THE OFFICIAL REPOSITORY OF
MALAYSIAN JUDGMENTS & RULINGS

[2018] MYCA 302 MALAY

Hazrin Izzuddin Bin Jamaluddin and 30 Others v Pendakwa Raya
Suit Number: Rayuan Jenayah No. W-09-33-01/2017 

PENGHAKIMAN

[1] Ini ialah rayuan Perayu-perayu terhadap keputusan Hakim Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan Perayu-perayu supaya perintah-perintah pembekuan dan penyitaan harta Perayu-perayu dan waran tangkap yang telah dikeluarkan terhadap Perayu-perayu dibatalkan (“Permohonan tersebut”).

[2] Pada 20.11.2017, kami telah mendengar rayuan Perayu-perayu dan dengan sebulat suara menolak rayuan tersebut. Keputusan Hakim Mahkamah Tinggi disahkan dan dikekalkan. Berikut adalah alasan kami.

Latar Belakang

[3] Pada 2.2.2015 dan 12.2.2015, Inspektor Nur Asyikin binti Othman, Pegawai Penyiasat Polis Diraja Malaysia (“Pegawai Penyiasat”) telah mengeluarkan perintah-perintah pembekuan akaun di bawah Seksyen 44(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Kegiatan Haram 2001 (Akta 613) (“AMLATFAPUA”) terhadap Perayu-Perayu.

[4] Pada 13.3.2015, Pegawai Penyiasat telah mengeluarkan perintah-perintah penyitaan di bawah Seksyen 45(2) AMLATFAPUA terhadap kenderaan Perayu Ke-2, 13, 18 dan 19. Perintah-perintah pembekuan dan penyitaan tersebut dikeluarkan oleh Pegawai Penyiasat kerana dipercayai harta-harta yang dibekukan dan disita tersebut merupakan subjek kepada satu kesalahan jenayah di bawah Seksyen 4(1) AMLATFAPUA.

[5] Pada 29.4.2015, Timbalan Pendakwa Raya telah mengeluarkan notis di bawah Seksyen 50(1) AMLATFAPUA kepada institusi-institusi kewangan mengarahkan supaya institusi-institusi kewangan yang terlibat tidak melepaskan akaun-akaun Perayu-perayu yang telah dibekukan melalui perintah-perintah di bawah Seksyen 44(1).

[6] Pada 15.2.2016, peguamcara Perayu-perayu telah menulis satu surat kepada Jabatan Peguam Negara memohon supaya pembekuan dan penyitaan akaun dan kenderaan Perayu-perayu dilepaskan kerana tempoh sah laku perintah penyitaan telah tamat.

[7] Pada 2.3.2016, Jabatan Peguam Negara memaklumkan kepada peguamcara Perayu-Perayu bahawa harta Perayu-Perayu yang telah dibekukan dan disita tidak dapat dilepaskan kerana Pendakwa Raya telah memohon waran tangkap dikeluarkan terhadap Perayu-Perayu.

Prosiding di Mahkamah Tinggi

[8] Pada 6.6.2016, Perayu-perayu telah memfailkan Permohonan tersebut di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Alasan-alasan yang diberikan bagi menyokong permohonan tersebut dinyatakan oleh Perayu Pertama melalui afidavit yang diikrarkan dalam kapasitinya sebagai diri sendiri dan sebagai wakil kepada kesemua Perayu lain. Alasan-alasan yang dikemukakan adalah seperti berikut:-

(a) perintah-perintah pembekuan telah tamat tempoh kuat kuasa menurut Seksyen 44(5) AMLATFAPUA. Tempoh kuat kuasa perintah di bawah Seksyen 44(1) ialah sembilan puluh hari dari tarikh perintah-perintah tersebut.

(b) perintah-perintah penyitaan kenderaan telah tamat tempoh kuat kuasa menurut Seksyen 52A AMLATFAPUA. Tempoh kuat kuasa perintah di bawah Seksyen 45(2) ialah satu tahun dari tarikh perintah-perintah tersebut.

(c) tiada pendakwaan telah dibuat terhadap Perayu-Perayu dalam tempoh sah laku perintah-perintah tersebut.

(d) Pendakwa Raya (“Responden”) tidak mempunyai asas untuk mendakwa Perayu-perayu di bawah Seksyen 4(1) AMLATFAPUA kerana tiada bukti yang boleh mengaitkan Perayu-perayu dengan kesalahan tersebut.

(e) Responden telah bertindak dengan mala fide apabila telah memohon waran tangkap dikeluarkan terhadap Perayu-perayu semata-mata untuk mengatasi had masa.

(f) pembekuan dan penyitaan harta Perayu-perayu telah mengakibatkan kesusahan kepada Perayu-perayu. Perayu-perayu mengalami kerugian akibat larangan melakukan sebarang transaksi ke atas harta-harta tersebut.

[9] Melalui afidavit balasan yang diikrarkan oleh Timbalan Pendakwa Raya Asmah binti Musa bertarikh 20.10.2016, Responden mengesahkan bahawa Izin Mendakwa di bawah Seksyen 93 AMLATFAPUA telah dikeluarkan terhadap Perayu Pertama, Ke-2, 5, 6, 7, 8, 11, 12, 13, 14, 20, 21, 26 dan 31. Atas permohonan Responden, waran tangkap telah dikeluarkan oleh mahkamah terhadap Perayu-perayu tersebut.

[10] Perayu-perayu telah mengemukakan jawapan kepada afidavit balasan tersebut melalui afidavit Perayu Pertama yang diikrarkan pada 26.10.2016. Jawapan-jawapan yang diberikan adalah seperti berikut:-

(a) kegagalan Responden menjawab pernyataan dalam afidavit Perayu Pertama bahawa Pendakwa Raya tidak mempunyai asas untuk mendakwa Perayu-perayu dan tindakan Pendakwa Raya memohon waran tangkap terhadap Perayu-perayu dibuat dengan mala fide hendaklah dianggap sebagai persetujuan Pendakwa Raya terhadap pernyataan-pernyataan tersebut.

(b) tiada Izin Mendakwa dan waran tangkap telah dikeluarkan terhadap Perayu Ke-3, 4, 9, 10, 15, 16, 17, 18, 19, 22, 23, 24, 25, 27, 28, 29 dan 30. Harta Perayu-perayu tersebut hendaklah dikembalikan kepada mereka serta-merta kerana tempoh kuat kuasa perintah penyitaan telah luput tanpa sebarang pertuduhan dibuat terhadap mereka.

(c) tiada Izin Mendakwa dan waran tangkap dikeluarkan terhadap Perayu ke-6, 7 dan 8. Pendakwa Raya tidak boleh bersandarkan kepada Izin Mendakwa dan waran tangkap yang dikeluarkan terhadap Perayu Ke-5. Oleh itu, harta Perayu Ke-6, 7 dan 8 hendaklah dikembalikan kepada mereka serta-merta kerana tempoh kuat kuasa perintah penyitaan telah luput tanpa sebarang pertuduhan dibuat terhadap mereka.

(d) terdapat kekeliruan ketara dalam afidavit balasan Pendakwa Raya berhubung isu saat bermula pendakwaan dan saat seseorang dituduh.

[11] Responden kemudian memfailkan satu afidavit yang diikrarkan oleh Pegawai Penyiasat bertarikh 18.11.2016. Fakta-fakta yang dikemukakan dalam afidavit tersebut adalah seperti berikut:-

(a) hasil siasatan mendapati terdapat kelemahan dalam sistem Visa Fast Fund (“VFF”) kad debit Malayan Banking Berhad (“Maybank”). Transaksi pindahan wang yang dibuat dari jam 0000 hingga 0030 (waktu sistem tersebut offline) tidak di reject oleh sistem. Malah, sistem telah double credit ke dalam akaun pelanggan Maybank.

(b) hasil siasatan mendapati Perayu-perayu telah menggunakan akaun PayPal mereka dan membuat pindahan/ pengeluaran sewaktu sistem tersebut offline. Perayu-perayu mengambil kesempatan membuat pindahan/ pengeluaran wang pada waktu tersebut menjadikan akaun simpanan Maybank Perayu-perayu bertambah tanpa baki akaun PayPal mereka berkurang.

(c) Perbuatan Perayu-perayu telah mendorong Maybank membuat pemindahan wang secara salah ke dalam akaun yang melibatkan 86 pemilik akaun dan 11,664 transaksi. Akibatnya, Maybank mengalami kerugian sebanyak RM36,911,565.00.

(d) Setelah Maybank menubuhkan sistem pemantauan kad debit pada 29.1.2015, Maybank telah mengenal pasti transaksi-transaksi tersebut yang berlaku dari Ogos 2014 hingga Januari 2015.

(e) penyitaan akaun telah dilaksanakan terhadap akaun Perayu-perayu kecuali Perayu Ke-18 dan 22 manakala penyitaan kenderaan telah dilaksanakan terhadap kenderaan Perayu Ke-2, 13, 18 dan 19.

(f) harta Perayu-perayu yang disita merupakan subjek kepada kesalahan di bawah Seksyen 4(1) AMLATFAPUA. Harta-harta tersebut telah diperoleh hasil daripada aktiviti haram iaitu melalui penipuan yang merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan (Akta 574) (“KK”).

Dapatan Mahkamah Tinggi

[12] Pesuruhjaya Kehakiman mendapati pertuduhan terhadap Perayu-perayu telah dibuat apabila pendakwaan dimulakan. Pendakwaan bermula apabila Pendakwa Raya mengemukakan Izin Mendakwa beserta pertuduhan terhadap Perayu-perayu ke mahkamah. Mahkamah telah “take cognizance” pertuduhan-pertuduhan tersebut apabila mahkamah mengeluarkan waran tangkap terhadap Perayu-perayu bertarikh 29.1.2016, 31.1.2016 dan 1.2.2016. Dalam membuat dapatan ini, Pesuruhjaya Kehakiman telah merujuk kes Tengku Abdul Aziz v Public Prosector [1951] 1 MLJ 185. Mahkamah Rayuan dalam kes ini menyatakan seperti berikut:-

“In our opinion, the section is acted upon when the Public Prosecutor applies to the court for the issue of process, and in this case that was done within the required period. It follows, therefore, that the case was properly before the court.”

[13] Pesuruhjaya Kehakiman menyatakan bahawa sesuatu pendakwaan bermula apabila pertuduhan dikemukakan. Namun, pertuduhan tersebut hanya mula berkuatkuasa apabila mahkamah take cognizance pertuduhan tersebut. Oleh itu, suatu prosiding jenayah hanya bermula apabila mahkamah mendapat tahu pertuduhan dalam prosiding tersebut dengan membenarkan permohonan waran tangkap dikeluarkan di bawah Seksyen 128 dan 136 Kanun Prosedur Jenayah (Akta 593) (“KPJ”) bagi menyiasat pertuduhan tersebut.

[14] Dalam membuat dapatan ini, Pesuruhjaya Kehakiman telah merujuk kes Public Prosecutor v Dato’ Yap Peng [1987] 2 MLJ 311. Mohamed Azmi SCJ dalam penghakimannya menyatakan seperti berikut:-

“...the normal legal position was that once the court had taken cognisance of the offence and was seized with jurisdiction to try the case, the institution of the proceedings by the Public Prosecutor was complete, because not only had the Public Prosecutor successful invited the court to take action, but also it was the scheme of the Criminal Procedure Code that trial follows cognisance and cognisance would be preceded by investigation. Criminal proceedings are in fact not instituted until the court has taken cognisance of the offence or offences under one or other of the clauses of subsection (1) of section 128 C.P.C. (see Sohoni Criminal Procedure Code [18th Ed.] Vol. 3 page 1885). Accordingly, once a court is seised with jurisdiction by taking cognisance of any offence under section 128 C.P.C., a host of judicial powers will flow to enable the court to proceed to trial and determine the dispute between the parties in accordance with law. In general, the court taking cognisance of the offence, is the dividing line between the sphere and domain of the executive and the judiciary, for cognisance by the court signals the submission of the executive to the jurisdiction of the court and marks the completion of the exercise of executive power to "institute" the criminal proceedings. From then on, the whole conduct of the proceedings should be within the exclusive judicial power of the court until its conclusion.”

[15] Berdasarkan kes-kes yang dirujuk di atas, Pesuruhjaya Kehakiman memutuskan bahawa prosiding jenayah telah dimulakan terhadap Perayu-perayu apabila Izin Mendakwa bertarikh 28.1.2016 dikemukakan ke mahkamah dan waran tangkap bertarikh 29.1.2016, 31.1.2016 dan 1.2.2016 dikeluarkan oleh mahkamah.

[16] Memandangkan perintah-perintah pembekuan telah dikeluarkan seawal pada 2.2.2015, Pesuruhjaya Kehakiman memutuskan bahawa pertuduhan terhadap Perayu-perayu telah dimulakan dalam tempoh dua belas bulan dari tarikh perintah-perintah pembekuan tersebut berdasarkan tarikh waran tangkap yang dikeluarkan oleh mahkamah. Oleh itu, perintah-perintah penyitaan tersebut masih berkuatkuasa kerana pertuduhan telah dibuat ke atas Perayu-perayu.

Rayuan di Mahkamah Rayuan

[17] Di hadapan kami, peguam yang mewakili Perayu-Perayu membangkitkan tiga isu utama seperti berikut:-

(i) sama ada Pesuruhjaya Kehakiman telah terkhilaf apabila tidak membuat perintah pengembalian harta milik Perayu Ke-3, 4, 9, 10, 15, 16, 17, 18, 19, 22, 23, 24, 25 dan 27 walaupun tiada Izin Mendakwa dan waran tangkap dikeluarkan terhadap Perayu-perayu tersebut dalam tempoh satu tahun dari tarikh penyitaan;

(ii) sama ada Pesuruhjaya Kehakiman telah terkhilaf apabila mendapati Perayu-perayu dianggap telah dituduh sebaik sahaja Izin Mendakwa dikeluarkan dan/atau sebaik sahaja pertuduhan didaftarkan dan/atau sebaik sahaja waran tangkap dikeluarkan; dan

(iii) sama ada Pesuruhjaya Kehakiman telah terkhilaf apabila gagal membuat dapatan tentang tindakan Pendakwa Raya memohon waran tangkap tanpa mendaftarkan apa-apa pertuduhan terhadap Perayu-perayu merupakan satu muslihat untuk mengatasi keperluan Seksyen 52A AMLATFAPUA.

[18] Bagi isu (i), peguam yang terpelajar menghujahkan bahawa harta Perayu Ke-3, 4, 9, 10, 15, 16, 17, 18, 19, 22, 23, 24, 25 dan 27 yang disita hendaklah dikembalikan kepada Perayu-Perayu tersebut kerana tiada Izin Mendakwa dan waran tangkap telah dikeluarkan terhadap mereka dalam tempoh dua belas bulan dari tarikh perintah-perintah penyitaan tersebut. Ini selaras dengan kehendak Seksyen 52A AMLATFAPUA.

[19] Bagi isu (ii), peguam yang terpelajar menghujahkan bahawa menurut kes Dato’ Yap Peng (supra), pendakwaan bermula apabila sanksi dikeluarkan, pertuduhan dibentuk dan didaftarkan di mahkamah. Prosiding jenayah pula bermula apabila pertuduhan dibacakan kepada tertuduh dan pengakuan dibuat oleh tertuduh.

[20] Bagi isu (iii), peguam yang terpelajar menghujahkan bahawa tiada sebarang pertuduhan telah dibuat terhadap Perayu-perayu. Kertas pertuduhan hanya dikemukakan oleh Pendakwa Raya untuk mendapatkan waran tangkap terhadap Perayu-Perayu. Kesalahan di bawah Seksyen 4(1) AMLATFAPUA juga merupakan seizable offence. Tiada keperluan untuk memohon waran tangkap melainkan tindakan ini merupakan satu muslihat untuk mengatasi had masa yang telah ditetapkan dalam AMLATFAPUA.

[21] Dalam hujahan balasannya Timbalan Pendakwa Raya menghujahkan bagi isu (i) bahawa harta Perayu-perayu yang tidak dikeluarkan Izin Mendakwa tersebut tidak boleh dikembalikan kepada mereka menurut peruntukan Seksyen 56 AMLATFAPUA. Seksyen 56 membenarkan harta-harta yang telah disita untuk terus disita walaupun tempoh dua belas bulan dari tarikh perintah penyitaan telah tamat dan tiada pendakwaan telah dimulakan atau sabitan dibuat terhadap orang tersebut.

[22] Bagi isu (ii) pula, Timbalan Pendakwa Raya menghujahkan bahawa Izin Mendakwa dan waran tangkap yang dikeluarkan menjadikan sesuatu prosiding itu dimulakan. Pendakwa Raya merujuk kepada kes Dato’ Yap Peng (supra) dan menghujahkan bahawa mahkamah-mahkamah telah take cognizance kesalahan terhadap Perayu-perayu apabila mahkamah-mahkamah menerima Pertuduhan dan Izin Mendakwa daripada Pendakwa Raya dan mengeluarkan waran tangkap. Dengan mengeluarkan waran tangkap, mahkamah “is seised with jurisdiction to try the case. The institution of the criminal prosecution by the Public Prosecutor was complete.”

[23] Bagi isu (iii) pula, Pendakwa Raya menghujahkan bahawa prosiding jenayah telah dimulakan terhadap Perayu-perayu dalam tempoh satu tahun. Oleh itu, penyitaan harta Perayu-perayu masih berkuatkuasa kerana prosiding jenayah telah dimulakan terhadap Perayu-perayu seperti yang dikehendaki oleh Seksyen 52A.

Keputusan Mahkamah Rayuan

[24] Setelah mendengar hujahan Perayu-perayu dan Responden, kami mendapati terdapat dua isu utama yang perlu diputuskan oleh Mahkamah ini seperti berikut:-

(a) sama ada seseorang itu “dituduh” bagi maksud Seksyen 52A AMLATFAPUA apabila Izin Mendakwa diterima oleh mahkamah; dan

(b) sama ada perintah pembekuan dan perintah penyitaan akan terus berkuatkuasa selepas tamat tempoh dua belas bulan dari tarikh perintah-perintah tersebut;

[25] Bagi isu (a), kuasa untuk mendakwa bagi kesalahan di bawah AMLATFAPUA telah diperuntukkan di bawah Seksyen 93 AMLATFAPUA yang menyatakan seperti berikut:-

“93. No prosecution for an offence under this Act shall be instituted except by or with the written consent of the Public Prosecutor.”

[26] Terma yang digunakan di bawah Seksyen 93 di atas ialah “instituted” atau “dimulakan”. Penggunaan terma “instituted" ini juga boleh dilihat melalui Fasal 145(3) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan seperti berikut:-

“(3) The Attorney General shall have power, exercisable at his discretion, to institute, conduct or discontinue any proceedings for an offence, other than proceedings before a Syariah court, a native court or a court-martial.”

[27] Penggunaan terma “instituted" ini boleh dilihat melalui kes Long bin Samat v Public Prosecutor [1974] 2 MLJ 152. Suffian LP di muka surat 158 menyatakan seperti berikut:-

“In our view, this clause from the supreme law clearly gives the Attorney-General very wide discretion over the control and direction of all criminal prosecutions. Not only may he institute and conduct any proceedings for an offence, he may also discontinue criminal proceedings that he has instituted, and the courts cannot compel him to institute any criminal proceedings which he does not wish to institute or to go on with any criminal proceedings which he has decided to discontinue.”

[28] Jelas melalui peruntukan-peruntukan dan otoriti yang dikemukakan di atas, terma “instituted” yang digunakan dalam Seksyen 93 tersebut merujuk kepada perbuatan memulakan sesuatu perkara. Dalam bahasa yang mudah, Seksyen 93 mengkehendaki setiap pendakwaan bagi kesalahan di bawah AMLATFAPUA “dimulakan” dengan izin Pendakwa Raya yang diberikan secara bertulis.

[29] Di bawah Seksyen 52A AMLATFAPUA pula terma “charged” atau “dituduh” digunakan. Seksyen 52A memperuntukkan seperti berikut:-

“52A. A seizure order made under this Act shall cease to have effect after the expiration of twelve months from the date of the seizure order, or where there is a prior freezing order, twelve months from the date of the freezing order, if the person against whom the order was made has not been charged with an offence under this Act.”

[30] Kami berpandangan bahawa terma “charged” di bawah Seksyen 52A di atas merujuk kepada saat atau ketika seseorang itu dikatakan “dituduh”. Kesan peruntukan ini ialah suatu perintah penyitaan hanya boleh dikuatkuasakan terhadap harta seseorang selama dua belas bulan dari tarikh perintah tersebut. Apabila tempoh tersebut telah tamat, perintah tersebut tidak lagi berkuatkuasa. Tetapi perintah tersebut masih boleh berkuatkuasa selepas tempoh itu tamat sekiranya orang itu “dituduh” dengan kesalahan di bawah AMLATFAPUA dalam tempoh tersebut.

[31] Pada hemat kami, terma “instituted” dan “charged” yang digunakan oleh Seksyen 93 dan Seksyen 52A di atas merujuk kepada dua perkara yang berbeza. Namun, dalam konteks pendakwaan, terma-terma ini berkaitan antara satu sama lain dan merupakan fasa dalam suatu pendakwaan.

[32] Oleh itu, bagi menjawab persoalan sama ada seseorang itu “dituduh” bagi maksud Seksyen 52A apabila Izin Mendakwa dikemukakan ke mahkamah, rujukan perlu dibuat terhadap peruntukan-peruntukan yang menjelaskan tentang proses pendakwaan.

[33] Titik permulaan suatu kes pendakwaan ialah, antara lainnya, apabila suatu “complaint" dikemukakan ke mahkamah. Apabila mahkamah menerima “complaint” tersebut, mahkamah telah “take cognisance” kesalahan yang menjadi asas kepada “complaint" tersebut. Ini dinyatakan dengan jelas di bawah perenggan 128(1)(a) KPJ yang menyatakan seperti berikut:-

“128. (1) Subject to this Code, a Magistrate may take cognisance of an offence:-

(a) upon receiving a complaint as defined by this Code;

(b) ...

(c) ...

(d) ...”

[34] Perkataan “complaint” pula ditakrifkan oleh Seksyen 2 KPJ seperti berikut:-

“... “complaint” means the allegation made orally or in writing to a Magistrate with a view to his taking action under this Code that some persons whether known or unknown has committed or is guilty of an offence;”

[35] Pada hemat kami, berdasarkan takrifan di bawah Seksyen 2 KPJ dibaca bersama perenggan 128(1)(a) KPJ, Izin Mendakwa tergolong dalam maksud “complaint" di bawah KPJ. Ini bermakna apabila mahkamah menerima Izin Mendakwa daripada Pendakwa Raya, mahkamah telah “take cognisance” suatu kesalahan seperti yang dikehendaki oleh perenggan 128(1)(a) KPJ.

[36] Berdasarkan fakta dalam rayuan ini, kami mendapati mahkamah telah “take cognisance” kesalahan di bawah Seksyen 4(1) AMLATFAPUA terhadap Perayu-perayu dengan menerima Izin Mendakwa yang dikemukakan oleh Responden. Tindakan mahkamah mengeluarkan waran tangkap atas permohonan Responden juga menunjukkan bahawa mahkamah telah “take cognisance” Pertuduhan terhadap Perayu-perayu. Oleh itu, pendakwaan telah dimulakan terhadap Perayu-perayu dalam kes ini.

[37] Namun, persoalan di sini ialah adakah seseorang itu dikatakan “dituduh” setelah mahkamah “take cognisance” kesalahan terhadapnya seperti yang dikehendaki oleh Seksyen 52A AMLATFAPUA. Sehingga kini tiada takrifan yang konklusif mengenai apa yang dimaksudkan sebagai seseorang itu “dituduh”. Adakah seseorang itu dikatakan “dituduh” apabila prosiding jenayah dimulakan terhadapnya atau apabila pertuduhan “dibacakan” terhadap seseorang itu di mahkamah?

[38] Dalam ketiadaan peruntukan dalam undang-undang bertulis mengenai perkara ini, rujukan perlu dibuat kepada “case laws”. Autoriti yang paling hampir untuk menjawab persoalan ini ialah Perumal v Public Prosecutor [1970] 2 MLJ 265. Suffian FJ dalam penghakimannya di muka surat 268 merujuk kepada kes John Brooks and William Gibson 175 ER 166 dan menyatakan seperti berikut:-

“We agree that in the light of the above authorities a prosecution is normally instituted when a complaint is laid or an arrest made. This was laid down as far back as in 1847 by John Brooks & William Gibson, supra. This was a prosecution for night poaching by armed persons. The provisions of the statute contravened required that the "prosecution for every offence ... shall be commenced within 12 calendar months after the commission of such offence". The offence was committed on 4th December, 1845, and on 19th December, 1845, information was laid before a magistrate and summonses were issued. It will be noticed that the information was laid well within the time limit. The accused were arrested in September 1846 and in the following month committed for trial. Indictment was preferred on 5th April, 1847, well outside the time limit. The judge, after convicting the accused, referred the matter to fifteen judges, who held that the prosecution had been commenced by the information and warrants to apprehend or at all events by the apprehension of the prisoners and was therefore commenced within time.”

[39] Dalam kes ini, Perayu telah dituduh di bawah Akta Pencegahan Rasuah 1961 (“APR”). Subseksyen 26(1) APR mengkehendaki setiap pendakwaan di bawah APR dibuat dengan izin bertulis daripada Pendakwa Raya. Dalam kes ini, izin bertulis telah dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya. Mahkamah Persekutuan dalam kes ini memutuskan bahawa pendakwaan di bawah APR “dimulakan” apabila seseorang itu dipanggil untuk membuat pengakuan atas pertuduhan yang dibuat terhadapnya.

[40] Pendekatan ini diambil oleh Mahkamah Persekutuan berikutan Subseksyen 26(2) APR menyatakan bahawa apabila seseorang dibawa ke mahkamah sebelum Pendakwa Raya memberikan izin untuk mendakwa, pertuduhan hendaklah dibacakan terhadap orang itu tetapi dia tidak boleh dipanggil untuk membuat pengakuan.

[41] Fakta dalam rayuan ini boleh dibezakan dengan fakta dalam kes Perumal (supra). Izin dalam rayuan ini telah dikeluarkan oleh Responden menurut Seksyen 93 AMLATFAPUA. Namun, tiada peruntukan seperti Subseksyen 26(2) APR dinyatakan dalam mana-mana bahagian AMLATFAPUA. Oleh itu, kami berpandangan bahawa pemakaian prinsip ini adalah terhad kepada peruntukan yang serupa dalam undang-undang bertulis yang lain.

[42] Pada hemat kami, pendakwaan di bawah AMLATFAPUA “dimulakan” apabila mahkamah “take cognisance” kesalahan terhadap seseorang. Dapatan kami ini selari dengan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Dato’ Yap Peng (supra) bahawa suatu prosiding jenayah dimulakan apabila mahkamah “take cognisance” kesalahan yang dipertuduhkan terhadap seseorang.

[43] Setelah mempertimbangkan keseluruhan proses pendakwaan dan autoriti-autoriti yang dikemukakan di atas, kami berpandangan bahawa seseorang itu “dituduh” apabila prosiding jenayah atau pendakwaan “dimulakan” terhadapnya. Oleh itu, kami bersetuju dengan dapatan Pesuruhjaya Kehakiman bahawa Perayu-perayu dalam rayuan ini telah “dituduh” apabila mahkamah “take cognisance” kesalahan terhadap mereka melalui Izin Mendakwa yang dikemukakan oleh Responden ke mahkamah.

[44] Kami juga mengambil pendekatan ini selaras dengan peruntukan Subseksyen 56(1) AMLATFAPUA yang menyatakan seperti berikut:-

“56. (1) Subject to section 61, where in respect of any property seized under this Act there is no prosecution or conviction for an offence under subsection 4(1) or a terrorism financing offence, the Public Prosecutor may, before the expiration of twelve months from the date of the seizure, or where there is a freezing order, twelve months from the date of the freezing, apply to a judge of the High Court for an order of forfeiture of that property if he is satisfied that such property is-

(a) the subject-matter or evidence relating to the commission of such offence;

(b) terrorist property;

(c) the proceeds of an unlawful activity; or

(d) the instrumentalities of an offence.”

[45] Frasa “no prosecution” yang digunakan dalam peruntukan di atas merujuk kepada prosiding jenayah yang dimulakan di bawah AMLATFAPUA yang tertakluk kepada izin Pendakwa Raya seperti yang dikehendaki oleh Seksyen 93. Penggunaan frasa ini menyokong dapatan kami bahawa di bawah Seksyen 52A seseorang itu “dituduh” apabila pendakwaan dimulakan terhadapnya dan bukan keadaan seseorang itu dikatakan “dituduh” iaitu keadaan apabila pertuduhan dibacakan terhadap seseorang itu dan pengakuannya diambil oleh mahkamah.

[46] Berdasarkan alasan-alasan yang dikemukakan di atas, kami berpuas hati bahawa Perayu Pertama, Ke-2, 5, 6, 7, 8, 11, 12, 13, 14, 20, 21, 26 dan 31 telah “dituduh” bagi maksud Seksyen 52A AMLATFAPUA setelah mahkamah “take cognisance” pertuduhan terhadap mereka melalui penerimaan Izin Mendakwa yang dikemukakan oleh Responden ke mahkamah. Perintah pembekuan dan perintah penyitaan yang telah dikeluarkan terhadap mereka masih berkuatkuasa walaupun tempoh dua belas bulan dari tarikh perintah-perintah tersebut telah tamat. Oleh itu, permohonan Perayu-perayu tersebut supaya perintah pembekuan dan perintah penyitaan yang dikeluarkan terhadap mereka dibatalkan adalah ditolak.

[47] Bagi isu (b) pula, kami berpandangan bahawa Subseksyen 56(1) AMLATFAPUA dengan jelas tidak menghalang harta-harta yang telah disita untuk terus disita walaupun tempoh dua belas bulan tamat walaupun tiada pendakwaan atau sabitan dibuat di bawah Subseksyen 4(1) AMLATFAPUA.

[48] Berdasarkan afidavit yang diikrarkan oleh Pegawai Penyiasat (jika berjaya dibuktikan), kes ini melibatkan pemindahan wang berjumlah RM36,911,565.00 secara salah ke dalam akaun Perayu-perayu. Jumlah ini terlalu besar dan boleh mendatangkan implikasi yang negatif terhadap sistem perbankan negara. Perayu-perayu juga telah mengambil kesempatan atas kelemahan sistem yang digunakan oleh institusi kewangan dengan memindahkan wang tersebut ke dalam akaun mereka walaupun mereka mengetahui wang yang diperoleh tersebut bukan hak mereka.

[49] Selain itu, kami ingin membuat “judicial notice” di sini bahawa beban tugas pihak pendakwaan bagi kesalahan-kesalahan di bawah AMLATFAPUA adalah amat berat. Pegawai yang menyiasat perlu melihat dari kesemua sudut bagaimana kesalahan tersebut dilakukan lebih-lebih lagi bagi kesalahan yang melibatkan pemindahan wang secara dalam talian (“on-line”). Proses siasatan juga melibatkan banyak pihak seperti institusi kewangan, Bank Negara Malaysia, PDRM dan lain-lain. Tambahan pula, tempoh masa yang diberikan untuk menyelesaikan siasatan dan memulakan pendakwaan amat singkat.

[50] Atas faktor-faktor yang dinyatakan di atas dan demi keadilan dalam kes ini, kami memutuskan supaya harta Perayu Ke-3, 4, 9, 10, 15, 16, 17, 18, 19, 22, 23, 24, 25 dan 27 terus disita mengikut Subseksyen 56(1) AMLATFAPUA. Oleh itu, permohonan Perayu-perayu tersebut supaya perintah pembekuan dan perintah penyitaan terhadap mereka dibatalkan adalah ditolak.

Kesimpulan

[51] Berdasarkan alasan-alasan yang dikemukakan di atas, kami berpuas hati bahawa Pesuruhjaya Kehakiman tidak terkhilaf dalam menolak permohonan Perayu-perayu. Kami mendapati rayuan ini tidak mempunyai merit. Oleh itu, kami dengan sebulat suara menolak rayuan Perayu-perayu. Keputusan Pesuruhjaya Kehakiman disahkan dan dikekalkan.

t.t.

MOHTARUDIN BIN BAKI
Hakim Mahkamah Rayuan

Tarikh: 18 September 2018

COUNSEL

Bagi pihak Perayu-perayu: Encik Mohd Harris Abdullah (bersama Encik Mohd Faizi Che Abu), Tetuan The Law Office of Mohd Harris

Bagi pihak Responden: Puan Wong Poi Yoke, Timbalan Pendakwa Raya, Jabatan Peguam Negara

Legislation referred to:

Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Kegiatan Haram 2001, Seksyen-seksyen 4(1), 44(1), 44(5), 45(2), 50(1), 52A, 56, 56(1), 93

Akta Pencegahan Rasuah 1961, Seksyen-seksyen 26(1), 26(2)

Kanun Keseksaan, Seksyen 420

Kanun Prosedur Jenayah, Seksyen-seksyen 2, 128, 128(1)(a), 136

Perlembagaan Persekutuan, 145(3)

Judgments referred to:

John Brooks and William Gibson 175 ER 166

Long bin Samat v Public Prosecutor [1974] 2 MLJ 152

Perumal v Public Prosecutor [1970] 2 MLJ 265

Public Prosecutor v Dato’ Yap Peng [1987] 2 MLJ 311

Tengku Abdul Aziz v Public Prosector [1951] 1 MLJ 185

Notice: The Promoters of Malaysian Judgments acknowledge the permission granted by the relevant official/ original source for the reproduction of the above/ attached materials. You shall not reproduce the above/ attached materials in whole or in part without the prior written consent of the Promoters and/or the original/ official source. Neither the Promoters nor the official/ original source will be liable for any loss, injury, claim, liability, or damage caused directly, indirectly or incidentally to errors in or omissions from the above/ attached materials. The Promoters and the official/ original source also disclaim and exclude all liabilities in respect of anything done or omitted to be done in reliance upon the whole or any part of the above/attached materials. The access to, and the use of, Malaysian Judgments and contents herein are subject to the Terms of Use.