THE OFFICIAL REPOSITORY OF
MALAYSIAN JUDGMENTS & RULINGS

[2018] MYCA 74 MALAY

Echefula Obasi v Pendakwa Raya
Suit Number: Rayuan Jenayah No. B-05(M)-265-07/2016  

PENGHAKIMAN

Latarbelakang Perbicaraan

[1] Perayu, Echefula Obasi, seorang warga negara Nigeria, telah dituduh bersama dua orang lagi rakan senegara, iaitu Collins Ikechukwu Ezechisom (“OKT2”) dan Alloysius Ugochukwu Ezeokafor (“OKT3”), dengan niat bersama, mengedarkan methamphetamine seberat 2,074.4 gram, satu kesalahan di bawah seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (“ADB 1952”) yang boleh dihukum dibawah seksyen 39B(2) ADB 1952 dan dibaca bersama seksyen 34 Kanun Kesiksaan.

[2] Di akhir kes pendakwaan, Hakim Bicara telah melepas dan membebaskan OKT2 dan OKT3 tanpa pembelaan mereka dipanggil. Walau bagaimanapun, Hakim Bicara telah memutuskan bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan satu kes prima facie terhadap Perayu atas pertuduhan yang dikemukakan terhadapnya. Berikutannya, Hakim Bicara telah memanggil Perayu untuk membela dirinya. Di akhir perbicaraan, Hakim Bicara mendapati bahawa pembelaan Perayu gagal untuk menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan. Perayu didapati bersalah, disabitkan dan dijatuhkan hukuman gantung mandatori seperti yang ditetapkan oleh undang-undang.

[3] Terkilan dengan keputusan Hakim Bicara yang melepas dan membebaskan OKT2, Pendakwa Raya telah merayu ke Mahkamah ini. Tiada rayuan dibuat terhadap perintah pelepasan dan pembebasan OKT3. Walau bagaimanapun, rayuan Pendakwa Raya terhadap pelepasan dan pembebasan OKT2 telah dibatalkan oleh Mahkamah ini pada bulan Disember 2016 kerana notis bicara gagal diserahkan kepada OKT2 selepas beberapa penangguhan diberikan oleh Mahkamah.

[4] Satu-satunya rayuan yang berada di hadapan mahkamah ini semasa pendengaran rayuan ialah rayuan Perayu terhadap sabitan dan hukuman yang dibuat oleh Hakim Bicara.

[5] Selepas membaca rekod rayuan, menimbangkan hujah-hujah bertulis dan lisan pihak-pihak, kami sebulat suara menolak rayuan Perayu. Kini, kami menzahirkan alasan terperinci keputusan kami.

Pertuduhan

[6] Pertuduhan yang dikemukakan terhadap Perayu, OKT2 dan OKT3 ialah seperti yang berikut:-

“Bahawa kamu bersama-sama pada 26 Mac 2013, jam lebih kurang 4.30 petang, bertempat di Tempat Letak Kereta Hadapan Klinik KIP, Jalan KIP1, Taman Perindustrian KIP, Sri Damansara, di dalam Daerah Gombak, di dalam Negeri Selangor Darul Ehsan untuk mencapai niat bersama, kamu telah didapati memperedarkan dadah berbahaya iaitu seberat 2074.4 gram Methamphetamine dan dengan itu kamu telah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 398(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 398(2) Akta yang sama yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.”.

Kes Pendakwaaan

[7] Kes pendakwaan sebahagian besarnya adalah bersandar kepada keterangan agen provokatur (“AP”). Keterangan yang material bolehlah diringkaskan seperti berikut:-

7.1. Pada 27.2.2013, jam 9.00 pagi, Sarjan Cham Bee Wan (“SP8”) telah menerima arahan daripada pegawai atasannya, iaitu ASP Ahmad Nizam bin Mahmod (“SP7”) untuk menyamar sebagai AP untuk membeli dadah syabu daripada seorang lelaki Nigeria di Restoran WDS, Kepong Industrial Park, Sri Damansara. Lelaki Nigeria tersebut akan diperkenalkan oleh sumber SP7.

7.2. Kronologi pertemuan, perbincangan dan kejadian sehingga ke hari kejadian di mana Perayu, OKT2 dan OKT3 diserbu dan ditangkap oleh pasukan yang diketuai oleh Inspektor Rumaizur bin Abd. Sattar (SP5) ialah seperti berikut:-

(i) AP bertemu dengan sumber di Restoran WDS Kepong pada 27.2.2013, jam 4.00 petang;

(ii) Sumber memperkenalkan dirinya sebagai “Joe” dan Joe pula memperkenalkan AP kepada seorang lelaki warga negara Nigeria yang turut berada di Restoran tersebut yang memperkenalkan dirinya sebagai “Casey”, iaitu Perayu dalam kes ini;

(iii) Perayu turut memberikan nombor telefonnya kepada AP iaitu 016-9955574;

(iv) AP meminta Perayu membekalkan dadah dan Perayu bersetuju dan memberikan sampel dadah jenis syabu untuk diuji oleh AP. AP kemudiannya telah membawa balik sampel tersebut dan menyerahkannya kepada SP7 untuk tindakan lanjut;

(v) Pada 28.2.2013, jam lebih 1.25 petang, AP menghubungi Perayu melalui telefon dan memberitahunya bahawa kualiti sampel dadah tidak berapa elok dan setelah berlaku tawar menawar, Perayu bersetuju untuk menjual dadah jenis syabu dengan harga sebanyak RM105,000 sekilo kepada AP;

(vi) Pada 1.3.2013, Perayu menghantar SMS kepada AP memaklumkan bahawa Perayu mempunyai bekalan dadah baru untuk ditunjukkan pada AP. Namun AP tidak membalas SMS dan tidak menerima sebarang arahan daripada SP7;

(vii) Pada 4.3.2013, lebih kurang 12.00 tengah hari, SP7 mengarahkan AP untuk sekali lagi mengambil sampel daripada Perayu. AP bertemu Perayu buat kali kedua di Restoran yang sama dan telah diberikan sampel dadah baru untuk diuji. Selepas mendapatkan sampel, kedua-duanya pulang dan AP menyerahkan sampel tersebut kepada SP7 untuk diuji;

(viii) Pada 25.3.2013, jam lebih kurang 12.00 tengah hari, SP7 mengarahkan AP untuk melakukan pembelian dadah syabu daripada Perayu di mana “duit umpan” yang terdapat di dalam beg berisi flash roll akan dipegang dan dibawa oleh Koperal Manokaran (tidak dipanggil sebagai saksi);

(ix) AP menghubungi Perayu dan menetapkan bahawa perjumpaan akan dibuat di Restoran yang sama pada 26.3.2013, jam lebih kurang 11.00 pagi;

(x) Pada hari kejadian (26.3.2013), jam lebih kurang 11.00 pagi, AP berjumpa dengan Perayu di Restoran yang sama dan pihak-pihak telah bersetuju untuk melakukan transaksi jual beli 3 kilogram dadah jenis syabu dengan harga RM105,000.00 sekilogram. Pihak-pihak juga bersetuju untuk bertemu semula pada hari yang sama di tempat yang sama, jam lebih kurang 3.30 petang;

(xi) AP dan Koperal Manokaran kemudiannya telah bergerak ke tempat yang dijanjikan setelah menerima arahan daripada SP7 serta diberikan beg berisi flash roll mengandungi wang sebanyak RM301,500.00;

(xii) Mereka bergerak menggunakan kereta Toyota Vios bernombor pendaftaran WQV 4648;

(xiii) Sesampai di Restoran berkenaan, AP keluar bertemu Perayu di Restoran tersebut dan membawa Perayu ke kereta mereka di mana Koperal Manokaran telah menunjukkan duit untuk diperiksa oleh Perayu.

(xiv) Perayu berpuas hati dan Perayu dan AP kemudiannya berjalan balik ke Restoran di mana Perayu memberitahu AP bahawa dadah akan sampai ½ jam kemudian;

(xv) Setelah menunggu selama 20 minit, Perayu menyatakan bahawa bekalan dadah telah sampai dan AP dan Perayu beredar ke luar Restoran. AP berjalan ke arah keretanya dan Perayu pula berjalan di belakang beliau;

(xvi) Sesampai ke kereta dan apabila AP menoleh ke belakang, dia nampak Perayu sedang menjinjit satu bungkusan plastik warna hijau dan menuju ke arahnya;

(xvii) AP kemudiannya menggaru kepala sebagai tanda isyarat untuk pasukan serbuan yang diketuai SP5 untuk membuat tangkapan. Selepas isyarat diberikan, SP5 dan pasukannya menyerbu dan menangkap Perayu;

(xviii) AP nampak Perayu cuba melarikan diri dan bergelut semasa tangkapan dibuat dan bungkusan hijau tersebut telah jatuh ke bawah selepas dilepaskan dari tangan kanan Perayu; dan

(xix) Selepas tangkapan dibuat, AP dan Koperal Manokaran beredar dari tempat kejadian.

7.3. SP5 mengesahkan versi AP dan menyatakan bahawa beliau dan pasukannya telah menunggu dan bersedia membuat tangkapan dan serbuan pada hari tersebut. Menurut SP5, pada hari kejadian, jam lebih kurang 4.20 petang, sebuah kereta Perodua Viva bernombor pendaftaran WXJ 6484 telah parkir berhampiran dengan kereta AP dan 2 lagi orang lelaki berkulit hitam telah keluar dari kereta tersebut.

7.4. SP5 kemudiannya nampak AP dan Perayu keluar dari Restoran di mana AP berjalan ke arah kereta beliau dan Perayu pula berjalan ke arah kereta Perodua Viva tersebut. Pemandu kereta Perodua Viva itu kemudiannya pergi ke arah belakang kereta dan mengambil satu plastik warna hijau dan menyerahkannya kepada Perayu.

7.5. Setelah mengambil plastik itu, Perayu berjalan ke arah AP dan AP menggaru kepala sebagai tanda isyarat tangkapan. SP5 dan pasukannya bergerak untuk menangkap Perayu dan 2 orang lelaki berkulit hitam di kereta Perodua Viva tersebut.

7.6. Perayu cuba melarikan diri namun berjaya ditangkap. Begitu juga dengan 2 orang lelaki berkulit hitam tersebut.

7.7. SP5 kemudiannya mengambil bungkusan plastik warna hijau di atas jalan yang dilepaskan oleh Perayu dan memeriksa kandungannya dan mendapati di dalamnya terdapat satu kotak terbuka tertulis Fiber yang di dalamnya mengandungi 3 bungkusan plastik cerah berisi ketulan kristal yang disyakki dadah syabu.

7.8. Pemandu kereta Perodua Viva kemudiannya dicamkan sebagai OKT2 dan penumpang kereta Perodua Viva pula dicamkan sebagai OKT 3.

7.9. Perayu, OKT2 dan OKT3 dan kesemua barang kes kemudiannya dibawa oleh SP5 dan pasukan untuk pemeriksaan di rumah Perayu dan OKT2 tetapi tiada apa- apa barang salah lain dijumpai di dalam rumah OKT2 kecuali wang tunai dan dokumen.

7.10. Kesemua suspek dan barang kes kemudiannya dibawa ke IPD Gombak untuk tindakan lanjut.

7.11. Suspek-suspek dan barang kes kemudiannya diserahkan kepada pegawai penyiasat, Inspektor Ravindran a/l Krisna (SP13) untuk siasatan lanjut.

7.12 Hasil analisis ahli Kimia, Zulkifli bin Mohd. Edin (SP6) mengesahkan bahawa bahan-bahan kristal dalam 3 bungkusan yang dirampas ialah methamphetamine seberat 2074.4 gram

Keputusan Hakim Bicara Kes Pendakwaan

[8] Pada intipatinya, Hakim Bicara memutuskan bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan satu kes prima facie terhadap Perayu atas alasan-alasan yang berikut:-

(a) Perayu mempunyai milikan terhadap dadah yang menjadi hal perkara pertuduhan dan Perayu bersedia untuk berurusan dengannya. Keterangan AP (SP8) dan SP5 jelas menunjukkan bahawa Perayu telah dilihat mengambil bungkusan yang berisi dadah daripada OKT2. Sebelum itu, Perayu telah berunding dan berurusan dengan AP (SP8) mengenai tansaksi jual beli dadah tersebut. Berdasarkan rentetan peristiwa tersebut, inferen bolehlah dibuat bahawa Perayu mempunyai pengetahuan bahawa bungkusan yang diambil daripada OKT2 mengandungi dadah yang menjadi hal perkara pertuduhan; dan

(b) Elemen pengedaran telah dibuktikan apabila keterangan menunjukkan bahawa Perayu telah membuat tawaran untuk menjual dadah berdasarkan perbincangan dan perundingan yang dibuat dengan AP (SP8). Justeru, pengedaran dalam makna seksyen 2 ADB 1952 telah berjaya dibuktikan.

[9] Seperti yang dinyatakan sebelum ini, Hakim Bicara telah memerintahkan supaya Perayu membela diri dan OKT2 dan OKT3 telah dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri.

Kes Pembelaan

[10] Perayu memilih untuk memberi keterangan pembelaannya dari kandang tertuduh tanpa bersumpah. Teras pembelaan Perayu ialah bahawa dia tidak mempunyai pengetahuan kandungan “persil box” dan tidak menyangka sama sekali ia mengandungi dadah.

[11] Perayu menafikan semua keterangan AP (SP8) dan menegaskan bahawa dia tidak pernah berjumpa dengan AP (SP8). Dia juga menafikan yang dia dikenali dan/atau dipanggil sebagai “Casey”.

[12] Menurut Perayu, dia hanya diminta menyerahkan satu kotak bertulis “Persil” kepada seorang bernama “Joe” yang berada di Restoran tersebut dan tidak mengetahui apakah kandungan kotak itu.

Keputusan Hakim Bicara Di Akhir Kes Pembelaan

[13] Selepas menimbangkan keseluruhan keterangan di hadapannya, Hakim Bicara memutuskan bahawa pembelaan Perayu telah gagal untuk menimbulkan sebarang keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan. Hakim Bicara berpendapat bahawa pembelaan Perayu hanyalah penafian semata-mata (“bare denial"), fikiran terkemudian (‘‘afterthought") dan tidak munasabah jika diteliti bersama-sama dengan keterangan SP5, SP7, SP8, SP9 dan SP12,

Rayuan

[14] Dalam Petisyen Rayuan, Perayu telah mengemukakan pelbagai alasan untuk mencabar keputusan Hakim Bicara. Walau bagaimanapun, di hadapan kami, peguambela terpelajar Perayu telah memfokuskan kepada dua alasan utama, iaitu:-

(a) Hakim Bicara terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta apabila memutuskan bahawa Perayu ialah individu bernama “Casey” yang dikatakan telah berunding dengan AP (SP8) untuk satu transaksi jual-beli dadah sebanyak 3 kilogram dengan harga RM315,000.00 di Restoran WDS, Taman KIP, Kepong, Selangor pada 26.3.2013; dan

(b) Hakim Bicara telah terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta apabila gagal untuk memberikan penilaian menyeluruh, adil dan saksama terhadap pembelaan Perayu dan dengan demikian mengakibatkan sabitan terhadap Perayu adalah tidak selamat dan tidak boleh dipertahankan.

Analisis dan Keputusan Alasan (a)

[15] Peguambela terpelajar Perayu menghujahkan bahawa pihak pendakwaan telah gagal untuk membuktikan tanpa keraguan yang munasabah bahawa “Casey” sebenarnya ialah Perayu atas alasan-alasan yang berikut:-

(a) satu-satunya saksi yang boleh mengesahkan bahawa “Casey” sebenarnya ialah Perayu ialah AP (SP8) kerana beliau ialah seorang yang berurusan dengan “Casey” sepanjang masa. Seorang lagi AP, iaitu Koperal Manokaran, hanya ditugaskan sebagai “pembawa wang” dan hanya muncul pada hari kejadian;

(b) AP (SP8) mengakui bahawa walaupun beliau telah bertemu dengan “Casey” pada 27.2.2013, 4.3.2013 dan 26.3.2013, namun gambar “Casey” tidak pernah diambil untuk tujuan pengecaman;

(c) Rakaman CCTV di Restoran WDS telah tidak dikemukakan sebagai keterangan walaupun dikatakan bahawa AP (SP8) telah bertemu dengan “Casey” di Restoran tersebut;

(d) Tiada laporan polis dibuat mengenai pertemuan AP (SP8) dengan “Casey” pada 27.2.2013 dan 4.3.2013 apabila dikatakan AP (SP8) telah menerima sample dadah daripada “Casey”;

(e) Tiada tindakan dan usaha diambil untuk menyiasat dan mengesahkan tuanpunya dan rekod panggilan (“call logs”) nombor telefon yang digunakan oleh “Casey” untuk berhubung dengan AP (SP8);

(f) Mesej antara AP (SP8) dan “Casey” dan rekod panggilan telefon yang digunakan oleh AP (SP8) tidak dikemukakan sebagai keterangan; dan

(g) Saksi-saksi polis lain tidak dapat memberi deskripsi yang lengkap mengenai “Casey” selain menyatakan bahawa dia ialah “lelaki berkulit hitam”.

[16] Peguambela terpelajar seterusnya berhujah bahawa walaupun diakui bahawa Perayu telah mengesahkan dalam keterangan bahawa dia telah meminta beg plastik diserahkan kepada penama “Joe” pada hari kejadian, namun ini tidak bermakna bahawa Perayu ialah “Casey” dan berurusan dengan AP (SP8).

[17] Dengan hormat, pada hemat kami, hujahan yang dikemukakan oleh peguambela terpelajar Perayu adalah tidak bermerit, tersasar dan tidak disokong oleh keterangan. Terdapat keterangan yang kukuh bagi membuktikan bahawa “Casey” sebenarnya ialah Perayu yang berurusan dengan AP (SP8) untuk satu transaksi jual beli dadah yang menjadi hal perkara pertuduhan.

[18] AP (SP8) dengan tegas mengesahkan semasa memberi keterangan di Mahkamah bahawa “Casey” ialah Perayu. Di muka surat 141 Rekod Rayuan, Jilid 2B, keterangan AP (SP8) ialah seperti berikut:-

“A: Pada sebelah petang, jam lebih kurang 4.00 petang saya sampai di Restoran WDS Taman KIP, Sri Damansara dan saya memasuki restoran tersebut dan saya berjumpa dengan sumber dan seorang lelaki Nigeria di dalam restoran tersebut. Di sana saya telah diperkenalkan oleh sumber Ahmad Nizam kepada lelaki tersebut saya dikenali sebagai nama samaran, Joe dan lelaki Nigeria tersebut telah memperkenalkan dirinya sebagai Casey. Setelah diperkenalkan sumber pun beredar dari restoran tersebut dan saya bertanya kepada Casey (lelaki Nigeria) boleh bekalkan saya bekalan dadah jenis syabu dan beliau berkata berapa banyak pun boleh. Lalu saya meminta sedikit bekalan syabu untuk diuji.

Q: Kamu boleh camkan Casey ini?

A: Ya.

Q: Adakah beliau berada di Mahkamah pada hari ini?

A: Dia berada di dalam kandang tertuduh dan memakai baju warna putih.

Mahkamah: Saksi mengecamkan OKT1.”.

[19] Semasa dibuat pemeriksaan balas oleh peguambela terpelajar Perayu, AP (SP8) menyatakan di muka surat 161-162 Rekod Rayuan Jilid 2B:-

“Q: Sarjan Cham terlebih dahulu telah setuju bahawa Sarjan Cham mengenal pasti Casey ini melalui 2 unsur, 2 elemen iaitu satu daripadanya iaitu perjumpaan dengan Casey.

A: Ya.

Q: Dan lagi satu adalah perbualan telefon/ suara. Vocal identification.

A: Ya.

Q: 2 unsur itu. Tetapi saya cadangkan kepada Sarjan Cham, Sarjan Cham mempunyai masa selama hampir sebulan untuk mengenal pasti Casey ini dengan lebih teliti dan hadapkan kepada Mahkamah Yang Mulia ini bukti yang lebih kukuh tentang identiti Casey, setuju atau tidak setuju?

A: Tertuduh ada di dalam kandang tertuduh.”.

[20] Perlu diambil perhatian bahawa pengecaman dan pengesahan AP (SP8) bahawa “Casey” sebenarnya ialah Perayu bukanlah dibuat berdasarkan pandangan sepintas lalu (“fleeting glance”) kerana AP (SP8) telah bertemu dan berurusan dengan “Casey” banyak kali dan untuk suatu tempoh yang lama. Pertemuan dan urusan yang berlaku antara AP (SP8) bolehlah diringkaskan seperti berikut:-

Bil

Tarikh

Keterangan

1

27.2.2013

i. AP (SP8) bertanya kepada “Casey” berkaitan bekalan dadah jenis syabu dan Perayu berkata dia boleh membekalkan seberapa banyak dadah yang ingin dibeli.

ii. AP (SP8) meminta daripada Perayu sedikit bekalan syabu untuk diuji.

iii. Perayu kemudiannya menyerahkan sample dadah kepada AP (SP8).

iv. Perayu memberitahu jika AP (SP8) hendakkan bekalan dadah, AP (SP8) perlu menelefon Perayu dan dalam masa 30 minit, Perayu boleh membekalkan bekalan dadah tersebut dan akan dibawanya sendiri kepada AP (SP8).

2

28.2.2013

i. AP (SP8) telah menelefon “Casey” dan memberitahu bahawa “barang itu baik” tetapi “kick”nya tidak cukup.

ii. AP (SP8) bertanya mengenai harga sekilo dan Perayu menjawab bahawa harga sekilo ialah RM120,000.00.

iii. Tawar-menawar telah berlaku. AP (SP8) telah menawarkan harga yang lebih rendah dan Perayu bersetuju untuk membekal dadah syabu dengan harga RM105,000.00 sekilo.

3

1.3.2013

i. AP (SP8) menerima SMS daripada “Casey” yang mengatakan terdapat bekalan dadah syabu yang baru.

ii. SMS tidak dibalas oleh AP (SP8).

4

4.3.2013

i. AP (SP8) menelefon “Casey” dan mengatakan yang beliau hendak berjumpa dengan “Casey” untuk mengambil sampel.

ii. Jam 4.45 petang, di Restoran WDS, “Casey” sampai dan terus menyerahkan sampel dadah syabu kepada AP (SP8) dan kemudiannya beredar dari situ.

5

5.3.2013

Pada jam 8.00 malam, “Casey” menelefon AP (SP8) dan bertanyakan bagaimana keadaan dadah yang telah diuji dan AP (SP8) menjawab bahawa bekalan dadah tersebut adalah baik.

6

25.3.2013

AP (SP8) menefon “Casey” untuk mengadakan perbincangan mengenai pembeliaan dadah pada 26.3.2013 di Restoran WDS pada jam 11.00 pagi

7

26.3.2013

i. AP (SP8) memesan bekalan dadah sebanyak 3 kilogram dengan harga RM105,000.00 sekilo.

ii. “Casey” meletakkan syarat bahawa dia perlu melihat wang terlebih dahulu.

iii. Persetujuan telah dicapai di mana pembekalan dadah akan dibuat pada jam 3.30 petang pada hari yang sama di kawasan restoran tersebut.

iv. Perayu telah pergi ke kereta dan melihat wang yang dibawa oleh AP (SP8).

v. Perayu kemudiannya telah membuat panggilan kepada seseorang.

vi. 20 minit kemudian, Perayu mengatakan bahawa bekalan dadah telah sampai.

vii. AP (SP8) melihat “Casey” menjinjit satu bungkusan plastik warna hijau dan berjalan menuju kearah AP (SP8).

viii. AP (SP8) memberi isyarat dengan menggaru kepala dan semasa tangkapan, AP (SP8) melihat “Casey” cuba melarikan driri dan berlaku satu pergelutan di mana AP (SP8) nampak bungkusan hijau tersebut telah jatuh daripada tangan kanan “Casey”. Setelah “Casey” ditangkap, SP8 beredar dari tempat kejadian.

 

[21] Berdasarkan rentetan peristiwa di atas, pada pandangan kami, pengecaman dan pengesahan AP (SP8) bahawa “Casey” sebenarnya ialah Perayu adalah meyakinkan dan kukuh serta tiada sebarang alasan munasabah bagi kami untuk menolaknya.

[22] Adalah menjadi undang-undang mantap bahawa keterangan AP (SP8) hendaklah diterima dan tidak memerlukan keterangan sokongan yang lain. Seksyen 40A ADB 1952 menyatakan seperti berikut:-

“40A. (1) Notwithstanding any rule of law or the provisions of this Act or any other written law to the contrary, no agent provocateur shall be presumed to be unworthy of credit by reason only of his having attempted to abet or abetted the commission of an offence by any person under this Act if the attempt to abet or abetment was for the sole purpose of securing evidence against such person.

(2) Notwithstanding any rule of law or this act or any other written law to the contrary, and that the agent provocateur is a police officer whatever his rank or any officer of customs, any statement, whether oral or in writing made to an agent provocateur by any person who subsequently is charged with an offence under this Act shall be admissible as evidence at his trial.”.

[23] Dalam kes Wan Mohd Azman bin Hassan v PP [2010] CLJ 529, di muka surat 530, Mahkamah Persekutuan telah memutuskan:-

(1) Di bawah seksyen 40A Akta, keterangan AP tidak boleh diketepikan apabila melaksanakan budibicara kehakiman. Suatu keterangan yang seharusnya boleh diterima-masuk tidak menjadi tidak boleh diterima-masuk semata-mata kerana ianya diperolehi melalui cara-cara yang tidak adil atau tidak wajar. Seksyen 40A(2) Akta mengesahkan kebolehterimaan ini walaupun terdapat undang-undang lain, bertulis atau sebaliknya, yang bertentangan dengannya. Oleh itu, agen provokatur boleh mengemukakan sepenuhnya cerita mengenai apa yang berlaku dalam rundingannya dengan penjual dadah dan segala kenyataan yang dibuat oleh pihak terkemudian tersebut kepadanya adalah boleh diterima-masuk.”.

(Penekanan ditambah).

[24] Keseluruhan keterangan AP (SP8) adalah konsisten, bermula daripada pertemuan beliau dengan Perayu sehinggalah penangkapan Perayu, OKT2 dan OKT3 bersama dadah yang dirampas. Keterangan AP (SP8) adalah tidak tegugat semasa di soal balas (“unshaken”) dan tiada apa-apa sebab untuk Mahkamah ini menolaknya.

[25] Keterangan AP (SP8) tidak memerlukan apa-apa keterangan sokongan lain. Selain peruntukan seksyen 40A ADB 1952, adalah undang-undang mantap bahawa keterangan seseorang saksi yang didapati kredible oleh mahkamah tidak memerlukan keterangan sokongan lain. Dalam kes Md Zainudin Raujan v Public Prosecutor [2013] 4 CLJ 21, Mahkamah Persekutuan menyatakan:

[55] PW5 was a police witness. The learned trial judge found him to be a credible witness. It is true that the prosecution's case rested solely on the evidence of PW5. However, under the law there is no requirement for his evidence to be corroborated. The learned trial judge believed PW5 and as such his evidence was sufficient to establish the case for the prosecution. Any requirement for PW5’s evidence to be corroborated will conflict with s.134 of the Evidence Act 1950 which provides that no particular number of witnesses shall in any case be required for proof of any fact (see Balachandran v. PP [2005] 1 CLJ 85).”.

(Penekanan ditambah).

[26] Dalam kes ini, keterangan AP (SP8) telah disokong secara material oleh saksi-saksi lain. SP5 dalam keterangannya mengesahkan bahawa beliau telah melihat OKT2 menyerahkan beg plastik (Exh. P5A) yang mengandungi dadah kepada Perayu. Setelah itu, pasukan SP5 telah membuat serbuan.

[27] Berdasarkan perbincagan di atas, alasan (a) adalah tidak bermerit dan ditolak.

Alasan (b)

[28] Peguambela terpelajar Perayu berhujah bahawa Hakim Bicara telah mengkategorikan keterangan tidak bersumpah Perayu sebagai fikiran terkemudian (“afterthought"), penafian semata-mata (“bare denial") dan tidak munasabah tanpa mengambilkira keseluruhan keterangan yang dikemukakan oleh Perayu. Perayu dan OKT2 telah memberikan pernyataan beramaran kepada pihak polis. Walau bagaimanapun, pernyataan beramaran tersebut tidak dikemukakan sebagai keterangan. Pihak pendakwaan hanya mengemukakan pernyataan beramaran OKT3. Sekiranya Hakim Bicara mengambilkira pernyataan beramaran Perayu, OKT2 dan OKT3 secara keseluruhannya, Hakim Bicara akan mendapati bahawa pembelaan Perayu sesungguhnya adalah selaras dengan pernyataan-pernyataan beramaran yang telah diberikan kepada pihak polis dan bukanlah merupakan sesuatu yang difikir terkemudian dan direka-reka.

[29] Kami tidak bersetuju dan tidak dapat menghayati hujahan ini. Sekiranya pernyataan beramaran Perayu dan OKT2 tidak dikemukakan sebagai keterangan oleh pihak pendakwaan, betapa boleh dikatakan bahawa Hakim Bicara telah gagal untuk mengambilkira fakta-fakta yang terdapat di dalam pernyataan- pernyataan beramaran tersebut. Pernyataan beramaran ialah suatu dokumen yang perlu dibekalkan oleh pihak pendakwaan kepada pihak pembelaan di bawah seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593). (Lihat P.P v Mohd Fazil Awaludin [2009] 2 CLJ 962). Sekiranya pihak pembelaan berpendapat bahawa pernyataan-pernyataan beramaran tersebut adalah penting dan berfaedah bagi pihaknya, pernyataan-pernyataan beramaran tersebut boleh dikemukakan di Mahkamah dengan memanggil pegawai yang membuat rakaman dan/atau Pegawai Penyiasat, mengikut mana yang berkenaan. Malangnya, pihak pembelaan tidak berbuat demikian. Tiada penjelasan diberikan mengenai kegagalan ini.

[30] Undang-undang tidak menetapkan kewajipan ke atas pihak pendakwaan untuk memanggil bilangan tertentu saksi atau mengemukakan dokumen tertentu bagi membuktikan kesnya. Apa yang diperlukan ialah pihak pendakwaan hendaklah mengemukakan saksi atau dokumen yang boleh membuktikan kesnya tanpa keraguan yang munasabah dan dalam ini pihak pendakwaan mempunyai budi bicara yang luas dalam menentukannya. “It does not lie in the mouth of the defence to urge the prosecution to call a particular witness or document".

[31] Kami telah meneliti penghakiman Hakim Bicara dengan cermat dan kami berpuashati bahawa beliau telah menimbangkan pembelaan Perayu secara menyeluruh dan saksama sebelum mencapai keputusan bahawa pembelaan tersebut telah gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pihak pendakwaan.

[32] Pada intipatinya, pembelaan Perayu ialah beliau:-

(a) menafikan telah berunding dan berurusan dengan AP (SP8);

(b) menafikan bahawa dia dikenali dan/digelar sebagai “Casey”;

(c) menafikan bahawa dia ada memeriksa “wang umpanan”; dan

(d) menafikan bahawa dia cuba melarikan diri ketika serbuan dibuat.

[33] Hakim Bicara telah menganalisis pembelaan yang dikemukakan oleh Perayu di muka surat 32-33 Rekod Rayuan Jilid I, seperti berikut:-

“Begitu juga di dalam kes ini, penafian oleh pihak Tertuduh di sini mengenai dadah tersebut tidak berjaya membangkitkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pihak pendakwaan. Keterangan-keterangan yang dikemukakan di peringkat pembelaan ini bukan sahaja gagal menimbulkan suatu keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan malah, jika dinilai secara keseluruhannya keterangan (keterangan di peringkat pendakwaan dan pembelaan) (in totality) jelas dilihat yang satu kes di luar keraguan munasabah telah berjaya dibuktikan oleh pihak Pendakwaan terhadap Tertuduh. Malah keterangan yang ada adalah begitu “over whelming” untuk mengaitkan Tertuduh dengan kesalahan ini. Ini diperkukuhkan lagi dengan perbuatan serta tingkah laku Tertuduh sewaktu dia ditahan iaitu cuba melarikan diri dari polis. Ini jelas memperlihatkan akan mens rea sebenar Tertuduh. Apa yang dinyatakan oleh SP8 di dalam keterangannya jelas tidak sangkal oleh Tertuduh.

Meneliti serta menimbangkan keterangan yang dikemukakan, didapati tiada sebab untuk SP5 dan SP8 mereka-reka cerita tentang insiden pertemuan oleh SP8 dengan Tertuduh Pertama di Restoran WDS pada 27.2.2013, 28.2.013 dan 26.3.2013 pada jam 11.00 pagi serta insiden pertemuan pada jam 3.00 petang tarikh yang sama.

Tertuduh Pertama tidak pernah mengenali SP8 dan SP5 dan lain-lain saksi polis yang menahannya pada petang tarikh tersebut dan begitu juga di sebaliknya. Jadi, isu penganiayaan terhadap Tertuduh oleh pihak-pihak polis tidak timbul di sini. (PP v Mohd. [1962] 1 MLJ)”.

[34] Kami bersetuju dengan analisis yang dibuat oleh Hakim Bicara. Pembelaan yang dikemukakan oleh Perayu secara nyata bertentangan dengan keterangan saksi-saksi pendakwaan yang didapati kredible oleh Hakim Bicara. Dalam kes Saminathan & Ors v Public Prosecutor [1955] 1 LNS, Hakim Buhagiar berkata:-

“The fundamental principle in criminal cases is that there is a burden on the prosecution, which never shifts, to prove its case; it is not upon the accused to prove his innocence and in that sense the burden on the defence is not as high as that of the prosecution; to entitle the accused to an acquittal it is sufficient if he raises a doubt in the prosecution case and this he may do by “disproving” a material fact on which the prosecution relies or by proving facts from which it may be inferred that a material fact on which the prosecution relies is not so probable that a prudent man ought to act upon the supposition that that fact exists.

The facts on which the defence rely must however be “proved”and they are proved not by showing merely a possibility that such facts exist but by showing a probability of their existence, the degree of probability being a matter of prudence in the circumstances of the case.”.

[35] Perlu diambil perhatian bahawa Perayu telah memilih untuk memberikan keterangan atas sumpah tanpa diuji oleh pemeriksaan balasan. Walaupun keterangan demikian ialah keterangan yang boleh diterima dari segi undang-undang, namun keberatannya perlu dipertimbangkan dengan cermat oleh Hakim Bicara. Dalam kes Udayar Alagan v Public Prosecutor [1962] 1 MLJ 35, Mahkamah membincangkan tentang keberatan (“weight") yang boleh diberi kepada keterangan demikian:-

“There was evidence which made out that charge, if it was believed. There was evidence by the appellants to the contrary, though here it must be observed that two of them took the dangerous course of making a statement from the dock instead of going into the witness-box and giving evidence. An accused person is, of course, entirely within his legal rights when he elects to take that course, but in a case which must in the event depend on credibility he takes it at his own peril. The rule was stated in Shimmin's case 15 Cox CC 122 124 in 1882 by Mr. Justice Cave in a passage which, so far as I am aware (and I am quite prepared to be told I am wrong), has never been criticised:-

“A prisoner, though defended by counsel, may, if he chooses, himself make his statement to the jury. He ought to be heard in his defence, and have the opportunity of making his explanation of the circumstances proved against him. True, his statement was not made on oath, and that he was not liable to be cross-examined by the prosecuting counsel, and what he said was therefore not entitled to the same weight as sworn testimony”.
(Penekanan ditambah).”

[36] Dalam kes Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim v Pendakwa Raya and another criminal appeal Federal Court (Putrajaya) [2015] 1 MLJU 34, telah diputuskan seperti berikut:-

“In law, a trial judge will not give much weight to what an accused has said in his unsworn statement as he is not subject to cross-examination by the prosecution nor can he be questioned by the trial judge.

The Court of Appeal after discussing the law on a statement from the dock, agreed with the trial judge that the appellant's statement from the dock was a mere denial. The Court of Appeal observed as follows:

For the respondent to succeed in his defence, it is incumbent upon him to adduce evidence which can answer the allegations in the charge. In this case, the respondent did not even deny that he was at the scene of the crime at the material time and date as stated in the charge. He never disputed that his car was seen entering and leaving the condominium at the material time. He also did not dispute that he was seen entering the lift to the 5th floor of the condominium and later leaving the place. He also did not dispute that he had directed his chief of staff, PW24 to arrange for an envelope to be handed over to him at the said condominium and that PW24 had instructed PW1 to bring the envelope to him. The respondent also did not dispute the fact that PW1 had brought the envelope to him at the place of the incident. The learned judge found that the respondent's statement from the dock is a mere denial with which we fully agree. The bare denial by the respondent does not amount to any doubt whatsoever. A credible defence is one that answers the evidence thrown at it by the prosecution. It is also imperative that the respondent explain his case.”.
(Penekanan ditambah).

[37] Alasan (b) yang dikemukakan oleh Perayu adalah tidak bermerit dan ditolak.

Kesimpulan

[38] Berdasarkan alasan-alasan di atas, kami sebulat suara berpendapat bahawa alasan-alasan yang dikemukakan oleh Perayu berjaya menunjukkan bahawa Hakim Bicara telah melakukan “kekhilafan boleh dirayu” (“appeable error") yang memerlukan campur tangan Mahkamah ini. Keputusan Hakim Bicara disokong oleh keterangan dan berdasarkan prinsip undang-undang yang betul. Pada pandangan kami, sabitan terhadap Perayu adalah selamat. Dengan itu, kami mengekalkan dan mengesahkan keputusan Hakim Bicara.

Bertarikh: 9 Mac 2018

sgd.

MOHD ZAWAWI BIN SALLEH
Hakim
Mahkamah Rayuan
Malaysia

COUNSEL

Peguamcara Perayu: Fahri Azzat (Rafeeza Hamdan bersamanya),Messrs. Fahri & Co., No. 15-2, Jalan PJU 7/16A, Mutiara Damansara, Petaling Jaya, 47800 Selangor Darul Ehsan

Peguamcara Responden: Tengku Amir Zaki bin Tengku Abdul Rahman, Timbalan Pendakwa Raya, Bahagian Perbicaraan dan Rayuan, Aras 5, Jabatan Peguam Negara, No 45, Blok 4G7, Persiaran Perdana, Presint 4, 62100 Putrajaya

Legislation referred to:

Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen-seksyen 2, 39B(1)(a), 39B(2), 40A

Kanun Kesiksaan, Seksyen 34

Kanun Tatacara Jenayah, Seksyen 51A

Judgments referred to:

Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim v Pendakwa Raya and Another Criminal Appeal Federal Court (Putrajaya) [2015] 1 MLJU 34

Md Zainudin Raujan v Public Prosecutor [2013] 4 CLJ 21

P.P v Mohd Fazil Awaludin [2009] 2 CLJ 962

Saminathan & Ors v Public Prosecutor [1955] 1 LNS

Udayar Alagan v Public Prosecutor [1962] 1 MLJ 35

Wan Mohd Azman bin Hassan v PP [2010] CLJ 529

Notice: The Promoters of Malaysian Judgments acknowledge the permission granted by the relevant official/ original source for the reproduction of the above/ attached materials. You shall not reproduce the above/ attached materials in whole or in part without the prior written consent of the Promoters and/or the original/ official source. Neither the Promoters nor the official/ original source will be liable for any loss, injury, claim, liability, or damage caused directly, indirectly or incidentally to errors in or omissions from the above/ attached materials. The Promoters and the official/ original source also disclaim and exclude all liabilities in respect of anything done or omitted to be done in reliance upon the whole or any part of the above/attached materials. The access to, and the use of, Malaysian Judgments and contents herein are subject to the Terms of Use.