THE OFFICIAL REPOSITORY OF
MALAYSIAN JUDGMENTS & RULINGS

[2018] MYCA 97 MALAY

Khairul Bin Nordin v Pendakwa Raya
Suit Number: Rayuan Jenayah No. M-06(M)-3-03/2017 

Criminal law – Murder

Criminal law – Whether the trial judge failed to consider that the appellant did not intend to cause death – Whether the trial judge failed to consider the right of private defense – Whether the protection of the right of private defense available

PENGHAKIMAN

Pendahuluan

[1] Perayu telah dituduh bagi kesalahan bunuh, iaitu menyebabkan kematian ke atas Abdul Rashid bin Ahmad (No. K/P: 640516-71-5003) pada 22 Ogos 2012, jam lebih kurang 8.00 malam, di halaman rumah Lot 115A, KM 18, Kampung Serkam Pantai, Merlimau, Melaka, kesalahan yang boleh dihukum di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan.

[2] Di akhir kes pendakwaan, Mahkamah Tinggi telah memutuskan bahawa pihak pendakwaan telah gagal membuktikan kes prima facie di bawah pertuduhan seksyen 302 Kanun Keseksaan. Yang Arif Hakim Bicara seterusnya telah meminda pertuduhan kepada kesalahan di bawah seksyen 304(a) Kanun Keseksaan. Perayu telah mengaku bersalah di atas pertuduhan pindaan tersebut dan Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman 14 tahun penjara ke atas perayu mulai dari tarikh tangkap.

[3] Pendakwa Raya telah tidak berpuas hati terhadap keputusan Mahkamah Tinggi meminda pertuduhan dan telah membuat rayuan kepada Mahkamah Rayuan. Mahkamah Rayuan telah membenarkan rayuan Pendakwa Raya dan memerintahkan supaya perayu dipanggil untuk membela diri di bawah pertuduhan seksyen 302 Kanun Keseksaan di hadapan hakim bicara yang sama.

[4] Di akhir perbicaraan, Mahkamah Tinggi telah mendapati perayu bersalah seperti pertuduhan. Mahkamah Tinggi mensabitkan dan menjatuhkan hukuman mati terhadap perayu.

[5] Melalui Notis Rayuan bertarikh 09 Februari 2017, perayu telah merayu kepada Mahkamah ini terhadap sabitan dan hukuman. Pada 21 Disember 2017, Mahkamah ini telah mendengar rayuan perayu dan memutuskan untuk menolak rayuan perayu. Sabitan dan hukuman Mahkamah Tinggi ke atas perayu dikekalkan. Kami kini memberikan alasan keputusan tersebut.

Kes Pendakwaan

[6] Kes pihak pendakwaan adalah seperti berikut. Perayu adalah merupakan adik ipar kepada si mati Abdul Rashid bin Ahmad. Perayu berkahwin dengan Kamariah binti Ahmad (SP18), iaitu adik perempuan si mati.

[7] Pada 22.8.2012, jam lebih kurang 7.30 malam pada Hari Raya Aidilfitri yang keempat, Izhar bin Ahmad (SP11) dan si mati duduk berbual di sebuah pangkin di rumah Lot 115A, KM 18 Kampung Serkam Pantai, Merlimau, Melaka. SP11 adalah abang si mati. Turut sama dalam perbualan tersebut ialah kakak perempuan si mati bernama Sabariah binti Ahmad dan perayu. Rumah tersebut milik ibu si mati. Semasa perbualan tersebut, perayu tiba-tiba telah mengatakan bahawa tidak lama lagi mereka akan mendapat duit pusaka tanah arwah bapa si mati sebanyak RM30,000.00.

[8] SP11 bertanyakan kepada perayu bagaimana perayu mengetahui perkara tersebut. Perayu memberitahu bahawa perayu mendapat tahu perkara tersebut daripada isteri perayu, Kamariah binti Ahmad (SP18). SP11 sebelum itu tiada pengetahuan tentang duit harta pusaka arwah ayah SP11.

[9] SP11 telah masuk ke dalam rumah bagi bertanyakan kepada SP18 berkenaan perkara yang diberitahu oleh perayu kepada si mati, SP11 dan Sabariah. SP18 hanya menjawab “habislah dia (SP18) nanti akan kena pukul”. Selepas itu SP18 terus berlalu keluar daripada rumah tersebut mengikut pintu belakang.

[10] Seketika kemudian SP11 melihat perayu masuk ke dalam rumah. Perayu mencari SP18 tetapi tidak menjumpai SP18.

[11] Sementara itu SP11 keluar daripada rumah dan pergi ke halaman rumah dan bersandar pada kereta milik SP11. Perayu telah datang kepada SP11. Ketika itu juga si mati datang dan berkata kepada perayu “kalau ada apa-apa hal pun dalam rumahtangga tolong jangan naik kaki tangan. Tu pantang Rashid". Perayu menjawab “ini hal bini aku, rumahtangga akulah. Tolong jangan campur".

[12] Mendengar jawapan perayu, si mati telah menjawab semula “dia bini kau tapi dia adik aku”. Si mati seterusnya memberitahu perayu jika si mati mendengar adiknya (SP18) dipukul, si mati akan datang mencari di Seremban. Si mati beredar dari situ.

[13] Semasa si mati beredar, perang mulut masih berlaku di antara si mati dan perayu. Selepas 3 atau 4 langkah, perayu telah berpatah balik ke arah si mati dan berlaku tolak menolak di antara si mati dan perayu. SP11 yang melihat hal tersebut tidak meleraikan mereka kerana menganggap itu hanya pergaduhan antara adik beradik.

[14] Namun SP11 melihat keadaan menjadi lebih serius apabila daripada tolak menolak, si mati dan perayu telah bergumpal di atas tanah berdekatan SP11.

[15] SP11 telah memaut belakang badan perayu yang ketika itu sedang berada di atas badan si mati. SP11 merebahkan dirinya bersama si mati dan perayu di atas tanah. Perayu kemudiannya berdiri. Si mati pula masih terbaring dalam kedudukan mengiring dengan kedua-dua tangan si mati memegang perut si mati sebelah kiri. Ketika itu SP11 melihat di tangan kanan perayu terdapat sebilah pisau, manakala di tangan kiri perayu memegang sarung pisau. Perayu berkata “aku tak tikam Rashid".

[16] Seterusnya si mati telah dibawa ke Hospital Melaka. Pembedahan laparatomy dilakukan serta merta oleh Dr. Suhaib Mohd Amin (SP19) bagi membetulkan usus si mati yang cedera teruk bagi dibuat sambungan semula. Bagaimanapun si mati kemudiannya disahkan meninggal dunia lebih kurang satu jam selepas pembedahan laparatomy, iaitu jam lebih kurang 1.05 pagi malam yang sama (P62). Mayat si mati dihantar ke rumah mayat Hospital Seremban untuk dibuat bedah siasat.

[17] Pada malam yang sama lebih kurang jam 11.11 malam, SP11 telah membuat laporan polis mengenai kejadian melalui Merlimau Rpt/002266/12 (P40).

[18] Pada 23.8.2012, jam lebih kurang 2.00 petang, Dr Sharifah Safoorah bt Syed Alwee Al’Aidrus (SP15) menjalankan bedah siasat ke atas mayat si mati di bilik mayat Hospital Tuanku Jaafar Seremban. SP11 mengesahkan bahawa punca kematian si mati disebabkan oleh Incise Wound on the Left Hip Region”. SP15 menyatakan kecederaan yang dialami oleh si mati adalah “fatal in nature” (muka surat 248 Rekod Rayuan Jilid 2A). Akibat daripada kesan luka incise daripada pinggul sebelah kiri naik ke atas menyebabkan putus saluran darah tersebut (muka surat 246 Rekod Rayuan Jilid 2A). SP15 mengatakan "luka incise” yang dialami si mati disebabkan oleh objek tajam seperti pisau, kaca, gunting dan seumpamanya (muka surat 244 Rekod Rayuan Jilid 2A). Luka incise tersebut (no. 2) adalah fatal merupakan tusukan yang dalam daripada sebelah kiri pinggul daripada arah bawah menaik ke atas (muka surat 250 Rekod Rayuan Jilid 2A). SP15 juga mengatakan kecederaan no. 4 ‘right posterior aspect of the forearm’ yang dialami oleh si mati adalah merupakan kecederaan kerana mempertahan diri (muka surat 249 Rekod Rayuan Jilid 2A). SP15 mengatakan pembedahan laparotomy yang telah dilakukan ke atas si mati sebelum simati meninggal dunia tidak menyumbang kepada sebab kematian si mati (muka surat 251 Rekod Rayuan Jilid 2A). SP15 turut mengemukakan laporan post mortem dan ditandakan sebagai eksibit P59 (muka surat 115 Rekod Rayuan Jilid 3).

[19] Pada 18.10.2013, Perayu telah ditangkap oleh Insp. Mohamad Fauzi bin Bolhadi (SP5) di Seremban, Negeri Sembilan. SP5 membuat laporan tangkapan melalui Jalan Campbell Rpt/013146/13.

Dapatan Hakim Bicara Di Akhir Kes Pendakwaan

[20] Di akhir kes pendakwaan, YA Hakim Bicara telah memutuskan bahawa pihak pendakwaan telah gagal membuktikan kes prima facie di bawah pertuduhan seksyen 302 Kanun Keseksaan. YA Hakim Bicara seterusnya telah meminda pertuduhan kepada kesalahan di bawah seksyen 304(a) Kanun Keseksaan. Perayu telah mengaku bersalah di atas pertuduhan pindaan tersebut dan dijatuhkan hukuman 14 tahun penjara mulai dari tarikh tangkap.

[21] Pihak Pendakwa Raya telah tidak berpuas hati terhadap keputusan Mahkamah Tinggi meminda pertuduhan dan telah membuat rayuan kepada Mahkamah Rayuan. Pada 13.7.2016, Mahkamah Rayuan telah membenarkan rayuan Pendakwa Raya dan memerintahkan supaya perayu dipanggil untuk membela diri di bawah pertuduhan seksyen 302 Kanun Keseksaan di hadapan Hakim Bicara yang sama.

[22] Perayu diperintahkan membela diri atas pertuduhan seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dikemukakan terhadapnya.

Pembelaan Perayu

[23] Perayu memilih memberi keterangan pembelaan diri secara bersumpah. Perayu juga memanggil seorang saksi, iaitu Dr. Azfana binti Hassan (DW2) dari Jabatan Kecemasan Hospital Tuanku Jaafar Seremban. Menurut perayu (DW1) pada hari ketiga raya, perayu bersama isterinya (SP18) serta dua anak mereka balik ke rumah emak mertuanya di alamat kejadian. Pada hari keempat raya, simati bersama isteri dan anak mereka juga balik ke rumah tersebut bagi beraya. Ketika simati sampai, perayu sedang bersiap untuk balik. Melihat si mati tiba, perayu menangguhkan dahulu untuk pulang kerana si mati dikatakan akan membahagikan sejumlah wang duit tanah arwah bapa si mati kepada ahli keluarga. Si mati telah memberi RM500.00 kepada SP18. Perayu kemudiannya mengatakan kepada SP11 bahawa SP18 ada memberitahu perayu bahawa setiap ahli keluarga akan dapat lebih kurang RM30,000. Perayu mengatakan perbualan perayu dengan si mati dan SP11 telah didengar oleh SP18. Perayu tidak berpuas hati SP18 mendengar perbualan perayu tersebut dan perayu masuk ke dalam rumah untuk mencari SP18 tetapi SP18 telah lari keluar daripada rumah tersebut. Kemudian perayu keluar semula daripada dalam rumah. SP18 masih tidak kelihatan. Si mati telah datang kepada perayu dan memarahi perayu kerana tidak berpuas hati terhadap perlakuan perayu ke atas SP18 kerana perayu dikatakan sering memukul SP18. Berlaku pertengkaran di antara perayu dan si mati. Perayu mengatakan SP11 telah menendang kaki perayu dan perayu membalas balik dengan menendang kaki SP11. Ketika itu perayu melihat si mati seperti mengeluarkan sesuatu dari dalam poket belakang si mati dan seperti hendak menikam perayu. Perayu tepis tangan si mati dan menolak si mati. Si mati jatuh terlentang. Seketika kemudian perayu melihat si mati memegang perut si mati dan duduk lama. Melihat si mati cedera, perayu telah mengangkat si mati dan memasukkan si mati ke dalam kereta perayu. Perayu dan isteri si mati membawa si mati ke Hospital Melaka. Kereta dipandu oleh isteri si mati kerana perayu tidak tahu hospital di mana. Perayu menafikan ada memegang pisau yang telah mencederakan si mati. Perayu juga menafikan ada pergelutan di antara perayu dan si mati. Perayu mengatakan keterangan SP11 yang melihat perayu ada memegang pisau yang mencederakan si mati hanya merupakan keterangan rekaan oleh SP11. Perayu juga mengatakan selepas menghantar si mati ke hospital, perayu telah balik ke Seremban dan pergi mendapatkan rawatan di Hospital Seremban kerana dada perayu ada kecederaan luka. Ketika berada di Hospital Seremban, perayu mendapat panggilan daripada abang perayu yang memberitahu perayu bahawa Rashid iaitu si mati telah meninggal dunia dan ada orang sedang mencari perayu. Perayu juga mengatakan abang perayu telah menyuruh perayu melarikan diri. Perayu melarikan diri dan bersembunyi. Bagaimana pun perayu akhirnya telah ditangkap di Seremban. Perayu menafikan ada menikam si mati dengan pisau. Perayu menafikan mempunyai niat untuk membunuh si mati. Perayu mengatakan tujuan perayu datang ke rumah tersebut adalah kerana balik beraya dan bukan untuk membunuh si mati. Perayu bagaimanapun mengakui memang terdapat masalah dalam rumahtangganya bersama SP18 dan kerap memukul SP18.

[24] Dr Azfana binti Hassan (DW2) mengatakan perayu ada mendaftar di Hospital Seremban bagi mendapatkan rawatan dan dirawat oleh seorang doktor bernama Dr Norashikin binti Awang yang kemudiannya telah meninggalkan Hospital Seremban bagi melanjutkan pelajaran. DW2 hanya memberi keterangan berdasarkan rekod yang terdapat. Perayu direkodkan sebagai ada mengalami beberapa kecederaan ‘abreation’ di bahagian dahi dan lutut serta bahagian kiri atas dada. Perayu telah diminta menjalani x-ray tetapi perayu telah melarikan diri daripada proses rawatan. DW2 telah mengemukakan rekod rawatan perayu (D75)(muka surat 148-149 Rekod Rayuan Jilid 3).

Dapatan Dan Keputusan Hakim Bicara Di Akhir Kes Pembelaan

[25] Di akhir kes pembelaan, YA Hakim Bicara telah membuat dapatan berikut (muka surat 15-17 Rekod Rayuan Jilid 1):

“16. In his defence, the Accused had firmly maintained to deny of carrying the knife that was used to stab the deceased. The Accused claimed that it was the deceased who first took out the knife in his hand and the Accused immediately pushed the hand of the deceased which led the deceased to stab himself. If that is so, how could the Accused suffer the injury on his chest? If the deceased had first stabbed the Accused on the chest surely PW11 must have seen this happened. Sadly, PW11 was never challenged on this in his evidence. The Accused cannot now, in his defence claimed that the received injury on his chest due to the stab during the fight.

17. To recapitulate about the stab on the deceased's abdomen, it appears to this Court that the Accused had developed his intention on the spot, when he had the knife in his hand and struck a stab which inflicted deep and serious injury which could cause the death of the deceased as a natural result. Intention is a matter of inference and therefore it could be inferred from the act of the Accused and from the nature of the injuries sustained by the deceased (Sainal Abidin bin Moding v PP [1999] 4 MLJ 497)

18. This Court similarly found in this case as found in the case of Mohd Haikal bin Mohd Khatib Saddaly v PP [2009] 4 MLJ 305, where the Court of Appeal decided that:-

"[120] We hold that the injuries found on the victim were intentionally inflicted and were sufficient in the ordinary course of nature to cause the death of the victim based on the evidence of the good doctor (Ram Swaroop v State of Rajashtan [1994] Cri LJ 596). According to the case of Ramkishore Patel and others v State of Madhya Pradesh [1997] 1 Cri LJ 207; [1994] 2 EFR 186 (SC) where the injuries inflicted were fatal, just like the present appeal, the intention to inflict those injuries must be to cause the death of the victim. And such an intention can be assumed." (Emphasis added)

19. Before this Court, there is evidence by the forensic pathologist (PW15) who testified that the incise wound of the deceased's left pelvis was due to sharp object which has caused rupture of blood vessel of the deceased's kidney. From this injury, it can be inferred that the Accused had intentionally inflicted the said injury which is sufficient in the ordinary course of nature to cause death to the deceased. The act of the Accused in this case constituted the offence of murder. The defence of the Accused did not raise a reasonable doubt to the prosecution's case as it could not show any probability that the deceased had accidentally stabbed himself whilst the Accused was exercising his private defence. The Accused's injury on the chest as claimed by the Accused is not probable to create any doubt to the Prosecution's case.

20. Pursuant to the above reasoning, this Court found the Prosecution had proved its case beyond reasonable doubt and that the Accused is found guilty and convicted for the offence of murder under section 302 of Penal Code."

[26] Di akhir perbicaraan, Hakim Bicara mendapati perayu bersalah dan disabitkan dengan pertuduhan dan dihukum dengan hukuman mati.

Rayuan Perayu

[27] Peguambela terpelajar bagi pihak perayu mengemukakan dua alasan rayuan berikut bagi mencabar dapatan dan keputusan Hakim Bicara:

(a) bahawa Hakim Bicara gagal menimbangkan bahawa perayu tidak berniat untuk menyebabkan kematian ke atas si mati;

(b) bahawa Hakim Bicara khilaf apabila gagal memutuskan bahawa kecederaan si mati adalah satu justifikasi ketika perayu menjalankan pembelaan pertahanan persendirian (private defence).

Keputusan Mahkamah Ini

[28] Peguambela terpelajar bagi pihak perayu menghujahkan tujuan perayu datang ke rumah tempat kejadian bersama isterinya SP18, adalah untuk datang beraya di rumah ibu mertuanya. Tiada terdapat sebarang persediaan untuk melakukan apa-apa perlakuan jenayah. Peguambela terpelajar selanjutnya menghujahkan pertengkaran dan pergaduhan yang berlaku adalah kejadian ‘spur of the moment’ yang tidak disangka-sangka dan tidak dirancang oleh perayu. Peguambela terpelajar juga menghujahkan bahawa pergaduhan yang berlaku di antara simati dan perayu bukan dimulakan oleh perayu. Peguambela juga menghujahkan saksi SP11 juga tidak nampak bagaimana si mati mendapat kecederaan tikaman yang fatal tersebut. Peguambela juga menghujahkan bahawa SP11 tidak nampak perayu ada memegang pisau semasa pergelutan di antara si mati dan perayu. Peguambela seterusnya menghujahkan perlakuan perayu yang dengan segera mengangkat si mati, memasukkan si mati ke dalam kereta perayu dan membawa si mati ke hospital bagi mendapatkan rawatan adalah perlakuan yang konsisten bagi seorang yang tidak berniat melakukan kesalahan.

[29] Kami menimbangkan dahulu isu terpenting sama ada perayu mempunyai niat untuk menyebabkan kematian ke atas si mati. SP11 menyatakan bahawa si mati dan perayu bergelut dan bergumpal di atas tanah selama lebih kurang 2 minit dan SP11 memahut perayu yang berada di atas badan si mati, bagi meleraikan pergaduhan. Ketika itu SP11 melihat di tangan kanan perayu memegang pisau, manakala di tangan kiri perayu memegang sarung pisau. Di masa yang sama SP11 juga melihat si mati memegang bahagian perut si mati (muka surat 143 Rekod Rayuan Jilid 2). SP11 tidak melihat si mati ada mengeluarkan senjata atau memegang apa-apa senjata sebelum dan semasa pergaduhan. Pakar forensik SP15 mengesahkan bahawa punca kematian si mati adalah disebabkan luka incise di bahagian sebelah kiri perut si mati dan kecederaan yang dialami oleh si mati adalah “fatal in nature” (muka surat 246-248 Rekod Rayuan Jilid 2A).

[30] Seksyen 300 Kanun Keseksaan memperuntukkan seperti berikut:

300. Membunuh orang

Kecuali dalam hal-hal yang dikecualikan kemudian daripada ini, mematikan orang dengan salah ialah membunuh orang:-

(a) Jika perbuatan yang menyebabkan kematian itu dilakukan dengan niat hendak menyebabkan kematian;

(b) Jika perbuatan itu dilakukan dengan niat hendak menyebabkan sesuatu bencana tubuh yang pesalah itu ketahui mungkin menyebabkan kematian orang yang dikenakan bencana itu;

(c) Jika perbuatan itu dilakukan dengan niat hendak menyebabkan bencana tubuh kepada mana-mana orang, dan bencana tubuh yang dimaksudkan hendak dikenakan itu adalah cukup, pada lazimnya, bagi menyebabkan kematian; atau

(d) Jika orang yang melakukan perbuatan itu ketahui bahawa perbuatan itu adalah berbahaya sehingga boleh menyebabkan kematian, atau sesuatu bencana tubuh yang mungkin menyebabkan kematian, dan dia melakukan perbuatan itu dengan tiada apa-apa sebab bagi mendatangkan bahaya menyebabkan kematian, atau bencana sebagaimana tersebut itu.

[31] Bagi memahami kaedah pemakaian seksyen 300 tersebut, dalam kes Mohd Asmadi Yusof v PP [2011] 1 CLJ 41, Mahkamah Persekutuan di muka surat 49 memberikan panduan seperti berikut:

“[21] Section 299 of the Code defines culpable homicide and it reads:

Whoever causes death by doing an act with the intention of causing death, or with the intention of causing such bodily injury as is likely to cause death, or with the knowledge that he is likely by such act to cause death, commits an offence of culpable homicide.

Clauses (a), (b) and (c) of s. 300 of the Code contemplate ‘intention’ and in clause (a) it is intention to cause death while in clause (b) and (c) it is intention to cause bodily injury. On the other hand, ‘intention’ is not a necessary element in clause (d) and all that is required to be proved is knowledge that the act is likely to cause death. In Santosh v. The State of Madhya Pradesh [1975] Cri, LJ 602, in dealing with s. 300 of the Indian Penal Code, Beg J held (at p. 603) as follows:

An intention to kill is not required in every case. A knowledge that the natural and probable consequences of an act would be death will suffice for a conviction under section 302, IPC (See also Kenneth Fook Mun Lee v PP [2006] 4 CLJ 359).”

[32] Pembuktian niat seseorang tertuduh atau individu, jika tiada keterangan secara langsung, masih boleh dibuktikan secara inferen melalui keterangan dan perlakuan tertuduh (lihat Lee Fah Sang v PP [1967] 2 MLJ 163; Lim Heng Soon & Anor v PP [1970] 1 MLJ 166; Lai Kim Hon & Ors v PP [1981] 1 MLJ 84; Dato’ Mokhtar bin Hashim & Anor v PP [1983] 2 CLJ, [1983] CLJ (Rep) 101; Khoo Hi Chiang v PP [1994] 2 CLJ 151). Niat untuk membunuh juga dapat dibuat inferen daripada jenis kecederaan yang telah ditimpakan ke atas simati (lihat Sainal Abidin bin Mading v PP [1999] 4 CLJ 215; Juraimi bin Husin v PP [1998] 2 CLJ 383).

[33] Dalam menimbangkan sama ada wujudnya suatu niat bagi menyebabkan bencana tubuh yang lazimnya akan menyebabkan kematian, iaitu klausa ketiga di bawah seksyen 300 Kanun Keseksaan, Ratanlal & Dhirajlal’s Law of Crimes, 25th Edn, di muka surat 1308-1309 mengatakan seperti berikut:

“This clause (3) views the matter from a general stand point. It speaks of an intention to cause bodily injury which is sufficient to cause death. The emphasis here is on the sufficiency of the injury in the ordinary course of nature to cause death. The sufficiency is the high probability of death in ther ordinary way of nature and when the exists and death ensures and the causing of such injury is intended the offence is murder. Sometimes the nature of the weapons used, sometimes the part of the body on which injury is caused, and sometimes both are relevant. The determination factor is the intentional injury which must be sufficient to cause death in the ordinary course of nature. If the intended injury cannot be said to be sufficient in the ordinary course of natur to cause death, that is to say, the probability of death is not so high, the offence does not fall within murder but within culpable homicide not amounting to murder or sometimes less.

In Rajwant Singh (AIR [1966] SC 1874, 1978) the Supreme Court stated: The third clause discards the test of subjective knowledge. It deals with acts done with intention of causing bodily injury inflicted is sufficient in the ordinary course of nature to cause death. In this clause, the result of the intentionally caused injury must be viewed objectively. If the injury that the offender intends causing and does cause is sufficient to cause death in the ordinary way of nature, the offence is murder whether the offender intended causing death or not and whether the offender had a subjective knowledge of the consequences or not.

Explaining clause 3 of section 300 Vivian Bose J in the leading case of Virsa Singh observed:

To put it shortly, the prosecution must prove the following facts before it can bring a case under section 300 ‘thirdly’.

First, it must establish, quite objectively that a bodily injury is present;

Secondly, the nature of the injury must be proved; These are purely objective investigation.

Thirdly, it must be proved that there was an intention to inflict the particular bodily injury, that is to say that it was not accidental or unintentional, or that some other kind of injury was intended,

Once these three elements are proved to be present, the enquiry proceeds further and

Fourthly, it must be proved that the injury of the type just described made up of the three elements set out above is sufficient to cause death in the ordinary course of nature. This part of the enquiry purely objective and inferential and has nothing to do with the intention of the offender.

Once these four elements are established by the prosecution (and, of course, the burden is on the prosecution throughout) the offence is murder under section 300 ‘thirdly’. It does not matter that there was no intention even to cause an injury of a kind that is sufficient to cause death in the ordinary course of nature (not that there is any real distinction between the two). It does not even matter that there is no knowledge that an act of the kind will be likely to cause death. Once the intention to cause bodily injury actually found to be present is proved, the rest of the enquiry is purely objective and the only question is whether, as a matter of purely objective inference, the injury is sufficient in the ordinary course of nature to cause death.”

[34] Bagi kecederaan yang berlaku akibat daripada tikaman (stabbing wounds), Ratanlal & Dhirajlal’s Law of Crimes, 25th edn, di muka surat 1315-1316 mengatakan seperti berikut:

“…Where the accused inflicted a stab with a sharp-pointed weapon which entered the upper part of the deceased’s stomach, causing rapture of it and of the peritoneum, it was held that his act came within this clause (third clause of section 300). If a person stabs another in the abdomen with sufficient force to penetrate the abdominal wall and the internal viscera, he must undoubtedly be held to have intended to cause injury sufficient in the ordinary course of nature to cause death. It is not necessary that the accused must have the intention to inflict those injuries which he knew were sufficient in the ordinary course of nature to cause death, it would suffice if he intended to cause those injuries which were actually caused by him. If the medical evidence showed that those injuries were sufficient in the ordinary course of nature to cause death, the accused would then be guilty of murder under section 302...

... the person who uses a sword or aruval chopping of an arm of a leg and by doing so severs the arteries of the arms or leg, must know that he is inflicting an injury which in the ordinary course of nature is sufficient to cause death. The offence in that case is clearly murder. Where the accused stabbed the deceased only once in a vital part of the body and the deceased died as a result of that injury and the injury was one which in the ordinary course would have cause death, it was held that the accused was guilty of murder.

The mere fact that the deceased might have been saved if expert medical evidence had been afforded at once makes no difference as to the nature of the crime...”.

[35] Apakah jenis kecederaan yang telah dialami oleh si mati? Keterangan oleh SP15 telah membutirkan kecederaan yang telah dialami oleh si mati, adalah seperti berikut (muka surat 115-121 Rekod Rayuan Jilid 3):

Mark of trauma

1. Left side of face, superficial incise wound in the shape of the number ‘7’, the horizontal limb was 3cm, and the vertical lim was 6.5cm.

2. In the region of the left hip, incise wound with a re-entry phenonmenon, the medical length was 5.2cm, the lateral length was 4.0cm, and the width was 3.0cm. The overhanging skin tag on the superior edge was 0.6cm and the distance between the two edges was also 0.6cm.

3. Right upper back, abrasion 3.5 x 0.5cm.

4. Right posterior aspect of the forearm, superficial incise wound 2.1cm.

[36] Penjelasan oleh SP15 berkenaan sebab kematian si mati yang mendapat kecederaan fatal di bahagian pinggul kiri yang membawa maksud ‘re-entry phenomenon' adalah seperti berikut (muka surat 249-250 Rekod Rayuan Jilid 2A):

“Kecederaan no. 2 iaitu fatal wound tadi kecederaan yang menyebabkan kematian. Kecederaan ini adalah diakibatkan oleh satu objek tajam ianya kesan tusukan yang dalam daripada sebelah kiri punggul tersebut daripada arah bawah menaik ke atas ...Yang paling common sekali adalah pisau.”

[37] SP15 seterusnya mengatakan kemungkinan terjadinya si mati tertikam dirinya sendiri adalah kecil jika dibandingkan dengan kebarangkalian orang yang menikam si mati yang lebih munasabah (muka surat 252 Rekod Rayuan Jilid 2A).

[38] YA Hakim Bicara telah membuat inferen bahawa berdasarkan kepada keterangan SP15, kecederaan fatal yang dialami oleh si mati akibat tusukan yang kuat adalah keterangan yang mencukupi bahawa perayu mempunyai niat untuk menyebabkan bencana tubuh ke atas si mati dan bencana tubuh yang dikenakan itu adalah cukup, pada lazimnya, bagi menyebabkan kematian si mati. Dapatan tersebut adalah menjurus kepada seksyen 300(c) Kanun Keseksaan. Kecederaan yang ditimpakan ke atas usus si mati adalah fatal dan tidak berupaya dibaik pulih walau pun si mati cuba diselamatkan. SP15 mengatakan pembedahan laparotomy yang telah dilakukan ke atas si mati sebelum si mati meninggal dunia tidak menyumbang kepada sebab kematian si mati (muka surat 251 Rekod Rayuan Jilid 2A).

[39] YA Hakim Bicara membuat dapatan seperti berikut (muka surat 17 Rekod Rayuan Jilid 1):

"19. Before this Court, there is evidence by the forensic pathologist (PW15) who testified that the incise wound of the deceased's left pelvis was due to sharp object which has caused rupture of blood vessel of the deceased's kidney. From this injury, it can be inferred that the Accused had intentionally inflicted the said injury which is sufficient in the ordinary course of nature to cause death to the deceased. The act of the Accused in this case constituted the offence of murder."

[40] Berdasarkan alasan dan huraian yang dinyatakan di atas, kami mendapati hujahan peguambela terpelajar tidak mempunyai merit. Kami bersetuju sepenuhnya dengan dapatan oleh Hakim Bicara tersebut, dan tidak mendapati apa-apa kesilapan dari segi fakta mahupun undang-undang yang membolehkan kami mengubah keputusan YA Hakim Bicara.

Samada perayu boleh mendapat faedah daripada pembelaan pertahanan persendirian (private defence)

[41] Peguambela terpelajar menghujahkan bahawa Hakim Bicara telah gagal menimbangkan secukupnya keterangan perayu bahawa kecederaan yang berlaku ke atas si mati berlaku semasa proses mempertahankan diri oleh perayu daripada serangan si mati dan perayu berhak kepada pembelaan pertahanan persendirian (private defence) seperti yang diberikan oleh seksyen 300 Kanun Keseksaan.

[42] Kami mendapati YA Hakim Bicara telah menimbangkan perkara ini dengan secukupnya. YA Hakim Bicara telah membuat dapatan berikut (muka surat 11-12 Rekod Rayuan Jilid 1):

“8. After careful consideration of the defence’s case, this court decided in favour of the prosecution as there was no serious injury suffered by the accused. The surrounding evidence as a whole had defied the defence of the accused to be ‘necessary’ to entitle the accused to the defence of self-defence or private defence. There must be a need for a reasonable apprehension of the danger to enable the accused to advance this kind of defence, and it was misfortune to the accused in this case since he failed to show that he was in imminent danger which entitled him to cause the death of the deceased.

9. In the case of Wong Teck Choy v PP [2005] 4 MLJ 693, Gopal Sri Ram JCA (as he then was) said:

“6. It follows that where private defence is put forward in answer to a criminal charge, there is a duty upon the prosecution to show beyond reasonable doubt that the accused did not act in self-defence. Consequently, if an accused raises a reasonable doubt about the existence of the right of private defence he is entitled to be acquitted of the charge : Zecevic v Director of Public Prosecutor (1897) 162 CLR 645. One of the cardinal principles governing the right of private defence is that the exercise of that defence should not exceed what is reasonably necessary to avert the assailant’s attack. See Lee Thian Beng v PP [1972] 1 MLJ 248, per Ong Hock Sim FJ.”.

10. This court observed that the accused had caused more harm than necessary to inflict the injury on the deceased for the purpose of his private defence, and hence ruled the plea of self-defence in this case is unsuccessful.”

[43] Hakim Bicara telah menerima keterangan saksi utama kejadian iaitu SP11. SP11 melihat perayu sedang memegang pisau di tangan kanan perayu, manakala di tangan kiri perayu terdapat sarung pisau tersebut. SP11 melihat ini sebaik perayu berdiri dan si mati masih duduk dengan kedua-dua tangan si mati menekan perut si mati yang telah mengalami kecederaan tikaman. Pihak pembelaan tidak mencabar keterangan SP11 yang mengatakan bahawa si mati tidak memegang sebarang senjata atau pisau sebelum berlaku pergelutan di antara si mati dan perayu. Jelasnya, keterangan oleh SP11 tidak melihatkan si mati mempunyai apa-apa senjata berbahaya ketika kejadian. Dalam keadaan tersebut di mana perayu tidak berada dalam situasi terdapat ancaman ke atas nyawanya atau keselamatannya, perayu telah mengambil peluang yang tidak berpatutan atau telah bertindak secara kejam atau luar biasa apabila dengan menggunakan pisau menikam si mati dan oleh yang demikian tidak berhak kepada perlindungan hak pertahanan persendirian yang diperuntukkan di bawah seksyen 300 Kanun Keseksaan (lihat Vijaya v PP [1975] 2 MLJ 8; Mohamed Kunjo v PP [1978] 1 MLJ 15; Hainie Hamid v PP [2003] 2 CLJ 137; PP v Awang Radan bin Awang Bol [2006] 1 MLJ 332; T Paramasparan a/l Thanigajalam v PP [2012] 2 MLJ 545; SS Mujebur Rahman bin Mohd Sultan v Pendakwa Raya [2013] 3 MLJ 869). Kami bersetuju sepenuhnya dengan dapatan oleh Hakim Bicara tersebut, Justeru, hujahan peguambela perayu tidak mempunyai merit.

Kesimpulan

[44] Berdasarkan alasan-alasan yang telah kami huraikan, kami berpuas hati bahawa YA Hakim Bicara telah mengarahkan dirinya dengan betul terhadap fakta dan undang-undang yang terpakai dan telah meneliti keseluruhan keterangan yang dikemukakan dalam kes ini dalam membuat dapatan ke atasnya. Kehendak seksyen 182A Kanun Prosedur Jenayah (Akta 593) telah dipatuhi. Tidak terdapat sebarang alasan atau merit untuk Mahkamah ini mengganggu keputusan Hakim Bicara tersebut. Sabitan terhadap perayu adalah selamat.

[45] Justeru, Mahkamah ini menolak rayuan perayu dan mengekalkan sabitan dan hukuman oleh Mahkamah Tinggi.


YAACOB BIN HAJI MD SAM
Hakim
Mahkamah Rayuan Malaysia

Bertarikh: 29 Mac 2018

COUNSEL

Peguamcara bagi pihak Perayu: Asmawi (bersama Nur Asmawi), Tetuan I. Asmawi & Co, Peguambela & Peguamcara, No. 57, Tingkat 1, Jalan S2 F1, Garden Homes, Seremban 2, Seremban, Negeri Sembilan

Peguamcara bagi pihak Responden: Norinna Bahaddun, Timbalan Pendakwa Raya, Jabatan Peguam Negara, Bahagian Perbicaraan & Rayuan, Aras 5, No. 45, Lot 4G7, Presint 4, Persiaran Perdana, 62100 Putrajaya

Legislation referred to:

Kanun Keseksaan, Seksyen-seksyen 300, 300(c), 302, 304(a)

Kanun Prosedur Jenayah (Akta 593), Seksyen 182A

Judgments referred to:

Dato’ Mokhtar bin Hashim & Anor v PP [1983] 2 CLJ, [1983] CLJ (Rep) 101

Hainie Hamid v PP [2003] 2 CLJ 137

Juraimi bin Husin v PP [1998] 2 CLJ 383

Khoo Hi Chiang v PP [1994] 2 CLJ 151

Lai Kim Hon & Ors v PP [1981] 1 MLJ 84

Lee Fah Sang v PP [1967] 2 MLJ 163

Lim Heng Soon & Anor v PP [1970] 1 MLJ 166

Mohamed Kunjo v PP [1978] 1 MLJ 15

Mohd Asmadi Yusof v PP [2011] 1 CLJ 41

PP v Awang Radan bin Awang Bol [2006] 1 MLJ 332

Sainal Abidin bin Mading v PP [1999] 4 CLJ 215

SS Mujebur Rahman bin Mohd Sultan v Pendakwa Raya [2013] 3 MLJ 869

T Paramasparan a/l Thanigajalam v PP [2012] 2 MLJ 545

Vijaya v PP [1975] 2 MLJ 8

Notice: The Promoters of Malaysian Judgments acknowledge the permission granted by the relevant official/ original source for the reproduction of the above/ attached materials. You shall not reproduce the above/ attached materials in whole or in part without the prior written consent of the Promoters and/or the original/ official source. Neither the Promoters nor the official/ original source will be liable for any loss, injury, claim, liability, or damage caused directly, indirectly or incidentally to errors in or omissions from the above/ attached materials. The Promoters and the official/ original source also disclaim and exclude all liabilities in respect of anything done or omitted to be done in reliance upon the whole or any part of the above/attached materials. The access to, and the use of, Malaysian Judgments and contents herein are subject to the Terms of Use.