THE OFFICIAL REPOSITORY OF
MALAYSIAN JUDGMENTS & RULINGS

[2018] MYCA 123 MALAY

Manmathan A/L Kemson v Pendakwa Raya
Suit Number: Rayuan Jenayah No. B-05(M)-266-07/2016 

Criminal law – Murder – Conviction – Death sentence – Appeal

PENGHAKIMAN

Pendahuluan

[1] Perayu telah dituduh dan dibicarakan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam (‘hakim bicara’) untuk satu kesalahan membunuh yang membawa hukuman mati di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan (‘KK’). Butir-butir pertuduhan adalah seperti berikut:

"Bahawa kamu bersama-sama beberapa orang lagi yang masih bebas, pada 27 Mei 2013, pada jam lebih kurang 2.30 pagi, bertempat di hadapan Lot 4933, Batu 6, Jalan Meru, dalam daerah Klang, di dalam Negeri Selangor Darul Ehsan telah membunuh Santhanam a/l B.M. Nakarajan (No. KPT: 850412-10-5163) dan dengan itu kamu telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama dengan seksyen 34 Kanun yang sama.”

[2] Di akhir kes perbicaraan, Perayu telah disabitkan atas pertuduhan dan dijatuhkan dengan hukuman mati. Terkilan dengan sabitan dan hukuman oleh hakim bicara tersebut, Perayu telah memfailkan rayuan ke Mahkamah ini.

[3] Kami telah mendengar serta menimbangkan rayuan Perayu pada 29.1.2018 dan pada 6.2.2018. Setelah mendengar pihak-pihak atas isu-isu dan alasan-alasan rayuan yang dibangkitkan, kami telah menolak rayuan Perayu. Kami memperincikan alasan-alasan penolakan rayuan Perayu yang menyusul selepas ini.

Kes Pendakwaan

[4] Fakta kes pihak pendakwaan adalah seperti terkandung dalam penghakiman hakim bicara. Untuk tujuan pelupusan rayuan ini, cukup bagi kami memetik keterangan dan fakta material yang relevan seperti berikut. Pada 27.5.2013, jam lebih kurang 2.30 pagi, Perayu telah menembak si mati dengan menggunakan sepucuk pistol. Si mati yang kemudiannya dicamkan sebagai Santhanam a/l B.M. Nakarajan (si mati) telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (‘HTAR’). Pakar Patologi, Dr. Nur Ayutimasery binti Abdullah (SP11) yang telah menjalankan bedah siasat ke atas jasad si mati mengesahkan si mati telah meninggal dunia akibat dari “Gunshot wounds to the chest”.

[5] Seramai 16 orang saksi telah dipanggil memberi keterangan kes pihak pendakwaan. Terdapat seorang saksi mata (eye witness) yang telah melihat kejadian tembakan yang berlaku pada malam kejadian, iaitu adik kepada si mati, Babu a/l Nakarajan (SP8). Dalam keterangannya, SP8 menyatakan bahawa pada malam kejadian beliau bersama si mati telah keluar dari rumah mereka dengan menaiki sebuah motosikal untuk pergi ke Klinik Meru. Tujuan mereka ke klinik itu adalah untuk melawat rakan si mati, Anbarasu yang sedang dirawat akibat cedera ditetak. Sebelum keluar rumah, si mati telah menerima satu panggilan telefon dari rakannya yang memberitahu bahawa Anbarasu yang cedera ditetak sedang berada di Klinik Meru.

[6] Setelah sampai di klinik tersebut, SP8 telah dimaklumkan bahawa Anbarasu telah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang. Lalu SP8 dan si mati meneruskan perjalanan ke hospital tersebut di Klang. Pada ketika itu, SP8 yang menunggang motosikal manakala si mati sebagai pembonceng. Semasa dalam perjalanan ke Klang, SP8 telah melalui sebuah flat di mana terdapat satu kumpulan ahli Geng 303, iaitu seramai lebih kurang 15 orang sedang berkumpul. SP8 menunggang dalam kelajuan lebih kurang 40 kmj dan terdapat lampu jalan di kawasan itu. SP8 dapat melihat kumpulan ahli Geng 303 tersebut bersenjatakan parang dan pistol.

[7] SP8 dapat melihat antara ahli Geng 303 yang beliau kenali berada dalam kumpulan itu yang bersenjatakan parang termasuklah Valli, Menon, Puspen, William dan Honda Boy. SP8 turut nampak Perayu juga berada di situ dengan bersenjatakan sepucuk pistol. SP8 menyatakan bahawa Perayu telah menembak si mati. Semasa abangnya ditembak, SP8 sedang lari ke arah seberang jalan. Apabila abangnya jatuh ke atas jalan selepas ditembak, SP8 kembali semula untuk mengangkat abangnya. Pada masa itu, Puspen datang dan memberi amaran kepada SP8 supaya tidak memberitahu kepada sesiapa tentang kejadian yang berlaku pada malam itu. Ketika itu SP8 nampak Puspen sedang memegang sebilah parang dan Puspen boleh dilihat dengan jelas dalam keadaan berdiri lebih kurang 10 kaki dari SP8.

[8] Pada masa yang sama, SP8 dapat melihat Perayu masih berada di tempat kejadian dalam jarak lebih kurang 15 kaki dari tempat SP8 berada. Walau bagaimanapun, selepas persidangan Mahkamah berhenti rehat tengah hari, SP8 dengan secara tiba-tiba telah menukar ceritanya dengan menyatakan bahawa Perayu tidak terlibat dengan pembunuhan terhadap si mati.

[9] Si mati telah meninggal dunia di tempat kejadian. Bedah siasat terhadap jasad si mati telah dijalankan oleh pakar patologi, Dr. Nur Ayutimasery binti Abdullah (SP11). Menurut SP11, terdapat 13 kecederaan luaran dalam bentuk membulat pada bahagian dada si mati. Terdapat dua luka tembakan pada sisi dada sebelah kiri si mati. Anak peluru telah dijumpai dalam kedua-dua belah paru-paru si mati. Tembakan telah mengenai organ-organ penting, iaitu paru-paru dan hati. Ini telah menyebabkan pendarahan yang banyak di dalam rongga dada. SP11 menyatakan bahawa kecederaan seperti yang dialami oleh si mati ini boleh menyebabkan kematian dengan serta merta. Punca kematian “Gunshot wounds to the chest”. Laporan Bedah Siasat seperti di eksibit P35.

[10] Pada hari yang sama kejadian tembakan, iaitu pada 27.5.2013 jam lebih kurang 7.00 petang, Perayu telah ditangkap setelah dipanggil untuk hadir di Balai Polis Meru.

Dapatan hakim bicara di akhir kes pendakwaan

[11] Di akhir kes pendakwaan, hakim bicara membuat dapatan bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan satu kes prima facie terhadap Perayu atas pertuduhan yang dikemukakan terhadap Perayu. Hakim bicara telah menerima keterangan saksi utama dan saksi mata pihak pendakwaan iaitu SP8 yang menyatakan telah melihat Perayu yang telah melepaskan tembakan ke arah si mati pada malam kejadian.

[12] Selain itu, hakim bicara mendapati bahawa keterangan SP8 telah disokong melalui keterangan daripada saksi Wan Chon Thing (SP9) yang turut berada di kawasan tempat kejadian pada malam tersebut. Rumusan hakim bicara dapat dilihat di muka surat 20 hingga 22, Rekod Rayuan Jilid 1, seperti berikut:

"Setelah meneliti intipati keterangan oleh SP8 ini, saya mendapati SP8 ini bukanlah saksi yang bercakap bohong di sepanjang keterangannya. Selepas meneliti “demeanour” beliau, saya mendapati keterangan beliau bukanlah tiada bernilai langsung. Saya menerima keterangannya di sesi sebelum berhenti rehat sebagai keterangan yang kredibel. Cumanya di sesi selepas rehat, beliau kelihatan takut, menggigil dan menggeletar dengan begitu ketara sekali, seolah-olah takutkan sesuatu sehingga saya terpaksa memberi kata nasihat bagi menenangkannya. Lantas berdasarkan kepada tatalaku beliau yang dilihat sedemikian di dalam sesi keduanya, saya menerima keterangan beliau di dalam sesi pertama sebagai keterangannya yang benar. Keterangan beliau yang melihat Tertuduh ada memegang senjata pistol adalah sesuatu yang benar. Keterangan beliau juga yang melihat Manmathan berada di dalam kumpulan tersebut semasa beliau mengangkat abangnya, si mati yang telah ditembak, juga sebagai yang benar.

Selain daripada keterangan SP8, keterangan sokongan lain yang mengaitkan Tertuduh dengan kematian si mati ini adalah seperti berikut:

(i) SP9 nampak Tertuduh berada di restoran tersebut pada malam kejadian.

(ii) Terdapat satu ‘party’ berlaku di dalam restoran tersebut.

(iii) Pada masa itu, SP9 turut melihat kenderaan Tertuduh iaitu TATA berada di situ.

(iv) SP6 telah merampas kereta ini dengan dipandu arah oleh Tertuduh.

(v) SP16 telah membuat kesimpulan siasatan, bahawa Tertuduh adalah orang yang telah menembak si mati berdasarkan rakaman percakapan saksi dan siasatan tempat kejadian.

Jelas, keterangan yang ada menjuruskan kepada Tertuduh sebagai orang yang telah melepaskan tembakan dan mencederakan si mati yang mana kecederaan tersebut juga yang telah menyebabkan kematian si mati.

Keterangan SP8 yang dia nampak Tertuduh memegang sepucuk pistol dan melepaskan tembakan daripada pistol tersebut, turut disokong dengan penemuan 3 anak peluru di dalam badan si mati. Manakala keterangan SP11 pula menunjukkan terdapat 13 kesan tembakan pada badan si mati.

Keterangan yang ditampilkan juga menunjukkan yang kecederaan yang telah dilakukan itu, dilakukan dengan niat untuk menyebabkan kematian. Elemen niat sememangnya sukar untuk dibuktikan melalui keterangan langsung. Namun ia boleh dilihat berdasarkan:

(i) Senjata yang digunakan oleh Tertuduh.

(ii) Tempat di mana tembakan dilakukan.

(iii) Jarak tembakan.

(iv) Bagaimana tembakan dilakukan.

Perbuatan Tertuduh mencederakan si mati dengan melepaskan tembakan dengan menggunakan pistol jelas menunjukkan niat beliau bukanlah untuk menyebabkan kecederaan tetapi memang mempunyai niat untuk membunuh. Tembakan yang dilakukan dari jarak dekat terhadap bahagian anggota badan si mati, pasti berniat untuk mematikan dan bukan sekadar mencederakan.

KEDAPATAN MAHKAMAH

Setelah saya meneliti keterangan yang disampaikan melalui 16 orang saksi pendakwaan, meneliti kepada kedudukan kesemua 59 ekshibit yang dikemukakan itu, menimbang kepada penghujahan yang telah disampaikan oleh kedua-dua pihak, menimbangkan kes ini secara kesuluruhannya, serta setelah diaplikasikan prinsip penilaian maksima terhadap kesemua keterangan yang dikemukakan, dengan ini saya memutuskan yang pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan wujudnya suatu kes yang prima facie terhadap Tertuduh sepertimana pertuduhan. Lantas Tertuduh diperintahkan untuk membela diri (3 pilihan diterangkan kepada Tertuduh dan Tertuduh memilih untuk memberikan keterangan dari kandang saksi).”

[13] Setelah berpuas hati atas penilaian maksima bahawa kesemua elemen pertuduhan telah berjaya dibuktikan oleh pihak pendakwaan, hakim bicara telah memerintahkan Perayu untuk membela diri atas pertuduhan yang dihadapkan.

Kes Pembelaan

[14] Perayu telah memilih untuk memberikan keterangan membela diri secara bersumpah. Secara ringkasnya, Perayu menyatakan seperti berikut:

(a) pada malam 26.5.2013, Perayu telah pergi berjumpa rakannya bernama Menon untuk berbincang tentang perniagaan sekuriti yang dijalankan oleh Perayu;

(b) Perayu bersama isteri dan anaknya pergi berjumpa Menon dan makan malam bersamanya. Kebetulan, Menon memberitahu Perayu bahawa Menon hendak merayakan hari lahir Guna di restoran Cina milik SP9;

(c) sebelum pergi ke restoran Cina tersebut, Perayu telah menghantar pulang isteri dan anaknya. Kemudian Perayu telah pergi ke restoran Cina tersebut. Selepas meraikan hari lahir Guna, yang turut dihadiri lebih kurang 40 orang termasuk Puspen, mereka mula minum minuman keras;

(d) pada jam 10.40 malam, Perayu telah beredar dari restoran Cina tersebut dengan memberitahu Puspen dan Menon bahawa Perayu hendak pergi meronda kawasan kilang untuk memantau pekerja-pekerjanya. Perayu mempunyai sebuah syarikat membekalkan perkhidmatan kawalan keselamatan kilang-kilang;

(e) semasa Perayu meronda di kawasan kilang, dua (2) buah motosikal yang dinaiki oleh empat (4) orang telah menghimpit kereta Perayu dan mereka telah mengeluarkan senjata parang. Kereta Perayu telah dilanggar dan dihimpit oleh empat (4) orang yang bersenjatakan parang tersebut. Perayu terus ke Pelabuhan Klang ke rumah kakaknya, Mageswari a/p Kemson (SD3);

(f) Perayu menyatakan dia pergi ke Pelabuhan Klang untuk membuat satu laporan polis kerana sebelum ini pun dia pernah membuat laporan polis mengenai kemalangan jalan raya di Pelabuhan Klang;

(g) Perayu tidak balik ke rumahnya di Meru kerana berasa takut sebab pergaduhan tersebut. Perayu telah memberitahu abang ipar kepada kakaknya, Muniandy a/l Perumal (SD2) bahawa kereta Hilux Perayu telah terlibat dalam satu kemalangan jalan raya. SD2 telah menasihatkan Perayu untuk membuat laporan di Balai Polis Meru dan telah menyuruh Perayu untuk masuk ke rumah dan tidur dahulu;

(h) Perayu telah tidur di rumah SD3 dan bangun pada keesokan harinya pada jam 8.00 pagi pada 27.5.2013. Perayu kemudian telah pergi ke Meru dan membuat satu laporan polis. Kemudian Perayu telah menerima satu panggilan telefon daripada Inspektor Nalla mengarahkan Perayu untuk datang berjumpa di balai polis; dan

(i) Perayu menafikan bahawa dia terlibat dengan kes pembunuhan terhadap si mati. Perayu telah memasukkan satu notis alibi di bawah seksyen 402A Kanun Acara Jenayah (KAJ) seperti di eksibit D59.

[15] Pihak pembelaan turut memanggil dua (2) saksi alibi iaitu kakak Perayu (SD3) dan abang ipar kepada kakak Perayu (SD2). SD2 dalam keterangannya menyatakan pada malam 26.5.2013 Perayu telah datang dengan tiba-tiba ke rumah SD2 di Pelabuhan Klang dan memberitahu Perayu terlibat dalam satu kemalangan jalan raya dan memberitahu bahawa lampu signal keretanya telah pecah. Perayu mengajak SD2 untuk membuat laporan polis.

[16] SD2 terbau arak pada badan Perayu dan meminta Perayu untuk membuat laporan polis pada keesokan harinya dan menyuruh Perayu untuk tidur di rumahnya (SD2) dahulu. Pada keesokan harinya, Perayu ada mengajak SD2 untuk membuat laporan polis tetapi SD2 tidak ikut pergi oleh kerana SD2 mempunyai urusan yang lain. Keterangan SD3 secara ringkasnya menyokong apa yang disebutkan oleh SD2.

[17] Pembelaan Perayu hanya satu iaitu bahawa Perayu menafikan dia berada di tempat kejadian pembunuhan dan menafikan telah menembak Perayu. Hakim bicara telah mempertimbangkan keterangan secara keseluruhan untuk menentukan sama ada Perayu telah berjaya dalam menegakkan pembelaan alibinya. Hakim bicara telah menolak pembelaan alibi Perayu atas alasan bahawa terdapat keterangan diberikan oleh saksi mata (SP8) yang melihat Perayu berada di tempat kejadian, bersenjatakan pistol dan telah menembak abangnya, si mati. Hakim bicara juga mendapati terdapat keterangan sokongan terhadap keterangan yang diberikan oleh SP8 untuk mengukuhkan lagi dapatan hakim bicara bahawa pembelaan alibi Perayu seharusnya gagal.

[18] Hakim bicara telah menolak keterangan SD2 dan SD3 atas alasan terdapat keraguan sama ada Perayu sebenarnya berada di Pelabuhan Klang. SD2 dan SD3 menyatakan bahawa Perayu telah datang ke rumah mereka pada jam 11.50 malam sedangkan saksi SP9 menyatakan bahawa SP9 melihat kereta Perayu masih berada di tempat kejadian sewaktu SP9 menutup restorannya selepas jam 12.00 tengah malam. Mana mungkin benar keterangan Perayu bahawa dia telah beredar dari restoran milik SP9 pada jam 10.40 malam untuk pergi membuat rondaan di kawasan kilang dan telah terlibat dalam satu kemalangan jalan raya. Tidak mungkin juga Perayu telah sampai di rumah SD2 dan SD3 pada jam 11.50 malam dalam keadaan lampu signal keretanya pecah sedangkan SP9 melihat kereta Perayu masih berada di tempat kejadian selepas jam 12.00 tengah malam.

[19] Hakim bicara juga mendapati terdapat keraguan dalam keterangan Perayu apabila dia menyatakan tujuan ke Pelabuhan Klang untuk membuat laporan polis sedangkan kemalangan telah berlaku di kawasan Meru. Jika benar pun dia mahu membuat laporan polis di Pelabuhan Klang, oleh kerana sebelum ini Perayu menyatakan pernah membuat laporan polis mengenai satu kemalangan jalan raya di Pelabuhan Klang, persoalan yang timbul kenapa Perayu tidak terus ke balai polis dan sebaliknya pergi ke rumah SD2 dan SD3.

[20] Atas alasan-alasan tersebut, hakim bicara telah menolak pembelaan Perayu dan mendapati Perayu bersalah dan disabitkan. Hakim bicara berpuas hati pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan pertuduhan terhadap Perayu melampaui sebarang keraguan yang munasabah. Perayu dijatuhkan dengan hukuman gantung di leher sehingga mati. Justeru itu, rayuan Perayu di hadapan kami.

Rayuan Perayu

[21] Di hadapan kami, peguam bela terpelajar telah membangkitkan hanya satu alasan utama untuk membenarkan rayuan Perayu iaitu bahawa hakim bicara telah terkhilaf apabila memutuskan pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan satu kes prima facie terhadap perayu. Dalam hujahannya, peguam bela telah membangkitkan bantahan-bantahan berikut:

(a) Hakim bicara tidak wajar bergantung kepada keterangan SP8 pada sesi pagi dalam mensabitkan Perayu dan menolak keterangan SP8 pada sesi petang;

(b) Hakim bicara terkhilaf dalam memutuskan bahawa SP8 seorang saksi yang berkredibel;

(c) Hakim bicara gagal membuat penilaian dengan betul alasan SP8 memberikan keterangan yang berbeza dan berbohong pada sesi pagi;

(d) Hakim bicara khilaf apabila bergantung kepada prinsip dalam kes PP v Lim Kiang Chai [2016] 2 MLJ 153;

(e) Tiada terdapat keterangan sokongan atau keterangan mengikut keadaan yang lain yang dapat menyokong dapatan hakim bicara untuk mensabitkan Perayu dengan pertuduhan; dan

(f) Kegagalan pihak pendakwaan untuk memanggil saksi material iaitu seorang bernama Puspen @ Puspanathan menarik pemakaian anggapan bertentangan di bawah seksyen 114(g) Akta Keterangan, 1950 bahawa kemungkinan penama Puspen @ Puspanathan ialah orang yang telah menembak si mati, dan ini telah gagal dipertimbangkan dengan sewajarnya oleh hakim bicara.

Dapatan Kami

[22] Teras pembelaan Perayu ialah bahawa Perayu tidak berada di tempat kejadian pada masa kejadian berlaku. Perayu menafikan dia yang telah menembak si mati pada jam lebih kurang 2.30 pagi tersebut. Sebaliknya, Perayu menyatakan pada waktu itu dia berada di rumah SD2 dan SD3 di Pelabuhan Klang. Kami telah berpeluang meneliti Rekod Rayuan, kami mendapati hakim bicara tidak tersalah arah dirinya apabila menolak pembelaan alibi Perayu. Hakim bicara telah menerima keterangan SP8 mengenai pengecaman SP8 terhadap Perayu yang berada di tempat kejadian sebagai orang yang bersenjatakan sepucuk pistol dan telah melepaskan tembakan ke arah si mati.

[23] Setelah Perayu dicamkan secara positif berada di tempat kejadian, pembelaan alibi Perayu tersungkur dengan sendirinya. Mahkamah Persekutuan dalam kes Duis Akim & Ors v PP [2013] 9 CLJ 692 memutuskan seperti berikut:

“[81] As indicated above only the first and second appellants relied on alibi as their defence.

[82] However, alibi could not prevail over the positive identification of an accused person especially so in the face of categorical statements coming from credible witnesses who had no ill motives in testifying.

[83] Thus, in Mutachi Stephen v. Uganda [2003] UGCA 9 the accused said that on the night the offence took place he was already asleep with his wife. However, there was a witness who had positively identified him. As such his alibi collapsed. He has been squarely put at the scene of crime.”

[24] Mengenai alasan berkaitan dengan aspek-aspek keterangan SP8 yang dibantah oleh peguam bela terpelajar, kami mendapati hakim bicara sebagai “trier of facts” adalah orang yang paling layak untuk menentukan kebolehpercayaan keterangan yang telah disampaikan oleh SP8. Hakim bicara juga orang yang dapat menentukan kebolehterimaan keterangan SP8 dalam kes ini (lihat Dato’ Seri Anwar Ibrahim v PP & Another Appeal [2004] 3 CLJ 737 dan Magendran Mohan v PP [2011] 1 CLJ 85).

[25] Dalam kes ini, hakim bicara telah membuat dapatan menerima keterangan SP8 walaupun keterangan SP8 di sesi petang berbeza dengan keterangannya pada sesi sebelah pagi. Hakim bicara telah menjelaskan isu ini dengan panjang lebar seperti di muka surat 28 hingga 34 Rekod Rayuan Jilid 1 yang kami petik, seperti berikut:

"Di dalam kes ini, keterangan yang tampak jelas digunapakai oleh pendakwaan untuk mengaitkan Tertuduh terhadap kematian mangsa adalah keterangan SP8, Babu yakni adik kandung mangsa. Keterangan SP8 ini boleh dibahagikan kepada dua bahagian yakni sesi sebelum Mahkamah berhenti rehat dan keterangan selepas Mahkamah berhenti rehat.

Keterangan yang diberikan oleh SP8 di dalam dua sesi ini jelas dilihat bertentangan di antara satu sama lain. Keterangannya sebelum Mahkamah berhenti rehat, SP8 menyatakan bahawa ketika dia melihat Valli, Menon, Puspen, William dan Honda Boy sedang memegang senjata parang. Dia juga menyatakan yang dia mengecamkan dengan jelas bahawa Tertuduh bersenjatakan pistol pada waktu itu. SP8 juga memberitahu Mahkamah bahawa beliau ada melihat Tertuduh turut berada di dalam kumpulan tersebut sewaktu beliau mengangkat abangnya si mati selepas ditembak.

Namun keterangannya selepas Mahkamah berhenti rehat, terlihat banyak perbezaan keterangannya dari keterangannya di peringkat awalnya. SP8 dilihat menyambung memberikan keterangannya di dalam keadaan menggeletar begitu ketara seolah-olah beliau takutkan sesuatu. “Demeanour” SP8 tampak jelas di hadapan Mahkamah. Saya mengambil perhatian terhadap perubahan tindak tanduk SP8 ini. Beliau juga didapati menukar semua keterangan beliau berkait pengecaman beliau ke atas Tertuduh. Beliau menyatakan Tertuduh tidak terlibat apa-apa dengan kes ini. Pihak pendakwaan ada berniat untuk memanggil semula SP8. Walau bagaimanapun, beliau dikatakan tidak dapat dikesan selepasnya walaupun pihak pendakwaan telah jalankan pelbagai usaha.

Adakah keterangan SP8 ini boleh diterima oleh Mahkamah? Sekiranya keterangan SP8 ini diterima, maka alibi Tertuduh pasti akan ranap. Di dalam kes Public Prosecutor v. Lim Kian Chai [2016] 2 MLJ 153, Mahkamah Persekutuan menyatakan sebagaimana berikut di dalam keadaan saksi memberikan keterangan yang bercanggah dan pendakwaan tidak ‘impeach’ saksi ini:

“PW26 admitted in evidence that he had trailed the deceased about a month before the deceased was murdered. He admitted that he was arrested together with PW23, while trailing the deceased in the Proton Wira car and pleaded guilty to a charge under s 118 of the Penal Code. He admitted that on 18 February 2005 he trailed the deceased’s car to the restaurant and saw the pillion rider open fire at the car when it was reversing out of the parking lot. He saw the pillion rider flee on a motorcycle ridden by another person. He said he knew the pillion rider and the rider of the motorcycle.

However PW26 later contradicted himself when he said that he did not know the respondent. ‘Ah Chai’ that he referred to was a different person and not the respondent. He only knew the respondent after he was detained in the lock up and not before the deceased was shot. The learned trial judge, after an exhaustive evaluation of the evidence before him, made a firm finding of fact that Ah Chai mentioned by PW26 was in fact the respondent.

PW26, in cross-examination said that he could not see the face of the pillion rider and the rider of the motorcycle as they were wearing crash helmets with the visors. But when he was asked how did he know that the pillion rider was Ah Bee and that the rider of the motorcycle was the respondent, PW26 said, because I did ask them after the incident. The reply was not wholly unexpected as he had been trailing the deceased’s car on the day of the shooting and caught a glimpse at the deceased in his car after the shooting, before leaving the scene. He must have known in advance what would be forthcoming. He was also the person who brought ASP Wong Chee Keong ('PW21') to the place where the burnt motorcycle, allegedly ridden by the respondent was found. He would not have known the whereabouts of the motorcycle if there was no communication between him and the pillion rider or the rider of the motorcycle.

Despite of complicity with the incident surrounding the murder of the deceased, learned counsel for the respondent in his written submission at the High Court submitted, without reservation, that PW26 was a witness of truth and as he was not impeached, his evidence that he did not know the respondent must be accepted as true. PW26 claimed that he only came to know the respondent for the first time on 9 March 2005, at the lock up. It was not the defence case that PW26’s evidence was not worthy of credit due to self-contradictions in his evidence. It was not the defence case that PW26 was an accomplice whose evidence requires corroboration or that PW26 was an interested witness who testified in court in order to save himself. Learned counsel’s submission that PW26 did not know the respondent before the murder was however rejected by the learned trial judge. He gave his reasons why he did so.

The learned trial judge held that he was entitled to accept and give weight to some parts of the evidence of PW26 and reject other parts which he found unworthy of belief, see Public Prosecutor v. Datuk Haji Harun bin Haji Idris (No 2) [1977] 1 MLJ 15, Public Prosecutor v. Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim (No 3) [1999] 2 MLJ 1 at p 79, Khoo Chye Hin v. Public Prosecutor [1961] MLJ 105b. The learned judge is his judgment said:

It would be different of course where a witness consistently tells lies throughout his testimony such that the whole of his evidence must be given no credence or weight, but this is not such a case. Here, these two (2) witnesses have been selective in what they want to say. Not everything they said was untruthful. Accordingly, once the untruthful part of their evidence is rejected ie about not knowing the accused, what remains is not inconsistent or in conflict with the rest of the prosecution case, not has a reasonable doubt been cast on the prosecution case as alleged.

It is obvious from his judgment that the learned trial judge did not consider PW26’s evidence as wholly unworthy of credit. He had seen and heard PW26 giving evidence and after having evaluated his evidence the learned trial judge was prepared to accept, that except for the said contradiction, PW26’s evidence was credible and capable of heing believed.”

Keadaan yang sama juga berlaku di dalam kes di hadapan saya sekarang. Saya mendapati SP8 bukanlah menipu dan tidak bercakap benar di sepanjang keterangan beliau walaupun di suatu tahap dia akui telah berbohong. Cuma, beliau didapati merubah keterangan beliau di atas sebab-sebab yang tidak dapat diketahui secara pasti.

Berdasarkan keputusan Mahkamah Persekutuan di dalam kes Lim Kiang Chai (supra), Mahkamah bicara dibolehkan untuk membuat dapatan terhadap kebenaran saksi sebegini. Menilai keterangan SP8 ini, saya memutuskan bahawa keterangan SP8 ini bukanlah tidak bernilai langsung. Hakim bicara juga diperbolehkan untuk menimbang dan menerima pakai keterangan SP8 sebagai suatu keterangan yang kredibel. Oleh itu, di dalam hemat saya, keterangan SP8 sebelum berhenti rehat adalah sesuatu yang benar. Saya tidak mempunyai sebab untuk mengesyaki beliau memberikan keterangan yang tidak benar, walaupun keterangannya jelas berbeza selepas Mahkamah berhenti rehat. SP8 seolah-olah takutkan sesuatu semasa memberikan keterangan sehingga kakinya menggeletar dan Mahkamah terpaksa menenangkannya. Saya tidak tahu apakah yang terjadi kepada beliau. Apa yang pasti, selepas rehat didapati keterangan beliau jelas berbeza. Beliau menafikan semua keterlibatan Tertuduh di dalam kes pembunuhan terhadap si mati walaupun di sesi awalnya, keterangannya itu begitu terang, jelas serta tidak berganjak yang menyatakan:

(i) Di dalam perjalanan ke Hospital Klang, dia telah melalui sebuah flat di mana terdapat sekumpulan geng 303 seramai 15 orang sedang berkumpul. Antara yang dikenali berada dalam kumpulan itu ialah Manmathan (Tertuduh).

(ii) Kumpulan tersebut bersenjatakan parang dan pistol dengan Valli, Menon, Puspen, William dan Honda Boy bersenjatakan parang.

(iii) Manmathan pula dikatakan bersenjatakan pistol.

(v) Dia ada melihat Manmathan berada di dalam kumpulan tersebut semasa mengangkat si mati setelah ditembak.

Di dalam kes yang sama, Mahkamah Persekutuan juga memutuskan bahawa ianya menjadi keistimewaan hakim bicara untuk membuat kesimpulan terhadap keterangan yang disampaikan setelah melihat ‘demeanour’ saksi. Saya memutuskan bahawa berdasarkan kelakuan SP8 yang dilihat menggeletar di peringkat sesi kedua keterangan beliau, SP8 sebenarnya telah bercakap benar di dalam sesi pertama keterangan sebelum rehat, adalah sesuatu yang benar. Dia begitu yakin memberikan keterangan di sesi tersebut, terang dan tidak gementar. Namun sikapnya berbeza di sesi kedua. Beliau menggeletar seolah-olah takutkan sesuatu dan cuba menyembunyikan sesuatu. Tidak elok dan tidak wajar dibuat sebarang spekulasi terhadap perubahan beliau, tetapi menukar keterangannya dengan secara mendadak selepas waktu rehat ia jelas menimbulkan syak. Ini tampak jelas lagi apabila beliau gagal dikesan untuk dipanggil semula. Ini juga menimbulkan syak. Kesimpulan, saya menerima keterangan SP8 di sepanjang kes sebelum rehat sebagai sesuatu yang benar. Keterangan beliau begitu kredibel sekali di peringkat itu.

Saya juga menerima pengecaman yang dilakukan oleh SP8 ke atas Tertuduh yang dikatakan memegang pistol di tempat kejadian sebagai sesuatu pengecaman yang sangat kredibel. Juga keterangan beliau yang menyatakan: "...selain dari Manmathan, saya tidak ada lihat ada orang lain pegang pistol ...” jelas menunjukkan peranan yang dimainkan oleh Tertuduh di dalam kes ini.”

[26] Kami mendapati tiada sebarang kekhilafan dalam dapatan hakim bicara tersebut di atas dan kami bersetuju dengan dapatan tersebut. Kami juga mendapati hakim bicara betul dalam keputusannya apabila bersandar kepada keputusan dalam kes Lim Kiang Chai, supra.

[27] Mengenai alasan rayuan terakhir bahawa pihak pendakwaan telah gagal untuk memanggil Puspen @ Puspanathan sebagai saksi dan anggapan di bawah seksyen 114(g) Akta Keterangan, 1950 wajar digunapakai terhadap pihak pendakwaan, setelah meneliti penghakiman hakim bicara, kami mendapati hakim bicara gagal membuat sebarang dapatan mengenai isu itu walaupun mengakui isu itu telah turut ditimbulkan oleh peguam bela terpelajar. Di muka surat 14 Rekod Rayuan Jilid 1, hakim bicara menyatakan:

"Di antara isu-isu yang dibangkitkan oleh pihak Pembelaan di sepanjang perbicaraan adalah:

a) ...

b) …

c) Dua orang bernama Menon dan Puspanathan ditangkap dan dituduh di Mahkamah Rendah berkaitan dengan kes ini dan telah dibebaskan (released). Kedua-dua orang ini tidak dibawa ke Mahkamah sebagai saksi untuk ‘unfold the prosecution’s version’.”

[28] Adalah undang-undang mantap bahawa rayuan di hadapan kami merupakan satu kesinambungan dalam perbicaraan. Oleh itu, Mahkamah ini diberi ruang untuk meneliti keterangan yang berada di hadapan hakim bicara dan membuat dapatan sama ada hakim bicara telah membuat kekhilafan apabila gagal membuat dapatan atas isu yang dibangkitkan oleh peguam bela dan sama ada telah berlaku ketidakadilan atau kegagalan keadilan dalam kes ini.

[29] Kami telah meneliti keterangan pegawai penyiasat, ASP Chua Hang Loun (SP16) terutama semasa pemeriksaan balas. Tidak dinafikan bahawa Puspen @ Puspanathan telah ditangkap, dituduh dan kemudian dibebaskan. SP16 mengakui penama itu dibebaskan dengan tanpa sebarang syarat dan tiada percakapan penama itu dirakam sebelum dibebaskan. SP16 bersetuju tidak ada sebarang usaha telah diambil untuk mengesan penama selain menyatakan penama itu gagal dikesan. Walau bagaimanapun, Puan Timbalan Pendakwa Raya (Puan TPR) menghujahkan penama itu bukanlah saksi yang penting dalam membentangkan naratif kes pendakwaan dan tidak ada keterangan yang dapat menunjukkan bahawa berlaku cubaan untuk menyembunyikan keterangan saksi itu. Oleh itu, dihujahkan bahawa anggapan di bawah seksyen 114(g) Akta Keterangan, 1950 tidak boleh digunapakai terhadap pihak pendakwaan.

[30] Kami bersetuju dengan penghujahan Puan TPR. Prinsip undang-undang mengenai isu ini telah dibentangkan oleh Mahkamah Persekutuan melalui Mohd Azmi, HMA dalam kes Munusamy Vengadasalam v PP [1978] CLJ (Rep) 221 yang kami petik seperti berikut:

“Before us the conviction is being attacked on five main grounds. The argument on the first three grounds revolves on the provision of adverse inference under s. 114(g) Evidence Act 1950 on (a) the unknown informer; (b) the typist of the Chemisty Department; and (c) the absence of accuracy certificate in respect of the weighing machine used by the government chemist. It is essential to appreciate the scope of s. 114(g) lest it be carried too far outside its limit. Adverse inference under that illustration can only be drawn if there is withholding or suppression of evidence and not merely on account of failure to obtain evidence. It may be drawn from withholding not just any document, but material document by a party in his possession, or for non-production of not just any witness but an important and material witness to the case.”

[31] Dalam kes Amri Ibrahim & Anor PP [2017] 1 CLJ 617, di muka surat 630-631, Hasan Lah, HMP telah menjelaskan isu yang sama seperti berikut:

“[52] Learned counsel argued that even though the evidence of Phee Chin Guan may not be material at the close of the prosecution’s case, in light of the evidence of the appellants, which were consistent with each other and remained unshaken even after vigorous cross-examination by the prosecution, the only way of rebutting the defence of the appellants was to call Phee Chin Guan as a prosecution witness as he was the only peson that was present together with PW4 initially in room No. 1508 and later in room No. 1911.

[53] It is trite law that the discretion lies with the prosecution to call all such witnesses as are essential to the unfolding of the narrative on which the prosecution’s case is based. Phee Chin Guan was not called as a prosecution’s witness because according to the prosecution, the unfolding of the narrative was sufficient through the evidence of PW4. In any event, Phee Chin Guan was offered to the defence at the close of the prosecution’s case.

[54] At the end of a trial, s. 182A of the Criminal Procedure Code imposes a duty on a trial court to consider all the evidence adduced before it and to decide whether the prosecution has proved its case beyond reasonable doubt.

[55] Whenever a criminal case is decided on the basis of the truth of the prosecution’s case as against the falsity of the defence story, a trial judge must in accordance with the principle laid down in Mat v. PP [1963] 1 LNS 82; [1963] MLJ 263 go one step further before convicting an accused by giving due consideration as to why the defence story, though could not be believed, did not raise any reasonable doubt in the prosecution case (see Mohamad Radhi Yaakob v. PP [1991] 3 CLJ 2073; [1991] 1 CLJ (Rep) 311; [1991] 3 MLJ 169). This was done by the learned trial judge.

[56] The issue of the non-calling of Phee Chin Guan was argued before the Court of Appeal by the defence. The Court of Appeal inter alia that Phee Chin Guan was not an essential or material witness to the prosecution in order to establish a prima facie case at the close of its case or to prove its case beyond reasonable doubt at the end of the defence case and the non-calling of Phee Chin Guan did not leave a gap in the prosecution’s case. It was also held that on the facts of the case, the learned trial judge did not err in not invoking s. 114(g) of the Evidence Act 1950 against the prosecution.

[57] The power of the court to draw an adverse inference under s. 114(g) of the Evidence Act 1950 is discretionary. It depends on the circumstances of the case and particularly in cases where the material witnesses are not produced (see Lau Song Seng v. PP [1998] 1 SLR 663). The scope of s. 114(g) has been explained by the Supreme Court in Munusamy Vengadasalam v. PP [1987] 1 CLJ 250; [1987] CLJ (Rep) 221 at p. 223; [1987] 1 MLJ 492 at p. 494:

... It is essential to appreciate the scope of section 114(g) lest it be carried too far outside its limit. Adverse inference under that illustration can only be drawn if there is withholding or suppression of evidence and not merely on account of failure to obtain evidence. It may be drawn from withholding not just any document, but material document by a party in his possession, or for non-­production of not just any witness but an important and material witness to the case.

[58] On the facts of the case we agree with the finding of the Court of Appeal that adverse inference under s. 114(g) of the Evidence Act ought not to be drawn against the prosecution for not calling Phee Chin Guan as its witness. We agree with the reasons given by the Court of Appeal.".

Kesimpulan

[32] Berdasarkan alasan-alasan yang telah kami nyatakan di atas, kami mendapati tiada merit dalam rayuan Perayu. Sabitan adalah selamat dan disokong oleh keterangan yang kukuh dan mencukupi. Oleh itu, rayuan Perayu ditolak. Sabitan dan hukuman Mahkamah Tinggi disahkan dan dikekalkan.

Bertarikh: 17 April 2018

t.t.

KAMARDIN BIN HASHIM
Hakim
Mahkamah Rayuan Malaysia

COUNSEL

Bagi Pihak Perayu: Afifuddin bin Ahmad Hafifi, Tetuan Salehuddin Saidin & Associates, Wisma Salehuddin, Shah Alam, Selangor

Bagi Pihak Responden: Nurulhuda Nur’Aini bt Mohd Nor, Timbalan Pendakwa Raya, Jabatan Peguam Negara, Putrajaya

Legislation referred to:

Akta Keterangan 1950, Seksyen 114(g)

Kanun Acara Jenayah, Seksyen 402A

Kanun Keseksaan, Seksyen-seksyen 302, 34

Judgments referred to:

Amri Ibrahim & Anor v PP [2017] 1 CLJ 617

Dato’ Seri Anwar Ibrahim v PP & Another Appeal [2004] 3 CLJ 737

Duis Akim & Ors v PP [2013] 9 CLJ 692

Magendran Mohan v PP [2011] 1 CLJ 85

Munusamy Vengadasalam v PP [1978] CLJ (Rep) 221

Public Prosecutor v Lim Kian Chai [2016] 2 MLJ 153

Notice: The Promoters of Malaysian Judgments acknowledge the permission granted by the relevant official/ original source for the reproduction of the above/ attached materials. You shall not reproduce the above/ attached materials in whole or in part without the prior written consent of the Promoters and/or the original/ official source. Neither the Promoters nor the official/ original source will be liable for any loss, injury, claim, liability, or damage caused directly, indirectly or incidentally to errors in or omissions from the above/ attached materials. The Promoters and the official/ original source also disclaim and exclude all liabilities in respect of anything done or omitted to be done in reliance upon the whole or any part of the above/attached materials. The access to, and the use of, Malaysian Judgments and contents herein are subject to the Terms of Use.