THE OFFICIAL REPOSITORY OF
MALAYSIAN JUDGMENTS & RULINGS

[2018] MYCA 87 MALAY

Nurul Alyasak Bin Wahid v Pendakwa Raya
Suit Number: Rayuan Jenayah No. J-05(M)-386-10/2016 

PENGHAKIMAN

Latarbelakang

[1] Perayu telah dituduh dan dibicarakan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Mahkamah Tinggi Muar (‘hakim bicara’) dengan satu pertuduhan mengedar dadah berbahaya di bawah seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya, 1952 (‘Akta’). Butir-butir pertuduhan ialah seperti berikut:

“Bahawa kamu pada 18.3.2015, jam lebih kurang 11.30 malam, di Jalan Rengland 4, Taman Perindustrian Rengland, Simpang Renggam, di dalam Daerah Kluang, di dalam Negeri Johor, bagi pihak diri kamu telah mengedar bahan dadah berbahaya Cannabis seberat 966 gram dan oleh yang demikian kamu telah melakukan satu kesalahan di bawah seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, dan boleh dihukum di bawah seksyen 39B(2) Akta yang sama.”.

[2] Di akhir perbicaraan, hakim bicara telah mensabitkan Perayu dengan pertuduhan dan telah menjatuhkan hukuman mati mandatori ke atas Perayu. Terkilan dengan sabitan dan hukuman mati tersebut, Perayu telah memfailkan rayuan ke Mahkamah ini.

[3] Kami telah mendengar rayuan Perayu pada 9.3.2018. Setelah mendengar hujahan pihak-pihak dan meneliti rekod rayuan, kami telah dengan sebulat suara menolak rayuan Perayu. Kami telah mengesahkan dan mengekalkan sabitan dan hukuman oleh hakim bicara. Sekarang kami memperincikan alasan-alasan penolakan rayuan Perayu.

Kes Pendakwaan

[4] Keterangan ringkas kes pendakwaan adalah seperti berikut. Pada 18.3.2015, jam lebih kurang 11.15 malam, Inspektor Azrul Izwan bin Abdul Latif (SP6) bersama beberapa anggota, termasuklah Sarjan Zaini bin Hussin (SP3) yang bertindak atas maklumat awam, telah membuat pemerhatian di Jalan Rengland 4, Taman Perindustrian Rengland, Simpang Renggam (‘tempat kejadian’) terhadap seorang lelaki Melayu yang kemudiannya dicamkan sebagai Perayu. Pemerhatian dilakukan dari dalam kereta pasukan yang diletakkan dalam jarak 5 hingga 7 meter dari Perayu.

[5] Semasa pemerhatian tersebut, Perayu dilihat sedang berdiri di tepi jalan tempat kejadian seorang diri, berlegar-legar sambil memandang ke kiri dan kanan. SP6 melihat Perayu sedang memegang satu beg plastik berwarna putih. SP6 dan SP3 keluar dari kereta dan pergi menghampiri Perayu. SP6 terus memperkenalkan dirinya sebagai pegawai polis dengan menunjukkan kad kuasanya kepada Perayu. SP6 melihat Perayu berada dalam keadaan takut, lalu mencampakkan beg plastik putih tersebut ke atas jalan dan cuba untuk melarikan diri. Walau bagaimanapun, SP6 dan SP3 berjaya menahan Perayu.

[6] Perayu telah dibawa semula ke tempat di mana beg plastik putih dicampakkan oleh Perayu. SP6 telah mengambil beg plastik putih tersebut dan terus membuat pemeriksaan dengan disaksikan oleh Perayu dan anggota pasukan yang lain. Setelah diperiksa, SP6 mendapati di dalam beg plastik putih bertulisan “ABELHA" tersebut mengandungi satu ketulan mampat tumbuhan kering disyaki dadah ganja yang dibalut dengan foil aluminium. SP6 dan SP3 telah mengecamkan beg plastik putih dan satu ketulan mampat tumbuhan kering berbalut foil aluminium tersebut seperti ditunjukkan dalam gambar eksibit P3 (A-E) di muka surat 115 hingga 119, Rekod Rayuan Jilid 2.

[7] Perayu terus ditangkap dan dibawa balik ke Balai Polis Simpang Renggam bersama barang-barang kes yang dirampas untuk tindakan lanjut. SP6 telah membuat satu laporan polis (eksibit P12). Perayu dan barang-barang kes kemudiannya telah diserahkan kepada Inspektor Mohd Firdaus bin Mohd Diah (SP7) untuk tindakan susulan.

[8] Satu ketulan mampat tumbuhan kering disyaki dadah ganja telah dihantar oleh SP7 kepada ahli kimia dan diterima oleh Siti Zubaidah binti Hanapi (SP4) untuk pemeriksaan dan analisis. SP4 mengesahkan, setelah menjalankan pemeriksan dan analisis, bahawa ketulan mampat bahan tumbuhan tersebut mengandungi dadah berbahaya cannabis dengan jumlah berat 966 gram, yang menjadi hal perkara dalam pertuduhan. SP4 juga mengesahkan bahawa cannabis tersenarai di bawah Jadual Pertama kepada Akta. Laporan Kimia yang disediakan oleh SP4 telah dikemukakan dan ditandakan sebagai eksibit P8.

Dapatan hakim bicara di akhir kes pendakwaan

[9] Di akhir kes pendakwaan, hakim bicara, setelah membuat pertimbangan secara maksima keseluruhan keterangan saksi-saksi pendakwaan, mendapati bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan satu kes prima facie terhadap Perayu. Hakim bicara berpuas hati bahawa semua elemen pertuduhan telah berjaya dibuktikan terhadap Perayu oleh pihak pendakwaan.

[10] Hakim bicara telah menerima keterangan saksi SP4 mengenai pemeriksaan dan analisis kimia yang telah dijalankan oleh saksi bagi mencapai keputusan 100% bahawa satu ketulan mampat bahan tumbuhan yang saksi terima dari SP7 ialah cannabis dengan berat 966 gram. Kepakaran dan analisis yang telah dijalankan serta dapatan dan keputusan hasil pemeriksaan dan analisis yang dicapai oleh SP4 langsung tidak dipertikaikan oleh pihak pembelaan. Hakim bicara juga membuat dapatan bahawa tiada keraguan terhadap identiti barang kes dan rantaian keterangan terhadap barang kes juga tidak terputus.

[11] Mengenai elemen milikan, hakim bicara menerima keterangan SP6 yang disokong oleh keterangan SP3 bahawa Perayu pada mulanya dilihat memegang di tangan kanannya satu beg plastik berwarna putih yang mengandungi ketulan mampat cannabis yang dipertuduhkan sebelum mencampakkannya ke atas jalan setelah SP6 memperkenalkan dirinya sebagai pegawai polis. Tidak ada orang lain bersama Perayu ketika itu. Seterusnya, hakim bicara membuat dapatan bahawa Perayu mempunyai milikan secara fizikal terhadap barang kes dadah yang dipertuduhkan.

[12] Untuk elemen pengetahuan, hakim bicara juga menerima keterangan SP6 dan SP3 bahawa pelakuan Perayu yang berada dalam ketakutan, mencampakkan beg berisi dadah ke atas jalan dan seterusnya cuba untuk melarikan diri sebagai keterangan yang relevan dan dapat diterima di bawah seksyen 8 Akta Keterangan, 1950 dan perlu dijelaskan oleh Perayu di bawah seksyen 9 Akta Keterangan, 1950. Melalui keterangan mengenai pelakuan Perayu tersebut, hakim bicara telah membuat inferen yang munasabah bahawa Perayu mempunyai pengetahuan terhadap dadah yang dipertuduhkan, yang berada di dalam beg plastik putih yang telah dicampakkan oleh Perayu ke atas jalan sebelum cuba melarikan diri.

[13] Untuk elemen pengedaran, hakim bicara telah mengguna pakai anggapan statutori di bawah seksyen 37(da) Akta oleh kerana berat dadah berbahaya cannabis yang terlibat melebihi dari berat minima 200 gram yang diperuntukkan di bawah seksyen 37(da)(vi) Akta.

[14] Setelah berpuas hati atas pertimbangan secara maksima bahawa satu kes prima facie telah berjaya dibuktikan terhadap Perayu atas pertuduhan yang dihadapkan, hakim bicara telah memerintahkan Perayu untuk membela diri atas pertuduhan.

Pembelaan Perayu

[15] Perayu telah memilih untuk memberi keterangan membela diri secara bersumpah dari kandang saksi. Selain Perayu, pihak pembelaan turut memanggil seorang lagi saksi iaitu adik kepada Perayu, Mohd Lukman bin Wahid (SD2), sebagai saksi pihak pembelaan.

[16] Dalam keterangan membela dirinya, secara ringkasnya Perayu menyatakan perkara-perkara seperti berikut:

(a) Pada hari kejadian, dia berada di Dewan Parit Marjunit sebelum rakannya bernama Iwan mengajaknya untuk pergi minum di Restoran Jumaat, Simpang Renggam;

(b) dia dan Iwan telah pergi ke Restoran Jumaat dengan menaiki kereta Honda Civic kepunyaan SD2. Setelah tiba di Restoran Jumaat, mereka telah memesan makanan dan minuman. Selepas itu, Iwan telah meminta kunci kereta Honda Civic tersebut dan setelah dia memberikan kunci kereta tersebut, Iwan beredar ke kereta itu dengan mengatakan Iwan mahu mengambil sesuatu dari dalam kereta Honda Civic tersebut;

(c) lebih kurang 10-15 minit kemudian, dia melihat Iwan melarikan diri ke arah belakang Restoran Jumaat tetapi dia tidak mengetahui apakah puncanya;

(d) ketika dia ingin beredar dari dalam Restoran Jumaat, dia telah didatangi oleh dua (2) anggota polis dan terus menggari tangannya. Pihak polis terus meminta kunci kereta Honda Civic daripada beliau. Dia memberitahu bahawa kunci kereta itu berada pada Iwan tetapi pihak polis terus mendesak dan dia terus dipukul oleh pihak polis sehingga mendapat kecederaan;

(e) pihak polis telah membawa dia pergi ke kereta dan pihak polis telah berjaya membuka pintu kereta Honda Civic itu yang tidak berkunci dan terus membuat pemeriksaan. Pihak polis telah menjumpai barang kes dadah di tempat duduk penumpang sebelah kiri;

(f) pihak polis telah bertanya siapakah pemilik dadah tersebut dan dia menyatakan yang dia tidak tahu. Namun, dia terus didesak dan telah dipukul. Dia telah memaklumkan perkara ini kepada SP7;

(g) dia ada memberikan percakapan beramaran yang baru kepada pihak polis seperti D17 dan mendakwa bahawa percakapan beramaran yang terdahulu telah dibuang oleh pihak polis;

(h) Perayu turut menyatakan bahawa pihak polis ada merampas satu telefon bimbit milik Iwan yang berada atas meja dalam Restoran Jumaat. Dia turut menyatakan bahawa kejadian tangkapan terhadap beliau berlaku dalam Restoran Jumaat dan disaksikan oleh beberapa pelanggan restoran tersebut. Perayu ada meminta SD2, adiknya, untuk merakamkan gambar tempat kejadian; dan

(i) Perayu menyatakan bahawa dadah ganja yang dirampas oleh pihak polis dari dalam kereta Honda Civic bukanlah kepunyaannya.

[17] SD2 dalam keterangannya menyatakan bahawa dia ada pergi ke Restoran Jumaat atas permintaan Perayu untuk merakamkan gambar. SD2 menyatakan dia ada bercakap-cakap dengan beberapa orang pekerja Restoran Jumaat yang mengesahkan kehadiran Perayu bersama seorang rakan di restoran itu dan telah ditahan oleh polis semasa Perayu ingin beredar. SD2 menyatakan bahawa terdapat kamera CCTV di deretan kedai-kedai sama deretan dengan Restoran Jumaat. SD2 juga menyatakan Iwan telah pergi mengambil kereta Honda Civic dari hadapan Restoran Jumaat dan menyerahkan kepadanya setelah diminta oleh pihak polis. SD2 ada meminta Iwan untuk pergi memberi keterangan di balai polis namun Iwan telah enggan untuk berbuat demikian.

[18] Setelah membuat penelitian dan pertimbangan keterangan kes pembelaan, hakim bicara telah membuat dapatan bahawa pembelaan Perayu telah gagal untuk menimbulkan sebarang keraguan yang munasabah terhadap kes pihak pendakwaan. Hakim bicara juga mendapati pihak pembelaan telah gagal untuk mematahkan anggapan pengedaran di bawah seksyen 37(da) Akta atas imbangan kebarangkalian. Sebaliknya, hakim bicara mendapati bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan pertuduhan terhadap Perayu melampaui sebarang keraguan yang munasabah. Perayu telah didapati bersalah, disabitkan dengan pertuduhan dan dijatuhi hukuman mati mandatori di bawah undang-undang. Justeru, rayuan Perayu ke Mahkamah ini.

Alasan rayuan Perayu

[19] Di hadapan kami, peguam bela terpelajar Perayu telah membangkitkan dua (2) alasan rayuan. Secara alternatifnya, peguam bela terpelajar menghujahkan bahawa sabitan Perayu wajar dipinda kepada kesalahan pemilikan di bawah seksyen 6 yang boleh membawa hukuman di bawah seksyen 39A(2) Akta.

[20] Dua alasan rayuan yang telah dihujahkan oleh peguam bela terpelajar di hadapan kami ialah seperti berikut:

(a) hakim bicara telah gagal untuk memberikan pertimbangan dengan sewajar dan secukupnya pembelaan Perayu; dan

(b) penyiasatan pihak polis yang lemah dan tidak lengkap.

Dapatan dan Keputusan kami

[21] Mengenai alasan di perenggan (a), aspek-aspek pembelaan Perayu yang dikatakan oleh peguam bela terpelajar sebagai telah gagal dipertimbangkan dengan secukupnya oleh hakim bicara meliputi perkara-perkara seperti berikut:

(i) bahawa pada 18.3.2015, Perayu telah menggunakan kereta Honda Civic JDK 129 kepunyaan adiknya, SD2;

(ii) bahawa pihak polis telah menghubungi SD2 meminta untuk mengambil kereta Honda Civic JDK 129 itu di hadapan Restoran Jumaat 2 hari selepas kejadian;

(iii) bahawa Iwan atau nama sebenarnya Subhan bin Mat Sarip datang ke rumah keluarga SD2 untuk memulangkan kunci kereta Honda Civic JDK 129 tersebut;

(iv) bahawa Perayu telah mengalami kecederaan di dahi dan masih dapat dilihat oleh SD2 walaupun 3 hari selepas kejadian semasa SD2 melawat Perayu di dalam lokap polis;

(v) bahawa SD2 telah pergi berjumpa dengan Iwan dan telah meminta Iwan untuk pergi ke balai polis untuk memberikan keterangan sebenarnya apa yang telah berlaku; dan

(vi) bahawa SD2 telah pergi bertanya kepada pekerja Restoran Jumaat bernama Encik Am mengenai penangkapan terhadap Perayu dan Encik Am telah menyatakan apa yang seperti diberitahu oleh Perayu dalam keterangan membela dirinya di mahkamah.

[22] Mengenai alasan rayuan di perenggan (b), peguam bela terpelajar menghujahkan bahawa perkara-perkara berikut telah gagal dijalankan penyiasatan oleh pegawai penyiasat, SP7 iaitu:

(i) terhadap 2 buah telefon bimbit yang dirampas daripada Perayu;

(ii) terhadap tuan punya atau pekerja Restoran Jumaat;

(iii) terhadap peniaga-peniaga di kedai-kedai satu deretan dengan Restoran Jumaat;

(iv) terhadap rumah dan alamat rumah Perayu; dan

(v) terhadap rakaman CCTV yang terdapat di kedai-kedai yang berhampiran dengan tempat kejadian.

[23] Peguam bela terpelajar, walau bagaimanapun mengakui bahawa alasan dalam hujahan beliau berkisar pada dapatan fakta yang telah dibuat hakim bicara. Peguam bela terpelajar berhujah walaupun dapatan fakta hakim bicara yang telah berpeluang mendengar dan melihat saksi-saksi memberi keterangan tidak boleh dengan sewenang-wenangnya diganggu oleh mahkamah atasan, namun dalam kes terhadap Perayu terdapat alasan yang jelas dan cukup kuat untuk mewajarkan mahkamah ini mengubah dapatan hakim bicara. Peguam bela terpelajar telah berpegang kepada keputusan-keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Dato’ Seri Anwar Ibrahim v PP & Another Appeal [2004] 3 CLJ 737 dan Magendran Mohan v PP [2011] 1 CLJ 805.

[24] Terlebih dahulu kami ingin menyatakan bahawa kami telah berpeluang meneliti Rekod Rayuan dan hujahan bertulis pihak-pihak serta telah meneliti penghakiman yang ditulis oleh hakim bicara dalam kes ini. Kami tidak bersetuju dengan hujahan peguam bela terpelajar yang menyatakan bahawa hakim bicara telah gagal untuk membuat pertimbangan dengan secukupnya aspek-aspek kes pembelaan yang telah dihujahkan di hadapan kami. Kami mendapati bahawa hakim bicara telahpun mempertimbangkan setiap aspek pembelaan Perayu yang dibangkitkan oleh peguam bela terpelajar dalam hujahannya di hadapan kami.

[25] Teras pembelaan Perayu ialah bahawa dia telah ditangkap semasa berada di dalam Restoran Jumaat dan bahawa barang kes dadah telah dirampas oleh pihak polis dari dalam kereta Honda Civic JDK 129 yang beliau pandu pada hari itu yang telah diletakkan di hadapan Restoran Jumaat. Perayu juga mendakwa bahawa beliau berada bersama Iwan sebelum dadah dirampas dan ketika dia ditangkap oleh pihak polis.

[26] Dari Rekod Rayuan, kami dapati teras pembelaan Perayu ini telah dicadangkan kepada saksi-saksi pendakwaan, terutama melalui pemeriksaan balas saksi-saksi SP3, SP6 dan SP7 namun semua yang dicadangkan oleh peguam bela Perayu tidak dipersetujui oleh saksi-saksi pendakwaan tersebut. Kami juga dapati bahawa hakim bicara turut mempertimbangkan isu-isu pembelaan yang dicadangkan sebelum hakim bicara membuat dapatan bahawa satu kes prima facie telah berjaya dibuktikan oleh pihak pendakwaan. Kami perturunkan dapatan hakim bicara terhadap isu-isu pembelaan di peringkat kes prima facie seperti berikut:

“8. Di dalam hujahan bertulis, peguam bela tertuduh berhujah pihak pendakwaan telah gagal mencapai satu tahap kes prima facie dan adalah tidak selamat untuk mahkamah memanggil tertuduh membela diri. Adalah kes pembelaan bahawa pada malam kejadian tertuduh ditangkap ketika sedang minum di sebuah restoran (Restoran Jumaat) dalam deretan kedai di kawasan tersebut. Beg plastik berwarna putih yang mengandungi satu ketulan mampat dibalut dengan kerajang aluminium tersebut tidak dijumpai daripada tertuduh yang dikatakan dicampak oleh tertuduh tetapi dijumpai oleh polis terlebih dahulu dari dalam kereta Honda Civic nombor pendaftaran JDK 129. Polis telah meminta kunci kereta tersebut daripada tertuduh semasa menangkapnya tetapi tertuduh menyatakan tiada. Polis yang nampak sebahagian tingkap kereta tersebut terbuka telah mengambil beg plastik mengandungi dadah tersebut. Tertuduh tidak mengaku dadah tersebut miliknya dan memberitahu polis dadah tersebut milik Iwan atau nama sebenarnya Mohd Subhan bin Mohd Sarip (Iwan).

9. Peguam bela tertuduh juga berhujah kegagalan SP7 untuk melakukan suatu siasatan yang menyeluruh telah menimbulkan jurang dan kekurangan dalam kes pendakwaan. Di antaranya SP7 tidak membuat siasatan dengan syarikat telekomunikasi berhubung dengan pemilik sebenar nombor telefon 2 buah telefon bimbit yang dirampas daripada tertuduh, tidak membuat siasatan lanjut ke atas pemilik-pemilik kedai dalam deretan kedai di kawasan tersebut berhubung dengan kewujudan CCTV di situ dan tidak membuat siasatan berhubung dengan alamat tempat tinggal tertuduh mengakibatkan SP7 tidak mendapat maklumat lanjut mengenai kereta Honda Civic tersebut dan butiran lanjut penama Iwan.

22. Tidak ada keterangan untuk menunjukkan bahawa tertuduh ditangkap ketika sedang minum di sebuah restoran di dalam deretan kedai di kawasan tersebut dan beg plastik berwarna putih mengandungi dadah Cannabis tersebut dijumpai oleh polis dari dalam kereta Honda Civic tersebut seperti yang dihujahkan oleh peguam bela tertuduh. Dalam pemeriksaan balas SP3 dan SP6 tidak bersetuju dengan cadangan peguam bela tertuduh bahawa tertuduh ditangkap ketika sedang minum di restoran tersebut dan beg plastik berwarna putih mengandungi Cannabis tersebut dijumpai oleh polis dari dalam kereta Honda Civic tersebut. Dalam pemeriksaan semula SP3 menyatakan beliau tidak nampak kereta Honda Civic tersebut dan SP6 menyatakan kereta Honda Civic tersebut tidak wujud.

23. Dengan hormatnya saya tidak bersetuju dengan hujahan peguam bela tertuduh bahawa kegagalan SP7 untuk membuat siasatan dengan syarikat telekomunikasi berhubung dengan pemilik sebenar nombor telefon 2 buah telefon bimbit yang dirampas daripada tertuduh, tidak membuat siasatan lanjut ke atas pemilik-pemilik kedai dalam deretan kedai di kawasan tersebut berhubung dengan kewujudan CCTV di kawasan tersebut dan tidak membuat siasatan berhubung dengan alamat tempat tinggal tertuduh bagi SP7 mendapatkan maklumat lanjut mengenai kereta Honda Civic tersebut dan butiran lanjut penama Iwan telah menimbulkan jurang dan kekurangan dalam kes pendakwaan.

24. Beg plastik berwarna putih mengandungi dadah Cannabis tersebut bukannya dijumpai oleh polis di dalam kereta Honda Civic tersebut seperti yang dihujahkan oleh peguam bela tertuduh. Beg plastik berwarna putih mengandungi dadah Cannabis tersebut adalah dipegang oleh tertuduh di tangan kanannya sebelum tertuduh mencampakkannya ke atas jalan, justeru itu dadah Cannabis tersebut dalam milikan fizikal tertuduh. Oleh itu siapa pemilik sebenar nombor telefon 2 buah telefon bimbit yang dirampas daripada tertuduh pada pendapat saya bukanlah sesuatu yang penting dan material dalam kes ini. Lagipun tertuduh langsung tidak memberi apa-apa maklumat tentang kejadian ini kepada SP7. Juga wujud atau tidak wujudnya CCTV di kawasan tersebut pada pendapat saya bukanlah sesuatu yang penting dan material di dalam kes ini. Begitu juga dengan maklumat lanjut mengenai kereta Honda Civic tersebut pada pendapat saya bukanlah sesuatu yang penting dan material dalam kes ini. Kereta Honda Civic tersebut tidak berkaitan dengan kejadian ini kerana dadah Cannabis tersebut bukannya dijumpai di dalam kereta Honda Civic tersebut dan lagi kereta Honda Civic tersebut tidak berada di tempat kejadian. Di samping itu tertuduh sendiri tidak menyebut apa-apa mengenai kereta Honda Civic tersebut di dalam rakaman percakapannya (D17) untuk membolehkan ianya disiasat oleh SP7. Juga tidak terdapatnya lompang (gap) di dalam kes pendakwaan.

25. Keterangan SP3 dan SP6 jelas menunjukkan bahawa tertuduh berada seorang diri di tempat kejadian. Tidak ada sesiapa bersama tertuduh. Dalam pemeriksaan balas SP3 tidak bersetuju dengan cadangan peguam bela tertuduh bahawa tertuduh tidak berseorangan. SP6 tidak bersetuju dengan cadangan peguam bela tertuduh bahawa tertuduh ada menyebut nama Iwan. Di dalam pemeriksaan semula SP6 menyatakan tertuduh tidak ada memberitahu mengenai Iwan. Tertuduh juga tidak memberitahu SP7 mengenai Iwan. Dalam D17 juga tertuduh tidak menyebut apa-apa tentang Iwan. Nama Iwan ini hanya timbul semasa perbicaraan. Tertuduh mempunyai 2 peluang untuk memberi maklumat berkaitan Iwan kepada pihak polis iaitu ketika tertuduh ditangkap dan ketika D17 dirakam pada 19 Mac 2015 tetapi tertuduh gagal berbuat demikian. SP7 tidak seharusnya dipersalahkan atas kegagalan untuk menyiasat penama Iwan kerana tertuduh sendiri telah gagal untuk memberi maklumat berkaitan Iwan bagi pihak polis menjalankan siasatan. Penama Iwan yang dibangkitkan oleh pembelaan adalah tidak wujud.”.

[27] Seterusnya, di akhir kes pembelaan, hakim bicara sekali lagi telah membuat pertimbangan terhadap isu-isu yang dibangkitkan oleh pihak pembelaan setelah mengulas keterangan Perayu dan keterangan SD2. Dalam penghakimannya, hakim bicara membuat dapatan seperti berikut terhadap kes pihak pembelaan:

“36. Seringkas-ringkasnya pembelaan tertuduh adalah beliau ditangkap oleh polis di dalam Restoran Jumaat, dadah Cannabis tersebut dijumpai oleh polis di dalam kereta Honda Civic, beliau tidak tahu dadah Cannabis tersebut milik siapa, dadah Cannabis tersebut bukan kepunyaannya, beliau tidak memegang dadah Cannabis tersebut dan beliau berada di restoran tersebut bersama Iwan di mana Iwan pergi ke kereta Honda Civic tersebut setelah meminta kuncinya dari beliau kemudiannya Iwan melarikan diri.

37. Peguam bela tertuduh di dalam hujahan bertulis berhujah terdapat 2 versi yang berbeza antara versi pendakwaan dan versi pembelaan mengenai kejadian ini. Versi pendakwaan adalah melalui keterangan saksi-saksi pendakwaan (saksi-saksi polis) semata-mata tanpa melibatkan lain-lain bukti sokongan seperti rakaman CCTV, saksi awam atau keterangan pakar cap jari. Manakala pembelaan sejak bermulanya kes telah menafikan kesahihan versi pendakwaan dan mengekalkan versi pembelaan bahawa dadah Cannabis tersebut tidak pernah pada bila-bila masa dijumpai atau di dalam kawalan tertuduh.

38. Peguam bela tertuduh seterusnya berhujah tertuduh telah mengemukakan pembelaannya secara munasabah disokong dengan lain-lain keterangan dari SD2, salah seorang pekerja kedai makan Encik Am, pemilik kedai runcit yang didakwa tertuduh ada kamera CCTV, kewujudan misteri pemilik telefon bimbit nombor 017-2376665 yang didakwa tertuduh milik Iwan, ketiadaan cap jari tertuduh di atas mana-mana barang kes dan kewujudan gambar-gambar CCTV di dalam D18.

39. Peguam bela tertuduh selanjutnya berhujah pembelaan tertuduh telah berjaya menimbulkan suatu keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan dan memohon tertuduh dilepas dan dibebaskan.

41. Seperti yang diperuntukkan oleh seksyen 182A(1) KTJ, saya telah menimbang semua keterangan yang dikemukakan di hadapan saya iaitu keterangan tertuduh, keterangan SD2, eksibit yang dikemukakan oleh pembelaan (D17) dan semua keterangan yang dikemukakan oleh pendakwaan dalam memutuskan sama ada pendakwaan telah membuktikan kes mereka melampaui keraguan yang munasabah. Saya telah menimbang dengan teliti hujahan bertulis peguam bela tertuduh dan TPR serta meneliti otoriti-otoriti yang dirujuk.

42. Peguam bela tertuduh dan TPR bersetuju gambar-gambar tempat kejadian yang diambil oleh SD2 melalui kamera telefon bimbitnya ditanda sebagai eksibit tertakluk kepada hujahan kebolehterimaan sebagai keterangan. Gambar-gambar tersebut ditanda sebagai D18. Saya telah menimbang hujahan peguam bela tertuduh dan TPR mengenai kebolehterimaan D18 sebagai keterangan. Gambar-gambar yang diambil oleh SD2 telah dicuci (dicetak) di kedai gambar dari telefon bimbitnya. D18 adalah merupakan suatu dokumen seperti takrif dokumen dalam seksyen 3 Akta Keterangan. Telefon bimbit yang digunakan oleh SD2 untuk mengambil gambar-gambar tersebut adalah termasuk dalam takrif “komputer” seperti yang dinyatakan dalam seksyen 3 Akta Keterangan. D18 adalah suatu dokumen yang dikeluarkan oleh komputer. Tetapi tidak ada keterangan lisan dari SD2 mengenai keadaan kamera telefon bimbitnya yang digunakan untuk mengambil gambar-gambar (D18) adalah dalam keadaan yang baik dan beroperasi dengan baik dan dalam perjalanan penggunaannya yang biasa atau suatu perakuan bertulis mengenai perkara itu di bawah seksyen 90A(2) Akta Keterangan dikemukakan. Maka saya memutuskan D18 tidak boleh diterima masuk sebagai keterangan.

43. Memang benar seperti yang dihujahkan oleh peguam bela tertuduh versi pendakwaan dan versi pembelaan mengenai kejadian ini adalah berbeza. Dalam keadaan sedemikian, bukan tugas mahkamah untuk menentukan versi mana yang hendak dipercayai tetapi adakah pembelaan tertuduh telah menimbulkan satu keraguan yang munasabah dalam kes pendakwaan.

44. Pembelaan tertuduh bahawa beliau ditangkap oleh polis di dalam Restoran Jumaat, dadah Cannabis tersebut dijumpai oleh polis di dalam kereta Honda Civic, beliau tidak tahu dadah Cannabis tersebut milik siapa, dadah Cannabis tersebut bukan kepunyaannya dan beliau tidak memegang dadah Cannabis tersebut adalah merupakan penafian semata-mata. Penafian tersebut tidak boleh mengatasi keterangan positif, jelas dan tegas oleh SP3 dan SP6 bahawa sebenarnya tertuduh berdiri di tepi jalan seorang diri, memegang beg plastik berwarna putih mengandungi dadah Cannabis tersebut di tangan kanannya sebelum mencampakkannya ke atas jalan. Pembelaan tertuduh adalah untuk menafikan keterangan yang mengaitkan pemilikan beliau dengan dadah Cannabis tersebut. Keterangan yang dikemukakan oleh pendakwaan menunjukkan tertuduh ditangkap oleh polis di tepi jalan dan tertuduh mempunyai pemilikan ke atas dadah Cannabis tersebut. Tertuduh memegang beg plastik putih mengandungi dadah Cannabis tersebut di tangan kanannya sebelum mencampakkannya ke atas jalan, justeru itu dadah Cannabis tersebut dalam milikan fizikal tertuduh. Inferen dari kelakuan tertuduh yang dalam keadaan takut, cuba melarikan diri dan mencampakkan beg plastik berwarna putih mengandungi dadah Cannabis tersebut ke atas jalan adalah tertuduh mempunyai pengetahuan akan kewujudannya. Tidak wujudnya kereta Honda Civic tersebut semasa kejadian. Iwan adalah rekaan semata-mata oleh tertuduh untuk menafikan penglibatannya dengan dadah Cannabis tersebut. Pada pendapat saya Iwan adalah tidak wujud. Semasa kejadian tertuduh adalah seorang diri, tidak ada sesiapa bersama tertuduh.

45. Di dalam D17 tertuduh sendiri tidak menyebut apa-apa mengenai kereta Honda Civic tersebut untuk membolehkan ianya disiasat oleh SP7. Lagipun dadah Cannabis tersebut bukan dijumpai di dalam kereta Honda Civic tersebut. Tertuduh tidak memberitahu SP6 dan SP7 mengenai Iwan. Dalam D17 juga tertuduh tidak menyebut apa-apa tentang Iwan. Nama Iwan ini hanya timbul semasa perbicaraan. Tertuduh mempunyai 2 peluang untuk memberi maklumat berkaitan Iwan kepada pihak polis iaitu ketika tertuduh ditangkap dan ketika D17 dirakam pada 19 Mac 2015 tetapi tertuduh gagal berbuat demikian. Dalam keadaan sedemikian, kegagalan tertuduh memberi maklumat tentang Iwan untuk membolehkan pihak polis menjalankan siasatan, pembelaan tertuduh tentang Iwan tidak boleh dipercayai.

46. D17 adalah rakaman percakapan tertuduh yang dirakam oleh SP7 pada 19 Mac 2015. Tidak ada rakaman percakapan lain dari tertuduh yang dirakam oleh SP7. Di dalam D17 jelas menunjukkan tertuduh tidak memberi apa-apa maklumat langsung tentang kejadian ini termasuk mengenai kereta Honda Civic, Iwan dan 2 buah telefon bimbit untuk membolehkan SP7 menyiasatnya.

47. Ketiadaan cap jari tertuduh pada barang kes tidak semestinya tertuduh tidak memegang barang kes. Adanya cap jari pada barang kes adalah bukti positif tetapi ketiadaan cap jari adalah tidak mencukupi untuk menyatakan bahawa tertuduh tidak memegang barang kes. Keterangan SP3 dan SP6 jelas menunjukkan tertuduh memegang beg plastik berwarna putih mengandungi dadah Cannabis tersebut di tangan kanannya sebelum tertuduh mencampakkannya ke atas jalan. Begitu juga dengan kewujudan CCTV di tempat kejadian yang tidak disiasat oleh SP7 pada pendapat saya tidak menjejaskan kes pendakwaan terhadap tertuduh. Kes pendakwaan masih boleh berdiri dengan sendiri berdasarkan keterangan SP3 dan SP6.

48. SD2 hanya diberitahu oleh tertuduh dan Encik Am mengenai kejadian ini. SD2 tidak berada di tempat kejadian. SD2 tidak melihat bagaimana kejadian ini berlaku. SP3 dan SP6 berada di tempat kejadian, membuat pemerhatian, membuat serbuan dan tangkapan. SP3 dan SP6 melihat bagaimana kejadian ini berlaku.

49. Isu penama Hafiz hanya timbul pertama kali semasa tertuduh memberi keterangan. Ianya langsung tidak dicadangkan kepada SP3 dan SP6 semasa pemeriksaan balas oleh peguam bela tertuduh. Adalah jelas ianya merupakan suatu fikiran terkemudian (afterthought) atau rekaan oleh tertuduh. Mahkamah menolaknya.”.

[28] Kami mendapati hakim bicara tidak terkhilaf malahan telah membuat dapatan dan keputusan dengan betul serta disokong oleh keterangan yang berada di hadapannya. Dapatan dan keputusan hakim bicara dibuat berdasarkan kepada keterangan dan dengan itu merupakan satu dapatan fakta yang tidak memerlukan campur tangan mahkamah ini. Kami ingin menambah bahawa pembelaan Perayu yang kononnya disokong oleh keterangan SD2 adalah tidak benar oleh kerana keterangan SD2 didasarkan kepada keterangan dengar cakap (hearsay) dari penama-penama Encik Am, Iwan dan Hafiz yang tidak dikemukakan ke mahkamah untuk mengesahkan keterangan yang diberikan oleh SD2. Oleh yang demikian, keterangan SD2 tidak wajar diterima masuk sebagai keterangan oleh mahkamah.

[29] Dalam kes Tobechi Chinonso Madu v PP [2015] 1 LNS 57, Mahkamah ini telah membuat keputusan atas isu yang sama seperti berikut:

“[15] As to the question of the role played by Ossy the only evidence before the court was the appellant’s bare assertion that Ossy asked for his favour to carry the 27 boxes of soap. Other than that there is no evidence that Ossy even exists. There was this person by the name of Omatu Chine Ostia seated next to the appellant in the same flight but it was not established that Ossy and Omatu Chine Ostia are one and the same person.

[16] The mere fact that Ossy’s name was mentioned during the police investigation is not evidence that Ossy actually exists. How were the police to investigate the existence of this person when the appellant did not even give his full name and his residential address? The poor investigating officer may end up chasing a wild goose. We therefore found no merit in the appellant’s argument that the police’s failure to investigate the existence of Ossy must be held against the prosecution.

[17] In any event, since the appellant had a legal burden to discharge (to disprove knowledge) it was his duty to call Ossy to give evidence and not for the police to investigate if it was true that Ossy had asked him to carry the soap boxes: Baharom v. PP [1960] 1 LNS 9; [1960] MLJ 429; Liew Siew & Anor v. PP [1969] 1 LNS 90; Chu Tak Fai v. PP [1998] 4 CLJ 789. Hence, since Ossy was not called to give evidence there was no way the court could verify the truth of what Ossy told him at Lagos Airport. In fact the evidence is hearsay and inadmissible as the object was to prove the truth of what Ossy told him: PP v. Subramaniam [1956] 1 LNS 115; [1956] MLJ 220 P.C.”.

Kesimpulan

[30] Berdasarkan alasan-alasan yang kami sebutkan di atas, dengan sebulat suara kami mendapati bahawa rayuan Perayu tidak mempunyai sebarang merit. Kami mendapati sabitan adalah selamat dan disokong oleh keterangan yang kukuh dan mencukupi. Dengan itu, rayuan Perayu ditolak. Sabitan dan hukuman oleh Mahkamah Tinggi disah dan dikekalkan.

Bertarikh: 16 Mac 2018

t.t.

KAMARDIN BIN HASHIM
Hakim
Mahkamah Rayuan Malaysia

COUNSEL

Bagi Pihak Perayu: Afifuddin Ahmad Hafifi, Tetuan Salehuddin Saidin & Associates, No. 14, Jalan Tengku Ampuan Zabedah A/9A, Seksyen 9, 40100 Shah Alam, Selangor

Bagi Pihak Responden: Mohd Taufik bin Mohd @ Mohd Yusoff, Timbalan Pendakwa Raya, Bahagian Rayuan dan Perbicaraan, Jabatan Peguam Negara, Putrajaya

Legislation referred to:

Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen-seksyen 6, 37(da), 37(da)(vi), 39A(2), 39B(1)(a)

Akta Keterangan 1950, Seksyen-seksyen 8, 9

Judgments referred to:

Dato’ Seri Anwar Ibrahim v PP & Another Appeal [2004] 3 CLJ 737

Magendran Mohan v PP [2011] 1 CLJ 805

Tobechi Chinonso Madu v PP [2015] 1 LNS 57

Notice: The Promoters of Malaysian Judgments acknowledge the permission granted by the relevant official/ original source for the reproduction of the above/ attached materials. You shall not reproduce the above/ attached materials in whole or in part without the prior written consent of the Promoters and/or the original/ official source. Neither the Promoters nor the official/ original source will be liable for any loss, injury, claim, liability, or damage caused directly, indirectly or incidentally to errors in or omissions from the above/ attached materials. The Promoters and the official/ original source also disclaim and exclude all liabilities in respect of anything done or omitted to be done in reliance upon the whole or any part of the above/attached materials. The access to, and the use of, Malaysian Judgments and contents herein are subject to the Terms of Use.