THE OFFICIAL REPOSITORY OF
MALAYSIAN JUDGMENTS & RULINGS

[2018] MYCA 288 MALAY

Pendakwa Raya v Herman Bin Basri
Suit Number: Rayuan Jenayah No. W-05(LB)-159-04/2016  

Criminal law – Trafficking in dangerous drugs – Acquittal – Appeal by the prosecution

Criminal procedure – Whether the trial judge failed to consider the whole of the prosecution's evidence – Whether the trial judge erred in finding that the respondent has succeeded in raising reasonable doubts over the prosecution case

PENGHAKIMAN

Mukadimah

[1] Ini ialah rayuan Pendakwa Raya terhadap keputusan dan perintah Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (hakim bicara) yang telah melepas dan membebaskan tertuduh Herman bin Basri (responden di sini) daripada tuduhan memperedarkan dadah berbahaya jenis Kanabis seberat 872 gram.

[2] Terkilan dengan keputusan hakim bicara itu, pihak Pendakwa Raya telah mengemukakan rayuan ini dan setelah kami mendengar dan meneliti penghujahan kedua-dua pihak, kami sebulat suara mendapati rayuan pendakwa raya mempunyai merit. Ekoran itu, kami telah mengetepikan keputusan hakim bicara, mensabitkan responden atas kesalahan yang dituduh dan menjatuhkan hukuman gantung mandatori. Berikut ialah alasan-alasan kami memutuskan sedemikian.

Latar Belakang

[3] Responden telah didakwa dan dibicarakan dengan pertuduhan seperti yang berikut:

"Bahawa kamu pada 11 Februari 2014, jam lebih kurang 3.30 petang di hadapan Restoren Ali Maju, Jalan Rampai Niaga, Setapak Jaya, Wangsa Maju di dalam daerah Sentul di dalam Bandar raya Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan telah mengedar dadah berbahaya iaitu dadah Cannabis yang berat bersih ialah 872 gram. Oleh yang demikian, kamu telah melakukan satu kesalahan di bawah seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah seksyen 39B(2) Akta yang sama.”

[4] Pada 11.2.2014, lebih kurang pukul 3.30 petang, Sub Inspektor Mahmood bin Nor (SP3) bersama pasukannya telah menahan sebuah motosikal skuter bernombor pendaftaran WYD 1164 yang ditunggang oleh responden bersendirian di hadapan Restoran Ali Maju, Jalan Rampai Niaga, Setapak Jaya, Sentul.

[5] Pemeriksaan fizikal terhadap responden tidak menjumpai apa-apa barang salah. Bagaimanapun setelah memeriksa motosikal berkenaan, SP3 menemukan satu beg kain berwarna ungu bertulisan “Solight” pada tempat letak kaki skuter itu. SP3 kemudiannya mengambil beg kain tersebut, membukanya di hadapan responden dan mendapati di dalamnya mengandungi satu ketulan mampat disyaki ganja. SP3 turut juga merampas sebuah telefon bimbit berjenama ‘Samsung’ berwarna hitam daripada responden. Responden ketika itu dalam keadaan terkejut dan cuba melarikan diri tetapi berjaya ditangkap setelah berlaku sedikit pergelutan. Responden dan barang kes seterusnya dibawa ke Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Inspektor Ravindran a/l Krishnan (SP6).

[6] Pada 14.2.2014, SP6 telah menghantar barang kes tersebut ke Jabatan Kimia untuk dianalisis. Analisis dijalankan oleh ahli kimia Puan Suhana bt Ismail (SP8) yang mengesahkan bahawa ketulan mampat tersebut ialah dadah berbahaya jenis Kanabis seberat 872 gram.

Dapatan Hakim Bicara Di Akhir Kes Pendakwaan

[7] Setelah membuat penilaian keterangan pendakwaan secara maksimum, dan setelah merujuk kes-kes: PP v Denish a/l Madhavan [2009] 2 CLJ 2009; Chan Pean Leon v PP [1956] MLJ 237; Ramis a/l Muniandy v PP [2001] 3 SLR 534; PP v Abdul Rahman Akif [2007] 4 CLJ 337; dan, Ibrahim Mohamad v PP [2011] 4 CLJ 113, hakim bicara memutuskan:

[23] Dalam kes ini, keterangan utama yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan adalah melalui pegawai dan anggota serbuan iaitu SP3 dan SP4 iaitu seperti berikut:-

(i) Tertuduh ditahan ketika menunggang motorsikal (sic) bersendirian di hadapan Restoran Ali Maju, Jalan Rampai Niaga, Setapak Jaya, Sentul.

(ii) Semasa ditahan tertuduh cuba melarikan diri tetapi dapat ditangkap oleh anggota seruan.

(iii) 1 beg kain yang mengandungi dadah ditemui di tempat letak kaki skuter motorsikal (sic) yang ditunggang oleh tertuduh.

[24] Berdasarkan keterangan ini, tertuduh didapati mempunyai kawalan dan jagaan terhadap beg kain yang mengandungi dadah tersebut. Inferen (sic) juga dapat dibuat bahawa tertuduh mempunyai pengetahuan terhadap dadah berkenaan apabila tertuduh cuba melarikan diri apabila ditahan oleh pihak polis di hadapan Restoran Ali Maju tersebut. Oleh itu elemen “milikan” terhadap dadah berkenaan oleh tertuduh telah dibuktikan oleh pihak pendakwaan.

[25] Seterusnya apabila “milikan” telah dibuktikan dan jumlah dadah cannabis dalam kes ini adalah 872 gram, maka anggapan di bawah seksyen 37(da) adalah terpakai iaitu anggapannya adalah tertuduh mengedar dadah cannabis tersebut.”

[8] Selanjutnya, mengenai isu-isu yang berbangkit tentang identiti dadah dan kegagalan memanggil Basiron serta pemakaian anggapan di bawah s. 114(g) Akta Keterangan 1950, hakim bicara mendapati tidak ada keraguan berhubung identiti dadah dalam kes ini. Dadah kanabis yang dirampas ialah dadah yang sama dianalisis oleh ahli kimia SP8. SP8 mengesahkan dadah itu ialah kanabis seperti ditakrifkan di bawah seksyen 2, Akta Dadah Berbahaya 1952. Manakala mengenai kegagalan memanggil Basiron, hakim bicara mendapati dia bukan seorang saksi yang penting kepada pihak pendakwaan dan lantaran itu, ketiadaan saksi ini tidak mencipta apa-apa kelompangan atau menjejaskan naratif kes pendakwaan. Dalam keadaan tersebut, anggapan di bawah seksyen 114(g) tidak terpakai terhadap pendakwaan. Dengan itu, responden telah diarahkan untuk membela dirinya.

Kes Pembelaan

[9] Responden telah memberikan keterangan secara bersumpah. Teras pembelaan responden ialah dia telah diperangkap dan tidak langsung mempunyai apa-apa pengetahuan mengenai beg berwarna ungu (P10 dan P11) yang kononnya ditemukan di tempat letak kaki motosikal yang ditungganginya.

[10] Sari pati pembelaan responden mendedahkan: Pada hari kejadian, lebih kurang pukul 10.00-10.30 pagi responden telah menghantar isterinya, Sarini bt. Wari (SP5) ke tempat kerja isterinya di Suria KLCC dengan menunggang motosikal kepunyaan SP5.

[11] Selepas menghantar SP5 dan semasa masih berada di atas motosikal, responden ada menerima lebih kurang 3 panggilan telefon yang tidak sempat dijawabnya. Namun apabila memasuki Taman Melati, responden telah menerima dan menjawab panggilan telefon daripada kawannya yang dipanggil sebagai ‘Buyut’. Buyut telah meminta bantuan responden untuk mengambil seorang kawannya di hadapan Hong Leong Bank, Taman Sri Rampai.

[12] Bersetuju, responden telah pergi dan berjumpa dengan kawan Buyut bernama ‘Basiron’ di hadapan bank tersebut. Basiron telah mengajak responden untuk minum di Restoran Ali Maju, Sri Rampai Setapak. Mereka ke sana dengan menunggang motosikal responden dan setiba di hadapan restoran tersebut, responden telah memberhentikan motosikalnya. Basiron pula turun dan memaklumkan dia hendak ke hadapan dan menyuruh responden menunggu sekejap. Bagaimanapun, responden tidak tahu Basiron hendak ke mana. Setelah menunggu lebih kurang 20 minit, responden telah cuba menelefon Basiron tetapi tidak dijawab.

[13] Responden kemudian mula mengerakkan motosikalnya ke hadapan tetapi dengan tiba-tiba sebuah motosikal yang ditunggang oleh seorang lelaki India telah melanggar motosikalnya dari arah belakang dan menyebabkan kedua-dua motosikal terjatuh ke atas jalan raya. Lelaki India tersebut kemudiannya telah memeluk responden sambil menunjukkan kad kuasa polis.

[14] Selepas itu, sebuah kereta Proton Waja datang ke tempat tersebut dan responden dibawa masuk ke dalam kereta itu. Responden melihat ‘Basiron’ (bergari) dan juga seorang lelaki India sudah berada di dalam kereta itu.

[15] Semasa di dalam kereta, responden bertanya kepada pihak polis mengapakah dia ditangkap dan seorang anggota polis menunjukkan, dari luar tingkap kereta Proton Waja tersebut, satu beg kain yang kemudiannya dimaklumkan berisi dadah. Responden menegaskan dia tidak pernah melihat beg kain berkenaan sebelum itu.

[16] Selepas itu, responden telah dibawa ke balai polis. Pada pukul 7.00 malam, responden telah memandu arah pihak polis ke rumah Buyut di Taman Melati namun didapati rumah tersebut berkunci dan tiada berpenghuni.

[17] Responden menafikan beg kain berisi dadah tersebut dijumpai oleh pihak polis pada motosikal yang ditungganginya.

[18] SD2, Zainal Abidin bin Zahiruddin, rakan responden, pula memberikan keterangan bahawa dia telah mengenali responden sejak 18 tahun yang lalu. SD2 juga mengenali Buyut yang tinggal di kawasan kejiranan yang sama lebih kurang 2 tahun tetapi tidak mengetahui latar belakang dan nama penuh Buyut. SD2 hanya mengenali Buyut sebagai seorang pemandu teksi dan berumur lebih kurang 38 tahun. Dia cuba mencari Buyut tetapi gagal dikesan selepas responden ditangkap.

Dapatan Di Akhir Kes Pembelaan

[19] Di akhir perbicaraan, hakim bicara mendapati responden telah berjaya membangkitkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan dan telah juga mematahkan anggapan di bawah s. 37(da) ADB 52. Dengan itu, responden telah dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan.

Rayuan Ini

[20] Dalam rayuan ini Timbalan Pendakwa Raya yang terpelajar (TPR) telah memberikan tekanan kepada dua isu utama yang berikut dalam mencabar keputusan hakim bicara iaitu:

(a) hakim bicara telah khilaf dari segi fakta dan undang-undang apabila gagal mempertimbangkan keseluruhan keterangan pihak pendakwaan yang sememangnya telah berjaya membentuk inti pati pertuduhan sekali gus berjaya membuktikan suatu kes prima facie terhadap responden; dan

(b) hakim bicara telah khilaf dari segi fakta dan undang-undang apabila memutuskan bahawa pembelaan responden telah berjaya menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan sedangkan keterangan saksi-saksi dan dokumentar secara maksimum menunjukkan sebaliknya.

[21] TPR menghujahkan bahawa hakim bicara telah gagal membuat penilaian dan menimbangkan keseluruhan keterangan yang menunjukkan responden sememangnya mempunyai jagaan, kawalan, dan pengetahuan terhadap dadah yang dirampas dari dalam beg kain berwarna ungu yang mempunyai tulisan “Solight” itu. Hakim bicara juga memutuskan karakter lain seperti “Basiron” dan “Buyut” mungkin terlibat dalam jual beli dadah tersebut sedangkan fakta jelas menunjukkan tidak ada keperluan undang-undang untuk menentukan empunya (ownership) dadah tersebut kerana dadah-dadah yang dijumpai sememangnya berada dalam jagaan dan kawalan lantas milikan responden ketika ditahan. Kehadiran saksi “Basiron” dan “Buyut” juga tidak diperlukan dan tidak relevan bagi kes ini kerana responden ditangkap berseorangan bersama dadah tersebut. Berdasarkan fakta yang dibentangkan, jelas hakim bicara telah tersalah arah dirinya dalam melepaskan dan membebaskan responden.

[22] Peguam terpelajar bagi pihak responden pula menegaskan hakim bicara telah membuat keputusan yang wajar dan tepat setelah mendengar pembelaan responden. Pembelaan responden jelas telah membangkitkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan. Teras pembelaan responden ialah dia tidak mempunyai sebarang pengetahuan berkenaan beg tersebut, apatah lagi mempunyai apa-apa pengetahuan mengenai dadah yang ditemukan di dalam beg berwarna ungu tersebut. Selain itu, kegagalan pihak pendakwaan memanggil “Basiron” dan “Buyut” telah menimbulkan kelompangan pada kes pendakwaan. Peguam responden juga menambah bahawa keraguan munasabah telah ditimbulkan terhadap pergerakan barang kes dadah dan terdapatnya isu berkenaan perbezaan berat dadah. Perkara ini telah menyebabkan putusnya rantaian keterangan mengenai dadah berkenaan. Oleh itu, keputusan hakim bicara adalah betul dan harus dipertahankan.

Keputusan Kami

[23] Kami akan mempertimbangkan kedua-dua isu tersebut bersekali kerana isu tersebut saling berkait. Sebelum itu, peguam terpelajar mengingatkan kami bahawa mahkamah ini seharusnya mengelak daripada menyentuh berkenaan isu dapatan fakta oleh hakim bicara melainkan terdapat sebab-sebab yang kuat atau mendesak (compelling) untuk tidak bersetuju dengan dapatan tersebut. Kami sedia maklum undang-undang kini telah mantap bahawa mahkamah rayuan, seperti juga mahkamah bicara, berkewajiban (duty bound) untuk menguji keterangan, secara langsung atau tidak langsung, dan untuk mempertimbangkan keseluruhan keadaan kes dengan teliti (thoroughly). Dalam menjalankan kewajiban tersebut, mahkamah rayuan dibenarkan untuk menggantikan dapatan mahkamah bicara dengan dapatan mereka hanya jika mereka membuat kesimpulan yang berlainan atas penilaian semula keterangan jika kesimpulan yang dibuat oleh mahkamah bicara itu ternyata salah (perverse) atau tidak berasaskan keterangan. Saranan mantap ini diperjelaskan dalam kes Dato' Seri Anwar Ibrahim v PP & Another Appeal [2004] 3 CLJ 737 (MP), di ms 752 seperti yang berikut:

Clearly, an appellate court does not and should not put a brake and not going any further the moment it sees that the trial judge says that that is his finding of facts. It should go further and examine the evidence and the circumstances under which that finding is made to see whether, to borrow the words of HT Ong (CJ Malaya) in Herchun Singh's case(supra) "there are substantial and compelling reasons for disagreeing with the finding". Otherwise, no judgment would ever be reversed on question of fact and the provision of s. 87 CJA 1964 that an appeal may lie not only on a question of law but also on a question of fact or on a question of mixed fact and law would be meaningless.”

[24] Bersandarkan prinsip di atas serta isu yang dibangkitkan oleh kedua-dua pihak, kami sekarang akan menilai dan meneliti keterangan dalam rekod untuk memastikan sama ada keputusan hakim bicara itu diwajarkan, atau adanya alasan yang kuat dan mendesak untuk kami memutuskan sebaliknya.

[25] TPR mengatakan hakim bicara telah dengan betul membuat dapatan bahawa pendakwaan telah berjaya membuktikan satu kes prima facie di akhir kes pendakwaan. Bagaimanapun ditegaskan hakim bicara telah tersalah arah dirinya dan lantas terkhilaf apabila memutuskan bahawa responden telah berjaya menimbulkan keraguan mengenai pemilikan beg serta pengetahuan akan dadah di dalam beg tersebut dan seterusnya berjaya mematahkan anggapan di bawah s. 37(da) ADB 1952 atas imbangan kebarangkalian. Ini dihujahkan amat bertentangan dengan dapatan prima facie yang awalnya dibuat, dan pergantungan pada keterangan SP5 yang dikatakan disokong oleh SD2, SP3 dan SP4 mengenai ketiadaan beg berkenaan di tempat letak kaki motosikal yang ditunggang responden dan kewujudan Basiron dan Buyut, ternyata salah, tidak berasas dan bertentangan dengan keterangan yang dikemukakan dan diterima oleh hakim bicara. Dengan itu, campur tangan mahkamah ini diwajarkan.

[26] Kami bersetuju dengan penghujahan TPR mengenai ketepatan dapatan hakim bicara di akhir kes pendakwaan itu. Untuk membuktikan pengedaran dengan bergantung pada anggapan pengedaran di bawah s. 37(da)(vi) ADB 1952 yang timbul daripada pemilikan jumlah sebanyak 200 gram atau lebih kanabis, di sini 872 gram, pendakwaan hendaklah membuktikan responden mempunyai pemilikan dengan mens rea dadah kanabis tersebut. Bagi tujuan pembuktian pengetahuan itu pula, pendakwaan perlulah bergantung pada keterangan untuk membuat penemuan positif berkenaan dengan elemen pengetahuan selaras dengan larangan anggapan bertindan iaitu pemakaian anggapan s. 37(d), yang diputuskan oleh kes Muhammed Hassan v PP [1998] 2 CLJ 170.

[27] Selaras dengan kehendak peruntukan s. 180 KPJ sepertimana yang dijelaskan dalam kes PP v Mohd. Radzi Abu Bakar [2006] 1 CLJ 457 dan pemakaian konsep penilaian maksimum, termasuk penilaian ke atas kebolehpercayaan saksi-saksi pendakwaan, hakim bicara telah dengan betul membuat dapatan positif (positif finding) tentang jagaan, kawalan dan lantas milikan ke atas P10 dan P11 (beg berkenaan) yang mengandungi dadah kanabis berkenaan. Dapatan tersebut dibuat susulan penerimaan keterangan saksi-saksi utama pendakwaan iaitu SP3 dan SP4 yang membuktikan: responden ditahan ketika menunggang motosikal bersendirian di hadapan Restoran Ali Maju, Jalan Rampai Niaga, Setapak Jaya, Sentul; semasa ditahan responden cuba melarikan diri tetapi dapat ditangkap oleh anggota serbuan; dan, beg berkenaan yang mengandungi dadah kanabis itu ditemui di tempat letak kaki motosikal skuter yang ditunggang oleh responden. Tentang pengetahuan pula, hakikat penemuan beg berkenaan yang mengandungi dadah atas tempat letak kaki motosikal yang ditunggang oleh responden sendirian itu dan telah berlakunya pergelutan dalam cubaan untuk melarikan diri setelah pihak polis memperkenalkan diri mereka, mewajarkan inferens bahawa responden mempunyai pengetahuan akan dadah yang dibawanya itu. Lagipun, perlakuan tersebut termasuk dalam jaringan kerelevanan di bawah peruntukan s. 8 dan s. 9, Akta Keterangan 1950 sepertimana yang diperjelaskan dalam Parlan Dadeh v PP (2009) 1 CLJ 717. Responden perlu menjelaskan kedudukan tersebut. Selanjutnya, mengguna pakai prinsip dalam kes Ramis a/l Muniandy v PP (supra), PP v Abdul Rahman Akif (supra), dan, Ibrahim Mohamad v PP (supra), responden dikehendaki memberikan penjelasan mengenai pemilikan beg berkenaan dan kandungannya. Ini telah dipertimbangkan oleh hakim bicara dengan betul. Tambahan lagi, hakim bicara juga telah, secara mantap, mengetepikan isu tentang identiti dadah yang meragukan serta permohonan pemakaian anggapan bertentangan di bawah s. 114(g) Akta Keterangan 1950 atas kegagalan memanggil Basiron. Setelah menilai keterangan dalam rekod dan keadaan fakta di atas secara tuntas, kami mendapati dan bersetuju dengan hakim bicara bahawa tiadanya kelompangan dalam kes pendakwaan dan pendakwaan telah berjaya membuktikan satu kes prima facie terhadap responden.

[28] Isu berkenaan dapatan hakim bicara di akhir perbicaraan menarik perhatian kami dan menjadi isu penting yang mempunyai implikasi kritikal dalam rayuan ini. Bagi tujuan tersebut, sesuai kiranya kami membentangkan kembali dapatan tersebut di sini iaitu ms 30 et seq: RR: Jilid 1:

[48] Kembali kepada kes pihak pembelaan, tertuduh pada asasnya memberi pembelaan bahawa beg kain yang berisi dadah tersebut tidak pernah dilihatnya sehingga ditunjukkan oleh seorang anggota serbuan di tingkap cermin kereta Proton Waja setelah tertuduh ditangkap. Tertuduh menjelaskan bahawa tertuduh tidak ada membawa beg kain berisi dadah tersebut pada motorsikal yang dibawanya pada hari kejadian.

[49] Keterangan tertuduh ini bertentangan dengan keterangan anggota serbuan iaitu SP3 dan SP4. Walau bagaimana pun, apabila diteliti keterangan saksi pendakwaan SP5, iaitu isteri tertuduh, SP5 ada menyatakan bahawa pada hari kejadian, semasa tertuduh menghantar SP5 ke tempat kerja SP5 di Suria KLCC dengan motorsikal SP5, SP5 tidak melihat apa-apa bungkusan.

[50] Jika diteliti beg kain berisi dadah ini, ianya adalah sebuah beg yang agak besar dan berisi dadah ganja hampir 1 kilogram iaitu berat kasarnya 885.25 gram. Selain itu beg kain ini berwarna unggu iaitu satu warna yang terang seperti dilihat di mahkamah iaitu ekshibit P10 dan pada gambar P6. Oleh itu sekiranya beg P10 ini ada pada tempat letak kaki di motorsikal berkenaan, adalah suatu inferen yang munasabah bahawa SP5 dapat melihat beg kain tersebut. Tambahan pula tempoh masa tertuduh membawa SP5 dari rumah mereka di Bandar Baru Ampang ke Suria KLCC adalah tempoh yang mencukupi untuk SP5 mengetahui kewujudan beg kain berkenaan. Jelasnya semasa pemeriksaan utama, SP5 telah memberi keterangan bahawa SP5 tidak melihat apa-apa bungkusan pada hari tersebut. Keterangan SP5 ini menyokong keterangan tertuduh yang menyatakan tidak ada membawa beg kain berisi dadah pada motorsikal yang dibawanya itu pada hari kejadian.

[51] Selain itu, keterangan juga menunjukkan selepas tertuduh menghantar SP5 di Suria KLCC, tertuduh terus berjumpa Basiron setelah diminta oleh ‘Buyut’ dan kemudian membawa Basiron ke Restoran Ali Maju di mana kemudiannya tertuduh ditangkap dan beg kain berisi dadah dikatakan ditemui pada tempat letak kaki motorsikal berkenaan. Di sini, tiada apa-apa keterangan yang menunjukkan tertuduh ada singgah di mana-mana sebelum tertuduh ditahan polis bagi menunjukkan kemungkinan beg kain berisi dadah tersebut diambil oleh tertuduh di tempat lain selepas menghantar SP5 ke tempat kerjanya. Oleh itu keterangan SP5 yang tidak melihat apa-apa bungkusan pada motorsikal berkenaan pada hari tersebut adalah relevan bagi kes pembelaan.

[52] Selain itu, watak ‘Basiron’ yang disebut oleh tertuduh adalah satu watak yang benar-benar wujud dan diakui oleh saksi-saksi pendakwaan. SP4 sendiri iaitu anggota serbuan, mengesahkan bahawa SP4 tidak mengenali tertuduh tetapi ‘Basiron’ yang menunjukkan tertuduh kepada SP4 semasa hari kejadian. Dalam keterangan SP4 dinyatakan:-

“S: Kamu tidak kenal OKT tapi ditunjukkan oleh Basiron.

J: Ya.”

[53] SP3 juga mengesahkan telah menangkap ‘Basiron’ pada hari tersebut dan ‘Basiron’ ada di dalam kereta Proton Waja ketika tertuduh ditangkap.

[54] Keterangan SP3 dan SP4 mengenai ‘Basiron’ ini bersesuaian dengan penjelasan tertuduh mengenai kewujudan ‘Basiron’ di mana atas permintaan ‘Buyut’, tertuduh telah menjemput ‘Basiron’ di hadapan Hong Leong Bank dan atas permintaan Basiron, tertuduh telah membawa ‘Basiron’ ke Restoran Ali Maju berkenaan. Seterusnya ‘Basiron’ telah pergi dari motorsikal yang dipandu tertuduh selama lebih kurang 20 minit dan tidak muncul-muncul sehinggalah tertuduh melihat ‘Basiron’ dalam keadaan bergari dalam sebuah kereta Proton Waja.

[55] Selain itu, kewujudan watak ‘Buyut’ yang menelefon tertuduh untuk mengambil ‘Basiron’ juga disokong dengan keterangan SD2 yang mengenali ‘Buyut’ hampir 2 tahun dan mengetahui ‘Buyut’ yang berumur 38 tahun serta bekerja sebagai pemandu teksi. SD2 juga pernah makan dan minum dengan ‘Buyut’ bersama-sama tertuduh. SD2 juga cuba mengesan ‘Buyut’ selepas tertuduh ditangkap tetapi gagal.

[56] Di sini, keterangan tertuduh bahawa pada hari kejadian ‘Buyut’ menelefon tertuduh dan meminta tertuduh mengambil ‘Basiron’ bukan suatu yang boleh dianggap sebagai rekaan. Lebih-lebih lagi pihak polis tidak menyiasat atau mengemukakan keterangan berkaitan telefon tertuduh yang dirampas bahawa tiada panggilan dibuat kepada telefon bimbit tertuduh dalam tempoh yang dikatakan oleh tertuduh tersebut.

[57] Saya juga mengambil maklum bahawa SP5 iaitu isteri tertuduh dan SD2 iaitu rakan tertuduh sejak kecil adalah saksi-saksi yang boleh dihujahkan sebagai saksi yang berkepentingan. Walau bagaimana pun, ini tidak bermakna keterangan mereka tidak boleh diterima oleh mahkamah dan lebih-lebih lagi SP5 adalah saksi yang dibawa oleh pihak pendakwaan. Dalam kes Balasingham v PP [1959] 1 MLJ 193 di mukasurat 194 dinyatakan:-

“After all there is no legal presumption that an interested witness should not be believed. He is entitled to credence until cogent reasons for disbelief can be advanced in the light of evidence to the contrary and the surrounding circumstances.”

[58] Bagi kes ini tiada sebarang alasan kukuh untuk saya tidak menerima keterangan SP5 dan SD2.

[59] Disamping itu juga, tertuduh dalam keterangannya menyatakan bahawa semasa di hadapan Restoran Ali Maju, motorsikal yang dibawa oleh tertuduh dilanggar oleh sebuah motorsikal yang kemudiannya diketahui dipandu oleh seorang anggota polis. Berhubung perkara ini, jika dilihat gambar motorsikal di P6(8), ada dilihat kesan pada nombor plet motorsikal tersebut iaitu huruf ‘W’ yang sebahagiannya tertanggal.”

[29] Setelah kami menghalusi dan membelek-belek alasan penghakiman tersebut dengan keterangan dalam rekod, kami mendapati banyak kelemahan serius dalam dapatan tersebut. Kami mendapati hakim bicara telah mengetepikan fakta primer yang ditemuinya di akhir kes pendakwaan hanya dengan penafian semata (mere denial) oleh responden. Diperhatikan hakim bicara menerima dalih responden bahawa dia tidak tahu menahu tentang beg berkenaan di sepanjang masa dan hanya mengetahui tentang beg itu apabila ditunjukkan oleh polis selepas dia ditangkap dari luar kereta semasa dia berada di dalam kereta. Penerimaan ini kononnya disokong oleh keterangan SP5, saksi pendakwaan yang mengatakan dia tidak pernah nampak atau melihat beg tersebut semasa dia dihantar ke tempat kerjanya oleh responden. Selanjutnya, kewujudan Basiron dan Buyut yang disokong oleh SD2 dan tidak dinafikan oleh saksi-saksi pendakwaan memberikan credence kepada dalih responden. Tambahan lagi, kerosakan yang kecil pada nombor plat “W” memberangsangkan lagi dalih tersebut. Secara asasnya, inilah alasan-alasan hakim bicara dalam membuat dapatan tentang keraguan munasabah yang berjaya ditimbulkan oleh responden.

[30] Pada hemat kami alasan hakim bicara itu dibuat secara simplistik (simpliciter). Mengenai keterangan SP5 itu, apa yang jelas ialah keterangannya hanyalah setakat masa sebelum pukul 10.30 pagi atau 11.00 pagi. Harus dicatatkan responden dilihat dan ditangkap pada pukul 3.30 petang di hadapan Restoran Ali Maju. Ini tidak dicabar langsung. SP5 tidak tahu langsung apa yang berlaku selepas itu. Hakim bicara mengatakan pihak pendakwaan tidak dapat membuktikan apa yang berlaku antara masa itu. Adakah itu beban dan tanggungjawab pendakwaan? Kami mendapati pandangan hakim bicara itu amat bertentangan dengan prinsip kes Ramis a/l Muniandy v PP (supra) dan PP v Abdul Rahman Akif (supra) yang beliau sendiri rujuk dan sandar dalam membuat dapatan di akhir kes pendakwaan. Bukan itu sahaja, penjelasan tentang perlakuan responden hanya sekadar penafian semata iaitu hal itu tidak berlaku, tanpa penjelasan yang munasabah sepertimana yang digariskan dalam kes Parlan Dadeh v PP (supra). Responden perlu menjelaskan apa yang berlaku antara 10.30 pagi hingga 3.30 petang. Namun responden hanya menyatakan sejurus menghantar SP5, dia telah menerima beberapa panggilan dan kemudian berhenti untuk menjawab panggilan daripada Buyut. Selepas itu dia pergi bertemu Basiron, dan menghala ke Restoran Ali Maju yang tidak jauh dari situ untuk minum. Apabila tiba di perkarangan Restoran itu, Basiron telah turun dan menuju ke hadapan. Selepas menunggu lebih kurang 20 minit, dia ditangkap pada pukul 3.30 petang itu. Semua itu berlaku dalam masa yang singkat selepas responden menghantar isterinya. Pada kami tiada langsung penjelasan yang nyata dan mencukupi untuk mengetepikan keterangan SP3 dan SP4, yang tidak berjaya dicabar malahan telah diterima oleh hakim bicara sebagai saksi yang boleh dipercayai. Kelompangan masa yang jauh jaraknya itu jelas tidak dapat dijelaskan oleh responden. Dalam keadaan di atas, pergantungan hanya pada keterangan SP5 itu untuk mengandaikan bahawa tiadanya beg berkenaan di sepanjang masa selepas itu merupakan satu tanggapan yang salah oleh hakim bicara dan tidak berdasarkan keterangan.

[31] Hakim bicara juga menyatakan kewujudan Basiron dan Buyut menyokong cerita responden. Kami sedikit bingung (buffled) di sini. Apakah sebenarnya pembelaan responden dan apakah peranan kedua-dua penama di atas dalam kes terhadap responden ini? Juga, apakah dapatan hakim bicara mengenai kaitan mereka berdua dengan kes terhadap responden? Demi mencari pencerahan, wajar dirujuk cadangan kes pembelaan di peringkat pendakwaan. Semasa diperiksa balas telah:

(a) Dicadangkan kepada SP3 (ms 49, RR: Jilid 2):

“PB: Arahan anakguam saya ialah beliau telah disuruh tunggu di situ oleh Basiron dan di dalam petrolcar, Basiron telah menghubungi beliau, setuju tidak setuju?

Sarjan, faham tak soalan saya? Kamu dah kata ada dua lelaki ditahan dalam petrolcar. Kamu ketua serbuan, so saya katakana (sic), saya mendapat arahan dia, Basiron telah menelefon dia, beliau telah bergerak dengan motor, nak cari Basiron, Sarjan Munusamy langgar, dan kamu datang. Itu saja saya cadangkan, setuju atau tidak setuju?

Saksi 3: Tidak setuju, Yang Arif.” (Tekanan kami)

Di muka surat 51 pula:

“PB: Kalau saya cadangkan di balai Sentul, Basiron telah menyatakan barang kes yang ada pada diri dia, ini tangkapan dia ni, dan beg ungu yang kamu dapat daripada motor anakguam saya yang dilanggar adalah milik seorang lagi lelaki bernama Buyut. Kami setuju

Saksi 3: Tidak setuju.” (Tekanan kami)

Selanjutnya, di muka surat 52, telah dicadangkan begini:

“PB: Arahan saya yang terakhir adalah bahawa barang beg warna ungu ni Basiron punya beg.

Saksi 3: Tidak setuju Yang Arif.” (Tekanan kami)

(b) Dicadangkan kepada SP4:

“PB: Setuju tak kalau saya cadangkan sebelum tangkapan, kamu dan juga anggota serbuan lain termasuk ketua serbuan Detektif S1 Mahmud bin Noh tidak mengenali anakguam saya. Kamu hanya cam dia dan menangkap dia apabila ditunjukkan dan apabila Basiron telefon dia.

Saksi 4: lya, Yang Arif.” (ms 63, RR: Jilid 2)

Juga, di muka surat 66:

“PB: Akhir sekali saya katakana (sic), barang ini bukan milik dia, bukan dia punya. Barang ni milik Basiron.

Saksi 4: Tidak setuju, Yang Arif.” (Tekanan kami)

(c) Dicadangkan kepada SP6 pula begini:

“PB: Saya cadangkan kalau kamu siasat dengan mendalam the actual traffical (sic) pengedar sebenar dadah ini adalah Basiron.

Saksi 6: Saya tidak setuju. (ms 89/90, RR: Jilid 2)

...

PB: Saya cadangkan kalau kamu siasat h/phone ini, tres (sic) incoming out going calls, terbukti Basiron ada menelefon dia sebelum dia ditangkap.

Saksi 6: Tidak pasti.

PB: Saya juga katakan, setuju atau pun tidak bahawa Basiron ini yang telah meletakkan barang di motorsikal Herman dan Basiron telah ditangkap sebelum dia boleh ambil dadah ni dan bagi kepada lelaki India yang ditangkap itu. Kamu siasat that angle tak?

Saksi 6: Boleh ulang tak soalan ini.

PB: Saya katakana (sic) bahawa Basiron telah telefon Herman. Basiron ini sebenarnya nak ambil barang ni dan bagi kepada lelaki India. Did you siasat that angle? Sebab tu saya katakana (sic) ada kaitan 3 orang ditangkap ni. Did you siasat that angle or not?

Saksi 6: Untuk makluman Yang Arif, Pasiron (sic) telah pun ditangkan (sic) terdahulu dan sebelum Basiron ditangkap, seorang lelaki India telah pun ditangkap terlebih dahulu. So kewujudan barang ini diletak oleh Basiron tidak sama sekali sebab dia telah pun ditangkap terlebih dahulu sebelum Herman bin Basri ditangkap.

...

PB: Ok, dengar rentetan soalan saya elok-elok ya. Dia di atas motor, barang ni, barang Basiron, barang ni milik Basiron. Basiron nak bagi pada orang lain. Bila polis tangkap dia, dia trap lah Herman. Itu je defence nya. Setuju tak setuju?

Mahkamah: Counsel, you ask question, don’t ... in his statement.

...

PB: Cadangan saya satu sahaja, Yang Arif. Setuju saya cadangkan bahawa Basiron telah memerangkap Herman.

Saksi 6: Saya tidak setuju.” (ms 90-92,RR: Jilid 2) (Tekanan kami)

Diperhatikan pembelaan meletakkan pelbagai cadangan yang bercelaru tentang bagaimana beg berkenaan dikatakan berada dengan responden tanpa mengetahui isi kandungan beg itu kerana: beg berkenaan sebenarnya empunya Buyut tetapi kemudiannya, dikatakan kepunyaan Basiron; Basiron meletakkan beg itu di motosikal responden dengan tujuan hendak diambil semula untuk diserahkan kepada seorang lelaki India; Basiron menelefon responden; Basiron merupakan pengedar sebenar, dan akhirnya, Basiron telah memerangkap responden.

[32] Namun, dalam keterangannya responden langsung tidak mengatakan sedemikian. Malahan responden menafikan tidak tahu langsung dan tidak pernah nampak beg berkenaan sehingga dia ditangkap dan ditunjukkan semasa berada di dalam kereta polis. Dicatatkan Buyut hanya menyuruh responden mengambil Basiron. Tiada langsung sebutan tentang apa-apa barangan. Begitu juga Basiron, tiada apa-apa keterangan dia ada membawa apa-apa barangan, dan jauh sekali meletakkan barangan di atas motor responden. Responden juga tidak pernah dalam keterangannya mengatakan Basiron ada memanggilnya sebelum dia ditangkap sepertimana yang dicadangkan kepada saksi-saksi pendakwaan. Responden juga dengan jelas mengatakan dia tidak mengenali Basiron, tetapi telah lama mengenali Buyut. Responden tidak di mana-mana juga dalam keterangannya menyatakan sama ada Buyut atau Basiron telah memerangkapnya walaupun ada mengajukan beberapa persoalan kepada Basiron, yang tidak dijawab, semasa di dalam kereta polis berkenaan. Jelasnya, pembelaan responden berdolak-dalik dan cuba menyisih dirinya sejauh yang boleh dengan beg berkenaan. Malahan di akhir pemeriksaan utamanya responden ada mengatakan bahawa beg berkenaan dijumpai di atas jalan tar pula setelah berlaku perlanggaran motosikalnya dengan motosikal SP4. (ms 145 RR: Jilid 2). Bagaimanapun, perundangan kini telah mantap bahawa empunya (ownership) bukan elemen pertuduhan dan tidak relevan di sini. Kalau empunya barang kes berkenaan menjadi elemen pertuduhan, kes-kes sebegini akan sentiasa gagal dibuktikan. Begitu juga dengan konsep pengedar sebenar tidak relevan di sini kerana konsep tersebut tidak diperuntukkan dalam ADB 1952 dan bukan merupakan dasar pertuduhan terhadap responden. Apa sebenarnya peranan Basiron, dan lebih-lebih lagi Buyut, amat kabur sekali dan gagal dikemukakan dengan keyakinan di pihak responden. Pada kami, responden tidak berkata benar di sini.

[33] Hakim bicara tidak mengambil kira kecelaruan dan tidak relevannya perkara tersebut. Apa yang diambil kira hanyalah kewujudan Basiron dan Buyut sudah memadai untuk menunjukkan cerita responden itu boleh diterima untuk menimbulkan keraguan munasabah. Semata-mata wujudnya kedua-dua penama tersebut tidak memadai untuk menyokong cerita responden tanpa adanya keterangan untuk membangkitkan fakta primer demi mewajarkan inferens responden tidak tahu menahu tentang beg berkenaan. Walaupun SP3, SP4 dan SP6 bersetuju kewujudan Basiron tetapi dia ditangkap mengenai kes lain dan tiada keterangan yang menunjukkan dia membawa dan meletakkan beg berkenaan atas tempat letak kaki motosikal responden. Tiada juga keterangan sama ada Basiron bermusuhan dengan responden. Tiada juga keterangan untuk membangkitkan fakta primer yang membolehkan hakim bicara membuat inferens bahawa Basiron atau Buyut atau kedua-dua mereka sengaja memerangkap dan menganiaya responden. Sekadar kewujudan mereka sahaja pada hemat kami tidak mencukupi untuk mengetepikan fakta primer yang ditemui dan dinilai secara maksimum di akhir kes pendakwaan. Pada kami hakim bicara telah membuat dapatannya berdasarkan tanggapan fakta yang salah (belaboured under misconception of facts) dan menyalah arah dirinya dengan tidak mengguna pakai prinsip undang-undang yang betul kepada keadaan kes ini. Dalam keadaan yang dinyatakan, kami dapati keraguan yang ditimbulkan lebih merupakan satu rekaan semata (imaginary doubt) dan tekaan sahaja (conjecture)-rujuk PP v Saimin & Ors (1971) 2 MLJ 16, dan Saminathan v PP (1955) 21 MLJ 121.

[34] Seperkara lagi, hakim bicara mendapati faktor tambahan daripada pecahan yang sedikit pada huruf “W” pada nombor plat belakang motosikal responden ie P6 (8) untuk menyokong pembelaan responden. Namun, perkara ini hanya ditimbulkan semasa pemeriksaan semula setelah diperiksa balas oleh TPR yang mengatakan tiada apa-apa pelanggaran berlaku antara motosikal SP4 dengan responden. Pada hemat kami, setelah kami meneliti P6 (8) dan keseluruhan keadaan kes ini, isu ini lebih merupakan satu tekaan dan agak-agakan sahaja. Utamanya, SP3, SP4 dan SP6 menafikan motosikal SP4 telah melanggar motosikal responden. Responden tidak menyentuh isu ini semasa memberikan keterangan utamanya malahan bersetuju, setelah ditanya oleh hakim bicara (ms 152, RR: Jilid 2), pelanggaran tersebut tidak kuat. Responden kemudiannya menyatakan tiadanya apa-apa calar pada motosikalnya kerana motosikal tersebut hanya jatuh di sebelah kiri dan tidak meleret setelah dilanggar. Pada kami, keterangan ini hanya difikirkan kemudian dan semata-mata hendak mengetepikan keterangan pendakwaan bahawa beg berkenaan ditemukan atas tempat letak kaki motosikal responden.

Kesimpulan

[35] Berdasarkan huraian di atas, kami berpendapat keputusan hakim bicara adalah salah (perverse) dan adanya, sepertimana ditunjukkan, alasan yang kukuh dan mendesak untuk mengetepikan dapatan tersebut. Tuntasnya, kami dapati hakim bicara dengan betul telah membuat dapatan pemilikan dengan pengetahuan akan dadah berkenaan serta pemakaian anggapan pengedaran di bawah s. 37(da) ADB 1952 di akhir kes pendakwaan. Namun di akhir kes, kami mendapati tiada keraguan yang munasabah telah berjaya ditimbulkan ke atas dapatan pemilikan dan pengetahuan tersebut oleh responden. Kami juga mendapati bahawa responden telah gagal, atas imbangan kebarangkalian iaitu dengan penolakan pembelaan sepertimana dihuraikan di atas, mematahkan anggapan pengedaran dadah berkenaan. Penafian semata-mata tidak mencukupi bukan sahaja untuk mematahkan anggapan s. 37(da) ADB 1952, malahan gagal juga untuk terjumlah kepada satu keraguan yang munasabah. Secara keseluruhannya, kami mendapati pendakwaan telah berjaya membuktikan pertuduhan terhadap responden tanpa keraguan yang munasabah. Oleh itu, kami mendapati responden bersalah, disabitkan dan menjatuhkan hukuman mati mandatori sepertimana yang diperuntukkan oleh undang-undang.

t.t

ABDUL KARIM BIN ABDUL JALIL
Hakim Mahkamah Rayuan

Tarikh: 4 September 2018

COUNSEL

Bagi pihak Perayu: Aslinda Ahad, Timbalan Pendakwa Raya, Jabatan Peguam Negara

Bagi pihak Responden: Hazman Ahmad, Tetuan Omar Ismail Hazman & Co

Legislation referred to:

Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen-seksyen 2, 37(d), 37(da), 37(da)(vi)

Akta Keterangan 1950, Seksyen-seksyen 8, 9, 114(g)

Judgments referred to:

Chan Pean Leon v PP [1956] MLJ 237

Dato' Seri Anwar Ibrahim v PP & Another Appeal [2004] 3 CLJ 737 (MP)

Ibrahim Mohamad v PP [2011] 4 CLJ 113

Muhammed Hassan v PP [1998] 2 CLJ 170

Parlan Dadeh v PP (2009) 1 CLJ 717

PP v Abdul Rahman Akif [2007] 4 CLJ 337

PP v Denish a/l Madhavan [2009] 2 CLJ 2009

PP v Mohd. Radzi Abu Bakar [2006] 1 CLJ 457

PP v Saimin & Ors (1971) 2 MLJ 16

Ramis a/l Muniandy v PP [2001] 3 SLR 534

Saminathan v PP (1955) 21 MLJ 121

Notice: The Promoters of Malaysian Judgments acknowledge the permission granted by the relevant official/ original source for the reproduction of the above/ attached materials. You shall not reproduce the above/ attached materials in whole or in part without the prior written consent of the Promoters and/or the original/ official source. Neither the Promoters nor the official/ original source will be liable for any loss, injury, claim, liability, or damage caused directly, indirectly or incidentally to errors in or omissions from the above/ attached materials. The Promoters and the official/ original source also disclaim and exclude all liabilities in respect of anything done or omitted to be done in reliance upon the whole or any part of the above/attached materials. The access to, and the use of, Malaysian Judgments and contents herein are subject to the Terms of Use.