THE OFFICIAL REPOSITORY OF
MALAYSIAN JUDGMENTS & RULINGS

[2018] MYCA 153 MALAY

Ita v Pendakwa Raya
Suit Number: Rayuan Jenayah No. K-05(M)-282-10/2015 

Criminal law – Trafficking in dangerous drugs – Conviction – Death sentence – Whether the conviction safe

Criminal law – Innocent Carrier – Whether the trial court erred in rejecting the appellant’s defense of Innocent Carrier – Radhi Direction – Whether the trial court failed to comply with Radhi Direction requirement in determining the true distributor – Wilful Blindness – Whether the trial court erred in deciding that the doctrine of Wilful Blindness applied to the appellant

PENGHAKIMAN

[1] Perayu, seorang wanita warga negara Indonesia, telah disabitkan dan dijatuhkan hukuman mati atas satu kesalahan mengedar dadah di bawah s.39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya, 1952 (‘ADB’) sebagaimana pertuduhan seperti berikut:

"Bahawa kamu pada 21hb. Jun 2013, jam lebih kurang 11.00 pagi, di Balai Ketibaan, Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, di dalam Daerah Langkawi, di dalam Negeri Kedah Darul Aman, telah didapati mengedar dadah berbahaya iaitu Methamphetamine seberat 2,097.2 gram dan dengan itu kamu telah melakukan suatu kesalahan di bawah s.39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah s.39B(2) Akta yang sama”.

Kes Pendakwaan

[2] Perayu ialah penumpang pesawat yang baru tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (‘LTAL’) melalui penerbangan dari New Delhi, India dan transit di Lapangan Terbang Antarabangsa, Kuala Lumpur.

[3] Semasa melepasi pemeriksaan kastam di Balai Ketibaan LTAL, perayu meletakkan beg galas yang dibawanya (eksibit P21) ke atas mesin pengimbas dan pegawai kastam bertugas ketika itu, Mohd. Afandi Muhammad (SP2), mengesan imej yang mencurigakan. SP2 mengarahkan perayu mengosongkan beg tersebut dan hasil imbasan ke atas beg yang dikosongkan itu masih menunjukkan wujudnya imej yang sama. SP2 memaklumkan perkara tersebut kepada pegawai kastam dari Bahagian Penguatkuasaan, Sutherason a/l Rajagopal (SP3).

[4] Hasil dari pemeriksaan secara fizikal ke atas beg P21, SP3 mengesan satu ruangan tersembunyi yang ditutup dengan jahitan. SP3 membuka ruangan jahitan tersebut dengan menggunakan pisau dan menjumpai satu bungkusan aluminium (eksibit P17) yang di dalamnya berisi hablur kristal disyaki dadah. SP3 kemudiannya mengalihkan hablur kristal tersebut ke dalam empat (4) plastik lut sinar yang berasingan (eksibit P18A hingga D).

[5] Keterangan ahli kimia, Faezmaziana binti Napiah (SP1), mengesahkan bahawa hablur kristal tersebut mengandungi dadah berbahaya jenis methamphetamine seberat 2,097.2 gram (selepas ini disebut sebagai ‘dadah tersebut’). Methamphetamine tersenarai dalam Jadual Pertama ADB 1952.

Dapatan Hakim Bicara Di Akhir Kes Pendakwaan

[6] Hakim bicara memutuskan bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes prima facie terhadap perayu sebagaimana dipertuduhkan berdasarkan dapatan-dapatan berikut:

(i) perayu mempunyai kawalan dan jagaan ke atas beg P21;

(ii) anggapan milikan dadah di bawah seksyen 37(d) ADB adalah terpakai terhadap perayu; dan

(iii) perbuatan pengedaran secara terus ('direct trafficking') menurut takrifan pengedaran di bawah seksyen 2 ADB adalah terpakai terhadap perayu melalui perbuatan perayu 'membawa' ('carrying') beg tersebut dari luar negara (New Delhi, India) hingga ke LTAL dengan menggunakan pesawat udara.

[7] Setelah dipanggil untuk membela diri terhadap pertuduhan, perayu memberi keterangan bersumpah dan memanggil 2 orang saksi yang mana salah seorang dari saksi tersebut ialah seorang anggota polis Republik Indonesia di Jakarta Timor (SD2) dan seorang lagi ialah anggota polis Republik Indonesia di Konsulat Indonesia di Pulau Pinang (SD3).

Pembelaan Perayu

[8] Perayu menyatakan dia tinggal di Jakarta dan bekerja dengan seorang majikan bernama ‘Etti’, di mana tugasnya adalah untuk membawa dan menyerahkan barangan kepada pelanggan Etti. Pada 17.6.2013, perayu dan Etti telah pergi ke New Delhi, India atas urusan pekerjaan. Pada 21.6.2013, perayu kemudiannya telah diarahkan oleh Etti untuk pergi ke Langkawi, Malaysia, untuk menyerahkan barangan berupa kain sari kepada seorang pelanggan Etti bernama Vina.

[9] Sebelum ke lapangan terbang New Delhi untuk terbang ke Langkawi, Etti telah membawa perayu berjumpa dengan seorang lelaki Afrika berhampiran hotel untuk mengambil sari. Lelaki Afrika tersebut telah mengeluarkan pakaian-pakaian perayu dari beg asal milik perayu dan memasukkannya ke dalam beg pack yang dibawa oleh lelaki Afrika tersebut (eksibit P21). Beg asal perayu kemudiannya dibuang oleh Etti. Perayu seterusnya telah ke lapangan terbang dan menaiki pesawat dari New Delhi ke Kuala Lumpur dan langsung ke Langkawi.

[10] Selepas ditahan oleh pegawai-pegawai kastam di LTAL, perayu telah menerima panggilan telefon daripada Vina tetapi beliau tidak dibenarkan untuk menjawab panggilan tersebut.

[11] SD2 (Andryanto Sontoso Randotoma) dan SD3 (Hari Rosena) menyatakan bahawa Etti atau nama sebenarnya ‘Etti Daing Saimi’ bukanlah karakter rekaan perayu tetapi adalah karakter yang benar-benar wujud dan merupakan seorang pengedar dadah yang berjaya ditangkap di Indonesia oleh pihak polis Republik Indonesia.

[12] Menurut SD2 dan SD3, Etti telah membuat ‘pengakuan’ bahawa “barang” di dalam beg yang dibawa oleh perayu adalah miliknya; bahawa perayu tidak mengetahui kandungan sebenar beg yang dibawanya; dan perayu telah diberitahu bahawa beg tersebut hanya mengandungi kain sari untuk diberikan kepada Vina.

[13] Pengakuan Etti telah dirakam oleh SD2 secara rakaman video menggunakan telefon bimbit. SD2 menghantar rakaman tersebut kepada SD3 melalui aplikasi ‘whatsapp’. SD3 kemudiannya memindahkan rakaman tersebut dari telefon bimbit ke komputer dan dari komputer ke cakera padat (‘compact disc’). Sesalinan rakaman cakera padat tersebut ditandakan sebagai eksibit D9.

Dapatan Hakim Bicara Di Akhir Kes Pembelaan

[14] Hakim bicara menolak pembelaan perayu sebagai ‘pembawa ikhlas’ (‘innocent carrier') berdasarkan dapatan bahawa:

(i) doktrin ‘kebutaan sengaja’ ('wilful blindness') terpakai terhadap perayu; dan

(ii) pengakuan Etti sebagai pengedar dadah yang sebenar dalam D9 adalah keterangan ‘hearsay’ yang tidak boleh diterima masuk sebagai keterangan kerana pembelaan gagal untuk memanggil Etti sebagai saksi.

[15] Oleh yang demikian, hakim bicara mendapati bahawa:

(i) pembelaan gagal menyangkal anggapan milikan di bawah seksyen 37(d) ADB, dan;

(ii) gagal menimbulkan sebarang keraguan yang munasabah terhadap perbuatan pengedaran dengan cara ‘membawa’ dadah tersebut di bawah seksyen 2 Akta yang sama dari New Delhi, India, ke Malaysia melalui LTAL.

[16] Akhirnya, hakim bicara mendapati bahawa pertuduhan terhadap perayu telah dibuktikan melampaui keraguan yang munasabah dan dengan itu, mensabitkan dan menjatuhkan hukuman mati mandatori ke atas perayu.

Rayuan Perayu

[17] Teras kepada rayuan oleh perayu ialah bahawa keputusan hakim bicara khilaf apabila menolak pembelaan perayu sebagai ‘pembawa ikhlas’ (‘innocent carrier') dan Etti adalah pengedar dadah yang sebenar.

[18] Peguambela berhujah bahawa hakim bicara gagal untuk membuat penilaian yang secukupnya ke atas kes pembelaan atas alasan bahawa:

(i) hakim bicara terkhilaf apabila gagal mematuhi kehendak ‘Radhi Direction’ dalam menentukan sama ada Etti adalah pengedar yang sebenar atau tidak;

(ii) hakim bicara terkhilaf apabila menolak keterangan bahawa Etti adalah pengedar yang sebenar, khususnya menolak ‘pengakuan’ Etti di dalam D9; dan

(iii) Hakim bicara terkhilaf apabila memutuskan bahawa doktrin ‘kebutaan sengaja’ (‘wilful blindness’) adalah terpakai terhadap perayu.

Isu Kegagalan Hakim Bicara Mematuhi Kehendak ‘Radhi Direction’

[19] Peguambela merujuk kepada kes Yee Wen Chin v PP & Anor [2008] 6 CLJ 773 di mana Mahkamah ini telah merujuk kepada kes Mohamad Radhi Yaakob v PP [1991] 3 CLJ 2073 dan menyatakan seperti berikut:

"That case Mohamad Radhi v. PP [supra] is authority for the proposition that a person charged with trafficking is entitled to an acquittal on that charge by showing that he was a mere possessor of the drugs whilst another was the true trafficker. Whenever such a defence is taken two separate exercises must be carried out by the trial Judge. He must first determine as a fact whether that other is a real person or a mere figment of the accused's imagination invented for the purpose of the trial. Next, if he finds that other person to be real the Judge must then determine whether that other person is the real trafficker. This is called the Radhi direction and must be administered by a court unto itself when such a defence is taken. See, Sochima Okoye v. Public Prosecutor [1995] 3 CLJ 371 CA."

[20] Memang benar bahawa hakim bicara di dalam penghakimannya tidak merujuk kepada ‘Radhi direction’ dalam menolak keterangan pembelaan bahawa Etti adalah pengedar dadah yang sebenar. Sebaliknya, hakim bicara membuat dapatan seperti berikut, di perenggan 30 di m/s 19, Rekod Rayuan, Jilid 1:

"[30] Pembelaan mengemukakan keterangan SB2 dan SB3 bagi membuktikan bahawa Etti bukanlah watak rekaan yang sengaja ditimbulkan dan Etti sebenarnya perancang pengedaran dadah tersebut. Tertuduh telah digunakan oleh Etti untuk membawa dadah tersebut dengan mengatakannya sebagai saree. Keterangan SB2 dan SB3 tentang penangkapan Etti dan rakaman video percakapan Etti (D9) telah dibantah oleh pendakwaan. Secara jelasnya melalui D9, pembelaan ingin membuktikan kebenaran kandungan video tersebut iaitu pengakuan Etti memberikan beg tersebut kepada Tertuduh. Saya dapati D9 mengandungi keterangan "hearsay” kerana tujuan pengemukaan D9 adalah untuk membuktikan kebenaran percakapan Etti dan Etti tidak dipanggil memberi keterangan. Saya dapati tidak ada sebab yang kuat untuk mengatakan Etti sama sekali tidak dapat dikemukakan. Oleh itu kandungan D9 tersebut tidak dapat diterima masuk.”

[21] Berdasarkan kepada dapatan hakim bicara seperti di atas, kami berpendapat bahawa walaupun hakim bicara tidak secara langsung merujuk dan mengikuti sepenuhnya panduan yang digariskan dalam ‘Radhi Direction’ dalam menolak keterangan pembelaan bahawa Etti adalah pengedar dadah yang sebenar, namun adalah dapat difahami dari penghakimannya bahawa beliau tidak menolak kewujudan karakter Etti tetapi menolak keterangan bahawa Etti adalah pengedar dadah yang sebenar. Berdasarkan keterangan dalam kes ini, kami berpuas hati bahawa kegagalan tersebut tidaklah menjurus kepada suatu ‘misdirection’ yang serius yang mengakibatkan ‘miscarriage of justice’ kerana asas pembelaan perayu adalah beliau merupakan seorang ‘innocent carrier’ tanpa notis dan bukannya ‘possessor’ dadah tersebut manakala pengedar sebenar adalah orang lain. ‘Radhi Direction’ tersebut perlu dinilai dari sudut pembelaan yang diunjurkan oleh perayu.

Isu Penolakan Keterangan Etti Di Dalam D9

[22] Peguambela bersetuju bahawa keterangan Etti di dalam D9 adalah ‘hearsay’ namun berhujah bahawa hakim bicara terkhilaf apabila menolak keterangan tersebut tanpa mengambilkira pengecualian terhadap ‘hearsay rule’ di bawah seksyen 90A(1) Akta Keterangan, 1950. Peguambela berhujah bahawa pengecualian tersebut adalah terpakai kerana D9 adalah ‘document produced by the computer in the course of its ordinary use’.

[23] Hakim bicara dalam penghakimannya tidak menyentuh isu tentang seksyen 90A(1) tersebut. Berkenaan perkara ini, kami bersetuju dengan hujahan peguambela bahawa pengecualian terhadap ‘hearsay rule’ di bawah seksyen 90A(1) Akta Keterangan, 1950, adalah terpakai ke atas D9. Oleh yang demikian, isu yang sebenar adalah keberatan (‘weight’) yang perlu diberikan kepada ‘pengakuan’ Etti yang terkandung dalam D9.

[24] Berdasarkan penelitian kami ke atas kandungan keterangan Etti di dalam D9, apa yang jelas adalah Etti ‘mengaku’ bahawa “barang yang dibawa Ita itu milik saya atas suruhan Vina” dan “Ita tidak mengetahui isi beg tersebut. Yang dia ketahui isi beg tersebut adalah kain sari”. Tidak ada rujukan dibuat kepada peranan lelaki Afrika sebagai orang yang memberikan beg P21 kepada Etti sebagaimana yang dinyatakan oleh perayu.

[25] Kami berpendapat bahawa ‘pengakuan’ Etti di dalam D9 semata-mata adalah tidak mencukupi untuk menolak keseluruhan keterangan lain terhadap perayu sebagai pengedar dadah yang sebenar di dalam kes ini sebagaimana pertuduhan terhadapnya. Kenyataan Etti tersebut perlu dinilai bersama dengan konteks pembelaan yang diunjurkan oleh perayu. Lebih-lebih lagi pihak pendakwaan telah dinafikan peluang untuk menyoal balas Etti bagi maksud ‘veracity’ kenyataan tersebut.

Pembelaan ‘innocent carrier’ dan pemakaian doktrin ‘wilful blindness’ ke atas perayu

[26] Hakim bicara dalam penghakimannya telah menilai pembelaan perayu seperti berikut, di perenggan 28, di m/s 17, Rekod Rayuan, Jilid 1:

“[28] Saya telah mempertimbangkan dan menilai pembelaan Tertuduh. Pembelaan yang dikemukakan oleh Tertuduh ialah dia seorang “innocent carrier” ke atas dadah yang dijumpai di dalam beg P21 tersebut kerana dia tidak tahu bahawa terdapat dadah berbahaya tersebut di dalam beg (P21) yang diberikan kepadanya dan dibawa olehnya dari lapangan terbang Delhi ke Langkawi. Wujud atau tidak pembelaan ini akan bergantung kepada keadaan di dalam sesuatu kes (Nujmudeen Abdul Kader lwn Pendakwa Raya [2013] 4 MLJ 18). Pembelaan ‘innocent carrier’ juga biasanya dikaitkan dengan doktrin “wilful blindness” (kebutaan disengajakan) [lihat kes Hoh Bon Tong v. PP [2010] 5 CLJ 240].”

[27] Selanjutnya, hakim bicara berpendapat bahawa doktrin ‘wilful blindness’ terpakai kerana perayu sepatutnya mempunyai asas untuk mensyaki kandungan beg yang dibawanya dan memeriksa beg tersebut. Berikut adalah dapatan hakim bicara berkenaan isu ini, di perenggan 29 di m/s 18, Rekod Rayuan, Jilid 1:

“[29] Saya dapati di dalam keadaan kes ini Tertuduh bukanlah “innocent carrier” terhadap dadah di dalam beg tersebut. Berdasarkan keterangan Pembelaan sendiri dan keadaan kes ini, Tertuduh sepatutnya mempunyai rasa syak ke atas kandungan di dalam beg tersebut dan seterusnya memeriksa beg tersebut. Kenapa perlu barang-barang Tertuduh dimasukkan ke dalam beg yang baru diberikan tersebut, sedangkan barang yang diberikan hanya sedikit sahaja. Ini ditambah lagi keterangan Tertuduh sendiri Etti telah membuang beg yang dibawa oleh Tertuduh. Dengan mempertimbangkan keadaan sedemikian, secara munasabahnya Tertuduh perlu ada rasa syak tentang apa yang dia bawa di dalam beg tersebut dan seharusnya dia memeriksa beg tersebut. Saya bersetuju dengan hujah pendakwaan bahawa tertuduh mempunyai peluang untuk memeriksa beg P21 yang dibawa kerana dia mempunyai masa dan peluang yang mencukupi. Di dalam keadaan tersebut kebutaan yang disengajakan terpakai dan Tertuduh bukanlah “innocent carrier” terhadap dadah di dalam beg tersebut.”

[28] Berkaitan perkara ini, peguam merujuk kepada kes yang menjadi nas asal kepada pengenalan doktrin ‘wilful blindness’ iaitu kes PP v Koo Pui Fong [1996] 1 SLR (R) 734. Peguambela berhujah bahawa untuk membolehkan doktrin ‘wilful blindness’ terpakai, perayu mestilah dibuktikan telah dengan sengaja membutakan mata kepada sesuatu yang terang dan jelas (‘deliberate omission to the obvious’) dan bukanlah semata-mata kecuaian untuk membuat pemeriksaan (‘mere neglect to make enquiries').

[29] Berdasarkan kepada keseluruhan keadaan kes dan keterangan yang dikemukakan, perlakuan perayu tidak menjurus semata-mata kepada kecuaian untuk membuat pemeriksaan. Kami bersetuju dengan alasan dapatan hakim bicara bahawa doktrin ‘wilful blindness’ terpakai terhadap perayu. Kami berpendapat bahawa dalam keseluruhan keadaan kes ini, perayu telah dengan sengaja ‘membutakan matanya’ kepada perkara yang amat terang dan jelas iaitu adalah amat tidak munasabah untuk mempercayai bahawa beg tersebut semata-mata mengandungi pakaian sari sebagaimana yang dinyatakan dalam pembelaannya. Ini kerana:

(i) semasa perayu ditahan di LTAL dan dadah dijumpai oleh SP-3, perayu tidak menafikan beg tersebut bukan begnya; tidak menyatakan Etti adalah majikannya dan juga peranan yang dimainkan oleh lelaki Afrika tersebut;

(ii) hanya dalam kenyataan beramaran (exhibit D1) disebut tentang Etti dan lelaki Afrika tersebut. Perayu ditangkap pada 21.6.2013 dan kenyataan beramarannya dirakamkan pada 26.6.2013. Pada hemat kami, “disclosure” tersebut adalah satu ‘belated disclosure’ yang menjurus kepada satu rekaan baru (recent invention) - lihat PP v Badrulsham bin Baharom [1988] 2 MLJ 585; Alcontara Ambross Anthony v PP [1996] 1 CLJ 705; [1996] 1 MLJ 209.

(iii) dalam kenyataan beramarannya, perayu gagal untuk memberitahu Etti adalah ketuanya dan tujuan perayu datang ke Langkawi untuk menghantar kain sari. Pembelaan ini dibangkitkan hanya semasa perayu dipanggil untuk membela diri.

(iv) berat dadah lebih dari 3.5 kilogram dalam ‘bag pack’. Tidak sebut berapa helai kain sari. Sudah tentu akan dapat dirasakan bahawa ‘bag pack’ tersebut berat daripada beg biasa.

(v) perayu melakukan perjalanan seorang diri dari New Delhi ke Kuala Lumpur. Oleh itu, ada ruang untuk dia memeriksa kandungan ‘bag pack’. Lebih-lebih lagi ‘bag pack’ tersebut diberikan oleh lelaki Afrika yang tidak pernah dikenalinya dan pakaian perayu dikeluarkan dari begnya dan dimasukkan dalam ‘bag pack’ tersebut oleh lelaki Afrika tersebut. Beg pakaiannya sendiri kemudiannya dibuang. Apa perlunya semua ini? Perkara-perkara ini sememangnya menimbulkan syak wasangka tetapi perayu memilih untuk tidak menghiraukannya, lalu terus mengambil ‘bag pack’ tersebut tanpa memeriksanya pada bila-bila masa pun sehinggalah ditangkap di LTAL.

(vi) dalam video, Etti tidak memberitahu kandungan ‘bag pack’ tersebut dan bahawa dadah dalam ‘bag pack’ tersebut adalah kepunyaannya. Etti hanya kata dia yang suruh perayu bawa ‘bag pack’ tersebut.

(vii) video tersebut juga tidak menyebut tentang peranan lelaki Afrika tersebut.

[30] Pada hemat kami, berdasarkan kepada alasan-alasan di atas, perayu bukanlah seorang ‘innocent carrier’. Dia gagal untuk menyangkal anggapan memiliki dadah tersebut yang terpakai ke atasnya di bawah s.37(d), DDA. Kami bersetuju dengan dapatan hakim bicara bahawa doktrin ‘wilful blindness’ adalah terpakai terhadap perayu dalam keadaan keseluruhan hal ehwal kes ini.

[31] Doktrin ‘wilful blindness’ telah dirungkai dengan nyata dalam kes PP v Herlina Purnama Sari [2017] 1 MLRA 499, di mana Raus Sharif PMR (ketika itu) bagi pihak Mahkamah Persekutuan telah menyatakan seperti berikut:

“[45] Wilful blindness necessarily entails an element of deliberate action. If the person concerned has a clear reason to be suspicious that something is amiss but then embarks on a deliberate decision not to make further inquiries in order to avoid confirming what the actual situation is, then such a decision is necessarily a deliberate one. The key threshold element in the doctrine of wilful blindness itself is that of suspicion followed by (and coupled with) a deliberate decision not to make further investigations. Whether the doctrine of wilful blindness should be applied to any particular case would be dependent on the relevant inferences to be drawn by the trial judge from all the facts and circumstances of the particular case, giving due weight, where necessary, to the credibility of the witnesses. (See PP v Tan Kok An [1995] 4 MLRH 256).

[46] The concept of ‘wilful blindness’ had been discussed in a number of local cases but it seems to have had its genesis in the dissenting judgment of Yong Pung How CJ (Singapore) in the case of Public Prosecutor v Hla Win [1995] 2 SLR 424. The doctrine of ‘wilful blindness’ can be summarized to be applicable to a situation where the circumstances are such as to raise suspicion sufficient for a reasonable person to be put on inquiry as to the legitimacy of a particular transaction. To put it another way, if the circumstances are such as to arouse suspicion, then it is incumbent on a person to make the necessary inquiries in order to satisfy himself as to the genuineness of what was informed to him. Should he fail to embark upon this course of action, then he will be guilty of ‘wilful blindness’. In other words, he is then taken to know the true situation. He then cannot be said to have either rebutted the presumption of knowledge or have raised a reasonable doubt as to his knowledge of the situation.

[47] Most of the cases where the concept was held to apply concerned cases in which the accused was asked to carry certain articles, or a package, or a bag, or to swallow certain items. In these circumstances, where the request to do any of those things mentioned could be such as would arouse the suspicion of a reasonable person as to the contents, it was upon the accused to make sufficient inquiries so as to dispel or to set straight such suspicions. Should the accused not make any or any sufficient inquiries under those circumstances, the concept of wilful blindness would apply so as to fasten upon him or her the necessary knowledge as to the nature of those contents. In other words, if he deliberately ‘shuts his eyes’ to the obvious, because he ‘doesn’t want to know’, he is taken to know.”

[32] Mengambil pendekatan dari sudut undang-undang seperti dinyatakan di atas, maka adalah sesuatu yang amat tidak munasabah dan tidak boleh diterima sebagai benar bahawa perayu sejujurnya percaya bahawa beg P21 yang dibawanya dari India ke Langkawi adalah semata-mata mengandungi pakaian sari, apatah lagi, dalam keadaan beg tersebut diberikan oleh seorang lelaki Afrika yang tidak dikenali dengan begnya sendiri dibuang dan semua perbuatan tersebut dilakukan oleh perayu hanya di atas alasan mematuhi arahan majikan.

[33] Pada hemat kami, pernyataan berikut amat tepat untuk digunakan terhadap perayu:

“If a person deliberately 'shuts his eyes' to the obvious, because he 'doesn't want to know', he is taken to know.”

Kesimpulan

[34] Berdasarkan alasan-alasan di atas, kami berpuas hati bahawa tiada kekhilafan di dalam dapatan oleh hakim bicara yang mewajarkan campur tangan kami. Kami berpendapat bahawa sabitan terhadap perayu adalah teratur dan selari dengan keseluruhan keterangan yang dikemukakan di dalam kes ini. Oleh yang demikian, kami menolak rayuan perayu dan mengesahkan sabitan dan hukuman mati yang dikenakan oleh hakim bicara.

Bertarikh: 16hb Mei 2018

AHMADI HAJI ASNAWI
Hakim
Mahkamah Rayuan, Malaysia

COUNSEL

Bagi Pihak Perayu: Choong Kak Sen, T/n Gooi & Azura, Peguambela & Peguamcara

Bagi Pihak Responden: Wong Poi Yoke, Timbalan Pendakwa Raya, Jabatan Peguam Negara, 62100 Putrajaya

Legislation referred to:

Akta Dadah Berbahaya 1952, Jadual Pertama; Seksyen-seksyen 2, 37(d), 39B(1)(a)

Akta Keterangan 1950, Seksyen 90A(1)

Judgments referred to:

Alcontara Ambross Anthony v PP [1996] 1 CLJ 705; [1996] 1 MLJ 209

Mohamad Radhi Yaakob v PP [1991] 3 CLJ 2073

PP v Badrulsham bin Baharom [1988] 2 MLJ 585

PP v Herlina Purnama Sari [2017] 1 MLRA 499

PP v Koo Pui Fong [1996] 1 SLR (R) 734

Yee Wen Chin v PP & Anor [2008] 6 CLJ 773

Notice: The Promoters of Malaysian Judgments acknowledge the permission granted by the relevant official/ original source for the reproduction of the above/ attached materials. You shall not reproduce the above/ attached materials in whole or in part without the prior written consent of the Promoters and/or the original/ official source. Neither the Promoters nor the official/ original source will be liable for any loss, injury, claim, liability, or damage caused directly, indirectly or incidentally to errors in or omissions from the above/ attached materials. The Promoters and the official/ original source also disclaim and exclude all liabilities in respect of anything done or omitted to be done in reliance upon the whole or any part of the above/attached materials. The access to, and the use of, Malaysian Judgments and contents herein are subject to the Terms of Use.