THE OFFICIAL REPOSITORY OF
MALAYSIAN JUDGMENTS & RULINGS

[2018] MYCA 79 MALAY

Musa Bin Yunus v Pendakwa Raya
Suit Number: Rayuan Jenayah No. B-05(M)-227-09/2015  

PENGHAKIMAN

Mukadimah

[1] Musa (perayu) telah didakwa dan dibicarakan di Mahkamah Tinggi Shah Alam dengan pertuduhan seperti yang berikut:

"Bahawa kamu pada 23 Disember 2012, jam lebih kurang 3.00 pagi di rumah Jalan 43, Selayang Baru, di dalam Daerah Gombak, di dalam Negeri Selangor Darul Ehsan, telah membunuh KUMARAN A/L RAJANARAM, (NO K/P: 811112-08-5395) dengan itu kamu telah melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan"

[2] Di akhir kes pembelaan, YA Hakim Mahkamah Tinggi (YA Hakim bicara) mendapati pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kesnya melampaui keraguan yang munasabah. Perayu dengan itu telah didapati bersalah, disabitkan dan dikenakan hukuman gantung mati mandatori. Terkilan dengan keputusan tersebut, perayu telah merayu ke Mahkamah ini.

[3] Setelah mendengar penghujahan kedua-dua pihak dan meneliti keterangan dalam rekod, kami mendapati sabitan dan hukuman oleh YA Hakim bicara adalah tidak selamat. Oleh yang demikian, kami membenarkan rayuan perayu dan mengetepikan hukuman tersebut.

[4] Di sini, kami perjelaskan alasan-alasan kami membenarkan rayuan perayu itu.

Kes Pendakwaan

[5] Ikhtisarnya, pada malam 23.12.2012 sekitar pukul lebih kurang pukul 2.00 pagi, si mati telah keluar membeli makanan untuk kakaknya yang tinggal di rumah ibunya. Risau tentang suaminya (si mati) yang masih tidak pulang, Krishnaven A/P Bangar Naidu, SP11 (isteri si mati), yang tinggal di rumah flat Jalan 42, Selayang Baru, telah menelefon (telefon awam) suaminya untuk bertanyakan di mana dia berada. Si mati telah menjawab panggilan tersebut dan memaklumkan bahawa dia sedang dalam perjalanan ke rumah selepas menghantar makanan ke rumah ibunya.

[6] Si mati telah tiba di kawasan bawah rumahnya sekitar pukul 2.20 pagi dan kemudian memaklumkan SP11 bahawa dia ingin kembali semula ke rumah ibunya kerana ada sambutan perayaan di Taman rumah ibunya iaitu Taman Selayang Baru, Lorong 43 dan menyuruh SP11 naik semula ke atas ke rumah mereka.

[7] Ketika SP11 hendak naik semula ke rumahnya (di tingkat 4 flat tersebut), SP11 telah melihat sebuah kereta jenis Saga berhenti di sebelah motosikal suaminya dan SP11 melihat ada seorang budak dalam lingkungan umur 18-19 tahun berlari keluar dari kereta itu dengan memegang kayu sambil menjerit dan berlari ke arah rumah Visvarawaran a/l Segaran, SP19.

[8] SP11 bergegas turun ke tingkat 2 dan ketika berjalan turun SP11 telah ternampak seorang lelaki Melayu berbadan gempal dan memakai baju jaket hitam dan berseluar hitam keluar dari kereta berkenaan. SP11 menyatakan bahawa dia terdengar, ketika lelaki Melayu itu (perayu) keluar dari kereta, perayu telah meminta si mati untuk meminta budak-budak India yang duduk di kawasan perumahan yang turut didiami oleh si mati supaya keluar. Namun si mati menyuruh perayu sendiri yang memberitahu mereka.

[9] Selanjutnya, SP11 menyatakan perayu kemudiannya telah bertindak menyepak motosikal si mati dan menyebabkan si mati dan motosikalnya terjatuh. Si mati kemudiannya telah bangun kembali dan bertanyakan kepada perayu tentang sebab dia menyepak motosikalnya, namun perayu menyepak perut si mati dan si mati kemudiannya telah terjatuh berdekatan dengan kereta adik si mati (yang digunakan oleh SP11 sebelum itu).

[10] Lelaki Melayu tersebut terus memukul si mati dengan tangan dan secara tiba-tiba SP11 menyedari bahawa lelaki Melayu tersebut telah mengambil sebilah pisau dan telah menikam si mati di bahagian dada sebelah kiri. Selepas si mati ditikam, si mati telah lari ke belakang SP11, dan pada ketika itu, SP11 ada bertanyakan kepada lelaki Melayu itu akan sebab dia memukul suaminya dan lelaki Melayu itu menjawab “kamu nak sekarang?”.

[11] Pada ketika itu juga budak-budak lelaki Melayu yang berlari ke rumah SP19 tersebut telah datang balik dan berlari ke arah kereta jenis Saga yang baru sampai dan perayu juga mengikuti budak lelaki Melayu itu dan masuk ke dalam kereta tersebut dan beredar dari situ.

[12] Menyedari keadaan suaminya yang telah ditikam, SP11 telah cuba meminta bantuan daripada jiran tetangganya dan menjerit meminta pertolongan namun tidak ada sesiapa yang datang membantu. Apabila gagal mendapat pertolongan daripada jiran tetangga, SP11 kemudiannya telah membawa si mati ke rumah ibunya di sebuah kawasan perumahan untuk meminta pertolongan.

[13] Ketika sampai di kawasan perumahan ibunya, SP11 telah memberhentikan kereta di suatu lorong untuk masuk ke rumah ibunya kerana pada ketika itu ada khemah yang telah didirikan. SP11 telah meminta pertolongan daripada salah seorang daripada individu yang duduk di kawasan perumahan tersebut dan seorang lelaki bernama Ramadass a/l Ayyanar (SP6) telah membawa suaminya ke Hospital Selayang.

[14] SP11 telah mengikuti kereta yang dipandu oleh SP6 dari belakang dengan menaiki kereta kakaknya. Apabila tiba di Hospital Selayang, si mati kemudiannya telah dibawa masuk ke dalam unit kecemasan. Ketika si mati berada dalam Zon Merah Unit Kecemasan Hospital Selayang, si mati telah disahkan meninggal dunia pada lebih kurang pukul 3.10 pagi.

[15] SP10, Dr Amir Saad Abdul Rahim, mengesahkan dalam laporan bedah siasatnya bahawa si mati telah meninggal dunia akibat daripada kecederaan yang serius akibat tikaman pada bahagian dadanya.

[16] Si mati telah dibedah siasat, dan dalam keterangannya, SP10 menjelaskan kecederaan tersebut seperti mana yang berikut:

“1. A superficial incised wound (labelled 1) on the upper left forehead was measured 5 x 0.2 cm, 3 cm distance from midline and 156 cm above left heel.

2. A stab wound (labelled 2) on the left chest region was measured 4 x 1.2 cm, 17 cm distance from midline, 123 cm above left heel. No bruising was seen around the wound.

3. An abrasion wound (labelled 3) on lateral aspect of left arem was measured 20 x 0.3 cm.

4. An abrasion wound (labelled 4) on lateral aspect of left arm (adjacent to wound labelled 3) was measured 2.5 x 0.2 cm.

5. A superficial incised wound (labelled 5) on lateral aspect of left elbow was measured 5.2 x 0.1 cm.

6. A superficial incised wound (labelled 6) on lateral aspect of the left elbow (distal to wound labelled 5) was measured 5.2 x 0.1 cm.

SUMMARY AND CONCLUSIONS

1. The body was that of a 31 years old Indian male who has positively identified by the police and his brother.

2. Post mortem examination revealed external and internal injuries to the body consistent with inflicted injury.

3. Post Mortem examination revealed a stab wound to the chest which had penetrated through the lobes and hilar region of the left lung resulting in exsanguination into the left pleural cavity. These injuries were fatal.

4. There was no underlying natural disease process observed which otherwise could have contributed to his death." (Ms 613: Rekod Rayuan, Jilid 6)

“In my opinion the CAUSE OF DEATH was:

“Stab wound to the chest”

(Ms.618: Rekod Rayuan, Jilid 6)

(Rujuk juga laporan bedah siasat P67)

Dapatan Hakim Bicara Di Akhir Kes Pendakwaan

[17] Di akhir kes pendakwaan, setelah membuat penilaian maksimum ke atas keterangan yang dibentangkan oleh pendakwaan, YA Hakim bicara mendapati satu kes ‘prima facie’ telah dibuktikan terhadap perayu bagi kesalahan membunuh yang boleh dihukum di bawah seksyen 302, Kanun Keseksaan (KK). YA Hakim telah mendapati bahawa kesemua unsur kesalahan membunuh telah dibuktikan iaitu si mati telah meninggal dunia, si mati telah meninggal dunia akibat kecederaan serius yang dialaminya, kecederaan itu telah disebabkan oleh perbuatan perayu dan perbuatan itu dilakukan dengan penuh niat (ms 19/20, alasan penghakiman: Jilid 1):

"Berdasarkan kepada fakta dan keterangan juga, adalah juga jelas, bahawa Tertuduh mempunyai niat untuk membunuh simati, semasa menikam simati dengan menggunakan pisau/ parang (P55A)…

Di dalam aspek lain pula, keterangan SP10 ini jelas menunjukkan bahawa kecederaan yang dialami oleh si mati juga secara lazimnya menyebabkan kepada kematiannya. Lantas, kecederaan-kecederaan yang dialami oleh simati adalah mencukupi secara lazimnya untuk menyebabkan kematian…

... Oleh itu, secara prima facienya, keterangan adalah mencukupi untuk memutuskan yang perbuatan Tertuduh itu jatuh dibawah limb(a) kepada seksyen 300 Kanun Keseksaan.”

Oleh yang demikian, perayu telah diarah untuk membela diri terhadap pertuduhan tersebut.

Kes Pembelaan

[18] Perayu telah memilih untuk memberikan keterangan secara bersumpah. Menurut perayu, pada 22.12.2012 dia bertugas selaku pengawal peribadi kepada seorang “Datuk J” yang telah mengadakan satu majlis di KL Live Sentral di Jalan Sultan Ismail. Sekitar pukul 2.00 pagi pada 23.12.2012 dia telah menerima panggilan telefon daripada seorang bernama Muhammad Syafiq (SP20) atau dipanggil sebagai Atan. Dia telah diberitahu bahawa Atan dan seorang lagi bernama Syuk telah diserang oleh sekumpulan lelaki India di Cyber Cafe. SP20 telah meminta pertolongannya untuk mengambil motosikal yang SP20 tinggalkan di rumah lelaki India itu.

[19] Setelah selesai menemani Datuk J, perayu dan Syuk memandu menuju ke arah Selayang Baru. Perayu hampir kemalangan akibat terlalu mabuk. Perayu menyatakan bahawa semasa bersama Datuk J, perayu telah mengambil minuman keras. Dia terpaksa memberhentikan kenderaannya dan membasuh mukanya dengan air mineral. Dia kemudiannya telah sampai di sebuah rumah kenduri Faizul di Selayang Indah. Di situ SP20 telah mengajak dia, Syuk dan Noriman bin Maidin (SP22, Shaun) ke rumah India yang dikatakan tadi. Dalam perjalanan itu SP20 telah meluahkan perasaan marahnya terhadap si mati yang telah membuat kacau di kedai Cyber Cafe itu. Namun begitu, SP20 telah enggan membuat laporan polis walaupun telah dinasihatkan oleh perayu.

[20] Perayu menyatakan bahawa setibanya mereka di kawasan perumahan India itu dengan menaiki kereta Nissan Latio, perayu telah terlajak 100 meter dari rumah India itu dan setelah kenderaan diberhentikan, SP20 dan SP22 telah keluar dari kenderaan dan lari ke belakang kereta menghala ke arah bawah.

[21] Perayu menyatakan bahawa dia hanya bersandar di tepi kereta memandangkan dia tidak tahu ke mana SP20 dan SP22 pergi. Semasa sedang menghisap rokok, tiba-tiba SP20 dan SP22 berlari dari arah bawah jalan menghala ke arah perayu sambil menjerit menyuruh perayu cepat masuk ke dalam kereta dan lari. Perayu tidak mengetahui siapa lagi yang ada di kawasan tersebut memandangkan kawasan itu gelap dan dia pula dalam keadaan mabuk (ini disahkan oleh SP22).

[22] Selepas itu, mereka telah pergi ke Restoran Jaguh di Selayang Indah. Dalam perjalanan SP20 ada memberitahu perayu bahawa dia memang betul-betul tidak puas hati dengan lelaki India tadi. Perayu sekali lagi menasihati SP20 agar membuat laporan polis. SP20 masih enggan berbuat demikian atas sebab-sebab yang perayu tidak ketahui. Setiba di Restoran Jaguh, lebih kirang 10 hingga 15 minit, SP20 dan SP22 telah keluar dan turun dari kereta. Selepas itu, perayu dan Syukri meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur untuk menemui Abang Yus (Yusri bin Mohd Suib, SD2) untuk mengambil upah tugasan mengiringi Datuk J. Perayu memberitahu bahawa dia langsung tidak mengenali si mati dan dia tidak pernah berjumpa dengan si mati. Perayu juga memberitahu dia tidak pernah melihat isteri si mati di tempat kejadian. Perayu juga menyatakan tidak mengenali lelaki-lelaki India yang selalu membuat kacau di Cyber Cafe.

[23] Setelah mengambil wang upah tugasan, perayu dan Syukri pergi ke Restoran Buhari di Jalan Doraisami, Kuala Lumpur. Mereka duduk di sana lebih kurang hampir 1 jam. Selepas itu perayu dan Syukri pulang ke rumah masing-masing. Semasa perayu berada di rumah, SP20 ada menelefon perayu pada lebih kurang pukul 3 pagi memberitahu perayu tentang lelaki India yang bergaduh dengannya tadi telah meninggal dunia. SP20 pada waktu itu seolah-olah seperti ketakutan semasa bercakap. Kemudian pada sebelah pagi, SP22 telah pergi ke rumah perayu dan memberitahu dia ada menerima panggilan telefon daripada pihak polis untuk mengenal pasti sebuah motorsikal jenis Honda EX5. Perayu menasihatkan SP22 untuk terus ke balai polis tetapi SP22 ketakutan. Perayu tetap menyuruh SP22 ke balai dan beberapa hari kemudian perayu mendengar bahawa SP20, SP22 dan beberapa orang lagi telah ditangkap.

[24] Menurut perayu lagi, dia telah ditangkap di rumah kakaknya semasa kakak perayu mengadakan majlis perkahwinan. Perayu menyatakan dia tidak pernah mengelak mahupun cuba melarikan diri dari kawasan Selayang sebab dia tidak melakukan apa-apa kesalahan jenayah. Perayu menafikan terdapat rancangan mengumpul duit dan lari malah perayu menafikan sebarang penglibatan dengan kongsi gelap 77 dan menafikan sepenuhnya terlibat dalam menikam seorang lelaki India sehingga mati pada malam kejadian.

[25] Perayu telah memanggil beberapa orang saksi. SD2 Yusri bin Mohd Suib atau Abang Yus telah menyokong keterangan perayu bahawa perayu bekerja sebagai pengiring Datuk J sekeluarga dalam satu majlis di KL Live Centre dan semasa membayar gaji perayu RM600/-sekitar pukul 2.30 hingga 3.00 pagi di Hotel Sheraton, perayu berseorangan dan dia tidak melihat sebarang perkara pelik atas diri perayu. SD3 Puan Noraini binti Mohd Nor, isteri perayu, menyatakan bahawa dia tidak melihat sebarang perubahan perangai atau perwatakan yang berlaku ke atas diri perayu sebelum ditangkap. Kehidupan mereka macam biasa dan perayu tidak pernah menyuarakan hasrat untuk berpindah. Perayu ditangkap ketika berada di dalam bilik rumah kakaknya. SD3 ada bersamanya ketika itu. Pihak polis tidak memberikan alasan tangkapan dan perayu tidak pula cuba melarikan diri. SD3 hanya dimaklumkan sebab tangkapan di IPD Selayang. Tambah SD3 lagi, sebelum tangkapan dia ada mendengar mengenai kematian seorang lelaki India tetapi dia tidak mahu mengambil tahu. SD3 menyatakan bahawa dia melihat perayu tidur di rumah pada malam kejadian tersebut dengan pakaian yang sama yang dipakai oleh perayu semasa keluar bekerja pada malam sebelumnya. Tiada sebarang kesan darah dilihat pada pakaian malah perayu tidak pernah menyatakan bahawa perayu berasa susah hati atas apa-apa perkara pun. Ini disokong juga oleh kakak ipar Perayu Puan Norashikin binti Jani (SD4).

Dapatan Hakim Bicara Di Akhir Kes Pembelaan

[26] Di akhir perbicaraan, YA Hakim bicara mendapati pihak pembelaan telah gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes ‘prima facie’ pihak pendakwaan bagi pertuduhan yang boleh dihukum di bawah seksyen 302. Menurut YA Hakim bicara (ms 36: RR, Jilid 1):

“Apabila niat untuk melakukan sesuatu kecederaaan atau bencana tubuh itu telah dibuktikan, soalan selanjutnya yang wajar dipersoalkan secara objektifnya adalah, sama ada kecederaan tersebut secara lazimnya boleh mengakibatkan suatu kematian. Tidak timbul soal apakah jenis dan tahap kecederaan sebenar yang Tertuduh ingin lakukan.”

YA Hakim bicara seterusnya memutuskan (di muka surat 37/40: RR Jilid 1):

"Saya memutuskan yang segala penafian yang dibuat oleh Tertuduh tidak berjaya menimbulkan apa jua keraguan yang munasabah terhadap kes pihak Pendakwaan. Pembelaan penafian tersebut apabila diuji dengan keterangan secara keseluruhannya, tidak berupaya untuk membangkitkan keraguan munasabah ke atas kes pihak Pendakwaan.”

[27] Ekoran itu, YA Hakim bicara mendapati perayu bersalah, disabitkan dan dihukum gantung mandatori.

Rayuan Ini

[28] Di hadapan kami, peguam bela terpelajar telah membangkitkan tiga perkara utama yang melibatkan:

(a) keraguan ke atas kredibiliti keterangan isteri si mati (SP11);

(b) keraguan ke atas kredibiliti saksi pendakwaan khususnya SP20;

(c) kegagalan pegawai penyiasat menjalankan siasatan yang rapi dan tepat.

Mengenai perkara (a), peguam bela terpelajar menegaskan YA Hakim bicara terkhilaf dalam menerima keterangan SP11 sedangkan keterangan SP11, saksi utama pendakwaan, meragukan dan pergantungan pada keterangan SP11 itu adalah tidak selamat. SP11 dikatakan sebagai saksi “she is not credible nor reliable because of contradictions”. Saranan ini diwajarkan kerana SP11 dengan jelas merupakan isteri si mati yang jelas mempunyai kepentingannya sendiri dan tidak boleh dipercayai. SP11 juga dikatakan inter alia: telah memberikan keterangan yang bercanggah mengenai kedudukannya semasa kejadian; SP11 menyatakan perayu sahaja yang memukul dan menikam suaminya sedangkan SP23 dan SP6 pula menyatakan suami SP11 telah ditikam oleh sekumpulan lelaki Melayu yang konsisten dengan laporan polis (P103) yang dibuat oleh SP19 Visvawaran a/l Segaran. Secara keseluruhan, dihujahkan keterangan SP11 tidak mempunyai kredibiliti, diragui, dan seharusnya diketepikan. Tambahan lagi, dan selaras dengan prinsip peraturan teliti dan berhemah (rule of prudence), dihujahkan tiadanya keterangan sokongan untuk menyokong keterangan SP11, seorang saksi berkepentingan. Memandangkan kes pendakwaan bergantung penuh pada keterangan ikut keadaan terutamanya keterangan SP11 yang meragukan dan seharusnya diketepikan, maka dihujahkan pihak pendakwaan telah gagal untuk membuktikan kesnya tanpa keraguan yang munasabah.

[29] Mengenai perkara (b), dihujahkan YA Hakim bicara telah terkhilaf dengan menerima keterangan SP20 sebagai keterangan sokongan memandangkan SP20 jelas mempunyai motif untuk membunuh si mati malah merupakan individu yang kononnya menerima sebilah pisau daripada seorang lelaki bernama Irak sedangkan terdapat keterangan yang menunjukkan SP20 mempunyai sebilah pisau tersebut dari awal pagi di Pusat Cyber Cafe itu sendiri (disahkan oleh SP19 Visvawaran a/l Segaran) dan seorang lelaki berbadan gemuk (kawan SP20) mengambil pisau daripada motornya semasa pergi ke rumah SP19. Malah SP19 menyatakan bahawa sekumpulan lelaki Melayu yang sama itu (Atan, budak gemuk itu dan seorang lagi) dengan beberapa orang lain telah mengetuk pagar rumah menggunakan pisau akibat tidak puas hati dengan tindakan SP19 menganggu Cyber Cafe tempat dia bekerja sebagai pengawal; SP19 bersama rakannya telah membuat bising dan telah memecahkan lampu bahagian depan dan sliding door Cyber Cafe tersebut. SP20 inilah yang bersungguh-sungguh ingin kembali semula ke tempat kejadian akibat ketidakpuasan SP20 tersebut. SP21 Mohd Norhafiz Bin Mat Nasir secara terang menyatakan bahawa SP20 inilah yang menyuruhnya menyembunyikan pisau itu. SP20 selaku saksi pendakwaan telah menegaskan bahawa dia langsung tidak melihat atau nampak perayu membawa apa-apa pisau atau senjata. Keterangan ini disokong oleh SP22, Noriman bin Maidin.

[30] Mengenai perkara (c) dihujahkan bahawa YA Hakim bicara telah gagal mempertimbangkan kegagalan pegawai penyiasat (SP23) yang gagal menyiasat kumpulan lelaki Melayu yang lain yang berada di tempat kejadian, dan gagal menyiasat bagaimana terdapat 43 kesan tikaman pada si mati sedangkan SP11 bersungguh-sungguh menyatakan perayu sahaja yang menikam si mati dan akhirnya kegagalan SP23 menyiasat pisau atau pedang yang dibawa SP20 dan disimpan oleh SP21 sedangkan jelas daripada keterangan SP19 menunjukkan bahawa SP20 dan lelaki berbadan gemuk itu mempunyai pisau terbabit dari awal pergaduhan di Cyber Cafe hinggalah ke rumah dan sehingga si mati mengalami tikaman.

Keputusan Kami

[31] Mengenai isu (a), kami berpendapat YA Hakim bicara telah terkhilaf sama ada dalam undang-undang atau pun fakta apabila menerima keterangan SP11, saksi utama pendakwaan, sebagai keterangan yang boleh dipercayai. Setelah dihalusi alasan penghakiman YA Hakim bicara, kami mendapati YA Hakim bicara telah gagal membuat rumusan yang tepat mengenai status perayu, implikasi penemuan tersebut dan alasan mengapa SP11 diputuskan sebagai saksi yang boleh dipercayai.

[32] Kami telah meneliti keterangan SP11 secara menyeluruh dan kami bersetuju dengan peguam bela terpelajar bahawa keterangan SP11 ini tidak selamat diterima, direka dan tidak mungkin kejadian yang dinyatakan oleh SP11 itu boleh berlaku mengikut versi yang diberikan oleh SP11 tersebut. YA Hakim bicara terlalu mengambil kira keterangan SP11 sehingga gagal membuat perbandingan dengan keterangan dokumentar dan keterangan saksi pendakwaan yang lain.

[33] Peguam bela terpelajar telah menghujahkan bahawa tidak mungkin si mati berkesempatan untuk menunggang motosikal pada malam itu seperti yang dinyatakan oleh SP11 memandangkan kandungan alkohol si mati ketika itu lebih daripada paras normal dan hampir setengah daripada paras yang boleh membahayakan si mati. Mengikut SP10, Dr Amir Saad bin Abdul Rahim, melalui Ekshibit P66 (Pernyataan saksi) dan P67 (Laporan bedah siasat), paras alkohol si mati ialah 233mg per 100ml yang 153mg melebihi daripada paras alkohol yang dibenarkan. Ini menunjukkan bahawa pada malam kejadian tersebut, si mati tidak mungkin baru sahaja kembali membelikan makanan untuk kakaknya. Malah keterangan SP11 ini amat meragukan apabila SP11 menyatakan bahawa kejadian itu berlaku di hadapan rumah flat 4 tingkat yang didiaminya iaitu di Jalan 43, Selayang Baru sedangkan dalam memberikan keterangan awalan SP11 menyatakan bahawa alamatnya ialah di No. 17H, Jalan 42, Selayang Baru dan SP11 telah mendiami di alamat tersebut selama 3 tahun. Ini merangkumi jangka masa kejadian ini berlaku. (Rujuk: m.s. 86 rekod rayuan, Jilid 1). Tambahan lagi, Gambar 10 (Ekshibit P13) merupakan gambar rumah 4 tingkat yang dikatakan di hadapan rumah tersebutlah si mati dikatakan ditikam. Tempat kejadian ini berada di Jalan 43 Selayang Baru sekali gus menunjukkan bahawa tempat itu bukan rumah si mati mahupun SP11. Ini menunjukkan bahawa SP11 telah tidak bercakap benar dan sekali gus menidakkan kehadirannya semasa kejadian tikaman itu berlaku.

[34] Peguam bela terpelajar juga telah menghujahkan bahawa SP11 tidak bercakap benar mengenai kewujudan sebenar individu-individu di tempat kejadian yang sekali gus menidakkan kebenaran keterangan SP11 bahawa suaminya si mati telah ditikam oleh perayu. SP11 hanya menyatakan bahawa hanya 3 orang sahaja yang telah datang ke tempat kejadian berbeza dengan keterangan yang diberikan oleh SP19 dan laporan polisnya (P103) yang menyatakan bahawa ada sekumpulan lelaki Melayu yang telah datang ke tempat kejadian. Semasa SP11 memberikan keterangannya tidak ada langsung sekumpulan lelaki Melayu yang didakwanya hadir di tempat kejadian tetapi berlainan pula dengan keterangan yang diberikan oleh SP19 sepertimana yang berikut:

(Mukasurat 156-157 Rekod Rayuan Jilid 2 Pemeriksaan Utama)-

S: Selepas polis datang apa yang berlaku?

J: Selepas itu, mereka telah nasihatkan kami untuk membuat laporan polis dan bila ada laporan polis baru polis boleh buat tindakan. Selepas polis telah beredar, lebih kurang dalam 5 minit, datang sekumpulan lelaki melayu, kumpulan yang sama tetapi ada tambahan orang. Lebih kurang dalam 20 orang termasuk 3 orang tadi.

(Muka surat 169 Rekod Rayuan Jilid 2 Pemeriksaan Balas)-

S: Kamu kata jumlahnya 20 orang termasuk Atan dan 2 orang lagi itu. Macam mana kamu tahu jumlahnya 20 orang?

J: Saya nampak ramai, saya tidak kira. Itu anggaran saya sahaja.

Jika dilihat dalam laporan polis (P103) yang dibuat oleh SP19 jelas menyatakan bahawa pada hari kejadian itu terdapat ramai lagi individu di tempat kejadian. SP19 dalam laporan P103 itu menyebut:

“....Saya dapati salah seorang daripada mereka ialah Atan dan rakan-rakannya (lebih kurang 15 orang). Saya dapati jiran saya nama: Kumar telah dibunuh. Saya percaya itu perbuatan Atan dan kawan-kawannya..”

Ini dengan jelas bercanggah dengan keterangan SP11.

[35] Keterangan SP11 ini jelas meragukan apabila SP11 menjelaskan dia boleh mengenali perayu daripada tingkat 2 flat tersebut pada pukul 2.00 pagi tersebut sedangkan keadaan sekeliling ketika itu gelap dan tidak memungkinkan SP11 boleh melihat warna kulit perayu dengan jelas. SP11 seterusnya menyatakan bahawa dia terlihat suaminya telah ditikam di bahagian dada sebelah kiri:

“Q: Semasa puan nampak lelaki melayu yang puan kata sepak motosikal itu, di mana puan berada ketika itu?

A: Selang satu kereta. Apabila suami saya jatuh, lelaki melayu itu telah memukul lagi dengan menggunakan tangan dan tiba-tiba saya tidak perasan daripada mana dia telah mengambil sebilah pisau dan dia telah tikam suami saya di bahagian dada sebelah kiri. Selepas tikam kejadian ini berlaku diantara kereta, selepas lelaki melayu tikam suami saya, lelaki melayu telah pergi sebelah kanan dan suami saya telah lari sebelah kiri. Selepas tikam suami saya lari dibelakang saya.”

[Ms 93: Rekod Rayuan, Jilid 1]

[36] Keterangan SP11 ini menunjukkan bahawa hanya satu tikaman dilakukan oleh perayu. Bagaimanapun keterangan SP11 ini telah berubah semasa keterangannya dirakam oleh SP23, ASP Mohd Ishan bin Ismail, apabila SP11 menyatakan bahawa suaminya telah ditikam oleh sekumpulan lelaki Melayu di kawasan rumahnya di No. 43 Selayang Baru:

“Q: Ada awak buat apa-apa temubual?

A: Ya, saya ada buat temubual secara lisan dengan beliau. Beliau beritahu suami dia telah kena ditikam oleh sekumpulan lelaki Melayu di kawasan rumah beliau di No. 43 Selayang Baru.”

[Ms 265: Rekod Rayuan, Jilid 3]

[37] Keterangan SP11 ini sekali lagi berubah semasa kawad cam. SP13, ASP Abdel Nasser bin S. Salleh, yang menjalankan kawad cam, dalam keterangannya menyatakan:

“Sessi kawad cam telah dijalankan pada 2/1/13 mulai jam 1455 hrs di Bilik Kawad cam, Lokap Balai Polis selayang (Station Dairy Lokap bil 76/13). Saksi A2 telah cam (B11) yang berdiri di kedudukan no.11 dari kiri barisan kawad cam. Mengikut (A2) peranan (B11) adalah, ‘tendang motor suami hingga jatuh, tendang perut suami, suami jatuh, pukul suami dengan kayu, ada nampak di pegang pisau dekat tangan, saya turun tengok, suami lari dekat saya cakap itu orang tikam dia, itu orang terus lari”.

[Ms 649: Rekod Rayuan, Jilid 7]

[38] Seterusnya kami juga mendapati keterangan yang diketengahkan oleh SP11 ini tidak memungkinkan kejadian begitu berlaku kepada si mati memandangkan SP11 hanya menyatakan “satu tikaman” sahaja yang berlaku. Namun, Laporan Bedah Siasat menunjukkan kemungkinan yang nyata si mati dicederakan oleh lebih daripada seorang individu kerana terdapatnya beberapa kesan kecederaan. Jelasnya, keterangan SP11 ini langsung tidak konsisten malah disanggah oleh keterangan SP10 Dr Amir Saad bin Abdul Rahim yang mengesahkan terdapat banyak kesan tikaman pada tubuh si mati dan juga kesan kecederaan akibat lelasan dan hirisan:

“4) Marks of injury

1. A superfiicial incised wound (labelled 1) on the upper left forehead was measured 5 x 0.2 cm, 3 cm distance from the midline and 156 cm above left heel.

2. A stab wound (labelled 2) on left chest region was measured 4 x 1.2 cm, 17 cm distance from the midline, 123 cm above left heel. No bruising was seen around the wound.

3. An abrasion wound (labelled 3) on lateral aspect of left arm was measured 20 x 0.3 cm.

4. An abrasion wound (labelled 4) on lateral aspect of left arm (adjacent to wound labelled 3) was measured 2.5 x 0.2 cm.

5. A superficial incised wound (labelled 6) on lateral aspect of left elbow was measured 5.2 x 0.1 cm.

6. A superficial incised wound (labelled 6) on lateral aspect of left elbow (distal to wound labelled 5) was measured 8.5 x 0.2 cm.

7. An abrasion wound (labelled 7) on lateral aspect of proximal left forearm was measured 2.2 x 0.5 cm.”

[Muka surat 615 Rekod Rayuan; Jilid 6]

[39] Peguam bela terpelajar juga telah menimbulkan isu bahawa pendakwaan telah gagal mengemukakan keterangan untuk menyokong keterangan SP11. Setelah kami teliti keterangan dalam rekod rayuan, kami bersetuju dengan hujahan tersebut. Walaupun kami bersetuju bahawa keterangan SP11 amnya tidak memerlukan sokongan, namun keterangan daripada rekod rayuan menunjukkkan bahawa keterangan SP11 ini tidak selamat diterima pakai dalam mensabitkan perayu. Malah keterangan SP11 mengenai pisau yang muncul secara tiba-tiba itu telah disangkal oleh SP20 Atan dan SP22 Noriman bin Maidin yang jelas menyatakan bahawa:

“S: Pada masa awak tahu Musa ada bawa senjata?

J: Saya tidak nampak.”

[SP20, muka surat 192 Rekod Rayuan; Jilid 2]

“S: Ada kamu nampak Musa bawa senjata?

J: Saya tidak nampak sebab saya keluar kereta dan terus turun ke bawah.”

[SP22, muka surat 245 Rekod Rayuan; Jilid 3]

[40] Dalam menolak keterangan SP11 ini, kami amat menyedari bahawa perkara yang berkaitan dengan kebolehpercayaan seseorang saksi terletak utamanya kepada hakim bicara. Mahkamah rayuan agak keberatan untuk mengganggu penemuan yang berdasarkan kebolehpercayaan demikian namun kami boleh dan akan campur tangan jika dapat ditunjukkan dapatan atau penemuan fakta hakim bicara itu ternyata salah dan tidak boleh disokong berdasarkan keterangan dan bertentangan dengan kemungkinan kes tersebut (rujuk: PP v Cho Sing Koo & Anor (2015) 4 CLJ 491.

[41] Berdasarkan huraian di atas, kami mengambil pendirian bahawa kedudukan kes ini mewajarkan campur tangan kami. Keterangan SP11 menunjukkan bahawa dia merupakan saksi yang secara terang demonstrably and undoubtedly lied on material points (and not just on any point) that her evidence must be treated with caution or discarded altogether”. Keterangan SP11 terhadap "a point that the determines the guilt” tidak wajar diterima mengikut keterangan yang ada secara tuntasnya (totality). Dengan penolakan keterangan SP11 serta keterangan yang lain di atas, kami mendapati tidak terdapat cukup keterangan mahupun keterangan ikut keadaan yang mantap untuk membuktikan inti pati kesalahan membunuh di bawah Seksyen 300 dan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 302 KK seperti mana pertuduhan.

[42] Mengenai isu (b), kami bersetuju dengan hujahan peguam bela perayu bahawa terdapat pelbagai percanggahan yang mampu menimbulkan keraguan munasabah ke atas kes pendakwaan. Keterangan dalam rekod menunjukkan SP20 merupakan saksi yang tidak boleh dipercayai dan berkemungkinan besar terlibat secara langsung dengan kematian si mati. Keterangan tersebut ialah, antaranya:

(a) SP19 menyatakan semasa mereka hendak keluar dari kedai permainan game, SP19 menyatakan bahawa SP20 dan kawannya telah memegang kayu dan pisau tetapi SP20 tidak ada menyatakan bahawa dia ada membawa senjata ketika itu.

(b) SP19 menyatakan bahawa SP20 dan 2 lagi kawannya datang dengan membawa pisau tetapi SP20 pula menyatakan bahawa semasa mereka pertama kali datang ke rumah SP19 untuk menuntut ganti rugi akibat kerosakan yang dilakukan oleh SP19, SP20 dan 2 orang kawannya yang lain telah diserang oleh SP19 dan ahli keluarganya dengan parang dan kayu.

(c) SP19 menyatakan bahawa semasa SP20 dan kawannya berada di tempat kejadian, ketika SP19 masuk ke dalam rumah dan meminta pertolongan, SP19 menyatakan bahawa SP20 telah melarikan diri akan tetapi ini berbeza pula dengan keterangan yang diberikan oleh SP20 yang menyatakan bahawa mereka telah melarikan diri dan meninggalkan motosikal mereka di tempat kejadian apabila mereka melihat ahli keluarga SP19 cuba menyerang mereka dengan kayu dan parang.

(d) Percanggahan keterangan antara SP20 dengan SP23 berhubung isu parang yang ditemui. Semasa memberikan keterangan di mahkamah, SP23 iaitu pegawai penyiasat dalam kes ini, menerangkan bahawa senjata yang ditemui di rumah SP21 tersebut ialah senjata yang diberikan oleh perayu kepada SP20. Menurut SP23:

“S: Ada awak siasat daripada Atan dapat senjata itu yang diserahkan oleh Apis Ayam?

J: Senjata diserahkan kepada Atan oleh OKT.”

[Muka surat 285 Rekod Rayuan: Jilid 3]

Akan tetapi semasa SP20 pula memberikan keterangan dia dengan jelas menyatakan bahawa parang tersebut telah diberikan oleh kawannya Irak dan bukannya perayu:

“Pemeriksaan Utama

S: Selepas kamu bantu itu?

J: Kawan saya beri saya pedang macam bentuk pisau. Kawan saya nama Irak. Nama penuh saya tidak tahu.”

[Muka surat 193 Rekod Rayuan: Jilid 2]

S: Sebenarnya awak terima parang ini daripada siapa?

J: Irak.

[Muka surat 199 Rekod Rayuan: Jilid 2]

Malah, pada pemerhatian kami SP20 tidak pernah mengaitkan senjata tersebut dengan perayu:

“S: Parang ini Musa yang bagi pada awak?

J: Bukan dia bagi.”

[Muka surat 204 Rekod Rayuan: Jilid 2]

[43] Pada hemat kami juga adalah munasabah untuk menerima hujahan peguam terpelajar bahawa berkemungkinan senjata yang dijumpai dimiliki oleh SP20 kerana fakta ini disokong oleh SP21. Malah daripada keterangan yang di atas menunjukkan dari Cyber Cafe tersebut SP20 telah mempunyai senjata berkilau tersebut dan seterusnya membawa ke pergaduhan di hadapan rumah SP19 pada sebelah tengah hari dan kemudiannya pada sebelah malam. Malah daripada keterangan yang ada siratan (inferens) yang paling munasabah mengarah kepada SP20 kerana dia mempunyai motif dalam mendendami si mati. Tetapi YA Hakim bicara memutuskan sebaliknya begini:

“Suatu hakikat yang tidak dapat dinafikan adalah Tertuduh adalah merupakan Ketua Kumpulan 77. Ini diakui sendiri oleh Noriman (SP22) selaku ahlinya. Walaupun isterinya (SD3) menyatakan tiada pengetahuan, kebenaran hakikat tersebut terserlah bilamana sebagai ketua kumpulan, adalah menjadi tanggungjawabnya untuk melindungi serta mengambil tahu hal ehwal kebajikan ahli dan anak-anak buahnya bilamana ia diperlukan. Jika tidak, masakan Atan (SP20) menghubunginya meminta bantuan. Dan juga, apakah perlu Shaun juga menghubunginya bagi memaklumkan yang Shaun dipanggil pergi ke Balai untuk camkan motorsikal.

Perkara tersebut adalah satu lumrah. Itulah sebabnya selepas dia diberitahu, dia telah bergegas ke tempat Atan dengan segera serta telah menasihatkan Shaun apa yang perlu dilakukan..”

Rumusan ini iaitu untuk menunjukkan terbitnya motif perayu dalam membunuh si mati merupakan satu rumusan yang tidak berasas, tidak relevan dan tidak bersandarkan fakta yang nyata. Ini satu kekhilafan yang nyata.

[44] Seperkara lagi, satu lagi isu yang menyumbang kepada percanggahan dalam kes pendakwaan melibatkan pisau yang dikatakan senjata pembunuhan. Jika benar perayu menggunakan pisau tersebut mengapakah tiada sesiapa di dalam kereta tersebut iaitu SP20 dan SP22, seperti mana yang dihuraikan di atas, tidak melihat atau nampak pisau tersebut. Jika benar, mengapakah perayu harus memberikan pisau tersebut kepada orang lain iaitu Irak, dan kemudiannya diberikan kepada SP20 yang kemudiannya memberikan kepada orang lain untuk disembunyikan? Mengapakah tidak diberikan terus kepada SP20 yang ada bersamanya? Mengapakah itu perlu disembunyikan? Sebaliknya, keterangan pendakwaan dari mula lagi bahawa SP20 lah yang dikatakan memegang pisau sebagai senjata. Jadi bagaimanakah boleh dikatakan perayu menggunakan pisau itu untuk menikam si mati?

[45] Selanjutnya, kedudukan perayu dengan kereta yang datang juga menunjukkan percanggahan yang nyata. SP20 mengatakan mereka datang dengan kereta yg dipandu oleh perayu. SP11 pula mengatakan dia nampak perayu lari dan sebuah kereta telah muncul dan perayu terus menaiki kereta itu dan melarikan diri. Siapakah yang memandu kereta tersebut? SP20 mengatakan apabila dia lari dan terus masuk ke dalam kereta, perayu sudah berada di dalam kereta itu. Sekali lagi, siapakah yang memandu? Begitu juga, bilakah perayu mengambil alih pemanduan dan menurunkan yang lain di rumah kenduri berkenaan? Ini gagal dirungkaikan oleh pendakwaan dan gagal dipertimbangkan oleh Hakim bicara.

[46] Kami juga telah meneliti siasatan yang dijalankan oleh SP23 (pegawai penyiasat) dan mendapati bahawa SP23 telah gagal menjalankan siasatan terhadap perkara yang berikut:

(a) gagal menyiasat di manakah sebenarnya alamat atau rumah si mati;

(b) gagal menyiasat di manakah motosikal yang dikatakan oleh SP11 tersebut;

(c) gagal menyiasat sama ada benarkah SP11 ada membuat penggilan telefon kepada si mati melalui telefon awam ke telefon bimbit si mati?

(d) gagal mengemukakan telefon bimbit si mati untuk menunjukkan bahawa SP11 berkata benar;

(e) gagal menyiasat siapakah yang telah menganggu tempat kejadian dan membasuh darah yang terdapat di atas jalan tersebut? (muka surat 284 Rekod rayuan Jilid 3).

[47] Kami berpandangan kegagalan SP23 untuk menyiasat dengan mendalam menyebabkan pelbagai andaian yang timbul dan gagal dirungkaikan. Acapkali kes yang dikemukakan di mahkamah menunjukkan kegagalan pegawai penyiasat untuk bertindak secara professional dan cekap dalam siasatan demi membantu bukan sahaja mangsa tetapi juga orang yang dituduh. YA Hakim bicara telah gagal meneliti fakta kegagalan SP23 ini dan tidak ada di mana-mana dalam alasan YA Hakim bicara yang telah mempertimbangkan isu ini sebelum membuat penemuan fakta muktamadnya. Apakah kesan kegagalan yang dimaksudkan di sini telah diperjelaskan melalui kes Pendakwa Raya v Che Saufi bin Kadir (2005) 8CLJ 455 seperti yang berikut:

“Mahkamah ini mendapati bahawa agensi siasatan gagal menjalankan siasatan lebih terperinci atau mendalam untuk mendapati keterangan-keterangan yang penting untuk menambah atau mengukuhkan keterangan ikut keadaan atau mungkin boleh menguatkan keterangan ikut keadaan”

[48] Berdasarkan alasan-alasan di atas, kami mendapati rayuan ini mempunyai merit dan perayu telah berjaya menunjukkan bahawa YA Hakim bicara telah melakukan kekhilafan undang-undang dan fakta dalam membuat keputusannya. Kami mendapati bahawa perayu telah berjaya membangkitkan keraguan yang munasabah ke atas kes pendakwaan dan pendakwaan dengan itu telah gagal membuktikan kes terhadap perayu tanpa keraguan yang munasabah. Daripada huraian dan alasan di atas, kami mendapati sabitan terhadap perayu adalah tidak selamat. Dengan itu kami membenarkan rayuan perayu dan sekali gus mengetepikan hukuman yang dijatuhkan oleh YA Hakim bicara dan menggantikannya dengan perintah dilepaskan dan dibebaskan.

t.t

ABDUL KARIM ABDUL JALIL
Hakim Mahkamah Rayuan

Tarikh: 9 Mac 2018

COUNSEL

Bagi pihak Perayu: Azrul Zulkifli Stork (bersama Mohd Fahmy Mohd Sulaiman), Tetuan Azharudin & Associates

Bagi pihak Responden: Iswa Tonie, Timbalan Pendakwa Raya, Jabatan Peguam Negara

Legislation referred to:

Kanun Keseksaan, Seksyen-seksyen 300, 302

Judgments referred to:

Pendakwa Raya v Che Saufi bin Kadir (2005) 8CLJ 455

PP v Cho Sing Koo & Anor (2015) 4 CLJ 491

Notice: The Promoters of Malaysian Judgments acknowledge the permission granted by the relevant official/ original source for the reproduction of the above/ attached materials. You shall not reproduce the above/ attached materials in whole or in part without the prior written consent of the Promoters and/or the original/ official source. Neither the Promoters nor the official/ original source will be liable for any loss, injury, claim, liability, or damage caused directly, indirectly or incidentally to errors in or omissions from the above/ attached materials. The Promoters and the official/ original source also disclaim and exclude all liabilities in respect of anything done or omitted to be done in reliance upon the whole or any part of the above/attached materials. The access to, and the use of, Malaysian Judgments and contents herein are subject to the Terms of Use.