THE OFFICIAL REPOSITORY OF
MALAYSIAN JUDGMENTS & RULINGS

[2018] MYCA 235 MALAY

Jusninawati Binti Abdul Ghani v Pendakwa Raya
Suit Number: Rayuan Jenayah No. W-06A(SH)-13-12/2016 

Criminal law – Intentional omission to give information relating to terrorist acts – Offence punishable under section 130M of the Penal Code – Conviction – Sentence – Appeal

Criminal law – Whether the appellant had reason to believe that an act of terrorism would be committed – Whether the appellant was legally bound to provide information to the authorities in relation to an act of terrorism – Whether the failure of the prosecution to display a forensic report in respect of the appellant’s social media and telephone account material

PENGHAKIMAN

[1] Jusninawati bt Abdul Gani, perayu, bekas anggota polis berpangkat Koperal, telah didakwa dan dibicarakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas pertuduhan yang berikut:

“Bahawa kamu, di antara bulan Ogos 2015 sehingga 22 Mac 2016, di Balai Polis Daerah Petaling Jaya, dalam Daerah Petaling dalam Negeri Selangor, yang mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa suatu perbuatan keganasan iaitu kesalahan yang boleh dihukum di bawah seksyen 130JA Kanun Keseksaan akan dilakukan, meninggalkan dengan sengaja daripada memberi apa-apa maklumat berkenaan dengan kesalahan itu, yang kamu terikat di sisi undang-undang untuk memberi, dan oleh itu kamu telah melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah seksyen 130M Kanun yang sama.”

[2] Di akhir perbicaraan, perayu telah didapati bersalah dan hakim bicara menjatuhi perayu hukuman pemenjaraan selama 7 tahun yang berkuat kuasa daripada tarikh perayu ditangkap. Terkilan dengan keputusan tersebut perayu telah merayu ke mahkamah ini dan setelah kami dengari dan mempertimbangkan penghujahannya, kami menolak rayuan ini dan mengekalkan keputusan hakim bicara.

Fakta Ringkas

[3] Fakta ringkas sepertimana yang ditemukan oleh hakim bicara adalah seperti yang berikut:

(i) Perayu, sebelum ditangkap, merupakan seorang anggota polis berpangkat koperal yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Petaling Jaya, Selangor.

(ii) Perayu, melalui Facebooknya, ada berhubung dengan beberapa orang individu warga Malaysia antaranya Abu Syamil dan Fudail Omar yang berada di Syria dan merupakan anggota kumpulan IS.

(iii) Pada penghujung tahun 2014, pihak Cawangan Khas Bukit Aman melalui seorang pegawai berpangkat Asisten Superintenden Polis ada bertemu perayu dan menegur serta menasihati perayu supaya tidak melibatkan diri dalam kumpulan IS.

(iv) Pada penghujung bulan Ogos 2015, perayu telah dimaklumkan oleh seorang kenalannya, Nor Azimah bt Adnan (SP1) atau nama panggilannya Umi Diyana, bahawa SP1 akan berkahwin dengan Abdul Ghani bin Yaacob atau nama panggilannya Abu Kedah dan setelah berkahwin, SP1 dan Abu Kedah akan pergi ke Syria untuk menyertai dan berjuang dalam kumpulan IS.

(v) Perayu kemudian ada bertemu dengan Abu Kedah di Petaling Jaya dan Abu Kedah ada memaklumkan kepada perayu mengenai perkara berkenaan.

(vi) Selepas pertemuan berkenaan, Abu Kedah telah menghantar ‘Whatsapp’ kepada SP1 memaklumkan bahawa Abu Kedah telah berbincang dengan perayu dan perayu akan ikut serta ke Syria kemudian kerana menghadapi masalah kewangan.

(vii) Selanjutnya, Abu Kedah telah pergi ke Syria tanpa SP1 kerana antara lain SP1 telah terlibat dalam satu kemalangan di Malaysia. Abu Kedah kemudiannya telah meninggal dunia di Syria.

(viii) Perayu tidak memberikan apa-apa maklumat mengenai hasrat Abu Kedah dan SP1 untuk ke Syria untuk menyertai kumpulan IS kepada pihak berkuasa (maklumat berkenaan).

(ix) Di samping itu, pihak pendakwaan juga telah mengemukakan 5 rakaman percakapan perayu di bawah seksyen 112(4) Kanun Prosedur Jenayah dan ditandakan sebagai P6 (a hingga e). Dalam rakaman percakapan ini, perayu ada menyatakan mengenai komunikasi terutama melalui ‘Facebook’ antara perayu dan beberapa orang individu yang merupakan anggota kumpulan IS. Rakaman percakapan ini juga ada menyebut bahawa perayu telah dimaklumkan oleh SP1 mengenai hasrat Abu Kedah dan SP1 untuk ke Syria.

Keputusan Di Akhir Kes Pendakwaan

[4] Di akhir kes pendakwaan, hakim bicara, setelah merujuk seksyen 130M Kanun Keseksaan (KK), menetapkan isu-isu yang berikut untuk ditentukan iaitu sama ada:

(a) perayu ada sebab untuk mempercayai bahawa perbuatan keganasan akan dilakukan iaitu Abu Kedah dan SP1 akan ke Syria untuk menyertai kumpulan pengganas IS;

(b) perayu telah gagal memberikan maklumat berkenaan kesalahan di bawah seksyen 130JA tersebut kepada pihak berkuasa; dan

(c) perayu terikat di sisi undang-undang untuk memberikan maklumat berkenaan kepada pihak berkuasa.

[5] Selaras dengan peruntukan s. 180 Kanun Prosedur Jenayah dan setelah membuat penilaian yang maksimum ke atas keterangan yang dikemukakan serta perundangan yang mengawal termasuk SOSMA 2012, hakim bicara memutuskan:

(a) inti pati (a) - berdasarkan fakta-fakta yang ditemukan, termasuk maklumat yang perayu terima daripada SP1 dan Abu Kedah, perayu didapati mempunyai sebab yang mencukupi untuk mempercayai bahawa Abu Kedah dan SP1 akan ke Syria untuk menyertai kumpulan pengganas IS;

(b) inti pati (b) - keterangan pegawai penyiasat (SP4) membuktikan bahawa perayu tidak memberikan apa-apa maklumat kepada pihak polis mengenai Abu Kedah dan SP1 yang akan ke Syria untuk menyertai kumpulan IS, satu kesalahan di bawah s. 130JA KK; dan

(c) inti pati (c) - selaras dengan kehendak peruntukan s. 13(1)(a) Kanun Prosedur Jenayah, s. 3(3) dan s. 20(3) Akta Polis 1967, perayu sebagai seorang anggota polis terikat di sisi undang-undang untuk memberikan maklumat berkenaan kepada pihak berkuasa.

Susulan itu, hakim bicara memutuskan bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan satu kes prima facie terhadap perayu bagi kesalahan di bawah seksyen 130M KK dan oleh itu, perayu telah diarahkan untuk membela dirinya.

Pembelaan Perayu

[6] Perayu telah memilih untuk memberikan keterangan tidak bersumpah melalui pernyataan pembelaan bertulisnya D8. Dalam pernyataannya itu, perayu menyatakan:

"Nama saya Jusninawati Binti Abdul Ghani. Saya sekarang berumur 35 tahun. Saya merupakan anak bongsu daripada 4 orang adik beradik hasil perkongsian hidup ibu dan bapa saya. Bapa saya Abdul Ghani bin Mohd Yusoff telah meninggal dunia pada tahun 2010 manakala ibu saya Junaidah Binti Abu Hassan tidak bekerja dan tinggal bersama saya sebelum saya ditahan oleh pihak berkuasa. Saya merupakan ibu tunggal kepada 2 orang anak perempuan iaitu Nur Rahaina Binti Royzeli sekarang berumur 8 tahun dan bersekolah di Sekolah Rendah Kebangsaan II Petaling Jaya, Selangor dan seorang lagi Nur Alma Diyannah Binti Royzeli sekarang berumur 7 tahun dan bersekolah di Sekolah Rendah Kebangsaan (C) Yuk Chyun, Petaling Jaya, Selangor.

Saya mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan Seri Indera, Kangar, Perlis dari Darjah 1 hingga Darjah 6. Saya kemudian menyambung pelajaran saya di Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Hassan, Kangar, Perlis sehingga Tingkatan 5. Setelah saya tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya bekerja di restoren makanan segera di Medan Mara, Kuala Lumpur pada tahun 1998. Kemudian pada tahun 1999, saya menyambung pengajian saya di Pusat Giat Mara, Cawangan Kuala Lumpur dalam jurusan sijil elektrik. Ketika di Pusat Giat Mara, saya menerima tawaran dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi jawatan Anggota Pangkat Rendah (APR) di Pusat Latihan Polis, Air Hitam, Negeri Sembilan. Saya berhenti belajar di Pusat Giat Mara dan mengikuti latihan asas sebagai anggota Polis selama 9 bulan dari 1hb September 2000 hingga 1hb Jun 2001. Setelah tamat latihan, saya telah ditugaskan di Bahagian Tugas Am di IPD Petaling Jaya, Selangor sehingga tarikh saya ditahan oleh pihak berkuasa. Pangkat saya sebelum ditahan adalah Koperal.

Saya kini ingin menafikan pertuduhan yang dibuat ke atas saya di Mahkamah pada hari ini. Untuk pengetahuan Mahkamah, saya ada membuat perniagaan kecil-kecilan melalui media social Facebook untuk menampung kehidupan saya, ibu dan anak-anak. Sebelum itu saya berniaga sendiri dan mula berniaga melalui media social Facebook sekitar bulan 3 tahun 2014. Antara barang-barang yang saya jual adalah Perkasam, Kopi, Jubah dan barang-barang lain berunsurkan Islam. Melalui media social Facebook, saya mengenali banyak orang yang berminat untuk membeli barang jualan saya. Di samping berniaga melalui medan social Facebook, saya juga berminat dengan isu-isu agama dan banyak mengikuti laman-laman yang membincangkan tentang isu-isu agama.

Saya mula mengenali Nor Azimah (Umi Dayana) di medan social Facebook sekitar bulan 6 tahun 2014. Di samping Umi Dayana, saya juga berkawan dengan Mastura Mohamad, Nurin Fazilla, Ann Maliqa dan ramai lagi. Namun saya tidak mengetahui nama sebenar mereka melainkan nama yang tertera di akaun Facebook masing-masing. Di samping media social Facebook, saya juga menyertai media social lain seperti Wee Chat dan Telegram yang mana kebanyakan ahli-ahli di dalam kumpulan media social tersebut adalah sama dengan rakan-rakan di media social Facebook. Di dalam kumpulan media social tersebut, kami banyak berbincang tentang isu-isu am agama seperti aurat dan solat. Ada juga yang membincangkan tentang isu-isu peperangan dan Islamic State di Syria namun saya pernah nasihatkan mereka melalui laman social Facebook supaya tidak membincangkan isu-isu tersebut. Seingat saya, saya lebih banyak mengikuti dari terlibat aktif dalam kumpulan media social tersebut.

Pada penghujung bulan Oktober 2014, saya telah diajak oleh Mastura Mohamad untuk berjumpa dengan keluarga Rohaimi Rahim di Medaan (sic) Tunku, Kuala Lumpur. Rohaimi Rahim ini saya tidak kenal namun melalui kumpulan media social Wee Chat, beliau telah ditangkap di bawah Akta SOSMA. Perjumpaan di sebuah Restoren dengan keluarga Rohaimi Rahim adalah untuk berbincang tentang kes mereka di Mahkamah dan melantik peguam bagi mewakili beliau serta rancangan untuk mengutip dana bagi membiayai kos guaman. Ketika perbincangan seorang penama Ustaz Shahrin yang banyak bersuara dan aktif di dalam perbincangan. Ustaz Shahrin ini saya cam melalui kumpulan media social yang saya sertai. Saya tidak mendengar kebanyakan perbincangan yang dibuat memandangkan kedudukan saya agak jauh ketika di dalam restoren. Kemudian pada awal bulan November 2014, saya dan Mastura Mohamad hadir di Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Duta bagi menghadiri kes Rohaimi Rahim. Tujuan saya hadir adalah lebih untuk memberi sokongan kepada keluarga-keluarga mereka. Semasa di Mahkamah, beberapa orang seperti Ustaz Shahrin, Pak The dan individu-individu lain yang saya tidak kenali hadir juga di Mahkamah. Kemudia (sic) pada bulan Disember 2014, saya telah mengetahui melalui kumpulan media social bahawa Ustaz Shahrin telah ditahan oleh pihak berkuasa dan seorang penama bernama Abu Muhammad yang merupakan salah seorang ahli di dalam kumpulan media social tersebut telah memberitahu saya supaya keluar dari kumpulan media social tersebut. Abu Muhammad juga ada memberitahu saya bahawa pihak Cawangan Khas (special Branch) ada mencari saya. Saya mengatakan kenapa mereka hendak mencari saya sedangkan saya Cuma menjadi ahli di dalam kumpulan media social tersebut. Saya kemudian menyahaktifkan akaun media social di Facebook dan tidak lagi aktif di dalam media social.

Pada penghujung tahun 2014, saya telah dihubungi oleh 2 orang pegawai Cawangan Khas untuk berjumpa dengan saya di kawasan Petaling Jaya. Salah seorang pegawai adalah berpangkat ASP namun saya tidak ingat nama beliau dan seorang lagi bernama Koperal Anuar. Ketika perbincangan tersebut, saya bertanya kepada Pegawai berpangkat ASP tersebut adakah benar saya akan ditahan oleh pihak berkuasa. Beliau bertanya kenapa saya berfikiran begitu dan saya memaklumkan bahawa saya ada menyertai kumpulan media social yang membincangkan tentang isu peperangan dan Islamic State di Syiria dan pernah hadir di Mahkamah untuk kes Rohaimi Rahim. Pegawai berpangkat ASP tersebut menegur dan menasihati saya supaya tidak lagi terlibat dalam kumpulan-kumpulan tersebut. Selepas daripada perjumpaan tersebut, saya tidak lagi aktif dalam media social.

Pada awal tahun 2015, saya telah ke Kuala Kedah untuk berjumpa Umi Dayana. Perjumpaan tersebut adalah lebih untuk berkenalan rapat dengan beliau memandangkan kami tidak pernah bersua muka. Persahabatan saya dengan beliau sebelum ini adalah hanya di laman media social. Sepanjang saya di sana saya bersiar-siar di Alor Setar sebelum pulang semula ke Kuala Lumpur.

Lebih kurang bulan 5 tahun 2015, saya membuka semula akaun media social saya di Facebook untuk kembali aktif berniaga di sana. Saya tidak lagi mengikuti kumpulan-kumpulan media social yang saya sertai sebelum ini dan saya kembali aktif hanya untuk perniagaan kecil-kecilan saya sahaja.

Lebih kurang bulan 6 tahun 2015, saya telah diajak oleh Mastura Mohamad melalui private message untuk menghadiri majlis perkahwinan anak Pak Teh di Jeneri, Kedah. Saya memaklumkan bahawa saya perlu memohon cuti terlebih dahulu dan saya ada memberitahu Mastura Mohamad supaya menjemput Ann Maliqa dan Umi Dayana juga ke majlis perkahwinan anak Pak Teh tersebut.

Pada penghujung bulan 6 tahun 2015, saya ada ternampak akaun Facebook milik Umi Dayana yang memuat naik status berkaitan pertunangan beliau dengan Abu Kedah. Saya kemudian menghantar mesej melalui private message kepada Umi Dayana mengapa beliau tidak mengajak saya ke majlis pertunangan beliau. Umi Dayana memberitahu bahawa tiada majlis pertunangan dibuat dan pertunangan beliau dan Abu Kedah adalah menurut cara Islam. Saya kemudian mengucapkan tahniah kepada beliau dan menjaga perhubungan beliau dengan Abu Kedah dengan baik.

Pada pertengahan bulan September 2015, saya, Mastura Mohamad dan Ann Maliqa telah ke Jeneri, Kedah bagi menghadiri majlis perkahwinan anak Pak Teh. Kami ke sana dengan menaiki kereta Perodua Viva yang saya percaya milik Mastura Mohamad. Sebelum sampai di Jeneri, kami singgah dulu di Kuala Kedah untuk mengambil Umi Dayana bagi menghadiri majlis perkahwinan anak Pak Teh di Jeneri, Kedah. Semasa di majlis perkahwinan tersebut, Umi Dayana ada mengadu kepada saya tentang hubungan beliau dan Abu Kedah. Saya hanya banyak mendengar dan memberi nasihat supaya bersabar dan menjaga hubungan beliau dan Abu Kedah dengan baik. Semasa di majlis perkahwinan tersebut saya hanya banyak mendiamkan diri memandangkan saya tidak kenal dengan orang di sana.

Lebih kurang pada penghujung bulan 10 tahun 2015, saya telah dihubungi oleh Umi Dayana melalui applikasi media social Telegram untuk berjumpa Abu Kedah di sekitar kawasan Lembah Kelang memandangkan Abu Kedah bekerja di Kawasan Lembah Kelang. Tujuan perjumpaan tersebut adalah untuk membincangkan masalah hubungan beliau dengan Abu Kedah di samping meminta pandangan saya tentang Abu Kedah memandangkan saya tidak pernah berjumpa Abu Kedah sebelum ini. Saya bersetuju untuk berjumpa dengan Abu Kedah di Sunway Mentari, Petaling Jaya di sebuah restoren. Sepanjang perjumpaan tersebut, kami banyak berbincang tentang masalah hubungan beliau dengan Umi Dayana memandangkan saya mengetahu (sic) serba sedikit tentang hubungan mereka. Saya juga bertanyakan kepada Abu Kedah bila beliau hendak melangsungkan perkahwinan dengan Umi Dayana dan dimaklumkan pada bulan November 2015. Abu Kedah ada juga menyatakan hasrat beliau hendak membawa Umi Dayana ke Syria namun saya tidak ambil peduli tentang perkara ini memandangkan saya beranggapan bahawa ianya hanya sembang kosong dan tiada butir-butir tentang rancangan tersebut dimaklumkan. Sepanjang perjumpaan saya dengan Abu Kedah, kami berbincang tentang hubungan beliau dengan Umi Dayana dan usaha beliau untuk mengumpul wang bagi belanja perkahwinan. Pada malam hari yang sama, Umi Dayana ada menghubungi saya melalui applikasi media social Telegram bertanyakan tentang perjumpaan saya dengan Abu Kedah. Saya hanya memaklumkan bahawa ianya perjumpaan biasa dan tiada isu berbangkit.

Pada penghujung bulan 11 tahun 2015, saya mendapat tahu dari Ann Maliqa bahawa Umi Dayana terlibat dalam kemalangan jalan-raya dan hubungan Umi Dayana dan Abu Kedah telah putus. Saya beranggapan bahawa Umi Dayana terlibat dalam kemalangan jalan-raya akibat daripada tekanan emosi selepas putus hubungan dengan Abu Kedah. Pada penghujung bulan Mac 2016, Umi Dayana berhubung dengan saya melalui applikasi Whatsapp tentang rancangan beliau hendak ke Kuala Lumpur dengan seorang rakan beliau nama Mawar Berduri-Duri. Saya bertanya kepada beliau tentang rancangan beliau ke Kuala Lumur dan beliau hanya menyatakan meminta saya membawa saya (sic) berjalan-jalan. Kemudian pada 22hb Mac 2016, saya menerima panggilan dari Balai Polis Petaling Jaya meminta saya ke IPD Petaling Jaya kerana Pegawai Bahagian Perjawatan hendak berjumpa dengan saya. Lebih kurang pada pukul 12 tengah hari, saya ke IPD Petaling Jaya dan dimaklumkan untuk pergi ke Pejabat Ketua Polis Daerah. Semasa di Pejabat Ketua Polis Daerah, saya telah ditahan oleh pegawai Cawangan Khas dari Bukit Aman dan dimaklumkan saya ditahan di bawah Akta SOSMA untuk siasatan. Saya kemudian di bawa ke Bukit Aman untuk disoal-siasat sebelum saya dituduh di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, Selangor.

Saya ingin menyatakan di sini bahawa saya tidak pernah tahu tentang rancangan Abu Kedah ke Syria memandangkan beliau tidak pernah memberitahu secara khusus tentang rancangan beliau tersebut. Ketika perjumpaan saya dengan Abu Kedah di Sunway Mentari, Petaling Jaya, saya beranggapan bahawa beliau hanya sekadar cakap-cakap kosong memandangkan tiada perbincangan lanjut dan serius selepas beliau menyatakan hasrat beliau tersebut. Saya juga percaya bahawa memandangkan beliau tidak serius, tiada apa yang perlu dimaklumkan memandangkan bukan senang hendak masuk ke Syria pada masa sekarang dan perlu menelan kos yang banyak. Di samping itu juga saya percaya bahawa tidak mungkin Abu Kedah hendak ke Syria memandangkan wang belanja untuk perkahwinan dengan Umi Dayana pun masih tidak cukup.

Saya memohon agar Mahkamah meneliti semula keterangan-keterangan ke atas saya. Saya merayu agar Mahkamah melepaskan saya dengan pertuduhan ini agar saya dapat kembali hidup normal seperti sedia kala.

Yang benar,

JUSNINAWATI BINTI ABDUL GHANI

(NO. K/P: 811004-09-5078)”

Keputusan Di Akhir Pembelaan

[7] Setelah mempertimbangkan pernyataan bertulis D8 perayu, yang, menurut hakim bicara, dari sudut perundangan boleh dipertimbangkan walaupun rendah nilainya (selaras dengan keputusan kes-kes yang berikut: Udayar Alagan & Ors v PP [1962] 28 MLJ 39, Mohamad Salleh v PP [1969] 1 MLJ 104, Juraimi Husin v PP [1998] 2 CLJ 383), memutuskan bahawa perayu telah gagal membangkitkan apa-apa keraguan yang munasabah ke atas kes pendakwaan. Hakim bicara mendapati maklumat berkenaan bukan cakap-cakap kosong sahaja malahan perayu sendiri, di samping mengetahui beberapa watak yang terlibat di Syria, berhasrat untuk ke sana juga tetapi terhalang dek masalah kewangan. Tuntasnya, hakim bicara mendapati perayu bersalah dan dihukum sewajarnya.

Rayuan ini

[8] Peguam perayu yang terpelajar telah membangkitkan tiga isu utama dalam mencabar keputusan hakim bicara. Cabaran tersebut melibatkan persoalan yang berikut:

(a) sama ada perayu mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa suatu perbuatan keganasan akan dilakukan?

(b) sama ada perayu terikat secara undang-undang untuk memberikan maklumat kepada pihak berkuasa berhubung dengan suatu perbuatan keganasan iaitu kesalahan yang boleh dihukum di bawah s. 130JA KK akan dilakukan?

(c) sama ada terdapat kelompangan dalam kes pendakwaan apabila pihak pendakwaan telah gagal untuk menampilkan laporan forensik berkenaan dengan telefon dan akaun media sosial milik perayu.

[9] Di hadapan kami, peguam terpelajar menegaskan hakim bicara telah terkhilaf dari segi perundangan dan fakta dalam membuat dapatan yang tidak menyebelahi perayu dalam semua persoalan di atas khususnya bagi:

(a) isu (b) (diutamakan oleh peguam), hakim bicara telah terkhilaf apabila mengguna pakai peruntukan s. 13(1)(a) KPJ, sebelum pindaan, dalam memutuskan bahawa perayu terikat di bawah peruntukan seksyen itu untuk memaklumkan maklumat berkenaan kepada pihak polis. Bagaimanapun, s. 13(1)(a) sebelum pindaan tidak memasukkan s. 130JA KK dalam jaringannya. Pindaan seksyen tersebut, yang memasukkan s. 130JA dalam jaringannya, hanya berkuat kuasa pada 23.12.2016 iaitu selepas kes ini diputuskan oleh mahkamah tinggi. Selain itu, dihujahkan juga bahawa tiada juga suatu tanggungjawab statutori dikenakan ke atas perayu, sebagai anggota polis, untuk melaporkan sesuatu perkara yang berkaitan dengan keganasan. Malahan, tanggungjawab tersebut telah diberikan kepada satu unit khas dalam pasukan Polis Diraja Malaysia. Perayu tidak dibuktikan bertugas di unit khas itu. Tambahan lagi, tiada apa-apa jua bentuk arahan bertulis daripada pihak atasan kepada semua anggota polis untuk membuat laporan sedemikian. Dalam keadaan ini, dihujahkan hakim bicara telah terkhilaf apabila membuat inferens bahawa perayu terikat secara perundangan untuk memberikan maklumat berkenaan di bawah mana-mana undang-undang.

(b) isu (a), peguam menghujahkan bahawa selaras dengan kehendak takrifan ungkapan sebab untuk mempercayai di bawah s. 26 KK, keterangan dan fakta yang dikemukakan oleh pendakwaan tidak mencukupi untuk menunjukkan bahawa perayu mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa perbuatan keganasan oleh Abu Kedah akan berlaku. Hakim bicara ditegaskan terkhilaf apabila merujuk kepada kejadian yang berlaku sebelum dan semasa pertuduhan dalam membuat penentuan adanya sebab untuk mempercayai. Bukan itu sahaja, pendakwaan juga dihujahkan gagal untuk mengemukakan keterangan yang menunjukkan perayu mempunyai maklumat yang sahih dan berkualiti tentang perancangan Abu Kedah dan niat SP1 untuk ke Syria. Tuntasnya, hakim bicara dikatakan ternyata terkhilaf dalam isu ini; dan

(c) isu (c), dihujahkan kegagalan pihak pendakwaan untuk menampilkan keterangan berkenaan dengan telefon dan akaun media sosial milik perayu mewujudkan kelompangan yang ketara dalam kes pendakwaan. Oleh itu, peruntukan s. 114(g) Akta Keterangan 1950 terpakai terhadap pendakwaan.

[10] Di pihak pendakwaan, Timbalan Pendakwa Raya menyokong sepenuhnya dapatan dan keputusan hakim bicara.

Keputusan Kami

[11] Kami telah mempertimbangkan penghujahan kedua-dua pihak dan keterangan dalam rekod. Sebelum menyentuh isu-isu yang dibangkitkan, wajar diperturunkan peruntukan kesalahan yang dituduh terhadap perayu dan undang-undang yang berkaitan dengannya. S. 130M KK memperuntukkan:

Intentional omission to give information relating to terrorist acts

130M. Whoever knowing or having reason to believe that any offence punishable under sections 130C to 130L has been or will be committed intentionally omits to give any information respecting that offence, which he is legally bound to give, shall be punished with imprisonment for a term which may extend to seven years or with fine or with both.” (Tekanan diberikan)

Ketinggalan yang dikatakan gagal dimaklumkan dengan sengaja itu merujuk kepada kesalahan di bawah s. 130JA yang menyatakan:

Travelling to, through or from Malaysia for the commission of terrorist acts in foreign country

130JA. Whoever, whether or not a citizen or permanent resident of Malaysia, travels to, through or from Malaysia with intent to travel to a foreign country or any part of that foreign country, whether directly or through any other country or territory, for the purpose of the commission or the preparation for the commission of a terrorist act in a foreign country shall be punished with imprisonment for a term which may extend to thirty years, and shall also be liable to fine.”

Selanjutnya, perbuatan keganasan yang dimaksudkan di bawah s. 130JA itu telah diperjelaskan dalam s. 130B(2) seperti yang berikut (setakat berkenaan):

“(2) For the purposes of this Chapter, ‘terrorist act’ means an act or threat of action within or beyond Malaysia where-

(a) the act or threat falls within subsection (3) and does not fall within subsection (4);

(b) the act is done or the threat is made with the intention of advancing a political, religious or ideological caue (sic); and

(c) the act or threat is intended or may reasonably be regarded as being intended to-

(i) intimidate the public or a section of the public; or

(ii) influence or compel the Government of Malaysia of the Government of any State in Malaysia, any other government, or any international organisation to do or refrain from doing any act.

(3) Any act or threat of action falls within this subsection if it-

(a) involves serious bodily injury to a person;

(b) endangers a person’s life;

(c) causes a person’s death;

(d) creates a serious risk to the health or the safety of the public or a section of the public;

(e) involves serious damage to property;

(f) involves the use of firearms, explosives or other lethal devices;”

Harus kami catatkan di sini bahawa s. 130M ini menjadikan peninggalan untuk memaklumkan yang sengaja itu (intentionally omits to give) satu kesalahan. Oleh itu tidak timbul isu sama ada perbuatan yang dituduh ke atas perayu merangkumi juga sesuatu ketinggalan- (Rujuk penjelasan skop s. 32 KK dalam Mallal’s Penal Code, MLJ 2002 ms 42 et seq). Persoalan utama yang harus ditekankan adalah sama ada perayu terikat untuk memaklumkan maklumat berkenaan sepertimana yang dinyatakan dalam isu (b) yang berkenaan.

[12] Mengenai isu (b) tersebut, kami bersetuju dengan penghujahan peguam setakat dengan kekhilafan hakim bicara dalam mengguna pakai peruntukan s. 13(1)(a) KPJ. Peruntukan s. 13(1)(a) sebelum pindaan menyatakan:

“13. (1) Every person aware-

(a) Of the commission of or the intention of any other person to commit any offence punishable under the following sections of the Penal Code: 121, 121A, 121B, 121C, 122, 123, 124, 125, 126, 130, 143, 144, 145, 147, 148, 302, 304, 307, 308, 363, 364, 365, 366, 367, 368, 369, 372, 372A, 372B, 376, 376B, 377C, 377CA, 377E, 382, 384, 385, 386, 387, 388, 389, 393, 394, 395, 396, 397, 399, 402, 435, 436, 449, 450, 456, 457, 458, 459, and 460; or

(b) Of any sudden or unnatural or death by violence or of any death under suspicious circumstances, or of the body of any person being found dead without its being known how that person came by death,

Shall in the absence of reasonable excuse, the burden of proving which shall lie upon the person so aware, immediately give information to the officer in charge of the nearest police station or to a police officer or the nearest penghulu of the commission or intention or of the sudden, unnatural or violent death or of the finding of the dead body, as the case may be.”

Manakala peruntukan s. 13(1)(a) yang dipinda menerusi Akta A1521 dan berkuat kuasa pada 23.12.2016 memperuntukkan:

“3. Subsection 13(a) of the Code is amended by substituting for paragraph (a) the following paragraph:

“(a) of the commission of or the intention of any other person to commit any offence punishable under the Penal Code or any other written law;””

Apa yang jelas di bawah peruntukan lama, yang disandari oleh hakim bicara, s. 130JA KK tidak dimasukkan dalam jaringan tanggungjawab tersebut. Yang diperuntukkan ialah s. 130 KK dan seksyen ini tidak sama dan berlainan dengan s. 130JA. Pergantungan hakim bicara pada peruntukan s. 13(1)(a) KPJ dengan itu ternyata khilaf dan penghujahan peguam atas isu ini bermerit.

[13] Bagaimanapun, kes pendakwaan bukan hanya bergantung pada s. 13(1)(a) KPJ berkenaan. Walaupun terkhilaf dalam pemakaian s. 13(1)(a) tersebut, kami berpendapat bahawa perayu, sebagai seorang anggota polis dan berpangkat koperal, mempunyai tanggungjawab (duty) yang jelas di bawah s. 3(3), s. 20(1), (2) dan (3) Akta Polis 1967. Perayu juga mempunyai tugas pencegahan di bawah s. 103 dan 104 KPJ yang antara lain untuk memaklumkan pihak atasannya mengenai maklumat berkenaan. S. 103 menyatakan:

“103. Police to prevent seizable offences

Every police officer may interpose for the purpose of preventing and shall to the best of his ability using all lawful means prevent the commission of any seizable offence.”

Manakala s. 104 menyatakan:

“104. Every police officer receiving information of a design to commit any seizable offence shall communicate that information to the police officer to whom he is subordinate and to any other officer whose duty it is to prevent or take cognisance of the commission of any such offence.”

Harus dicatatkan kesalahan s.130JA ialah seizable offence dan maklumat berkenaan merupakan maklumat yang diterima berhubung dengan perencanaan untuk melakukan kesalahan tersebut. Dibaca secara keseluruhan perundangan di atas, perayu terikat di bawah undang-undang untuk memaklumkan maklumat berkenaan. Di sinilah skop pemakaian s. 43 KK berkenaan dengan takrifan “legally bound to do" merangkumi tanggungjawab yang dikenakan ke atas semua anggota polis di bawah Akta Polis 1967 dan KPJ. Demi penjelasan, s. 43 tersebut memperuntukkan:

“43. “Illegal", “unlawful" and “legally bound to do".

The word “illegal” or “unlawful” is applicable to everything which is an offence, or which is prohibited by law, or which furnishes ground for civil action.

And in respect of the word “illegal”. A person is said to be “legally bound to do” whatever it is illegal in him to omit.”

Pada pandangan kami skop s. 43 itu tidak terhad hanya kepada tiga situasi di situ iaitu “... which is an offence, or which is prohibited by law, or which furnishes ground for a civil action...”. Pada hemat kami perkataan “is applicable” dalam seksyen itu meluaskan skop pemakaiannya. Dalam hal ini kami bersetuju dengan pandangan Ian HC Chin H dalam kes Chiew Poh Kiong v PP [2001] 7 CLJ 249, 257 et seq yang antara lain memutuskan ungkapan terikat secara perundangan di bawah s. 43 KK itu terpakai juga kepada tanggungjawab untuk berbuat hal perkara di bawah s. 112 KPJ bagi maksud s. 177 KK. Dari sudut ini dan sebagai tambahan kepada ulasan kami di atas, kami bersetuju dengan dapatan hakim bicara sepertimana yang dihuraikan di bawah ini:

[30] Selanjutnya, dalam kes terhadap OKT, jelasnya OKT adalah seorang anggota polis yang diamanahkan untuk menjaga undang-undang dan keamanan negara. Ini dijelaskan lagi di bawah seksyen 3(3) Akta Polis 1967 yang menyatakan:

"(3) The Force shall subject to this Act be employed in and throughout Malaysia (including the territorial waters thereof) for the maintenance of law and order, the preservation of the peace and security of Malaysia, the prevention and detection of crime, the apprehension and prosecution of offenders and the collection of security intelligence.”

Seterusnya subseksyen 20(3) Akta yang sama menyebut:

"(3) Without prejudice to the generality of the foregoing provisions or any other law, it shall be the duty of a police officer to carry out the purposes mentioned in subsection 3(3); and he may take such lawful measures and do such lawful acts as may be necessary in connection therewith, including-

(a) Apprehending all persons whom he is by law authorised to apprehend;

(b) Processing security intelligence;"

[31] Jelasnya tugas sebagai anggota polis juga adalah untuk mengumpul dan memproses ‘security intelligence’ seperti dinyatakan di bawah seksyen 3(3) dan 20(3) berkenaan. Bagi saya ini termasuk memberikan ‘intelligence’ atau maklumat yang dikumpul tersebut kepada pihak atasan.

[32] Sehubungan itu, adalah jelas bahawa OKT yang juga seorang anggota polis adalah terikat di sisi undang-undang untuk memberikan maklumat berkenaan kepada pihak berkuasa.”

[14] Pada pandangan kami perayu telah dengan sengaja tidak memaklumkan pegawai atasannya mengenai maklumat yang diadukan dalam pertuduhan berkenaan. Harus dicatatkan juga bahawa perayu pernah ditegur dan dinasihatkan oleh pegawai atasan polis dahulu supaya tidak melibatkan diri dengan hal-hal yang berkaitan IS. Perayu semesti dan seharusnya menyedari seriusnya perkara yang ditegur itu dan betapa pentingnya maklumat yang diterima dan diketahuinya itu dalam konteks tanggungjawab tersebut. Sebagai anggota polis dan selaras dengan tanggungjawab yang dikenakan kepada semua anggota polis di bawah s. 3(3), s. 20(1) dan (3), Akta Polis 1967 dan s. 103/104 KPJ, perayu dengan jelas terikat dengan perundangan statutori itu untuk memaklumkan maklumat berkenaan yang ternyata terjatuh dalam jaringan s. 130JA kepada pihak atasannya. Kami dengan itu menolak hujahan peguam tentang isu ini.

[15] Mengenai isu (b), setelah kami timbang dan amati penghujahan yang dikemukakan dan keterangan yang dibentangkan serta fakta yang ditemukan hakim bicara, kami tidak dapat bersetuju dengan penghujahan peguam perayu. Kami mendapati hakim bicara telah dengan teliti menghuraikan perundangan yang betul dan tidak melakukan apa-apa kekhilafan atau salah arah yang mewajarkan campur tangan kami. Kami bersetuju dengan dapatan hakim bicara yang memutuskan:

[18] Kembali kepada intipati pertuduhan dalam kes ini, pertamanya, mengenai sama ada OKT mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa suatu perbuatan keganasan akan dilakukan.

[19] ‘Sebab untuk mempercayai’ atau ‘reason to believe’ telah didefinasikan di bawah seksyen 26 Kanun Keseksaan seperti berikut:

“A person is said to have ‘reason to believe’ a thing, if he has sufficient cause to ‘believe that thing, but not otherwise.”

[20] Isu di sini oleh itu adalah sama ada OKT mempunyai sebab yang mencukupi untuk mempercayai bahawan Abu Kedah dan SP1 akan ke Syria untuk menyertai kumpulan pengganas IS.

[21] Bagi mempertimbangkan perkara ini, keseluruhan keterangan yang ada dan kedudukan kes ini perlu diberi perhatian. Fakta-fakta yang relevan dalam kes ini adalah seperti berikut:

(i) Pada tahun 2011, OKT telah membuka akaun facebook atas nama Bell Nybella dan melalui akaun ini juga, OKT mula mengetahui mengenai isu peperangan di Syria dan OKT bersimpati dengan mangsa peperangan.

(ii) Pada penghujung tahun 2013, OKT mula mengikuti facebook beberapa individu warga Malaysia yang berada di Syria seperti Ustaz Lotfi, Abu Syamil dan Fudail Omar. Ustaz Lotfi menyertai kumpulan Ajnad As Salam sementara Abu Syamil dan Fudail Omar adalah anggota kumpulan IS. Mereka berperang menentang kerajaan Syria.

(iii) Seterusnya, melalui ‘facebook’ Ustaz Lotfi, OKT ada melihat gambar Ustaz Lotfi memegang senjata api jenis AK 47 dan Ustaz Lotfi juga ada menyatakan dalam ‘postingnya’ antara lain bahawa beliau baru balik dari berperang.

(iv) Setelah Ustaz Lotfi meninggal dunia di Syria, OKT mengikuti pula akaun facebook Abu Syamil, seorang anggota kumpulan IS. OKT juga melihat gambar Abu Syamil dan beberapa individu lain sedang memegang senjata api. OKT juga ada berkomunikasi dengan Abu Syamil melalui facebook.

OKT juga telah membantu Abu Syamil untuk membuka akaun facebooknya sebanyak 3 kali kerana disekat oleh pihak ‘Facebook’. OKT juga merasakan sebab akaun facebook Abu Syamil disekat kerana terdapat banyak gambar-gambar Abu Syamil yang sedang memegang senjata api di Syria.

(v) OKT juga ada meletakkan gambar OKT bersama Abu Syamil bagi gambar profil akaun facebook Abu Syamil.

(vi) OKT juga ada menghantar mesej kepada Fudail Omar, seorang anggota kumpulan IS dan bertanyakan mengenai Abu Syamil dan Fudail memaklumkan Abu Syamil sedang sibuk mengisi peluru.

(vii) Seterusnya Abu Syamil ada menghantar mesej kepada OKT menyatakan Abu Syamil tidak akan ‘online’ selama seminggu kerana akan pergi berperang.

(viii) Abu Syamil juga ada bertanya kepada OKT bila OKT akan datang ke Syria dan OKT menjawab "Insyaallah”. Abu Syamil juga ada melamar OKT untuk berkahwin dengannya dan OKT meminta Abu Syamil pulang ke Malaysia bertemu keluarga OKT. Abu Syamil menjawab, dia tidak boleh pulang ke Malaysia kerana ada kemungkinan dia akan ditangkap oleh pihak polis sebab Abu Syamil adalah pengganas dan ‘terrorist’.

(ix) Selain itu, OKT juga ada mengikuti akaun facebook Muhamad Azidi yang sering memuatkan status berkaitan IS. OKT juga ada mengikuti ‘Group we chat’, ‘Revo’ yang antara lain membela dan mengutip dana bagi kes Rohaimi Rahim yang telah dituduh di bawah SOSMA 2012.

(x) Pada penghujung tahun 2014, OKT telah ditegur dan dinasihati oleh pihak Cawangan Khas untuk tidak lagi melibatkan diri dalam kumpulan IS.

(xi) OKT seterusnya telah memadamkan semua posting mengenai kumpulan IS dalam akaun facebooknya atas nama Bell Nybella dan pada Disember 2014 akaun ini tidak lagi diaktifkan.

(xii) Walaubagimana pun, pada hujung bulan Mac 2015, akaun facebook atas nama Bell Nybella ini diaktifkan semula hinggalah disekat oleh pihak Facebook. OKT merasakan ini adalah kerana ramai rakan-rakan facebooknya merupakan penyokong kumpulan IS.

(xiii) Pada penghujung bulan Ogos 2015, SP1 memaklumkan kepada OKT bahawa SP1 akan berkahwin dengan Abu Kedah dan mereka akan ke Syria untuk menyertai kumpulan IS.

(xiv) OKT juga ada bertemu dengan Abu Kedah di Petaling Jaya membincangkan hasrat untuk ke Syria tetapi OKT akan pergi ke Syria kemudian kerana menghadapi masalah kewangan.

(xv) Kumpulan ‘Islamic State’ ini telah diwartakan dalam Warta Kerajaan P.U.(A) 301 pada 12.11.2014 sebagai sebuah kumpulan pengganas.

[22] Berlatarbelakang fakta-fakta yang dinyatakan ini, termasuk maklumat yang OKT terima dari SP1 dan Abu Kedah berkenaan, saya dapati OKT mempunyai sebab yang mencukupi untuk mempercayai Abu Kedah dan SP1 akan ke Syria untuk menyertai kumpulan pengganas IS.

[23] Sebab untuk mempercayai ini menjadi kenyataan apabila keterangan menunjukkan Abu Kedah telah ke Syria tetapi meninggal dunia semasa menentang kerajaan Syria.

[24] Berdasarkan fakta juga, iaitu penglibatan anggota IS seperti Ustaz Lotfi, Abu Syamil dan anggota lain dalam peperangan dan penggunaan senjata api adalah suatu perbuatan keganasan seperti yang didefinasikan di bawah seksyen 132B(2) Kanun Keseksaan. Begitu juga apabila Abu Kedah ke Syria untuk menyertai kumpulan IS dan berperang hingga terkorban di sana.”

[16] Mengenai isu (c), kegagalan pihak pendakwaan untuk menampilkan keterangan berkenaan dengan telefon dan akaun media sosial milik perayu tidak mewujudkan kelompangan dalam kes pendakwaan. Pendakwaan telah berjaya membuktikan kesnya berdasarkan keterangan SP1, SP4 dan keterangan dokumentar yang lain terutamanya percakapan amaran perayu dalam P6 (a-e). Isu ini telah juga dipertimbangkan dan diputuskan oleh hakim bicara dengan betul sebagaimana yang berikut:

[34] Saya juga mendapati laporan forensik berhubung telefon dan akaun media sosial milik OKT, jika ada, hanya merupakan keterangan sokongan sahaja dan tanpa keterangan ini, ianya tidak menimbulkan kelompangan kepada kes pendakwaan. Tanpa keterangan sokongan ini juga ianya tidak menjejaskan pembuktian intipati pertuduhan terhadap OKT. Oleh itu seksyen 114(g) Akta Keterangan 1950 adalah tidak terpakai dalam isu ini.”

Kami bersetuju dengan dapatan ini dan sekali gus menolak hujahan peguam perayu.

[17] Tambahan lagi, kami juga bersetuju dengan dapatan hakim bicara mengenai pembelaan perayu berkaitan isu yang ditimbulkan sebagaimana yang berikut:

“[46] Kembali kepada pembelaan OKT yang dibuat dari kandang salah, asas pembelaan OKT adalah OKT menganggap cerita Abu Kedah untuk membawa SP1 ke Syria hanyalah cakap-cakap kosong dan oleh itu, maklumat ini tidak perlu diberikan kepada pihak berkuasa. Selain itu, OKT berpandangan, bukan mudah untuk masuk ke Syria dan kos ke Syria juga adalah tinggi.

[47] Berhubung pembelaan ini dan pertimbangan yang dibuat terhadap keterangan saksi-saksi pendakwaan, pertamanya, maklumat yang diterima oleh OKT bahawa Abu kedah dan SP1 akan ke Syria bagi menyertai kumpulan IS bukan sahaja dimaklumkan oleh Abu Kedah kepada OKT tetapi juga oleh SP1. Di sini, OKT juga mengetahui bahawa SP1 dan Abu Kedah adalah penyokong kumpulan IS. Oleh itu adalah sukar untuk diterima bahawa maklumat berkenaan hanyalah merupakan cakap-cakap kosong sahaja. Lebih-lebih lagi OKT sendiri mengetahui beberapa individu warga Malaysia telah berada di Syria untuk berperang seperti Ustaz Lotfi, Abu Syamil dan Fudail Omar. OKT sendiri juga berhasrat untuk ke Syria tetapi terhalang kerana masalah kewangan.

[48] Berdasarkan fakta-fakta ini, tidak timbul isu kesukaran untuk masuk ke Syria dan kos yang tinggi untuk ke Syria. Sepatutnya, OKT sebagai seorang anggota polis yang terlatih dan memandangkan kes ini melibatkan perbuatan keganasan, tidak menjadikan alasan ini untuk tidak memberikan maklumat berkenaan kepada pihak berkuasa.

Tindakan OKT untuk tidak mendedahkan maklumat tersebut adalah suatu tindakan yang di luar kewajaran sebagai seorang anggota polis.

[49] Di sini hanya satu penjelasan munasabah mengenai tindakan OKT ini adalah kerana penglibatan OKT dengan ahli dan penyokong kumpulan IS antaranya seperti berikut:

(i) OKT membantu Abu Syamil, seorang anggota kumpulan IS untuk membuka 3 akaun Facebook setelah akaun Abu Syamil disekat oleh pihak Facebook.

(ii) OKT membuka akaun Facebook atas nama Bidadari Besi khusus untuk rakan-rakan yang menyokong kumpulan IS dan memudahkan perhubungan OKT dengan mereka.

(iii) OKT terus berhubung dengan anggota dan penyokong-penyokong kumpulan IS walau pun telah dinasihatkan oleh pihak Cawangan Khas Bukit Aman pada penghujung tahun 2014 untuk tidak lagi terlibat dengan kumpulan IS.

(iv) OKT sendiri berhasrat untuk ke Syria.

[50] Keterangan juga menunjukkan Abu Kedah telah ke Syria dan meninggal dunia setelah bertempur dengan tentera kerajaan Syria.

[51] Sehubungan itu juga, berdasarkan pertimbangan keseluruhan keterangan, saya dapati OKT gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.

[52] Justeru itu, OKT disabitkan dengan kesalahan di bawah seksyen 130M Kanun Keseksaan seperti pertuduhan yang dikemukakan terhadap OKT.”

Rayuan Terhadap Hukuman

[18] Mengenai kewajaran hukuman yang dijatuhkan, kami mendapati hakim bicara telah tidak melakukan apa-apa kekhilafan daripada segi prinsip penghukuman terkini dan hukuman yang dijatuhkan, dalam keadaan kes ini, tidak terlampau berlebihan. (Rujuk kes, antaranya: PP v Muamar Gadaffi bin Mohamad Shafawi [2017] 1 LNS 516; PP v Rohaimi bin Abd Rahim & 1 lagi, Mahkamah Rayuan No: W-05(H)-83-02-2016, Pendakwa Raya v Kasfyfullah bin Kassim [2016] 6 MLJ 567; dan, PP v Yazid Sufaat & Ors [2014] 2 CLJ 670, bagi pendekatan penghukuman dalam kes-kes begini). Kecermatan dalam pertimbangan yang selaras dengan undang-undang ditunjukkan dengan jelas dalam penghakiman hakim bicara seperti yang berikut:

[53] Kesalahan yang mempunyai hubungkait dengan perbuatan keganasan merupakan kesalahan yang serius yang perlu dibendung agar ianya tidak menular dalam masyarakat Malaysia yang aman dan stabil ini. Implikasi perbuatan keganasan ini akan hanya menimbulkan huru-hara kepada negara dan menghalang masyarakat menjalankan aktiviti ekonomi, sosial dan aktiviti-aktiviti lain. Oleh itu kepentingan awam memerlukan kesalahan ini dibendung seawal mungkin.

[54] Salah satu cara bagi membendung kesalahan ini dari berulang adalah dengan mahkamah memberi hukuman yang deteren, bukan sahaja sebagai pengajaran kepada OKT tetapi juga hukuman yang boleh menghalang orang lain dari melakukan kesalahan yang sama.

[55] Seterusnya, OKT dalam kes ini adalah seorang anggota polis yang diamanahkan untuk menjaga keamanan dan menegakkan undang-undang tetapi OKT gagal memikul amanah tersebut apabila tidak memberikan maklumat yang menyebabkan Abu Kedah dapat ke Syria menyertai kumpulan pengganas IS di sana sehingga terkorban. Fakta ini tidak boleh dipandang ringan kerana ianya akan memberi mesej yang salah kepada anggota penguatkuasa yang lain.

[56] Kumpulan pengganas seperti IS tidak mempunyai sempadan dalam melaksanakan aktivitinya. Apabila warga-warga Malaysia menyertai kumpulan IS dan mendapat latihan perang bersenjata serta ditanamkan dengan ideologi yang radikal, ianya pasti akan menular ke Malaysia dan kesan awalnya telah mula dilihat di negara ini.

[57] Mahkamah ini mempunyai tanggungjawab bagi membantu memastikan apa juga kesalahan terutamanya yang berkaitan dengan perbuatan keganasan dapat dibendung.

[58] Walau apa pun, kepentingan awam juga diimbangkan dengan kepentingan OKT berdasarkan hujahan mitigasi yang dibuat oleh peguam OKT.

[59] Bagi saya, ini bukan kes di mana OKT hanya melakukan suatu kesalahan teknikal seperti dihujahkan oleh peguam OKT semasa mitigasi tetapi berdasarkan fakta dan penglibatan OKT dengan anggota kumpulan IS serta OKT sendiri berhasrat untuk ke Syria, inferennya adalah OKT dengan sengaja tidak memberitahu pihak berkuasa berkenaan maklumat berkenaan.

[60] Setelah mempertimbangkan faktor-faktor yang dihujahkan oleh pihak pembelaan dan pihak pendakwaan dan prinsip-prinsip hukuman yang berkaitan, saya menjatuhkan hukuman 7 tahun penjara dari tarikh tangkap terhadap OKT.”

Kesimpulan

[19] Berdasarkan huraian dan alasan-alasan di atas, kami mendapati hakim bicara telah tidak terkhilaf dalam penghakimannya dan sabitan yang diperintahkan adalah selamat. Dengan itu, kami menolak rayuan perayu dan mengekalkan serta mengesahkan keputusan hakim bicara.

t.t

ABDUL KARIM BIN ABDUL JALIL
Hakim Mahkamah Rayuan

Tarikh: 31 Julai 2018

COUNSEL

Bagi pihak Perayu: Faizal Rahman (bersama Nik Zarith Nik Mustapha), Tetuan Mohd. Ashraf, Nik Zarith & Co

Bagi pihak Responden: Nurshafini Mustafha, Timbalan Pendakwa Raya, Jabatan Peguam Negara

Legislation referred to:

Akta Keterangan 1950, Seksyen 114(g)

Akta Polis 1967, Seksyen-seksyen 3(3), 20(1), 20(2), 20(3)

Kanun Keseksaan, Seksyen-seksyen 26, 32, 43, 104, 130, 130B(2), 130JA, 130M, 177

Kanun Prosedur Jenayah, Seksyen-seksyen 13(1)(a), 112, 112(4), 103, 104, 180

Judgments referred to:

Chiew Poh Kiong v PP [2001] 7 CLJ 249, 257

Juraimi Husin v PP [1998] 2 CLJ 383

Mohamad Salleh v PP [1969] 1 MLJ 104

Pendakwa Raya v Kasfyfullah bin Kassim [2016] 6 MLJ 567

PP v Muamar Gadaffi bin Mohamad Shafawi [2017] 1 LNS 516

PP v Rohaimi bin Abd Rahim & 1 lagi, Mahkamah Rayuan No: W-05(H)-83-02-2016

PP v Yazid Sufaat & Ors [2014] 2 CLJ 670

Udayar Alagan & Ors v PP [1962] 28 MLJ 39

Notice: The Promoters of Malaysian Judgments acknowledge the permission granted by the relevant official/ original source for the reproduction of the above/ attached materials. You shall not reproduce the above/ attached materials in whole or in part without the prior written consent of the Promoters and/or the original/ official source. Neither the Promoters nor the official/ original source will be liable for any loss, injury, claim, liability, or damage caused directly, indirectly or incidentally to errors in or omissions from the above/ attached materials. The Promoters and the official/ original source also disclaim and exclude all liabilities in respect of anything done or omitted to be done in reliance upon the whole or any part of the above/attached materials. The access to, and the use of, Malaysian Judgments and contents herein are subject to the Terms of Use.