THE OFFICIAL REPOSITORY OF
MALAYSIAN JUDGMENTS & RULINGS

[2018] MYCA 256 MALAY

Low Teck Sang v Pendakwa Raya
Suit Number: Rayuan Jenayah No. J-05(M)-106-03/2017 

Criminal law – Trafficking in dangerous drugs – Conviction – Sentence – Appeal – Whether conviction safe – Dangerous Drugs Act 1952

PENGHAKIMAN

Latarbelakang

[1] Ini adalah rayuan Perayu terhadap sabitan dan hukuman mati yang dijatuhkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Johor Bahru (“hakim bicara”) atas dua kesalahan kerana memperedarkan dadah berbahaya di bawah seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya, 1952 (“Akta”) yang membawa hukuman mati di bawah seksyen 39B(2) Akta yang sama.

[2] Butir-butir dua pertuduhan di atas di mana Perayu telah disabitkan, dibaca seperti berikut:

Pertuduhan Pertama

“Bahawa kamu pada 17.8.2014, jam lebih kurang 7.20 petang, bertempat di rumah beralamat No. 62 Jalan Denai 4, Taman Bukit Jaya, Ulu Tiram di dalam daerah Johor Bahru di dalam Negeri Johor Darul Ta’zim telah didapati mengedar dadah berbahaya iaitu Ketamine seberat 509.64 gram dan dengan itu kamu telah melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) Akta yang sama”.

Pertuduhan Kedua

“Bahawa kamu pada 17.8.2014, jam lebih kurang 7.20 petang, bertempat di rumah beralamat No. 62 Jalan Denai 4, Taman Bukit Jaya, Ulu Tiram di dalam daerah Johor Bahru di dalam Negeri Johor Darul Ta’zim telah didapati mengedar dadah berbahaya iaitu 3, 4-Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) seberat 61.87 gram dan dengan itu kamu telah melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) Akta yang sama”.

[3] Bagi tujuan untuk melengkapkan latar belakang kes rayuan ini, Perayu turut dipertuduhkan dengan tiga lagi kesalahan, iaitu, satu kesalahan kerana memiliki dadah berbahaya dan dua (2) lagi kesalahan kerana memiliki racun di bawah Akta Racun, 1952. Tiga pertuduhan tersebut adalah seperti berikut:

Pertuduhan Ketiga

“Bahawa kamu pada 17.8.2014, jam lebih kurang 7.20 petang, bertempat di rumah beralamat No. 62 Jalan Denai 4, Taman Bukit Jaya, Ulu Tiram di dalam daerah Johor Bahru di dalam Negeri Johor Darul Ta’zim telah ada dalam kawalan kamu dadah berbahaya iaitu Methylenedioxyamphetamine (MDA) seberat 5.24 gram dan dengan itu kamu telah melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) Akta yang sama”.

Pertuduhan Keempat

“Bahawa kamu pada 17.8.2014, jam lebih kurang 7.20 petang, bertempat di rumah beralamat No. 62 Jalan Denai 4, Taman Bukit Jaya, Ulu Tiram di dalam daerah Johor Bahru di dalam Negeri Johor Darul Ta’zim telah didapati ada dalam kawalan kamu racun iaitu Caffeine seberat 13,132.43 gram dan dengan itu kamu telah melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 9(1) Akta Racun 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 32(2) Akta yang sama”.

Pertuduhan Kelima

“Bahawa kamu pada 17.8.2014, jam lebih kurang 7.20 petang, bertempat di rumah beralamat No. 62 Jalan Denai 4, Taman Bukit Jaya, Ulu Tiram di dalam daerah Johor Bahru di dalam Negeri Johor Darul Ta’zim telah didapati ada dalam milikan kamu racun iaitu Chloroquine seberat 1476.67 gram dan dengan itu kamu telah melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 9(1) Akta Racun 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 32(2) Akta yang sama”.

[4] Perayu telah turut disabitkan dengan tiga (3) Pertuduhan tersebut dan hakim bicara telah menjatuhkan hukuman 12 bulan, 8 bulan dan 6 bulan penjara bagi setiap pertuduhan berjalan serentak berkuat kuasa dari tarikh Perayu ditangkap (17.8.2014). Perayu tidak memfailkan notis rayuan terhadap sabitan dan juga hukuman bagi ketiga-tiga pertuduhan tersebut.

[5] Kami telah mendengar rayuan Perayu terhadap dua sabitan dan hukuman mati yang dijatuhkan oleh hakim bicara pada 25.7.2018. Setelah mendengar penghujahan pihak-pihak serta meneliti rekod rayuan, kami memutuskan rayuan Perayu tidak mempunyai sebarang merit. Oleh itu, rayuan Perayu ditolak. Berikut ialah alasan kami menolak rayuan Perayu.

Kes Pendakwaan

[6] Naratif kes pihak pendakwaan telah dihuraikan oleh hakim bicara dalam penghakiman bertulisnya. Kami tidak perlu untuk mengulangi keseluruhannya di sini kecuali setakat yang perlu untuk melupuskan rayuan Perayu, seperti berikut. Pada 17.8.2014, jam lebih kurang 7.20 malam, bertindak atas maklumat awam, Inspektor Azrul Izwan Bin Abdul Latif (SP6) bersama satu pasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor telah membuat pemerhatian dan serbuan di sebuah rumah teres dua tingkat di alamat No. 62, Jalan Denai 4, Taman Bukit Jaya, Ulu Tiram, Johor Bahru (“rumah tersebut”). SP6 dan anggota pasukannya telah berjaya memasuki ke dalam rumah tersebut setelah pintu hadapan dipecahkan apabila pintu itu enggan dibuka oleh penghuni rumah tersebut walaupun diketuk berulang kali dan SP6 berteriak memperkenalkan dirinya sebagai pegawai polis.

[7] Sebaik berjaya masuk, SP6 mendengar bunyi dentuman pintu ditutup dengan kuat di tingkat atas rumah tersebut. SP6 terus berlari ke tingkat atas dan cuba untuk membuka salah satu pintu bilik di tingkat atas tersebut tetapi gagal. SP6 berjaya memasuki bilik itu setelah pintu dipecahkan. Setelah masuk, SP6 mendapati seorang lelaki bangsa Cina yang kemudiannya dicamkan sebagai Perayu sedang bersembunyi di dalam bilik itu. Perayu cuba untuk melarikan diri dengan merempuh SP6. Walau bagaimanapun, Perayu berjaya ditahan.

[8] Pemeriksaan telah dilakukan di dalam bilik itu, SP6 telah menemui barang-barang kes seperti berikut:

(a) Satu mesin pencetak (ditandakan sebagai “C1”);

(b) Satu paket plastik lutsinar mengandungi pil-pil berwarna merah jambu (ditandakan sebagai “C2”) disyaki dadah jenis ecstasy;

(c) Satu paket plastik lutsinar (ditandakan sebagai “C3”) mengandungi pil-pil berwarna kemerahan disyaki dadah jenis ecstasy;

(d) Satu bekas plastik lutsinar (ditandakan sebagai “C4”) di dalamnya mengandungi yang berikut;

(e) Satu paket plastik lutsinar (ditandakan sebagai “C4C”) berisi 211 biji pil berwarna kelabu;

(f) Satu paket plastik lutsinar (ditandakan sebagai “C4G”) mengandungi 92 biji pil berwarna kehijauan;

(g) Satu paket plastik lutsinar (ditandakan sebagai “C4J”) mengandungi 19 biji pil berwarna kemerahan;

(h) Satu paket plastik lutsinar mengandungi pil-pil berwarna coklat cair disyaki dadah jenis ecstasy (ditandakan sebagai “C4A”);

(i) Satu paket plastik lutsinar mengandungi pil-pil berwarna ungu disyaki dadah jenis ecstasy (ditandakan sebagai “C4B”);

(j) Satu paket plastik lutsinar mengandungi pil-pil berwarna kelabu disyaki dadah jenis ecstasy (ditandakan sebagai “C4D”);

(k) Satu paket plastik lutsinar mengandungi pil-pil berwarna oren disyaki dadah jenis ecstasy (ditandakan sebagai “C4E”);

(l) Satu paket plastik lutsinar mengandungi pil-pil berwarna merah disyaki dadah jenis ecstasy (ditandakan sebagai “C4F”);

(m) Satu paket plastik lutsinar mengandungi pil-pil berwarna hijau disyaki dadah jenis ecstasy (ditandakan sebagai “C4H”);

(n) Satu paket plastik lutsinar mengandungi pil-pil berwarna kuning disyaki dadah jenis ecstasy (ditandakan sebagai “C4I”);

(o) Satu paket plastik lutsinar mengandungi pil-pil berwarna merah disyaki dadah jenis ecstasy (ditandakan sebagai “C4K”);

(p) Satu paket plastik lutsinar mengandungi pil-pil berwarna coklat disyaki dadah jenis ecstasy (ditandakan sebagai “C4L”);

(q) Satu paket plastik lutsinar mengandungi pil-pil berwarna coklat disyaki dadah jenis ecstasy (ditandakan sebagai “C4M”);

(r) Satu paket plastik lutsinar mengandungi pil-pil berwarna coklat disyaki dadah jenis ecstasy (ditandakan sebagai “C4N”); dan

(s) Satu paket plastik lutsinar mengandungi pil-pil berwarna coklat disyaki dadah jenis ecstasy (ditandakan sebagai “C4O”).

[9] Pemeriksaan lanjut di dalam bilik yang sama di mana Perayu ditemui bersembunyi, SP6 turut menjumpai barang-barang kes berikut:

(a) Satu foil aluminium mengandungi serbuk berwarna hijau disyaki dadah jenis ecstasy (ditandakan sebagai “C5”);

(b) Satu bekas plastik lutsinar mengandungi serbuk berwarna merah disyaki dadah jenis ecstasy (ditandakan sebagai “C6”);

(c) Satu bekas plastik lutsinar berwarna putih bertulisan “metacin” mengandungi serbuk berwarna hijau disyaki dadah jenis ecstasy (ditandakan sebagai “C7”);

(d) Satu bekas kaca lutsinar mengandungi serbuk berwarna hijau disyaki dadah jenis ecstasy (ditandakan sebagai “C8”);

(e) Enam (6) paket plastik lutsinar setiap satunya mengandungi serbuk berwarna putih disyaki dadah jenis ecstasy (ditandakan masing-masing sebagai “C9”, “C10”, “C11”, “C12”, “C13” dan “C14”);

(f) Satu tong kayu (ditandakan sebagai “C15”), di dalamnya mengandungi empat (4) botol kaca yang berisi cecair dan dua (2) botol plastik juga mengandungi cecair yang disyaki sebagai dadah (masing-masingnya ditandakan sebagai “C15A”, “C15B”, “C15C”, “C15D”, “C15E” dan “C15F”);

(g) Satu alat pengisar (ditandakan sebagai “C16”);

(h) Satu talam berwarna putih (ditandakan sebagai “C17”) di dalamnya terdapat sejumlah dua puluh (20) alat acuan mesin (masing-masing ditandakan sebagai “C17A-C17T”);

(i) Satu talam berwarna kuning (ditandakan sebagai “C18”) di dalamnya terdapat sejumlah dua puluh satu (21) alat acuan mesin (masing-masing ditandakan sebagai “C18A-C18U”); dan

(j) Satu mesin ragum (ditandakan sebagai “C19”).

[10] Pemeriksaan di ruang tamu rumah tersebut, SP6 menjumpai satu mesin pengisar bertulisan “Huang Cheng” (ditandakan sebagai “A1”). Pemeriksaan kemudian diteruskan di sebuah bilik di tingkat bawah yang berkunci dengan mangga dan berjaya dibuka setelah Perayu memberitahu SP6 nombor kombinasi mangga itu 14670. Pemeriksaan dalam bilik itu, SP6 telah menemui dan merampas barang-barang kes seperti berikut:

(a) Satu mangga bernombor kombinasi 14670 (ditandakan sebagai “B”);

(b) Satu set alat pengisar jenama ‘Panasonic’ (ditandakan sebagai “B1-B5”);

(c) Sebuah mesin bertulis ‘LFP-500A’ (ditandakan sebagai “B6”);

(d) Tiga (3) bekas plastik bertulis ‘Paracetamol’ mengandungi serbuk berwarna putih disyaki dadah (ditandakan sebagai “B7-B9”);

(e) Satu bekas plastik bertulisan ‘Paracetamol’ mengandungi serbuk berwarna ungu disyaki dadah jenis ecstasy (ditandakan sebagai “B10”);

(f) Satu alat penimbang digital jenama ‘Electronic Balance’ (ditandakan sebagai “B11”);

(g) Satu paket plastik lutsinar mengandungi serbuk berwarna biru disyaki dadah jenis ecstasy (ditandakan sebagai “B12”);

(h) Satu paket plastik lutsinar mengandungi serbuk disyaki dadah (ditandakan sebagai “B13”);

(i) Satu paket plastik lutsinar mengandungi serbuk berwarna coklat gelap disyaki dadah jenis ecstasy (ditandakan sebagai “B14”);

(j) Satu paket plastik lutsinar mengandungi serbuk berwarna kelabu disyaki dadah jenis ecstasy (ditandakan sebagai “B15”);

(k) Satu paket plastik lutsinar mengandungi serbuk berwarna merah jambu disyaki dadah jenis ecstasy (ditandakan sebagai “B16”);

(l) Tiga (3) paket plastik lutsinar mengandungi setiap satu serbuk berwarna putih disyaki dadah (ditandakan sebagai “B17”, “B21” dan “B24”);

(m) Satu paket plastik lutsinar mengandungi serbuk berwarna kuning disyaki dadah jenis ecstasy (ditandakan sebagai “B18”);

(n) Satu paket plastik lutsinar mengandungi serbuk berwarna merah disyaki dadah jenis ecstasy (ditandakan sebagai “B19”);

(o) Satu paket plastik lutsinar mengandungi serbuk berwarna putih disyaki dadah jenis ecstasy (ditandakan sebagai “B20”);

(p) Satu foil aluminium mengandungi serbuk berwarna putih disyaki dadah (ditandakan sebagai “B22”);

(q) Satu paket plastik lutsinar mengandungi pil-pil berwarna ungu disyaki dadah jenis ecstasy (ditandakan sebagai “B23”);

(r) Satu paket plastik lutsinar mengandungi serbuk berwarna putih disyaki dadah jenis ecstasy (ditandakan sebagai “B24”);

(s) Satu paket plastik lutsinar mengandungi pil-pil berwarna coklat disyaki dadah jenis ecstasy (ditandakan sebagai “B25”);

(t) Satu paket plastik lutsinar mengandungi serbuk berwarna coklat disyaki dadah jenis ecstasy (ditandakan sebagai “B26”);

(u) Satu paket plastik lutsinar mengandungi serbuk berwarna kuning disyaki dadah jenis ecstasy (ditandakan sebagai “B27”);

(v) Satu paket plastik lutsinar mengandungi serbuk berwarna coklat pudar disyaki dadah jenis ecstasy (ditandakan sebagai “B28”); dan

(w) Satu paket plastik lutsinar mengandungi pil-pil berwarna coklat gelap disyaki dadah jenis ecstasy (ditandakan sebagai “B29”).

[11] Pemeriksaan selanjutnya di dalam bilik yang sama, SP6 menemui dan merampas barang-barang kes seperti berikut:

(a) Dua (2) foil aluminium mengandungi serbuk berwarna kuning muda disyaki dadah jenis ecstasy (ditandakan sebagai “B32” dan “B34”);

(b) Satu foil aluminium mengandungi serbuk berwarna hijau disyaki dadah jenis ecstasy (ditandakan sebagai “B33”);

(c) Satu foil aluminium mengandungi serbuk berwarna merah jambu disyaki dadah jenis ecstasy (ditandakan sebagai “B35”);

(d) Satu foil aluminium mengandungi serbuk berwarna hijau tua disyaki dadah jenis ecstasy (ditandakan sebagai “B36”);

(e) Satu foil aluminium mengandungi serbuk berwarna kuning muda disyaki dadah jenis ecstasy (ditandakan sebagai “B37”);

(f) Satu paket plastik lutsinar mengandungi serbuk berwarna coklat disyaki dadah jenis ecstasy (ditandakan sebagai “B38”);

(g) Dua paket plastik lutsinar mengandungi serbuk berwarna hijau disyaki dadah jenis ecstasy (ditandakan sebagai “B39” dan “B40”);

(h) Satu paket plastik lutsinar mengandungi serbuk berwarna merah disyaki dadah jenis ecstasy (ditandakan sebagai “B41”);

(i) Satu paket plastik lutsinar mengandungi serbuk berwarna kuning cair disyaki dadah jenis ecstasy (ditandakan sebagai “B42”);

(j) Tujuh (7) paket plastik lutsinar mengandungi serbuk berwarna putih disyaki dadah (ditandakan sebagai “B43”, “B44”, “B45”, “B46”, “B47”, “B48” dan “B49”); dan

(k) Satu botol kaca bertulisan ‘chloroform’ mengandungi cecair disyaki dadah/ racun (ditandakan sebagai “B50”);

[12] Sebelum beredar dari rumah tersebut, SP6 turut merampas barang-barang kes berikut:

(a) Satu rangkai 8 batang anak kunci (ex. P33(1-8));

(b) Satu mangga bertulis ‘LS’ (ex. P20D(1));

(c) Satu pasport antarabangsa Malaysia atas nama Low Teck Sang no: 18427481 (ex. P33A);

(d) Satu lesen memandu Malaysia atas nama Low Teck Sang K/P: 720512-04-5049 (ex. P33B);

(e) Wang tunai campur-campur RM283;

(f) Empat (4) buah telefon bimbit jenis I-phone (1), Samsung (2) dan Sony Ericcson (1); dan

(g) Satu kad pengenalan diri atas nama Perayu (ex. P33G).

[13] Keterangan turut dikemukakan melalui pemilik rumah tersebut, Kalai Selvi a/p Supramuniam (SP3) yang menyatakan bahawa rumah tersebut telah disewakan kepada Perayu pada 12.3.2014 melalui satu Perjanjian Tenansi (ex. P28). Siasatan oleh pegawai penyiasat, ASP Lalitha a/p Nagarajan (SP8) tidak menunjukkan ada tanda-tanda bahawa rumah tersebut telah dihuni oleh orang lain selain dari Perayu.

[14] Pada 24.8.2014, kesemua barang kes yang disyaki dadah berbahaya telah dihantar oleh SP8 kepada Ahli Kimia, Abdul Rahim Bin Shaadan (SP1) untuk pemeriksaan dan penganalisaan. Setelah semuanya dianalisis, SP1 mendapati barang-barang kes yang beliau terima, antara lainnya, mengandungi dadah berbahaya jenis Ketamine seberat 509.64 gram dan 3, 4-methylenedioxymethamphetamine (MDMA) seberat 61.87 gram. SP1 turut mengesahkan kedua-dua jenis dadah berbahaya itu tersenarai dalam Jadual Pertama, Akta.

Keputusan Di akhir Kes Pendakwaan

[15] Di akhir kes pendakwaan, hakim bicara telah mendapati bahawa Perayu mempunyai jagaan dan kawalan terhadap barang kes dadah Ketamine yang berada dalam rumah tersebut. Hakim bicara menerima keterangan berkaitan dengan kelakuan Perayu yang lari bersembunyi dalam bilik serta mengunci bilik sebelum pintu bilik dipecahkan oleh SP6. Keterangan tentang kelakuan Perayu ini adalah berkaitan dengan isu pengetahuan dan boleh diterima di bawah Seksyen 8 Akta Keterangan, 1950. Hakim bicara membuat inferen bahawa Perayu mempunyai milikan serta pengetahuan terhadap dadah Ketamine yang dipertuduhkan. Untuk elemen pengedaran, hakim bicara telah terkhilaf apabila menggunapakai anggapan pengedaran di bawah seksyen 37(da) Akta. Selain itu, hakim bicara turut menimbangkan jumlah dadah berbahaya Ketamine yang terlibat sangat besar dan tidak mungkin untuk kegunaan Perayu sendiri.

[16] Mengenai dadah berbahaya jenis MDMA bagi pertuduhan kedua, hakim bicara telah menggunapakai anggapan pemilikan dan pengetahuan di bawah seksyen 37(d) Akta dan juga anggapan pengedaran di bawah seksyen 37(da) Akta sebelum membuat dapatan kes prima facie telah berjaya dibuktikan oleh pihak pendakwaan terhadap Perayu.

[17] Setelah berpuas hati atas penilaian maksima bahawa satu kes prima facie telah berjaya dibuktikan terhadap Perayu atas kedua-dua pertuduhan, Perayu telah diperintahkan untuk membela diri atas kedua-dua pertuduhan yang dihadapkan.

Kes Pembelaan

[18] Perayu memilih memberi keterangan membela dirinya secara bersumpah. Hanya Perayu sahaja saksi untuk kes pembelaan. Dalam keterangannya Perayu menyatakan pihak polis telah menyerbu rumah sewanya dan telah menahan beliau. Perayu menafikan dia telah bertindak agresif. Beliau telah menyewa rumah itu untuk memudahkannya untuk bekerja di Johor Bahru. Perayu mendakwa bahawa dia hanya mendiami satu bilik sahaja manakala dua lagi bilik di tingkat bawah telah disewakan kepada rakannya yang bernama ‘Ah Wai’ dan ‘Ah Xiong’. Dua rakannya itu ada memegang kunci rumah tersebut. Dua bilik itu telah disewakan dengan tanpa pengetahuan pemilik rumah tersebut. Dua rakannya itu bagaimanapun jarang-jarang berada di rumah tersebut.

[19] Selebihnya, Perayu menafikan dia pemilik kepada barang-barang kes dadah yang dirampas oleh polis dan dia tidak ada pengetahuan terhadap barang kes dadah yang dipertuduhkan. Perayu menyatakan beliau tinggal di dalam bilik di tingkat atas di sebelah kanan. Perayu juga menyatakan bahawa pihak polis tidak pernah menunjukkan kepadanya barang-barang yang mereka rampas dan polis juga tidak ada mengira pil-pil yang dirampas di hadapan beliau.

[20] Di akhir kes pembelaan, hakim bicara mendapati pembelaan Perayu merupakan satu penafian semata-mata (bare denial), satu rekaan terbaru dan satu pemikiran terkemudian. Pembelaan Perayu telah gagal untuk menimbulkan sebarang keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan serta telah gagal untuk mematahkan anggapan di bawah seksyen 37(d) dan 37(da) Akta, atas imbangan kebarangkalian. Di muka surat 45 Rekod Rayuan Jilid 1, hakim bicara membuat rumusan berikut:

“...His attempt to shift the blame on to Ah Wai and Ah Xiong allegedly as tenants of the said house which was only raised during the defence case was clearly a ‘recent invention’ and an afterthought unworthy of belief. The Court considered the defence version as a bare denial. In Losolli v PP (2011) 4 MLJ 694 the court held that it is trite law that the defence of bare denial is no defence. What it amounts to is this that the defence did not offer any explanation to the charges and merely denied the charges advance by the prosecution.

To recapitulate, as for the 1st and 2nd charge for trafficking ketamine and MDMA in case No: 45A-05-02-2015, the Court held that the accused had failed to rebut the presumption of trafficking and also in the same vein had failed to cast any reasonable doubt on the prosecution’s case. The Court in the upshot held that the prosecution had succeeded in proving a case of trafficking beyond reasonable doubt against the accused. The Court found the accused guilty of trafficking in 509.64 grams of ketamine and 61.87 grams of MDMA respectively pursuant to Section 39B(1)(a) of the Act. The Court hereby sentenced the accused for the 1st charge to death by hanging and for the 2nd charge sentenced the accused to death by hanging pursuant to Section 39B(2) of the same Act respectively.".

[21] Oleh itu, Perayu telah didapati bersalah dan disabitkan dengan pertuduhan-pertuduhan tersebut. Perayu telah dijatuhkan hukuman gantung di leher sehingga mati bagi dua pertuduhan itu. Lantas, rayuan Perayu di hadapan kami.

Rayuan Perayu

[22] Di hadapan kami peguam Perayu yang terpelajar telah membangkitkan empat isu berikut sebagai alasan untuk membenarkan rayuan Perayu:

(a) Milikan dadah yang dipertuduhkan;

(b) Pemakaian anggapan berganda;

(c) Kuantiti sebenar dadah yang terlibat; dan

(d) Hukuman alternatif.

Dapatan dan keputusan kami

Isu (a) milikan

[23] Mengenai isu milikan, peguam terpelajar telah merujuk kepada penghakiman hakim bicara di muka surat 32 Rekod Rayuan Jilid 1 yang kami petik seperti berikut:

Since no presumption of possession could be invoked for ketamine, the Court was of the view that based on the factual matrix of the case, the accused had an affirmative possession, custody and control with knowledge of the impugned drug where on the totality of the evidence adduce by SP6 it was sufficient to prove possession and knowledge from the surrounding facts and circumstances.”.

[24] Bantahan peguam terpelajar adalah terhadap dapatan pemilikan oleh hakim bicara berdasarkan keterangan langsung bagi dadah berbahaya jenis Ketamine walaupun dadah itu ditemui bersama dadah jenis MDMA. Untuk dadah berbahaya jenis MDMA, hakim bicara telah menggunapakai anggapan di bawah seksyen 37(d) Akta. Peguam terpelajar menghujahkan hakim bicara telah tersalah arah dari segi fakta dan undang-undang serta telah terkeliru mengenai elemen milikan dan ini telah memprejudiskan Perayu.

[25] Kami tidak bersetuju dengan hujahan peguam terpelajar bahawa Perayu telah diprejudiskan atas isu milikan. Walaupun hakim bicara telah terkhilaf apabila menyatakan anggapan pemilikan di bawah seksyen 37(d) Akta tidak terpakai terhadap dadah berbahaya jenis Ketamine, hakim bicara tidak terkhilaf untuk membuat dapatan elemen pemilikan dadah berbahaya Ketamine berdasarkan kepada keterangan secara langsung yang diasaskan kepada fakta jagaan, kawalan dan kelakuan Perayu dalam kes ini yang membolehkan satu inferen yang munasabah dapat dibuat terhadap Perayu bahawa dia mempunyai pemilikan dan juga pengetahuan terhadap dadah Ketamine yang dipertuduhkan.

Isu (b) Pemakaian anggapan berganda

[26] Peguam terpelajar telah merujuk kepada Penghakiman hakim bicara di mana hakim bicara telah menggunapakai anggapan di bawah seksyen 37(d) Akta untuk elemen milikan dadah MDMA dan juga telah menggunapakai anggapan di bawah seksyen 37(da) Akta bagi elemen pengedaran dadah yang sama. Bantahan peguam terpelajar ialah mengenai kegagalan hakim bicara untuk merujuk kepada seksyen 37A Akta yang membenarkan anggapan berganda digunapakai. Peguam terpelajar menghujahkan hakim bicara telah terkhilaf apabila gagal untuk mengarahkan mindanya terhadap peruntukan di bawah seksyen 37A Akta. Peguam terpelajar telah merujuk kepada keputusan Mahkamah Tinggi dalam kes PR v Alma Nudo Atenza [2016] MLJU 563.

[27] Dalam penghakimannya di muka surat 35 Rekod Rayuan Jilid 1, hakim bicara menyatakan seperti berikut:

“As for the ingredient of trafficking, having invoked the presumption under section 37(d) of the Act as regard possession and since the drug exceeded the minimum prescribed by section 37(da) of the Act, the Court act on the supposition that the drug in the accused possession was for the purpose of trafficking, ‘until the contrary is proved’ by the acused (see PP v. Zulkifli Arshad [2010] 6 CLJ 121).”

[28] Peruntukan yang membenarkan pemakaian anggapan berganda telah dibawa masuk melalui Akta Pindaan A 1457 dan mula berkuat kuasa pada 15.2.2014. Seksyen 37A yang baru memperuntukkan:

“37A. Notwithstanding anything under any written law or rule of law, a presumption may be applied under this Part in addition to or in conjunction with any other presumption provided under this Part or any other written law."

[29] Memandangkan pertuduhan terhadap Perayu berlaku pada tarikh 17.8.2014, iaitu selepas berkuat kuasanya Akta Pindaan A 1457, oleh itu tidak dapat disangkal bahawa seksyen 37A Akta yang membenarkan pemakaian anggapan berganda adalah jelas terpakai (Dalip Bhagwan Singh v PP [1997] 4 CLJ 645).

[30] Kami telah meneliti penghakiman yang ditulis oleh hakim bicara dan kami mendapati hakim bicara tidak ada merujuk kepada peruntukan di bawah seksyen 37A Akta sebelum menggunakan anggapan berganda. Namun kami tidak bersetuju dengan hujahan peguam terpelajar bahawa kegagalan hakim bicara untuk mengarahkan mindanya terhadap peruntukan itu telah menimbulkan prejudis dan kegagalan keadilan kepada Perayu. Kami mendapati tiada merit dalam bantahan peguam terpelajar atas isu ini.

Isu (c) Kuantiti sebenar dadah yang terlibat

[31] Bantahan peguam terpelajar atas isu ini berkait dengan perbezaan dalam bilangan pil-pil mengikut kiraan SP6 dengan jumlah kiraan oleh SP1. Dalam keterangannya, SP6 menyatakan jumlah pil adalah 7,393 biji. Ini berbeza dengan kiraan oleh Ahli Kimia (SP1) yang menyatakan jumlah pil adalah 10,764 biji. Oleh itu terdapat perbezaan sebanyak 3,371 biji. Peguam terpelajar berhujah wujud kelompangan dalam kes pendakwaan serta timbul keraguan terhadap identiti barang kes dadah disebabkan oleh perbezaan jumlah biji pil tersebut.

[32] Dalam kes PP v Khoo Chong Ban [2015] 2 CLJ 36 di mana fakta kes menunjukkan sejumlah 200 biji pil berisi dadah dari jumlah 3,390 biji pil telah didapati hilang dan tidak dikemukakan semasa perbicaraan. Pihak pendakwaan telah gagal untuk memberikan sebarang penjelasan tentang kekurangan tersebut. Mahkamah ini telah mengesahkan dapatan dan keputusan hakim bicara yang melepaskan dan membebaskan responden atas alasan bahawa barang kes telah dikacauganggu dan wujud keraguan terhadap identiti serta putus rantaian keterangan barang kes dadah yang dipertuduhkan.

[33] Dalam kes rayuan Perayu di hadapan kami, isu yang sama telah dibincangkan oleh hakim bicara di muka surat 17 dan 18 Rekod Rayuan Jilid 1 seperti berikut:

“... The witness made a report of the discovery of the impugned drug and poisons vide Pelangi Indah Report No: 4684/14 which was marked and tendered as exhibit P38. In P38, the witness stated as follows, with regard to the discovery of the impugned drug:

No: 1: Caffeine - 22 kg;

No: 2: Ecstasy pills-quantity - 7393 pills;

No: 3: Powdery ecstasy - 20,975 kg.

During cross-examination, the witness agreed that the weight of the impugned drug as stated in the police report made by him in P38 and the weight as stated in the chemist report exhibit P9 were not the same. In P38 the witness stated that ‘3 bekas plastic bertulis paracetamol mengandungi serbuk putih disyaki dadah yang ditandakan B7-B9 dijumpai di atas lantai bilik (AB: 253 gram)’. In P9 it was stated that in the 3 plastic container were 1000 tablets in each of the plastic container which in total amounted to 3000 tablets. The witness explained that when he first got hold of the plastic container he did not open the lid but merely shook the plastic container and thought that the content were powdery substance suspected to be ecstasy. The witness explained that in the police report P38 the weight of the impugned drug was only gross weight whereas the weight as stated in P9 was net weight. The witness denied that the exhibits had been tampered with. In re-examination, the witness said that the digital weighing machine he used was not calibrated. The witness also said that he did not write down the gross weight of the exhibits in the search list. The witness said he did not count the tablets as they were in the plastic container and if had been done it would tamper with the exhibits. The witness explained that the total of 7393 tablets was based on the total number of tablets, which was only an estimate and not an accurate number. He acknowledge that in P9 the number of tablets were 10,704 tablets whereas the number he had stated in P38 was 7393 which gave a difference of 3371 tablets. The witness disagree that the exhibits have been tampered with just because the total number of tablets in P38 and P9 was different.”.

[34] Sementara tidak terdapat sebarang penjelasan tentang perbezaan jumlah biji pil dalam kes Khoo Chong Ban, supra, tetapi ada penjelasan dalam kes di hadapan kami yang telah diterima oleh hakim bicara sebagai satu penjelasan yang munasabah. Penjelasan yang telah diberikan oleh SP6 dengan panjang lebar di muka surat 127-131 Rekod Rayuan Jilid 2. Semasa pemeriksaan balas, SP6 menyatakan:

"Bahagian pil dikira dengan menimbang sebiji pil untuk mendapatkan anggaran berat dan dapat anggaran jumlah 7393 biji.

Setuju untuk setiap biji pil, mungkin tidak sama dengan yang lain.

Ya, untuk kuantiti pil hanya anggaran kasar. Peratusannya saya tidak tahu. ...

Semua jumlah pil 10,764 pil tablet berbanding dengan jumlah yang dikira oleh saksi berjumlah 7393 tablet. Terdapat berlebihan tablet sebanyak 3,371 pil tablet.

Saya tidak setuju yang barang kes telah diusik berdasar jumlah yang dianalisa adalah lebih.

Lebihan dikira oleh Jabatan Kimia adalah cara Jabatan Kimia Malaysia analisa bagi saya hanya anggarkan sahaja.

Ya, di dalam P38 tidak ada tulisan anggaran.

Saya tidak setuju kuantiti barang kes adalah berlebihan bila sampai ke Jabatan Kimia Malaysia dan ianya telah diusik.

Item yang disenaraikan dalam P38 adalah sama dengan P39.”.

Dalam pemeriksaan semula, SP6 menyatakan:

“Saya tidak kira satu persatu sebab kalau nak kira ada barang kes yang ada di dalam plastik dan keluar balik akan mengganggu barang kes.

Jumlah 7393 ialah berdasarkan jumlah keseluruhan berat plastik yang mengandungi berat dadah dan bahagikan dengan jumlah berat satu biji pil.

Jumlah 7393 biji ini adalah berdasarkan muka surat pertama sehingga ke akhir laporan bermula daripada butir-butir tangkapan sehingga tandatangan pengadu.

Untuk column no. 2, system akan catat biji dan tidak boleh letak jumlah berat gram.

Saya hanya key in angka sahaja dan biji adalah dicetak oleh system.

...

Untuk mendapatkan jumlah 7393 biji hanyalah anggaran sahaja bukan tepat.

Dalam P9, jumlah pil adalah 10,764 manakala P38 adalah 7393. Perbezaan ialah 3371 biji di dalam P38.

Di dalam P9, ada di muka surat 1 ada 3000 biji pil.

Di dalam P38, saya tidak sebagai biji cuma berat kasar.

Saya tidak setuju yang barang kes ini telah diusik kerana jumlahnya adalah berbeza daripada segi pengiraan di P9 dengan pengiraan saya.

Saya tidak ada usik barang kes.

Saya cuma anggarkan bahawa itu adalah serbuk dan saya tidak periksa kandungan.”.

[35] Memandangkan keadaan barang-barang kes berada dalam bekas plastik, botol, foil aluminium, tong dan sebagainya, SP6 telah menjelaskan untuk mengelakkan daripada barang kes tercemar, saksi itu hanya telah membuat anggaran jumlah biji pil menurut kaedah timbangan berat. Manakala saksi SP1 pula telah membuka setiap bekas dan telah mengira dengan satu persatu biji pil yang ada sebelum menjalankan analisa. Oleh itu SP1 telah mendapat jumlah pil yang tepat iaitu 10,764 berbanding dengan SP6 yang mendapati jumlah 7,393 biji pil berdasarkan berat. Penjelasan telah diterima oleh hakim bicara dan kami bersetuju isu ini tidak bermerit.

Isu (d) Hukuman

[36] Isu terakhir, peguam terpelajar adalah mengenai hukuman mati yang telah dijatuhkan oleh hakim bicara. Peguam terpelajar berhujah bahawa peruntukan baru di bawah seksyen 39B(2A) Akta memberi pilihan kepada hakim bicara sama ada untuk mengenakan hukuman mati atau hukuman penjara seumur hidup. Peguam berhujah bahawa hakim bicara telah gagal untuk membuat pertimbangan terhadap peruntukan di bawah seksyen 39B(2) dan (2A) Akta. Peguam memohon agar hukuman mati ke atas Perayu diketepikan dan digantikan dengan hukuman pemenjaraan.

[37] Seksyen 39B(2) dan (2A) telah dimasukkan melalui Akta Pindaan A 1558 yang mula berkuat kuasa pada 15.3.2018. Peruntukan baru seksyen-kecil itu berbunyi seperti berikut:

“(2) Any person who contravenes any of the provisions of subsection (1) shall be guilty of an offence against this Act and shall be punished on conviction with death or imprisonment for life and shall, if he is not sentenced to death, be punished with whipping of not less than fifteen strokes.

(2A) In exercising the power conferred by subsection (2), the Court in imposing the sentence of imprisonment for life and whipping of not less than fifteen strokes, may have regard only to the following circumstances:

(a) there was no evidence of buying and selling of a dangerous drug at the time when the person convicted was arrested;

(b) there was no involvement of agent provocateur; or

(c) the involvement of the person convicted is restricted to transporting, carrying, sending or delivering a dangerous drug; and

(d) that the person convicted has assisted an enforcement agency in disrupting drug trafficking activities within or outside Malaysia.".

[38] Peruntukan terbaru itu tidak terpakai secara kebelakangan. Tarikh kuat kuasa peruntukan itu telah ditetapkan mulai pada 15.3.2018. Perayu telah dipertuduhkan dengan kesalahan yang berlaku pada 17.8.2014 dan telah disabitkan pada 22.2.2017. Hujahan peguam terpelajar tidak boleh dipertimbangkan dan jauh tersasar memandangkan peruntukan baru seksyen 39B(2) dan (2A) tidak terpakai kepada Perayu.

Kesimpulan

[39] Atas alasan-alasan yang kami sebutkan di atas, kami sebulat suara mendapati rayuan Perayu tidak mempunyai sebarang merit dan tiada alasan lain untuk kami untuk mengubah dapatan dan keputusan hakim bicara. Kami dapati sabitan ke atas Perayu adalah selamat dan disokong oleh keterangan yang mencukupi. Dengan itu, kami menolak rayuan Perayu. Sabitan dan hukuman oleh Mahkamah Tinggi disahkan dan dikekalkan.

Bertarikh: 3 Ogos 2018

t.t.

KAMARDIN BIN HASHIM
Hakim
Mahkamah Rayuan Malaysia

COUNSEL

Bagi Pihak Perayu: Mohd Radzi bin Yatiman, Tetuan Rahim & Lawrnee, No. 124-125, Tingkat 1, Jalan Sia Her Yam, 85000 Segamat, Johor

Bagi Pihak Responden: Nik Syahril Bin Nik Ab Rahman, Timbalan Pendakwa Raya, Bahagian Perbicaraan dan Rayuan, Jabatan Peguam Negara, Putrajaya

Legislation referred to:

Akta Dadah Berbahaya 1952, Jadual Pertama; Seksyen-seksyen 37A, 37(d), 37(da), 39B(1)(a), 39B(2), 39B(2A)

Akta Keterangan 1950, Seksyen 8

Akta Pindaan A 1457, Seksyen 37A

Akta Pindaan A 1558, Seksyen-seksyen 39B(2), 39B(2A)

Judgments referred to:

Dalip Bhagwan Singh v PP [1997] 4 CLJ 645

PP v Khoo Chong Ban [2015] 2 CLJ 36

PR v Alma Nudo Atenza [2016] MLJU 563

Notice: The Promoters of Malaysian Judgments acknowledge the permission granted by the relevant official/ original source for the reproduction of the above/ attached materials. You shall not reproduce the above/ attached materials in whole or in part without the prior written consent of the Promoters and/or the original/ official source. Neither the Promoters nor the official/ original source will be liable for any loss, injury, claim, liability, or damage caused directly, indirectly or incidentally to errors in or omissions from the above/ attached materials. The Promoters and the official/ original source also disclaim and exclude all liabilities in respect of anything done or omitted to be done in reliance upon the whole or any part of the above/attached materials. The access to, and the use of, Malaysian Judgments and contents herein are subject to the Terms of Use.