THE OFFICIAL REPOSITORY OF
MALAYSIAN JUDGMENTS & RULINGS

[2018] MYCA 9 MALAY

Pendakwa Raya v Mohammad Ridhaudin Bin Adam and Another
Suit Number: Rayuan Jenayah No. J-05-63-03/2015 

Criminal law – Kidnapping for money – Charge under Section 3 of the Kidnapping Act 1961 – Reasonable doubt raised over prosecution’s case – Amended charge under section 5(1) of the Kidnapping Act – Guilty plea – Conviction – Sentence – Appeal by prosecution

Criminal law – Whether the trial court has erred when it decided that the failure to summon a prosecution witness was fatal to the prosecution's case – Whether the trial court erred in law and fact when it accepted the defence of the respondents and found them guilty of the amended charge

PENGHAKIMAN

Pengenalan

[1] Responden-responden telah didakwa dan dibicarakan di Mahkamah Tinggi Johor Bahru dengan pertuduhan seperti yang berikut:

"Bahawa kamu bersama-sama tiga orang lagi, pada 12 Julai 2012, jam lebih kurang 1.45 petang, di No 10, Jalan Padi Huma 7, Bandar Baru Uda, Tampoi, dalam daerah Johor Baru, dalam Negeri Johor Darul Takzim, bagi mencapai niat bersama kamu, telah menculik dengan niat untuk menahan MUHAMAD SYAHMIRUL IMRAN ROHANI BIN ABDULLAH (NO. MyKID: 031102-01-1387) bagi mendapatkan wang tebusan, dan oleh yang demikian kamu telah melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah seksyen 3 Akta Colek 1961 (semakan 1989) dibaca bersama-sama seksyen 34 Kanun Keseksaan”

[2] Pada 28.1.2015, Hakim bicara telah, di akhir kes pembelaan, mendapati pembelaan telah berjaya menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan di bawah s 3, Akta Penculikan 1961, (pertuduhan asal). Bagaimanapun Hakim bicara berpuas hati pendakwaan telah berjaya membuktikan satu kes di bawah s 5 (1), Akta yang sama. Arkian, Hakim bicara telah meminda pertuduhan asal kepada kesalahan di bawah seksyen 5(1) Akta Penculikan 1961 dibaca bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan. Kedua-dua responden telah mengaku bersalah atas pertuduhan pindaan tersebut dan disabitkan sewajarnya. Hakim bicara seterusnya menjatuhi responden-responden hukuman penjara selama 8 tahun berkuat kuasa dari tarikh ditangkap dan 2 sebatan rotan.

[3] Terkilan dengan keputusan Hakim bicara tersebut, Pendakwa Raya telah mengemukakan rayuan ke mahkamah ini. Setelah mempertimbangkan penghujahan kedua-dua pihak, kami telah membenarkan rayuan Pendakwa Raya dan mengetepikan keputusan Hakim bicara tersebut. Ekoran itu, responden-responden didapati bersalah dan disabitkan dengan kesalahan di bawah pertuduhan asal dan dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup. Berikut ialah alasan kami memutuskan sedemikian.

Latar Belakang Kes

[4] Secara ringkas, kes pendakwaan seperti mana ditemui oleh Hakim bicara mendedahkan fakta seperti yang berikut:

(a) Pada 12.7.2012, lebih kurang pukul 1.45 petang, Muhamad Syahmirul Imran Rohani bin Abdullah (SP4), mangsa yang berumur 9 tahun, telah didatangi tiga orang lelaki yang memakai penutup muka di kediamannya di No 10, Jalan Padi Huma 7, Bandar Baru Uda, Tampoi, Johor.

(b) Salah seorang daripada lelaki tersebut telah menutup mulut SP4 dan mereka kemudiannya melarikan SP4 dengan sebuah teksi, yang sedia menanti di pekarangan rumah SP4, menuju ke rumah responden kedua. Selain itu, penculik-penculik tersebut telah juga mengambil beberapa barangan di dalam rumah SP4 yang antaranya satu beg komputer riba (P9), sebuah komputer riba berjenama Sony Vaio (P9A), set permainan video PS2 (P11A), dan sebuah kamera jenis Nikon (P10), dan dua keping kad Platinum Priviledge atas nama SP1 dan SP3 (P12A & P12B). SP4 kemudiannya dikurung di dalam bilik rumah tersebut.

(c) Setelah SP4 memberikan nombor telefon ibunya, salah seorang penculik telah menghubungi ibu SP4 (SP3 - Latifah binti Hj. Ismail) dan telah meminta wang tebusan sebanyak RM300,000.00. Namun setelah beberapa siri perbincangan dengan penculik-penculik tersebut, SP3 berjaya mengurangkan wang tebusan kepada RM20,000.00. SP3 kemudiannya membuat pengeluaran wang tunai di salah sebuah cawangan bank CIMB di Tampoi.

(d) Pada masa yang sama juga, SP3 telah menghubungi SP1, Rohani bin Berak, bapa SP4. SP1 kemudiannya telah pergi ke bank CIMB dan mengambil SP3. SP3 kemudiannya telah mencatatkan nombor siri wang RM100 sebanyak 10 keping untuk disimpan sebagai rujukan.

(e) Selepas itu, SP3 dan SP4 telah berjumpa dengan ASP Nagendra Rao di M Suite Hotel, Johor Baru untuk mendapatkan bantuan pihak polis berkaitan kes penculikan anak mereka. Semasa berada di hotel tersebut si penculik telah menelefon SP3 dan selepas beberapa kali berbincang, mereka telah bersetuju dan mengarahkan SP3 untuk menyerahkan wang tunai RM20,000.00 tersebut di suatu tempat dalam kawasan berdekatan Bukit Mewah, Tampoi, Johor Bahru.

(f) Seperti mana diarahkan, SP3 telah pergi ke kawasan berkenaan dan, setelah menerima arahan lanjut, untuk berjumpa dengan dua orang di atas motosikal (penunggang dan pembonceng) dan menyerahkan wang tersebut. SP3 telah mematuhi arahan dan menyerahkan wang tersebut kepada pembonceng motosikal. Menurut SP3, kedua-dua penunggang dan pembonceng berbangsa Melayu. Setelah mendapat wang tersebut, kedua-dua penculik tersebut terus beredar dari situ.

(g) SP3 kemudiannya memandu keretanya mencari SP4 tetapi gagal menemui anaknya itu. Bagaimanapun, SP3 telah menerima panggilan telefon daripada Matthias Dennison a/l David (SP9), orang awam, yang memaklumkan dia telah menemui SP4 di sebuah perhentian bas dan telah menghantar SP4 ke Balai Polis Skudai. SP3 lantas bergegas ke balai polis Skudai dan berjumpa dengan anaknya (SP4) di situ.

(h) Bertindak atas maklumat yang diterima, pada 13.7.2012 Inspektor Nazaruddin Ismail, (SP5), telah menyerbu dan menangkap kedua-dua responden di Pusat Snuker V Que & Bar, Jalan Bestari ¼ Taman Nusa Bestari, Skudai, Johor. Turut ditangkap bersama ialah Sunur Fadzli bin Buang (SP2). Semasa tangkapan, SP5 telah menemukan dalam beg pinggang yang dipakai oleh responden pertama sejumlah wang tunai sebanyak RM11,000.00. Turut ditemukan, antaranya, ialah 10 keping wang kertas RM100 yang sepadan dengan nombor siri yang dicatatkan oleh SP3 (P5) sebelum penyerahan wang tersebut kepada responden pertama. Selain itu, SP5 menemukan juga telefon bimbit Nokia E72, sim kad Hot Link, dan sebuah dompet jenama Crocodile (P20C) mengandungi dua keping not RM100, lima keping not RM10.00 (P14C (1-5)) dan empat puluh keping not RM 1.00 (P14D (1-40).

(i) Lanjutan daripada penangkapan kedua-dua responden, responden kedua telah memandu arah pihak polis ke rumahnya yang beralamat di No 22, Jalan Bentara 21, Taman Ungku Tun Aminah, Skudai, Johor. Semasa pemeriksaan dibuat di dalam rumah tersebut, SP5 telah menemukan beberapa barangan milik keluarga SP4 yang dilaporkan hilang pada hari SP4 diculik antaranya, satu beg komputer riba (P9), komputer riba jenama Sony Vaio (P9A), sebuah beg warna hitam PS2 (P11), sebuah set permainan PS2 (P11A), dan sebuah beg kamera Nikon (P10), kamera Nikon (P10A) dan dua keping kad Platinum Privilege atas nama SP1 dan SP3 (P12A & P12B).

(j) Responden pertama juga telah dicamkan oleh SP3 sebagai orang yang telah menerima wang tebusan sebanyak RM20,000.00 pada hari kejadian dan dalam kawad cam yang diadakan pada 18.7.2012.

(k) ASP Annadurai A/L Vello, pegawai penyiasat (SP11) telah menahan Zali Bin Sahar yang dikatakan menggunakan nama samaran “Comot”. Hasil siasatan SP11 mendapati Zali Bin Sahar tidak terlibat dengan kes ini.

Dapatan di akhir Kes Pendakwaan

[5] Setelah membuat penilaian maksimum, selaras dengan prinsip dalam kes Loo Kow Chai & Anor (2003) 1 CLJ 734, dan Balachandran v PP (2005) 1 CLJ 85, Hakim bicara mendapati dan memutuskan, di muka surat 26/27 Rekod Rayuan Jilid 1, seperti yang berikut:

“Upon a maximum evaluation of the prosecution’s evidence, the Court is satisfied that from the evidence of SP1, SP3 and SP4 respectively that SP4 was wrongfully abducted on 12.7.2009 at about 2.15pm from a house at No: 10, Jalan Padi Huma 7, Bandar Baru Uda, Tampoi, Johor Baru by two masked men who had intruded into the said house. The Court had also found that the 1st and 2nd accused had the intention to hold SP4 for ransom and had wrongfully abducted, confined and restraint him. In this case, there was evidence that demand for ransom money was made to SP3 the mother of SP4 in the sum of RM300,000 and then reduced to RM200,000. After much negotiation with the kidnappers, the ransom money was further reduced to RM20,000 and together with her jewellery. The demand for ransom money was made vide hand phone number 012-71199782 to SP3’s hand phone whose number was 012-7073674. SP3’s testimony is material because it was her who spoke to the kidnappers over the hand phone. It was her who negotiated for the reduction of the payment of the ransom money from the initial amount of RM300,000.00 to an amount of RM20,000. It was her who wrote the serial numbers of the 10 pieces of RM100 note on a piece of paper marked as exhibit P5. It was her who handed over the payment of the ransom money to the pillion rider on a motorcycle whom she recognised as the 1st accused. In her testimony her recognition of the pillion rider as one of the kidnappers was based on the fact that he had not cover his face and had a dark skin complexion, thin, medium height and had cracked lips. SP3 had also identified the 1st accused as one of the suspect during the identification parade held at the Skudai Police Station. There was also evidence that when the police headed by SP5 raided the V-Que Bar & Snooker Centre 3 men were arrested namely the 1st, 2nd accused and SP2. The police found in the pouch bag of the 1st accused RM11,000 in RM100 note together with the 10 pieces of RM100 note (exhibit P14B (1-10) whose serial numbers match with the 10 serial numbers written by SP3 on the piece of paper marked as P5. In so far as the evidence against the 2nd accused is concerned, there was evidence that SP4 was wrongfully detained at the house belonging to the 2nd accused as he was confined to a room in the said house… In the context of Section 34 of the Penal Code, both the 1st and 2nd accused had a respective role to play in the whole episode in furtherance of a common intention in this offence. (Tekanan diberikan)

[6] Oleh itu, satu kes prima facie telah berjaya dibuktikan oleh pihak pendakwaan terhadap kedua-dua responden. Mereka kemudiannya telah diarah untuk membela diri.

Kes Pembelaan

[7] Kedua-dua responden telah memberikan keterangan secara bersumpah. Teras pembelaan mereka hampir sama. Secara ringkasnya keterangan pembelaan menyatakan bahawa mereka tidak menculik mangsa dari rumahnya, sebaliknya mereka hanya mengetahui bahawa SP4 telah dilarikan oleh Acik dan Comot dari rumahnya, dan oleh sebab mereka tidak mahu terlibat (sekiranya mangsa tersebut diculik), kedua-dua responden telah membuat keputusan meninggalkan SP4 di sebuah hentian bas.

[8] Secara ringkas, menurut responden pertama pada 12.7.2012, dia telah bangun daripada tidur dan mengejutkan kawannya, SP2. Dia berada di rumah SP2 di Taman Tun Aminah. Responden pertama kemudiannya melihat SP2 bercakap dengan seseorang dalam telefon. Selepas bersiap-siap, SP2 mengajak responden pertama berjumpa seseorang untuk projek duit. Mereka kemudiannya telah pergi ke Restoran Osman di Bandar Baru Uda dan berjumpa dengan dua orang lelaki iaitu “Acik” dan “Comot”. Tidak lama selepas itu responden kedua tiba dan menyertai mereka.

[9] Di dalam restoran itu, kedua-dua responden telah melihat SP2, Acik, dan Comot berbincang dengan nada berbisik. Responden-responden tidak mengetahui apakah yang diperbincangkan, namun hanya mendengar perkataan “job” duit. Tidak lama kemudian, responden kedua beredar.

[10] Selepas itu, responden pertama, SP2, Acik, dan Comot beredar dari restoran dengan menaiki kereta SP2. SP2 telah meninggalkan responden pertama di Bandar Baru Uda kerana dia ingin menemui kawannya, manakala Acik dan Comot juga turun dari kereta menghala ke kawasan berhampiran.

[11] Responden pertama telah menghubungi kawannya, namun kawannya memaklumkan dia berada di Kluang. Responden pertama kemudiannya menghubungi responden kedua dan meminta menjemputnya. Responden pertama meminta responden kedua menghantarnya ke Selong, Kulai namun responden kedua yang bekerja sebagai pemandu teksi mengajak responden pertama mencari penumpang sehingga pukul 5.00 petang. Selepas itu responden pertama telah pulang ke rumah responden kedua di Taman Tun Aminah.

[12] Setibanya responden pertama dan responden kedua di rumah, responden pertama telah menerima panggilan telefon daripada Acik bertanyakan kedudukan mereka. Setelah dimaklumkan lokasi rumah responden kedua, Acik dan Comot telah ke sana menaiki sebuah teksi bersama seorang kanak-kanak lelaki yang tidak dikenali dan sebuah beg sandang.

[13] Acik dan Comot memberitahu bahawa budak lelaki tersebut ialah anak saudara Comot dan mereka ingin menumpangkan kanak-kanak tersebut di rumah responden kedua. Tidak lama selepas itu, SP2 pula tiba di rumah tersebut.

[14] Ketika responden kedua dan kanak-kanak tersebut ditinggalkan sekejap, responden kedua telah mendapat tahu daripada kanak-kanak tersebut bahawa dia bukanlah anak saudara Comot, sebaliknya dia telah diambil dari rumahnya di Bandar Tun Uda oleh Acik dan Comot. Responden pertama cuba menghubungi Acik, namun gagal.

[15] Kedua-dua responden telah berbincang dan mereka bersepakat untuk menghantar kanak-kanak tersebut ke balai polis, namun cadangan tersebut tidak dipersetujui oleh SP2 kerana khuatir dikatakan terlibat sama. SP2 kemudiannya mencadangkan agar kanak-kanak tersebut ditinggalkan di mana-mana kawasan. Kanak-kanak tersebut akhirnya ditinggalkan di sebuah perhentian bas pada pukul 8.00 malam.

[16] Pada pukul 11.00 malam, responden pertama bersama SP2 telah ke Hotel Paris bertemu responden kedua. Selepas itu mereka telah pergi ke sebuah pusat snuker. Responden pertama ada memakai satu beg pinggang (pouch) dan beg tersebut diletakkan di atas meja rehat di bilik snuker tersebut. Semasa di pusat snuker itu, responden pertama telah menerima panggilan telefon daripada Acik bertanyakan kedudukannya.

[17] Acik dan Comot kemudiannya berjumpa responden pertama, responden kedua, dan SP2 di situ. Berlaku pertengkaran antara responden pertama dengan Acik kerana Acik dikatakan telah menipu dengan menyatakan kanak-kanak tersebut ialah anak saudara Comot. Acik dan Comot telah meninggalkan premis tersebut tidak lama selepas pertengkaran. Kedua-dua responden mengesahkan mereka telah ditangkap pada malam itu Pusat Snuker V Que & Bar, Jalan Bestari ¼ Taman Nusa Bestari, Skudai, Johor.

Dapatan di Akhir Kes Pembelaan

[18] Hakim bicara mendapati pihak pembelaan telah berjaya menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan di bawah seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961. Selain mengguna pakai anggapan s 114 (g) Akta Keterangan 1950 terhadap pendakwaan atas kegagalan memanggil Comot, Hakim bicara menyatakan terdapat juga keraguan atas perkara-perkara berikut:

“The Court having carefully considered both the evidence from the prosecution witnesses namely SP2, SP3, SP4 and the evidence of the 1st and 2nd accused was doubtful whether the pillion rider whom SP3 claimed that she had identified as the 1st accused was really the 1st accused bearing in mind the timing of the two incidents namely the purchase of the food from Merrybrown from around 6.25pm till 7.20pm and the delivery of the ransom money to be pillion rider at about 7.30pm by SP3. The real identity of the pillion rider was crucial to the prosecution. The query is who might that pillion rider be if it was not the 1st accused based on the evidence of SP2 and SP4 that at the material time as the delivery of the ransom money to the pillion rider, SP2, SP4, the 1st and 2nd accused were in the house of the 2nd accused from Asar till Maghrib time which was between 5pm till 7.20pm. Any doubt that exist must be in favour of the accused.

The Court on the evidence of the finding of the 10 pieces RM100 note from amongst the RM11,000 in the black pouch bag of the 1st accused, the 1st accused had explained that it could have been put by Comot as according to the 1st accused, Comot was seen sitting near the table where the 1st accused had put his pouch bag when he was playing snooker. However the Court agrees with the submission of the learned counsel for the 1st accused that the evidence put forward by the defence there was a doubt whether both the 1st and 2nd accused were the 2 persons who had intruded into the house of SP3 and had wrongfully abducted and restraint SP4. SP4 could not identify the 1st and 2nd accused as the persons who had intruded into his house and had wrongfully abducted and restraint him. Given where they were when the intrusion took place and where they were when the ransom money was delivered, the Court ruled that both the 1st and 2nd accused were not the intruders and kidnappers who committed the offence. The Court after a maximum evaluation of all evidence held that the prosecution has failed to prove the offence beyond reasonable doubt under Section 3(1) of the Kidnapping Act, 1961 but has only managed to prove that both the 1st and 2nd accused has committed an offence under Section 5(1) of knowingly receiving ransom. The Court found that the at the time the 1st accused was arrested he had with him the sum of RM11,000.00 and 10 pieces of RM100 note were trapped money which were planted amongst the RM11,000 ransom money”

[19] Lantaran itu, Hakim bicara telah meminda pertuduhan asal kepada pertuduhan di bawah s 5 (1) Akta Penculikan 1961. Setelah pertuduhan pindaan itu dibacakan, dan pengakuan salah sewajarnya diterima daripada kedua-dua responden, hakim bicara telah menjatuhkan hukuman penjara 8 tahun bermula dari tarikh tangkap dan dua sebatan rotan atas kesalahan memiliki wang tebusan.

Rayuan ini

[20] Dalam rayuan ini, Timbalan Pendakwa raya (TPR) membangkitkan dua isu utama iaitu:

(a) Hakim bicara telah terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta apabila memutuskan kegagalan memanggil ‘Comot’ sebagai saksi pendakwaan adalah fatal terhadap kes pendakwaan dan menyebabkan s 114(g) Akta Keterangan terpakai; dan

(b) Hakim bicara telah terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta apabila telah menerima pembelaan kedua-dua responden dan selanjutnya meminda pertuduhan asal di bawah seksyen 3 Akta Penculikan 1961 dibaca bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan kepada seksyen 5(1), Akta Penculikan 1961 dibaca bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan.

[21] Mengenai isu (a), Timbalan Pendakwa Raya (TPR) menghujahkan sudah menjadi undang-undang yang mantap bahawa tidak ada keperluan bagi pihak pendakwa   an untuk memanggil setiap saksi untuk membuktikan kesnya. Apa yang penting ialah setiap saksi yang dipanggil boleh menceritakan kes pendakwaan dan kegagalan memanggil mana-mana saksi tidak akan menimbulkan kelompangan pada kes pendakwaan. TPR menegaskan Comot bukanlah saksi penting dan kegagalan memanggilnya tidak memudaratkan kes pendakwaan. Comot atau nama sebenarnya Zali bin Sahar telah ditawarkan sebagai saksi di akhir kes pendakwaan, dan dihujahkan pihak pembelaan tidak pernah membuat apa-apa permohonan untuk Comot dipanggil memberikan keterangan ketika kes pembelaan. Keterangan sedia ada dalam kes ini jelas menunjukkan kesalahan ini dilakukan oleh kedua-dua responden dan tidak langsung mempunyai kaitan dengan Comot. Oleh itu dihujahkan anggapan di bawah s 114 (g) tidak terpakai terhadap pendakwaan: kes Teoh Hoe Chye & Another Case v PP [1987] CLJ 386, kes Ti Chuee Hiang v PP [1995] 3 CLJ 1, dan kes Nanda Kumar Kunyikanan & Anor v PP [2011] 8 CLJ 406 dirujuk.

[22] Mengenai isu (b), dihujahkan hakim bicara telah terkhilaf dengan meminda pertuduhan asal kepada kesalahan di bawah s 5 (1) Akta Penculikan 1961 sedangkan keterangan sedia ada menjurus kepada anggapan di bawah s 114(a) Akta Keterangan 1950 bahawa kedua-dua responden terlibat melakukan penculikan ini. Wang penculikan yang ditemukan dalam beg pinggang responden pertama mengandungi wang kertas 10 keping RM100 yang telah ditandakan nombor sirinya adalah sepadan dengan yang dicatatkan oleh SP3 sebelum menyerahkan wang tebusan kepada penculik-penculik. Selain itu, SP3 juga berjaya mengecamkan responden pertama dalam kawad cam yang dibuat pada 18.7. 2012. Sewaktu wang tebusan itu diserahkan, SP3 dapat melihat wajah responden pertama kerana helmet yang dipakainya tidak ditutupi ‘visor’. Ini diperkukuhkan lagi dengan keterangan penemuan barang-barang kepunyaan keluarga SP3 yang dilaporkan hilang bersama SP4 sewaktu dia diculik iaitu komputer riba jenama Sony Vaio, set permainan PS2 dan kamera jenis Nikon di rumah responden kedua hasil daripada pandu arah responden kedua sendiri.

[23] Selanjutnya, pendakwa raya menghujahkan hakim bicara telah terkhilaf apabila menerima penjelasan dan pembelaan yang diberikan oleh kedua-kedua responden yang langsung tidak munasabah tentang bagaimana wang tersebut dan barang-barang yang dilaporkan hilang itu berada bersama mereka dan seterusnya meminda pertuduhan berkenaan (kes Krishna Roa Gurumuthi v PP & Another Appeal [2009] 2 CLJ 603, dan kes Amathevelli P Ramasamy v PP [2009] 3 CLJ 109 dirujuk).

[24] Peguam bela terpelajar responden pertama pula menyangkal hujah TPR dan menegaskan Hakim bicara tidak terkhilaf dan tidak pula tersalah arah apabila meminda pertuduhan kepada s 5(1) Akta Penculikan 1961 kerana Hakim bicara telah berbuat sedemikian setelah menimbangkan keseluruhan kes pihak pendakwaan dan pembelaan. Dihujahkan tidak ada keterangan langsung (direct evidence) yang menunjukkan responden pertama terlibat dalam penculikan, tambahan pula SP4 tidak dapat mengecamkan siapa yang telah menculiknya di rumah kerana penculik-penculik tersebut memakai topeng muka. Keterangan SP3 juga dapat disangkal kerana SP3 menyatakan dia dapat melihat wajah responden pertama sebagai orang yang mengambil wang tebusan, namun keterangan ini tidak dapat mengaitkan responden pertama sebagai penculik yang telah menculik SP4. Selain itu, keterangan SP3 juga bercanggah dengan keterangan SP2 kerana mengikut keterangan SP2 pada waktu yang material, responden pertama telah pergi ke Restoran Marrybrown membeli makanan untuk SP4. Walaupun terdapat keterangan menunjukkan responden pertama mengakui dia dan responden kedua ada menghantar SP4 ke sebuah hentian bas, namun alasan yang diberikan adalah kerana mereka takut dituduh bersubahat dengan Comot setelah mendapat tahu SP4 bukanlah anak saudara Comot.

[25] Peguam bela responden kedua pula menghujahkan perkara yang sama iaitu tiada keterangan menunjukkan responden kedua ialah orang yang menculik SP4. Ini disebabkan SP4 tidak dapat mengecamkan penculik-penculik tersebut dan SP3 juga tidak dapat mengecamkan responden kedua. Keterangan SP2 mengenai pembabitan responden kedua juga bersifat neutral dan tidak dapat mengaitkan responden kedua sebagai penculik. Responden kedua dikatakan terlibat sama hanya kerana barang-barang kes (laptop, kamera, dan set permainan PS2) dijumpai di rumah tertuduh kedua.

Keputusan dan Pertimbangan Kami

[26] Mengenai isu (a), kami bersetuju dengan penghujahan TPR. Selaras dengan prinsip mantap yang dijelaskan dalam kes Abdullah Zawawi v PP (1985) 2 CLJ 2, Munusamy v PP (1987 CLJ Rep 221, Teoh Hoe Chye & Another case v PP (1987) CLJ (Rep) 386, Ti Chuee Hiang v PP (1995) 3 CLJ 1 dan Nanda Kumar Kunyikanan & Anor v PP (2011) 8 CLJ 406, bahawa pendakwa raya mempunyai budi bicara untuk memanggil atau tidak memanggil mana-mana saksi untuk membuktikan kes nya. Amnya, mahkamah agak keberatan untuk membuat anggapan bertentangan di bawah s 114 (g) Akta Keterangan 1950 terhadap pendakwaan kerana tidak memanggil mana-mana saksi kecuali dapat ditunjukkan dengan memuaskan bahawa: saksi tersebut ialah saksi penting yang boleh menyebabkan kelompangan pada kes pendakwaan jika tidak dipanggil; pendakwaan dengan sengaja menahan atau menyekat keterangan dalam milikan dan yang tersedia ada pada mereka; dan, apa yang dilakukan oleh pendakwaan adalah dengan motif tersembunyi untuk mengecewakan pembelaan.

[27] Berlandaskan prinsip di atas, kami mendapati pengecualian di atas tidak terpakai dalam keadaan fakta kes ini. SP11 dengan jelas mengatakan Zali Bin Sahar yang dikatakan dikenali juga dengan nama “Comot” tidak terlibat dengan kes ini. SP11 semasa diperiksa balas menafikan cadangan peguam bela bahawa Zali bin Sahar itu ialah Comot yang berada di rumah responden kedua dan terlibat dengan kes ini. Namun semasa pembelaan, pihak pembelaan gagal merealisasikan cadangan tersebut dengan menunjukkan Zali Bin Sahar itu sebenarnya Comot yang dimaksudkan. Pada pandangan kami Zali Bin Sahar ini tidak merupakan saksi penting dan kami mendapati juga pihak pendakwaan tidak dengan sengaja menahan atau menyekat keterangan tersebut dan kegagalan memanggil saksi tersebut bukan dengan tujuan mengecewakan pembelaan. Kami dapati dengan teguhnya, sama seperti mana diputuskan oleh Hakim bicara di akhir kes pendakwaan, bahawa tiada kelompangan dalam kes pendakwaan tanpa keterangan daripada Zali bin Sahar ini. Ketiadaan motif untuk menahan atau menyembunyikan keterangan atau mengecewakan pembelaan dipatahkan dengan tawaran Zali bin Sahar ini di akhir kes pendakwaan. Pada penghakiman kami dapatan Hakim bicara iaitu (ms 37: J ilid 1, Rekod Rayuan):

“In this regard the Court opined that failure of the prosecution to call Comot as a witness during the prosecution’s case will not relieve the duty of the prosecution to make available at the trial. Given the scenario that there was no clue or means that the prosecution could trace Comot, it would therefore be fatal to the prosecution case.” (Tekanan oleh kami)

adalah tersasar memandangkan kedua-dua peguam bela telah tidak pada bila-bila masa menerima atau meminta Zali bin Sahar ini dikemukakan di mahkamah. Hakim bicara ternyata tersalah arah dirinya apabila memutuskan bahawa walaupun pendakwaan telah berjaya membuktikan semua elemen pertuduhan dalam membangkitkan satu kes prima facie di akhir kes pendakwaan, namun mengatakan kegagalan mengemukakan Zali bin Sahar ini memusnahkan kes pendakwaan apabila tiada permintaan pada bila-bila masa oleh kedua-dua peguam bela.

[28] Mengenai isu (b), kami juga bersetuju sepenuhnya dengan penghujahan TPR. Setelah mempertimbangkan keseluruhan keterangan dalam rekod, kami mengambil pendirian bahawa Hakim bicara telah terkhilaf dalam membuat dapatan bahawa adanya keraguan mengenai identiti pembonceng yang menerima wang tebusan daripada SP3, dan kedua-dua responden tidak terlibat dengan penculikan SP4. Pada pandangan kami keterangan SP3 yang disokong oleh SP2 dan SP4 adalah jelas menunjukkan bahawa pembonceng tersebut ialah responden pertama. Alasan Hakim bicara bahawa adanya keraguan itu hanya berdasarkan hakikat bahawa pada masa penyerahan wang tebusan oleh SP3, responden pertama berada di rumah responden kedua antara waktu asar dan maghrib. Kami perhatikan penculikan ini dilakukan dengan terancang iaitu dari waktu perancangan di Restoran Osman, memecah masuk rumah SP3/SP1, menyamun, melarikan dan mengurung SP4 dengan tujuan meminta wang tebusan. SP3 dan SP1 dengan jelas menceritakan dengan terperinci detik-detik penculikan terutamanya rundingan wang tebusan dan penyerahan wang tersebut di tempat-tempat yang diarahkan oleh penculik-penculik itu. Walaupun amat tertekan, SP3 dan SP1 masih boleh bertindak dengan rasional dan mengikut setiap arahan penculik. Dalam hal ini, untuk memperincikan masa-masa tersebut dengan tepat ialah sesuatu yang mustahil. SP2 pula menyatakan bahawa pada pukul 5.00 petang apabila dia sampai di rumah responden kedua, dia terlihat SP4 di dalam bilik dan SP4 mengatakan dia kelaparan. SP2 lalu meminta responden pertama untuk membeli makanan di Marrybrown. Setelah responden pertama balik daripada membeli makanan untuk SP4, SP2 pulang ke rumahnya. Bagaimanapun, pada lebih kurang pukul 7.00 petang, responden pertama telah memanggil SP2 untuk mengambilnya di Plaza Tasik. Dalam keadaan sedemikian, tidak ada kejanggalan atau keraguan dalam keterangan SP3 yang mengatakan bahawa pembonceng tersebut ialah responden pertama. Kami mendapati masa kejadian berturut-turut dengan perancangan penculikan tersebut dan responden pertama mempunyai peluang berada di tempat wang tebusan diberikan oleh SP3. SP3 telah berjaya mengecam responden pertama dalam kawad cam dan juga di mahkamah. Keterangan ini tidak berjaya disangkal oleh peguam bela, malahan telah diterima oleh Hakim bicara di akhir kes pendakwaan. Pada penghakiman kami dapatan hakim bicara dalam isu pengecaman responden pertama ini jelas bertentangan dengan keterangan yang telah dibuktikan dan diterima oleh Hakim bicara.

[29] Selanjutnya, kami berpendapat Hakim bicara terkhilaf apabila memutuskan bahawa responden pertama dan kedua tidak memecah masuk rumah SP1 dan SP3 dan melarikan SP4. Kami bersetuju sepenuhnya dengan penghujahan TPR dalam isu ini. Dapatan Hakim bicara bukan sahaja tersasar malahan bertentangan dengan keterangan dalam kes ini terutamanya keterangan SP1, SP2, SP3, SP4, dan SP5. Keterangan SP2 dengan jelas menunjukkan perjumpaan kedua responden dengan Acik dan Comot dan perancangan mereka untuk membuat duit dengan memecah rumah di kawasan perumahan berkenaan. Walaupun tidak bersetuju untuk melibatkan diri, SP2 telah menghantar responden pertama, Acik dan Comot ke kawasan berkenaan. SP2 seterusnya melihat SP4 di rumah responden kedua dan tahu bahawa SP4 telah dilarikan oleh mereka. Kemudiannya, SP2 menyatakan responden pertama dan kedua telah memintanya untuk menghantar SP4 kepada ibunya di sebuah perhentian bas. Ekoran itu, mereka telah menghantar SP4 ke sebuah perhentian bas berhampiran dengan Plaza Tasik di Taman Tun Aminah hari yang sama lebih kurang pukul 7.30 petang. Keterangan SP2 ini menyokong keterangan SP3 dan SP4 terutamanya penglibatan 3 orang yang memecah masuk rumah SP1/SP3, teksi warna merah yang memasuki rumah yang digunakan untuk melarikan SP4 dan detik-detik rundingan dan penyerahan wang oleh SP3 dan pembebasan SP4. Sebaliknya dalam pembelaan kedua-dua responden, segala perancangan dan pelaksanaan penculikan SP4 dikatakan dilakukan oleh SP2, Acik dan Comot. Mereka tidak terlibat langsung walaupun mengakui mereka kemudiannya bersama-sama SP2 membebaskan SP4 dengan menghantar SP4 ke sebuah perhentian bas. Pembelaan kedua-dua responden amat tidak munasabah. Pada hemat kami tidak munasabahnya pembelaan ini diserlahkan lagi dengan dalih di perenggan yang berikut.

[30] Tidak disangkal bahawa kedua-dua responden ditangkap di Pusat Snuker V Que & Bar, Jalan Bestari ¼ Taman Nusa Bestari, Skudai, Johor pada 13.7.2013 lebih kurang pukul 3.30 pagi. Tidak juga disangkal pada masa ditangkap dan setelah diperiksa, beberapa barang kes telah ditemukan dalam beg pinggang responden pertama terutamanya wang RM11,000.00 dalam not RM100.00, telefon bimbit Nokia, sekeping kad Hotlink dan beberapa campuran wang dalam dompet. Di rumah responden kedua pula dijumpai beberapa barangan yang disahkan dirompak dari rumah SP3. Dalam hal ini kami bersetuju dengan hujahan TPR bahawa peruntukan anggapan di bawah s 114 (a) Akta Keterangan 1950 terpakai tetapi dalam erti kata keputusan kes Mahkamah Persekutuan dalam Krishna Rao Gurumurthi v PP & Another Appeal (2009) 2 CLJ 603, dan Amathevelli P Ramasamy v PP (2009) 3 CLJ 109, iaitu kesemua fakta ini boleh diambil kira untuk membuat inferens sewajarnya termasuk juga penjelasan daripada kedua-dua responden untuk menjelaskan bagaimana barang kes tersebut berada dalam milikan mereka dalam beberapa jam selepas kejadian culik. Penjelasan responden pertama ialah wang RM11,000.00 itu diletakkan oleh Comot ke dalam beg pinggang tersebut kerana dia hendak menganianya. Manakala barang kes di rumah responden kedua di bawah masuk juga oleh Comot tanpa pengetahuan mereka. Pada hemat kami, penjelasan tersebut amat tidak munasabah kerana bukan sahaja mereka mengatakan tidak mengenali Acik dan Comot, tetapi oleh sebab mereka tahu aktiviti penculikan tersebut, Comot sanggup meletakkan RM11,000.00 viz: lebih 50% wang tebusan, ke dalam beg pinggangnya semata-mata hendak menganianya. Kami berpendapat ini sukar untuk diterima akal dan lebih merupakan satu fanciful conjecture. Kami tidak nampak bagaimana keterangan SP5 bahawa beg pinggang itu dirampas daripada badan responden diketepikan begitu sahaja oleh Hakim bicara. Kami juga mendapati tidak munasabah untuk responden pertama meletakkan beg pinggang yang mengandungi barangan berharga di atas meja di tempat orang ramai. Itu, pada kami sengaja diadakan untuk meletakkan dalih kemasukan wang RM11000.00 oleh Comot. Begitu juga dengan barang kes yang ditemukan dalam rumah responden kedua, adalah tidak munasabah untuk seseorang yang baru dikenali untuk menumpangkan seseorang dengan beberapa barang kes yang seharusnya menimbulkan syak yang tinggi. Tambahan lagi, setelah kononnya mengetahui bahawa SP4 ialah mangsa penculikan, mereka langsung tidak mahu melaporkan kepada pihak polis. Itu merupakan jalan yang terbaik. Hakikat itu tidak dilakukan menunjukkan mereka terlibat dengan penculikan ini.

[31] Secara keseluruhan, dan setelah menyemak dan mempertimbangkan keterangan dalam rekod, kami mendapati hakim bicara telah terkhilaf dengan tersalah arah dirinya dengan membuat dapatan bertentangan dengan keterangan pendakwaan yang jelas dan mantap. Jika hakim bicara mengarahkan dirinya dengan betul, keraguan yang ditimbulkan oleh kedua-dua responden lebih merupakan pembelaan yang tidak terjumlah kepada keraguan yang munasabah dalam undang-undang. Oleh itu kami mengetepikan sabitan dan hukuman di bawah pertuduhan pindaan di bawah s 5 (1) Akta Penculikan 1961 dibaca bersama dengan s 34 Kanun Keseksaan. Sebaliknya, kami mendapati Pendakwa Raya telah berjaya membuktikan kes mereka tanpa keraguan di bawah pertuduhan asal dan mensabitkan kedua-dua responden sewajarnya.

[32] Mengenai hukuman, setelah mendengar penghujahan kedua-dua pihak, kami berpendapat penjara seumur hidup lebih bersesuaian. Tidak dapat dinafikan kesalahan menculik untuk tebusan di bawah s 3 Akta Penculikan 1961 merupakan satu kesalahan yang serius. Keadaan kes jelas menunjukkan trauma yang dilalui bukan sahaja oleh SP4 malahan oleh ibu bapanya. Untuk menunjukkan kebencian terhadap kesalahan seperti ini, dan memandangkan tiadanya kecederaan atau kematian dalam kes ini, kami berpendapat hukuman pemenjaraan ialah hukuman yang paling sesuai. Dengan itu, kami memerintahkan kedua-dua responden dihukum penjara seumur hidup seperti mana diperuntukkan dalam s 3 Akta Penculikan 1961.

t.t

ABDUL KARIM ABDUL JALIL
Hakim Mahkamah Rayuan

Tarikh: 8 Januari 2018

COUNSEL

Bagi pihak Perayu: Tengku Amir Zaki bin Tengku Abdul Rahman, Timbalan Pendakwa Raya, Jabatan Peguam Negara

Bagi pihak Responden 1: K.Sandrasegaran, Tetuan Tay, Benard & Cheong

Bagi pihak Responden 2: Azamuddin Abd Aziz, Tetuan Azamuddin & Co

Legislation referred to:

Akta Keterangan 1950, Seksyen-seksyen 114(a), 114(g)

Akta Penculikan 1961, Seksyen-seksyen 3, 3(1), 5(1)

Kanun Keseksaan, Seksyen 34

Judgments referred to:

Abdullah Zawawi v PP (1985) 2 CLJ 2

Amathevelli P Ramasamy v PP (2009) 3 CLJ 109

Balachandran v PP (2005) 1 CLJ 85

Krishna Rao Gurumurthi v PP & Another Appeal (2009) 2 CLJ 603

Loo Kow Chai & Anor (2003) 1 CLJ 734

Munusamy v PP (1987 CLJ Rep 221

Nanda Kumar Kunyikanan & Anor v PP (2011) 8 CLJ 406

Teoh Hoe Chye & Another Case v PP (1987) CLJ (Rep) 386

Ti Chuee Hiang v PP [1995] 3 CLJ 1

Notice: The Promoters of Malaysian Judgments acknowledge the permission granted by the relevant official/ original source for the reproduction of the above/ attached materials. You shall not reproduce the above/ attached materials in whole or in part without the prior written consent of the Promoters and/or the original/ official source. Neither the Promoters nor the official/ original source will be liable for any loss, injury, claim, liability, or damage caused directly, indirectly or incidentally to errors in or omissions from the above/ attached materials. The Promoters and the official/ original source also disclaim and exclude all liabilities in respect of anything done or omitted to be done in reliance upon the whole or any part of the above/attached materials. The access to, and the use of, Malaysian Judgments and contents herein are subject to the Terms of Use.