THE OFFICIAL REPOSITORY OF
MALAYSIAN JUDGMENTS & RULINGS

[2018] MYCA 281 MALAY

Laurentiu Marian Peity v Pendakwa Raya
Suit Number: Rayuan Jenayah No. B-05(M)-207-06/2016(ROM) 

Criminal law – Trafficking in dangerous drugs – Conviction – Death sentence – Appeal

PENGHAKIMAN

[1] Rayuan ini adalah daripada perayu Laurentiu Marian Peity (rakyat Romania) yang telah didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam atas kesalahan mengedar dadah berbahaya di bawah seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (ADB 1952). Pertuduhan terhadapnya secara penuh adalah seperti yang berikut:

“Bahawa kamu pada 12.10.2011 jam lebih kurang 4.00 petang di kawasan laluan keluar Kaunter Pemeriksaan Kastam, Aras 3, MTB KLIA, Sepang di dalam daerah Sepang, dalam Negeri Selangor, didapati kamu telah mengedar dadah berbahaya, setelah dianalisa mengandungi 3218.7 gram Methamphetamine dan oleh yang demikian kamu telah melakukan satu kesalahan di bawah seksyen 39B(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah seksyen 39B(2) Akta yang sama”.

[2] Pada mulanya perayu telah dilepaskan dan dibebaskan di akhir kes pendakwaan oleh pesuruhjaya kehakiman terdahulu (kini telah bersara) atas kegagalan pendakwaan membangkitkan satu kes prima facie terhadap perayu. Bagaimanapun dan atas rayuan pendakwa raya, mahkamah ini (panel yang berlainan) telah pada 1.4.2015 membenarkan rayuan pendakwa raya dan memerintahkan perayu untuk membela dirinya di hadapan hakim yang lain. Ekoran itu, pembelaan perayu telah dibicarakan dan di akhir perbicaraan, hakim bicara telah mendapati perayu bersalah dan dijatuhkan hukuman mati mandatori.

[3] Terkilan, perayu telah memfailkan rayuan ini. Setelah mendengar penghujahan semua pihak, kami sebulat suara memutuskan cabaran perayu tidak bermerit. Kami dengan itu menolak rayuannya. Berikut ialah alasan-alasan kami memutuskan sedemikian.

Fakta kes

[4] Secara ringkas, pada 12.10.2011, lebih kurang pukul 4.00 petang Zulkefli bin Zainal (SP2) dan pasukannya, semasa menjalankan tugasan pemeriksaan rambang terhadap penumpang dan bagasi dari Dubai di kawasan tuntutan bagasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), telah menahan perayu yang ketika itu sedang menolak sebuah troli (di atasnya terdapat dua buah beg) dan juga membawa sebuah beg sandang berwarna biru (P13).

[5] SP2 mengarahkan perayu untuk mengimbas dua buah beg yang dibawanya. Hasil imbasan tidak menunjukkan apa-apa imej yang mencurigakan. SP2 kemudian membawa perayu ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik untuk diperiksa lanjut. Di situ, pemeriksaan fizikal terhadap perayu juga tidak menjumpai apa-apa barang salah. Susulan itu, SP2 mengarahkan perayu untuk membuka beg pertama berjenama ‘EMINENT’ yang mempunyai tag bernombor EK410456 atas nama PEITY/ LURENTIUMARIA (P11). Akur, perayu telah mengeluarkan dua rangkai anak kunci dari dalam poket seluarnya dan membuka beg tersebut. SP2 lantas membuat pemeriksaan sambil disaksikan oleh perayu. Apabila dibuka, beg tersebut mengandungi beberapa helai pakaian. Bagaimanapun, setelah SP2 mengopak bahagian dasar beg tersebut, dia menemukan lapisan keras di bawahnya dan menjumpai tiga (3) bungkusan plastik berselotape warna coklat (ZZA1-A3). Setiap bungkusan mengandungi bahan kristal yang disyaki dadah. SP2 juga mengopak di bahagian dalam permukaan beg dan menjumpai satu (1) plastik keras jernih di bawahnya terdapat satu (1) bungkusan plastik bercorak berisi bahan kristal yang disyaki dadah. Manakala pemeriksaan ke atas beg sandang berwarna biru berjenama Nike pula (P13), SP2 hanya menemukan dokumen peribadi milik perayu (Rujuk P14).

[6] Seterusnya, SP2 mengarahkan perayu membuka beg kedua berjenama ‘EMINENT’ berwarna coklat gelap yang mempunyai tag EK10444 atas nama PEITY/ LAURENTIUMARIA yang tidak berkunci (P12). Apabila diperiksa, di dalamnya mengandungi beberapa helai pakaian. Namun begitu, setelah SP2 mengopak bahagian dasar beg tersebut, SP2 mendapati adanya lapisan kertas serta lapisan fiber kuning dan di bawahnya ditemukan satu (1) bungkusan plastik lut sinar berisi bahan kristal disyaki dadah.

[7] Kesemua bahan kristal yang disyaki dadah tersebut telah dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis. Setelah dianalisis, Dr Vanitha Kunalan (SP1) mengesahkan bahawa empat (4) bungkusan plastik ZZ(A1)-ZZ(A4) serta satu bungkusan ZZ(B1) mengandungi dadah berbahaya jenis Methamphetamine seberat 3218.7 gram. Dadah jenis Methamphetamine disenaraikan dalam jadual pertama, Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dapatan di Akhir Kes Pendakwaan

[8] Di akhir kes pendakwaan, hakim bicara mendapati adanya keraguan terhadap identiti dadah yang dirampas daripada perayu dengan dadah yang dikemukakan di mahkamah. Berdasarkan keraguan itu sahaja, hakim bicara memutuskan bahawa pihak pendakwaan telah gagal membuktikan satu kes prima facie terhadap perayu. Dengan itu, perayu telah dibebaskan dan dilepaskan (Rujuk penghakiman ringkas hakim bicara di muka surat 228-230, Rekod Rayuan: Jilid 5 (C)). Seperti mana dinyatakan di atas, setelah dirayu, Mahkamah Rayuan telah mengetepikan keputusan berkenaan dan memerintahkan perayu membela diri terhadap pertuduhan tersebut.

Kes Pembelaan

[9] Perayu memberikan keterangan bersumpah. Teras pembelaan perayu ialah dia tidak mempunyai pengetahuan dan milikan ke atas dadah yang tersorok di dalam bagasi yang dibawanya itu kerana telah ditipu dan diugut untuk membawa beg-beg tersebut. Ringkasnya, keterangan perayu adalah seperti yang berikut:

(a) Dia berasal dari Romania. Di sana, dia telah berkenalan dengan seorang lelaki bernama “Seba” melalui permainan di Internet bernama “DOTA”. Seba telah menawar kepadanya peluang pekerjaan di Mexico dan Ecuador dengan tawaran gaji yang lumayan.

(b) Menurut perayu, dia ditawarkan bekerja secara kontrak sebagai pereka bentuk dan pembangunan sistem komputer (computer designer and builder) dengan Syarikat SRL (syarikat) selama 3 tahun. Sekiranya dia menunjukkan prestasi kerja yang baik maka dia akan diserapkan sebagai pekerja tetap. Seba juga memaklumkan bahawa syarikat menghendaki perayu pergi ke Mexico untuk mengetahui bidang kerja yang ditawarkan di sana dan juga untuk menandatangani kontrak.

(c) Perayu memaklumkan Seba bahawa dia tidak mempunyai wang untuk ke sana, namun Seba memberitahu bahawa syarikat akan menanggung perbelanjaan tiket pergi-balik dari Romania ke Mexico.

(d) Pada 14.8.2011, perayu tiba di Mexico dan disambut oleh agen syarikat di lapangan terbang. Agen kemudian membawa perayu ke Hotel Mexico. Keesokan harinya, perayu dibawa ke ibu pejabat syarikat dan ditunjukkan bidang kerja yang bakal dilakukannya. Perayu berada di Mexico selama sebulan.

(e) Dari Mexico, syarikat telah meminta perayu pergi ke Ecuador untuk melihat cawangan baru mereka dan membangunkan sistem dan prosedur untuk digunakan di sana. Pada 6.9.2011, perayu ke Ecuador dan telah diuji sama ada layak untuk jawatan berkenaan. Sama seperti sebelum ini, tiket perjalanan diuruskan oleh syarikat. Perayu berada di Ecuador selama sebulan dan kemudiannya menandatangani kontrak perkhidmatan dengan syarikat di sana. Selepas itu, dia kembali semula ke Romania dan menunggu jawapan syarikat sama ada dia akan ditempatkan di Mexico atau Ecuador.

(f) Perayu akhirnya dihubungi oleh syarikat dan dimaklumkan dia akan ditempatkan di Mexico. Bagaimanapun sebelum ke Mexico, dia dikehendaki pergi ke Turki untuk berjumpa dengan wakil syarikat bernama Ali bagi satu tugasan di sana. Akur, dan dengan tambang sendiri, perayu telah ke Turki dengan pesawat penerbangan pada 9.10.2011. Setibanya di Istanbul, dia telah disambut oleh Ali di lapangan terbang dan dibawa ke sebuah hotel.

(g) Ketika berada di parkir hotel, Ali telah mengeluarkan dua buah bagasi (P11 dan P12). Perayu diarahkan memasukkan pakaiannya ke dalam beg-beg tersebut. Perayu berasa curiga dan enggan mengikut arahan Ali. Setelah dipaksa dan diugut akan ahli keluarganya dicederakan, perayu akur dan Ali telah memasukkan pakaian perayu ke dalam kedua-dua beg tersebut. Sebelum itu, Ali telah membuka beg tersebut di hadapan perayu dan perayu mendapati bagasi tersebut adalah kosong. Ali memaklumkan perayu tidak akan ke Mexico. Pada masa yang sama, Ali tidak berhenti-henti menakutkan perayu untuk mengapa-apakan keluarganya di Romania jika dia tidak mengikut arahannya.

(h) Perayu menetap selama 2-3 hari di Istanbul sebelum diarahkan oleh Ali untuk menaiki pesawat penerbangan ke Kuala Lumpur dan seterusnya ke Langkawi. Di Langkawi nanti, seorang lelaki akan datang berjumpanya di Hotel Continental. Ali juga mengugut sekiranya perayu cuba menelefon atau bercakap-cakap dengan sesiapa, maka ahli keluarganya akan dibunuh. Ini kerana perayu tidak akan terlepas daripada pemerhatian orang-orang Ali di sepanjang perjalanan tersebut. Oleh sebab terlalu takut, perayu melakukan apa yang disuruh oleh Ali.

(i) Namun begitu, sebaik mendarat di Lapangan Terbang KLIA pada 12.10.2011, perayu telah ditangkap.

[10] Di samping memanggil semula SP2 dan SP4, perayu turut memanggil adiknya Selany Tanita Peity (SD3) untuk memberikan keterangan sokongan. SD3 ada menyebut tentang tawaran daripada Seba dan pemergian perayu ke Mexico, Ecuador dan Turki. SD3 mengesahkan kewujudan seorang yang bernama Seba kerana perayu sering kali menyebut nama Seba. SD3 juga mengatakan perayu ada balik ke Romania sementara menunggu keputusan syarikat sama ada hendak mengambil khidmat perayu ataupun tidak. Selanjutnya, SD3 mengesahkan ibunya telah meninggal dunia akibat kanser yang telah dihidapinya untuk sekian masa.

Dapatan di Akhir Kes Pembelaan

[11] Di akhir kes pembelaan, hakim bicara mendapati keterangan perayu telah gagal membangkitkan satu keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan. Keterangan yang diberikan oleh perayu diragui kerana tidak boleh dipercayai dan merupakan sesuatu yang difikirkan kemudian. Tuntasnya, hakim bicara telah menolak pembelaan versi perayu. Perayu dengan itu disabitkan dan dijatuhkan hukuman gantung sampai mati.

Rayuan Ini

[12] Di hadapan kami, perayu mengemukakan empat isu untuk mencabar keputusan hakim bicara iaitu hakim bicara telah khilaf dari undang-undang dan fakta apabila:

(a) tidak menerima keterangan SD3 kerana dia merupakan seorang saksi berkepentingan walaupun telah mendapati keterangan SD3 adalah konsisten dengan keterangan perayu;

(b) menolak pembelaan perayu dengan menyatakan pembelaan perayu tidak mempunyai keterangan sokongan sedangkan pembelaan perayu disokong oleh keterangan SD3 yang konsisten dan selari pada setiap masa perbicaraan;

(c) gagal membuat dapatan bahawa perbuatan pengedaran telah dilakukan oleh perayu secara keterangan langsung, atau dengan menggunakan peruntukan seksyen 2; dan

(d) gagal memperjelaskan apakah anggapan yang perayu perlu patahkan/ sangkal iaitu anggapan pengetahuan atau anggapan pengedaran, dan selanjutnya telah gagal untuk membuat dapatan sama ada anggapan tersebut telah berjaya dipatahkan/ disangkal oleh perayu.

Analisis dan Dapatan Kami

Isu (a)(b): Status Keterangan SD3 dan Sokongan

[13] Kami berpendapat isu (a) dan (b) boleh dipertimbangkan bersekali. Peguam yang terpelajar menghujahkan hakim bicara telah ternyata terkhilaf kerana telah, tanpa keterangan yang meyakinkan (cogent), secara mekanikal menolak keterangan SD3 atas alasan bahawa SD3, semata-mata sebagai adik perayu, merupakan seorang saksi yang berkepentingan, walaupun, dalam penghakimannya, mendapati bahawa keterangan SD3 adalah konsisten dan selari dengan keterangan perayu. Salah arahan ini diperkukuhkan lagi dengan hakim bicara tidak membuat sebarang penemuan sama ada keterangan SD3 itu unreliable atau tidak. Ini bertentangan dengan prinsip undang-undang yang mantap sepertimana yang dapat digarap daripada nas-nas autoriti antaranya seperti: The Law of Crimes, 24th ed., Ratanlal & Dhirajlal’s ms 1410; Kartik Malhar v State of Bihar 1996 Cri LJ 889 (SC); Dalbir Kaur v Punjab AIR 1977 SC 472; Liow Siow Long v PP [1970] 1 MLJ 40; PP v Mohd Khairol Faizi Abu Bakar [2017] 1 LNS 126; Sangkar Esperan v PP [2016] 1 LNS 514; Mohd Nahar bin Abu Bakar v PP [2013] 5 CLJ 977. Tuntasnya, atas alasan di atas, hakim bicara dikatakan tersalah arah apabila tidak menimbang langsung keterangan SD3 dan ini telah menimbulkan prejudis ke atas pembelaan perayu. Keterangan SD3 tersebut seharusnya diterima dan berupaya menyokong keterangan perayu. Kekhilafan hakim bicara yang nyata itu dihujahkan mewajarkan campur tangan mahkamah ini.

[14] Setelah kami membaca penghakiman hakim bicara dan menilai keterangan dalam rekod rayuan serta menghayati penghujahan peguam terpelajar di atas, kami tidak dapat bersetuju dengan hujahan tersebut. Pada hemat kami, dan sebagai titik permulaan pertimbangan, isu ini tidak seharusnya dilihat secara terpinggir (in isolation). Isu ini harus dilihat secara tuntas (keseluruhannya) dengan hakikat matriks (factual matric) kes ini.

[15] Dalam menentukan isu (a) tersebut, kedudukan perayu dan keterangannya harus ditentukan dahulu. Setelah menilai semula keterangan dalam rekod, kami mendapati perayu tidak bercakap benar dan keterangannya amat meragukan terutamanya mengenai isu-isu yang berikutan.

[16] Tentang kontrak perkhidmatan dengan syarikat, perayu pada mulanya menegaskan dengan amat yakin bahawa dia telah diambil bekerja dengan syarikat setelah menandatangani kontrak perkhidmatan dengan syarikat berkenaan di Ecuador. Apabila ditanya di manakah kontrak itu, dia mengatakan semuanya ada di dalam begnya yang telah diambil oleh polis. Ini ditegaskan lagi dalam pemeriksaan balasnya:

“31. Q: Have you seen the contract?

A: Yes. It should be In the evidence and because when they arrested me, the contract was with me.” (ms 42: RR J2).

Bagaimanapun apabila ditanya oleh hakim bicara mengenai kontrak ini, perayu menjawab (di muka surat 57: RR J2):

“YA Hakim: Just one question. He mention just now that he had some the evidence of the contract signed between him and the company in Equador. Is it inside there, in that bag?

SD1: As I mentioned before, the contract, the passport or my papers were in the mainly in the bag that I was carrying with me.

YA Hakim: Where is the bag?

SD1: That’s the bag.

P/Bela: But the contract is not been there.

YA Hakim: It’s not there.

SD1: It was there. It was with me when I was arrested.

16. Q: It was not here now. You know how many sheets of paper?

A: 3 papers.

Q: In here?

A: Yeah.”

Lagi, di muka surat 58: RR J2:

“YA Hakim: No steps taken to trace the company SRL, Dato’ Siva?

...

SD1: I asked the police to contact the company because the police had the documents in their hands.”

Namun begitu, perayu kemudian menukar ceritanya (setelah dipanggil semula) dengan menyatakan kontrak tersebut tiada dengannya semasa ditangkap kerana telah ditinggalkan di Turki. Perayu di muka surat 63: RR J2 menyatakan:

“Q: On the last occassion when I asked you about your contract, you said that you had kept it in the blue bag (P13).

A: Yes.

Q: But when we look into the blue bag, the contract is not there. My question is, are you sure that you put the contract into the blue bag (P13)?

A: Actually I remember the fact that the contract was put it in my personal bag in Turkey and I want to appologize to the judge and to the lawyers. The contract was in the bag that I have in Turkey which Ali took from me itself. I did my personal bag in Turkey.”

Apabila diperiksa balas oleh TPR, perayu menyatakan:

“Q: Mr. Peity, I put to you that actually there is no contract for you to work at Mexico and Equador.

A: It’s not true. There is a contract and it is in Turkey.”

[17] Keterangan di atas jelas menunjukkan tidak munasabahnya cerita perayu. Diperhatikan perayu meletakkan keutamaan kepada kewujudan kontrak perkhidmatan itu untuk mewajarkan ceritanya tentang tawaran Seba, pemergiannya ke Mexico, Ecuador dan Turki. Atas dasar tersebut, perayu menegaskan, semasa diperiksa balas, bahawa kontrak tersebut ada bersamanya semasa ditangkap dan semestinya telah dikemukakan dalam keterangan. Perayu bertegas lagi tentang perkara ini apabila ditanya sendiri oleh hakim bicara sehinggakan perayu mengatakan dia ada menyuruh pihak polis untuk menghubungi syarikat berkenaan memandangkan dokumen tersebut berada dengan mereka. Bagaimanapun tembelang perayu terbongkar apabila dipanggil semula oleh peguamnya sendiri apabila dia mengakui bahawa kononnya kontrak tersebut telah tertinggal di dalam beg peribadinya di Turki semasa diambil oleh Ali. Ini amat menghairankan kerana jika benar perayu sebenarnya kena melaporkan dirinya di Mexico, kontrak tersebut, asal atau salinan, semesti dan munasabahnya dibawa bersama-samanya. Perayu tidak pula mengatakan dia kena balik ke Turki semula untuk mengambil dokumen itu atau Ali akan menguruskan hal itu. Pada kami jelas perayu telah tidak berkata benar tentang perkara kontrak ini dan perkara itu telah sengaja diada-adakan semata-mata untuk mengaburi tujuan sebenar kedatangan dan pembawaan beg berisi dadah tersebut ke Malaysia. Kami sependapat dengan hakim bicara apabila beliau meragui cerita perayu itu. Keistimewaan menilai kredibiliti perayu layak di tangan hakim bicara dan beliau mempunyai asas yang munasabah dalam membuat dapatan tersebut. Tidak wajar bagi kami untuk mengganggu dapatan itu.

[18] Susulan itu, cerita perayu tentang pemergiannya ke Mexico dan Ecuador untuk diuji, dicuba dan menerima tawaran pekerjaan di sana sukar diterima akal. Tiada keterangan dikemukakan tentang tahap pelajaran perayu, ataupun tahap pengalaman, kepandaian atau kepakarannya dalam membaiki, pemasangan atau membangunkan sistem komputer. Apa yang telah dikemukakan ialah perayu hanya bekerja sebagai pembaik komputer di sebuah cawangan kecil syarikat di Romania, yang tidak mampu untuk menemu duga atau menguji perayu, dan dengan gaji yang kecil. Perayu dikatakan mengenali Seba, kononnya wakil syarikat, melalui permainan DOTA di Internet. Namun dalam penceritaannya, perayu telah dibawa masuk ke Mexico dan Ecuador (dua buah negara di benua Amerika) seolah-olah perayu seorang pakar yang perlu disambut dan didapatkan perkhidmatannya di Mexico dengan semua perbelanjaan untuk urusan itu ditanggung sepenuhnya oleh syarikat. Tetapi, di Mexico perayu hanya diberikan surat percubaan sahaja dan apabila di Ecuador dikatakan diambil, setelah diuji, berkhidmat sebagai pekerja sementara selama 3 tahun di syarikat tersebut di Mexico. Lagi menghairankan, setelah kononnya ditetapkan untuk bekerja di Mexico, perayu disuruh pergi ke Turki dengan perbelanjaannya sendiri dan selepas itu diarahkan oleh Ali, juga pegawai syarikat, untuk ke Langkawi, Malaysia atas misi yang tidak ada kena mengena langsung dengan bidang kerja yang dia dilantik oleh syarikat. Satu pusingan yang aneh sekali. Hakim bicara mengatakan itu sukar untuk diterima akal. Kami berpendapat sedemikian jua. Pada hemat kami sesuatu yang sukar diterima akal merupakan sesuatu yang tidak munasabah dan sesuatu yang tidak munasabah tidak boleh menjadi asas keraguan yang munasabah malah bertentangan dengan konsep tersebut.

[19] Sekarang kami ingin menyentuh pula berkenaan dengan pembelaan tipuan dan ugutan oleh Ali. Kami perhatikan dan harus dicatatkan bahawa perkara ini tidak ditimbulkan langsung di peringkat pendakwaan atau pun dihujahkan secara pembelaan khusus ugutan (duress) di bawah Kanun Keseksaan di akhir kes pembelaan. Agak keterlaluan untuk mengatakan bahawa pembelaan ini boleh terlepas pandang memandangkan ugutan mati ke atas keluarganya dan penipuan yang kononnya dilakukan oleh Ali dan Seba itu amat serius. Perayu jelas membayangkan keadaan ugutan tersebut dilakukan pada setiap waktu semasa berada di Istanbul, Turki dan dalam perjalanan ke Malaysia dengan Ali meletakkan orang-orangnya di sepanjang perjalanan tersebut. Takutnya perayu sehinggakan semua pakaiannya telah dimasukkan oleh Ali ke dalam beg-beg berkenaan. Bagaimanapun, semua ini tidak ditanya atau dicadangkan kepada SP2, pegawai penangkap sama ada di peringkat pendakwaan atau pun semasa dipanggil semula di peringkat pembelaan. Cadangan ini hanya dikemukakan kepada pegawai penyiasat SP4 semasa dipanggil semula di peringkat pembelaan namun dinafikan dengan jelas oleh SP4. Semua ini diakui oleh peguam semasa ditanya oleh hakim bicara semasa pemanggilan semula SP4 itu. Dalam keadaan di atas, kami berpendapat bahawa pembelaan ini ternyata terjumlah kepada satu pemikiran semula dan tidak sedikit pun memberikan keyakinan kepada pembelaan perayu.

[20] Susulan itu, pada hemat kami, sepertimana kami nyatakan di atas, hujahan peguam mengenai isu (a) haruslah dipertimbangkan dalam senario dapatan di atas dan bukannya secara terpinggir. Kami bersetuju dengan prinsip am daripada nas autoriti yang dirujuk oleh peguam bahawa hakikat seseorang saksi itu mempunyai hubungan persaudaraan tidak semestinya menjadikannya saksi berkepentingan dan tidak boleh dipercayai. Keterangannya masih boleh diterima dengan syarat keterangannya andal (reliable) dan adanya keterangan yang kuat atau meyakinkan (cogent) untuk membuat dapatan sebaliknya- (rujuk kes locus classicus Balasingam v PP [1959] 1 MLJ 193). Tambahan lagi, dalam kes Lim Guan Eng v PP [1998] 3 CLJ 769 di muka surat 788-790 diperjelaskan pendekatan yang berikut:

“In no case is this especially true as in the trial of criminal cases where the Public Prosecutor initiates the court’s process in the public interest. The Public Prosecutor is often compelled to call witnesses to formally establish facts that are necessary for the unfolding of the story that lies at the heart of his case. Some of these witnesses may, by reason of close relationship or loyalty, exhibit a natural bias in favour of the accused. They may, out of eagerness to help the accused, furnish answers under cross-examination that are favourable to the defence and stretch the truth to the point of incredulity. If the general rule is applied with unbending strictness in such cases, substantial justice will not be achieved. The approach that is to be adopted by a trial court in such cases appears in the judgment of Wan Yahya J, (as he then was) in Haji Abdul Ghani bin Ishak & Anor. v. Public Prosecutor [1981] 2 MLJ 230. His Lordship there said (at p. 232):

It was submitted by Mr Edgar Joseph Jr counsel for the first accused, that his client had not been proved to have had any interest in the application; that the only direct evidence on this had come from Kipah and that she had stated in evidence that she was making the application at the behest of her uncle, the second accused. Counsel further submitted that as she was a witness called by the prosecution, this court should not reject her evidence. He stressed that the prosecution could not blow hot and cold at the same time and that the whole of her evidence had to be accepted in toto. Counsel referred to the Indian case of Abinash Chandra v. Emperor (1936) 37 Cr. LJ 439 and, in particular, to p. 442, which reads as follows:

“The Crown has suggested, though not in so many words, that we ought to look with suspicion upon the evidence of these witnesses because they belonged to a faction in the company which was not favourably disposed towards N.C. Chouduri. A more unusual and a more impossible suggestion, I have never heard advanced. These are witnesses produced by the Crown, and put forward as witnesses of truth in support of the case for the prosecution. It has not been suggested that they turned hostile, nor during the whole trial were they treated as hostile witnesses, nor has anyone openly suggested that they were not truthful witnesses. The prosecution cannot be permitted to blow hot and cold as best to suit them. If these were not truthful witnesses, they ought never to have been called by the prosecution and so recommended to the court as witnesses of truth.”

This apparently stringent decision is not without qualification. One only has to read part of the following sentence which reads: ‘There is no reason whatever for preferring the evidence of N.C. Chouduri to theirs ...’ -to understand that in the above-quoted passage the learned judge was referring to the rule against rejection of prosecution witnesses’ evidence when there is nothing to suggest contra preference against his evidence. Our present case is somewhat different. The witness Kipah is the wife of the first accused and she had to be called by the prosecution to fill up the chain of events in that case. Answers elicited from her cross-examination by the defence has to be scrutinised with some care. As a wife testifying in a serious case against her husband, she could not be expected to be entirely immune from being unbiased, or in any event, uninterested. Moreover, when there are other evidences to the contrary, this court is not bound to accept each and every word in her evidence. If what was suggested is to be followed in the unqualified form, the function of a trial judge or jury will become obsolete and such function could be better decided by computer. There is nothing to deter the trial judge or jury picking or choosing any piece of evidence from a witness while rejecting others which he or they felt not credible enough. After all a witness is capable of saying both truths and untruths. If, for any good reason, the court feels that part of his evidence should be preferred to the other, then it is at liberty to accept that part and reject the others. Indeed this has to be so when dealing with human as opposed to mechanical factors. That is partly why we are here to adjudge a case.

It is noteworthy that when the case went on appeal, the former Federal Court-unusually strong upon that occasion (Raja Azlan Shah CJ (Malaya), Abdul Hamid FJ and Hashim Yeop A. Sani J)-made no adverse comment on the methodology of evidence evaluation adopted by Wan Yahya J, in the passage quoted above.

In our judgment, the view expressed by Wan Yahya J, in Haji Abdul Ghani bin Ishak & Anor. v. Public Prosecutor (ibid) provides a complete answer to Encik Karpal Singh’s submission on the point under discussion. The trial judge in the present case before us adopted a similar approach when evaluating the evidence of PW14. He took into account all relevant considerations, including this witness’ bias in the appellant’s favour, when deciding to reject the answers given under cross-examination. We are unable to discern any error in the trial judge’s approach to the evidence led in proof of the second charge. In our judgment there was judicial appreciation by the trial judge of the evidence led in support of the second charge. The submission on the contradiction point therefore fails.”

[21] Peguam menegaskan, sebagai hujahan tunggaknya, bahawa hakim bicara telah secara mekanikal memutuskan SD3 ialah saksi berkepentingan dan mengetepikan keterangan SD3 tanpa memberikan sebarang alasan meyakinkan tentang tidak andalnya (unreliability) keterangan SD3 itu. Ini dikatakan salah tanggapan dari mula lagi apabila hakim bicara mendapati:

“SD3 telah memberikan keterangan yang konsisten dan selari dengan keterangan tertuduh di mahkamah.

SD3 juga mengesahkan bahawa seorang penama yang bernama Seba dan Ali wujud di mana tertuduh seringkali menyebab nama Seba.” (RR:J1, ms 19)

Namun, hakim bicara dikatakan membuat dapatan yang bertentangan apabila memutuskan:

“Mengenai keterangan SD3 adik kepada tertuduh, saya berpendapat beliau adalah saksi yang berkepentingan dan tidak membantu pembelaan yang tertuduh.” (RR:J1 ms 23).

Dihujahkan dapatan hakim bicara itu bertentangan dengan undang-undang yang berkaitan dan telah memudaratkan perayu.

[22] Sepertimana yang telah kami katakan seawal tadi, isu ini viz-a-viz petikan di atas, hendaklah dipertimbangkan dalam konteks penemuan dan dapatan tentang kredibiliti perayu. Harus dicatatkan petikan di muka surat 19: RR:Jilid1 di atas bukan merupakan dapatan mahkamah. Pada hemat kami itu lebih merupakan pembentangan naratif kes pembelaan oleh hakim bicara. Dapatan hakim bicara dinyatakan dari muka surat 21: RR: Jilid1 (alasan penghakimannya) di bawah tajuk “Dapatan Mahkamah”. Hakim bicara memutuskan sedemikian kerana beliau dengan jelas telah meragui keterangan perayu dan telah tidak menerimanya sebagai munasabah. Pada kami tindakan hakim bicara itu adalah betul memandangkan sebagai adik perayu, dia semestinya mempunyai kecenderungan semula jadi (natural bias) terhadap perayu terutamanya terdapatnya keterangan (sepertimana dihuraikan di atas) yang menunjukkan keterangan perayu itu sendiri tidak boleh dipercayai. Kami juga, setelah menilai semula keterangan SD3 bersama-sama dengan huraian di atas, mendapati adanya keterangan dan keadaan yang meyakinkan bahawa SD3 ialah saksi berkepentingan dan keterangannya mestilah dilihat dengan kewaspadaan yang tinggi. Di samping dapatan kredibiliti perayu, kami mendapati adanya keterangan SD3 yang tidak selari dengan keterangan perayu. Dicatatkan SD3 mengatakan dia tahu perayu telah pergi ke Mexico dan Ecuador setelah dimaklumkan oleh perayu. SD3 juga mengatakan perayu kembali semula ke Romania dan menunggu jawapan daripada syarikat sama ada perayu telah diterima untuk bekerja dengan syarikat tersebut. Namun, perayu dalam keterangannya tidak pernah menyebut bahawa dia ada memaklumkan hal sedemikian kepada SD3. Perayu juga dengan tegas mengatakan dia telah menandatangani kontrak perkhidmatan di Ecuador dan hanya pulang ke Romania untuk menanti penempatannya sahaja. Selanjutnya, SD3 tidak mengetahui tentang ugutan terhadap perayu. Pihak Kedutaan Romania menghubunginya hanya berkenaan dengan maklumat tawaran kerja kepada perayu. Tambahan lagi, SD3 juga mengatakan ibu mereka telah meninggal dunia akibat kanser. Perayu pula dalam mencari sokongan ke atas pembelaan ugutannya cuba mengaitkannya dengan kematian ibunya apabila dia menyatakan:

“Q: What did you think will happen if you tried to contact the police?

A: My family will be died (sic). My mom also died in 2012 and I don’t know the reason of why she died.”

Secara keseluruhan, kami berpendapat apa yang dinyatakan oleh SD3 semestinya telah dimaklumkan kepadanya secara lisan selepas dia mengetahui perayu telah ditangkap di Malaysia. Dalam keadaan yang dihuraikan, terdapat keterangan yang meyakinkan bahawa SD3 ialah saksi yang berkepentingan dan keterangannya ada kecenderungan untuk menyokong dan membantu abangnya itu. Keterangannya jelas tercalar. Memandangkan keterangan perayu sendiri telah tidak diterima oleh hakim bicara, begitu juga kami, keterangan tercalar SD3 itu jelas tidak membantu pembelaan perayu. Undang-undang juga mantap bahawa sokongan hanya perlu dicari jika keterangan yang perlu disokong itu boleh dipercayai (Rujuk: Yap Ee Kong & Anor v Public Prosecutor [1981] 1 MLJ 144 (FC), Dato' Seri Anwar Ibrahim v PP & Another Appeal [2004] 3 CLJ 737). Dilihat daripada perspektif ini, penghujahan peguam mengenai isu (a) dan (b) tidak bermerit dan ditolak.

Isu (d) dan (e)

[23] Kami juga mempertimbangkan isu ini bersekali. Harus dicatatkan bahawa kes ini telah disambung bicara oleh hakim bicara setelah mahkamah rayuan (panel berlainan) mengetepikan keputusan hakim bicara terdahulu yang telah melepaskan dan membebaskan perayu di akhir kes pendakwaan. Dalam keadaan sedemikian, pendekatan yang harus diambil oleh hakim bicara yang baru telah kami jelaskan dalam kes Kwok Pin Hwee lwn PP [2017] 1 LNS 533:

[17] Undang-undang kini telah mantap tentang pendekatan yang harus diambil oleh YA Hakim bicara dalam keadaan tertuduh telah diperintahkan untuk membela diri oleh Mahkamah Rayuan. Prinsip ini telah dijelaskan dalam beberapa kes. Dalam kes Pendakwa Raya v. Sulaiman bin Saidin [2010] 1 CLJ 184; [2010] 3 MLJ 383 Sulaiman Daud HMR menjelaskan:

"[27] Sebelum merumuskan isu atau isu-isu yang berbangkit dalam rayuan ini, kami mendapati perlu untuk mengulangi bahawa tertuduh telah dipanggil untuk membela diri setelah mahkamah ini, dalam rayuan terdahulu, mengetepikan keputusan hakim bicara di akhir kes pendakwaan. Sehubungan dengan itu, kami mendapati tiada keperluan bagi kami untuk menimbangkan semula isu-isu yang telah diputuskan oleh mahkamah ini terdahulu mengenai isu-isu yang telah dibangkitkan di akhir kes pendakwaan, kecuali jika terdapat keterangan-keterangan baru yang dibangkitkan oleh pihak pembelaan yang boleh menimbulkan keraguan munasabah ke atas kes pendakwaan.”

...

[18] Selaras dengan prinsip di atas, kami mengambil pendirian bahawa kami tidak perlu menimbangkan semula isu-isu yang telah dibangkitkan dan diputuskan di akhir kes pendakwaan oleh Mahkamah Rayuan terdahulu kecuali jika terdapat keterangan baru yang dibangkitkan oleh pihak perayu yang boleh menimbulkan keraguan yang munasabah ke atas kes pendakwaan. Dengan itu, apa yang perlu kami pertimbangkan adalah sama ada keterangan yang dikemukakan oleh pembelaan telah berjaya menimbulkan keraguan yang munasabah ke atas kes pendakwaan.”

(Rujuk juga: Ouseng Sama-ae v PP [2010] 6 CLJ 416 (MR); Mohd Azrin bin Che Meh v Pendakwa Raya [2011] 1 LNS 1304 (MR); [2012] 1 MLJ 450; Mohd Nazrul Shuhaimi v Pendakwa Raya [2014] 1 LNS 1271(MR); Manimaran a/l Amas v PP [2014] 1 LNS 1412; [2015] 1 MLJ 18).

[24] Selaras dengan prinsip mantap di atas, kami mendapati hakim bicara telah mengambil pendekatan yang betul. Hakim bicara setelah menilai keterangan pembelaan secara menyeluruh mendapati pembelaan perayu ialah satu pemikiran semula dan telah gagal menimbulkan sebarang keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan. Hakim bicara juga setelah menilai semula keterangan pendakwaan yang tercatat dalam rekod dengan keterangan perayu semasa pembelaan secara keseluruhan, dan setelah mendapati tiadanya penafian berkenaan dengan pemilikan kedua-dua beg berkenaan (P11 dan P12) yang berisi dadah oleh perayu serta inferens pengetahuan tentang bentuk dadah berkenaan secara langsung dan membawa dadah itu dari Turki untuk diedarkan kepada pihak ketiga di Langkawi Malaysia, mendapati pendakwaan telah berjaya membuktikan kesnya tanpa keraguan yang munasabah. Pada hemat kami hakim telah tidak melakukan apa-apa kekhilafan dalam membuat dapatan tersebut.

[25] Jika hendak dikatakan bahawa hakim bicara telah terkhilaf kerana tidak membuat apa-apa keputusan tentang pemakaian mana-mana anggapan, kami berpendapat kes ini mewajarkan kami untuk menggunakan kuasa budi bicara di bawah s. 60(1) Akta Mahkamah Kehakiman 1964 sepertimana yang diperjelaskan dalam kes Tunde Apatira & Ors v PP [2001] 1 CLJ 381. Setelah kami menilai semula keterangan dalam rekod, sepertimana yang telah kami huraikan di atas, kami mendapati adanya keterangan yang melimpah ruah (overwhelming evidence) terhadap perayu. Kami mendapati tiada penafian ke atas pemilikan kedua-dua beg berkenaan dan tiada penafian beg-beg tersebut telah dibawa dari Turki ke Malaysia untuk tujuan disampaikan kepada pihak ketiga di Hotel Continental di Langkawi. Pada hemat kami, syarat pemakaian anggapan di bawah s. 37(d) ADB 1952 telah berjaya ditimbulkan. Berlandaskan kes PP v Abdul Manaf bin Muhamad Hassan [2006] 2 CLJ 129 (MP), Muhammad bin Hassan v PP [1998] 2 MLJ 27 (MP), dan dengan ketiadaan apa-apa rekod tentang pemakaian anggapan tersebut, kami boleh di peringkat ini, selaras dengan keputusan kes PP v Zulkifli Arshad [2010] 6 CLJ 121 (MP), mengguna pakai anggapan di bawah s. 37(d) terhadap perayu iaitu dia dianggap memiliki dadah berbahaya berkenaan dan mengetahui akan jenis dadah yang dimiliki itu. Manakala tentang pengedaran, dengan hakikat langsung bahawa perayu membawa dadah tersebut dalam dua-dua beg berkenaan dalam kuantiti yang banyak serta cara penyembunyian dadah tersebut dengan amat teliti di dalam beg-beg tersebut, pendakwaan telah berjaya membuktikan elemen pengedaran sebagaimana ditakrifkan di bawah s. 2 ADB 1952. Selaras dengan huraian ke atas pembelaan perayu di atas, kami dapati pembelaannya ialah dia tidak mengetahui akan dadah tersebut dan hanyalah pembawa ikhlas (innocent carrier) dek ugutan dan penipuan oleh Ali dan Seba. Telah menjadi prinsip undang-undang mantap bahawa tahap sangkalan yang tinggi diperlukan untuk membangkitkan pembelaan pembawa ikhlas itu dan sekadar perayu menyatakan dia diugut, ditipu dan tiada pengetahuan semata (mere ignorance), yang kami dapati tidak benar dan tidak munasabah, tidak mencukupi untuk mematahkan anggapan di bawah s. 37(d) ADB 1952 atas imbangan kebarangkalian. (Rujuk amnya kes Khor Soon Lee v Public Prosecutor [2011] 2 SLR 201). Berdasarkan keadaan tersebut, kami berpendapat tidak ada salah laksana keadilan atau ketidakadilan berlaku di sini. Perayu juga, sepertimana dihuraikan di atas, dan secara keseluruhan, telah gagal membangkitkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.

Kesimpulan

[26] Berdasarkan keterangan melimpah ruah tersebut, kami juga membuat dapatan yang sama sepertimana yang diputuskan oleh hakim bicara. Dalam keadaan tersebut, sabitan dan hukuman terhadap perayu adalah selamat. Rayuan perayu dengan itu ditolak.

t.t

ABDUL KARIM BIN ABDUL JALIL
Hakim Mahkamah Rayuan

Tarikh: 21 Ogos 2018

COUNSEL

Bagi pihak Perayu: Datuk N. Sivananthan (bersama Jay Moy Wei Jiun), Tetuan Sivananthan

Bagi pihak Responden: Zhafran Rahim Hamzah, Timbalan Pendakwa Raya, Jabatan Peguam Negara

Legislation referred to:

Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen-seksyen 2, 37(d), 39B(1)(a)

Akta Mahkamah Kehakiman 1964, Seksyen 60(1)

Judgments referred to:

Balasingam v PP [1959] 1 MLJ 193

Dalbir Kaur v Punjab AIR 1977 SC 472

Dato' Seri Anwar Ibrahim v PP & Another Appeal [2004] 3 CLJ 737

Kartik Malhar v State of Bihar 1996 Cri LJ 889 (SC)

Khor Soon Lee v Public Prosecutor [2011] 2 SLR 201

Kwok Pin Hwee lwn PP [2017] 1 LNS 533

Lim Guan Eng v PP [1998] 3 CLJ 769

Liow Siow Long v PP [1970] 1 MLJ 40

Manimaran a/l Amas v PP [2014] 1 LNS 1412; [2015] 1 MLJ 18

Mohd Azrin bin Che Meh v Pendakwa Raya [2011] 1 LNS 1304 (MR); [2012] 1 MLJ 450

Mohd Nahar bin Abu Bakar v PP [2013] 5 CLJ 977

Mohd Nazrul Shuhaimi v Pendakwa Raya [2014] 1 LNS 1271(MR)

Muhammad bin Hassan v PP [1998] 2 MLJ 27 (MP)

Ouseng Sama-ae v PP [2010] 6 CLJ 416 (MR)

PP v Abdul Manaf bin Muhamad Hassan [2006] 2 CLJ 129 (MP)

PP v Mohd Khairol Faizi Abu Bakar [2017] 1 LNS 126

PP v Zulkifli Arshad [2010] 6 CLJ 121 (MP)

Sangkar Esperan v PP [2016] 1 LNS 514

Tunde Apatira & Ors v PP [2001] 1 CLJ 381

Yap Ee Kong & Anor v Public Prosecutor [1981] 1 MLJ 144 (FC)

Notice: The Promoters of Malaysian Judgments acknowledge the permission granted by the relevant official/ original source for the reproduction of the above/ attached materials. You shall not reproduce the above/ attached materials in whole or in part without the prior written consent of the Promoters and/or the original/ official source. Neither the Promoters nor the official/ original source will be liable for any loss, injury, claim, liability, or damage caused directly, indirectly or incidentally to errors in or omissions from the above/ attached materials. The Promoters and the official/ original source also disclaim and exclude all liabilities in respect of anything done or omitted to be done in reliance upon the whole or any part of the above/attached materials. The access to, and the use of, Malaysian Judgments and contents herein are subject to the Terms of Use.