THE OFFICIAL REPOSITORY OF
MALAYSIAN JUDGMENTS & RULINGS

[2018] MYCA 167 MALAY

Pendakwa Raya v Hasnee Bin Shahadan and 2 Others
Suit Number: Rayuan Jenayah No. J-05(LB)-36-01/2017 

Criminal law – Trafficking in dangerous drugs – Acquittal – Appeal by the prosecution

Criminal law – Whether the trial court erred in law and facts when it failed to take into account the evidence in respect of the role of the third respondent – Whether the trial court erred in accepting the defence version – Whether the trial court erred in holding the failure of the prosecution to produce a witness offered to the defence against the prosecution – Whether the trial court erred when it applied the presumption under section 114 (g) of the Evidence Act 1950

PENGHAKIMAN

Latarbelakang

[1] Pada asalnya Responden-Responden telah dituduh dan dibicarakan di Mahkamah Tinggi Muar dengan satu pertuduhan bagi kesalahan memperedarkan dadah berbahaya di bawah seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya, 1952 (‘Akta’) yang boleh membawa hukuman mati mandatori di bawah seksyen 39B(2) Akta yang sama. Pertuduhan terhadap Responden-Responden dibaca seperti berikut:

Pertuduhan Pertama:

"Bahawa kamu bersama-sama pada 2.3.2015 jam lebih kurang 11.45 malam, di hadapan Restoran Afiera Tom Yam, Jalan Muar-Batu Pahat, pekan Parit Yusof, di dalam daerah Muar, di dalam negeri Johor Darul Ta’zim, telah bagi mencapai niat bersama memperedar dadah berbahaya iaitu 4774.69 gram dadah jenis Cannabis, dengan itu kamu telah melakukan satu kesalahan di bawah seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah seksyen 39B(2) Akta yang sama dan dibaca bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan.”

[2] Di akhir perbicaraan, selepas mendengar pembelaan Responden-Responden, Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi (‘hakim bicara’) yang membicarakan kes telah melepas dan membebaskan mereka. Secara ringkasnya, hakim bicara mendapati bahawa pihak pembelaan telah berjaya menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pihak pendakwaan.

[3] Terkilan dengan keputusan hakim bicara tersebut, Pendakwa Raya telah memfailkan rayuan ke Mahkamah ini. Kami telah mendengar rayuan Pendakwa Raya pada 19.4.2018 dan kami telah menolak rayuan Pendakwa Raya. Kami dengan sebulat suara telah mengesahkan keputusan hakim bicara. Kami memperincikan sekarang alasan-alasan penolakan rayuan Perayu tersebut.

Kes Pendakwaan

[4] Keterangan ringkas kes pendakwaan sebagaimana dapatan oleh hakim bicara ialah seperti berikut:

(a) ASP Ahmad Syaari bin Ishak (SP5) telah memberikan taklimat kepada Lans Koperal Muhammad Syafiq bin Samiun (SP4) dan Detektif Koperal Normaisarah yang diarahkah untuk menjalankan tugas sebagai agent provocateur (AP), dalam satu urusan jual beli dadah jenis ganja sebanyak 5 ketulan dengan harga RM2,700.00 bagi setiap ketulan, di kawasan Muar dan Batu Pahat oleh lelaki Melayu dikenali sebagai Din dan Hasnee serta rakan mereka, hasil maklumat yang diterimanya daripada sumber. Dalam taklimat tersebut sumber turut hadir. SP4 akan berjumpa dengan sumber di kawasan tempat letak kereta Batu Pahat Mall, Batu Pahat untuk diperkenalkan kepada Din. SP5 juga telah menyerahkan wang berjumlah RM14,000.00 kepada Koperal Normaisarah untuk digunakan sebagai “wang tunjuk” dalam pembelian 5 ketulan dadah ganja tersebut;

(b) Selesai taklimat, SP4 bersama Koperal Normaisarah bergerak ke Batu Pahat dengan menaiki kenderaan pasukan yang tidak mempunyai lambang Polis Diraja Malaysia iaitu kereta Toyota Wish, dipandu sendiri oleh SP4. Sumber juga bergerak ke Batu Pahat menaiki kereta lain. SP5 yang mengetuai satu pasukan serbuan bersama 2 pasukan serbuan diketuai masing-masing oleh Inspektor Azrul dan Inspektor Mawardi turut bergerak ke Batu Pahat menaiki 3 kenderaan pasukan yang berasingan, mengekori kenderaan yang dinaiki SP4 dan Koperal Normaisarah serta kereta dinaiki sumber;

(c) Setibanya di kawasan tempat letak kereta Batu Pahat Mall, sumber memperkenalkan Din (Responden Kedua) kepada SP4. Responden Kedua menaiki kereta Proton Saga bersama seorang lelaki Melayu (Responden Ketiga) menuju ke Muar. SP4 bersama Koperal Normaisarah mengekori kereta yang dinaiki Responden Kedua dan Responden Ketiga hingga sampai di hadapan Restoran Afiera Tom Yam (‘Restoran tersebut’);

(d) Responden Kedua dan Responden Ketiga turun dari kereta Proton Saga dan pergi ke Restoran tersebut. SP4 dan Koperal Normaisarah juga turun dari kereta Toyota Wish dan pergi ke Restoran tersebut. Responden Kedua, Responden Ketiga dan SP4 duduk di satu meja di mana seorang lelaki Melayu telah berada di meja tersebut. Responden Kedua telah memperkenalkan lelaki Melayu tersebut yang bernama Hasnee (Responden Pertama) kepada SP4. Koperal Normaisarah duduk di satu meja lain. SP5 bersama pasukannya dan 2 pasukan serbuan lagi yang turut sampai di situ mengambil tempat masing-masing di sekitar kawasan Restoran tersebut. SP5 mengambil tempat di sebuah kedai yang terletak di seberang jalan bertentangan dengan Restoran tersebut;

(e) Berlaku perbincangan antara Responden Pertama dan Responden Kedua dengan SP4 tentang urusan jual beli dadah ganja di mana Responden Pertama menawarkan kepada SP4 sebanyak 5 ketulan dadah ganja dengan harga RM2,700.00 bagi setiap ketulan. Setelah SP4 bersetuju dan mahu melihat dadah ganja tersebut, Responden Pertama berkata “nak ambil bekalan dadah” dan menaiki kereta Proton Saga tersebut bersama Responden Kedua menuju ke arah Batu Pahat. SP4 tidak mengekori mereka, hanya menunggu di meja tersebut bersama Responden Ketiga;

(f) Lebih kurang 10 minit kemudian, Responden Pertama dan Responden Kedua turun dari kereta Proton Saga tersebut dan duduk semula di meja tersebut. Kereta Proton Saga tersebut diletakkan di seberang jalan berhadapan tempat di mana SP5 berada untuk membuat pemerhatian, bertentangan dengan Restoran tersebut. Setelah Responden Pertama memberi isyarat kepada Responden Kedua untuk membawa SP4 ke kereta Proton Saga tersebut, Responden Kedua membawa SP4 ke kereta Proton Saga tersebut. Responden Kedua masuk ke tempat pemandu dan SP4 masuk ke tempat penumpang hadapan. Selepas Responden Kedua tunjukkan bungkusan plastik hitam yang berada di tempat letak kaki, SP4 membukanya dan mendapati 5 ketulan mampat disyaki ganja yang berbalut dengan plastik lutsinar. SP4 kemudiannya kembali ke meja tersebut bersama Responden Kedua;

(g) SP4 yang bersetuju untuk membuat transaksi pembelian dadah dan selepas Responden Pertama bertanyakan tentang wang, telah mengambil wang berjumlah RM14,000.00 daripada Koperal Normaisarah. Responden Pertama meminta wang tersebut tetapi SP4 tidak menyerahkannya dan meminta Responden Pertama memindahkan ganja tersebut ke dalam kereta Toyota Wish. SP4 dan Koperal Normaisarah kemudiannya pergi ke kereta Toyota Wish untuk mengalihkan kereta tersebut dan meletakkannya di belakang kereta Proton Saga manakala Responden Pertama, Responden Kedua dan Responden Ketiga pergi ke kereta Proton Saga. Ketika Responden Pertama membuka pintu hadapan sebelah kiri untuk mengambil dadah ganja tersebut dan Responden Kedua berada di tempat duduk pemandu dan Responden Ketiga berada di bahagian pintu belakang sebelah kanan, SP4 memberi isyarat yang ditetapkan kepada pasukan serbuan dengan menyalakan api rokok;

(h) Selepas rokok dinyalakan, SP5 bersama pasukan serbuan terus menyerbu. Ketiga-tiga Responden ditangkap. SP5 yang membuat pemeriksaan ke atas kereta Proton Saga telah menjumpai satu bungkusan plastik hitam di tempat letak kaki penumpang hadapan, dan setelah membukanya mendapati mengandungi 5 ketulan mampat tumbuhan kering disyaki dadah ganja yang berbalut dengan plastik lutsinar. SP5 telah merampas bungkusan plastik hitam dan 5 ketulan disyaki dadah ganja tersebut dan mengeluarkan satu senarai bongkar kepada ketiga-tiga Responden;

(i) Ketiga-tiga Responden dan barang kes yang dirampas dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Muar. SP5 telah membuat tandaan, menurunkan tandatangan dan meletakkan tarikh 3.3.2015 pada barang kes tersebut. Selepas membuat laporan polis, SP5 telah menyerahkan ketiga-tiga Responden dan barang kes tersebut kepada pegawai penyiasat, Inspektor Muhammad Syukri bin Disim (SP8); dan

(j) 5 ketulan dadah disyaki ganja tersebut telah dihantar ke Jabatan Kimia, Melaka untuk dianalisis. Ahli Kimia, Soupy bin Daud (SP6), yang membuat pemeriksaan dan analisis ke atas 5 ketulan dadah disyaki ganja tersebut mengesahkan ianya adalah 4774.69 gram Cannabis. Cannabis adalah seperti yang ditakrifkan di bawah seksyen 2 dan tersenarai dalam Jadual Pertama Akta.

Dapatan hakim bicara di akhir kes pendakwaan

[5] Di akhiri kes pendakwaan, hakim bicara, setelah membuat pertimbangan secara maksima keseluruhan keterangan saksi-saksi pendakwaan, mendapati bahawa pihak pendakwaan telah pun berjaya membuktikan satu kes prima facie terhadap ketiga-tiga Responden. Hakim bicara telah berpuas hati bahawa semua elemen pertuduhan telah berjaya dibuktikan terhadap Responden-Responden oleh pihak pendakwaan.

[6] Hakim bicara telah menerima keterangan SP6 mengenai pemeriksaan dan analisis kimia yang telah dijalankan oleh SP6 bagi mencapai keputusan 100% bahawa 5 ketulan mampat bahan tumbuhan disyaki ganja yang diterima daripada SP8 ialah Cannabis dengan jumlah berat 4774.69 gram yang menjadi hal perkara pertuduhan. Kepakaran dan analisis yang telah dijalankan serta dapatan oleh SP6 tidak dicabar dengan serius oleh pihak pembelaan. Hakim bicara juga membuat dapatan bahawa tiada keraguan terhadap identiti dadah tersebut. Barang kes dadah telah dikemukakan dan dicamkan di mahkamah oleh saksi-saksi pihak pendakwaan melalui tandaan yang mereka buat. Rantaian keterangan terhadap barang kes dadah juga tidak terputus.

[7] Mengenai elemen milikan dan pengedaran, hakim bicara menerima keterangan SP4 dan SP5 bahawa Responden-Responden mempunyai milikan dan terlibat dalam rundingan jual-beli dadah Cannabis. Hakim bicara mendapati SP4 dan SP5 adalah saksi-saksi yang boleh dipercayai (credible witnesses).

[8] Untuk elemen niat bersama di bawah seksyen 34 Kanun Keseksaan (‘KK’), hakim bicara membuat dapatan fakta bahawa Responden-Responden telah dibuktikan mempunyai niat bersama dalam memiliki dadah yang dipertuduhkan dengan tujuan untuk diperedarkan melalui jualan (‘selling’). Dapatan hakim bicara didasarkan kepada fakta-fakta berikut:

(a) Terdapat perbincangan antara Responden Pertama dan Responden Kedua dengan SP4 untuk urusan jual beli dadah ganja. Responden Ketiga juga turut hadir bersama semasa perbincangan tersebut;

(b) Responden Pertama dan Responden Kedua telah meninggalkan Restoran tersebut bersama untuk pergi mengambil bekalan dadah dan kembali bersama ke Restoran tersebut dengan membawa dadah Cannabis yang dipertuduhkan;

(c) Ketiga-tiga Responden telah pergi ke kereta Proton Saga untuk mengalihkan dadah Cannabis yang dipertuduhkan dari dalam kereta Proton Saga ke kereta Toyota Wish;

(d) Bungkusan plastik yang mengandungi 5 ketulan mampat telah dijumpai di tempat letak kaki kereta Proton Saga yang sebelumnya dinaiki oleh Responden Pertama dan Responden Kedua pergi mengambil bekalan dadah tersebut;

(e) Penjualan dadah adalah perbuatan yang ditakrifkan sebagai pengedaran di bawah seksyen 2 Akta;

(f) Tindakan Responden Pertama dan Responden Kedua membawa dadah tersebut ke Restoran tersebut juga merupakan satu perbuatan pengedaran seperti ditakrifkan di bawah seksyen 2 Akta;

(g) Semua Responden mempunyai niat bersama apabila ketiga-tiga Responden turut menaiki kereta Proton Saga bermula dari Batu Pahat Mall dinaiki oleh Responden Kedua dan Responden Ketiga pergi ke Restoran tersebut dan kemudiannya dinaiki oleh Responden Pertama dan Responden Kedua untuk pergi mengambil bekalan dadah untuk dijual kepada SP4 setelah satu perundingan diadakan;

(h) Responden Pertama telah sedia menunggu kedatangan Responden Kedua dan Responden Ketiga di Restoran tersebut yang turut diekori oleh bakal pembeli dadah. Oleh itu, elemen niat bersama telah berjaya dibuktikan oleh pihak pendakwaan.

[9] Setelah berpuas hati atas pertimbangan secara maksima bahawa satu kes prima facie telah berjaya dibuktikan terhadap Responden-Responden atas pertuduhan yang dihadapkan, hakim bicara telah memerintahkan ketiga-tiga Responden untuk membela diri atas pertuduhan.

Pembelaan Responden-Responden

[10] Responden Pertama memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah dan telah mengemukakan pernyataan saksi di bawah seksyen 402B Kanun Acara Jenayah (‘KAJ’). Pembelaan Responden Pertama telah diringkaskan oleh hakim bicara dan kami perturunkan semula, seperti berikut:

(a) Pada sebelah malam, Responden Pertama sering pergi ke Restoran Afiera Tom Yam, di pekan Parit Yusof yang berdekatan dengan rumahnya untuk minum-minum.

(b) Pada 2 Mac 2015 jam lebih kurang 10.20 malam, beliau pergi ke Restoran tersebut seorang diri untuk minum kopi. Semasa berada di Restoran tersebut, Responden Kedua dan Responden Ketiga datang, bersalam dengannya dan duduk di meja beliau. Mereka tidak ada berjanji untuk bertemu di Restoran tersebut. Beliau mengenali Responden Kedua dan Responden Ketiga kerana mereka tinggal di kawasan sama.

(c) Semasa beliau, Responden Kedua dan Responden Ketiga berada di meja tersebut, seorang yang beliau kenali dengan nama Kassim datang. Kassim datang dengan seorang lelaki (SP4) dan 3 orang perempuan yang beliau tidak kenali. Beliau mengenali Kassim yang tinggal di kawasan sama.

(d) Kassim bersalam dengan beliau dan duduk sebentar di meja tersebut. Selepas bertanya khabar, Kassim pergi ke meja yang diduduki oleh SP4 dan 3 orang perempuan itu. Beliau melihat Kassim pergi ke meja SP4 dan 3 orang perempuan itu dan jarak meja tersebut 2 atau 3 kaki. Beliau tidak tahu apa yang dibualkan oleh Kassim dengan SP4 dan 3 orang perempuan itu.

(e) Selepas menghabiskan minumannya, beliau bangun untuk beredar, tiba-tiba satu kumpulan lelaki berpakaian biasa datang dan menangkap beliau, Responden Kedua dan Responden Ketiga. Kemudian kumpulan lelaki itu memperkenalkan diri mereka sebagai polis.

(f) Polis membawa beliau, Responden Kedua dan Responden Ketiga ke kereta Proton Saga yang diletakkan di kawasan gelap seberang jalan berhadapan Restoran tersebut. Polis membuka kereta Proton Saga tersebut tanpa menggunakan kunci dan alat kawalan jauh. Polis yang membuat pemeriksaan dalam kereta Proton Saga tersebut telah menjumpai dadah ganja.

(g) Kassim turut ditangkap oleh polis tetapi tidak dituduh di mahkamah.

(h) Beliau tidak ada berbincang dengan SP4 tentang urusan jual beli dadah ganja tersebut.

[11] Responden Kedua turut memilih untuk memberikan keterangan secara bersumpah dan telah mengemukakan pernyataan saksi. Secara ringkasnya, pembelaan Responden Kedua seperti berikut:

(a) Pada 2 Mac 2015 jam lebih kurang 4.00 petang, beliau menerima panggilan telefon daripada kawannya Kassim Shah bin Mohd Shah (Kassim) untuk menunjukkan Restoran Afiera Tom Yam kepada dia dan menunggu dia di tempat letak kereta Batu Pahat Mall antara jam 9.30 hingga 10.00 malam.

(b) Beliau mengajak kawannya Mohammad Ashman bin Ismail (Responden Ketiga) yang kebetulan datang ke rumahnya untuk menemaninya ke Batu Pahat Mall. Mereka bergerak ke Batu Pahat Mall menaiki kereta Proton Saga milik Responden Ketiga yang dipandu oleh beliau (Responden Kedua).

(c) Pada jam lebih kurang 10.00 malam, Kassim tiba dengan seorang lelaki Melayu yang beliau tidak kenali (kemudiannya dikenali sebagai SP4) dengan menaiki sebuah kereta Subaru berwarna biru bernombor pendaftaran Singapura. Kassim yang memandu kereta tersebut manakala SP4 duduk di sebelah Kassim. 3 orang perempuan Melayu turut berada dalam kereta tersebut. Kereta tersebut adalah kereta piang.

(d) Kassim memperkenalkan SP4 kepada beliau sebagai kawan dia yang ingin pergi bersama-sama ke Restoran tersebut. Beliau meminta mereka mengikut kereta yang dipandunya ke Restoran tersebut.

(e) Sesampai di Restoran tersebut, beliau meletakkan kereta di seberang jalan dalam keadaan tidak berkunci manakala Kassim meletakkan kereta Subaru berdekatan Restoran tersebut. Beliau dan Responden Ketiga turun dari kereta menuju ke Restoran tersebut sambil diikuti oleh Kassim, SP4 dan 3 orang perempuan Melayu itu.

(f) Beliau nampak Responden Pertama duduk di satu meja. Beliau dan Responden Ketiga duduk di meja Responden Pertama. Kassim juga duduk di meja itu manakala SP4 dan 3 perempuan Melayu itu duduk di satu meja lain. Kassim ada pergi ke meja SP4 2 atau 3 kali. Beliau tidak tahu apa yang Kassim bualkan dengan SP4.

(g) Selesai makan, beliau, Responden Pertama dan Responden Ketiga bangun untuk beredar dari situ dan bersalam antara satu sama lain, tiba-tiba satu kumpulan polis telah menangkap mereka di hadapan Restoran tersebut. Kassim turut ditangkap tetapi beliau tidak tahu Kassim berada di mana. Selepas itu, polis telah membawa beliau, Responden Pertama dan Responden Ketiga ke kereta Proton Saga dan membuat pemeriksaan. Polis menyatakan mereka telah menjumpai bungkusan dadah.

(h) 5 bungkusan dadah yang dirampas oleh polis bukan kepunyaan beliau. Beliau tidak tahu siapa yang meletakkan dadah yang dikatakan dijumpai di dalam kereta Proton Saga.

(i) Beliau tidak membawa atau meletakkan apa-apa bungkusan dadah di tempat letak kaki sebelah pemandu kereta Proton Saga tersebut pada bila-bila masa dari beliau menaiki kereta tersebut sehingga ke Restoran tersebut dan sehingga ditangkap.

(j) Beliau pergi ke Restoran tersebut untuk membawa Kassim dan rakan dia dan bukannya untuk sebarang urusan jual beli dadah atau apa-apa perjumpaan mengenai urusan jual beli dadah.

(k) SP4 tidak duduk semeja dengan beliau, Responden Pertama dan Responden Ketiga. Hanya Kassim yang duduk semeja dengan mereka. Mereka hanya berbual kosong sambil makan dan minum.

(l) Beliau tidak pada bila-bila masa sepanjang berada di Restoran tersebut berbual dengan SP4 atau dengan sesiapa yang lain mengenai apa-apa urusan jual beli dadah.

(m) Beliau tidak pernah pada bila-bila masa keluar dari Restoran tersebut bersama Responden Pertama membawa kereta Proton Saga untuk mengambil bekalan dadah dan datang semula ke Restoran tersebut.

(n) Beliau tidak pernah pada bila-bila masa membawa SP4 atau sesiapa lain ke kereta Proton Saga atas arahan Responden Pertama yang dikatakan mengangguk kepala untuk beliau tunjukkan dadah di dalam kereta itu. Beliau tidak ada tunjukkan dadah atau apa-apa bungkusan plastik hitam di dalam kereta itu kepada SP4.

(o) Beliau tidak nampak seorang perempuan Melayu ada menyerahkan wang kepada SP4 dan tidak ada wang ditunjukkan oleh SP4 kepada sesiapa sama ada beliau mahupun Responden Pertama.

(p) Beliau ada bertanya kepada SP5 kenapa menangkap beliau sedangkan beliau hanya membantu Kassim untuk tunjukkan Restoran tersebut dan tidak ada kaitan dengan dadah yang dijumpai. SP5 memberitahu “takpe, nanti tahan seksyen 117 siasat 14 hari dan selepas itu dilepaskan”. Beliau juga ada memberitahu pegawai penyiasat (SP8) tentang perkara ini.

(q) Polis ada merampas telefon bimbit beliau. Kewujudan Kassim dan nombor telefon Kassim di dalam telefon bimbitnya yang dirampas itu ada beliau beritahu kepada SP8, namun polis tidak menghiraukannya dan tidak menyiasat lanjut.

[12] Responden Ketiga memilih memberi keterangan secara bersumpah. Responden Ketiga turut mengemukakan pernyataan saksi. Pembelaan Responden Ketiga dapat diringkaskan seperti berikut:

(a) Pada 2 Mac 2015, beliau berjalan-jalan dengan memandu kereta Proton Saga JKX 308 miliknya kerana pada hari itu beliau tidak berniaga menjual burger. Pada lewat petang, beliau pergi ke rumah Responden Kedua dan sampai di situ waktu hampir nak malam. Responden Kedua memberitahu hendak meminjam kereta beliau untuk berjumpa dengan kawan dia dan mengajak beliau mengikut dia.

(b) Responden Kedua yang memandu kereta. Beliau dan Responden Kedua berbual kosong sambil mendengar radio. Sampai di tempat letak kereta BP Mall, Responden Kedua keluar dari kereta sekejap. Beliau tidak nampak apa yang Responden Kedua lakukan. Lebih kurang 5 minit, Responden Kedua masuk semula ke dalam kereta dan memandu kereta ke arah Muar. Beliau duduk sambil mendengar radio.

(c) Responden Kedua memberhentikan kereta di Restoran Afiera. Kerana susah nak parking, Responden Kedua membuat pusingan U dan letakkan kereta di seberang jalan. Beliau dan Responden Kedua pergi ke Restoran tersebut dan duduk di meja yang diduduki Responden Pertama.

(d) Selepas itu, 2 orang lelaki iaitu SP4 dan Kassim datang bersama 3 orang perempuan. Kassim duduk di meja yang beliau duduk bersebelahan dengan Responden Pertama manakala SP4 dan 3 perempuan itu duduk di meja sebelah.

(e) Beliau ada memesan minuman dan makanan. Responden Pertama dan Responden Kedua juga ada memesan makanan. Beliau makan sambil menonton televisyen. Beliau menonton televisyen dengan memalingkan badannya ke belakang dan tidak pasti Responden Pertama dan Responden Kedua buat apa pada masa itu.

(f) Pada mulanya Kassim duduk di meja SP4. Kemudiannya Kassim bangun pergi ke Responden Pertama berulang kali. Kassim dan SP4 ada berbual-bual di hujung meja berhampiran tetapi beliau tidak dengar apa-apa perbualan mereka. Beliau tidak ada berbual dengan SP4, 3 perempuan itu, Kassim, Responden Pertama dan Responden Kedua. Beliau tidak nampak Responden Pertama dan Responden Kedua bangun dari meja itu.

(g) Semasa beliau sedang duduk menonton televisyen dan Responden Pertama sedang berdiri, tiba-tiba ada ramai orang datang kepung dan antara mereka menahan beliau. Orang itu beritahu “kami polis”. Beliau tidak nampak SP4 dan 3 orang perempuan itu. Beliau serta Responden Pertama, Responden Kedua dan Kassim ditangkap. Tidak ada apa-apa barang salah dirampas dari beliau.

(h) Beliau serta Responden Pertama, Responden Kedua dan Kassim dibawa ke keretanya (Proton Saga). Polis membuka keretanya. Beliau dipegang oleh 3 anggota polis, menghadap ke bahagian belakang kanan keretanya. Pada masa itu kereta tidak berkunci kerana beliau tidak mendengar bunyi 'alarm' kereta buka kunci dan kunci kereta tidak ada padanya. Beliau tidak ditunjukkan dengan barang-barang yang dirampas.

(i) Kemudiannya beliau dimasukkan ke dalam kereta dan dibawa ke sebuah rumah. Beliau tidak tahu rumah siapa. Beliau tidak turun dari kereta. Selepas itu beliau dibawa ke balai polis.

(j) Di balai polis, beliau berjumpa semula dengan Responden Pertama dan Responden Kedua. Beliau tidak ada berjumpa dengan Kassim dan tidak tahu di mana Kassim. Di balai polis, beliau baru tahu ada dadah dikatakan dijumpai dalam keretanya. Beliau tidak tahu tentang dadah itu. Polis memberitahu dadah dijumpai di tempat duduk hadapan penumpang dalam plastik hitam. Beliau sangat terperanjat kerana semasa beliau dan Responden Kedua bawa kereta itu, tidak ada apa-apa bungkusan plastik hitam dalam keretanya.

(k) Beliau tidak membuat apa-apa urusan dadah, tidak ada kaitan apa-apa dengan dadah yang dijumpai dan pergi ke Restoran tersebut bukan ada apa-apa perancangan. Beliau tidak mengenali SP4 dan tidak ada berbual dengan SP4. Beliau tidak pernah berhubung dengan Kassim dan tidak pernah merancang apa-apa urusan dengan Kassim pada malam itu. Beliau tiada apa-apa pengetahuan tentang aktiviti dadah tersebut.

[13] Keterangan saksi pembelaan Fariz bin Mohd Saini (SD4) bolehlah diringkaskan seperti berikut:

(a) Beliau bekerja sebagai pelayan di Restoran Afiera dari 1 Januari 2015 hingga sekarang. Tugas beliau di Restoran tersebut adalah mengambil pesanan dari pelanggan, menghantar pesanan, mengambil bil, mengatur meja dan kerusi pada sebelah petang dan menyimpan semula barang-barang tersebut apabila Restoran tersebut hendak ditutup.

(b) Pada 2 Mac 2015 beliau bekerja di Restoran tersebut. Jam lebih kurang 10.30 malam Responden Pertama datang ke Restoran tersebut seorang diri dengan menaiki motosikal dan beliau mengambil pesanan Responden Pertama. Beliau tidak ingat Responden Pertama memesan minuman apa. Beliau mengenali Responden Pertama kerana dia selalu datang ke Restoran tersebut pada sebelah malam untuk minum dan dia juga adalah orang di kawasan itu.

(c) Beberapa minit kemudian Responden Kedua dengan seorang kawan dia (Responden Ketiga) datang ke Restoran tersebut, bersalam dengan Responden Pertama dan duduk di meja Responden Pertama. Responden Pertama tidak pernah berbual atau berbincang dengan Responden Kedua dan Responden Ketiga, hanya bercakap dengan Responden Kedua semasa mula-mula Responden Kedua sampai. Responden Kedua dan Responden Ketiga sahaja yang berbual di antara mereka. Beliau mengenali Responden Kedua kerana dia orang di kawasan itu dan selalu minum di Restoran tersebut dan Responden Ketiga beliau tidak tahu namanya tetapi pernah nampak mukanya sebelum ini.

(d) Lebih kurang 5 minit kemudian, Kassim datang ke Restoran tersebut bersama seorang lelaki dan 3 orang perempuan. Kassim pergi ke meja Responden Pertama, Responden Kedua, Responden Ketiga dan duduk di situ manakala lelaki tersebut dan 3 orang perempuan itu duduk di meja lain. Kassim beberapa kali berulang alik dari meja ketiga-tiga Responden ke meja lelaki dan 3 perempuan itu. Beliau mengenali Kassim kerana dia selalu datang ke Restoran tersebut dengan kawan-kawannya manakala lelaki tersebut dan 3 orang perempuan itu beliau tidak kenal.

(e) Responden Pertama tidak pernah berbual dengan lelaki itu dan lelaki itu tidak ada pergi ke meja ketiga-tiga Responden. Kassim ada pergi ke meja lelaki dan 3 perempuan itu dan bercakap-cakap dengan lelaki itu tetapi beliau tidak dengar apa yang mereka bualkan.

(f) Semasa Responden Pertama bangun untuk membayar minuman dan Kassim berada di meja lelaki dan 3 perempuan itu, beberapa orang lelaki yang datang dengan tiba-tiga menahan ketiga-tiga Responden dan Kassim. Salah seorang dari mereka menyatakan mereka adalah polis. Ketiga-tiga Responden dan Kassim dibawa ke seberang jalan ke sebuah kereta. Beliau tidak tahu itu kereta siapa dan bagaimana polis membuka kereta itu kerana tidak nampak, tidak ada dengar bunyi alarm kereta itu apabila dibuka.

(g) Beliau tidak tahu kenapa ketiga-tiga Responden dan Kassim ditangkap dan apa yang dijumpai oleh polis di dalam kereta itu. Beberapa hari kemudian beliau mendengar cerita dari orang kampung menyatakan ketiga-tiga Responden dan Kassim ada kes dadah.

[14] Keterangan saksi pembelaan Redwan bin Saghil@Yusof (SD5) dan Jeremy Jahir (SD7) yang bertugas di Penjara Kluang, Johor mengesahkan Kassim Shah bin Mohd Shah adalah seorang banduan yang sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Kluang. Pihak pembelaan turut memanggil semula SP4, SP5 dan SP6 untuk pemeriksaan balas lanjut.

[15] Di akhir kes pembelaan, hakim bicara mendapati bahawa pembelaan Responden-Responden telah berjaya menimbulkan satu keraguan yang munasabah terhadap kes pihak pendakwaan. Pihak pendakwaan telah gagal untuk membuktikan kesnya melampaui sebarang keraguan yang munasabah. Oleh itu, ketiga-tiga Responden telah dilepas atau dibebaskan dari pertuduhan. Hakim bicara telah memberikan dua alasan utama apabila membebaskan semua Responden daripada pertuduhan:

(a) Kegagalan pihak pendakwaan untuk mengemukakan saksi yang ditawarkan iaitu Sarjan Ishak bin Mohamad apabila saksi itu diperlukan oleh pihak pembelaan (PP v Asnawi bin Yusuf [2011] 4 MLJ 16); dan

(b) Kegagalan pihak pendakwaan untuk menyiasat lanjut mengenai penama Kassim Shah bin Mohd Shah tentang peranan dan penglibatan penama itu dalam kes ini (Lee Kwan Woh v PP [2009] 5 MLJ 301; Alcontara a/l Ambross Anthony v PP [1996] 1 MLJ 209).

Justeru, rayuan Pendakwa Raya di hadapan kami.

Rayuan Perayu

[16] Pada 22.1.2018, kami telah membatalkan rayuan Pendakwa Raya terhadap Responden Pertama dan Responden Kedua oleh kerana notis bicara telah gagal diserahkan terhadap Responden-Responden itu walaupun beberapa percubaan telah dilakukan. Tuan Timbalan Pendakwa Raya (‘TPR’) telah meneruskan dengan rayuan hanya terhadap Responden Ketiga pada 19.4.2018.

[17] Di hadapan kami, Tuan TPR bergantung kepada lima (5) alasan rayuan berikut untuk mencabar keputusan hakim bicara:

(a) Hakim bicara telah terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta apabila gagal untuk mengambil kira bahawa keterangan yang telah diberikan oleh SP4 adalah jelas dan terperinci berkenaan perbincangan jual beli dadah dan peranan setiap Responden dalam kes ini;

(b) Hakim bicara telah terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta apabila mempertikaikan keterangan SP4 sedangkan keterangan SP4 tidak berjaya dicabar kewibawaannya;

(c) Hakim bicara telah terkhilaf dari segi fakta dan undang-undang apabila menerima versi pembelaan;

(d) Hakim bicara terkhilaf apabila menggunapakai anggapan di bawah seksyen 114(g) Akta Keterangan, 1950 atas kegagalan pihak pendakwaan mengemukakan penama Kassim Shah bin Mohd Shah; dan

(e) Hakim bicara terkhilaf apabila membuat dapatan bahawa timbul keraguan terhadap kes pendakwaan atas kegagalan pihak pendakwaan untuk memastikan kehadiran Sjn. Ishak bin Mohamad yang telah ditawarkan kepada pihak pembelaan.

Dapatan dan keputusan kami

[18] Dapatan dan keputusan kami hanya melibatkan rayuan Pendakwa Raya terhadap Responden Ketiga. Kami ingin mengingatkan tentang penglibatan Responden Ketiga dalam kes ini. Kes pihak pendakwaan ialah bahawa kereta Proton Saga JKX 308 yang terlibat dalam kes ini didaftarkan atas nama Responden Ketiga tetapi telah dipinjam dan dipandu oleh Responden Kedua pada masa kejadian. Kereta itu dipandu oleh Responden Kedua sewaktu di Batu Pahat Mall ke Restoran tersebut dan dipandu oleh Responden Pertama membawa Responden Kedua semasa kereta itu dikatakan pergi untuk mengambil bekalan dadah ganja. Sepanjang masa, Responden Ketiga tidak pernah terlibat dalam apa-apa perbincangan tentang jual beli dadah dengan SP4. Ini disahkan sendiri oleh saksi-saksi pendakwaan.

[19] Tuan TPR dalam hujahannya bergantung kepada keterangan tentang pelakuan (conduct) Responden-Responden yang dikatakan telah terlibat dalam perbincangan mengenai jual beli dadah boleh diterima di bawah seksyen 8 Akta Keterangan, 1950. Tuan TPR merujuk kepada keputusan dalam kes Parlan Dadeh v PP [2009] 1 CLJ 717 yang telah diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan seperti berikut:

"[36] The law relating to evidence of conduct is thus patent. If there is no evidence to show that the conduct is influenced by any fact in issue or relevant fact as required by s. 8 then it is not admissible as it would then be an equivocal act justifying inferences favourable to the accused being drawn. If it satisfies the requirement of s. 8 it is admissible. It must be observed that the degree of proof required to establish evidence of conduct would depend on the nature of the conduct. Conduct like the flight of an accused is a more positive act and is easily established. On the other hand conduct like the accused looking stunned, nervous, scared or frightened is very often a matter of perception and more detailed evidence may be required. Once admitted the court cannot resort to any other explanation for the conduct or draw inferences on its own accord to render it inadmissible. The onus is on the accused to explain his conduct pursuant to s. 9. Such explanation must not be in their barest possible form, but with a reasonable fullness of detail and circumstance (see R v. Stephenson [1904] 68 JP 524). The onus may be discharged even in the course of the case for the prosecution, for example, by way of cross-examination of relevant witnesses. If not so done it can be discharged only at the defence stage. However, the evidence admissible under the section must be confined to what is necessary for the purposes enumerated. Illustration (c) to s. 9 explains the operation of this principle. It provides that when A is accused of a crime the fact that soon after the commission of the crime he absconded from his house is relevant. But the fact that at the time when he left home he had sudden and urgent business at the place to which he went, is relevant, as tending to explain the fact the he left home suddenly. The details of the business on which he left, however, are not relevant, except in so far as they are necessary to show that the business was sudden and urgent. If the explanation is accepted by the court then the inference arising from the conduct is rebutted. If it is not accepted or if the accused does not explain his conduct the inference remains unrebutted.”.

[20] Namun sepertimana yang kami sebutkan di awal lagi, Responden Ketiga langsung tidak terlibat dengan apa-apa rundingan atau perbincangan mengenai jual beli dadah dengan SP4 dan ini telah disahkan sendiri oleh SP4 dalam keterangannya semasa pemeriksaan balas di muka surat 102-104 Rekod Rayuan Jilid 6, seperti berikut:

"S1: En Syafiq, saya cadangkan kepada awak bahawa nama Ashman awak hanya tahu semasa awak berada di Restoran Afiera Tomyam?

J1: Setuju.

S2: Semasa di Alfiera Tomyam saya cadangkan Ashman tidak berbual dengan kamu?

J2: Setuju.

S3: Semasa di Alfiera Tomyam Ashman makan dan minum sambil menonton televisyen yang ada di Alfiera Tomyam?

J3: Tidak pasti.

S4: Saya cadangkan bahawa kamu tidak pasti sama ada Ashman makan, minum, menonton televisyen sebab kamu tidak memerhatikan Ashman?

J4: Tidak setuju.

S5: Saya juga cadangkan kepada kamu bahawa dalam perjalanan dari Batu Pahat ke Restoran Alfiera Tomyam kamu tidak ada berhubungan dengan Ashman?

J5: Setuju.

S6: Saya juga mencadangkan kepada kamu bahawa semasa di Batu Pahat kamu tidak berbual dengan Ashman?

J6: Setuju.

S7: Saya juga cadangkan kepada kamu bahawa semasa di Batu Pahat kamu tak ada bersua muka dengan Ashman?

J7: Tidak setuju.

S8: Saya juga mencadangkan kepada kamu bahawa di Batu Pahat yang kamu kata di tempat parkir BP Mall kamu tidak berjumpa dengan Ashman?

J8: Boleh jelaskan maksud jumpa?

S9: Jawab kamu ada jumpa Ashman tak di BP Mall?

J9: Saya nampak Ashman di dalam kereta.

S10: Awak jumpa atau tidak?

J10: Saya tidak berjumpa dengan dia.

S11: Pada masa itu yang awak kata awak tak berbual, awak tidak berjumpa, awak tidak tahu pada masa itu dia itu Ashman. Setuju?

J11: Tak faham.

S12: Saya jelaskan, awak hanya tahu nama Ashman di Afiera Tomyam. Sebelum dari itu awak tidak ada berhubung dengan dia?

J12: Setuju.

S13: Maknanya awak tak tahu pada masa itu, awak kata awak nampak tapi tak jumpa, tak berbual. Orang itu awak tak tahu itu Ashman?

J13: Betul.

S14: Semasa kamu kata di parkir BP Mall sumber kamu tak ada sebut tentang Ashman. Setuju?

J14: Setuju.

S15: Sumber juga tidak kenalkan Ashman kepada kamu?

J15: Setuju.

S16: Saya mencadangkan kepada kamu dalam keterangan utama kamu tak ada beritahu bahawa semasa taklimat nama Ashman disebut dalam taklimat?

J16: Setuju.

S17: Saya mencadangkan bahawa Ashman sekiranya ada sebarang perbincangan yang mana dinafikan di sini, Ashman tidak terlibat dalam perbincangan dengan kamu? Kamu cakap yang benar. Ini pertuduhan yang melibatkan hukuman gantung. Tak ada salahnya bercakap benar.

J17: Semasa di meja Ashman ada semasa kami bercerita cuma dia tidak bercakap.

S18: Saya cadangkan bahawa keterangan kamu berkenaan Ashman pergi ke kereta sebelum ditangkap dan sampai dekat kereta sebelum digangkap adalah tidak benar?

J18: Tidak setuju.

S19: Saya cadangkan bahawa kamu ada beri keterangan kepada pegawai penyiasat dalam kes ini selepas tangkapan?

J19: Betul.

S20: Saya juga cadangkan bahawa kamu ada memberitahu pegawai penyiasat bahawa Ashman tidak berbual dengan kamu di kedai?

J20: Betul.

S21: Betul?

Mah: Jawapan?

J21: Setuju.

S22: Saya juga cadangkan bahawa kamu ada maklumkan kepada pegawai penyiasat bahawa kamu tidak ada berbual dan berhubungan dengan Ashman bermula dari tempat parkir kereta di BP Mall?

J22: Setuju.

Mah: Apa jawapannya?

Saksi: Setuju.”

[21] Hakim bicara telah menerima pembelaan ketiga-tiga Responden dan juga keterangan saksi-saksi pembelaan yang lain, terutamanya SD4, SD5 dan SD7 mengenai kewujudan seorang penama Kassim yang sebenarnya yang telah membuat perundingan dengan SP4. Ini disahkan oleh SD4, pekerja Restoran tersebut. Dalam menerima keterangan pembelaan Responden-Responden dan memutuskan pembelaan Responden-Responden telah berjaya menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pihak pendakwaan, hakim bicara menyatakan seperti berikut di muka surat 30-32 Rekod Rayuan Jilid 1:

"28. Pada dasarnya kes pembelaan adalah di tempat letak kereta Batu Pahat Mall, Kassim memperkenalkan SP4 kepada tertuduh kedua, di restoran tersebut SP4 tidak duduk bersama-sama dengan ketiga-tiga tertuduh, tiada perbincangan di antara mana-mana tertuduh dengan SP4 mengenai apa-apa urusan jual beli dadah, Kassim yang berbual dengan SP4 dan tidak tahu siapa yang letakkan dadah di dalam kereta Proton Saga tersebut.

29. Keterangan tertuduh pertama, tertuduh kedua, tertuduh ketiga menunjukkan SP4 duduk di meja lain. SP4 tidak duduk bersama mereka. SD4 yang bekerja di restoran tersebut mengesahkan tentang aspek ini. Tertuduh pertama menyatakan beliau tidak ada berbincang dengan SP4 tentang urusan jual beli dadah. Tertuduh kedua menyatakan beliau tidak ada berbual dengan SP4 tentang apa-apa urusan jual beli dadah. Tertuduh ketiga menyatakan yang beliau tidak ada berbual dengan SP4. Keterangan SD4 menyokong keterangan ketiga-tiga tertuduh bahawa tiada perbualan di antara mereka dengan SP4. Mahkamah menerima pembelaan tertuduh pertama, tertuduh kedua dan tertuduh ketiga bahawa tiada perbincangan di antara mereka dengan SP4 tentang apa-apa urusan jual beli dadah. Pecanggahan keterangan tertuduh pertama, tertuduh kedua, tertuduh ketiga dan SD4 seperti yang dihujahkan oleh TPR memang ada tetapi tidak menjejaskan pembelaan ketiga-tiga tertuduh bahawa tiada perbincangan dengan SP4 tentang urusan jual beliu dadah. Kassim adalah individu yang wujud. Kewujudan Kassim disahkan oleh SD5, SD7. Keberadaan Kassim di restoran tersebut sepertimana keterangan tertuduh pertama, tertuduh kedua, tertuduh ketiga adalah disokong oleh keterangan SD4. Kassim yang berulang alik beberapa kali dari meja ketiga-tiga tertuduh ke meja SP4 dan berbual dengan SP4. Pembelaan tidak memanggil Kassim sebagai saksi mereka tetapi menawarkan kepada pendakwaan, namun pendakwaan tidak memanggil Kassim untuk membawa keterangan rebuttal terhadap versi pembelaan dan ini menarik anggapan bertentangan dibawah seksyen 114(g) Akta Keterangan. Tambahan lagi kewujudan Kassim serta butiran Kassim telah ditimbulkan oleh pembelaan sejak di peringkat kes pendakwaan namun tiada siasatan lanjut dibuat oleh polis tentang Kassim walaupun mempunyai banyak peluang. Justeru itu, inferens kewujudan Kassim, penglibatan Kassim adalah berpihak kepada ketiga-tiga tertuduh.

30. Pendakwaan telah gagal membuktikan melampaui keraguan yang munasabah perbincangan di antara tertuduh pertama, tertuduh kedua dengan SP4 dimana tertuduh ketiga turut hadir yang telah membawa kepada penjualan dadah Cannabis tersebut.

31. Isu yang dibangkitkan oleh peguambela tertuduh petama tentang kegagalan pihak pendakwaan menyediakan saksi yang ditawarkan kepada pembelaan pada pendapat saya mempunyai merit. Selepas kes pendakwaan ditutup, TPR menawarkan kepada pihak pembelaan beberapa saksi antaranya Sarjan Ishak bin Mohamad. Peguambela tertuduh pertama memaklumkan mahkamah pembelaan memerlukan saksi-saksi yang ditawarkan itu sekiranya pembelaan dipanggil. Namun Sarjan Ishak bin Mohamad tidak hadir ke mahkamah. Adalah menjadi tanggung jawab pihak pendakwaan untuk memastikan kehadirannya apabila telah ditawarkan kepada pembelaan. Dan tiada sebarang penjelasan diberikan oleh pihak pendakwaan di atas kegagalan saksi tersebut hadir ke mahkamah. Dengan mengemukakan saksi tersebut mungkin penting kepada pihak pembelaan dan seterusnya menimbulkan keraguan dalam kes pendakwaan bukanlah tugas mahkamah untuk mengetahuinya. Tetapi kegagalan menyediakan saksi yang ditawarkan dimana pihak pembelaan memerlukannya telah menyebabkan ketidakadilan dan memberi hak kepada tertuduh bagi pembebasannya. (PP v Asnawi bin Yusof [2011] 4 MLJ 16).

32. Saya mendapati bahawa pembelaan tertuduh pertama, tertuduh kedua, tertuduh ketiga telah menimbulkan satu keraguan yang munasabah dalam kes pendakwaan. Pendakwaan telah gagal untuk membuktikan kes mereka melampaui keraguan yang munasabah.”.

[22] Kami bersetuju dengan dapatan dan keputusan hakim bicara tersebut. Kami tidak mendapati sebarang kekhilafan telah dilakukan oleh hakim bicara yang mewajarkan campur tangan kami. Hakim bicara tidak terkhilaf dari segi fakta dan undang-undang apabila menerima versi pihak pembelaan dalam kes ini. Kami berpandangan bahawa hakim bicara berhak membuat keputusan memihak kepada pihak pembelaan kerana kes pendakwaan bergantung sepenuhnya kepada fakta dan kredibiliti saksi-saksi yang memberikan keterangan di hadapan hakim bicara. Mahkamah ini tidak sewajarnya dengan mudah untuk mengakas dapatan dan keputusan hakim bicara dalam keadaan seperti kes ini (lihat Andy Bagindah v PP [2000] 3 CLJ 289 dan Wan Marzuki Wan Abdullah v PP [2008] 4 CLJ 631).

[23] Mengenai isu kegagalan pihak pendakwaan untuk mengemukakan saksi Sarjan Ishak bin Mohamad yang telah ditawarkan kepada pihak pembelaan, kami mendapati hakim bicara betul apabila mengkritik pihak pendakwaan atas kegagalan tersebut. Berdasarkan kepada Rekod Rayuan, kami mendapati bahawa saksi tersebut telah gagal untuk hadir ke mahkamah walaupun dua peluang telah diberikan kepada pihak pendakwaan untuk mengemukakan saksi itu ke mahkamah. Rekod Rayuan Jilid 9 di muka surat 420 dan 439 menunjukkan seperti berikut:

"En. Fazaly: Saksi yang ditawarkan oleh pihak pendakwaan iaitu Sarjan Ishak. Hari ini saya difahamkan saksi tidak datang.

TPR: Sarjan Ishak Mohamad dari forensik. Pernah ditawarkan di akhir kes pendakwaan dan rakan bijaksana saya memaklumkan mereka berkehendakkan saksi ini. Saya percaya kita memerlukan tarikh lain untuk saksi ini.

...

En. Fazaly: Dengan izin Yang Arif, pada tarikh yang lalu terdapat seorang saksi yang telah ditawarkan oleh pihak pendakwaan kepada kami iaitu Sarjan Ishak bin Mohamad dan saya difahamkan pada tarikh yang lalu dan tarikh pada hari ini juga saksi ini tidak hadir ke Mahkamah. Kami telah memberi Mahkamah undertaking untuk menutup kes pembelaan pada hari ini dan fakta bahawa tertuduh telah ditahan sejak 3.3.2015 maka dengan ini kami menutup kes pembelaan walaupun Sarjan Ishak tidak hadir ke Mahkamah 2 kali, Yang Arif.

En. Maniam: Untuk rekod, saksi Kassim tidak dipanggil.

Mah: Encik Radzi?

En. Radzi: Setelah mendapatkan arahan dari OKT3, pihak OKT3 menutup kes pembelaan di peringkat ini. Tidak ada saksi ditawarkan oleh pihak pembelaan.”.

[24] Kami turut bersetuju dengan keputusan hakim bicara di akhir kes bahawa Responden Ketiga telah berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kewujudan elemen niat bersama. Menurut keterangan SP4, Responden Ketiga hanya berada dalam kereta bersama Responden Kedua di BP Mall dan kemudiannya berada di Restoran tersebut tanpa memainkan sebarang peranan yang aktif. Responden Ketiga telah memberikan penjelasan yang munasabah mengenai kehadirannya bersama Responden Kedua di BP Mall kerana diajak ke sana dan kereta Responden Ketiga dipinjam oleh Responden Kedua. Responden Ketiga pergi ke Restoran tersebut dibawa dalam keretanya yang dipandu oleh Responden Kedua. Di Restoran tersebut, Responden Ketiga tidak memainkan apa-apa peranan dalam rundingan jual beli dadah yang dipertuduhkan.

[25] Untuk isu niat bersama, kami merujuk kepada keputusan Mahkamah ini dalam kes Songsil Udtoom & Ors v PP [2016] 1 MLJ 41, seperti berikut:

"[28] The existence of common intention is a question of fact and it may by proved by direct evidence or by way of inferences from the circumstances of the case or upon proved facts. Having perused the evidence, we opined that the evidence does not support the existence of common intention of them all to commit the offence. Apart from the fact that the appellants were arrested together in the said room, there is a dearth of evidence to link them with the commission of the crime in furtherance of the common intention. The prosecution failed to establish that the appellants have some knowledge that an act may by committed which is consistent with the furtherance of the common intention or would be in furtherance of the common intention.

[29] The prosecution must also establish that there was a pre­arranged plan to commit the criminal act of having unlawful possession of the firearms and bullets and the said act was done in concert to that pre-arranged plan. Such planning could develop on the spot or in the course of the commission of the offence. However, we found none of these either through direct evidence or by way of inferences from the circumstances of the case. Being together in the same room without more can hardly be said to constitute a pre-arranged plan.”. [penekanan oleh kami]

Kesimpulan

[26] Berdasarkan alasan-alasan yang kami sebutkan di atas, dengan sebulat suara kami mendapati bahawa rayuan pihak pendakwaan tidak mempunyai sebarang merit. Dengan itu, rayuan ditolak. Perintah pembebasan Responden Ketiga oleh Mahkamah Tinggi disah dan dikekalkan.

Bertarikh: 22 Mei 2018

t.t.

KAMARDIN BIN HASHIM
Hakim
Mahkamah Rayuan Malaysia

COUNSEL

Bagi Pihak Perayu: Ahmad Sazilee bin Abdul Khairi, Timbalan Pendakwa Raya, Bahagian Perbicaraan dan Rayuan, Jabatan Peguam Negara, Putrajaya

Bagi Pihak Responden Ketiga: Mohd Radzi bin Yatiman, Tetuan Rahim & Lawrnee, No. 124-125, Tingkat 1, Jalan Sia Her Yam, 85000 Segamat, Johor

Legislation referred to:

Akta Dadah Berbahaya 1952, Jadual Pertama; Seksyen-seksyen 2, 39B(1)(a), 39B(2)

Akta Keterangan 1950, Seksyen-seksyen 8, 114(g)

Kanun Acara Jenayah, Seksyen 402B

Kanun Keseksaan, Seksyen 34

Judgments referred to:

Alcontara a/l Ambross Anthony v PP [1996] 1 MLJ 209

Andy Bagindah v PP [2000] 3 CLJ 289

Lee Kwan Woh v PP [2009] 5 MLJ 301

Parlan Dadeh v PP [2009] 1 CLJ 717

PP v Asnawi bin Yusuf [2011] 4 MLJ 16

Songsil Udtoom & Ors v PP [2016] 1 MLJ 41

Wan Marzuki Wan Abdullah v PP [2008] 4 CLJ 631

Notice: The Promoters of Malaysian Judgments acknowledge the permission granted by the relevant official/ original source for the reproduction of the above/ attached materials. You shall not reproduce the above/ attached materials in whole or in part without the prior written consent of the Promoters and/or the original/ official source. Neither the Promoters nor the official/ original source will be liable for any loss, injury, claim, liability, or damage caused directly, indirectly or incidentally to errors in or omissions from the above/ attached materials. The Promoters and the official/ original source also disclaim and exclude all liabilities in respect of anything done or omitted to be done in reliance upon the whole or any part of the above/attached materials. The access to, and the use of, Malaysian Judgments and contents herein are subject to the Terms of Use.