THE OFFICIAL REPOSITORY OF
MALAYSIAN JUDGMENTS & RULINGS

[2018] MYCA 154 MALAY

Chiam Nguang Huat v Pendakwa Raya
Suit Number: Rayuan Jenayah No. P-05(H)-185-06/2016 

Criminal law – Murder – Conviction – Death sentence – Appeal

Criminal law – Whether the trial court failed to comply with section 133A of the Evidence Act 1950 when receiving the evidence of children – Whether the trial court failed to duly consider the appellant's defense – Whether the evidence of the pathologist sufficient for the offense of murder

Criminal law – Whether the conviction under section 302 of the Penal Code safe – Whether the conviction under section 302 should be substituted with a conviction under section 304(a) of the Penal Code

PENGHAKIMAN

[1] Perayu telah dituduh:

"Bahawa kamu pada 24.6.2013, jam lebih kurang 4.00 petang, di rumah No. 59 Jalan Bayu Mutiara 4, Taman Bayu Mutiara, di dalam Daerah Seberang Perai Tengah, di dalam Negeri Pulau Pinang, telah melakukan pembunuhan dengan menyebabkan kematian ke atas Lai Siew Fong (P)(No. KP: 770926-07-5024). Oleh itu kamu telah melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.” (rujuk m.s. 2 RR Jld. 3)

[2] Di akhir perbicaraan, Hakim bicara telah mensabitkan Perayu dan menjatuhkan hukuman mati mandatori di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan.

[3] Kami telah mendengar rayuan Perayu dan memutuskan sebulat suara bahawa rayuan dibenarkan sebahagian. Sabitan dan hukuman Hakim bicara di bawah kesalahan seksyen 302 Kanun Keseksaan telah diketepikan dan menggantikannya dengan sabitan di bawah seksyen 304(a) Kanun Keseksaan. Setelah mendengar rayuan meringan dan memberatkan hukuman, kami juga sebulat suara menjatuhkan hukuman penjara selama 20 tahun berkuat kuasa dari tarikh tangkapan.

[4] Fakta kes:

4.1 Si mati telah berkahwin dengan Perayu dan dikurniakan dua orang anak iaitu SP1 yang berumur 8 tahun dan SP2 berumur 12 tahun. Tiga (3) laporan polis telah dibuat oleh si mati sebelum kejadian kerana Perayu sering memukul si mati;

4.2 Ibu si mati (SP9) menyatakan apabila si mati dipukul Perayu, si mati telah datang ke rumah SP9 dan SP9 ada melihat bengkak, cedera dan pendarahan di muka si mati dan perkara ini telah banyak kali berlaku;

4.3 SP13 iaitu abang Perayu juga menyatakan lebih kurang 2 tahun sebelum kejadian, dia ada menjamin Perayu dalam satu kes Perayu bergaduh dengan si mati. Antara punca pergaduhan adalah berhubung isu kewangan dan pekerjaan Perayu sebagai pemberi pinjaman tanpa lesen “Ah Long”;

4.4 Pada 24.6.2013, si mati dan anak bongsunya SP1, berada di rumah SP9 dan kemudian pulang ke rumah mereka semula setelah Perayu menelefon dan memarahi si mati;

4.5 Pada hari yang sama, Perayu dan anak sulungnya SP2, keluar makan dengan menaiki motosikal dan Perayu membawa sebiji botol plastik minyak yang kosong. Setelah makan, Perayu membawa SP2 ke stesen minyak membeli dan mengisi botol kosong tersebut dengan minyak petrol dan kemudian pulang ke rumah;

4.6 Apabila sampai di rumah, berlaku pergaduhan antara si mati dan Perayu di ruang tamu. Perayu telah menyimbah minyak petrol ke atas si mati dan Perayu seterusnya membaling rokok yang dihisapnya ke lantai dan menyebabkan api menyambar badan si mati hingga terbakar. Si mati telah jatuh ke lantai di ruang tamu;

4.7 SP2 mengambil air di tandas dan cuba memadamkan api pada badan si mati. Kebakaran pada badan si mati menurut SP2 adalah agak lama;

4.8 Setelah api dipadamkan, Perayu, SP1 dan SP2 membawa si mati ke sebuah klinik perubatan. Doktor di klinik meminta Perayu menghantar si mati ke Hospital Bukit Mertajam;

4.9 Dalam perjalanan ke hospital, kenderaan Perayu yang dipandu laju telah dilihat oleh abang Perayu (SP13) dan SP13 diberitahu oleh Perayu bahawa dia hendak ke hospital dan akan berjumpa SP13 di rumah SP13;

4.10 Setelah si mati dihantar ke hospital, Perayu membawa SP1 dan SP2 ke rumah SP13 dan tiba di situ lebih kurang jam 3.30 petang;

4.11 SP13 memujuk Perayu supaya pergi ke klinik di Kg. Benggali Butterworth setelah melihat kesan terbakar di badan Perayu, walaupun pada mulanya Perayu enggan. Setelah mendapat rawatan, Perayu dan SP13 berehat di sebuah tokong dan Perayu memberitahu kepada SP13 dia ingin berjumpa kawannya dan beredar dari situ;

4.12 Perayu tidak pulang ke rumah SP13 setelah 2 atau 3 minggu, Perayu ada menelefon SP13 tetapi tidak menyatakan di mana lokasinya;

4.13 Anak Perayu (SP1 dan SP2) ditempatkan di rumah SP9. SP1 memberitahu SP9 bahawa Perayu menyimbah si mati dengan minyak dan membakar si mati;

4.14 Pada 24.6.2013, si mati telah dipindahkan dari Hospital Bukit Mertajam ke Hospital Pulau Pinang. Dr. Siew Gee Ho (SP15) mengatakan keadaan si mati adalah kritikal, memerlukan bantuan mesin pernafasan dan alat “fluid resuscitation”. Si mati meninggal pada 2.8.2013 dan bedah siasat oleh Pathologist (SP7) menunjukkan punca kematian adalah “sepsis with multi-organ failure due to severe burns”. SP7 menjelaskan “sepsis” adalah jangkitan selepas berlaku kebakaran. SP7 juga menjelaskan apabila berlaku kebakaran 50% hingga 60% pada badan manusia, kebiasaannya akan membawa kepada kematian;

4.15 Keterangan forensik menunjukkan terdapat DNA Perayu pada puntong rokok yang dirampas di tempat kejadian;

4.16 Pada 17.2.2014, Perayu telah ditangkap.

[5] Di akhir kes pendakwaan, Hakim bicara telah memutuskan bahawa intipati pertuduhan telah dibuktikan sebagai kes prima facie. Justeru pembelaan Perayu dipanggil (rujuk Alasan Penghakiman Hakim bicara m.s. 13-21 Rekod Rayuan Jld. 1).

[6] Pembelaan Perayu:

Perayu telah memilih untuk memberi keterangan bersumpah dari kandang saksi dan keterangan Perayu adalah seperti berikut:

6.1 Perayu telah diisytiharkan bankrap. Justeru mendaftarkan 3 buah rumah yang dibeli oleh Perayu atas nama si mati, Perayu juga menyerahkan semua pendapatannya sebagai “Ah Long” kepada si mati. Sekiranya memerlukan wang Perayu akan meminta kepada si mati. Malangnya kadang-kadang si mati memberinya wang dan kadangkala tidak;

6.2 Perayu telah meminjam wang daripada kawannya berjumlah RM10,000.00 kerana berjudi di Genting Highland;

6.3 Pada 24.6.2013, Perayu ada menelefon si mati yang berada di rumah SP9 dan meminta RM10,000.00 untuk membayar hutang namun si mati enggan memberikan wang dan meminta Perayu “fikir sendiri” dan “pergi mati”. Selepas itu, si mati tidak dapat dihubungi kerana telefonnya ditutup;

6.4 Perayu membawa SP2 makan di luar dan membeli minyak petrol dan bercadang membunuh diri kerana perniagaannya gagal dan semua wang telah diserahkan kepada si mati;

6.5 Perayu kemudiannya pulang ke rumah sambil menghisap rokok dan melihat anak bongsunya sedang tidor di atas sofa, sementara si mati juga duduk di atas sofa di ruang tamu. Selepas itu SP1 bangun dan naik bersama SP2 ke tingkat atas;

6.6 Ketika Perayu menghisap rokok dan memegang botol minyak petrol yang dibuka penutupnya, Perayu bertanya si mati, sama ada benarkah dia ingin melihat Perayu mati dan jika benar Perayu akan mati di hadapan si mati;

6.7 Si mati menuju kepada Perayu dan merampas minyak petrol yang dipegang Perayu dan ketika berlaku pergelutan, minyak petrol tersimbah keluar mengenai badan Perayu dan si mati, tiba-tiba api telah menyambar Perayu dan si mati. Si mati jatuh di atas lantai. Perayu pula terus duduk di atas lantai untuk menyelamatkan dirinya dengan memadamkan api di tangan;

6.8 Perayu mengambil tuala dari bilik mandi dan memadamkan api pada badan si mati. SP1 dan SP2 ada di tingkat atas rumahnya;

6.9 Perayu membawa si mati ke sebuah klinik di Desa Damai menaiki kereta bersama-sama SP1 dan SP2. Atas nasihat doktor klinik tersebut, Perayu membawa si mati ke Hospital Bukit Mertajam;

6.10 Dalam perjalanan ke hospital, Perayu telah terserempak dengan sebuah ambulan. Perayu diminta untuk mengekori ambulan tersebut ke hospital kerana ambulan tersebut sedang membawa pesakit lain ke hospital;

6.11 Dalam perjalanan ke hospital juga, SP13 iaitu abang Perayu ada menelefonnya dan Perayu memaklumkan dalam perjalanan ke hospital dan akan ke rumah SP13. Di rumah SP13, SP13 bertanya mengenai si mati dan Perayu menyatakan si mati berada di hospital dan apabila ditanya mengapa, Perayu tidak memberikan jawapan kerana berada dalam keadaan sakit;

6.12 Kemudian SP13 dan Perayu ke klinik untuk Perayu mendapatkan rawatan dan selepas itu mereka ke tokong;

6.13 Perayu meninggalkan SP13 di tokong untuk meminjam wang daripada kawannya “Hock Kia” kemudian ke stesen bas membeli tiket ke Kuala Lumpur. Perayu tidak memberitahu SP13 ke mana dia pergi. Perayu ke Kepong, Kuala Lumpur dan menyewa bilik. Perayu ke Kuala Lumpur kerana takut penjelasannya tidak dipercayai oleh orang lain antaranya Perayu ingin membunuh diri;

6.14 Perayu tidak berjumpa anak-anak dan isteri kerana kecederaan di tubuh masih belum pulih;

6.15 Perayu menafikan membunuh si mati malah mencintai si mati;

6.16 Perayu menafikan dia menyimbah minyak petrol ke badan si mati dan membaling puntong rokok ke lantai tetapi kebakaran berlaku kerana tidak sengaja;

6.17 Pembelaan juga memanggil kakak ipar Perayu iaitu SD2. Keterangan SD2 menyatakan bahawa semasa SP1 dan SP2 berada dalam rumahnya, mereka dalam keadaan biasa dan SD2 tidak bertanya kejadian yang berlaku.

[7] Di akhir kes pembelaan, Hakim bicara telah memutuskan bahawa pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan (rujuk Alasan Penghakiman Hakim bicara m.s. 25 hingga 30 Rekod Rayuan Jld. 1). Perayu telah disabitkan dengan pertuduhan dan dijatuhkan hukuman mati.

[8] Isu-isu rayuan di hadapan kami:

8.1 Hakim bicara gagal mematuhi seksyen 133A Akta Keterangan 1950 apabila menerima keterangan kanak-kanak iaitu SP1 dan SP2;

8.2 Hakim bicara gagal untuk memberi pertimbangan yang sewajarnya terhadap kes pembelaan Perayu.

8.3 Keterangan ahli Pathologist (SP7) adalah tidak mencukupi untuk kesalahan membunuh di bawah seksyen 300(c) Kanun Keseksaan;

Isu pertama mengenai “child evidence of tender years” di bawah seksyen 133A Akta Keterangan 1950.

[9] Penghakiman bertulis Hakim bicara di perenggan 44 m.s. 19 Rekod Rayuan Jld.1 menyatakan:

“Saya mengambil maklum bahawa SP1 dan SP2 masing-masing adalah kanak-kanak dan mereka merupakan saksi-saksi utama pihak pendakwaan kerana telah melihat sendiri kejadian yang berlaku. Sehubungan itu, saya telah memeriksa kedua-dua mereka sebelum mereka memberi keterangan melalui soalan-soalan dan jawapan yang mereka berikan di mahkamah. Hasil pemeriksaan yang dibuat, saya mendapati kedua-dua SP1 dan SP2 mempunyai kecerdikan yang mencukupi dan memahami keperluan bercakap benar di mahkamah bagi maksud menerimaan keterangan SP1 dan SP2 menurut kehendak seksyen 133A Akta Keterangan 1950.”

[10] Peguam Perayu yang bijaksana berhujah bahawa Penghakiman Hakim bicara di perenggan 44 m.s. 19 Rekod Rayuan Jld. 1 tidak disokong oleh Nota Keterangan. Tidak ada sebarang keterangan untuk menunjukkan Hakim bicara telah menjalankan pemeriksaan lisan mengenai tahap kecerdikan pemikiran SP1 dan SP2.

[11] Peguam Perayu telah membawa perhatian kami kepada kes Yusaini bin Mat Adam v PP [1999] 3 MLJ 582 di mana Hakim Mahkamah Tinggi K.C. Vohrah menyatakan di muka surat 586 perenggan E seperti berikut:

"On the failure of the session court judge to follow the procedure in section 133A of the Evidence Act 1950, the conviction should be set aside.”

[12] Kami menolak hujah ini. Kes Yusaini tersebut diputuskan pada 1999 di mana sistem “CRT” belum dilaksanakan di mahkamah. Pada awalnya kami berhasrat untuk mendapatkan salinan cakera padat CRT isu berkaitan tetapi apabila meneliti Rekod Rayuan di muka surat 23 Jld. 4 iaitu hujah bertulis Peguam bela Perayu sendiri ketika itu:

“2. Kemudian pihak pendakwa raya telah memanggil SP1 dan telah menguji standard pemahaman beliau, beberapa soalan telah dikemukakan kepada SP1 dalam menentukan sama ada prasyarat s.133A Akta Keterangan 1950 dipenuhi.”

Manakala di muka surat 26 Rekod Rayuan Jilid yang sama, Peguam Perayu menulis:

“(i) Pihak Pendakwa raya telah memanggil SP2 dan telah menguji standard pemahaman beliau (dengan) beberapa soalan telah dikemukakan kepada SP2 dalam menentukan sama ada prasyarat seksyen 133A Akta Keterangan 1950 dipenuhi.

(ii) Setelah itu mahkamah kata SP2 boleh menjawab secara rasional lalu SP2 beri keterangan bersumpah dalam Bahasa Mandarin.”

[13] Walaupun terdapat beberapa kesilapan taip, kami sebulat suara berpendapat bahawa hujah Peguam Perayu dalam isu ini tidak mempunyai merit. Kami bersependapat bahawa dapatan Hakim bicara di dalam Alasan Penghakiman beliau perenggan 44 muka surat 19 Rekod Rayuan Jld. 1 adalah betul. Sebenarnya seksyen 133A Akta Keterangan 1950 telah dipatuhi. Cuma ianya tidak ditaip di dalam nota keterangan.

Isu kedua, pembelaan Perayu tidak diberi pertimbangan sewajarnya oleh Hakim bicara.

[14] Pembelaan Perayu bahawa beliau membeli petrol untuk membunuh diri. Semasa Perayu memegang botol berisi petrol yang telah dibuka penutupnya sambil menghisap rokok bertanya kepada si mati sama ada si mati ingin melihat Perayu mati, jika benar, Perayu akan membunuh diri di hadapan si mati. Si mati meluru ke arah Perayu cuba merampas botol berisi petrol tersebut. Berlaku pergelutan, mereka berdua jatuh ke lantai dan petrol tersimbah kepada badan si mati lalu terbakar. Perayu mengalami kecederaan kebakaran di tangan. Dengan kata lain pembelaan “kemalangan” ditimbulkan.

[15] Selepas itu Perayu cuba memadamkan kebakaran di badan si mati. Seterusnya Perayu telah membawa si mati ke klinik perubatan dan kemudiannya ke hospital untuk menyelamatkan si mati. Menurut hujah Peguam, versi perayu membawa si mati dan dua orang anaknya (SP1 dan SP2) dan kemudiannya ke hospital disokong oleh keterangan SP1, SP2 dan SP13 iaitu abang kepada Perayu sendiri, menunjukkan tingkah laku (conduct) Perayu tiada niat untuk membunuh si mati.

[16] Kami telah meneliti semula Penghakiman Hakim bicara dalam perkara ini terutamanya di perenggan 50 hingga perenggan 68 di mana Hakim bicara telah memberi pertimbangan kepada pembelaan Perayu. Hakim bicara memberi alasan mengapa beliau menolak pembelaan Perayu.

[17] Kami telah meneliti keterangan SP1 dan SP2 di m.s. 2 hingga m.s. 11 Rekod Rayuan Jld. 2 terutamanya semasa pemeriksaan balas. Kami dapati tidak ada dicadangkan kepada SP1 atau SP2 mengenai pergelutan antara Perayu dan si mati untuk menimbulkan pembelaan kemalangan seperti yang dihujahkan oleh Peguam Perayu.

[18] Hakim bicara mempunyai kelebihan “audio-visual advantage” dalam menilai kredibiliti saksi-saksi terutamanya SP1, SP2 dan SP9 berbanding kredibiliti Perayu. Kami tiada sebab untuk mengganggu dapatan tersebut. Kami sebulat suara menolak isu ini.

Isu ketiga-Keterangan ahli Pathologist (SP7) tidak cukup untuk mensabitkan Perayu di bawah seksyen 300(c) Kanun Keseksaan untuk kesalahan membunuh di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan tetapi hanya cukup untuk kesalahan di bawah seksyen 304(a) Kanun Keseksaan.

[19] Peguam Perayu telah membawa perhatian kami kepada keterangan ahli Pathologist (SP7) di muka surat 35-36 Rekod Rayuan Jld. 2 seperti berikut:

“SP7: The chances of survival are there, but in this particulars case...

P/B: Do you agree with me that you sign a post mortem report for this case?

SP7: Yes

P/B: That’s only my question.

TPR: Yang Arif, witness statement is not marked yet?

Mah: has already been marked as Witness Statement-P7A

: Just now you answer the question by the learned council, you say that there is chances to survive, but then you stop…

P/B: He agree Yang Arif

Mah: ...in this particular case

TPR: Can you please elaborate on that?

SP7: Yes Yang Arif, this particulars case the extent of the burns was about 55%, and normally about 50% to 60% of burns sexist cases circum to death, so that’s why I am say that was chances of survival in this particulars case.

Mah: Normally 50-60%?

SP7: 50% to 60%.

SP7: I think this is very clinical question and I think it would be better answered by specialist who are dealings with burns.”

[20] Peguam Perayu terpelajar berhujah adalah jelas SP7 tidak dapat memberi pendapat pakar sama ada kecederaan yang dialami oleh si mati “likely to cause death or such bodily injury is sufficient in the ordinary course of nature to cause death” seperti yang ditetapkan di bawah seksyen 300(c) Kanun Keseksaan bagi tujuan sabitan di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan.

[21] Peguam Perayu telah merujuk kes tersohor iaitu Tham Kai Yau & Ors v PP [1977] 1 MLJ 174 di mana diputuskan di m.s. 175 para G-H:

“The pathologist testified that in his opinion the probable cause of death was multiple injuries leading to shock and haemorrhage. On the question whether the appellants intended to cause such bodily injuries as they knew to be likely to cause death or such as is sufficient in the ordinary course of nature to cause death, the medical witness should have been asked to give his opinion on the nature of the injuries and its likely and natural effects, but in this respect his evidence is silent.”

[22] Seterusnya Peguam Perayu yang bijaksana mengulangi hujah bahawa Perayu dalam pembelaannya di m.s. 157 hingga 159 Rekod Rayuan Jld. 2 menyatakan bahawa Perayu telah membawa si mati dan dua orang anaknya (SP1 dan SP2) untuk mendapatkan rawatan di sebuah klinik untuk si mati. Atas nasihat doktor klinik tersebut, Perayu telah membawa si mati ke Hospital Bukit Mertajam. Perayu telah membawa dengan laju motokar yang dipandunya sehingga tidak mematuhi lampu isyarat. Perayu telah terserempak dengan sebuah ambulan yang sedang membawa pesakit ke hospital. Perayu disuruh mengikuti ambulan tersebut ke hospital. Apabila tiba di hospital, Perayu membawa si mati untuk berjumpa doktor kecemasan. Tingkah laku (conduct) Perayu tersebut adalah selari (consistent) dengan hujah bahawa Perayu tiada niat membunuh.

[23] Keterangan Perayu disokong oleh keterangan dua orang anaknya (SP1 dan SP2) bahawa Perayu telah membawa si mati ke klinik seterusnya ke hospital (rujuk m.s. 3 hingga 5 Rekod Rayuan Jld. 2).

[24] Timbalan Pendakwa Raya (TPR) pula berhujah bahawa Perayu sememangnya berniat untuk membunuh si mati. TPR bergantung kepada seksyen 300(a), (c) dan (d) Kanun Keseksaan. Perbuatan Perayu menyimbah petrol ke badan si mati dan membaling puntung rokok yang bernyala ke arah si mati sudah cukup bagi Perayu mengetahui kecederaan kebakaran akan berlaku yang pada lazimnya boleh menyebabkan kematian.

[25] TPR yang bijaksana telah merujuk kepada kes Mahkamah Rayuan Loh Yoon Fatt v PP [2014] 6 MLJ 547 seperti berikut:

“[15] On the argument of learned counsel to the effect that the injury caused by the appellant in itself i.e. fracture to the skull, was not fatal, the consultant forensic pathologist, Dato' Dr. Bhupinder Singh (PW13) testified that the cause of the deceased’s death was severe head injury due to blunt trauma to the head. The material part of his evidence is as follows:

Any blunt weapon which could be heavy in nature could have resulted in such injuries.

Timbalan Pendakwa Raya: Is one blow of such blunt weapon sufficient to cause such injury?

SP13- Yes it is possible. I would not be able to say how deep the head injury is because this is not a penetrating wound.

The head injury sustained by the deceased was fatal. From looking at the smearing of the brain, haemorrphage and the factures as seen over the scalp surface were severe enough to cause death. If immediate medical intervention is available, with proper intensive case management, chances of survival are possible. Chances of survival differ in different people because it depends on the type of bad injury, the type of damage and also if there are any predisposing medical problems. I do not think operations conducted in this particular case would have resulted in the death of the individual.”

[26] Kami menolak hujah TPR dalam isu ini. Kes Loh Yoon Fatt (supra) adalah mengenai “fracture to the skull”. Keterangan Pathologist (PW13) di atas jelas menyatakan:

“...the head injury sustained by the dead was fatal. Looking from at the smearing of the brain haemorrphage and the fracture as seen over the scalp surface was severe enough to cause death.”

[27] Dalam rayuan di hadapan kami, keterangan Pathologist (SP7) seperti yang dirujuk oleh Peguam Perayu dengan jelas tidak konklusif (rujuk m.s. 35 hingga 36 Rekod Rayuan Jld. 2) terutamanya di m.s. 36 Rekod Rayuan Jld. 2 di mana SP7 menyatakan:

“I think this is very clinical question and I think it would be better answered by specialist who are dealing with burns.”

[28] Dalam nada yang sama, kami merujuk kepada kes Mahkamah Persekutuan Cheong Kam Kuen v PP [2013] 2 MLRA 1 di mana Penghakiman YAA Zulkefli Ahmad Makinudin, HBM di muka surat 7 perenggan 20 menyatakan:

“[20] In the present case it is our view based on the nature of the injuries sustained by the deceased there was evidence of an intention on the part of the appellant to cause bodily injury to the deceased. However, we do not agree with the finding of the learned trial judge that based on the nature and number of injuries, the appellant had the intention to cause death to the deceased. We noted that both the learned trial judge and the Court of Appeal in their decision did not address themselves on the fine distinction between s.299 and s.300 of the Penal Code before coming to a correct conclusion.”

[29] Atas alasan-alasan di atas, kami sebulat suara memutuskan bahawa sabitan di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan adalah tidak selamat. Sebaliknya keterangan adalah kukuh untuk sabitan di bawah seksyen 304(a) Kanun Keseksaan. Kami mengetepikan sabitan dan hukuman Hakim bicara di bawah seksyen 302 Kanun Kesiksaan dan menggantikannya dengan sabitan di bawah seksyen 304(a) Kanun Keseksaan. Setelah mendengar rayuan meringan dan memberatkan hukuman, kami sebulat suara menjatuhkan hukuman penjara selama 20 tahun berkuat kuasa dari tarikh tangkapan (hukuman maksima adalah 30 tahun penjara).

t.t.

MOHTARUDIN BIN BAKI
Hakim Mahkamah Rayuan Malaysia

Tarikh: 14 Mei 2018

COUNSEL

For the Appellant: Mr. Y Anbananthan, Messrs The Poh Teik & Company, Advocates & Solicitors, Suite 11.08, 11th Floor, Menara TJB, No. 9 Jalan Syed Mohd Mufti, 80000 Johor Bahru

For the Respondent: Tuan Muhamad Azmi bin Mashud, Timbalan Pendakwa Raya, Jabatan Peguam Negara, Presint 4, 62506 Putrajaya

Legislation referred to:

Akta Keterangan 1950, Seksyen 133A

Kanun Keseksaan, Seksyen-seksyen 300(a), 300(c), 300(d), 302, 304(a)

Judgments referred to:

Cheong Kam Kuen v PP [2013] 2 MLRA 1

Loh Yoon Fatt v PP [2014] 6 MLJ 547

Tham Kai Yau & Ors v PP [1977] 1 MLJ 174

Yusaini bin Mat Adam v PP [1999] 3 MLJ 582

Notice: The Promoters of Malaysian Judgments acknowledge the permission granted by the relevant official/ original source for the reproduction of the above/ attached materials. You shall not reproduce the above/ attached materials in whole or in part without the prior written consent of the Promoters and/or the original/ official source. Neither the Promoters nor the official/ original source will be liable for any loss, injury, claim, liability, or damage caused directly, indirectly or incidentally to errors in or omissions from the above/ attached materials. The Promoters and the official/ original source also disclaim and exclude all liabilities in respect of anything done or omitted to be done in reliance upon the whole or any part of the above/attached materials. The access to, and the use of, Malaysian Judgments and contents herein are subject to the Terms of Use.