THE OFFICIAL REPOSITORY OF
MALAYSIAN JUDGMENTS & RULINGS

[2018] MYCA 50 MALAY

Danny Dutt v Pendakwa Raya
Suit Number: Rayuan Jenayah No. B-05(M)-43-01/2016 

Criminal law – Offence of drug trafficking – Death sentence – Appeal

Criminal law – Whether there were doubts as to the identity of the drugs – Whether the defense of the appellant properly considered – Whether the conduct of the appellant during arrest consistent with the defense of innocent carrier – Whether the principle of willful blindness applicable – Whether the conviction was safe

PENGHAKIMAN

[1] Perayu, seorang warganegara India telah dituduh melakukan kesalahan mengedar dadah berbahaya jenis Methamphetamine seberat 2,149.5 gram. Perayu telah dibicarakan dan disabitkan kesalahan seperti pertuduhan. Perayu telah dijatuhkan hukuman mati mandatori. Kami telah mendengar rayuan Perayu dan memutuskan sebulat suara bahawa rayuan Perayu ditolak sebagai tidak bermerit.

[2] Pertuduhan:

"Bahawa kamu pada 7.3.2013, lebih kurang jam 1.30 pagi di Cawangan Pemeriksaan Penumpang 2 (CPP 2), Balai Ketibaan Antarabangsa, Lapangan Terbang Tambang Murah (LCCT), Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, di dalam Daerah Sepang, di dalam Negeri Selangor Darul Ehsan, telah didapati mengedar dadah berbahaya iaitu Methamphetamine seberat 2,149.5 gram, dan dengan itu kamu telah melakukan suatu kesalahan di bawah seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah seksyen 39B(2) Akta yang sama.”

[3] Kes Prima facie:

Hakim bicara telah menghuraikan fakta kes pendakwaan dalam penghakiman bertulis beliau di muka surat 4 hingga 7 Rekod Rayuan Jld. 1. Kami tidak berhasrat untuk mengulanginya kecuali fakta-fakta tertentu untuk tujuan penekanan penghakiman kami.

3.1 Pada tarikh dan masa seperti pertuduhan, SP7, Mohd Sufyan bin Zakaria, Pegawai Kastam, bertugas di Bahagian Pemeriksaan Penumpang Terminal Penerbangan Tambang Murah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. SP7 telah mengarahkan Perayu untuk mengimbas bagasi yang dibawanya. Hasil daripada imbasan pertama, bagasi (eksibit P16) memberikan imej kehijauan yang mencurigakan.

3.2 SP7 telah meminta paspot Perayu dan menyemak tag bagasi P16 (eksibit P72). Didapati nama yang tertera adalah sama dengan nama dalam paspot tersebut. Perayu berseorangan sahaja ketika itu.

3.3 SP7 telah mengarahkan Perayu untuk membuka beg (P16). Perayu telah memberikan kerjasama dengan menggunakan nombor kombinasi kunci. SP7 telah mengeluarkan semua kandungan beg P16. SP7 telah mengimbas semula beg P16 yang telah dikosongkan. Hasil imbasan kedua juga memberikan imej kehijauan yang mencurigakan.

3.4 Seterusnya Perayu dibawa ke bilik pemeriksaan rapi. SP7 telah memaklumkan penemuan itu kepada Pegawai Kanan beliau iaitu Puan Fatimah. SP7 telah membuat pemeriksaan fizikal secara rapi beg P16 tersebut dengan kehadiran Perayu dan Puan Fatimah.

3.5 Hasil pemeriksaan rapi, SP7 telah mengeluarkan tiga lapisan pelapik, iaitu pelapik kertas, pelapik plastic hitam dan pelapik kain berwarna krim. Akhirnya SP7 mendapati tiga (3) bungkusan berwarna cokelat, ditandakan A2(1), A2(2) dan A2(3), yang berisi serbuk kristal yang disyaki dadah berbahaya.

3.6 Barang kes dan Perayu telah diserahkan kepada Pegawai Penyiasat, Keith Jonathan (SP9). SP9 telah menghantar bahan-bahan yang disyaki dadah berbahaya kepada Jabatan Kimia Kerajaan. SP1, Ahli Kimia Kerajaan, telah menganalisis bahan-bahan kristal tersebut dan mengesahkan bahawa bahan-bahan itu ialah dadah berbahaya jenis Methamphetamine dengan berat bersih 2149.5 gram. Methamphetamine ialah dadah berbahaya yang tersenarai di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

3.7 Selain bahan-bahan yang disyaki dadah berbahaya tersebut, SP9 juga telah menghantar satu berus gigi (P60A), sikat rambut (P16A) dan sehelai tuala (P59A) yang diambil daripada beg P16 kepada Jabatan Kimia untuk analisis Forensik (DNA). SP8, Pegawai Sains Jabatan Kimia mengesahkan bahawa daripada berus gigi (P60A) dan tuala (P59A) didapati DNA yang berpadanan dengan spesimen darah Perayu.

[4] Di akhir kes pendakwaan, Hakim bicara telah membuat dapatan bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes prima facie seperti pertuduhan. Perayu diperintahkan untuk membela diri (rujuk m.s. 200 RR Jld. 2B).

[5] Hakim bicara dalam penghakiman bertulis beliau di m.s. 9 perenggan 13 RR Jld. 1 telah membuat dapatan fakta dan undang-undang bahawa pemilikan dan pengetahuan telah dibuktikan melalui keterangan terus. Manakala di perenggan 15 muka surat yang sama Hakim bicara telah menerima pakai anggapan undang-undang di bawah seksyen 37(da) Akta Dadah Berbahaya 1952 bagi elemen “pengedaran”.

[6] Pembelaan:

6.1 Pada awal bulan Januari 2013, Perayu datang ke Malaysia untuk mencari pekerjaan. Selepas berada di Malaysia selama 2 malam, Perayu kembali ke India kerana ada kematian saudaranya;

6.2 Di India dia bekerja sebagai pelatih “bar captain” di sebuah Restoran Cina di New Delhi dengan pendapatan sebanyak 11,000 rupee sebulan;

6.3 Gaji tersebut tidak mencukupi. Pada bulan Mac 2013, Perayu bercadang untuk datang ke Malaysia bagi tujuan mencari pekerjaan dalam bidang perhotelan;

6.4 Sebelum bertolak ke Chennai dari New Delhi, rakan sebilik Perayu bernama “Lallit” telah menghadiahkan beg P16 kepada Perayu;

6.5 Perayu hanya melihat beg tersebut dan tidak memeriksa secara rapi. “Lallit” yang telah memasukkan barang-barang Perayu ke dalam P16;

6.6 Selepas beg P16 siap dikemaskan, beg P16 tersebut dibiarkan tidak berkunci. Perayu mengambil beg P16 tanpa memeriksa isi kandungannya. Beg P16 telah dibawa dari New Delhi ke Chennai dan dari Chennai ke KLIA;

6.7 Setelah tiba di KLIA, Perayu membuka telefonnya dan menerima panggilan daripada “Lallit”. “Lallit” bertanya dimanakah Perayu dan Perayu menjawab dia baru mendarat di KLIA;

6.8 Kemudian Perayu telah ditahan oleh Pegawai Kastam. Perayu telah membuka beg P16 dengan menggunakan kunci dan bukan dengan nombor kunci kombinasi;

6.9 Perayu telah bekerjasama dengan pihak berkuasa. Tubuh Perayu tidak diperiksa tetapi dompetnya yang mengandungi duit, kad ATM, kad-kad restoran dan gambar ahli keluarganya dirampas;

6.10 Beg P16 yang dibawa oleh Perayu berwarna kelabu dan mempunyai tag bagasi. Beg P16 yang ditunjukkan kepada Perayu kemudiannya oleh pihak polis tidak mempunyai tag bagasi;

6.11 Perayu terkejut apabila diberitahu begnya mengandungi dadah. Dia tidak mempunyai pengetahuan tentang dadah tersebut dan dadah itu bukan kepunyaannya;

6.12 Ujian “fitting” baju tidak dilakukan terhadapnya. Terdapat baju-baju yang ketat dan tidak berpadanan dengannya. Perayu menyatakan pakaian tersebut milik “Lallit”;

6.13 Perayu telah mengemukakan percakapan beramarannya sebagai eksibit D73 (rujuk m.s. 100 RR Jld. 3).

[7] Isu-isu rayuan di hadapan kami. Peguam Perayu yang bijaksana telah meneruskan hujahan dengan empat (4) isu sahaja:

7.1 Perbezaan berat kasar dadah yang meragukan;

7.2 Rantaian keterangan yang terputus menimbulkan keraguan;

7.3 Pembelaan Perayu tidak diberi pertimbangan yang sewajarnya; dan

7.4 Kelakuan Perayu semasa ditangkap adalah selari (consistence) dengan pembelaan “innocent carrier” tidak dipertimbangkan.

[8] Perbezaan berat kasar dadah

Peguam yang bijaksana telah berhujah bahawa terdapat perbezaan berat kasar dadah yang menjadi hal perkara pertuduhan sebanyak 200 gram. Menurut Peguam yang bijaksana daripada keterangan Ahli Kimia (SP1) berat kasar dadah tersebut ialah 3,411.84 gram; manakala menurut hujah Timbalan Pendakwa Raya, Pegawai Tangkapan SP7 telah menimbang berat kasar dadah tersebut dengan alat timbang Jabatan Kastam seberat 3.6 kilogram.

[9] Kami menolak hujah ini. Berat kasar dadah berkenaan bukan suatu intipati yang wajib dibuktikan tetapi berat bersih dadah tersebut mengikut pertuduhan. Kami juga telah meneliti keterangan Pegawai Tangkapan (SP7) dan Pegawai Penyiasat (SP9). Malangnya kami tidak mendapati apa-apa keterangan mengenai timbangan berat kasar dadah yang dirampas. Hujah Peguam, mereka memetik hujah Timbalan Pendakwa Raya dalam perkara ini. Ini jelas tidak boleh diberi pertimbangan. Malah kami juga telah meneliti hujah Pembukaan Pendakwaan di m.s. 3 hingga 6 RR Jld. 3. Kami tidak mendapati nyataan timbangan mengenai berat kasar dadah yang dirampas oleh Pegawai Tangkapan (SP7) atau Pegawai Penyiasat (SP9).

[10] Kami bersetuju Hakim bicara adalah khilaf menyatakan dalam Penghakiman beliau di m.s. 10 perenggan 19 RR Jld. 1 apabila menyatakan bahawa pegawai tangkapan (SP7) telah membuat timbangan berat kasar terhadap dadah tersebut. Kekhilafan ini wujud disebabkan oleh peguambela sendiri keliru dalam hujah mereka (rujuk hujah bertulis peguambela di m.s. 76 RR Jld. 4). Kami bersependapat kekhilafan ini bukanlah satu “serious misdirection.”

[11] Isu kedua iaitu rantaian keterangan terputus mengenai penyimpanan dadah yang menjadi hal perkara pertuduhan menyebabkan identiti dadah tersebut meragukan. Hujah Peguam Perayu berdasarkan keterangan pegawai siasatan (SP9) yang menyatakan dadah yang dirampas telah disimpan di dalam Kabinet berkunci beliau selama tujuh (7) hari sebelum dihantar ke Jabatan Kimia untuk penganalisaan. Ini bertentangan dengan rekod daftar setor Barang Kes (P18).

[12] Kami telah meneliti keterangan Pegawai Penyiasat (SP9) mengenai perkara ini. Kami dapati keterangan SP9 di m.s. 133 RR Jld. 2B menyatakan bahawa dadah-dadah yang dirampas dan diserahkan kepada beliau disimpan di dalam kabinet besi berkunci di bilik pejabatnya sehingga dihantar ke Jabatan Kimia pada 14.3.2013 (rujuk resit akuan terima Ahli Kimia eksibit P5 di m.s. 8 RR Jld. 3).

[13] Seterusnya Peguam Perayu telah merujuk kepada keterangan eksibit P18 (m.s. 52 RR Jld. 3) Buku Daftar Barang Kes oleh Penjaga setor Barang Kes iaitu SP3. Daripada eksibit P18 Buku Daftar Barang Kes ditulis:

“Nombor Siri: 20/13 (7.3.13). No. Surat Siasatan KE.IA (79)778/13-20

Butir-butir Barang yang dirampas: “Serbuk putih disyaki dadah”.

26/3/13: “1 beg tarik berwarna merah jambu jenama SAFARI bertanda ‘A’

30/5/13: “1 kotak bertanda ‘A’ bersil Jabatan Kimia”

[14] Peguam Perayu telah membuat rujukan silang dengan keterangan SP9 di m.s. 133 RR Jld. 2B; menyatakan dadah-dadah yang dirampas dan diserahkan kepada beliau oleh pegawai tangkapan (SP7) disimpan di dalam kabinet besi berkunci di dalam bilik pejabat beliau sehinggalah dihantar ke Jabatan Kimia untuk penganalisaan pada 14.3.13 (resit akuan terima Jabatan Kimia di m.s. 8 RR Jld. 3-eksibit P5).

[15] Daripada penelitian Peguam Perayu, dua keterangan ini bercanggah dan menimbulkan keraguan iaitu sama ada dadah-dadah tersebut disimpan di bilik setor Barang Kes atau disimpan oleh Pegawai Penyiasat (SP9). Keraguan ini menyebabkan identiti dadah-dadah tersebut dipersoalkan.

[16] Kami menolak hujah ini. Penjaga Setor (SP3) dalam keterangan beliau di m.s. 41 RR Jld. 2A jelas menyatakan:

“Saya membuat catatan di ruangan pertama iaitu No. Siri 20/2013 dan tarikh 07.03.2013 adalah tarikh rampasan dan tarikh 26.03.2013 iaitu serahan satu beg tarik warna merah jenama SAFARI bertanda ‘A’ di ruangan 2 dan di ruangan 3 No. Kertas Siasatan iaitu KE.IA (79)778/13-20.”

[17] Manakala semasa Pemeriksaan Balas oleh Peguambela di m.s. 45 RR Jld. 2A, SP3 menyatakan:

A: “Saya hanya terima pada 26.03.2013 iaitu sebuah beg tarik, itu sahaja.”

Q: Jadi pada masa itu adakah kamu tahu dadah ada dalam beg itu atau tidak?

A: Tidak tahu.

[18] Mengenai dua isu di atas, kami telah merujuk semula Penghakiman Bertulis di m.s. 10 perenggan 18 RR Jld. 1, iaitu dapatan fakta Hakim bicara:

“...Tambahan itu, saya juga berpuas hati bahawa rantaian keterangan berkenaan dengan pengendalian barang kes terutama nya barang kes dadah yang dirampas dari beg P16 di tempat kejadian hinggalah barang kes tersebut dikemukakan ke Mahkamah tidak terputus...”

[19] Adalah jelas tiada salah arah dilakukan oleh Hakim bicara dalam dua isu tersebut. lanya selaras dengan kedudukan undang-undang mantap yang telah diputuskan dalam kes-kes tersohor:

(i) Lew Wai Loon v PP [2014] MLJU 124;

(ii) Loh Kah Loon v PP [2011] 5 CLJ 345;

(iii) Hasbala Mohd Sarong v PP [2013] 6 MLJ 636;

(iv) Zaifull bin Muhammad v PP and another appeal [2013] 2 MLJ 348.

[20] Seterusnya isu ketiga dan ke empat di ulas bersama kerana berkait rapat:

- Pembelaan Perayu tidak diberi pertimbangan yang sewajarnya oleh Hakim bicara;

- Kelakuan (conduct) Perayu semasa ditangkap adalah selari (consistence) dengan pembelaan “innocent carrier.”

[21] Pembelaan Perayu ialah “innocent carrier”. Perayu tidak tahu kewujudan dadah-dadah tersebut di dalam bagasi (eksibit P16) yang dibawa oleh Perayu semasa ditangkap oleh SP7 (Pegawai Tangkapan). Daripada keterangan Perayu, dia ingin mencari pekerjaan di Malaysia kerana pendapatan Perayu di New Delhi sebanyak Rupee 11,000 sebulan tidak mencukupi untuk menanggung diri dan keluarga Perayu.

[22] Sebelum bertolak, rakan sebilik Perayu bernama “Lallit” telah memberikan beg eksibit P16 kepada Perayu. Perayu hanya melihat beg tersebut tanpa memeriksa secara rapi. “Lallit” telah memasukkan pakaian dan barang-barang peribadi Perayu ke dalam beg tersebut. Apabila ditahan dan diperiksa oleh SP7 (Pegawai Tangkapan) di KLIA, baharu Perayu menyedari terdapatnya dadah-dadah berbahaya di dalam beg tersebut. Perayu telah membawa masuk Percakapan Beramarannya sebagai eksibit D73 (rujuk m.s. 100 RR Jld. 3).

[23] Peguam Perayu yang bijaksana telah berhujah bahawa isu pihak ketiga “Lallit” telah ditimbulkan di peringkat kes pendakwaan iaitu di dalam Percakapan Beramaran (D37) dan semasa Pemeriksaan Balas Pegawai Tangkapan (SP7). Ini boleh dilihat di m.s. 108 RR Jld. 2A; justeru Pembelaan mengenai “Lallit” bukanlah pembelaan yang difikir semula.

[24] Seterusnya Peguam Perayu telah membawa perhatian kami kepada m.s. 107-108 RR Jld. 2A di mana Pegawai Tangkapan (SP7) menyatakan Perayu dalam keadaan panik dan bising apabila dadah-dadah tersebut dijumpai di dalam beg P16. Ini adalah selari dengan pembelan Perayu yang merasa tertipu serta tidak mengetahui tentang dadah-dadah yang dijumpai di dalam beg P16 (innocent carrier). Apatah lagi Perayu tidak cuba untuk melarikan diri dan memberikan kerjasama. Hakim bicara gagal memberikan pertimbangan pembelaan dari sudut yang dihujahkan dengan sewajarnya.

[25] Kami juga menolak hujah ini. Kami telah meneliti Penghakiman Bertulis Hakim bicara mengenai isu yang dihujahkan. Ini jelas dilihat di m.s. 14 perenggan 34 hingga m.s. 16 perenggan 38 RR Jld. 1, di mana Hakim bicara memberi alasan-alasan beliau menolak pembelaan “innocent carrier”. Kami dapati tiada salah arah yang memerlukan campur tangan kami.

[26] Adalah jelas terutamanya perenggan 35 Penghakiman Bertulis Hakim bicara menyatakan alasan-alasan beliau menolak pembelaan “innocent carrier” yang dihujahkan:

“[35] Selepas memberi perhatian dan meneliti kesemua aspek keterangan, mahkamah meragui kebenaran keterangan Perayu bahawa Perayu tidak mengetahui isi kandungan beg P16 dan Perayu adalah “innocent carrier” berdasarkan alasan-alasan berikut:

(i) Perayu seorang yang berpendidikan tinggi yang mempunyuai ijazah dalam bidang perdagangan. Adalah sesuatu yang tidak munasabah dan tidak masuk akal untuk seseorang yang berpendidikan tinggi tidak memeriksa beg P16 yang akan digunakan;

(ii) Mahkamah mendapati beg P16 diserahkan sebelum Perayu meninggalkan Delhi di mana Perayu mempunyai peluang dan masa yang mencukupi untuk memeriksa beg P16. Alasan Perayu, Perayu menyerahkan kepada “Lallit” untuk mengemaskan beg P16 dan tidak memeriksanya ditolak oleh mahkamah. Kami memutuskan daripada fakta dan keadaan kes ini, tindakan Perayu yang tidak memeriksa beg tersebut kerana Perayu sudah mengetahui di dalam beg P16 telah disembunyikan dadah berbahaya;

(iii) Mahkamah juga menolak pembelaan Perayu bahawa Perayu datang ke Malaysia adalah untuk bekerja berdasarkan alasan-alasan berikut. Pertama, Perayu telahpun membeli tiket penerbangan pergi dan balik. Kedua, Perayu telah membelanjakan hampir 40,000 Rupee untuk membeli tiket penerbangan pergi dan balik. Ketiga, sekiranya betul Perayu mempunyai niat untuk datang mencari pekerjaan di Malaysia, adalah tidak munasabah untuk Perayu membeli tiket pergi dan balik dalam tempoh yang berdekatan;

(iv) Mahkamah mendapati keterangan pembelaan Perayu bahawa “Lallit” adalah orang yang menyembunyikan dan meletakkan dadah di dalam beg tersebut adalah sesuatu yang tidak munasabah dan tidak boleh dipercayai kerana “Lallit” adalah rakan sekerja dan juga merupakan rakan serumah. Juga tidak wujud perbalahan atau perselisihan faham antara mereka. Tidak ada sebab untuk “Lallit” menganiayai Perayu.”

[27] Mengenai isu “innocent carrier” yang melibatkan pihak ketiga bukanlah isu baru. Rujuk kes-kes tersohor Mahkamah Persekutuan Alcontara Ambrose v PP [1996] 1 CLJ 705 di mana butir-butir pihak ketiga tersebut seperti nama penuh, alamat tempat tinggal, nombor talipon dan sebagainya telah diberi. Dalam rayuan di hadapan kami, Perayu gagal memberikan butiran “Lallit” kepada SP7 (Pegawai Tangkapan), SP9 (Pegawai Penyiasat) mahupun dalam Percakapan Beramaran Perayu Eksibit D73, di mana Perayu hanya menyebut “Lallit” tanpa memberikan butiran pengenalan lanjut.

[28] Kami merujuk kes Mahkamah Rayuan Teng Howe Sing v PP [2008] 5 CLJ 186 di m.s. 193:

“[ ] In my judgment the quality, extent and results of any police investigation into “Ho Seng”, depended very much proper information or leads being provided to the police by the accused himself. Since the accused was referring to “Ho Seng” by nickname only it was crucial that he make the police aware of this fact, and since it was the accused who knew the real name of “Ho Seng” it was imperative that he informed the police about this too, but he did not. Likewise, it would be the accused himself; who would know who his circle of friends were and who amongst them knew “Ho Seng”, whether by his nickname or real name. it was therefore imperative that the accused furnished this information to the police for their investigation purposes but without his having done so there is no basis for his complaint about the police investigations.”

[29] Dalam kes yang sama Teng Howe Sing v PP [2009] 3 CLJ 733, Mahkamah Persekutuan setelah mengesahkan Penghakiman Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi menyatakan:

“[30] ... On this point we would like to refer to the case of PP v Badrulsham bin Baharom [1987] 1 LNS 72; [1988] 2 MLJ 585, wherein Lim Beng Choon J at p.591 said that:

…So we are left with nothing more than the bare oral assertion of the accused that it was Noor Azlan who asked him to collect the bag on behalf of the former and that the accused himself had no knowledge of the contents of P3. If that be the case, one would hardly imagine that he would not have told either PW3 or PW5 at the railway station at Alor Star at the time of his arrest that P3 belonged to Noor Azlan instead of saying that there was nothing in P3.

[31] In Badrulsham’s case, the court of the view that the failure of the accused to inform the raiding officers that the white plastic bag belonged to Noor Azlan at the time of his arrest and only revealing this information during the interrogation two hours after his arrest, goes some way to support the case for the prosecution.”

[30] Hujah Peguam Perayu seterusnya mengenai perlakuan (conduct) Perayu yang selari dengan pembelaan “innocent carrier”. Peguam Perayu yang bijaksana berhujah bahawa Perayu tidak cuba melarikan diri malah memberikan kerjasama setelah dadah-dadah tersebut dijumpai. Kami menolak hujah ini. Lapangan Terbang KLIA merupakan kawasan tahap keselamatan yang tinggi. Perayu ialah seorang rakyat asing serta berpelajaran tinggi, sudah pasti tidak akan cuba melarikan diri. Perayu mungkin akan ditembak mati jika cuba melarikan diri.

[31] Akhirnya di perenggan 37 m.s. 16 RR Jld. 1 Penghakiman Hakim bicara telah memutuskan bahawa konsep “willful blindness” terpakai. Dapatan ini disokong keterangan fakta apabila Perayu menyatakan bahawa pakaian dan barangan peribadi Perayu dimasukkan oleh “Lallit” ke dalam beg P16. Perayu tidak memeriksa beg P16. Ini agak luar biasa jika dilihat tujuan Perayu datang ke Malaysia untuk mencari pekerjaan apatah lagi Perayu ialah seorang yang berpelajaran tinggi. Pemakaian prinsip “willful blindness” ini diperkukuhkan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes PP v Herlina Purnama Sari [2017] 1 MLRA 499 di perenggan 46:

“Most of the cases where the concept was held to apply concerned cases in which the accused was asked to carry certain articles, or a package, or a bag, or to swallow certain items. In these circumstances, where the request to do any of those things mentioned would be such as would arouse the suspicion of a reasonable person as to the contents, it was upon the accused to make sufficient inquires so as to dispel or to set straight such suspicions. Should the accuse not make any or any sufficient inquiries under those circumstances, the concept of wilful blindness would apply so as to fasten upon him or her the necessary knowledge as to the nature of those contents. In other words, if he deliberately “shuts his eyes” to the obvious, because he “doesn’t want to know”, he is taken to know.”

[32] Atas alasan-alasan di atas, kami bersependapat bahawa isu-isu yang dihujahkan oleh Peguam Perayu tidak mempunyai merit. Keterangan adalah kukuh. Sabitan adalah selamat. Justeru Rayuan ditolak. Sabitan dan hukuman dikekalkan.

t.t.

MOHTARUDIN BIN BAKI
Hakim Mahkamah Rayuan
Malaysia

Tarikh: 13 Februari 2018

COUNSEL

Bagi Pihak Perayu: Rosli Kamaruddin, Rosli Kamaruddin & Co., Peguambela & Peguamcara, No. 85A Tingkat 1, Jalan Pulai 7, Taman Pulai Utama, 81300 Skudai, Johor DT

Bagi Pihak Responden: Wong Poi Yoke, Timbalan Pendakwa Raya, Jabatan Peguam Negara Malaysia, Putrajaya

Legislation referred to:

Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 37(da)

Judgments referred to:

Alcontara Ambrose v PP [1996] 1 CLJ 705

Hasbala Mohd Sarong v PP [2013] 6 MLJ 636

Lew Wai Loon v PP [2014] MLJU 124

Loh Kah Loon v PP [2011] 5 CLJ 345

PP v Herlina Purnama Sari [2017] 1 MLRA 499

Teng Howe Sing v PP [2008] 5 CLJ 186

Teng Howe Sing v PP [2009] 3 CLJ 733

Zaifull bin Muhammad v PP and Another Appeal [2013] 2 MLJ 348

Notice: The Promoters of Malaysian Judgments acknowledge the permission granted by the relevant official/ original source for the reproduction of the above/ attached materials. You shall not reproduce the above/ attached materials in whole or in part without the prior written consent of the Promoters and/or the original/ official source. Neither the Promoters nor the official/ original source will be liable for any loss, injury, claim, liability, or damage caused directly, indirectly or incidentally to errors in or omissions from the above/ attached materials. The Promoters and the official/ original source also disclaim and exclude all liabilities in respect of anything done or omitted to be done in reliance upon the whole or any part of the above/attached materials. The access to, and the use of, Malaysian Judgments and contents herein are subject to the Terms of Use.