THE OFFICIAL REPOSITORY OF
MALAYSIAN JUDGMENTS & RULINGS

[2018] MYCA 7 MALAY

Derrick Randall v Pendakwa Raya
Suit Number: Rayuan Jenayah No. P-05(M)-350-12/2015 

Criminal Law - Trafficking of dangerous drugs – Offense under section 39B(1)(a) of the Dangerous Drugs Act 1952

Criminal Law – Duty of the trial judge under Section 182A(1) the Criminal Procedure Code

Criminal Law – Whether the trial judge’s failure to adequately appreciate the cautioned statement contrary to Section 182A(1) the Criminal Procedure Code – Whether such failure of the trial judge amounts to misdirection warranting appellate intervention

PENGHAKIMAN

[1] Ini ialah rayuan daripada perayu yang telah disabitkan dan dijatuhkan hukuman mati mandatori oleh Mahkamah Tinggi Malaya di Pulau Pinang atas pertuduhan berikut:

"Bahawa kamu pada 5 Oktober 2013, lebih kurang jam 10.30 pagi, di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, dalam Daerah Barat Daya dalam Negeri Pulau Pinang telah didapati mengedar dadah berbahaya, iaitu Methamphetamine seberat 1525 gram dan dengan itu kamu telah melakukan suatu kesalahan di bawah seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah seksyen 39B(2) Akta yang sama”.

[2] Rayuan di hadapan kami adalah berkaitan dengan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan tersebut.

[3] Setelah menimbangkan isu-isu yang dibangkitkan dan menghalusi hujahan-hujahan yang dikemukakan oleh kedua-dua belah pihak serta keseluruhan rekod rayuan, kami telah membenarkan rayuan perayu berdasarkan pertimbangan-pertimbangan yang menyusul selepas ini.

Kes Pihak Pendakwaan

[4] Pada 5.10.2013, pada lebih kurang jam 10.30 pagi, SP3 (Rosnana binti Ismail, Pegawai Kastam di Cawangan Pemeriksaan Penumpang Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP)) yang menjalankan tugas di bahagian pengimbas bagasi penumpang di Balai Ketibaan lapangan terbang tersebut telah mengimbas sebuah beg berwarna hitam yang dibaluti dengan plastik berwarna biru (exhibit P6).

[5] SP3 mendapati wujud satu imej berwarna kehijauan yang mencurigakan. Beliau lantas meminta Penguasa Kastam Pubalan a/l Sellamuthu (telah meninggal dunia pada masa kes dibicarakan) untuk membuat pemeriksaan ke atas beg tersebut.

[6] Sebaik sahaja beg tersebut dikeluarkan dari mesin pengimbas, SP3 melihat perayu telah mengambil beg berkenaan. SP3 kemudiannya telah mengarahkan perayu ke kaunter pemeriksaan bagasi untuk diperiksa oleh Penguasa Kastam Pubalan (" mendiang Pubalan”).

[7] SP3 melihat mendiang Pubalan memeriksa beg berkenaan dan atas arahan mendiang, SP-3 telah membuat imbasan kali kedua ke atas beg tersebut, namun imej yang mencurigakan tersebut masih kelihatan. SP3 sekali lagi telah meminta mendiang Pubalan untuk memeriksa beg berkenaan. Selepas itu, SP3 tidak lagi terlibat dengan kes ini.

[8] Mendiang Pubalan telah meninggal dunia pada 1.3.2013. Rakaman percakapannya (eksibit P98) telah diterima masuk sebagai keterangan di bawah s.32(1)(i) Akta Keterangan, 1950.

[9] Menurut rakaman percakapan eksibit P98, mendiang Pubalan telah memeriksa passport perayu yang menunjukkan beliau berasal dari Afrika Selatan. Perayu telah memotong plastik warna biru apabila diarahkan oleh mendiang Pubalan dengan menggunakan pisau yang diberikan oleh mendiang. Perayu telah menggunakan kunci kombinasi beg tersebut bagi membuka zip beg berkenaan.

[10] Semasa mengeluarkan pakaian dari dalam beg tersebut, tiba-tiba perayu menyatakan bahawa beg tersebut bukan miliknya. Mendiang Pubalan mendapati sesuatu yang mencurigakan di dalam beg tersebut, lalu mengarahkan perayu menutup semula beg dan meletakkan sekali lagi ke dalam mesin pengimbas.

[11] Hasil imbasan kali ketiga ini masih menunjukkan wujudnya imej yang mencurigakan di dalam beg tersebut. Mendiang Pubalan kemudiannya mengarahkan perayu mengambil beg tersebut dan pergi ke Pejabat Cawangan Pemeriksaan Penumpang (‘CPP’) dan mengarahkan supaya Unit Narkotik Jabatan Kastam dihubungi.

[12] SP4 (Pegawai Kastam Boon Lee a/l Tan Pet) menyatakan bahawa beliau menerima panggilan telefon daripada Pegawai Kastam Asfani Azhan bin Idris pada kira-kira jam 10.35 pagi yang memaklumkan penahanan perayu yang disyaki membawa dadah di dalam begnya. Beliau bersama pasukannya kemudiannya telah bergegas ke pejabat CPP tersebut.

[13] Di pejabat CPP, SP4 telah bertemu dengan mendiang Pubalan, perayu berserta beg P6 dan satu beg kecil yang juga berwarna hitam.

[14] SP4 telah memeriksa tag pada beg P6 dan mendapati tag tersebut dicatatkan di atas nama Osman/ Vania. Apabila beg dibuka dan diperiksa oleh beliau sendiri dengan dibantu oleh Pegawai Kastam Kanan Selvaraj a/l Mariannan, beliau telah menjumpai satu ruang rahsia di dinding beg tersebut. Di dalam ruang tersebut pula, terdapat dua bungkusan plastik yang berisi hablur putih disyaki dadah. Ekoran daripada penemuan tersebut, perayu telah ditangkap.

[15] SP4 telah membuat laporan polis berkaitan tangkapan ke atas perayu dan rampasan dadah tersebut vide LTAB Bayan Lepas No. 000917/13 (eksibit P15) selepas perayu dan barang-barang kes yang dirampas diserahkan kepada pegawai penyiasat, SP8, Muhamad Azmil bin Mustafa.

[16] Ahli Kimia, SP5 (Teoh Chun Peng) yang menganalisis bahan hablur putih tersebut telah mengesahkan bahawa bahan tersebut ialah dadah Methamphetamine seberat 1,525 gram yang terkandung dalam Jadual Pertama kepada Akta Dadah Berbahaya, 1952 (selepas ini disebut sebagai ‘ADB’). Laporan beliau adalah eksibit P89.

[17] Pihak pendakwaan juga telah mengemukakan keterangan melalui SP7 (Insp. Muhamad Kamal bin Abdul Wahab, Pegawai Penyiasat daripada Ibu Pejabat Daerah Polis, Barat Daya) yang menyatakan bahawa pada hari yang sama perayu ditahan di LTAPP, seorang perempuan, Vania Osman, yang tiba dari Afrika Selatan, telah juga ditahan oleh pihak polis di LTAPP. Vania Osman telah ditahan bersama-sama sebuah beg yang terdapat tag yang tertulis nama Derrick Randall. Di dalam beg tersebut ditemui juga dadah berbahaya di samping beberapa helai pakaian lelaki.

[18] Di akhir kes pendakwaan, hakim bicara yang bijaksana telah mendapati bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan satu kes prima facie terhadap perayu atas pertuduhan yang dikenakan ke atasnya. Beliau telah mendapati bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan bahawa beg P6 tersebut sentiasa berada di bawah jagaan atau kawalan perayu. Dengan demikian, peruntukan di bawah s.37(d) ADB boleh dipakai untuk membangkitkan anggapan bahawa perayu mempunyai milikan dan pengetahuan tentang dadah yang terkandung di dalam beg tersebut sehingga dibuktikan sebaliknya.

[19] Berkaitan dengan pengedaran pula, hakim bicara yang bijaksana mendapati bahawa pihak pendakwaan telah membuktikan bahawa perayu telah membawa beg P6 yang berisi dadah tersebut dari Afrika Selatan sehinggalah beliau ditahan di Balai Ketibaan LTAPP. Menurut hakim bicara, tindakan tersebut merupakan perbuatan pengedaran di bawah s.2, ADB.

[20] Dengan itu, perayu telah diperintahkan untuk membela diri bagi menjawab pertuduhan yang dikenakan ke atasnya itu.

Kes Pihak Pembelaan

[21] Perayu telah memberi keterangan secara bersumpah.

[22] Beliau menyatakan bahawa beliau berasal dari Afrika Selatan dan tiba di Pulau Pinang dengan penerbangan dari Johannesburg ke Singapura dan seterusnya ke Pulau Pinang. Tujuannya ke Pulau Pinang ialah untuk mendapatkan bekalan rambut manusia untuk dibawa balik ke Afrika Selatan. Selain itu, perayu turut menyatakan bahawa beliau datang ke Pulau Pinang untuk bercuti.

[23] Beliau membawa dua beg iaitu satu beg (exhibit P7) yang dibawa dengan tangan dan satu lagi beg dimasukkan ke dalam pesawat semasa mendaftar masuk di Lapangan Terbang Johannesburg untuk di ambil terus di LTAPP. Beg ini telah dibalut dengan plastik warna biru.

[24] Sesampainya di LTAPP pada kira-kira jam 10.00 pagi pada 5.10.2013, beliau telah mengambil beg P6 di karousel dan membawanya ke mesin pengimbas untuk diimbas. Beliau telah diarahkan oleh pegawai kastam bertugas supaya membuka beg P6 berkenaan. Setelah dibuka, beliau telah memberitahu pegawai di situ bahawa beg tersebut sebenarnya bukan beg beliau dan meminta supaya beg tersebut diletakkan semula di karousel.

[25] Namun begitu, pegawai kastam berkenaan telah mengarahkan perayu membawa beg P6 tersebut masuk ke pejabat kastam. Apabila beg tersebut dibuka dan diperiksa, dua bungkusan serbuk keputihan telah ditemui di dalamnya.

[26] Perayu menyatakan bahawa beg P6 bukan begnya. Beliau telah mengambil beg tersebut di karousel kerana menjangkakan beg tersebut adalah begnya. Pada ketika itu juga terdapat beberapa buah beg yang dibalut dengan plastik biru. Beg tersebut bukanlah beg yang beliau telah daftarkan masuk di Lapangan Terbang Johannesburg, Afrika Selatan, tetapi beg P6 tersebut menyerupai beg miliknya.

[27] Perayu juga telah mengemukakan rakaman percakapannya (eksibit D100) sebagai keterangan bagi menyokong dakwaan beliau bahawa beg di mana dadah ditemui di dalamnya sebenarnya bukan beg miliknya.

Rayuan Perayu

[28] Kami telah menghalusi keseluruhan petisyen rayuan perayu yang difailkan di sini dan keseluruhan rekod-rekod rayuan dan pada hemat kami hanya terdapat satu isu sahaja yang perlu dilupuskan dalam rayuan ini, iaitu, sama ada di akhir perbicaraan (“at the conclusion of the trial”), hakim bicara yang bijaksana telah gagal untuk mempertimbangkan kesemua keterangan yang dikemukakan di hadapannya, secara khusus, berkaitan dengan rakaman percakapan beramaran perayu sebelum mendapati bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kesnya melampaui keraguan yang munasabah, dan jika gagal, sama ada kegagalan tersebut adalah memudaratkan (fatal).

[29] Kami merumuskan bahawa isu-isu lain yang dibangkitkan oleh perayu dalam rayuan ini seperti isu-isu kawalan, jagaan dan pengetahuan tentang dadah tersebut, milikkan dadah tersebut, perihal perayu tersilap mengambil/ membawa beg orang lain, penerimaan masuk rakaman percakapan mendiang Pubalan di bawah s.32(1)(i) Akta Keterangan, 1950, keterangan tentang penahanan Vania Osman bersama beg dengan tag yang ditulis atas nama perayu pada tarikh dan masa yang sama, bukti-bukti tentang elemen pengedaran dadah tersebut dan isu-isu lain yang berkaitan telah pun dibahaskan di hadapan hakim bicara yang bijaksana dan ditangani dengan sempurna sekali oleh hakim bicara. Kami bersetuju sepenuhnya dengan dapatan-dapatan hakim bicara yang bijaksana berkaitan dengan isu-isu tersebut seperti yang terkandung dalam alasan penghakimannya dan kami tidak berhasrat untuk campur tangan lantaran tidak wujudnya sebarang asas untuk kami berbuat demikian.

[30] Kembali kepada isu pokok, peguambela yang bijaksana menghujahkan bahawa hakim bicara yang bijaksana langsung tidak mempertimbangkan rakaman percakapan beramaran perayu, exhibit D100, dalam mensabitkan perayu dengan kesalahan seperti yang dipertuduhkan. Menurut peguambela yang bijaksana, ini telah melanggar peruntukkan s.182A(1), Kanun Acara Jenayah (‘KAJ’) yang memperuntukkan:

"182A. Procedure at the conclusion of trial:

(1) At the conclusion of trial, the Court shall consider all the evidence adduced before it and shall decide whether the prosecution has proved its case beyond reasonable doubt”.

[31] Kami telah meneliti dengan cermat keseluruhan alasan penghakiman hakim bicara yang bijaksana. Kami mendapati selain dari menyatakan Tertuduh juga telah memberikan pernyataan kepada pihak polis dan rakaman percakapan tertuduh telah dikemukakan di Mahkamah dan ditandakan sebagai eksibit D100. Dalam rakaman percakapannya ini, tertuduh ada menyatakan bahawa beg di mana dadah ditemui di dalamnya tersebut adalah bukan beg milik tertuduh...”, hakim bicara yang bijaksana langsung tidak mempertimbangkan rakaman percakapan beramaran eksibit D100 tersebut (lihat m.s. 27, Jilid 1, Rekod Rayuan (‘RR’).

[32] Justeru, kami bersetuju dengan hujahan peguambela yang bijaksana bahawa kegagalan hakim bicara untuk mempertimbangkan rakaman percakapan beramaran tersebut adalah bertentangan dengan kehendak s.182A(1) KAJ yang memperuntukkan bahawa mahkamah hendaklah mempertimbangkan semua keterangan yang kemukakan di hadapannya di akhir perbicaraan dan hendaklah memutuskan sama ada pihak pendakwaan telah membuktikan kesnya melampaui keraguan yang munasabah.

[33] Isu tentang membuktikan kes melampaui keraguan yang munasabah dan kaitannya dengan s.182A(1), KAJ telah dijelaskan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Balachandran v PP (2005) 2 MLJ 301, seperti berikut:

“Proof beyond reasonable doubt involves two aspects. While one is the legal burden on the prosecution to prove its case beyond a reasonable doubt, the other is the evidential burden on the accused to raise a reasonable doubt. Both these burdens can only be fully discharged at the end of the whole case when the defence has closed its case. Therefore, a case can be said to have been proved beyond reasonable doubt only at the conclusion of the trial upon a consideration of all the evidence adduced as provided by s.182A(1) of the Criminal Procedure Code that would normally be the position where the accused has given evidence. However, where the accused remains silent there will be no necessity to re-evaluate the evidence in order to determine whether there is a reasonable doubt in the absence of any further evidence for such a consideration. The prima facie evidence which was capable of supporting a conviction beyond reasonable doubt will constitute proof beyond reasonable doubt.” (penekanan oleh kami).

[34] Berpandukan kepada penjelasan di atas, tidaklah boleh dikatakan bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kesnya melampaui keraguan yang munasabah di akhir perbicaraan apabila hakim bicara yang bijaksana telah gagal dan tidak langsung mengambil kira serta mempertimbangkan keterangan rakaman percakapan beramaran D100 dalam mencapai dapatannya bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kesnya terhadap perayu melampaui keraguan yang munasabah di akhir perbicaraan. Adalah sesuatu undang-undang yang mantap bahawa rakaman percakapan dalam bentuk eksibit D100 adalah juga keterangan yang perlu diberi pertimbangan yang saksama seperti mana keterangan-keterangan lain yang dikemukakan.

[35] Rakaman percakapan perayu D100 diambil pada 7.10.2013, kira-kira dua hari selepas beliau ditangkap pada 5.10.2013. Percakapan beramaran tersebut merupakan versi terawal perayu tentang peristiwa penangkapannya bersama dengan rampasan dadah tersebut. Beliau telah memberikan alasannya dengan terperinci bagaimana beliau telah tertangkap iaitu beliau telah tersilap mengambil beg orang lain yang serupa dengan begnya yang turut dibalut dengan plastik berwarna biru di karousel. Beliau menafikan sama sekali mempunyai sebarang pengetahuan tentang dadah dalam beg tersebut dan turut menegaskan dadah tersebut bukanlah miliknya. Untuk pencerahan yang menyeluruh, kami perturunkan kandungan rakaman percakapan tersebut in extenso:

“S1: Do you understand the English language as spoken to you?

J: Yes.

S2: Do you understand the caution statement administered and explained to you?

J2: Yes.

S3: On 5/10/2013 around 10.30 a.m., you are arrested by the Customs Officer from ‘passenger screening special unit’ at the arrival hall Bayan Lepas International Airport in Penang with 4.311 kg smuggle drugs suspected of Methamphetamine in your bag. Do you wish to say anything regarding of that?

J3: I want to say that the bag and the goods in the bag did not belong to me. I took a similar bag from the conveyor belt thinking it was my bag. Customs Officer ask me to place my bag on the camera conveyor then they call one side they place the bag on the table and they ask me to open the bag. When I open the bag, it was totally different bag. It was lady clothing. I immediately ask the customs officer to close the bag and put it on the passenger conveyor... So the correct owner can pick it from the conveyor. He repeat to me no you can’t and I ask them if I can go a look on the conveyor for my bag. He told me no. The customs officer ask me to come to his office. He kept me about 3-4 hours without talking to anybody. Then another unit of customs came and took me to another office at the back. And then they keep asking me question then they took me to another office and they place the bag on the table and open the bag and took the black leather casing underneath the clothing. Then they started cutting it open with the knife and they found a white powder in the bag. They took some loose powder and put it on container and then they told me that anything you say can be used against you as evidence and we placing you under arrest. I said it unfair to place me under arrest because this is not my bag. They said just keep quiet. And put the handcuff on my hand and took me away to another place. They said it is a head office. They took photo of me and they unpack all my luggage and put tag/ number on all item. I said this is not my stuff. Then they ask me to undress my clothing including my shoes and then they giving me a track suit pant and a top to put on. Bare feet. Then I had black vanity bag name ESCOM on the bag. Then they start tagging all my personal stuff I requested to please keep separate as personal item and not part of this case.

S4: Can you explain the purpose of the trip and where you want to go?

J4: The purpose of trip partly holiday and I looking for 100% human hair.

…”

[36] Adalah jelas bahawa kandungan rakaman percakapan perayu adalah konsisten dengan keterangan lisannya di Mahkamah. Justeru, pembelaan perayu di Mahkamah bukanlah sesuatu yang ditimbulkan secara tiba-tiba untuk memerangkap pihak pendakwaan. Adalah menjadi tanggungjawab hakim bicara untuk mempertimbangkan dakwaan-dakwaan perayu yang terkandung dalam rakaman percakapan beramarannya bersekali dengan kesemua keterangan lain yang dikemukakan sesuai dengan kehendak s.182A(1) KAJ, khususnya, bahawa beliau telah tersilap mengambil beg orang lain dan bahawasanya beliau tidak mempunyai sebarang pengetahuan tentang dadah yang terkandung dalam beg milik orang lain tersebut. Dari situ hakim bicara hendaklah mempertimbangkan rakaman percakapan beramaran tersebut dengan teliti sama ada ianya berkeupayaan untuk menimbulkan keraguan ke atas kes pihak pendakwaan. Mahkamah ini dalam kes Ghazem Gharezadehsharbiani Hassan v PP [2014] 1 LNS 752 telah memutuskan:

“[13] ...In accordance with the provisions of section 182A(1) of the CPC, it is the bounden duty of the learned trial judge at the conclusion of the trial, to consider the cautioned statement of the appellant and decide whether the prosecution has proved its case beyond reasonable doubt. The learned trial judge must consider carefully whether the cautioned statement is capable of raising a reasonable doubt on the prosecution case. The learned trial judge has a duty and obligation to fairly and justly weigh the defence version and evidence (including the cautioned statement of the appellant) to reach a just result (see: Ahmad Mukamal Abdul Wahab & Anor v Public Prosecutor [2013] 4 CLJ 949).

[14] However, the learned trial judge had failed to consider and appreciate the cautioned statement which supported the appellant’s oral testimony. The learned trial judge failed to consider and scrutinize the cautioned statement and to make his own findings why even if he did not believe the cautioned statement, it did not raise a reasonable doubt on the prosecution’s case as a whole (see: Ganapathy a/l Rengasamy v Public Prosecutor [1998] 2 MLJ 577 and Tan Ewe Huat v PP [204] 1 CLJ 521. In our view, this is a serious non-direction which amounts to misdirection by the learned trial judge warranting appellate intervention (see: Gooi Loo Seng v PP [1993] 2 AMR 1135)."

[37] Selanjutnya, Mahkamah ini dalam kes Chukwudi Hassan lwn PP [2015] 8 CLJ 353 telah memutuskan:

“(1) Sekiranya kenyataan beramaran perayu diterima sebagai benar oleh hakim bicara, sudah tentu perayu berhak mendapat perintah pembebasan dan pelepasan kerana tanpa bukti pengetahuan, perayu tidak melakukan apa-apa kesalahan. Dalam hubungan ini, adalah tidak dipertikaikan bahawa hakim bicara gagal mengambil kira isi kandungan kenyataan beramaran perayu. Kegagalan ini mendatangkan ketidakadilan serius kepada perayu kerana beliau terlepas peluang untuk didapati tidak bersalah atas pertuduhan. (perenggan 12 & 13)

(2) Kenyataan perayu di dalam kenyataan beramarannya adalah sama dengan kenyataan perayu dalam pembelaannya di mahkamah yang ditolak oleh hakim bicara. Oleh yang demikian, mungkin boleh dihujahkan bahawa keputusan hakim bicara tetap akan sama, iaitu menolak kenyataan beramaran perayu. Walau bagaimanapun, adalah tidak wajar untuk mahkamah rayuan membuat spekulasi bahawa sekiranya hakim bicara telah mengambil kira kenyataan beramaran perayu, hakim bicara tetap akan menolak penjelasan perayu di mahkamah. Ini adalah persoalan fakta untuk ditentukan oleh hakim bicara dan ia melibatkan isu kredibiliti. (perenggan 13 & 14).

(3) Pihak pendakwaan dalam pemeriksaan balas gagal mencabar kenyataan perayu di dalam kenyataan beramarannya. Walaupun apa yang dinyatakan oleh perayu di dalam kenyataan beramarannya tidak semestinya benar, tanpa cabaran, adalah tidak wajar untuk mahkamah rayuan membuat andaian bahawa ia sememangnya tidak benar. Dari segi undang-undang, kegagalan mencabar keterangan yang memihak kepada tertuduh boleh dianggap sebagai pengakuan bahawa keterangan tersebut tidak dipertikaikan. Oleh itu, sabitan yang direkodkan ke atas perayu adalah tidak selamat. (perenggan 16 & 17).”

[38] Dengan demikian, kami mendapati bahawa kegagalan hakim bicara yang bijaksana untuk mempertimbangkan semua keterangan yang dikemukakan di hadapannya sebelum memutuskan bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kesnya melampaui keraguan yang munasabah, bertentangan dengan kehendak s.182A(1) KAJ, adalah terjumlah dalam salah arahan (‘misdirection’) serius yang mewajarkan campurtangan kami.

[39] Atas alasan ini sahaja kami telah membenarkan rayuan perayu. Dengan itu, sabitan dan hukuman gantung sampai mati yang dikenakan ke atas perayu diketepikan dan digantikan dengan perintah pembebasan dan pelepasan dari pertuduhan yang dijatuhkan ke atas beliau.

BERTARIKH: 4hb. Januari 2018

AHMADI HAJI ASNAWI
Hakim
Mahkamah Rayuan Malaysia

COUNSEL

Peguam bela Perayu: Dato Kumaraendren, Raj Shankar & Dev Kumaraendran, Tetuan Kumar & Co, Peguambela dan Peguamcara

Peguam bela Responden: Ahmad Sazilee Bin Abdul Khairi, Timbalan Pendakwaraya, Jabatan Peguam Negara

Legislation referred to:

Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen-seksyen 2, 37(d), 39B(1)(a), 39B(2)

Akta Keterangan, 1950, Seksyen 32(1)(i)

Kanun Acara Jenayah, Seksyen-seksyen 182A, 182A(1)

Judgments referred to:

Balachandran v PP (2005) 2 MLJ 301

Chukwudi Hassan lwn PP [2015] 8 CLJ 353

Ghazem Gharezadehsharbiani Hassan v PP [2014] 1 LNS 752

Notice: The Promoters of Malaysian Judgments acknowledge the permission granted by the relevant official/ original source for the reproduction of the above/ attached materials. You shall not reproduce the above/ attached materials in whole or in part without the prior written consent of the Promoters and/or the original/ official source. Neither the Promoters nor the official/ original source will be liable for any loss, injury, claim, liability, or damage caused directly, indirectly or incidentally to errors in or omissions from the above/ attached materials. The Promoters and the official/ original source also disclaim and exclude all liabilities in respect of anything done or omitted to be done in reliance upon the whole or any part of the above/attached materials. The access to, and the use of, Malaysian Judgments and contents herein are subject to the Terms of Use.