayu Pertama kenapa dia datang hanya seorang diri tanpa membawa SP6. Perayu Pertama tanpa mengetahui mengenai apa yang telah terjadi di stesen bas Renggam, memaklumkan kepada SP8 bahawa SP6 berada bersama-sama rakan-rakannya. Perayu Pertama mengarahkan SP8 agar wang tebusan diberikan kepadanya sebelum dapat membebaskan SP6. Kemudiannya Perayu Pertama telah menunjukkan pisau lipat ke arah muka SP8.

[21] Pada waktu itu, kereta yang dinaiki oleh SP12 tiba di simpang untuk memasuki Stesen Minyak Caltex. Melihatkan kereta SP12 sudah tiba, SP8 terus menyerahkan wang tebusan dalam bungkusan kuning yang tercatat 1K Yellow kepada Perayu Pertama. Perayu Pertama terus memasukkan bungkusan tersebut ke dalam bakul motosikalnya. Di saat itu, kereta yang dipandu SP12 telah membelok masuk ke Stesen Minyak Caltex lalu SP12 pun terus memperkenalkan dirinya sebagai polis. Kereta SP12 menghalang motosikal Perayu Pertama daripada bergerak tetapi Perayu Pertama cuba melarikan diri dengan cara memecutkan motosikalnya lalu menyebabkan pelanggaran berlaku di antara kenderaan mereka. Perayu Pertama bangun dan cuba untuk terus melarikan diri ke arah jalan raya. Namun begitu, Perayu Pertama telah ditangkap oleh SP12 dan anggota polis yang lain di atas jalan raya Renggam.

[22] SP12 kemudiannya membawa Perayu Pertama ke tempat motosikal Perayu Pertama terjatuh dan telah mengambil sebuah bungkusan kuning di kawasan bakul motosikal tersebut. SP12 memeriksa kandungan bungkusan kuning tersebut dan mendapati ia berisi 10 ikatan wang tunai di mana setiap ikatannya mengandungi 100 keping note RM50. SP12 telah mengira jumlah wang tersebut dan mendapati ia berjumlah RM50,000.

[23] SP12 seterusnya telah memeriksa badan Perayu Pertama dan merampas sebuah telefon bimbit jenama I-Phone, sebuah telefon bimbit jenama Sony Ericcson, tiga keping ATM Maybank Cards, sekeping CIMB Islamic Mastercard dan sebilah pisau lipat kecil.

[24] SP13 bersama-sama dengan Jurugambar Kpl. Yusuf Nani (SP1) kemudiannya telah datang ke tempat kejadian untuk membuat siasatan lanjutan. Pasukan Forensik PDRM yang diketuai oleh ASP Tha Na Sak (SP11) juga datang untuk membuat siasatan forensik. Sepanjang kerja-kerja siasatan tersebut, SP12 sentiasa berada di tempat kejadian dan mengawal kesemua barang kes yang berada di tempat kejadian.

[25] Seterusnya SP12 telah membawa kesemua barang kes yang dirampas daripada Perayu Pertama kecuali cebisan bungkusan warna kuning ke IPD Kluang untuk diserahkan kepada SP13. Cebisan bungkusan kuning tadi diambil oleh SP11 untuk urusan pengesanan cap jari dan setelah selesai, diserahkan juga kepada SP13 untuk tindakan selanjutnya. Dari hasil siasatan selanjutnya, pihak polis telah berjaya menahan Perayu Kedua dan Perayu Ketiga yang turut terlibat dalam penculikan ke atas SP6 dengan tujuan untuk menuntut wang tebusan sebanyak RM50,000. Manakala seorang lagi lelaki India yang turut terlibat dalam kes penculikan tersebut telah gagal dikesan dan masih bebas.

Dapatan Di akhir Kes Pendakwaan

[26] Hakim bicara telah membuat penilaian secara maksima keterangan saksi-saksi pendakwaan dan mendapati bahawa pihak pendakwaan telah berjaya mengwujudkan kes prima facie terhadap Perayu-Perayu atas kedua-dua pertuduhan. Untuk pertuduhan pertama bagi kesalahan menculik, hakim bicara berpuas hati bahawa tiga elemen pertuduhan telah dibuktikan, iaitu: (i) bahawa mangsa (SP6) telah dilarikan, dihalang dan ditahan secara salah; (ii) adanya permintaan wang tebusan sebanyak RM50,000 untuk membebaskan SP6; dan (iii) ketiga-tiga Perayu dengan secara niat bersama telah melakukan perbuatan melarikan mangsa, menghalang dan menahan secara salah serta telah meminta wang tebusan untuk membebaskan mangsa.

[27] Bagi pertuduhan kedua, hakim bicara juga berpuas hati bahawa tiga elemen utama pertuduhan telah berjaya dibuktikan, iaitu terdapat dua (2) orang atau lebih tertuduh yang terlibat dan salah seorang dari mereka telah melakukan kecurian harta mangsa, dalam kes ini iaitu satu kad ATM Maybank milik SP6 dan elemen ketiga, ketika melakukan kesalahan tersebut, Perayu-Perayu telah mendatangkan ketakutan terhadap kecederaan, kematian atau tahanan salah terhadap mangsa.

[28] Hakim bicara telah menerima dan mempercayai keterangan dari saksi-saksi utama, terutamanya mangsa sendiri (SP6) yang disokong oleh keterangan majikannya, SP8. Saksi SP6 telah menceritakan bagaimana dia telah dilarikan dan ditahan di dalam sebuah kereta sebelum dibawa ke dalam ladang kelapa sawit oleh ketiga-tiga Perayu. Keterangan SP6 juga menceritakan bagaimana Kad ATM Maybanknya telah dirompak oleh Perayu Pertama. SP6 juga telah memberikan keterangan mengenai permintaan wang tebusan RM50,000 untuk membebaskannya. Keterangan SP6 juga menceritakan beliau telah diugut oleh Perayu-Perayu dengan kematian. Perayu-Perayu menyatakan akan membunuh SP6 dengan menggunakan parang jika wang tebusan gagal dibayar. SP6 telah ditunjukkan dengan tiga bilah parang yang digunakan oleh Perayu-Perayu untuk menakutkan SP6. SP6 juga telah memberitahu mengenai permintaan wang tebusan melalui panggilan telefon kepada SP8. Akhirnya, SP6 telah menceritakan bagaimana dia telah berjaya melepaskan diri dari tahanan oleh Perayu-Perayu. SP6 telah berjaya mengecamkan ketiga-tiga Perayu sebagai orang yang terlibat dalam menculik beliau.

[29] Setelah berpuas hati bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan satu kes prima facie terhadap Perayu-Perayu atas dua pertuduhan yang dihadapkan, hakim bicara telah memerintahkan ketiga-tiga Perayu untuk membela diri atas kedua-dua pertuduhan.

Kes Pembelaan

Pembelaan Perayu Pertama

[30] Perayu Pertama memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah. Dalam keterangan membela dirinya, Perayu Pertama dengan secara ringkasnya menyatakan seperti berikut:

(a) Dia tinggal bersama dengan ibu dan 2 orang adik perempuan di Kampung Sri Lambak, Kluang dan bekerja sebagai pemandu lori serta sebagai ‘bouncer’ secara sambilan;

(b) Dia mengenali Perayu Kedua dan Perayu Ketiga sebagai kawan yang tinggal di kampung yang sama dan mereka kerap pergi ke Pusat Hiburan Keluarga di Jalan Duku, Kluang. Perayu Pertama menyatakan dia kenal tuan punya pusat hiburan tersebut sebagai ‘Ah Lai’ serta kenal penyelia pusat hiburan tersebut sebagai ‘Otai’ atau ‘Aran’. Dia diberitahu oleh ‘Ah Lai’ bahawa pusat hiburan itu memerlukan ‘bouncer’ dan dia telah maklumkan perkara ini kepada rakannya yang bernama ‘Vishnu’ untuk mendapatkan orang untuk bekerja sebagai ‘bouncer’.

(c) Pada pagi 27.12.2012, dia menerima panggilan telefon dari ‘Vishnu’ yang meminta dia datang ke pusat hiburan tersebut. Apabila dia sampai, dia melihat ‘Vishnu’ dan ‘Otai’ telah sedia berada di sana menunggu kedatangannya. Dia pergi ke sana dengan memandu kereta Proton Wira JEY 124 yang dipinjamkan dari kawannya. ‘Vishnu’ dan ‘Otai’ pergi ke sana dengan masing-masing menaiki motosikal. ‘Vishnu’ datang untuk mencari kerja sebagai ‘bouncer’. ‘Vishnu’ berjanji untuk mencari orang untuk bekerja sebagai ‘bouncer’ dan telah meminta gaji pendahuluan untuk 6 bulan;

(d) Oleh kerana ‘Ah Lai’ tiada di pusat hiburan tersebut, dia bersama ‘Otai’ dan ‘Vishnu’ telah pergi minum di kedai Lai Seng di Jalan Besar dekat pasar besar Kluang. Semasa minum, ‘Vishnu’ minta wang gaji 6 bulan berjumlah RM50,000 dan ‘Otai’ telah menelefon kepada taukehnya, “Ah Lai”.

(e) Oleh kerana ‘Ah Lai’ perlukan sedikit masa untuk mencari wang RM50,000 itu, ‘Vishnu’ dan ‘Otai’ telah pergi dari situ. Dia dan Aran telah menaiki kereta terus pergi ke Renggam untuk bergunting rambut di kedai milik Raj Selvam;

(f) Semasa bergunting rambut, dia menerima panggilan telefon daripada ‘Vishnu’ yang memberitahu beliau ‘Vishnu’ dan rakan-rakannya sedang berada di playground menunggu ketibaan ‘Ah Lai’. Dia dan Aran telah pergi berjumpa dengan ‘Vishnu’ di taman kanak-kanak tersebut dan di sana dia melihat ‘Otai’ dan Teeban Kumar juga berada di sana bersama ‘Vishnu’.

(g) Ah Lai tidak datang dan Aran beritahu dia mahu bayar deposit RM8,000 dulu. Teeban Kumar telah membawa Aran ke sebuah bank di Layang-Layang untuk mengeluarkan wang RM8,000 dan dipindahkan ke dalam akaun Teeban Kumar. Selepas itu dia telah menghantar ‘Aran’ ke stesen bas untuk balik kerana ada kerja di pusat hiburan tersebut. Sebelum itu, ‘Aran’ ada menerima satu panggilan telefon dari ‘Ah Lai’ yang menyatakan ‘Ah Lai’ akan datang dengan baki wang RM50,000 dan akan serahkan wang itu kepada ‘Vishnu’.

(h) ‘Ah Lai’ telah datang ke Stesen Minyak Caltex untuk serahkan wang kepada ‘Vishnu’. Dia telah meminjam sebuah motosikal untuk pergi menjemput ‘Ah Lai’ dari stesen minyak tersebut. Setelah berjumpa ‘Ah Lai’, datang sebuah kereta melanggar motosikal yang dia sedang tunggang. Dia telah jatuh pengsan dan telah ditangkap oleh pihak polis;

(i) Dia menafikan telah menculik dan merompak SP6. Perayu Pertama telah memberi percakapan kepada polis di bawah seksyen 112 Kanun Acara Jenayah (‘KAJ’) dan telah dikemukakan sebagai eksibit D71.

Pembelaan Perayu Kedua

[31] Perayu Kedua juga memberi keterangan membela diri secara bersumpah. Pembelaan Perayu Kedua dapat diringkaskan seperti berikut:

(a) Dia tinggal bersama dengan kawan abangnya bernama Prakash (SD4) di Taman Austin Perdana, Johor Bahru. Pada masa kejadian, dia sedang mencari kerja. Abang dia bernama Kumar;

(b) Pada 27.12.2012 dia berada di rumah bersama Prakash oleh kerana Prakash bercuti mulai 25.12.2012 sehingga 1.1.2013. Pada 27.12.2012 dia dan Prakash memasang spare parts kereta Proton Wira milik Prakash. Spare parts tersebut telah mereka beli pada 26.12.2012;

(c) Perayu Kedua menafikan pernah pergi ke Pusat Hiburan Keluarga di Jalan Duku, Kluang dan dia tidak pernah mengenali SP6;

(d) Dia mengenali Perayu Pertama dan Perayu Ketiga sebagai kawan rapat dan pernah tinggal di satu kampung yang sama. Dia juga dikenali sebagai Raja @ Boy;

(e) Dia juga mengenali ‘Vishnu’ yang bekerja sebagai menguruskan orang bekerja di tempat-tempat perjudian;

(f) Dia menafikan bahawa dia turut dikenali sebagai ‘Otai’. Dia ada memberi percakapan kepada pihak polis di bawah seksyen 112 KAJ (Eksibit D72). Perayu Kedua bagaimanapun menyatakan bahawa percakapan yang dia berikan tidak sepenuhnya dirakamkan dalam D72.

Pembelaan Perayu Ketiga

[32] Perayu Ketiga turut memberi keterangan membela diri secara bersumpah. Pembelaan Perayu Ketiga dapat diringkaskan seperti berikut:

(a) Pada tahun 2012, dia tinggal bersama kawannya yang bernama ‘Nages’ (SD5). Pada awal tahun 2012, dia bekerja sebagai posmen di Singapura dan ‘Nages’ bekerja sebagai Pengawal Keselamatan di pusat membeli belah. Mereka tinggal di sebuah pangsapuri di Bukit Saujana, Johor Bahru;

(b) Dia mengenali Perayu Pertama dan Perayu Ketiga sejak kecil lagi kerana mereka pernah tinggal di kampung yang sama;

(c) Pada 27.12.2012, dia berada di rumah ‘Nages’ dan pada masa itu dia telahpun berhenti kerja sebagai posmen. Pada jam 7.30 pagi, ‘Nages’ baru sampai balik dari bekerja di Singapura. Mereka bersarapan pagi di rumah dengan memakan makanan yang dibeli oleh ‘Nages’. ‘Nages’ dapat cuti perayaan pada 27-28.12.2012;

(d) Dia berada sepanjang hari itu bersama ‘Nages’. Pada tengah hari, mereka makan bersama, ke kedai runcit untuk membeli barang keperluan bersama dan sebelah petang pula mereka minum arak dan menonton TV serta lepak-lepak bersama. Pada sebelah malam, mereka ke kedai mamak untuk memesan makanan malam. Mereka tidur pada jam antara 9.30-10.00 malam;

(e) Dia pernah pergi ke Pusat Hiburan Keluarga di Kluang untuk berjudi. Dia tidak kenal ‘Ah Lai’, tetapi dia mengenali SP6 yang bertugas sebagai penyelia di pusat hiburan itu;

(f) Dia mendapat tahu mengenai kejadian penculikan SP6 lebih kurang 3-4 hari selepas kejadian. Dia tahu bahawa polis sedang mencarinya berkaitan dengan kejadian itu. Dia enggan menyerah diri kerana dia tidak terlibat dengan kejadian itu. Dia telah ditangkap oleh polis dalam bulan Mei 2013 semasa sedang bermain judi di sebuah tempat perjudian milik Steven Kumar di Johor Bahru. Steven Kumar turut ditahan oleh pihak polis;

(g) Dia mengakui sebelum ditangkap dia ada terlibat dalam satu kes berkaitan dengan kesalahan di bawah seksyen 326 Kanun Keseksaan;

(h) Dia ada memberi percakapan di bawah seksyen 112 KAJ kepada pihak polis seperti di Eksibit D73.

[33] Pihak pembelaan telah memanggil dua orang saksi lain, iaitu Encik Prakash a/l Ramasamy (SD4) dan Encik Nagenthran a/l Periasamy (SD5). SD4 dalam keterangannya mengesahkan bahawa saksi mengenali Perayu Kedua sebagai adik kepada rakannya yang bernama Kumar yang bekerja di Dubai. SD4 mengesahkan keterangan Perayu Kedua bahawa pada 27.12.2012, Perayu Kedua berada bersama saksi sepanjang masa di Austin Perdana, Johor Bahru membantu SD4 memasang ‘spare parts’ keretanya, Proton Wira JHE 7152. SD4 menyatakan ada memberi percakapan kepada pihak polis.

[34] Saksi SD5 menyatakan dia kenal Perayu Ketiga selama lebih 10 tahun. Mereka tinggal bersama di sebuah pangsapuri di Taman Bukit Saujana sejak Ogos 2012 sehingga akhir Disember 2012. Seterusnya, SD5 menyokong keterangan Perayu Ketiga bahawa pada 27-28.12.2012, sepanjang masa Perayu Ketiga berada bersamanya di Taman Bukit Saujana.

Dapatan hakim bicara di akhir kes pembelaan

[35] Setelah membuat pertimbangan terhadap keseluruhan keterangan pembelaan, hakim bicara membuat dapatan ringkas seperti berikut:

(a) Pembelaan Perayu Pertama bahawa dia bekerja part time sebagai ‘bouncer’ tidak pernah ditimbulkan semasa kes pendakwaan. Tidak dinyatakan siapakah majikan Perayu Pertama di pusat hiburan di mana dia bekerja sebagai ‘bouncer’. Ini merupakan satu pemikiran terkemudian. Keterangan Perayu Pertama yang menyatakan SP8 menyuruh dia mencari pekerja sebagai ‘bouncer’ tidak pernah dicadangkan kepada SP8, dan dengan demikian merupakan satu pemikiran terkemudian;

(b) Watak-watak ‘Vishnu’ dan ‘Otai’ hanya ditimbulkan oleh Perayu Pertama semasa kes pembelaan. Semua watak-watak ini telah dinafikan oleh SP6. SP8 pula tidak pernah disoal balas tentang dua watak ini. Rakaman percakapan Perayu Pertama juga tidak memberikan butir-butir jelas dan lengkap mengenai dua penama tersebut. Justeru, dua watak itu hanya satu rekaan semata-mata. Dakwaan kononnya ‘Vishnu’ dan ‘Otai’ telah membawa SP6 ke kedai makan juga telah dinafikan oleh SP6;

(c) Adalah tidak munasabah bahawa dakwaan wang RM50,000 yang diminta oleh Perayu Pertama adalah sebagai gaji pendahuluan ‘bouncer’ (‘Vishnu’) untuk 6 bulan memandangkan jumlah itu sangat besar untuk gaji seorang ‘bouncer’;

(d) Dakwaan Perayu Pertama bahawa dia telah membawa SP6 pergi ke kedai gunting rambut Raj Selvam dinafikan oleh SP6 dan SP6 tidak pernah mengenali Raj Selvam. Raj Selvam juga gagal dipanggil untuk dicamkan semasa perbicaraan;

(e) Pembelaan alibi yang dikemukakan oleh Perayu Kedua dan Perayu Ketiga sangat lemah dan gagal untuk menyangkal fakta kukuh kes pendakwaan dan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pihak pendakwaan;

(f) Sebaliknya, hakim bicara mendapati pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes mereka terhadap Perayu-Perayu melampaui sebarang keraguan yang munasabah atas kedua-dua pertuduhan.

[36] Setelah berpuas hati bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kedua-dua pertuduhan terhadap Perayu-Perayu melampaui sebarang keraguan yang munasabah, hakim bicara telah mensabitkan Perayu-Perayu dengan kedua-dua pertuduhan. Hakim bicara telah menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup bagi Pertuduhan Pertama dan penjara 10 tahun bagi Pertuduhan Kedua terhadap setiap Perayu. Kedua-dua hukuman diarahkan berjalan serentak berkuat kuasa sejak tarikh Perayu-Perayu ditangkap.

Rayuan Perayu-Perayu

[37] Peguam bela terpelajar bagi Perayu Pertama telah membangkitkan dua alasan berikut untuk mencabar keputusan hakim bicara:

(a) Kegagalan hakim bicara membuat pertimbangan dengan secukupnya pembelaan Perayu Pertama; dan

(b) Kegagalan pihak pendakwaan mengemukakan penama Teeban Kumar sebagai saksi pembelaan di Mahkamah telah mengkompromi hak Perayu Pertama untuk mendapatkan satu perbicaraan yang adil.

[38] Peguam bela terpelajar bagi Perayu Kedua dan Perayu Ketiga pula telah membangkitkan dua alasan utama berikut bagi mencabar keputusan hakim bicara:

(a) Kegagalan pihak pendakwaan mengemukakan saksi Teeban Kumar telah memprejudiskan pembelaan Perayu Kedua dan Perayu Ketiga; dan

(b) Kegagalan hakim bicara membuat pertimbangan dengan secukupnya pembelaan alibi Perayu Kedua dan Perayu Ketiga.

[39] Manakala Puan Timbalan Pendakwa Raya (‘Puan TPR’) dalam rayuan silang pula merayu terhadap hukuman apabila hakim bicara gagal untuk mengenakan hukuman sebatan bagi Pertuduhan Pertama apabila hakim bicara tidak memilih untuk mengenakan hukuman mati terhadap Perayu-Perayu. Sebaliknya, dihujahkan bahawa hakim bicara wajar mengenakan hukuman sebatan apabila menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup terhadap Perayu-Perayu bagi Pertuduhan Pertama.

Dapatan dan Keputusan Kami

[40] Hakim bicara perlu menimbangkan keseluruhan keterangan di akhir kes pembelaan sebagaimana diperuntukkan di bawah seksyen 182A KAJ:

Procedure at the conclusion of the trial

182A. (1) At the conclusion of the trial, the Court shall consider all the evidence adduced before it and shall decide whether the prosecution has proved its case beyond reasonable doubt.

(2) If the Court finds that the prosecution has proved its case beyond reasonable doubt, the Court shall find the accused guilty and he may be convicted on it.

(3) If the Court finds that the prosecution has not proved its case beyond reasonable doubt, the Court shall record an order of acquittal.

[Penekanan ditambah]

[41] Kegagalan hakim bicara untuk menimbangkan keseluruhan keterangan, termasuklah apa-apa kenyataan atau percakapan yang dirakamkan dari seseorang tertuduh (percakapan beramaran atau kenyataan di bawah seksyen 112 KAJ) akan menyebabkan hakim bicara melakukan satu salah arahan undang-undang yang serius (Prasit Punyang v PP [2014] 1 MLRA 387; Md. Zainudin bin Raujan v PP [2013] 3 MLJ 773; Kwok Weng Fatt v PP & Anor Cases [2013] 1 LNS 1304).

[42] Peguam bela terpelajar bagi Perayu Pertama berhujah bahawa hakim bicara telah gagal untuk menimbangkan dengan secukupnya pembelaan Perayu Pertama. Sebaliknya, hakim bicara telah mengkritik pembelaan Perayu Pertama sebagai satu pemikiran terkemudian dan hanya satu penafian kosong semata-mata. Dihujahkan bahawa pembelaan Perayu Pertama bukanlah satu pemikiran terkemudian dan bukan juga satu penafian kosong semata-mata kerana pembelaan Perayu Pertama telah disebutkan dan selari dengan pernyataan yang telah diberikan oleh Perayu Pertama dalam rakaman percakapannya di bawah seksyen 112 KAJ (D71).

[43] Peguam bela terpelajar juga berhujah bahawa adalah tidak adil untuk hakim bicara apabila mengkritik Perayu Pertama semata-mata atas alasan bahawa pernyataan D71 diberikan selepas 13 hari berada dalam tahanan serta atas alasan kegagalan Perayu Pertama untuk memberikan butir-butir peribadi ‘Vishnu’ dan ‘Otai’. Walau apa pun juga, peguambela terpelajar berhujah bahawa hakim bicara tidak wajar mengenepikan sama sekali pembelaan Perayu Pertama seperti yang diputuskan dalam kes Alcontara Ambross Anthony v PP [1996] 1 CLJ 705.

[44] Kami telah meneliti penghakiman hakim bicara dan Rekod Rayuan. Selepas berbuat demikian, kami tidak bersetuju dengan penghujahan peguam bela terpelajar. Kami mendapati bahawa hakim bicara telah membuat penilaian secara teliti terhadap keseluruhan pembelaan yang dikemukakan oleh Perayu Pertama dan pembelaan alibi Perayu Kedua dan Perayu Ketiga. Malahan, kami mendapati hakim bicara telah dengan secara panjang lebar mengulas pembelaan Perayu-Perayu. Kami tidak mendapati sebarang kekhilafan di pihak hakim bicara dalam membuat penilaian, dapatan dan keputusan menolak pembelaan Perayu-Perayu.

[45] Kami petik penghakiman hakim bicara di muka surat 74 hingga 84 Rekod Rayuan Jilid 1 secara extenso mengenai isu pembelaan Perayu-Perayu seperti berikut:

"[29] Tugas Mahkamah ini pula di peringkat pembelaan adalah seperti yang diputuskan di dalam kes PP v Datuk Tan Cheng Swee & Anor [1980] 1 LNS 58 (khususnya di muka surat 61) yang dipetik seperti di bawah:

“All that is said and meant was that the trial court should reasonably, properly and judicially consider the defence in the light of the prosecution case and come on the totality of the evidence before it, to a correct decision, without fear or favour, in the proper exercise of its judicial function.”

[30] Setelah dikaji, diteliti dan dihalusi pembelaan dikemukakan oleh ketiga-tiga OKT, maka ia terbahagi kepada dua (2) keadaan iaitu:

(1) OKT1 menafikan bagi mencapai niat bersama terlibat menahan Kee Paul Reng (mangsa) dengan cara melarikan dan menghalangnya secara salah untuk mendapatkan wang tebusan RM50,000.00.

OKT1 juga menafikan bersama-sama OKT2 dan OKT3 melakukan rompak berkumpulan satu (1) kad ATM Maybank milik Kee Paul Reng (mangsa) di dalam sebuah kereta Proton Wira nombor pendaftaran JEY 124 di hadapan premis Hiburan, Channel Amusement City, Jalan Duku, Kluang, Johor.

(2) OKT2 dan OKT3 pula mengemukakan alibi ketiadaan mereka di tempat kejadian di premis Pusat Hiburan, Channel Amusement City, Jalan Duku, Kluang, Johor pada 27.12.2012 jam lebih kurang 7.30 pagi bagi mencapai niat bersama terlibat menahan Kee Paul Reng (mangsa) dengan cara melarikan dan menghalangnya secara salah untuk mendapatkan wang tebusan RM50,000.00.

OKT2 dan OKT3 juga mengemukakan alibi yang sama ketiadaan mereka bersama-sama OKT1 melakukan rompak berkumpulan satu (1) kad ATM Maybank milik Kee Paul Reng (mangsa) di dalam sebuah kereta Proton Wira nombor pendaftaran JEY 124 di hadapan premis Hiburan, Channel Amusement City, Jalan Duku, Kluang, Johor.

[31] OKT1 ada menimbulkan beberapa isu pembelaan dan disenaraikan berikut serta dianalisa dan dirumuskan oleh Mahkamah ini:

(i) OKT1 bekerja sebagai ‘part-time bouncer’ di Kluang dan 2 hari sebelum kejadian Pengurus PHK Songmart Ng Chee Lai (SP8) menelefon meminta mencarikan orang untuk menjaga PHK Songmart.

(a) Berkait OKT1 bekerja sebagai ‘part-time bouncer’ di Kluang tidak disokong dengan keterangan alamat tempat kerja, slip gaji dan siapa majikannya. Oleh itu ia sekadar cakap kosong. Kerja ‘part-time bouncer’ ini serta juga SP8 menelefon dan meminta OKT1 mencari penjaga untuk PHK Songmart tidak pernah ditimbulkan semasa kes pendakwaan dan rakaman percapakan OKT1 (eksibit D71). Ini jelas merupakan keterangan ‘afterthought’ seperti mana diputuskan dalam kes Megat Halim Megat Omar v Public Prosecutor [2009] 1 CLJ 154.

(ii) Watak ‘Vishnu’ dan ‘Otai’ dalam kes ini

(a) Sepanjang kes pembelaan OKT1 ada menceritakan keterlibatan watak ‘Vishnu’ dan ‘Otai’ secara meluas dalam kedua-dua pertuduhan dalam kes ini. Namun begitu Mahkamah ini amati sepanjang kes pendakwaan pihak pembelaan hanya bangkitkan satu soalan sahaja tentang kewujudan watak ‘Vishnu’ dan ‘Otai’ dan itu pun dinafikan oleh SP6. Pihak pembelaan langsung tidak menyoalbalas mengenainya ke atas SP8. Pegawai Penyiasat kes ASP Ahmad Zamry bin Marinsah (SP13) atau mana-mana saksi pendakwaan yang lain. Sungguhpun dalam rakaman percakapan OKT1 (eksibit D71) ada menceritakan mengenai ‘Vishnu’ dan ‘Otai’ ini tetapi ia tidak dikemukakan semasa kes pendakwaan. Eksibit D71 hanya timbul ketika kes pembelaan.

(b) Kalau dirujuk eksibit D71 jelas menunjukkan ia diambil pada 9.1.2013 iaitu 13 hari selepas OKT1 ditangkap. Malangnya, dalam rakaman percakapan tersebut OKT1 langsung tidak memberi butir-butir terperinci watak ‘Vishnu’ dan ‘Otai’ seperti nama sebenar dan penuh mereka, alamat, nombor telefon, rupa paras dan lain-lain lagi berbanding yang dizahirkan dalam kes Alcontara Ambross Anthony v Public Prosecutor (1996) 1 CLJ 705.

(c) Cuma di peringkat pembelaan ini OKT1 menyalahkan SP13 tidak mencatitkan butir-butir peribadi ‘Vishnu’ dan ‘Otai’ semasa rakaman percakapan diambil dan ini sudah pasti memprejudiskan SP13 kerana tidak diberi peluang untuk menerangkan tentang eksibit D71 atau hasil siasatannya ke atas ‘Vishnu’ dan ‘Otai’ semasa kes pendakwaan seperti mana yang diputuskan oleh Mahkamah Rayuan dalam kes Modjtaba Hosseinzadeh Majid v PP & Another Appeal (2015) 1 LNS 434.

(d) Jadi dalam keadaan sedemikian mana mungkin dikatakan ‘Vishnu’ dan ‘Otai’ benar-benar wujud dan Mahkamah lebih yakin (‘highly probable’) watak-watak tersebut adalah rekaan OKT semata-mata untuk menegakkan pembelaan kesnya.

(iii) SP6 dibawa OKT1 bersama-sama ‘Vishnu’ dan ‘Otai’ ke kedai makan Cina di kawasan Taman Len Seng, Jalan Besar, Renggam

(a) Pertamanya, Mahkamah tadi telah merumuskan watak ‘Vishnu’ dan ‘Otai’ sebenarnya tidak wujud dan merupakan rekaan OKT1 semata-mata.

(b) Keduanya, cerita ke kedai makan ini telahpun disangkal dan dinafikan oleh SP6 seawal kes pendakwaan lagi.

(c) Ketiganya, hal ini langsung tidak dilihat oleh mana-mana saksi.

(d) Keempatnya, tidak logik dan tidak perlu SP6 bersama OKT1 serta rakan-rakannya ke Renggam kerana terdapat banyak kedai makan dan minuman Cina di Kluang juga.

(iv) ‘Vishnu’ meminta gaji pendahuluan 6 bulan berjumlah RM50,000.00 untuk menjaga PHK Songmart

(a) Sekali lagi Mahkamah mengatakan watak ‘Vishnu’ sebenarnya tidak wujud dan merupakan rekaan OKT1 semata-mata.

(b) Lagipun Mahkamah amati OKT1 semasa disoalbalas bersetuju kerja sebagai ‘part-time bouncer’ ini tidak memerlukan apa-apa kelulusan tinggi. Jadi tidak munasabah dan amat tidak munasabah gaji ‘part-time bouncer’ ini RM50,000.00 kerana ia terlampau besar.

(c) Cerita ini semua timbul di peringkat pembelaan sahaja dan sudah menjadi undang-undang mantap keterangan terkemudian dianggap ‘an afterthought defence’.

(d) Jadi Mahkamah tidak dapat memberi pertimbangan dan keberatan yang sewajarnya kepada semua keterangan sebegitu.

(v) OKT1 bawa SP6 ke kedai gunting rambut milik Raj Selvam dan kemudiannya ke taman mainan (‘playground’) di kawasan Renggam

(a) Mengenai fakta bahawa OKT1 membawa SP6 ke kedai gunting rambut kepunyaan Raj Selvam adalah dinafikan oleh SP6 seawal lagi semasa kes pendakwaan dan lagi pun SP6 tidak kenal dan tidak pernah lihat dikatakan tukang gunting rambut bernama Selvaraju a/l Mahendran semasa perbicaraan di Mahkamah. Semasa kes pembelaan penama Selvaraju gagal dipanggil oleh pembelaan.

(b) Berkait fakta bahawa SP6 ada dibawa ke taman kanak-kanak (‘playground’) di mana beliau dan OKT1 ada berjumpa ‘Vishnu’ dan Teeban Kumar di mana perbincangan ada berlaku mengenai wang pembayaran gaji RM50,000.00 dan wang deposit RM8,000.00 tidak pernah dibangkitkan oleh pihak pembelaan sepanjang kes pendakwaan. Ini Mahkamah anggap cerita boleh direka oleh OKT1 cuma di peringkat pembelaan. Maka, lainnya adalah merupakan keterangan ‘afterthought’.

...

(vii) OKT1 menjelaskan semasa dia berbual dengan SP8 di Stesen Minyak Caltex Renggam tiba-tiba sebuah kereta datang dari arah belakang dan melanggar motosikalnya dan dia terus pengsan di situ

(a) Penjelasan OKT1 di atas itu untuk menyangkal keterangan SP8 dan Inspektor Loganathan (SP12) yang diterima masuk di bawah Seksyen 8 Akta Keterangan berkait perlakuan OKT1 yang cuba memecut motosikalnya sehingga terlanggar kereta SP12 lalu jatuh dan cuba melarikan diri sehingga ditangkap di tepi jalan besar di hadapan Stesen Minyak Caltex. (Parlan Dadeh v PP (2009) 1 CLJ 717).

(b) Malangnya OKT1 kononnya pengsan sebaik sahaja dilanggar sebuah kereta ini tidak pernah dicadang oleh pihak pembelaan kepada mana-mana saksi pendakwaan. Sekali lagi Mahkamah putuskan ini keterangan ‘afterthought’.

(c) Lagipun Mahkamah amati langsung tiada keterangan OKT1 dimasukkan ke hospital akibat pengsan atau terdapat pihak ambulans dipanggil untuk datang merawat beliau.

(d) Semua ini Mahkamah merumuskan OKT1 gagal memberikan penjelasan yang sewajarnya. Malangnya OKT1 juga gagal menyangkal keterangan di bawah seksyen 8 Akta Keterangan dan seksyen 114(a) Akta Keterangan berkait milikan ke atas I-Phone kepunyaan SP6 (eksibit P31) yang dijumpai dalam poket seluarnya.

(e) Pada keseluruhannya Mahkamah amati pembelaan OKT1 hanya berkisar keterangan ‘afterghought’ dan penafian semata-mata.”.

[Penekanan ditambah]

[46] Berkaitan dengan pembelaan alibi Perayu Kedua dan Perayu Ketiga, hakim bicara telah mengulas di muka surat 85 hingga 94 Rekod Rayuan Jilid 1, kami petik seperti berikut:

"[32] OKT2 dan OKT3 mengemukakan pembelaan ‘alibi’ bahawa mereka berada di rumah SD4 dan SD5 masing-masingnya dalam kes ini. Maka menjadi beban OKT2 dan OKT3 membuktikan ketiadaan mereka di tempat dan masa kejadian untuk menimbulkan keraguan munasabah ke atas kes pendakwaan sebelum ini. Dalam kes PP v Azilah Hadri & Anor (2015) 1 CLJ 579 Mahkamah Persekutuan menyatakan perihal ‘alibi’ seperti berikut:

"[35] ... Sarkar on Evidence (15th edition .... P.258) states that the word ‘alibi’ is of Latin origin and means “elsewhere”. By claiming he was elsewhere he would thus be physically incapable of committing the offence he is charged with. And mere assertion of alibi is insufficient to exculpate himself he thus must adduce credible evidence that can cast a reasonable doubt over the prosecution’s case, evidence that must include particulars of the place where he claimed he was at the time of the commission of the offence …

[37] The burden of proving the commission of an offence by an accused person never shifts away from the prosecution whilst the burden of establishing that defence of ‘alibi’ lies on the accused person.”

[33] Setelah dikaji, diteliti dan dihalusi semua keterangan dalam kes ini, maka Mahkamah amati terdapat kelemahan-kelemahan dalam pembelaan ‘alibi’ oleh OKT2 dan OKT3 yang cuba disokong oleh saksi-saksi SD4 dan SD5 masing-masingnya seperti disenaraikan di bawah berikut:

(i) a. OKT2 dan OKT3 menimbulkan isu ‘alibi’ ini hanya ketika pemeriksaan-balas ke atas saksi terakhir iaitu ASP Ahmad Zamry bin Marinsah (SP13). Notis ‘alibi’ OKT2 dan OKT3 diserahkan kepada pihak pendakwaan pada 4.9.2014 iaitu hampir setahun setengah selepas mereka dituduh di Mahkamah.

b. Mahkamah amati OKT2 langsung tidak memberikan apa-apa alasan kerana notis alibi ini lewat diserahkan kepada pihak pendakwaan. SD4 pula menyatakan telah berjumpa dengan Inspektor Nazri (SP9) memaklumkan bahawa OKT2 berada bersamanya pada hari kejadian. Malangnya hal ini tidak pernah dibangkitkan sepanjang kes pendakwaan menjadikannya keterangan ‘afterthought’. SD4 juga mengatakan ada memberitahu perkara yang sama kepada peguambela OKT2 sebelum ini pada tahun 2013 lagi, tetapi hal ini adalah tidak munasabah kerana tidak mungkin peguambela yang berpengalaman hanya berkesempatan memfailkan notis alibi pada 4.9.2014. Jadi jelas daripada keterangan SD4 tersebut itu sangat tidak meyakinkan dan Mahkamah amati sekadar melepaskan tanggungjawabnya untuk menyokong OKT2 sahaja.

c. Sama juga keadaan berlaku pada OKT3 yang langsung tidak memberikan apa-apa alasan kenapa notis alibi ini lewat diserahkan kepada pihak pendakwaan. Lagipun SD5 memang mengaku dari bulan Disember 2012 sehingga pertengahan tahun 2015 dia tidak pernah berjumpa pihak polis ataupun peguam bela ketika itu untuk memaklumkan bahawa OKT3 berada bersamanya pada hari kejadian. Keterangan SD5 ini cuba menyokong OKT3 amat tidak munasabah kerana tidak mungkin beliau mengambil masa hampir setahun setengah barulah tampil memberi maklumat ‘alibi’ sedangkan rakannya OKT telah ditangkap dengan kes yang sangat serius iaitu kes culik dan rompak berkumpulan.

(ii) a. SD4 mempunyai hubungan rapat hampir 18 tahun dengan ‘Kumar’ iaitu abang OKT2 dan keadaan ini menampakkan beliau seorang saksi yang berkepentingan dalam kes ini.

b. Begitu juga keadaannya hubungan antara OKT3 dan SD5 telah saling kenal mengenali selama 10 tahun. Malahan mereka telah berkenalan sejak zaman persekolahan lagi. Jadi sekali lagi Mahkamah merumuskan SD5 amat jelas sekali merupakan seorang saksi berkepentingan juga.

c. Kesan SD4 dan SD5 ini merupakan seorang saksi berkepentingan, maka Mahkamah ini merujuk kepada keputusan Mahkamah Rayuan dalam kes Goh Kooi Peng v PP (2013) 1 CLJ 198 dipetik seperti di bawah berikut:

“However, bearing in mind the surrounding circumstances of this case, it was the duty testimony of the interested witness with extreme case and caution.”

(iii) Menjadi kemusykilan kenapa OKT2 dan OKT3 tidak menyerah diri kepada polis walaupun mereka telah dimaklumkan oleh keluarga mereka tentang nama mereka telah keluar dalam surat khabar dan televisyen sekitar 4-5 hari selepas kejadian pada 27.12.2012. Keengganan mereka menyerah diri pada pihak berkuasa berterusan sehinggalah OKT2 ditangkap pada 28.2.2012 dan OKT3 pula ditangkap pada 3.6.2013. Sifat OKT2 dan OKT3 sebegitu secara langsung mencerminkan pepatah Melayu "berani kerana benar dan takut kerana salah”. Mahkamah juga amati penjelasan mereka mengenai perkara ini adalah tidak munasabah dan meyakinkan.

(iv) a. Adalah tidak munasabah jiran-jiran dan tuan rumah disewa SD4 di Taman Austin Perdana tidak mengenali OKT2 walaupun dia kononnya tinggal di sana selama 6 bulan iaitu satu tempoh yang lama.

b. Begitu juga cerita OKT3 dan SD5 yang mengatakan jiran-jiran dan tuan rumah disewa SD5 di Bukit Saujana tidak mengenali OKT3 adalah amat tidak munasabah kerana dia dah tinggal di sana selama 6 bulan iaitu satu tempoh yang lama juga.

(v) OKT2 dan OKT3 kononnya tinggal bersama-sama SD4 dan SD5 di Taman Austin Perdana dan Bukit Saujana masing-masingnya selama 6 bulan yang merupakan satu tempoh yang lama. Jadi mustahil OKT2 dan OKT3 tidak boleh ingat atau memberi alamat penuh tempat ‘alibi’nya semasa memberi keterangan di Mahkamah dan dalam rakaman percakapan OKT2 (eksibit D72) dan OKT3 (eksibit D73). Lagipun kedua-dua mereka gagal memberi penjelasan yang munasabah pada bila-bila masa pun kenapa alamat ‘alibi’ mereka tidak dapat dizahirkan.

(vi) Mahkamah amati dalam rakaman percakapan OKT2 (eksibit D72) dan OKT3 (eksibit D73) tidak ada dimaklumkan nama Prakash (SD4) dan Nagenthran (SD5) masing-masingnya serta juga nombor telefon dan alamat rumah mereka. Lagi pun eksibit D72 dan D73 ini hanya dikemukakan semasa kes pembelaan dan tidak pernah dirujuk semasa pemeriksaan balas ke atas SP13. Jadi jelas kewujudan watak SD4 dan SD5 ini hanya timbul selepas perbicaraan bermula dan ini menampakkan penama ‘alibi’ SD4 dan SD5 ini merupakan rekaan terkemudian oleh pembelaan.

(vii) a. OKT2 dan SD4 mengaku tidak pernah menyerahkan rakaman CCTV di pondok sekuriti di Taman Austin Perdana untuk siasatan polis dijalankan.

b. Begitu juga OKT3 dan SD5 mengaku semasa pemeriksaan balas tidak ada memaklumkan tentang CCTV di pondok sekuriti di Bukit Saujana kepada pihak polis semasa siasatan dijalankan.

c. Dalam kedua-dua keadaan tersebut perilaku OKT2 dan OKT3 serta kononnya disokong oleh SD4 dan SD5 sangat aneh dan meragukan kerana sungguhpun menghadapi pertuduhan serius culik dan samun berkumpulan tapi langsung tidak berusaha sekurang-kurangnya menyerahkan rakaman CCTV untuk mengesahkan mereka benar-benar berada di Taman Austin Perdana dan Bukit Saujana masing-masingnya pada masa dan hari kejadian tersebut berlaku di Kluang dan Renggam, Johor.

(viii) a. Terdapat banyak percanggahan keterangan material dalam keterangan OKT2 dan OKT3 dengan rakaman percakapan mereka itu eksibit D72 dan eksibit D73 masing-masingnya. Ini menunjukkan ‘inconsistency’ dalam pengemukaan keterangan OKT2 dan OKT3 sendiri dan juga percanggahan ‘material particulars’ antara OKT2 dan OKT3 serta perbezaan keterangan lisan OKT2 dan OKT3 dengan rakaman percakapan masing-masing.

b. Apa yang Mahkamah boleh rumuskan di sini semua keterangan tersebut ‘caca-merba’ dan menampakkan pembohongan yang pasti tidak boleh dipercayai langsung sepertimana yang telah diputuskan dalam kes Mohamed Kasdi v PP (1969) 1 MLJ 135 seperti berikut:

“No hard and fast rule can be laid down for determining the credibility of a witness, but when a witness gives or makes two statements which differ in material particulars there must necessarily be ground for believing that he is not a truthful witness.”

(ix) a. Akhir sekali keterangan simangsa Kee Paul Reng (SP6) yang telah mengenali OKT1 hingga OKT3 sebelum kejadian lagi. Pada hari kejadian SP6 berada bersama-sama OKT1, OKT2 dan OKT3 sekitar 7 hingga 8 jam mulai dari pagi lagi di PHK Songmart, Kluang kemudian dibawa ke satu tempat dalam ladang kelapa sawit dan berlarutan ke sebelah petang di bawa berpusing-pusing dengan motosikal ditunggangi OKT1 di Bandar Renggam. Sepanjang tempoh tersebut mengikut keterangan SP6 ketiga-tiga OKT tersebut tidak bertopeng dan ini menyenangkan beliau untuk mengecam secara positif identiti keterlibatan OKT1, OKT2 dan OKT3 di dalam kes ini.

b. Dalam kes ini juga Mahkamah amati tiada keterangan pun menunjukkan SP6 pernah bermusuh atau berdendam dengan OKT1 hingga OKT3. Jadi atas pengecaman positif oleh SP6 ke atas ketiga-tiga OKT tersebut, maka ia telah mematahkan keterangan ‘alibi’ mereka. Impak pengecaman positif ke atas ketiga-tiga OKT ada dinyatakan dalam keputusan Mahkamah Persekutuan berkaitan kes Duis Akim & Ors v PP (2013) 9 CLJ 692 dipetik seperti di bawah berikut:

“(ii) The Alibi Defence

[81] As indicated above only the first and second appellants relied on alibi as their defence.

[82] However, alibi could not prevail over the positive identification of an accused person specially so in the fact of categorical statements coming from credible witnesses who had no ill motives in testifying.

[83] Thus, in Mutachi Stephen v Uganda (2003) UGCA 9 the accused said that on the night the offence took place he was already asleep with his wife. However, there was a witness who had positively identified him. As such his alibi collapsed. He has been squarely put at the scene of crime.

[84] Similarly in the present case it was the finding of the learned trial judge, which we agree, that the appellants had been positively identified by PW1. As such, the alibi defence of the first and second appellants collapsed.

[85] …

[86] Accordingly, for the above reasons there is no necessity for us to deal with the alibi defence but merely to consider whether the prosecution had established its case beond reasonable doubt in order to uphold the convictions of the appellants."

[34] Mahkamah berpuas hati fakta/ bukti di bawah elemen pertuduhan jika dicantumkan sekali berakhir dengan petunjuk bahawa pada 27.12.2012 jam lebih kurang 7.30 pagi di premis Pusat Hiburan Channel Amusement City, Jalan Duku, Kluang, Johor dan berikutnya pada jam lebih kurang 7.40 pagi di dalam kereta jenis Proton Wira nombor pendaftaran JEY 124 di hadapan premis Pusat Hiburan Channel Amusement City tersebut mempunyai peluang terbanyak atau substantial akses untuk melakukan kesalahan ke atas simangsa Kee Paul Reng (SP6) seperti mana dalam Pertuduhan Pertama dan Pertuduhan Kedua.

[35] Malangnya ketiga-tiga OKT di peringkat pembelaan ini berlangsung gagal menyangkal kes pendakwaan dan apa yang diamati oleh Mahkamah ini OKT1 sekadar menafikan semata-mata (mere denied) tanpa disokong oleh bukti-bukti yang lain dan juga menzahirkan keterangan ‘afterthought’ dan OKT2 serta OKT3 pula menggunakan ‘alibi’ tetapi dipenuhi dengan kelemahan-kelemahan yang tidak logik dan munasabah yang boleh meyakinkan Mahkamah bahawa mereka tidak ada di tempat kejadian. Malangnya semua keterangan pembelaan OKT1, OKT2 dan OKT3 ini tidak upaya untuk menggugat atau meragukan kes pendakwaan.

[36] Dengan itu Mahkamah memutuskan pembelaan ketiga-tiga OKT adalah tidak berasas dan bermerit sama sekali.

[37] Jadi dalam keadaan sedemikian, maka wajarlah Mahkamah ini merumuskan tidak menerima pembelaan ketiga-tiga OKT atas semua alasan yang dikemukakan di atas dan menggunapakai prinsip dalam kes Mohd. Radhi bin Yaakob v PP (supra) dan Mat v PP (1963) 1 CLJ 83, maka diputuskan pembelaan ketiga-tiga OKT telah gagal menimbulkan keraguan munasabah ke atas kes pendakwaan yang kini telah berjaya membuktikan kesnya ditahap melampaui keraguan munasabah berkait pertuduhan.”.

[47] Alasan terakhir rayuan peguam bela Perayu-Perayu ialah berkaitan dengan kegagalan pihak pendakwaan untuk mengemukakan penama Teeban Kumar sebagai saksi pembelaan walaupun saksi itu telah ditawarkan kepada pihak pembelaan. Hakim bicara telah mengulas isu ini dalam penghakimannya seperti berikut (di muka surat 80-83 Rekod Rayuan Jilid 1):

"(vi) OKT1 memberi keterangan Teeban Kumar berada di ‘playground’ dan kemudian bersama-sama SP6 pergi ke Bank di Layang-Layang

(a) Fakta di atas itu tidak pernah dibangkitkan langsung semasa kes pendakwaan khususnya ke atas SP6 dan SP8. Ini sekali lagi menunjukkan keterangan ‘afterthought’.

(b) Tidak dinafikan penama Teeban Kumar memang wujud.

(c) SP13 semasa disoalbalas mengakui akaun Teeban Kumar digunakan untuk menerima pemindahan wang daripada akaun SP6. Namun begitu SP13 menjelaskan hasil siasatannya tidak menunjukkan Teeban Kumar sendiri yang mengeluarkan wang tersebut. Mengikut SP13 lagi peranan Teeban Kumar terhad setakat akaunnya sahaja telah digunakan untuk pemindahan wang dari akaun SP6 sejajar dengan pertuduhan di bawah seksyan 414 Kanun Keseksaan (eksibit D70) yang telah diakui salah olehnya.

(d) Berkait keterangan OKT1 bahawa wang sebanyak RM8,000.00 telah dipindahkan dari akaun SP6 ke dalam akaun Teeban Kumar juga dizahirkan bertentangan atau bercanggah dengan Pertuduhan di bawah seksyen 414 Kanun Keseksaan tersebut (eksibit D70) dan juga keterangan SP13 yang menyatakan hanya RM1,981.00 sahaja yang dipindahkan. SP13 juga telah mengesahkan hasil siasatannya tidak menunjukkan Teeban Kumar mempunyai milikan ke atas kad ATM milik SP6.

(e) Jadi Mahkamah dapati tiada keterangan lain menunjukkan Teeban Kumar berada di tempat kejadian terlibat secara langsung dalam penculikan atau rompakan ke atas SP6.

(f) Oleh sebab peranan Teeban Kumar hanya melakukan kesalahan di bawah seksyen 414 Kanun Keseksaan (Eksibit D70) iaitu melibatkan akaunnya sahaja digunakan untuk pemindahan wang SP6, maka ia tidak termasuk dalam mana-mana elemen di bawah seksyen 3 Akta Penculikan dibaca bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan dan di bawah seksyen 395 Kanun Keseksaan terhadap ketiga-tiga OKT.

(g) Hakikatnya penama ‘Teeban Kumar’ ini ada ditawarkan kepada pembelaan diakhir kes pendakwaan. Apabila Mahkamah memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie dan memerintah ketiga-tiga OKT membela diri terhadap kedua-dua pertuduhan asal, maka pihak pembelaan memutuskan untuk memanggil Teeban Kumar memberi keterangan sebagai saksi pembelaan. Malangnya ketika itu Teeban Kumar sudah tidak lagi dapat dikesan.

(h) Mengikut penjelasan Timbalan Pendakwa Raya ketika tawaran dilakukan pihak pendakwaan sememangnya boleh memanggil dan membawa Teeban Kumar ke Mahkamah. Namun begitu ketika kes pembelaan bermula pada 29.9.2015 iaitu hampir setahun berlalu secara tiba-tiba saksi tersebut telah menghilangkan diri dan tidak dapat dikesan sehingga tarikh akhir bicara pada 16.2.2016.

(i) Daripada penjelasan ini Mahkamah dapati pihak pendakwaan tidak mempunyai apa-apa niat untuk menyembunyikan Teeban Kumar dan kehilangan beliau adalah benar-benar di luar kawalan pihak pendakwaan.

(j) Berhubung dengan kegagalan pihak pendakwaan mengemukakan Teeban Kumar untuk kegunaan sebagai saksi pembelaan langsung tidak menjejaskan kes pendakwaan kerana seperti mana yang telah Mahkamah rumuskan sebelum ini bahawa semua cerita yang dikemukakan oleh pihak pembelaan melalui OKT1 mengenai peranan Teeban Kumar adalah keterangan ‘afterthought’ yang langsung tidak pernah dibangkitkan sepanjang kes pendakwaan dan rakaman percakapan OKT1 (Megat Halim Megat Omar v PP (2009) 1 CLJ 154).

(k) Mahkamah berpendapat sekalipun Teeban Kumar dipanggil oleh pihak pembelaan pasti keterangannya tidak boleh menafikan pengecaman SP6 yang telah mengenali ketiga-tiga OKT dengan nama samaran ‘Aya’, ‘Ah Boy’ dan ‘Jeevam’. Malahan nama-nama samaran ini disahkan sendiri oleh ketiga-tiga OKT semasa kes pembelaan. Kedudukan sebegini telah diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Duis Akim & Ors v PP.”.

[48] Kami tidak mendapati sebarang kekhilafan dalam dapatan dan keputusan hakim bicara yang mewajarkan campurtangan kami. Peranan yang telah dimainkan oleh penama Teeban Kumar hanyalah sebagai pemegang akaun yang telah menerima kemasukan wang RM1,981.00 dari akaun SP6. Kami bersetuju dengan hujahan Timbalan Pendakwa Raya terpelajar bahawa penama Teeban Kumar bukanlah saksi penting yang menjadi sebahagian naratif kes pendakwaan dan tiada inferen di bawah seksyen 114(g) Akta Keterangan 1950 dapat dibangkitkan terhadap kegagalan pihak pendakwaan untuk mengesan dan mengemukakan saksi ini di Mahkamah. Pihak polis telah menawarkan saksi Teeban Kumar kepada pihak pembelaan. Pihak pembelaan menyatakan keinginan untuk memanggil Teeban Kumar sebagai saksi pembelaan. Namun, pihak polis telah gagal untuk mengesan penama tersebut. Oleh itu, tiada elemen ‘suppression or withholding evidence’ berlaku dalam kes di hadapan kami sebagaimana yang berlaku dalam kes PP v Asnawi bin Yusuf [2012] 3 CLJ 41 yang dirujuk oleh peguam bela terpelajar.

[49] Dalam kes Asnawi bin Yusuf, supra, faktanya dapat dibezakan dengan mudah. Dalam kes itu, 3 saksi yang berkenaan telah ditawarkan kepada pihak pembelaan sebelum pihak pendakwaan menutup kes mereka. 3 saksi itu adalah material untuk mengesahkan seorang lelaki bernama ‘Fakhrullah’ ialah orang yang dikatakan pengedar dadah yang sebenarnya. Namun apabila pembelaan dipanggil, pihak pendakwaan telah memberitahu Mahkamah bahawa 3 orang saksi yang ditawarkan tersebut tidak dapat dikemukakan oleh kerana 3 orang saksi tersebut “mereka adalah warganegara Indonesia dan sudah dihantar pulang”. Jelas dalam kes itu bahawa satu tindakan berbentuk ‘suppression of evidence’ terhadap pihak pembelaan telah berlaku yang mewajarkan anggapan di bawah seksyen 114(g) Akta Keterangan 1950 digunapakai oleh Mahkamah terhadap pihak pendakwaan.

[50] Dalam kes di hadapan kami, walaupun senario yang sama berlaku iaitu Teeban Kumar telah ditawarkan kepada pihak pembelaan dan pihak pembelaan telah menyatakan bahawa mereka memerlukan Teeban Kumar sebagai saksi pembelaan namun apabila pembelaan dipanggil, namun Teeban Kumar telah gagal dikemukakan kerana tidak dapat dikesan. Walaupun pihak pendakwaan telah cuba untuk memberikan penjelasan kepada Mahkamah tentang usaha-usaha serta langkah-langkah yang telah diambil oleh pegawai penyiasat (SP13) untuk mengesan Teeban Kumar, namun permohonan pihak pendakwaan untuk memanggil semula SP13 bagi tujuan tersebut telah dihalang oleh hakim bicara. Kami juga mendapati bahawa Teeban Kumar adalah rakan kepada Perayu-Perayu namun Perayu-Perayu atau ahli keluarga Perayu-Perayu juga gagal untuk membantu untuk mendapatkan saksi Teeban Kumar ini.

[51] Kami terpanggil untuk merujuk satu keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Ghazalee Kassim & Ors v PP [2009] 4 CLJ 737 di mana Zaki Tun Azmi, KHN telah menyatakan seperti berikut mengenai isu yang sama:

"[18] The appellant asked us to invoke s. 114(g) of the Evidence Act 1950 ("Evidence Act”) and to hold that failure to produce Ah Meng as witness is fatal to the prosecution’s case. On the facts of this case we do not think we should invoke s. 114(g) of the Evidence Act.

[19] The court will only invoke s. 114(g) of the Evidence Act for failure to call a witness if it is of the opinion that the prosecution does so to withhold or suppress evidence which, if produced could be construed against the prosecution or otherwise in favour of the accused. [see Mohamed Azmi SCJ in Munusamy Vengadasalam v. PP [1987] 1 CLJ 250; [1987] CLJ (Rep) 221, Edgar Joseph Jr. FCJ in Pekan Nenas Industries Sdn Bhd v. Chong Ching Chuen & Ors [1998] 1 CLJ 783 (FC)]. The prosecution can also, in the alternative, offer to the defence any witness which they do not wish to call. As to which witness the prosecution choose to call is entirely up to them. Calling a wrong witness may be detrimental to their case. The same goes if they fail to call a material witness. This is where s. 114(g) of the Evidence Act may be invoked by the court.

[20] In Mohd Shamshir Mohd Rashid v. PP [2008] 6 CLJ 738 the Court of Appeal discussed at length the prosecution’s discretion whether to call a witness or not and the implications for not doing so. In this appeal before us, there is no evidence to show that the prosecution had intentionally withheld the production of Ah Meng as witness. In fact, as mentioned earlier, according to the PW4, Ah Meng could not be traced. Anybody in Ah Meng’s position would have just lost himself. To be traced and to come to court after leading police to the arrest of three Appellants is going to expose himself to, possibly, his death. The other way of looking at the issue is, if it is true that the Ah Meng owes the 3rd appellant RM25,000, Ah Meng must have been a big time gambler. If he is so, he must be quite well known for the appellant, at least, to assist the police in tracing Ah Meng. We bear in mind that there is no obligation on the defence to assist the police in any way in their investigation but on the facts of this case, if what the 3rd appellant say is true, then he should be able to give some information to the police as to where Ah Meng could be found.”.

Rayuan balas pendakwaan

[52] Pihak Pendakwa Raya telah tidak berpuas hati terhadap hukuman yang dikenakan oleh hakim bicara terhadap Perayu-Perayu bagi Pertuduhan Pertama. Dihujahkan bahawa hakim bicara gagal mengikut ‘trend’ hukuman bagi kesalahan menculik dengan niat untuk mendapatkan wang tebusan di bawah seksyen 3 Akta Colek 1961. Puan Timbalan Pendakwa Raya (‘Puan TPR’) terpelajar menghujahkan bahawa berdasarkan ‘trend of sentencing’ apabila hakim bicara tidak menjatuhkan hukuman mati tetapi telah memilih untuk mengenakan hukuman pemenjaraan seumur hidup, seperti dalam kes terhadap Perayu-Perayu, hakim bicara sentiasa mengenakan hukuman sebatan sebagai tambahan.

[53] Seksyen 3(1) Akta Colek 1961 memperuntukkan seperti berikut:

"3 (1) Whoever, with intent to hold any person for ransom, abducts or wrongfully confines or wrongfully restrains such person shall be guilty of an offence and shall be punished on conviction with death or imprisonment for life and shall, if he is not sentenced to death, also be liable to whipping.”

[54] Puan TPR telah merujuk kepada kami tiga keputusan kes terdahulu Mahkamah ini yang telah mengenakan hukuman sebatan antara 6-10 sebatan rotan bagi kesalahan yang dilakukan di bawah seksyen 3 Akta yang sama. Kes-kes tersebut ialah seperti berikut:

(a) Veera Pandian Bala & Another v PP [2017] 1 LNS 369. Hukuman 10 sebatan yang dijatuhkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Alor Setar telah disahkan oleh Mahkamah Rayuan;

(b) Jefri Abdullah & Ors v PP [2015] 6 CLJ 438. Hukuman 10 sebatan yang dijatuhkan oleh Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Alor Setar telah disahkan oleh Mahkamah Rayuan; dan

(c) Jayakhantan Sakaran v PP & Other Appeals [2015] 1 LNS 1532. Hukuman 6 sebatan rotan yang dijatuhkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Johor Bahru telah disahkan oleh Mahkamah Rayuan.

[55] Peruntukan di bawah seksyen 3 Akta Colek 1961 menyatakan sekiranya hukuman penjara seumur hidup dikenakan, pesalah juga “shall also be liable to whipping”. Kami bersetuju bahawa peruntukan sedemikian tidak membawa maksud hukuman sebatan adalah hukuman mandatori, kecuali peruntukan undang-undang itu menyatakan “shall be punished”. Walau bagaimanapun, kami bersetuju dengan hujahan Puan TPR bahawa hakim bicara telah tidak mengikut ‘trend of sentencing’ apabila YA hakim bicara gagal untuk mengenakan sebatan terhadap Perayu-Perayu dalam kes ini.

Kesimpulan

[56] Atas alasan-alasan yang telah kami sebutkan di atas, kami dengan sebulat suara mendapati bahawa tiada sebarang merit dalam rayuan Perayu-Perayu terhadap sabitan-sabitan oleh hakim bicara atas kedua-dua pertuduhan. Sabitan-sabitan yang dibuat adalah selamat dan disokong oleh keterangan yang kukuh dan mencukupi yang berada di hadapan Mahkamah. Oleh itu, rayuan Perayu-Perayu terhadap sabitan-sabitan ditolak. Kami juga mengesahkan dan mengekalkan sabitan-sabitan terhadap Perayu-Perayu atas kedua-dua pertuduhan dan juga hukuman 10 tahun penjara bermula dari tarikh tangkapan bagi Pertuduhan Kedua di bawah seksyen 395 Kanun Keseksaan.

[57] Kami mendapati terdapat merit dalam rayuan silang oleh Pendakwa Raya terhadap hukuman bagi Pertuduhan Pertama untuk kesalahan di bawah seksyen 3 Akta Colek 1961. Oleh itu, kami membenarkan Rayuan Pendakwa Raya. Hukuman oleh hakim bicara diketepikan dan digantikan dengan hukuman penjara seumur hidup dan 6 sebatan terhadap Perayu-Perayu bagi Pertuduhan Pertama. Kami mengekalkan perintah hakim bicara bahawa hukuman pemenjaraan berjalan serentak berkuat kuasa mulai tarikh Perayu-Perayu ditangkap.

Bertarikh: 23 April 2018

t.t.

KAMARDIN BIN HASHIM
Hakim
Mahkamah Rayuan Malaysia

COUNSEL

Bagi Pihak Perayu Pertama: Hisyam Teh Poh Teik, Tetuan Teh Poh Teik & Co, Suite 11.08, 11th Floor, Menara TJB, No. 9, Jalan Syed Mohd Mufti, 80000 Johor Bahru, Johor

Bagi Pihak Perayu Kedua: Dato’ Rajpal Singh, Tetuan Rajpal Singh, Firah & Vishnu, No. 42-1A, First Floor, Jalan Medan Batu Caves 1, 68100 Batu Caves, Selangor

Bagi Pihak Perayu Ketiga: Dato’ Rajpal Singh (Y. Sheelan, bersama dengannya), Tetuan Rajpal Singh, Firah & Vishnu, No. 42-1A, First Floor, Jalan Medan Batu Caves 1, 68100 Batu Caves, Selangor

Bagi Pihak Responden: Dhiya Syazwani Izyan bte Mohd Akhir, Timbalan Pendakwa Raya, Bahagian Perbicaraan dan Rayuan, Jabatan Peguam Negara, Putrajaya

Legislation referred to:

Akta Colek 1961, Seksyen-seksyen 3, 3(1)

Akta Keterangan 1950, Seksyen 114(g)

Kanun Acara Jenayah, Seksyen-seksyen 112, 182A

Kanun Keseksaan, Seksyen-seksyen 34, 326, 395

Judgments referred to:

Alcontara Ambross Anthony v PP [1996] 1 CLJ 705

Ghazalee Kassim & Ors v PP [2009] 4 CLJ 737

Jayakhantan Sakaran v PP & Other Appeals [2015] 1 LNS 1532

Jefri Abdullah & Ors v PP [2015] 6 CLJ 438

Kwok Weng Fatt v PP & Anor Cases [2013] 1 LNS 1304

Md. Zainudin bin Raujan v PP [2013] 3 MLJ 773

PP v Asnawi bin Yusuf [2012] 3 CLJ 41

Prasit Punyang v PP [2014] 1 MLRA 387

Veera Pandian Bala & Another v PP [2017] 1 LNS 369

Notice: The Promoters of Malaysian Judgments acknowledge the permission granted by the relevant official/ original source for the reproduction of the above/ attached materials. You shall not reproduce the above/ attached materials in whole or in part without the prior written consent of the Promoters and/or the original/ official source. Neither the Promoters nor the official/ original source will be liable for any loss, injury, claim, liability, or damage caused directly, indirectly or incidentally to errors in or omissions from the above/ attached materials. The Promoters and the official/ original source also disclaim and exclude all liabilities in respect of anything done or omitted to be done in reliance upon the whole or any part of the above/attached materials. The access to, and the use of, Malaysian Judgments and contents herein are subject to the Terms of Use.