THE OFFICIAL REPOSITORY OF
MALAYSIAN JUDGMENTS & RULINGS

[2018] MYCA 12 MALAY

Alamsyah Muhammad Hassan v Pendakwa Raya
Suit Number: Rayuan Jenayah No. B-05-3-01/2014 

Criminal law – Trafficking in dangerous drugs – Offence under section 39B(1)(a) of the Dangerous Drugs Act 1952 – Conviction – Mandatory death sentence – Appeal

Criminal law – Whether the accused had ownership and control of impugned drugs – Whether the accused had knowledge of the drugs – Whether the conviction was safe

PENGHAKIMAN

Pengenalan

[1] Di Mahkamah Tinggi yang bersidang di Shah Alam, Alamsyah Muhammad Hassan (perayu), seorang warganegara Indonesia, telah didakwa dan dibicarakan dengan suatu kesalahan di bawah s 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (ADB 1952) kerana memperedarkan dadah berbahaya jenis Cannabis seberat 7155 gram. Pertuduhan terhadap perayu adalah seperti yang berikut:

"Bahawa kamu pada 19 Ogos 2010, jam lebih kurang 7.45 petang di Jalan bahagian belakang Blok A, Jalan 12, Medan Maju Jaya, Jalan Kelang Lama, di dalam Daerah Petaling, di dalam Negeri Selangor Darul Ehsan telah mengedar dadah berbahaya jenis Cannabis sejumlah 7155 gram, dan dengan itu kamu telah melakukan suatu kesalahan di bawah seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah seksyen 39B(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.”

[2] Di akhir perbicaraan, perayu telah didapati bersalah dan dihukum gantung sampai mati. Terkilan dengan keputusan tersebut, perayu telah merayu ke mahkamah ini.

[3] Setelah mendengar penghujahan kedua-dua pihak serta meneliti rekod rayuan, kami dengan sebulat suara memutuskan rayuan ini tidak bermerit. Keputusan Hakim bicara dikekalkan dan disahkan. Sekarang, kami perturunkan alasan-alasan kami.

Kes Pendakwaan

[4] Fakta kes telah diterangkan dengan jelas dan terperinci oleh Hakim bicara dalam alasan penghakimannya di muka surat 411/412 Rekod Rayuan (RR) Jilid 4. Ikhtisarnya, bertindak atas maklumat yang diterima, pada 19.8.2010 lebih kurang pukul 7.45 petang, ASP Norosid bin Mamat (SP5) dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, IPK Selangor bersama-sama pasukannya telah menahan sebuah kereta Naza Citra bernombor pendaftaran WQY 4647 yang dipandu oleh perayu di jalan bahagian belakang Blok A, Jalan 12, Medan Maju Jaya, Jalan Kelang Lama, Selangor.

[5] Setelah SP5 memperkenalkan dirinya, perayu telah cuba melarikan diri dan berlaku pergelutan semasa pasukan SP5 hendak menahan perayu. Ini mengakibatkan perayu mengalami kecederaan di muka.

[6] SP5 lantas memeriksa tubuh perayu tetapi tiada apa-apa barangan salah dijumpai. Bagaimanapun, setelah memeriksa kereta yang dipandu oleh perayu itu, SP5 telah menjumpai sebuah beg plastik hitam di tempat letak kaki penumpang belakang. Apabila beg tersebut dibuka, SP5 menemukan 8 ketulan mampat yang disyaki ganja/cannabis (P20-P36).

[7] ASP Mohd Sahar bin Mohd Yunus, pegawai penyiasat (SP8), telah menghantar 8 ketulan tersebut ke Jabatan Kimia Malaysia untuk dianalisis oleh Ahli Kimia. Setelah dianalisis, Ahli Kimia Puan Maimunah bt Sulaiman (SP7) mengesahkan daun-daun kering tersebut ialah dadah jenis Cannabis, dadah berbahaya yang ditakrifkan dalam seksyen 2, ADB 1952 seberat 7,155 gram.

Dapatan di Akhir Kes Pendakwaan

[8] Setelah membuat penilaian maksimum terhadap keterangan saksi-saksi pendakwaan, Hakim bicara telah mendapati pendakwaan telah berjaya membangkitkan satu kes prima facie terhadap perayu. Hakim bicara telah menerima keterangan saksi-saksi pendakwaan dan mendapati perayu, secara afirmatif, mempunyai kawalan dan milikan dengan pengetahuan ke atas beg plastik hitam yang mengandungi 8 ketulan dadah berkenaan di dalam kereta yang dipandunya bersendirian.

[9] Selanjutnya, dadah tersebut telah disahkan oleh SP7 sebagai dadah jenis Cannabis seberat 7155 gram. Berdasarkan jumlah dadah tersebut, Hakim bicara telah mengguna pakai anggapan pengedaran dadah tersebut di bawah s 37(da) (vi) ADB, 1952. Dengan demikian, perayu telah dipanggil untuk membela diri.

Kes Pembelaan

[10] Perayu memberikan keterangan secara bersumpah. Secara ringkasnya:

(a) perayu telah pulang ke Acheh pada 31.7.2010 dan kembali semula ke Malaysia pada 17.8.2010. Dalam tempoh tersebut perayu telah meminjamkan kereta Naza Citranya kepada kawannya yang bernama Adi atau Jafarudin di Malaysia. Kereta Naza Citra itu bagaimana pun diserahkan kembali kepadanya pada 19.8.2010.

(b) Selepas menerima kereta tersebut, perayu telah memandu kereta tersebut mengekori sebuah kereta Honda Accord yang dipandu oleh Adi/Jafarudin ke rumah flat Adi/Jafarudin. Setelah kedua-duanya memarkir kenderaan masing-masing, tiba-tiba datang sebuah kereta Hilux berwarna hitam berhenti di hadapan kereta Adi/Jafarudin. Perayu melihat Adi/Jafarudin melarikan diri. Perayu kemudiannya ditahan dan ditangkap oleh polis dan dibawa masuk ke dalam sebuah kereta CRV.

(c) Pihak polis seterusnya memeriksa kereta Honda yang dipandu oleh Adi/Jafarudin dan perayu melihat SP5 mengeluarkan satu bungkusan plastik berwarna hitam dari pintu belakang sebelah pemandu. Perayu menyatakan dia telah memberikan maklumat yang diperlukan oleh pihak polis mengenai Adi/Jafarudin termasuklah pekerjaan Adi/Jafarudin di Pasar borong Serdang.

[11] Perayu telah juga memanggil Fauzi bin Saidin (SD2). SD2 menyatakan dia mengenali seorang yang bernama Adi dari Acheh ketika dia tinggal di apartmen yang berdekatan. SD2 juga mengenali perayu dan orang-orang Acheh yang tinggal di kawasan tersebut, malahan SD2 pernah melihat Adi memandu kereta milik perayu.

Dapatan di Akhir Kes Pembelaan

[12] Setelah mempertimbangkan keseluruhan kes, dan selaras dengan kehendak s 182A Kanun Prosedur Jenayah, Hakim bicara memutuskan:

"34. Oleh itu, berdasarkan kepada keterangan yang "overwhelming” terhadap beliau saya tidak dapat mempercayai pembelaan "T” ini. Berdasarkan kepada prinsip Radzi bin Yaakob dan Mat vs PP, saya menolak pembelaan "T” ini. Seterusnya tiada keraguan yang munasabah dapat ditimbulkan oleh "T” dan dengan ini saya berpuas hati bahawa satu kes melampaui keraguan yang munasabah telah dibuktikan oleh pihak pendakwaan terhadap "T”.

35. "T” dengan ini didapati bersalah dan disabitkan dengan pertuduhan di atas.”

Rayuan Dan Keputusan Kami

[13] Walaupun peguam bela yang terpelajar mengemukakan lapan (8) isu dalam mencabar keputusan Hakim bicara (rujuk hujahan bertulis peguam bela bertarikh 9.2014), kami berpendapat teras pembelaan perayu ialah dia tiada pengetahuan dan tiada kaitan langsung dengan dadah yang dituduh terhadapnya kerana dadah tersebut dirampas dari kereta lain iaitu Honda Accord warna hijau yang dipandu oleh Adi, yang dikatakan sebagai pengedar sebenar, dan bukan dari kereta Naza Citra yang dipandunya.

[14] Peguam bela yang terpelajar mengatakan bahawa pembelaan tidak sepatutnya dipanggil kerana kes prima facie tidak berjaya dibangkitkan oleh pendakwaan kerana dadah tersebut telah ditemukan dalam sebuah kereta Honda Accord berwarna hijau yang dipandu oleh Adi atau Jafarudin. Kami tidak bersetuju dengan penghujahan ini. Kes pendakwaan dari awal hingga akhir melibatkan penemuan dadah berkenaan dalam kereta Naza Citra milik perayu dan yang dipandu oleh perayu seorang diri dan bukan dalam mana-mana kenderaan lain. Semua cadangan mengenai kewujudan sebuah kereta Honda Accord warna hijau serta dakwaan pengedar sebenar Adi dinafikan dengan jelas dan tegas oleh saksi-saksi pendakwa. Kami bersetuju dengan dapatan bahawa dadah berkenaan ditemukan dalam kenderaan Naza Citra tersebut. Seperti mana dalam kes-kes yang melibatkan penemuan dadah di dalam kereta yang dipandu oleh tertuduh seorang diri, dapatan mengenai pemilikan dengan mens rea secara positif boleh dibuat melalui pembuktian kawalan atau penjagaan ke atas kenderaan tersebut dan sekali gus kawalan atau jagaan ke atas dadah di dalam kereta itu. Tambahan lagi, jika terdapat perlakuan cubaan untuk melarikan diri, itu boleh mewajarkan inferens pengetahuan tentang dadah dalam milikan itu. Selaras dengan prinsip dalam kes PP v Abdul Rahman Akif (2007) 4 CLJ 337 dan juga Parlan bin Dadeh v PP (2008) 6 MLJ 19, perayu dikehendaki memberikan penjelasan mengenai penemuan dan perlakuan tersebut. (lihat juga kes Khairuddin bin Hassan v PP (2010) 6 MLJ 145, dan Aedy Osman v PP (2011) 1 CLJ 273). Dalam keadaan di atas, kami bersetuju sepenuhnya dengan dapatan Hakim bicara apabila memutuskan:

“10. Berbalik kepada kes semasa, ketika “T” ditahan dan SP5 memperkenalkan diri kepadanya, “T” telah cuba melarikan diri sehingga berlaku satu pengelutan (sic) untuk menangkapnya, persoalannya mengapakah “T” cuba melarikan diri? Melalui soal balas tiada apa-apa cadangan diletakkan kepada SP5 dan SP6 mengenai isu ini kecuali polis memukul “T” sehingga cedera. Bagaimanapun melalui kes-kes Parian bin Dadeh vs PP [2009] 1 CLJ 717 dan Reza Mohd. Shah bin Ahmad vs PP [2005] 4 CLJ telah diputuskan bahawa perbuatan melarikan diri daripada ditangkap adalah menunjukkan pengetahuan suspek terhadap barangan salah, iaitu dadah, yang beliau bawa.

11. Di dalam kes ini saksi-saksi pendakwaan terutama SP5 dan SP6 mengatakan semasa pemeriksaan ke atas kereta Naza Citra tersebut dijalankan dengan disaksikan oleh “T” sendiri, dadah tersebut telah dijumpai di tempat alas kaki penumpang belakang kereta tersebut. Hanya “T” sahaja yang berada di dalam kereta pada masa itu memandu kereta berkenaan, juga telah dibuktikan bahawa kereta tersebut adalah kereta beliau yang dibeli daripada syarikat SP2, bukti penjualan kereta tersebut adalah melalui eksibit P7 yang tertera nama dan tandatangan oleh “T”.

12. Cadangan-cadangan oleh peguambela “T” bahawa kereta tersebut kotor dan telah dipinjamkan kepada kawannya bernama Adi/Jafaruddin telah dinafikan oleh saksi-saksi pendakwaan. Memang benar berdasarkan bukti daripada passport “T” bahawa beliau baru pulang daripada Acheh beberapa hari sebelum beliau ditangkap tetapi bukanlah mustahil bagi tertuduh untuk membawa dadah berkenaan di dalam kereta beliau pada hari beliau ditangkap. Isu ini adalah tidak bermerit.

13. Saya berpendapat keterangan saksi-saksi pendakwaan adalah kredibel dan boleh dipercayai, sebagai saksi tidak mungkin mereka tidak bercakap benar di atas sumpah, lagipun keterangan mereka tetap mantap walaupun telah dicabar oleh pihak pembelaan. Saya berpendapat keterangan mereka adalah benar dan tiada mempunyai apa-apa motif tersembunyi untuk itu saya merujuk kepada kes State of Kerala vs M.M. Mathew [1978] SCC 65 dan PP vs Abdul Latif bin Sakimin [2005] 6 MLJ 351.

14. Berdasarkan kepada alasan-alasan ini saya berpuas hati bahawa elemen pemilikan dan kawalan serta pengetahuan "T” ke atas dadah tersebut telah Berjaya dibuktikan oleh pihak pendakwaan.”

[15] Mengenai pembelaan perayu, kami juga mendapati penghujahan peguam bela tidak bermerit dan bersetuju dengan penghujahan Timbalan Pendakwa Raya bahawa pembelaan perayu ialah satu pembelaan yang direka-reka dan merupakan penafian semata-mata. Sekali lagi perayu menegaskan bahawa dadah dijumpai di dalam kereta Honda Accord warna hijau yang dipandu oleh Adi. Perayu seolah-olah ingin meyakinkan mahkamah bahawa ada kemungkinan dadah tersebut dimasukkan oleh pihak polis ke dalam kereta Naza Citra yang dipandu oleh perayu. Namun, kami mendapati tidak di mana-mana, sama ada di peringkat pendakwaan atau pembelaan, adanya keterangan sedemikian atau dicadangkan kepada saksi pendakwaan bahawa kumpulan SP5 bertindak sedemikian. SP5 semasa diperiksa balas tentang kereta Honda Accord hijau itu menyatakan (ms 74;Jilid 1;RR):

"S: Tertuduh kata dia mengekori kereta Honda Accord hijau, kedua-dua kereta di block oleh polis?

J: Tak setuju.

S: Ada awak ingat daripada kereta Honda Accord itu, pemandu lari dan dapat melepaskan diri?

J: Tak setuju.

Seterusnya di muka surat 76;Jilid 1;RR:

“S: Ikut arahan yang saya terima, bila dia sedar siasatan ada dibuat dalam kereta Honda Accord, dan melihat satu bungkusan ada dikeluarkan daripadanya?

J: Tak setuju.

SP8, pegawai penyiasat, juga ditanya di muka surat 110;Jilid 1;RR, begini:

“S: Adakah awak tahu bahawa di hadapan kereta ini, ada lagi satu kereta Honda Hijau, di mana dadah ditemui?

J: Tidak.”

SP8 selanjutnya di muka surat 115;Jilid 1;RR menyatakan dalam pemeriksaan semula:

“S: Berkenaan dengan kereta Honda Accord warna hijau yang dikatakan oleh rakan bijaksana saya dimiliki oleh Adi atau Jafaruddin ini, ada atau tidak sepanjang tempoh siasatan, keterangan atau maklumat berkaitan kereta Honda Accord ini timbul?

J: Tiada.”

[16] Dalam keadaan di atas kami berpendapat isu berkenaan dengan Honda Accord hijau dan penama Adi ini lebih merupakan satu red herring untuk mengalihkan tumpuan kepada hakikat kes pendakwaan bahawa dadah tersebut ditemukan dalam kereta Naza Citra yang berada dalam milikan dan dipandu oleh perayu sendirian ketika itu. Pergantungan pada konsep pengedar sebenar seperti mana diputuskan dalam kes Mohamad Radhi bin Yaakob v PP (1991) 1 CLJ (Rep) 311 adalah tersasar kerana fakta dan persoalan dalam kes tersebut amat jauh berbeza dengan kes dalam rayuan ini. Dalam kes rayuan sekarang ini kami perhatikan banyak tumpuan diberikan kepada fakta perayu balik ke Acheh dan sepanjang berada di sana keretanya itu telah dipinjamkan kepada Adi ini. Seterusnya kereta tersebut lewat diserahkan kepadanya iaitu hanya pada 19.8.2010 dan beberapa jam selepas itu perayu ditangkap. Namun demikian, teras pembelaan perayu seperti mana dinyatakan di atas ialah dadah tersebut ditemukan dalam kereta Honda Accord hijau dan tidak pada bila-bila masa dalam kereta Naza Citra. Oleh itu persoalan berkenaan penggunaan kereta semasa perayu berada di Acheh, kereta Naza Citra itu berada dengan Adi serta persoalan yang timbul dari itu tidak relevan. Itu lah sebabnya kami mengatakan isu berkenaan dengan kereta Honda Accord hijau itu merupakan satu red herring dan semestinya tidak mampu menimbulkan keraguan yang munasabah ke atas kes pendakwaan yang telah diterima oleh Hakim bicara. Hakim bicara berhak membuat sedemikian dan kami tidak nampak adanya kecacatan dalam keputusan itu untuk kami campur tangan.

[17] Peguam bela juga menegaskan bahawa Hakim bicara telah tidak menilai kes pembelaan dengan menyeluruh dan secermatnya berdasarkan isu-isu yang dibangkitkan dengan panjang lebar. Kami berpendapat hujahan ini tidak bermerit. Pada pandangan kami fakta dalam kes ini amat terang (straight forward) dan perayu sejelasnya telah gagal memberikan penjelasan yang munasabah selaras dengan prinsip yang digariskan dalam kes PP v Abdul Rahman Akif, supra, dan Parian bin Dadeh v PP, supra. Pada kami Hakim bicara telah mempertimbangkan isu-isu yang dibangkitkan dengan tepat dan kami bersetuju dengan dapatan seperti yang berikut (perenggan 25-29, Alasan penghakiman di ms 424-425;Jilid 1;RR):

“25. Mengenai pembelaan "T”, beliau menafikan pengawalan, pemilikan dan mengetahui dadah yang dirampas oleh pihak polis tersebut, kepunyaannya. Malah "T” menafikan yang dadah tersebut dijumpai di dalam kereta beliau. Pembelaan "T” ini sama sekali bercanggah dengan keterangan kes pihak pendakwaan.

26. "T” mengatakan semasa beliau ditahan beliau Nampak pihak polis mengeluarkan satu bungkusan hitam atau plastik hitam daripada kereta Honda Accord hijau yang dipandu oleh kawannya bernama Adi/Jafarudin dan seorang kawan Adi yang duduk di sebelahnya. Bagaimanapun Adi/Jafarudin telah berjaya melarikan diri ketika dia ditahan, tetapi "T” tidak menceritakan apa terjadi kepada kawan Adi tersebut.

27. Menurut "T” juga ketika beliau ditahan ramai pasukan polis berada di situ, berjumlah di antara 18-19 orang, dan kereta yang beliau naiki, juga kereta Adi/Jafarudin dan kawannya turut dihalang daripada melarikan diri. Bagaimanapun di dalam keadaan itu Adi/Jafarudin dan kawannya masih lagi berjaya melepaskan diri daripada dicekup oleh pihak polis.

28. Menurut kes pendakwaan kereta Honda Accord langsung tidak berada di tempat di mana "T” ini ditangkap. Menurut SP5, seramai 21 orang pegawai dan anggota polis yang turut serta di dalam serbuan dan operasi di kawasan flat Medan Maju Jaya, Petaling Jaya pada hari tersebut. Fakta ini turut disokong oleh saksi-saksi pendakwaan yang lain.

29. Di dalam keadaan sedemikian, saya berpendapat sekiranya pembelaan “T” itu benar, adalah mustahil bagi Adi/Jafarudin untuk melepaskan diri, lagipun pihak polis memang sudah bersedia untuk melakukan serbuan. Saya juga berpendapat adalah mustahil bagi pihak polis untuk berbohong hanya untuk mengenakan “T”, tambahan lagi di dalam kes yang melibatkan hukuman mati.”

[18] Berkenaan isu yang berkaitan dengan penemuan dadah dalam Naza Citra, pengetahuan perayu tentang dadah itu serta hal berkaitan dengan Adi ini kami bersetuju dengan ulasan dan dapatan Hakim bicara seperti yang berikut (ms 426-428; Jilid 4; RR)

“30. Walaupun saya percaya “T” baru sahaja masuk semula ke Malaysia setelah pulang daripada Acheh, Indonesia, ini tidak boleh menolak fakta kes pendakwaan bahawa dadah tersebut dijumpai di dalam kereta “T” dan “T” mempunyai pengetahuan berkenaan dengannya.

31. Isunya sekarang samada “T” mempunyai pengetahuan berkenaan dengan dadah yang berada di dalam kereta beliau tersebut kerana menurutnya kereta tersebut telah dipinjamkan kepada Adi/Jafarudin sebelum beliau pulang ke Acheh dan Adi/Jafarudin telah menggunakan kereta tersebut untuk beberapa hari? Menurut “T” juga semasa beliau mengambil kereta itu kembali daripada Adi, keadaannya adalah kotor.

32. Sepertimana yang saya jelaskan pada peringkat kes pendakwaan dulu, perbuatan melarikan diri boleh menjadi anggapan kepada pengetahuan seseorang Tertuduh, rujuk kes Parlan bin Dadeh vs PP (di atas). Bagaimanapun di dalam pembelaan “T” beliau menafikan yang beliau ada melarikan diri, sebaliknya polis yang menariknya keluar daripada kereta dan memukulnya bertubi-tubi. Di sini seolah-olah pihak polis hanya membiarkan Adi/Jafarudin lari dan hanya menumpukan kepada “T” sahaja. Ini bercanggah dengan keterangan sendiri yang mengatakan bahawa polis sebenarnya hendak menangkap Adi/Jafarudin. Saya berpendapat banyak andaian yang boleh dibuat daripada keterangan “T” ini, dan andaian-andaian itu tidak memihak kepada beliau.

33. Keterangan SP5 mengatakan berlaku pergelutan semasa hendak menangkap “T”, kerana “T” telah cuba melarikan diri. Keterangan ini telah disokong oleh SP6. Adalah sukar untuk dipercayai bahawa pihak polis akan bertindak kejam memukul “T” seandainya “T” memberikan kerjasama yang sepatutnya kepada pihak polis. Keterangan SP5 menunjukkan bahawa “T” memang bekerjsama (sic) dengan mereka selepas dia ditangkap iaitu dengan membawa pasukan polis ke Pasar Borong Serdang untuk menangkap suspek-suspek dadah yang lain.”

[19] Akhir kata, berdasarkan alasan-alasan di atas kami mendapati Hakim bicara telah tidak melakukan apa-apa kekhilafan dalam keputusannya malahan kami bersetuju bahawa terdapat keterangan yang melimpah ruah terhadap perayu. Dalam keadaan tersebut kami memutuskan rayuan ini tidak bermerit dan menolaknya. Kami mendapati sabitan adalah selamat. Dengan itu kami mengekalkan dan mengesahkan keputusan Hakim bicara yang dirayu.

t.t

ABDUL KARIM ABDUL JALIL
Hakim Mahkamah Rayuan

Tarikh: 9 Januari 2018

COUNSEL

Bagi pihak Perayu: Tan Sri Dato’ Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah, Tetuan Shafee & Co

Bagi pihak Responden: Aslinda Ahad, Timbalan Pendakwa Raya, Jabatan Peguam Negara

Legislation referred to:

Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen-seksyen 2, 37(da)(vi), 39B(1)(a), 39B(2)

Kanun Prosedur Jenayah, Seksyen 182A

Judgments referred to:

Aedy Osman v PP (2011) 1 CLJ 273

Khairuddin bin Hassan v PP (2010) 6 MLJ 145

Mohamad Radhi bin Yaakob v PP (1991) 1 CLJ (Rep) 311

Parlan bin Dadeh v PP (2008) 6 MLJ 19

PP v Abdul Rahman Akif (2007) 4 CLJ 337

Notice: The Promoters of Malaysian Judgments acknowledge the permission granted by the relevant official/ original source for the reproduction of the above/ attached materials. You shall not reproduce the above/ attached materials in whole or in part without the prior written consent of the Promoters and/or the original/ official source. Neither the Promoters nor the official/ original source will be liable for any loss, injury, claim, liability, or damage caused directly, indirectly or incidentally to errors in or omissions from the above/ attached materials. The Promoters and the official/ original source also disclaim and exclude all liabilities in respect of anything done or omitted to be done in reliance upon the whole or any part of the above/attached materials. The access to, and the use of, Malaysian Judgments and contents herein are subject to the Terms of Use.