THE OFFICIAL REPOSITORY OF
MALAYSIAN JUDGMENTS & RULINGS

[2018] MYCA 160 MALAY

Mohd Zaireen Bin Zainal v Pendakwa Raya
Suit Number: Rayuan Jenayah No. J-05(M)-311-08/2016 

Criminal law – Trafficking in dangerous drugs – Conviction – Death sentence – Appeal

Criminal law – Whether the trial court erred in finding the appellant guilty of drug trafficking where there was no evidence of trafficking – Whether the trial court failed to properly evaluate the defendant’s defense

PENGHAKIMAN

Pendahuluan

[1] Perayu telah dituduh dengan dua pertuduhan seperti berikut:

Pertuduhan (Perbicaraan Jenayah No. 45A-16-12/2014):

Bahawa kamu pada 27.8.2014, jam lebih kurang 4.30 pagi, di rumah alamat No. 49C-3, Jalan Zamrud, Taman Soga, di dalam Daerah Batu Pahat, dalam negeri Johor, telah didapati mengedar 1106.12 gram Cannabis dan dengan itu kamu telah melakukan satu kesalahan di bawah seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah seksyen 39B(2) Akta yang sama.

Pertuduhan (Perbicaraan Jenayah No. 45-10-12/2014):

Bahawa kamu pada 27.8.2014, jam lebih kurang 4.30 pagi, di rumah alamat No. 49C-3, Jalan Zamrud, Taman Soga, di dalam Daerah Batu Pahat, dalam negeri Johor, telah didapati memiliki dadah berbahaya jenis Tetrahydrocannabinol (THC) sejumlah 58.5 mililiter. Oleh yang demikian kamu telah melakukan kesalahan di bawah seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah seksyen 12(3) Akta yang sama.

[2] Kedua-dua kes dan pertuduhan telah dibicarakan secara bersama.

[3] Mahkamah Tinggi telah mendapati perayu bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan dan mensabitkan perayu. Untuk pertuduhan Perbicaraan Jenayah No. 45A-16-12/2014, perayu dijatuhkan hukuman mati. Bagi pertuduhan Perbicaraan Jenayah No. 45-10-12/2014, perayu dijatuhkan hukuman 4 tahun penjara mulai tarikh tangkap 27.8.2014.

[4] Perayu telah merayu kepada Mahkamah ini. Mahkamah ini telah mendengar rayuan perayu dan memutuskan untuk menolak rayuan perayu. Sabitan dan hukuman terhadap perayu atas kedua-dua pertuduhan oleh Mahkamah Tinggi dikekalkan. Kami kini memberikan alasan keputusan tersebut.

Kes Pendakwaan

[5] Daripada keterangan yang telah dikemukakan, intipati kes pendakwaan adalah seperti berikut. Pada 27.8.2014, jam lebih kurang 4.30 pagi, Inspektor Mohd Mokhtar bin Mohd Nor (SP5) bersama sepasukan 4 orang anggota polis dan 5 anggota Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) telah membuat serbuan ke atas rumah alamat No. 49C-3, Jalan Zamrud, Taman Soga, Batu Pahat, Johor. Setelah SP5 memperkenalkan diri sebagai polis dan mengetuk pintu rumah yang bertutup, pintu rumah telah dibuka oleh perayu. SP5 membuat pemeriksaan badan ke atas perayu. Tiada ada apa-apa barang salah dijumpai daripada badan perayu.

[6] SP5 seterusnya membuat pemeriksaan dalam rumah. Di tepi pintu cermin ruang tamu dalam rumah, SP5 menjumpai:

(a) satu piring besi warna hitam berisi serbuk tumbuhan disyaki ganja (P5A);

(b) satu botol plastik lutsinar bertutup warna biru mengandungi satu ketulan mampat tumbuhan disyaki ganja (P5B);

(c) satu balutan plastik lutsinar di dalamnya mengandungi satu mampatan tumbuhan disyaki ganja (P5E);

(d) 4 kotak kertas bertulisan Cannabinol masing-masing berisi satu botol kaca mengandungi minyak ganja lebih kurang 15ml (P5C1-4); dan

(e) 2 botol kaca yang diubahsuai disyaki alat menghisap ganja.

[7] Setelah ditanya oleh SP5 samada perayu ada menyimpan apa-apa barang lagi, perayu telah pergi ke bilik kedua dan keluar membawa satu plastik warna putih (P5D) dan menyerahkan kepada SP5. Apabila diperiksa, SP5 mendapati ianya satu balutan plastik mengandungi satu ketulan mampat tumbuhan disyaki ganja. Pemeriksaan lanjut SP5 ke atas rumah tersebut tidak menjumpai apa-apa barang salah lain. Terdapat seorang kanak-kanak (SP7), iaitu anak perayu yang sedang tidur di bilik pertama. SP5 telah membuat tangkapan ke atas perayu dan membuat laporan melalui Batu Pahat Rpt/016488/14 (P9). Satu Borang Pembongkaran dikeluarkan oleh SP5 (P8).

[8] SP5 telah membawa perayu dan barang kes ke IPD Batu Pahat dan kemudian membuat serahan perayu dan barang kes kepada pegawai penyiasat, Insp. Nor Nadiah binti Abdul Rahman (SP8). Akuan Serah Terima Barang Kes dimasuki antara SP5 dan SP8 (P14).

[9] SP8 kemudiannya telah membuat serahan barang kes kepada Jabatan Kimia Malaysia bagi dibuat analisis. Ahli Kimia, Siti Zubaidah binti Hanapi (SP6) mengesahkan tumbuhan mampat dan cecair yang telah dianalisis olehnya adalah Cannabis seberat 1106.12 gram dan cecair tersebut adalah 58.5 mililiter Tetrahydrocannabinol (THC). Cannabis adalah seperti yang disenaraikan dalam seksyen 2 ADB, manakala THC disenaraikan dalam Jadual Pertama ADB.

[10] Ahmad bin Halim (SP3) tuanpunya rumah tempat kejadian memberi keterangan bahawa rumah tersebut telah disewakan oleh SP3 kepada perayu untuk tempoh selama satu tahun mulai bulan Oktober 2013. Satu perjanjian sewaan telah dimasuki antara SP3 dan perayu (P6).

[11] Muhammad Ammar Daniel bin Mohd Zaireen (SP7) berumur 15 tahun mengatakan dia tinggal di rumah tersebut dengan perayu. Hanya mereka berdua sahaja tinggal di situ. SP7 tidak mempunyai pengetahuan tentang dadah yang dijumpai di rumah tersebut. SP7 bagaimana pun mengatakan bahawa dia pernah melihat perayu menjual minyak dalam botol kecil kepada orang yang datang ke rumah tersebut.

Dapatan Hakim Bicara Di Akhir Kes Pendakwaan

[12] Di akhir kes pendakwaan, YA Hakim bicara berpuas hati bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan semua intipati pertuduhan dan terdapat kes kes prima facie terhadap perayu atas kedua-dua pertuduhan. Perayu diperintahkan untuk membela diri.

Pembelaan Perayu

[13] Perayu telah memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah. Perayu tidak memanggil mana-mana saksi lain. Keterangan perayu (SD1) diringkaskan oleh Hakim bicara seperti berikut (muka surat 25-26 Rekod Rayuan Jilid 1):

"Kes Pembelaan

38. Keterangan tertuduh bolehlah diringkaskan seperti berikut:

- beliau tinggal di rumah tersebut sepanjang masa bersama SP7.

- beliau dan SP7 berada di rumah tersebut ketika SP5 bersama anggota serbuan datang ke rumah tersebut dan membuat pemeriksaan.

- pemeriksaan di ruang tamu rumah tersebut polis telah menjumpai Cannabis dan minyak Cannabis.

- beliau telah menyerahkan Cannabis di dalam plastik yang diambilnya dari bilik pertama kepada SP5 setelah SP5 bertanya ‘ada barang ke lagi atau tidak’. Beliau tahu kandungan dalam plastic tersebut adalah Cannabis.

- beliau memberitahu SP5 Cannabis di dalam plastik tersebut bukan kepunyaanya. Cannabis tersebut dihantar oleh Hafiz kepadanya melalui kurier.

- beliau tidak meminta Hafiz untuk menghantatr Cannabis tersebut kepadanya. Beliau tidak tahu Cannabis tersebut akan sampai dalam masa 3 hari sebelum beliau ditangkap oleh polis.

- Cannabis dan minyak Cannabis yang dijumpai oleh polis di ruang tamu rumah tersebut beliau menggunakannya untuk tujuan perubatan.

39. Seringkas-ringkasnya pembelaan tertuduh tentang Cannabis di dalam plastik tersebut adalah Cannabis tersebut bukan kepunyaannya. Cannabis tersebut dihantar oleh Hafiz kepadanya melalui kurier. Beliau tidak meminta Hafiz untuk menghantar Cannabis tersebut kepadanya. Dan pembelaan tertuduh tentang Cannabis dan minyak Cannabis yang dijumpai oleh polis di ruang tamu rumah tersebut adalah beliau menggunakannya untuk tujuan perubatan.”.

Dapatan Dan Keputusan Hakim Bicara Di Akhir Kes Pembelaan

[14] Di akhir kes pembelaan, YA Hakim bicara telah antara lain membuat dapatan berikut (muka surat 30 Rekod Rayuan Jilid 1):

"51. Saya tidak dapat menerima pembelaan tertuduh bahawa Cannabis dalam plastik tersebut dihantar oleh Hafiz. Pendakwaan telah membuktikan melampaui keraguan yang munasabah bahawa tertuduh mempunyai milikan ke atas Cannabis tersebut. Pendakwaan juga telah membuktikan melampaui keraguan yang munasabah bahawa tertuduh mempunyai pemilikan ke atas Cannabis yang dijumpai di ruang tamu rumah tersebut. Saya tidak dapat menerima pembelaan tertuduh bahawa beliau menggunakan Cannabis tersebut bagi tujuan perubatan. Tertuduh mengakui tidak ada kebenaran bertulis dari Kerajaan Malaysia yang membenarkan beliau menjalankan pengamal perubatan melalui Cannabis. Dalam keadaan keterangan pendakwaan pembelaan tertuduh tidak menimbulkan satu keraguan yang munasabah ke atas kes pendakwaan terhadap tertuduh bahawa tertuduh mempunyai milikan ke atas 1106.12 gram Cannabis tersebut. Pembelaan tertuduh juga gagal untuk mematahkan di atas imbangan kebarangkalian anggapan di bawah seksyen 37(da)(vi) ADB yang timbul terhadap tertuduh bahawa tertuduh hendaklah dianggap mengedar Cannabis tersebut. Pendakwaan telah membuktikan melampaui keraguan yang munasabah bahawa tertuduh mengedar 1106.12 gram Cannabis tersebut.”.

[15] Untuk pertuduhan memiliki 58.5 mililiter THC, dapatan YA Hakim bicara adalah seperti berikut (muka surat 28 Rekod Rayuan Jilid 1):

"44. Bagi pertuduhan memiliki, pendakwaan teleh membuktikan melampaui keraguan yang munasabah bahawa tertuduh memiliki 58.5 mililiter Tetrahydrocannabinol (THC). Saya tidak dapat menerima pembelaan tertuduh bahawa beliau menggunakan minyak Cannabis tersebut untuk tujuan perubatan dan ianya tidak menimbulkan satu keraguan yang munasabah ke atas kes pendakwaan terhadap tertuduh. Tidak ada sebarang kebenaran di bawah ADB atau peraturan-peraturan yang dibuat di bawahnya dikemukakan oleh tertuduh bahawa beliau dibenarkan untuk memiliki Tetrahydrocannabinol (TLC) tersebut. Memiliki apa-apa dadah berbahaya tanpa kebenaran adalah merupakan satu kesalahan di bawah seksyen 12(2) ADB.”.

[16] Di akhir perbicaraan, YA Hakim bicara mendapati perayu bersalah atas kedua-dua pertuduhan dan disabitkan. Perayu dihukum mati bagi kesalahan mengedar Cannabis seberat 1106.12 gram, dan 4 tahun penjara bagi kesalahan memiliki 58.5 mililiter THC.

Rayuan Perayu

[17] Peguambela terpelajar memberitahu Mahkamah bahawa perayu hanya meneruskan rayuan atas sabitan dan hukuman untuk kesalahan mengedar dadah berbahaya Cannabis seberat 1106.12 gram. Peguambela terpelajar mengemukakan dua alasan berikut dalam mencabar keputusan Hakim bicara:

(a) Hakim bicara khilaf dalam dapatan dan mensabitkan perayu sedangkan tidak ada keterangan bahawa perayu melakukan kesalahan pengedaran dadah (no evidence of trafficking);

(b) Hakim bicara khilaf apabila gagal menimbangkan keterangan pembelaan dan kes secara keseluruhan (no maximum evaluation).

Keputusan Mahkamah Ini

[18] Untuk alasan rayuan pertama, peguambela terpelajar menghujahkan tidak terdapat apa-apa aktiviti yang melihatkan perayu melakukan kesalahan mengedar dadah yang menjadi perkara pertuduhan. Peguambela berhujah bahawa melalui perenggan 24 Alasan Penghakiman di muka surat 19 Rekod Rayuan Jilid 1, Hakim bicara telah membuat dapatan bahawa perayu tidak melakukan kesalahan mengedar dadah. Dalam keadaan tersebut, peguambela berhujah bahawa perayu jika pun melakukan kesalahan, hanya kesalahan memiliki dadah berbahaya seperti dapatan Hakim bicara di perenggan 24 dan bukan mengedar dadah berbahaya. Di perenggan 24 alasan penghakiman, Hakim bicara menyatakan seperti berikut:

"24. Daripada semua keterangan yang dikemukakan oleh pendakwaan, saya mendapati tidak ada mana-mana perbuatan pengedaran Cannabis tersebut dilakukan oleh tertuduh. Pendakwaan telah gagal membuktikan tertuduh telah melakukan mana-mana perbuatan pengedaran Cannabis tersebut seperti yang ditakrifkan dalam seksyen 2 ADB. Perbuatan semata-mata menyimpan Cannabis tersebut bukanlah pengedaran (PP v Zainal Arpan Molan [2011] 6 CLJ 28; PP v Mohd Farid Mohd Sukis & Anor [2002] 8 CLJ 814).”.

[19] Kami telah menimbangkan hujahan oleh peguambela terpelajar tersebut. Kami dapati perenggan 24 alasan penghakiman tersebut lebih merujuk kepada pertimbangan keterangan oleh Hakim bicara dalam konteks sama ada perayu mengedar dadah berbahaya untuk maksud seksyen 2 ADB dalam mana Hakim bicara mendapati seksyen 2 tidak boleh digunapakai dengan keterangan yang ada. Penghakiman dan dapatan Hakim bicara hendaklah dibaca secara keseluruhan dalam memahami maksud yang hendak disampaikan oleh Hakim bicara.

[20] Setelah mendapati seksyen 2 ADB tidak terpakai dengan keterangan yang ada, Hakim bicara seterusnya menimbangkan sama ada pihak pendakwaan boleh bergantung kepada peruntukan anggapan pengedaran yang diperuntukkan di bawah seksyen 37(da)(iv) ADB. Di perenggan 25 alasan penghakiman (muka surat 20 Rekod Rayuan Jilid 1), Hakim bicara mengatakan seperti berikut:

"25. Perkara seterusnya yang perlu dipertimbangkan adalah sama ada tertuduh mempunyai milikan ke atas Cannabis tersebut untuk membolehkan anggapan pengedaran di bawah seksyen 37(da) ADB digunapakai. Bagi membuktikan pemilikan, pendakwaan perlu membuktikan tertuduh mempunyai kawalan atau jagaan ke atas Cannabis tersebut dan mempunyai pengetahuan akan kewujudan Cannabis tersebut (Chan Pean Leon v PP [1956] 22 MLJ 237; Leow Nghee Lim v PP [1956] 22 MLJ 28). Kawalan dan jagaan merujuk kepada keadaan di mana seseorang itu mempunyai kuasa untuk berurusan dengan sesuatu barang itu sebagai kepunyaannya dan bukan orang lain. Bukti pengetahuan biasanya suatu perkara inferen (Parlan bin Dadeh v PP [2008] 6 MLJ 19).”.

[21] Seterusnya di perenggan 31 dan 32 alasan penghakiman (muka surat 23 Rekod Rayuan Jilid 1), Hakim bicara membuat dapatan berikut:

"31. Bagi pertuduhan mengedar, telah dibuktikan bahawa tertuduh mempunyai pemilikan ke atas Cannabis tersebut. Berat Cannabis tersebut yang berada dalam pemilikan tertuduh adalah melebihi 200 gram maka anggapan di bawah seksyen 37(da)(iv) ADB terpakai dan bukannya seksyen 37(da)(iiia) ADB seperti yang dihujahkan oleh TPR iaitu tertuduh hendaklah dianggap mengedar Cannabis tersebut kecuali dibuktikan sebaliknya.

32. Pendakwaan telah membuktikan elemen kedua bagi pertuduhan mengedar.”.

[22] Kami dapati Hakim bicara tidak tersalah arah dalam penilaian sama ada perayu mempunyai milikan ke atas dadah tersebut dan pengetahuan ke atasnya serta penggunaan peruntukan anggapan pengedaran di bawah seksyen 37(da)(vi) ADB (Ong Ah Chuan v Public Prosecutor [1981] 1 MLJ 64). Oleh itu hujahan peguambela terpelajar dalam isu ini tidak mempunyai merit.

[23] Peguambela terpelajar selanjutnya menghujahkan tidak terdapat apa-apa perlakuan “overt act” oleh perayu yang boleh dikaitkan dengan aktiviti mengedar dadah. Maka itu, kesalahan oleh perayu, jika pun ada, adalah bagi pemilikan sahaja ke atas dadah tersebut.

[24] Mahkamah ini telah menimbangkan hujahan peguambela terpelajar tersebut. Isu sama ada perlu atau tidak keterangan bersifat “overt act” atau “conduct” dalam kes pengedaran dadah telah dibincangkan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes PP v Herlina Purnama Sari [2017] 1 MLRA 499, dalam mana YAA Raus Sharif PCA (beliau ketika itu) mengatakan di muka surat 510 seperti berikut:

“[38] With respect, the proposition that there must be in all cases an overt act in order to constitute trafficking is misconceived. It would be contrary to the definition of trafficking as provided for under s. 2 of the Act. In the present case, there is no dispute that the respondent did not try to do anything, when she was approached by PW4, to disassociate herself with the impugned drugs. In this type of situation, this court in Teh Hock Leong v PP [2008] 1 MLRA 548 had held that:

‘[5] It is our view that in order to draw a favourable inference from the appellant’s contemporaneous conduct, his action or inaction must be examined in the light of the situation at the material time. The area where the appellant was confronted by PW5 was the arrival gate of an incoming flight in the KLIA. This was the only exit point where passengers disembarking the plane can enter the KLIA terminal. It is common knowledge that the area was tight and restricted with hardly any room for the appellant to make a successful escape even if he had tried. From here the appellant was then taken by PW5 and his men to PW5’s office in the KLIA. The approximate walking distance was 600-800 metres. Here again the appellant’s chances of a quick getaway were minimal since he was escorted and was within the restricted vicinity of the KLIA building. And, if the appellant were to attempt to throw away or disassociate himself with the backpack during this entire duration described it would evidently be noticeable. Of course, since the drugs were so cunningly concealed, there could be no necessity to take such drastic actions which may attract instant suspicion. So against these circumstances, the appellant’s docile conduct throughout the period described could not have inferred an absence of knowledge of the said drugs. For this reason, there is no misdirection by the courts below.’

[39] We are of the view that whether or not a person is a trafficker within the definition of s 2 of the Act is dependent on the facts and circumstances of a given case. In this case, it is not in dispute that when the respondent was arrested she was carrying the luggage bag which amongst other things contained the impugned drugs. The respondent was apprehended in the act of carrying from one place to another a large amount of dangerous drugs. It is in evidence that the respondent was unaccompanied by any other person when she carried the luggage bag. The luggage bag was registered in the respoendent’s name when she checked in at the Air Asia check-in counter. The impugned drugs were found hidden in the two boxes. We are of the view that the manner in which the impugned drugs were concealed in the luggage bag showed showed that the respondent knew the existence of the drugs there, and evinced the intention of and careful planning by the respoendent to conceal the impugned drugs to avoid and escape detection (PP v. Abdul Rahman Akif [2007] 1 MLRA 568 and Teh Hock Leong v PP [2008] 1 MLRA 548).”.

[25] Berbalik semula kepada kes ini. Pintu rumah berkunci ketika SP5 tiba di rumah tersebut. Pintu rumah dibuka oleh perayu bagi membolehkan SP5 masuk ke dalam rumah. Dadah yang berbungkus plastik dibawa keluar daripada bilik kedua dan diserahkan sendiri oleh perayu kepada SP5. Dalam keadaan di mana SP5 dan pasukan serbuannya mengawal rumah tersebut, tidak terdapat ruang untuk perayu boleh melarikan diri. Rumah tersebut disewa oleh perayu. Perayu menduduki rumah tersebut bersama anaknya yang berumur 15 tahun (SP7). Maka, ketiadaan “overt act” atau perlakuan aktiviti pengedaran dadah oleh perayu tidak menjejaskan kes pendakwaan yang bergantung kepada peruntukan anggapan di bawah seksyen 37(da)(vi) ADB (lihat Parlan bin Dadeh v PP [2009] 1 CLJ 717). Oleh itu hujahan peguambela terpelajar tidak mempunyai merit.

[26] Oleh kerana versi pendakwaan ialah hanya perayu yang mempunyai kawalan dan jagaan ke atas dadah terlibat, maka adalah menjadi tugas pihak pendakwaan untuk mengecualikan (to exclude) terdapat orang lain mempunyai akses kepada dadah tersebut. Undang-undang adalah mantap dalam perkara ini sepertimana yang diputuskan oleh kes-kes otoriti berikut: Abdullah Zawawi bin Yusoff v Public Prosecutor [1993] 3 MLJ 1; [1993] 4 MLJ 1 SC; [1993] 1 MLRA 416, Azizan Yahaya v PP [2013] 1 MLJ 180; [2013] 2 MLRA 29, Lean Siew Boon & Anor v PP [2014] 2 MLJ 572; [2013] MLRAU 213, Ooi Chee Seong and Another v PP [2014] 3 MLJ 593; [2014] MLRAU 120; [2014] 7 CLJ 505, Mazlaini Mansor v PP [2014] 2 MLJ 18; [2013] MLRAU 120, Ang Kian Chai v PP & Anor Appeal [2012] MLRA 456; [2012] MLJU 158 CA, Pang Chee Meng v Public Prosecutor [1992] 1 MLJ 137, Ibrahim Mohamad & Anor v PP [2011] 1 MLJU 149; [2011] 4 CLJ 113 FC; PP v Dennish Madhavan [2009] 2 CLJ 209 FC. Melalui keterangan SP3, SP7 dan SP5, pihak pendakwaan telah membuktikan bahawa hanya perayu yang mempunyai kawalan dan jagaan ke atas dadah tersebut serta pengetahuan ke atasnya. Kami bersetuju dengan dapatan oleh Hakim bicara tersebut.

[27] Untuk memperolehi pelepasan dan pembebasan, perayu tidak perlu meyakinkan mahkamah bahawa keterangan perayu adalah lebih dipercayai dari keterangan pihak pendakwaan. Walaupun mahkamah tidak mempercayai pembelaan perayu, tetapi jika pembelaan itu menimbulkan keraguan yang munasabah ia sudah memadai untuk membolehkan perayu dilepas dan dibebaskan (Mat v Public Prosecutor [1963] MLJ 263, PP v Saimin & Ors v PP [1971] 2 MLJ 16, Balachandran v Public Prosecutor [2005] 1 CLJ 85).

[28] Ini membawa kami kepada alasan rayuan kedua yang dihujahkan oleh peguambela terpelajar bahawa Hakim bicara telah gagal membuat pertimbangan ke atas pembelaan perayu dan keseluruhan keterangan kes. Kami dapati Hakim bicara telah menimbangkan pembelaan perayu seperti yang dapat dilihat di perenggan 38 hingga 51 alasan penghakiman (muka surat 25-31 Rekod Rayuan Jilid 1). Kami dapati Hakim bicara juga di perenggan-perenggan tersebut telah menimbang keseluruhan keterangan kes pembelaan bersama dengan keterangan kes pendakwaan sebelum mensabitkan perayu. Hakim bicara telah menolak pembelaan perayu berkaitan dengan watak Hafiz sebagai watak yang tidak wujud. Hakim bicara membuat dapatan bahawa pembelaan perayu hanya merupakan penafian dan watak Hafiz yang disebutkan oleh perayu tidak pernah diberitahu kepada pihak polis. Kami dapati Hakim bicara telah dengan terperinci menimbangkan keseluruhan kes dan peruntukan seksyen 182A Kanun Prosedur Jenayah telah dipatuhi. Malahan Hakim bicara di perenggan 40 alasan penghakiman beliau (muka surat 26 Rekod Rayuan Jilid 1) telah mengingati diri beliau atas keperluan mematuhi seksyen 182A tersebut. Oleh itu hujahan peguambela terpelajar tidak mempunyai merit.

[29] Adalah prinsip undang-undang mantap bahawa mahkamah pada peringkat rayuan menahan diri dan perlahan dalam mengubah dapatan fakta oleh Hakim bicara yang mempunyai peluang mendengar serta melihat saksi-saksi memberi keterangan dalam menilai kredibiliti dan keterangan yang terdapat di hadapannya.

Kesimpulan

[30] Berdasarkan alasan-alasan yang telah kami huraikan, Mahkamah ini mendapati YA Hakim bicara telah mengarahkan dirinya dengan betul terhadap undang-undang yang terpakai dan telah meneliti keseluruhan keterangan yang dikemukakan dalam kes ini dalam membuat dapatan ke atasnya. Keterangan kes adalah kukuh dan mencukupi. Tidak terdapat sebarang alasan atau merit untuk Mahkamah ini mengganggui keputusan Hakim bicara tersebut. Sabitan terhadap perayu adalah selamat.

[31] Justeru, Mahkamah ini menolak rayuan perayu dan mengekalkan sabitan dan hukuman oleh Mahkamah Tinggi.

t.t.

YAACOB BIN HAJI MD SAM
Hakim
Mahkamah Rayuan Malaysia

Bertarikh: 22 Mei 2018

COUNSEL

Peguamcara bagi pihak Perayu: Kitson Foong, Messrs. Kit & Associates, Peguambela dan Peguamcara, Suite 195-1, Sri Wangsaria, Jalan Ara, Bangsar Baru, 59100 Kuala Lumpur

Peguamcara bagi pihak Responden: Nurshafini Mustafha, Timbalan Pendakwa Raya, Jabatan Peguam Negara, Bahagian Perbicaraan & Rayuan, Aras 5, No. 45, Lot 4G7, Presint 4, Persiaran Perdana, 62100 Putrajaya

Legislation referred to:

Akta Dadah Berbahaya 1952, Jadual Pertama; Seksyen-seksyen 2, 12(2), 12(3), 37(da)(iv), 37(da)(vi), 39B(1)(a), 39B(2)

Kanun Prosedur Jenayah, Seksyen 182A

Judgments referred to:

Abdullah Zawawi bin Yusoff v Public Prosecutor [1993] 3 MLJ 1; [1993] 4 MLJ 1 SC; [1993] 1 MLRA 416

Ang Kian Chai v PP & Anor Appeal [2012] MLRA 456; [2012] MLJU 158 CA

Azizan Yahaya v PP [2013] 1 MLJ 180; [2013] 2 MLRA 29

Ibrahim Mohamad & Anor v PP [2011] 1 MLJU 149; [2011] 4 CLJ 113 FC

Lean Siew Boon & Anor v PP [2014] 2 MLJ 572; [2013] MLRAU 213

Mat v Public Prosecutor [1963] MLJ 263

Mazlaini Mansor v PP [2014] 2 MLJ 18; [2013] MLRAU 120

Ong Ah Chuan v Public Prosecutor [1981] 1 MLJ 64

Ooi Chee Seong and Another v PP [2014] 3 MLJ 593; [2014] MLRAU 120; [2014] 7 CLJ 505

Pang Chee Meng v Public Prosecutor [1992] 1 MLJ 137

Parlan bin Dadeh v PP [2009] 1 CLJ 717

PP v Dennish Madhavan [2009] 2 CLJ 209 FC

PP v Herlina Purnama Sari [2017] 1 MLRA 499

Notice: The Promoters of Malaysian Judgments acknowledge the permission granted by the relevant official/ original source for the reproduction of the above/ attached materials. You shall not reproduce the above/ attached materials in whole or in part without the prior written consent of the Promoters and/or the original/ official source. Neither the Promoters nor the official/ original source will be liable for any loss, injury, claim, liability, or damage caused directly, indirectly or incidentally to errors in or omissions from the above/ attached materials. The Promoters and the official/ original source also disclaim and exclude all liabilities in respect of anything done or omitted to be done in reliance upon the whole or any part of the above/attached materials. The access to, and the use of, Malaysian Judgments and contents herein are subject to the Terms of Use.