THE OFFICIAL REPOSITORY OF
MALAYSIAN JUDGMENTS & RULINGS

[2018] MYCA 242 MALAY

Pendakwa Raya v Davood Nikzadeh Karim and Another
Suit Number: Rayuan Jenayah No. W-05(LB)-395-11/2016  

Criminal law – Trafficking in dangerous drugs – Acquittal – Appeal by the prosecution against the acquittal

Criminal law – Whether the trial judge failed to decide that the weight difference of the impugned drugs in the charge and the evidence of the chemist was just an omission that does not amount to an injustice to the accused – Whether the trial judge erred in finding the chain of evidence broken – Whether the trial judge failed to properly appreciate the evidence

PENGHAKIMAN

Mukadimah

[1] Davood Nikzadeh Karim (responden pertama) dan Mohsen Sadeghi (responden kedua), kedua-duanya rakyat Iran, telah dituduh di bawah seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang dibaca bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan atas kesalahan mengedar dadah berbahaya. Pertuduhan terhadap mereka adalah sebagaimana yang berikut:

"Bahawa kamu bersama-sama pada 9.5.2014 jam lebih kurang 1.40 pagi di unit rumah nombor 5-3A-3A, Pantai Panorama Condo, Jalan 112 HKG, Kerinchi di dalam daerah Brickfields di dalam Bandaraya Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan telah mengedar dadah berbahaya iaitu 711.3 gram Methamphetamine dan dengan itu kamu telah melakukan satu kesalahan di bawah seksyen 39B(2) Akta yang sama serta dibaca bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan”.

[2] Di akhir kes pendakwaan, hakim bicara memutuskan pihak pendakwaan telah gagal membuktikan satu kes prima facie terhadap responden-responden. Mereka kemudiannya dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan. Terkilan dengan keputusan hakim bicara tersebut, pendakwa raya telah mengemukakan rayuan ini.

[3] Setelah meneliti rekod rayuan dan mendengar penghujahan pihak-pihak, kami sebulat suara mendapati rayuan pendakwa raya tidak bermerit. Lantaran itu, kami sebulat suara menolak rayuan ini. Alasan-alasan kami akan menyusul selepas ini.

Kes Pendakwaan

[4] Fakta kes telah dirakamkan dengan jelas oleh hakim bicara dalam alasan penghakimannya di muka surat 12-15, RR Jilid 1 sepertimana yang berikut:

“(i) Pada 9.5.2014 jam lebih kurang 10.40 pagi, berdasarkan maklumat aktiviti pengedaran dadah yang diterima, SP5 telah mengetuai satu pasukan serbuan bagi membuat serbuan di sebuah unit kondo yang beralamat Blok 5-3A-3A, Pantai Panorama Kondo, Jalan 112 HKG, Kerinci, Kuala Lumpur.

(ii) Apabila sampai di unit tersebut iaitu tingkat 3, SP5 mendapati pintu gril rumah berkenaan berkunci dan telah mengarahkan anggota pasukannya untuk memecahkan pintu jeriji besi dan pintu kayu unit berkenaan yang berkunci tersebut.

(iii) Setelah itu, Inspektor Azri (SP5) dan anggotanya menyerbu masuk ke dalam rumah berkenaan dan menjerit perkataan ‘polis’. Ketika itu SP5 melihat OKT1 dan OKT2 berlari dari ruang tamu menuju ke balkoni rumah tersebut sambil OKT1 memegang sesuatu di tangannya. SP5 seterusnya melihat OKT1 membuang satu kotak hijau dari tingkap di rumah berkenaan.

(iv) Dalam pada itu, Inspektor Mohd Izhar (SP8) yang dari awalnya membuat pemerhatian di bahagian bawah kondominium tersebut melihat seorang yang memakai ‘singlet’ merah yang dicamkan iaitu OKT1 telah membuang sesuatu bungkusan dan jatuh ke bawah di atas jalan di tempat bertanda ‘X’ di dalam gambar P10 (27). SP8 seterusnya memaklumkan perkara tersebut kepada SP5 melalui ‘walkie-talkie’. SP8 juga mendapati bungkusan yang jatuh tersebut adalah kotak yang ada mengandungi kepingan pinggan.

(v) SP5 kemudiannya telah turun ke tempat bungkusan tersebut ditemui oleh SP8 dan mendapati sebuah kotak berwarna hijau (P8A) dan di dalamnya terdapat 6 kepingan berbentuk pinggan berwarna biru yang dibaluti dengan plastik lutsinar. Kotak dan kandungannya tersebut diambil dan dibawa oleh SP5 naik ke rumah di mana OKT1 dan OKT2 ditemui.

(vi) Sebelum itu, SP4 yang bertugas sebagai posmen memberi keterangan bahawa SP4 telah diarahkan oleh penyelianya untuk menghantar satu bungkusan iaitu sebuah kotak hijau (P8A) ke alamat unit kondo berkenaan iaitu 5-3A-3A, Pantai Panorama Kondo dan kotak tersebut diterima oleh OKT 2. Kotak tersebut telah diserahkan kepada OKT 2 pada jam 9.11 pagi.

(vii) Selain itu, berdasarkan keterangan pegawai penyiasat (SP9), pasukan serbuan mengetahui mengenai ‘parcel’ (P8A) yang dihantar ke unit kondo berkenaan dan pihak polis telah membuat pemantauan terhadap ‘parcel’ tersebut dari pejabat pos hingga ke tempat kejadian iaitu di unit 5-3A-3A berkenaan.

(viii) Seterusnya, pada 15.5.2014, kepingan-kepingan pinggan dalam kotak hijau (P8A) tersebut telah dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia, Petaling Jaya untuk di analisa dan hasil analisa yang dibuat oleh ahli kimia SP2 mendapati bahan-bahan dari 6 keping pinggan tersebut mengandungi Methamphetamine dengan jumlah berat keseluruhannya ialah 856.8 gram. Pengiraan berat dadah tersebut ada dinyatakan dalam laporan kimia (P9) dan pernyataan SP2 adalah seperti berikut:

(i) 1 keping pinggan dalam beg PDRM bertanda ‘AA1’ - 145.5 gram

(ii) 5 keping pinggan dalam beg PDRM bertanda ‘AA2 hingga AA6’ - 711.3 gram

(ix) Oleh yang demikian, jumlah berat dadah methamphetamine yang SP2 sahkan sebagai dadah berbahaya dalam Jadual Pertama Akta Dadah Berbahaya 1952 adalah 856.8 gram.”

Dapatan Hakim Bicara di Akhir Kes Pendakwaan

[5] Di akhir kes pendakwaan, hakim bicara mendapati pihak pendakwaan telah gagal mewujudkan satu kes prima facie terhadap responden-responden. Sari pati dapatan hakim bicara antaranya ialah:

(i) Isu utama yang diutarakan melibatkan perbezaan berat dadah dalam pertuduhan dengan berat dadah dalam laporan ahli kimia (P9). Ini kerana terdapat perbezaan berat sebanyak ‘145.5 gram’ dadah. Pertuduhan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan menyatakan berat dadah adalah sebanyak ‘711.3 gram’ manakala laporan kimia (P9) pula menyatakan keseluruhan berat dadah ialah ‘856.8 gram’. Dalam kes ini, berat dadah dalam izin mendakwa dan pertuduhan yang dikemukakan terhadap kedua-dua responden adalah berbeza dengan berat dadah yang dikemukakan oleh SP2 dan yang dinyatakan dalam P9. Tanpa penjelasan dan keterangan, hakim bicara menyatakan beliau tidak boleh membuat andaian/ spekulasi bahawa jumlah “711.3 gram” ialah jumlah yang hanya melibatkan 5 biji pinggan dan jumlah sebenar “856.8 gram” ialah jumlah 6 biji pinggan mewakili semua ekshibit iaitu “AA1-AA6”.

(ii) Rantaian keterangan berhubung dadah yang dirampas ini juga terjejas iaitu hakim bicara mendapati tiadanya keterangan berhubung dengan penjagaan dan kawalan dadah yang ditemui pada pukul 10.40 pagi 9.5.2014 sehingga dadah diserahkan kepada Inspektor Kumbat anak Tan, pegawai penyiasat (SP9) (pukul 10.30 malam). Oleh sebab ketiadaan penjelasan mengenai apa yang berlaku dalam tempoh 12 jam tersebut, maka ini menimbulkan kelompangan serius kepada kes pendakwaan dan sekali gus menyebabkan kes prima facie gagal diwujudkan terhadap responden-responden.

(iii) Pihak pendakwaan juga gagal membuktikan bahawa responden-responden mempunyai milikan terhadap kotak P8A yang berisi dadah tersebut.

[6] Atas alasan-alasan tersebut, responden-responden telah dilepaskan dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri.

Rayuan Ini

[7] Di hadapan kami, Timbalan Pendakwa Raya (TPR) yang terpelajar telah membangkitkan tiga isu pokok dalam mencabar keputusan hakim bicara. Isu-isu yang diketengahkan ialah:

(a) hakim bicara telah terkhilaf apabila gagal memutuskan bahawa perbezaan berat dadah dalam pertuduhan dan keterangan ahli kimia (SP2) telah tidak menjejaskan kes pendakwaan kerana laporan kimia P9 ada mencatatkan berat AA1 ialah 145.5 gram dan berat AA2-AA6 ialah 711.3 gram, maka jumlah dalam pertuduhan hanyalah satu omission/ tinggalan yang tidak terjumlah kepada satu ketidakadilan terhadap responden-responden;

(b) hakim bicara telah terkhilaf kerana menyatakan bahawa rantaian keterangan telah terputus sedangkan barang kes telah dicamkan oleh saksi-saksi pendakwaan terutamanya SP5 (pegawai serbuan) dan SP9 (pegawai penyiasat); dan

(c) hakim bicara telah terkhilaf kerana tidak membuat penilaian yang maksimum di akhir kes pendakwaan.

[8] Dalam penghujahannya TPR menegaskan:

(a) Bagi isu (a), hakim bicara mempunyai budi bicara untuk menggunakan kuasa di bawah peruntukan s. 158 Kanun Prosedur Jenayah untuk mengubah pertuduhan yang mempunyai tinggalan (omission) terhadap jumlah dadah yang menjadi subjek pertuduhan dan hakim bicara boleh berbuat demikian pada bila-bila masa sebelum keputusan diberikan namun hakim bicara enggan berbuat sedemikian. Dihujahkan juga sekiranya ada ketinggalan, mahkamah boleh menggunakan peruntukan s. 422 untuk memulihkan ketinggalan tersebut. Ketinggalan atau kesalahan yang berlaku dalam pertuduhan tidak membatalkan prosiding melainkan terdapat kegagalan keadilan.

(b) Bagi isu (b) pula, rantaian barang kes tidak terputus dan tiada gangguan terhadap keutuhan kawalan dan jagaan barang kes. Sekiranya mahkamah bicara mendapati adanya kelompangan namun itu tidak semestinya menunjukkan bahawa adanya gangguan pada bukti yang dikemukakan. Ini kerana barang kes yang ditandakan dan dimeterai masih lagi barang kes yang sama semasa dirampas dan dicamkan oleh pihak pendakwaan semasa perbicaraan. Maka sekiranya ada kelompangan (dinafikan oleh pendakwa raya), itu tidak memudaratkan kes pendakwaan kerana dadah yang dikemukakan di hadapan hakim bicara ialah dadah yang sama. Isu identiti ini langsung tidak timbul sehingga boleh menjejaskan kes pendakwaan.

(c) Bagi isu (c), hakim bicara gagal membuat penilaian yang maksimum berdasarkan keterangan saksi-saksi pendakwaan secara keseluruhan berbanding ketinggalan yang tidak material kerana responden-responden masih lagi tertakluk kepada pertuduhan di bawah seksyen 39B(1)(a) ADB dan boleh dihukum di bawah seksyen 39B(2) dan dibaca bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan. Tanpa membuat penilaian yang maksimum tersebut, maka hakim bicara telah terkhilaf apabila melepaskan dan membebaskan responden-responden di akhir kes pendakwaan.

[9] Peguam terpelajar bagi pihak responden-responden pula mengutarakan isu yang hampir sama iaitu pihak pendakwaan telah gagal membuktikan pertuduhan terhadap responden-responden kerana jumlah dadah dalam pertuduhan dan jumlah dadah dalam laporan kimia telah mewujudkan tanda tanya sama ada dadah tersebut ialah dadah yang ditemui di tempat kejadian ataupun tidak. Selain itu, terdapat juga percanggahan mengenai warna dan bentuk barang kes antara saksi-saksi pendakwaan. Rantaian keterangan barang kes juga diragui dan kegagalan pegawai penyiasat membuat siasatan yang menyeluruh telah meruntuhkan kes pendakwaan. Atas alasan-alasan yang dinyatakan itu, peguam responden-responden menyokong keputusan hakim bicara dan menegaskan bahawa pihak pendakwaan telah gagal membuktikan kesalahan yang dikatakan dilakukan oleh responden-responden seperti mana dicatatkan dalam pertuduhan.

Keputusan Kami

[10] Kami telah meneliti dan menghayati penghujahan TPR serta menyemak serta menilai keterangan dalam rekod. Kami mendapati penghujahan TPR tidak bermerit dan keraguan yang terpahat di pemikiran hakim bicara diwajarkan dalam keadaan kes ini.

[11] Mengenai isu (a), kami mendapati kesilapan ini tidak seharusnya dilakukan oleh pihak pendakwaan terutamanya dalam kes yang seberat ini. Pihak pendakwaan dijangkakan (expected) mempamerkan ketekunan dan ketelitian yang tinggi tahapnya dalam kes yang membawa hukuman mati ini. Ini gagal dipamerkan dan gagal diperjelaskan walaupun diberikan masa oleh hakim bicara. Keraguan di pihak pendakwaan ini mewajarkan hakim bicara mempamerkan keraguan ke atas dadah yang dikatakan dalam milikan kedua-dua responden di sini. Oleh itu kami mendapati hakim bicara tidak terkhilaf dan menyokong keputusan beliau apabila memutuskan:

“[13] Di sini terdapat satu isu utama dalam kes ini yang menarik perhatian mahkamah sebelum isu-isu lain ditangani. Isunya adalah mengenai perbezaan berat dadah diantara dalam pertuduhan dan keterangan ahli kimia, SP2.

[14] Berhubung isu ini, izin mendakwa (P1) bertarikh 29.10.2014 untuk pendakwaan terhadap kedua-dua OKT bagi kes ini dikeluarkan bagi kesalahan mengedar 711.3 gram methamphetamine. Pertuduhan (P2) yang dikemukakan terhadap kedua-dua OKT juga menyatakan kesalahan kedua-dua OKT mengedar dadah methamphetamine seberat 711.3 gram.

[15] Walau bagaimana pun, berdasarkan keterangan melalui pernyataan bertulis ahli kimia (SP2) berat keseluruhan dadah methamphetamine dalam kes ini adalah 856.8 gram. Ini disahkan lagi berdasarkan laporan kimia P9 yang disediakan oleh SP2.

[16] Tiada sebarang penjelasan dari mana-mana saksi pendakwaan berhubung perbezaan berat dadah ini. Selain itu tiada apa-apa penjelasan yang munasabah dari pihak pendakwaan berhubung isu ini walaupun setelah hujahan berhubung isu ini dibuat oleh pihak pembelaan dan mahkamah memberi pihak pendakwaan hampir 3 minggu untuk menjawab isu ini.

[17] Jelasnya, isu ini berbeza dengan isu berat dadah yang diputuskan dalam kes-kes sebelum ini yang perbezaan berat dadah adalah diantara berat dadah yang ditimbang oleh pihak penguatkuasa dengan berat dadah yang ditimbang oleh ahli kimia. Pastinya pertuduhan yang dibuat adalah berdasarkan berat dadah oleh ahli kimia yang juga dinyatakan dalam laporan kimianya.

[18] Sebaliknya, dalam kes ini, berat dadah dalam izin mendakwa dan pertuduhan terhadap kedua-dua OKT adalah berbeza dengan berat dadah dalam keterangan ahli kimia (SP2). Perbezaan berat dadah tersebut adalah 145.5 gram.

[19] Di sini, tanpa sebarang keterangan dan penjelasan, saya tidak boleh membuat spekulasi bahawa pihak pendakwaan tersilap mengambil kira hanya 5 keping pinggan yang mengandungi dadah yang dianalisa oleh SP2, sedangkan jumlah keseluruhan adalah 6 keping pinggan yang mengandungi dadah iaitu yang bertanda “AA1” hingga “AA6”. Lebih ketara lagi, tiada apa-apa tindakan oleh pihak pendakwaan dibuat di akhir kes pendakwaan untuk menangani isu ini.

[20] Berdasarkan isu ini, saya dapati pihak pendakwaan gagal membuktikan elemen pertuduhan bahawa kedua-dua OKT melakukan kesalahan mengedar 711.3 gram dadah methamphetamine kerana keterangan SP2 adalah dadah methamphetamine dalam kes ini adalah seberat 856.8 gram.”

[12] Mengenai isu (b), kami juga tidak bersetuju dengan penghujahan TPR. Kami dapati hakim bicara telah membuat penelitian yang mendalam mengenai isu ini. Ditimbang bersekali dengan isu (a) di atas, susulan keraguan yang ditimbulkan diwajarkan. Kami dapati hakim bicara tidak tersalah arah dirinya apabila memutuskan:

“[21] Saya juga mendapati tiada keterangan berhubung penjagaan dan kawalan dadah yang ditemui pada 9.5.2014 tersebut dari jam 10.40 pagi sehingga 10.30 malam iaitu semasa dadah tersebut ditemui sehingga SP5 menyerahkan dadah berkenaan kepada pegawai penyiasat (SP9). Terdapat putusnya rantaian keterangan berhubung dadah berkenaan tanpa sebarang penjelasan untuk selama 12 jam.

[22] Hujahan Timbalan Pendakwa Raya bahawa kegagalan pihak pembelaan tidak menyoalbalas SP5 dan SP9 berhubung isu rantaian keterangan ini yang membolehkan keterangan SP5 dan SP9 perlu diterima jauh tersasar dari isu yang dipertikaikan. Isu di sini adalah tanggungjawab atau beban pihak pendakwaan antaranya untuk membuktikan tiada terputusnya rantaian keterangan berhubung dadah berkenaan. Ini penting bagi membuktikan seterusnya bahawa dadah yang ditemui adalah dadah yang sama dianalisa oleh ahli kimia (SP2) dan yang dibawa ke Mahkamah untuk perbicaraan kes ini. Ini bagi menangkis pertikaian mengenai identiti dadah tersebut.

[23] Di sini juga saya nyatakan, adalah bukan merupakan tanggungjawab pihak pembelaan untuk menyoalbalas SP5 dan SP9 bagi menampung sebarang kelompangan berhubung rantaian keterangan dadah berkenaan. Sebaliknya, peguam yang berpengalaman akan membiarkan kelompangan yang ada kerana ini memberi faedah kepada kes pembelaan.

[24] Dalam kes ini jelasnya terdapat perbezaan berat dadah dan terputusnya rantaian keterangan berhubung dadah yang ditemui selama 12 jam tanpa penjelasan dari pihak pendakwaan.

[25] Berkaitan isu rantaian keterangan ini, penjelasan yang diberikan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Liew Wai Loon v PP [2014] 2 CLJ 649, di muka surat 659 boleh dijadikan panduan iaitu seperti berikut:-

“[27] Accordingly in the present case, we would say that discrepancies in weight alone of an exhibit such as a drug should not ipso facto cast doubt on its identity. There are other primary factors to consider such as the facts and/or events that from the foundation for its admission as a piece of evidence. On fact and or event to consider is whether there is any break in the handling or custody, which tantamount to a break in the chain of evidence. If such event occurred than that should cast a doubt in the exhibit as reliable and trustworthy piece of evidence. (See Su Ah Ping v PP [1979] 1 LNS 100, [1980] 1 MLJ 75, Eng Sin v PP [1974] 1 LNS 33; [1974] 2 MLJ 168)."

[26] Dalam kes terhadap kedua-dua OKT ini jelasnya terdapat putusnya rantaian keterangan berhubung dadah yang ditemui seperti yang dinyatakan terdahulu. Oleh itu identiti dadah tersebut adalah dipertikaikan.

[27] Di samping itu, saya juga mempertimbangkan isu milikan dalam kes ini. Keterangan pihak pendakwaan adalah kotak yang mengandungi dadah tersebut dihantar oleh posmen (SP4) pada hari kejadian dan diterima oleh OKT 2 pada jam 9.11 pagi. SP4 menjelaskan bahawa SP4 menghantar kotak berkenaan berdasarkan alamat dan bukan berdasarkan nama pada kotak berkenaan. Nama penerima pada kotak tersebut adalah ‘Horve-Stig’ dan jelasnya bukan nama kedua-dua OKT. Rumah tersebut juga disewa oleh SP6 kepada seorang bernama Victor Stiava berdasarkan perjanjian sewaan bertarikh 19.2.2014 (P21). Jelasnya rumah tersebut juga bukan atas nama kedua-dua OKT.

Selain itu, pegawai penyiasat (SP6) mengesahkan berdasarkan maklumat paspot, OKT 1 baru sampai dari Iran sebelum hari kejadian dan boleh dianggap sebagai tetamu di rumah tersebut.

[28] Seterusnya, pihak polis membuat serbuan tidak lama selepas kotak P8A tersebut diserahkan oleh posmen (SP4) kepada OKT 2. Kotak berisi dadah tersebut kemudiannya ditemui di atas jalan di bawah kondo tersebut pada lebih kurang jam 10.40 pagi iaitu lebih kurang 1 jam 30 minit setelah diserahkan oleh posmen (SP4) kepada OKT 2.

[29] Berdasarkan keseluruhan keterangan yang dinyatakan ini, saya mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan bahawa kedua-dua OKT mempunyai milikan terhadap kotak P8A yang berisi dadah tersebut.”

[13] Mengenai isu (c), jelas sekali hakim bicara setelah berpandukan kes PP v Mohd. Radzi Abu Bakar [2006] 1 CLJ 457 telah membuat penilaian yang maksimum ke atas keterangan yang dibentangkan oleh pendakwaan. Hakim bicara telah menganalisis secara menyeluruh keterangan tersebut dalam menentukan tiga isu utama yang harus diputuskan iaitu:

(a) Bahan yang dibuang daripada tingkat 3 oleh responden pertama tersebut ialah dadah berbahaya sepertimana yang disenaraikan di bawah Jadual Pertama, Akta Dadah Berbahaya 1952;

(b) Dadah berbahaya tersebut adalah dalam milikan bersama responden pertama dan responden kedua; dan

(c) responden pertama dan responden kedua mempunyai niat bersama untuk mengedar dadah berbahaya tersebut.

Kami mendapati hakim bicara tidak khilaf dan telah mengarahkan dirinya dengan betul apabila membuat penilaian yang maksimum di akhir kes pendakwaan selaras dengan keputusan kes PP v Mohd. Radzi Abu Bakar (supra).

Kesimpulan

[14] Berdasarkan alasan dan huraian di atas, kami berpuas hati bahawa hakim bicara tidak khilaf dan tersalah arah dirinya dalam membuat keputusan yang dicabar. Kes ini mendedahkan banyak kekeliruan dan kesilapan di pihak pendakwa raya yang pada kami terjumlah kepada keraguan yang munasabah. Dalam keadaan sedemikian, kami mendapati keputusan hakim bicara melepas dan membebaskan responden di akhir pendakwaan diwajarkan dan betul. Dengan itu rayuan pendakwa raya ditolak dan keputusan hakim bicara disahkan dan dikekalkan.

t.t

ABDUL KARIM BIN ABDUL JALIL
Hakim Mahkamah Rayuan

Tarikh: 2 Ogos 2018

COUNSEL

Bagi pihak Perayu: Mohd Zain bin Ibrahim (bersama Muhammad Azmi bin Mashud), Timbalan Pendakwa Raya, Jabatan Peguam Negara

Bagi pihak Responden-Responden: Dato’ Geethan Ram Vincent (bersama Jayarubbiny Jayaraj), Tetuan Geethan Ram

Dato’ C. Vignesh Kumar, Tetuan Vignesh Kumar & Associates

Legislation referred to:

Akta Dadah Berbahaya 1952, Jadual Pertama; Seksyen-seksyen 39B(1)(a), 39B(2)

Kanun Keseksaan, Seksyen 34

Kanun Prosedur Jenayah, Seksyen-seksyen 158, 422

Judgments referred to:

PP v Mohd. Radzi Abu Bakar [2006] 1 CLJ 457

Notice: The Promoters of Malaysian Judgments acknowledge the permission granted by the relevant official/ original source for the reproduction of the above/ attached materials. You shall not reproduce the above/ attached materials in whole or in part without the prior written consent of the Promoters and/or the original/ official source. Neither the Promoters nor the official/ original source will be liable for any loss, injury, claim, liability, or damage caused directly, indirectly or incidentally to errors in or omissions from the above/ attached materials. The Promoters and the official/ original source also disclaim and exclude all liabilities in respect of anything done or omitted to be done in reliance upon the whole or any part of the above/attached materials. The access to, and the use of, Malaysian Judgments and contents herein are subject to the Terms of Use.