THE OFFICIAL REPOSITORY OF
MALAYSIAN JUDGMENTS & RULINGS

[2018] MYCA 324 MALAY

Munisvaram A/L A Pachaiapan v Pendakwa Raya
Suit Number: Rayuan Jenayah No. B-09-327-08/2016 

PENGHAKIMAN

PENGENALAN

[1] Perayu membuat rayuan terhadap keputusan Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor yang telah menolak Permohonan Jenayah perayu untuk mendapatkan perintah-perintah berikut:

1. Bahawa pertuduhan jenayah terhadap perayu pada 11.3.2016 diketepikan dan dibatalkan atas alasan tidak berasas (groundless) menurut seksyen 173(g) Kanun Acara Jenayah.

2. Bahawa jaminan RM10,000.00 yang ditetapkan oleh Hakim Sesyen pada 11.3.2016 adalah keterlaluan dan dikurangkan kepada RM500.00.

3. Bahawa perayu diperintahkan untuk mendapatkan pemeriksaan perubatan dan juga psychiatric evaluation termasuk tahap intelligence pada kadar segera dan/atau dalam tempoh 48 jam daripada tarikh perintah ini dan sesalinan laporan perubatan perayu diserahkan kepada peguam cara perayu.

4. Bahawa satu “order to produce” dikeluarkan dan perayu dibawa ke mahkamah pada setiap tarikh mahkamah.

5. Bahawa tangkapan perayu oleh pihak polis pada 8.3.2016 dan penahanan reman sehingga 11.3.2016 dan pertuduhan perayu adalah tangkapan, penahanan reman dan pertuduhan yang dilakukan dengan penyalahgunaan kuasa polis dan/atau mala fide dan adalah salah di sisi undang-undang dan perayu dibebaskan dengan segera.

6. Bahawa (1) ACP Razimi Ahmad (Ketua Polis Daerah Serdang), (2) Superintenden Rosazahan (Ketua Unit D9 Negeri Selangor, Bahagian Task Force India), (3) DSP Basri (Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Serdang), (4) Inspektor Mohamad Nasrul Safri (Pegawai Penyiasat) bersama Inspektor Thiru dan tujuh orang anggota polis yang tidak beruniform yang lain yang bertindak atas arahan ACP Razimi Ahmad dan Superintenden Rosazahan yang telah memukul dan mencederakan perayu sehingga muntah darah dituduh oleh responden di bawah seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana melanggari Perkara 4, 5 dan 8 Perlembagaan Persekutuan dan seksyen 3 Akta Polis 1967.

7. Lain-lain perintah yang difikirkan suai-manfaat oleh mahkamah yang mulia ini.

KETIDAKHADIRAN PERAYU

[2] Pendengaran rayuan perayu ini adalah kali kedua oleh Mahkamah ini. Perayu telah diberitahu tentang tarikh rayuan ini tetapi gagal hadir. Peguam cara terpelajar Encik P. Uthayakumar yang mewakili perayu memaklumkan kepada Mahkamah bahawa perayu tidak hadir kerana bimbang keselamatan dirinya. Tiada afidavit atau laporan polis dikemukakan oleh perayu berkaitan ketidakhadiran tersebut. Peguam cara terpelajar memohon kehadiran perayu dikecualikan dan rayuan didengar atas alasan rayuan perayu melibatkan beberapa isu undang-undang yang penting untuk diputuskan oleh Mahkamah ini.

[3] Kami telah mendengar rayuan perayu tersebut dan sebulat suara menolaknya. Alasan-alasan kami adalah seperti yang diberikan di bawah ini.

Penyalahgunaan Proses Mahkamah

[4] Melalui Permohonan Jenayah No. 43-12-03/2016 dan 43-13-03/2016, perayu telah memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor untuk memohon jumlah wang jaminan dikurangkan dan perintah reman ke atas perayu diisytiharkan sebagai tidak sah serta pertuduhan ke atas perayu sebagai tidak mempunyai asas.

[5] Kedua-dua Permohanan Jenayah tersebut telah didengar oleh Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam dan YA Hakim Dato’ Abdul Halim bin Aman telah menolak kedua-dua permohonan dengan mengekalkan jumlah wang jaminan dan perintah bahawa reman ke atas perayu serta pertuduhan adalah sah.

[6] Perayu yang tidak berpuas hati terhadap penolakan Permohonan Jenayah No. 43-13-03/2016 telah membuat rayuan kepada Mahkamah Rayuan melalui Rayuan Jenayah No. B-09-156-04/2016. Pada 4.4.2017, Mahkamah Rayuan telah membatalkan rayuan perayu setelah membenarkan bantahan awal oleh pihak respondan (Pendakwa Raya) dengan perintah seperti berikut:

“(i) Bantahan awal oleh Responden bahawa perayu tidak boleh membatalkan pertuduhan atas alasan tiada asas untuk Perayu dipertuduhkan adalah dibenarkan; dan

(ii) Atas alasan di atas rayuan ini dibatalkan.”.

[7] Melalui Permohonan Jenayah No. 44-44-03/2016, yang menjadi perkara rayuan dalam Mahkamah ini, permohonan perayu adalah serupa iaitu untuk memohon jumlah wang jaminan dikurangkan dan perintah reman serta pertuduhan ke atas perayu sebagai tidak sah dan hendaklah diketepikan.

[8] YA Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam telah menolak permohonan perayu atas alasan permohonan perayu tersebut adalah berkaitan dengan perkara serupa yang telah diputuskan dengan khusus oleh Mahkamah yang mempunyai bidangkuasa yang sama (co-ordinate jurisdiction) dan yang demikian permohonan perayu adalah satu penyalahgunaan proses (an abuse of process). YA Hakim memutuskan bahawa perayu tidak wajar dibenarkan untuk ‘re-ventilate’ dan mengulangi isu yang sama yang telah secara khusus dan nyata diputuskan oleh mahkamah terdahulu (Farlim Properties Sdn Bhd v Goh Poh Keat and Other Appeal [2003] 4 MLJ 654).

[9] Kami bersetuju dengan YA Hakim bahawa permohonan jenayah kali ketiga oleh perayu berkaitan dengan perkara yang telah diputuskan oleh mahkamah yang mempunyai bidang kuasa yang sama. Permohonan perayu mengulangi semula perkara-perkara yang telah diputuskan iaitu penolakan bagi wang jumlah jaminan dikurangkan dan perintah mahkamah bahawa reman dan pertuduhan ke atas perayu adalah sah. Tindakan perayu memfailkan permohonan kali ketiga yang melibatkan isu perkara yang sama yang telah diputuskan dengan khusus dan nyata boleh disifatkan sebagai “multiplicity of action” yang tidak boleh dibenarkan seperti dalam keputusan kes Zaina Abidin Hamid & Ors v Kerajaan Malaysia & Ors [2009] 6 CLJ 683 (CA); Jasa Keramat Sdn Bhd & Anor v Monatech (M) Sdn Bhd [1999] 4 CLJ 533; Lai Kim Loi v Datuk Lai Fook Kim & Anor [1989] 2 MLJ 290 (SC); Ahmad Zubair @ Ahmad Zubir bin Hj Murshid v Public Prosecutor [2014] 6 MLJ 831 (FC). Permohonan perayu oleh itu merupakan satu penyalahgunaan proses mahkamah.

Kuasa Untuk Membawa Pertuduhan Jenayah

[10] Perayu memohon supaya beberapa orang pegawai dan anggota polis dikenakan pertuduhan jenayah kerana kesalahan memukul dan mencederakan perayu.

[11] YA Hakim telah memutuskan bahawa kuasa untuk membawa pertuduhan jenayah terletak sepenuhnya pada budi bicara Pendakwa Raya berasaskan kepada Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan dan seksyen 376(1) Kanun Prosedur Jenayah (Akta 574).

[12] Kes-kes otoriti seperti Long bin Samat & Ors v PP [1974] 2 MLJ 152 (FC); Teh Cheng Poh v PP [1979] 1 MLJ 50 (PC); Karpal Singh & Anor v PP [1991] 1 CLJ 183 telah dengan jelas memutuskan kuasa untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding bagi sesuatu kesalahan jenayah ialah kuasa budi bicara sepenuh Pendakwa Raya. Oleh itu mahkamah tidak berhak mencampuri urusan penggunaan kuasa budi bicara Pendakwa Raya dalam membawa atau tidak apa-apa pertuduhan jenayah ke atas mana-mana pihak.

[13] Mahkamah ini bersetuju dengan YA Hakim bahawa permohonan perayu tidak mempunyai merit.

Rayuan Perayu Telah Menjadi Akademik

[14] Timbalan Pendakwa Raya terpelajar telah menghujahkan bahawa rayuan perayu telah menjadi akademik disebabkan perayu telah diperintahkan dilepaskan tanpa terjumlah kepada pembebasan (DNAA) oleh Mahkamah Sesyen. Peguam cara terpelajar juga mengesahkan perkara tersebut. Tiada apa-apa arahan atau keputusan oleh Pendakwa Raya untuk perayu dituduh semula.

[15] Mahkamah ini bersetuju bahawa dengan terdapatnya perintah perlepasan tidak terjumlah kepada pembebasan terhadap perayu atas pertuduhan yang menjadi perkara permohonan jenayah oleh perayu, maka tiada lagi isu hidup (living issue) dan merit untuk didengar oleh Mahkamah ini (Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Malaysia v Karpal Singh [1992] 1 MLJ 147).

[16] Rayuan perayu oleh itu ditolak. Keputusan Mahkamah Tinggi dikekalkan.

YAACOB BIN HAJI MD SAM
Hakim
Mahkamah Rayuan Malaysia

Bertarikh: 04 Oktober 2018

COUNSEL

Peguamcara bagi pihak Perayu: P. Uthayakumar, Tetuan Kumar Hashimah & Co, Peguambela dan Peguamcara, No. 13-3-2, Taman Bukit Angkasa, Jalan Pantai Dalam, 59200 Kuala Lumpur

Peguamcara bagi pihak Responden: Ahmad Fazli, Timbalan Pendakwa Raya, Jabatan Peguam Negara, Bahagian Perbicaraan & Rayuan, Aras 5, No. 45, Lot 4G7, Presint 4, Persiaran Perdana, 62100 Putrajaya

Legislation referred to:

Akta Polis 1967, Seksyen 3

Kanun Acara Jenayah, Seksyen 173(g)

Kanun Keseksaan, Seksyen 326

Kanun Prosedur Jenayah, Seksyen 376(1)

Perlembagaan Persekutuan, Perkara-perkara 4, 5, 8, 145(3)

Judgments referred to:

Ahmad Zubair @ Ahmad Zubir bin Hj Murshid v Public Prosecutor [2014] 6 MLJ 831 (FC)

Farlim Properties Sdn Bhd v Goh Poh Keat and Other Appeal [2003] 4 MLJ 654

Jasa Keramat Sdn Bhd & Anor v Monatech (M) Sdn Bhd [1999] 4 CLJ 533

Karpal Singh & Anor v PP [1991] 1 CLJ 183

Lai Kim Loi v Datuk Lai Fook Kim & Anor [1989] 2 MLJ 290 (SC)

Long bin Samat & Ors v PP [1974] 2 MLJ 152 (FC)

Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Malaysia v Karpal Singh [1992] 1 MLJ 147

Teh Cheng Poh v PP [1979] 1 MLJ 50 (PC)

Zaina Abidin Hamid & Ors v Kerajaan Malaysia & Ors [2009] 6 CLJ 683 (CA)

Notice: The Promoters of Malaysian Judgments acknowledge the permission granted by the relevant official/ original source for the reproduction of the above/ attached materials. You shall not reproduce the above/ attached materials in whole or in part without the prior written consent of the Promoters and/or the original/ official source. Neither the Promoters nor the official/ original source will be liable for any loss, injury, claim, liability, or damage caused directly, indirectly or incidentally to errors in or omissions from the above/ attached materials. The Promoters and the official/ original source also disclaim and exclude all liabilities in respect of anything done or omitted to be done in reliance upon the whole or any part of the above/attached materials. The access to, and the use of, Malaysian Judgments and contents herein are subject to the Terms of Use.