THE OFFICIAL REPOSITORY OF
MALAYSIAN JUDGMENTS & RULINGS

[2018] MYCA 237 MALAY

Ho My Lan v Pendakwa Raya
Suit Number: Rayuan Jenayah No. K-05(M)-297-11/2015  

Criminal law – Trafficking in dangerous drugs – Conviction – Mandatory death sentence – Appeal – Whether the conviction safe

PENGHAKIMAN

Mukadimah

[1] Ho My Lan (perayu), seorang warganegara Vietnam, telah didakwa di Mahkamah Tinggi Alor Setar dengan pertuduhan seperti yang berikut:

"Bahawa kamu pada 6 April 2013 jam lebih kurang 11.00 pagi di Balai Ketibaan, Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, di dalam Daerah Langkawi, di dalam Negeri Kedah Darul Aman telah mengedar dadah berbahaya iaitu Methamphetamine seberat 3,038.5 gram, dan dengan itu kamu telah melakukan suatu kesalahan di bawah s. 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah s. 39B(2) Akta yang sama.”

[2] Di akhir kes, Mahkamah Tinggi mendapati pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kesnya melampaui keraguan yang munasabah. Perayu dengan itu didapati bersalah, disabitkan dan dikenakan hukuman mati mandatori. Terkilan dengan keputusan tersebut, perayu mengemukakan rayuan ini.

[3] Setelah mendengar penghujahan kedua-dua pihak dan setelah menelaah keterangan dalam rekod, kami mendapati cabaran perayu terhadap keputusan hakim bicara mempunyai merit. Oleh itu, kami mengetepikan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh hakim bicara dan menggantikannya dengan sabitan atas kesalahan memiliki dadah berbahaya di bawah s. 12(2) dibaca bersama s. 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 (ADB 1952). Lantaran itu, kami menjatuhkan hukuman pemenjaraan selama tempoh 20 tahun berkuat kuasa dari tarikh perayu ditangkap (6.4.2013).

[4] Alasan-alasan kami memutuskan sedemikian akan diperjelaskan di sini.

Latar belakang Kes

[5] Pada 6.4.2013 lebih kurang pukul 9.45 pagi perayu telah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi dengan pesawat MH 1430 dari Kuala Lumpur. Perayu dari New Delhi, India dan transit di KLIA sebelum tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi. Semasa berada di Lapangan Terbang tersebut, perayu telah diarahkan oleh Lim Boon Wah (SP4), pegawai kastam yang bertugas di Balai Ketibaan, untuk mengimbas bagasi beroda “trolley bag” berwarna maroon (P7) yang mempunyai tag nama perayu (P7A) dan beg tangan berwarna coklat yang dibawanya. Perayu mematuhi arahan tersebut.

[6] Setelah diimbas, SP4 melihat imej yang disyaki dadah dari dalam P7. Ekoran penemuan itu, SP4 telah mengarahkan pegawai kastam Mohd Razali bin Dollah (SP5) untuk membuat pemeriksaan terperinci ke atas P7. Mendapati P7 itu berkunci, SP5 mengarahkan perayu untuk membukanya. Perayu lantas mengambil 2 kunci daripada beg tangan yang dibawanya dan telah membuka P7. SP5 seterusnya memeriksa P7 dan menemukan pakaian baru serta pakaian yang telah digunakan. P7 kemudian dikosongkan untuk diimbas buat kali kedua. Imbasan kali kedua juga menunjukkan terdapatnya imej yang disyaki dadah.

[7] Perayu dan barang kes seterusnya dibawa ke Pejabat Bahagian Penguatkuasaan Kastam Bukit Malut dan diserahkan kepada Mustafaal Bakeri bin Wahid (SP6). Di situ, SP6 telah membuat pemeriksaan lanjut ke atas P7 dan menemukan 4 bungkusan plastik berwarna coklat [P4A, P4B, P4C dan P4D] tersembunyi dalam ruang rahsia (secret compartment) di dalam P7 tersebut. SP6 telah membuka salah satu bungkusan plastik tersebut dan mendapati di dalamnya berisi bahan kristal. SP6 telah menjalankan ujian awal atas bahan tersebut dan disahkan positif Methamphetamine.

[8] Susulan penemuan itu, perayu dan semua barang kes diserahkan kepada pegawai penyiasat Lukman bin Yahya (SP7) pada keesokan harinya. Keempat-empat bungkusan plastik yang dijumpai di dalam P7 itu kemudiannya dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis. Analisis telah dijalankan oleh Faesmaziana binti Napiah (SP1) yang kemudiannya mengesahkan bahawa keempat-empat bungkusan tersebut mengandungi dadah jenis Methamphetamine seberat 3,038.5 gram sebagaimana dicatatkan dalam laporan kimianya (P3).

Dapatan di Akhir Kes Pendakwaan

[9] Di akhir kes pendakwaan, hakim bicara telah menetapkan inti pati yang berikut untuk dibuktikan oleh pihak pendakwaan:

"(a) OKT pada tarikh, masa dan tempat yang dinyatakan dalam pertuduhan “B” telah melakukan kesalahan mengedar dadah atau “trafficking”;

(b) OKT mempunyai pemilikan dan pengetahuan tentang dadah tersebut;

(c) Hal perkara yang menjadi asas pertuduhan melibatkan dadah jenis “Methamphetamine”.”

Selaras dengan kehendak s. 180(1) Kanun Prosedur Jenayah, dan setelah membuat penilaian maksimum terhadap keterangan yang dikemukakan, hakim bicara mendapati bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kesemua elemen (inti pati) kesalahan iaitu:

(a) Inti pati (a) - Perayu telah membawa P7 yang berisi dadah dari India dan transit di KLIA dan seterusnya mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa, Langkawi pada tarikh, masa dan tempat yang dinyatakan dalam pertuduhan. Perbuatan perayu yang membawa dadah ini termasuk dalam takrifan trafficking bagi maksud peruntukan s. 2 ADB 1952;

(b) Inti pati (b) - Pendakwaan telah berjaya membuktikan bahawa perayu mempunyai kawalan dan jagaan ke atas P7. Oleh itu anggapan pemilikan dan pengetahuan tentang dadah di dalam bagasi P7 di bawah s. 37(d) ADB 1952 terpakai terhadap perayu;

(c) Inti pati (c) - Setelah menerima keterangan SP1, bahan kristal berkenaan ialah dadah berbahaya jenis methamphetamine seberat 3,083.5, dan memandangkan berat dadah tersebut melebihi 50 gram, anggapan pengedaran dalam s. 37(da)(xvi) ADB 1952 diaktifkan terhadap perayu.

Atas penemuan ini, perayu telah diarahkan untuk membela dirinya.

Kes Pembelaan

[10] Ikhtisarnya, perayu mengatakan kawannya yang bernama Nguyen Thi Chuk (NTC) telah membelikan tiket penerbangan untuk dia bekerja di luar negara. Bagaimanapun, sehingga di lapangan terbang, perayu tidak mengetahui bahawa tiket tersebut berdestinasi India.

[11] Setibanya di India, perayu merasakan India tidak sesuai baginya dan memberitahu NTC bahawa dia ingin bekerja di tempat yang ada ramai masyarakat Cina. Ekoran itu dan selang beberapa hari, NTC telah membelikan perayu tiket yang lain. Dengan tiket tersebut, perayu telah menaiki sebuah pesawat penerbangan tetapi tidak mengetahui juga destinasinya. Perayu hanya mengetahui dia berada di Kuala Lumpur setelah tiba dan setelah membuat pertanyaan kepada orang awam. Perayu kemudiannya menerima panggilan telefon daripada NTC dan diberitahu untuk menaiki penerbangan seterusnya ke Langkawi. Perayu meneruskan perjalanan ke Langkawi.

[12] Setibanya di Langkawi, perayu telah ditahan dan diarahkan untuk mengimbas bagasi yang dibawanya. Imbasan dan pemeriksaan terperinci yang dilakukan menunjukkan adanya imej yang mencurigakan yang akhirnya menemukan barang salah atau “dadah” berkenaan. Bagaimanapun, perayu menafikan mempunyai pengetahuan tentang dadah tersebut dan menafikan dadah tersebut ialah miliknya.

[13] Perayu turut mengatakan bagasi tersebut kepunyaan NTC dan dia telah diminta oleh NTC untuk membawa bagasi tersebut ke Malaysia. Walaupun dia merasa pelik dengan permintaan NTC, namun dia tetap membawa bagasi itu memandangkan NTC merupakan kawannya dan tidak mungkin hendak menganiayainya.

Dapatan di Akhir Kes Pembelaan

[14] Di akhir kes, hakim bicara memutuskan bahawa pembelaan perayu merupakan satu penafian semata (bare denial) atau pun satu versi yang difikirkan semula (afterthought). Hakim bicara telah bersetuju sepenuhnya dengan penghujahan pendakwa raya bahawa pembelaan perayu amat mengelirukan, mencurigakan, dan sekali gus menolak pembelaan pembawa ikhlas (innocent carrier). Tuntasnya, hakim bicara mendapati perayu telah gagal mematahkan anggapan di bawah s. 37(d) dan s. 37(da) ADB 1952 atas imbangan kebarangkalian dan telah juga gagal membangkitkan apa-apa keraguan yang munasabah ke atas kes pendakwaan. Oleh yang demikian, perayu didapati bersalah, disabitkan dan dihukum mati mandatori.

Rayuan Ini

[15] Di hadapan kami, perayu telah membangkitkan hanya satu isu iaitu hakim bicara telah terkhilaf apabila telah melanggar peraturan yang melarang penggunaan anggapan bertindan “the rule against double presumptions” sepertimana yang diputuskan dalam kes Muhammad Hassan v PP [1998] 2 CLJ 170. Ditegaskan hakim bicara telah di sepanjang alasan penghakiman bertulisnya iaitu di perenggan 52, 63, 71, 150, 171, dan 178 dengan jelas mengguna pakai kedua-dua anggapan di bawah s. 37(d) dan (da) ADB 1952. Seterusnya, perayu diputuskan telah gagal mematahkan kedua-dua anggapan tersebut atas imbangan kebarangkalian. Penggunaan anggapan bertindan ini ditunjukkan juga dalam alasan ringkasnya di akhir kes sepertimana dicatatkan di muka surat 266: Jilid 3, Rekod Rayuan (nota keterangan). Dihujahkan kekhilafan tersebut telah mengakibatkan salah laksana keadilan (miscarriage of justice) ke atas perayu dan dengan demikian, sabitan ke atas perayu atas dasar pertuduhan pengedaran dadah berbahaya berkenaan adalah tidak selamat.

[16] Bagaimanapun, peguam perayu terpelajar mengakui dan memohon kepada mahkamah ini agar pertuduhan pengedaran tersebut digantikan dengan kesalahan pemilikan dadah berbahaya berkenaan di bawah s. 12(2) dibaca bersama dengan s. 39A(2) ADB 1952.

[17] Pada mulanya Timbalan Pendakwa Raya (TPR) yang terpelajar menyangkal hujahan berkenaan dengan isu tunggal di atas. Bagaimanapun setelah dirujuk kepada bahagian-bahagian berkenaan, TPR mengakui adanya pelanggaran tersebut dilakukan oleh hakim bicara. Namun begitu, TPR menjemput mahkamah ini untuk mengguna pakai peruntukan s. 60(1) Akta Mahkamah Kehakiman 1964 dan seterusnya mengesahkan keputusan hakim bicara.

Dapatan Kami

[18] Setelah mempertimbangkan hujahan kedua-dua pihak dan menelaah keterangan dalam rekod, kami berpuas hati dan bersetuju dengan hujahan peguam perayu yang terpelajar mengenai isu tunggal yang ditimbulkan itu. Peraturan larangan penggunaan anggapan bertindan bagi kesalahan pengedaran dadah berbahaya di bawah s. 39B ADB 1952 telah terlalu mantap di negara ini. Skop dan pemakaian prinsip kes Muhammad Hassan v PP ini, supra, telah banyak dikupaskan dan diperjelaskan dalam kes-kes terkemudian. Tidak perlu bagi kami untuk menggariskan kesemua kes tersebut dalam penghakiman ini. Memadai setakat yang diperlukan untuk menjelaskan pandangan kami.

[19] Walaupun telah kerap kali dirujuk, kami rasakan adalah perlu untuk dibentangkan sekali lagi peraturan larangan itu sepertimana diputuskan dalam kes Muhammad Hassan v PP tersebut. Di muka surat 190 dinyatakan:

“In our view, there is a clear undeniable distinction between the word 'deemed' used in s. 37(d) and the word 'found' employed in s. 37(da) of the Act. The 'deemed' state of affairs in s. 37(d) (ie, deemed possession and deemed knowledge) is by operation of law and there is no necessity to prove how that particular state of affairs is arrived at. There need only to be established the basic or primary facts necessary to give rise to that state of affairs ie, the finding of custody or control. Such presumptions as under s. 37(d) (and, for that matter, the one under s. 37(da)) are sometimes described as 'compelling presumptions' in that upon proof of certain facts by a party (in our present case, proof of custody or control in s. 37(d) by the prosecution), the court must in law draw a presumption in its favour (ie, presumptions of possession and knowledge) unless the other party proves the contrary. Such a presumption has the compelling force of law. It is a deduction which the law requires the trial court to make. On the other hand, the word 'found' in the opening phrase of s. 37(da) connotes a finding after a trial by the court.

Furthermore, the basic or primary facts needed to raise 'deemed' possession and 'deemed' knowledge under s. 37(d) of the Act and those required to raise 'presumed... trafficking' under s. 37(da) are different. To come to the presumptions of possession and knowledge under s. 37(d), one need only to arrive at a finding of having had 'in custody or under... control anything whatsoever containing' the drug (as opposed to the drug itself) whereas to arrive at the presumption of 'trafficking' under s. 37(da), a finding of being 'in possession' of the drug is necessary (in addition, of course, to proof of the relevant minimum quantity specified). In view of the above differences, it would be unduly harsh and oppressive to construe the automatic application of presumption upon presumption as contended by the learned deputy public prosecutor a construction that ought to be adopted only if, upon the wordings of the two subsections, such an intention of the Parliament is clear, which, in our opinion, is not.”

In our view, to constitute 'possession' under s. 37(da) of the Act, so as to be capable of forming one of the ingredients thereunder thereby giving rise to the presumption of trafficking, there must be an express affirmative finding (as opposed to legal presumption) of possession as understood in criminal law, based on evidence.

Skop pemakaian peraturan di atas telah diterangkan dengan jelas dalam kes PP v Abdul Manaf Muhamad Hassan [2006] 2 CLJ 129, yang menyebut di muka surat 144 sepertimana yang berikut:

“[17] It ought to be stated at the outset that the decision in Muhammed bin Hassan only prohibits the use of double presumptions under ss. 37(d) and 37(da) of the Act. It is, therefore, open to the prosecution to rely on either of the presumptions. In other words, the prosecution may positively prove possession without relying on the presumption under s. 37(d) of the Act and go on to rely on the presumption of trafficking under s. 37(da) of the Act to support a charge under s. 39B of the Act. See Tunde Apatira & Ors. v. Public Prosecutor (supra); Msimanga Lesaly v. Public Prosecutor [2005] 1 CLJ 398 (a decision of the Court of Appeal which was confirmed by this court in Federal Court Criminal Appeal No. 05-27-2004(K)). Conversely, the prosecution may rely on the presumption under s. 37(d) to prove possession and seek to prove by affirmative evidence (independent of the presumption under s. 37(da)) that the accused was in fact trafficking in the dangerous drug.”

(Rujuk juga kes-kes yang berikut: Abillah Labo Khan v PP [2002] 3 CLJ 521 (MP); PP v Tan Tatt Eek and Other Appeals [2005] 1 CLJ 713 (MP)).

[20] Berbalik kepada rayuan ini, kami mendapati peraturan ini dengan jelas telah dilanggar oleh hakim bicara. Bukan itu sahaja, kami juga mendapati hakim bicara telah terkeliru dalam banyak perkara berhubung dengan peraturan ini. Kami perhatikan di akhir kes pendakwaan hakim bicara telah memutuskan di samping penemuan inti pati pengedaran secara keterangan langsung di bawah s. 2, kedua-dua anggapan iaitu s. 37(d) dan (da) juga telah diguna pakai. Bagi anggapan s. 37(d), hakim bicara memutuskan di muka surat 27, RR:Jilid 1(alasan penghakiman):

“52. Mahkamah ini bersetuju pendakwaan telah membuktikan dadah [P4A hingga D] yang berada dalam P7 dalam pemilikan OKT. OKT juga mempunyai kawalan dan jagaan atas P7 ke atas dadah yang dijumpai di dalamnya. Mahkamah ini berpendapat sebaik pemilikan dadah dibuktikan terhadap OKT, pendakwaan boleh bergantung kepada anggapan di bawah s. 37(d) Akta itu.” (Tekanan diberikan)

Selanjutnya, di muka surat 31, RR:Jilid 1, dinyatakan sekali lagi:

“63. Berpandukan alasan-alasan yang dinyatakan di atas, Mahkamah ini berpendapat pendakwaan berjaya membuktikan intipati (b) iaitu OKT mempunyai pemilikan dadah bagi tujuan “trafficking". Mahkamah juga berpendapat anggapan di bawah s. 37(d) Akta itu terpakai memihak kepada pendakwaan.”

Diperhatikan hakim bicara mengatakan bahawa anggapan s. 37(d) berkenaan akan terpakai apabila pemilikan telah berjaya dibuktikan oleh pendakwaan. Pendekatan ini dengan jelas tidak tepat kerana prinsip yang betul dan kini mantap (trite law) ialah anggapan pemilikan timbul daripada pembuktian jagaan atau kawalan dan bukan sebaliknya- (lihat Public Prosecutor v Ang Boon Foo [1981] MLJ 40, dan Leow Nghee Lim v Regina [1956] MLJ 28).

[21] Selanjutnya dalam nada yang sama, bagi inti pati pengedaran, hakim bicara memutuskan bahawa anggapan di bawah s. 37(da)(xvi) juga telah diaktifkan dalam kes ini. Ini dinyatakan dengan jelas dalam alasan penghakimannya (muka surat 33, RR:Jilid 1) begini:

"71. Mahkamah ini berpendapat berpandukan s. 37(da)(xvi) Akta itu apabila memiliki dadah Methamphetamine 50 gram atau lebih dianggap bagi tujuan pengedaran. Dalam kes di hadapan Mahkamah sekarang, OKT memiliki dadah seberat 3,083.5 gram dan ianya mengaktifkan anggapan s. 37(da)(xvi) Akta itu.”

Namun begitu, di samping pemakaian anggapan berkenaan, hakim bicara dilihat telah juga mengguna pakai takrifan pengedaran di bawah s. 2 dan melalui keterangan langsung untuk membuktikan inti pati ini:

"27. Mahkamah ini berpendapat pendakwaan berjaya membuktikan intipati (a) iaitu OKT telah membawa “trolley bag" [P7] yang berisi dadah dari India dan transit di KLIA dan seterusnya mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa, Langkawi. Perbuatan OKT yang membawa dadah ini termasuk dalam takrifan “trafficking" bagi maksud peruntukan s. 2 Akta itu.”

[22] Pertindanan dan kekeliruan ditunjukkan lagi dalam keputusan hakim bicara di akhir kes pembelaan yang memerlukan perayu mematahkan anggapan-anggapan tersebut atas imbangan kebarangkalian atau menimbulkan keraguan munasabah iaitu:

“150. Mahkamah ini berbekalkan prinsip-prinsip yang digariskan dalam kes Mohamad Radhi Yaakob [supra] dan Mat v. PP [1963] 1 LNS 82, meneliti pembelaan OKT sama ada berjaya mematahkan anggapan di bawah s. 37(d) dan s. 37(da) Akta itu atau menimbulkan sebarang keraguan yang munasabah atas kes pendakwaan.” (ms 54, RR:Jilid 1)

Selanjutnya, hakim bicara mendapati bahawa perayu telah gagal mematahkan kedua-dua anggapan apabila memutuskan:

“171. Mahkamah ini telah menimbangkan pembelaan OKT dan juga meneliti semula keterangan kes pendakwaan, OKT sekadar menafikan pengetahuan mengenai dadah dan mengalihkan kepada NTC. 168 (sic) Berdasarkan alasan-alasan yang dinyatakan di atas, Mahkamah ini berpendapat pembelaan OKT gagal mematahkan anggapan di bawah s. 37(d) Akta itu. (ms 61, RR:Jilid 1)

...

178. Mahkamah ini juga berpendapat pembelaan OKT atas imbangan kebarangkalian gagal mematahkan anggapan undang-undang di bawah s. 37(da) Akta itu (sila rujuk kes Subramaniam A/L Arumugam v. P.P. [2000] 2 MLJ 193) (ms64, RR:Jilid1).”

[23] Dalam keadaan yang dibentangkan di atas, tidak dinafikan peraturan larangan penggunaan anggapan bertindan telah dengan jelas dilanggar oleh hakim bicara. Selain itu, kami juga mendapati telah berlakunya kecelaruan berkaitan dengan pemakaian sebahagian anggapan di bawah s. 37(d) iaitu antara pemilikan dan pengetahuan. Kecelaruan ini melibatkan persoalan sama ada di akhir kes pendakwaan adakah perlu hakim bicara mempertimbangkan pembuktian pengetahuan melalui keterangan langsung, atau memadai dengan hanya membuktikan jagaan atau kawalan untuk membangkitkan anggapan pemilikan dan ekoran itu pengetahuan tentang jenis dadah berbahaya itu akan teraktif secara automatik? Diperhatikan hakim bicara telah mempertimbangkan aspek pengetahuan tetapi tidak dengan jelas menyatakan sama ada dapatan pengetahuan dibuat melalui keterangan langsung (actual knowledge) atau mengguna pakai s. 37(d) tersebut (deemed knowledge). Dicatatkan hakim bicara telah seolah-olah menggunakan keterangan langsung untuk membuat dapatan tersebut. Bagaimanapun kami tidak akan menyentuh lanjut aspek ini memandangkan salah arahan berkenaan dengan pelanggaran larangan penggunaan anggapan bertindan dengan jelas dapat ditunjukkan.

[24] Dalam keadaan di atas, TPR yang terpelajar dengan betul mengakui akan kekhilafan hakim bicara itu namun memohon kami menilai semula keterangan dalam kes ini, yang dikatakan melimpah ruah, kerana penilaian tersebut akan menjurus kepada keputusan yang sama, selaras dengan peruntukan s. 60(1) Akta Mahkamah Kehakiman 1964 sepertimana yang diperjelaskan dalam keputusan Tunde Apatira & Ors v PP [2001] 1 CLJ 381. Bagaimanapun kami tidak setuju dengan saranan TPR memandangkan tiadanya keadaan istimewa untuk mewajarkan kami melaksanakan budi bicara itu. Kami mendapati kecelaruan di pihak hakim bicara tersebut telah menimbulkan salah laksana keadilan di pihak perayu terutamanya dari sudut beban pembuktian yang seharusnya dipikul oleh perayu dan yang seadilnya digunakan untuk menilai pembelaan perayu oleh hakim bicara. Susulan huraian di atas dan berpandukan kes Tunde Apatira & Ors v PP (supra), Abillah Labo Khan v PP (supra) dan PP v Abdul Manaf Muhamad Hassan,(supra), kami berpendapat keadaan kes ini tidak mewajarkan kami untuk mengguna pakai dan melaksanakan budi bicara di bawah s. 60(1) Akta Mahkamah Kehakiman 1964 sepertimana yang disarankan oleh TPR.

Kesimpulan

[25] Berdasarkan alasan-alasan di atas, kami sebulat suara berpendapat adanya merit dalam rayuan perayu dan kami berpuas hati hakim bicara telah tersalah arah dengan tidak memandu dirinya dengan betul berkenaan dengan pemakaian sebenar larangan penggunaan anggapan bertindan tersebut. Dalam keadaan ini, kami bersetuju bahawa sabitan bagi kesalahan mengedar dadah berbahaya sepertimana perayu dituduh adalah tidak selamat. Bagaimanapun, kami mendapati adanya keterangan dan fakta yang mencukupi, sepertimana dipersetujui dan disyorkan oleh peguam perayu yang terpelajar, untuk mensabitkan perayu bagi kesalahan pemilikan di bawah s. 12(2) dibaca bersama dengan s. 39A(2) ADB 1952. Setelah mendengar penghujahan kedua-dua pihak berhubung dengan jenis dan tempoh hukuman, kami menjatuhkan hukuman pemenjaraan selama 20 tahun berkuat kuasa dari tarikh perayu ditangkap.

t.t

ABDUL KARIM BIN ABDUL JALIL
Hakim Mahkamah Rayuan

Tarikh: 1 Ogos 2018

COUNSEL

Bagi pihak Perayu: Nik Mohamed Ikhwan bin Nik Mahamud, Tetuan Nik Ikhwan & Co

Bagi pihak Responden: Tengku Amir Zaki bin Tengku Abdul Rahman, Timbalan Pendakwa Raya, Jabatan Peguam Negara

Legislation referred to:

Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen-seksyen 2, 12(2), 37(d), 37(da), 37(da)(xvi), 39A(2), 39B

Akta Mahkamah Kehakiman 1964, Seksyen 60(1)

Kanun Prosedur Jenayah, Seksyen 180(1)

Judgments referred to:

Abillah Labo Khan v PP [2002] 3 CLJ 521 (MP)

Leow Nghee Lim v Regina [1956] MLJ 28

Muhammad Hassan v PP [1998] 2 CLJ 170

PP v Abdul Manaf Muhamad Hassan [2006] 2 CLJ 129

PP v Tan Tatt Eek and Other Appeals [2005] 1 CLJ 713 (MP)

Public Prosecutor v Ang Boon Foo [1981] MLJ 40

Tunde Apatira & Ors v PP [2001] 1 CLJ 381

Notice: The Promoters of Malaysian Judgments acknowledge the permission granted by the relevant official/ original source for the reproduction of the above/ attached materials. You shall not reproduce the above/ attached materials in whole or in part without the prior written consent of the Promoters and/or the original/ official source. Neither the Promoters nor the official/ original source will be liable for any loss, injury, claim, liability, or damage caused directly, indirectly or incidentally to errors in or omissions from the above/ attached materials. The Promoters and the official/ original source also disclaim and exclude all liabilities in respect of anything done or omitted to be done in reliance upon the whole or any part of the above/attached materials. The access to, and the use of, Malaysian Judgments and contents herein are subject to the Terms of Use.