THE OFFICIAL REPOSITORY OF
MALAYSIAN JUDGMENTS & RULINGS

[2018] MYCA 236 MALAY

Ibrahim Musa Bin Rifa’i v Pendakwa Raya
Suit Number: Rayuan Jenayah No. W-05(M)-345-09/2016 

Criminal law – Trafficking in dangerous drugs – Conviction – Sentence – Appeal

PENGHAKIMAN

Mukadimah

[1] Ibrahim Musa bin Rifa’i (perayu) telah didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas dua kesalahan mengedar dadah berbahaya. Pertuduhan-pertuduhan tersebut adalah sebagaimana yang berikut:

“Pertuduhan Pertama

Bahawa kamu pada 3.4.2014 jam lebih kurang 2.00 petang di alamat No 61(2)A Jalan Hamzah, Kampung Baru, dalam daerah Dang Wangi, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, didapati kamu telah mengedar (10) ketulan mampat dadah Cannabis berat bersih 8818 gram dan dengan itu kamu telah melakukan satu kesalahan di bawah seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah seksyen 39B(2) Akta yang sama.

Pertuduhan Kedua

Bahawa kamu pada 3.4.2014 jam lebih kurang 2.00 petang di alamat No 61(2)A Jalan Hamzah, Kampung Baru, dalam daerah Dang Wangi, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, didapati kamu telah mengedar (10) ketulan mampat dadah Cannabis berat bersih 720 gram dan dengan itu kamu telah melakukan satu kesalahan di bawah seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah seksyen 39B(2) Akta yang sama.”

[2] Terkilan dengan keputusan hakim bicara, perayu mengemukakan rayuan ini. Setelah mempertimbangkan penghujahan kedua-dua pihak dan meneliti keterangan dan butiran dalam rekod, kami sebulat suara mendapati rayuan perayu tidak bermerit. Lantaran itu, kami mengekalkan serta mengesahkan keputusan hakim bicara. Sekarang kami nyatakan alasan-alasan kami memutuskan sedemikian.

Fakta Ringkas Kes Pendakwaan

[3] Hakim bicara telah menghuraikan secara terperinci fakta kes pendakwaan. Tidak perlu lagi bagi kami untuk mengulangi fakta tersebut kecuali yang berikut:

(a) Bertindak atas maklumat yang diterima, ASP Zahari bin Mohd Nor (SP4) telah mengetuai sepasukan polis untuk membuat pemerhatian ke atas sebuah rumah di No 61(2)A, Jalan Hamzah, Kampung Baru, Kuala Lumpur.

(b) Semasa pemantauan itu, SP4 melihat perayu telah keluar dari rumah berkenaan. SP4 seterusnya menghampiri, memperkenalkan diri sebagai anggota polis dan menahan perayu. Tiada orang lain telah dilihat di situ.

(c) Pemeriksaan badan ke atas perayu tidak menjumpai apa-apa barang salah. SP4 kemudiannya membacakan kata-kata amaran di bawah s 37A(1)(b) Akta Dadah Berbahaya 1952 (ADB 1952). Selepas kata-kata amaran dibacakan, SP4 telah membuat beberapa pertanyaan dan dijawab oleh perayu.

(d) Dengan dipandu arah oleh perayu, mereka telah masuk ke dalam rumah. Di bilik pertama, perayu telah menunjukkan sebuah beg berjenama ‘Adidas’ (P15) di atas lantai bilik. Setelah membuat pemeriksaan ke atas kandungan beg itu, SP4 menemukan 10 ketulan mampat tumbuhan kering disyaki ganja (P16(Z1-Z16)).

(e) Seterusnya, perayu telah membawa SP4 ke bilik kedua dan menunjukkan sebuah lagi beg plastik berwarna hitam (P18) di atas lantai bilik berkenaan. Setelah beg tersebut diperiksa, SP4 menemukan 80 peket plastik lut sinar yang setiap satunya mengandungi tumbuhan kering disyaki ganja (P19(1-80)). Selain itu, SP4 ada juga menemui satu salinan perakuan Pendaftaran Perniagaan (P25) atas nama perayu. Lantaran itu, perayu dan barang kes berkenaan dibawa balik ke balai polis dan kemudiannya diserahkan kepada ASP Hamsan bin Haji Hadi, pegawai siasatan (SP6), untuk siasatan lanjut.

(f) Barang kes yang disyaki dadah itu kemudiannya telah dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis. Analisis oleh Ahli Kimia Dr. Vanitha a/p Kunalan (SP3) mengesahkan bahawa bahan tumbuhan kering tersebut ialah Cannabis seberat 8818 gram dan 720 gram, dadah berbahaya yang ditakrifkan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

(g) SP2, Afriza binti Amin (ibu perayu), juga memberikan keterangan bahawa perayu tinggal seorang diri di rumah tersebut dan perayu mempunyai kunci rumah berkenaan. Hanya perayu seorang yang dapat membuka kunci rumah tersebut.

Dapatan Hakim Bicara Di Akhir Kes Pendakwaan

[4] Setelah membuat penilaian maksimum terhadap keterangan yang dikemukakan, hakim bicara mendapati pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kesemua elemen kesalahan iaitu:

(a) bahan yang dirampas daripada perayu ialah dadah berbahaya jenis Cannabis seperti yang ditakrifkan di bawah seksyen 2 ADB 1952:

Hakim bicara telah menerima keterangan SP3 yang telah mengesahkan bahawa tumbuhan kering yang dianalisis ialah dadah berbahaya jenis Cannabis seberat 8818 gram dan 720 gram. Elemen ini tidak dipertikaikan oleh pihak pembelaan.

(b) dadah berbahaya tersebut dalam milikan perayu:

Setelah menerima keterangan SP4 dan sebahagian keterangan SP2 serta keterangan dokumentar yang lain, hakim bicara mendapati perayu mempunyai jagaan, kawalan, dan pengetahuan lantas milikan ke atas dadah tersebut. Dalam membuat dapatan ini, hakim bicara telah berpuas hati bahawa kata-kata amaran di bawah seksyen 37A(1)(b) ADB 1952 telah dibacakan kepada perayu oleh SP4 dengan betul dan perayu memahami kata-kata amaran tersebut. Tambahan lagi, kata-kata amaran itu tidak dipertikaikan oleh pihak pembelaan. Oleh yang demikian, pernyataan dan perbuatan perayu setelah kata-kata amaran tersebut dibacakan diterima sebagai keterangan. Selain itu, inferens milikan dengan pengetahuan itu disokong lanjut dengan hakikat: perayu tinggal sendirian dan mempunyai kunci rumah tersebut; perayu memberikan jawapan kepada SP4 bahawa ada dadah disimpan di dalam bilik rumah; dan perayu sendiri yang menunjukkan lokasi dadah-dadah di dalam bilik pertama dan kedua rumah itu.

(c) Perayu mengedar dadah berbahaya berkenaan:

Setelah elemen pemilikan dadah tersebut dibuktikan, hakim bicara telah mengguna pakai anggapan di bawah s. 37(da) ADB 1952 memandangkan berat bersih dadah Cannabis yang dirampas tersebut iaitu 8818 gram dan 720 gram melebihi jumlah berat statutori yang membolehkan anggapan ini terpakai. Oleh yang demikian, perayu dianggap mengedar dadah tersebut kecuali dibuktikan sebaliknya.

Atas penemuan ini, perayu diarahkan untuk membela diri terhadap kedua-dua pertuduhan.

Pembelaan Perayu

[5] Hakim bicara mencatatkan pembelaan perayu sebagaimana yang berikut:

"(i) Pada 3.4.2014 lebih kurang jam 1.15 petang, OKT berada di luar rumah nombor 61(2) A, Jalan Hamzah, Kampung Baru, Kuala Lumpur kerana baru balik makan dan sedang menunggu rakannya yang digelar ‘Mat Kondom’ yang menumpang di rumah OKT. OKT menunggu ‘Mat Kondom’ kerana kunci rumah OKT ada pada ‘Mat Kondom’.

(ii) Setelah ‘Mat Kondom’ tiba di luar rumah OKT tersebut, 2 orang lelaki dari sebuah kereta telah datang dan memeriksa badan OKT dan ‘Mat Kondom’ tetapi tidak menemui apa-apa barang yang menyalahi undang-undang.

(iii) Kedua-dua lelaki tersebut kemudiannya telah menggari tangan OKT dan juga ‘Mat Kondom’. Setelah mereka digari, salah seorang lelaki tersebut masuk ke dalam rumah OKT tanpa mendapatkan kunci dari OKT atau ‘Mat Kondom’.

(iv) Lelaki tersebut kemudian telah membawa keluar dari rumah OKT 2 buah beg dan meletakkannya di hadapan OKT. Lelaki berkenaan juga telah mengeluarkan barang dalam kedua-dua beg tersebut dan selepas itu mengarahkan OKT untuk memasukkan semula barang-barang berkenaan dalam beg-beg berkenaan.

(v) Seterusnya pada lebih kurang jam 1.50 petang, 3 orang anggota polis termasuk seorang pegawai telah datang ke rumah OKT. Pegawai tersebut, telah menyoal ‘Mat Kondom’. ‘Mat Kondom’ kemudian telah menunjukkan satu kad hijau kepada pegawai polis berkenaan. Selepas itu, pegawai berkenaan telah membuka gari ‘Mat Kondom’ dan menyuruh ‘Mat Kondom’ untuk pulang.

(vi) OKT menyatakan tidak mengetahui kedua-dua beg tersebut milik siapa dan tidak mengetahui apa di dalam beg-beg berkenaan. OKT juga menjelaskan kandungan beg-beg tersebut bukan kepunyaan OKT."

[6] Perayu juga memanggil bapanya Rafaie bin Jalinus (SD2) untuk memberikan keterangan. SD2 antara lain menyatakan dia tinggal di rumah No 61, Jalan Hamzah, Kampung Baru iaitu bersebelahan dengan rumah yang didiami oleh perayu. Pada 3.4.2014, ketika dia sedang membuang habuk pada fail-fail di luar rumah, dia melihat dua orang lelaki datang dan menggari seorang budak lelaki yang dipanggil ‘Mat’. Apabila mereka melihat kad hijau pada ‘Mat’ mereka melepaskannya dan berkata ‘Mat’ ialah seorang gila. Menurutnya lagi, pada ketika itu, perayu berada di dalam rumah dan apabila perayu membuka pintu rumah dan dilihat oleh pihak polis, perayu telah terus ditangkap.

Dapatan Hakim Bicara Di Akhir Kes Pembelaan

[7] Di akhir kes pembelaan, hakim bicara mendapati keterangan pembelaan telah gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan. Pembelaan perayu hanyalah bersifat penafian semata-mata dan tidak memadai untuk mengetepikan kes pendakwaan. Keterangan perayu juga didapati bercanggah dengan keterangan SD2 (bapa perayu) kerana bapa perayu menyatakan perayu berada di dalam rumah sedangkan keterangan perayu mengatakan dia berada di luar rumah dan menunggu kunci rumah daripada ‘Mat Kondom’. Selain itu, keterangan perayu menyatakan bahawa salah seorang lelaki yang memeriksanya di luar rumah telah masuk ke dalam rumah tanpa mendapatkan kunci daripada perayu atau ‘Mat Kondom’ dan ini bertentangan dengan keterangan perayu bahawa rumah tersebut berkunci. Setelah meneliti keseluruhan keterangan, hakim bicara mendapati watak ‘Mat Kondom’ ialah rekaan perayu. Hakim bicara mendapati pembelaan telah gagal mematahkan anggapan di bawah seksyen 37(da) atas imbangan kebarangkalian terhadap kedua-dua pertuduhan. Perayu dengan itu disabitkan dan dihukum gantung sampai mati.

Rayuan Ini

[8] Di hadapan kami, peguam perayu yang bijaksana telah mengemukakan isu-isu yang berikut:

(i) penerimaan masuk kenyataan beramaran yang dikatakan dibuat oleh perayu yang telah dijadikan asas kepada sabitan perayu adalah khilaf dan tersalah arah oleh hakim bicara;

(ii) Ucapan pembukaan iaitu ekshibit P4 tidak pernah menyentuh mengenai kenyataan beramaran perayu akan digunakan dan hanya dikemukakan semasa perbicaraan adalah satu afterthought dan memprejudiskan perayu. Ini bertentangan dengan peruntukan mandatori s. 179(1) Kanun Prosedur Jenayah;

(iii) Penolakan keterangan SP2 tanpa “good and cogent reason” dan telah memprejudiskan perayu;

(iv) Kegagalan pendakwaan memanggil saksi Sarjan Shahdan dan pemakaian s. 114(g) Akta Keterangan 1950 terhadap pendakwaan;

(v) kegagalan untuk menilai keterangan perayu yang telah disokong oleh SP2 dan SD2 yang jika dilakukan akan menimbulkan keraguan atas kes pendakwaan.

Keputusan kami

[9] Mengenai isu (i), peguam menegaskan terdapat tiga kekhilafan utama dan yang menjadi asas dapatan hakim bicara iaitu: tiadanya kata-kata amaran berkenaan yang sebenar dikemukakan oleh SP4 semasa perbicaraan; rujukan kepada s. 37(1b) adalah khilaf memandangkan seksyen itu menyentuh tentang anggapan dan bukan kata-kata amaran; dan, kata-kata amaran tersebut jika diucapkan sepertimana dinyatakan dalam P32 (laporan polis SP4), telah tidak diperjelaskan kepada perayu. Dengan bersandarkan kes PP v Mohd Fahmi bin Hamzah [2002] 6 MLJ 340, dan PP v Mohd Fuzi bin Wan Teh & Anor [1989] 2 CLJ 652, dihujahkan pernyataan amaran tersebut tidak sepatutnya diterima sebagai keterangan dan tidak boleh dijadikan asas dapatan hakim bicara. Pada hemat kami isu ini bukan merupakan asas tunggal atau utama keputusan hakim bicara mengenai persoalan pemilikan dengan mens rea dadah berkenaan. Sebelum itu ingin kami jelaskan bahawa catatan yang merujuk kepada s. 37(1b) berkenaan ternyata merupakan satu kekhilafan menaip dan tidak seharusnya dijadikan isu berbangkit. Berbalik kepada isu pernyataan beramaran, kami dapati hal perkara tersebut langsung tidak dibantahi semasa perbicaraan dan tidak juga disentuh oleh peguam semasa penghujahan di akhir kes pendakwaan ataupun pembelaan. Seharusnya peguam membantah sekeras-kerasnya jika pendakwaan ingin memasukkan pernyataan itu sebagai keterangan substantif. Inilah yang biasanya dilakukan. Dalam keadaan tersebut hakim bicara tidak boleh dikatakan terkhilaf apabila menerima keterangan SP4 yang disokong dengan laporan polis P32 untuk menerima masuk dan merujuk kepada kata-kata perayu sebagai salah satu keterangan bagi tujuan pembuktian isu pemilikan dengan mens rea. Kami berpandangan isu yang ditimbulkan itu tidak boleh dilihat secara berasingan dan tersendiri.

[10] Pada pandangan kami apa yang penting untuk ditentukan adalah sama ada perayu mempunyai milikan dengan mens rea dadah-dadah berbahaya dalam persoalan. Apakah yang dimaksudkan dengan milikan dengan mens rea itu kini telah mantap dan hakim bicara dengan betul telah merujuk kepada nas PP v Denish Madhavan [2009] 2 CLJ 209 dan Chan Pean Leon v PP [1959] MLJ 237 untuk mencari makna dan inti pati ungkapan tersebut serta kes PP v Abdul Manaf bin Muhammad Hassan [2006] 3 MLJ 193 mengenai pendekatan yang boleh diambil. Dalam kes ini hakim bicara telah mengambil pendekatan pembuktian milikan dengan mens rea secara terus/ positif dan bagi pengedaran pula telah mengguna pakai anggapan di bawah s. 37(da) sepertimana yang digariskan dalam kes PP v Abdul Manaf bin Muhamad Hassan (supra). Hakim bicara tidak terkhilaf malahan betul dalam mengambil pendekatan ini.

[11] Selaras dengan nas-nas di atas, kami dapati adanya keterangan yang mantap untuk membangkitkan fakta-fakta primer yang mewajarkan inferens bahawa perayu mempunyai penjagaan, kawalan lantas milikan dan pengetahuan akan dadah-dadah berbahaya tersebut. Tidak dipertikaikan, malahan diakui di sepanjang perbicaraan, bahawa rumah tersebut didiami sendirian oleh perayu. Kedua-dua ibu bapa perayu mengesahkannya (disahkan juga oleh SP6, pegawai penyiasat). Malahan, SP2 (ibu) sendiri mengatakan dia dan ahli keluarga yang lain tidak boleh memasuki rumah itu kecuali dibuka dan diizinkan oleh perayu. SP2 (begitu juga SD2) tidak pernah mengatakan ada orang lain yang tinggal bersama-sama dengan perayu. Begitu juga SP4 menafikan ada orang lain di dalam rumah tersebut atau berada bersama-sama di perkarangan rumah semasa pemantauan atau semasa perayu ditangkap. SP4 hanya melihat perayu seorang sahaja yang keluar dari rumah tersebut. SP6, pegawai penyiasat, pula tidak diperiksa balas atas isu ini. Jadi, isu akses oleh orang lain tidak timbul langsung. Ini membezakan kes ini dengan kes-kes yang melibatkan adanya beberapa orang penghuni di dalam rumah atau premis di mana dadah dijumpai (contohnya kes PP v Denish Madhavan, supra). Harus dicatatkan lagi di sini penemuan beg-beg (P15 dan P18) di atas lantai bilik-bilik dalam rumah tersebut yang mengandungi dadah Cannabis dalam bentuk 10 mampatan dan 80 peket plastik lut sinar tidak berjaya dicabar malahan tidak dipertikaikan. Hakikat di atas mewajarkan inferens yang paling munasabah iaitu perayu, sebagai penghuni tunggal, mempunyai penjagaan, dan kawalan lantas milikan ke atas dadah-dadah yang berada dalam kedua-dua beg berkenaan. Kami juga berpandangan, dalam keadaan yang dibentangkan di atas, bahawa perayu mempunyai pengetahuan akan jenis dan bentuk dadah-dadah tersebut. Di sini lah relevannya fakta mengenai tingkah laku perayu dalam memandu arah SP4 dan menunjukkan tempat kedua-dua beg diletakkan. Keterangan ‘perbuatan menunjukkan’ sebagai evidence of subsequent conduct boleh dan telah diterima di bawah s 8 Akta Keterangan 1950 sepertimana diputuskan dalam kes Bala Anak Matik v PP [2006] 3 MLJ 516. (Lihat juga PP v Denish Madhavan, supra). Ditimbang bersekali dengan bentuk-bentuk dadah yang dijumpai itu, kesimpulan yang jelas ialah perayu semestinya mempunyai pengetahuan akan jenis dadah-dadah tersebut. Tuntasnya, dari sudut di atas, kami berpendapat dapatan milikan dengan pengetahuan secara positif sepertimana yang diputuskan oleh hakim bicara adalah betul dan diwajarkan.

[12] Mengenai isu kedua, kami berpendapat isu tersebut ialah satu non starter. Dalam hal ini kami bersetuju dengan keputusan mahkamah ini dalam kes Timhar Jimdani Ong & Anor v PP [2010] 3 CLJ 938. Memadai bagi kami untuk memetik keputusan (2) (Held (2)) yang menyatakan:

“(2) Kenyataan pembukaan pihak pendakwaan adalah langkah prosedur yang penting di mana ia memperkenalkan kesnya dan membentangkan hujahan kepada pihak juri. Tetapi, di dalam perbicaraan jenayah yang dipengerusi oleh satu hakim sebagai pengadil kedua-dua fakta dan undang-undang, kenyataan pembukaan tidak mempunyai kepentingan yang sama. Hakim bicara tidak perlu 'curtain raiser' untuk pihak pendakwaan membentangkan butir-butir terperinci kes ini. Seksyen 179 Kanun Tatacara Jenayah hanya memerlukan pihak pendakwaan memuaskan mahkamah bahawa tuduhan terhadap tertuduh bukanlah remeh dan memang mengandungi material untuk memulakan prosiding terhadapnya. Butir-butir keterangan tidak dijangkakan akan diberi melalui kenyataan pembukaan. Dalam kebanyakan kes, tuduhan adalah gambaran keseluruhan yang cukup sebagai keterangan yang perlu dikemukakan. Tidak timbul kewajipan untuk pihak pendakwaan mengemukakan salinan kenyataan pembukaan untuk ditandakan di mahkamah, juga tiada keperluan untuk kenyataan berada dalam keadaan bertulis. Akibat itu, peninggalan pendakwaan daripada kenyataan pembukaannya vis a vis kata-kata yang boleh menunjukkan kebersalahan yang didakwa dinyatakan oleh perayu kedua dan percubaan perayu-perayu untuk memberi rasuah kepada pihak polis, adalah tidak penting dan tidak fatal kepada kes. Ia tidak secara automatik bermakna bahawa huraian selanjutnya polis-saksi adalah perkara yang difikirkan kemudian atau rekaan semata-mata. Pihak pendakwaan tidak boleh disingkir daripada memberi di perbicaraan keterangan yang tidak disebut di dalam kenyataan pembukaan. Mahkamah bicara tidak kekeliruan dan perayu-perayu tidak berada dalam keadaan yang melemahkan kedudukan mereka atau memprejudiskan mereka yang membawa kepada ketidakadilan kepada mereka di dalam kegagalan menegakkan keadilan.”

[13] Mengenai isu (iii), kami dapati tiada merit dalam isu ini. Pada kami, ini melibatkan kuasa budi bicara hakim bicara dalam menilai keterangan dan kebolehpercayaan seseorang saksi. Budi bicara ini diberikan sepenuhnya kepada hakim bicara dan amat jarang sekali akan diganggu gugat oleh mahkamah rayuan kecuali ditunjukkan pelaksanaan budi bicara itu salah dari segi undang-undang. Harus dicatatkan SP2 tidak diisytiharkan sebagai hostile witness atau dicabar kebolehpercayaannya oleh pendakwaan menurut prosedur yang diperuntukkan dalam s. 154 atau s. 155 Akta Keterangan 1950. Ini diakui oleh peguam. Oleh itu, hakim bicara bebas untuk menilai keterangannya dan dalam penilaian tersebut boleh menerima atau menolak mana yang difikirkan wajar setelah menimbangkannya bersekali dengan keseluruhan keadaan kes ini. (lihat kesan pemakaian prosedur di atas, jika dilakukan, dalam kes PP v Willey Salleh [2017] 1 LNS 1704 (Mahkamah Rayuan)). Dalam rayuan sekarang ini, kami tidak nampak kekhilafan dilakukan oleh hakim bicara memandangkan adanya asas yang munasabah kenapa beliau memutuskan sedemikian:

[21] Pihak pembelaan berhujah bahawa terdapat percanggahan dalam kes pendakwaan apabila SP2 menyatakan ‘Mat Kondom’ ada di tempat kejadian sedangkan SP4 dan pegawai penyiasat iaitu SP6 mmemberi (sic) keterangan bahawa ‘Mat Kondom’ tiada di tempat kejadian.

[22] Prinsip undang-undang membolehkan mahkamah menerima sebahagian keterangan seseorang saksi dan menolak sebahagian keterangannya setelah keterangan saksi tersebut diteliti bersama-sama keseluruhan keterangan yang ada.

Prinsip ini dijelaskan oleh Raja Azlan Shah (ketika itu) dalam kes PP v Datuk Haji Harun bin Idris [1977] 1 MLJ 15 di mukasurat 19 seperti berikut:

The question is whether the existence of certain discrepancies is sufficient to destroy their credibility, there is no rule of law that the testimony of a witness must either be believed in its entirely or not at all. A court is fully competent, for good and cogent reasons, to accept one part of the testimony of a witness and to reject the other. It is, therefore, necessary to scrutinize each evidence very carefully as this involves the question of weight to be given to certain evidence in particular circumstances.”

[23] Pada peringkat ini, pihak pembelaan membina asas pembelaan bahawa dadah-dadah yang ditemui dalam rumah tersebut adalah milik ‘Mat Kondom’.

[24] Berbalik kepada isu percanggahan yang dibangkitkan ini, selain dari SP2 adalah saksi yang berkepentingan kerana OKT adalah anaknya, saya dapati berdasarkan keseluruhan keterangan, saya menolak sebahagian keterangan SP2 berhubung kewujudan ‘Mat Kondom’ ini. Tambahan pula keterangan SP2 kebanyakannya diceritakan oleh suami SP2 kerana SP2 ketika kejadian telah masuk ke rumahnya kerana cucunya sedang menangis.

[25] Oleh itu tiada 2 versi yang berbeza dalam kes yang dibentangkan oleh pihak pendakwaan.”

[14] Kami juga berpandangan yang sama mengenai isu (iv). Ketidakhadiran Sarjan Shahdan sebagai saksi, jika ada bersama-sama dalam pasukan SP4 sekali pun, tidak menjejaskan atau menimbulkan kelompangan dalam kes pendakwaan. Anggapan s. 114(g) Akta Keterangan 1950 tidak terpakai dalam keadaan kes ini. Pendakwaan telah mengemukakan cukup keterangan sepertimana dibentangkan di atas untuk membuktikan elemen-elemen kesalahan. SP4 dan SP6 menafikan adanya seseorang yang bernama Mat Kondom. Begitu juga keterangan SP2 mengenai Mat Kondom ini telah, dengan betul, ditolak oleh hakim bicara. Dalam keadaan ini kami bersetuju apabila hakim bicara memutuskan:

“Isu seksyen 114(g) Akta Keterangan 1950

[26] Pihak pembelaan ada mencadangkan kepada pegawai penyiasat, SP6 bahawa Sarjan Shahdan telah menangkap dan menggari ‘Mat Kondom’ semasa hari kejadian tetapi SP6 menyatakan perkara tersebut adalah di luar pengetahuan SP6.

Walau bagaimana pun, pihak pembelaan tidak menimbulkan isu penangkapan ‘Mat Kondom’ oleh Sarjan Shahdan ini kepada ketua serbuan iaitu SP4.

Di sini, pihak pembelaan telah berhujah bahawa kegagalan pihak pendakwaan memanggil Sarjan Shahdan untuk memberi keterangan menimbulkan inferen yang bertentangan terhadap kes pendakwaan.

[27] Berhubung seksyen 114(g) ini, Mahkamah Rayuan dalam kes Ong Hooi Beng & Ors v Public Prosecutor [2015] 3 MLJ 812 memutuskan seperti berikut:

“(5) It is not a mandatory requirement that every time the prosecution fails to call a witness, an adverse inference ought to be drawn against them. It is only when the prosecution withholds or suppresses material evidence that the inference may be drawn. Even then the unfavourable inference to be drawn is to be confined to the particular evidence that is withheld or suppressed. It cannot extend to the whole length and breadth of the prosecution case unless it relates to an essential element of the charge resulting in a total collapse of the prosecution case. SD7 was not an essential witness to the unfolding of the narratives on which the prosecution cse was based. Further, even without SD7’s evidence the prosecution already had sufficient evidence to establish a prima facie case against all the appellants. Thus the failure to call him as a prosecution witness was of no consequence as it did not result in a gap in the prosecution case.”

(rujuk juga kes Munusamy v Public Prosecutor [1987] 1 MLJ 492).

[28] Dalam kes terhadap OKT, keterangan saksi pendakwaan iaitu SP4 telah menafikan kewujudan ‘Mat Kondom’ di tempat kejadian dan isu Sarjan Shahdan menangkap ‘Mat Kondom’ tersebut adalah tidak berkaitan bagi pihak pendakwaan. Sehubungan itu, saya tidak dapat lihat bagaimana kegagalan pihak pendakwaan memanggil Sarjan Shahdan boleh menimbulkan inferen yang bertentangan terhadap kes pendakwaan. Sarjan Shahdan bukan sahaja tidak material dalam kes pendakwaan tetapi adalah tidak relevan untuk pembuktian kes pendakwaan.

[29] Oleh itu, tindakan pihak  pendakwaan tidak memanggil Sarjan Shahdan untuk memberi keterangan tidak membangkitkan inferen yang bertentangan terhadap kes pendakwaan di bawah seksyen 114(g) Akta Keterangan 1950.”

[15] Mengenai isu (v), kami mendapati hakim bicara telah menimbang keseluruhan pembelaan dan telah juga menilainya bersekali dengan kes pendakwaan. Kami bersetuju pembelaan perayu amat mudah sekali dan terjumlah kepada penafian semata (mere denial). Teras pembelaannya, perayu tidak tahu menahu langsung berkenaan kedua-dua beg tersebut berserta isinya di dalam rumahnya. Namun begitu perayu tidak menyangkal bahawa rumah tersebut didiaminya dan kedua-dua beg tersebut berada dalam rumahnya tetapi dibawa keluar oleh anggota SP4. Keterangan perayu juga bertentangan dengan keterangan SD2 bapanya berkenaan dengan kedudukan perayu ketika tangkapan iaitu perayu mengatakan dia tidak boleh memasuki rumahnya kerana kunci rumah kononnya berada dengan Mat Kondom. SD2 pula mengatakan pada ketika Mat datang, perayu berada dalam rumah dan hanya ditangkap apabila keluar dari dalam rumah itu. Apa yang jelas perayu cuba mengalih senario kes kepada Mat Kondom ini. Namun, dia tidak langsung mengatakan beg-beg berkenaan kepunyaan Mat Kondom. Jelas adanya unsur teragak-agak dalam cubaan meletakkan kesalahan kepada orang lain. Pada hemat kami dalih ini jelas tidak mencukupi untuk mematahkan anggapan s. 37(da) atas imbangan kebarangkalian dan juga tidak terjumlah kepada satu keraguan yang munasabah ke atas kes pendakwaan. Sekali lagi kami dapati hakim bicara tidak khilaf atau tersalah arah dirinya apabila memutuskan:

“[35] Berhubung dengan kes pembelaan ini, pada asasnya, OKT menafikan bahawa dadah-dadah yang ditemui di dalam rumah OKT adalah milik OKT dan OKT tidak mempunyai pengetahuan mengenai dadah-dadah tersebut.

[36] Walau bagaimana pun, OKT sendiri tidak langsung menyatakan bahawa dadah-dadah tersebut adalah milik ‘Mat Kondom’ atau mana-mana orang lain. OKT menyatakan dengan jelas dalam keterangannya iaitu seperti berikut:

“saya tak tahu kedua-dua beg milik siapa dan tak tahu apa dalam beg.”

[37] Halatuju pembelaan saya dapati lebih kepada penafian semata-mata dan penafian ini sahaja tidak memadai untuk mengenepikan kes pendakwaan.

(rujuk : DA Duncan v PP [1980] 2 MLJ 195 dan PP v Ling Tee Huah [1982] 2 MLJ 324).

[38] Seterusnya saya dapati keterangan OKT bercanggah dengan keterangan SD2 apabila OKT menyatakan OKT ditangkap bersama ‘Mat Kondom’ semasa berada di luar rumah. OKT berada di luar rumah kerana dikatakan sedang menunggu kunci rumah dari ‘Mat Kondom’. Sebaliknya, SD2 menyatakan ketika ‘Mat Kondom’ ditahan, OKT ada di dalam rumah dan ditangkap oleh polis apabila OKT membuka pintu rumah tersebut.

[39] Keterangan SD2 ini iaitu OKT membuka pintu rumah dari dalam rumah sebelum ditangkap oleh pihak polis jelasnya bercanggah dengan keterangan OKT yang berikut:

(i) OKT menunggu ‘Mat Kondom’ di luar rumah kerana kunci rumah ada pada ‘Mat Kondom’.

(ii) OKT ditangkap bersama-sama ‘Mat Kondom’ di luar rumah.

[40] Selain itu, berdasarkan keterangan OKT sendiri iaitu salah seorang lelaki yang memeriksa OKT di luar rumah telah masuk ke dalam rumah tanpa mendapatkan kunci dari OKT atau ‘Mat Kondom’ bertentangan dengan keterangan OKT bahawa rumah tersebut berkunci dan OKT terpaksa menunggu ‘Mat Kondom’ di luar rumah untuk mendapatkan kunci rumah berkenaan.

[41] Sekiranya benar, ‘Mat Kondom’ ini wujud, adalah sukar untuk diterima dalam kes yang serius ini, pihak polis akan terus melepaskan seseorang yang hanya menunjukkan kad hijau kononnya tidak waras tanpa menentusahkan ketulinan kad dan fakta bahawa ‘Mat Kondom’ ini benar-benar tidak waras, tanpa sebarang siasatan dibuat. Selain itu terdapat peruntukan undang-undang berhubung prosedur berkaitan pesalah yang tidak waras dalam Kanun Prosedur Jenayah yang perlu dipatuhi apabila pertuduhan dibuat.

[42] Berdasarkan keseluruhan keterangan kes ini, dapatan saya adalah watak ‘Mat Kondom’ ini adalah rekaan OKT dan SD2 semata-mata dan jika pun ada watak ini, ianya tidak berkaitan dengan kes terhadap OKT ini.

[43] Saya juga mendapati pihak pembelaan telah gagal untuk mematahkan anggapan di bawah seksyen 37(da) pada imbangan kebarangkalian bagi kedua-dua pertuduhan.

[44] Berdasarkan keseluruhan keterangan juga, saya dapati pihak pembelaan telah gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan bagi kedua-dua pertuduhan.

[45] Sehubungan itu juga, pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan Pertuduhan Pertama dan Pertuduhan Kedua disebalik keraguan yang munasabah bagi kesalahan di bawah seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.”

Kesimpulan

[16] Berdasarkan alasan-alasan di atas kami berpuas hati hakim bicara telah tidak melakukan kekhilafan atau salah arah dirinya untuk mewajarkan campur tangan kami. Kami mendapati sabitan adalah selamat. Dengan itu kami menolak rayuan ini dan mengekalkan sabitan dan hukuman yang diperintahkan oleh hakim bicara.

t.t

ABDUL KARIM BIN ABDUL JALIL
Hakim Mahkamah Rayuan

Tarikh: 1 Ogos 2018

COUNSEL

Bagi pihak Perayu: Haresh Mahadevan (bersama Ramzani Idris), Tetuan Haresh Mahadevan & Co

Bagi pihak Responden: Mangai, Timbalan Pendakwa Raya, Jabatan Peguam Negara

Legislation referred to:

Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen-seksyen 2, 37(da), 37A(1)(b)

Akta Keterangan 1950, Seksyen-seksyen 8, 114(g), 154, 155

Kanun Prosedur Jenayah, Seksyen 179(1)

Judgments referred to:

Bala Anak Matik v PP [2006] 3 MLJ 516

Chan Pean Leon v PP [1959] MLJ 237

PP v Abdul Manaf bin Muhammad Hassan [2006] 3 MLJ 193

PP v Denish Madhavan [2009] 2 CLJ 209

PP v Mohd Fahmi bin Hamzah [2002] 6 MLJ 340

PP v Mohd Fuzi bin Wan Teh & Anor [1989] 2 CLJ 652

PP v Willey Salleh [2017] 1 LNS 1704

Timhar Jimdani Ong & Anor v PP [2010] 3 CLJ 938

Notice: The Promoters of Malaysian Judgments acknowledge the permission granted by the relevant official/ original source for the reproduction of the above/ attached materials. You shall not reproduce the above/ attached materials in whole or in part without the prior written consent of the Promoters and/or the original/ official source. Neither the Promoters nor the official/ original source will be liable for any loss, injury, claim, liability, or damage caused directly, indirectly or incidentally to errors in or omissions from the above/ attached materials. The Promoters and the official/ original source also disclaim and exclude all liabilities in respect of anything done or omitted to be done in reliance upon the whole or any part of the above/attached materials. The access to, and the use of, Malaysian Judgments and contents herein are subject to the Terms of Use.