THE OFFICIAL REPOSITORY OF
MALAYSIAN JUDGMENTS & RULINGS

[2018] MYCA 101 MALAY

Herman Bin Mohd Amin v Pendakwa Raya
Suit Number: Rayuan Jenayah No. J-05(M)-253-06/2016  

Criminal law – Murder – Grievous hurt – Death sentence – Appeal

Criminal law – Whether the trial court failed to consider the possibility that the accused did not intend to cause death – Whether weapons used to kill or injure should be presented as exhibits Criminal law – Whether the trial court has applied the proper law – Whether the trial judge has properly appreciated the evidence – Whether the requirements of section 182A of the Criminal Procedure Code complied with

PENGHAKIMAN

Pendahuluan

[1] Perayu telah dituduh dengan dua pertuduhan. Pertuduhan Pertama adalah melakukan kesalahan bunuh hingga menyebabkan kematian ke atas Eyu Ah See @ Yeo Thiam Ser (No. K/P: 430713-01-5123) pada 11 September 2014 antara jam 9.00 malam hingga 9.30 malam di rumah No. 30, Jalan Pasar, Batu Pahat, Johor, kesalahan yang boleh dihukum di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan.

[2] Bagi Pertuduhan Kedua, perayu dituduh melakukan kesalahan secara dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas Yeo Thian Gark (No. K/P: 530324-01-5347), dengan bersenjatakan sebilah parang pada tarikh, masa dan tempat yang sama, iaitu kesalahan yang boleh di hukum di bawah seksyen 326 Kanun Keseksaan.

[3] Mahkamah Tinggi telah mendapati perayu bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan tersebut. Bagi Pertuduhan Pertama, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman mati terhadap perayu. Bagi Pertuduhan Kedua, Perayu dihukum penjara selama 10 tahun berkuatkuasa mulai daripada tarikh tangkap.

[4] Melalui Notis Rayuan bertarikh 26 Mei 2016, perayu telah merayu kepada Mahkamah ini bagi sabitan dan hukuman terhadap Pertuduhan Pertama. Pada 27 Disember 2017, Mahkamah ini telah mendengar rayuan perayu dan memutuskan untuk menolak rayuan perayu. Sabitan dan hukuman Mahkamah Tinggi ke atas perayu bagi Pertuduhan Pertama dikekalkan. Kami kini memberikan alasan keputusan tersebut.

Kes Pendakwaan

[5] Kes pihak pendakwaan adalah seperti berikut. Yeo Thian Gark (SP7) dan abangnya Eyu Ah See @ Yeo Thiam Ser (si mati) tinggal di rumah No. 30, Jalan Pasar, Batu Pahat, Johor. Pada 11.9.2014 sekitar jam 8.00 malam, SP7 berada di bilik SP7. Ketika itu si mati berada di ruang tamu bahagian hadapan rumah sedang berkaraoke. Sekitar jam 9.00 malam, SP7 mendengar seperti orang membuka pintu besi rumah tersebut. SP7 keluar daripada biliknya dan melihat seorang lelaki yang tidak dikenali telah memasuki rumah tersebut dengan tangan lelaki itu memegang sebilah pisau. Terkejut dengan apa yang dilihatnya, SP7 masuk segera ke biliknya dan mengunci pintu dan menjerit kepada si mati yang sedang menyanyi dengan perkataan “ada pencuri masuk rumah, pencuri ada bawa pisau, perlu ambil perhatian”. Seketika itu SP7 mendengar bunyi “errkk" dari si mati seperti telah kena tikam. SP7 keluar daripada biliknya dan mengambil sebuah kerusi plastik bagi menyelamatkan si mati. Ketika itu si mati dan lelaki yang masuk itu kelihatan sedang bergelutan kerana si mati ingin merampas pisau dari tangan lelaki tersebut. SP7 cuba membantu dengan mengangkat kerusi bagi memukul lelaki tersebut tetapi tidak dapat kerana SP7 terjatuh bersama kerusi yang dipegangnya. Lelaki tersebut telah menetak dan memukul kepala SP7 dengan pisau. SP7 dan si mati masih terus berusaha bagi merampas pisau daripada lelaki tersebut dan berlaku pergelutan. SP7 dan si mati juga menjerit meminta tolong daripada sepupu mereka bernama Pu Lin yang juga tinggal di rumah itu tetapi tiada siapa yang datang membantu. SP7 yang cedera telah lari masuk semula ke bilik SP7 dan terbaring di biliknya. Ketika itu SP7 tidak lagi mendengar suara si mati dan tidak tahu di mana lelaki tersebut berada. SP7 menyentuh kepala SP7 dan mendapati terdapat darah dan berlubang. Ketika itu juga lelaki yang memasuki rumah telah masuk ke bilik SP7 dan meminta wang. Di dalam ketakutan, SP7 memberikan dompet SP7 yang mengandungi wang kepada lelaki tersebut. Lelaki tersebut juga mengambil sebuah beg berwarna hitam yang mengandungi beberapa biji jam tangan dari bilik SP7 dan lelaki tersebut berlari keluar daripada rumah. SP7 telah dengan segera menelefon Yeo Tse May (SP4), iaitu anak perempuan si mati bagi memberitahu SP4 tentang kejadian rumah di masuki pencuri dan mereka di rompak dan si mati ditikam. SP4 dengan segera memandu kereta untuk datang ke rumah tersebut. Sementara itu SP7 mendekati si mati dan tetapi si mati tidak memberi sebarang respon. SP4 yang tiba di rumah tersebut juga cuba menggoyang badan si mati tetapi tiada respon dari si mati.

[6] Seketika kemudian, pegawai penyiasat kes ASP Junainah binti M. Kasbolah (SP10) tiba di rumah tersebut dan memerika si mati yang tidak lagi bernafas. Pemeriksaan pada mayat si mati oleh SP10 mendapati beberapa kesan tetakan di bahagian kepala, pinggang, lengan dan isi perut dalam keadaan terburai.

[7] Mayat si mati kemudiannya telah dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat. Mayat si mati telah dicamkan oleh SP4 dan SP10 sebelum bedah siasat dijalankan. Pada 12.9.2014, jam 4.30 petang, bedah siasat ke atas mayat si mati dilakukan oleh Dr. Mohamad Aznool Haidy bin Ahsorori (SP8) seorang pakar forensik Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru di Bilik Mayat Hospital Sultanah Nora Ismail. SP8 mengesahkan si mati mati disebabkan oleh “Stab Wound to the Abdomen” yang mana akibat dari kecederaan tikaman di abdomen tersebut telah menyebabkan ‘fatality’ secara terus dan membawa kepada kematian segera si mati.

[8] Pada 13.9.2014 sepasukan anggota polis yang diketuai oleh DSP Shafee bin Abd Samad (SP3) telah melakukan tangkapan ke atas perayu. Laporan tangkapan telah dibuat oleh SP3 (P37).

[9] Perayu kemudiannya telah dituduh dengan pertuduhan membunuh si mati. Perayu juga dituduh dengan pertuduhan mendatangkan kecederaan teruk ke atas SP7. Saksi SP7 telah mencamkan perayu dalam satu kawad cam yang dijalankan oleh pihak polis (SP5) sebagai lelaki yang telah masuk ke rumah tersebut dan mencederakan si mati dan SP7. SP7 juga membuat pengecaman ke atas perayu semasa memberi keterangan di mahkamah.

Dapatan Hakim Bicara Di Akhir Kes Pendakwaan

[10] Di akhir kes pendakwaan, YA Hakim bicara dalam memutuskan bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan satu kes prima facie, telah membuat dapatan berikut di muka surat 28-30 Rekod Rayuan Jilid 1:

“47. Sekarang apakah fakta dan keadaan di dalam kes ini sama ada mahkamah boleh membuat inferen bahawa tertuduh mempunyai niat atau pengetahuan untuk membunuh simati.

48. Simati mengalami satu luka tikaman pada bahagian kiri abdomen yang diakibatkan oleh objek tajam seperti pisau atau sebarang objek menyerupainya. Kecederaan ini adalah dalam iaitu 24cm dan bukan semata-mata luka hirisan (slash wound). Kecederaan sedemikian adalah dari tikaman yang terus dan bertenaga. Di samping itu simati juga mengalami luka hirisan dan tetakan berganda pada bahagian anggota atas yang diakibatkan oleh objek tajam seperti pisau atau sebarang objek menyerupainya. Simati juga mengalami luka hirisan dan tetakan berganda pada bahagian belakang tubuh dan belakang kanan pinggang yang diakibatkan oleh objek tajam seperti pisau atau sebarang objek yang menyerupainya. Tertuduh menggunakan senjata parang (pemahaman SP7 senjata tersebut adalah pisau) untuk mendatangkan kecederaan-kecederaan tersebut kepada simati. SP8 menyatakan kecederaan-kecederaan tersebut diakibatkan oleh objek tajam seperti pisau atau sebarang objek menyerupainya. Walaupun TPR tidak menunjukkan parang (P18A(1)) yang ditemui di rumah tersebut kepada SP8 ketika SP8 memberi keterangan, pada pendapat saya ianya tidak menjadi satu isu kerana adalah diketahui umum parang juga adalah suatu objek tajam. Sifat senjata yang digunakan oleh tertuduh untuk mencederakan simati iaitu parang, adalah senjata berbahaya.

49. Dengan kecederaan-kecederaan sedemikian rupa terutama luka tikaman di mana ianya adalah dari tikaman yang terus dan bertenaga disamping luka hirisan dan tetakan berganda serta sifat senjata yang digunakan oleh tertuduh untuk mendatangkan kecederaan-kecederaan tersebut kepada siamati adalah senjata berbahaya, inferen munasabah yang boleh dibuat adalah tertuduh mempunyai niat untuk menyebabkan kecederaan tubuh kepada simati.

50. Dari fakta dan keadaan di atas Mahkamah membuat inferen bahawa tertuduh mempunyai niat untuk menyebabkan kecederaan tubuh kepada si mati.

51. Keterangan SP8 menunjukkan simati mati akibat luka tikaman pada bahagian abdomen. Luka kecederaan ini boleh menyebabkan fatality secara terus dan menjurus kepada kematian cepat. Struktur organ dalam bahagian abdomen boleh menyebabkan pendarahan ekstensif yang menjurus kepada kematiannya. Luka hirisan dan tetakan berganda pada bahagian anggota atas boleh memberi kesan penyumbang kepada kematian.

52. Kecedaan-kecederaan tubuh yang diniatkan itu adalah cukup pada lazimnya untuk menyebabkan kematian simati. Darjah kebarangkalian (degree of probability) tentang kematian simati yang disebabkan oleh perbuatan tertuduh yang mencederakan tubuh simati adalah barangkali besar (most probable). Niat tertuduh untuk membunuh simati adalah terangkum di bawah seksyen 300(c) KK. Kecederaan-kecederaan tersebut tidak disebabkan oleh perbuatan diri sendiri atau kemalangan.

...

59. Saya mendapati bahawa pendakwaan telah berjaya membuktikan suatu kes prima facie terhadap tertuduh bagi kesalahan yang dipertuduhkan seperti mana pertuduhan di bawah seksyen 302 KK dan pertuduhan di bawah seksyen 326 KK. Dalam membuat dapatan bahawa pendakwaan telah berjaya membuktikan suatu kes prima facie terhadap tertuduh bagi kesalahan yang dipertuduhkan sepertimana pertuduhan di bawah seksyen 302 KK dan pertuduhan di bawah seksyen 326 KK, saya mendapati bahawa pendakwaan telah mengemukakan keterangan boleh dipercayai yang membuktikan setiap satu elemen kesalahan bagi pertuduhan di bawah seksyen 302 KK dan pertuduhan di bawah seksyen 326 KK. Keterangan saksi-saksi telah diuji di dalam pemeriksaan balas. Keterangan mereka adalah sejajar (consistent), mantap dan tidak digoyah semasa pemeriksaan balas. Keterangan mereka juga tidak ada percanggahan yang ketara. Oleh itu kebolehkepercayaan mereka amat meyakinkan dan boleh dipercayai kebenaran keterangan mereka. Mereka adalah saksi yang boleh dipercayai (credible).”

[11] Perayu diperintahkan membela diri atas pertuduhan yang dikemukakan terhadapnya.

Pembelaan Perayu

[12] Perayu mengatakan pada petang tersebut perayu telah mengambil alkohol dan dadah. Perayu mengatakan bahawa perayu memasuki rumah si mati bagi tujuan melakukan samun. Perayu mengatakan sebaik memasuki rumah tersebut, si mati yang berada di dalam rumah telah cuba menangkap perayu dan ketika itu seorang lagi (SP7) datang bagi membantu si mati menangkap perayu. Perayu mengatakan si mati telah mengambil sebilah parang dari bilik rumah tersebut bagi menetak perayu dan berlaku pergelutan di antara perayu dan si mati menyebabkan parang yang dipegang oleh si mati terjatuh ke atas lantai. SP7 yang datang membantu si mati juga turut terjatuh kerana ditendang oleh perayu. Perayu telah mengambil parang yang terjatuh itu. Perayu mengatakan simati masih berusaha menangkap perayu dan cuba memukul perayu dengan kerusi. Perayu mengatakan cuba untuk melarikan diri tetapi si mati masih cuba menangkap perayu. Perayu telah menetak dan menikam si mati dengan parang yang diambil daripada atas lantai. Perayu mengatakan bahawa perayu terpaksa menggunakan parang tersebut bagi mempertahankan diri. Perayu kemudian telah dapat keluar daripada rumah tersebut meninggalkan si mati dan SP7 yang telah cedera. Perayu mengatakan bahawa perayu tidak mempunyai niat untuk membunuh si mati.

Dapatan Dan Keputusan Hakim Bicara Di Akhir Kes Pembelaan

[13] Di akhir kes pembelaan, YA Hakim Bicara telah membuat dapatan berikut (muka surat 44-45 Rekod Rayuan Jilid 1):

“84. Keterangan yang ada di hadapan mahkamah lebih dari mencukupi untuk membuktikan niat. Satu kecederaan pada tubuh simati iaitu luka tikaman pada bahagian kiri abdomen adalah disebabkan oleh senjata berbahaya iaitu parang. Kecederaan adalah dalam iaitu 24cm dan bukannya semata-mata luka hirisan. Kecederaan sedemikian rupa adalah dari tikaman yang terus dan bertenaga. Di samping itu simati juga mengalami luka hirisan dan tetakan berganda pada bahagian anggota atas disebabkan oleh senjata berbahaya iaitu parang. Si mati juga mengalami luka hirisan dan tetakan berganda pada bahagian belakang tubuh dan belakang kanan pinggang yang disebabkan oleh senjata berbahaya iaitu parang. Dengan kecederaan-kecederaan sedemikian rupa terutama kecederaan pada bahagian kiri abdomen, akibat dari tikaman yang terus dan bertenaga adalah tidak logik tertuduh tidak mempunyai niat untuk menyebabkan kecederaan serius kepada simati. Telah dibuktikan melampaui keraguan yang munasabah bahawa tertuduh mempunyai niat untuk membunuh simati iaitu tertuduh mempunyai niat untuk menyebabkan kecederaan tubuh ke atas simati dan kecederaan tubuh yang diniatkan itu terutama luka tikaman pada bahagian kiri abdomen mencukupi pada lazimnya untuk menyebabkan kematian disamping luka hirisan dan tetakan berganda pada bahagian anggota atas yang boleh memberi kesan penyumbang kepada kematian simati. Kecederaan-kecederaan ini tidak diakibatkan oleh perbuatan diri sendiri atau diakibatkan oleh kemalangan. Kecederaan luka tikaman tidak beriaku semasa pergelutan atau akibat dari tindakan mempertahankan diri. Kecederaan luka hirisan dan tetakan berganda pada bahagian anggota atas boleh juga berlaku semasa pergelutan dan akibat daripada tindakan mempertahankan diri.

85. Fakta bahawa episod bermula dengan rompakan tetapi berakhir dengan kematian si mati bukanlah satu pembelaan terhadap pertuduhan bunuh yang dihadapkan ke atas tertuduh. Perbuatan jenayah tertuduh adalah terangkum di bawah seksyen 302 KK dan niat tertuduh adalah terangkum di bawah seksyen 300(c) KK. Kehendak seksyen 300 KK telah dipenuhi dan telah dibuktikan oleh pendakwaan, dalam kes ini seksyen 300(c) KK.”

[14] Dalam isu berkaitan pembelaan perayu bahawa kecederaan yang ditimpakan ke atas si mati berlaku semasa hak mempertahankan diri, YA Hakim Bicara membuat dapatan berikut (muka surat 43 Rekod Rayuan Jilid 1):

“81. Di dalam pemeriksaan balas peguambela tertuduh langsung tidak mencadangkan kepada SP7 bahawa tertuduh telah ditetak dengan parang, bahawa simati dan SP7 telah menyerang tertuduh dengan parang dan kayu, dan bahawa tertuduh tidak dapat lari keluar kerana SP7 telah mengunci pintu grill tersebut. Perkara-perkara ini hanya timbul pertama kali ketika tertuduh memberi keterangan. Adalah jelas ianya merupakan satu pemikiran terkemudian (an afterthought) dan mahkamah menolaknya.

82. Dari fakta dan keadaan dalam kes ini, saya mendapati bahawa tertuduh tidak ada menghadapi sebarang ancaman bahaya bencana kepada tubuh badannya sama ada dari si mati mahupun SP7. Memandangkan tertuduh tidak menghadapi sebarang ancaman bahaya bencana kepada tubuh badannya dari si mati dan atau SP7, maka tidak ada ketakutan yang munasabah akan bahaya bencana kepada tubuh badannya. Berdasarkan kepada fakta dan keadaan dalam kes ini hak pertahanan persendirian tidak terpakai kepada tertuduh. Kecualian 2 kepada seksyen 300 KK tidak terpakai.”

[15] Di akhir perbicaraan, Hakim Bicara mendapati perayu bersalah dan disabitkan dengan pertuduhan dan dihukum dengan hukuman mati.

Rayuan Perayu

[16] Semasa pendengaran rayuan ini, peguambela terpelajar bagi pihak perayu mengemukakan dua alasan rayuan berikut:

(a) Hakim Bicara telah gagal menimbangkan bahawa daripada jenis kecederaan yang dialami oleh si mati, Perayu tidak berniat menyebabkan kematian ke atas si mati dalam maksud membunuh di bawah seksyen 300(c) Kanun Keseksaan;

(b) senjata parang (P18A(1)) yang dikatakan sebagai senjata yang digunakan untuk mendatangkan kecederaan ke atas si mati telah tidak ditunjukkan kepada saksi SP8 bagi memberikan pendapat ke atasnya.

Keputusan Mahkamah Ini

[17] Peguambela terpelajar menghujahkan bahawa tujuan perayu memasuki rumah si mati adalah bagi melakukan samun dan kecederaan yang berlaku ke atas si mati iaitu tikaman, tetakan dan hirisan tidak dilakukan oleh perayu dengan niat untuk menyebabkan kematian. Dengan yang demikian perayu tidak melakukan kesalahan membunuh si mati di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan tetapi lebih merupakan kesalahan di bawah seksyen 304 Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan mematikan orang dengan salah yang tidak terjumlah kepada kesalahan membunuh orang.

[18] Apakah jenis kecederaan yang telah dialami oleh si mati? Keterangan oleh SP8 telah membutirkan jenis-jenis kecederaan yang telah dialami oleh si mati, adalah seperti berikut (muka surat 137-138 Rekod Rayuan Jilid 2):

Tanda-tanda Kecederaan

1. Luka hirisan 5x1 cm pada bahagian sebelah sisi kanan dahi. la telah menyebabkan sedikit lebam kulit kepala beserta tiada takikan tulang. Rujuk gambar bedah siasat 17 dan 18.

2. Luka calar 2x0.5 cm pada pipi kanan. Tiada tulang patah. Boleh dirujuk dalam gambar bedah siasat 19.

3. Luka calar 0.5x0.5 cm pada hidung. Tiada tulang patah. Boleh dirujuk dalam gambar bedah siasat 20.

4. Luka calar 1x0.5 cm pada bahagian hadapan kiri leher. Boleh dirujuk dalam gambar bedah siasat 21.

5. Luka tetakan menyerong 8x2 cm pada bahagian hadapan luar bahu kanan beserta kedalamannya 4 cm. la telah mencederakan tisu lembut, struktur neurovascular dan otot namun tiada tulang patah. Bahagian bawah hujung luar adalah 2 cm 'tailing'. Boleh dirujuk dalam gambar bedah siasat 22.

6. Luka calar 1x1 pada siku kanan. Tiada tulang pecah. Boleh dirujuk dalam gambar bedah siasat 23.

7. Luka hirisan dangkal/ cetek 7x0.1 cm pada bahagian belakang jari ketiga, keempat dan kelima tangan kanan. Tiada kesan takik pada tulang. Boleh dirujuk dalam gambar bedah siasat 24.

8. Luka tetak (mendalam serong) 20x5 cm pada bahagian dalam kiri siku. la telah mencederakan tisu lembut, struktur neurovascular dan otot namun tiada kesan takik pada tulang. Kedua-dua hujungnya terdapat 'ekor'. Boleh dirujuk dalam gambar besah siasat 26 dan 27.

9. Luka hirisan dangkal/ cetek 5x0.1 cm pada bahagian tapak tangan kiri melanjut ke pergelangan tangan kiri. Boleh dirujuk dalam gambar bedah siasat 28.

10. Luka hirisan (mendalam serong) 2x2 cm pada tapak tangan kiri (bahagian pangkal ibu jari kiri), la telah mencederakan tisu lembut, struktur neurovascular dan otot namun tiada kesan takik pada tulang. Boleh dirujuk dalam gambar bedah siasat 29.

11. Luka hirisan 3x1 cm pada bahagian tapak tangan kiri (jari keempat). la telah mencederakan tisu lembut, struktur neurovascular dan otot tambahan lagi ia juga telah menyebabkan 'cut fracture' pangkal tulang jari keempat. Boleh dirujuk dalam gambar bedah siasat 30 dan 31.

12. Luka tikam menegak 9x4 cm pada bahagian kuadran hadapan atas abdomen. Kedalaman 24 cm. la menunjukkan satu bahagian hujung tajam pada posisi jam 12 dan hujung tumpul pada posisi jam 6. la telah mencederakan otot, terpotong tisu omentum, terpotong struktur salur darah Mesenteri, transaksi total Kolon Transvers dan salur darahnya, transeksi total pancreas dan salur darahnya dan Otot Psoas Kanan. Terdapat juga 2 luka hirisan dangkal/ cetek melintang 5x05 cm dan 2x01 cm pada bahagian kuadran hadapan bawah kiri abdomen. Boleh dirujuk dalam gambar bedah siasat 32, 33 dan 34.

13. Satu luka hirisan menyerong 14x0.4 cm pada bahagian belakang kanan tubuh (scapula kanan). Boleh dirujuk dalam gambar bedah siasat 35 dan 36.

14. Satu luka hirisan menyerong dangkal/ cetek 1x0.2 cm pada bahagian belakang torso tengah (belakang dinding dada). Boleh dirujuk dalam gambar bedah siasat 35 dan 37.

15. Luka tetak 26x7 cm dengan kedalaman 7 cm pada bahagian belakang kanan pinggang melanjut ke bahagian luar kanan abdomen, la telah mencederakan tisu lembut dan kesan takik pada tulang pinggul kanan. Tiada tisu organ yang terlibat tercedera. Boleh dirujuk dalam gambar bedah siasat 38.

[19] SP8 seterusnya membuat kesimpulan dan pendapat seperti berikut (muka surat 140-141 Rekod Rayuan Jilid 2):

Secara Kesimpulannya

1. Tiada tanda penyakit secara kasar yang signifikan dijumpai pada tubuh yang boleh menyebabkan atau menyumbang secara terus pada ketika kematiannya.

2. Pemeriksaan bedah siasat menunjukkan satu kes tikaman yang signifikan pada bahagian kiri abdomen yang bersesuaian dengan kecederaan diakibatkan oleh objek tajam seperti pisau atau sebarang objek menyerupainya. la menunjukkan suatu kesan tikaman yang terus dan bertenaga.

Pada pendapat saya, luka kecederaan ini boleh menyebabkan fatality secara terus dan menjurus kepada kematian cepat 'immediate'.

3. Terdapat luka hirisan dan tetakan berganda pada bahagian anggota atas. Kecederaan-kecederaan tersebut adalah sesuai dengan kecederaan yang diakibatkan oleh objek tajam seperti pisau atau sebarang objek menyerupainya.

Pada pendapat saya, kecederaan-kecederaan tersebut boleh memberi kesan penyumbang kepada kematiannya.

(Adjuvant, worsened and fastened the fatality condition)

Kecederaan tersebut juga boleh berlaku akibat semasa pergelutan atau/dan akibat dari tindakan mempertahankan diri.

4. Terdapat luka hirisan dan tetakan berganda pada bahagian belakang tubuh dan belakang kanan pinggang yang bersesuaian diakibatkan oleh objek tajam seperti pisau atau sebarang objek yang menyerupainya.

5. Pada pendapat saya, kecederaan-kecederaan tersebut adalah TIDAK sesuai dengan corak akibat perbuatan diri sendiri atau diakibatkan oleh corak kemalangan.

6. Penemuan hasil bedah siasat adalah sesuai dengan Luka Tikaman pada bahagian abdomen

Pada pendapat saya, corak adalah bersesuaian dengan homisid.

[20] Jelasnya, keterangan SP8 mengesahkan si mati mati akibat daripada luka tikaman yang dalam pada bahagian abodomen kiri. Luka hirisan dan tetakan berganda pada bahagian anggota badan si mati juga telah memberi kesan penyumbang kepada kematian si mati. Kesan tikaman sedalam 24cm akibat tikaman objek tajam menyerupai pisau telah dilakukan secara terus dan bertenaga. Kecederaan tersebut telah menyebabkan fatality secara terus kepada struktur organ dalam bahagian obdomen dan menjurus kepada kematian cepat. Si mati disahkan mati di tempat kejadian.

[21] Seksyen 300 Kanun Keseksaan memperuntukkan seperti berikut:

300. Membunuh orang

Kecuali dalam hal-hal yang dikecualikan kemudian daripada ini, mematikan orang dengan salah ialah membunuh orang:-

(a) Jika perbuatan yang menyebabkan kematian itu dilakukan dengan niat hendak menyebabkan kematian;

(b) Jika perbuatan itu dilakukan dengan niat hendak menyebabkan sesuatu bencana tubuh yang pesalah itu ketahui mungkin menyebabkan kematian orang yang dikenakan bencana itu;

(c) Jika perbuatan itu dilakukan dengan niat hendak menyebabkan bencana tubuh kepada mana-mana orang, dan bencana tubuh yang dimaksudkan hendak dikenakan itu adalah cukup, pada lazimnya, bagi menyebabkan kematian; atau

(d) Jika orang yang melakukan perbuatan itu ketahui bahawa perbuatan itu adalah berbahaya sehingga boleh menyebabkan kematian, atau sesuatu bencana tubuh yang mungkin menyebabkan kematian, dan dia melakukan perbuatan itu dengan tiada apa-apa sebab bagi mendatangkan bahaya menyebabkan kematian, atau bencana sebagaimana tersebut itu.

[22] Bagi memahami kaedah pemakaian seksyen 300 tersebut, dalam kes Mohd Asmadi Yusof v PP [2011] 1 CLJ 41, Mahkamah Persekutuan di muka surat 49 memberikan panduan seperti berikut:

“[21] Section 299 of the Code defines culpable homicide and it reads:

Whoever causes death by doing an act with the intention of causing death, or with the intention of causing such bodily injury as is likely to cause death, or with the knowledge that he is likely by such act to cause death, commits an offence of culpable homicide.

Clauses (a), (b) and (c) of s. 300 of the Code contemplate ‘intention’ and in clause (a) it is intention to cause death while in clause (b) and (c) it is intention to cause bodily injury. On the other hand, ‘intention’ is not a necessary element in clause (d) and all that is required to be proved is knowledge that the act is likely to cause death. In Santosh v. The State of Madhya Pradesh [1975] Cri. LJ 602, in dealing with s. 300 of the Indian Penal Code, Beg J held (at p. 603) as follows:

An intention to kill is not required in every case. A knowledge that the natural and probable consequences of an act would be death will suffice for a conviction under section 302, IPC (See also Kenneth Fook Mun Lee v PP [2006] 4 CLJ 359).”

[23] Keterangan menunjukkan perayu sedar dan tahu ke atas perlakuan yang dilakukannya ke atas si mati dan SP7. Senjata parang adalah sejenis senjata tajam yang berbahaya yang bukan sahaja boleh digunakan untuk melakukan tetakan dan hirisan tetapi juga untuk menikam mangsa. Kekuatan dan tenaga ketika melakukan tikaman atau tetakan akan membawa kecederaan kepada mangsa ditambah lagi dengan kedalaman kecederaan yang ditimpakan ke atas bahagian tubuh badan mangsa. Dalam kes ini perlakuan perayu yang menikam secara terus dan bertenaga ke atas abdomen si mati sebelah kiri pinggang telah menyebabkan fatality secara terus dan membawa kepada kematian si mati secara segera (immediately). Tikaman dengan kedalaman 24cm ke atas abdomen si mati telah “mencederakan otot, terpotong tisu omentum, terpotong struktur salur darah Mesenteri, transksi total Kolon Transvers dan saluran darahnya, transaksi total pancreas dan saluran darahnya dan Otot Psoas Kanan si mati”. SP8 mengatakan kecederaan tersebut menyebabkan fatality secara terus dan membawa kepada kematian segera si mati. Si mati berumur 71 tahun. SP7 berumur 61 tahun. Perayu berumur berumur 32 tahun ketika kejadian.

[24] Berasaskan kepada keterangan yang dihuraikan di atas, kami berpendapat perayu mempunyai niat menyebabkan bencana tubuh ke atas si mati yang secara lazim kecederaan sedemikian adalah cukup bagi menyebabkan kematian. Justeru, kami dapati Hakim Bicara adalah betul dan tidak melakukan sebarang salaharahan ke atas dirinya apabila mendapati perayu telah melakukan kesalahan bunuh di bawah seksyen 300(c) Kanun Keseksaan. Prinsip undang-undang adalah mantap bahawa motif bukan merupakan sebahagian daripada unsur yang perlu dibuktikan bagi kesaiahan membunuh (lihat Dato’ Mohktar bin Hashim & Anor v Public Prosecutor [1983] 2 CLJ 10; [1983] CLJ (Rep) 101). Kami menolak hujahan peguambela terpelajar dalam isu ini.

Isu pisau eksibit P18A(1) tidak ditunjukkan kepada SP8

[25] Peguambela terpelajar telah menghujahkan bahawa kegagalan pihak pendakwaan menunjukkan eksibit P18A(1) iaitu sebilah parang (pisau panjang) kepada SP8 telah menimbulkan keraguan ke atas kes pendakwaan sama ada P18A(1) adalah senjata yang telah digunakan bagi mendatangkan kecederaan ke atas si mati.

[26] YA Hakim Bicara telah menimbangkan isu eksibit P18A(1) yang telah tidak ditunjukkan oleh pihak pendakwaan semasa SP8 memberi keterangan, seperti berikut (muka surat 28 Rekod Rayuan Jilid 1):

“48. Si mati mengalami satu luka tikaman pada bahagian kiri abdomen yang diakibatkan oleh objek tajam seperti pisau atau sebarang objek menyerupainya. Kecederaan ini adalah dalam iaitu 24cm dan bukan semata-mata luka hirisan (slash wound). Kecederaan sedemikian adalah dari tikaman yang terus dan bertenaga. Di samping itu si mati juga mengalami luka hirisan dan tetakan berganda pada bahagian anggota atas yang diakibatkan oleh objek tajam seperti pisau atau sebarang objek menyerupainya. Simati juga mengalami Iuka hirisan dan tetakan berganda pada bahagian belakang tubuh dan belakang kanan pinggang yang diakibatkan oleh objek tajam seperti pisau atau sebarang objek yang menyerupainya. Tertuduh menggunakan senjata parang (pemahaman SP7 senjata tersebut adalah pisau) untuk mendatangkan kecederaan-kecederaan tersebut kepada si mati. SP8 menyatakan kecederaan-kecederaan tersebut diakibatkan oleh objek tajam seperti pisau atau sebarang objek menyerupainya. Walaupun TPR tidak menunjukkan parang (P18A(1)) yang ditemui di rumah tersebut kepada SP8 ketika SP8 memberi keterangan, pada pendapat saya ianya tidak menjadi satu isu kerana adalah diketahui umum parang juga adalah suatu objek tajam. Sifat senjata yang digunakan oleh tertuduh untuk mencederakan si mati iaitu parang, adalah senjata berbahaya.”

[27] Kami berpendapat YA Hakim Bicara tidak tersalah arah dalam keputusannya. Keterangan SP7 adalah nyata dan tidak tercabar bahawa senjata tajam berupa pisau panjang telah digunakan oleh perayu semasa mencederakan si mati dan SP7. Keterangan SP8 juga mengesahkan bahawa kecederaan yang dialami oleh si mati, iaitu tikaman, tetakan dan hirisan adalah diakibatkan oleh penggunaan objek tajam. Undang-undang juga tidak menjadikan satu kewajipan bahawa senjata yang digunakan hendaklah diperolehi dan dikemukakan sebagai eksibit. Keterangan pihak pendakwaan masih boleh berdiri walau pun tanpa senjata yang digunakan dalam perlakuan jenayah ditemui dan dikemukakan dengan adanya keterangan saksi yang telah melihat kejadian dan menjelaskan bentuk senjata yang telah digunakan bagi mendatangkan kecederaan dan keterangan oleh saksi pakar seperti SP8 yang mengesahkan kecederaan si mati adalah diakibatkan oleh tikaman objek tajam seperti pisau atau sebarang objek menyerupainya.

[28] Lazimnya pembuktian niat sesorang tertuduh atau individu, jika keterangan secara langsung tidak terdapat masih boleh dibuktikan secara inferens melalui keterangan dan perlakuan tertuduh (lihat Lee Fah Sang v PP [1967] 2 MLJ 163; Lim Heng Soon & Anor v PP [1970] 1 MLJ 166; Lai Kim Hon & Ors v PP [1981] 1 MLJ 84; Dato’ Mokhtar bin Hashim & Anor v PP [1983] 2 CLJ, [1983] CLJ (Rep) 101; Khoo Hi Chiang v PP [1994] 2 CLJ 151). Niat untuk membunuh juga dapat dibuat inferen daripada jenis kecederaan yang telah ditimpakan ke atas si mati (lihat Sainal Abidin bin Mading v PP [1999] 4 CLJ 215; Juraimi bin Husin v PP [1998] 2 CLJ 383). Si mati dalam kes di hadapan kami telah mengalami 15 jenis kecederaan. Tikaman di bahagian abdomen kiri sedalam 24cm yang dilakukan secara terus dan bertenaga oleh perayu dengan sebilah pisau panjang merupakan kecederaan ‘fatality’ yang telah membawa kematian segera si mati. Tikaman dengan kedalaman 24cm telah mencederakan otot, terpotong tisu omentum, terpotong struktur salur darah Mesenteri, transaksi total Kolon Transvers dan saluran darahnya, transaksi total pancreas dan saluran darahnya dan Otot Psoas Kanan si mati. Keterangan SP8 mengesahkan kecederaan tikaman sedalam 24cm di abdomen simati adalah fatal. Keterangan SP10 mengatakan semasa tiba di rumah tempat kejadian, tali perut si mati telah terburai keluar. Justeru, hujahan oleh peguambela terpelajar dalam isu ini tidak mempunyai merit.

[29] Bagi kecederaan yang berlaku akibat daripada tikaman (stabbing wounds), Ratanlal & Dhirajlal’s Law of Crimes, 25th edn, di muka surat 1315-1316 mengatakan seperti berikut:

"... Where the accused inflicted a stab with a sharp-pointed weapon which entered the upper part of the deceased’s stomach, causing rupture of it and of the peritoneum, it was held that his act came within this clause (third clause of section 300). If a person stabs another in the abdomen with sufficient force to penetrate the abdominal wall and the internal viscera, he must undoubtedly be held to have intended to cause injury sufficient in the ordinary course of nature to cause death. It is not necessary that the accused must have the intention to inflict those injuries which he knew were sufficient in the ordinary course of nature to cause death. It would suffice if he intended to cause those injuries which were actually caused by him. If the medical evidence showed that those injuries were sufficient in the ordinary course of nature to cause death, the accused would then be guilty of murder under section 302...

... the person who uses a sword or aruval chopping of an arm of a leg and by doing so severs the arteries of the arms or the leg, must know that he is inflicting an injury which in the ordinary course of nature is sufficient to cause death. The offence in that case is clearly murder. Where the accused stabbed the deceased only once in a vital part of the body and the deceased died as a result of that injury and the injury was one which in the ordinary course would have cause death, it was held that the accused was guilty of murder.

The mere fact that the deceased might have been saved if expert medical evidence had been afforded at once makes no difference as to the nature of the crime...”.

[30] Sebelum kami mengakhiri penghakiman ini, kami juga berpuas hati di atas dapatan oleh Hakim Bicara bahawa perayu telah dicamkan dengan positif oleh SP7 yang dapat melihat dengan jelas wajah dan bentuk fisikal perayu semasa serangan yang mendatangkan kecederaan ke atas si mati dan SP7. YA Hakim Bicara tidak tersalah arah dalam menerima keterangan SP7 yang mengecamkan perayu semasa kawad cam yang dikendalikan oleh Insp. Wealy Anak James (SP5). SP7 juga mengecamkan perayu di kandang tertuduh semasa memberi keterangan di Mahkamah (dock identification) (lihat Ong Poh Cheng v PP [1998] 4 CLJ 1, Arumugam Muthusamy v PP [1998] 3 CLJ 597, Jaafar bin Ali v PP [1998] 4 MLJ 406). Keterangan dan kualiti pengecaman oleh SP7 ke atas perayu tidak tercabar dan diterima sebagai kredibel oleh Hakim Bicara.

[31] YA Hakim Bicara juga telah dengan panjang lebar menimbangkan sama ada perayu layak mendapat faedah keraguan daripada pembelaan bahawa kecederaan yang ditimpakan ke atas si mati dan SP7 berlaku kerana perayu mempertahankan diri dari ditangkap atau dicederakan oleh si mati dan SP7. YA Hakim Bicara telah menolak pembelaan tersebut dan memberikan alasan-alasan berbuat demikian. Keterangan SP7 tidak dicabar oleh pembelaan untuk mengatakan bahawa si mati dan SP7 ditikam, atau ditetak atau dihiris oleh perayu semasa proses mempertahan diri oleh perayu. Keterangan pembelaan pertahanan diri hanya ditimbulkan semasa kes pembelaan diri perayu. Walau apa pun keadaan, perayu tidak boleh melepasi hak mempertahankan diri (private defence) jika kebimbangan terhadap keselamatan dan kecederaan diri telah terhenti atau bahaya tersebut telah tidak lagi wujud berterusan (Vijaya v PP [1975] 2 MLJ 8). Perayu telah mengambil peluang dan bertindak secara kejam dan tidak berperasaan langsung akan akibat perbuatannya dalam mendatangkan kecederaan yang berganda dan fatal ke atas si mati. Justeru, pengecualian-pengecualian yang terdapat di bawah seksyen 300 Kanun Keseksaan tidak boleh diberikan faedah ke atas perayu. Kami bersetuju sepenuhnya dengan dapatan oleh Hakim Bicara tersebut.

Kesimpulan

[32] Berdasarkan alasan-alasan yang telah kami huraikan, kami berpuas hati bahawa YA Hakim Bicara telah mengarahkan dirinya dengan betul terhadap undang-undang yang terpakai dan telah meneiiti keseluruhan keterangan yang dikemukakan dalam kes ini dalam membuat dapatan ke atasnya (Chan Chor Shuh v PP [2003] 1 CLJ 501). Kehendak seksyen 182A Kanun Prosedur Jenayah (Akta 593) telah dipatuhi. Tidak terdapat sebarang aiasan atau merit untuk Mahkamah ini mengganggu keputusan Hakim Bicara tersebut. Sabitan terhadap perayu adalah selamat.

[33] Justeru, Mahkamah ini menolak rayuan perayu dan mengekalkan sabitan dan hukuman oleh Mahkamah Tinggi.

YAACOB BIN HAJI MD SAM
Hakim
Mahkamah Rayuan Malaysia

Bertarikh: 23 Mac 2018

COUNSEL

Peguamcara bagi pihak Perayu: Muhammad bin Abd Kadir, Tetuan Mohammad Abd Kadir & Co, Peguambela & Peguamcara, 02-20 Block 7, Danga Bay, Jalan Skudai, 80200 Johor Bahru, Johor

Peguamcara bagi pihak Responden: Muhammad Azmi bin Mashud, Timbalan Pendakwa Raya, Jabatan Peguam Negara, Bahagian Perbicaraan & Rayuan, Aras 5, No. 45, Lot 4G7, Presint 4, Persiaran Perdana, 62100 Putrajaya

Legislation referred to:

Kanun Keseksaan, Seksyen-seksyen 300(c), 302, 304, 326

Kanun Prosedur Jenayah (Akta 593), Seksyen 182A

Judgments referred to:

Arumugam Muthusamy v PP [1998] 3 CLJ 597

Chan Chor Shuh v PP[2003] 1 CLJ 501

Dato’ Mohktar bin Hashim & Anor v Public Prosecutor [1983] 2 CLJ 10; [1983] CLJ (Rep) 101

Jaafar bin Ali v PP [1998] 4 MLJ 406

Juraimi bin Husin v PP[1998] 2 CLJ 383

Khoo Hi Chiang v PP [1994] 2 CLJ 151

Lai Kim Hon & Ors v PP [1981] 1 MLJ 84

Lee Fah Sang v PP [1967] 2 MLJ 163

Lim Heng Soon & Anor v PP [1970] 1 MLJ 166

Mohd Asmadi Yusof v PP [2011] 1 CLJ 41

Ong Poh Cheng v PP [1998] 4 CLJ 1

Sainal Abidin bin Mading v PP [1999] 4 CLJ 215

Vijaya v PP [1975] 2 MLJ 8

Notice: The Promoters of Malaysian Judgments acknowledge the permission granted by the relevant official/ original source for the reproduction of the above/ attached materials. You shall not reproduce the above/ attached materials in whole or in part without the prior written consent of the Promoters and/or the original/ official source. Neither the Promoters nor the official/ original source will be liable for any loss, injury, claim, liability, or damage caused directly, indirectly or incidentally to errors in or omissions from the above/ attached materials. The Promoters and the official/ original source also disclaim and exclude all liabilities in respect of anything done or omitted to be done in reliance upon the whole or any part of the above/attached materials. The access to, and the use of, Malaysian Judgments and contents herein are subject to the Terms of Use.