THE OFFICIAL REPOSITORY OF
MALAYSIAN JUDGMENTS & RULINGS

[2018] MYCA 89 MALAY

Mohd Tahir Bahtiar and Another v Pendakwa Raya
Suit Number: Rayuan Jenayah No. J-05(H)-19-01/2017 (IDN) & J-05(H)-21-01/2017 (IDN)  

PENGHAKIMAN

Latarbelakang Perbicaraan

[1] Mohd Tahir Bahtiar (“Perayu Pertama”) dan Hardi Banggulung (“Perayu Kedua”) telah dibicarakan di Mahkamah Tinggi Johor Bahru, dengan niat bersama, telah menjalankan penyeludupan migran seramai tujuh belas (17) orang warganegara Indonesia, iaitu suatu kesalahan di bawah seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (“Akta 670”) yang boleh dihukum di bawah seksyen yang sama Akta 670 dan dibaca bersama dengan seksyen 34 Kanun Kesiksaan.

[2] Seorang lagi yang dibicarakan bersama-sama dengan Perayu-Perayu ialah Syukir bin Mail. Dia dituduh terlibat dalam pengangkutan seramai tujuh belas (17) orang migran yang menjadi hal perkara pertuduhan yang dihadapi oleh Perayu-Perayu, iaitu suatu kesalahan di bawah seksyen 26J Akta 670 yang boleh dihukum di bawah seksyen yang sama Akta 670.

[3] Di akhir perbicaraan, Yang Arif Hakim Bicara (“Hakim Bicara”) mendapati bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kesnya terhadap kedua-dua Perayu dengan kesalahan di bawah seksyen 26A dan terhadap Syukir bin Mail di bawah seksyen 26J Akta 670, masing-masingnya.

[4] Hakim Bicara telah mensabitkan mereka dengan kesalahan-kesalahan tersebut dan menjatuhkan hukuman seperti berikut-

(a) Perayu Pertama dan Perayu Kedua

- Sepuluh (10) tahun pemenjaraan yang berkuatkuasa dari tarikh mereka ditangkap (3.7.2015).

(b) Syukir bin Mail

- 3 (tiga) tahun pemenjaraan yang berkuatkuasa dari tarikh dia ditangkap (3.7.2015).

[5] Terkilan dengan hukuman yang dijatuhkan oleh Hakim Bicara, Perayu-Perayu telah merayu ke Mahkamah ini terhadap hukuman sahaja. Manakala Syukir bin Mail pula tidak mengemukakan apa-apa rayuan, termasuklah rayuan terhadap hukuman.

Pertuduhan Pindaan

[6] Pertuduhan pindaan yang dikemukakan terhadap Perayu-Perayu adalah seperti berikut:-

“Bahawa kamu Muhammad Tahir bin Bahtiar dan Hardi Banggulung pada 03.07.2015, jam lebih kurang 10.55 pagi di Hentian sebelah Kulaijaya (Arah Selatan), Kulaijaya, Johor, dengan niat bersama, telah menjalankan penyeludupan migran seramai tujuh belas (17) orang warganegara Indonesia (nama-nama seperti di lampiran). Dengan ini kamu telah melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama dalam akta yang sama dan dibaca bersama di bawah Seksyen 34 Kanun Keseksaan.”.

Hukuman:

Seksyen 26A: Mana-mana orang yang menjalankan penyeludupan migran melakukan suatu kesalahan dan hendaklah, apabila disabitkan, dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh tidak melebihi lima belas tahun, dan boleh juga dikenakan denda, atau kedua-duanya.

LAMPIRAN

BIL. NAMA WARGANEGARA NO. PASPORT
B1 Usman Indonesia A8298667
B2 Abbas Ismail Indonesia A5701469
B3 Naharuddin La Sali Indonesia A8646908
B4 Haris Lasen Indonesia W008567
B5 Muhamad Yusup Abd Kadir Indonesia V839076
B6 Muhammad Nasir Indonesia V070273
B7 Fitri Ramli Indonesia A6733415
B8 Darmi Sahau Indonesia U800052
B9 Nursang Usman Indonesia A5919197
B10 Surianti Abdul Karim Indonesia A0961770
B11 Ahmad Nabiel Maddawali Indonesia A6733378
B12 Saharuddin Indonesia A4353056
B13 Ismail Lahajji Indonesia TIADA
B14 Sultan Indonesia TIADA
B15 Adi Basir Indonesia AR710229
B16 Yunus Indonesia TIADA
B17 Napa Pengu Indonesia A5919633


Fakta Ringkas Kes

[7] Bagi tujuan rayuan ini, fakta kes bolehlah diringkaskan seperti berikut-

7.1 Pada 3.7.2015, lebih kurang jam 9.00 pagi, SP7 (TPPI Rashiddin bin Rahmat) bersama anggota operasi telah ke tempat kejadian iaitu Hentian sebelah Kulaijaya (Arah Selatan) dan telah tiba di sana pada pukul 9.40 pagi. SP7 kemudiannya telah mengarahkan SP8 (Azmin bin Said) untuk memberhentikan dan meletakkan kenderaan di bahu jalan susur keluar PLUS sebelum masuk ke lebuh raya seperti mana yang telah ditaklimatkan.

7.2 Pada jam 10.30 pagi, kelihatan sebuah bas ekspres berwarna hijau “Kwok Ping Ekspres” dengan nombor pendaftaran BDL 1888 melepasi dan memotong kenderaan yang dinaiki oleh SP7. SP7 mengekori bas tersebut sambil memaklumkan kepada anggotanya supaya bersiap sedia melalui walkie talkie.

7.3 Pada jam 10.40 pagi, bas tersebut tiba di tempat kejadian dan parkir di bahu jalan tempat meletak kenderaan berat (lori dan bas).

7.4 SP7 dan SP8 telah membuat pengawasan dan pemerhatian selama lebih kurang 5 minit. Hasil pemerhatian, mereka mendapati bahawa terdapat beberapa orang sedang berbual-bual sesama sendiri dan kelihatan seseorang yang mengarahkan penumpang-penumpang yang baru turun daripada bas ekspres tersebut untuk terus menaiki kereta Kenari berwarna kuning dan sebuah teksi eksekutif berwarna biru yang sedia menunggu di hadapan bas tersebut.

7.5 Lebih kurang jam 10.55 pagi, SP7 dan anggota serbuan telah membuat serbuan dan pemeriksaan kesemua penumpang bas, penumpang yang berada di dalam kenderaan serta sekumpulan orang yang berada berdekatan dengan semua kenderaan yang terbabit. Hasil serbuan telah membawa kepada penangkapan dua puluh dua (22) orang iaitu terdiri daripada sembilan belas (19) orang warganegara Indonesia, dua (2) orang warganegara Malaysia, dan seorang (1) warganegara Indonesia bertaraf penduduk tetap Malaysia.

7.6 Kesemua mereka yang ditangkap kemudiannya telah diserahkan kepada Pegawai Penyiasat, TPPI Tantyanis Mohd Yaakob, (SP13) untuk tindakan selanjutnya.

7.7 Hasil siasatan dijalankan oleh SP13 mendapati bahawa-

Bil Nama Warganegara Tangkapan
1 B1-Usman Indonesia B1-B5 ditahan di dalam kereta Kenari. Turut ditahan ialah pemandu Kenari B20. B20 tidak ditahan dan dia dibebaskan
2 B2-Abbas Ismail Indonesia
3 B3-Naharuddin La Sali Indonesia
4 B4-Haris Lasen Indonesia
5 B5-Muhamad Yusup Abd Kadir Indonesia
6 B6-Muhammad Nasir Indonesia B6-B11 ditahan di dalam teksi eksekutif berwarna biru. Turut ditahan ialah pemandu teksi, B21. B21 tidak dituduh di mahkamah dan dibebaskan.
7 B7-Fitri Ramli Indonesia
8 B8-Darmi Sahau Indonesia
9 B9-Nursang Usman Indonesia
10 B10-Surianti Abdul Karim Indonesia
11 B11-Ahmad Nabiel Maddawali Indonesia
12 B12-Saharuddin Indonesia B12-B17 ditahan di dalam bas ekspres. Turut ditahan ialah pemandu bas iaitu B22. B22 dituduh di bawah s 26J Akta 670 (Syukir bin Mail).
13 B13-Ismail Lahajji Indonesia
14 B14-Sultan Indonesia
15 B15-Adi Basir Indonesia
16 B16-Yunus Indonesia
17 B17-Napa Pengu Indonesia
18 B18-Mohd Tahir Bahtiar Indonesia B18 dan B19 ditangkap di hadapan kereta Kenari dan teksi eksekutif. B18 dan B19 pula ditangkap dalam kes ini dituduh di bawah s 26A Akta 670, iaitu Perayu Pertama dan Perayu Kedua.
19 B19-Hardi Banggulung Indonesia
Turut ditangkap:
Bil Nama Warganegara Tangkapan
20 B20: Azman bin Mansor Malaysia Pemandu kereta Kenari.
21 B21: Mohd Ali Hanafiah bin Mat Noor Malaysia Pemandu teksi eksekutif
22 B22: Syukir bin Mail Malaysia-berstatus penduduk tetap Pemandu bas


7.8 Dalam memutuskan bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kesnya tanpa keraguan yang munasabah terhadap Perayu-Perayu, Hakim bicara memberikan alasan-alasan, antara lain, yang berikut-

(i) Keterangan SP1-SP6 jelas menunjukkan Perayu Pertama dan Perayu Kedua telah menjalankan penyeludupan migran. SP1-SP6 menyatakan terdapat perjumpaan antara Perayu Kedua dan mereka. Pembayaran telah dibuat sebelum mereka berlepas atau semasa mereka berada di dalam bas.

(ii) Migran-migran ini berhasrat untuk keluar secara tidak sah dari Malaysia ke negara asal mereka. Maklumat yang diperoleh daripada migran-migran ini menunjukkan mereka bertolak dari Klang dengan menaiki bas nombor pendaftaran BLD 1888.

(iii) Melihat kepada perjalanan yang diatur dan bagaimana migran-migran dikumpulkan, diarahkan menaiki bas dan kemudiannya diarahkan menaiki kenderaan yang sedia menunggu (kereta Kenari dan teksi eksekutif), jelas menunjukkan bahawa Perayu Pertama dan Perayu Kedua mengetahui bahawa migran-migran tersebut tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan pengaturan perjalanan pulang migran dibuat melalui jalan yang tidak sah.

(iv) Perbuatan Perayu Pertama dan Perayu Kedua adalah tergolong dalam takrifan “penyeludupan” di bawah seksyen 2 Akta 670.

(v) Mengenai niat bersama pula, peranan yang dimainkan oleh Perayu Pertama dan Perayu Kedua membuktikan bahawa mereka telah bekerjasama, mempunyai peranan dan tugas masing-masing untuk melancarkan pengurusan migran pulang secara haram. Oleh itu, seksyen 34 Kanun Keseksaan telah dibuktikan.

7.9 Hakim Bicara telah memutuskan pembelaan-pembelaan Perayu Pertama dan Perayu Kedua telah gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pihak pendakwaan.

Hukuman

[8] Dalam menjatuhkan hukuman sepuluh (10) tahun pemenjaraan terhadap Perayu-Perayu, Hakim Bicara menyatakan di muka surat 17-­18, RR, Jilid I-

“... In this respect, the Court was of the considered opinion that it is the duty of the Court to impose a deterrent sentence on the accused as the act of trafficking in persons by recruiting, transporting, transferring by a conveyance is a serious offence. It could affect the security of the country if not checked. It is a serious offence as no bail could be granted unless it falls under any of 3 exceptions only.

The Court considered the mitigation by learned counsel and the reply by the learned deputy, and imposed a term of imprisonment of 10 years on each of the accused from the date of arrest for an offence under Section 26A ATIPSM as fair and just. The sentence of imprisonment was imposed after a full trial has taken place...”.

[9] Dalam mencabar hukuman yang dijatuhkan oleh Hakim Bicara terhadap Perayu-Perayu, Peguam bela terpelajar mengemukakan alasan-alasan berikut-

(a) Perayu-perayu ialah pesalah pertama yang tidak pernah terlibat dengan apa-apa kes jenayah sebelum ini.

(b) Sepanjang Perayu-Perayu berada di negara ini, mereka bekerja secara sah dan tidak pernah terlibat dengan apa-apa kesalahan.

(c) Sebagai pesalah-pesalah pertama, Mahkamah seharusnya memberikan pertimbangan kepada fakta ini dan menjatuhkan hukuman yang lebih ringan. Kepentingan fakta bahawa Perayu ialah pesalah pertama telah dinyatakan dalam kes Public Prosecutor v Jafa bin Daud [1981] 1 MLJ 315-

“In assessing sentence, one of the main factors to be considered is whether the convicted person is a first offender.”.

(d) Menjatuhkan hukuman pemenjaraan yang terlalu lama ke atas Perayu-Perayu akan merugikan negara kerana kos yang terpaksa ditanggung untuk menyara kehidupan mereka di dalam penjara adalah tinggi. Mengikut akhbar Utusan Malaysia bertarikh 18 Jun 2013, kos perbelanjaan seorang banduan di dalam negara ini ialah RM35.00 sehari. Sekiranya Perayu-Perayu ini menjalani hukuman selama 10 tahun, kos perbelanjaan mereka di dalam penjara yang terpaksa ditanggung oleh Kerajaan ialah RM255,500.00. Ini adalah satu kerugian besar kepada negara. Wang hasil negara ini sebaliknya boleh disalurkan untuk faedah masyarakat. Peguam bela terpelajar merujuk kepada kes Sumirah v Pendakwa Raya [2016] MLJU 1297, di mana mahkamah menyatakan-

“However, in addition, this Court is convinced that the interest of the public must also include the consideration of the costs that our country has to bear to maintain the Appellant in the prison as such expenses were derived from the public fund. Such public fund could be put to better use for the country instead of being spent on the maintenance of the foreign prisoners in the prison.

(Penekanan ditambah).

[10] Dalam hujahan jawapannya, Timbalan Pendakwa Raya terpelajar menyatakan-

(a) Kesalahan di bawah seksyen 26A Akta 670 ialah suatu kesalahan yang berada dalam Bahagian IIIA Akta 670 yang juga telah dimasukkan dalam Jadual Pertama Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747) (“SOSMA”) menurut seksyen 3 Akta 747;

(b) Kes-kes penyeludupan migran amat berleluasa. Kemasukan migran haram ke negara ini telah menimbulkan pelbagai masalah, terutamanya peningkatan kes-kes jenayah dan masalah sosial. Malaysia berada dalam kumpulan kedua senarai negara yang dipantau (Tier 2 Watch List) mengikut laporan US Department of State’s Trafficking In Persons (TIP) Report.

(c) Kedua-dua Perayu telah memainkan peranan aktif dalam mengatur, mengurus, merancang dan/atau memudahkan perjalanan pulang seramai tujuh belas (17) orang migran dengan cara yang tidak sah;

(d) Empat belas (14) orang daripada migran yang ditahan di dalam kenderaan telah ‘overstay’ dan tiga (3) daripada mereka tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah;

(e) Dalam kes ini, Perayu-Perayu telah dibicarakan dan seramai tiga belas (13) orang saksi pendakwaan telah memberikan keterangan.

(f) Hukuman penjara sepuluh (10) tahun pemenjaraan yang telah dijatuhkan ke atas Perayu-Perayu adalah setimpal dengan keseriusan kesalahan yang mereka lakukan.

(g) Hukuman yang dijatuhkan adalah selari dengan trend hukuman yang dijatuhkan oleh mahkamah berhubung dengan kesalahan di bawah seksyen 26A Akta 670.

Keputusan Mahkamah ini

[11] Kami memulakan perbincangan rayuan ini dengan memetik ungkapan daripada kes R v James Hency Sargeant [1974] 60 Cr. App. R74 di muka surat [77]-

“[The] classical principles [of sentencing] are summed up in four words: retribution, deterrence, prevention and rehabilitation. Any judge who comes to sentence ought always to have those four classical principles in mind and to apply them to the facts of the case to see which of them has the greatest importance in the case with which he is dealing.”.

[12] Keempat-empat prinsip penghukuman klasik di atas nampaknya mudah tetapi cabaran yang perlu dihadapi Mahkamah adalah untuk menentukan mana satu daripada prinsip-prinsip tersebut sesuai dan wajar untuk dipakai dalam sesuatu kes agar hukuman yang dijatuhkan berpadanan dengan kesalahan yang dilakukan, adil dan saksama.

[13] Walau apapun juga, satu perkara adalah jelas-terdapat dimensi umum (public dimension”) dalam penghukuman. Sebagaimana yang dibuat pemerhatian oleh Lord Bingham CJ dalam kes R v Howells [1999] 1 All ER 50 di muka surat [54]-

“Courts should always bear in mind that criminal sentences were in almost every case intended to protect the public, whether by punishing the offender or reforming him, or by deterring him and others, or by all of these things. Courts cannot and should not be unmindful of the important public dimension of criminal sentencing and the importance of maintaining public confidence in the sentencing system.”.

[14] Dalam nada yang sama, Hilbery J berkata dalam kes tersohor, R v Ball [1951] 35 Cr. App. R 164-

“In deciding the appropriate sentence, a court should always be guided by certain considerations. The first and foremost is the public interest. The criminal law is publicly enforced, not only with the object of punishing crime, but also in the hope of preventing it. A proper sentence, passed in public, serves the public interest in two ways. It may deter others who might be tempted to try crime as seeming to offer easy money on the supposition, that if the offender is caught and brought to justice, the punishment will be negligible. Such a sentence may also deter the particular criminal from committing a crime again, or induce him to turn from a criminal to an honest life. The public interest is indeed served, and best served, if the offender is induced to turn from criminal ways to honest life.”.

[15] Dalam kes R v Downey [2010] OJ No. 1038 ONSC 1531, Mahkamah Kanada berkata di perenggan 29-

“General and specific deterrence are fundamental sentencing goals that are generally common to virtually all sentences imposed by our courts. A sentence must send a strong and clear message to other like-minded individuals who may be inclined to engage in conduct similar to that of the offender. The offender must also understand that a repetition of his conduct will draw a similar or even harsher penalty. Again, this objective is achieved by the duration of the sentence imposed.”.

[16] Dalam konteks kes-kes penyeludupan migran, keperluan untuk menjatuhkan hukuman yang mempunyai kesan pencegahan menjadi lebih penting untuk menentukan sempadan negara tidak dibolosi, memelihara reputasi negara di peringkat antarabangsa dan mencegah anasir-anasir subversif dan penjenayah-penjenayah melakukan aktiviti-aktiviti rentas sempadan (“cross-border") yang boleh memudaratkan dan mengancam keselamatan dan keamanan negara.

[17] Pada hemat kami, berdasarkan fakta dan keadaan yang wujud dalam kes ini, hukuman yang telah dijatuhkan oleh Hakim Bicara adalah berpadanan, setimpal dan saksama berdasarkan alasan-alasan yang berikut-

(a) tidak terdapat apa-apa faktor peringanan (mitigating factors") yang berpihak kepada Perayu-Perayu selain daripada faktor bahawa mereka ialah pesalah-pesalah pertama;

(b) Perayu-Perayu tidak mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dihadapkan terhadap mereka. Satu perbicaraan penuh telah dijalankan dan seramai tiga belas (13) orang saksi telah memberikan keterangan. Ini merupakan satu indikasi bahawa Perayu-Perayu tidak menyesal atas kesalahan yang mereka lakukan. Adalah satu amalan yang diterima bahawa pengakuan bersalah pada peluang terawal merupakan satu ekspresi penyesalan terhadap kesalahan yang dilakukan dan boleh diambilkira sebagai satu faktor peringanan (“mitigating factor for sentencing”).

(c) Kesalahan yang dilakukan oleh Perayu-Perayu telah didorong oleh perasaan tamak dan haluba untuk mendapatkan keuntungan kewangan (“offence was motivated by financial or material gain"). Ini merupakan faktor pemberatan (“aggravating factor”) yang mewajarkan hukuman berat dijatuhkan oleh mahkamah. Keterangan menunjukkan bahawa bayaran telah dikenakan kepada migran-migran tersebut.

(d) Kesalahan bukan dilakukan “on the spur of the moment”, misalnya untuk mengelakkan apa-apa bencana tubuh atau mudarat kepada migran-migran. Kesalahan ini telah dirancang secara rapi dan tersusun di mana terdapat perjumpaan antara Perayu Kedua dengan migran-migran dan mereka diarahkan menukar bas di Klang dan apabila sampai di tempat kejadian, telah tersedia kereta Kenari dan teksi eksekutif untuk mengangkut mereka ke destinasi yang ditetapkan. Operasi penyeludupan yang dilakukan oleh Perayu-Perayu adalah well-organised.

[18] Prinsip yang mengawal mahkamah yang mendengar rayuan terhadap hukuman yang dijatuhkan oleh mahkamah bawahan adalah mantap-mahkamah rayuan tidak mempunyai budi bicara yang tidak terbatas (unfettered discretion”) untuk mengulang kaji hukuman yang dijatuhkan oleh mahkamah bawahan. Skop untuk campur tangan oleh mahkamah yang mendengar rayuan adalah terhad kerana penghukuman adalah sebahagian besarnya merupakan budi bicara kehakiman yang memerlukan a fine balancing of myriad considerations”. Justeru, terdapat ruang bagi orang yang munasabah untuk mempunyai pendapat yang berbeza. Oleh sebab itu, prerogatif mahkamah yang mendengar rayuan untuk mengubah hukuman dibatasi oleh keperluan untuk memberikan penghormatan (“deference”) kepada budi bicara Hakim Bicara dalam menjatuhkan hukuman.

[19] Pada lazimnya, mahkamah yang mendengar rayuan akan mengubah hukuman yang dijatuhkan oleh Hakim Bicara sekiranya dapat ditunjukkan bahawa hukuman tersebut adalah terlalu berat atau terlalu ringan/ tidak mencukupi. Justeru, sesuatu hukuman yang dijatuhkan oleh Hakim Bicara tidak akan diubah semata-mata kerana hukuman itu berat atau ringan tetapi hendaklah terlalu berat (“manifestly excessive”) atau terlalu ringan (“manifestly inadequate”). Batas sempadan (“threshold”) untuk dipenuhi adalah tinggi sebelum campur tangan dapat dilakukan.

[20] Berdasarkan alasan-alasan di atas, kami berpendapat bahawa Perayu-Perayu telah gagal untuk menunjukkan bahawa hukuman yang telah dijatuhkan terhadap mereka oleh Hakim Bicara adalah terlalu berat dan wajar diganggu.

Kesimpulan

[21] Kami tidak mendapati apa-apa alasan kukuh untuk mencampuri hukuman yang telah dijatuhkan oleh Hakim Bicara. Hukuman tersebut pada hemat kami adalah wajar, saksama, adil dan berpadanan dengan kesalahan yang dilakukan berdasarkan fakta dan keadaan yang wujud dalam kes ini.

[22] Natijahnya, kami dengan sebulat suara menolak rayuan Perayu-Perayu dan mengekalkan hukuman yang dijatuhkan oleh Hakim Bicara.

Bertarikh: 19 Mac 2018

t.t.

DATO’ SETIA MOHD ZAWAWI SALLEH
Hakim
Mahkamah Rayuan
Malaysia

COUNSEL

Peguamcara Perayu-Perayu: Mohd Fazaly Ali bin Mohd Ghazaly, Tetuan The Law Chambers of Fazaly Ali, No. 24A, Tingkat 1, Jalan Camar 1, Taman Perling, Tampoi, Johor Bahru, Johor

Peguamcara Responden: Nadia Naim Mohd Tajuddin, Timbalan Pendakwa Raya, Bahagian Perbicaraan dan Rayuan, Aras 5, Jabatan Peguam Negara, No. 45, Blok 4G7, Persiaran Perdana, Presint 4, 62100 Putrajaya

Legislation referred to:

Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007, Seksyen-seksyen 2, 26A, 26J, Bahagian IIIA

Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012, Seksyen 3, Jadual Pertama

Kanun Keseksaan, Seksyen 34

Judgments referred to:

Public Prosecutor v Jafa bin Daud [1981] 1 MLJ 315

R v Ball [1951] 35 Cr. App. R 164

R v Downey [2010] OJ No. 1038 ONSC 1531

R v Howells [1999] 1 All ER 50

R v James Hency Sargeant [1974] 60 Cr. App. R74

Sumirah v Pendakwa Raya [2016] MLJU 1297

Notice: The Promoters of Malaysian Judgments acknowledge the permission granted by the relevant official/ original source for the reproduction of the above/ attached materials. You shall not reproduce the above/ attached materials in whole or in part without the prior written consent of the Promoters and/or the original/ official source. Neither the Promoters nor the official/ original source will be liable for any loss, injury, claim, liability, or damage caused directly, indirectly or incidentally to errors in or omissions from the above/ attached materials. The Promoters and the official/ original source also disclaim and exclude all liabilities in respect of anything done or omitted to be done in reliance upon the whole or any part of the above/attached materials. The access to, and the use of, Malaysian Judgments and contents herein are subject to the Terms of Use.