THE OFFICIAL REPOSITORY OF
MALAYSIAN JUDGMENTS & RULINGS

[2018] MYCA 30 MALAY

Mohamad Ridzuan Bin Zamhor v Pendakwa Raya
Suit Number: Rayuan Jenayah No. J-05-438-09/2017 

PENGHAKIMAN 

Pendahuluan

[1] Ini adalah rayuan Perayu terhadap keputusan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi di Johor Bahru (‘Hakim bicara’) yang telah menolak permohonan Perayu melalui satu Notis Usul (‘Permohonan Perayu tersebut’) untuk mendapatkan satu salinan Laporan Polis iaitu Kempas Report No: 5960-5961 (‘Laporan Polis tersebut’). Laporan Polis tersebut adalah merupakan satu laporan mengenai tangkapan terhadap Perayu yang telah dibuat oleh KpL Amirul Bin Abdullah, anggota polis yang telah menangkap Perayu kerana telah disyaki terlibat dalam memiliki dan memperedarkan dadah berbahaya jenis Cannabis.

[2] Berikutan dengan penangkapan tersebut, Perayu telah dituduh dengan satu pertuduhan memperedarkan dadah berbahaya di bawah seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (ADB’) yang membawa hukuman mati mandatori di bawah seksyen 39B(2) Akta yang sama. Butir-butir pertuduhan tersebut adalah seperti berikut:

"Bahawa kamu pada 28.7.2016, jam lebih kurang 7.30 malam, di Jalan Sentosa, Kg. Seri Aman, Kempas, di dalam daerah Johor Bahru, di dalam negeri Johor Darul Takzim, telah mengedar dadah berbahaya iaitu Cannabis seberat 360 gram, dan dengan itu kamu telah melakukan satu kesalahan di bawah seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (semakan 1980) dan boleh dihukum di bawah seksyen 39B(2) Akta yang sama.”

[3] Perayu yang terkilan dengan perintah Hakim bicara tersebut, telah memfailkan rayuan ke Mahkamah ini.

[4] Rayuan Perayu telah ditetapkan untuk perbicaraan pada 13.12.2017. Sebelum merit rayuan Perayu didengar, Puan Timbalan Pendakwa Raya yang terpelajar (‘Puan TPR’) telah membangkitkan satu isu bantahan awal mengenai kompetensi rayuan Perayu.

[5] Selepas mendengar pihak-pihak, kami telah sebulat suara membenarkan isu bantahan awalan Puan TPR dan telah menolak rayuan Perayu tanpa mendengar merit rayuan. Kami memperincikan alasan-alasan penolakan rayuan Perayu seperti berikut.

Latar belakang Fakta

[6] Melalui Afidavit Sokongan bertarikh 14.7.2017 dan Afidavit Balasan bertarikh 2.8.2017 oleh Peguam bela terpelajar Perayu serta Afidavit Jawapan bertarikh 23.7.2017 yang diikrarkan oleh Muhamad Taufik Bin Saberi, kami menemui latar belakang fakta kes secara ringkasnya seperti berikut:

(a) Pada 28.7.2016, satu pasukan polis telah melakukan satu serbuan di Jalan Sentosa, Kg. Seri Aman, Kempas dan telah menangkap Perayu. Pihak Polis turut merampas sejumlah dadah berbahaya jenis ganja (Cannabis);

(b) Tangkapan dan rampasan telah dibawa balik ke Balai Polis Kempas di mana Laporan Polis berkenaan tangkapan dan rampasan tersebut telah dibuat oleh KpL. Amirul Bin Abdullah;

(c) Hasil siasatan yang telah dijalankan oleh Inspektor Khairon Zainee Bin Basiron, Perayu telah dipertuduhkan dengan satu pertuduhan mengedar dadah berbahaya di bawah seksyen 39B(1)(a) ADB melalui kes No: 45A-10-03/2017;

(d) Perayu telah melantik firma guaman R.K. Menon & Co. untuk mewakili Perayu dalam perbicaraan jenayah yang tersebut. Peguam bela terpelajar Perayu setelah menerima dokumen-dokumen selaras dengan peruntukan di bawah seksyen 51A Kanun Acara Jenayah (‘KAJ’), mendapati beberapa dokumen penting termasuk Laporan Polis tersebut telah gagal dibekalkan kepadanya oleh pihak Pendakwa Raya;

(e) Melalui surat bertarikh 29.5.2017 kepada Pengarah Pendakwaan Negeri Johor, peguam bela terpelajar memohon untuk mendapatkan Laporan Polis tersebut dan percakapan beramaran Perayu. Melalui surat bertarikh 31.5.2017, peguam bela terpelajar telah dibekalkan dengan sesalinan percakapan beramaran Perayu tanpa Laporan Polis tersebut. Berikutan kegagalan tersebut, peguam bela terpelajar telah memfailkan Notis Usul bertarikh 12.7.2017 yang telah ditolak oleh Hakim bicara dan sekarang ini dirayu di hadapan kami.

Hujahan Pihak-Pihak

[7] Puan TPR telah menghujahkan bahawa satu Notis Bantahan Awal terhadap rayuan Perayu telah diserahkan kepada peguam bela terpelajar dan turut diserahkan ke Mahkamah ini. Notis Bantahan Awal tersebut memberi alasan bahawa bantahan awal responden adalah berasaskan bahawa keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan Perayu tersebut bukanlah merupakan suatu keputusan (‘decision’) yang boleh dirayu (non-appealable’) di Mahkamah Rayuan.

[8] Puan TPR telah merujuk kepada peruntukan di bawah seksyen 3 Akta Mahkamah Kehakiman, 1964 (‘Akta 91’) yang telah memberi tafsiran ‘keputusan’ yang boleh dirayu tidak termasuk apa-apa penghakiman, hukuman atau perintah yang tidak melupuskan hak pihak-pihak secara muktamad. Puan TPR menghujahkan bahawa keputusan Hakim bicara tidak melupuskan hak Perayu secara muktamad tetapi sebaliknya hanya merupakan satu perintah interlokutori. Oleh itu dihujahkan, keputusan Hakim bicara itu bukanlah suatu keputusan yang boleh dirayu. Puan TPR telah menarik perhatian kami kepada keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Dato’ Seri Anwar Ibrahim v PP [2010] 9 CLJ 625.

[9] Peguam bela terpelajar sebaliknya menghujahkan bahawa keputusan Hakim bicara itu merupakan satu keputusan yang telah memutuskan hak Perayu secara muktamad. Peguam bela terpelajar memberikan alasan bahawa perbicaraan terhadap Perayu bagi pertuduhan mengedar dadah berbahaya masih belum bermula dan keputusan Hakim bicara yang dirayu telah dibuat dalam satu perbicaraan yang berasingan melalui satu permohonan jenayah pelbagai (miscellaneous criminal application).

Dapatan Dan Keputusan Kami

[10] Isu di hadapan kami hanya merupakan satu persoalan undang-undang iaitu sama ada keputusan Hakim bicara menolak permohonan Perayu untuk mendapat Laporan Polis tersebut adakah ianya satu penghakiman, hukuman atau perintah yang telah melupuskan secara muktamad hak Perayu. Tafsiran ‘keputusan’ telah diberikan di bawah seksyen 3 Akta 91 yang memperuntukkan seperti berikut:

"Keputusan” termasuklah penghakiman, hukuman atau perintah, tetapi tidak termasuk apa-apa ketetapan yang dibuat dalam perjalanan sesuatu perbicaraan atau pendengaran apa-apa kausa atau perkara yang tidak melupuskan hak pihak-pihak secara muktamad;”.

[11] Dalam kes Dato’ Seri Anwar Ibrahim PP, supra, yang dirujuk oleh Puan TPR, permohonan telah dibuat oleh Perayu dalam kes itu untuk mendapatkan rakaman percakapan pengadu (SP1) di bawah seksyen 112 KAJ telah ditolak oleh Hakim bicara. Rayuan perayu ke atas keputusan tersebut telah ditolak oleh Mahkamah Rayuan dan kemudiannya telah disahkan oleh Mahkamah Persekutuan. Permohonan dan rayuan Perayu itu ditolak atas alasan bahawa ketetapan (ruling) yang telah dibuat oleh Hakim bicara tidak terjumlah kepada satu keputusan yang telah melupuskan hak Perayu secara muktamad. Di m/s 636 kes itu, Arifin Zakaria, CJ (Malaya) menyatakan seperti berikut:

“[24] The underlying reason behind the amendment to the definition of “decision” in s. 3 of the CJA, introduced by Amendment Act A 1031 of 1998, which came into effect on 31 July 1998 is to stop parties from stalling a trial before the trial court by filing appeal after appeal on rulings made by the trial court in the course of a trial. This is what the amendment seeks to achieve as evident from the explanatory statement to the Bill which reads:

2. Clause 2 seeks to amend section 3 of Act 91.

At the moment, in the course of hearing a case, if the court decides on the admissibility of any evidence or document, the dissatisfied party may file an appeal. If such appeal is filed, the court has to stop the trial pending the decision of the appeal by the superior court. This cause a long delay in the completion of the hearing, especially when an appeal is filed against every ruling made by the trial court. The amendment is proposed in order to help expedite the hearing of cases in trial courts.

[25] Quite apart from the explanatory statement to the Bill the definition of “decision” by itself, to our mind, is sufficiently clear, and it is the duty of the court to give effect to the same. Justice demands that cases should move without unnecessary interruption to their final conclusion. That is what the amendment seeks to achieve. The right of a party who is aggrieved by a ruling, after all, is not being compromised, as the party can always raise the issue during the appeal, if any, to be filed after the trial process is brought to its conclusion.

[26] For the above reasons, we agree with the Court of Appeal that the ruling of the trial court in this case is not a “decision” as defined in s. 3 of the CJA and hence it is not appealable. In the light of our decision, it is therefore not necessary for us to consider grounds 3 and 4 of the petition.”

[12] Dalam hujahan balas beliau, peguam bela terpelajar telah menimbulkan dua perkara untuk membezakan fakta dan keadaan dalam kes rayuan Perayu di hadapan kami. Pertama, bahawa keputusan Hakim bicara telah dibuat dalam satu prosiding yang berasingan dan tidak dalam prosiding perbicaraan pertuduhan terhadap Perayu. Kedua, bahawa keputusan Hakim bicara menolak permohonan Perayu bukanlah satu ketetapan (ruling) dan bukannya satu perintah interlokutori. Sebaliknya, keputusan Hakim bicara adalah satu keputusan yang muktamad dan dengan itu ianya boleh dirayu.

[13] Kami tidak bersetuju dengan hujahan peguam bela terpelajar tersebut. Kami berpandangan perkataan "ketetapan” atau ("ruling”) lebih luas dan merangkumi apa-apa penghakiman, hukuman atau perintah yang dibuat oleh seseorang Hakim atau Mahkamah. Black’s Law Dictionary, 7th Edn. telah memberi tafsiran perkataan keputusan (decision) dan ketetapan (ruling) seperti berikut:

decision”, A Judicial determination of the facts and the law esp., a ruling, order, or judgment pronounced by a court when considering or disposing of a case.”

ruling”. The outcome of a court’s decision either on some point of law or on the case as a whole-Also termed legal ruling.”

[14] Oleh itu, pandangan kami ialah bahawa perintah Hakim bicara dalam menolak permohonan Perayu melalui Notis Usul untuk mendapatkan Laporan Polis tersebut termasuklah dalam istilah ketetapan (ruling) bagi maksud untuk menentukan sama ada keputusan itu boleh dirayu atau tidak. Sekiraya sesuatu ketetapan itu tidak memutuskan secara muktamad hak pihak-pihak (Perayu), ketetapan (perintah Hakim bicara menolak permohonan Perayu) dalam kes ini tidak boleh dirayu walaupun perintah itu telah dibuat dalam prosiding perbicaraan yang sama ataupun dalam satu prosiding yang berasingan (pendengaran apa-apa kausa atau perkara) yang tidak melupuskan hak pihak-pihak secara muktamad.

[15] Dalam kes Dato’ Seri Anwar Ibrahim v PP [1999] 1 CLJ 537 Mahkamah Rayuan telah memutuskan walaupun perkara mengenai jaminan mungkin merupakan hal perkara ‘extraneous’ kepada isu-isu yang perlu diputuskan dalam kes pokok tetapi itu bukan isunya. Apa yang lebih penting ialah sama ada keputusan Hakim bicara itu telah dengan secara berkesannya memutuskan hak pihak-pihak secara muktamad. Dalam kes itu, diputuskan hal perkara jaminan bukanlah bersifat muktamad, keputusan menolak permohonan untuk jaminan adalah satu keputusan yang tidak boleh dirayu (lihat juga Dato’ Seri Anwar Ibrahim v PP [2000] 3 CLJ 751).

[16] Adakah keputusan Hakim bicara dalam menolak permohonan Perayu untuk mendapatkan Laporan Polis tersebut telah melupuskan secara muktamad hak Perayu? Jawapan kami adalah “Tidak”. Kami berpandangan bahawa Perayu masih mempunyai peluang untuk menyoal-balas dan mendapatkan Laporan Polis tersebut sewaktu perbicaraan berlangsung sama ada melalui pegawai penyiasat kes ataupun melalui saksi KpL. Amirul Bin Abdullah, pembuat Laporan Polis tersebut. Sebagai pembuat Laporan Polis tersebut dan juga sebagai pegawai polis yang telah membuat tangkapan dan rampasan barang kes dadah yang dipertuduhkan, semestinya KpL. Amirul Bin Abdullah akan dipanggil sebagai saksi untuk kes pendakwaan. Atau setidak-tidaknya, Perayu boleh membangkitkan isu yang sama diperingkat rayuan, sekiranya ada, selepas perbicaraan dimuktamadkan sebagaimana disyorkan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Dato’ Seri Anwar Ibrahim, supra, yang kami petik diawal Penghakiman ini.

Kesimpulan

[17] Berdasarkan kepada alasan-alasan yang kami sebutkan di atas, kami membenarkan bantahan awal yang ditimbulkan oleh Puan TPR. Oleh itu, rayuan Perayu ditolak dengan tanpa perlu untuk kami mendengar meritnya.

Bertarikh: 22 Januari 2018

Signed

KAMARDIN BIN HASHIM
Hakim
Mahkamah Rayuan
Malaysia

COUNSEL

Bagi Pihak Perayu: Hj. Abdul Hamid Menon bin Abdullah, Tetuan R.K. Menon & Co, Bilik 5 - 7, Tingkat 6, Bangunan Foh Chong, Jalan Ibrahim, 80000 Johor Bahru

Bagi Pihak Responden: Kwan Li Sa, Timbalan Pendakwa Raya, Jabatan Peguam Negara, Bahagian Perbicaraan dan Rayuan, Putrajaya

Legislation referred to:

Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen-seksyen 39B(1)(a), 39B(2)

Akta Mahkamah Kehakiman, 1964, Seksyen 3 

Amendment Act A 1031 of 1998

Kanun Acara Jenayah, Seksyen-seksyen 51A, 112 

Judgments referred to:

Dato’ Seri Anwar Ibrahim v PP [1999] 1 CLJ 537

Dato’ Seri Anwar Ibrahim v PP [2000] 3 CLJ 751

Dato’ Seri Anwar Ibrahim v PP [2010] 9 CLJ 625

Notice: The Promoters of Malaysian Judgments acknowledge the permission granted by the relevant official/ original source for the reproduction of the above/ attached materials. You shall not reproduce the above/ attached materials in whole or in part without the prior written consent of the Promoters and/or the original/ official source. Neither the Promoters nor the official/ original source will be liable for any loss, injury, claim, liability, or damage caused directly, indirectly or incidentally to errors in or omissions from the above/ attached materials. The Promoters and the official/ original source also disclaim and exclude all liabilities in respect of anything done or omitted to be done in reliance upon the whole or any part of the above/attached materials. The access to, and the use of, Malaysian Judgments and contents herein are subject to the Terms of Use.