THE OFFICIAL REPOSITORY OF
MALAYSIAN JUDGMENTS & RULINGS

[2018] MYCA 36 MALAY

Codjo Theodore Tchidi v Pendakwa Raya
Suit Number: Rayuan Jenayah No. B-05(M)-305-08/2016 

PENGHAKIMAN

Pendahuluan

[1] Perayu, seorang warga Benin, telah dituduh dengan satu pertuduhan mengedar 2564.9 gram methamphetamine pada 05 November 2013, jam lebih kurang 5.15 petang, di kawasan bagasi di Balai Ketibaan Antarabangsa, Aras 3, Bangunan MTB, KLIA Sepang, Selangor, suatu kesalahan di bawah seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (‘ADB 1952’) yang boleh dihukum di bawah seksyen 39B(2) Akta yang sama.

[2] Mahkamah Tinggi teiah mendapati perayu bersalah, mensabitkan perayu dan menjatuhkan hukuman mati terhadap perayu.

[3] Perayu telah merayu kepada Mahkamah ini. Pada 06 Disember 2017, Mahkamah ini telah mendengar rayuan perayu dan memutuskan untuk menolak rayuan perayu. Sabitan dan hukuman Mahkamah Tinggi dikekalkan. Kami kini memberikan alasan keputusan tersebut.

Kes Pendakwaan

[4] Daripada keterangan yang telah dikemukakan, intipati kes pendakwaan adalah seperti berikut. Pada 5 November 2013, jam lebih kurang 5.15 petang, D/Kpl Hairul Anuar bin Ismail (SP4) bersama sepasukan 10 orang anggota polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, KLIA, Sepang telah menjalankan tugas pemantauan terhadap penumpang dan bagasi di kawasan Tuntutan Bagasi, Balai Ketibaan Antarabangsa Aras 3, KLIA, Sepang.

[5] Sewaktu pemantauan tersebut, SP4 telah melihat perayu yang membawa satu beg sandang berwarna hitam di bahu kiri (P11) sedang menarik satu beg berwarna hitam (P12) di tangan kanannya berjalan menuju keluar daripada bahagian antarabangsa. SP4 telah memperkenalkan diri sebagai polis kepada perayu dan meminta perayu mengemukakan pasport. Perayu menunjukkan pasportnya (P8) kepada SP4.

[6] Seterusnya, SP4 mengarahkan perayu supaya mengimbas beg sandang (P11) dan beg berwarna hitam (P12) yang dibawa itu. Tiada imej yang mencurigakan dikesan. Beg P12 mempunyai satu tag No. 0057 AF 478903 (P12A) atas nama perayu. SP4 seterusnya mengarahkan perayu supaya membawa kedua-dua beg P11 dan P12 ke Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Aras 3, MTB, KLIA bagi pemeriksaan lanjut. Di pejabat tersebut, SP4 telah membuat pemeriksaan badan ke atas perayu dan tidak menjumpai apa-apa barang salah.

[7] Seterusnya, dengan disaksikan oleh perayu dan anggota-anggota lain, SP4 telah membuka zip beg (P12) yang tidak berkunci dan memeriksa kandungan beg P12. SP4 mendapati beg P12 mengandungi beberapa helai baju dan seluar, satu bekas berwarna oren dengan tutup berwarna putih berisi cebisan jaring berwarna putih, dan dua bungkusan berbalut kain putih yang setiap satu mengandungi sebiji buah labu yang keras seperti telah diawet berwarna oren. SP4 telah memeriksa kedua-dua buah labu tersebut dan mendapati buah labu tersebut telah diubah suai dalam mana bahagian atas setiap buah labu boleh dibuka melalui penutup (lihat gambar P5 (7-15)). SP4 membuka penutup buah labu pertama (P14A) dan mendapati dalam buah labu itu berisi minyak berwarna hitam pekat yang melekit. Seterusnya, SP4 mengenepikan minyak yang melekit dan mendapati terdapat satu plastik berwarna hitam di bahagian bawah minyak. Dengan menggunakan sebilah pisau, SP4 telah mencucuk plastik hitam tersebut dan mendapati ketulan kristal disyaki dadah terkeluar daripada plastik hitam itu.

[8] Pemeriksaan yang serupa dilakukan oleh SP4 ke atas buah labu kedua (P14C) dan mendapati labu P14C juga mengandungi minyak hitam pekat yang melekit dan satu plastik hitam di bawahnya yang juga terdapat ketulan kristal yang terkeluar setelah dicucuk oleh SP4 dengan pisau. SP4 telah menangkap perayu. SP4juga memeriksa beg sandang (P11) dan tidak mendapati apa-apa barang salah. Beg P11 mengandungi beberapa helai pakaian, berus gigi (P16), kasut (P11), sabun (P28) dan dua pengecas telefon P17(A &B).

[9] SP4 kemudiannya telah membuat laporan tangkapan dan rampasan melalui KLIA Sepang Rpt/013261/13 (P19) dan mengeluarkan Senarai Bongkar (P20). Perayu dan barang rampasan kemudiannya telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang (IPD) dan diserahkan oleh SP4 kepada pegawai penyiasat, Insp. Abd Rahim bin Hassan (SP7) dan Borang Penyerahan Barang/ Dokumen OKT (P21) ditandatangani oleh SP4 dan SP7.

[10] SP7 telah menghantarkan dua bungkusan kain (P14B dan P14D) bersama dua buah labu (P14A dan P14C) yang terdapat bahan disyaki dadah ke Jabatan Kimia Malaysia Petaling Jaya, Selangor untuk dianalisis. Ahli Kimia Malaysia, Dr. Saravana Kumar a/l Jayaram (SP5), telah mengesahkan bahawa bahan kristal tersebut ialah methamphetamine seberat 2564.9 gram, iaitu dadah berbahaya yang disenaraikan dalam Jadual Pertama ADB 1952. SP5 turut mengemukakan laporan kimia beliau (P33).

Dapatan Hakim Bicara Di Akhir Kes Pendakwaan

[11] Di akhir kes pendakwaan, YA Hakim Bicara dalam memutuskan bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan satu kes prima facie telah membuat dapatan berikut di muka surat 19-22 Rekod Rayuan Jilid 1:

" Perbuatan tertuduh membawa dadah tersebut di dalam P12 tersebut adalah terjumlah kepada perbuatan pengedaran sebagaimana yang didefinasikan di bawah seksyen 2, Akta Dadah Berbahaya, 1952 iaitu membawa. Beliau membawa dadah-dadah tersebut dari Benin negaranya, bagi diedarkan di Malaysia.

Tertuduh bukan setakat membawa atau menyimpan dadah berbahaya berkenaan tetapi, ‘whether he is a trafficker in those circumstances depend on the facts and circumstances of the given case, including the quantity of the drugs and any transaction the accused proposed to enter into’ (lihat kes Mohamad Yazri Minhat v Public Prosecutor [2003] 2 CLJ 65 p 75).

Memandangkan jumlah dadah yang dibawa oleh tertuduh adalah satu jumlah yang besar iaitu 2564.9 gram, maka adalah sesuatu yang tidak dapat disangkalkan bahawa tertuduh membawa dadah tersebut untuk tujuan pengedaran. (Ong Ah Chuan v PP [1981] 1 MLJ 64). Manakala di dalam kes Mohamad Yazri Minhat v Public Prosecutor (supra) diputuskan:

‘As a matter of common sense the larger the quantity of drugs involved the stronger the inference that they were not intended for the personal consumption of the person carrying them, and the more convincing the evidence to rebut it.’

Dari fakta dapat digarap bahawa berdasarkan kepada cara dadah tersebut dibawa dan jumlah dadah yang dibawa agak besar kuantitinya, maka ‘irresisble inference’ boleh dibuat berdasarkan kepada ‘common sense approach’ bahawa tertuduh sememangnya berniat untuk mengedarkan dadah-dadah berbahaya tersebut.

Tindakan tertuduh yang dilakukan secara fisikal pula, iaitu:

(a) ‘concealing’ -keadaan dimana P14A, P14C yang disorokkan di dalam bagasi P12 miliktertuduh di bahagian dalamnya dengan cara dibungkus dengan kain putih (P14B dan P14D) yang mana secara mata kasar ia tidak dapat dilihat.

(b) ‘transporting’ dan ‘importing’ -membawa masuk dari negara luar dadah tersebut ke dalam Malaysia. Di dalam kes ini, tertuduh telah menaiki pesawat dari Benin ke Kuala Lumpur. Pembuktian tertuduh masuk ke negara Malaysia pada 5 November 2013 boleh dilihat pada ‘endorsement’ yang diturunkan oleh pihak imigresen (SP2) di pasport tertuduh (lihat exhibit P8 dan P8A) manakala penerbangan tertuduh dari Doha ke Kuala Lumpur dapat dilihat pasa salinan e-ticket (P22), departure card, boarding pass (P23), tag bagasi (P12A).

(c) ‘carrying’ -tertuduh dikatakan membawa dadah tersebut apabila dadah tersebut disorokkan di dalam bagasi P12 tersebut dan dilihat semasa mengambil bagasi tersebut.

Kesemua perbuatan tertuduh yang dilakukan secara jelik tersebut terjumlah kepada perbuatan pengedaran secara langsung sepertimana yang didefinasikan di bawah seksyen 2 Akta.

Lantas, pihak pendakwaan diputuskan telah berjaya membuktikan bahawa tertuduh telah melakukan perbuatan mengedar dadah berbahaya seperti yang ditakrifkan di bawah seksyen 2 Akta Dadah Berbahaya 1952 iaitu membawa.’’.

[12] Perayu diperintahkan membeia diri atas pertuduhan yang dikemukakan terhadapnya.

Pembelaan Perayu

[13] Perayu memberi keterangan secara bersumpah. Perayu menafikan mempunyai milikan dan pengetahuan ke atas dadah yang ditemui oieh SP4. Perayu mengatakan di Benin, perayu menjalankan perniagaan alat-alat elektronik dan perabot. Perayu seterusnya mengatakan kawan perayu bernama Dossoupacome yang dikenali oleh perayu lebih kurang 6 bulan, telah memberitahu perayu bahawa alat-alat elektronik boleh dibeli dengan murah di Malaysia. Perayu merancang untuk ke Malaysia dan memberi kepada Dossoupacome wang sebanyak USD250.00 bagi membuat tempahan bilik hotel di Hotel Ibis Styles KL Cheras (P24). Perayu selanjutnya mengatakan, sebelum perayu bertolak ke lapangan terbang di Benin, perayu telah menerima panggilan telefon daripada Dossoupacome yang memberitahu perayu bahawa Dossoupacome ingin mengirimkan sesuatu untuk dibawa ke Malaysia. Perayu dan Dossoupacome membuat temujanji bagi berjumpa di lapangan terbang sebelum perayu berlepas. Perayu mengatakan Dossoupacome telah datang ke lapangan terbang dan menyerahkan kepada perayu sebuah beg besar, menjadikan perayu mempunyai tiga buah beg untuk dibawa. Bagi mengurangkan jumlah beg yang dibawa, perayu telah memindahkan barangan perayu dari beg kecil ke dalam beg besar tersebut untuk membawa dua buah beg sahaja. Perayu mengatakan ketika memasukkan barangan perayu ke dalam beg besar, perayu melihat terdapat sesuatu dalam beg besar yang diberikan oleh Dossoupacome. Perayu bertanyakan kepada Dossoupacome tentang perkara tersebut dan Dossoupacome memberitahu bahawa bungkusan putih tersebut adalah sabun tempatan berwarna hitam bagi diserahkan kepada kawan Dossoupacome apabila perayu tiba di Malaysia. Perayu mengatakan bahawa perayu mempercayai Dossoupacome dan oleh kerana kesuntukan masa, perayu tidak memeriksa kandungan bungkusan tersebut. Perayu seterusnya mengatakan, setiba di KLIA, pegawai polis di kaunter imbasan bagasi telah meminta perayu membuka beg besar yang perayu bawa. Perayu mengatakan pegawai polis tersebut telah bertanyakan tentang material di dalam beg tersebut dan perayu menjawab ianya adalah sabun. Perayu seterusnya mengatakan pegawai polis tersebut telah mencucuk dengan menggunakan pisau dan mendapati terdapat cairan di dalam bungkusan tersebut. Perayu seterusnya mengatakan bahawa beg tersebut telah dibawa oleh pegawai poiis tersebut ke suatu tempat lain dan selepas lebih kurang 10 minit, pegawai tersebut datang semula kepada perayu dengan membawa beg plastik di tangan yang kelihatan seperti serbuk gula. Perayu mengatakan beg yang dikemukakan di mahkamah (P12) bukan beg besar yang dibawanya. Perayu juga mengatakan semasa berada dengan SP4, telefon bimbit perayu ada berbunyi tetapi perayu tidak dibenarkan menjawab panggilan tersebut. Perayu turut mengemukakan percakapan beramaran (D43) perayu bagi menyokong keterangan pembelaannya.

Dapatan Dan Keputusan Hakim Bicara Di Akhir Kes Pembelaan

[14] Di akhir kes pembelaan, YA Hakim Bicara, setelah menimbangkan segala aspek pembelaan perayu, telah membuat dapatan berikut (muka surat 34-35 Rekod Rayuan Jilid 1):

“Jelaslah, pembelaan yang dikemukakan oleh tertuduh adalah merupakan penafian kosong yang tiada berasas untuk diberikan pertimbangan. Watak Dossoupacome adalah suatu watak ‘fictitious’. Jika benar pun penama itu wujud, tertuduh sendiri yang telah cuai, terlalu mempercayai serta bersikap ‘wilful blindness’ kerana telah tidak lebih berhati-hati untuk mengetahui lebih lanjut maklumat penama ini serta isi kandungan bagasi ini sebelumnya tersebut. Berdasarkan kepada keterangan, tertuduh adalah merupakan pemilik sebenar bagasi P12 yang dibawanya. Tertuduh jelas mempunyai pengetahuan, kawalan dan jagaan ke atas dadah-dadah yang berada di dalam P14A dan P14C yang tersimpan dalam bagasi P12 yang dibawanya. Keraguan yang munasabah telah gagal dibangkitkan oleh tertuduh terhadap kes pihak pendakwaan.’’.

[15] Di akhir perbicaraan, Hakim Bicara mendapati perayu bersalah dan disabitkan dengan pertuduhan dan dihukum dengan hukuman mati.

Rayuan Perayu

[16] Peguambela terpelajar bagi pihak perayu, memberitahu Mahkamah ini bahawa alasan rayuan dan hujahan oleh perayu hanya akan ditumpukan kepada dua alasan rayuan sahaja seperti berikut:

(a) bahawa Hakim Bicara telah terkhilaf apabila menggunapakai peruntukan anggapan seksyen 37(da) hanya semasa kes pembelaan (that the learned trial Judge erred when His Lordship invoked the section 37(da) presumption only in the defence case).

(b) bahawa Hakim Bicara telah terkhilaf apabila gagal untuk mempertimbangkan pembelaan perayu (that the learned trial Judge erred when His Lordship failed to appreciate the defence case).

Keputusan Mahkamah Ini

[17] Peguambela terpelajar berhujah bahawa Hakim Bicara pada akhir kes pendakwaan tidak menyatakan dengan jelas sama ada kes terhadap perayu diasaskan kepada pengedaran langsung dadah atau diasaskan kepada peruntukan anggapan pengedaran. Peguambela terpelajar seterusnya berhujah, berdasarkan kepada alasan penghakiman di akhir kes pendakwaan, Hakim Bicara telah mendapati perayu mengedar dadah dalam maksud seksyen 2 ADB 1952. Peguambela terpelajar selanjutnya berhujah, semasa menimbang kes pembelaan, Hakim Bicara telah menggunapakai peruntukan anggapan pengedaran di bawah seksyen 37(da) ADB 1952. Justeru itu, peguambela terpelajar berhujah dapatan dan keputusan oleh Hakim Bicara tersebut menimbulkan kesamaran dan ketidaktentuan apabila menggunapakai kedua-dua peruntukan undang-undang terhadap perayu, iaitu pengedaran secara langsung dan anggapan pengedaran, dan yang demikian telah menyalaharahkan dirinya di sisi undang-undang. Peguambela terpelajar berhujah di atas kesilapan tersebut, sabitan terhadap perayu tidak boleh dikekalkan. Peguambela terpelajar merujuk kepada kes-kes Seyedalireza Seyedhedayatollah Ehteshhamiardestani v Public Prosecutor [2014] 4 CLJ 406, Mohamad Hanafi bin Mohamad Hashim v Pendakwa Raya [2016] 3 MLJ 723, Nguyen Quoc Tuan v Public Prosecutor [2016] 6 MLJ 156, Soorya Kumar Narayanan v PP [2009] 6 CLJ 257, dalam menyokong hujahannya.

[18] Mahkamah ini mendapati hujahan oleh peguam terpelajar bagi pihak perayu dalam isu ini tidak mempunyai merit. Di akhir kes pendakwaan, Hakim Bicara dengan jelas membuat dapatan dan memutuskan bahawa perbuatan perayu membawa dadah yang menjadi perkara pertuduhan adalah terjumlah kepada perbuatan pengedaran sebagaimana maksud seksyen 2 ADB 1952 (muka surat 19 Rekod Rayuan Jilid 1). Dapatan dan keputusan Hakim Bicara di akhir kes pendakwaan, jelas melihatkan bahawa Hakim Bicara membuat dapatan bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan bahawa perayu telah melakukan perbuatan mengedar dadah berbahaya seperti yang ditakrifkan di bawah seksyen 2 ADB 1952, iaitu membawa (carrying) (muka surat 21 Rekod Rayuan Jilid 1).

[19] Justeru, beban pembelaan diri oleh perayu hanya untuk mengemukakan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan (Mat v Public Prosecutor [1963] 1 LNS 82; [1963] MLJ 263, PP v Salmin [1971] 2 MLJ 16).

[20] Di akhir kes pembelaan, Hakim Bicara mengulangi lagi bahawa perbuatan perayu membawa dadah di dalam P14Adan P14C dalam bagasi P12 adalah terjumlah kepada pengedaran secara langsung seperti yang ditakrifkan di bawah seksyen 2 ADB 1952 (muka surat 34 Rekod Rayuan Jilid 1). Hakim Bicara mendapati perayu telah gagal menimbulkan sebarang keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan (muka surat 35 Rekod Rayuan Jilid 1). Jelasnya, Hakim Bicara tidak meletakkan beban pembuktian yang lebih tinggi terhadap perayu. Mahkamah ini berpendapat walau pun Hakim Bicara ada merujuk kepada peruntukan seksyen 37(da)(xvi) ADB 1952 semasa menimbangkan kes pembelaan perayu, tetapi Hakim Bicara tidak menjadikan peruntukan anggapan pengedaran tersebut sebagai asas sabitan terhadap perayu (muka surat 34 Rekod Rayuan Jilid 1). Beban pembelaan masih kekal pada tahap menimbulkan keraguan yang munasabah ke atas kes pendakwaan, iaitu pada tahap di bawah daripada atas imbangan kebarangkalian (balance of probabilities) sekiranya peruntukan anggapan pengedaran digunapakai (lihat PP v Ku Yahya Ku Bahari & Anor [2002] 1 CLJ 113). Justeru itu, perayu telah tidak diprejudiskan dalam isu beban pembuktian pembelaan dan tiada sebarang ketidakadilan yang menjurus kepada “miscarriage of justice”.

[21] Dalam kes Seyedalireza Seyedhedayatollah Ehteshshamiardestani (supra), Mahkamah Tinggi telah menggunapakai kedua-dua anggapan di bawah seksyen 37(d) dan (da) ADB 1952, secara alternatif apabila memanggil perayu dalam kes tersebut membela diri, yang mencerminkan ketidaktentuan hakim bicara dalam membuat dapatan sama ada terdapat milikan sebenar atau milikan anggapan dan sama ada pengedaran sebenar atau anggapan pengedaran. Kecacatan yang serupa berlaku dalam kes Nguyen Quoc Tuan v Public Prosecutor [2016] 6 MLJ 156. Sabitan terhadap perayu dalam kedua-dua kes tersebut telah diketepikan.

[22] Ketidaktentuan yang serupa juga berlaku dalam kes Mohamad Hanafi bin Mohamad Hashim lwn Pendakwa Raya (supra) di mana Mahkamah Tinggi menggunapakai kedua-dua anggapan statutori di bawah seksyen 37(d) ADB 1952 untuk elemen milikan mens rea dan seksyen 37(da) ADB 1952 untuk elemen pengedaran apabila memanggil perayu dalam kes tersebut membela diri (kes sebelum ADB 1952 dipinda yang membenarkan kedua-dua anggapan digunapakai mulai 15 Februari 2014).

[23] Nas-nas yang dirujuk oleh peguam perayu boleh dibezakan faktanya. Kecacatan bersifat ketidaktentuan tersebut tidak terdapat dalam kes perayu di Mahkamah ini. Sejak daripada kes pendakwaan sehingga di akhir kes pembelaan, Hakim Bicara hanya merujuk dan menggunapakai definasi seksyen 2 ADB 1952 dalam membuat dapatan dan keputusannya. Tiada dapatan berbentuk alternatif oleh Hakim Bicara.

[24] Alasan ini ditolak sebagai tidak bermerit.

[25] Alasan kedua yang dihujahkan oleh peguambela terpelajar ialah kegagalan Hakim Bicara menimbangkan pembelaan perayu. Peguambela terpelajar menghujahkan bahawa Hakim Bicara juga tidak memberikan sebarang pertimbangan ke atas pernyataan beramaran perayu (D43). Peguambela terpelajar merujuk kepada kes Prasit Punyang v PP [2014] 1 MLRA 387 dalam menyokong hujahannya bahawa adalah menjadi satu tugasan bagi Hakim Bicara di bawah seksyen 182A(1) Kanun Tatacara Jenayah untuk menimbangkan keseluruhan keterangan termasuk pernyataan beramaran perayu yang dikemukakan sebagai eksibit D43 dalam menentukan sama ada pembelaan perayu telah dapat menimbulkan apa-apa keraguan terhadap kes pendakwaan sebelum Hakim Bicara boleh memutuskan bahawa kes pendakwaan teiah dibuktikan tanpa keraguan yang munasabah.

[26] Timbalan Pendakwa Raya (TPR) terpelajar dalam hujahan balas berhujah bahawa walau pun Hakim Bicara tidak secara spesifik merujuk kepada D43 tetapi Hakim Bicara telah menimbangkan kes pembelaan diri perayu dengan kes pendakwaan secara keseluruhan. TPR terpelajar berhujah Hakim Bicara telah menimbangkan keseluruhan keterangan termasuk keterangan perayu semasa pembelaan diri dan pernyataan beramaran perayu D43 dalam perkara dakwaan perayu berkaitan peranan rakan perayu bernama Dossoupacome, dalam mana setelah membuat penilaian, Hakim Bicara memutuskan pembelaan perayu tersebut hanya merupakan pembelaan yang difikirkan kemudian atau “an afterthought”. TPR terpelajar juga berhujah kewujudan watak bernama Dossoupacome yang dikatakan oleh perayu sebagai tuanpunya beg besar tidak pernah ditimbulkan oleh perayu semasa SP4 memberi keterangan. TPR terpelajar menghujahkan watak Dossoupacome hanya ditimbulkan oleh perayu melalui pernyataan beramaran perayu (D43) yang diberikan setelah enam hari perayu ditahan. TPR seterusnya menghujahkan kecuali perayu menyebutkan nama Dossoupacome, tiada butiran lanjut lain diberikan oleh perayu untuk siasatan dapat dilakukan ke atas watak tersebut. TPR juga menghujahkan, jika D43 diteliti, perayu dalam D43 mengatakan telah mengenali Dossaupacome selama 2 tahun. Walau bagaimana pun semasa memberi keterangan pembelaan, perayu mengatakan teleh mengenali Dossoupacome selama 6 bulan. Percanggahan tersebut gagal dijelaskan oleh perayu dan kredibiiiti keterangan perayu adaiah dipersoalkan.

[27] Hakim Bicara telah menimbangkan pembelaan perayu seperti yang dapat dilihat di muka surat 25 hingga 33 Rekod Rayuan Jilid 1. Dalam menimbang dan menilai kes pembelaan, Hakim Bicara menyebut sejumlah 28 kali nama Dossoupacome dan pada akhirnya membuat dapatan bahawa watak Dossoupacome tersebut adaiah merupakan suatu watak ‘fictitiuos’ (muka surat 29 dan 35 Rekod Rayuan Jilid 1). Hakim Bicara juga merujuk kepada percakapan beramaran perayu D43 sebagai membentuk keseluruhan keterangan pembelaan perayu bagi pertimbangan bersama semua keterangan yang lain (muka surat 27 Rekod Rayuan Jilid 1). Di akhir pertimbangan tersebut, Hakim Bicara memutuskan seperti berikut (muka surat 35 Rekod Rayuan Jilid 1);

"...menilai serta menimbang kepada keseluruhan keterangan secara keseluruhannya, dengan ini mencapai suatu keputusan iaitu tertuduh di peringkat akhir kes pembelaan ini telah gagal menimbulkan sebarang keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.”.

[28] Di dalam kes Prasit Punyang v PP (supra), Mahkamah Tinggi telah gagal sama sekali menimbangkan pernyataan beramaran perayu (‘exh D1’). Perayu dalam kes tersebut di dalam pernyataan beramaran yang diberikan kepada pihak polis sehari selepas tangkapan telah menimbulkan nama “Mail” sebagai orang yang membekalkan dadah cannabis dan “Mail” tersebut juga adalah tuanpunya bot di mana dadah cannabis dijumpai tersembunyi dalam bahagian belakang bot. Tiada siasatan oleh pihak polis ke atas watak “Mail”. Hakim Bicara juga tidak membuat apa-apa pertimbangan ke atas pernyataan beramaran perayu berkaitan watak “Mail” yang disebutkan oleh perayu. Mahkamah Rayuan telah membenarkan rayuan perayu dan sabitan diketepikan.

[29] Berbalik kepada rayuan ini. Mahkamah ini mendapati Hakim Bicara telah menimbangkan keseluruhan keterangan. Dalam perkara pembelaan perayu, Hakim Bicara merujuk sebanyak 28 kali watak Dossoupacome sebeium membuat dapatan ke atasnya. Keterangan lisan perayu tidak banyak berbeza dengan kandungan percakapan beramaran perayu (D43). Hakim Bicara jelas telah merujuk kepada D43 disamping keterangan lisan perayu (muka surat 27 Rekod Rayuan Jilid 1). Hakim Bicara juga telah membuat dapatan bahawa perayu bukan seorang “innocent carrier” dadah tersebut seperti yang diputuskan di muka surat 33 Rekod Rayuan Jilid 1 (lihat PP v Herlina Purnama Sari [2017] 1 MLRA 499 FC, Reza Maiek Zadeh Sahabah v PP [2014] 3 MLJ 380). Mahkamah ini berpendapat Hakim Bicara telah mematuhi kehendak seksyen 182A (1) Kanun Tatatcara Jenayah (Akta 593). Justeru itu, hujahan oleh peguambela terpelajar bahawa Hakim Bicara telah gagal mempertimbangkan pembelaan perayu, khususnya percakapan beramaran perayu D43 tidak mempunyai merit.

[30] Peguambela terpelajar juga ada berhujah bahawa Hakim Bicara telah khilaf kerana menggunapakai peruntukan di bawah seksyen 114(g) Akta Keterangan 1950, terhadap perayu kerana kegagalan perayu membawa keterangan yang boleh membuktikan wujudnya watak bernama Dossoupacome. Mahkamah ini berpendapat hujahan tersebut tidak mempunyai merit. Hakim Bicara telah membuat dapatan bahawa watak Dossoupacome tersebut tidak wujud dan hanya suatu rekaan oleh perayu (muka surat 29 Rekod Rayuan Jilid 1). Oleh itu, walau pun Hakim Bicara ada merujuk kepada pemakaian seksyen 114(g), perkara tersebut tidak mendatangkan prejudis terhadap pengadu kerana watak Dossoupacome telah diputuskan sebagai watak ‘fictitios’. Tahap beban ke atas pembelaan masih kekal untuk menimbulkan keraguan yang munasabah ke atas kes pendakwaan. Perayu tidak dikenakan beban yang lebih tinggi daripada itu. Justeru, Mahkamah ini dapati perayu tidak diprejudiskan.

Kesimpulan

[31] Berdasarkan alasan-alasan yang telah kami huraikan, Mahkamah ini mendapati YA Hakim Bicara telah mengarahkan dirinya dengan betul mengenai undang-undang yang terpakai dan telah meneliti keseluruhan keterangan yang dikemukakan dalam kes ini. Tidak terdapat sebarang alasan atau merit bagi Mahkamah ini mengganggu keputusan Hakim Bicara tersebut (lihat Sheo Swamp v King Emperor AIR [1934] PC 22; Reza Malek Zadeh Sahabali v PP [2014] MLRHU 1815, [2014] 3 MLJ 380, Sainal Abidin Mading v PP [1999] 4 CLJ 215). Sabitan terhadap perayu adalah selamat.

[32] Justeru, Mahkamah ini mengekalkan sabitan dan hukuman oleh Mahkamah Tinggi.

YAACOB BIN HAJI MD. SAM
Hakim
Mahkamah Rayuan Malaysia

Bertarikh 25 Januari 2018

COUNSEL

Peguamcara bagi pihak Perayu: Hisyam Teh Poh Teik, Tetuan Teh Poh Teik, Peguambela & Peguamcara, Unit 11.08, Tingkat 11, Menara TJB, No. 9, Jalan Syed Mohd Mufti, 80000 Johor Bahru, Johor

Peguamcara bagi pihak Responden: Adam bin Mohamed, Timbalan Pendakwa Raya, Jabatan Peguam Negara, Bahagian Perbicaraan & Rayuan, Aras 5, No. 45, Lot 4G7, Presint 4, Persiaran Perdana, 62100 Putrajaya

Legislation referred to:

Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen-seksyen 2, 37(d), 37(da), 37(da)(xvi), 39B(1)(a), 39B(2)

Akta Keterangan 1950, Seksyen 114(g)

Kanun Tatacara Jenayah, Seksyen 182A(1)

Judgments referred to:

Mat v Public Prosecutor [1963] 1 LNS 82; [1963] MLJ 263

Mohamad Hanafi bin Mohamad Hashim v Pendakwa Raya [2016] 3 MLJ 723

Nguyen Quoc Tuan v Public Prosecutor [2016] 6 MLJ 156

PP v Herlina Purnama Sari [2017] 1 MLRA 499 FC

PP v Ku Yahya Ku Bahari &Anor [2002] 1 CLJ 113

PP v Salmin [1971] 2 MLJ 16

Prasit Punyang v PP [2014] 1 MLRA 387

Reza Maiek Zadeh Sahabah v PP [2014] 3 MLJ 380

Sainal Abidin Mading v PP [1999] 4 CLJ 215

Seyedalireza Seyedhedayatollah Ehteshhamiardestani v Public Prosecutor [2014] 4 CLJ 406

Sheo Swamp v King Emperor AIR [1934] PC 22

Soorya Kumar Narayanan v PP [2009] 6 CLJ 257

Notice: The Promoters of Malaysian Judgments acknowledge the permission granted by the relevant official/ original source for the reproduction of the above/ attached materials. You shall not reproduce the above/ attached materials in whole or in part without the prior written consent of the Promoters and/or the original/ official source. Neither the Promoters nor the official/ original source will be liable for any loss, injury, claim, liability, or damage caused directly, indirectly or incidentally to errors in or omissions from the above/ attached materials. The Promoters and the official/ original source also disclaim and exclude all liabilities in respect of anything done or omitted to be done in reliance upon the whole or any part of the above/attached materials. The access to, and the use of, Malaysian Judgments and contents herein are subject to the Terms of Use.