THE OFFICIAL REPOSITORY OF
MALAYSIAN JUDGMENTS & RULINGS

[2018] MYCA 8 MALAY

Murugan A/L Krishnan v Pendakwa Raya and Another Appeal
Suit Number: Rayuan Jenayah Nos. B-05(M)-297-07/2016 & B-05(SH)-299-08/2016 

Criminal law – Murder – Attempt to Murder – Conviction – Death sentence – Appeal

Criminal law – Self Defence – Whether the trial court erred when it found the appellant’s defence to be a mere denial or an afterthought – Whether the trial court failed to sufficiently appreciate that the appellant’s evidence cast a reasonable doubt on the prosecution’s case

PENGHAKIMAN

Pendahuluan

[1] Perayu yang mendakwa dirinya sebagai seorang bomoh, telah di hadapkan dengan 5 pertuduhan di Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk 3 kesalahan membunuh dan 2 kesalahan cubaan untuk membunuh mangsa-mangsa yang kesemuanya terdiri dari satu keluarga. Butir-butir 5 pertuduhan adalah seperti berikut:

Pertuduhan Pertama

“Bahawa kamu pada 31 Mac 2012 antara jam lebih kurang 10.30 malam hingga 1 April 2012 jam lebih kurang 2.30 pagi di No. 2 Jalan Melur 2, Taman Sri Ramal, dalam Daerah Kajang, dalam Negeri Selangor Darul Ehsan, telah membunuh RAJESWARY A/P KARUPPANAN (No. KP: 831201-14-6258), dan dengan itu kamu telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.”

Pertuduhan Kedua

“Bahawa kamu pada 31 Mac 2012 antara jam lebih kurang 10.30 malam hingga 1 April 2012 jam lebih kurang 2.30 pagi di No. 2 Jalan Melur 2, Taman Sri Ramal, dalam Daerah Kajang, dalam Negeri Selangor Darul Ehsan, telah membunuh MANIVANNAM A/L KARUPPANAN (No. KP: 791112-14-5559), dan dengan itu kamu telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.”

Pertuduhan Ketiga

“Bahawa kamu pada 31 Mac 2012 antara jam lebih kurang 10.30 malam hingga 1 April 2012 jam lebih kurang 2.30 pagi di No. 2 Jalan Melur 2, Taman Sri Ramal, dalam Daerah Kajang, dalam Negeri Selangor Darul Ehsan, telah membunuh SAKUNTHALA A/P MALAYALAM (No. KP: 480831-10-5184), dan dengan itu kamu telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.”

Pertuduhan Keempat

“Bahawa kamu pada 31 Mac 2012 antara jam lebih kurang 10.30 malam hingga 1 April 2012 jam lebih kurang 2.30 pagi di No. 2 Jalan Melur 2, Taman Sri Ramal, dalam Daerah Kajang, dalam Negeri Selangor Darul Ehsan, telah melakukan suatu perbuatan iaitu memberi minuman yang mengandungi racun Paraquat dengan niat dalam keadaan sedemikian bahawa jika melalui perbuatan tersebut kamu akan menyebabkan kematian KARUPPANAN A/L MUTHUVERAN (No. KP: 461204-08-5177), dan dengan itu kamu telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 307(1) Kanun Keseksaan.”

Pertuduhan Kelima

“Bahawa kamu pada 31 Mac 2012 antara jam lebih kurang 10.30 malam hingga 1 April 2012 jam lebih kurang 2.30 pagi di No. 2 Jalan Melur 2, Taman Sri Ramal, dalam Daerah Kajang, dalam Negeri Selangor Darul Ehsan, telah melakukan suatu perbuatan iaitu memberi minuman yang mengandungi racun Paraquat dengan niat dalam keadaan sedemikian bahawa jika melalui perbuatan tersebut kamu akan menyebabkan kematian MALATHY A/P KARUPPANAN (No. KP: 801221-14-5414), dan dengan itu kamu telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 307(1) Kanun Keseksaan.”

[2] Di akhir perbicaraan, Perayu telah disabitkan atas kesemua lima pertuduhan dan dijatuhkan dengan hukuman mati bagi 3 kesalahan membunuh dan penjara 15 tahun berkuat kuasa dari tarikh ditangkap bagi setiap pertuduhan bagi cubaan untuk membunuh.

[3] Terkilan dengan sabitan dan hukuman oleh Hakim bicara tersebut, Perayu memfailkan rayuan ke Mahkamah ini. Kami telah mendengar serta menimbangkan rayuan Perayu pada 23.11.2017 dan kami telah menolak rayuan Perayu. Kami memperincikan alasan-alasan penolakan rayuan Perayu yang menyusul selepas ini.

Kes Pendakwaan

[4] Fakta kes pendakwaan secara ringkasnya adalah seperti berikut:

(a) Pada 1.4.2012 jam 3.17 pagi, Anggota Bomba, Nik Azizi bin Nik Ahmad (SP15) telah menerima maklumat daripada Bilik Kawalan Bomba Kajang yang menyatakan ada kebakaran berlaku di sebuah rumah di alamat No. 2, Jalan Melur 2, Taman Sri Ramal, Kajang, Selangor (‘rumah tersebut’). SP15 bersama satu pasukan bomba dan penyelamat dari Balai Bomba Kajang terus bergegas ke tempat kejadian;

(b) SP15 dan pasukannya telah tiba di tempat kejadian pada jam 3.32 pagi dan mendapati ramai orang awam telah berkumpul di luar rumah tersebut. SP15 mendapati kebakaran tersebut berlaku di ruang tamu dan bilik pertama rumah tersebut. SP15 dan pasukannya telah berjaya memadamkan api kebakaran tersebut. SP15 dapat melihat seorang lelaki dan seorang perempuan India, yang masih muda berada di dalam rumah tersebut;

(c) Sementara itu pada jam 4.37 pagi, Sjn. Mat Jedi bin Jaafar (SP20) yang sedang bertugas di Pusat Kawalan Daerah, Balai Polis Kajang telah menerima maklumat daripada seorang awam yang melaporkan tentang satu kejadian rompakan dan kebakaran yang berlaku di rumah tersebut. SP20 telah menjadikan maklumat yang diterima sebagai laporan maklumat pertama melalui Kajang Report No. 10484/2012 (P51). SP20 kemudiannya telah memaklumkan laporan P51 kepada Pegawai Penyiasat yang bertugas, Inspektor Nor Amirah binti Azmi (SP32);

(d) Sebaik dimaklumkan mengenai laporan P51, SP32 bersama seorang anggota detektif dan seorang Jurugambar, KPL Ruslan bin Ismail (SP3), telah pergi ke tempat kejadian dan sampai di rumah tersebut lebih kurang 10 minit kemudiah (lebih kurang jam 4.47 pagi). SP32 telah menemui SP15 yang masih berada di rumah tersebut dan anggota L/Kpl Fredoline bin John (SP16). SP32 juga telah bertemu dengan pemilik rumah tersebut bernama Manivannam a/l Karuppanan (‘Si mati Kedua’). Pada awalnya Si mati Kedua memberitahu keluarganya telah dirompak tetapi kemudiannya menukar ceritanya. Menurut Si mati Kedua, pada masa kejadian, ayahnya Karuppanan a/l Muthuveran (SP30); ibunya Sakunthala a/p Malayalan (‘Si mati Ketiga’) dan adik beradiknya, Malathy a/p Karuppanan (SP31) dan Rajeswary a/p Karuppanan (‘Si mati Pertama’) berada di rumah tersebut, tetapi kesemua mangsa tersebut telah dibawa pergi ke hospital. SP3 telah mengambil sebanyak 8 keping gambar tempat kejadian [P12 (1-8)] atas arahan SP32 untuk menunjukkan keadaan di rumah tersebut;

(e) Menurut SP32, Si mati Kedua ada memberitahunya bahawa keluarga Si mati telah mengadakan satu upacara keagamaan ‘Pooja Homem’ di rumah tersebut. Upacara ‘Pooja Homem’ telah dilakukan oleh Murugan (Perayu). Semasa majlis itu diadakan, semua ahli keluarga seramai 5 orang, termasuklah beliau sendiri telah diberi sejenis minuman air ‘Thirtham’ atau ‘Legiam’ oleh Perayu. Menurut Si mati Kedua lagi, selepas meminum air jampi tersebut, bapanya (SP30) telah jatuh pengsan. Menurut SP32, keadaan Si mati Kedua pada ketika itu seperti orang mabuk tetapi tiada bau arak. Walau bagaimanapun Si mati Kedua telah muntah hijau, lalu SP32 menasihatkan Si mati Kedua supaya pergi segera ke hospital untuk mendapatkan rawatan perubatan. SP32 mendapati di dalam rumah tersebut terdapat peralatan untuk upacara sembahyang agama Hindu seperti batu bata, beras serta lain-lain barangan dan peralatan. SP32 telah meminta Pasukan Forensik untuk menjalankan pemeriksaan di rumah tersebut. Satu pasukan forensik yang diketuai oleh Inspektor Kamarul Hasnan Bin Hassan (SP23) telah hadir di tempat kejadian;

(f) SP32 kemudiannya telah pergi ke Hospital Serdang untuk melihat semua mangsa yang terlibat. SP32 telah bertemu dengan Si mati Pertama, Si mati Ketiga, SP30 dan SP31. Kesemua 4 mangsa ketika itu berada dalam keadaan lemah dan tidak bermaya. Suara mereka juga serak-serak. SP30 telah memberitahu SP32 bahawa seorang bomoh telah mengadakan upacara sembahyang di rumah mereka dan telah memberikan mereka sejenis minuman sebelum mereka semua jatuh pengsan;

(g) Menurut SP32, pada 1.4.2012 jam lebih kurang 12.00 tengahari, beliau telah dimaklumkan oleh pihak Hospital Serdang bahawa hasil ujian air kencing ke atas keempat-empat pesakit yang berkenaan didapati positif mengandungi racun jenis “paraquat”. SP32 telah diarahkan untuk merakamkan percakapan daripada Si mati Pertama pada 2.4.2012. Hasil percakapan yang dirakamkan, Si mati Pertama memaklumkan bahawa pada 31.3.2012 jam lebih kurang 10.50 malam seorang bomoh telah datang ke rumah mereka untuk satu upacara “Homem” dan upacara itu tamat jam 1.00 pagi. Bomoh itu telah meminta mereka untuk meminum sejenis air “Thirtham” sebelum menyuruh mereka untuk pergi tidur;

(h) Si mati Pertama turut memberitahu SP32 bahawa bomoh itu ialah seorang yang bernama Murugan yang pernah datang ke rumah mereka sebanyak 5 kali sebelum itu. Pada kali terakhir sebelum malam kejadian itu, Murugan ada membawa sejenis bahan dan telah memasukkan bahan itu ke dalam kari kambing sehingga menyebabkan kari kambing itu bertukar menjadi warna hijau. Si mati Pertama menyatakan bahawa anjing mereka telah mati setelah memakan kari kambing itu. Penyiasatan kes ini seterusnya telah diambil alih oleh DSP Pung Hing Chong (SP35). Pada 2.4.2012, Si mati Kedua turut telah dimasukkan ke Hospital Serdang. Tiga mangsa iaitu Rajeshwary (Si mati Pertama) telah meninggal dunia pada 4.4.2012, Manivannan (Si mati Kedua telah meninggal dunia pada 8.4.2012 dan Sakunthala (Si mati Ketiga) telah meninggal dunia pada 14.4.2012;

(i) Berikutan itu, Perayu telah ditangkap oleh Inspektor Thirucelvam a/l Esonji di kawasan Hotel Orchard, Kuala Lumpur pada 18.4.2012. Berpandukan maklumat yang diberikah oleh Perayu, seorang Sami Hindu, Ganesan a/l Mani (SP27) telah turut ditangkap oleh pihak polis;

(j) Menurut keterangan pakar dan pegawai perubatan Dr. Siew Sheue Feng (SP4), Dr. Navin Freddy (SP6), Dr. Frances Leow May Tan (SP7), R. Lita Ramasamy (SP8), Dr. Hakimah bt Mohammad Salehuddin (SP10), Dr. Ayuwati bt Mohd Ali (SP11), Dr. Erlinda Bt Tunan (SP12), Dr. Ho Kei Ngie (SP13) dan Dr. Abdul Karim bin Hj. Tajudin (SP22) mengesahkan bahawa kesemua 5 mangsa telah mendapat kecederaan akibat daripada meminum racun paraquat. Ahli Kimia, Edwin Cheong Yit Seng (SP9) dan Rishah Faizal bin Mohamed Kassim, turut mengesahkan dapatan yang sama bahawa 5 mangsa telah mengalami kecederaan akibat daripada keracunan paraquat;

(k) Hasil siasatan yang telah dijalankan oleh pihak polis menunjukkan bahawa Perayu telah datang ke rumah 5 mangsa dan melakukan upacara “Homem”. Perayu telah memberikan 5 mangsa minuman bercampur dengan racun paraquat sehingga menyebabkan 3 mangsa mati dan 2 mangsa mengalami kecederaan.

Dapatan Hakim bicara di akhir kes pendakwaan

[5] Di akhir kes pendakwaan, Hakim bicara membuat dapatan bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Perayu atas kesemua 5 pertuduhan yang di kemukakan terhadap Perayu. Untuk 3 pertuduhan membunuh, Hakim bicara menerima keterangan SP22, SP30 dan SP31 bahawa 3 mangsa telah meninggal dunia dan telah dicamkan oleh SP30 sebagai Rajeswary a/p Karuppanan (anak perempuan SP30), Manivannam a/l Karuppanan (anak lelaki SP30) dan isteri SP30, Sakunthala a/p Malayalam. Hakim bicara mendapati kesemua elemen 3 pertuduhan membunuh dan 2 pertuduhan cubaan membunuh telah berjaya dibuktikan terhadap Perayu.

[6] Hakim bicara turut menerima keterangan SP22 bahawa kecederaan tubuh badan yang telah dialami oleh kesemua mangsa adalah akibat daripada keracunan paraquat. Hakim bicara juga menerima keterangan SP30 dan SP31 yang turut disokong melalui percakapan 3 Si mati yang diberikan kepada SP32 (D128, D132 dan D133), yang mana kesemua mereka menyatakan bahawa mereka dan Si mati Ketiga telah diberikan sejenis air minuman “Thirtam” bercampur dengan racun paraquat oleh Perayu semasa upacara “Homem” diadakan di rumah tersebut. Terdapat juga keterangan menunjukkan apabila kesemua mangsa berada dalam keadaan lemah dan lesu kerana muntah-muntah, Perayu telah memulakan kebakaran terhadap rumah mereka selepas Perayu melarikan wang dan barangan berharga milik keluarga mangsa.

[7] Setelah berpuas hati atas penilaian maksima bahawa kesemua elemen pertuduhan telah dibuktikan oleh pihak pendakwaan terhadap Perayu bagi kelima-lima pertuduhan, Hakim bicara telah memerintahkan Perayu untuk membela diri atas kesemua pertuduhan.

Kes Pembelaan

[8] Perayu memilih memberikan keterangan membela diri secara bersumpah. Secara ringkasnya, Perayu menyatakan seperti berikut:

(a) Perayu telah mengenali SP30 selama 7 bulan sebelum kejadian. SP30 pernah menceritakan kepadanya mengenai beberapa masalah dalam keluarga beliau, termasuklah masalah SP30 yang berkahwin lain telah diketahui oleh ahli keluarga beliau.

(b) Atas permintaan SP30, Perayu telah membantu menjalankan satu upacara keagamaan di rumah SP30 dan upacara itu telah dijalankan oleh seorang sami bernama Ganesan (SP27). Upacara itu telah dijalankan pada hari kejadian, mulai dari jam 10.00 malam lebih.

(c) Menurut Perayu, sami Ganasan ada membawa air di dalam beberapa peket plastik kecil untuk dituangkan ke dalam 5 cawan kecil. Selesai upacara itu, Perayu telah meletakkan 5 cawan itu ke dalam dulang, setiap seorang telah minum air dalam cawan kecil itu. Perayu menyatakan dia tidak tahu apakah air tersebut. Perayu menyatakan 3 orang anak SP30 dan isteri SP30 telah minum minuman tersebut. SP30 sendiri tidak minum, tapi hanya mengacah-acahkan ke bibirnya sahaja. Apabila selesai minum, anak-anak SP30 masuk ke dalam bilik, manakala SP30 dan isterinya terus berada di ruang tamu. Selepas itu SP30 terus menghantar Perayu balik.

(d) Selepas 2 hari, Perayu mendapat tahu bahawa anak-anak dan isteri SP30 telah mati. Perayu mendapat tahu berita ini setelah Perayu membaca akhbar Tamil dan The Star. Perayu telah menelefon SP30 tetapi tiada jawapan. Perayu telah pergi ke kuil dan bertanya perkara itu kepada SP27 tetapi SP27 menjawab bahawa dia tidak tahu apa-apa.

(e) Perayu menyatakan bahawa dia berasa takut akibat kejadian itu. Perayu telah melarikan diri ke Puchong dan tinggal di rumah rakannya yang bernama Robert. Selepas itu, dia melarikan diri ke Kepong dan kemudian nya dia pergi menginap di sebuah hotel sebelum ditangkap oleh pihak polis.

(f) Perayu menafikan bahawa dia telah membakar rumah SP30 dengan menggunakan gas untuk memasak.

(g) Perayu menyatakan bahawa wang yang diterimanya daripada SP30 bukanlah sebagai pinjaman tetapi dia telah menerima wang itu daripada SP30 untuk disimpan bagi pihak SP30. Dia akan mengembalikan wang itu kepada SP30 secara tunai dan juga melalui cek.

(h) Perayu seterusnya menyatakan bahawa dia tidak pernah memberikan air jampi “Legiam” kepada SP30 dan ahli keluarga SP30. Perayu juga menyatakan bahawa dia pergi ke Indonesia adalah untuk mencari pekerja untuk bekerja sebagai Pengawal Keselamatan.

(i) Perayu juga menafikan bahawa dia telah mencuri 2 utas rantai leher isteri SP30. Sebaliknya, Perayu menyatakan bahawa barang kemas itu telah diberikan kepadanya oleh SP30 untuk disimpan oleh Perayu bersama-sama dengan beberapa buah telefon bimbit.

(j) Akhirnya, Perayu menyatakan bahawa dia tidak mempunyai niat untuk membunuh SP30 dan ahli keluarga SP30, dan dia juga tidak menjalankan upacara “Homem” itu secara bersendirian.

[9] Pihak pembelaan telah memanggil 3 orang saksi yang lain dan turut memanggil semula SP35 untuk memberi keterangan bagi pihak kes pembelaan. Saksi Thirumaran a/l Vadivello (SD2) menyatakan bahawa pada 31.3.2012, jam lebih kurang 9.00 malam, dia berada di Pos Pengawal Keselamatan di Taman Vistana Mahkota, Batu 9, Cheras bersama Perayu apabila SP30 datang menjemput Perayu dengan menaiki sebuah motosikal. Pada malam yang sama, jam antara 12.00-12.30 tengah malam, saksi melihat SP30 datang menaiki motosikal menghantar semula Perayu ke Pos Pengawal tempat saksi bekerja.

[10] Saksi Sub-Inspektor Moorthy a/l Krishnasamy (SD3) menyatakan bahawa pada 16.4.2012 dia mula bertugas di Cawangan D9, IPD Kajang. Saksi mengesahkan kes pembunuhan terhadap perayu disiasat oleh Cawangan D9, IPD Kajang. Saksi terlibat dalam penyiasatan kes pembunuhan tersebut apabila dia telah diarahkan oleh SP35 untuk merakam percakapan daripada saksi SP27. SD3 mengesahkan SP27 telah ditangkap pada 14.4.2012, 2 hari selepas saksi melapor diri untuk bertugas di Cawangan D9, IPD Kajang. SD3 mengesahkan bahawa dia turut terlibat dalam tangkapan terhadap Perayu dan SP27 pada 18.4.2012 oleh pasukan yang diketuai oleh Inspektor Zamsari bin Zainal. SD3 juga mengesahkan bahawa Perayu telah menunjukkan kedai di mana tempat Perayu telah membeli racun. SD3 juga menyatakan bahawa dia turut terlibat menjalankan siasatan di rumah Perayu untuk mengesan kunci rumah SP30 serta barang-barang kes yang telah dilarikan oleh Perayu dari rumah SP30. SD3 menafikan sama sekali penglibatan SP27 dalam kes pembunuhan ahli keluarga SP30.

[11] Saksi SD4, Inspektor Badrul Hisyam bin Hussain, mengesahkan bahawa beliau telah diarahkan untuk mengendalikan dua kawad cam terhadap Perayu melibatkan 2 orang saksi (SP30 dan SP31). Selain itu, SD4 juga telah mengendalikan satu lagi kawad cam terhadap SP27 melibatkan dua orang saksi yang sama (SP30 dan SP31). Hasil kawad cam terhadap Perayu, SP30 dan SP31 telah berjaya mengecamkan Perayu. Saksi-saksi yang sama, walau bagaimanapun tidak dapat mengecamkan SP27.

[12] Saksi pembelaan terakhir, DSP Pung Heng Chung (SD5), mengesahkan bahawa dia ada mengarahkan Inspektor Faizal untuk merakamkan percakapan pemilik kedai menjual racun rumput kepada Perayu, seorang yang bernama Kwan Lian Seng. SD5 telah mengecamkan percakapan itu dan mengemukakannya ke Mahkamah (D138). Saksi juga mengesahkan bahawa dia ada merampas sebuah motosikal dengan nombor pendaftaran WLR 6144 yang didaftarkan atas nama penama Chong Wei Hien dan digunakan oleh Perayu.

[13] Hakim bicara telah menolak versi pembelaan Perayu atas alasan bahawa pembelaan Perayu merupakan satu rekaan sahaja bagi melepaskan dirinya daripada pertuduhan dan juga pembelaan Perayu hanya bersifat satu pemikiran terkemudian (“afterthought”). Hakim bicara telah membuat dapatan, setelah membuat penilaian secara maksima bahawa pembelaan Perayu yang sedemikian rupa telah gagal untuk menimbulkan sebarang keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.

[14] Dalam penghakimannya, hakim bicara yang bijaksana telah mengulas pembelaan Perayu, secara ringkasnya seperti berikut:

(a) Perayu hanya menafikan setiap soalan yang disyorkan (‘put’) kepadanya tanpa memberikan sebarang penjelasan;

(b) keterangan Perayu secara materialnya bercanggah dengan keterangan yang telah diberikan oleh saksi-saksi SP30 dan SP31, iaitu saksi-saksi utama kes pendakwaan;

(c) versi Perayu yang meletakkan segala kesalahan ke atas SP27 tidak disokong oleh sebarang keterangan. Malahan, tidak ada sebarang saksi yang menyatakan telah melihat SP27 berada di rumah tersebut pada malam kejadian. Saksi-saksi SP30 dan SP31 juga tidak pernah mengenali dan tidak dapat mengecamkan SP27 sebagai Sami yang telah menjalankan upacara keagamaan di rumah tersebut;

(d) ahli keluarga SP30 juga tidak pernah melihat SP27 pada dan sebelum malam kejadian;

(e) Perayu telah bercakap bohong dan memberikan keterangan yang tidak benar mengenai penemuan barang kemas dan telefon bimbit mangsa yang berada dalam simpanan Perayu yang kononnya telah diberikan oleh SP30 kepadanya untuk disimpan selamat;

(f) pembelaan Perayu bahawa wang telah diberikan oleh SP30 untuk Perayu menyimpan bagi pihak SP30 juga merupakan satu pembelaan yang tidak munasabah dan tidak masuk akal. Walaupun terdapat keterangan berkaitan dengan cek-cek yang dikatakan sebagai pembayaran balik, namun kesemua cek adalah atas nama Perayu, dan bukannya atas nama SP30;

(g) pembelaan Perayu yang menyatakan bahawa dia telah melarikan diri selepas kejadian akibat ketakutan apabila berlaku kematian dalam ahli keluarga SP30. Fakta ini adalah relevan dan boleh diterima sebagai keterangan di bawah seksyen 8 Akta Keterangan 1950 bagi mengaitkan Perayu dengan kematian ahli keluarga SP30 serta kebersalahan Perayu;

(h) Hakim bicara telah menolak keterangan saksi SD2 yang menyatakan bahawa dia melihat SP30 ada datang ke tempat dia bekerja pada hari kejadian untuk menjemput dan menghantar Perayu dengan menaiki motosikal, sebagai satu keterangan yang diajar (“concocted’). Keterangan menunjukkan bahawa SD2 telah diminta oleh Perayu dan SD2 telah bersetuju untuk memberi keterangan menyebelahi Perayu. Ini berlaku semasa SD2 datang melawat Perayu di dalam penjara; dan

(i) keterangan SD3 dan SD4 juga, menurut Hakim bicara, tidak dapat membantu Perayu untuk menimbulkan sebarang keraguan yang munasabah terhadap kes pihak pendakwaan.

[15] Atas alasan-alasan tersebut, Hakim bicara telah mendapati Perayu bersalah dan disabitkan atas pembunuhan terhadap tiga Si mati seperti yang dipertuduhkan. Hakim bicara turut mendapati dan mensabitkan Perayu atas 2 pertuduhan kerana cubaan untuk membunuh SP30 dan SP31. Perayu telah dijatuhkan dengan hukuman gantung sampai mati bagi setiap pertuduhan membunuh dan hukuman 15 tahun penjara berkuatkuasa dari tarikh ditangkap bagi setiap pertuduhan cubaan untuk membunuh, berjalan serentak.

Rayuan Perayu

[16] Di hadapan kami, peguam bela terpelajar telah membangkitkan tiga alasan rayuan seperti berikut:

(a) Hakim bicara khilaf apabila membuat dapatan bahawa pembelaan Perayu hanya satu rekaan dan penafian semata-mata;

(b) Hakim bicara khilaf apabila menyatakan pembelaan Perayu sebagai satu pemikiran terkemudian (“an afterthought”); dan

(c) Hakim bicara telah gagal untuk membuat pertimbangan dengan secukupnya pembelaan merayu untuk mencapai dapatan bahawa pembelaan Perayu telah berjaya menimbulkan satu keraguan yang munasabah terhadap kes pihak pendakwaan.

[17] Peguam bela terpelajar menyatakan bahawa beliau tidak mempertikaikan bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Perayu atas kesemua 5 pertuduhan yang di hadapkan. Sebaliknya, peguam bela menghujahkan bahawa pembelaan Perayu yang dikemukakan melalui 5 orang saksi telah berjaya menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan. Dihujahkan juga bahawa Hakim bicara telah terkhilaf apabila menolak pembelaan Perayu sebagai satu penafian semata-mata, satu rekaan dan satu pemikiran terkemudian.

[18] Peguam bela terpelajar menghujahkan selanjutnya bahawa Hakim bicara telah terkhilaf apabila gagal membuat dapatan bahawa pembelaan Perayu sebenarnya telah berjaya menimbulkan satu keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan. Dihujahkan, Perayu sepatutnya dibebaskan daripada kesemua pertuduhan atau secara alternatifnya, dihujahkan bahawa sabitan terhadap Perayu lebih sesuai dibuat di bawah Seksyen 304 Kanun Keseksaan (‘KK’) bagi menggantikan sabitan terhadap 3 pertuduhan atas kesalahan membunuh di bawah seksyen 302 KK.

Dapatan Kami

[19] Asas pembelaan Perayu ialah berteraskan kepada penafian penglibatan dalam pembunuhan yang berlaku. Kami telah meneliti dan memperhalusi Rekod Rayuan yang jelas menunjukkan pembelaan Perayu adalah bahawa dia hanya bertindak sebagai pembantu kepada SP27. Segala upacara keagamaan “homem” yang dijalankan di rumah SP30 pada malam itu telah dilakukan oleh SP27. Perayu menyatakan bahawa air jampi “thirtam” atau ‘legiam” yang telah diberikan dan diminum oleh semua mangsa pada malam itu telah disediakan dan dibawa ke rumah tersebut oleh SP27. Perayu juga menafikan sebarang pengetahuan bahawa air jampi tersebut telah dicampurkan dengan racun paraquat.

[20] Perayu telah membawa satu pasukan polis ke sebuah kuil di Bandar Sg. Long dan telah menunjukkan SP27 kepada pihak polis. SP27 telah ditangkap dan SP27 telah menafikan sama sekali pembabitan beliau dengan upacara keagamaan yang telah diadakan di rumah SP30. SP27 langsung tidak pernah mengenali SP30, dan SP35 mengesahkan, berdasarkan penyiasatan yang telah dilakukan, bahawa SP27 langsung tidak terlibat dalam kes pembunuhan ini. Saksi-saksi SP30 dan SP31 juga tidak dapat mengecamkan SP27 semasa kawad cam diadakan. Penyiasatan yang telah dijalankan oleh SP35 telah menunjukkan bahawa pada malam kejadian, SP27 berada disebuah rumah yang lain bersama dengan saksi SP26 kerana menghadiri satu majlis pertunangan. Oleh itu, adalah jelas bahawa Perayu telah memberikan keterangan yang tidak benar apabila dia meletakkan segala kesalahan terhadap SP27.

[21] Kami bersetuju dengan dapatan Hakim bicara bahawa Perayu telah gagal untuk memberikan sebarang penjelasan yang munasabah mengenai tindakannya membakar rumah SP30 dengan menggunakan minyak petrol setelah semua mangsa berada dalam keadaan lemah dan tidak bermaya selepas mengalami muntah hijau setelah meminum air jampi yang telah diberikan kepada mereka oleh Perayu.

[22] Kami juga bersetuju dengan dapatan Hakim bicara bahawa Perayu turut gagal untuk memberikan satu penjelasan yang munasabah seperti dikehendaki di bawah Seksyen 9 Akta Keterangan 1950 mengenai pelakuannya melarikan diri setelah membakar rumah tersebut. Perbuatan membakar rumah tersebut dan perbuatan melarikan diri serta menyembunyikan diri dan hanya berjaya ditahan 18 hari selepas kejadian merupakan keterangan yang relevan dengan niat dan pengetahuan Perayu yang boleh diterima masuk sebagai keterangan di bawah Seksyen 8 Akta Keterangan 1950. Seksyen 8 dan 9 memperuntukkan seperti berikut:

Motif, persediaan dan kelakuan yang dahulu atau yang kemudian

8. (1) Apa-apa fakta adalah berkaitan jika ia menunjukkan atau menjadi motif atau persediaan bagi mana-mana fakta persoalan atau fakta berkaitan.

(2) Kelakuan mana-mana pihak atau kelakuan mana-mana ejen kepada mana-mana pihak dalam apa-apa guaman atau prosiding berkenaan dengan guaman atau prosiding itu, atau berkenaan dengan mana-mana fakta persoalan dalamnya atau yang berkaitan dengannya, dan kelakuan mana-mana orang yang kesalahan terhadapnya menjadi perkara-perkara apa-apa prosiding, adalah berkaitan jika kelakuan itu mempengaruhi atau dipengaruhi oleh mana-mana fakta persoalan atau fakta berkaitan, dan sama ada kelakuan itu berlaku dahulu atau kemudian daripadanya.

Hurian 1 - Perkataan “kelakuan” dalam seksyen ini tidak termasuk pernyataan melainkan jika pernyataan itu menyertai dan menghuraikan perbuatan selain pernyataan; tetapi huraian ini tidaklah menyentuh keberkaitan pernyataan di bawah mana-mana seksyen lain dalam Akta ini.

Huraian 2 - Jika kelakuan mana-mana orang adalah berkaitan, apa-apa pernyataan yang dibuat kepadanya atau di hadapan dan dengan didengarinya yang menyentuh kelakuannya adalah berkaitan.

MISALAN

(a) A dibicarakan kerana membunuh B.

Fakta bahawa A telah membunuh C, bahawa B tahu A telah membunuh C dan bahawa B telah cuba memeras wang daripada A dengan mengancam hendak menghebahkan apa yang diketahuinya dalah berkaitan.

(b) A mendakwa B untuk mendapatkan pembayaran wang berasaskan suatu bon. B menafikan bon itu dibuat.

Fakta bahawa pada masa bon itu dikatakan telah dibuat B memerlukan wang bagi suatu maksud tertentu adalah berkaitan.

(c) A dibicarakan kerana membunuh B dengan racun.

Fakta bahawa sebelum kematian B, A telah memperoleh racun yang serupa dengan racun yang telah diberikan kepada B adalah berkaitan.

(d) Soalnya ialah sama ada sesuatu dokumen tertentu ialah wasiat A.

Fakta bahawa tidak lama sebelum tarikh wasiat yang dikatakan itu, A telah bertanyakan perkara yang berkaitan dengan peruntukan dalam wasiat yang dikatakan itu, bahawa dia telah berunding dengan peruam berkenaan dengan pembuatan wasiat itu, dan bahawa dia telah menyebabkan draf wasiat lain yang tidak dipersetujuinya, adalah berkaitan.

(e) A dituduh melakukan suatu jenayah.

Fakta bahawa sama ada sebelum atau pada masa atau selepas jenayah yang dikatakan itu, A memberikan keterangan yang cenderung kepada menjadikan fakta mengenai kes itu tampak berfaedah bagi dirinya, atau bahawa dia telah memusnahkan atau menyembunyikan keterangan atau telah menahan orang yang mungkin menjadi saksi daripada hadir atau telah menyebabkan orang itu tidak hadir, atau telah mencucuk orang supaya memberikan keterangan palsu berkenaan dengan jenayah itu adalah berkaitan.

(f) Soalnya sama ada A telah merompak B.

Fakta bahawa selepas B dirompak, C telah berkata di hadapan A “Polis akan datang mencari orang yang telah merompak B” dan bahawa A telah lari serta merta selepas itu adalah berkaitan.

(g) Soalnya sama ada A berhutang RM10,000 dengan B.

Fakta bahawa A telah meminta C meminjamkannya wang, dan bahawa D telah berkata kepada C di hadapan dan dengan didengar oleh A: “Saya nasihatkan anda supaya jangan mempercayai A, kerana dia berhutang RM10,000 dengan B”, dan bahawa A telah pergi dari situ tanpa memberikan apa-apa jawapan adalah berkaitan.

(h) Soalnya sama ada A telah melakukan suatu jenayah.

Fakta bahawa A telah melarikan diri selepas menerima sepucuk surat yang memberinya amaran bahawa siasatan sedang dijalankan bagi mencari penjenayah itu dan kandungan surat itu adalah berkaitan.

(i) A dituduh melakukan suatu jenayah.

Fakta bahawa sejurus berlakunya jenayah yang dikatakan itu dia telah melarikan diri, atau memiliki harta atau hasil harta yang telah diperoleh melalui jenayah itu, atau cuba menyembunyikan benda yang telah atau mungkin telah digunakan dalam melakukan jenayah itu adalah berkaitan.

(j) Soalnya sama ada A telah diperkosa.

Fakta bahawa sejurus selepas rogol yang dikatakan itu dia membuat aduan berhubung dengan jenayah itu, hal keadaan yang dalamnya aduan itu telah dibuat dan kandungan aduan itu adalah berkaitan.

Fakta bahawa tanpa membuat aduan dia berkata dia telah diperkosa tidak berkaitan sebagai kelakuan di bawah seksyen ini, walaupun fakta itu mungkin berkaitan-

(i) sebagai akuan nazak di bawah perenggan 32(1)(a); atau

(ii) sebagai keterangan menyokong di bawah seksyen 157.

(k) Soalnya sama ada A telah dirompak.

Fakta bahawa selepas sahaja rompakan yang dikatakan itu dia membuat aduan berhubung dengan kesalahan itu, hal keadaan yang dalamnya aduan itu telah dibuat dan kandungan aduan itu adalah berkaitan.

Fakta bahawa tanpa membuat apa-apa aduan dia telah berkata bahawa dia telah dirompak tidak berkaitan sebagai kelakuan di bawah seksyen ini, walaupun fakta itu mungkin berkaitan-

(i) sebagai akuan nazak di bawah perenggan 32(1)(a); atau

(ii) sebagai keterangan menyokong di bawah seksyen 157.

Fakta yang perlu untuk menghuraikan atau mengemukakan fakta berkaitan

9. Fakta yang perlu untuk menghuraikan atau mengemukakan sesuatu fakta peroalan atau fakta berkaitan, atau yang menyokong atau mematahkan sesuatu kesimpulan yang dibayangkan oleh sesuatu fakta persoalan atau fakta berkaitan, atau yang menentukan identiti mana-mana benda atau orang yang identitinya adalah berkaitan, atau yang menetapkan masa atau tempat di mana-mana fakta persoalan atau fakta berkaitan telah berlaku atau yang menunjukkan hubungan pihak yang olehnya mana-mana fakta itu ditransaksikan, adalah berkaitan setakat yang fakta itu perlu bagi maksud itu.

MISALAN

(a) Soalnya sama ada sesuatu dokumen tertentu itu wasiat A.

Keadaan harta A dan keadaan keluarganya pada tarikh wasiat yang dikatakan itu boleh menjadi fakta berkaitan.

(b) A mendakwa B kerana suatu libel yang mentohmah A berkelakuan keji; B menegaskan bahawa perkara yang dikatakan sebagai libel itu benar.

Kedudukan dan hubungan pihak itu pada masa libel itu disiarkan boleh menjadi fakta berkaitan sebagai permulaan kepada fakta persoalan.

Butir-butir mengenai suatu pertikaian antara A dangan B mengenai suatu perkara yang tidak berkaitan dengan libel yang dikatakan itu tidak berkaitan, walaupun fakta bahawa terdapat suatu pertikaian boleh menjadi berkaitan jika ia menjejaskan hubungan antara A dengan B.

(c) A dituduh melakukan suatu jenayah.

Fakta bahawa sejurus selepas berlakunya jenayah itu A telah melarikan diri dari rumahnya adalah berkaitan di bawah seksyen 8 sebagai kelakuan yang kemudian daripada dan tersentuh oleh fakta persoalan.

Fakta bahawa pada masa dia meninggalkan rumahnya dia ada urusan tiba-tiba dan mendesak di tempat dia pergi itu adalah berkaitan sebagai cenderung menghuraikan fakta bahawa dia telah meninggalkan rumahnya dengan tiba-tiba.

Perincian urusan yang kerananya dia telah meninggalkan rumah tidak berkaitan, kecuali setakat yang perlu bagi menunjukkan bahawa urusan itu tiba-tiba dan mendesak.

(d) A mendakwa B kerana mendorong C memungkiri suatu kontrak perkhidmatan yang telah dibuat oleh C dengan A. Apabila berhendi berkhidmat dengan A, C berkata kepada A” “Saya meninggalkan tuan oleh sebab B telah membuat tawaran yang lebih baik kepada saya.” Pernyataan ini ialah fakta berkaitan sebagai menghuraikan kelakuan C, yang berkaitan sebagai suatu fakta persoalan.

(e) A yang dituduh mencuri telah dilihat memberikan harta curi itu kepada B, yang telah dilihat memberikannya kepada isteri A. Semasa menyerahkannya B berkata: “A kata awak hendaklah menyembunyikan ini.” Pernyataan B berkaitan sebagai menghuraikan suatu fakta yang menjadi sebahagian daripada transaksi itu.

(f) A dibicarakan kerana melakukan rusuhan dan dibuktikan telah mengetuai perarakan sekumpulan perusuh. Tempik-sorak perusuh itu adalah berkaitan sebagai menghuraikan jenis transaksi itu.”.

[23] Satu lagi aspek keterangan membela diri Perayu yang ditolak oleh Hakim bicara menyentuh tentang penemuan wang tunai, beberapa buah telefon bimbit dan barang kemas milik mangsa-mangsa yang telah ditemui dan dirampas daripada Perayu. Penjelasan Perayu bahawa barangan tersebut telah diberikan kepadanya oleh SP30 untuk disimpan adalah sukar untuk dipercayai dan amat tidak munasabah. Kami bersetuju dengan dapatan Hakim bicara bahawa Perayu telah gagal untuk memberikan satu penjelasan yang munasabah mengenainya selain hanya menyatakan untuk disimpan olehnya. Adalah tidak logik dan tidak masuk akal serta sukar untuk menerima alasan bahawa barangan keperluan harian mangsa-mangsa diberikan oleh SP30 hanya untuk disimpan selamat oleh Perayu. Inferens yang lebih munasabah yang boleh dibuat ialah bahawa barangan tersebut telah diambil keluar dari rumah mangsa dengan tanpa kerelaan mangsa selepas api dinyalakan oleh Perayu dan seterusnya Perayu meninggalkan rumah tersebut dalam keadaan terbakar.

[24] Kami mendapati Hakim bicara telah membuat penilaian yang teliti terhadap keterangan saksi-saksi pembelaan yang lain, terutamanya keterangan saksi SD2. Nampaknya, keterangan SD2 adalah selari dan menyokong keterangan Perayu bahawa SP30 telah menjemput Perayu di tempat kerja mereka dan kemudiannya Perayu telah dihantar semula ke tempat yang sama oleh SP30. Selain itu, fakta yang diakui oleh SD2 ialah bahawa SD2 telah melawat Perayu dalam penjara dan SD2 telah diminta untuk datang ke Mahkamah sebagai saksi Perayu untuk mengesahkan fakta SP30 menjemput dan menghantar semula Perayu. Oleh itu, Hakim bicara telah menolak keterangan SD2 atas alasan kemungkinan SD2 telah diajar untuk memberikan keterangan sedemikian.

[25] Seterusnya, kami berpandangan bahawa keterangan SD2 tidak dapat membantu Perayu untuk menimbulkan sebarang keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan memandangkan SD2 tidak mempunyai pengetahuan tentang apa yang telah dilakukan oleh Perayu semasa berada di rumah SP30. Sebaliknya, pihak pendakwaan telah mengemukakan keterangan yang boleh dipercayai melalui keterangan lisan saksi SP30 dan SP31 serta keterangan melalui rakaman percakapan 3 orang Si mati (D128, D132 dan D133) yang menunjukkan peranan dan penglibatan sebenar Perayu dalam kejadian kes pembunuhan ini. Kesahihan keterangan dan percakapan tersebut telah disahkan oleh SP32 dan SP35, saksi polis, melalui hasil siasatan yang telah mereka jalankan.

[26] Rakaman percakapan daripada 3 Si mati (D128, D132 dan D133) telah secara betulnya diterima masuk sebagai keterangan oleh Hakim bicara melalui seksyan 32(1)(a) Akta keterangan 1950, yang memperuntukkan:

"32(1) Statements, written or verbal, of relevant facts made by a person who is dead, or who cannot be found, or who has become incapable of giving evidence, or whose attendance cannot be procured without an amount of delay or expense which, under the circumstances of the case, appears to the court unreasonable, are themselves relevant facts in the following cases:

(a) When the statement is made by a person as to the cause of his death, or as to any of the circumstances of the transaction which resulted in his death, in cases in which the cause of that person’s death comes into question.

Such a statement is relevant whether the person who made it was or was not, at the time when it was made, under expectation of death, and whatever may be the nature of the proceeding in which the cause of his death comes into question."

[27] Dalam menerima masuk percakapan tiga Si mati tersebut, Hakim bicara telah merujuk dan bergantung kepada beberapa keputusan Mahkamah terdahulu dalam kes Mohamed Bin Allapitchey & Ors v Reg [1958] MLJ 197; Ong Her Hock v PP [1987] 2 MLJ 45; Ray Bin Solis v PP [2015] 2 MLJ 815 dan Yong Kong Tai v Salim bin Jalal [1997] 2 MLJ 380. Antara prinsip undang-undang yang dapat diperoleh daripada nas-nas tersebut adalah bahawa apa-apa pernyataan yang diberikan oleh orang yang sedang menghadapi saat ambang kematiannya boleh diterima sebagai keterangan di bawah seksyen 32(1)(a) Akta Keterangan 1950 sekiranya pernyataan itu diperturunkan secara bertulis menyamai perkataan-perkataan yang telah diungkapkan oleh Si mati sebelum kematiannya. Walau bagaimanapun, Hakim bicara hendaklah mengingatkan dirinya tentang fakta bahawa pernyataan itu telah tidak dibuat secara bersumpah dan tidak diuji melalui pemeriksaan balas. Dalam kes Ong Her Hock, supra, Wee Chong Jin, CJ Singapura telah memutuskan bahawa sabitan yang hanya berdasarkan pernyataan sedemikian yang telah diterima masuk sebagai keterangan, adalah selamat. Di m/s 46-47, hakim tersebut menyatakan:

“In our opinion, while it is settled law that “if a dying declaration is reduced to writing-and this would invariably be the case in the event of the witness in question being an investigating Police Officer, Magistrate or someone of that kind-the actual words of the deceased must be recorded, ” the recollection of the last words spoken by a dying man by a witness who is at the scene or arrives shortly thereafter and hears a dying declaration may properly be received in evidence (see Toh Lai Heng v. Regina page (54). In the present case the witnesses gave evidence of their recollection of the last words spoken by the deceased and their evidence was, in our judgment, properly admitted.

At the conclusion of the hearing we were in no doubt that the trial judges were justified on all the evidence before them in finding the appellant guilty of the offence of murder. ”.

[28] Sebelum mengakhiri Penghakiman ini, kami berpendapat bahawa Hakim bicara telah dengan betulnya menerima keterangan saksi-saksi pendakwaan sebagai kredibel dan kukuh dalam mencapai keputusan akhir untuk mensabitkan Perayu dengan kesemua pertuduhan. Dalam perkara ini, kami sebagai Mahkamah atasan yang mendengar rayuan Perayu tidak sewajar dan tidak dengan sewenang-wenangnya mengganggu dapatan dan keputusan Hakim bicara itu. Kami berpegang kepada keputusan Mahkamah ini dalam kes PP lwn. Losali & Satu Lagi Dan Satu Rayuan Lain [2010] 8 CLJ 560 yang disampaikan oleh Raus Sharif, HMR (sekarang KHN) seperti berikut:

“[62] Keseluruhannya, kami dapati hakim bicara telah mengupas fakta kes ini dengan teliti dan tidak sekali melakukan salah arah dan melakukan ketidakadilan apabila menolak pembelaan tertuduh kedua dan ketiga. Adalah menjadi undang-undang mantap bahawa keputusan hakim bicara tentang kebolehpercayaan seseorang saksi tidak sepatutnya diubah oleh Mahkamah di peringkat rayuan melainkan dapat ditunjukkan bahawa sesuatu keputusan itu adalah bertentangan dengan keterangan atau berlakunya salah arah yang menyebabkan ketidakadilan.

[63] Telah banyak kes yang membincangkan prinsip ini dan memadai kami perturunkan apa yang dikatakan oleh Chang Min Tat FJ yang menulis untuk Mahkamah Persekutuan dalam kes Ahmad Shah bin Hashim v. PP [1979] 1 LNS 4; [1980] 1 MLJ 77 yang dalam Bahasa asal menyatakan:

We are however satisfied that he had made the same representation to the learned judge, who had considered them and who had on the totality of the evidence combined with his personal assessment of witnesses’ reliability from seeing him in the witness box come to the finding he did make. Under such circumstances, where the findings depend on an assessment of the credibility and reliability of a witness, it is not the practice of this court sitting on appeal to refuse to accept them.

[64] Sama juga dalam kes ini. Kami tidak ada sebab untuk merubah keputusan hakim bicara yang menolak keterangan saksi-saksi pembelaan dan sebaliknya menerima keterangan saksi-saksi pihak pendakwa. Dalam hal ini, hakim bicara telah memberi alasan-alasan yang cukup meyakinkan mengapa beliau berkeputusan sedemikian. Keputusan itu adalah selari dengan keterangan-keterangan yang terdapat di dalam kes ini. Jelas tidak berlaku salah arah di pihak hakim bicara yang boleh menyebabkan berlakunya ketidakadilan kepada tertuduh kedua dan ketiga.

[65] Kesimpulannya, kami telah meneliti alasan Penghakiman hakim bicara serta nota keterangan kes ini dan kami berpuas hati di atas keterangan yang ada bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kesnya terhadap tertuduh kedua dan ketiga bagi pertuduhan pertama dan kedua dengan melampaui keraguan yang munasabah. Pembelaan tertuduh kedua dan ketiga bukan sahaja tidak boleh diterima tetapi juga gagal untuk menimbulkan apa-apa keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.”.

[29] Kami mendapati keadaan yang sama terpakai dalam kes rayuan Perayu di hadapan kami. Kami mendapati tidak berlaku sebarang kekhilafan atau sebarang salah arah oleh Hakim bicara dalam menolak pembelaan Perayu dan seterusnya telah mensabitkan Perayu dengan kesemua pertuduhan. Kami sebulat suara bersetuju dengan dapatan dan keputusan Hakim bicara tersebut.

Kesimpulan

[30] Berdasarkan alasan-alasan yang telah kami nyatakan di atas, kami mendapati kesemua sabitan terhadap Perayu adalah selamat dan disokong melalui keterangan yang kukuh dan mencukupi. Oleh itu, kami mengesahkan dan mengekalkan kesemua sabitan dan kesemua hukuman oleh Mahkamah Tinggi.

Bertarikh: 5 Januari 2018.

t.t

KAMARDIN BIN HASHIM
Hakim
Mahkamah Rayuan Malaysia

COUNSEL

Bagi Pihak Perayu: Azizul Shahriman, Tetuan Azizul & Ariff, No. 12-33A, Plaza Azalea, Persiaran Bandaraya, Seksyen 14, 40000 Shah Alam

Bagi Pihak Responden: Tengku Intan Suraya bt Tengku Ismail, Timbalan Pendakwa Raya, Bahagian Rayuan dan Perbicaraan, Jabatan Peguam Negara, Putrajaya

Legislation referred to:

Akta keterangan 1950, Seksyen-seksyen 8, 8(1), 8(2), 9, 32(1)(a), 157

Kanun Keseksaan, Seksyen-seksyen 302, 304, 307(1)

Judgments referred to:

Mohamed Bin Allapitchey & Ors v Reg [1958] MLJ 197

Ong Her Hock v PP [1987] 2 MLJ 45 

PP v Losali & Satu Lagi Dan Satu Rayuan Lain [2010] 8 CLJ 560

Ray Bin Solis v PP [2015] 2 MLJ 815

Yong Kong Tai v Salim bin Jalal [1997] 2 MLJ 380

Notice: The Promoters of Malaysian Judgments acknowledge the permission granted by the relevant official/ original source for the reproduction of the above/ attached materials. You shall not reproduce the above/ attached materials in whole or in part without the prior written consent of the Promoters and/or the original/ official source. Neither the Promoters nor the official/ original source will be liable for any loss, injury, claim, liability, or damage caused directly, indirectly or incidentally to errors in or omissions from the above/ attached materials. The Promoters and the official/ original source also disclaim and exclude all liabilities in respect of anything done or omitted to be done in reliance upon the whole or any part of the above/attached materials. The access to, and the use of, Malaysian Judgments and contents herein are subject to the Terms of Use.