THE OFFICIAL REPOSITORY OF
MALAYSIAN JUDGMENTS & RULINGS

[2018] MYCA 157 MALAY

Hamdan Bin Abu Bakar v Pendakwa Raya
Suit Number: Rayuan Jenayah No. W-05(M)-27-01/2017 

Criminal law – Trafficking in dangerous drugs – Death sentence – Appeal

Criminal law – Whether the trial court failed to properly appreciate the defence – Whether the failure of prosecution to call the forensic officers triggers adverse inference against the prosecution under section 114(g) of the Evidence Act 1950 – Whether the conviction safe

PENGHAKIMAN

[1] Perayu telah dituduh dan disabitkan di Mahkamah Tinggi atas kesalahan di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum dengan hukuman mati mandatori di bawah Seksyen 39B(2) Akta yang sama.

[2] Pertuduhan:

"Bahawa kamu pada 8.9.2015 jam lebih kurang 6.00 petang, di kawasan tempat letak kereta di bawah Blok B, Flat Pantai Ria, Pantai Dalam, di dalam Daerah Brickfields, di dalam Bandaraya Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan, didapati telah mengedar dadah berbahaya iaitu Cannabis seberat 2967 gram (berat bersih). Oleh yang demikian, kamu telah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) Akta yang sama.”

[3] Kami telah mendengar rayuan Perayu dan sebulat suara menolak rayuan sebagai tidak bermerit. Justeru rayuan ke Mahkamah Persekutuan.

[4] Fakta kes Prima facie:

4.1 Pada 8.9.2015, lebih kurang jam 6.00 petang, bertindak atas maklumat aktiviti pengedaran dadah melibatkan sebuah kereta proton putih, Inspektor Prabu a/l Avadiappan (SP3) telah mengetuai satu pasukan (5 orang) ke Blok B, Flat Pantai Ria, Pantai Dalam, Kuala Lumpur;

4.2 SP3 dan pasukan telah membuat pemerhatian selama 30 minit terhadap sebuah kereta proton warna putih yang bernombor pendaftaran BLA 1087;

4.3 Setelah 30 minit, SP3 melihat lampu signal kereta menyala dan seorang lelaki (Perayu) menghampiri dan membuka pintu sebelah pemandu kereta;

4.4 SP3 dan pasukan telah menyerbu dan menangkap Perayu sambil memperkenalkan diri sebagai anggota polis. SP3 juga merampas kunci dari tangan Perayu;

4.5 Pemeriksaan dalam kereta, SP3 telah menjumpai satu bungkusan plastik (eksibit P7) berwarna putih bertulisan “original classic” di lantai tempat duduk penumpang hadapan;

4.6 Dalam P7 terdapat 3 ketulan mampat daun kering yang disyaki dadah berbahaya jenis ganja yang dibalut dengan kertas berwarna emas dan dibalut lagi dengan plastik lutsinar;

4.7 SP3 telah menghidupkan enjin dengan kunci yang dirampas dari Perayu;

4.8 SP3 membawa barang kes dan Perayu ke IPD Brickfields untuk tindakan dan siasatan lanjut oleh SP2 iaitu Pegawai Penyiasat;

4.9 Hasil analisis oleh Ahli Kimia (SP1) mendapati 3 ketulan mampat tersebut adalah dadah berbahaya jenis Cannabis seberat 2967 gram.

[5] Di akhir kes Pendakwaan Hakim bicara memutuskan bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes Prima facie, justeru pembelaan dipanggil.

[6] Pembelaan:

6.1 Eksibit P7 ditemui di atas tempat duduk di bahagian penumpang hadapan dan ianya tidak tersorok. Perayu bukan pemilik kereta. Kereta itu milik isteri Perayu;

6.2 P7 adalah milik seorang bernama Nurhisham, jiran Perayu yang meminta bantuan untuk dihantar ke Universiti Malaya. Semasa Nurhisham datang ke rumah Perayu, ibu dan kakak Perayu juga ada di rumah. Perayu membawa kereta BLA 1087 untuk menghantar Nurhisham ke Dewan Perpustakaan Universiti Malaya sementara isteri Nurhisham tinggal bersama isteri Perayu. Perayu menunggu dalam kereta sementara Nurhisham pergi bertemu kawan. Selepas 10 minit, Nurhisham kembali membawa beberapa beg plastik masuk dalam kereta. Selepas sampai di kawasan Blok B, Nurhisham meminta Perayu menunggu di kedai minum berhampiran kerana dia ingin menyerahkan barang kepada kawan. Selepas 10-15 minit, Nurhisham datang ke kedai minum dan menyerahkan kunci kepada Perayu. Selepas selesai minum, Perayu ingin pergi ke kereta semula untuk memeriksa sebab takut Nurhisham terlupa mengunci kereta. Apabila sampai ke kereta, Perayu menekan butang kunci kawalan jauh (“remote”). Semasa Perayu sedang hendak membuka pintu, SP3 dan anggota datang menangkap Perayu.

[7] Di hadapan kami, Peguam Perayu yang bijaksana hanya meneruskan dua isu sahaja:

7.1 Kegagalan Hakim bicara menilai pembelaan dengan sewajarnya;

7.2 Kegagalan pihak Pendakwaan memanggil Pegawai Forensik (pengesanan cap jari) menyebabkan andaian undang-undang di bawah seksyen 114(g) Akta Keterangan 1950 terpakai terhadap pendakwaan.

[8] Isu pertama kegagalan Hakim bicara memberi pertimbangan yang adil terhadap kes pembelaan mengenai pihak ketiga iaitu jiran Perayu bernama “Nurhisham” sebagai orang yang membawa masuk eksibit P7 ke dalam kereta.

[9] Peguam Perayu yang bijaksana telah menarik perhatian kami kepada m.s. 16 dan 17 Rekod Rayuan Jld. 2 iaitu semasa pemeriksaan balas SP2 (Pegawai penyiasat) dan m.s. 24 Rekod Rayuan Jld. 2, semasa pemeriksaan balas SP3 (Pegawai tangkapan), di mana watak pihak ketiga bernama “Nurhisham” telah diutarakan kepada dua saksi pendakwaan seawal yang mungkin. Ini menunjukkan watak pihak ketiga “Nurhisham” bukanlah keterangan fikir semula (afterthought).

[10] Seterusnya Peguam Perayu berhujah bahawa Hakim bicara khilaf apabila menyatakan di perenggan 56 Alasan Penghakiman beliau (m.s. 32-33 Rekod Rayuan Jld. 1):

“[56] OKT juga tidak memanggil saksi lain untuk memberi keterangan bagi mengesahkan cerita OKT mengenai Nurhisham ini seperti isteri, ibu atau kakaknya yang ada sama semasa Nurhisham datang ke rumah OKT. Mungkin Nurhisham dan isterinya tidak dapat dihubungi tetapi bagaimana pula dengan ibu dan kakak OKT yang tiada alasan dinyatakan untuk tidak memberi keterangan. Saya sedia maklum bahawa pihak pembelaan tidak semestinya mengemukakan saksi-saksi lain tetapi seperti yang dinyatakan terdahulu, tugas pihak pembelaan adalah untuk menimbulkan suatu keraguan yang munasabah.”

[11] Menurut Peguam terpelajar, Hakim bicara telah meletakkan beban yang lebih berat ke atas pembelaan. Peguam Perayu telah merujuk kepada kes Mahkamah Persekutuan Balachandran v PP [2005] 2 MLJ 301 di mana di m.s. 310 perenggan 11 menyatakan:

“Where the evidence of a witness does not require to be corroborated in law there is no obligation to tender corroborative evidence to support his testimony. Thus if the case for the prosecution rests solely on the evidence of one witness in such a category there is no requirement in law for his evidence to be corroborated. Any such requirement will conflict with s.134 of the Evidence Act 1950 which provides that no particular number of witnesses shall in any case be required for the proof of any fact. This means that the testimony of a single witness, if believed, is sufficient to establish any fact (see Khaw Cheng Bok & Ors v Khaw Cheng Poon & Ors [1998] 3 MLJ 457). However, the facts and circumstances of a particular case may make it desirable for his evidence to be corroborated. As Sinha J said in Vadivelu Thevar v State of Madras AIR 1957 SC 614 at pp 618-619:

On the consideration of the relevant authorities and the provisions of the Evidence Act, the following propositions may be safely stated as firmly established:

(1) As a general rule, a court can and may act on the testimony of a single witness though uncorroborated. One credible witness outweighs the testimony of a number of other witnesses of indifferent character;

(2) Unless corroboration is insisted upon by statute, courts should not insist on corroboration except in cases where the nature of the testimony of the single witness itself requires as a rule of prudence, that corroboration should be insisted upon, for example in the case of a child witness, or of a witness whose evidence is that of an accomplice or of an analogous character;

(3) Whether corroboration of the testimony of a single witness is or is not necessary must depend upon facts and circumstances of each case and no general rule can be laid down in a manner like this and much depends upon the judicial discretion of the judge before whom the case comes."

[12] Kami menolak hujah ini. Kami merujuk kepada Alasan Penghakiman Hakim bicara di perenggan 50, 51 dan 52 (m.s. 31 Rekod Rayuan Jld. 1):

“[50] Berhubung versi OKT mengenai fakta bahawa OKT menghantar Nurhisham ke Universiti Malaya dan kemudian Nurhisham mengambil beberapa beg plastik lalu masuk ke dalam kereta tersebut, ianya tidak dimaklumkan kepada pegawai serbuan (SP3) dan pegawai penyiasat (SP2);

[51] Semasa SP2 dan SP3 disoalbalas oleh Peguambela, mereka telah menafikan bahawa OKT ada memaklumkan mengenai OKT menghantar Nurhisham ke Universiti Malaya dan Nurhisham membawa beg-beg plastik masuk ke dalam kereta yang dipandu oleh OKT;

[52] Kegagalan OKT memberikan maklumat mengenai Nurhisham untuk pihak polis membuat siasatan lanjut, membolehkan versi OKT mengenai Nurhisham ini tidak dipercayai.”

[13] Mengenai isu yang sama, kami merujuk kepada kes mahkamah Persekutuan Teng Howe Sing v PP [2009] 3 CLJ 733:

“[30] ...on this point we would like to refer to the case of PP v Badrulsham bin Baharom [1988] 2 MLJ 585 wherein Lim Beng Choon J at p.592 said:

So we are left with nothing more than the bare assertion of the accused that it was Noor Azlan who asked him to collect the bag on behalf of the former and that the accused himself had no knowledge of the contents of P3. If that be the case, one would hardly imagine that he would not have told either PW3 or PW5 at the railway station at Alor Star at the time of his arrest the P3 belonged to Noor Azlan instead of saying that there was nothing in P3.

...

[32] Applying the principle in Badrulsham’s case to the facts of the instant case, the learned trial judge was correct to conclude that the appellant has two opportunities to provide information about “Ho Seng”, i.e. at the time of his arrest and five days later during the recording of his cautioned statement but he failed to do so. We are therefore of the view that in the circumstances, the appellant’s failure to provide relevant information about “Ho Seng” for the police to carry out a thorough investigation in the probability of his defence, entitled the learned trial judge to disbelieve him.”

[14] Dengan kedudukan undang-undang di atas, kami bersependapat bahawa Hakim bicara adalah betul di dalam penghakiman beliau di perenggan 50, 51 dan 52 tersebut di atas.

[15] Seterusnya mengenai hujah Peguam Perayu bahawa hakim bicara telah meletakkan beban yang lebih berat kepada pembelaan apabila gagal memanggil saksi lain seperti isteri, ibu atau kakak Perayu (rujukan perenggan 56 Penghakiman bertulis Hakim bicara).

[16] Kami juga menolak hujah ini. Pertuduhan kesalahan berlaku pada 8.9.2015 iaitu selepas pindaan undang-undang membenarkan pemakaian anggapan berganda. Ini jelas di dalam penghakiman Hakim bicara di m.s. 19 Rekod Rayuan Jld. 1 perenggan 19 dan m.s. 33 Rekod Rayuan Jld. 1 perenggan 59 dan 60; iaitu pemakaian anggapan undang-undang di bawah seksyen 37(d) dan seksyen 37(da) Akta Dadah Berbahaya 1952.

[17] Adalah menjadi undang-undang mantap beban bukti untuk mengakas andaian undang-undang tersebut adalah di atas imbangan kebarangkalian, iaitu satu beban yang lebih berat berbanding dengan beban untuk menimbulkan keraguan yang munasabah. Hakim bicara adalah betul apabila menyatakan pembelaan gagal untuk memanggil saksi lain bagi tujuan mengakas anggapan undang-undang tersebut.

[18] Seterusnya kami juga bersependapat bahawa Hakim bicara adalah betul apabila menyatakan kegagalan pembelaan memanggil saksi-saksi lain berkaitan pembuktian kewujudan “Nurhisham”. Jika dirujuk kes yang disandarkan oleh Peguam Perayu iaitu kes Balachandran (supra) mengenai seksyen 134 Akta Keterangan yang menyatakan:

“...s.134 of the Evidence Act 1950 which provides that no particular member of witnesses shall in any case be required for the proof of any fact. This means that the testimony of a single witness, if believed, is sufficient to establish any fact (see Khaw Chang Bok & Ors v Khaw Cheng Poon & Prs [1998] 3 MLJ 457).”

[19] Perkataan “if believed” perlu ditekankan. Ini kerana dalam kes Mahkamah Persekutuan Teng Howe Sing v PP (supra) perenggan 32 menyatakan:

“…we are therefore of the view that in the circumstances, the appellant’s failure to provide relevant information about Ho Seng for the police to carry out investigation in the probability of his defence, entitled the trial judge to disbelieved him (penekanan ditambah).”

[20] Isu kedua kegagalan pihak pendakwa memanggil saksi forensik untuk penimbulan cap jari ke atas eksibit P7 menyebabkan “adverse inference” di bawah seksyen 114(g) Akta Keterangan 1950 terpakai terhadap pendakwaan.

[21] Hujah Peguam Perayu berlandaskan kepada keterangan Pegawai Penyiasat (SP2) di m.s. 10 Rekod Rayuan Jld. 2:

“A: Selepas saya simpan pada 10.9.2015 jam lebih kurang 5.00 petang, saya panggil pihak forensik untuk buat dusting pada barang kes.

Q: Kemudian?

A: Saya  keluarkan barang kes daripada peti kabinet  besi saya yang berkunci baik untuk dibuat dusting di pejabat saya.

Q: Apakah keputusan dusting?

A: Apa yang dimaklumkan oleh pihak forensik tidak dapat menimbulkan cap jari yang lengkap disebabkan plastik pada (pembalut) barang kes berkedut-kedut. Jadi tidak dapat timbulkan cap jari dengan sempurna.”

[22] Kami juga bersependapat menolak hujah ini. Adalah jelas keterangan SP2 tersebut menyatakan bahawa ahli forensik gagal menimbulkan kesan cap jari yang lengkap ke atas eksibit P7 kerana permukaan pembungkus plastik eksibit P7 adalah berkedut.

[23] Hujah Peguam Perayu bahawa pembelaan menimbulkan pihak ketiga “Nurhisham”, kesan cap jari adalah penting untuk tujuan tersebut. Kami menolak hujah ini kerana isu pihak ketiga “Nurhisham” telah di ulas dan ditolak oleh Hakim bicara dengan betul.

[24] Kami juga bersetuju dengan TPR bahawa semua intipati kesalahan telah dibuktikan melampaui keraguan yang munasabah. Kami merujuk kepada kes PP v Badrulsham bin Baharom (supra) di mana di m.s. 593 para E-H kanan menyatakan:

“The contention of the learned defence counsel, with due respect, amounts to nothing more than to ask this court to determine not whether there was sufficient evidence adduced before this court to warrant a conviction of the accused but to determine that the methodology of the police investigation must be 100% correct regardless of the fact that the police had gathered more than sufficient evidence to sustain a conviction of the accused. I cannot lend a judicial countenance to such a contention. In any event as held by the Indian Supreme Court in Srichand v State of Maharashtra:

(9) Further, an adverse inference against the prosecution can be drawn only if it withholds certain evidence and not merely on account of its failure to obtain certain evidence. When no such evidence has been obtain, it cannot be said what that evidence would have been and, therefore, no question of presuming that that evidence would have been against the prosecution, under section 114, Illustration (g) of the Evidence Act, can arise.”

[25] Salah arah (misdirection) oleh Hakim bicara jika pun ada bukanlah “serious misdirection” yang memerlukan “appellate intervention”. Dalam kes Mohd Johi Said & Anor v PP [2005] 1 CLJ 389, menyatakan di m.s. 397 para (d) seperti berikut:

"Unlike civil appeals, where the appellant carries the burden of showing that the judge at first instance went wrong, in a criminal case the duty of the court is to consider whether the conviction is right. The correct approach is therefore not whether the decision is wrong but whether the conviction is safe. See, Mohammad Husain v Emperor AIR [1945] Nag 441; Zahari bin Yeop Baai v PP [1980] 1 MLJ 160. That question, on the present facts, must receive a negative response.”

[26] Dengan alasan-alasan di atas, kami bersependapat bahawa keterangan adalah kukuh (overwhelming). Sabitan adalah selamat. Justeru rayuan ditolak. Sabitan dan hukuman Hakim bicara dikekalkan.

t.t.

MOHTARUDIN BIN BAKI
Hakim Mahkamah Rayuan
Malaysia

Tarikh: 3 Mei 2018 

COUNSEL

For the Appellant: Vijey Esvaren, Loh Suk Hwa, Unit D-2-16A Putra Majestik, Jalan Kassipillay Off Jalan Ipoh, 51200 Kuala Lumpur

For the Respondent: Tuan Ahmad Sazilee bin Abdul Khairi, Timbalan Pendakwa Raya, Jabatan Peguam Negara, Putrajaya

Legislation referred to:

Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen-seksyen 37(d), 37(da), 39B(1)(a), 39B(2)

Akta Keterangan 1950, Seksyen-seksyen 114(g), 134

Judgments referred to:

Balachandran v PP [2005] 2 MLJ 301

Mohd Johi Said & Anor v PP[2005] 1 CLJ 389

PP v Badrulsham bin Baharom [1988] 2 MLJ 585

Teng Howe Sing v PP [2009] 3 CLJ 733

Notice: The Promoters of Malaysian Judgments acknowledge the permission granted by the relevant official/ original source for the reproduction of the above/ attached materials. You shall not reproduce the above/ attached materials in whole or in part without the prior written consent of the Promoters and/or the original/ official source. Neither the Promoters nor the official/ original source will be liable for any loss, injury, claim, liability, or damage caused directly, indirectly or incidentally to errors in or omissions from the above/ attached materials. The Promoters and the official/ original source also disclaim and exclude all liabilities in respect of anything done or omitted to be done in reliance upon the whole or any part of the above/attached materials. The access to, and the use of, Malaysian Judgments and contents herein are subject to the Terms of Use.