THE OFFICIAL REPOSITORY OF
MALAYSIAN JUDGMENTS & RULINGS

[2018] MYCA 14 MALAY

Muhammad Azhar Bin Muhammad Zaini v Pendakwa Raya
Suit Number: Rayuan Jenayah No. B-05(M)-60-01/2017 

Criminal law – Trafficking in dangerous drugs – Conviction – Death sentence – Appeal

Criminal law – Defence of Innocent carrier – Whether the failure to investigate the registration and use of the appellant’s telephone created a gap in the prosecution’s case making the conviction unsafe – Whether the trial court failed to sufficiently consider the appellant’s defence – Defence of Innocent carrier

PENGHAKIMAN

Pendahuluan

[1] Perayu bersama dua lagi tertuduh telah di hadapkan di Mahkamah Tinggi Taiping dengan satu pertuduhan bagi kesalahan kerana memperedarkan dadah berbahaya di bawah seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (ADB) yang membawa hukuman mati mandatori di bawah seksyen 39B(2) Akta yang sama.

[2] Butir-butir pertuduhan terhadap ketiga-tiga tertuduh, termasuklah Perayu, ialah seperti berikut:

“Bahawa kamu pada 25 Ogos 2015, jam lebih kurang 2.00 petang di tepi jalan berhampiran gerai makan No. Lot 1042, Batu 19, Kuala Dal, Kg. Kuala Dal, Padang Rengas, Kuala Kangsar, di dalam Daerah Kuala Kangsar, di dalam negeri Perak Darul Ridzuan di dalam mencapai niat bersama kamu telah mengedar dadah berbahaya iaitu sejumlah berat 4540 gram Cannabis dan dengan itu kamu telah melakukan satu kesalahan di bawah seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah seksyen 39B(2) Akta yang sama dibaca bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan.

[3] Di akhir perbicaraan, Pesuruhjaya Kehakiman yang bijaksana (“Hakim bicara”) telah mensabitkan Perayu atas pertuduhan dan telah menjatuhkan hukuman gantung di leher sehingga mati ke atas Perayu. Hakim bicara bagaimanapun telah membebaskan dua lagi tertuduh diakhir kes pembelaan.

[4] Terkilan dengan sabitan dan hukuman mati yang dijatuhkan oleh Hakim bicara, Perayu telah merayu ke Mahkamah ini. Pihak pendakwaan turut memfailkan rayuan terhadap perintah pembebasan dua tertuduh yang lain. Rayuan terhadap kedua-dua tertuduh yang lain telah dibatalkan oleh kerana Notis Rayuan telah gagal untuk disempurnakan terhadap mereka walaupun beberapa percubaan telah dilakukan.

[5] Kami telah mendengar rayuan Perayu pada 12.12.2017. Kami dengan sebulat suara menolak rayuan Perayu dan mengekalkan sabitan serta hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi. Sekarang kami memperincikan alasan-alasan kami dalam menolak rayuan Perayu.

Kes Pendakwaan

[6] Kes pendakwaan secara ringkasnya ialah seperti berikut. Pada 17.8.2015, bertindak atas maklumat yang diterima, ASP Mohd Fikri Bin Hashim (SP7) dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Kontinjen Polis Perak, Ipoh telah mengarahkan Koperal Jafri @ Sany Bin Osman (SP4) untuk bertindak sebagai penyamar sulit (AP) untuk menyiasat dan menangkap seorang pengedar dadah yang dikenali sebagai ‘Weng’. SP7 turut mengarahkan ASP Sufian untuk bertindak sebagai pembeli dadah.

[7] SP7 telah mengarahkan SP4 dan ASP Sufian untuk pergi berjumpa dengan Inspektor Saidi dari IPD Taiping untuk mereka diperkenalkan kepada sumber (informer). Pada hari yang sama, SP4 dan ASP Sufian telah diperkenalkan oleh Inspektor Saidi kepada seorang sumber. Pada petang hari yang sama, sumber telah membawa SP4 dan ASP Sufian pergi ke Selama, Kedah dan di sana sumber telah memperkenalkan SP4 dan ASP Sufian kepada seorang lelaki Melayu yang dikenali sebagai ‘Weng’, yang kemudiannya dicamkan sebagai Perayu.

[8] Dalam pertemuan yang pertama itu, satu perbincangan awal telah diadakan antara SP4 dan ASP Sufian dengan Perayu untuk melakukan satu transaksi jual beli dadah jenis ganja (Cannabis). Perbincangan awal itu berlangsung selama lebih kurang 20 minit. Selepas saling bertukar nombor telefon, SP4 dan ASP Sufian balik semula ke Taiping. Satu perbincangan lanjut mengenai transaksi jual beli dadah tersebut seterusnya akan diadakan di Kuala Kangsar. Hasil perbincangan awal tersebut telah dimaklumkan oleh SP4 kepada SP7.

[9] Pada keesokan paginya iaitu pada 18.8.2015, SP4 telah menerima pesanan ringkas daripada Perayu yang memaklumkan bahawa bekalan dadah telah sedia diperolehi oleh Perayu. Kemudiannya, SP4 turut menerima panggilan telefon daripada Perayu yang bertanyakan kepada SP4 tentang pengesahan transaksi jual beli dadah tersebut. SP4 telah menyatakan minatnya untuk meneruskan transaksi jual beli dadah tersebut dan meminta Perayu untuk mengurangkan harga. Perayu telah bersetuju mengurangkan harga kepada RM1,900 bagi setiap ketulan mampat dadah ganja yang akan dibekalkan sekiranya SP4 bersetuju untuk membeli dalam kuantiti yang besar.

[10] Pada 19.8.2015, atas permintaan Perayu, SP4 telah bertemu dengan Perayu pada jam 3.00 petang di sebuah gerai makan di tepi jalan Taman Bunga Raya, Kuala Kangsar. Tertuduh Ketiga, iaitu adik kepada Perayu, turut datang bersama Perayu tetapi tertuduh Ketiga tidak masuk ke dalam gerai makan tersebut. Tertuduh Ketiga hanya menunggu di dalam kereta. Pada pertemuan itu, SP4 telah mengadakan perbincangan lanjut mengenai transaksi jual beli dadah ganja. Mereka telah bersetuju mengenai jumlah ketulan mampat dan harga setiap ketulan tersebut. Perayu telah bersetuju untuk menjual kepada SP4 sebanyak 10 ketulan mampat dadah ganja pada harga RM19,000. SP4 beredar dari gerai makan tersebut dan berjanji akan menghubungi semula Perayu setelah SP4 mempunyai cukup wang.

[11] Pada 24.8.2015, Perayu sekali lagi telah menghubungi SP4 melalui panggilan telefon. Perayu bertanyakan kepada SP4 bilakah transaksi jualan dan serahan dadah ganja boleh dilakukan. SP4 meminta tempoh 2 hari lagi untuk mencukupkan wang RM19,000 yang dipersetujui.

[12] Pada 25.8.2015, Perayu telah menghubungi semula SP4 dan memberitahu bahawa Perayu hanya boleh membekalkan sebanyak 5 ketulan mampat ganja sahaja pada harga RM1,900 untuk setiap ketulan mampat. SP4 menyatakan persetujuannya dan SP4 meminta Perayu untuk datang ke Stesen Bas Kuala Kangsar untuk transaksi tersebut.

[13] SP4 kemudiannya telah menghubungi SP7 dan memaklumkan tentang perkembangan terbaru mengenai penyerahan 5 ketulan mampat dadah ganja yang akan dilakukan di kawasan Setesen Bas Kuala Kangsar. Satu taklimat telah diberikan oleh SP7 yang turut dihadiri oleh SP4 serta beberapa anggota dari Bahagian Narkotik untuk mengatur satu operasi serbuan, tangkapan dan rampasan dadah dalam transaksi tersebut. Selesai taklimat, SP4 dan ASP Sufian telah bergerak menuju ke Stesen Bas Kuala Kangsar dengan menaiki sebuah kereta menggunakan nombor pendaftaran WYJ 7984. Setelah sampai, SP4 dan ASP Sufian terus menunggu ketibaan Perayu di situ. Perayu akhirnya tiba pada jam 1.30 tengahari dengan menaiki sebuah kereta Proton Saga dengan nombor pendaftaran PLF 2482. Turut bersama Perayu dalam kereta tersebut ialah, tertuduh Kedua dan juga tertuduh Ketiga.

[14] SP4 telah meminta Perayu untuk mengikut kereta yang dinaiki oleh SP4 atas alasan Setesen Bas Kuala Kangsar tidak sesuai dijadikan sebagai tempat untuk melakukan transaksi. Kereta yang dinaiki SP4 telah menuju ke sebuah gerai makan di Kampung Kuala Dal, Padang Rengas dimana pasukan serbuan yang diketui oleh SP7 telah sedia berada di sana untuk melakukan serbuan, tangkapan dan rampasan barang kes. SP4 telah meletakkan keretanya selari dengan gerai makan tersebut dan Perayu telah meletakkan keretanya di sebelah kereta SP4. SP4 mengajak Perayu untuk masuk ke dalam gerai makan untuk minum. Semasa berada di dalam gerai makan tersebut, SP4 telah bertanya kepada Perayu adakah Perayu ada membawa “barang” yang dikehendaki dan Perayu terus menjawab bahawa “barang” tersebut ada di dalam keretanya. Mereka kemudiannya terus keluar dari dalam gerai makan dan berjalan menuju ke arah kereta Perayu oleh kerana SP4 menyatakan dia mahu melihat “barang” itu. Pada masa itu, tertuduh Kedua menyatakan bahawa “barang” itu berada di dalam sebuah beg.

[15] Perayu terus membuka pintu bahagian pemandu dan tertuduh kedua membuka pintu penumpang hadapan kereta Proton Saga PLF 2482 tersebut dan mereka terus masuk ke dalam kereta itu. Tertuduh Ketiga telah membuka pintu kereta di bahagian penumpang belakang sebelah kanan dan terus mengangkat sebuah beg dari tempat letak kaki di bahagian belakang pemandu dan meletakkan beg itu di atas tempat duduk penumpang belakang dan terus membuka zip beg tersebut. Setelah itu, tertuduh Ketiga beredar ke bahagian tempat duduk penumpang belakang sebelah kiri dan duduk di kerusi di belakang tertuduh Kedua. SP4 melihat ke dalam beg tersebut dan setelah berpuashati beg itu mengandungi dadah ganja, SP4 terus memberikan tanda isyarat kepada pasukan serbuan dengan menyalakan pemetik api. SP7 dan anggota pasukannya terus melakukan serbuah ke arah kereta PLF 2482 dan telah menangkap kesemua tertuduh.

[16] Setelah ketiga-tiga tertuduh ditangkap, SP7 telah mengambil sebuah beg berwarna hitam yang terletak di atas kerusi penumpang belakang kereta PLF 2482 tersebut. Pemeriksaan beg itu telah dilakukan di hadapan ketiga-tiga tertuduh, dan SP7 telah menemui 5 ketulan mampat tumbuhan kering disyaki ganja berada di dalam beg tersebut. Kesemua tertuduh dan barang kes telah dibawa ke Balai Polis Kuala Kangsar untuk tindakan lanjut. Ketiga-tiga tangkapan dan semua barang kes telah diserahkan kemudiannya oleh SP7 kepada Pegawai Penyiasat, Inspektor Nurleyana Diana Binti Stephenson (SP8).

[17] Lima (5) ketulan mampat bahan tumbuhan kering yang disyaki ganja telah diserahkan oleh SP8 kepada Jabatan Kimia Cawangan Perak untuk dianalisis. Ahli Kimia, Gunalan a/l Varatharajan (SP3), mengesahkan hasil analisis yang beliau jalankan terhadap 5 ketulan mampat bahan tumbuhan kering tersebut mengandungi dadah berbahaya jenis Cannabis dengan jumlah berat keseluruhan 4540 gram, hal perkara pertuduhan. SP3 turut mengesahkan bahawa Cannabis ialah sejenis dadah berbahaya yang tersenarai di bawah Jadual Pertama, ADB.

Dapatan hakim bicara di akhir kes pendakwaan

[18] Di akhir kes pendakwaan, Hakim bicara telah membuat penilaian secara maksima keterangan yang telah di berikan oleh saksi-saksi pihak pendakwaan. Hakim bicara telah berpuashati bahawa kesemua elemen pertuduhan telah berjaya dibuktikan terhadap ketiga-tiga tertuduh. Hakim bicara telah membuat dapatan fakta bahawa ketiga-tiga tertuduh mempunyai milikan terhadap barang kes dadah berbahaya yang dipertuduhkan dan telah menjualkan dadah berbahaya tersebut kepada SP4 yang bertindak sebagai AP dalam kes ini selepas beberapa rundingan diadakan. Hakim bicara turut menerima keterangan SP3 mengenai hasil analisis yang telah dijalankan bahawa 5 ketulan mampat bahan tumbuhan tersebut mengandungi dadah berbahaya jenis Cannabis dengan jumlah berat 4540 gram. Hakim bicara turut berpuashati bahawa ketiga-tiga tertuduh telah dibuktikan mempunyai niat bersama dalam memiliki dan memperedarkan dadah berbahaya yang dipertuduhkan.

[19] Setelah berpuashati atas penilaian maksima bahawa satu kes prima facie telah berjaya dibuktikan terhadap ketiga-tiga tertuduh, kesemua tiga tertuduh, termasuklah Perayu telah diperintahkan untuk membela diri atas pertuduhan yang dihadapkan.

Kes Pembelaan

[20] Perayu dan dua lagi tertuduh telah memilih untuk memberikan keterangan secara bersumpah dari kandang saksi. Secara ringkasnya pembelaan ketiga-tiga tertuduh sepakat menafikan dan mempertikaikan keterangan yang telah diberikan oleh saksi-saksi pendakwaan, terutamanya keterangan oleh SP4. Tertuduh-tertuduh telah menafikan bahawa mereka pernah berhubungan dan berbincang mengenai transaksi jual beli dadah dengan SP4. Mereka mendakwa bahawa mereka tidak bersalah dan tidak mempunyai sebarang pengetahuan bahawa terdapat dadah ganja di dalam beg berwarna hitam yang mereka bawa dalam kereta PLF 2482 tersebut. Mereka juga menafikan dengan sekeras-kerasnya bahawa mereka telah menyewa kereta PLF 2482 tersebut untuk tujuan membawa dadah di dalam beg hitam tersebut untuk diserahkan kepada SP4.

[21] Perayu seterusnya menyatakan seperti berikut:

(a) dia berusia 24 tahun pada masa kejadian dan tinggal di Selama, Kedah. Dia ingin pergi bersiar-siar dan dia telah menyuruh adiknya, tertuduh Ketiga, untuk menyewa sebuah kereta. Dia dan tertuduh Ketiga kemudiannya telah pergi ke Pulau Pinang dan tiba di rumah rakannya, tertuduh Kedua, pada jam lebih kurang 2.00 pagi dan terus tidur di rumah tertuduh Kedua;

(b) pada keesokan pagi, jam lebih kurang 9.00 pagi, ketika dia dan dua lagi tertuduh sedang minum pagi, dia telah menerima satu panggilan telefon daripada seorang rakan bernama Sham. Sham memberitahu bapanya (bapa Sham) tidak sihat dan Sham telah meminta pertolongan Perayu untuk pergi mengambil sebuah beg yang berisi ubatan tradisional daripada seorang bernama Siva dan menyerahkan beg itu kepada Sham di Kuala Kangsar. Sham minta Perayu untuk menunggu panggilan telefon daripada Siva terlebih dahulu;

(c) tidak berapa lama selepas itu dia telah menerima panggilan telefon daripada Siva yang memintanya supaya datang untuk mengambil ubatan tradisional tersebut di R&R Juru. Sebaik tiba di R&R Juru, dia telah membuat panggilan kepada Siva dan telah diberitahu untuk menunggu di tepi tandas. Dia menunggu Siva seorang diri di tepi tandas dan tidak lama selepas itu Siva tiba dan telah menyerahkan kepadanya sebuah beg berwarna hitam. Perayu menyatakan dia telah mengambil beg itu dan terus membawa dan meletakkannya di atas kerusi penumpang belakang kereta sewa mereka di sebelah tertuduh Ketiga yang sedang tidur. Pada masa itu, tertuduh Kedua yang sedang duduk di kerusi penumpang hadapan sedang leka ‘bermain’ dengan telefon dan tertuduh Kedua langsung tidak bertanya apakah barangan yang berada di dalam beg hitam yang dia bawa. Tertuduh Ketiga yang baru bangun dari tidur telah bertanya tentang beg hitam itu dan Perayu hanya menjawab “kamu tidak perlu tahu”;

(d) seterusnya, Perayu menyatakan dia terus memandu kereta ke Kuala Kangsar untuk menyerahkan beg hitam itu kepada Sham. Apabila tiba di Kuala Kangsar, dia terus menghubungi Sham dan Sham telah mengarahkan supaya mereka terus pergi ke sebuah gerai makan di Kampong Kuala Dal. Apabila tiba di gerai makan yang dimaksudkan, dia telah meletakkan kereta dan mereka telah masuk ke dalam gerai tersebut memesan makanan dan minuman. Pada masa itu, dia melihat Sham berada di dalam gerai tersebut sedang duduk di satu penjuru. Perayu melangkah ke arah Sham dan memberitahu Sham bahawa beg hitam itu berada di dalam keretanya. Sham telah meminta Perayu untuk menunggu dalam kereta sementara Sham selesai makan dan minum;

(e) Perayu menafikan telah berjumpa dengan SP4 di dalam gerai makan di Taman Bunga Raya, Kuala Kangsar sebelum itu. Perayu juga menafikan dia dan dua lagi tertuduh ada berbual-bual dengan SP4 di gerai makan tersebut;

(f) Perayu menyatakan setelah mereka bertiga selesai makan, mereka terus keluar dan masuk ke dalam kereta untuk menunggu kedatangan Sham untuk mengambil beg hitam tersebut. Tiba-tiba satu kumpulan orang telah datang menyerbu kereta mereka dan mengarahkan supaya mereka keluar dan semua mereka telah ditangkap. Pihak Polis telah membuka zip beg hitam tersebut yang terletak atas kerusi penumpang belakang. Perayu menyatakan dia terus pengsan apabila pihak polis memberitahunya bahawa terdapat dadah di dalam beg hitam tersebut. Perayu menjelaskan bahawa dia jatuh pengsan kerana dia teringatkan pernah membaca dalam surat khabar yang menyatakan pengedar dadah boleh dihukum gantung sampai mati; dan

(g) Perayu mengakui bahawa dia pernah berjumpa dengan SP4 pada 17.8.2015. Perayu menyatakan bahawa Sham yang telah membawa dia berjumpa dengan SP4. Dia dan Sham telah berkawan sejak dari kecil lagi. Dalam perbualan dengan Sham, Sham ada bertanya kepada Perayu sama ada Perayu boleh menjual Cannabis kepada Sham. Dia telah memberitahu kepada Sham bahawa dia tidak terlibat dengan dadah berbahaya. Perayu dengan tegas menyatakan dia tidak ada berjumpa atau berurusan dengan SP4 berkenaan dengan hal dadah berbahaya.

[22] Setelah meneliti dan memperhalusi keterangan membela diri Perayu, Hakim bicara telah menolak pembelaan Perayu. Hakim bicara mendapati keterangan pembelaan Perayu adalah berlainan sama sekali dengan keterangan yang telah diberikan oleh saksi-saksi pendakwaan, terutamanya bercanggah dengan keterangan SP4. Hakim bicara telah menerima keterangan yang telah diberikan oleh saksi-saksi pendakwaan sebagai keterangan yang boleh dipercayai. Berdasarkan kepada panduan yang diberikan dalam kes PP v Saimin & Ors [1971] 2 MLJ 16, Hakim bicara memutuskan bahawa pembelaan Perayu telah gagal untuk menimbulkan sebarang keraguan yang munasabah terhadap kes pihak pendakwaan. Sebaliknya, pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan pertuduhan terhadap Perayu melampaui sebarang keraguan yang munasabah. Hakim bicara juga bergantung kepada keputusan dalam kes Chai Tee Keiong v PP [2014] 2 MLJ 246 dalam menerima keterangan SP4 yang telah bertindak sebagai AP.

[23] Kami petik penghakiman Hakim bicara dalam mendapati Perayu bersalah dan mensabitkannya dengan pertuduhan seperti di m/s 31-34 Rekod Rayuan Jilid 1, seperti berikut:

“43. At the end of the defence case, the Court is required to examine all the evidence presented in this case to determine whether it has raised any doubt in favour of the accused persons. The Court must be mindful that in a criminal trial it is not for the decence to prove anything and that all is required of it is to tender an explanation that is reasonable and probable and which casts a doubt either as to the truth of the prosecution case or as to the guilt of the accused.

44. There are two conflicting versions here. First, the prosecution’s version that there was a sale of drugs to Jafri, who had acted as an agent provocateur. Next, the defence version that there was no sale. The black bag was brought to the Kampung Dal food stall to be delivered to Sham in the belief it contained traditional medicine.

45. The testimony of the accused persons was diametrically opposed to that of Jafri and ASP Fikri which raised the issue of credibility. In approaching issues of credibility it is always necessary to bear in mind the tests that a tier of fact should ordinarily apply when evaluating oral evidence. One of the tests is motive. The presence of absence of motive on the part of a witness is a relevant consideration which a trial court should take into account. Another material consideration are probabilities of the case. If a witness’ evidence is improbable, this would be a good reason for rejecting his evidence or according it very little weight. By the same token, where the evidence of a witness accords with the probabilities of the case, it would be a serious misdirection on the part of the trial court to give it little or no weight on grounds of credibility. See Tengku Mahmood v Public Prosecutor [1974] 1 MLJ 110 and Muniandy & Ors v Public Prosecutor [1966] 1 MLJ 257.

46. It is with these principles in mind that I evaluate the evidence in this case.

47. It cannot be gainsaid that if I believe the testimony of Jafri and ASP Fikri then, the defence of the first accused must necessarily fail, for, on their version, it was abundantly clear that there was sale of drugs.

48. Having considered both versions, I was entirely satisfied that Jafri and that of ASP Fikri were witnesses of truth. Having seen them give their evidence, and having observed their demeanour, especially under cross-examination and having tested it against the totality of the evidence I was satisfied that they were telling the truth that there was a sale of drugs to Jafri. Both Jafri and ASP Fikri had no reason to falsely implicate the first accused. It was true that Jafri was an agent provocateur but the testimony of such a witness by reason only of his having attempted to abet or abetted the commission of an offence by any person under section 39B if the attempt to abet or the abetment was for the sole purpose of securing evidence against such person, as was the case here.

49. The gist of the defence of the first accused appears to be that he was being a Good Samaritan and doing an act of kindness by collecting the black bag from Siva. He did not check the contents as he believed it was traditional medicine. This explanation was difficult to accept as the first accused had alleged that when he met Sham and Jafri on 17 August 2015, Sham had expressed a desire to buy cannabis. If indeed, this was true, this ought to have raised a suspicion in his mind that there could be drugs in the black bag. Next, and crucially, the bag was handed to him in circumstances that ought to have aroused his suspicion. He had reached the R&R before Siva. On his own version, Siva arrived about an hour later. It was odd that Siva requested him to wait near the toilets instead of just bringing the black bag to him. It is therefore impossible to give the slightest credence to his explanation that he thought there was traditional medicine in the black bag.

50. Further, the fact that the first accused had no monies even to pay a cash deposit to rent a car was significant. It will be recalled that a motorcycle that belonged to a third party was given as security to the car rental company until the rental due was settled. It was curious and unconvincing that someone without even the financial ability to pay the requisite deposit would rent a car to go sightseeing. How did the first accused propose to pay for the sightseeing expenses or raise the monies to pay the car rental on returning from his trip. He proffered no explanation in this regard. Given the impecuniosity of the first accused, it was difficult to believe and I did not accept his evidence that the car was rented for the purpose of sightseeing. It was clear on the evidence that the car was rented for the purpose of delivering the drugs which the first accused had agreed to sell to Jefri.

51. Applying the test formulated in PP v Saimin & Ors [supra (43)] I find that the explanation given by the first accused has failed to raise a reasonable doubt in the prosecution’s case. On the other hand, I am entirely satisfied, upon the evidence as a whole, both oral and otherwise, that the prosecution has established the charge of trafficking in dangerous drugs against the first accused beyond all reasonable doubt.”.

[24] Oleh yang demikian, Perayu telah disabitkan dengan pertuduhan dan dijatuhkan hukuman gantung di leher sehingga mati oleh Hakim bicara.

Rayuan Perayu

[25] Di hadapan kami, peguam bela terpelajar Perayu telah membangkitkan dua alasan utama dalam hujahannya untuk kami membenarkan rayuan Perayu. Dua alasan rayuan tersebut ialah seperti berikut:

(a) kegagalan menyiasat telefon milik Perayu dan telefon yang telah digunakan oleh SP4; dan

(b) Hakim bicara telah gagal untuk membuat pertimbangan dengan secukupnya pembelaan Perayu.

[26] Berkaitan dengan isu (a), peguam bela terpelajar menghujahkan bahawa sebelum dan juga pada tarikh kejadian, terdapat beberapa panggilan telefon antara SP4 dengan ‘Weng’. Nombor telefon yang telah digunakan oleh ‘Weng’ ialah 012-5274253. Tiada penyiasatan telah dilakukan untuk menunjukkan bahawa nombor telefon itu sebenarnya telah didaftarkan atau digunakan oleh Perayu. Pegawai Penyiasat kes (SP8) tidak tahu siapakah tuanpunya sebenar telefon bimbit yang telah dirampas daripada Perayu oleh kerana tiada siasatan langsung dilakukan terhadap 4 buah telefon bimbit yang dirampas dan diserahkan kepada SP8. Oleh kerana itu, peguam bela terpelajar menghujahkan bahawa terdapat kelompangan (gap) dalam kes pendakwaan sehingga menyebabkan sabitan terhadap Perayu adalah tidak selamat. Peguam bela terpelajar merujuk kepada keputusan dalam kes Chai Tee Keiong v PP [2014] 2 MLJ 246; Lee Kwan Woh v PP [2009] 5 MLJ 301 dan Ghasem Gharezadesharbiani Hassan v PP [2014] 1 LNS 752; [2014] 5 MLJ 433.

[27] Mengenai isu (b), peguam bela terpelajar menghujahkan bahawa Hakim bicara telah gagal untuk menimbang pembelaan Perayu dengan secukupnya. Dihujahkan bahawa beberapa perkara penting telah tidak diberikan perhatian oleh Hakim bicara. Perkara-perkara itu termasuklah perkataan ‘barang’ yang disebutkan tidak pernah dijelaskan maksudnya. Perayu menyatakan ‘barang’ itu adalah ubatan tradisional yang dia terima daripada Siva untuk diserahkan kepada Sham. Perayu tidak mempunyai sebarang pengetahuan bahawa beg hitam yang dia bawa untuk diserahkan kepada Sham itu sebenarnya mengandungi dadah Cannabis yang dipertuduhkan. Dihujahkan, bahawa Perayu hanyalah seorang pembawa ikhlas. Tambahan pula, dua saksi penting iaitu ASP Sufian dan Sham, yang dihujahkan sebagai pemberi maklumat, telah gagal dipanggil untuk memberi keterangan. Peguam bela terpelajar berhujah bahawa sabitan terhadap Perayu atas kesalahan pengedaran adalah tidak selamat. Secara alternatifnya, peguam bela terpelajar menghujahkan bahawa Perayu wajar disabitkan atas kesalahan milikan memandangkan Perayu memiliki dadah berbahaya tersebut tanpa pengetahuan yang diperlukan.

Dapatan Kami

[28] Sebelum mempertimbangkan dua alasan rayuan yang ditimbulkan oleh peguam bela terpelajar, kami ingin mengingatkan diri kami bahawa kes melibatkan Perayu di hadapan kami adalah melibatkan penggunaan penyamar sulit (AP-SP4) yang telah mengadakan beberapa perhubungan melalui telefon dan secara bersemuka dengan Perayu sebelum Perayu ditangkap bersama dadah yang dipertuduhkan. Peranan SP4 yang bertindak sebagai AP bersama ASP Sufian tidak pernah dipertikaikan oleh pihak pembelaan.

[29] Maklumat mengenai aktiviti pengedaran dadah oleh seorang yang menggelarkan dirinya sebagai ‘Weng’ telah disampaikan kepengetahuan Inspektor Saidi yang kemudiannya telah memanjangkan maklumat yang sama kepada SP7. Maklumat itu telah diterima oleh seorang pemberi maklumat (informer) yang berdaftar dengan Inspektor Saidi. Sepanjang perbicaraan, kami mendapati bahawa Perayu tidak pernah menafikan atau meletakkan kepada saksi-saksi pendakwaan bahawa dia bukanlah orang yang dikenali sebagai ‘Weng’.

[30] Pihak pembelaan mengusulkan bahawa pemberi maklumat itu adalah seorang yang bernama Sham. Ini telah dinafikan dengan sekeras-kerasnya oleh SP4 dan SP7. Pembelaan turut mendakwa bahawa Sham telah memainkan peranan yang sangat aktif dan dia perlu dipanggil untuk memberikan keterangan sebagai saksi kes pendakwaan oleh kerana Sham telah menjadi sebahagian dari naratif kes pendakwaan. Hujahan ini telah disangkal oleh pihak pendakwaan sekeras-kerasnya. Kami bersetuju dengan hujahan pihak pendakwaan bahawa sumber tidak memainkan peranan yang aktif dalam kes ini. Tidak ada peranan yang lain telah dimainkan oleh sumber selain telefonnya telah digunakan pertama kali oleh SP4 untuk perbualan dengan ‘Weng’ selepas ‘Weng’ diperkenalkan oleh sumber kepada SP4 dan ASP Sufian. Selepas itu, sumber tidak lagi memainkan apa-apa peranan. Kami bersetuju bahawa sumber tidak pernah hilang haknya untuk mendapat perlindungan di bawah seksyen 40 ADB, yang memperuntukkan seperti berikut:

Protection of informers

40.(1) Except as hereinafter provided, no complaint as to an offence under this Act shall be admitted in evidence in any civil or criminal proceeding whatsoever, and no witness shall be obliged or permitted to disclose the name or address of any informer, or state any matter which might lead to his discovery.

(2) If any books, documents or papers which are in evidence or liable to inspection in any civil or criminal proceeding whatsoever contain any entry in which any informer is named or described or which might lead to his discovery, the Court before which the proceeding is had shall cause all such passages to be concealed from view or to be obliterated so far as is necessary to protect the informer from discovery, but no further.

(3) If on trial for any offence under this Act the Court, after full inquiry into the case, is of opinion that the informer wilfully made in his complaint a material statement which he knew or believed to be false or did not believe to be true, or if in any other proceeding the Court is of opinion that justice cannot be fully done between tha parties thereto without the discovery of the informer, the Court may require the production of the original complaint, if in writing, and permit inquiry and require full disclosure concerning the informer.”

[31] Kami telah berpeluang meneliti Rekod Rayuan. Kami mendapati beberapa pengusulan telah dikemukakan oleh peguam bela Perayu terpelajar terhadap saksi SP4 dan SP7 mengenai identiti dan peranan yang telah dimainkan oleh Sham yang didakwa oleh pihak pembelaan bertindak sebagai sumber dalam kes ini. Kesemua pengusulan tersebut telah dinafikan dengan keras oleh saksi-saksi pendakwaan. SP4 dan SP7 menyatakan dengan tegas bahawa butir-butir mengenai Sham yang didakwa oleh Perayu sebagai seorang pemandu lori dan tinggal di kampong yang sama dengan Perayu di Serdang, Kedah bukanlah sumber sebenar dalam kes ini. Selain itu, kami mendapati sekiranya benar Sham tinggal satu kampong dengan Perayu, kenapakah tidak ada maklumat yang lebih lengkap telah diberikan oleh Perayu kepada pihak polis. Kami mendapati tidak ada satu Notis Alcontara yang efektif telah diberikan oleh Perayu. Oleh itu, pihak polis, terutamanya SP8, tidak boleh dipersalahkan atas apa-apa kegagalan penyiasatan terhadap penama Sham tersebut.

[32] Mengenai dakwaan ketiadaan penyiasatan terhadap pemilik sebenar nombor telefon 012-5274253 dan kaitannya dengan Perayu, kami mendapati bahawa dakwaan ini adalah benar setakat tiada sebarang penyiasatan telah dilakukan oleh SP8. Ini jelas terpapar dalam keterangan SP8 yang kami petik di m/s 109-113 dan 120 Rekod Rayuan Jilid 2 semasa pemeriksaan balas dan pemeriksaan semula, seperti berikut:

“PEGUAM

:

Siasatan dalam kes ini tidak lengkap?

SAKSI (SP8)

:

Tidak mahu jawab.

PEGUAM

:

4 telefon telah diserahkan?

SAKSI (SP8)

:

Ya.

PEGUAM

:

Puan tidak tahu dari mana handphone itu dirampas?

SAKSI (SP8)

:

Ya.

PEGUAM

:

Kandungan dalam handphone itu kamu tidak siasat?

SAKSI (SP8)

:

Ya.

PEGUAM

:

Tidak buat siasatan 4 handphone ini, betul?

SAKSI (SP8)

:

Ya.

PEGUAM

:

Siasatan tidak lengkap betul?

SAKSI (SP8)

:

Setuju.

 

 

PEGUAM

:

Ada puan siasat nombor telefon 012-5274253?

SAKSI (SP8)

:

Ada.

PEGUAM

:

Maksud siasatan?

SAKSI (SP8)

:

Saya hantar surat ke telekomunikasi.

PEGUAM

:

Ada jawapan?

SAKSI (SP8)

:

Tidak ada.

PEGUAM

:

Hantar syarikat mana satu?

SAKSI (SP8)

:

Maxis.

PEGUAM

:

Bila surat ini di hantar?

SAKSI (SP8)

:

Saya tidak ingat.

PEGUAM

:

Berapa kali hubungi Maxis untuk siasatan nombor ini? Ada hantar surat susulan?

SAKSI (SP8)

:

Tidak ada.

PEGUAM

:

Bagaimana dengan 014-3330768.

SAKSI (SP8)

:

Ada.

PEGUAM

:

Tiada tindakan susulan?

SAKSI (SP8)

:

Ya.

PEGUAM

:

Tanpa siasatan ini kamu tidak tahu tuan punya handphone?

SAKSI (SP8)

:

Betul.

PEGUAM

:

Kamu tidak tahu panggilan yang dibuat?

SAKSI (SP8)

:

Betul.

PEGUAM

:

2 handphone tadi adalah handphone yang penting untuk disiasat?

SAKSI (SP8)

:

Setuju.

PEGUAM

:

Segala keterangan yang diberikan oleh Jefri ini kamu tidak dapat siasat?

SAKSI (SP8)

:

Betul.

PEGUAM

:

Siasatan ini tidak lengkap?

SAKSI (SP8)

:

Setuju.”.

Dalam pemeriksaan semula, SP8 menyatakan seperti berikut:

“TPR

:

Boleh beritahu Mahkamah siasatan ini tidak lengkap?

SAKSI (SP8)

:

Memandangkan saya tidak siasat panggilan telefon dan susulan dari syarikat telekomunikasi dan juga saya tidak merakam percakapan saksi-saksi awam yang lain semasa berada di tempat tersebut.”.

[33] Peguam bela terpelajar menghujahkan akibat ketidaksiasatan nombor telefon ‘Weng’ dan nombor telefon sumber yang telah digunakan oleh SP4, telah wujud lompang dalam kes pendakwaan menyebabkan sabitan terhadap Perayu tidak selamat dan wajar diketepikan. Dengan hormatnya, kami tidak bersetuju dengan penghujahan peguam bela terpelajar. Kami berpandangan bahawa kegagalan penyiasatan oleh SP8 terhadap aspek dua nombor telefon yang telah digunakan dalam kes ini tidak sama sekali meruntuhkan keseluruhan kes pihak pendakwaan oleh kerana terdapat keterangan lain yang mantap serta kukuh terhadap Perayu, yang pada fikiran kami, boleh menyokong sabitan terhadap Perayu.

[34] Keterangan yang diberikan oleh SP4 yang disokong oleh keterangan SP7 adalah cukup dan kredibel serta telah diterima oleh Hakim bicara dalam mensabitkan Perayu. Kami telah meneliti kembali keterangan SP4 bermula dari tarikh 17.8.2015 ketika SP4 telah berjumpa dengan Perayu (Weng) di Serdang, Kedah. SP4 telah diperkenalkan oleh sumber kepada SP4. SP4 telah mengadakan rundingan secara besemuka dengan Perayu selama lebih kurang 20 minit dan sebelum berpisah, mereka telah saling bertukar nombor telefon. SP4 yang telah memperkenalkan dirinya sebagai “Jai” telah memberikan nombor telefonnya 014-3077368 dan Perayu telah memberikan nombor telefonnya sebagai 012-5274253. Kemudiannya pada 18.8.2015, jam lebih kurang 11.30 pagi, Perayu telah menghantar pesanan ringkas kepada SP4 melalui nombor telefon yang sama dan jam lebih kurang 12.00 t/hari Perayu telah memanggil SP4 menggunakan nombor telefon yang sama. Pada 19.8.2015, Perayu juga telah menghubungi SP4 menggunakan nombor telefon yang sama. Pada hari yang sama, SP4 telah berjumpa dengan Perayu di gerai makan di tepi jalan Taman Bunga Raya, Kuala Kangsar. Perayu datang bersama dengan seorang lagi lelaki Melayu. Seterusnya pada 24.8.2015, Perayu telah menghubungi SP4 menggunakan nombor telefon yang sama. Akhirnya pada 25.8.2015, SP4 telah bertemu dengan Perayu untuk penyerahan dadah ganja yang dijanjikan untuk dibekalkan oleh Perayu.

[35] Dari turutan peristiwa yang kami paparkan di atas, jelas sekali bahawa orang yang sepanjang masa berurusan dengan SP4 untuk membekalkan dadah ganja ialah Perayu dan bukan orang yang lain. Tidak ada kekeliruan identiti ‘Weng’ atau Perayu dalam kes ini. Isu identiti sebenar Perayu tidak pernah dipertikaikan. Begitu juga tidak timbul isu siapakah pemilik nombor telefon 012-5274253 dan pemilik nombor telefon 014-3077368 dalam kes ini. Oleh itu kami mendapati kegagalan SP8 untuk menyiasat tentang siapa pemilik dua nombor telefon tersebut tidak sama sekali memprejudiskan Perayu dan tidak juga menimbulkan kegagalan keadilan terhadap Perayu dalam kes ini. Kami dengan itu menolak isu yang dibangkitkan oleh peguam bela Perayu berkaitan dengan perkara ini atas alasan ianya tidak mempunyai sebarang merit.

[36] Sekarang kami beralih kepada alasan kedua rayuan Perayu berkaitan dengan hujahan peguam bela bahawa Hakim bicara telah gagal menilai dengan secukupnya pembelaan Perayu. Teras pembelaan Perayu adalah bahawa dia ialah seorang pembawa ikhlas dan tidak mengetahui kewujudan dadah ganja yang terdapat dalam beg hitam yang Perayu bawa. Di awal Penghakiman ini, kami telah memetik dapatan dan keputusan Hakim bicara setelah membuat penilaian terhadap keterangan pembelaan Perayu. Kami mendapati aspek-aspek pembelaan Perayu telah dihargai dan dipertimbangkan oleh Hakim bicara. Oleh itu, kami tidak bersetuju dengan penghujahan peguam bela terpelajar yang mengatakan Hakim bicara telah gagal menimbang pembelaan Perayu dengan secukupnya. Tidak perlu kami rujuk semula penilaian kes pembelaan yang telah dilakukan oleh Hakim bicara dalam kes ini. Memadailah jika kami manyatakan bahawa Hakim bicara tidak tersalah arah atau telah melakukan kekhilafan dalam membuat penilaian terhadap pembelaan Perayu. Hakim bicara adalah betul dalam penghakimannya menolak pembelaan Perayu dan seterusnya telah mensabitkan Perayu dengan pertuduhan.

[37] Satu isu sampingan yang turut ditimbulkan oleh peguam bela terpelajar ialah mengenai kegagalan untuk memanggil Sham dan ASP Sufian. Mengenai Sham, kami telah bincangkan sebelum ini di awal Penghakiman ini. Mengenai ASP Sufian, penama ini telah bertindak sebagai pembeli dadah ganja bersama SP4. ASP Sufian jika dipanggil memberi keterangan sekalipun adalah sama seperti keterangan yang telah diberikan oleh SP4 dan SP7. Walaupun ASP Sufian ialah salah seorang saksi penting untuk membentangkan naratif kes pihak pendakwaan, namun keterangan ASP Sufian, jika dikemukakan, lebih kepada bersifat keterangan sokongan. Adalah menjadi undang-undang mantap bahawa keterangan seorang saksi yang kredibel dan dapat merungkaikan keseluruhan naratif kes pihak pendakwaan adalah memadai, tanpa memerlukan kepada keterangan sokongan. Jika tidak, Seksyen 134 Akta Keterangan 1950 akan menjadi sia-sia dan tidak bermakna. Seksyen 134 menyebutkan:

“Bilangan Saksi

134. Tiada bilangan tertentu bagi saksi dikehendaki dalam mana-mana kes untuk membuktikan sesuatu fakta.”

[38] Terdapat nas-nas yang menyatakan prinsip undang-undang mantap bahawa pembuktian sesuatu kes bukan bergantung kepada bilangan saksi tetapi adalah bergantung kepada kualiti saksi yang memberikan keterangan. Dalam kes Balachandran v PP [2005] 1 CLJ 85, Mahkamah telah memutuskan seperti berikut:

“Where the evidence of a witness does not require to be corroborated in law there is no obligation to tender corroborative evidence to support his testimony. Thus if the case for the prosecution rests solely on the evidence of one witness in such a category there is no requirement in law for his evidence to be corroborated. Any such requirement will conflict with s. 134 of the Evidence Act 1950 which provides that no particular number of witnesses shall in any case be required for the proof of any fact. This means that the testimony of a single witness, if believed, is sufficient to establish any fact (see Khaw Cheng Bok & Ors v. Khaw Cheng Poon & Ors [1998] 3 MLJ 457). However, the facts and circumstances of a particular case may make it desirable for his evidence to be corroborated. As Sinha J said in Vadivelu Thevar v. State of Madras AIR [1957] SC 614 at pp. 618-619:

On the consideration of the relevant authorities and the provisions of the Evidence Act, the following propositions may be safely stated as firmly established:

(1) As a general rule, a court can and may act on the testimony of a single witness though uncorroborated. One credible witnesss outweights the testimony of a number of other witnesses of indifferent character.

(2) Unless corroboration is insisted upon by statute, courts should not insist on corroboration except where the nature of the testimony of the single witness itself requires as a rule of prudence, that corroboration should be insisted upon, for example in the case of a child witness, or of a witness whose evidence is that of an accomplice or of an analogous character.

(3) Wherether corroboration of the testimony of a single witness is or is not necessary must depend upon facts and circumstances of each case and no general rule can be laid down in a matter like this and much depends upon the judicial discretion of the judge before whom the case comes.".

[39] Mahkamah ini dalam keputusan terbaru dalam kes Tan Lay Hwa v PP [2016] 1 LNS 507 melalui penghakiman Ahmadi Haji Asnawi, JCA telah menekankan prinsip yang sama seperti berikut:

“[65] Next, learned counsel submitted that several police officers were involved in the arrest of the appellant. Only PW-4 though was called to testify and the rest were offered to the defence. According to learned counsel this is not sufficient to prove possession of the said drugs upon the appellant. PW-4’s testimony needs to be corroborated by other officers who has participated in the arrest of the appellant and recovery of the incriminating exhibits.

[66] It is true that the prosecution’s case rested on the evidence of PW-4, a police witness. However, the learned judge found him to be a credible witness and believed him. As such his evidence was sufficient to establish the case for the prosecution on account that under the law, there is no requirement for his evidence to be corroborated. Any requirement for his evidence to be corroborated will infringe s. 134 of the EA, 1950, which provides that no particular number of witnesses shall in any case be required for proof of any fact.

[67] Additionally, the nature of the case herein does not fall within that category of cases where the nature of the testimony of the single witness itself requires that corroboration should be insisted upon as a rule of prudence-see Balachandran v. PP [2005] 1 CLJ 85, at p.94. That would appropriately belong to the realm of sexual offences.”.

[40] Prinsip yang sama telah turut diutarakan oleh Augustine Paul, JC (ketika itu) dalam kes Aziz bin Muhamad Din v PP [1997] 1 CLJ 523; [1996] 5 MLJ 473 seperti berikut:

“Section 134 of the Evidence Act 1950 (‘the Act’) stated that ‘no particular number of witnesses shall in any case be required for the proof of any fact’. The section enshrines the well-recognized maxim that ‘evidence has to be weighed and not counted. ”.

[41] Peguam bela terpelajar telah berpegang kepada keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Chan King Yu v PP [2009] 1 MLJ 457. Kami mendapati fakta kes dalam kes itu dengan mudah dapat dibezakan dengan fakta kes rayuan Perayu di hadapan kami. Dalam kes itu, penama Man Chai telah berada dalam pengetahuan pihak polis dari awal lagi melalui percakapan beramaran tertuduh namun Man Chai gagal disiasat serta gagal dikemukakan ke Mahkamah oleh pihak pendakwaan. Hakim bicara dan Mahkamah Rayuan juga tidak mempedulikan fakta kewujudan Man Chai dalam Penghakiman mereka. Tetapi dalam kes di hadapan kami, fakta kes pendakwaan adalah berlandaskan kepada keterangan oleh saksi polis (SP4) yang bertindak sebagai penyamar sulit. Kes pendakwaan adalah kukuh (‘water-tight’). Oleh itu, tidak timbul keperluan untuk keterangan sokongan dari ASP Sufian. Lagi pun terdapat keterangan sokongan dari saksi SP7 terhadap perkara matan (material) dalam keterangan SP4. Oleh itu isu ini juga kami dapati tidak mempunyai sebarang merit.

[42] Sekali lagi ingin kami menekankan bahawa Hakim bicara yang mendengar dan melihat SP4 memberikan keterangan telah membuat dapatan bahawa SP4 adalah seorang saksi yang kredibel dan keterangan SP4 telah diterima oleh Hakim bicara. Di m/s 31 dan 32 Rekod Rayuan Jilid 1, Hakim bicara membuat dapatan seperti berikut:

“45. The testimony of the accused persons was diametrically opposed to that of Jafri and ASP Fikri which raised the issue of credibility. In approaching issues of credibility it is always necessary to bear in mind the tests that a trier of fact should ordinarily apply when evaluating oral evidence. One of the tests is motive. The presence or absence of motive on the part of a witness is a relevant consideration which a trial court should take into account. Another material consideration are probabilities of the case. If a witness’ evidence is improbable, this would be a good reason for rejecting his evidence or according it very little weight. By the same token, where the evidence of a witness accords with the probabilits of the case, it would be a serious misdirection on the part of the trial court to give it little or no weight on grounds of credibility. See Tengku Mahmood v Public Prosecutor [1974] 1 MLJ 110 and Muniandy & Ors v Public Prosecutor [1966] 1 MLJ 257.

48. Having considered both versions, I was entirely satisfied that Jafri and that of ASP Fikri were witnesses of truth. Having seen them give their evidence, and having observed their demeanour, especially under cross-examination and having tested it aginst the totality of the evidence I was satisfied that they were telling the truth that there was a sale of drugs to Jafri. Both Jafri and ASP Fikri had no reason to falsely implicate the first accused. It was true that Jafri was an agent provocateur but the testimony of such a witness by reason of section 40A of the Act is not be presumed unworthy of credit by reason only of his having attempted to abet or abetted the commission of an offence by any person under section 39B if the attempt to abet or the abetment was for the sole purpose of securing evidence against such person, as was the case here.".

Kesimpulan

[43] Berdasarkan alasan-alasan tersebut di atas, kami dengan sebulat suara bersetuju bahawa sabitan terhadap Perayu adalah selamat dan disokong oleh keterangan yang mencukupi. Kami mendapati tiada merit dalam rayuan Perayu. Oleh itu rayuan Perayu ditolak. Sabitan dan hukuman mati atas Perayu oleh Mahkamah Tinggi disah dan dikekalkan.

Bertarikh: 10 Januari 2018.

t.t

KAMARDIN BIN HASHIM
Hakim
Mahkamah Rayuan
Malaysia

COUNSEL

Bagi Pihak Perayu: Dato’ Naran Singh, Tetuan Naran Singh & Co., No. 39, Market Street, 30000 Ipoh, Perak Darul Ridzuan

Bagi Pihak Responden: Tengku Intan Suraya bt Tengku Ismail, Timbalan Pendakwa raya, Bahagian Rayuan dan Perbicaraan, Jabatan Peguam Negara, Putrajaya

Legislation referred to:

Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen-seksyen 40, 39B(1)(a), 39B(2)

Akta Keterangan 1950, Seksyen 134 

Kanun Keseksaan, Seksyen 34

Judgments referred to:

Aziz bin Muhamad Din v PP [1997] 1 CLJ 523; [1996] 5 MLJ 473

Balachandran v PP [2005] 1 CLJ

Chai Tee Keiong v PP [2014] 2 MLJ 246

Chan King Yu v PP [2009] 1 MLJ 457

Ghasem Gharezadesharbiani Hassan v PP [2014] 1 LNS 752; [2014] 5 MLJ 433

Lee Kwan Woh v PP [2009] 5 MLJ 301

PP v Saimin & Ors [1971] 2 MLJ 16

Tan Lay Hwa v PP [2016] 1 LNS 507

Notice: The Promoters of Malaysian Judgments acknowledge the permission granted by the relevant official/ original source for the reproduction of the above/ attached materials. You shall not reproduce the above/ attached materials in whole or in part without the prior written consent of the Promoters and/or the original/ official source. Neither the Promoters nor the official/ original source will be liable for any loss, injury, claim, liability, or damage caused directly, indirectly or incidentally to errors in or omissions from the above/ attached materials. The Promoters and the official/ original source also disclaim and exclude all liabilities in respect of anything done or omitted to be done in reliance upon the whole or any part of the above/attached materials. The access to, and the use of, Malaysian Judgments and contents herein are subject to the Terms of Use.