THE OFFICIAL REPOSITORY OF
MALAYSIAN JUDGMENTS & RULINGS

[2018] MYCA 227 MALAY

Mohan A/L Lachumanan v Timbalan Pengerusi Lembaga Pencegahan Jenayah and 2 Others
Suit Number: Rayuan Sivil No. C-01[A]-53-02/2017 

Administrative law – Judicial review against the decision of the Criminal Prevention Board – Whether there was non-compliance of procedures under section 9 and section 6 of the Prevention of Crime Act 1959 – Whether there was a contravention of the provisions of section 7 of the Prevention of Crime Act 1959 – Whether non-compliance of procedures raised in the affidavit of the applicant

PENGHAKIMAN

[1] Rayuan ini berbangkit daripada keputusan Mahkamah Tinggi Temerloh yang telah menolak permohonan Semakan Kehakiman perayu di sini yang tidak berpuashati terhadap keputusan Lembaga Pencegahan Jenayah (LPJ) yang menempatkannya di Mukim Semantan Hulu, Daerah Raub, Pahang untuk tempoh 4 tahun bermula dari 26.11.2015 di bawah seksyen 15 Akta Pencegahan Jenayah 1959 (Akta 297).

[2] Setelah meneliti kertas-kertas kausa dan hujahan-hujahan yang dikemukakan oleh pihak-pihak secara lisan dan bertulis, kami memutuskan untuk menolak rayuan ini. Di sini kami menurunkan alasan-alasan kami dalam memutuskan yang sedemikian.

FAKTA RINGKAS

[3] Perayu telah ditangkap pada 29.9.2015 dan direman untuk tempoh sehingga 20.10.2015, iaitu, pada mulanya untuk tempoh 21 hari di bawah seksyen 4(1)(a) Akta 297; namun sebelum tempoh 21 hari itu tamat, beliau telah pada 20.10.2015 dibawa semula ke hadapan majistret dan ditahan reman untuk tempoh 38 hari lagi di bawah seksyen 4(2)(a) Akta yang sama.

[4] Pada hari yang sama iaitu 20.10.2015, Pegawai Inkuiri telah menemui dan memaklumkan tarikh inkuiri yang akan dijalankan di bawah seksyen 6 Akta 297. Inkuiri itu telah pun disempurnakan pada 3.11.2015.

[5] Selesai inkuiri, Pegawai Inkuiri telah menyediakan satu Dapatan di bawah Seksyen 10(2) Akta 297 bertarikh 9.11.2015 yang menyatakan bahawa perayu adalah seseorang yang namanya boleh dimasukkan ke dalam Daftar. Dapatan tersebut bersama-sama Borang I telah diserahkan kepada perayu oleh Inspektor Polis Yeap Heng Kian pada 10.11.2015 dan perayu telah mengisi Borang I tersebut dengan menyatakan bahawa perayu berpuashati serta tidak bercadang membuat kajian semula berhubung Dapatan yang dibuat terhadap perayu.

[6] Pada 13.11.2015, Pegawai Inkuiri telah mengemukakan salinan Dapatan berserta laporan lengkap dan Borang I yang telah diisi perayu kepada LPJ dan telah diterima oleh LPJ.

[7] Pada 26.11.2015 nama perayu telah didaftarkan ke dalam Daftar Jenayah oleh Pendaftar Penjenayah setelah Pendaftar Penjenayah dimaklumkan oleh LPJ. LPJ yang bersidang pada 26.11.2015 itu juga telah mengeluarkan Perintah Pengawasan Polis yang menjadi hal perkara rayuan di sini.

ISU

[8] Di hadapan kami, perayu telah membangkitkan 3 isu yang berikut:

(i) ketidakpatuhan prosedur di bawah seksyen 9 dan seksyen 6 Akta 297;

(ii) pelanggaran peruntukan seksyen 7 Akta 297; dan

(iii) ketidakpatuhan prosedur untuk menjawab isu yang ditimbulkan dalam affidavit pemohon.

(i) Ketidakpatuhan prosedur di bawah seksyen 9 dan seksyen 6 Akta 297

[9] Berkenaan isu pertama ketidakpatuhan prosedur di bawah seksyen 9 dan seksyen 6 Akta 297, peguam perayu yang bijaksana telah menghujahkan bahawa terdapat kelewatan 13 hari dari tarikh reman kedua bermula iaitu 20.10.2015 sehingga tarikh inkuiri diadakan pada 3.11.2015. Beliau menghujahkan bahawa tempoh 13 hari itu adalah tidak munasabah dan Pegawai Inkuiri sepatutnya perlu menetapkan tarikh inkuiri yang lebih awal.

[10] Bagi pihak responden, Peguam Kanan Persekutuan (PKP) yang bijaksana telah berhujah bahawa tidak timbul isu kelewatan selama 13 hari kerana sama ada seksyen 6 mahupun seksyen 9 Akta 297 tempoh untuk inkuiri dilaksanakan tidak ditetapkan. Justeru berdasarkan seksyen 54(2) Akta Tafsiran 1948 dan 1967 (Akta 388), apabila tiada tempoh ditetapkan untuk melakukan sesuatu, maka ianya boleh dibuat mengikut kesegeraan yang praktik. Dalam hal ini, PKP berhujah lagi, Pegawai Inkuiri itu telahpun menyatakan alasan-alasan mengapa tempoh 13 hari itu ditetapkan dan alasan-alasan ini telahpun diterima oleh YA Pesuruhjaya Kehakiman.

[11] Berkenaan isu pertama ini, YA Pesuruhjaya Kehakiman telah di dalam Alasan Penghakimannya menyatakan seperti yang berikut:

"[56] Di dalam kes ini mahkamah dapati Pegawai Inkuiri telah mematuhi keperluan prosedur di atas. Malah pada 20.10.2015, Pegawai Inkuiri telahpun berjumpa dengan Pemohon dan memaklumkan kepadanya tarikh inkuiri, hak Pemohon untuk mendapatkan khidmat peguam dan hak untuk mendapatkan khidmat jurubahasa selaras dengan seksyen 6 Akta tersebut. Lihat paragraph 8 Afidavit Jawapan Pegawai Inkuiri.

[57] Memang benar inkuiri hanya diadakan pada 03.11.2015 tetapi didalam afidavit jawapannya diperenggan 10, Pegawai Inkuiri telah memberikan alasan-alasan kenapa berlaku kelewatan selama 13 hari bagi menetapkan tarikh inkuiri, Beliau mendeposkan:

(a) Dalam tempoh yang sama saya turut diperlukan untuk menjalankan inkuiri bagi subjek-subjek lain;

(b) Saya juga memerlukan masa untuk membaca serta meneliti fail kes ke atas Pemohon yang mengandungi keterangan-keterangan ke atas Pemohon;

(c) Saya juga perlu meneliti kesemua dokumen-dokumen yang terdapat didalam fail Pemohon; dan

(d) Saya perlu mengenalpasti saksi-saksi yang perlu dipanggil serta diperiksa oleh saya.

...

[59] Di dalam hal ini mahkamah perlulah melihat dan menimbangkan kesemua keterangan fakta yang terdapat didalam affidavit bagi menentukan sama ada obligasi undang-undang ini telah dilaksanakan dengan segera atau kelajuan selesa.

[60] Pegawai Inkuiri telah berjumpa dengan pemohon seawal tarikh 20.10.2015. Beliau telah memberikan sebab-sebab kelewatan didalam affidavit jawapannya. Mahkamah berpendapat setelah melihat alasan-alasan ini, ia adalah alasan yang munasabah kenapa berlakunya kelewatan tersebut. Ia bukan alasan-alasan yang bersifat administratif. Siasatan yang hendak dibuat melibatkan hak kebebasan Pemohon. Ia mestinya tidak boleh dibuat terburu-buru. Persediaan-persediaan perlu dibuat kerana Dapatan yang akan dibuat tidak boleh dibuat sesuka hati dan sewenang-wenangnya. Kesemua sebab-sebab yang dinyatakan oleh Pegawai Inkuiri adalah langkah-langkah yang perlu diambil sebelum memulakan siasatan.

...

[62] Mahkamah juga berpendapat, ia tidak melibatkan ketidakpatuhan prosedur kerana proses inkuiri tetap berjaya dilaksanakan oleh Pegawai Inkuiri dan suatu Dapatan telah disediakan dan diserahkan kepada Pengerusi Lembaga Pencegahan Jenayah (LPJ). Justeru tidak wujud ketidakpatuhan mengikut seksyen 9 Akta tersebut. Seksyen 9 tidak menyatakan ia perlu dibuat pada masa yang sama atau segera. Ia hanya menyatakan secepat mungkin. Selain itu juga ianya tidak menjadi isu kerana tempoh siasatan itu masih didalam tempoh yang munasabah dan masih dalam tempoh reman lanjutan 38 hari. Tidak ada undang-undang yang memperuntukkan inkuiri perlu dijalankan sebaik sahaja reman 38 hari disambung”.

[12] Kami berpendapat tiada sebab untuk tidak bersetuju dengan dapatan YA Pesuruhjaya Kehakiman itu seperti di atas. Seksyen 6 dan 9(1) Akta 297 memperuntukkan, antara lainnya, seperti yang berikut:

“6. Every person remanded in custody under section 4 shall, if not sooner released, as soon as possible be brought before an Inquiry Officer."

“9. (1) When any person is brought before an Inquiry Officer under section 6, the Inquiry Officer shall inquire and report in writing to the Board whether there are reasonable grounds for believing that the person is a member of any of the registrable categories".

[13] Jelas di dalam seksyen 6 tempoh masa yang ditetapkan ialah “as soon as possible”. Tiada tempoh masa spesifik yang dinyatakan. Sementara seksyen 9 pula tidak langsung menyatakan apa-apa tempoh waktu. Seksyen 54(2) Akta 388 jelas memperuntukkan:

“Computation of time

54. (1) In computing time for the purposes of any written law-

(a) a period of days from the happening of an event or the doing of any act or thing shall be deemed to be exclusive of the day on which the event happens or the act or thing is done;

(b) if the last day of the period is a weekly holiday or a public holiday (referred to in this subsection as excluded days) the period shall include the next following day which is not an excluded day;

(c) where any act or proceeding is directed or allowed to be done or taken on a certain day, then, if that day happens to be an excluded day, the act or proceeding shall be considered as done or taken in due time if it is done or taken on the next following day which is not an excluded day; and

(d) where any act or proceeding is directed or allowed to be done or taken within any time not exceeding six days, excluded days shall not be reckoned in the computation of the time.

(2) Where no time is prescribed within which anything shall be done, that thing shall be done with all convenient speed and as often as the prescribed occasion arises.".

[14] Justeru, seperti di dalam kes ini, memandangkan tiada tempoh masa yang spesifik ditetapkan di dalam seksyen 6 atau 9 itu, maka obligasi Pegawai Inkuiri itu hendaklah dilaksanakan di dalam jangka masa yang munasabah dan secepat mungkin. Berkaitan ini, kami merujuk kepada keputusan Mahkamah Agung di dalam kes Phua Hing Lai v Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Malaysia & Ors [1990] 1 MLJ 173, yang mana Mahkamah Agung, telah membincangkan peruntukan seksyen 3 Restricted Residence Enactment (FMS Cap 39) di muka surat 174 seperti yang berikut:

"Section 3 of the enactment provides for the implementation of an order made under s 2(ii). For convenience the whole of s 3(i) and (ii) are reproduced below:

(i) When any such order as is referred to in section 2 subsection (ii) or section 2A has been made with reference to any person, he shall be taken before the Officer-in-Charge of the prison in which he is detained and the Officer-in-Charge shall inform him of the terms of the order and shall deliver to him a copy thereof and shall require him to state the place in which, consistently with the terms of the order, he desires in the immediate future to reside.

(ii) As soon as may be after action has been taken under subsection (i), the Officer-in-Charge shall hand over the person to whom the order relates together with a warrant of release in the Form in the Schedule to any Police Officer appointed by the Chief Police Officer to receive him, and the person shall thereupon be conveyed under police escort to the place wherein he states he wishes to reside and shall there be released.

It can immediately be observed that there is no time frame given in s 3(i) of the enactment. Since no time is pre-scribed, then, according to s 38 of the Interpretation and General Clauses Ordinance 1948 (similar provision also found in s 54(2) of the Interpretation Act 1967), then anything which shall be done shall be done with all convenient speed.

There is, however, a time frame given by s 3(ii) of the enactment imposed by the words 'as soon as may be after action has been taken under subsection (i)’ appearing in that subsection. [Emphasis added.] The words 'as soon as may be’ means as nearly as may be reasonable in the circumstances of the case”.

Kes Phua Hing Lai, supra, itu telah dirujuk dan diterima oleh Mahkamah Agung di dalam satu kes lain Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Malaysia & Ors v Liau Nyun Fui [1991] 1 MLJ 350. Prinsip bahawa jika tiada tempoh masa tertentu ditetapkan, maka apa yang perlu dilakukan hendaklah dilakukan mengikut kecepatan yang sesuai (convenient speed) telah diulangi oleh Mahkamah Persekutuan dalam satu kes terkini Menteri Dalam Negeri & Ors v Gopal a/l R Subramaniam [2017] 4 MLJ 1. Mahkamah Persekutuan di dalam kes Gopal, supra, ini telah juga merujuk dan menerima kes Liau Nyun Fui, supra.

[15] Pada hemat kami, “as soon as may be” dan “as soon as possible” membawa makna yang sama. Kecepatan yang sesuai ialah berdasarkan kepada keadaan dan fakta kes itu. Pada pandangan kami, apa yang penting ialah Pegawai Inkuiri telahpun melaksanakan obligasinya untuk berjumpa dengan perayu pada 20.10.2015 hari yang sama perayu direman di bawah seksyen 4(2)(a) dan melakukan inkuiri pada 3.11.2015. YA Pesuruhjaya Kehakiman telah berpuashati dengan alasan-alasan yang diberi oleh Pegawai Inkuiri berkenaan mengapa inkuiri diadakan dalam tempoh 13 hari dari tarikh perayu mula direman. Kami seberpendapat dengan YA Pesuruhjaya Kehakiman itu bahawa berdasarkan keadaan tertentu kes itu yang diterangkan di dalam affidavit Pegawai Inkuiri itu, Pegawai Inkuiri telahpun bertindak seberapa cepat yang mungkin seperti yang dikehendaki oleh Akta 297. Prosedur yang diambil oleh Pegawai Inkuiri itu ternyata selaras dengan seksyen 6 dan 9 Akta 297.

(ii) Pelanggaran peruntukan Seksyen 7 Akta 297; dan

(iii) Ketidakpatuhan prosedur untuk menjawab isu yang ditimbulkan dalam affidavit pemohon.

[16] Berkenaan dengan isu kedua, iaitu ketidakpatuhan kepada sekyen 7 Akta 297, alasan yang diberi oleh peguam perayu di dalam hujahan bertulisnya ialah kerana perintah Hakim Mahkamah Seksyen yang dibuat di bawah seksyen 7 itu telah tidak diserahkan kepada perayu dan ini bertentangan dengan Perkara 151 Perlembagaan Persekutuan. Oleh itu perintah pengawasan yang dibuat ke atas perayu menjadi tidak sah.

[17] Isu ketiga yang dihujahkan oleh perayu adalah sama dengan isu kedua iaitu bahawa perayu telah membuat penyataan yang beliau telah tidak diserah dengan perintah Hakim Mahkamah Seksyen di dalam affidavitnya dan pihak responden telah gagal menjawab isu ini.

[18] PKP menghujahkan tiada keperluan di bawah Akta 297 untuk berbuat demikian iaitu untuk menyerahkan perintah Hakim Mahkamah Sesyen. Justeru tidak ada apa-apa ketidakpatuhan prosedur di sini.

[19] Berkenaan kedua-dua isu ini, YA Pesuruhjaya Kehakiman telah di dalam Alasan Penghakiman menyatakan seperti yang berikut:-

"[39] Didalam kes ini, Pemohon memfailkan permohonan semakan kehakiman dibawah seksyen 15 Akta tersebut dan bukannya berkaitan dengan perintah Hakim Mahkamah Sesyen dibawah seksyen 7 Akta tersebut. Didalam sesuatu permohonan semakan kehakiman, sesuatu cabaran hanya boleh terarah kepada perintah semasa sahaja iaitu Perintah Pengawasan Polis ke atas pemohon. Ianya bermakna sebarang kecacatan yang berlaku semasa tahanan untuk tujuan siasatan adalah tidak relevan. Apa yang boleh dicabar adalah berkait dengan prosedur yang mandatory sahaja. L Rajendran R. Letchumanan v Timbalan Menteri Dalam Negeri Malaysia & Ors [2010] 7 CLJ 653 FC.

[40] Mahkamah telah meneliti peruntukan seksyen 7 Akta tersebut. Mahkamah dapati tidak ada keperluan dibawah undang-undang untuk menyerahkan perintah tersebut kepada Pemohon. Ini kerana perintah dibawah seksyen 7 adalah berkait dengan pelepasan/ pembebasan pemohon dibawah satu Bon oleh Hakim Mahkamah Sesyen dimana pemohon dipasang dengan EMD. Seksyen 7 bukan berkaitan dengan penahanan lanjut.

...

[45] Mahkamah juga berpendapat Perkara 151 Perlembagaan Persekutuan tidak boleh dibangkitkan oleh Pemohon kerana Pemohon bukan ditahan dibawah satu Perintah Tahanan dibawah seksyen 19A(1) Akta tersebut tetapi diletakkan dibawah Perintah Pengawasan mengikut seksyen 15 Akta tersebut.

[46] Perkara 151 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan:

(1) Jika mana-mana undang-undang atau ordinan yang dibuat atau dimasyurkan menurut Bahagian ini membuat peruntukan bagi tahanan pencegahan-

(a) pihak berkuasa yang atas perintahnya mana-mana orang yang ditahan dibawah undang-undang hendaklah, dengan sebeberapa segera yang boleh, memberitahu orang itu alasan dia ditahan dan tertakluk kepada fasal (3), pengataan fakta yang berasaskannya perintah itu dibuat, dan hendaklah memberikan peluang kepadanya untuk membuat representasi terhadap perintah itu dengan sebeberapa segera yang boleh;

(b) ...

[47] Adalah jelas daripada peruntukan tersebut, alasan-alasan penahanan dan pengataan fakta adalah dokumen yang diperlukan dalam Perintah Tahanan dan bukannya dalam Perintah Pengawasan mengikut seksyen 15 Akta tersebut. ...

[48] Adalah tidak dinafikan mengikut Perkara 151 Perlembagaan Persekutuan, pihak berkuasa yang menangkap mempunyai tanggungjawab dari segi undang-undang perlembagaan untuk memaklumkan kepada orang yang ditangkap alasan-alasan atau sebab-sebab orang itu ditangkap tetapi tanggungjawab ini hanya khusus jika seseorang itu diletakkan dibawah Perintah Tahanan dan bukan dibawah Perintah Pengawasan.

...

[50] Seperti yang telah mahkamah katakan diatas, tidak ada keperluan prosedur dibawah Seksyen 7, pegawai penyiasat perlu menyerahkan perintah Hakim Mahkamah Sesyen kepada pemohon. Oleh yang demikian, pegawai penyiasat tidak perlu menjawab apa-apa yang dideposkan oleh pemohon berkait dengan isu ini.”.

[20] Sekali lagi kami bersetuju dengan YA Pesuruhjaya Kehakiman itu. Permohonan Semakan Kehakiman yang dibawa ke Mahkamah Tinggi oleh perayu adalah terhadap keputusan LPJ di bawah seksyen 15 Akta 297. Keputusan Mahkamah Sesyen di bawah seksyen 7 tidak ada kena mengena dengannya. Ini kerana cabaran bukanlah terhadap keputusan Hakim Mahkamah Sesyen. Justeru sama ada perintah Hakim Mahkamah Sesyen itu diserahkan kepada perayu atau tidak bukanlah satu isu yang relevan. Akibatnya soal tentang pengataan perayu dalam affidavitnya berkenaan perkara ini yang dikatakan tidak dijawab oleh responden bukanlah juga menjadi satu isu yang relevan untuk dipertimbangkan.

[21] Seterusnya kami perhatikan sebagaimana yang dinyatakan di dalam fakta kes di awal tadi, bahawa perayu telahpun menerima hasil siasatan Pegawai Inkuiri dan mengisi Borang I dan menyatakan tidak bercadang untuk membuat kajian semula terhadap dapatan yang dibuat terhadapnya. Ini menunjukkan beliau tidak terkilan pun terhadap prosedur yang diambil di dalam perkara ini.

[22] Kami juga memerhatikan bahawa Peguam perayu yang bijaksana telah memetik beberapa keputusan Mahkamah Persekutuan yang dikatakan melibatkan isu kelewatan yang sama dan memihak terhadap kesnya tanpa mengemukakan keputusan atau alasan-alasan penghakiman kes-kes Mahkamah Persekutuan itu untuk penelitian mahkamah ini. Hal sebegini tentulah tidak membantu langsung terhadap rayuan perayu ini.

KESIMPULAN

[23] Berdasarkan di atas kami berpendapat tiada sebab untuk mahkamah ini mengganggu keputusan Mahkamah Tinggi. Oleh itu rayuan ini ditolak dengan kos RM5,000.00 dan keputusan Mahkamah Tinggi dikekalkan. Deposit dipulangkan.

Tarikh:  Julai 2018

ZALEHA BINTI YUSOF
Hakim
Mahkamah Rayuan
Malaysia

COUNSEL

Peguamcara Perayu: S. Sundarajan, Tetuan Sundarajan Associates, 66A Susuran Anjung Tawas, Anjung Tawas Sinaran, Jalan Kuala Kangsar, 30010 Ipoh, Perak

Peguamcara Responden-Responden: SFC Zuraidah binti Zakaria, SFC Shahidah Nafisah binti Leman, Pejabat Penasihat Undang-Undang, Kementerian Dalam Negeri, Aras 5, Blok D1, Kompleks D, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, 62546 Putrajaya

Legislation referred to:

Akta Pencegahan Jenayah 1959, Seksyen-seksyen 4(1)(a), 4(2)(a), 6, 7, 9, 9(1), 10(2), 15

Akta Tafsiran 1948 dan 1967, Seksyen 54(2)

Restricted Residence Enactment, Seksyen 3

Judgments referred to:

Menteri Dalam Negeri & Ors v Gopal a/l R Subramaniam [2017] 4 MLJ 1

Phua Hing Lai v Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Malaysia & Ors [1990] 1 MLJ 173

Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Malaysia & Ors v Liau Nyun Fui [1991] 1 MLJ 350

Notice: The Promoters of Malaysian Judgments acknowledge the permission granted by the relevant official/ original source for the reproduction of the above/ attached materials. You shall not reproduce the above/ attached materials in whole or in part without the prior written consent of the Promoters and/or the original/ official source. Neither the Promoters nor the official/ original source will be liable for any loss, injury, claim, liability, or damage caused directly, indirectly or incidentally to errors in or omissions from the above/ attached materials. The Promoters and the official/ original source also disclaim and exclude all liabilities in respect of anything done or omitted to be done in reliance upon the whole or any part of the above/attached materials. The access to, and the use of, Malaysian Judgments and contents herein are subject to the Terms of Use.