THE OFFICIAL REPOSITORY OF
MALAYSIAN JUDGMENTS & RULINGS

[2018] MYCA 27 MALAY

Pendakwa Raya v Kamran Ilyas Bin Muhammad Ilyas
Suit Number: Rayuan Jenayah No. B-05(LB)-307-11/2015 

PENGHAKIMAN

Mukaddimah

[1] Responden, Kamran Ilyas Muhammad Ilyas, warga Pakistan, telah didakwa dan dibicarakan di Mahkamah Tinggi Shah Alam atas pertuduhan yang berikut:

"Bahawa kamu pada 24 Februari 2010, jam lebih kurang 2.25 petang di Cawangan Pemeriksaan Penumpang 1, Balai Ketibaan Antarabangsa, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, di dalam daerah Sepang, di dalam Negeri Selangor Darul Ehsan, telah didapati mengedar dadah berbahaya iaitu Heroin dan Monoacetylmorphines seberat 4,189.7 gram, dan dengan itu kamu telah melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) Akta yang sama.”

[2] Terdapat dua peringkat pengendalian perbicaraan kes di sini. Di peringkat awal, perbicaraan kes ini telah dijalankan di hadapan YA Pesuruhjaya Kehakiman (PK) Puan Choong Siew Khim. Pada 28.11.2013 YA Pesuruhjaya Kehakiman tersebut telah melepaskan dan membebaskan responden di akhir kes pendakwaan atas alasan pendakwaan telah gagal untuk membangkitkan satu kes prima facie terhadap responden. Bagaimanapun, pada 11.3.2015 Mahkamah Rayuan, atas rayuan Pendakwa Raya, telah mengetepikan keputusan tersebut dan memerintahkan supaya responden dipanggil untuk membela diri.

[3] Perbicaraan di peringkat seterusnya telah dijalankan di hadapan hakim yang baru iaitu YA Hakim Dato’ Wan Afrah binti Dato’ Paduka Wan Ibrahim (Hakim bicara) memandangkan PK Puan Choong Siew Khim telah bersara daripada perkhidmatan. Di akhir perbicaraan, YA Hakim bicara telah memutuskan bahawa responden telah berjaya menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan dan sekali gus melepaskan dan membebaskan responden daripada pertuduhan. Terkilan, Pendakwa Raya telah merayu ke mahkamah ini.

[4] Setelah mendengar penghujahan kedua-dua pihak dan menyemak rekod rayuan, kami mendapati rayuan Pendakwa Raya (perayu) mempunyai merit. Oleh itu kami membenarkan rayuan, merekodkan sabitan bersalah ke atas responden dan menjatuhi responden hukuman mati mandatori. Berikut ialah alasan kami memutuskan sedemikian.

Kes Pendakwaan

[5] Secara ringkas, kes pendakwaan mendedahkan pada 24.2.2010, antara pukul 2.00 hingga 2.30 petang, pegawai kastam Elangovan a/l Rethnasamy (SP5) telah melihat responden berseorangan bergerak menuju ke lorong hijau dengan menolak sebuah troli di Balai Ketibaan Antarabangsa, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Terdapat dua buah bagasi di atas troli tersebut iaitu bagasi beroda (P43) dan beg galas (beg P40). SP5 mengarahkan perayu untuk mengimbas bagasi tersebut di mesin pengimbas “D”.

[6] Imbasan ke atas beg P40 menampakkan imej yang mencurigakan di skrin. Lantaran itu, SP5 mengarahkan pegawai kastam Mohd Rapi bin Razali (SP4), petugas di kaunter D, untuk membuat pemeriksaan lanjut ke atas beg P40. SP4 telah mengarahkan responden untuk membuka beg P40. Setelah dibuka, kelihatan beberapa buah buku di dalam beg P40 dan apabila SP4 mengambil salah sebuah buku tersebut dan menyelaknya, SP4 mendapati kulit buku itu mencurigakan kerana mempunyai kulit yang sangat tebal. Setelah kecurigaan itu dirujuk dan disahkan oleh SP5, SP5 telah mengarahkan perayu dan bagasi tersebut dibawa ke pejabat Cawangan Pemeriksaan Penumpang 1 (CPP1) untuk tindakan lanjut. Ketika di pejabat tersebut, SP5 telah mengopak sedikit kulit salah satu buku tersebut dan menemukan serbuk putih di dalam kulit buku tersebut. Perayu tidak berkata apa-apa, dan SP5 seterusnya menghubungi Cawangan Narkotik.

[7] Pada lebih kurang pukul 3.15 petang, pegawai dari Cawangan Narkotik termasuk pegawai penyiasat Samsuri bin Ibrahim (SP8) telah sampai di CPP1, dan seterusnya membawa perayu dan kesemua barang kes ke Pejabat Narkotik di Nilai. Di pejabat itu, pemeriksaan lanjut telah dijalankan oleh SP5 dengan dibantu oleh beberapa orang pegawai lain termasuk SP4 dan SP2, Syafizal Bin Mahmud, pegawai Narkotik. Hasil pemeriksaan ke atas beg P40 menemukan 5 buah buku bertajuk “Challenging the Sky” dan sepasang seluar. SP5 juga menemukan tag bagasi P40 (P40A) atas nama “Tanveer” bertarikh 13.2.2010 untuk penerbangan PK898. SP5 meneruskan pemeriksaan dengan mengopak kesemua muka depan dan belakang kulit buku (hard cover) tersebut dan mengeluarkan serbuk putih berkenaan dan memasukkannya ke dalam paket plastik yang disediakan oleh SP8. SP5 juga menandakan kesemua penemuan tersebut (P13-P27, P41 dan P41A). SP5 selanjutnya memeriksa bagasi beroda (P43) yang mempunyai tag bagasi penerbangan PK896 (P43A) atas nama responden dan tidak menemukan apa-apa barang salah. SP5 kemudiannya menyerahkan kes kepada SP8.

[8] SP8 telah memasukkan buku-buku dan bungkusan berisi serbuk putih tersebut ke dalam kotak P8 dan menyerahkannya kepada ahli kimia Suhana Bt Ismail (SP3). Setelah dianalisis, SP3 mengesahkan serbuk putih tersebut ialah dadah berbahaya jenis heroin seberat 3,856.8 gram dan monoacetylmorphines seberat 332.9 gram.

[9] Encik Shafie b. Ismail, SP6, Penyelia Trafik Pakistan International Airline, mengesahkan melalui flight manifest P74 responden telah datang dari Karachi Pakistan ke Kuala Lumpur pada 24.2.2010 dengan penerbangan PK 896. Tiada penumpang dengan nama Tanveer ada dalam penerbangan PK 896 tersebut. Bagaimanapun penumpang Mohammad Tanveer Mehmood ada dalam penerbangan PK 898 pada 13.2.2010 seperti ditunjukkan dalam flight manifest P76 dan nombor siri dalam P & R (P77) ini adalah sama dengan nama dan nombor siri di tag bagasi P40(A). SP7 juga mengesahkan bagasi untuk penerbangan lain tidak mungkin boleh dibawa oleh orang lain dalam penerbangan yang lain. Hanya beg hand carry boleh dilakukan sedemikian.

Kes Pembelaan

[10] Kes pembelaan seperti mana yang dibentangkan oleh YA Hakim bicara adalah sebagaimana yang berikut (muka surat 8:Jilid 1A: RR):

“1. OKT bekerja sebagai seorang pemandu teksi di Karachi, Pakistan dan mempunyai seorang kawan bernama Mustaq di Karachi yang dikenali selama 10 hingga 12 tahun.

2. Mustaq telah berbincang dengan OKT dan bercadang untuk menghantar OKT ke Malaysia untuk bekerja dengan ayahnya yang mempunyai sebuah kedai buku di Malaysia.

3. Mustaq telah memberikan OKT nombor Amir (abang Mustaq) yang akan ke Malaysia. OKT telah berjumpa Amir di Lapangan Terbang Karachi. Malah segala urusan penerbangan OKT termasuk pasport dan tiket penerbangan telah diuruskan oleh Amir.

4. OKT ada bertanya kepada Amir ke mana mereka hendak pergi dan Amir telah menjawab bahawa mereka akan ke Malaysia untuk berjumpa dengan ayahnya bagi tujuan pekerjaan OKT.

5. Semasa OKT di Lapangan Terbang Karachi, Amir telah memberikan pasport dan tiket penerbangan OKT. OKT telah “check-in” satu beg dan Amir telah “check-in” satu beg. Selepas itu Amir berpesan kepada OKT jangan bercakap atau berdiri bersebelahannya semasa di Lapangan Terbang Karachi dan KLIA.

6. Penerbangan dari Karachi ke Kuala Lumpur, OKT telah bertolak pada pukul 4.10 pagi dan OKT duduk di tempat duduk nombor 22A dan Amir duduk di tempat duduk nombor 24.

7. OKT bersama Amir tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 24.2.2010 pada jam lebih kurang 1.00 tengah hari. Di KLIA, Amir telah menghalang OKT untuk berjalan bersebelahannya.

8. Setibanya di karusel, OKT telah mengambil beg beliau dan Amir telah memintanya untuk menunggu sebab ada dua lagi beg yang belum diambil. OKT bertanya kepada Amir empunya beg tersebut dan Amir menjawab beg itu kepunyaannya. Selepas beg itu sampai, Amir telah mengambil kedua-dua beg tersebut serta memeriksa isinya.

9. Kemudiannya Amir telah serahkan satu beg bersama kuncinya kepada OKT dan OKT telah membuka beg tersebut untuk memeriksa isinya dan mendapati terdapat beberapa buku di dalamnya berserta pakaian. OKT juga memastikan kunci tersebut boleh membuka beg tersebut.

10. Selepas itu OKT bergerak menuju ke arah mesin pengimbas kastam dan Amir mengikuti dari belakang. Pihak kastam telah menyuruh OKT mengimbas kedua-dua beg yang dibawa oleh OKT dan selepas diimbas, pihak kastam mengarahkan OKT untuk membuka beg yang diberikan oleh Amir. Pada masa itu OKT menoleh ke belakang dan mendapati Amir sudah tiada.

11. OKT telah ditunjukkan dengan buku-buku yang terdapat di dalam beg tersebut di mana dijumpai dadah tersembunyi di dalam buku-buku tersebut. OKT juga telah mendapati bahawa tag bagasi tersebut atas nama “Tanveer.”

12. OKT menyatakan bahawa beliau tidak mengetahui isi kandungan dadah di dalam beg tersebut dan menyatakan beliau adalah seorang “innocent carrier”. OKT menyatakan kepada Jurubahasa (SP9) bahawa beg itu kepunyaan Amir.

Keputusan Hakim Bicara

[11] Di akhir kes, YA Hakim mempercayai pembelaan responden dan mendapati responden ialah seorang pembawa ikhlas (innocent carrier) dan tidak mempunyai pengetahuan tentang dadah-dadah yang tersembunyi dalam beg P40. Semuanya gara-gara Amir, Mustaq dan Tanveer yang kewujudan mereka tidak dipersoalkan dan disiasat lebih lanjut oleh pendakwaan. Ini mencipta kelompangan dalam kes pendakwaan. YA Hakim bicara memutuskan dengan kelompangan itu responden telah berjaya menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan. Dengan lebih terperinci, YA Hakim bicara memutuskan, terpentingnya:

Keputusan Mahkamah

Saya telah mengambil perhatian dan meneliti keterangan pembelaan OKT dan hujahan-hujahan yang telah difailkan oleh pihak pendakwaan dan pembelaan. Isu-isu berikut telah ditimbulkan oleh pihak pembelaan-

(a) Sama ada keterangan OKT boleh dipercayai:

(b) Sama ada OKT telah berjaya mematahkan anggapan pemilikan di bawah Seksyen 37(da) Akta Dadah Berbahaya 1952; dan

(c) Sama ada OKT mempunyai pengetahuan bahawa di dalam beg sandang P40 terdapat dadah berbahaya.

A. Sama Ada Keterangan OKT Boleh Dipercayai

Bagi isu yang pertama, Mahkamah berpendapat bahawa keterangan pembelaan OKT adalah diterima dan dipercayai oleh Mahkamah. Ini adalah kerana saya bersetuju dengan hujahan pihak pembelaan bahawa SD1 telah menjelaskan bahawa beg P40 telah diserahkan kepadanya oleh individu yang bernama Amir. Fakta ini tidak dicabar oleh pendakwaan bahawa cerita mengenai Amir ini adalah rekaan dan tidak benar. Malah, selain itu pihak pendakwaan juga tidak mencabar SD1 berkenaan penama Amir dan Mustaq dan juga berkenaan pengetahuan SD1 berkenaan kandungan buku-buku yang dibawanya adalah dadah berbahaya dan kepunyaan SD1 dan bukan Amir.

Selain itu, saya juga bersetuju dengan pihak pembelaan bahawa kredibiliti SD1 tidak pernah dicabar oleh pihak pendakwaan pada bila-bila masa pun. Malah pihak pendakwaan memang ada bertanya kepada SD1 berkenaan penama Mustaq dan Amir tetapi tidak dicabar mengenai peranan mereka adalah rekaan semata-mata. Terlalu banyak keraguan dan kelompangan yang timbul berkenaan penama Amir, Mustaq dan Tanveer yang telah gagal dijelaskan oleh pihak pendakwaan sekali gus menjejaskan kes pihak pendakwaan secara keseluruhan. Malah saya juga bersetuju dengan pihak pembelaan bahawa SD1 juga secara konsisten telah memaklumkan mengenai Mustaq dan Amir tetapi tiada siasatan lanjut oleh SP8.

B. Sama Ada OKT Telah Berjaya Mematahkan Anggapan Pemilikan Di Bawah Seksyen 37(da) Akta Dadah Berbahaya 1952

Seterusnya bagi isu yang kedua, saya bersetuju dengan hujahan peguambela bahawa pihak pembelaan telah berjaya menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.

Ini adalah kerana secara jelas berdasarkan keterangan OKT1 dan juga ekshibit yang dikemukakan, beg P40 sememangnya didaftarkan di atas nama Tanveer Mehmood. Malah sepertimana yang dihujahkan oleh peguambela, nombor siri yang tercatat pada tag bagasi P40 adalah sama dengan nombor siri yang tercatat pada passenger record P77 atas nama Mohamad Tanveer Mehmood yang telah disokong oleh SP6.

Selanjutnya apabila Mahkamah merujuk kepada P77, ianya jelas menunjukkan Mohamad Tanveer Mehmood tiba di KLIA pada 13.2.2010 melalui penerbangan PK88 dan beg tersebut tidak dilaporkan hilang oleh Mohamad Tanveer. Beg P40 yang telah di “check-in” pada 13.2.2010 yang telah tiba lebih awal dari SD1 dan masih berada di dalam kawasan karusel tanpa dilaporkan hilang oleh pemiliknya.

Apa yang lebih mengecewakan ialah kegagalan SP8 untuk membuat siasatan lanjut bekenaan (sic) penama Tanveer ini. Sekiranya ada tindakan yang diambil pun oleh SP8, itupun setelah 9 hari OKT ditangkap. Kelewatan ini telah menjejaskan kes pendakwaan secara keseluruhan sedangkan sejak dari awal sewaktu tangkapan dibuat, SP8 telah maklum berkenaan perkara ini.

Beberapa keraguan telah ditimbulkan oleh pihak pembelaan yang telah gagal dijelaskan dengan sempurna oleh pihak pendakwaan. Pada pendapat saya, keraguan-keraguan ini telah menimbulkan kelompangan-kelompangan yang besar di dalam kes pendakwaan.

C. Sama Ada OKT Mempunyai Pengetahuan Bahawa Di Dalam Beg Sandang P40 Terdapat Dadah Berbahaya

Bagi isu yang ketiga, fakta-fakta jelas menunjukkan bahawa beg sandang P40 adalah tidak didaftarkan atas nama OKT dan didaftarkan di atas nama “Tanveer” yang mana kewujudannya gagal disiasat secara menyeluruh oleh Pegawai Penyiasat SP8. Tiada sebarang bukti yang boleh menyokong pengetahuan OKT berkenaan barang kes dadah di dalam P40 ini. Malah, saya juga bersetuju dengan pihak pembelaan bahawa dalam keadaan beg P40 yang telah didaftarkan dengan nama orang lain dan cara barang kes dadah itu diselitkan di dalam cover buku-buku yang kemudiannya telah di “seal” dengan baik, dadah tersebut tidak dapat dilihat dengan mata kasar oleh sesiapa sahaja termasuk OKT. Kandungan tersebut hanya dapat dilihat sekiranya cover buku-buku tersebut dibuka atau dikoyak. Mahkamah menerima penjelasan OKT bahawa beliau hanya mendapati P40 mengandungi beberapa buah buku dan pakaian. Justeru itu, saya berpendapat bahawa OKT langsung tidak mempunyai pengetahuan bahawa di dalam beg sandang P40 terdapat dadah merbahaya.

Malah, saya juga bersetuju dengan pihak pembelaan bahawa pihak pendakwaan telah gagal membuktikan elemen pengetahuan sekaligus anggapan di bawah Seksyen 37(d) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan anggapan pengedaran di bawah Seksyen 37(da) Akta yang sama telah berjaya dipatahkan oleh pihak pembelaan.

”... Isu-isu penting yang menjadi perhatian saya di dalam kes ini adalah seperti berikut-

1. Kegagalan pihak pendakwaan di dalam menyoal balas saksi; dan

2. Kelompangan siasatan Pegawai Penyiasat terhadap penama “Amir”, “Mustaq” dan “Tanveer”.

1. Kegagalan Pihak Pendakwaan Di Dalam Menyoal Balas Saksi

Dalam menilai keterangan pembelaan OKT, saya juga meneliti dan menilai keupayaan TPR di dalam menyoal balas saksi bagi membuktikan kesnya melampaui keraguan yang munasabah. Saya mendapati pihak pendakwaan telah gagal untuk menyangkal (negate) keterangan yang dikemukakan oleh pihak pembelaan di dalam pemeriksaan balas OKT (SD1).

Di dalam keterangan pembelaan SD1, saya bersetuju dengan hujahan peguambela di mana pihak pendakwaan telah gagal menyoal balas SD1 berkenaan kewujudan penama “Amir” di dalam keterangannya. Malah kewujudan penama “Mustaq” juga tidak dipertikaikan. Pihak pendakwaan tidak pernah menyatakan bahawa penama “Amir” dan “Mustaq” ini adalah rekaan SD1 semata-mata dan tidak wujud sebenarnya.

Pada hemat saya, persoalan berkenaan kewujudan penama “Amir” dan “Mustaq” ini haruslah dirungkai bagi memastikan kebenaran keterangan pembelaan oleh SD1. Kegagalan pihak pendakwaan dalam soalan balas SD1 adalah “fatal” dan menjejaskan kes pendakwaan secara keseluruhannya.

Malah tiada juga soalan yang diutarakan kepada OKT berkenaan penama “Tanveer” sedangkan beg P40 itu jelas menunjukkan ia didaftarkan dan tag nama tersebut tertulis nama “Tanveer”. Kewujudan dan peranan ketiga-tiga penama yang disebutkan sangat penting untuk dibuktikan untuk membantu Mahkamah menilai keterangan pembelaan OKT sama ada boleh dipercayai atau tidak.

Malah saya juga bersetuju dengan hujahan peguambela bahawa pihak Pendakwa Raya juga telah gagal menyoal balas berkenaan pengetahuan SD1 tentang kewujudan barang kes dadah di dalam P40 dan P40 tersebut adalah kepunyaan SD1 dan bukan Amir.

Kes Mohamad Hasnizam Hussein v PP [2015] 1 LNS 433, Mahkamah Rayuan telah memutuskan seperti berikut-

“[26]... Failure to cross examine means the adverse party must be taken to accept what has been said during the examination in chief.

[27] It has been observed that cross-examinantion is one of the best tools ever invented by men to get to the truth. The importance of cross examining a witness on a matter which the adverse party cannot agree with and which is material to his case cannot be more succinctly described that by Lord Halsbury, more than a century ago, in the case of Browne v Dunn [1893] 6 the Reports 67. His Lorsdhip (sic) had then said as follows-

“To my mind nothing would be more absolutely unjust than not to cross examine witnesses upon evidence which they have given, so as to give them notice, and to give them an opportunity of explanation, and an opportunity very often to defend their own character, and not having given such an opportunity, to ask the jury to disbelieve what they have said, although not one question has been credited either to their credit or to the accuracy of the fact they have deposed to.

[28] In Federal Court case of Wong Swee Chin v PP [1980] 1 LNS 138; [1981] 1 MLJ 212, a “failure to cross-examine a witness on a crucial part of the case will amount to an acceptance of the witness’s testimony.”

Pihak pendakwaan telah gagal menggunakan peluang di dalam pemeriksaan bsalas untuk mematahkan keterangan pembelaan OKT. Oleh sebab itu Mahkamah boleh membuat inferens bahawa pihak pendakwaan setuju bahawa penama “Amir” dan “Mustaq” ini adalah benar-benar wujud. Peranan yang dimainkan oleh penama “Amir” dan “Mustaq” ini adalah amat penting dan harus dirungkaikan oleh pihak pendakwaan.

2. Kelompangan Siasatan Pegawai Penyiasat Terhadap Penama “Amir”, “Mustaq” dan “Tanveer”

Di akhir kes pembelaan, saya juga ingin menegaskan bahawa beban untuk pihak pembelaan di peringkat ini adalah hanya untuk menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan. Bukan menjadi tanggungjawab pihak pembelaan untuk mengemukakan “Amir” dan “Mustaq” ini kepada Mahkamah. Anggapan di bawah Seksyen 114(g) Akta Keterangan 1950 tidak boleh digunakan ke atas pihak pembelaan oleh pihak pendakwaan apabila dikatakan gagal mengemukakan “Amir” dan “Mustaq” ini bagi memberi keterangan sokongan kepada OKT.

Malah saya bersetuju dengan peguambela bahawa OKT telah menyatakan dari awal di dalam rakaman percakapan beliau berkenaan “Amir” namun tiada siasatan lanjut yang dilakukan oleh Pegawai Penyiasat berkenaan “Amir” ini. Saya juga berpendapat isu pembelaan “afterthought” langsung tidak timbul di dalam kes ini. Saya merujuk kes Alcontara a/l Ambross Anthony [1996] 1 CLJ 705.

Mahkamah juga dalam menilai keterangan pembelaan oleh OKT merujuk kepada keterangan yang telah diberikan oleh Pegawai Penyiasat (SP8) berkenaan siasatan yang dilakukan terhadap penama “Amir”, “Mustaq” dan “Tanveer” ini. Ekshibit P74 adalah dirujuk iaitu “flight manifest” bagi penerbangan PK 0896 dan SP8 dalam keterangannya bersetuju bahawa “Amir” yang dimaksudkan oleh OKT duduk di tempat duduk 24G dan beliau bersetuju dengan soalan peguambela bahawa tiada siasatan lanjut yang dijalankan olehnya berkenaan penama “Amir” ini (Nota Keterangan m.s 196 dan 197 adalah dirujuk).

SP8 juga bersetuju bahawa tiada siasatan dijalankan untuk membuat siasatan lanjut berkenaan “Amir” (rujuk Nota Keterangan m.s 197). Malah SP8 juga mengakui bahawa OKT menerima panggilan daripada seorang yang bernama “Mustaq” tetapi hasil siasatan terhadap handphone milik OKT tidak diterima.

Seterusnya di Nota Keterangan m.s 197 (a) apabila ditanya berkenaan penama “Tanveer” SP8 hanya membuat siasatan “passenger manifest” sahaja. P77 iaitu “passenger name record” dari Pakistan Airlines telah dirujuk dan menunjukkan bahawa “Tanveer” telah pun keluar balik ke Pakistan. Tiada sebarang siasatan lanjut yang boleh menjelaskan bahawa bagaimana P40 di atas nama “Tanveer” boleh berada bersama OKT pada hari tangkapan tersebut. Kelompangan-kelompangan siasatan ini adalah terlalu besar dan tidak dapat ditutup oleh pihak pendakwaan di dalam kes ini.

Saya juga ingin menyatakan bahawa pihak pendakwaan telah gagal di dalam soal balas kepada SD1 untuk menutup kelompangan-kelompangan siasatan di dalam kes ini dan seterusnya menjejaskan kes pendakwaan secara keseluruhannya. Malah, pihak pendakwaan juga tidak menjawab kepada hujahan-hujahan pihak pembelaan berkenaan kelompangan siasatan oleh Pegawai Penyiasat di dalam kes ini terhadap ketiga-tiga penama ini. Tiada sebarang penjelasan yang diterima berkenaan kegagalan siasatan lanjut oleh Pegawai Penyiasat terhadap ketiga-tiga penama ini.

Mahkamah bersetuju dengan peguambela bahawa “Tanveer” dan “Amir” adalah merupakan saksi-saksi penting yang tidak dipanggil bagi membuktikan kes terhadap OKT dan kegagalan ini adalah “fatal” terhadap kes pendakwaan dan telah menimbulkan “gap” di dalam kes pendakwaan. Saya juga bersetuju bahawa kegagalan tersebut telah menyebabkan “miscarriage of justice” terhadap OKT.

Rayuan ini

[12] Dalam rayuan ini Timbalan Pendakwa Raya yang terpelajar (TPR) hanya membangkitkan satu isu sahaja dalam mencabar keputusan YA Hakim iaitu sama ada responden telah berjaya menimbulkan keraguan yang munasabah ke atas kes pendakwaan? Dihujahkan kewajaran isu tunggal ini adalah selaras dengan keputusan mahkamah ini dalam kes PP v Sulaiman Saidin [2010] 1 CLJ 184 dan Manimaran A/L Amas v PP (2015) 1 MLJ 18.

[13] Selaras dengan prinsip di atas, TPR menghujahkan bahawa YA Hakim bicara telah terkhilaf apabila memutuskan responden telah berjaya menyangkal serta menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan dengan pembelaan pembawa ikhlas. TPR menegaskan bahawa penerimaan pembelaan pembawa ikhlas (innocent carrier) oleh YA Hakim bicara bukan sahaja bertentangan dengan fakta prima (primary fact) yang ditemui di akhir kes pendakwaan malahan tidak munasabah dalam keadaan kes ini. TPR menegaskan lagi bahawa pembelaan pembawa ikhlas ini dicipta atau direka olah (concoct) untuk menyelamatkan diri responden kerana:

(a) cerita mengenai beg galas P40 diberikan oleh Amir adalah tidak logik dan tidak boleh dipercayai disebabkan: tiada keterangan yang menunjukkan Amir itu benar-benar wujud; tiadanya butiran lengkap mengenai Amir diberikan-notis Alcontara yang lemah untuk disiasat lanjut, pernyataan s 122 (D97) tidak memberikan apa-apa maklumat berkesan kepada SP8 (pegawai penyiasat), tiada keterangan untuk mengesahkan Amir itu ialah Amir Afzal Khan dalam flight manifest P74; dan Amir disebutkan secara sambil lalu sahaja. Responden telah gagal mengemukakan keterangan untuk menunjukkan kewujudan Amir selaras dengan prinsip dalam kes Choo ChangTeik & Anor v Public Prosecutor [1991] 3 MLJ 423, dan Munuswamy Sundar Raj v Public Prosecutor (2015) 6 MLJ 214.

(b) Tag P40A atas nama ‘Tanveer’ pada beg P40 merupakan satu helah untuk mengaburi mata pihak berkuasa disebabkan, antara lain: Tanveer tidak berada dalam penerbangan yang sama tetapi telah sampai di KLIA seminggu lebih awal (iaitu pada 13.2.2010); tiada laporan kehilangan bagasi oleh Tanveer; penumpang lain daripada penerbangan lain tidak boleh mendaftar masuk bagasi penumpang yang lain dalam penerbangan yang lain; responden hanya mendaftar masuk satu bagasi sahaja; dan, beg P40 telah dibawa secara hand carry luggage oleh responden (yang tidak memerlukan tag pendaftaran masuk).

(c) pendakwaan telah berjaya membuktikan responden berseorangan dan mempunyai pemilikan dengan mens rea dadah tersebut iaitu penjagaan dan kawalan ke atas P40, dan cara bagaimana dadah itu disembunyikan di dalam P40 jelas menunjukkan responden mempunyai pengetahuan tentang dadah itu. Dengan penyembunyian dan mengangkut dadah tersebut dari Pakistan ke Malaysia, responden telah mengedar dadah tersebut dalam erti maksud pengedaran di bawah s 2, ADB 1952. Oleh itu, responden telah gagal mematahkan keterangan tersebut dan gagal menimbulkan apa-apa keraguan ke atas kes pendakwaan.

[14] Berkesannya, peguam bela responden dalam penghujahannya bersetuju dan menyokong sepenuhnya keputusan YA Hakim bicara.

Keputusan Kami

[15] Memandangkan pembelaan kes ini dibicarakan setelah diarahkan oleh mahkamah rayuan terdahulu (berlainan kuorum), bertepatan bagi kami untuk memperjelaskan terlebih dahulu tentang pendekatan yang harus diambil dalam mempertimbangkan isu-isu yang ditimbulkan dalam rayuan ini. Dalam kes Pendakwa Raya v Sulaiman bin Saidin [2010] 1 CLJ 184; [2010] 3 MLJ 383, YA Sulaiman Daud HMR menjelaskan:

"[27] Sebelum merumuskan isu atau isu-isu yang berbangkit dalam rayuan ini, kami mendapati perlu untuk mengulangi bahawa tertuduh telah dipanggil untuk membela diri setelah mahkamah ini, dalam rayuan terdahulu, mengetepikan keputusan hakim bicara di akhir kes pendakwaan. Sehubungan dengan itu, kami mendapati tiada keperluan bagi kami untuk menimbangkan semula isu-isu yang telah diputuskan oleh mahkamah ini terdahulu mengenai isu-isu yang telah dibangkitkan di akhir kes pendakwaan, kecuali jika terdapat keterangan-keterangan baru yang dibangkitkan oleh pihak pembelaan yang boleh menimbulkan keraguan munasabah ke atas kes pendakwaan."

Kedudukan yang sama juga dalam kes Manimaran a/l Amas v PP [2014] 1 LNS 1412; [2015] 1 MLJ 18, yang memutuskan:

[25] In the instant appeal, since all the appellants were called upon by the Court of Appeal to enter on their defence, it must necessarily mean that the Court of Appeal was satisfied that the prosecution had proved all the ingredients of the charge, including the element of common intention, before concluding that a prima facie case had been made out by the prosecution. There was therefore no necessity for us to revisit the issues on whether a prima facie case had been made out. What we need to consider was whether the evidence from the defence had cast a reasonable doubt on the prosecution's case.’’ (Tekanan oleh kami)

[16] Begitu juga dengan rayuan ini, mahkamah rayuan terdahulu, apabila mengarahkan pembelaan dipanggil, sudah semestinya telah merumuskan bahawa pendakwaan telah berjaya membangkitkan satu kes prima facie terhadap responden termasuklah isu berkenaan dengan Amir, Mustaq, Tanveer, pemakaian s 37 (d) dan pengedaran di bawah s 2 ADB 1952. Kami tidak akan mengulangi isu pembangkitan kes prima facie itu lagi. Apa yang harus kami pertimbangkan adalah sama ada keterangan yang dikemukakan oleh responden telah, atas imbangan kebarangkalian, mematahkan anggapan s 37 (d) tersebut, dan secara keseluruhan, sama ada responden telah berjaya menimbulkan keraguan yang munasabah ke atas kes pendakwaan?

[17] Setelah mempertimbangkan dengan cermat keterangan dalam rekod dan penghujahan kedua-dua pihak, kami bersetuju dengan penghujahan TPR dan mendapati bahawa pembelaan pembawa ikhlas bukan sahaja tidak terpakai malahan tidak munasabah dalam keadaan kes ini. Pembelaan pembawa ikhlas bukan sahaja sesuatu yang bukan baru malahan lumrah dalam kes-kes sebegini. Pendekatan yang harus diambil dalam mempertimbangkan pembelaan ini telah digariskan dalam beberapa kes. Memadai bagi kami untuk merujuk keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Munuswamy Sundar Raj v Public Prosecutor, supra dan PP v Herlina Purnama Sari [2017] 1 MLRA 499. Dalam kes Munuswamy Sundar Raj, supra, diputuskan:

[8] ... The defence of innocent carrier is a valid defence that could be alluded to by an accused person, and in this case the appellant. A plethora of cases sprinkles the legal journals in Malaysia and suffice if we merely refer to a chosen few to clarify this defence without the need for comprehensive judicial activism. The Court of Appeal in Venkatesan Chinnasami v. PP [2011] 1 LNS 1736 put it aptly in the following terms:

... A defence of innocent carrier refers to a state of affairs where an accused person acknowledges carrying, for example a bag or a box, as in the case before us, containing the dangerous drugs but disputes having knowledge of the drugs. Whether it will succeed or not would very much depend on the facts of each case.

[9] As said above it is imperative that the success of the defence of innocent carrier depends very much on the facts of each case, a matter that falls within the realm of the trial judge. Ignorance simpliciter is not sufficient to let an accused person off the hook as otherwise every other accused person will allude to that defence. It needs more than that. Without any reason for suspicion, or there is no right or opportunity of examination, ignorance may be a good defence. A hypothetical scenario could be when an accused person receives a package which contains illicit drugs from say, England when not a shred of evidence could establish him having been aware of the circumstances of the drugs being sent to him or having any nexus to him. Prior to the parcel appearing at his door step he would not have had any reason for suspicion or the opportunity to inspect the parcel bearing in mind that the package was beyond his reach until it reached his hands. The rider is that everything depends on the facts.

[10] Let us now peruse briefly at the relevant parts of the evidence regarding the current case where every opportunity was made available to the appellant to inspect the bag. It was noticeable that there was no suggestion by the defence that the appellant had enquired from the person who handed the two boxes to him or such a suggestion was made to any of the prosecution's witnesses of the contents. He was in a position to examine the contents of the bag entrusted by that Faruk before it was checked in but failed to do so. He was clearly guilty of wilful blindness (see Hoh Bon Tong v. PP [2010] 5 CLJ 240 CA and PP v. Amil Akmad [2007] 4 CLJ 688; [2007] 5 MLJ 561 CA). In Hoh Bon Tong v. PP (supra ) when discussing this defence held that:

The defence of innocent carrier must necessarily bring into the picture the concept of wilful blindness. And according to Yong Pung How CJ (Singapore) in Public Prosecutor v. Hla Win [1995] 2 SLR 424 (at p. 438), "the concept of wilful blindness qualifies the requirement of knowledge". And His Lordship continued further by saying (at the same page):

As Professor Glanville Williams aptly remarked in his Texbook on Criminal Law, at p. 125:

... the strict requirement of knowledge is qualified by the doctrine of wilful blindness. This is meant to deal with those whose philosophy is: 'Where ignorance is bliss, 'tis folly to be wise'. To argue away inconvenient truth is a human failing. If a person deliberately 'shuts his eyes' to the obvious, because he 'doesn't want to know', he is taken to know'.

 Continuing at the same page, His Lordship said:

In Ubaka v. PP [1995] 1 SLR 267, the principles laid down in Warner v. Metropolitan Police Commissioner [1968] 2 All ER 356; [1968] 2 WLR 1303 and modified in Tan Ah Tee v. PP [1978] 1 LNS 193; [1980] 1 MLJ 49 were applied by the trial judge. In its grounds of judgment, this court quoted the following passage by the trial judge:

Ignorance is a defence when there is no reason for suspicion and no right and opportunity of examination, and ignorance simpliciter is not enough.”

Selanjutnya, dalam kes PP v Herlina Purnama Sari, supra, ditegaskan:

"46. Most of the cases where the concept was held to apply concerned cases in which the accused was asked to carry certain articles, or a package, or a bag, or to swallow certain items. In these circumstances, where the request to do any of those things mentioned would be such as would arouse the suspicion of a reasonable person as to the contents, it was upon the accused to make sufficient inquires so as to dispel or to set straight such suspicions. Should the accused not make any or any sufficient inquiries under those circumstances, the concept of wilful blindness would apply so as to fasten upon him or her the necessary knowledge as to the nature of those contents. In other words, if he deliberately 'shuts his eyes' to the obvious, because he 'doesn't want to know, 'he is taken to know."

[18] Dalam rayuan sekarang ini kami mendapati pembelaan responden tidak konsisten dengan ketiadaan pengetahuan tentang dadah dalam beg P40 yang dibawanya. Jika benar Amir itu wujud dan memberikan beg P40 di kawasan karusel dengan tiba-tiba seperti mana didakwa, responden seharusnya mempunyai syak yang tinggi akan permintaan Amir itu dan memeriksa dengan jitu berkenaan dengan barangan yang hendak dibawanya. Syak ini semestinya tertimbul kerana Amir dikatakan telah meminta responden supaya tidak berkomunikasi dan menghampiri dengannya di lapangan terbang Karachi, Pakistan dan juga lapangan terbang di Malaysia. Sedangkan dalam pesawat juga mereka duduk berjauhan. Ini menghairankan memandangkan Amir ini tidak dikenalinya dan dikatakan wakil dan abang kepada agen pekerjaannya iaitu Mustaq yang telah meminta Amir untuk menguruskan pekerjaan responden di kedai buku ayah mereka. Lebih menghairankan apabila responden dan Amir dikatakan hanya mendaftar sebuah bagasi setiap seorang tetapi semasa di karusel Amir dikatakan menunggu 2 lagi bagasi dan terus meminta responden membawa salah sebuah beg tersebut tanpa memberikan sebab kenapa dia harus menerima permintaan itu. Apa yang berlaku selepas itu seharusnya memperkuatkan lagi rasa syak apabila Amir memeriksa beg P40 sebelum memberikan kepada responden. Kenapa itu perlu dilakukan agak sukar untuk difikirkan secara munasabahnya. Responden pula dikatakan telah membuka beg tersebut tetapi bukan untuk memeriksa isi kandungan beg tersebut tetapi hanya untuk menentukan sama ada kunci beg yang diberikan oleh Amir berfungsi atau tidak. Dalam keadaan yang dibentangkan itu, tiada keterangan yang menunjukkan responden telah mengambil tindakan untuk melenyapkan syak tersebut. Responden telah dengan sengaja menutup matanya akan perkara yang nyata. Ini merupakan satu tindakan “wildful blindness” dan responden dianggap mengetahui kandungan beg P40 itu. Kami mendapati YA Hakim tersalah arah dirinya dengan menaikkan taraf pembelaan ignorance simpliciter kepada pembawa ikhlas. Ini bertentangan dengan prinsip perundangan yang digariskan dalam dua kes Mahkamah Persekutuan di atas.

[19] Selain itu, kami mendapati YA Hakim bicara melakukan kesilapan yang nyata apabila memutuskan bahawa beg P40 telah didaftar awal oleh Tanveer dalam penerbangan yang lain pada 22.3.2010 dan masih berada di kawasan karusel. Kami tidak menjumpai asas penemuan ini kerana tiada keterangan yang menunjukkan beg P40 itu berada di kawasan karusel itu. Responden (SD1) dalam keterangannya mengatakan beg P40 diambil oleh Amir dari karusel setelah diminta tunggu sebentar sementara Amir memungut 2 lagi bagasinya. Setelah diserahkan oleh Amir, responden dikatakan mengintai ke dalam beg tersebut dan ternampak beberapa buah buku dan pakaian. Dicatat lanjut bahawa kes responden ialah bagasi itu berkemungkinan dibawa oleh Amir dan berada dalam ruang bagasi pesawat. Kami perhatikan tidak menjadi kes responden bahawa Amir mengambil beg P40 yang berada di kawasan karusel itu. Oleh itu, dapatan YA Hakim bicara ternyata bertentangan dengan kes pendakwaan malahan kes responden sendiri.

[20] Tambahan lagi, dapatan YA Hakim itu tentang beg P40, dalam keadaan kes ini, amat tidak munasabah sama sekali. Tidak dinafikan tag P40A dijumpai di beg P40. Atas dasar itu, beg P40A dikatakan dipunyai dan didaftarkan atas nama seorang yang bernama Tanveer. Daripada flight manifest P77, P40A merupakan tag tanda beg yang didaftarkan bagi penerbangan P878 pada 13.2.2010. Dikatakan sehingga tarikh responden ditangkap iaitu 24.2.2010, beg P40 dengan P40A itu masih berada di kawasan karusel dan tidak dituntut oleh mana-mana orang. Ini bermakna beg P40 berada di kawasan karusel berkenaan selama 12 hari tanpa diambil atau dituntut oleh pihak berkuasa lapangan terbang iaitu MAS (rujuk keterangan SP6) atau mana-mana pihak. Tidak mungkin juga beg P40 itu berpusing-pusing selama 12 hari di karusel sehingga dipungut oleh Amir. Ini sukar untuk diterima akal. Adakah beg P40 sengaja ditinggalkan di situ, beg yang mengandungi jumlah dadah yang besar (4,189.7 gram), semata-mata menunggu kedatangan Amir bagi tujuan diberikan kepada responden? Selain itu, menurut keterangan SP6 (yang tidak dicabar) sesuatu beg yang didaftar masuk tidak dimungkinkan boleh dinamakan atas nama orang lain dan tidak boleh daripada penerbangan yang berlainan, dan lebih memudaratkan jika beg itu bagi perjalanan pada tarikh yang berlainan. Ini tidak munasabah dan lebih bersifat fanciful. Dalam hal ini kami bersetuju dengan penghujahan TPR bahawa ini merupakan satu strategi untuk mengaburi mata pihak berkuasa. Walaupun strategi ini boleh dikatakan ingenious namun dalam keadaan kes ini strategi tersebut amat tidak munasabah. Pada hemat kami, fakta prima daripada keterangan SP6, yang tidak dicabar dan diterima oleh mahkamah rayuan terdahulu, mewajarkan satu inferens sahaja iaitu beg P40 dibawa sebagai hand carry luggage dan dibawa oleh responden dan bukan diberikan oleh Amir. Inferens selain itu lebih merupakan sesuatu yang fanciful.

[21] Kami juga berpendapat keraguan yang dikatakan ditimbulkan daripada tiga personaliti iaitu Mustaq, Amir dan Tanveer tidak diwajarkan dalam keadaan kes ini. Harus dicatatkan pertuduhan terhadap responden adalah atas dasar pemilikan dan bukan pemunyaan (ownership). Kami berpendapat tidak ada asas bagi YA Hakim bicara untuk membuat dapatan bahawa pendakwaan telah gagal membuat siasatan yang menyeluruh ke atas tiga personaliti tersebut dan mencipta kelompangan pada kes pendakwaan. Kami perhatikan maklumat yang diberikan tentang Amir, Mustaq dan Tanveer amat sedikit untuk dibuat turutan berkesan. Responden tidak mengenali Amir dan jauh sekali Tanveer. Mustaq pula berada di Pakistan. Lebih mengejutkan, semasa responden ditahan dan diperiksa, sepatutnya dia memaklumkan atau menunjukkan Amir yang dikatakan berada di belakangnya. Ini langsung tidak dilakukan. Pada kami ketiga-tiga personaliti di atas sengaja diwujudkan dan jika wujud sekalipun itu tidak memudaratkan kes pemilikan mens rea dan mengedar dadah berkenaan oleh responden. Diimbas kembali, Mahkamah Rayuan terdahulu telah memutuskan pendakwaan telah berjaya membuktikan satu kes prima facie terhadap responden. Bagi tujuan tersebut, pendakwaan semestinya didapati telah mengguna pakai anggapan di bawah s 37 (d) ADB 1952, dan perbuatan mengangkut dadah tersebut bagi tujuan pengedaran seperti mana ditakrifkan dalam s 2 ADB 1952. Atas dasar itu, undang-undang kini mantap bahawa beban pembuktian untuk mematahkan anggapan tersebut adalah ke atas responden dan atas imbangan kebarangkalian-rujuk Public Prosecutor v Badrulsham Bin Baharom [1988] 2 MLJ 585. Apabila YA Hakim bicara mengatakan terdapat banyaknya kelompangan disebabkan oleh tiga personaliti tersebut, dan pendakwaan telah gagal menjelaskan kelompangan tersebut, YA Hakim bicara bukan sahaja melanggar prinsip dalam kes Manimaran A/L Amas v PP supra, dan PP v Sulaiman Saidin, supra, malahan telah terkhilaf dalam menilai tentang beban ke atas responden untuk mematahkan anggapan s 37 (d) dan untuk menimbulkan keraguan munasabah ke atas kes pendakwaan. Kami juga berpendapat tiga isu yang dibangkitkan oleh YA Hakim bicara dan mempengaruhi keputusannya tidak diwajarkan dalam keadaan kes ini seperti mana yang telah kami huraikan di atas. Setelah dipertimbangkan keseluruhan keterangan dalam rekod, kami berpendapat responden telah gagal mengemukakan keterangan baru untuk mematahkan anggapan di bawah s 37 (d) ADB 1952, dan telah gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

[22] Berdasarkan alasan-alasan di atas, kami mendapati rayuan Pendakwa Raya mempunyai merit. Ekoran itu, kami membenarkan rayuan dan mengetepikan keputusan YA Hakim bicara yang melepaskan dan membebaskan responden. Setelah berpuas hati pendakwaan telah berjaya membuktikan kesnya terhadap responden tanpa keraguan yang munasabah dan kegagalan responden untuk menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan itu, kami mendapati responden bersalah dan disabitkan dengan kesalahan seperti mana dia dituduh. Dengan itu kami menjatuhi responden dengan hukuman mati mandatori.

t.t

ABDUL KARIM ABDUL JALIL
Hakim Mahkamah Rayuan

Tarikh: 22 Januari 2018

COUNSEL

Bagi pihak Perayu: Jasmee Hameeza Jaafar, Timbalan Pendakwa Raya, Jabatan Peguam Negara

Bagi pihak Responden: Dato’ Rajpal Singh (bersama Tiew Poh Nee), Tetuan Rajpal, Firah & Vishnu

Legislation referred to:

Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen-seksyen 2, 37(d), 37(da), 39B (1)(a), 39B(2)

Akta Keterangan 1950, Section 114(g)

Judgments referred to:

Alcontara a/l Ambross Anthony [1996] 1 CLJ 705

Choo ChangTeik & Anor v Public Prosecutor [1991] 3 MLJ 423

Manimaran a/l Amas v PP [2014] 1 LNS 1412; [2015] 1 MLJ 18

Mohamad Hasnizam Hussein v PP [2015] 1 LNS 433

Munuswamy Sundar Raj v Public Prosecutor [2015] 6 MLJ 214

Pendakwa Raya v Sulaiman bin Saidin [2010] 1 CLJ 184; [2010] 3 MLJ 383

PP v Herlina Purnama Sari [2017] 1 MLRA 499

PP v Sulaiman Saidin [2010] 1 CLJ 184

Public Prosecutor v Badrulsham Bin Baharom [1988] 2 MLJ 585

Notice: The Promoters of Malaysian Judgments acknowledge the permission granted by the relevant official/ original source for the reproduction of the above/ attached materials. You shall not reproduce the above/ attached materials in whole or in part without the prior written consent of the Promoters and/or the original/ official source. Neither the Promoters nor the official/ original source will be liable for any loss, injury, claim, liability, or damage caused directly, indirectly or incidentally to errors in or omissions from the above/ attached materials. The Promoters and the official/ original source also disclaim and exclude all liabilities in respect of anything done or omitted to be done in reliance upon the whole or any part of the above/attached materials. The access to, and the use of, Malaysian Judgments and contents herein are subject to the Terms of Use.