THE OFFICIAL REPOSITORY OF
MALAYSIAN JUDGMENTS & RULINGS

[2018] MYCA 294 MALAY

Jaafar Bin Ngamil v Pendakwa Raya
Suit Number: Rayuan Jenayah No. B-05(M)-222-05/2017 

Criminal law – Murder – Conviction – Death sentence – Appeal – Whether there was an absence of intention to kill

PENGHAKIMAN

[1] Perayu (Jaafar bin Ngamil) telah disabitkan dan telah dijatuhkan hukuman gantung sampai mati di atas pertuduhan pindaan berikut:

"Bahawa kamu pada 22.6.2014 jam lebih kurang 9.07 malam hingga 23.6.2014 jam lebih kurang 8.30 pagi, di dalam sebuah motokar jenis Proton Saga nombor pendaftaran JCN 3069 di antara Lot 2056, Jalan Surau Ilmiah, Tebuk Haji Omar, Kampung Banting, Sabak Bernam hingga parit di Jalan Haji Omar, Kampung Banting, Sabak Bernam, di dalam Daerah Sabak Bernam, di dalam Negeri Selangor Darul Ehsan, telah melakukan pembunuhan dengan niat hendak menyebabkan kematian ke atas Jamingan bin Hambali (No K/P: 700306-10-5743) oleh yang demikian kamu telah melakukan satu kesalahan di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama".

[2] Terkilan dengan sabitan dan hukuman tersebut, perayu telah merayu ke Mahkamah ini.

[3] Kami telah mendengar rayuan perayu dan seterusnya telah menolak rayuan tersebut. Sekarang kami perturunkan alasan-alasan kami.

Kes Pihak Pendakwaan

[4] SP-5 (Mohammad Shahrul Fahmi bin Jamingan) ialah anak si mati, Jamingan bin Hambali.

[5] SP-7 (Nik Kamariah binti Norbit) ialah isteri si mati.

[6] SP-10 (Rahmat bin Abdullah) ialah anak saudara perayu yang memandu kereta Proton Saga no. JCN 3069 milik perayu ketika perayu dikatakan membunuh si mati.

[7] Pada 23.6.2014, sekitar jam 8.30 pagi, SP-5 yang menunggang motosikal di Jalan Haji Omar dari rumahnya untuk ke kedai runcit, telah melihat si mati yang sudah tidak bernyawa di dalam parit sebelah kanan jalan tersebut dalam keadaan meniarap.

[8] Sebelum itu, SP-5 menyatakan bahawa pada malam 22.6.2014, beliau yang ketika itu berada di rumahnya, nampak si mati keluar dari rumah sambil membawa lampu picit berwarna kuning hitam lalu menaiki sebuah kereta Proton Saga yang datang ke rumah. Itulah kali terakhir beliau nampak ayahnya dalam keadaan masih hidup.

[9] SP-7 sememangnya mengenali perayu sebelum kejadian pembunuhan si mati. Beliau dikatakan mempunyai hubungan terlarang dengan perayu. Keterangan SP-7 adalah konsisten dengan keterangan SP-5. Menurutnya, pada malam 22.6.2014, si mati telah memberitahu beliau bahawa dia (si mati) ingin berjumpa dengan perayu. Beliau melihat sendiri si mati keluar dari rumah dengan membawa lampu suluh berwarna hitam kuning dan melihat si mati menaiki kereta perayu yang datang ke rumahnya.

[10] SP-10 pula memberi keterangan bahawa pada malam kejadian (22.6.2014), beliau sedang berada di rumahnya di Parit 25 Baroh, Hutan Melintang, Perak, apabila pada sekitar jam 8.00 malam, perayu telah mengajak beliau, melalui telefon, untuk keluar minum.

[11] SP-10 pergi ke rumah perayu dengan menaiki motorsikal dari rumahnya dan berjumpa perayu. Perayu kemudiannya mengajak beliau untuk keluar minum dengan menaiki kereta Proton Saga no. JCN 3069, milik perayu.

[12] Pada awalnya perayu telah memandu keretanya untuk menuju ke destinasi. Namun, di pertengahan perjalanan perayu telah bertukar posisi dengan SP-10 memandu kereta tersebut dan perayu mengambil tempat untuk duduk di bahagian belakang kereta sebelah penumpang.

[13] Menurut SP-10, beliau telah memandu kereta tersebut mengikut arah seperti yang ditunjukkan oleh perayu.

[14] Sesampainya di satu kawasan, SP-10 telah diminta untuk memberhentikan kereta di tepi jalan berhadapan sebuah rumah yang dikatakan oleh perayu sebagai rumah kawannya. Perayu kemudiannya telah menelefon kawannya untuk berjumpa di dalam kereta tersebut.

[15] SP-10 menyatakan bahawa kawan perayu yang dimaksudkan itu ialah si mati.

[16] Si mati telah keluar dari rumahnya dan terus menaiki kereta tersebut dengan mengambil tempat duduk di bahagian depan sebelah pemandu dengan lampu suluhnya.

[17] Selepas itu SP-10 telah meneruskan pemanduan untuk ke kedai minum.

[18] Dalam perjalanan tersebut, perayu dengan si mati telah bertengkar. Kemudiannya SP-10 nampak perayu tiba-tiba mencekik leher si mati dari bahagian belakang si mati dengan menggunakan kedua-dua tangannya. Beliau juga nampak si mati meronta-ronta ketika dicekik sebelum akhirnya si mati senyap dan tidak bergerak.

[19] SP-10 telah memberhentikan keretanya atas arahan perayu di suatu kawasan yang tidak diketahui oleh SP-10. Perayu keluar dari tempat duduknya di bahagian belakang kereta lalu bertindak menarik si mati keluar daripada kereta dan seterusnya membuang si mati ke dalam parit.

[20] Selepas kejadian, perayu kembali memandu kereta tersebut dan balik ke rumahnya. Menurut SP-10, perayu tidak memberi apa-apa penjelasan tentang kejadian tersebut. Sesampainya di rumah perayu, SP-10 nampak perayu mengeluarkan sarong tangan berwarna putih dan seutas tali dari dalam kereta tersebut, lalu membakar kedua-dua barang tersebut di sebelah pokok kelapa sawit.

[21] Keterangan SP-10 tentang si mati telah dicekik di leher hingga mati oleh perayu telah disokong oleh keterangan ahli patologi, SP-8 (Dr. Khairul Azman bin Ibrahim), yang membedah siasat si mati pada 24.6.2014.

[22] Menurut SP-8, kesan lebam pada bahagian depan leher si mati, serta patah rawan tiroid dan patah tulang hyoid menunjukkan bahawa terdapat tekanan atau himpitan di kawasan leher si mati. Perbuatan himpitan ini boleh menyebabkan kematian kerana pengaliran darah ke otak terhalang dan si mati sukar bernafas. Menurutnya, punca kematian si mati adalah tekanan pada leher si mati tersebut. Laporan Bedah Siasat yang dijalankan oleh SP-8 adalah eksibit P14.

[23] Di akhir kes pendakwaan, hakim bicara yang bijaksana berpuas hati bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan keempat-empat inti pati pertuduhan iaitu si mati telah mati; kematian si mati adalah disebabkan oleh kecederaan yang dialami olehnya; kecederaan yang dialami oleh si mati adalah disebabkan oleh perbuatan perayu; dan dalam menyebabkan kecederaan ke atas si mati, perayu telah bertindak dengan niat untuk menyebabkan kematian si mati (di bawah cabang (a), s. 300, Kanun Keseksaan ('KK')).

[24] Dengan demikian, hakim bicara yang bijaksana mendapati bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan satu kes prima facie terhadap perayu di bawah pertuduhan yang dikenakan ke atasnya. Justeru itu perayu telah dipanggil untuk membela diri di atas pertuduhan tersebut.

Kes Pihak Pembelaan

[25] Perayu telah memberi keterangan secara bersumpah.

[26] Perayu menyatakan dia telah mengenali si mati lebih kurang 10 tahun sebelum kejadian iaitu semasa dia bekerja dalam bidang pendawaian dengan si mati.

[27] Dia telah mengenali SP-7 untuk tempoh 5 tahun dan mendakwa hubungannya bagaikan adik dan abang angkat.

[28] Perayu mengaku pada malam kejadian dia telah pergi bersama-sama SP-10 untuk menjemput si mati di rumah si mati dengan menaiki kereta Proton Saga miliknya. Tujuan perjumpaan tersebut ialah untuk berbincang mengenai gaji perayu yang belum dibayar oleh si mati. Setelah sampai di rumah si mati, si mati telah menaiki keretanya dan kereta bergerak untuk ke kedai kopi.

[29] Perayu menyatakan dia berpindah duduk ke bahagian belakang kereta kerana pening kepala.

[30] Sepanjang perjalanan di dalam kereta, berlaku perbincangan di antaranya dengan si mati berkenaan dengan duit gaji yang terhutang tersebut. Perayu turut menyatakan SP-10 langsung tidak terlibat dalam perbincangan tersebut.

[31] Menurut perayu, perbincangan tersebut semakin tegang dan si mati telah memakinya dengan perkataan-perkataan kasar. Si mati kemudiannya telah menggunakan lampu suluh yang dibawa bersama-samanya dan bertindak untuk memukul SP-10 yang sedang memandu kereta.

[32] Perayu terus bertindak untuk menepis tangan si mati, mencekik leher serta menumbuk si mati. Perayu menyatakan dia bertindak sedemikian kerana si mati bersikap kurang ajar dan untuk mengelakkan SP-10 dari dipukul oleh si mati.

[33] Seterusnya, perayu menyatakan bahawa selepas dia menumbuk leher si mati, SP-10 telah memberhentikan keretanya. Si mati telah keluar daripada kereta dengan serta merta dan terus melarikan diri. Dia tidak tahu ke mana si mati telah melarikan diri. Sejurus selepas itu, dia pulang ke rumah kakaknya di Hutan Melintang bersama-sama SP-10.

[34] Di akhir kes pembelaan, hakim bicara yang bijaksana mendapati bahawa pembelaan perayu yang mengunjurkan pembelaan di bawah 'grave and sudden provocation' tidak terpakai lantaran pihak pembelaan gagal untuk memenuhi kriteria-kriteria tertentu seperti 'provocation' tersebut hendaklah 'grave' dan ia berlaku secara mengejut ('sudden') yang menyebabkan sesuatu pihak itu hilang kawalan diri dan terus melakukan perbuatan yang boleh menyebabkan kematian seperti mana dijelaskan dalam kes Che Omar Mohd. Akhir v PP [2007] 3 CLJ 281.

[35] Hakim bicara yang bijaksana juga mendapati bahawa pembelaan perayu adalah berbentuk rekaan dan penafian kosong semata-mata dan versi pembelaan yang meragukan telah gagal untuk menimbulkan sebarang keraguan yang munasabah ke atas kes pendakwaan. Pihak pendakwaan pula telah berjaya membuktikan kesnya melampaui keraguan yang munasabah. Dengan itu, perayu telah didapati bersalah dan disabitkan dengan kesalahan seperti mana dipertuduhkan ke atasnya dan dijatuhi dengan hukuman gantung di leher sampai mati.

Rayuan Di Hadapan Kami

[36] Perayu hanya mengunjurkan satu isu sahaja dalam rayuannya iaitu hakim bicara yang bijaksana telah khilaf apabila beliau gagal untuk mengambil kira bahawa fakta-fakta dan keterangan kes menunjukkan kesalahan yang dilakukan oleh perayu hanya terjumlah satu kesalahan di bawah s. 304(a), KK sahaja.

[37] Peguam bela perayu yang bijaksana menghujahkan bahawa perayu tidak ada niat untuk membunuh si mati ketika mencekik leher si mati kerana perbuatan tersebut hanya dilakukan sekejap sahaja seperti keterangan SP-10 dan daya tekanan yang dikenakan ketika mencekik juga tidak kuat. Lagi pun menurut keterangan SP-8, perbuatan himpitan atau tekanan adalah sekadar "boleh menyebabkan kematian (only likely to cause death)" dan bukannya "akan menyebabkan kematian dalam apa keadaan sekalipun (must in all probability cause death)". Peguam bela yang bijaksana seterusnya menghujahkan bahawa ketiadaan niat untuk membunuh si mati jelas ditunjukkan apabila tidak ada senjata digunakan untuk membunuh si mati dan tali yang dibawa bersamanya juga tidak digunakan untuk mencekik leher si mati. Dengan itu, peguam bela yang bijaksana merayu supaya sabitan ke atas perayu dipinda kepada satu sabitan di bawah s. 304(a), KK, sahaja.

Keputusan Kami

[38] Perlu dicatatkan bahawa niat seseorang untuk membunuh itu jarang sekali boleh dibuktikan melalui keterangan terus (direct evidence) melainkan orang itu membuat pengakuan nyata.

[39] Namun, adalah menjadi undang-undang yang mantap bahawa niat tersebut boleh dibuktikan atau dirumuskan melalui inferensi daripada keseluruhan hal ehwal keadaan kes.

[40] Dalam kes Tham Kai Yau & Ors v PP [1977] 1 MLJ 174, Raja Azlan Shah HMP (sepertimana Almarhum Baginda ketika itu) di m.s. 176 menyatakan bagi pihak Mahkamah Persekutuan tentang elemen niat yang boleh diinferensikan dari senjata yang digunakan ke atas mangsa, seperti berikut:

"It cannot be disputed that intention is a matter of inference. The deliberate use by some men of dangerous weapons at another leads to the irresistible inference that their intention is to cause death. This inference should therefore make it a simple matter to come to a decision as to intention, in any case, such as the present, where the weapons used by the appellants were deadly weapons and where the person killed was struck more than one blow...".

[41] Walau bagaimanapun, Thomson CJ dalam kes Tan Buck Tee v PP [1961] 27 MLJ 176, telah mengambil kira kecederaan yang dialami oleh si mangsa sebagai indikatur untuk mencerminkan niat pelakunya. Beliau menyatakan di m.s. 179:

"There was the body with five appalling wounds on it, wounds penetrating to the heart and liver which must have been caused by violent blows with a heavy sharp instrument like an axe. In the absence of anything else, whoever inflicted those blows must be intended to kill the person on whom they were inflicted".

[42] Dalam kes PP v Abdul Razak Dalek [2006] 4 CLJ 129 di m.s. 156, 157, YA Jeffrey Tan H (pada ketika itu) telah merujuk kepada buku teks Ratanlal & Dhirajlal berkaitan dengan isu niat untuk menyebabkan kematian (membunuh), seperti berikut:

"[53] In relation to intention under the first clause of s. 300, Ratanlal & Dhirajlal ibid at pp. 1296-1297 commented as follows:

"The first clause of section 300 enacts that culpable homicide is murder if the act by which death is caused is done with the intention of causing death... An intention to kill a person brings the matter so clearly within the general principle of mens rea as to cause no difficulty. Such intention, however, must be found as a matter of fact. It is distinct from presumed or constructive intention. The accused also cannot be held guilty from the knowledge of the consequences of the act.

At the same time, however, it is equally true that intention is a subjective element and in most of the cases direct proof of intention is not forthcoming. It has rightly been said that 'the Devil himself knows not the thought of man'. A man's intention is a question of fact and it can be gathered from his acts. In deciding the intention of the accused, the court may consider the nature of the weapon used, the part of the body of the victim chosen by the accused for attack, the number of blows administered, the force used by the assailant, etc."

[54] In Virsa Singh, the Supreme Court stated:

"... To determine what the intention of the offender is, each case must be decided on its own merits. Where it is proved that the accused fired a gun shot at such close range that it could not have had other than a fatal effect and it is indicative of the intention of the accused that after firing at one person he reloaded the gun and fired another shot at another person there is clear indication of his intention to commit murder. Where a person fires two shots successively at another person his murderous intention is clearly evident. The law looks as regards intention to the natural result of the man's act and not to the condition of his mind. From a legal point of view a person intends whatever he gives others reasonable grounds for supposing that he does intend. Where a man strikes the blows on the head of the deceased mercilessly and practically kills him on the spot, he is guilty of murder. Where a man stabs another in a vital part, he must be held to have intended to cause death, and if death ensures either directly from the wound or in consequence of the wound creating conditions which give occasion to the appearance of a fatal disease, the person inflicting the wound is guilty of murder. Absence of premeditation will not reduce the crime of murder to culpable homicide not amounting to murder..." "

[43] Daripada nas-nas yang dirujuk di atas, bolehlah disimpulkan bahawa niat untuk membunuh oleh pelaku kesalahan merupakan satu elemen yang subjektif dan pada kelazimannya, amat sukar untuk memperolehi bukti secara langsung ('direct proof') berkenaan dengan niat untuk membunuh tersebut. Namun begitu, niat untuk membunuh tersebut merupakan satu persoalan fakta dan niat tersebut boleh disimpulkan melalui inferensi dari perbuatan serta perlakuan pelaku kesalahan ('acts or conducts').

[44] Maka, untuk menentukan atau memutuskan ('decide') niat pelaku/ tertuduh tersebut, mahkamah bolehlah mempertimbangkan, antara lain, jenis senjata yang digunakan; bahagian tubuh badan mangsa yang disasarkan; keseriusan kecederaan yang dialami oleh mangsa; daya ('force') yang dikenakan ke atas mangsa, jumlah tetakan/ pukulan yang dikenakan ke atas mangsa; dan sebagainya. Kategorinya tidak pernah tertutup.

[45] Sekarang kita beralih kepada penganalisaan fakta-fakta dan keterangan yang telah dikemukakan untuk kes semasa.

[46] SP-10 menyatakan perbuatan perayu mencekik si mati hanya sekejap sahaja dan beliau tidak dapat menganggarkan masanya kerana beliau panik ketika berhadapan dengan situasi tersebut. Perincian keterangan SP-10 yang relevan adalah seperti di m.s. 51, 52, 53, Jilid 2, Rekod Rayuan ('RR'). Di m.s. 51, SP-10 menyatakan:

"Q: Selepas bertikam lidah sepanjang perjalanan apa yang berlaku?

A: Kawan Pak Ngah saya mula berang akibat perbualan tadi.

Q: Selepas itu?

A: Pak Ngah saya mencekik kawan Pak Ngah menggunakan kedua-dua belah tangannya.

Q: Macam mana cara dia mencekik kawan dia. Boleh tunjukkan pada Mahkamah?

A: Saya nampak Pak Ngah mencekik kawannya dengan tangan daripada belakang.

Q: Bila dicekik dari belakang apa reaksi kawan Pak Ngah awak?

A: Semasa kawan Pak Ngah dicekik kawannya meronta dan cuba memukul saya dengan tangan.

Q: Berapa lama perbuatan mencekik itu berlaku?

A: Perbuatan mencekik berlaku sekejap.

Q: Berapa minit?

A: Saya tidak dapat anggarkan tempoh masa perbuatan cekik itu kerana saya dalam keadaan panik.

Q: Lepas itu apa berlaku?

A: Lepas itu kawan Pak Ngah tiba-tiba senyap dan tidak lagi cuba memukul saya.

Q: Pada masa itu kereta masih berjalan atau sudah berhenti?

A: Pada masa itu saya masih memandu kereta tersebut.

...

..."

[47] Di m.s. 52, Jilid yang sama, SP-10 menyatakan:

"Q: Lepas itu awak berhenti kereta apa yang berlaku?

A: Pak Ngah saya keluar daripada kereta dan dia buka pintu hadapan tempat duduk penumpang dan menarik kawan dia keluar.

Q: Dia menarik kawan dia keluar macam mana dia menarik?

A: Dia mengheret kawan dia keluar dari kereta. Macam mana saya tidak perasan kerana saya dalam keadaan terpaku.

Q: Tahu tak diheret kawan Pak Ngah awak ke mana?

A: Pak Ngah mengheret kawannya ke bahagian kanan kereta iaitu parit.

Q: Masa itu awak masih berada di mana?

A: Saya masih berada di dalam kereta di tempat pemandu dan masih lagi terkejut.

...

..."

[48] Di m.s. 53, Jilid yang sama, SP-10 menyatakan:

"A: Dalam perjalanan balik ke rumah saya ada bercakap dengan Pak Ngah saya.

Q: Apa yang awak cakap dengan Pak Ngah awak itu?

A: Kenapa boleh jadi macam ini.

Q: Bila awak tanya apa yang dia jawab?

A: Dia mendiamkan diri.

...

...

...

A: Setiba di rumah Pak Ngah saya keluar dari kereta dan pergi ke arah motorsikal saya.

Q: Lepas itu apa yang berlaku?

A: Saya ternampak Pak Ngah saya keluar dari kereta keluarkan sarung tangan berwarna putih dan tali.

Q: Lepas itu apa berlaku?

A: Pak Ngah bakar kedua-dua benda tersebut."

[49] Perbuatan mencekik dari belakang tersebut adalah satu perbuatan yang disengajakan ('intentional act') dengan minda yang penuh sedar ('conscious mind'). Ia tidak boleh berlaku secara tidak sengaja ('unintentional'). Demikian juga perbuatan mencekik si mati tersebut secara berterusan sehingga si mati berhenti meronta-ronta, senyap dan kemudian tidak bergerak juga merupakan satu perbuatan yang disengajakan dengan minda yang penuh sedar dan dengan penuh pengetahuan akan akibatnya, tidak kiralah sama ada perbuatan mencekik secara berterusan itu sekejap sahaja atau mengambil tempoh yang lama.

[50] Sekarang kita beralih kepada keterangan ahli patologi, SP-8.

[51] SP-8 mendapati bahawa punca kematian si mati adalah tekanan pada leher si mati tersebut ('compression of neck') berdasarkan terdapatnya kesan lebam pada otot di bahagian hadapan kiri leher serta patah rawan tiroid dan patah tulang hyoid-sila lihat m.s. 36, Jilid 2, RR. Dapatan SP-8 ini adalah konsisten dengan keterangan SP-10 bahawa perayu telah mencekik leher si mati dari belakang serta tidak melepaskan cekikan tersebut sehinggalah si mati senyap dan tidak bergerak.

[52] Di m.s. 36, Jilid 2, RR, SP-8 memperincikan dapatannya seperti berikut:

"Q: Adakah kecederaan di leher tersebut boleh menyebabkan kematian?

A: Kecederaan seperti lebam di leher dan tepi kiri dan kanan dagu tidak menyebabkan kematian. Tetapi ia menunjukkan bahawa kawasan di lehernya telah mengalami tekanan atau himpitan. Perbuatan himpitan atau tekanan di leher ini boleh menyebabkan kematian kerana ia boleh menyebabkan mangsa sukar bernafas, terutama apabila saluran udara di leher tersekat. Apabila tekanan di leher berlaku, boleh juga menyebabkan pengaliran darah ke otak terhalang. Ini juga boleh menyebabkan kematian kerana otak tidak mendapat oksigen.

Q: Apakah objek yang boleh menyebabkan kecederaan di leher si mati?

A: Apa-apa alat tumpul. Boleh juga dihimpit dengan anggota badan seperti tangan dan kaki.

Q: Boleh Dr. nyatakan atau tentukan kekuatan tekanan di leher sehingga lehernya cedera?

A: Pada pendapat saya tekanan di leher tersebut agak kuat kerana ia telah menyebabkan tulang halkum yang berada di bawahnya patah dan otot lehernya juga mengalami lebam".

[53] Di m.s. 39 Jilid yang sama, SP-8 menerangkan pula:

"A: Untuk tentukan jangka waktu masa yang diambil sehingga menyebabkan ia mati agak sukar kerana ia bergantung kepada kekuatan himpitan tersebut sama ada kekuatan himpitan tersebut berterusan atau tidak berterusan. Sekiranya kekuatan tersebut berterusan ia boleh mati kurang dari 15 minit".

[54] Tekanan di leher tersebut yang agak kuat telah menyebabkan tulang halkum patah dan otot leher mengalami lebam juga merupakan satu perbuatan yang disengajakan ('intentional') dengan minda yang penuh sedar dan dengan penuh pengetahuan akan akibatnya. Ia tidak boleh berlaku tanpa disengajakan ('unintentional')

[55] Maka persoalan kritikal yang perlu dirungkai ialah apakah yang boleh diinferensikan dari:

(i) perbuatan perayu yang tidak melepaskan cekikannya walaupun si mati meronta-ronta untuk melepaskan diri;

(ii) Perbuatan perayu mencekik atau mengenakan tekanan yang agak kuat di leher si mati sehingga bahagian leher sebelah kiri lebam pada otot leher dan rawan tiroid serta tulang hyoid patah; dan

(iii) perbuatan perayu yang mencekik si mati sehingga si mati berhenti meronta-ronta, senyap dan akhirnya tidak bergerak.

[56] Pada hemat kami, perbuatan perayu ke atas si mati seperti diperincikan di atas menjurus ke arah satu inferensi sahaja iaitu perayu tidak ada niat lain melainkan niat untuk membunuh si mati. Meminjam kata-kata Thomson CJ dalam kes Tan Buck Tee v PP (supra): "... In the absence of anything else, whoever inflicted those blows must be intended to kill the person on whom they were inflicted...". Tidak ada sebab sama sekali untuk perayu berterusan mencekik leher si mati sehingga si mati tidak bergerak melainkan bertujuan untuk membunuh si mati. Adalah sesuatu yang tidak munasabah untuk menyatakan bahawa perayu tidak tahu akibat mencekik atau menghimpit leher si mati dengan daya yang kuat hingga menyebabkan lebam pada leher, patah tulang hyoid dan patah rawan tiroid dan seterusnya menyebabkan si mati berhenti meronta-ronta, senyap dan akhirnya tidak bergerak.

[57] Niat perayu untuk membunuh si mati diperkukuhkan dengan wujudnya keterangan bahawa perayu sememangnya membuat perancangan untuk membunuh si mati seperti berikut:

(i) perayu yang mengajak si mati untuk berjumpa pada malam kejadian seperti keterangan SP-7 dan SP-10;

(ii) sebelum mengambil si mati daripada rumah si mati, perayu dengan sengaja telah mengambil tempat duduk di bahagian belakang penumpang. Fakta yang tidak dipertikaikan ini menimbulkan persoalan kenapa perayu perlu berpindah ke tempat duduk belakang apabila dia perlu menunjukkan jalan ke rumah si mati kepada SP-10 apabila SP-10 sendiri tidak pernah sampai ke rumah si mati sebelum itu. Perayu sendiri bersetuju bahawa adalah lebih mudah untuknya memberi arahan kepada SP-10 tentang arah perjalanan yang hendak dituju jika perayu duduk di sebelah SP-10. Dalam keadaan sedemikian, kami amat cenderung untuk bersetuju dengan hujahan Timbalan Pendakwa Raya ('TPR') yang bijaksana bahawa hanya satu inferensi sahaja yang boleh dibuat iaitu sememangnya dalam perancangan perayu untuk membunuh si mati di dalam kenderaannya dan pembunuhan tersebut dirancang dilakukan dengan cara mencekik leher si mati dari belakang si mati kerana perayu tahu kaedah yang sedemikian amat mudah untuk dilaksanakan.

(iii) Perayu membawa bersamanya tali dan sarung tangan seperti dilihat oleh SP-10 apabila perayu mengeluarkan kedua-dua barang tersebut daripada kereta sejurus sampai ke rumahnya selepas pembunuhan si mati. Keterangan dan fakta ini adalah relevan untuk menunjukkan persediaan yang dilakukan oleh perayu untuk membunuh si mati.

[58] Perbuatan perayu seperti berikut selepas kejadian pembunuhan si mati juga relevan untuk menunjukkan niat perayu untuk membunuh si mati:

(i) perayu telah menyuruh SP-10 memberhentikan kereta dan dengan bersahaja telah menarik si mati keluar daripada kereta sebelum mengheret si mati lalu membuangnya ke dalam parit di mana mayat si mati dijumpai oleh anaknya, SP-5;

(ii) perayu langsung tidak berusaha untuk memulihkan si mati apabila si mati senyap dan tidak bergerak selepas dicekik dari belakang oleh perayu. Perayu juga tidak berusaha untuk membawa si mati ke hospital selepas si mati senyap dan tidak bergerak;

(iii) perayu membakar sarung tangan dan tali sejurus selepas perayu dan SP-10 tiba di rumah perayu. Ini jelas menunjukkan niat perayu untuk menghapuskan bahan bukti sungguh pun kedua-dua barang tersebut tidak digunakan untuk membunuh si mati;

(iv) perayu juga membuang telefon bimbit (eksibit P11) milik si mati ke dalam parit di kawasan rumah perayu. Ini juga menunjukkan niat perayu untuk menghapuskan bahan bukti; dan

(v) perbuatan perayu menyembunyikan lampu suluh milik si mati di rumah perayu turut menunjukkan niat perayu untuk menyembunyikan bahan bukti.

Kesimpulan

[59] Berdasarkan kepada segala alasan yang diperincikan dalam perenggan-perenggan di atas, kami mendapati bahawa rayuan perayu sesungguhnya tidak mempunyai sebarang merit. Kami mendapati bahawa sabitan dan hukuman yang dijatuhkan ke atas perayu di atas pertuduhan yang dikenakan terhadapnya adalah selamat. Dengan itu, kami menolak rayuan perayu dan seterusnya mengekalkan perintah sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi berkenaan.


BERTARIKH: 12hb. SEPTEMBER 2018

AHMADI HAJI ASNAWI
Hakim
Mahkamah Rayuan Malaysia

COUNSEL

Peguambela Perayu: Nik Mohamad Ikhwan bin Nik Mahamud, Tetuan Nik Ikhwan & Co, Peguambela dan Peguamcara

Peguambela Responden: Puan Nurshafini bt. Mustafha, Timbalan Pendakwa Raya, Jabatan Peguam Negara

Legislation referred to:

Kanun Keseksaan, Seksyen-seksyen 300(a), 304(a)

Judgments referred to:

Che Omar Mohd. Akhir v PP [2007] 3 CLJ 281

PP v Abdul Razak Dalek [2006] 4 CLJ 129

Tan Buck Tee v PP [1961] 27 MLJ 176

Tham Kai Yau & Ors v PP [1977] 1 MLJ 174

Notice: The Promoters of Malaysian Judgments acknowledge the permission granted by the relevant official/ original source for the reproduction of the above/ attached materials. You shall not reproduce the above/ attached materials in whole or in part without the prior written consent of the Promoters and/or the original/ official source. Neither the Promoters nor the official/ original source will be liable for any loss, injury, claim, liability, or damage caused directly, indirectly or incidentally to errors in or omissions from the above/ attached materials. The Promoters and the official/ original source also disclaim and exclude all liabilities in respect of anything done or omitted to be done in reliance upon the whole or any part of the above/attached materials. The access to, and the use of, Malaysian Judgments and contents herein are subject to the Terms of Use.