THE OFFICIAL REPOSITORY OF
MALAYSIAN JUDGMENTS & RULINGS

[2018] MYCA 183 MALAY

Nwite Ikechukwu Ogbonnaya v Pendakwa Raya
Suit Number: Rayuan Jenayah No. B-05(M)-294-08/2016 

Criminal law – Trafficking in dangerous drugs – Conviction – Death sentence – Appeal

Criminal law – Statutory presumption under section 37(d) of Akta Dadah Berbahaya 1952

PENGHAKIMAN

Pendahuluan

[1] Perayu, seorang warganegara Nigeria, telah dituduh di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor mengedarkan methamphetamine seberat 2,720.4 gram, satu kesalahan di bawah seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (“ADB 1952”) yang boleh dihukum di bawah seksyen 39B(2) Akta yang sama.

[2] Pada 30.10.2014, di akhir kes pendakwaan, Y.A Hakim Mahkamah Tinggi (“hakim bicara”) telah memutuskan bahawa pihak pendakwaan telah gagal membuktikan satu kes prima facie terhadap Perayu atas pertuduhan yang dikemukakan terhadapnya dan berikutan dengan itu Perayu telah dibebaskan dan dilepaskan tanpa pembelaannya dipanggil.

[3] Terkilan dengan keputusan tersebut, Pendakwa Raya telah mengemukakan rayuan ke Mahkamah Rayuan. Pada 12.4.2016, Mahkamah Rayuan (Mohtarudin Baki, Zakaria Sam dan Abdul Karim Abdul Jalil, HHMR) telah membenarkan rayuan Pendakwa Raya dan Perayu telah diperintahkan untuk membela diri terhadap pertuduhan yang dikemukakan terhadapnya.

[4] Pada 26.7.2017, di akhir kes pembelaan, hakim bicara, selepas menimbangkan keseluruhan keterangan yang dikemukakan, memutuskan bahawa Perayu telah gagal untuk menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan. Akibatnya, Perayu telah disabitkan dan dijatuhkan hukuman gantung mandatori seperti yang diperuntukkan oleh undang-undang.

[5] Tidak berpuashati dengan keputusan tersebut, Perayu telah merayu ke Mahkamah ini terhadap sabitan dan hukuman yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi.

[6] Kami telah mendengar rayuan Perayu pada 18.4.2018. Kami mendapati bahawa rayuan Perayu tidak bermerit dan dengan sebulat suara telah menolak rayuan tersebut. Kini, kami menyatakan alasan-alasan ringkas keputusan kami.

Pertuduhan

[7] Pertuduhan terhadap Perayu ialah seperti yang berikut:-

“Bahawa kamu pada 5 Jun 2011, jam lebih kurang 9.35 malam, di laluan keluar Balai Ketibaan Antarabangsa berhampiran Kaunter Pemeriksaan Kastam, Aras 3, Balai Ketibaan Antarabangsa, KLIA, dalam Daerah Sepang, di dalam Negeri Selangor Darul Ehsan, telah mengedar dadah berbahaya iatu methamphetamine seberat 2,720.4 gram, dan dengan itu kamu telah melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) Akta yang sama.”.

Fakta Kes

A. Versi Pihak Pendakwaan

[8] Versi pihak pendakwaan bolehlah diringkaskan seperti berikut:-

8.1 Pada 5.6.2011, jam lebih kurang 8.00 malam, D/S.I Ghazali bin Md. Din (SP6) bersama-sama anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik KLIA telah membuat pemantauan dan pemeriksaan bagasi penerbangan QR 622 dari Doha ke Kuala Lumpur di Kawasan Tuntutan Bagasi F, Balai Ketibaan Antarabangsa KLIA, Sepang.

8.2 SP6 dan pasukannya kemudiannya telah menahan Perayu dan SP6 telah mengarahkan Perayu untuk meletakkan kedua-dua beg yang dibawa olehnya ke dalam mesin pengimbas.

8.3 Menurut SP6, hasil imbasan itu tidak menunjukkan apa-apa imej yang mencurigakan tetapi menurut SP6, Perayu kelihatan gugup. Oleh itu, SP6 telah mengarahkan Perayu untuk membuka kedua-dua begnya untuk pemeriksaan.

8.4 Hasil pemeriksaan, SP6 mendapati di dalam beg troli terdapat pakaian, manakala di bahagian bawahnya pula terdapat banyak bungkusan makanan mee segera Indomee, sausage roll, spaghetti dan macaroni.

8.5 SP6 merasa curiga mengenai barang-barang tersebut dan beliau telah mengarahkan Perayu untuk menutup begnya dan memasukkan semula semua kandungannya. SP6 kemudiannya membawa Perayu dan beg tersebut ke Pejabat Narkotik untuk pemeriksaan lanjut.

8.6 Di Pejabat Narkotik, hasil pemeriksaan ke atas beg troli (Eksibit P24), SP6 mendapati di atas beg tersebut terdapat tag bertulis nama Nwite (Eksibit P24A). Sementara itu, hasil pemeriksaan ke atas bungkusan-bungkusan mee segera, yang dibuat di hadapan Perayu, SP6 telah menjumpai ketulan-ketulan dan serbuk-serbuk yang disyaki dadah yang disembunyikan di dalam bungkusan-bungkusan mee segera Indomee.

8.7 SP6 kemudiannya telah membuat tandaan dan tandatangan ke atas setiap barang kes, mengeluarkan borang bongkar (Eksibit P31), dan seterusnya membuat laporan polis.

8.8 Seterusnya SP6 menyerahkan barang-barang kes bersama-sama dengan Perayu kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut. Pegawai Penyiasat, Inspektor Haryati binti Zahruddi (SP7) juga turut membuat tandaan ke atas setiap barang-barang kes yang diterima.

8.9 SP7 kemudiannya telah membungkus barang-barang kes dadah tersebut ke dalam kotak bertanda “HZ” (Eksibit P7) yang tercatat nombor report. Pada 16 Jun 2011, kotak (Eksibit P7) tersebut telah dihantar ke Jabatan kimia Malaysia untuk dianalisis oleh Ahli Kimia, Encik Zulkfeli bin Edin (SP1). Hasil analisis oleh SP1 menunjukkan bahawa bahan kristal tersebut adalah dadah jenis methamphetamine seberat 2,720.4 gram.

B. Versi Pihak Pembelaan

[9] Versi pembelaan bolehlah diringkaskan seperti berikut:-

9.1 Perayu ialah seorang warganegara Nigeria. Sebelum ditangkap, Perayu belajar di World Point Academy, Ampang dalam jurusan “English Tourism”. Perayu juga bekerja sambilan di Cyber Lodge Hotel Cyberjaya.

9.2 Sebelum ditangkap, Perayu berada di Nigeria. Mengikut Perayu, pada satu hari dia telah menerima panggilan telefon daripada seorang kawan yang dikenalinya sejak bulan Mac 2011 bernama Casmire. Menurut Perayu, Casmire belajar di Tropicana College Malaysia. Casmire telah meminta Perayu untuk membawa makanan dari Nigeria kepadanya memandangkan Perayu akan balik ke Malaysia tidak lama lagi.

9.3 Perayu bersetuju dengan permintaan Casmire memandangkan Perayu tidak akan membawa barang yang banyak kerana barang-barang Perayu sudahpun berada di Malaysia. Casmire telah meminta Perayu untuk menelefon abangnya Lampard. Perayu telah menghubungi Lampard dan Lampard memberitahu Perayu bahawa seorang yang bernama Alhaji Lagos akan menyerahkan makanan tersebut kepadanya. Lampard turut memberikan nombor telefon Alhaji Lagos kepada Perayu. Perayu telah menghubungi Alhaji Lagos dan Alhaji Lagos telah memberitahu Perayu bahawa barang-barang tersebut akan diserahkan kepada Perayu sebelum pesawat Perayu berlepas pada 4 Jun 2011.

9.4 Pada 4 Jun 2011, Perayu telah bertolak ke lapangan terbang dengan menaiki teksi. Tiba-tiba Alhaji Lagos menelefon Perayu untuk berjumpa dengannya di lapangan terbang. Semasa di lapangan terbang, Alhaji Lagos telah menyerahkan kepada Perayu sebuah beg untuk diserahkan kepada Casmire dan Lampard. Perayu telah membuka beg tersebut dan mendapati di dalamnya terdapat sejumlah mee segera. Alhaji Lagos telah menyatakan kepada Perayu bahawa beg yang mengandungi mee segera tersebut adalah lebih baik daripada beg Perayu, lalu Alhaji Lagos dan Perayu telah memindahkan barang-barang dari beg Perayu ke dalam beg yang dibawa oleh Alhaji Lagos beserta dengan peket-peket mee segera tersebut. Menurut Perayu, dia bersetuju menggunakan beg Alhaji Lagos tersebut memandangkan begnya sudah lama.

9.5 Apabila Perayu sampai di KLIA dan ditahan, Perayu telah menelefon Lampard dan Casmire untuk datang ke lapangan terbang. Walau bagaimanapun, kedua-dua mereka tidak datang dan pegawai polis yang menahannya juga tidak melayani penjelasan Perayu.

9.6 Pegawai Kastam ada mengatakan bahawa barang-barang kes yang dibawa oleh Perayu adalah sama dengan satu kes lain yang baru mereka tangkap. Perayu juga menyatakan bahawa dia boleh membawa pihak polis ke tempat kediaman Casmire dan Lampard di Mahkota Cheras. Perayu turut menyatakan bahawa dia ada menyatakan perkara tersebut kepada pegawai penyiasat dan juga di dalam percakapan beramarannya.

9.7 Perayu seterusnya menyatakan bahawa dadah yang dijumpai dalam peket-peket mee tersebut bukan miliknya dan dia hanya membantu Casmire dan Lampard untuk membawa makanan dari Nigeria. Perayu juga menyatakan bahawa beliau tidak mengesyaki apa-apa kerana peket-peket mee segera tersebut kelihatan seperti mee segera biasa dan adalah amalan biasa untuk pelajar dari Nigeria membawa makanan dari Nigeria apabila mereka datang ke Malaysia. Perayu juga turut menyatakan bahawa jika dia mengetahui bahawa barang-barang makanan tersebut sebenarnya mengandungi dadah, dia tidak akan bersetuju untuk membawanya ke Malaysia.

9.8 Selepas ditangkap, Perayu telah diletakkan di dalam sebuah bilik lain bersama-sama dengan seorang lelaki Nigeria bernama Nwankwo Chris Ifeanyi (SD3) yang telah ditangkap pada 3 Jun 2011. Perayu menyatakan bahawa pihak polis telah membawa eksibit yang telah dirampas daripada kedua-dua mereka dan meletakkannya bersama-sama di atas sebuah meja. Pegawai penyiasat kes Perayu dan SD3 telah menyoal siasat Perayu dan SD3. Menurut Perayu, pegawai penyiasat kesnya dan SD3 adalah Inspektor Zulkifli bin Rasid. Pada masa yang sama, pegawai serbuan menanda barang-barang kes dan beliau memberitahu mereka bahawa barang-barang kes telah bercampur-aduk. Perayu juga menyatakan dia yakin bahawa barang-barang kes telah bercampur.

9.9 Perayu seterusnya menyatakan bahawa barang-barang kes yang dianalisis oleh ahli kimia adalah tidak sama dengan barang-barang kes yang ditunjukkan pertama kali kepadanya. Begitu juga dengan catatan dalam laporan polis pegawai serbuan juga adalah tidak sama tandaannya.

9.10 Menurut Perayu lagi, semasa rakaman percakapannya, tiada jurubahasa Nigeria dan beliau tidak faham bahasa Inggeris yang digunakan oleh pegawai perakam.

Rayuan

[10] Di hadapan kami, peguambela terpelajar telah mengemukakan dua (2) alasan utama untuk mencabar keputusan hakim bicara, iaitu-

(a) Y.A hakim bicara khilaf di sisi undang-undang dan fakta apabila gagal untuk membuat suatu penemuan positif sama ada pihak pendakwaan bergantung kepada anggapan statutori di bawah seksyen 37(d) ADB 1952 untuk membuktikan elemen pengetahuan dan keterangan langsung di bawah seksyen 2 ADB 1952 bagi membuktikan elemen pengedaran; dan

(b) Y.A hakim bicara khilaf apabila gagal untuk mempertimbangkan percakapan beramaran Perayu (Eksibit D67).

Alasan (a)

[11] Peguambela terpelajar Perayu berhujah bahawa hakim bicara percaya atau membuat tanggapan bahawa apabila Mahkamah Rayuan telah memutuskan untuk memerintahkan Perayu membela diri, Mahkamah Rayuan telah memutuskan bahawa anggapan pengetahuan di bawah seksyen 37(d) ADB 1952 adalah terpakai dan elemen pengedaran telah dibuktikan melalui keterangan langsung di bawah seksyen 2 ADB 1952.

[12] Dihujahkan bahawa kepercayaan atau tanggapan hakim bicara tersebut adalah tidak berasas dan tersasar kerana di dalam alasan penghakimannya di muka surat 43-50, Jilid I, Rekod Rayuan, hakim bicara langsung tidak membincangkan atau menyentuh mengenai pemakaian anggapan statutori di bawah seksyen 37(d) ADB 1952 dan/atau pembuktian elemen pengedaran melalui keterangan langsung di bawah seksyen 2 ADB 1952.

[13] Kegagalan hakim bicara membuat penemuan positif sama ada pihak pendakwaan bergantung kepada anggapan statutori di bawah seksyen 37(d) dan/atau seksyen 2 ADB 1952 adalah merupakan satu salah arah yang serius kerana ia telah memprejudiskan Perayu dan ia terjumlah kepada satu kegagalan keadilan (“miscarriage of justice”). (Lihat kes-kes Seyedalireza Seyedhedayatollah Ehteshamiardestani v PP [2014] 4 CLJ 406, Lee Bah Hin v Pendakwa Raya [2018] 1 LNS 9, Soorya Kumar Narayanan v PP [2009] 6 CLJ 257).

Keputusan Mahkamah Ini Mengenai Isu (a)

[14] Pada pandangan kami, pendekatan yang diambil oleh hakim bicara adalah betul di sisi undang-undang. Adalah menjadi undang-undang mantap bahawa apabila Mahkamah Rayuan telah mengakaskan keputusan hakim bicara dan memerintahkan agar Perayu dipanggil membela diri terhadap pertuduhan yang dikemukakan terhadapnya, tugas hakim bicara ialah untuk memutuskan sama ada pembelaan Perayu telah berjaya menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan, dan jika apa-apa anggapan statutori telah digunapakai, sama ada anggapan tersebut telah dipatahkan atas imbangan kebarangkalian.

[15] Hakim bicara adalah tidak dikehendaki untuk mengulangkaji keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Rayuan bagi menentukan sama ada satu kes prima facie telah berjaya dibuktikan oleh pihak pendakwaan. Pendekatan ini telah dinyatakan, antara lain, oleh kes PP v Sani Othman [2011] 1 CLJ 626, apabila Mahkamah ini menyatakan:-

“When defence is directed to be called by an appeal court the trial judge must accept that a prima facie case has been proven. It is as if the defence was called by the learned judge himself (Saad Abas & Anor v. PP [1998] 4 CLJ 575). Only after he has gauged the total evidence adduced, inclusive of all the evidence adduced at the prosecution's stage, and tested as against the defence evidence may the fate of the accused person be decided by the court. In short there will be a maximum evaluation of the whole evidence at the close of the defence.”.

[16] Timbalan Pendakwa Raya (“TPR”) terpelajar berhujah bahawa sekiranya Mahkamah ini memutuskan bahawa hakim bicara telah melakukan satu salah arah serius apabila gagal untuk memutuskan secara positif sama ada pihak pendakwaan sebenarnya bergantung kepada anggapan statutori di bawah seksyen 37(d) untuk membuktikan elemen pengetahuan dan seksyen 2 untuk membuktikan elemen pengedaran, di mana dinafikan, Mahkamah patut dan wajar mengguna pakai proviso seksyen 60(1) Akta Mahkamah Kehakiman 1964 (Akta 91) untuk membuat penilaian sendiri terhadap keterangan yang dikemukakan.

[17] Bagi menyokong hujahan tersebut, TPR merujuk kepada kes-kes (Tang Kheng Teong v PP [2003] 2 CLJ 701; Tunde Apatira & Ors v PP [2001] 1 CLJ 381; Mohd Jamal bin Abdul Ghani v Pendakwa Raya [2013] 1 LNS 381; Miss Thepthida Ninketla v Pendakwa Raya [2017] 1 LNS 1476).

[18] Pada hemat kami, memandangkan keterangan yang dikemukakan terhadap Perayu adalah kukuh dan mantap (“overhelming”), demi keadilan, adalah wajar bagi kami mengguna pakai proviso seksyen 60(1) Akta Kehakiman Mahkamah 1964 untuk membuat penilaian sendiri terhadap keterangan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan.

[19] Berdasarkan kepada keterangan yang telah dikemukakan, adalah tidak dipertikaikan bahawa SP6 telah melihat Perayu dalam keadaan mencurigakan dan gugup ketika membawa sebuah beg troli berjenama Polosensi (Eksibit P24). Hasil pemeriksaan lanjut, SP6 menjumpai 25 bungkusan plastik Indomee yang mengandungi dadah berbahaya.

[20] Dalam keadaan tersebut, adalah jelas bahawa Perayu mempunyai jagaan dan kawalan terhadap dadah berbahaya yang menjadi hal perkara pertuduhan. Berikutannya, anggapan statutori di bawah seksyen 37(d) ADB 1952 hendaklah dipakai bagi membuktikan elemen pengetahuan di pihak Perayu (lihat Miss Yotaka Saleegol v Public Prosecutor [2017] 1 LNS 735).

[21] Berhubung dengan elemen pengedaran, perbuatan Perayu yang membawa dadah berbahaya dari Lapangan Terbang Lagos melalui Doha ke Lapangan Terbang KLIA dengan menyembunyikannya (“concealing”) di dalam sebuah beg (Eksibit P24), tentunya terjumlah kepada perbuatan “mengedar” di bawah seksyen 2 ADB 1952 (lihat Teh Geok Hock v PP [1989] 3 MLJ 162).

[22] Oleh itu, Perayu adalah dikehendaki untuk mengakaskan anggapan di bawah seksyen 37(d) ADB 1952 dengan membawa keterangan atas imbangan kebarangkalian. (Lihat Balachandran v PP [2005] 2 MLJ 301).

Alasan (b)

[23] Peguambela terpelajar berhujah bahawa hakim bicara khilaf apabila gagal untuk mempertimbangkan fakta yang dinyatakan oleh Perayu dalam percakapan beramarannya (Eksibit D67), iaitu bahawa bagasi tersebut telah diberikan oleh seorang bernama Alhaji Lagos di lapangan terbang di Nigeria untuk diberikan kepada Casmire dan Lampard di Malaysia.

[24] Perlu diambil perhatian bahawa pembelaan yang dikemukakan oleh Perayu dari kandang saksi adalah sama dengan apa yang dinyatakan olehnya dalam percakapan beramarannya (Eksibit D67), antara lain, bahawa bagasi tersebut telah diberikan oleh Alhaji Lagos di Lapangan Terbang di Nigeria untuk diberikan kepada Casmire dan Lampard di Malaysia. Hakim bicara telah memberikan pertimbangan yang saksama terhadap pembelaan tersebut tetapi menolaknya. Justeru, persoalan bahawa hakim bicara tidak mempertimbangkan pembelaan Perayu, termasuklah Eksibit D67, secukupnya adalah tidak berbangkit. Dalam kes PP v Losali & 1 Lagi [2010] 8 CLJ 560, Mahkamah ini menyatakan mengenai kegagalan hakim bicara untuk merujuk kepada percakapan beramaran tertuduh seperti berikut:-

“Kami tidak dapat menyatakan demikian. Ini adalah kerana apabila percakapan beramaran tertuduh kedua diteliti, adalah didapati bahawa apa yang dikatakan oleh tertuduh kedua adalah sama dengan apa yang dikatakan semasa perbicaraan. Begitu juga dengan keterangan tertuduh keempat dan percakapan beramarannya yang menyatakan perkara yang sama. Adalah tidak perlu hakim bicara merujuk kepada keterangan-keterangan itu satu persatu. Hakikatnya ialah hakim bicara tidak dapat menerimanya. Asasnya ialah kerana hakim bicara mendapati keterangan tertuduh kedua dan keterangan tertuduh keempat tidak boleh dipercayai apabila diuji dengan keterangan yang dikemukakan oleh pihak pendakwa.”.

(Penekanan ditambah).

[25] Kami telah meneliti pembelaan yang dikemukakan oleh Perayu dan kami mendapati matan pembelaannya adalah sama dengan apa yang dinyatakan dalam percakapan beramarannya. Kami bersetuju dengan keputusan hakim bicara yang menolak pembelaan Perayu bahawa dia tidak mengetahui beg tersebut telah diisikan dengan dadah berbahaya di dalam peket-peket mee segera. Dalam Alasan Penghakimannya di muka surat 46 hingga 47, Jilid I, hakim bicara menyatakan-

“28. ... Untuk itu OKT mengatakan bahawa dia tiada pengetahuan kerana barang-barang ini dipesan oleh Casmire dan Lampard yang tinggal di Bandar Mahkota Cheras dan dia ada memberitahu pegawai serbuan mengenai perkara ini dan boleh membawa beliau ke kediaman mereka. OKT seterusnya berkata dia juga ada menyatakan perkara ini di dalam kenyataan beramaran beliau. Akan tetapi maklumat yang beliau berikan itu tidak dilayan oleh pegawai-pegawai tersebut.

29. Keterangan menunjukkan bahawa di atas beg tersebut terdapat satu tag beg yang terdapat nama OKT, bagaimanapun menurut OKT beliau tidak mendaftar masuk beg itu sebagai bagasi beliau tetapi telah dilakukan oleh Alhaji Lagos, saya berpendapat keterangan ini hanya rekaan OKT semata-mata. Pembelaan tidak pada bila-bila masa membangkitkan isu pendaftaran masuk beg ini pada peringkat kes pendakwaan malah adalah mustahil orang lain boleh mendaftar masuk bagasi penumpang tanpa pass-masuk (tiket) penerbangan yang berada kepada penumpang dan juga passport penumpang iaitu OKT di dalam kes ini. OKT tidak memberikan penjelasan lanjut mengenai perkara ini. Oleh itu saya berpendapat pembelaan ini adalah suatu “afterthought" dan rekaan OKT semata-mata.

30. OKT juga baru kenal dengan Alhaji Lagos melalui panggilan telefon atas nombor yang diberikan kepadanya oleh Lampard. Kemudian mereka berjumpa di lapangan terbang. OKT tidak memberikan alasan kenapa beliau terlalu mempercayai Alhaji Lagos walaupun beliau tidak pernah berjumpa sebelum ini. Seandainya Alhaji Lagos ini wujud, sudah pastilah kedua-dua mereka akan mendaftar masuk dengan mengunakan passport OKT, keterangan ini sukar untuk dipercayai, kecualilah kedua-dua mereka berpakat untuk membawa dan menyembunyikan dadah di dalam peket-peket mee segera itu sebelumnya.”.

[26] Kami mendapati alasan yang dikemukakan oleh hakim bicara terhadap penolakan pembelaan Perayu adalah munasabah dan wajar berdasarkan keterangan dan keadaan yang wujud dalam kes ini.

Kesimpulan

[27] Kami berpuashati bahawa berdasarkan keterangan yang terdapat di hadapan Mahkamah, sabitan terhadap Perayu adalah selamat. Rayuan Perayu tidak bermerit dan ditolak. Sabitan dan hukuman yang dibuat oleh hakim bicara adalah dengan ini disahkan dan dikekalkan.

Bertarikh: 6 Jun 2018

t.t.

MOHD ZAWAWI SALLEH
Hakim
Mahkamah Rayuan
Malaysia

COUNSEL

Peguamcara Perayu: Alfred Egin, Messrs Alfred Egin & Co, PKNS Bizpoint, No. 67B, Tingkat 2, Jalan Plumbum P7/77, Seksyen 7, 40000 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan

Peguamcara Responden: Nik Syahril Nik Ab Rahman, Timbalan Pendakwa Raya, Bahagian Perbicaraan dan Rayuan, Jabatan Peguam Negara, No. 45, Blok 4G7, Persiaran Perdana, Presint 4, 62100 Putrajaya

Legislation referred to:

Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen-seksyen 2, 37(d), 39B(1)(a), 39B(2)

Akta Mahkamah Kehakiman 1964, Seksyen 60(1)

Judgments referred to:

Balachandran v PP [2005] 2 MLJ 301

Lee Bah Hin v Pendakwa Raya [2018] 1 LNS 9

Miss Thepthida Ninketla v Pendakwa Raya [2017] 1 LNS 1476

Miss Yotaka Saleegol v Public Prosecutor [2017] 1 LNS 735

Mohd Jamal bin Abdul Ghani v Pendakwa Raya [2013] 1 LNS 381

PP v Losali & 1 Lagi [2010] 8 CLJ 560

PP v Sani Othman [2011] 1 CLJ 626

Seyedalireza Seyedhedayatollah Ehteshamiardestani v PP [2014] 4 CLJ 406

Soorya Kumar Narayanan v PP [2009] 6 CLJ 257

Tang Kheng Teong v PP [2003] 2 CLJ 701

Teh Geok Hock v PP [1989] 3 MLJ 162

Tunde Apatira & Ors v PP [2001] 1 CLJ 381

Notice: The Promoters of Malaysian Judgments acknowledge the permission granted by the relevant official/ original source for the reproduction of the above/ attached materials. You shall not reproduce the above/ attached materials in whole or in part without the prior written consent of the Promoters and/or the original/ official source. Neither the Promoters nor the official/ original source will be liable for any loss, injury, claim, liability, or damage caused directly, indirectly or incidentally to errors in or omissions from the above/ attached materials. The Promoters and the official/ original source also disclaim and exclude all liabilities in respect of anything done or omitted to be done in reliance upon the whole or any part of the above/attached materials. The access to, and the use of, Malaysian Judgments and contents herein are subject to the Terms of Use.