THE OFFICIAL REPOSITORY OF
MALAYSIAN JUDGMENTS & RULINGS

[2018] MYCA 73 MALAY

Jazlie Bin Jaafar v Pendakwa Raya
Suit Number: Rayuan Jenayah Nos. W-05(M)-263-07/2016 & W-05(M)-269-07/2016  

PENGHAKIMAN

Pendahuluan

[1] Perayu telah dituduh dengan dua pertuduhan mengedar cannabis masing-masing seberat 1,013 gram dan 35,621.94 gram, yang merupakan kesalahan-kesalahan di bawah seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (“ADB 1952”) dan boleh dihukum di bawah seksyen 39B(2) akta yang sama.

[2] Di akhir kes pendakwaan, Hakim Bicara mendapati pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes prima facie terhadap kedua-dua pertuduhan yang dikemukakan terhadap Perayu. Berikutannya, Hakim Bicara telah memanggil Perayu untuk membela diri berhubung dengan kedua-dua pertuduhan tersebut.

[3] Di akhir perbicaraan, Hakim Bicara mendapati pembelaan Perayu telah gagal untuk menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan. Perayu didapati bersalah dan disabitkan dengan kesalahan tersebut dan dihukum gantung mandatori seperti yang ditetapkan oleh undang-undang.

[4] Terkilan dengan keputusan Hakim Bicara, Perayu telah memfailkan rayuan ke Mahkamah ini.

[5] Kami telah mendengar rayuan Perayu pada 28.3.2017. Di akhir penghujahan pihak-pihak, kami mendapati rayuan Perayu tidak bermerit dan dengan sebulat suara menolak rayuan tersebut. Kami mengekal dan mengesahkan sabitan dan hukuman Hakim Bicara. Kini kami perturunkan alasan-alasan terperinci keputusan kami.

Pertuduhan

[6] Pertuduhan-pertuduhan yang dikemukaan terhadap Perayu ialah seperti berikut:-

Pertuduhan Pertama:

Bahawa kamu pada 11.03.2015 jam lebih kurang 3.30 petang di tepi jalan Jalan Lorong Kampung Bandar Dalam 6/2 dalam Daerah Wangsa Maju di dalam Bandaraya Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan telah mengedar dadah berbahaya iaitu cannabis berat bersih adalah 1,013 gram. Oleh yang demikian, kamu telah melakukan satu kesalahan di bawah seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah seksyen 39B(2) Akta yang sama.

Pertuduhan Kedua:

Bahawa kamu pada 11.03.2015 jam lebih kurang 5.00 petang di sebuah rumah alamat No. R48, Jalan Umbun, Taman Setapak dalam Daerah Wangsa Maju di dalam Bandaraya Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan telah mengedar dadah berbahaya iaitu cannabis berat bersih adalah 35,621.94 gram. Oleh yang demikian, kamu telah melakukan satu kesalahan di bawah seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah seksyen 39B(2) Akta yang sama.

Kes Pendakwaan

[7] Naratif kes pendakwaan bolehlah diringkaskan seperti berikut:-

Pertuduhan Pertama

7.1. Pada 11.3.2015, lebih kurang jam 12.30 tengah hari, Insp Kumbat Anak Tan (SP9) telah menerima maklumat daripada orang awam berkaitan aktiviti pengedaran dadah yang melibatkan seorang lelaki Melayu di sekitar Jalan Padang Balang, Setapak.

7.2. Selepas memberikan taklimat kepada anggota-anggotanya pada jam 2.20 petang, SP9 dan anggota pasukan bergerak ke tempat kejadian.

7.3. Pada jam 3.00 petang, SP9 dan anggota pasukan tiba di hadapan sebuah rumah No. 2545J, Wangsa Maju. SP9 dan anggotanya membuat pemerhatian.

7.4. Lebih kurang 30 minit kemudian, seorang lelaki (yang kemudiannya dicamkan sebagai Perayu) telah tiba dengan menaiki sebuah motosikal Yamaha LC berwarna hitam-merah dan berhenti di tepi jalan seakan-akan menunggu seseorang.

7.5. Lebih kurang 1 minit kemudian, anggota pasukan menyerbu Perayu dari arah belakang. Perayu kelihatan takut dan terkejut. Serangkai 5 anak kunci (Eksibit P5D 1-5) dirampas daripada Perayu. Semasa pemeriksaan pada badan Perayu dilakukan, dijumpai terselit di celah seluar jean yang dipakai oleh Perayu satu ketulan mampat cannabis yang dibalut dengan kertas timah dan plastik lutsinar bertulis “O.K” (Eksibit P28). Perayu kemudiannya ditahan dan barang-barang kes dirampas.

Pertuduhan Kedua

7.6. SP9 telah membawa Perayu masuk ke dalam kereta pasukan untuk dijalankan siasatan lanjut.

7.7. Pada jam 4.30 petang, Perayu telah “memandu arah” SP9 dan menunjukkan rumahnya seperti alamat yang terdapat dalam pertuduhan.

7.8. Dengan menggunakan anak kunci yang telah dirampas daripada Perayu, SP9 dan anggota pasukan berjaya masuk ke dalam rumah Perayu. Walaupun bilik Perayu berkunci, namun mereka telah berjaya memasuki rumah itu dengan menggunakan rangkaian anak kunci yang dirampas daripada Perayu. Pemeriksaan dijalankan di dalam bilik tidur Perayu menjumpai dua kotak plastik (Eksibit P8 dan P9).

7.9. Dalam kotak (P8) terdapat:-

(i) 7 ketulan mampat masing-masing bertulis “O.K” yang dibalut dengan kertas timah dan plastik lutsinar yang disyaki mengandungi cannabis dan ditandakan “K1-K9”.

(ii) 2 ketulan mampat (separuh) setiap satu bertulis ‘O’ dan ‘K’ yang dibalut dengan kertas timah dan balutan plastik lutsinar mengandungi tumbuhan kering disyaki cannabis dan ditandakan “K8” dan “K9”.

(iii) 1 peket plastik lutsinar mengandungi tumbuhan kering disyaki cannabis dan ditandakan “K10”.

(iv) Plastik pembungkus bertulisan ‘abc’ dan ditandakan “K11”.

(v) Sebilah pisau dan ditandakan “K12”.

(vi) Pembaris besi dan ditandakan “K13”.

(vii) 1 pelapik hijau dan ditandakan “K14”.

7.10. Di dalam kotak (P9) pula mengandungi 27 ketulan mampat bertulis “O.K” yang dibalut dengan keras timah dan plastik lutsinar mengandungi tumbuhan kering disyaki cannabis dan ditandakan L1-L27.

7.11. Barang-barang kes yang dirampas dan Perayu dibawa ke IPD, Wangsa Maju untuk siasatan lanjut.

7.12. Perayu kemudiannya diserahkan kepada Insp. Wan Muhamad Fauzie (SP10), Pegawai Penyiasat.

7.13. Hasil analisis yang dijalankan oleh Dr. Vanitha a/p Kunalan (SP6), Ahli Kimia, mengesahkan bahawa dadah dalam Pertuduhan Pertama ialah cannabis seberat 1,013 gram dadah dan Pertuduhan Kedua ialah cannabis sberat 35,621.94 gram.

7.14. Keterangan oleh Muhammad Amirul bin Jazlie (anak Perayu/ SP3), Noraqirah binti Abdullah (anak Perayu/ SP4), dan Nurul Aishah binti Mohamad Noor (SP7/ Teman Wanita Perayu) mengesahkan bahawa rumah tersebut ialah sebuah rumah sewa. Ini disokong keterangan oleh tuan rumah (SP5). Di dalam rumah tersebut, SP3 tinggal bersama bapanya (Perayu), kakaknya (SP4), dan seorang adik lelaki. Bilik Perayu terletak di depan, bilik SP3 terletak di tengah, dan bilik SP4 terletak di belakang. Bilik Perayu sentiasa berkunci. Sewaktu kejadian, SP3 dan SP4 berada di kedai makan berhampiran rumah tersebut, manakala SP7 pula berada di rumah ibunya di Setapak.

Keputusan Hakim Bicara Di akhir Kes Pendakwaaan

[8] Hakim Bicara memutuskan bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan satu kes prima facie terhadap kedua-dua pertuduhan yang dikemukakan terhadap Perayu.

Pertuduhan Pertama

[9] Bagi Pertuduhan Pertama, Hakim Bicara berpendapat bahawa milikan telah dibuktikan melalui keterangan bahawa bahan mampat berbalut kertas timah dan plastik bertulis “O.K” (Eksibit P28) yang ditandakan sebagai “T” yang mengandungi cannabis telah dijumpai oleh SP6 terselit antara bahagian hadapan seluar jean yang dipakai Perayu. Adalah jelas bahawa Perayu mempunyai jagaan dan kawalan terhadap dadah tersebut. Inferen pengetahuan boleh dibuat apabila Perayu kelihatan terkejut dan ketakutan semasa dia diserbu.

[10] Bagi Pertuduhan Kedua, Hakim Bicara berpendapat, keterangan menunjukkan bahawa bilik di mana cannabis dijumpai didiami oleh Perayu. Rumah tersebut disewa oleh Perayu. Keterangan daripada kedua-dua anak Perayu (SP3 dan SP4) serta teman wanitanya (SP7) jelas menunjukkan bahawa Perayu mendiami bilik tersebut. Bilik tersebut sentiasa berkunci ketika Perayu meninggalkan rumah. SP9 ketika hendak memasuki bilik tersebut, terpaksa membukanya dengan menggunakan kunci yang telah dirampas daripada Perayu.

[11] Tambahan pula, di atas dua kotak plastik (P10 dan P11 yang mengandungi dadah), terdapat satu beg berjenama ‘Royal Mountain’ (Eksibit P7C) yang di dalamnya, antara lain, terdapat dokumen atas nama Perayu iaitu pasport (Eksibit P7D), Borang Taksiran Kastam (Eksibit P7C(1)) dan resit tunai (Eksibit P7C(2)).

[12] Terdapat persamaan antara dadah yang dirampas dari celah seluar jean yang dipakai Perayu dan kesemua ketulan mampat yang dijumpai di dalam dua kotak plastik (P10 dan P11) yang terletak di dalam bilik Perayu iaitu catatan “O.K”.

[13] Inferen bolehlah dibuat bahawa Perayu mengetahui mengenai dadah yang dijumpai di dalam biliknya kerana dadah yang dijumpai terselit di celah seluar jean yang dipakai Perayu semasa ditangkap sebelumnya mempunyai catatan yang sama, iaitu “O.K”. Ini bukan merupakan satu kebetulan tetapi menunjukkan terdapat nexus antara dadah yang dirampas pada badan Perayu dengan dadah yang dijumpai di dalam biliknya.

[14] Hakim Bicara telah mengguna pakai anggapan statutori mengedar di bawah seksyen 37(da) ADB 1952 bagi membuktikan elemen pengedaran terhadap kedua-dua pertuduhan.

[15] Hakim Bicara telah memanggil Perayu untuk membela diri terhadap kedua-dua pertuduhan asal yang dikemukakan terhadapnya.

Kes Pembelaan

[16] Perayu telah memberikan keterangan atas sumpah. Keterangan Perayu bolehlah diringkaskan seperti berikut:-

16.1. Perayu telah berkahwin dan mempunyai 3 orang anak.

16.2. Perayu berniaga pakaian “bundle” dan alat ganti motosikal.

16.3. Pada 11.3.2015, Perayu menerima panggilan telefon daripada kawannya (sekitar jam 9-10 pagi) yang bernama Ijoy yang menyuruh Perayu ke rumah Ijoy. Perayu memberitau bahawa dia hanya boleh ke rumah Ijoy pada sebelah petang. Tujuan Ijoy menelefon Perayu ialah untuk meminta tolong Perayu membantunya untuk berpindah rumah. Selepas Asar, Ijoy menelefon semula Perayu dan meminta Perayu datang ke rumahnya sekitar jam 4.00 petang.

16.4. Menurut Perayu, dia telah pergi di bahagian belakang rumah Ijoy, namun keadaan rumah itu sunyi sepi seperti tiada sesiapa. Ijoy juga tidak menjawab panggilan telefon Perayu. Pada masa itulah pihak polis yang berpakai preman telah menyerbu Perayu.

16.5. Perayu telah ditangkap di atas motosikal dan selepas itu pihak polis telah meminta Perayu menunjukkan rumahnya.

16.6. Dalam perjalanan ke rumah Perayu, SP9 telah menyuruh Perayu menelefon ahli keluarganya atau teman wanitanya agar mereka keluar daripada rumah tersebut dengan segera.

16.7. Setelah berjaya memasuki rumah tersebut, SP9 telah menyuruh Perayu duduk di ruang tamu. Selepas itu, SP9 telah menunjukkan kotak yang diambil dari dalam bilik dan memaklumkan bahawa di dalamnya mengandungi ketulan-ketulan mampat disyaki dadah.

16.8. Perayu memberitahu SP9 bahawa kotak tersebut adalah milik kawannya yang bernama Ijoy. Ijoy telah menumpangkan kotak tersebut di rumahnya kerana Ijoy sedang bersiap-siap untuk berpindah rumah.

Keputusan Hakim Bicara Di Akhir Kes Pembelaan

[17] Selepas menimbangkan kesemua keterangan yang dikemukakan, Hakim Bicara berpendapat bahawa pembelaan Perayu telah gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan dan atas imbangan kebarangkalian, gagal mematahkan anggapan statutori pengedaran di bawah seksyen 37(da) ADB 1952.

[18] Seperti yang dinytakan sebelum ini, Perayu didapati bersalah, disabitkan dan dijatuhkan hukuman gantung sampai mati bagi kedua-dua pertuduhan yang dikemukakan terhadapnya.

Rayuan

[19] Di hadapan kami, peguambela terpelajar Perayu telah mengemukakan alasan-alasan yang berikut bagi mencabar keputusan Hakim Bicara:-

Pertuduhan Pertama

(a) Yang Arif Hakim Bicara terkhilaf di sisi undang-undang dan fakta apabila memutuskan bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan milikan dan pengedaran.

Pertuduhan Kedua

(b) Yang Arif Hakim Bicara terkhilaf di sisi undang-undang dan fakta apabila gagal membuat keputusan mengenai pemakaian seksyen 27 Akta Keterangan 1950; dan

(c) Yang Arif Hakim Bicara terkhilaf di sisi undang-undang apabila gagal memberi pertimbangan secukupnya terhadap pembelaan yang dikemukakan oleh Perayu.

Perbincangan dan Keputusan

[20] Peguambela terpelajar berhujah bahawa keterangan SP9 yang mengatakan bahawa serbuan dibuat terhadap Perayu yang berada di atas motosikal dan selepas pemeriksaan dilakukan didapati di celah seluar jean (P5A) yang dipakai oleh Perayu terselit satu ketulan mampat cannabis yang dibalut dengan kertas timah dan plastik lutsinar bertulis “O.K” (P28) tidak sepatutnya diterima oleh mahkamah.

[21] Mengikut peguambela terpelajar Perayu, keterangan yang diberikan oleh SP9 adalah tidak munasabah dan SP9 bukanlah seorang saksi yang kredible. Peguambela terpelajar Perayu mengemukakan fakta yang berikut bagi menyokong hujahnya:-

(a) Berat dadah yang dijumpai terselit di seluar jean yang dipakai oleh Perayu ialah 1,013 gram;

(b) Perayu memakai seluar jean yang longgar (“loose jean”) dan tidak mungkin Eksibit P28 boleh diselitkan di situ.

(c) Keterangan SP9 tidak disokong oleh mana-mana keterangan anggota-anggota serbuan yang lain; dan

(d) Perayu tidak melawan dan/atau melarikan diri apabila dia diserbu. Ini menunjukkan bahawa Perayu tidak memiliki dan/atau mempunyai pengetahuan mengenai Eksibit P28.

[22] Dengan hormat, kami tidak bersetuju dengan hujahan peguambela terpelajar Perayu. Hakim Bicara telah membuat penemuan fakta bahawa Eksibit P28 dijumpai oleh SP9 terselit antara bahagian hadapan seluar jean yang dipakai oleh Perayu dan Perayu kelihatan terkejut dan ketakutan.

[23] Adalah menjadi undang-undang mantap bahawa penemuan fakta oleh Hakim Bicara tidak wajar diganggu oleh mahkamah yang mendengar rayuan melainkan dapat ditunjukkan bahawa penemuan tersebut adalah ternyata salah (“plainly wrong”) (lihat Tan Kim Ho v P.P [2009] 3 MLJ 151; P.P v Thenegaran Murugan & Another Appeal [2013] 4 CLJ 365; P.P v Mohd Rodzi Abu Bakar [2006] 1 CLJ 457; Dato Seri Anwar Ibrahim v P.P [2002] 3 CLJ 457; Swiss Garden Rewards Sdn Bhd. v Mohamed Ashrof Tambi bin Abdullah & 4 Others; Rayuan Sivil No. P-01(A)-196-05/2016 (MR).

[24] Dalam kes P.P v Kadir bin Uyung and Another, and 22 Other Appeals, No. S-05(LB)-110-03/2016, Mahkamah ini menyatakan:-

“[30] The trial judge’s assessment of the credibility of the witnesses is entitled to great weight. The simple reason for this is that the trial judge had the opportunity of observing their demeanour and manner while giving evidence and was therefore in the best position to determine if they were telling the truth or otherwise. The assessment is binding on the appellate court in the absence of clear evidence showing that the trial judge had plainly overlooked or misinterpreted some material facts which if considered might have affected the result of the case. (See Dato’ Seri Anwar Bin Ibrahim v Public Prosecutor & Another Appeal [2015] 2 CLJ 145, Muniandy & Ors v P.P [1966] 1 LNS 110 (FC) and Perembun (M) Sdn Bhd v Conlay Construction Sdn Bhd [2012] 4 MLJ 149, 154 (CA)).”.

[25] Kami telah meneliti keterangan yang berkaitan dan mendapati tidak ada apa-apa aspek keterangan SP9 yang tidak munasabah dan meragukan. Pihak pembelaan tidak membuat permohonan semasa perbicaraan di Mahkamah Tinggi untuk “acu-pakai” sama ada seluar jean yang dipakai oleh Perayu adalah longgar atau sebaliknya dan Eksibit P28 tidak boleh dilekatkan di situ. (Lihat misalnya kes P.P v Premakumar Balan & Anor [2010] 3 CLJ 736 di mana tertuduh telah dibuat acu-pakai (“fitting test”) pakaian yang dijumpai di dalam beg yang dibawa oleh tertuduh).

[26] Fakta bahawa Perayu tidak melarikan diri apabila diserbu tidak merupakan satu fakta yang relevan dan penting dalam keadaan yang wujud dalam kes ini kerana sebaik sahaja Perayu memberhentikan motosikalnya lebih kurang satu minit sahaja, tiga orang anggota serbuan terus meluru ke arah Perayu dari arah belakang. Perayu tidak mempunyai kesempatan untuk melarikan diri.

[27] Perlu ditekankan bahawa keterangan SP9 yang diterima oleh Hakim Bicara sebagai kredible tidak memerlukan keterangan sokongan lain. Dalam kes Vadivelu Thevar v The State of Madras, AIR [1957] S.C 614, Mahkamah Agong India, selepas merujuk kepada keputusan Privy Council dalam kes Mohamed Sugal Esa Mamasan Rer Alalah v The King, AIR [1946] P.C 3, merumuskan seperti berikut:-

“On a consideration of the relevant authorities and the provisions of the Indian Evidence Act, the following propositions may be safely stated as firmly established:

(1) As a general rule, a court can and may act on the testimony of a single witness though uncorroborated. One credible witness outweighs the testimony of a number of other witnesses of indifferent character.

(2) Unless corroboration is insisted upon by statute, courts should not insist on corroboration except in cases where the nature of the testimony of the single witness itself requires as a rule of prudence, that corroboration should be insisted upon, for example in the case of a child witness, or of a witness whose evidence is that of an accomplice or of an analogous character.

(3) Whether corroboration of the testimony of a single witness is or is not necessary, must depend upon facts and circumstances of each case and no general rule can be laid down in a matter like this and much depends upon the judicial discretion of the Judge before whom the case comes.”.

[28] Dalam kes Balachandran v P.P [2005] 2 MLJ 301, Mahkamah memutuskan:-

“Where the evidence of a witness does not require to be corroborated in law there is no obligation to tender corroborative evidence to support his testimony. Thus if the case for the prosecution rests solely on the evidence of one witness in such a category there is no requirement in law for his evidence to be corroborated. Any such requirement will conflict with section 134 of the Evidence Act 1950 which provides that no particular number of witnesses shall in any case be required for the proof of any fact. This means that the testimony of a single witness, if believed, is sufficient to establish any fact.”.

Pertuduhan Kedua

[29] Peguambela terpelajar berhujah bahawa Hakim Bicara tidak membuat penemuan mengenai pemakaian seksyen 27 Akta Keterangan 1950. Oleh itu, adalah tidak jelas apakah peruntukan undang-undang yang disandar oleh Hakim Bicara yang menerima-masuk keterangan bahawa penemuan dadah di bilik Perayu adalah berdasarkan “pandu arah” oleh Perayu. SP9 tidak menyatakan apakah soalan sebenar yang ditanyakan kepada Perayu bagi membolehkan dipastikan apakah maklumat yang hendak disampaikan oleh Perayu yang membawa kepada penemuan dadah di dalam bilik Perayu. Pihak pendakwaan hanya mengemukakan maklumat yang terkandung dalam laporan polis (Eksibit P80B).

[30] Peguambela terpelajar merujuk kepada kes-kes Amathevelli Ramasamy v P.P [2009] 3 CLJ 109, P.P v Khoo Boo Hock [1990] 1 CLJ 109, P.P v Kanapathy Kuppusamy [2001] 1 CLJ 61 bagi menyokong hujahnya. Dihujahkan bahawa tanpa diketahui apakah soalan sebenar yang dikemukakan kepada Perayu, telah timbul keraguan mengenai apakah bentuk keterangan Perayu yang didakwa telah membawa kepada penemuan dadah di dalam bilik Perayu.

[31] Kami telah menyemak alasan penghakiman Hakim Bicara. Walaupun dalam alasan penghakimannya, Hakim Bicara telah merujuk kepada keterangan di bawah seksyen 27 Akta Keterangan 1950, namun Hakim Bicara tidak bersandar kepada keterangan tersebut dalam memutuskan bahawa Perayu mempunyai milikan terhadap dadah yang menjadi hal perkara Pertuduhan Kedua.

[32] Hakim Bicara menumpukan perhatiannya kepada faktor bahawa dadah yang dijumpai di dalam bilik Perayu mempunyai tandaan yang sama dengan dadah yang dijumpai terselit di celah seluar jean yang dipakai oleh Perayu iaitu “O.K”. Oleh itu, inferen bolehlah dibuat bahawa Perayu mempunyai pengetahuan yang diperlukan.

[33] Kedua-dua undang-undang lazim (“common law”) dan seksyen 14 dan 15 Akta Keterangan 1950 membenarkan penerimaan keterangan fakta yang serupa (“similar fact evidence”). la bagi menunjukkan keadaan minda (“state of mind”) dan perbuatan seseorang tertuduh bukanlah merupakan satu kebetulan (“not accidental”).

[34] Dalam kes Wong Yew Ming v Public Prosecutor [1991] 1 MLJ 31 (SC), persoalan undang-undang yang berkepentingan awam berikut telah dikemukakan kepada Mahkamah:-

“Whether in a trial in which an accused is charged for trafficking in respect of a particular quantity of dangerous drug, to wit, heroin, at a particular place and time, evidence may be admitted that on previous occasions he had sold dangerous drugs, although such evidence is prejudicial to the accused.”.

[35] Hashim Yeop A Sani (HBM) berkata di muka surat 32-33:-

“In the context of the Act PW8's evidence is in our view clearly admissible. The prosecution wanted to show that on previous occasions the applicant had sold drugs and therefore had been trafficking in drugs. In our law when the statutory amount of drug is proved to be in the possession of any person the presumption is invoked and the person shall be presumed until the contrary is proved, 'to be trafficking' in the said drug. Under the Act possession of the statutory amount of drug is trafficking. PW8's evidence was relevant to show knowledge and that the possession of the drug by the applicant was not accidental.

In this case the evidence of PW8 is admissible not because it tends to show that a person committing one offence is likely to commit another but to show knowledge or intention of the applicant and that the possesion is not accidental.

Accordingly the answer to the question posed must be in the affirmative.”.

[36] Kami bersetuju dengan analisis keterangan yang dibuat oleh Hakim Bicara bahawa Perayu mempunyai jagaan dan kawalan terhadap dadah yang dijumpai di dalam bilik Perayu. Terdapat keterangan kukuh bagi menyokong kesimpulan tersebut, antara lain:-

(a) Keterangan SP9 yang menyatakan bahawa untuk memasuki bilik tersebut, beliau telah menggunakan kunci yang diperolehi daripada Perayu;

(b) Perayu seorang sahaja yang mempunyai akses terhadap bilik tersebut. Keterangan SP3, SP4 dan SP7 mengesahkan bahawa bilik tersebut adalah didiami Perayu. SP3 (anak Perayu) menjelaskan bahawa Perayu tidak membenarkan SP3 memasuki biliknya. SP4 (anak Perayu) menyatakan pada hari kejadian, SP4 tiada di rumah. SP4 juga menjelaskan bahawa Perayu akan mengunci pintu biliknya ketika Perayu keluar rumah dalam tempoh yang lama. SP7 (teman wanita Perayu) menyatakan bahawa pada hari kejadian, dia berada di rumah ibunya. SP7 menjelaskan walaupun dia pernah memasuki bilik tersebut, namun dia hanya masuk untuk waktu singkat untuk lepak-lepak, buang air atau menukar seluar. SP7 tidak pernah memasuki bilik tersebut tanpa kehadiran Perayu dan mengesahkan bahawa Perayu selalu mengunci pintu bilik itu.

[37] Pada hemat kami, “pandu arah” oleh Perayu kepada SP9 adalah relevan dan boleh diterima-masuk sebagai keterangan. Dalam kes Siew Yoke Keong v P.P [2013] 3 MLJ 630, Mahkamah Persekutuan memutuskan:-

“[29] In addition, it must be added that the evidence of Siew leading PW6 and the police team to the first house and pointing out the place where the bunch of eight keys was found, and later pointing out the place where the key to the safe was found would also be relevant and admissible as conduct under s 8 of the Evidence Act. In this regard in Prakash Chand v State AIR 1979 SC 400, the Supreme Court of India said:

For example, the evidence of the circumstances, simpliciter, that an accused person led a police officer and pointed out the place where stolen articles or weapons which have been used in the commission of the offence were found hidden, would be admissible as conduct, under s 8 of the Evidence Act, irrespective of whether any information contemporaneously with or antecedent to any such conduct falls within the purview of s 27 of the Evidence Act (vide Himachal Pradesh Administration v OM Prakash AIR 1972 SC 975).”.

Penama Ijoy

[38] Peguambela terpelajar Perayu berhujah Hakim Bicara telah tidak memberi pertimbangan secukupnya terhadap pembelaan Perayu, terutama mengenai penama Ijoy. Perayu menyatakan bahawa Ijoy telah datang ke rumahnya sebelum hari kejadian. Dalam pembelaannya, Perayu menceritakan mengenai Ijoy seperti berikut:-

(a) Sehari sebelum hari kejadian, Ijoy meminta tolong Perayu untuk menyimpan barang-barangnya di rumah Perayu kerana Ijoy ingin berpindah rumah.

(b) Ijoy datang pada lebih 8-9 malam dan menghantarkan beberapa barang, termasuklah radio, beg pancing, beg baju, karpet dan termasuk kotak-kotak yang dijumpai oleh pihak polis.

(c) Ketika Ijoy datang, SP7 ada di rumah bersama Perayu.

(d) Pada tarikh kejadian pada sebelah pagi, Ijoy ada meminta tolong Perayu untuk berpindah rumah.

(e) Pada sebelah petang, Perayu pergi ke rumah Ijoy di Kampung Padang Balang dan menelefon Ijoy tetapi tiada jawapan. Tiba-tiba Perayu telah diserbu oleh sekumpulan lelaki berpakaian preman.

(f) Ada seseorang yang memperkenalkan dirinya sebagai polis tetapi dia bukanlah SP9.

(g) Perayu ditangkap dan digari tanpa sebarang alasan diberikan.

(h) Perayu kemudiannya nampak SP9 dan telah diarahkan untuk menunjukkan rumah Perayu. Perayu memberi kerjasama.

(i) SP9 mengarahkan Perayu untuk menelefon anak-anak dan teman wanitanya untuk keluar dari rumah. Perayu akur dan apabila tiba di rumah, Perayu mendapati rumah sudah sedia dibuka.

(j) SP9 mengarahkan bahawa Perayu diarahkan duduk di ruang tamu dan kemudiannya SP9 mengarahkan Perayu untuk masuk ke bilik tersebut dan menunjukkan kotak-kotak yang mengandungi dadah.

(k) Perayu menyatakan bahawa kotak-kotak tersebut telah dibawa oleh Ijoy yang datang ke rumah Perayu sehari sebelum hari kejadian dan meminta tolong untuk menyimpan barang kerana Ijoy ingin berpindah rumah.

[39] Dalam pemeriksaan belas, Perayu menyatakan bahawa Ijoy telah dikenali oleh Perayu selama lebih 10-12 tahun. Namun Perayu mengakui bahawa dia tidak tahu perkara-perkara berikut:-

(a) Tidak tahu nama sebenar Ijoy;

(b) Tidak tahu alamat Ijoy; dan

(c) Perayu juga mengatakan bahawa dia telah dianiayai oleh Ijoy.

[40] Kami perhatikan bahawa di peringkat pendakwaan, nama Ijoy ini langsung tidak pernah dibangkitkan oleh pihak pembelaan. Pada hemat kami, sekiranya “Ijoy” ini wujud, sudah pasti nama ini akan diberikan kepada SP9 ketika serbuan dibuat di rumah Perayu dan ketika siasatan dijalankan oleh SP10.

[41] Hakim Bicara, dalam alasan penghakimannya telah membuat dapatan yang tepat apabila memutuskan di Rekod Rayuan Jilid 1 muka surat 70 bahawa:-

“[168] Pembelaan tertuduh yang meletakkan ke atas Ijoy tanpa menyoal saksi-saksi anak-anaknya (SP3 dan SP4) dan teman wanita (SP7) semasa memberi keterangan akan watak Ijoy dan barang-barang Ijoy bagaimana boleh berada di dalam bilik tertuduh adalah satu pembelaan yang tertuduh mereka-reka dan penafian semata-mata walhal tertuduh menyatakan SP7 ada bersama tertuduh masa Ijoy menumpangkan 2 kotak berisi dadah. Tertuduh juga tidak bertanyakan soalan kepada SP3 dan SP4 dua anaknya yang mana tertuduh katakan pihak polis mengarahkan tertuduh menelefon anaknya dan tertuduh dapat bercakap dengan SP3 agar keluar dari rumah sebelum serbuan polis. Dengan kata lain pembelaan tertuduh ini hanya direka-reka sebab itulah tertuduh takut untuk mendapat pengesahan dari SP3, SP4 dan SP7 risau nanti mereka ini menafikan pula dan tertuduh akan tertutup untuk membuat pembelaan rekaannya. (Lee Kong Meng v Pendakwa Raya [2012] 2 MLJ 51).”.

[42] Dalam kes Wong Swee Chin v PP [1981] 1 MLJ 212, Mahkamah memutuskan bahawa Perayu hendaklah mengemukakan kesnya di peringkat pendakwaan kepada saksi-saksi pendakwaan. Sekiranya tidak, pembelaan yang dikemukakan bolehlah dianggap sebagai “afterthought defence” semata-mata. (Lihat juga Mohd Hazrin bin Md Sari v P.P [2008] 3 MLJ 798).

Kesimpulan

[43] Kami telah memberi pertimbangan yang mendalam terhadap kesemua alasan yang dikemukakan oleh Perayu untuk mencabar keputusan Hakim Bicara. Kami berpendapat bahawa alasan-alasan tersebut tidak bermerit, tersasar dan tidak disokong oleh keterangan yang ada di hadapan Mahkamah. Kami berpuashati bahawa Hakim Bicara tidak melakukan apa-apa kekhilafan dirayu (“appealable error") yang memerlukan campur tangan Mahkamah ini. Sabitan terhadap Perayu adalah selamat.

[44] Justeru, kami dengan sebulat suara menolak rayuan Perayu dan mengesah dan mengekalkan sabitan dan hukuman yang dibuat oleh Hakim Bicara.

Bertarikh: 9 Mac 2018

sgd.

MOHD ZAWAWI BIN SALLEH
Hakim
Mahkamah Rayuan
Malaysia

COUNSEL

Peguamcara Perayu: Sandrasegaran a/l Kanniappan, Tetuan Tay, Bernard & Cheong, No. 19A, Jalan Harimau Tarum, Taman Century Garden, 80250 Johor Bahru, Johor

Peguamcara Responden: Norinna binti Bahadun, Timbalan Pendakwa Raya, Bahagian Perbicaraan dan Rayuan, Aras 5, Jabatan Peguam Negara, No. 45, Blok 4G7, Persiaran Perdana, Presint 4, 62100 Putrajaya

Legislation referred to:

Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen-seksyen 37(da), 39B(1)(a), 39B(2)

Akta Keterangan 1950, Seksyen-seksyen 14, 15, 27

Judgments referred to:

Amathevelli Ramasamy v P.P [2009] 3 CLJ 109

Balachandran v P.P [2005] 2 MLJ 301

Dato Seri Anwar Ibrahim v P.P [2002] 3 CLJ 457

Mohamed Sugal Esa Mamasan Rer Alalah v The King AIR [1946] P.C 3

Mohd Hazrin bin Md Sari v P.P [2008] 3 MLJ 798

P.P v Kadir bin Uyung and Another, and 22 Other Appeals [No. S-05(LB)-110-03/2016]

P.P v Kanapathy Kuppusamy [2001] 1 CLJ 61

P.P v Khoo Boo Hock [1990] 1 CLJ 109

P.P v Mohd Rodzi Abu Bakar [2006] 1 CLJ 457

P.P v Premakumar Balan & Anor [2010] 3 CLJ 736

P.P v Thenegaran Murugan & Another Appeal [2013] 4 CLJ 365

Siew Yoke Keong v P.P [2013] 3 MLJ 630

Swiss Garden Rewards Sdn Bhd. v Mohamed Ashrof Tambi bin Abdullah & 4 Others [Rayuan Sivil No. P-01(A)-196-05/2016 (MR)]

Tan Kim Ho v P.P [2009] 3 MLJ 151

Vadivelu Thevar v The State of Madras, AIR [1957] S.C 614

Wong Yew Ming v Public Prosecutor [1991] 1 MLJ 31 (SC)

Wong Swee Chin v PP [1981] 1 MLJ 212

Notice: The Promoters of Malaysian Judgments acknowledge the permission granted by the relevant official/ original source for the reproduction of the above/ attached materials. You shall not reproduce the above/ attached materials in whole or in part without the prior written consent of the Promoters and/or the original/ official source. Neither the Promoters nor the official/ original source will be liable for any loss, injury, claim, liability, or damage caused directly, indirectly or incidentally to errors in or omissions from the above/ attached materials. The Promoters and the official/ original source also disclaim and exclude all liabilities in respect of anything done or omitted to be done in reliance upon the whole or any part of the above/attached materials. The access to, and the use of, Malaysian Judgments and contents herein are subject to the Terms of Use.