THE OFFICIAL REPOSITORY OF
MALAYSIAN JUDGMENTS & RULINGS

[2018] MYCA 81 MALAY

Abdulloh Saofi v Pendakwa Raya
Suit Number: Rayuan Jenayah No. D-05(M)-343-12/2015 

PENGHAKIMAN

Latar belakang Kes

[1] Abdulloh Saofi (perayu), warganegara Thailand, pada awalnya telah dituduh bersama-sama isterinya Miss Yanidah Maerohkachi dalam Kes No: 45-11-2007 dan dibicarakan di hadapan YA Dato’ Mohd Azman bin Hussin. Di akhir perbicaraan, YA Hakim bicara telah melepaskan dan membebaskan Miss Yanidah, manakala perayu disabitkan dan dihukum gantung mandatori.

[2] Perayu telah mengemukakan rayuan ke Mahkamah Rayuan atas sabitan dan hukuman tersebut. Pada 20.7.2012, Mahkamah Rayuan telah menolak rayuan perayu dan mengekalkan hukuman yang dijatuhkan ke atasnya.

[3] Perayu seterusnya merayu ke Mahkamah Persekutuan dan pada 27.3.2014, Mahkamah Persekutuan telah membenarkan rayuan perayu sekali gus mengetepikan sabitan dan hukuman yang dikenakan. Bagaimanapun, Mahkamah Persekutuan mengarahkan kes terhadap perayu dibicarakan semula di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi yang lain.

[4] Atas perintah Mahkamah Persekutuan tersebut, kes ini telah didaftarkan semula di Mahkamah Tinggi di bawah No Kes: 45A-5-4/2014 dan perayu telah dibicarakan di hadapan YA Dato’ Azman bin Abdullah atas pertuduhan pindaan yang berikut:

“Bahawa kamu pada 15 Disember 2006, jam lebih kurang 7.10 petang, di Stesen Minyak Caltex, Jalan Pasir Mas-Rantau Panjang, dalam Jajahan Pasir Mas, di dalam Negeri Kelantan telah mengedar dadah berbahaya iaitu Methamphetamine seberat 76.39 gram dan dengan itu kamu telah melakukan suatu kesalahan di bawah s 39B(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah s 39B(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah s 39B(2) Akta yang sama.”

Di akhir perbicaraan, perayu telah didapati bersalah, disabitkan dan dijatuhkan hukuman mati mandatori. Tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut, perayu telah mengemukakan rayuan ini.

[5] Di akhir pendengaran, kami telah, dengan sebulat suara, menolak rayuan perayu dan mengekalkan keputusan Hakim bicara. Berikut ialah alasan kami memutuskan sedemikian.

Kes Pendakwaan

[6] Secara ringkas, fakta-fakta kes adalah sebagaimana yang berikut:

(a) Pada 3.12.2006, lebih kurang pukul 8.00 malam Inspektor Mahendra Seelan a/l Sathiyeaseelan (SP7), yang bertugas di Bahagian Narkotik, IPK Kelantan, telah menerima panggilan telefon daripada sumber yang memaklumkan ada seorang pengedar dadah (dipanggil sebagai “Lah”) yang ingin menjual dadah jenis pil kuda dan meminta sumber mencarikan pembeli.

(b) Pada 4.12.2006 hingga 6.12.2006, SP7, sebagai ketua operasi, telah mengaturkan strategi dengan dibantu oleh Sub-Inspektor Busra bin Abdul Kadir (SP4), dari IPD Manjung Perak, yang akan menyamar dan bertindak sebagai pembeli dalam projek jual beli dadah daripada perayu di Rantau Panjang, Kelantan.

(c) Pada 7.12.2006 lebih kurang pukul 3.00 petang, SP4 telah menelefon SP7 menyatakan dia telah tiba di Kota Bharu. Pada pukul 5.00 petang, SP7 dan SP4 telah berjumpa di Hotel Kencana Lodge, Kota Bahru. Dalam perjumpaan tersebut SP4 dimaklumkan sasaran ialah seorang lelaki bernama “Lah”, seorang pengedar dadah jenis pil kuda, dan SP4 akan menjadi penyamar sulit (AP) dengan nama panggilan “Man” dari Kuala Lumpur yang berminat untuk membeli pil kuda tersebut.

(d) Pada pukul 8.30 malam, sumber telah datang berjumpa SP4 dan SP7 di hotel tersebut. Setelah berbincang, sumber menelefon “Lah” dan memberitahu bahawa “Man” telah sampai dari Kuala Lumpur dan bersetuju untuk berjumpa “Lah” pada 8.12.2006 di Rantau Panjang. “Lah” bersetuju. Setelah menelefon “Lah”, sumber beredar dari hotel. Ekoran persetujuan perjumpaan itu, SP7 telah mengarahkan anggota-anggota serbuan agar bersiap sedia esoknya di hotel tersebut.

(e) Keesokannya, pada lebih kurang pukul 10.00 pagi, SP7 telah memberikan taklimat ringkas kepada anggota serbuan. Perjumpaan dengan “Lah” telah diaturkan di sebuah kedai makan di stesen bas Rantau Panjang.

(f) Pasukan SP7 sampai di lokasi pada pukul lebih kurang 12.30 tengah hari. Di kedai makan tersebut, sumber telah menelefon perayu. Tidak lama kemudian perayu tiba dengan memandu kereta jenis Toyota dengan nombor Thailand 5269. Sumber memperkenalkan “Man” kepada perayu. Mereka saling bertukar nombor telefon iaitu 019 55570718 (SP4) dan 019 9957660 (perayu), dan sumber tidak masuk campur dalam perbincangan mereka mengenai urusan jual beli pil kuda. Akhirnya selepas perbincangan, perayu bersetuju untuk membekalkan pil kuda sebanyak 3 tongkol dengan harga RM31,000.00 setongkol. Semuanya RM93,000.00. SP4 cuba menawar tetapi ditolak oleh perayu atas alasan pil kuda tersebut adalah daripada jenis kelas ke-2 dan mahal sedikit harganya. SP4 bersetuju.

(g) Bagaimanapun perayu memaklumkan bekalan akan tiba dalam masa 3-4 hari. SP4 bersetuju dan memaklumkan dia akan pulang ke Kuala Lumpur dahulu. Selepas itu, SP4 terus balik ke Kota Bharu dan memaklumkan SP7. SP4 kemudiannya pulang ke Perak.

(h) Pada 13.12.2006, SP4 menerima panggilan telefon pada pukul 10.30 pagi daripada perayu bertanyakan sama ada urus niaga mereka akan dijalankan atau tidak. SP4 memaklumkan urus niaga tersebut masih berjalan. Lantaran itu, perayu telah meminta SP4 datang ke Kelantan untuk mengambil pil kuda tersebut. SP4 bagaimanapun menjawab yang dia akan menelefon semula perayu pada lebih kurang pukul 5.00 petang hari itu juga. SP4 telah menelefon SP7 dan memaklumkan perkembangan projek. SP7 arahkan SP4 datang pada 14.12.2006.

(i) Pada 14.12.2006 SP4 datang dan menginap di hotel yang sama. Di situ, SP7 mengarahkan SP4 untuk memberitahu perayu agar urusan berkenaan ditangguhkan ke tarikh 15.12.2006. SP4 kemudiannya memaklumkan tarikh tersebut dan dipersetujui oleh perayu.

(j) Pada hari yang dijanjikan, SP4 telah berjumpa dengan perayu di Rantau Panjang. Namun, urus niaga yang ditetapkan awalnya pada sebelah pagi ditangguhkan ke sebelah petang sekitar waktu maghrib di stesen bas dan teksi di Rantau Panjang kerana dadah tersebut belum boleh lagi dibawa masuk ke Malaysia.

(k) SP4 pulang semula ke hotel dan memaklumkan SP7 kedudukan tersebut. SP7 kemudiannya mengarahkan SP4 untuk hadir ke IPK, Kelantan untuk taklimat penugasan. Dalam taklimat tersebut, SP4 diminta untuk memberikan isyarat menggaru kepala atau bermain-main dengan rambut apabila dadah telah disahkan berada dalam tangan perayu. SP4 juga telah dibekalkan oleh SP7 dengan wang tunjuk sebanyak RM 30,000.00.

(l) Pada sebelah petang tersebut, SP4 telah bertolak bersendirian ke tempat yang dijanjikan iaitu stesen minyak Caltex. Di sana, SP7 dan anggota serbuan telah bersiap sedia menunggu dan membuat pemerhatian dalam jarak 20-30 meter. Apabila SP7 mengesahkan perayu telah tiba di lokasi, SP4 memasuki lokasi dan memarkir keretanya. SP4 kemudian menyeberangi jalan menemui perayu yang berada di seberang jalan. Setelah bertemu, perayu bertanyakan tentang wang pembelian dan SP4 pula bertanyakan tentang barang berkenaan. SP4 kemudiannya menjawab wang berada di dalam kereta yang diparkir di stesen minyak dan berpatah balik ke keretanya. Perayu pula mengekori dengan kereta ke stesen minyak tersebut dan memberhentikan keretanya di situ. Pertemuan berlaku di kawasan parkir kereta stesen minyak Caltex. Perayu kemudiannya menghampiri SP4 dan bertanyakan wang. SP4 menunjukkan wang yang dibawa dan kemudiannya menyimpan semula di dalam kereta.

(m) Selepas perayu melihat wang, isteri perayu telah datang dengan memegang satu beg plastik “P8” bersama dua orang kanak-kanak dan menyerahkan “P8” itu kepada perayu. Perayu terus menyerahkan “P8” itu kepada SP4 sambil berbisik bahawa barang ada di dalam kotak. SP4 memeriksa dadah di dalam beg plastik tersebut dan didapati di dalamnya satu kotak bertulis “Appolo Kek Pandan Lapis” (P5A(1-15) dan satu paket makanan ringan “Kuaciku” (P6A (1-8)). Di dalam kotak tersebut, terdapat satu kertas surat khabar bertulisan Thailand (P7) yang mengandungi paket timah berbalut selotape (P9, P10). Setelah memegang dan dapat merasakan biji-biji dalam bungkusan serta berbau seperti pil kuda, SP4 menyerahkan semula “P8” itu kepada perayu dengan alasan mahu mengambil wang di dalam kereta. Semasa SP4 berjalan ke arah kereta, dia telah memberikan isyarat menggaru kepala sebagai isyarat tangkapan.

(n) Dengan isyarat tersebut, SP7 dan anggota serbuan dengan pantas telah meluru ke arah perayu dan isterinya. SP4 turut ditangkap bersama-sama dan kemudiannya dimasukkan ke dalam kereta yang berasingan dan dibawa keluar dari tempat kejadian. SP7 telah merampas barang kes P8 dan isi kandungannya daripada perayu. Setelah diperiksa, SP7 mendapati kandungan P8 ialah, antara lain, 3 bungkusan setiap satu mengandungi 10 paket kecil berwarna biru (P17A, P18A dan P19A). Didapati lanjut dalam setiap paket kecil tersebut mengandungkan pil-pil sebanyak 196 butir. Kesemua bungkusan mengandungi 5880 butir pil kemerahan yang disyaki dadah berbahaya. Barang kes, perayu dan isterinya serta dua orang anak mereka dibawa ke balai dan diserahkan kepada pegawai penyiasat ASP Mohd Shaifuddin Bin Zulkifli (SP12) untuk tindakan selanjutnya.

(o) SP12 telah memasukkan kesemua 5880 dalam paket-paket berkenaan dalam sampul bertanda ‘E’ dan menghantarkannya ke Jabatan Kimia Kuala Terengganu untuk dianalisis. Setelah dianalisis oleh ahli kimia Encik Zainun bin Muhamad (SP3), SP3 mengesahkan dadah tersebut ialah dadah berbahaya jenis Methamphetamine seberat 76.39 gram.

Dapatan Hakim Bicara di Akhir Kes Pendakwaan

[7] Setelah membuat penilaian maksima terhadap keterangan saksi-saksi pendakwaan, Hakim bicara telah mendapati pendakwaan telah berjaya membangkitkan satu kes prima facie terhadap perayu. Hakim bicara mendapati perayu mempunyai jagaan dan kawalan ke atas P8 yang mengandungi dadah berbahaya jenis Methamphetamine tersebut. Lantaran itu, Hakim bicara telah mengguna pakai anggapan di bawah s 37 (d) ADB 1952 iaitu perayu mempunyai milikan ke atas dadah tersebut, dan dianggap juga mengetahui akan jenis dadah berkenaan. Kecuali rujukan kepada “SP7”, kami bersetuju dengan dapatan Hakim bicara yang memutuskan:

“[81] Pemakaian anggapan di bawah s. 37(d) Akta, adalah dari penemuan fakta bahawa Tertuduh sebelum mengarahkan isterinya mengambil beg plastik berisi dadah tersebut, Tertuduh telah memastikan wang untuk dibayar kepada beliau oleh SP7 adalah ada. Tertuduh juga telah mengambil beg plastik berkenaan dari tangan isterinya dan memberikan kepada SP7. Kemudiannya, SP7 telah merasakan isi kandungannya dengan memicit paket plastik di dalam bungkusan tersebut dan setelah berpuas hati, SP7 menyerahkannya semula kepada Tertuduh.

[82] Dalam keadaan sedemikian, Mahkamah berpuas hati bahawa OKT mempunyai jagaan dan kawalan ke atas dadah di dalam beg plastik cerah P8 dan sekali gus dianggap (deemed) mempunyai pengetahuan tentang jenis (nature) dadah tersebut sehinggalah dibuktikan sebaliknya...

[83] Dengan kata lain, walaupun pembuktian kawalan dan jagaan terbukti secara melimpah ruah, namun anggapan di bawah s. 37(d) ini boleh digunakan, penggunaan anggapan ini tidak akan terjumlah kepada suatu “misdirection” atau salah arah oleh Mahkamah ini. Mahkamah ini berkeputusan walaupun di dalam kes ini terdapat AP/SP4 berurusan dengan Tertuduh namun anggapan pemilikan masih boleh menguatkan kes pendakwaan kerana penggunaan anggapan ini akan meletakkan suatu beban yang lebih berat atas imbangan kebarangkalian ke atas tertuduh untuk dipatahkan bahawa beliau tidak mengetahui dan menafikan dadah ada dibawanya...”.

Mengenai rujukan kepada “SP7” di perenggan [81] di atas, kami perhatikan telah berlakunya kesilapan menaip (typo error) di situ kerana rujukan seharusnya kepada SP4 (AP). Pada hemat kami kesilapan tersebut tidak memudaratkan memandangkan transaksi jual beli dadah berkenaan telah terbukti berlaku antara perayu dengan SP4 sebagai AP. Itu juga merupakan dapatan kukuh Hakim bicara dalam alasan penghakimannya antaranya di perenggan 64 et seq serta perenggan 84. SP7 merupakan pegawai penangkap dan yang merampas P8 daripada perayu. Dalam keadaan di atas, kesilapan tersebut adalah kecil dan tidak memudaratkan perayu.

[8] Mengenai pengedaran, kami bersetuju dengan dapatan Hakim bicara yang memutuskan bahawa pendakwaan telah berjaya membuktikan perayu mengedar dadah berkenaan melalui beberapa perbuatan yang termasuk dalam jaringan maksud pengedaran di bawah s. 2 ADB. Hakim bicara telah mendapati cukup keterangan untuk menunjukkan perayu membekalkan dadah yang diurus niaga bagi tujuan jual beli dengan SP4. Dengan demikian, perayu telah dipanggil untuk membela diri.

Kes Pembelaan

[9] Perayu memberikan keterangan secara bersumpah. Secara ringkasnya pembelaan perayu ialah dia telah berhutang duit dengan seorang yang bernama “Pok Nik” dan diminta membekalkan pil kuda kepada pembeli (SP4/Man) untuk melangsaikan hutangnya. Kronologi pembabitan dan hutang perayu adalah seperti yang berikut:

(a) Nama panggilan perayu ialah “Pok Lah”. Pada bulan Disember 2006, dia tinggal di Kampung Kuala Tat Wilayah Takbai, Thailand.

(b) Perayu menolong ibunya membuka kedai menjual makanan dan juga membawa pokok bunga ke Sungai Golok, Thailand.

(c) Perayu mengenali SP4 dengan nama “Man” melalui kawan Perayu bernama “Soh” dan “Pok Nik”.

(d) “Soh” memberitahu perayu bahawa kawan mereka bernama “Pok Nik” hendak berjumpa dengan perayu.

(e) Perayu ada berhutang wang dengan “Soh”, namun setelah tidak berjaya membayar hutang tersebut, “Soh” memaklumkan duit yang terhutang itu ialah sebenarnya duit “Pok Nik”. Perayu bersetuju berjumpa dengan “Pok Nik” di Rantau Panjang kerana kebetulan perayu memang berulang alik setiap hari ke Rantau Panjang, Kelantan untuk membeli barangan keperluan kedai makannya.

(f) Pada kali pertama perayu berjumpa “Pok Nik” di Rantau Panjang SP4 masih belum lagi berjumpa “Pok Nik”. Bagaimanapun, semasa perjumpaan kali kedua di stesen bas Rantau Panjang, SP4 turut hadir dan memperkenalkan dirinya sebagai “Man”. Turut ada bersama ialah “Pok Nik”. “Soh” sudah tidak lagi menyertai perjumpaan.

(g) Semasa perjumpaan tersebut, “Pok Nik” memberitahu perayu sekiranya tidak dapat membayar hutangnya, Pok Nik meminta perayu mencarikan satu tongkol pil kuda kerana “Man” ingin membelinya.

(h) Perayu memberitahu “Pok Nik” dia tidak biasa, namun “Pok Nik” memberitahu Perayu untuk berusaha. Selepas itu masing-masing bersurai.

(i) Pada 15.12.2006, perayu berjumpa dengan SP4 pada sebelah pagi. Mereka berjumpa di kedai kopi. Dalam perjumpaan tersebut SP4 bertanyakan sama ada barang yang dipesan telah ada ataupun tidak. Perayu memaklumkan barang tersebut masih belum ada atas alasan dia tidak biasa dan tidak pernah menyentuh pil kuda. SP4 ketika itu meminta perayu untuk mencari lagi.

(j) Sebelah petangnya, “Pok Nik” menelefon perayu dan bertanyakan tentang pil tersebut sama ada dapat atau tidak. Perayu memberitahu “Pok Nik” perkara yang sama. “Pok Nik” mengarahkan perayu berjumpa juga dengan SP4 walaupun tidak berjaya mencari.

(k) Perayu telah pergi berjumpa dengan SP4 bersama isteri dan dua orang anaknya. Ketika berjumpa di hadapan stesen bas, SP4 telah menyeberang jalan untuk berjumpa dengan perayu. Perayu memaklumkan dia ingin pulang kerana ‘barang’ tersebut masih tiada. SP4 memaklumkan dia mahu berjumpa perayu sekejap di Stesen Minyak Caltex.

(l) Selepas itu, perayu membawa keretanya ke stesen minyak Caltex. Dalam perbualan antara Perayu dan SP4, SP4 masih lagi mengarahkan perayu mencarikan pil kuda tersebut. Perayu memaklumkan kesukaran mendapatkan pil kuda tersebut kerana susah untuk mendapatkan wang tunai. SP4 memberitahu dia ada membawa duit, namun perayu menjawab tidak mahu melihat dan tidak mahu terlibat. Perayu melihat ada beg di tempat duduk belakang.

(m) Selepas itu, perayu memberitahu SP4 dia hendak pulang tetapi mereka telah diserbu oleh orang ramai. Perayu melihat isterinya turut digari. Mereka kemudiannya dibawa ke balai polis.

(n) Perayu menyatakan sepanjang ditangkap dia tidak ditunjukkan dengan barang salah yang kononnya dirampas daripada tangannya. SP7 ada menyatakan barang salah tersebut kepunyaan perayu namun barang itu tidak ditunjukkan pada jarak yang dekat.

Dapatan Hakim Bicara di Akhir Kes Pembelaan

[10] Di akhir kes pembelaan, Hakim bicara mendapati perayu telah gagal menimbulkan satu keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan dan telah juga gagal mematahkan anggapan pemilikan dadah di bawah s 37(d) ADB atas imbangan kebarangkalian. Oleh itu, perayu didapati bersalah, disabitkan dan dijatuhkan hukuman mati mandatori.

Rayuan ini

[11] Dalam rayuan ini, perayu telah membangkitkan isu-isu yang berikut iaitu Hakim bicara telah:

(a) khilaf apabila gagal mengambil kira putusnya rantaian keterangan mengenai pergerakan atau kedudukan barang kes semasa tangkapan dibuat;

(b) khilaf apabila gagal mengambil kira kesangsian atau perbezaan jumlah barang kes yang dirampas; dan

(c) khilaf apabila memutuskan perayu melakukan pengedaran sedangkan tidak wujud elemen pengedaran dalam kes ini.

[12] Mengenai isu (a) dan (b), peguam mengatakan bahawa mengikut rundingan antara SP4 dan perayu, SP4 telah bersetuju untuk membeli tiga tongkol pil kuda (setiap tongkol mempunyai 10 paket dan setiap paket mengandungi 20 butir). Oleh itu jumlah keseluruhannya ialah 10 x 20 x 3 = 600 butir sebagai jumlah pil kuda dalam rundingan jual beli. Walau bagaimanapun menurut keterangan SP7, keseluruhan jumlah pil kuda yang dirampas dari tempat kejadian ialah sebanyak 5880 butir. Timbul persoalan di sini, adakah 5880 butir pil yang dirampas merupakan pil yang sama ditempah oleh SP4 semasa rundingan jual beli? Menguatkan lagi persoalan mengenai rantaian barang kes ini disyaki telah terputus apabila pihak pembelaan menghujahkan bahawa terdapat keraguan pada identiti barang kes yang dirampas sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat, SP12. Kelompangan ini berdasarkan keterangan oleh SP7 yang mengatakan bahawa dia telah mengambil barang kes daripada SP4 tanpa melihat atau menggeledah ke dalam beg plastik tersebut dan selepas itu terus membawa perayu dan barang kes ke balai polis. Setibanya di balai, barulah dia mengeluarkan barang kes daripada beg plastik dan membuat kiraan. Terdapat tiga bungkusan berwarna perang P14 (A-C), di dalamnya mengandungi 10 paket plastik berwarna biru dan setiap paket mengandungi 196 tablet (10 x 196 = 1960 butir x 3 bungkusan = 5880 butir) sebelum menyerahkannya kepada pegawai penyiasat. Selanjutnya SP7 mengatakan dia juga membuat laporan polis di Balai Polis Rantau Panjang. Keraguan dan kekeliruan timbul apabila keterangan oleh SP12 pula mengatakan bahawa di bilik tersebut hanya mempunyai kerusi dan meja mesyuarat tanpa komputer. Persoalan yang wujud di sini, barang kes berada dalam kawalan dan jagaan siapa ketika SP7 membuat laporan polis? Mustahil SP7 menjaga dan mengawal barang kes semasa dia dikatakan membuat laporan polis tersebut. Tambahan pula, tiada keterangan mengaitkan keadaan atau siapa yang bertanggungjawab menjaga barang kes tersebut ketika SP7 ke bilik lain untuk membuat laporan polis. Keraguan ini menimbulkan persoalan adakah barang kes yang dirampas tersebut ialah barang kes yang sama dikemukakan ketika perbicaraan.

[13] Manakala bagi isu (c), perayu menghujahkan bahawa Hakim bicara telah khilaf kerana memutuskan perayu melakukan pengedaran sedangkan tidak wujud elemen pengedaran dalam keterangan kes. Hal ini diperjelaskan oleh perayu bersandarkan keterangan bahawa wang balasan belum bertukar tangan dan rundingan jual beli tersebut tidak lengkap kerana belum dimuktamadkan. Oleh yang demikian, urus niaga pengedaran belum selesai dan perayu sepatutnya dihukum di bawah seksyen lain yang tidak melibat hukuman gantung sampai mati. Atas alasan-alasan yang dinyatakan di atas, perayu memohon agar rayuannya dibenarkan.

[14] Timbalan Pendakwa Raya menyangkal hujahan perayu dan menegaskan bahawa kes ini ialah satu kes berasaskan atau bermotifkan pengedaran dadah secara langsung/ pengedaran dadah secara terus oleh perayu selepas rundingan dibuat. Tiada keterangan menunjukkan bahawa dadah berada dalam kawalan dan pengetahuan orang lain melainkan dalam pengetahuan, kawalan, dan milikan perayu. Panggilan telefon, rundingan, persetujuan jual-beli dan pertemuan yang telah diatur antara perayu dengan SP4 jelas menunjukkan perancangan jual beli dan pengedaran dadah telah berlaku. Oleh yang demikian, perayu telah melakukan kesalahan seperti mana didakwa dalam pertuduhan.

Keputusan Kami

[15] Kami telah mempertimbangkan hujahan bertulis dan hujahan lisan kedua-dua pihak. Pada hemat kami, isu (a) dan (b) tersebut boleh dirungkaikan bersekali dan harus dipertimbangkan berdasarkan fakta dan keadaan kes ini. Kami sebulat suara bersetuju dengan dapatan Hakim bicara bahawa tiada keraguan mengenai identiti barang kes yang dipersoalkan. Hakim bicara jelas telah menilai dan menghalusi semua aspek yang diutarakan oleh peguam perayu dan gagal membangkitkan sebarang keraguan yang boleh menggugat rantaian keterangan barang kes mahupun identiti dadah yang telah dirampas dalam kes ini. Hakim bicara telah membuat penilaian dan perincian yang teliti berkaitan rantaian keterangan barang kes di muka surat 26-30, RR, Jilid 1 seperti yang berikut:

“Rantaian Barang Kes dan Identiti Barang Kes adalah Utuh.

[64] SP4-SM Busra adalah orang yang pertama melihat barang kes apabila menerimanya dari Tertuduh satu beg plastik [P8] dan di dalamnya mendapati terdapat satu kotak bertulis “APPOLO KEK PANDAN LAPIS” dan satu paket makanan ringan “KUACIKU”. SP4 memeriksa kandungan di dalam kotak mendapati terdapat satu kertas surat khabar tulisan “Thailand” di dapati terdapat satu paket kertas timah berbalut dengan celotape warna cerah dan SP4 telah memicit kertas timah tersebut dan terasa berbiji-biji dalam bungkusan dan bau wangi pil kuda. Selepas itu, SP4 serahkan semula kepada tertuduh. Tertuduh mengakui tidak melihat pil-pil tersebut hanya merasakan dengan cara memicit-micitnya sahaja.

[65] Selepas itu, barang kes beg plastik [P8] yang dipegang oleh Tertuduh telah dirampas oleh SP7-Insp. Seelan, beliau di dalam keterangannya menyatakan selepas itu beg plastik [P8] dan Tertuduh dan isterinya dan dua anak kecil dibawa ke Balai Polis Rantau Panjang. Barang kes beg plastik [P8] dan isinya sentiasa dipegang oleh SP7 di dalam perjalanan ke Balai Polis.

[66] Sampai di Balai Polis SP7 telah membuat pemeriksaan di dalam beg plastik cerah [P8] dan mendapati satu kotak bertulisan “APPOLO KEK PANDAN LAPIS” [P5] ianya dibalut dengan plastik P6 di dalamnya mengandungi 15 paket kek lapis APPOLO [P5A 1-15] dan 18 paket-paket kuaci [P6A 1-18], bungkusan surat khabar tertulis Thailand [P7] dan diperiksa lanjut dijumpai satu bungkusan kertas timah/ aluminium [P9] dan 3 bungkusan/paket plastik lut sinar [P11 A-C] dan 3 bungkusan kertas warna kekuningan P4 A-C. Terdapat celotape cerah bertanda ‘H’ P10.

[67] Di dalam bungkusan pertama, kedua dan ketiga P4 ‘A’-‘C’: di dalam setiap satu bungkusan terdapat 10 paket plastik biru kecil P17 ‘A’-‘J’, P18 ‘A’-‘J’ dan P19 ‘A’-‘J’. Di dalam setiap paket plastik biru kecil terdapat 196 pil-pil tablet oren kemerahan yang mana jumlah 30 paket plastik biru kecil di dalam 3 bungkusan ialah sebanyak 5880 biji pil-pil kemerahan.

[68] Semasa SP7 memeriksa dan mengira barang-barang kes, Tertuduh dan isterinya ada sama melihatnya. Selepas itu SP7 telah menyediakan BORANG SENARAI PEMERIKSAAN [P26] dengan mana ditandatangan oleh Tertuduh dan isterinya.

[69] Di dalam P26, senarai bongkar tersebut SP7 mencatitkan kesemua barang-barang kes yang sama dirampas dan selain dari itu senarai barang-barang kes yang terdapat di dalam beg plastik [P8] SP7 nyatakan di dalam “BORANG AKUAN TERIMA DAN SERAH BARANG KES’ [P27] yang diakui benar oleh SP12 Pegawai Penyiasat. Selain dari itu SP7 ada menyatakan di dalam laporan polisnya P24 akan barang-barang yang diperiksa di dalam beg plastik P8.

[70] Selain dari itu SP7 turut merampas dari badan Tertuduh satu handphone jenis Samsung [P12] dan bersama SIM Card [P12A], satu dompet lelaki [P30] dan satu jam tangan Jenama Rado [P29].

[71] Manakala setelah SP12 menerimanya dari SP7, beliau di dalam keterangannya pada 15.12.2006 jam 11.00 malam telah diserahkan dengan Laporan Polis P24 oleh SP7, dua orang suspek [Tertuduh dan isterinya] dan barang-barang kes terdiri dari; 1 beg plastik lut sinar P8, 1 kotak bertulisan yang sama dengan 15 pekek (sic) kek lapis, 1 paket plastik lut sinar dengan 18 paket kecil hijau tulisan Kuaciku, 1 helai kertas surat khabar Thailand, 1 keping aluminium foil, 3 peket (sic) kecil lut sinar, 9 gelang getah dan loy tape [celotape] lut sinar, 3 helai kertas kekuningan, 30 paket plastik warna biru dengan setiap 1 paket berisi 196 pil merah-oren tanda WY setiap satu.

[72] Pada awal 16.12.2006, selepas jam 12.00 tengah malam, SP12 telah membuat tandaan kepada barang-barang kes, sepertimana di dalam Pol 31 Lampiran A [P14] selain dari itu barang-barang kes yang tidak dihantar ke JKM adalah tandaan seperti berikut P8-Plastik Beg Cerah ditanda A, P9-kertas aluminium ditanda F, P10-celoteape ditanda H, P11 A-C-3 paket plastik lutsinar ditanda G1-G3, dan arahkan jurugambar SP6 D/Sjn. Azizi bin Ab Hadi telah mengambil 8 keping gambar barang kes dicamkan P13 A-H. Barang-barang kes disusun oleh SP12 seorang diri. Meneliti gambar-gambar P13 A-H ianya dicamkan oleh SP3, SP4, SP7 dan SP12 gambar-gambar barang kes tersebut selain dari pengecaman barang kes di dalam Mahkamah. Terdapat tandaan yang jelas barang-barang kes di dalam gambar P13 terutamanya bungkusan E1, E2 dan E3 serta paket plastik biru dan pil-pil/ tablet warna oren kemerahan. Selain dari itu, terdapat tandatangan dan tarikh. Dengan kata lain, identiti barang kes yang dirampas oleh SP7 dan diserahkan kepada SP12 dan dianalisa oleh SP3 adalah barang kes yang sama walaupun pernah dibuka untuk perbicaraan pertama sebelum ini.

[73] Menurut SP6, bersama SP7-Pengadu dan SP9-Pegawai Penyiasat pada jam 12.30 pagi telah ke tempat kejadian di Stesen Minyak Caltex, Rantau Panjang mengambil 5 keping gambar P20 A-E. Menurut SP12 beliau telah menyimpan barang-barang kes di dalam kabinet besi dan berkunci dan di dalam bilik pejabatnya juga berkunci.

[74] Selepas itu pada 17.2.2006 menurut SP12, Barang-barang kes dikeluarkan daripada Peti Kabinet berkunci di dalam pejabat SP12 untuk dan dibawa oleh SP12 sendiri ke JSJN, IPK, Kelantan bagi tujuan sidang akhbar. Semasa dibawa dan semasa sidang akhbar dan selepas dibawa balik semula IPD Rantau Panjang barang kes sentiasa dalam jagaan SP12. Menurut SP12 beliau menampal paket plastik kecil berisi pil oren kemerahan dengan celotape kekuningan di bahagian yang terkoyak untuk mengelak pil-pil tercicir atau hilang dari kawalannya. Selepas itu SP12 masukkan dalam sampul ditanda olehnya “E” yang berseal “POLIS DIRAJA MALAYSIA 656” barang-barang kes berikut dan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia Cawangan Kuala Terengganu pada 19.12.2006 jam 12.27 tengahari dan terima oleh Pn. Zainun SP3. Selepas SP3 pastikan Pol.31 dan barang-barang di dalam sampul “E” adalah sama barulah SP3 telah keluarkan Resit Resmi (sic) dengan nombor makmal. Selepas selesai SP3 selesaikan analisanya sampul “E” dan isi yang sama yang diseal dengan Seal JKM diserahkan semula kepada SP8-Kpl. Zazali bin Tahir, pada 11.01.2007, jam 1400 dan SP8 telah serahkan terus kepada SP12 apabila balik ke IPD. SP12 telah menyimpan sampul “E” di dalam peti besi berkunci di dalam pejabatnya.

Seterusnya, Hakim bicara membuat dapatan berikut di muka surat 52-­53, RR, Jilid 1”:

[139] Isu 2: Identiti dadah yang tidak diperiksa oleh SP7 adalah berbeza jumlahnya dengan apa yang dipesan oleh SP4 dan dirampas oleh tertuduh.

[140] Dapatan dan keputusan Mahkamah ini atas Isu 2: Mahkamah ini telah meneliti keterangan saksi-saksi yang mengendalikan barang kes bermula dari SP7/Insp Seelan yang menangkap tertuduh dan merampas barang kes sehingga diserahkan kepada Pegawai Penyiasat dan serahkan kepada Ahli Kimia. Identiti barang kes adalah tidak berkurang dan bertukar. Kesemua ini dilihat melalui gambar barang kes sehingga barang kes tersebut dan borang bongkar dan borang serah menyerah dan pol.31 serah resit resmi JKM, dan laporan Kimia. Tertuduh mengakui semasa SP7 membawanya selepas tangkapan beg plastik berisi dadah terletak di atas dashboard kereta bersama SP7.

[141] Keterangan tentang berapa yang dipesan oleh SP4 sama ada 3 tongkol terdiri dari 200 biji setongkol adalah bukannya suatu yang menjadi isu apabila apa yang dirampas adalah sama yang dianalisa oleh Ahli Kimia. Ini ternyata SP4 agak keliru dengan menyatakan 600 untuk 3 tongkol adalah ternyata untuk setongkol sahaja apabila wang tunjuk hanya untuk setongkol. Malah tertuduh sendiri mengakui pesanan hanya untuk setongkol dengan harga RM31,000.00.”

[16] Daripada keterangan di atas, penilaian dan keputusan Hakim bicara berkenaan rantaian keterangan barang kes yang diragui tersebut tidak mempunyai asas ataupun merit. Setelah kami menyemak semula keterangan dalam rekod, kami mendapati tidak adanya keterangan yang menyatakan berapakah jumlah biji pil yang akan dijual oleh perayu kepada SP4. Apa yang dipersetujui untuk dibekalkan oleh perayu dan dipersetujui untuk dibeli oleh SP4 ialah 3 tongkol dengan harga RM31,000.00 setongkol. Tiada keterangan daripada perayu atau soal balas oleh peguam bela bahawa setongkol itu semestinya mengandungi 10 paket berisi 20 biji pil setiap bungkus. Kami berpendapat keterangan SP4 mengenai perkara tersebut hanya berdasarkan andaian dia sahaja kerana keterangan dengan kukuh menunjukkan dadah yang diurus niaga dan dirampas dari mula hingga dianalisis oleh SP3 dan seterusnya dikemukakan di mahkamah ialah 3 tongkol yang mengandungi 10 paket kecil setiap tongkol. Setiap paket kecil itu pula mengandungi, tanpa sebarang keraguan, 196 biji pil kemerahan. Jumlah keseluruhan, juga tanpa sebarang keraguan, ialah 5880 biji pil yang mengandungi Methamphetamine seberat 76.39 gram. Manakala tentang wang RM30,000.00 yang dibawa oleh SP4, itu hanyalah wang tunjuk. Harus dicatatkan kes ini melibatkan projek jual beli dadah dengan menggunakan penyamar sulit. Walaupun harga pembelian yang dipersetujui ialah RM 93,000.00 untuk 3 tongkol namun peranan wang RM30,000.00 yang diberikan kepada SP4 hanyalah sebagai wang tunjuk demi meyakinkan perayu (penjual) akan gambaran keikhlasan urus niaga. Apa yang penting dalam kes-kes begini urus niaga jual beli telah disempurnakan walaupun wang sepenuhnya belum atau tidak diberikan dan pengedar kemudiannya ditangkap (rujuk kes-kes Mahkamah Persekutuan dalam Tarmizi Yacob & Anor v PP & Another Appeal [2010] 8 CLJ 501 (MP); Faiz Khairudin v PP [2011] 5 CLJ 509; Wan Mazuki Wan Abdullah v PP [2013] 1 CLJ 177 dan kes Mahkamah Rayuan dalam Badrul Hisham Kamaruddin & Yang Lain v PP [2014] 1 LNS 998). Walaupun kami mendapati penilaian Hakim bicara tentang isu ini mengandungi sedikit kecelaruan namun kekhilafan itu kecil dan tidak menjejaskan kes pendakwaan. Kami berpendapat dadah yang dibincangkan antara SP4 dengan perayu, yang kemudiannya dirampas oleh SP7, dianalisis oleh SP3 dan dikemukakan di mahkamah ialah dadah yang sama. Kami mendapati tidak adanya terputusnya rantaian barang kes dalam kes ini sepertimana yang didakwa oleh peguam bela.

[17] Kami juga berpendapat keputusan Hakim bicara turut disokong dengan pengemukaan bil rekod panggilan telefon antara SP4 dan perayu (P33). Ekshibit P33 jelas menunjukkan perbualan dari awal perkenalan SP4 dengan perayu, rundingan-rundingan jual beli, dan seterusnya perjumpaan jual beli yang diatur di Caltex. Susulan itu, kami berpendapat isu ini tidak mempunyai merit dan dapatan Hakim bicara berkaitan isu ini boleh dipertahankan.

[18] Berkaitan isu (c), kami mendapati Hakim bicara tidak khilaf dan telah membuat dapatan yang betul berkaitan isu pengedaran. Pada kami Hakim bicara berhak untuk mengguna pakai anggapan di bawah s 37 (d) ADB untuk pembuktian pemilikan dan pengetahuan akan jenis dadah berbahaya yang dimiliki itu. Hakim bicara sedar bahawa beliau boleh, dengan keterangan yang melimpah ruah, terus membuat dapatan berdasarkan keterangan langsung mengenai pengedaran secara jual beli dadah berkenaan. Bagaimanapun dalam kes ini Hakim bicara telah memutuskan, dengan betul, untuk menggunakan perbuatan membekalkan, dan transaksi menyerahkan dadah berkenaan bagi tujuan jual beli dadah itu kepada SP4 sebagai perbuatan yang termasuk dalam jaringan makna pengedaran di bawah s 2 ADB. Kami tidak nampak sebarang kecacatan dalam dapatan Hakim bicara tentang isu ini apabila beliau memutuskan, di 35-39, RR Jilid 1:

“Pihak Pendakwaan berjaya membuktikan tertuduh secara prima facienya mengedar dadah menurut s. 2 ADB maksud ‘pengedaran’

[86] Pembuktian mengedar adalah dibuktikan melalui perbincangan antara tertuduh dengan SP4 Agen Penyamaran Polis. Adalah tidak tersilap dan tanpa keraguan munasabah keterangan SP4 menyatakan bahawa tertuduh bersetuju membekalkan 3 tongkol pil kuda. Walaupun wang tunjuk yang dibawa hanya untuk satu tongkol pil kuda sahaja berlainan dengan perbincangan SP4 untuk membekalkan pil kuda dan perlu diingat perbincangan tersebut adalah untuk membuktikan pengetahuan oleh tertuduh dan niat tertuduh untuk mengedar dadah bukan perbincangan barangan lain.

[89] Di dalam kes ini tertuduh semasa awal berjumpa dengan SP7 (sepatutnya SP4) telah bersetuju untuk membekalkan dan menjual [supplying and selling] pil kuda dan pada hari kejadian SP7 (sepatutnya SP4) semasa memeriksa isi kandungan beg plastik P8 telah mempastikan dari rasa biji-biji pil dan bau wangi adalah kebiasaan dari pengalamannya adalah pil kuda.

[94] Selain dari SP4 berada semasa perjumpaan pertama dan perjumpaan hari tangkapan, keterangan SP5 Kpl. Haliza juga menyokong keterangan SP4 dan SP7 pada kedua-dua Tertuduh berjumpa dengan SP4. Mereka berdua camkan Tertuduh adalah orang yang sama berbual dengan SP4 di dalam kedai makan dan Tertuduh kali kedua ditangkap oleh SP4 dan SP5 menangkap isterti Tertuduh.

[95] Pendakwaan berjaya juga membuktikan Tertuduh bukan isterinya yang mempunyai kawalan dalam jagaan serta pengetahuan dadah di mana dari awal perjumpaan hingga tangkapan Tertuduh sahaja yang terlibat. Isteri Tertuduh hanya membawa barang kes dan menyerahkan kepada Tertuduh dan pengetahuan isteri Tertuduh tidak boleh di“infer” hanya dengan membawa barang kes jika dibandingkan Tertuduh yang mempunyai kawalan dan jagaan serta pengetahuan akan dadah tersebut.

[96] Oleh itu, s. 2 Akta Perkataan-perkataan tersebut menjelaskan tindakan-tindakan yang tergulung di bawah beberapa jenis tindakan yang disifatkan sebagai kegiatan mengedar. Seksyen 2 memberi definisi berikut berkait mengedar:

“manufacturing, importing, exporting, keeping, concealing, buying, selling, giving, receiving, storing, administering, transporting, carrying, sending, delivering, procuring, supplying or distributing any dangerous drug otherwise than under the authority of this Act or the regulations made under the Act.”

[97] Oleh itu, beberapa jenis tindakan yang dinyatakan di dalam takrif ‘trafficking’, seperti ‘keeping’, ‘concealing’, ‘giving’, ‘receiving’, ‘toring’, ‘transporting’, ‘carrying’, ‘sending’, ‘delivering’, ‘supplying’, dan ‘distributing’, akan dengan sendiri menyentuh elemen pemilikan. Dari fakta kes ini aktiviti ‘membekalkan’ dan ‘transaksi Tertuduh menyerahan (sic) dadah’ adalah tindakan-tindakan yang melibatkan isu dan elemen pemilikan, kerana tanpa milikan aktiviti tersebut tidak boleh dilakukan. Sebenarnya definasi mengedar di bawah s.2 Akta terdapat begitu banyak pertindihan yang tidak sepatutnya menimbulkan masalah untuk terjatuh pada maksud mengedar di dalam kes ini.”

[19] Kami telah juga mempertimbangkan pembelaan yang dikemukakan oleh perayu. Setelah mempertimbangkan segala keterangan dalam rekod, kami mendapati keterangan adalah kukuh dan gagal dicabar oleh perayu berkenaan dengan urus niaga jual beli dadah berkenaan dari mula berjumpa dengan SP4 sehinggalah dia ditangkap bersama-sama dengan dadah berkenaan. Dalih bahawa dia dianiaya oleh polis, dan atas desakan Pok Nik merupakan sesuatu yang tidak munasabah dan bertentangan dengan keterangan yang melimpah ruah terhadapnya. Dalam hal ini kami bersetuju dengan dapatan Hakim bicara yang memutuskan:

“Pembelaan Tertuduh yang hanya penafian semata-mata.

[131] Tertuduh gagal memberi suatu penjelasan yang boleh menimbulkan sebarang keraguan munasabah ke atas kes pihak pendakwaan apabila beliau mengakui bertemu dengan ‘Man’/SP4 sebanyak tiga kali, jika benar Tertuduh tidak boleh mendapatkan dadah dan telahpun memberitahu ‘Man’/SP4 di sebelah pagi hari tangkapan dan sekali lagi Tertuduh pergi menemui ‘Man’ di seberang jalan sebelah petang. Menurut Tertuduh, beliau telah memberitahu ‘Man’/SP4, kenapa Tertuduh masih mengikut ‘Man’/SP4 ke madrasah?

[132] Tertuduh menyatakan ‘Pok Nik’ yang arahkan beliau sebelah petang berjumpa ‘Man’ dan beliau terpaksa juga pergi berjumpa ‘Man’ walaupun pil kuda tidak dapat diperolehi. Beliau memberi alasan beliau terhutang dengan ‘Pok Nik’. Mahkamah ini meneliti pembelaan Tertuduh dan keterangan prima facie pendakwaan dan membuat dapatan bahawa Tertuduh mengikut ‘Man’/SP4 ke Stesen Caltex itu adalah sebab SP4 meminta Tertuduh datang menyerahkan dadah di situ sebab pasukan serbuan sedang menunggu di situ dan wang bayaran dibayar di situ. Oleh itu, tanpa sebarang keraguan yang munasabah lagi itulah sebabnya Tertuduh bersedia dengan pil kuda yang dicampurkan dengan kek pandan lapis makanan anak-anaknya dan kuaci di dalam beg plastik turut menghala ke Stesen Minyak Caltex tersebut dan menuruti ‘Man’/SP4.

[133] Secara munasabahnya apa keperluan lagi Tertuduh ke Stesen Minyak Caltex jika sudah berjumpa dengan ‘Man’ dan diberitahu bahawa tidak dapat cari pil kuda tersebut. Alasan Tertuduh begitu tidak munasabah sehinggakan pada hari yang sama di waktu pagi sudah diberitahu tidak dapat mencarinya dan waktu petang diberitahu pula dan sekali lagi ikut ‘Man’ untuk tujuan yang tidak diketahui apa. Dengan kata lain, jika Tertuduh berpendapat tidak lagi perlu datang berjumpa ‘Man’ pada sebelah petang tersebut oleh sebab pil kuda tidak diperolehi dan telah maklumkan kepada ‘Man’ maka sepasukan serbuan polis bersiap sedia sia-sia sahaja. Malahan jika dipercayai cerita Tertuduh ini, bermakna sepasukan polis bersiap sedia di tempat tersebut semata-mata untuk menganiayai Tertuduh sebab polis sudah tahu Tertuduh tidak akan membawa dadah oleh itu Tertuduh hendak menyatakan pihak polis yang membawa dadah itu dan meletakkan kesalahan seolah-olah Tertuduh yang membawanya.

[134] Mahkamah dengan ini memutuskan, keterangan kes pihak pendakwaan adalah melampaui keraguan yang munasabah di akhir perbicaraan apabila pihak Tertuduh gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah di dalam kes pendakwaan dan gagal mematahkan anggapan atas imbangan kebarangkalian, anggapan pemilikan statutori yang terhadapnya di bawah S.37(d) ADB yang perlu dipatahkan.”

[20] Berdasarkan alasan-alasan di atas, kami mendapati tiada apa-apa merit dalam rayuan ini. Kes terhadap perayu telah dibuktikan tanpa keraguan yang munasabah dan perayu telah gagal mematahkan anggapan di bawah s 37 (d) ADB atas imbangan kebarangkalian dan juga gagal menimbulkan apa-apa keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan. Kami memutuskan sabitan yang diperintahkan oleh Hakim bicara adalah selamat. Dengan itu kami menolak rayuan ini dan sekali gus mengekalkan sabitan dan hukuman Hakim bicara.

t.t

ABDUL KARIM ABDUL JALIL
Hakim Mahkamah Rayuan

Tarikh: 14 Mac 2018

COUNSEL

Bagi pihak Perayu: Mohd Ilias Mohd Nor, Tetuan Mohd Ilias & Co

Bagi pihak Responden: Kwan Li Sa, Timbalan Pendakwa Raya, Jabatan Peguam Negara

Legislation referred to:

Akta Dadah Berbahaya 1952, Sections 2, 37(d)

Judgments referred to:

Badrul Hisham Kamaruddin & Yang Lain v PP [2014] 1 LNS 998

Faiz Khairudin v PP [2011] 5 CLJ 509

Tarmizi Yacob & Anor v PP & Another Appeal [2010] 8 CLJ 501 (MP)

Wan Mazuki Wan Abdullah v PP [2013] 1 CLJ 177

Notice: The Promoters of Malaysian Judgments acknowledge the permission granted by the relevant official/ original source for the reproduction of the above/ attached materials. You shall not reproduce the above/ attached materials in whole or in part without the prior written consent of the Promoters and/or the original/ official source. Neither the Promoters nor the official/ original source will be liable for any loss, injury, claim, liability, or damage caused directly, indirectly or incidentally to errors in or omissions from the above/ attached materials. The Promoters and the official/ original source also disclaim and exclude all liabilities in respect of anything done or omitted to be done in reliance upon the whole or any part of the above/attached materials. The access to, and the use of, Malaysian Judgments and contents herein are subject to the Terms of Use.