THE OFFICIAL REPOSITORY OF
MALAYSIAN JUDGMENTS & RULINGS

[2018] MYCA 225 MALAY

Murad Halimuddin Bin Hassan and Another v Pendakwa Raya and Another Appeal
Suit Number: Rayuan Jenayah Nos. W-05(H)-187-05/2016 & W-05(H)-189-05/2016 

Criminal law – Inciting or promoting occurrence of acts of terrorism in Malaysia – Charges under sections 130G (a), 130J (1) (b) and 120B (1) of the Penal Code – Guilty plea – Conviction – Sentence – Appeal against the sentence – Whether the sentence manifestly excessive – Public interest element – Whether the trial court wrong – Whether appellate intervention warranted

PENGHAKIMAN

Latar Belakang Kes

[1] Murad Halimuddin bin Hassan (perayu pertama) dan Abu Daud bin Murad Halimuddin (perayu kedua) masing-masing merupakan bapa dan anak kandung. Kedua-dua perayu telah dituduh dengan kesalahan pakat jahat jenayah untuk mempromosikan perbuatan keganasan. Perayu pertama dituduh bersama-sama perayu kedua dalam kes no. W-05(H)-187-05/2016 iaitu kesalahan di bawah s 130G(a) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah seksyen 120B(1) Kanun Keseksaan. Perayu pertama juga dituduh secara berasingan dalam kes no. W-05(H)-189-05/2016 iaitu satu kesalahan di bawah s 130J(1)(b) Kanun Keseksaan.

[2] Setakat yang berkaitan dengan rayuan ini, pertuduhan dalam kes no. W-05(H)-187-05/2016 terhadap kedua-dua perayu menyatakan:

"Bahawa kamu bersama, antara 30 Januari 2015 hingga April 2015, di No. 61, Pengkalan Batu Hampar, Mukim Air Putih, dalam Daerah Pendang, dalam Negeri Kedah Darul Aman, adalah pihak kepada suatu pakat jahat dan berikutan dengan itu, dan dengan tujuan untuk melakukan pakat jenayah tersebut telah bersetuju antara satu sama lain untuk melakukan satu perbuatan yang menyalahi undang-undang iaitu mempromosikan suatu perbuatan keganasan di Malaysia yang bertentangan dengan seksyen 130G(a) Kanun Keseksaan dan dengan itu kamu telah melakukan kesalahan di bawah seksyen 120B(1) Kanun Keseksaan”

[3] Kedua-dua perayu telah mengaku bersalah ke atas kedua-dua pertuduhan tersebut dan atas pengakuan salah itu, hakim bicara telah merekodkan sabitan dan menjatuhkan hukuman yang berikut:

(i) W-05(H)-189-05/2016:

perayu pertama telah dijatuhkan hukuman 18 tahun pemenjaraan berkuat kuasa dari tarikh tangkap.

(ii) W-05(H)-187-05/2016:

perayu pertama telah dijatuhkan hukuman 18 tahun pemenjaraan berjalan serentak dengan pertuduhan W-05(H)-189-05/2016 dan perayu kedua pula dijatuhkan hukuman 12 tahun pemenjaraan berkuat kuasa dari tarikh tangkap.

Bagaimanapun kedua-dua perayu tidak berpuas hati dengan hukuman di atas dan telah mengemukakan rayuan ini.

[4] Susulan itu, rayuan ini telah ditetapkan untuk perbicaraan di Mahkamah Rayuan pada 3.2.2017. Namun begitu, rayuan oleh perayu pertama telah dibatalkan atas permintaan peguam memandangkan perayu pertama dimaklumkan telah pun meninggal dunia. Oleh itu, hanya rayuan oleh perayu kedua diteruskan. Pada 3.2.2017 kami telah menolak rayuan oleh perayu kedua ini atas alasan yang akan dinyatakan selepas ini.

Fakta Kes

[5] Setelah diakui betul oleh kedua-dua perayu, fakta kes (P3) dan barang kes yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan menunjukkan:

"1. Satu laporan polis telah dibuat oleh pengadu yang juga merupakan seorang Pegawai Polis di Bahagian E8 Counter Terrorism, Cawangan Khas, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman ASP Sufian bin Ali pada 06/04/2015 berkaitan tangkapan yang dibuat ke atas 12 orang individu pada 05/04/2015 jam lebih kurang 9.30 malam di MH Hotel & Residences, Tower 2, Menara PGRM, Kuala Lumpur kerana dipercayai terlibat dengan kesalahan keselamatan.

2. Tangkapan tersebut dibuat oleh pihak E8 Counter Terrorism, Cawangan Khas, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman berikutan maklumat mengenai pakatan melibatkan sekumpulan individu yang sedang merancang untuk melakukan kekacauan di negara ini. Siasatan menunjukkan bahawa sekumpulan 12 orang individu tersebut telah membuat beberapa siri perjumpaan selepas pertemuan pertama mereka di Pengkalan Batu Hampar, Pendang, Kedah dengan Murad Halimmuddin bin Hassan (tertuduh pertama) yang baru sahaja pulang ke negara ini dari Syria setelah beberapa lama menjadi pejuang kumpulan militant termasuklah Ajnad As-Syams dan Islamic State (IS).

3. Tertuduh pertama telah keluar daripada negara ini melalui Bukit Kayu Hitam, Kedah untuk ke Bangkok, Thailand pada 27 Ogos 2014 sebelum meneruskan perjalanan udara ke Istanbul, pada 31 Ogos, 2014. Semasa di Turki, tertuduh 1 telah menyelinap masuk ke Syria melalui sempadan Turki-Syria di Hatay, Turki dengan bantuan oleh Abu Nour, seorang lelaki warganegara Syria yang telah diperkenalkan kepada tertuduh oleh Ustaz Md. Lotfi bin Ariffin seorang lelaki warganegara Malaysia yang telah menyertai kumpulan militan Ajnad As-Syams di Syria bagi memandu arah tertuduh untuk masuk ke Syria dari Turki.

4. Semasa berada di Syria, tertuduh 1 telah menyertai kumpulan militan Ajnad As-Syams sebelum kemudiannya menyertai kumpulan militan Islamic State (IS) sebagai tentera. Semasa mengganggotai kumpulan-kumpulan militan tersebut tertuduh 1 telah dibekalkan dengan senjata api bagi tujuan berjuang menentang rejim Bashar Al-Assad di Syria. Tertuduh 1 telah pulang ke negara ini melalui Bangkok, Thailand dan seterusnya memasuki Malaysia melalui Bukit Kayu Hitam sebelum kembali menetap di Pendang, Kedah.

5. Pertemuan pada 30 Januari, 2015 di Pendang, Kedah dengan tertuduh pertama tersebut telah diusahakan oleh anak lelakinya Abu Daud bin Murad Halimmuddin (tertuduh kedua) bersama beberapa orang lagi individu. Semasa perjumpaan tersebut kesemua mereka telah berpakat untuk merekrut sekurang-kurangnya 20 orang individu bagi melancarkan siri jihad di Malaysia setelah tertuduh pertama mencadangkan supaya mereka melakukan misi jihad di negara ini tanpa perlu ke Syria untuk mendapatkan syahid.

6. Pada perbincangan tersebut, tertuduh kedua telah mencadangkan supaya mereka menculik beberapa orang pemimpin negara untuk dijadikan sebagai tebusan bagi membebaskan tahanan SOSMA yang telah dituduh di mahkamah. Mereka juga telah berbincang untuk merompak senjata di kem Hobart milik angkatan Tentera Malaysia di Gurun dan sebuah lagi kem di Bukit Pinang, Alor Setar, Kedah.

7. Setelah perjumpaan di Pendang, Kedah tertuduh kedua telah membuat satu kumpulan dengan aplikasi WhatsApp yang dinamakan “Fisabilillah” dianggotai oleh semua individu yang telah hadir di Pendang, Kedah bagi memudahkan perbincangan di antara mereka untuk mencari dan merekrut ahli-ahli baru bagi mencapai target keahlian seramai 20 orang seperti mana yang telah diamanatkan oleh tertuduh pertama. Beberapa perjumpaan lain kemudiannya telah diadakan oleh tertuduh pertama dan mereka yang hadir semasa perjumpaan pertama di beberapa tempat di sekitar ibu negara termasuklah di Casmaria Apartment, Batu Caves pada awal Februari 2015 dan Banjaria Court, Gombak pada 13 Mac 2015 bertujuan bagi merekrut ahli-ahli baru dan membuat perancangan yang lebih rapi bagi menjalankan misi jihad di Malaysia.

8. Susulan daripada perjumpaan-perjumpaan tersebut, tertuduh kedua telah mengarahkan beberapa orang ahli kumpulan untuk ke Pendang, Kedah bagi berjumpa dengan tertuduh pertama bertujuan memberitahu beliau bahawa keahlian kumpulan telah mencapai 20 orang dan meminta beliau untuk menyampaikan amanat yang seterusnya kepada semua ahli pada satu perjumpaan yang akan diaturkan kelak. Semasa perjumpaan kali kedua di Pendang, Kedah tertuduh pertama telah mencadangkan supaya mereka melakukan rompakan ke atas van keselamatan yang turun membawa wang tunai dari Genting Highland bagi mengumpulkan dana untuk membiayai misi jihad mereka. Tertuduh pertama juga telah bersetuju untuk berjumpa dengan ahli-ahli kumpulan dan mengarahkan supaya satu tarikh ditetapkan bagi mengadakan perjumpaan tersebut.

9. Hasil perbincangan oleh ahli-ahli kumpulan melalui kumpulan WhatsApp “Fisabilillah” satu perjumpaan bersama dengan tertuduh pertama telah ditetapkan pada 5 April, 2015 di MH Hotel & Residences, Kuala Lumpur. Walau bagaimanapun, tertuduh pertama tidak dapat menghadiri perjumpaan tersebut atas masalah kesihatan dan beliau telah mengarahkan Hadharami bin Hashim untuk menggantikannya bagi mengetuai perbincangan untuk mewujudkan kumpulan mujahidin baru di Malaysia dan seterusnya menggerakkan misi jihad bagi membebaskan negara ini daripada sistem yang dianggap taghut (kafir).”

Rayuan Terhadap Hukuman

[6] Di hadapan kami, peguam perayu yang bijaksana memohon agar mahkamah memberikan pertimbangan sewajarnya terhadap faktor-faktor yang berikut dalam mengurangkan hukuman pemenjaraan perayu kedua iaitu:

(a) Perayu kedua telah mengaku se awal mungkin iaitu selepas pertuduhan dibacakan. Perkara ini tidak sepatutnya diambil ringan oleh mahkamah memandangkan kes ini melibatkan pertuduhan yang berat. Pengakuan salah dibuat bukan sekadar menjimatkan masa dan kos mahkamah, malahan telah memudahkan pihak pendakwaan kerana tiada saksi-saksi perlu dipanggil untuk memberikan keterangan. Selain itu, perayu kedua turut membantu pihak pendakwaan dengan menjadi saksi utama pihak pendakwaan bagi kes perbicaraan 45SO-35-06/2015 yang melibatkan tertuduh-tertuduh yang lain. Oleh yang demikian, pengakuan salah perayu kedua ini jelas menunjukkan keinsafan dan keikhlasannya untuk membetulkan kesilapan dan kekhilafan yang dilakukannya terhadap agama, bangsa, dan negara.

(b) Perayu kedua juga merupakan seorang pesalah muda dan sewaktu kejadian dia baru mencecah umur 25 tahun. Berdasarkan rekod, ini juga merupakan kesalahan pertama dan sepatutnya faktor ini dipertimbangkan bagi satu hukuman pemenjaraan yang singkat. Hukuman pemenjaraan bagi tempoh yang lama tidak membawa kebaikan kepada masyarakat dan juga kepentingan awam. Keluarga perayu kedua akan terkesan dengan situasi ini memandangkan perayu kedua ialah pencari nafkah tunggal dalam keluarga. Bebanan untuk memikul tanggungjawab ini makin bertambah kerana selain isteri dan 3 orang anak yang masih kecil, perayu kedua juga akan menjadi penyara keluarga untuk menanggung ibu dan 6 orang adik yang masih bersekolah disebabkan bapa (perayu pertama) telah meninggal dunia.

(c) Kesalahan yang dilakukan oleh perayu kedua ini bukanlah satu kesalahan jenayah yang telah muktamad kerana ini hanyalah satu perancangan semata-mata tanpa adanya kesan atau tindakan seterusnya terhadap perancangan jenayah tersebut. Perancangan itu dilakukannya demi mematuhi arahan perayu pertama (bapanya). Perayu kedua juga melakukan perkara yang diarahkan oleh bapanya tanpa memikirkan sebarang risiko atau kesan perbuatannya itu. Tidak ada juga bukti atau fakta secara jelas daripada ekshibit P3 (fakta kes) yang menunjukkan perayu kedua mempunyai latar belakang pengganas, pernah menyertai peperangan atau berperang di Syria, berniat ke Syria, atau apa-apa perkaitan dengan militan Syria. Sebaliknya, dia hanya mengikuti arahan bapanya itu.

(d) Peruntukan hukuman bagi kesalahan yang dilakukan oleh perayu kedua ialah pemenjaraan bagi tempoh yang boleh sampai 30 tahun. Namun begitu, jika dibandingkan dengan kes PP v Ummi Kalsom bin Bahak [2015] 7 CLJ 503, Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman pemenjaraan selama dua (2) tahun ke atas responden yang ditangkap di Lapangan Terbang ketika ingin berlepas ke Turki dan seterusnya memasuki Syria untuk berkahwin dengan pejuang IS. Ditegaskan kesalahan yang dilakukan oleh Ummi Kalsom itu membawa hukuman yang lebih berat iaitu pemenjaraan seumur hidup atau pemenjaraan selama tempoh tidak melebihi tiga puluh tahun atau denda atau dirampas mana-mana harta yang telah digunakan atau diniatkan untuk kegunaan kesalahan itu.

(e) Kes ini juga boleh dibezakan dengan kes PP v Muhammad Kasyfullah bin Kassim [2016] 6 MLJ 567. Dalam kes tersebut Mahkamah Rayuan telah mengetepikan hukuman pemenjaraan 5 tahun yang diberikan oleh Hakim Mahkamah Tinggi dan menggantikan dengan hukuman 12 tahun pemenjaraan. Responden dalam kes tersebut ialah seorang bekas pejuang IS yang pernah menjalani aktiviti ketenteraan di Syria dan terlibat dalam beberapa siri peperangan. Bagaimanapun perayu kedua di sini tidak pernah ke Syria atau terlibat dalam peperangan atau menjalani mana-mana latihan peperangan atau bernaung di bawah mana-mana kumpulan pengganas. Dia hanya terlibat dalam konspirasi pakatan jenayah mempromosikan satu perbuatan jenayah yang masih belum berlaku atau belum dimuktamadkan.

(f) Oleh itu, peguam terpelajar menghujahkan Mahkamah ini perlu mempertimbangkan kesemua aspek tersebut untuk memberikan gambaran tahap sebenar (degree) keseriusan penglibatan perayu kedua dalam kes ini. Pertimbangan juga hendaklah diberikan ke atas pengakuan salah yang dibuat oleh perayu kedua kerana kes ini tidak melibatkan perbicaraan. Atas alasan-alasan yang dinyatakan, peguam perayu memohon agar mahkamah memberikan hukuman sewajarnya untuk menggantikan hukuman 12 tahun penjara yang telah dijatuhkan terhadap perayu kedua.

Keputusan Kami

[7] Sepertimana dalam kes-kes rayuan terhadap hukuman, persoalan utama yang harus kami tentukan adalah sama ada hukuman yang telah dijatuhkan oleh hakim bicara yang bijaksana merupakan satu hukuman yang terlampau berat (manifestly excessive) dan tidak menurut undang-undang lantas terkhilaf sehingga membolehkan kami campur tangan dan mengubah hukuman yang telah dijatuhkan. Dalam penentuan ini, kami merujuk prinsip am yang diperjelaskan oleh YA Azahar Mohamed, HMR (sekarang HMP) dalam kes PP v Ramakrishnan Subramaniam & Ors [2012] 9 CLJ 443 yang menyatakan:

"[17] Mengikut prinsip penghukuman yang sedia ada, setiap orang yang bersalah akan menerima hukuman yang setimpal dengan bentuk kesalahan yang dilakukannya. Mahkamah hendaklah menjatuhkan hukuman menurut undang-undang untuk menentukan supaya hukuman yang dikenakan terhadap pesalah itu adil, bersesuaian dan setimpal dengan apa-apa kesalahan yang dilakukannya itu. Adalah menjadi prinsip undang-undang yang mantap bahawa mahkamah yang hendak mendengar rayuan tidak seharusnya campur tangan dengan hukuman yang dikenakan oleh hakim perbicaraan dan selalunya tidak akan menukar hukuman melainkan ia berpuas hati bahawa hukuman yang dijatuhkan oleh hakim berkenaan itu ternyata amat tidak memadai atau mencukupi atau keterlaluan atau tidak sah ataupun tidak merupakan hukuman yang wajar memandangkan semua fakta yang didedahkan, atau bahawa mahkamah tersebut jelas tersalah di dalam memakai prinsip yang betul dalam penilaian hukuman. Prinsip undang-undang yang menentukan kawalan dan semakan keputusan berkaitan dengan hukuman telah digariskan dengan jelas dalam kes Bhandulananda Jayatilake v PP [1981] 1 LNS 139 dan kes Dato’ Seri Anwar Ibrahim v PP [2002] 3 CLJ 457.”

[8] Sebelum menghuraikan lebih jauh sama ada hakim bicara telah terkhilaf dalam menjatuhkan hukuman berkenaan terhadap perayu kedua atau tidak, ketepatan bagi kami untuk merujuk peruntukan s 120A dan s 130G(a) Kanun Keseksaan iaitu kesalahan yang perayu kedua dituduh. S 120A Kanun Keseksaan memberikan takrifan pakat jahat seperti yang berikut:

120A. Takrif pakat jahat jenayah.

Apabila dua orang atau lebih daripada dua orang bersetuju melakukan, atau menyebabkan supaya dilakukan-

(a) Suatu perbuatan yang menyalahi undang-undang; atau

(b) Suatu perbuatan, yang tidak menyalahi undang-undang, dengan jalan menyalahi undang-undang;

Maka, persetujuan yang demikian itu adalah dinamakan pakat jahat jenayah:

Dengan syarat bahawa apa-apa jua persetujuan, kecuali suatu persetujuan bagi melakukan sesuatu kesalahan, tidaklah terjumlah kepada suatu pakat jahat jenayah melainkan jika sesuatu perbuatan selain daripada persetujuan itu dilakukan oleh satu atau beberapa pihak yang membuat persetujuan itu pada menurut persetujuan.”

Manakala, Seksyen 130G(a) Kanun Keseksaan memperuntukkan seperti yang berikut:

“130G(a) Menghasut, menggalak, atau mencari harta untuk berlakunya sesuatu perbuatan pengganas.

Barang siapa yang dengan pengetahuan-

(a) Menghasut atau menggalakkan berlakunya perbuatan pengganas;

(b) Menghasut atau menggalakkan keahlian di dalam kumpulan pengganas; atau

(c) Mencari harta bagi manfaat kumpulan pengganas atau bagi berlakunya perbuatan pengganas,

hendaklah diseksa dengan penjara bagi tempoh yang boleh sampai tiga puluh tahun, dan bolehlah juga dikenakan denda.

[9] Harus dicatatkan bahawa Seksyen 130G(a) Kanun Keseksaan ini diletakkan dalam Bab kelompok kesalahan yang melibatkan dan berkaitan dengan perbuatan pengganas. Apakah pendekatan yang harus diambil dalam mempertimbangkan kesesuaian dan kewajaran hukuman yang telah dijatuhkan dalam kes-kes bagi kesalahan dalam Bab tersebut telah kami sentuh dalam kes Pendakwa Raya v Muamar Gadaffi Mohamad Shafawi [2017] 1 LNS 516 yang antara lain menyatakan:

“[13] Perlu diperhatikan s. 130F ini terletak dalam kategori perbuatan di bawah tajuk “Supression of terrorist acts and support for terrorist acts” dan dalam kelompok kesalahan yang boleh dihukum dengan pemenjaraan yang tidak melebihi 30 tahun dan boleh juga dikenakan denda. Kesalahan ini merupakan satu bentuk kesalahan yang setahap lebih serius daripada kesalahan biasa kerana aktiviti keganasan (terrorism) menimbulkan tahap ketakutan (fear) yang secara mutlak melebihi kebimbangan atau kecemasan yang bersangkutan dengan kesalahan biasa. Selain itu, hukuman yang diperuntukkan itu bertujuan untuk membendung perbuatan yang berbahaya ini daripada berulang. Tujuan yang mendasari peruntukan kesalahan ini hendaklah diambil kira dalam menjatuhi hukuman bagi pelanggaran kesalahan ini.”

[10] Dalam mengaplikasikan prinsip-prinsip di atas, kami mendapati dan tidak boleh diketepikan, antara lain, hakikat yang berikut:

(a) Kesalahan yang telah dituduh ke atas perayu kedua ialah dia bersama-sama bapanya terlibat dalam satu pakat jahat iaitu berpakat merekrut sekurang-kurangnya 20 orang individu untuk melancarkan siri jihad di Malaysia. Rancangan asal ini terbit daripada ide dan pemikiran perayu pertama (bapanya) supaya mereka bersama-sama melancarkan misi jihad di Malaysia tanpa perlu ke Syria untuk mendapatkan ‘syahid’. Pada perbincangan tersebut juga, perayu kedua turut mencadangkan beberapa ide jihadnya iaitu:

(i) menculik beberapa pemimpin negara untuk dijadikan tebusan bagi pembebasan tahanan SOSMA yang dituduh di mahkamah; dan

(ii) merompak senjata di Kem Hobart, Gurun dan Kem Bukit Pinang, Alor Setar milik Angkatan Tentera Malaysia.

(b) Perayu kedua turut mewujudkan aplikasi WhatsApp yang dinamakan “Fisabilillah” untuk memudahkan perbincangan bagi pengambilan ahli-ahli sebagaimana arahan dan amanat bapanya.

(c) Perayu kedua berperanan sebagai pembantu utama/ pendokong kuat setiap amanat yang telah dizahirkan oleh bapanya. Perayu kedua merealisasikan setiap misi/ arahan bapanya dan turut memainkan peranan positif dengan mewujudkan aplikasi WhatsApp untuk memudahkan perhubungan tentang anak-anak rekrut jihad mereka.

(d) Tidak terhenti di situ, perayu kedua turut sama memberikan ide jihad (menculik dan merompak senjata) yang dengan jelas menunjukkan fokus minda perayu kedua telah terarah kepada perbuatan keganasan. Peguam perayu kedua turut menghujahkan bahawa perayu kedua hanya terlibat dalam konspirasi pakatan jenayah mempromosikan satu perbuatan jenayah yang masih belum berlaku atau belum dimuktamadkan. Malahan peguam perayu turut menunjukkan perayu kedua ini seorang yang kononnya naif, tidak pernah ke Syria dan tidak juga pernah terlibat dalam peperangan, tidak pernah menjalani mana-mana latihan peperangan dan tidak pula bernaung di bawah mana-mana kumpulan pengganas dengan menampilkan sudut positif perayu kedua. Namun, jika diteliti dan dilihat daripada keseluruhan fakta kes ini, pakatan jenayah yang direncanakan itu akan memberikan impak yang maha dahsyat (jika dimuktamadkan). Secara logik akal manusia, apakah seorang anak wajib mengikuti dan mentaati arahan bapanya sekiranya perkara yang diminta jelas bersifat mungkar dan keji? Oleh yang demikian, hujahan perayu kedua menyatakan dia hanya membuta tuli mengikuti arahan bapanya tanpa soal siasat akan natijah perbuatannya amatlah tidak bertepatan dengan tindakannya.

[11] Dengan hakikat di atas, kami telah mempertimbangkan penghujahan peguam perayu kedua dan penghakiman hakim bicara yang bijaksana. Kami mendapati hakim bicara yang bijaksana, dalam kecermatannya yang terserlah, telah tidak melakukan apa-apa kekhilafan tetapi sebaliknya telah mempertimbangkan dan mengambil kira setiap penghujahan mitigasi, yang ditegaskan kembali di hadapan kami, dan telah menjatuhkan hukuman yang setimpal, sesuai dan tidak keterlaluan dalam keadaan kes ini. Kami berpendapat amat sesuai bagi kami menurunkan penghakiman tersebut, yang kami dapati selaras dengan undang-undang dan prinsip penghukuman, iaitu:

[18] Salah satu faktor yang perlu ditekankan dalam menjatuhkan hukuman adalah jenis atau keadaan kesalahan yang dilakukan (nature of the offence). Kesalahan yang telah dilakukan oleh kedua-dua tertuduh adalah kesalahan yang serius oleh kerana kesalahan-kesalahan yang dilakukan melibatkan ketenteraman awam dan keselamatan Negara. Oleh yang demikian, pada hemat saya hukuman yang perlu dikenakan terhadap tertuduh-tertuduh hendaklah bersifat deteran bagi mencerminkan keseriusan kesalahan yang telah mereka lakukan. Dengan mengenakan hukuman pemenjaraan bagi tempoh yang panjang diharapkan tertuduh-tertuduh dapat dicegah daripada melakukan kesalahan yang sama jenis pada masa yang akan datang. Disamping itu hukuman yang dijatuhkan dapat menjadi tauladan kepada orang ramai terutama anak-anak muda supaya tidak mudah terjebak dalam jenayah untuk berjihad secara yang salah.

[19] Saya seterusnya menimbangkan keadaan bagaimana kesalahan yang dipertuduhkan telah dilakukan oleh tertuduh-tertuduh (circumtances in which it was committed). Fakta kes (P3) menunjukkan bahawa tertuduh pertama adalah pejuang dalam kumpulan pengganas yang dikenali sebagai Ajnad As-Syams dan Islamic State sebagai tentera. Tertuduh pertama baru pulang dari Negara Syria dimana beliau telah berjuang menentang rejim Bashar Al-Assad. Setelah pulang ke Malaysia, tertuduh pertama dengan bantuan tertuduh kedua telah mengadakan beberapa siri pertemuan dengan beberapa orang pengikutnya untuk tujuan merekrut sekurang-kurangnya 20 orang individu untuk melancarkan siri jihad di Malaysia. Antara rancangan jihad mereka termasuklah untuk menculik beberapa pemimpin Negara untuk dijadikan sebagai tebusan bagi membebaskan beberapa tahanan SOSMA yang telah dituduh di Mahkamah. Kumpulan itu juga turut merancang untuk merompak senjata di Kem Hobart di Gurun dan di Bukit Pinang, Alor Star.

[20] Kumpulan ini turut menubuhkan aplikasi WhatsApp yang dinamakan “Fisabilillah” untuk tujuan mencari dan merekrut ahli-ahli baru. Beberapa pertemuan turut diadakan di sekitar ibu negara, Kuala Lumpur. Kumpulan ini akhirnya berjaya mengumpul seramai 20 orang ahli baru. Tertuduh turut mencadangkan untuk mendapatkan sumber kewangan melalui jenayah rompakan. Antaranya cadangan untuk merompak van keselamatan yang turun membawa wang tunai dari Genting Highlands bagi mengumpul dana untuk membiayai misi jihad mereka. Matlamat utama kumpulan ini adalah untuk menggerakkan misi jihad bagi membebaskan Negara Malaysia daripada sistem yang dianggap taghut (kafir). Sekiranya kumpulan ini dibiarkan, akhirnya mereka akan menukar sistem pemerintahan dan pentadbiran Negara melalui jalan kekerasan secara yang tidak berperlembagaan. Oleh itu hukuman yang deteran melalui hukuman penjara untuk tempoh yang lama wajar dikenakan untuk menyekat perkara yang tidak diingini daripada berlaku.

[21] Faktor seterusnya dan faktor yang paling utama yang telah saya pertimbangkan adalah faktor kepentingan awam. Faktor ini telah diasaskan sejak dahulu lagi di dalam kes tersohor, R v. Kenneth John Ball [1951] 35 Cr. App. R 164. Dalam kes PP v. Mohd Nooh Bin Yusof & 2 Ors [1993] 4 CLJ 272, Abdul Malik Ishak JC (ketika itu) telah merujuk kepada faktor-faktor yang agak ekstensif sebelum menjatuhkan hukuman. Dengan izin, adalah seperti berikut:

In passing sentence, I have taken into consideration a long list of factors, namely:

(1) The question of public interest (Kenneth John Ball (1951) 35 Cr. App. R 164);

(2) The age of the offender, his wealth, his character and background, the nature of the offence, the circumstances and the manner in which the offence is committed (Mohd Jusoh bin Abdullah v. PP [1947] 1 LNS 73; [1947] 13 MLJ 131 and Nordin bin Kaman & Ors v. Public Prosecutor [1983] 1 CLJ 313);

(3) The need to strike a balance between the interests of the public and the interests of the offender (Public Prosecutor v. Lao Choon Fatt [1976] 1 LNS 102; [1976] 2 MLJ 256);

(4) The question of deterrence to the offender and to would be offenders (see Reg v. Curran [1973] 57 Cr. APP. R 945 where MacKenna J. said “As a general rule it is undesirable that a first sentence of immediate imprisonment should be very long, disproportionate to the gravity of the offence, and imposed...for reasons of general deterrence, that is as warning to others. The length of a first sentence is more reasonably determined by considerations of individual deterrence”);

(5) Society’s abhorrence to this type of offence;

(6) The rampancy of the offence;

(7) The plea in mitigation (Raja Izzuddin Shah v. Public Prosecutor [1978] 1 LNS 165; [1979] 1 MLJ 270);

(8) When a convicted man is sent to prison, he is branded with a social stigma which he carries for the rest of his life;

(9) The English warning in a passage found in The English Sentencing System by Cross 3rd Edn. At p. 141 to the following effect:

Prologed and repeated imprinsonment is destructive of family relationships and, by encouraging the prisoner’s identification with the attitudes of prison community, increases his alienation from normal society. In addition, long term institutionalization is all to likely to destroy a prisoner’s capacity for individual responsibility and to increase the problems he must face when he returns to society.

(10) Had the case proceeded for trial under the amended charge, it would take at last, but by no means least, I also gave a one-third discount or credit for their plea of guilt, following the Supreme Court’s decision in Mohamed Abdullah Ang Swee Kang v. PP [1987] CLJ Rep 209; [1988] 1 MLJ 167 SC."

[22] Dalam kes-kes yang serius saya masih berpandangan bahawa kepentingan awam adalah lebih terpelihara sekiranya hukuman berat dikenakan untuk kesan deteran. Dalam kes Bachik Abdul Rahman v. PP [2004] 2 CLJ 572, Augustine Paul JCA (kemudiannya HMP) memberikan pandangan seperti berikut:

“However, this is not a strict rule as the court may, in the exercise of its discretion, refuse to grant any discount in an appropriate case (see Zaidon Shariff v. Public Prosecutor [1996] 4 CLJ 441; Lee Say & Ors v. PP [1985] 2 CLJ 155; [1985] CLJ (Rep) 683). Its application in favour of an accused depends on the facts and circumstances of each case (see Wong Kai Chuen Philip v. PP [1990] 1 LNS 146). Thus, as lucidly explained by Charles JA in Leigh Nicholas Donnely v. R [1997] v. R [1997] 91 A Crim R 550 at p 554:

A court’s attitude towards the fact of a plea of guilty is expected to act as an encouragement to enter such a plea. The issue with which the court is to be concerned is what weight should be given to it in the circumtances. The circumstances in which a guilty plea will not have any weight are varied. The severity of the offence committed may out weight the mitigating effect or a guilty plea (see Loh Hock Seng & Anor v. Public Prosecutor [1979] 1 LNS 48; Public Prosecutor v. Oo Leng Swee & Ors [1981] 1 LNS 109). Where public interest demands a deterrent sentence in the circumstances of a particular case, then the effect of a guilty plea must also give way (see Gek Yong v. Public Prosecutor [1995] 1 SLR 537; Public Prosecutor v. Govindnan a/l Chinden Nair [1998] 2 CLJ 370). A guilty plea cannot also be a powerful mitigating factor when effectively no defence to the charge is available to the accused (see Public Prosecutor v. Low Kak Wai [1988] 2 CLJ 105; [1988] 2 CLJ (Rep) 268). If a plea of guilty is made to late in the trial it may also cease to have mitigating effect (see Public Prosecutor v. Dato’ Nallakaruppan Solaimalai [1999] 2 CLJ 596). The absence of mitigating factors in favour of the accused like, for instance, the existence of previous convictions may also deprive the guilty plea of its effect. There can therefore to be no automatic rule that a guilty plea on its own entitles an accused to a lesser punishment (see Public Prosecutor v. Tia Ah Leng [2000] 5 CLJ 614). Be that as it may, where there is a departure from the general rule the reasons for not treating the guilty plea as a mitigating factor must be reflected in the grounds of judgment (see Tan Lay Chen v. Public Prosecutor [2000] 4 CLJ 492)."

[23] Begitu juga dalam kes PP v. Shahrul Azuwan Adanan & Anor [2013] 2 CLJ 686 di mana dalam kes-kes melibatkan kesalahan yang serius maka hukuman penjara yang panjang wajar dikenakan. Dalam kes itu, Abdul Rahman Sebli J (sekarang HMR) memberikan pandangan seperti berikut:

“A sentence to be of any use must have the effect of deterring not only the offender from repeating the same offence but also others from following his footsteps. The sentence must commensurate with the seriousness of the offence and must reflect the degree of public disapproval for that particular type of criminal behavior. The more repulsive the criminal behavior the more severe the sentence should be. The measure of public disapproval is how the reasonable men and women on the street would react to the criminal conduct that the offender is guilty of."

[24] Seperti disebutkan diawal Penghakiman ini, saya turut memberi pertimbangan terhadap faktor-faktor mitigasi tertuduh-tertuduh sebelum menjatuhkan hukuman terutamanya mereka telah mengaku salah, mereka pesalah pertama dan mereka telah berasa kesal atas kesalahan yang telah dilakukan serta berjanji untuk tidak akan melakukan sebarang kesalahan jenayah dimasa akan datang. Dalam kes Sau Soo Kim v. PP [1975] 1 LNS 158 Lee Hun Hoe CJ (Borneo) menyatakan:

“Whether a person is a hardened criminal or not, I feel that a plea of guilty should be treated as a mitigating factor. It not only saves the country a great expense of a lengthy trial but also saves time and inconvenience of many, particularly the witnesses".”

[12] Berdasarkan huraian di atas, kami dengan ini menolak rayuan perayu dan sebulat suara mengesahkan keputusan hakim bicara yang bijaksana.

t.t

ABDUL KARIM BIN ABDUL JALIL
Hakim Mahkamah Rayuan

Tarikh: 23 Julai 2018

COUNSEL

Bagi pihak Perayu: M. Hafiz Zainol Abidin, Tetuan Hafiz Zabir & Partners

Bagi pihak Responden: Tetralina binti Ahmed Fauzi, Timbalan Pendakwa Raya, Jabatan Peguam Negara

Legislation referred to:

Kanun Keseksaan, Seksyen-seksyen 120A, 120B(1), 130G(a), 130J(1)(b)

Judgments referred to:

Pendakwa Raya v Muamar Gadaffi Mohamad Shafawi [2017] 1 LNS 516

PP v Muhammad Kasyfullah bin Kassim [2016] 6 MLJ 567

PP v Ramakrishnan Subramaniam & Ors [2012] 9 CLJ 443

PP v Ummi Kalsom bin Bahak [2015] 7 CLJ 503

Notice: The Promoters of Malaysian Judgments acknowledge the permission granted by the relevant official/ original source for the reproduction of the above/ attached materials. You shall not reproduce the above/ attached materials in whole or in part without the prior written consent of the Promoters and/or the original/ official source. Neither the Promoters nor the official/ original source will be liable for any loss, injury, claim, liability, or damage caused directly, indirectly or incidentally to errors in or omissions from the above/ attached materials. The Promoters and the official/ original source also disclaim and exclude all liabilities in respect of anything done or omitted to be done in reliance upon the whole or any part of the above/attached materials. The access to, and the use of, Malaysian Judgments and contents herein are subject to the Terms of Use.