THE OFFICIAL REPOSITORY OF
MALAYSIAN JUDGMENTS & RULINGS

[2018] MYCA 146 MALAY

Ketua Pengarah Kerja Raya Malaysia and Another v Kubang Batang Puspa-Sari Sdn Bhd
Suit Number: Rayuan Sivil No. D-01(W)-42-02/2016 

Contracts & commercial – Contract – Termination of contract by the appellant – Alleged failure of the respondent to perform the work on a prescribed schedule – Whether termination of the contract null and void – Whether compensation for termination of contract properly assessed and justified

PENGHAKIMAN

[1] Ini adalah rayuan oleh perayu-perayu/ defendan-defendan terhadap sebahagian keputusan Mahkamah Tinggi yang telah membenarkan tuntutan responden/ plaintif seperti berikut:

“(a) Bahawa pembatalan kontrak plaintif oleh defendan-defendan adalah diisytiharkan batal dan tidak sah.

(b) Bahawa gantirugi penamatan kontrak dibenarkan dan ditaksirkan.

(c) Bahawa defendan-defendan hendaklah membayar kepada plaintif upah ke atas kerja-kerja yang telah disiapkan setakat 29 Oktober 2009 sebanyak RM9,328,318.00.

(d) Faedah pada kadar 4% dari tarikh writ 14 Jun 2011 ke atas jumlah gantirugi yang dibenarkan dan 8% daripada tarikh penghakiman sehingga penyelesaian penuh.

(e) Kos kepada peguamcara plaintif sebanyak RM50,000.00.

(f) Bahawa defendan-defendan hendaklah membayar kembali kepada plaintif wang jaminan pelaksanaan (retention sum) sebanyak RM1,106,635.86 dan wang pendahuluan sebanyak RM6,330,500.00 sebagaimana Sijil Bayaran Interim No. 25 (D-16).”

[2] Rayuan perayu-perayu adalah terhadap perintah Mahkamah Tinggi di perenggan (c) dan sebahagian perintah di perenggan (f) di atas.

[3] Kami telah mendengar rayuan perayu-perayu dan telah sebulat suara menolak rayuan berkaitan perintah Mahkamah Tinggi di perenggan (c), manakala rayuan berkenaan perintah di perenggan (f) dibenarkan setakat mana perintah Mahkamah Tinggi diubah dan penghakiman dimasukkan terhadap perayu-perayu untuk RM4,678,840.98 sahaja. Berikut adalah alasan kami untuk keputusan tersebut.

Latarbelakang Kes

[4] Melalui kontrak bertarikh 21.8.2007, responden telah dilantik oleh perayu-perayu sebagai kontraktor utama bagi projek Jabatan Kerja Raya (JKR) iaitu “Projek Membina dan Menyiapkan Jalan Masuk Dari RKT Paloh 3 RKT Lebir, Gua Musang (Fasa 3)”. Kontrak tersebut ditamatkan oleh perayu-perayu berkuatkuasa pada 29.10.2009.

[5] Responden mendakwa penamatan kontrak adalah tidak sah dan menjejaskan nama baik mereka. Akibat penamatan tersebut, responden telah disenarai hitam dan dihalang daripada terus memasuki tender bagi kontrak JKR yang lain untuk tempoh 3 tahun. Berikutan daripada itu, responden memfailkan tindakan di Mahkamah Tinggi Kota Bharu terhadap perayu-perayu menuntut relif-relif berikut:

(i) Deklarasi bahawa penamatan kontrak tersebut oleh perayu-perayu adalah terbatal dan tidak sah;

(ii) Gantirugi am bagi penamatan kontrak secara salah;

(iii) Upah bagi kerja-kerja yang telah disiapkan setakat 29.10.2009 berjumlah RM9,328,318.00;

(iv) Gantirugi kehilangan keuntungan kerana disenarai hitam untuk tempoh 3 tahun berjumlah RM10,986.000.00 atau ditaksirkan;

(v) Gantirugi malu berjumlah RM2,000,000.00 atau ditaksirkan;

(vi) Faedah; dan

(vii) Kos

[6] Perayu-perayu menegaskan penamatan adalah sah di mana kontrak ditamatkan ekoran kegagalan responden melaksanakan kerja mengikut jadual yang ditetapkan.

Keputusan Mahkamah Tinggi

[7] Selepas mendengar keterangan saksi-saksi, hakim bicara memutuskan bahawa penamatan kontrak oleh perayu-perayu adalah tidak sah dan terbatal dan dengan itu telah membenarkan tuntutan responden untuk gantirugi bagi penamatan kontrak untuk ditaksirkan.

[8] Berkenaan tuntutan responden untuk upah bagi kerja yang disiapkan setakat 29.10.2009 berjumlah RM9,328,316.00, hakim bicara mendapati terdapat keterangan yang dipersetujui berhubung nilai keseluruhan kontrak/ kerja iaitu sebanyak RM28,321,814.38. Hakim bicara seterusnya memberi pertimbangan kepada hujahan pihak-pihak seperti berikut.

[9] Mengikut pengiraan responden, peratusan kerja fizikal yang disiapkan oleh responden pada tarikh penamatan adalah 92% dari keseluruhan kontrak. Melalui surat bertarikh 26.11.2009, perayu-perayu menyatakan peratusan kewangan kerja responden adalah 70% dan perayu-perayu juga bersetuju perbezaan peratusan fizikal dan kewangan sepanjang tempoh kontrak adalah 22%.

[10] Peguamcara pihak responden berhujah bahawa mengambilkira pengiraan responden, peratusan kerja fizikal responden pada tarikh penamatan adalah 92% (70% + 22%) dari keseluruhan kontrak, iaitu RM26,056,069.23 (RM28,321,814.38 x 92%). Responden telah dibayar sejumlah RM9,714,372.14 melalui eksibit D15 iaitu bayaran interim no. 1 hingga 23. Melalui sijil interim no. 2 jumlah bayaran yang dituntut adalah RM272,611.23 dan jumlah baki bayaran kepada responden setakat sijil no. 24 adalah berjumlah RM9,959,722.70. Mengambilkira keseluruhan bayaran tersebut setelah ditolak dari RM26,056.069.23, baki bayaran bagi kerja yang telah dilakukan adalah RM14,444,687.51 (setelah ditolak wang pendahuluan/ re-coupment).

[11] Walaupun terdapat surat perayu pertama bertarikh 26.11.2009 (eksibit P4) yang menyatakan prestasi kemajuan kerja terakhir responden adalah siap 70%, perayu-perayu mendakwa kerja yang disiapkan oleh responden hanyalah 63%. Jila diambil kira pengiraan perayu-perayu, iaitu 63% peratusan kewangan kerja yang disiapkan semasa penamatan kontrak, nilai kerja responden adalah 85% (63% + 22%) atau RM24,073,542.23 dari keseluruhan harga/ nilai kontrak. Ini menjadikan jumlah baki bayaran bagi kerja yang telah dilakukan oleh responden sebanyak RM12,462,160.28 (setelah ditolak wang pendahuluan/ re-coupment).

[12] Hakim bicara menerima hujahan atau pengiraan responden berhubung upah bagi kerja yang disiapkan setakat tarikh penamatan. Walau bagaimana pun, hakim bicara hanya membenarkan jumlah yang dituntut sebagaimana diplid oleh responden dalam penyata tuntutan iaitu RM9,328,316.00.

[13] Berhubung wang jaminan perlaksanaan dan wang pendahuluan, hakim bicara mendapati bahawa berdasarkan dokumen yang dikemukakan oleh perayu-perayu sendiri sepanjang tempoh kontrak berjalan dan setakat bayaran interim no. 25, bayaran balik wang pendahuluan yang dipotong oleh perayu-perayu daripada bayaran interim adalah RM6,330,500.00 manakala wang jaminan perlaksanaan pula berjumlah RM1,106,635.86. Memandangkan kontrak ditamatkan secara tidak sah oleh defendan, hakim bicara memutuskan bahawa kedua-dua jumlah tersebut hendaklah dikembalikan kepada responden.

Rayuan

[14] Di hadapan kami, peguam kanan persekutuan bagi pihak perayu-perayu mengulangi pendiriannya bahawa peratusan kewangan yang perlu dibayar kepada responden hanyalah sebanyak 63% sahaja yang bersamaan dengan jumlah RM17,396,858.70. Jumlah ini telahpun diselesaikan kesemuanya berdasarkan sijil interim no. 25.

[15] Peguam kanan persekutuan berhujah bahawa sijil interim adalah mengikat pihak-pihak. Justeru, hakim bicara khilaf apabila memutuskan peratusan jumlah nilai kontrak yang perlu dibayar kepada responden adalah 92%. Dihujahkan seterusnya oleh peguam kanan persekutuan bahawa tidak ada sebarang bukti untuk menyokong dapatan hakim bicara bahawa nilai kerja responden telah mencapai 92%. Kes-kes Pembenaan Leow Tuck Chui & Sons Sdn Bhd v Dr Leela’s Medical Centre Sdn Bhd [1995] 2 CLJ 345; Kerajaan Malaysia v Global Upline Sdn Bhd and another appeal [2017] 1 MLJ 170 telah dirujuk untuk menyokong hujahan perayu-perayu.

[16] Hakim bicara juga dikatakan khilaf apabila menggunakan kaedah pendaraban terus peratusan kerja dengan harga kontrak, sedangkan nilai kewangan yang perlu dibayar adalah melalui kerja di tapak berasaskan senarai kuantiti (bill of quantities). Pihak perayu-perayu menekankan bahawa terdapat perbezaan di antara peratusan fizikal kerja dan peratusan kewangan. Berdasarkan peratusan kewangan 63%, tiada sebarang tunggakan nilai kontrak yang belum dibayar oleh perayu-perayu kepada responden.

[17] Berkenaan dengan wang pendahuluan sebanyak RM6,330,500.00 kepada responden, peguam kanan persekutuan berhujah bahawa jumlah tersebut adalah wang Kerajaan yang diberi pinjam kepada responden secara pendahuluan. Kesemua jumlah wang pendahuluan telah pun dikutip semula (recouped) oleh Kerajaan secara potongan melalui perakuan bayaran interim. Oleh yang demikian, dihujahkan bahawa hakim bicara khilaf apabila memutuskan bahawa wang itu dikembalikan kepada responden.

Dapatan Kami

[18] Perayu-perayu hanya merayu terhadap butiran (c) dan sebahagian butiran (f) perintah Mahkamah Tinggi iaitu penghakiman yang dimasukkan terhadap perayu-perayu untuk jumlah RM9,328,318.00 dan RM6,330,500.00 untuk upah kerja-kerja yang disiapkan setakat 29.10.2009 dan bayaran wang pendahuluan, masing-masing.

[19] Hakim bicara telah membuat penemuan fakta bahawa nilai kerja-kerja responden setakat tarikh penamatan adalah 92%. Sehubungan dengan itu, memandangkan jumlah harga kontrak yang dibayar kepada responden hanyalah 63% berdasarkan sijil interim no. 25 iaitu RM17,396,858.70, maka perayu-perayu dikehendaki membayar sejumlah 29% lagi kepada responden (92%-63%) berjumlah RM9,328,318.00.

[20] Perayu-perayu pada asasnya menyatakan bahawa hakim bicara khilaf dalam membuat penemuan fakta tentang nilai peratusan kerja responden sebanyak 92% kerana ketiadaan bukti dan juga kerana sijil interim menunjukkan peratusan kerja hanya mencapai 63%.

[21] Pertama sekali, adalah merupakan prinsip undang-undang yang mantap bahawa mahkamah rayuan tidak patut campur tangan dalam penemuan fakta hakim bicara kecuali hakim bicara adalah ‘plainly wrong’ dalam membuat dapatan tersebut (lihat Sivalingam a/l Periasamy v Periasamy & Anor [1995] 3 MLJ 395; China Airlines Ltd v Maltran Air Corp Sdn Bhd & Another Appeal [1996] 3 CLJ 163; Dream Property Sdn Bhd v Atlas Housing Sdn Bhd [2015] 2 CLJ 453).

[22] Dalam rayuan ini, terdapat keterangan dokumentari daripada pihak perayu-perayu sendiri bahawa prestasi kerja responden mencapai tahap 70%. (lihat surat perayu pertama bertarikh 26.11.2009 kepada Ketua Setiausaha Perbendaharaan Malaysia (ms 370: Rekod Rayuan Jld 2(3) Bhgn B & C)). Dalam keadaan itu, kami berpendapat hakim bicara tidak boleh dikatakan ‘plainly wrong’ dalam menolak dakwaan perayu-perayu bahawa peratusan kerja responden hanya mencapai 63%. Seterusnya saksi-saksi responden dan perayu-perayu sendiri mengesahkan bahawa perbezaan peratusan fizikal dan kewangan adalah di antara 20% hingga 22%. Maka penemuan fakta oleh hakim bicara mengenai 92% (70% + 22%) tidaklah boleh dikatakan kekhilafan yang jelas yang mewajarkan kami campur tangan.

[23] Keduanya, perlu diingatkan bahawa di Mahkamah Tinggi, perayu-perayu tidak menyangkal pengiraan peratusan oleh responden. Di hadapan hakim bicara, perayu-perayu hanya memberi tumpuan kepada isu liabiliti. Ini dinyatakan oleh hakim bicara dalam penghakimannya:

“[20] Bagi tuntutan bayaran bagi kerja yang disiapkan setakat tarikh penamatan (29.9.2010), berdasarkan keterangan yang dipersetujui nilai keseluruhan kontrak/ kerja adalah RM28,321,814.38 ... Saya menerima hujahan peguam Plaintif ... Saya menerima hujahan beliau bahawa keterangan dokumen menunjukkan bahawa pada tarikh penamatan kontrak tersebut Plaintif telah menyiapkan 92% kerja secara fizikal. Saya tidak dapat menerima hujahan Defendan (PKP) berhubung kuantum. Beliau tidak memberikan tumpuan yang mendalam dan gagal menyangkal/ menjawab peguam Plaintif ...”.

[24] Dapatan hakim bicara di atas adalah tepat. Rekod Rayuan (ms 1053: Jld 2(6) Bhgn B & C) menunjukkan hujahan peguam kanan persekutuan di peringkat bicara mengenai isu kuantum amat ringkas seperti berikut:

GANTIRUGI

83. Defendan-Defendan berhujah bahawa tiada gantirugi yang layak diberikan kepada Plaintif kerana penamatan yang dilakukan oleh Defendan Kedua adalah sah.

84. Selain itu, SD3 dalam keterangan beliau turut mengesahkan bahawa kesemua bayaran bagi kerja-kerja yang telah dilaksanakan oleh Plaintif dalam Kontrak tersebut telah dibayar dan tiada sebarang tunggakan terhadap Plaintif.”.

[25] Jelas pihak perayu-perayu sendiri tidak mencabar atau menjawab hujahan responden tentang kaedah pengiraan peratusan kerja responden dan kadar upah bagi kerja yang telah disiapkan setakat tarikh penamatan. Pada pendapat kami, dalam keadaan di mana peguam kanan persekutuan gagal membuat hujahan sebaliknya tentang kuantum untuk pertimbangan hakim bicara, adalah tidak wajar untuk peguam kanan persekutuan kini menegaskan hakim bicara khilaf dalam penemuannya yang dibuat berasaskan imbangan kebarangkalian.

[26] Dalam apa keadaan pun, kaedah yang digunakan oleh hakim bicara dalam menentukan jumlah upah kerja yang masih berbaki kepada responden iaitu dengan menggunakan peratusan penyiapan, adalah kaedah yang sama yang telah digunakan dalam kes-kes terdahulu, contohnya dalam kes-kes berikut:

(i) Abdul Hafiz bin Mohamad Arshad (b/s SBH Auto & Services) Iwn Chong Teck Po (b/s Mega Unggul Construction) [2013] 3 MLJ 911;

(ii) Mahkamah Rayuan Rayuan Sivil D-01-439-10/2014 antara Ketua Pengarah Kerja Raya Malaysia & satu lagi lwn Kubang Batang Puspa-Sari Sdn Bhd; dan

(iii) Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Bahagian Dagang, Guaman Sivil No. 22NCC-656-2011 antara DC Contractor Sdn Bhd v Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.

[27] Dalam Rayuan Sivil D-01-439-10/2014 antara Ketua Pengarah Kerja Raya Malaysia & satu lagi lwn Kubang Batang Puspa-Sari Sdn Bhd, khususnya, yang melibatkan pihak-pihak yang sama (dengan rayuan di hadapan kami) tetapi projek yang berbeza, Mahkamah ini mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi yang menggunakan kaedah yang sama yang kini dipertikaikan oleh perayu-perayu.

[28] Berkenaan wang pendahuluan, kami ulangi pendapat kami bahawa tidak wajar bagi peguam kanan persekutuan menggesa kami campur tangan dalam dapatan hakim bicara apabila peguam kanan persekutuan di peringkat Mahkamah Tinggi gagal mengemukakan atau dengan sengaja memilih untuk tidak mengemukakan hujahan yang bermakna atau signifikan untuk membantu hakim bicara dalam mencapai keputusannya.

[29] Harus ditekankan bahawa perintah pemulangan wang jaminan perlaksanaan dan wang pendahuluan dibuat oleh hakim bicara berikutan penemuan hakim bicara bahawa penamatan kontrak adalah tidak sah dan responden berhak kepada gantirugi pemecahan kontrak, maka kedua-dua jumlah tersebut dikehendaki dipulangkan kepada responden. Perintah pemulangan wang itu dibuat dalam konteks pemecahan kontrak oleh perayu-perayu. Kami bagaimanapun telah mengubah perintah hakim bicara berkenaan jumlah pemulangan wang pendahuluan setelah pihak responden bersetuju bahawa berdasarkan eksibit D16 (Rekod Rayuan Jld 2(4) Bhgn B & C: ms 577), jumlah sebenar yang perlu dipulangkan adalah RM4,678,840.98.

Kesimpulan

[30] Secara keseluruhannya, kami berpuashati bahawa keputusan hakim bicara bukanlah suatu keputusan yang ternyata khilaf dari segi fakta dan undang-undang. Kami tidak mendapati alasan yang kukuh untuk mengubah rumusan hakim bicara yang berikut dalam membuat keputusan memihak responden:

“[24] Setelah meneliti keseluruhan keterangan dan menimbang hujahan oleh peguamcara dan PKP yang terpelajar bagi kedua-dua pihak, atas imbangan kebarangkalian, saya mendapati Plaintif berjaya membuktikan tuntutan mereka bahawa penamatan kontrak oleh defendan adalah tidak sah. Oleh kerana saya mendapati penamatan kontrak adalah tidak sah maka Plaintif berhak kepada gantirugi yang dituntut dan oleh kerana PKP memilih untuk tidak berhujah balas terhadap hujahan Peguam Plaintif sepertimana yang dihujahkan di perenggan di atas dan memilih untuk bergantung kepada keterangan SD3 saya menerima hujahan peguam Plaintif dan membenarkan jumlah gantirugi sepertimana yang dituntut dan dihujahkan.”.

[31] Berdasarkan perkara-perkara di atas, kami telah menolak rayuan perayu-perayu dengan kos dan mengekalkan keputusan hakim bicara kecuali perintah pemulangan wang pendahuluan yang telah diubah setakat mana yang dinyatakan terdahulu.

Bertarikh: 3hb Mei 2018

t.t.

TENGKU MAIMUN BINTI TUAN MAT
Hakim Mahkamah Rayuan

COUNSEL

Bagi pihak Perayu: Mariam Hasanah binti Othman Bersama, Mohammad Sallehuddin b. Md Ali, Jabatan Peguam Negara

Bagi pihak Responden: Zainal Abidin Mustafa, Tetuan Zainal & Mariam

Judgments referred to:

Abdul Hafiz bin Mohamad Arshad (b/s SBH Auto & Services) v Chong Teck Po (b/s Mega Unggul Construction) [2013] 3 MLJ 911

China Airlines Ltd v Maltran Air Corp Sdn Bhd & Another Appeal [1996] 3 CLJ 163

Dream Property Sdn Bhd v Atlas Housing Sdn Bhd [2015] 2 CLJ 453

Kerajaan Malaysia v Global Upline Sdn Bhd and Another Appeal [2017] 1 MLJ 170

Pembenaan Leow Tuck Chui & Sons Sdn Bhd v Dr Leela’s Medical Centre Sdn Bhd [1995] 2 CLJ 345

Sivalingam a/l Periasamy v Periasamy & Anor [1995] 3 MLJ 395

Notice: The Promoters of Malaysian Judgments acknowledge the permission granted by the relevant official/ original source for the reproduction of the above/ attached materials. You shall not reproduce the above/ attached materials in whole or in part without the prior written consent of the Promoters and/or the original/ official source. Neither the Promoters nor the official/ original source will be liable for any loss, injury, claim, liability, or damage caused directly, indirectly or incidentally to errors in or omissions from the above/ attached materials. The Promoters and the official/ original source also disclaim and exclude all liabilities in respect of anything done or omitted to be done in reliance upon the whole or any part of the above/attached materials. The access to, and the use of, Malaysian Judgments and contents herein are subject to the Terms of Use.