THE OFFICIAL REPOSITORY OF
MALAYSIAN JUDGMENTS & RULINGS

[2018] MYCA 5 MALAY

Charles Obasi v Pendakwa Raya
Suit Number: Rayuan Jenayah No. W-05(M)-209-06/2016 

Criminal Law – Procedure – Whether parties should be allowed to make oral or written submissions at the close of the prosecution’s case

Criminal Law – Criminal procedure – Whether it is mandatory for trial judge to hear submissions before giving his decision – Whether that issue to be solely decided in light of Section 181(1) of the Criminal Procedure Code

Constitutional Law – Fair Trial – Whether failure of the trial judge to hear submissions amounts to denial of fair trial – Whether such failure contravenes Article 5(1) of the Federal Constitution

PENGHAKIMAN

[1] Pada asalnya perayu telah dituduh bersama seorang yang lain, iaitu Samuel Maduka Ogbonnoya (‘OKT-2’), dengan pertuduhan berikut:

"Bahawa kamu bersama-sama pada 10.9.2014, jam lebih kurang 5.30 petang, di hadapan Restoren Ga Ga Western Corner, No. 108, Jalan Radin, Bandar Baru Sri Petaling, dalam Daerah Brickfields, Wilayah Persekutuan Bandaraya Kuala Lumpur telah didapati mengedar dadah jenis Methamphetamine berat bersih 678.8 gram. Dengan itu kamu bersama-sama telah melakukan satu kesalahan di bawah seksyen 39B(1)(A) Akta dadah Berbahaya, 1952, yang dibaca bersama seksyen 34, Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen 39B(2) Akta yang sama.”

[2] Di akhir kes pembelaan, Samuel Maduka Ogbonnoya (OKT-2) didapati telah berjaya menimbulkan keraguan yang munasabah ke atas kes pendakwaan. Beliau lantas telah dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan tersebut. Walau bagaimanapun, perayu (OKT-1) telah didapati bersalah, disabitkan di atas kesalahannya dan telah dijatuhi hukuman gantung sampai mati.

[3] Rayuan di hadapan kami ialah berkaitan dengan sabitan dan hukuman yang dikenakan ke atas perayu. Kami telah mendengar dan seterusnya telah membenarkan rayuan perayu berdasarkan alasan-alasan yang menyusul selepas ini.

Kes Pihak Pendakwaan

[4] Bertindak di atas maklumat yang diterima, pada 10.9.2014, kira-kira jam 5.30 petang, SP-3 (D/SM Mohd. Sidek Paimin) dengan dibantu oleh 12 orang anggota yang lain telah menghampiri perayu dan OKT-2 dengan tujuan untuk menahan mereka di hadapan Restoran GA GA Western Corner di alamat seperti dinyatakan dalam kertas pertuduhan. Sebelumnya, kedua-dua mereka telah dilihat berkelakuan dalam keadaan yang mencurigakan.

[5] Perayu dan OKT-2 cuba melarikan diri sebaik sahaja SP-3 memperkenalkan diri sebagai polis. Namun kedua-dua mereka berjaya ditangkap oleh SP-3 dan anggota-anggotanya selepas berlaku pergelutan.

[6] SP-3 telah melakukan pemeriksaan ke atas perayu dan beg galas berwarna hitam (ekshibit P11) yang digalas oleh perayu. Di dalam beg galas yang digalas di bahagian belakang perayu, SP-3 telah menjumpai satu sampul surat berwarna coklat (ekshibit P12) yang tidak bertutup dan di dalam sampul surat tersebut, terdapat satu paket plastik lut sinar (ekshibit P13) yang mengandungi bahan-bahan berbentuk kristal yang disyaki syabu.

[7] SP-3 dan anggota-anggotanya tidak menemui apa-apa barang salah pada OKT-2.

[8] Perayu dan OKT-2 telah dibawa balik ke Pejabat Narkotik, IPD Brickfields, bersama-sama dengan ekshibit yang dirampas, iaitu, antara lain, beg galas warna hitam yang digalas oleh perayu dan bahan-bahan yang disyaki dadah yang ditemui dari dalam beg galas tersebut. SP-3 kemudiannya telah membuat senarai bongkar (ekshibit P16) dan laporan polis vide Sri Petaling Rept. No, 7388/14 (ekshibit P15).

[9] Perayu dan OKT-2 dan barang-barang kes yang dirampas kemudiannya telah diserahkan kepada pegawai penyiasat, SP-6 (Insp. Siti Sarah Aisyah binti Saad).

[10] Ahli Kimia, SP-2 (Dr. Vanitha a/p Kunalan) mengesahkan beliau telah menerima dari SP-6 beg galas ekshibit P11 di mana di dalamnya mengandungi sampul surat ekshibit P12. Di dalam ekshibit P12 pula terdapat paket plastik lut sinar ekshibit P13 yang mengandungi bahan-bahan disyaki dadah. SP-2 telah menjalankan analisis ke atas bahan-bahan tersebut dan mengesahkan bahawa bahan-bahan tersebut ialah Methamphetamine seberat 678.8 gram. Laporannya dengan no. makmal 14-FR-B-19871 ialah ekshibit P8.

[11] Di akhir kes pendakwaan, hakim bicara yang bijaksana telah mendapati bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes prima facie ke atas perayu dan OKT-2. Kedua-dua mereka telah dipanggil untuk membela diri.

Pembelaan Perayu

[12] Kami akan menyentuh tentang pembelaan perayu sahaja kerana rayuan ini hanya berkisar tentang pembelaan yang dikemukakan oleh perayu.

[13] Perayu telah memberi keterangan secara bersumpah dari kandang saksi.

[14] Menurut perayu, dia tinggal di Bukit Jalil dan pada hari yang berkenaan dia berhasrat untuk pergi ke Carrefour dengan berjalan kaki.

[15] Dalam perjalanan ke Carrefour, perayu singgah di Restoran GA GA untuk minum. Setelah memesan minuman, dia mencari meja kosong untuk duduk. Kebanyakan meja telah penuh diduduki oleh pelanggan-pelanggan.

[16] Perayu kemudiannya nampak satu meja yang sedia diduduki oleh seorang lelaki berbangsa Cina dan satu lelaki berbangsa Afrika. Perayu mengambil keputusan untuk duduk di meja tersebut kerana berasa selesa untuk duduk di meja yang diduduki oleh orang yang sebangsa dengannya.

[17] Perayu lantas duduk di sebelah lelaki Afrika tersebut yang kemudiannya dia camkan sebagai OKT-2. Perayu bertegas bahawa dia tidak pernah mengenali OKT-2 sebelum ini. Perayu juga bertegas bahawa dia tidak mempunyai "prior arrangement” untuk berjumpa OKT-2 pada bila-bila masa pun.

[18] Setelah mengambil tempat duduk di sebelah OKT-2, perayu melihat empat atau lima orang lelaki datang menghampirinya dalam keadaan mengancam lagi menakutkan.

[19] Perayu menjadi panik dan berusaha untuk melarikan diri. Namun lelaki-lelaki tersebut bertindak pantas dan berjaya menangkap dirinya dan OKT-2 sejurus kemudian.

[20] Perayu dan OKT-2 telah dibawa balik ke Balai Polis. Di situ barulah dia mengetahui bahawa lelaki-lelaki tersebut adalah anggota polis.

[21] Perayu menafikan sama sekali dia ada membawa beg galas P11 pada bila-bila masa. Sebaliknya, perayu menyatakan bahawa hanya setelah ditahan oleh lelaki-lelaki tersebut barulah dia nampak beg galas P11 tersebut terletak di atas lantai berhampiran dengan meja di mana dia duduk bersama dengan lelaki berbangsa Cina dan OKT-2.

[22] Perayu turut menafikan mempunyai sebarang pengetahuan tentang isi kandungan beg galas P11 tersebut.

[23] Di akhir kes perbicaraan, hakim bicara mendapati bahawa perayu gagal untuk membangkitkan sebarang keraguan yang munasabah ke atas kes pendakwaan. Sebaliknya, pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kesnya terhadap perayu melampaui keraguan yang munasabah.

[24] Dengan demikian, perayu telah didapati bersalah dan disabitkan di atas kesalahan yang dipertuduhkan terhadapnya dan dijatuhkan hukuman gantung sampai mati.

Rayuan Perayu

[25] Peguambela yang bijaksana telah mengutarakan alasan utama bahawa anak guamannya telah diprejudis serta dinafikan hak untuk satu perbicaraannya yang adil (fair trial) apabila hakim bicara yang bijaksana tidak membenarkan pihak-pihak pembelaan dan pendakwaan untuk membuat hujahan sama ada secara lisan atau bertulis di akhir kes pendakwaan.

[26] Peguambela yang bijaksana mengadu bahawa kedua-dua pihak pembelaan dan pendakwaan tidak dipelawa untuk memberi hujahan secara lisan di akhir kes pendakwaan. Kedua-dua pihak juga tidak diberikan masa untuk memfailkan hujahan bertulis masing-masing. Kedua-dua pihak juga tidak diberi ruang untuk memfailkan serta mengemukakan hujahan bertulis walaupun mereka telah menyediakan hujahan bertulis masing-masing. Malah, menurut peguambela yang bijaksana, hakim bicara tidak membenarkan kedua-dua pihak untuk berhujah selepas pihak pendakwaan menutup kesnya. Sebaliknya, hakim bicara yang bijaksana terus membuat keputusan seperti dizahirkan di m.s 17, Jilid 2, Rekod Rayuan (RR) seperti berikut:

“Mahkamah: Maximum evaluation.

                     Kedua-dua OKT dipanggil Bela Diri Sec. 39B(1)(a) ADB.

                     SB pada 25, 26, 27/5/2016."

[27] Peguambela yang bijaksana sayugia menghujahkan bahawa tindakan yang diambil oleh hakim bicara yang bijaksana telah memprejudiskan perayu dengan mendalam sekali. Selain itu perayu telah dinafikan haknya untuk satu perbicaraan yang adil yang nyata telah melanggar artikel 5(1) Perlembagaan Persekutuan. Beliau lantas memohon supaya rayuan perayu dibenarkan dan kes ini diperintahkan supaya dibicarakan semula di hadapan hakim yang lain.

[28] Timbalan Pendakwa Raya (‘TPR’) yang bijaksana mengesahkan bahawa kedua-dua pihak telah tidak dibenarkan untuk mengemukakan hujahan masing-masing, baik secara lisan atau bertulis di akhir kes pendakwaan. Beliau menyerahkan kepada Mahkamah untuk membuat keputusan yang sewajarnya.

Keputusan Kami

[29] Kami telah meneliti keseluruhan rekod-rekod rayuan dengan cermat dan bersetuju dengan pengataan peguambela dan TPR yang bijaksana bahawa kedua-dua pihak pembelaan dan pendakwaan tidak membuat sebarang hujahan baik secara lisan atau bertulis di akhir kes pendakwaan. Ini konsisten dengan dakwaan kedua-dua pihak bahawa hakim bicara yang bijaksana tidak membenarkan mereka untuk berhujah di akhir kes pendakwaan.

[30] Terdapat dua keputusan Mahkamah Persekutuan yang menangani isu yang dibangkitkan oleh perayu di dalam kes ini. Kes pertama ialah Lee Kwan Woh v PP [2009] 5 CLJ 631 yang memutuskan, di m.s. 645, 646:

"[18] Drawing the threads together, it is clear from the authorities that it is a fundamental right guaranteed by art.5(1) that a person’s life (in its widest sense) or his or her personal liberty (in its widest sense) may not be deprived save in accordance with State action that is fair both in point of procedure and substance. Whether an impugned State action is substantively or procedurally fair must depend on the fact pattern of each case. However, when the principle is applied to a criminal case, what it means is that an accused has a constitutionally guaranteed right to receive a fair trial by an impartial tribunal and to have a just decision on the facts. If there is an infraction of any of these rights, the accused is entitled to an acquittal. Whether there has been a fair trial by an impartial tribunal or a just decision depends on the facts of each case…

[19]...In our judgment, the constitutionally guaranteed right in an accused to a fair trial includes his right to make a submission of no case at the close of the prosecution’s case. It is a right that he or she may waive. But he or she cannot be deprived of it. That unfortunately is what happened here. The accused accordingly did not have a fair trial and art.5(1) was violated. Following Public Prosecutor v Choo Chuan Wang he is entitled to have his conviction set aside on this ground. We would add that the view expressed by Bellamy J in Public Prosecutor v H Parnaby [1953] 1 LNS 73 that a trial court is not bound to hear submissions at the close of the prosecution case is not correct. Neither are the decisions that have followed it, namely Public Prosecutor v Chong Boo See [1988] 1 CLJ 679; [1988] 2 CLJ (Rep) 206 and Public Prosecutor v Wong Kok Wah [2000] 1 CLJ 217. In our judgment, a trial court must, at the close of the prosecution case, invite submissions from an accused. It is then open to the accused to say that he or she does not wish to make a submission. But if he or she does not make that election, he or she must be heard. It is however open to the court, after it has heard those submissions to reject them and call for the defence without affording the prosecution a right to reply. This course does no harm to the prosecution. But what the trial court cannot lawfully do is to deprive an accused of his constitutionally guaranteed right to a fair trial by denying him or her of the opportunity to make submission of no case”. (tekanan oleh kami)

[31] Mahkamah Persekutuan dalam kes Diana Nelson Tanoja v PP [2010] 3 CLJ 1 pula memutuskan di m.s. 8, 9, seperti berikut:

"[33] The next question we ask is whether the learned trial judge is obliged to hear submissions from counsel and DPP before he gives his decision?

[34] In other words, is it mandatory for the learned trial judge to hear submissions before giving his decision?

[35] In our judgment it is not mandatory for the learned trial judge to hear submission from learned counsel before giving his decision.

[36] Section 181(1) of the Criminal Procedure Code provides:

When the accused is called upon to enter his defence he or his advocate may then open his case, stating the facts or law on which he intends to rely and making such comments as he thinks necessary on the evidence for the prosecution. He may then examine his witnesses (if any) and after their cross-examination and re-examination (if any) may sum up his case...(emphasis added).

[37] The word ‘may indicates a discretion. Therefore it could be seen that submission at the end of the defence case is discretionary and not mandatory. Therefore the learned trial judge could if he wanted to, decide without having the need to hear submission from defence counsel. Submission is not evidence and hence the judgment is not defective. If the law categorically states that it is not mandatory for counsel to make submission, we can see no reason why it is mandatory for the learned trial judge to hear submission. What, if learned counsel chooses not to make submission? Is the learned trial judge still obliged to call upon learned counsel to make submission? If indeed the law intends that the learned trial judge should hear submission than it would say so in no uncertain terms.”

[32] Nyata kedua-dua keputusan Mahkamah Persekutuan di atas tidak sehaluan, yang membawa implikasi mahkamah bawahan bebas untuk memilih yang mana satu yang wajar dijadikan ikutan.

[33] Sehubungan dengannya kami memilih untuk mengikuti Lee Kwan Woh v PP (supra) di mana keputusan dalam kes tersebut lebih menyeluruh jangkauannya yang merangkumi isu-isu hak untuk mendapatkan pembicaraan yang adil seperti yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan. Ia juga meliputi batas-batas dari segi prosidural dan ‘substance’ yang perlu dihormati dan diikuti untuk menjamin hak untuk satu pembicaraan yang adil itu terpelihara. Hak untuk membuat hujahan di akhir kes pendakwaan adalah salah satu ciri dalam hak untuk mendapatkan perbicaraan yang adil. Ianya tidak terbatas semata-mata kepada isu interpretasi s.181(1) Kanun Acara Jenayah, iaitu sama ada hakim bicara mempunyai budibicara untuk mendengar hujahan sebelum beliau membuat keputusan atau adakah ia sesuatu yang mandatori bagi hakim bicara untuk mendengar hujahan sebelum membuat keputusan. Lebih-lebih lagi secara praktiknya mana-mana tribunal pengadilan akan bersetuju bahawa selain daripada bukti-bukti matan yang uncontroverted, keputusan sesuatu kes tersebut ada kalanya berpaksi kepada kekuatan sesuatu hujahan yang dilontarkan oleh pihak-pihak yang bertikaian tersebut. Ada juga kalanya sesuatu keputusan itu dipengaruhi (swayed) oleh kekuatan hujahan yang dicetuskan oleh pihak-pihak yang bertikaian tersebut.

[34] Keperluan untuk memberi ruang kepada pihak-pihak yang bertikaian untuk berhujah tidak boleh diketepikan begitu sahaja atau dianggap sebagai sesuatu yang remeh atau dipandang sebagai sesuatu yang tidak membawa sebarang faedah dalam proses membuat keputusan oleh tribunal pengadilan. Selain dari melanggar artikel 5(1) Perlembagaan Persekutuan, penafian yang sedemikian akan juga mendatangkan prejudis yang bukan kepalang kepada pihak-pihak yang bertikaian.

[35] Atas alasan ini sahaja, kami membenarkan rayuan perayu.

[36] Memandangkan kepada keputusan di atas, maka tidaklah ada lagi keperluan bagi kami untuk menangani alasan rayuan sampingan yang berkaitan dengan keabsahan dapatan hakim bicara yang melepas dan membebaskan OKT-2 tetapi mensabitkan perayu, sedangkan pertuduhan yang dikenakan ke atas mereka melibatkan kes niat bersama di bawah s.34 Kanun Keseksaan. Lagi pun persoalan ini melibatkan isu-isu fakta yang sememangnya wajar diputuskan oleh hakim bicara.

[37] Pada akhirnya, kami dengan ini mengetepikan sabitan dan hukuman gantung sampai mati yang dikenakan ke atas perayu seperti yang diperintahkan oleh hakim bicara yang bijaksana, seraya menggantikannya dengan perintah supaya kes ini dibicarakan semula di hadapan hakim yang lain.

BERTARIKH: 4hb. Januari 2018

AHMADI HAJI ASNAWI
Hakim
Mahkamah Rayuan Malaysia

COUNSEL

Peguambela Perayu: K. Viknesvaran, Tetuan Viknes Ratna & Co, Peguambela dan Peguamcara

Peguambela Responden: Muhamad Azmi B. Mashud, Timbalan Pendakwaraya, Jabatan Peguam Negara

Legislation referred to:

Akta dadah Berbahaya, 1952, Seksyen-seksyen 39B(1)(A), 39B(2)

Kanun Acara Jenayah, Seksyen 181(1)

Kanun Keseksaan, Seksyen 34

Perlembagaan Persekutuan, Artikel 5(1)
 

Judgments referred to:

Diana Nelson Tanoja v PP [2010] 3 CLJ 1

Lee Kwan Woh v PP [2009] 5 CLJ 631

Notice: The Promoters of Malaysian Judgments acknowledge the permission granted by the relevant official/ original source for the reproduction of the above/ attached materials. You shall not reproduce the above/ attached materials in whole or in part without the prior written consent of the Promoters and/or the original/ official source. Neither the Promoters nor the official/ original source will be liable for any loss, injury, claim, liability, or damage caused directly, indirectly or incidentally to errors in or omissions from the above/ attached materials. The Promoters and the official/ original source also disclaim and exclude all liabilities in respect of anything done or omitted to be done in reliance upon the whole or any part of the above/attached materials. The access to, and the use of, Malaysian Judgments and contents herein are subject to the Terms of Use.